Bukti tidak boleh dipertikai - Pendakwa
KUALA LUMPUR 29 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tentang adanya bukti yang tidak boleh dipertikaikan bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memberi pengakuan secara sukarela berhubung tuduhan membenarkan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Dia telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan pengakuan itu telah ditandakan sebagai bahan bukti pembela. Oleh itu dokumen ID4 (pengakuan) itu dikemukakan untuk menyokong rayuan bagi meringankan hukuman ke atasnya.
''Juga untuk menunjukkan penyesalan dan sebagainya,'' kata Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, ketika berhujah panjang lebar hampir dua jam untuk menjawab hujah pihak pembela.
Gani berhujah demikian pada bicara dalam perbicaraan pagi ini untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberi secara sukarela atau sebaliknya dalam kes Anwar yang didakwa meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.
Perbicaraan utama kes terhadap Anwar dan adik angkatnya, Sukma masuk hari ke-14 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.
Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Gani mengemukakan hujah balasnya sejurus sidang bermula pukul 9.08 pada sesi pagi ini.
Menurut Gani, saksi pendakwa pertama pada bicara dalam perbicaraan, Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil mencatatkan pengakuan Sukma dalam menjalankan kewajipannya selaku Majistret.
Katanya, Abdul Karim menyimpulkan bahawa Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela berdasarkan interaksi di antara beliau dengan tertuduh itu termasuk perbualan, soalan dan jawapan.
Tambahnya, ia juga berdasarkan pemerhatian Abdul Karim ketika saksi itu dibawa ke hadapannya pada 17 September tahun lalu.
Gani berhujah, itulah fakta yang didapati oleh Majistret yang sebenarnya melihat dan memerhatikan tertuduh (Sukma) terutamanya pada hari tersebut dan mahkamah ini tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku pada hari tersebut seharusnya berhati-hati agar tidak mengganggu faktanya.
Dalam hujahnya juga, Gani menggariskan bagaimana mahkamah menerima pakai pengakuan seorang yang di bawah jagaan polis berdasarkan faktor-faktor berikut:
* Dengan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis seperti di bawah Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah ia boleh dibuat oleh seorang Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen (merujuk kepada Seksyen 26 Akta Keterangan 1950).
* Peraturan mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah telah patuhi misalnya,
i) Pengakuan itu mestilah dicatatkan sepenuhnya, dalam tulisan tangan oleh Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen yang mana merupakan orang yang mengambil catatan tersebut.
ii) Sebelum mencatatkan pengakuan sedemikian Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia dibuat secara sukarela dan kemudian membuat satu memorandum bahawa beliau percaya pengakuan itu adalah secara sukarela.
Pengakuan itu kemudian dibaca semula kandungan penuhnya kepada tahanan mengikut peruntukan Seksyen 115(3) Kanun Prosedur Jenayah.
* Ia mesti dibuat secara sukarela yang bermakna bahawa ia tidak dilakukan dengan dorongan, paksaan dan janji.
Gani berhujah bahawa pengakuan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen sebagai Majistret dengan mengikut peraturan undang-undang.
''Saya mengatakan dalam apa keadaan pun beliau (Abdul Karim) mencatatkan pengakuan itu mengikut undang-undang, iaitu mematuhi Seksyen 26 Akta Keterangan,'' jelas timbalan kanan pendakwa raya itu.
Seksyen 26 itu berbunyi: ''Tertakluk kepada sesuatu peruntukan nyata yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis bahawa tiada apa-apa pengakuan salah yang dibuat oleh seseorang semasa dia berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.''
Gani berhujah lagi bahawa Abdul Karim merupakan seorang saksi yang menyatakan kebenaran dan mahkamah seharusnya menerima keterangan beliau sebagai boleh dipercayai.
''Beliau seorang pegawai undang-undang yang hanya menjalankan kewajipan dan menceritakan kepada mahkamah apa sebenarnya yang beliau saksikan pada hari tersebut.
