untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Friday, July 18, 2008

PENDAKWAAN - 8

Pendakwa harus kemuka bukti tuduhan pindaan rasuah

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, pendakwa harus mengemukakan bahan-bahan bukti tuduhan pindaan rasuah terhadapnya di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai sembilan barisan peguam bela Anwar berkata, pendakwa harus membuktikan Anwar telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meminta Cawangan Khas mendapatkan kenyataan Ummi Hafilda Ali menafikan dakwaan perihal salah lakunya.

Beliau berkata, pendakwa juga harus membuktikan Anwar menggunakan kedudukannya untuk meminta Cawangan Khas mendapatkan Azizan menafikan dakwaan dia diliwat oleh Anwar seperti yang dikatakan dalam tuduhan asalnya.

Menurut Raja Aziz, keterangan mengenai hal ini telah dikemukakan melalui enam orang saksi pendakwa termasuk Ummi dan Azizan serta juga ahli kimia forensik, Lim Kong Boon.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Jangan hiraukan lagi pertuduhan asal. Hujahlah ikut keterangan tuduhan yang dipinda.''

Raja Aziz: ''Mahkamah tidak seharusnya mengikat keseluruhan fakta.''

Hakim Augustine: ''Mengapa ambil kisah tentang keterangan ahli kimia. Ia tidak menjelaskan apa-apa sekarang.''

Raja Aziz: ''Ia tidak mengubah tuduhan dalam kes ini. Pada pembukaan kes pendakwa sepatutnya telah memberikan gambaran dan pendakwa tidak seharusnya meminda tuduhan pada saat-saat akhir. Mereka tidak seharusnya dibenarkan meminda tuduhan.''

Hakim Augustine: ''Adakah kamu mencadangkan bahawa tuduhan pindaan itu salah?''

Raja Aziz: ''Saya maksudkan pada pembukaan kes pendakwa.''

Hakim Augustine kemudian meneliti kandungan kenyataan pembukaan yang dibentangkan oleh pendakwa pada awal perbicaraan kes itu, 3 November lalu.

''Bukankah ini telah mengandungi butir-butir dalam tuduhan pindaan dan nas undang-undang yang kamu petik itu tidak menyebut mengenai tuduhan pindaan,'' kata Hakim Augustine.

Hakim Augustine: ''Jika demikianlah maka saya harus buat keputusan.''

Raja Aziz: ''Saya rasa ia tidak sesuai untuk buat keputusan sekarang. Saya menyatakan cadangan adalah salah bagi pendakwa untuk memulakan kesnya dengan cara begini. Bukankah ini berniat jahat (mala fide).'' Peguam bela itu kemudian merujuk beberapa nas undang-undang.

Hakim Augustine: ''Apakah yang kamu cadangkan untuk menghujah mengenai perkara ini?''

Raja Aziz: ''Mahkamah harus menimbangkan tuduhan pindaan yang tidak dipersetujui ini.''

Hakim Augustine: ''Ia mesti dengan cadangan jika tidak dipersetujui.''

Raja Aziz menyatakan bahawa pihak pembela tidak bersetuju dengan tindakan pendakwa meminda pertuduhan itu.

Hakim Augustine: ''Adakah kamu ingin katakan bahawa tuduhan pindaan itu tidak betul?''

Raja Aziz: ''Mahkamah masih boleh menimbangkannya. Ia ada sesuatu yang tidak kena.''

Hakim Augustine: ''Saya telah menggugurkan keterangan (dakwaan perilaku terhadap Anwar). Kamu hanya membuat penghujahan umum.''

Raja Aziz dengan nada meninggi: ''Keterangan ini telah digugurkan. Pendakwa raya tidak adil. Saya tidak ingin menyentuh bahagian mana yang betul.''

Peguam bela itu merujuk lagi keterangan lima saksi pendakwa termasuk pegawai penyiasat kes itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) 1, Musa Hassan dengan mempertikaikan dakwaan yang dibuat oleh mereka.

Hakim Augustine: ''Ini semua sudah digugurkan. Kamu boleh berhujah dari sudut undang-undang. Tetapi kamu tidak bolehlah menyatakan bahawa ia dimulakan dengan cara begitu dan berakhir cara begini. Apabila tuduhan dipinda, maka ia tidak lagi dilihat pada pertuduhan asal.''

Raja Aziz: ''Bukankah ini timbulnya mala fide. Mereka (pendakwa) telah menjejaskan reputasi tertuduh (Anwar).''

Hakim Augustine: ''Itu tak relevan.''

Suasana di bahagian bangku keluarga Anwar di galeri awam kedengaran bising...Hooo!

Raja Aziz kemudian mempertikaikan pertuduhan pindaan dengan panjang lebar ketika beliau mula membentangkan penggulungan hujah pihak pembela pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-47 hari ini.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/01/1999

Dakwaan palsu boleh mengaibkan - Raja Aziz

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Peguam Raja Aziz Addruse mempersoalkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adakah salah bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan diri daripada keaiban dengan meminta Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali menafikan dakwaan mereka yang terkandung dalam tiga dokumen yang bertanda P14ab dan P14c.

Beliau berkata, keaiban itu boleh disebabkan dengan dakwaan yang benar atau tidak benar.

''Dan juga dakwaan yang palsu,'' tambah beliau.

Raja Aziz berkata, hakikatnya terdapat ramai orang yang tidak membuat saman fitnah kerana mereka ingin mengelakkan lagi daripada menanggung keaiban yang mungkin disebar dengan lebih luas melalui publisiti walaupun ia perkara yang tidak benar.

Bagi sesetengah orang, kata peguam bela itu, ia adalah berpatutan untuk mendapatkan orang yang bertanggungjawab bagi menyebarkan perbuatan yang memalu dan fitnah itu memohon maaf tanpa dibawa ke mahkamah bagi mengelakkan keaiban.

''Mereka tidak pergi ke mahkamah sebaliknya mendapatkan orang yang bertanggungjawab memohon maaf atau menarik balik apa yang telah diterbitkan. Ini tidak salah dari segi undang-undang atau moral,'' kata beliau.

Raja Aziz menyatakan demikian ketika membentangkan penggulungan hujah pihak pembela pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-47 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan kini dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 atas dakwaan menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Dalam hujahnya, Raja Aziz berkata, ini merupakan sejarah kes yang pertama seumpamanya di mana pendakwa menonjolkan untuk mensabitkan kesalahan dengan mengakui secara terbuka melalui keterangan bahawa terdapatnya tindakan bercorak paksaan dan tipu helah.

Hakim Datuk S. Augustine Paul segera mencelah sambil bertanya kepada Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail: ''Adakah kamu mengakui secara terbuka, Datuk Gani?''

