Pereka fesyen saman malu terhadap polis
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya hari ini memfailkan saman terhadap tiga defendan menuntut deklarasi bahawa penahanannya selama lebih empat bulan adalah salah di sisi undang-undang dan menjejaskan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dia selaku plaintif menamakan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis I, Musa Hassan sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.
Abdul Razak, 32, yang namanya disebut dalam pertuduhan liwat melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 September tahun lalu juga menuntut gantirugi khas RM225,000, gantirugi teladan, pampasan serta gantirugi-gantirugi lain.
Plaintif itu memfailkan writ saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Sivil), Wisma Denmark di sini kira-kira pukul 11 pagi melalui Tetuan Jerald Gomez & Associates.
Abdul Razak yang juga pereka fesyen kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir di pejabat pendaftaran mahkamah hari ini. Dia gugup ketika dikerumuni wartawan serta jurugambar dan kelihatan menangis ketika dipeluk oleh kakaknya, Mazidah Yahya.
Dalam tuntutan saman itu, Abdul Razak mendakwa bahawa polis bukan sahaja telah mencerobohi rumahnya tanpa autoriti yang sah, malah gagal mengemukakan sebarang alasan yang munasabah ketika menahannya pada pukul 4.30 petang, 19 September tahun lalu.
Plaintif itu ketika menyatakan mengenai butir-butir melibatkan serang dan serang sentuh terhadapnya mendakwa, dia telah dibogelkan dan diperiksa duburnya tanpa keizinan ketika berada dalam tahanan polis.
Pernyataan tuntutannya berhubung pelanggaran hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut, polis telah memaksanya berkelakuan tidak senonoh serta memberi rokok dan minuman sehingga fikiran dan badannya terganggu.
Pereka fesyen itu juga mendakwa bahawa polis memaksanya memberikan keterangan yang telah diajar di hadapan seorang peguam pilihan mereka dan seterusnya dipaksa menandatangani kenyataan yang tidak benar.
Menurut Abdul Razak lagi, dia kemudian dipaksa mengulangi cerita-cerita yang tidak benar itu di hadapan perakam video, anggota polis dan Majistret.
Dia mendakwa, defendan pertama dan kedua telah berkomplot melalui polis untuk melanjutkan penahanannya selama 121 hari melibatkan beberapa tempat seperti di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ipoh dan Melaka.
Plaintif berkata, penangkapan dan penahanan yang tidak sah itu menyebabkan dia mengalami kejutan saraf, kerisauan mental, malu, kehilangan reputasi dan perniagaan serta pendapatan.
0 comments: on "Mior Ab Razak Yahya"
Post a Comment