''Keterangannya tidak bercanggah. Oleh itu tiada sebab bagi mahkamah untuk meragui sebarang keterangannya dan ia patut diterima. Fakta menunjukkan bahawa beliau menyusunnya sebagaimana mengikut peraturan dalam undang-undang dan mencatatkan pengakuan tertuduh seperti dalam kes Law Say Seck lwn Pendakwa Raya,'' jelas Gani.
Dalam hujahnya juga, Gani merujuk sebahagian keputusan bicara dalam perbicaraan kes Datuk Mohktar Hashim lwn Pendakwa Raya (1983).
Selain itu, Gani menjawab hujah pembela yang mempertikaikan bahawa Abdul Karim tidak menyoal tentang motif Sukma ketika membuat pengakuannya.
Menurut Gani, dalam kes ini, Majistret bertanya sebab mengapa tertuduh ingin membuat pengakuan dan tertuduh menyatakan bahawa dia mahu meluahkan apa yang telah lama tersimpan dalam dadanya.
Timbalan Kanan Pendakwa raya itu menjelaskan bahawa tiada keterangan yang menunjukkan pengakuan itu dibuat dengan suatu dorongan.
Gani menyatakan bahawa Abdul Karim mencapai kesimpulan yang tegas dalam memorandumnya yang berbunyi:
''Dari jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Sukma ke atas soalan-soalan saya di atas, dari pemerhatian akan kebekerjasamaan Sukma akan tujuan kehadirannya, saya berpuas hati beliau membuat pengakuannya dengan sukarela tanpa dipaksa, diugut, dipujuk ataupun dijanjikan apa-apa untuk membuat pengakuan ini.''
Gani berhujah lagi bahawa peguam bela tidak seharusnya mempertikaikan niat Sukma untuk membuat pengakuan kepada Majistret.
Beliau membaca petikan dokumen pengakuan itu yang mengandungi soalan Abdul Karim kepada Sukma antara lainnya berbunyi:
Soalan: Kepada siapa awak mula-mula menyatakan niat awak hendak membuat pengakuan ini?
Jawapan: Kepada pegawai polis di Bukit Aman nama Encik Rodwan Mohd. Yusof.
Soalan: Bila awak mula-mula hendak membuat pengakuan ini?
Jawapan: Semalam 16 September 1998.
-------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 30/06/1999Kata-kata tertuduh membawa maksud diugut - Saksi
KUALA LUMPUR 29 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, walaupun Mohamed Azmin Ali tidak menyebut dia diugut dan dipaksa dengan kejam oleh polis namun secara umumnya kata-kata tertuduh itu semasa prosiding remannya membawa maksud sedemikian.
Majistret Mohd. Azhar Othman, 27, yang mendengar prosiding tersebut memberitahu demikian ketika ditanya oleh peguam Moi Asamaley tentang pendapat beliau mengenai apa yang dikatakan oleh Azmin kepadanya.
Menurut saksi itu, Azmin mengadu bahawa pihak polis bercadang meminta perintah mahkamah jika dia enggan menjalani ujian DNA bagi kali kedua.
Ditanya oleh Asamaley apakah beliau berpendapat itu satu tindakan kejam oleh polis, Azhar yang kini bertugas di Kuala Terengganu dengan tenang menjawab: ''Saya anggap begitu,'' katanya.
Sebaik sahaja mendengar jawapan Azhar, kedengaran suara dari galeri awam berkata: ''Yes!.''
Isteri Azmin, Shamsidar Taharin, juga dilihat tersenyum bila mendengarkan jawapan tersebut.
Azmin, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibawa ke kamar Azhar untuk direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah mulai 16 hingga 22 September tahun lalu.
Azhar kemudian membebaskan Azmin selepas tertuduh dibawa kali kedua di hadapannya oleh polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman.
Beliau yang merupakan saksi pendakwa keenam memberitahu demikian dalam perbicaraan kes Azmin, 34, yang menghadapi tuduhan pindaan memberi keterangan palsu pada 9 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Tiga, Jalan Raja di sini.
Tertuduh selaku saksi pendakwa ke-14 didakwa berbuat demikian di peringkat pemeriksaan semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul, dalam perbicaraan kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah kerana menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.