Gani: ''Ia tidak ada tindakan yang bercorak paksaan atau tipu helah.''

Raja Aziz: ''Tetapi saksi pendakwa ada menyebut bahawa terdapatnya cara untuk mengubah pendirian terhadap saksi-saksi, antaranya yang bercorak psikologi, paksaan sama ada dengan ancaman atau untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengubah pendirian. Bukti diambil secara demikian.''

Hakim Augstine: ''Apakah yang kamu cuba hendak katakan.''

Raja Aziz: ''Keterangan ini adalah diragukan. Dua saksi yang terdiri daripada pegawai Cawangan Khas datang ke mahkamah dengan bangganya menyatakan mereka memperoleh kenyataan daripada Ummi dan Azizan dengan prosedur ini yang mana bekas pengarahnya, Mohd. Said Awang enggan mendedahkannya.''

''Saya mempersoalkan keterangan Ummi dan Azizan,'' kata Raja Aziz.

Hakim Augustine: ''Saya tidak faham apa yang kamu katakan bahwa mereka datang dengan perasaan bangga ke mahkamah?''

Raja Aziz: ''Saya maksudkan bahawa mereka telah menekan (Ummi dan Azizan) untuk menyatakan bahawa pendirian mereka telah diubah. Mereka (Ummi dan Azizan) telah ditekan untuk menyatakan apa yang mereka (pegawai Cawangan Khas) mahu. Bagaimana kita tahu bahawa dakwaan itu tidak benar. Kita tidak tahu lagi mengenai nilai kebenaran oleh Ummi dan Azizan.''

Peguam bela itu berhujah bahawa empat tuduhan itu dikata sebagai arahan oleh Anwar terhadap Ummi dan Azizan.

''Persoalannya tuduhan itu bukanlah empat tetapi hanya dua sahaja kerana tuduhan pertama dan ketiga mengandungi persamaan,'' kata beliau.

Hakim Augustine: ''Ini adalah hujah yang baik.''

Perbicaraan bersambung esok.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/01/1999

Anwar wajar minta polis buat siasatan


DUA orang peguam Anwar Ibrahim , Christopher Fernando dan Abd. Aziz Addruse berjalan keluar dari bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jan. - Peguam Christopher Fernando berhujah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang tidak bersalah.

''Anwar tidak cuba menyembunyikan sesuatu. Jika beliau bersalah, maka beliau tidak meminta polis menjalankan siasatan dengan menyeluruh pada semua aspek (mengenai dakwaan perihal salah laku dirinya), '' kata peguam bela itu.

Beliau menghujah bahawa Anwar wajar meminta polis menjalankan penyiasatan itu.

Malah, kata Fernando, Anwar tidak meminta polis menggunakan kekerasan atau paksaan dalam siasatan untuk mendapatkan penafian daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk menarik balik dakwaan terhadapnya.

Fernando membentangkan penggulungan hujah pihak pembela itu pada perbicaraan yang masuk hari ke-47 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 atas dakwaan menyalahgunakan kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Beliau dituduh mengarahkan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus supaya memperoleh penafian daripada Ummi yang menulis sepucuk surat perihal salah laku dirinya kepada Perdana Menteri.

Anwar juga didakwa mengarahkan dua bekas pegawai tinggi Cawangan Khas itu mendapatkan kenyataan bertulis Azizan untuk menafikan dakwaan liwat yang terkandung dalam 'pengakuan bersumpahnya' yang bertarikh 5 Ogos 1997.

Ketika menghujah lanjut, Fernando memberitahu Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa beliau ingin menganalisis keterangan saksi pendakwa yang pertama iaitu Mohd. Said yang dianggapnya sebagai saksi utama pada perbicaraan itu.

''Inilah saksi utama (Mohd. Said), walaupun liputan meluas diberikan kepada Ummi Hafilda sebagai 'saksi bintang' (saksi utama),'' kata Fernando. Para hadirin yang duduk di galeri awam tergelak.

Fernando: ''Saya ingin mempersoalkan kredibiliti saksi ini.''

Peguam bela itu mengambil contoh dengan menonjolkan keterangan untuk mempertikaikan kredibiliti Mohd. Said.

Menurut Fernando, ketika beliau menyoal saksi itu dengan menyatakan, ''Jika seseorang yang berkedudukan tinggi seperti Perdana Menteri menyuruh beliau (Mohd. Said) datang ke mahkamah untuk berbohong, jawapannya ialah mungkin ya atau tidak.''

Fernando berkata, ini menunjukkan kredibiliti mengenai watak saksi berkenaan.

Tambah beliau, mahkamah juga harus mengambil kira penggunaan kata-katanya berhubung 'permintaan' dan 'arahan' yang didakwa dibuat oleh Anwar kepadanya.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan utama, Mohd. Said begitu konsisten dengan menggunakan perkataan 'permintaan' tetapi apabila sidang mahkamah rehat selama 15 minit, saksi tersebut berubah dengan tiba-tiba dalam nada keterangannya.

''Perkataan permintaan itu sebaliknya beliau sebut sebagai arahan. Beliau berubah dengan radikal sekali.

''Perubahan pendiriannya hanya mengambil masa yang singkat. Inilah menunjukkan kredibilitinya,'' kata Fernando.

Hakim Augustine: ''Adakah kamu bertanya perkara ini?''

Fernando: ''Ya, beliau menyatakan tersalah tafsir mengenai arahan oleh Timbalan Perdana Menteri (Anwar).''

''Saya ingin nyatakan bahawa inilah watak saksi itu yang sebenar yang mengubah keterangannya dengan sendiri,'' kata peguam bela itu lagi.

Fernando kemudian menerangkan apa itu makna 'permintaan.'

Menurut beliau, permintaan dibuat oleh seseorang dengan lemah lembut dan ia tidak ada tuntutan sama ada untuk menerima atau menolaknya.

Beliau berkata, jika seseorang diarah membuat sesuatu, ia mengandungi kuasa untuk melaksanakannya.

Oleh itu, Fernando berhujah bahawa Mohd. Said tanpa segan silu menyatakan perkataan 'permintaan' sedangkan 'arahan' dalam empat pertuduhan tertera dengan jelas terhadap Anwar.

Fernando berkata, Mohd. Said seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dalam kedudukannya itu.

Beliau mengambil satu lagi contoh dalam keterangannya dengan merujuk kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri yang disiarkan oleh The New Straits Times (NST) mengenai siasatan polis bahawa dakwaan terhadap Anwar adalah palsu dan tidak berasas.

Hakim Augustine: ''Tetapi asas kenyataan itu belum lagi dibuktikan. Jika tidak ia mungkin membuktikan kes pendakwa. Ia hanya ditandakan sebagai dokumen, lainlah jika ia dibuktikan.''

Fernando: ''Ini berhubung fakta yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan beliau tahu mengenai perkara itu dan bukannya akhbar tersebut tetapi kenyataan yang telah dibuat.''

Selepas Fernando berhujah untuk mempertikaikan keterangan Mohd. Said mengenai perkara itu, Hakim Augustine lalu menyatakan bahawa ia akan diputuskan oleh mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD, NORLIZAH ABAS dan NOOR AZLITA MOHD. SIES

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/01/1999

'Keterangan Ummi bermotif politik'

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Peguam Christopher Fernando ketika berhujah pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan keterangan saksi pendakwa, Ummi Hafilda Ali mengandungi motif politik dan paling tidak boleh dipercayai.

Hakim Datuk S. Augustine Paul yang mencelah hujah itu bagaimanapun mengingatkan Fernando bahawa tuduhan yang dihadapi oleh Anwar adalah menyalah-gunakan kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Beliau meminta Fernando merujuk Seksyen 9 Akta Keterangan bagi menjelaskan fakta dan isu yang perlu untuk menghurai atau mengemukakan hujah-hujah yang relevan.

Namun Fernando terus menghujah bahawa konspirasi adalah penting dan semua saksi (pendakwa), tegasnya, telah bercakap bohong di mahkamah.

Hakim Augustine: ''Saya sungguh simpati dengan kamu. Saya dibatasi dengan undang-undang seperti apa yang dibuat oleh Parlimen.''

Fernando: ''Apabila saya menghujah, saya juga terikat dengan undang-undang. Saya rasa Yang Arif perlu dengar dulu.''

Hakim Augustine: ''Kenapa? Ia bukannya relevan dan saya telah mendengar selama 45 minit dan perkara yang serupa juga dihujahkan.''

Fernando: ''Inilah yang relevan pada kami.''

Hakim Augustine: ''Pertamanya, tunjukkan apa yang relevan kepada mahkamah. Kamu reka keterangan yang tidak ada.''

Hakim itu menegur Fernando yang membangkitkan isu konspirasi dalam penggulungan hujah pihak pembela pada perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-48 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan kini dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalahgunakan kuasa bagi menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Beliau dituduh mengarahkan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus supaya memperoleh penafian daripada Ummi yang menulis sepucuk surat perihal salah laku dirinya kepada Perdana Menteri.

Anwar juga didakwa mengarahkan dua bekas pegawai tinggi Cawangan Khas itu mendapatkan kenyataan bertulis Azizan untuk menafikan dakwaan liwat yang terkandung dalam 'pengakuan bersumpahnya' bertarikh 5 Ogos 1997.

Seterusnya, Hakim Augustine bertanya Fernando apakah yang relevan dengan pertuduhan itu.

Fernando: ''Orang-orang ini (saksi pendakwa) datang untuk bercakap bohong di mahkamah. Apabila bercakap bohong maka ia mestilah ditolak oleh undang-undang. Jawapan (keterangan) Ummi amat dipersoalkan.''

Hakim Augustine: ''Bahagian manakah keterangan Ummi yang relevan itu?''

Fernando menghujah bahawa Ummi ada menyatakan dia sedang menunggu faedah untuk dirinya dan mengakui menulis surat tersebut.

Beliau berkata, Ummi datang ke mahkamah dan tetap dengan ceritanya (dakwaan terhadap Anwar).

Fernando: ''Motifnya adalah relevan. Ummi dimotivasikan oleh janji-janji. Apabila Ummi disoal dia ingin merujuk pada surat tersebut.''

Hakim Augustine: ''Bahawa dia menghantar surat itu (kepada Perdana Menteri)?''

Fernando: ''Bagi menunjukkan kredibiliti dan bukan hanya menghantar surat.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah sambil bertanya: ''Di manakah keterangan bahawa beliau (Ummi) ingin melihat surat tersebut apabila disoal. Ini hanya soalan peguam bela yang bertanya 'saya katakan kepada kamu' dan Ummi menafikannya.''

Sebaliknya, kata Gani, peguam bela yang mengambil kata-kata itu sebagai fakta.

Hakim Augustine: ''Ya, Fernando?

Fernando: ''Saya berhujah bahawa dalam pengertian itu ia adalah relevan.''

Hakim Augustine: ''Kemukakan hujah mengenai perkara lain.''

Fernando terus menghujah bahawa perkara itu penting dengan mengungkit soalan yang ditimbulkan oleh pendakwa raya kepada Ummi.

''Ummi telah memberi jawapan bahawa dia tidak mahu terlibat lebih lanjut.''

Dalam hujahnya, Fernando cuba mencungkil semula sebahagian perbualan yang didakwa dibuat oleh Ummi dengan seorang ahli perniagaan Sarawak, Datuk Sng Chee Hua.

Hakim Augustine: ''Ini tidak relevan.

Gani yang membantah berkata: ''Perkataan itu dipetik daripada pita rakaman yang didakwa direka dan sekiranya mengikut undang-undang ia secara automatik tidak boleh diterima pakai. Peguam bela sendiri tahu mengenai perkara itu dan tidak kena untuk menimbulkan isu tersebut.''

Hakim Augustine: ''Fernando, hujahlah perkara yang lain. Saya telah perintahkan bahawa kebenaran pita rakaman itu tidak dibuktikan.''

Fernando: ''Jadi Ummi mempunyai motif untuk menghantar surat-surat tersebut dan menjalankan rancangannya sehingga sanggup datang ke mahkamah untuk berbohong. Beliau merupakan saksi yang ada kepentingan, Yang Arif.''

Selain itu, Fernando meminta mahkamah menilai latar belakang Ummi yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi Azizan datang ke mahkamah untuk berbohong.

''Mahkamah juga harus meneliti keterangan bahawa Azizan sanggup datang berjumpa Dr. Ristina Majid di rumah keluarga Ummi dan juga Ummi pernah mengajak Azizan berjumpa dengan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka),'' kata Fernando.

''Inilah semua konspirasi yang kami ingin nyatakan,'' tambah beliau.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/01/1999

Tiada laporan polis dibuat terhadap Anwar


GURBACHAN SINGH


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa sehingga hari ini tidak ada laporan polis dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Peguam Gurbachan Singh berkata, jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan oleh Anwar pada Ogos 1997 maka bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Said Awang, bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan pasti telah membuat laporan polis.

Beliau mempersoalkan adakah mereka sebagai pegawai-pegawai polis yang penakut.

Malah, kata Gurbachan, mereka tidak melaporkan sebarang perihal salah laku Anwar kepada Ketua Polis Negara (KPN).