Azmin didakwa memberi keterangan palsu bahawa dia mengatakan kepada Majistret yang tempoh tahanan remannya tidak boleh dilanjutkan kerana tindakan dan ugutan pihak polis semasa dia ditahan adalah terlalu kejam dan mereka memaksanya membuat pengakuan yang membabitkan 'Saudara Anwar'.
Dia didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Azhar juga menjelaskan tentang apa yang beliau faham mengenai kenyataan Azmin yang mendakwa dia diminta menjalani ujian tersebut sekali lagi oleh polis, sambil berkata:
''Saya fikir pihak polis akan berbuat sesuatu supaya suspek (Azmin) membuat ujian tersebut,'' kata majistret itu.
Asamaley seterusnya bertanya: ''Adakah kemungkinan bahawa tertuduh telah dipaksa untuk membuat ujian DNA kali kedua?''
Azhar yang juga saksi pendakwa terakhir menjawab: ''Mungkin.''
Bagaimanapun menurut Azhar, beliau tidak meminta sebarang penjelasan daripada tertuduh semasa prosiding tersebut.
Terdahulu dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Muniandy, Azhar berkata, sekiranya Azmin ada menyatakan kepadanya seperti yang didakwa dalam kertas pertuduhan sudah tentu beliau akan mencatatkannya dalam nota prosiding reman terhadap tertuduh.
Namun Azhar menjelaskan beliau boleh membuat ringkasan dan tidak perlu menulis setiap perkataan yang disebutkan oleh tertuduh.
Beliau berkata demikian ketika diminta oleh Asamaley menjelaskan perkara tersebut.
Azhar sebelum itu juga ditanya adakah perbuatan polis yang mengatakan Azmin berbohong dan tidak bekerjasama dengan mereka ketika diminta menjelaskan perolehan harta dan sahamnya dalam tempoh lima tahun lalu, sebagai satu paksaan oleh polis.
Beliau menjawab ringkas: ''Apa yang saya faham begitu.''
Hakim Hamdan Indah bagaimanapun menetapkan 12 dan 13 Julai ini untuk mendengar penghujahan pihak pendakwa dan peguam bela.
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES
------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 30/06/1999Pengakuan Sukma sempurna - Hakim
KUALA LUMPUR 29 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen adalah sempurna dan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah.
Hakim Datuk Ariffin Jaka ketika mengumumkan penghakiman ringkas beliau berkata, Sukma mempunyai kes untuk dijawab pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan pengakuannya dibuat secara sukarela atau sebaliknya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan para saksi setakat ini dan setelah meneliti hujah pihak pendakwa dan pembela.
Hakim Ariffin juga memerintahkan supaya prosiding bicara dalam perbicaraan itu diteruskan dengan mendengar keterangan saksi-saksi pihak pembela.
Menurut beliau, pada akhir prosiding itu nanti, mahkamah akan memutuskan sama ada pengakuan Sukma boleh diterima pakai sebagai bahan bukti kes ataupun menolaknya.
Beliau memutuskan demikian pada bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada pengakuan Sukma di hadapan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil pada pukul 3.50 petang, 17 September tahun lalu dibuat dengan sukarela atau sebaliknya.
Prosiding bicara dalam perbicaraan itu bermula pada 21 Jun lalu setelah mahkamah membenarkan permohonan Jagdeep Singh Deo selaku peguam bela Sukma yang mempertikaikan bahawa pengakuan adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat secara paksaan.
Jagdeep mengemukakan permohonan itu ekoran tindakan pihak pendakwa untuk memasukkannya sebagai bahan bukti dalam perbicaraan Anwar dan Sukma.
Dalam prosiding itu, empat saksi pendakwa memberi keterangan iaitu Abdul Karim, Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret, Kathirelayudham a/l Palaniappan atau dikenali P. Kathir, dua Asisten Supritendan Polis iaitu Mohd. Rodwan Mohd. Yusof dan Zulkifli Mohamed.
Dalam perbicaraan utama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan bersama-sama Sukma atas dua tuduhan bersubahat meliwat Azizan.