Gurbachan berkata demikian ketika menyampaikan sebahagian penggulungan hujah bertulis setebal 63 muka pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-48 hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu Darurat 1970 atas dakwaan menyalah-gunakan kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Menurut peguam bela itu, laporan polis hanya dibuat oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali berhubung dakwaan dalam kandungan buku bertajuk, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Gurbachan menghujah lagi bahawa fakta tersebut konsisten kerana Anwar tidak melakukan apa-apa kesalahan dan keterangannya pada perbicaraan ini dibuat selepas berfikir kemudian.

Pada awal hujahnya lagi, Gurbachan berkata, pendakwa gagal membuktikan kes prima facie bagi keempat-empat tuduhan pindaan yang dihadapi oleh Anwar.

Dalam hujahnya, Gurbachan merujuk kes Datuk Tun Cheng Swee melawan Pendakwa Raya dan kes Abdul Ghani Ishak melawan Pendakwa Raya ketika mempersoalkan tuduhan terhadap Anwar.

Beliau menghujah bahawa dalam kes-kes tersebut yang diputuskan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat maka pendakwa raya harus membuktikan mens rea (niat) dan pengetahuan sebenar tertuduh bahawa beliau telah menggunakan kedudukan dalam jawatan awam bagi kepentingan dirinya.

Gurbachan berkata, khususnya bagi fakta tersebut dan keadaan kes itu ia tidak boleh disabitkan tanpa bukti melampaui keraguan yang munasabah iaitu fakta perihal salah lakunya.

Beliau meminta mahkamah menilai kandungan kenyataan amaran Anwar yang dibuat mengikut Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah di mana beliau menafikan segala tuduhan terhadapnya.

Dengan itu, Gurbachan berhujah bahawa pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan Anwar sepatutnya dibebaskan.

Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/01/1999

Peguam persoal kredibiliti Amir Junus

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Peguam Christopher Fernando mempersoalkan kredibiliti bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Amir Junus ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fernando menganggap keterangan Amir lebih bahaya daripada keterangan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang.

Menurutnya, Amir datang ke mahkamah untuk memberi keterangannya dengan perasaan dendam memburukkan Anwar.

Beliau berkata demikian dalam penggulungan hujah pembela pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-48 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 atas dakwaan menyalahgunakan kuasa bagi menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Seterusnya, Fernando berhujah bahawa Amir merupakan saksi yang sungguh tidak berprinsip dengan memberikan keterangan rekaan yang keseluruhannya tidak relevan bagi menjejaskan nama baik Anwar.

Beliau mengambil satu contoh keterangan saksi pendakwa ke-11 itu yang menimbulkan mengenai cerita kehilangan wang RM4 juta di rumah tertuduh (Anwar).

''Saya tidak ragu bahawa perkara ini boleh dijadikan pokok persoalan dalam tuduhan pertama terhadap Anwar,'' kata Fernando.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Apakah kaitannya wang RM4 juta dalam tuduhan pertama itu?''

Fernando: ''Saya bangkitkan perkara ini kerana ia penting untuk memburukkan nama Anwar. Beliau bercakap mengenai tahun 1995. Oleh itu, saya ingin tunjukkan perasaan dendamnya. Saya minta mahkamah mengambil kira watak saksi ini.''

Peguam bela itu menghujah bahawa saksi tersebut berdendam dengan tertuduh.

''Beliau telah berjumpa dengan tertuduh untuk mendapatkan beberapa kontrak terutama bagi kontrak kerajaan dan apabila saya bertanya lebih lanjut, saksi ini menyatakan beliau melakukannya untuk kawan-kawannya,'' kata Fernando.

''Pada peringkat ini, Amir berbohong. Malah pada soalan mahkamah beliau memberitahu bahawa beliau ingin menceburi bidang perniagaan dengan kawan-kawannya tetapi selepas itu beliau menjawab dengan kata-kata mungkin,'' tambah Fernando.

Fernando berhujah bahawa saksi tersebut cuba mengambil kesempatan melalui Anwar tetapi apa yang berlaku ialah Anwar menyuruh beliau memohon kontrak itu mengikut saluran yang betul.

Hakim Augustine: ''Adakah kamu bertanya kepadanya?''

Fernando: ''Saya buat soalan dengan mengemukakan cadangan.''

Hakim Augustine: ''Cadangan bukanlah keterangan. Inilah yang telah saya ingatkan kamu. Saya sangka ia keterangan dan saya terpaksa meneliti keseluruhannya untuk menentukan ini keterangan.''

Selepas itu, Fernando mempertikaikan pula kredibiliti Azizan yang merupakan saksi pendakwa ke-12 pada perbicaraan itu.

Beliau menyifatkan Azizan seorang yang daif dan memberi lima versi yang berbeza mengenai dakwaan terhadap Anwar.

''Azizan adalah saksi yang langsung tidak boleh dipercayai dan terjatuh dalam permainan oleh orang yang mempergunakan untuk agenda mereka,'' kata Fernando.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/01/1999

Keterangan dua saksi pendakwa perlu dinilai


SULAIMAN ABDULLAH


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Peguam Sulaiman Abdullah meminta Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi beberapa pertimbangan terhadap isu yang sangat penting menyentuh keterangan dua bekas pegawai tinggi Cawangan Khas mengenai dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan 'arahan' kepada mereka.

Sulaiman berkata, keterangan pendakwa mengenai persoalan 'arahan' bersandarkan kepada apa yang diberitahu oleh bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus.

Oleh itu, kata beliau, mahkamah harus menimbangkan keterangan tersebut dan kredibilitinya.

''Saya menghujahkan bahawa keterangan mereka patut dinilai daripada semua sudut kerana kes ini mempunyai kepentingan awam,'' tambah beliau.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Hujah mengenai perkara itu patut dibuat kemudian.''

Sulaiman: ''Ini alasan awal dalam penghujahan saya.''

Menurut Sulaiman, mahkamah juga harus menimbangkan mengenai laporan akhbar termasuk media elektronik yang menyiarkan perjalanan kes itu dengan memuatkan setiap patah perkataan yang dilafazkan oleh setiap saksi pendakwa.

Dengan keterangan saksi yang konsisten di antara satu sama lain itu, menurut Sulaiman, biasanya mahkamah harus mengambil kira apabila keterangan saksi dilemahkan dengan liputan menyeluruh oleh media massa.

Hakim Augustine: ''Apakah kesannya?''

Sulaiman berkata, beliau boleh mengemukakan beberapa kuasa undang-undang yang menunjukkan bahawa mahkamah enggan menerima keterangan tersebut.

Hakim Augustine: ''Ini bahagian yang sungguh menarik yang kamu timbulkan. Ia berhubung perbicaraan oleh media.''

Seterusnya, Hakim Augustine meminta Sulaiman menghujah lanjut mengenai pendapatnya itu.

Sulaiman ketika menyambung penggulungan hujah pembela membangkitkan isu itu selepas rakannya, peguam Gurbachan Singh selesai berhujah mengenai persoalan atas empat pertuduhan pindaan rasuah yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada perbicaraannya yang masuk hari ke-49 hari ini.

Dalam hujahnya, Sulaiman juga menimbulkan bagaimana jawapan Mohd. Said apabila disoal mengenai perkataan 'gempar'sebagaimana yang difahaminya mengikut loghat Pulau Pinang.

Hakim Augustine: ''Nota saya hanya mencatatkan bentuk jawapan. Apa jawapan?''

Sulaiman: ''Ia merupakan soalan dan apa yang ingin saya nyatakan bahawa tertuduh (Anwar) katakan 'gempar'. Jawapan (saksi) bahawa daripada air muka, nada dan suaranya berasal dari Pulau Pinang. Maksud gempar boleh disebut dalam pelbagai gaya.''

Peguam bela itu juga meminta mahkamah meneliti dua orang saksi tersebut yang dianggapnya merupakan rakan yang bersubahat.

Sulaiman berkata, berhubung dengan 'arahan' ia bersandar hanya kepada dua orang saksi itu sahaja dan saksi lain tidak dipanggil.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/01/1999

Tindakan Anwar tutup dakwaan perlu diteliti

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diminta meneliti tindak tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 12 hingga 18 Ogos 1997 yang berusaha untuk menutup dakwaan yang terkandung dalam surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali dan 'pengakuan bersumpah' Azizan Abu Bakar yang dialamatkan kepada Perdana Menteri.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata, berasaskan keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa dalam empat tuduhan terhadap Anwar, tidak diragukan lagi bahawa dia menggunakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk faedah dirinya.

Menurut Gani, Anwar telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mendapatkan kenyataan bertulis daripada Azizan dan Ummi.

''Anwar telah menggunakan kenyataan itu untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban dan melindungi diri daripada sebarang tindakan jenayah,'' kata Gani.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung hujah balas pendakwa pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-49 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 atas dakwaan menyalah guna kuasa bagi menyelamatkan diri daripada keaiban.

Dalam menyimpulkan keseluruhan hujahnya, Gani berkata, Anwar telah menyalahgunakan Cawangan Khas sebagai alat peribadinya untuk kepentingan diri.

Gani: ''Dia telah melakukan amalan rasuah dengan menyalah guna alat kerajaan yang bertanggungjawab melindung keselamatan negara.''

''Tidak ada sebuah negara di dunia yang membenarkan seorang pemimpin politik menggunakan 'alat' sedemikian bagi faedah peribadinya.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul segera mencelah dengan menegur kata-kata pendakwa raya itu.

''Tidak baik mengeluarkan komen begitu,'' kata beliau.

Gani: ''Saya hanya menyatakan pandangan dan saya ingin mahkamah merekodkannya.''

Menurut Gani, beliau ingin menyatakan pendirian pendakwa bahawa keterangan perihal salah laku seks dan liwat adalah relevan untuk menunjukkan motif dan kredibiliti.

Gani: ''Tidak ada secebispun keterangan yang meragukan yang telah dikemukakan oleh pendakwa.''

Beliau menambah, mahkamah tersebut telah memutuskan keterangan itu tidak relevan selepas tuduhan pindaan dibuat.

Gani: ''Keputusan mengenai ketiadaan kaitan itu tidak menjejaskan sebarang keterangan pihak pendakwa. Apa yang dimaksudkan ialah pendakwa tidak perlu membuktikan keterangan itu di bawah tuduhan pindaan.''

Dalam hujahnya, Gani menerangkan mengenai tindak-tanduk tertuduh (Anwar) untuk menutup keaiban (malu) berhubung dakwaan dalam surat Ummi dan Azizan.

Gani merujuk kandungan surat yang ditulis oleh Ummi sebagai saksi pendakwa ke-17 pada perbicaraan Anwar.

Menurut pendakwa raya itu, dua perihal salah laku Anwar bahawa dia didakwa mempunyai hubungan homoseksual dan seorang daripada mangsanya yang sedia tampil ialah Azizan. Anwar juga didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar Mohd. Taharin (isteri Azmin Ali yang merupakan bekas Setiausaha Sulitnya).

Gani berhujah, dakwaan-dakwaan itu sungguh serius yang menyentuh ke akar umbi watak dan moral seseorang dan jika diketahui umum maka ia boleh menyebabkan malu yang besar terhadap tertuduh.

Beliau berkata, dakwaan hubungan homoseksual (liwat) tertakluk di bawah Kanun Keseksaan dan juga kesalahan mengikut undang-undang syariah.

Gani: ''Pada masa itu, tertuduh adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dia akan menggantikan Perdana Menteri dan menonjolkan dirinya sebagai contoh pemimpin politik.''

Gani memetik keterangan Ummi bahawa antara sebab beliau menulis surat dakwaan itu kepada Perdana Menteri supaya mengarahkan siasatan berhubung perkara tersebut dan mengambil langkah yang sepatutnya jika laporan itu benar demi mengingatkan para pemimpin yang lain.

Beliau berkata, dalam keterangan Mohd. Said pula sebagai saksi pertama pendakwa memberitahu bahawa Anwar tidak mahu membuat laporan polis.

''Dia tidak mahu kes itu dibawa ke mahkamah dan tidak mahu sebarang publisiti meliputi perkara tersebut,'' kata Gani.

Gani: ''Saya menghujah bahawa dua dokumen yang bertanda P17 dan P18 telah dijadikan asas menyebabkan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan akhbar untuk melepaskan tertuduh dan Cawangan Khas menghentikan siasatan berhubung perkara itu.''

Menurut pendakwa raya, P17 dan P18 itu antara dokumen yang dirujukkan kepada Peguam Negara yang kemudian bersetuju untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan laporan polis yang menyiasat kandungan surat dakwaan Ummi dan Azizan sebagaimana yang dicadangkan oleh pegawai penyiasat Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan.

''Keputusan Cawangan Khas untuk tidak meneruskan siasatan dan kenyataan akhbar Perdana Menteri telah memberi faedah kepada tertuduh dan menjamin kedudukannya dalam kerajaan yang tidak terjejas akibat kesan publisiti buruk mengenai dakwaan tersebut,'' kata pendakwa raya.

Gani berhujah bahawa berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di dalam mahkamah, pendakwa telah membuktikan empat tuduhan pindaan terhadap Anwar dan memohon supaya tertuduh itu dipanggil membela diri.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/01/1999

Tidak wujud keterangan konspirasi - Gani

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tidak wujud sebarang keterangan berhubung konspirasi yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan menjatuhkannya.