Sejurus selepas Hakim Ariffin selesai membaca penghakimannya, Jagdeep memohon supaya pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan dan Cif Inspektor Sampornak Ismail disapina ke mahkamah sebagai saksi.
Jagdeep mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 173(l)(1) Kanun Prosedur Jenayah dengan alasan bahasa sapina itu bertujuan membolehkan Musa dan Sampornak ditemusoal terlebih dahulu berhubung diari polis dan perjalanan keluar masuk tahanan (Sukma) dari lokap.
Menurut Jagdeep, kedua-dua pegawai polis itu perlu ditemu soal bagi memastikan sama ada mereka akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding bicara dalam perbicaraan.
Jagdeep berkata, selain itu hasil keterangan daripada Musa dan Sampornak akan dapat membantu pihak peguambela mengenal pasti pegawai-pegawai lain yang terlibat menyoalsiasat Sukma.
Hakim Ariffin kemudian mencelah dengan bertanya kepada Jagdeep, berapa saksi yang akan dikemukakan oleh pihak pembela.
Jawab peguam itu, ia bergantung kepada hasil temu soal terhadap Musa dan Sampornak.
Pada peringkat itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwa tidak membantah permohonan Jagdeep.
Mendengar kata-kata Abdul Gani, Hakim Ariffin memutuskan bahawa sapina tidak perlu dikeluarkan kepada Musa dan Sampornak.
Sejurus selepas itu, peguam bela Anwar, Karpal Singh mencelah dan berkata bahawa jika Sampornak dapat ditemu soal hari ini, perbicaraan boleh diteruskan esok.
Musa disenaraikan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan utama kes Anwar manakala nama Sampornak yang terdapat dalam senarai, ditimbulkan melalui keterangan Mohd. Rodwan pada prosiding bicara dalam perbicaraan ini.
Hakim Ariffin bersetuju dengan cadangan Karpal bahawa tiada sebab kedua-dua pegawai polis itu tidak dapat ditemu soal hari ini. Perbicaraan bersambung esok.
Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS
----------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 01/07/1999
Sukma dakwa dipaksa berbogel, dicaci polis
KUALA LUMPUR 30 Jun - Sukma Darmawan Sasmitaat Madja mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia dipaksa berbogel, dimaki-hamun dan dicaci oleh polis selepas ditangkap atas dakwaan mempunyai hubungan homoseksual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut adik angkat Anwar itu, dia telah diletakkan dalam sebuah lokap berukuran 6 kali 10 kaki luas dan 10 kaki tinggi yang keadaannya kotor, lembap serta lantainya basah.
Sukma menyatakan dia tidak dapat tidur sebab terlalu sejuk dan hanya diberikan sehelai selimut yang kotor.
Dengan kain selimut itu, kata Sukma, dia menggunakannya untuk menutup aurat ketika menunaikan sembahyang.
Di satu peringkat, Sukma dengan nada sebak menyatakan dia merasa sungguh malu dan seolah-olah sudah kehilangan maruah diri kerana diperlakukan sedemikian.
''Saya merasa takut, kecewa dan malu,'' kata Sukma ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama pihak pembela pada bicara dalam perbicaraan pagi ini.
Bicara dalam perbicaraan itu diadakan untuk menentukan sama ada dokumen pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.
Pendakwa ingin memasukkan pengakuan Sukma atas tuduhan yang telah dihadapinya membenarkan diliwat oleh Anwar untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerana dituduh meliwat Azizan Abu Bakar.
Anwar, 51, sedang dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan, 38.
Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara bulan Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Perbicaraan utama Anwar masuk hari ke-15 hari ini. Bicara dalam perbicaraan pula kini pada peringkat saksi pembela memberi keterangan pada hari ketujuh.
Pihak pembela mempertikaikan kesahihan pengakuan Sukma dan mendakwa dia dipaksa melakukannya.
Sukma, pemilik sebuah butikdi Hotel Hilton mula memberi keterangannya kira-kira pukul 9.08 pada sidang sesi pagi ini.
Dia berkata, sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof menangkapnya ketika sedang makan tengah hari bersama kakaknya, Komalawati Sasmitaat Madja, di Restoran Societe, di Bangunan Pusat Membeli-Belah Lot 10 di sini pada 6 September tahun lalu.
Katanya, polis tidak memberitahu kenapa dia ditangkap.
Sebelum ini, menurut Sukma, dia pernah dipanggil oleh Rodwan untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan membantu siasatan berhubung namanya disebut dalam Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Sukma mendakwa sewaktu penangkapannya, tangannya telah digari dan dipaksa masuk ke dalam kereta polis dengan kasar manakala kakaknya dihalau daripada mendekatinya.
Ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama peguam belanya, Jagdeep Singh Deo, Sukma menyatakan dia ada bertanya Rodwan tentang waran tangkap terhadapnya.
Sukma mendakwa, Rodwan hanya memberikan kata-kata, 'tidak perlu waran-waran tangkap'.
Pada hari yang sama dia ditangkap, polis membawanya ke Tivoli Villa dan membongkar keseluruhan penjuru rumah dan biliknya.
''Saya tidak tahu apakah yang mereka cari,'' kata Sukma.
Seterusnya, menurut Sukma pada hari kedua dia ditahan di lokap Bukit Aman, dua orang pegawai polis membawanya ke tingkat 3 bangunan itu dan masuk ke sebuah bilik di mana semua tingkapnya ditutup dengan kertas hitam.
Dalam bilik itu, katanya, dia mendapati ada enam orang pegawai polis yang tidak berpakaian seragam.
''Empat orang berbangsa Melayu dan dua lagi bangsa Cina,'' kata tertuduh itu.
Jagdeep: ''Bolehkah kamu camkan kesemua enam pegawai polis itu?''
Sukma: ''Boleh.''
Jagdeep: ''Dalam bilik itu, apa berlaku dengan enam orang itu?''
Sukma: ''Mereka mengarahkan saya membuka baju, seluar dan seluar dalam tetapi saya dapati susah untuk membuka baju saya, kemudian saya meminta kebenaran dibukakan gari bagi membolehkan saya buka baju.''
Jagdeep: ''Adakah kamu bersetuju dengan arahan itu?''
Sukma: ''Pada mulanya saya tak setuju tapi mereka secara serentak mengarahkan saya bahawa saya harus buka seluar dalam. Dengan keadaan berbogel dan bergari, mereka suruh saya berpusing-pusing di hadapan mereka untuk memudahkan mereka melihat seluruh bahagian tubuh saya.''
Jagdeep: 'Awak ikut tak?''
Sukma: ''Ya.''
Jagdeep: ''Boleh jelaskan apa yang berlaku?''
Sukma: ''Dengan keadaan diri yang sangat sejuk, saya cuba menutup bahagian kemaluan saya. Saya menutup kemaluan saya dengan duduk di atas kerusi di situ.''
Di peringkat ini, Sukma berdiri di kandang saksi seketika untuk menunjukkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka bagaimana gaya dia duduk di atas kerusi untuk menutup kemaluannya.
Para hadirin di galeri awam kedengaran tergelak.
Sukma meneruskan keterangan: ''Bila saya duduk atas kerusi, enam pegawai tersebut menjadi marah dan menengking saya secara serentak.''
Jagdeep kemudian memohon untuk memanggil empat daripada pegawai polis yang terlibat dengan pasukan penyiasat terhadap Sukma.
Pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini, empat daripada enam pegawai polis itu dipanggil untuk dicamkan oleh Sukma.
Mereka terdiri daripada Cif Inspektor Sampornak Ismail, Detektif Lans Koperal Ahmad Bustami Ayob, Detktif Koperal Mustawil Suki dan Detektif Koperal Hamdani Othman.
----------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 01/07/1999
Polis didakwa buat ugutan
KUALA LUMPUR 30 Jun - Adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, mendakwa polis mengugut akan mengupah orang untuk menembaknya jika dia enggan bekerjasama dalam penyiasatan melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Sukma yang membuat dakwaan itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberitahu, ancaman itu dikeluarkan oleh salah seorang daripada enam pegawai dalam pasukan penyiasat iaitu Cif Inspektor Sampornak Ismail.