Gani berkata, keterangan saksi-saksi pendakwa, Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar mengenai kandungan surat dakwaan perihal salah laku terhadap Anwar adalah untuk mengekalkan nilai-nilai menghormati agama dan bangsa (orang Melayu).

Sebelum itu, Gani berkata, Anwar mengarahkan peguam belanya supaya membangkitkan perkara-perkara yang didakwanya antara lain:

* Wujudnya konspirasi politik melibatkan ahli politik peringkat tertinggi dan tokoh-tokoh korporat untuk menjatuhkannya.

* Wujudnya konspirasi untuk menaja penerbitan dan pengedaran buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM'.

* Dalam mengemukakan cadangan itu, nama-nama seperti Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tengku Adnan Mansor terlibat dalam konspirasi.

Gani berkata, berdasarkan keterangan kepada mahkamah, adalah jelas bahawa tidak ada langsung teori konspirasi seperti yang diandaikan oleh pembela.

Beliau berkata demikian ketika menggulung hujah balas pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-49 hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalahguna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Pada awal penghujahannya, Gani menerangkan dengan jelas Seksyen 2(1) Ordinan 22 itu yang memperuntukkan:

''Mana-mana Ahli Pentadbiran atau mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai kerajaan yang menjawat jawatan tersebut melakukan rasuah boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen itu.''

Menurut Gani, kes pendakwa terhadap Anwar seperti yang disebutkan dalam tuduhan tidak melibatkan sebarang kepentingan kewangan bagi pihak dirinya.

''Pendakwa bersandarkan kepada Seksyen 2(2) Ordinan tersebut iaitu mengenai hal-hal lain,'' jelas beliau.

Gani berkata, semua tuduhan itu dalam tempoh di antara 12 hingga 27 Ogos 1997.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan oleh saksi pertama pendakwa, bekas pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan juga keterangan bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus yang menyatakan Anwar mengarahkan mereka untuk mengesan, menahan, menakutkan dan menggunakan nada yang menakutkan Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

Tujuan utamanya, kata Gani, supaya kedua-dua mereka menarik balik dan menafikan dakwaan perihal salah laku terhadap Anwar.

Gani berhujah bahawa jika mahkamah menerima cadangan pembela mengenai kewajaran tindakan itu maka ia membenarkan tertuduh (Anwar) meletakkan kuasa undang-undang di tangannya sendiri.

''Ini bermakna peraturan undang-undang boleh diketepikan,'' kata timbalan pendakwa raya itu.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/01/1999

Keputusan sama ada Anwar bela diri esok

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada Sabtu ini sama ada pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie bagi membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil membela diri atau dibebaskan atas empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menetapkan demikian selepas beliau mendengar penggulungan hujah empat peguam bela Anwar dan hujah balas pendakwa raya pada perbicaraan yang masuk hari ke-49 hari ini.

Beliau berkata, fakta-fakta yang dibentangkan sudah agak biasa padanya.

Namun begitu, kata Hakim Augustine, beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti penghujahan pihak pembela berhubung persoalan yang ditimbulkan sama ada dua saksi pendakwa yang disebutkan dalam pertuduhan terdiri daripada rakan yang bersubahat.

Menurut hujah pembela, dua saksi pendakwa itu, bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus dianggap rakan yang bersubahat dalam tuduhan terhadap Anwar dan tidak boleh dipercayai.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Beliau dituduh mengarahkan Mohd. Said dan Amir Junus supaya memperoleh penafian daripada Ummi Hafilda Ali yang menulis sepucuk surat perihal salah laku dirinya kepada Perdana Menteri.

Anwar juga didakwa mengarahkan dua bekas pegawai tinggi Cawangan Khas itu mendapatkan kenyataan bertulis Azizan Abu Bakar untuk menafikan dakwaan liwat yang terkandung dalam 'pengakuan bersumpahnya' bertarikh 5 Ogos 1997.

Empat daripada sembilan peguam bela Anwar terdiri daripada Raja Aziz Addruse, Sulaiman Abdullah, Christopher Fernando dan Gurbachan Singh secara bergilir-gilir mengambil masa dua hari untuk membentangkan hujah pembela.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula menggunakan separuh hari ini untuk menggulung hujah balas pendakwa.

Sepanjang perbicaraan dalam kes pendakwa, sebanyak 23 orang saksi telah dipanggil termasuk Azizan yang merupakan bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Saksi pendakwa ke-17, Ummi Hafilda paling menjadi tumpuan umum pada setiap kali beliau hadir di mahkamah.

Sebelum sidang bermula pukul 9 pagi ini, Hakim Augustine membenarkan permohonan Raja Aziz untuk memeriksa beberapa buah diari Anwar yang berada dalam simpanan polis.

Menurut Raja Aziz, beliau telah memohon untuk mendapatkan diari peribadi dan rasmi Anwar yang diambil daripada bekas pejabatnya sewaktu siasatan dijalankan berhubung kesnya.

Raja Aziz berkata, beliau memohon untuk mendapatkan semula diari peribadi Anwar dalam penyediaan kes pembela.

''Diari peribadi itu patut dipulangkan kepada kami,'' kata beliau.

Gani menjawab bahawa pendakwa sedia bekerjasama untuk membantu peguam bela Anwar memeriksa diari tersebut dan sekiranya perlu mereka boleh membuat salinannya.

Bagaimanapun, menurut Gani, pihaknya masih memerlukan diari rasmi Anwar bagi kes-kesnya yang lain.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 31/01/1999

Anwar bela diri 8 Feb. -- Empat menteri termasuk PM akan dipanggil sebagai saksi pembela


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim diiringi menuju kenderaan polis untuk dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan dia membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah.


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Mahkamah menetapkan 8 Februari ini untuk mula mendengar kes pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peguam bela Anwar pula telah menyenaraikan empat menteri kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk dipanggil sebagai saksi pembela.

Hakim Datuk S. Augustine Paul ketika mengumumkan keputusannya secara ringkas berkata, beliau mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas empat tuduhan pindaan itu.

Dalam lain perkataan, jelas beliau, pendakwa dapat mengemukakan bahan-bahan bukti prima facie menurut peruntukan Seksyen 2(1) ordinan tersebut.

Menurut Hakim Augustine, beliau membuat keputusan setelah menimbangkan keterangan yang relevan pada pertuduhan dan penghujahan peguam bela.

Beliau mengumumkan keputusan itu pada kira-kira pukul 10.40 pagi, pada perbicaraan yang masuk hari ke-50 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan, seperti biasa diiringi masuk ke mahkamah dengan kawalan ketat pada kira-kira pukul 9 pagi.

Sebelum mahkamah bersidang, Anwar yang sempat menghampiri tempat duduk isteri dan keluarganya, turut menoleh ke arah para wartawan sambil berkata: ''Saya tidak hendak menjangka bahawa saya boleh dibebaskan. Kita harus realistik.''

Selepas menerima keputusan hakim itu, Anwar nampak tenang dan diberi kesempatan menemui keluarganya.

Sebelum dibawa ke lokap mahkamah, beliau sekali lagi menoleh ke arah wartawan dan berkata: ''Kita akan membuat pembelaan yang baik demi mewujudkan keadilan.''

Suasana galeri awam di mahkamah itu penuh sesak. Kira-kira 35 orang wartawan tempatan dan asing termasuk dari media elektronik duduk bersesak-sesak di antara orang awam yang berpeluang mengikuti perjalanan perbicaraan hari ini.

Beberapa orang wakil dari kedutaan asing turut hadir sebagai pemerhati.

Ketika mengumumkan keputusannya, Hakim Augustine: ''Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lambat memulakan prosiding ini. Sebelum saya membuat keputusan, saya akan membuat beberapa pindaan kepada pertuduhan-pertuduhan.''

''Pindaan pertama, kepada versi bahasa Inggeris pertuduhan dua dan empat di mana perkataan ''against'' hendaklah dipinda kepada perkataan ''from'' kerana versi bahasa Malaysia menggunakan perkataan ''daripada''.

''Pindaan kedua, kepada pertuduhan satu dan tiga, di mana perkataan-perkataan berikut hendaklah ditambah selepas tarikh ''5 Ogos 1997'' supaya ia menepati keterangan-keterangan yang telah dikemukakan, iaitu ''yang mana mereka telah peroleh seperti yang diarahkan dalam bentuk kenyataan bertulis 18 Ogos 1997''.

Hakim Augustine: ''Sekarang saya minta jurubahasa membaca pertuduhan pindaan pertama dan ketiga kepada tertuduh.''

Selepas membaca tuduhan kepada Anwar, jurubahasa, Tuan Kechik Tuan Hussin berkata: ''Pertuduhan pindaan pertama dan ketiga telah dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh, tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas pertuduhan pindaan pertama dan ketiga.''

Hakim Augustine kemudian berkata bahawa beliau membuat keputusannya dan pada peringkat ini beliau tidak bercadang untuk mengemukakan sebarang alasan.

Sewaktu memutuskan kes itu, Hakim Augustine berkata bahawa beliau berhasrat dan perlu untuk menyatakan beberapa perkara bagi panduan dalam mengendalikan kes itu berhubung pandangan peguam bela yang mempersoalkan kebenaran dakwaan pada empat tuduhan pindaan tersebut.

Hakim Augustine: ''Ini harus diingat bahawa tuduhan pindaan hanya merujuk dakwaan meliwat dan salah laku seks dan bukannya perbuatan sebenar meliwat dan salah laku seks tertuduh.''

Beliau menegaskan kebenaran atau dakwaan palsu bukanlah isu dalam perbicaraan tersebut.

''Apa-apa keterangan atau penghujahan mengenai perkara tersebut adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima pakai. Sebagaimana mengikut peraturan, keterangan untuk mewujudkan kes prima facie mestilah hanya tertakluk atas isu yang ditimbulkan dalam tuduhan pindaan.''

Kemudiannya, Hakim Augustine menerangkan kepada Anwar bahawa beliau mempunyai tiga pilihan untuk membuat pembelaannya.

Tiga pilihan itu ialah:

* ''Kamu boleh berdiam diri.''

* ''Kamu boleh membuat kenyataan dari kandang tertuduh di mana kamu tidak boleh ditanya oleh peguam atau pendakwa ataupun mahkamah.''

Hakim Augustine: ''Bagaimanapun, saya mesti maklumkan kepada kamu bahawa kenyataan itu mempunyai nilai lebih rendah daripada keterangan bersumpah.''

* ''Kamu boleh masuk ke kandang saksi dengan mengangkat sumpah. Kamu boleh buat pemilihan dan kamu bebas untuk merujuk dan berbincang dengan peguam kamu.''

Hakim Augustine bertanya peguam Raja Aziz Addruse: ''Adakah kamu ingin menasihatkan pelanggan?''

Raja Aziz: ''Kami telah berbincang dengan tertuduh mengenai perkara ini dan kami diarahkan bahawa beliau akan memberi keterangan daripada kandang saksi dengan mengangkat sumpah.''

Peguam bela itu seterusnya berkata bahawa seperti yang diketahui beberapa orang saksi telah ditawarkan kepada pihaknya pada peringkat akhir kes pendakwa.

Raja Aziz: ''Kami ingin mengambil kenyataan-kenyataan daripada saksi-saksi ini bagi memastikan sama ada mereka sedia membantu sebelum pembelaan dimulakan. Kami sebenarnya belum lagi mengambil kenyataan daripada saksi-saksi ini memandangkan terlalu awal sehinggalah Yang Arif memutuskan untuk memanggil tertuduh membela diri.

''Bolehkah kami cadangkan pembelaan mula dibuat dalam tempoh dua minggu daripada Isnin depan (1 Februari).

Hakim Augustine: ''Itu terlalu lama.'' Hakim itu kemudian menanyakan pendapat Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Gani: ''Pada permohonan untuk masa, saya serahkan kepada mahkamah tetapi pendapat saya dua minggu itu sangat lama.''

Bagaimanapun, Gani membantah mengenai persoalan untuk mengambil kenyataan saksi-saksi yang telah diberikan kepada pembela.

Gani menimbulkan dua isu untuk perhatian mahkamah.

Gani: ''Saya memohon di bawah Seksyen 136 Akta Keterangan 1950 bahawa mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk bertanya sesuatu pihak mengenai cadangan keterangan relevan yang macam mana jika ingin dibuktikan mengenai dakwaan fakta itu.''

Beliau menghujah bahawa tidak ada undang-undang untuk seseorang saksi memberi kenyataan kepada pihak pembela.

Gani: ''Kami boleh memberikan mereka tetapi kami tidak boleh menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan itu boleh diambil sebagaimana mengikut peraturan.

''Rakan bijaksana (peguam bela) mungkin mendapati lebih mudah untuk memperoleh apa yang mereka mahu daripada saksi-saksi dengan meyakin dan menjelaskan kepada mahkamah berhubung betapa penting keterangan itu dan juga kaitannya,'' kata beliau.

Gani menerangkan bahawa terdapat empat atau lima saksi yang merupakan tokoh-tokoh awam yang mempunyai kewajipan yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan awam dan oleh itu pembela seharusnya menjelaskan apa yang mereka mahu daripada saksi-saksi ini.

Gani: ''Walaupun kami telah berikan kepada pembela, saya ingin meminta rakan bijaksana menimbangkan faktor-faktor ini juga. Jika keterangan tidak relevan maka mereka boleh ketepikan bagi membolehkan saksi-saksi itu menjalankan kewajipannya.''

Gani juga memaklumkan mahkamah bahawa pendakwa telah memperoleh sapina bagi lima saksi tetapi tidak menyerahkan kepada mereka.

Beliau memberitahu bahawa saksi-saksi itu terdiri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Peguam Negara (Tan Sri Mohtar Abdullah).

Gani: ''Kami tidak menyerahkan sapina itu kerana kami tidak menganggap mereka sebagai saksi yang penting dalam kes pendakwa. Kami berhujah bahawa daripada keterangan yang kami kemukakan setakat ini tidak ada apa keterangan yang penting mereka boleh berikan.''

Hakim Augustine lalu bertanya perkara itu kepada Raja Aziz.

Raja Aziz: ''Jika Yang Arif memberikan kami tempoh dua minggu kami tidak perlu menghujah balas.''

Hakim Augustine: ''Bagaimana dengan Seksyen 136?''

Raja Aziz: ''Ini tidak ada kena mengena untuk memberitahu terlebih dahulu kepada Yang Arif bagaimana kami hendak mengendalikan pembelaan. Jika pada peringkat saksi memberi keterangan dan tiba-tiba dia menyatakan sesuatu maka Yang Arif boleh menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 136, tetapi dalam situasi ini...''

Hakim Augustine: ''Seksyen 136 hanya terpakai apabila mendengar keterangan pada perbicaraan?''

Raja Aziz: ''Ya, apa yang Gani mohon agar pembela memaklumkan Yang Arif mengenai apa yang kami ingin buat dalam pembelaan. Ini pastinya bukan kedudukan yang betul dalam undang-undang.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa ini juga tidak betul kerana pembela boleh membukakan kesnya (dan mahkamah boleh bertanya keterangan bagaimana ia relevan).''

Raja Aziz: ''Ya, tetapi ini bukan bermakna kami harus memberitahu Yang Arif sekarang. Kami tidak perlu mendedahkan terlebih dahulu kes pembelaan.''

Bagaimanapun, Gani yang terus mempertahankan pendapatnya berkata: ''Saya tidak berminat mengenai strategi mereka atau keterangan untuk pembelaan. Saya hanya berminat untuk mengetahui sama ada ia penting dan relevan.''

Raja Aziz: ''Saya rasa Gani terkeliru dalam hujahnya. Jika bercakap Seksyen 136, soal ditimbulkan mengenai saksi boleh mengetepikan sapina. Kami tidak boleh menunjukkan bagaimana seseorang saksi itu penting sehingga kami mengambil kenyataan mereka.''

''Gani tidak boleh menyatakan bahawa saksi-saksi itu sangat sibuk kerana kami yang akan memutuskannya. Saya tahu mereka orang yang sibuk tetapi mereka dalam senarai saksi. Kami hanya meminta untuk mengambil kenyataan mereka,'' kata Raja Aziz.

''Persoalan mengenai relevan dan kepentingannya, kami tidak ingin bercakap hal itu. Kami telah melihat keterangan tak relevan telah diberikan dan digugurkan,'' tambah peguam bela itu.

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Hakim Augustine yang dilihat menulis seketika kemudian berkata:''Berhubung dengan interpretasi bagi Seksyen 136, saya memutuskan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk bertanya dalam apa cara keterangan yang dicadangkan daripada saksi yang relevan dan menolaknya jika keterangan itu tidak relevan.''

Gani: ''Saya tidak membantah untuk mereka mendapatkan saksi-saksi tetapi tidak ada undang-undang menyatakan pembela boleh mengambil kenyataan daripada saksi-saksi tersebut. Mereka mungkin boleh menemu soal saksi-saksi tetapi mereka tidak boleh membuat saksi menandatangani kenyataan.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak ada masalah dengan mengambil kenyataan saksi tetapi saya mempunyai masalah dengan dua minggu. Pembela seharusnya telah mengemukakan pada peringkat kes pendakwa untuk mula mendapatkan kenyataan itu. Dua minggu pastinya terlalu lama.''

Gani: ''Apabila saya menawarkan saksi-saksi, saya telah meminta rakan bijaksana saya itu mengenai bila dan di mana mereka ingin berjumpa dengan saksi-saksi, tetapi mereka tidak datang jumpa saya.''

Raja Aziz: ''Perkara itu tidak jadi persoalan, tetapi mengenai arahan Yang Arif membenarkan kami melihat diari.''

''Pada Jumaat (semalam), kami telah meminta salinan diari dan sekarang ia sedang dibuat salinannya. Tetapi kami masih belum melihatnya. Kami belum dapat membacanya kerana ada empat karton yang dipenuhi dengan diari dan dokumen. Inilah sebabnya... Kami rasa Yang Arif dalam keadaan ditekan masa tetapi adalah tidak munasabah untuk meminda tempoh yang saya cadangkan,'' kata Raja Aziz yang masih meminta lebih masa untuk menyediakan pembelaan.

Hakim Augustine: ''Mengapa perkara ini tidak dibuat lebih awal? Kamu seharusnya telah mula menemu soal saksi-saksi sebaik sahaja ditawarkan kepada pihak kamu.''

Raja Aziz: ''Disebabkan cuti umum dan kami tidak dapat buat banyak perkara.''

Hakim Augustine: ''Mengapa pelanggan (Anwar) kamu tidak mulakan dulu?''

Raja Aziz: ''Keterangan mestilah diselaraskan.''

Hakim Augustine: ''Kamu mesti ingat bahawa ia fundamental dalam undang-undang jenayah, pembelaan yang akan dibuat oleh tertuduh adalah dakwaan yang dikemukakan oleh pendakwa.''

Raja Aziz: ''Kebanyakan saksi yang mungkin kami kemukakan melalui saksi pendakwa yang telah diberikan kepada kami.''

Hakim Augustine: ''Hanya satu jalan saya boleh tolong ialah tetapkan pada Isnin 8 Februari ini.''

Raja Aziz: ''Banyak yang hendak dibuat dan saya rasa pembela harus dibuat dengan betul.''

Hakim Augustine: ''Sebab itu saya beri tempoh kamu satu minggu, jika tidak kamu boleh mulakan pada 2 Februari ini.''

Raja Aziz: ''Sesetengah saksi berada di luar negara.''

Hakim Augustine: ''Oleh itu, mulakan dengan saksi yang ada. Saya tetapkan 8 Februari dan seterusnya.''


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 8"