Menurutnya, pegawai itu dengan menengking berkata bahawa mereka mampu berbuat demikian tanpa pengetahuan sesiapapun bahawa polis yang melakukannya.
Sukma turut mendakwa, Sampornak juga menakut-nakutkannya yang polis boleh menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun dan tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan setiap dua tahun menurut kemahuan mereka.
Menurut Sukma, dia yang ketika itu disoal siasat setiap hari juga diugut akan dikenakan tuduhan yang boleh membawa hukuman mati seperti yang dihadapi oleh Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai kerana memiliki peluru tanpa kebenaran.
Adik angkat Anwar itu menyatakan, Sampornak mengugutnya bahawa mereka boleh meletakkan peluru dalam keretanya yang ketika itu diletakkan di pekarangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sukma mendakwa, polis memberitahunya bahawa peluru murah dan harganya hanya 45 sen.
Oleh itu, katanya pengakuan yang dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Karim Abdul Jalil pada pukul 3.50 petang, 17 September tahun lalu itu bukan secara sukarela.
Sukma menyatakan mengenai strategi bagaimana dia disoal siasat pada hari keempat penahanannya di Bukit Aman.
Dia memberikan keterangan itu dalam pemeriksaan utama oleh peguambelanya, Jagdeep Singh Deo, dalam prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuannya dibuat secara sukarela atau sebaliknya.
Dalam perbicaraan utama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.
Anwar, 51, juga dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma atas dua tuduhan bersubahat meliwat Azizan.
Sebelum sidang sesi petang bermula, Hakim Datuk Ariffin Jaka membenarkan permohonan pihak pendakwa supaya soalan dan jawapan berhubung soal siasat di antara Sukma dan Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof tidak didedahkan umum untuk menjaga kepentingan tertuduh mengikut Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah.
Pada peringkat pertengahan prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Jagdeep bertanya: ''Selepas disoal siasat dan diugut demikian, apa perasaan kamu?''
Sukma: ''Takut, kecewa, sedih dan putus asa.''
Jagdeep: ''Pada tahap itu, apakah kamu tetap dengan pendirian?''
Sukma: ''Pendirian saya tidak teguh ketika itu kerana ditengking dan diugut bertubi-tubi.''
Pada peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan memohon supaya Hakim Ariffin mengingatkan pihak media massa supaya tidak melaporkan jawapan Sukma selanjutnya.
Dalam satu soalan lain, Sukma menyatakan, dia kemudian dilayan dengan baik termasuk dibenarkan memakai semula pakaian, diberi rokok dan kuih selepas bersetuju dengan kehendak polis supaya mengaku mempunyai hubungan dengan Anwar.
Sukma mendakwa pada 16 September tahun lalu di antara pukul 7.30 malam dan 8.30 malam, Mohd. Rodwan pernah menemuinya di lokap dan menjanjikan bahawa dia akan dibebaskan keesokannya jika bersetuju membuat pengakuan di hadapan seorang majistret.
Sukma berkata, dia tiada pilihan melainkan bersetuju setelah Mohd. Rodwan mengugut dengan kata-kata bahawa tahanan terhadapnya boleh dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Sukma ketika menjawab satu soalan Jagdeep menyatakan, dia takut untuk mengemukakan aduan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Karim Abdul Jalil yang merekod pengakuannya kerana Mohd. Rodwan ketika itu menunggu di luar kamar hakim.
Bagaimanapun Sukma menafikan dia pernah menyatakan kepada Abdul Karim bahawa dia ''ingin meluahkan segala-galanya kerana sudah lama tersimpan dalam dada.''
Sukma mendakwa lagi, Mohd. Rodwan juga memberikan panduan supaya dia dapat mengingati butir-butir pengakuan tersebut sambil menekankan bahawa dia perlu menjelaskan secara terperinci berkaitan homoseksual dengan Anwar.
Perbicaraan bersambung esok.
Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS
-----------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 02/07/1999
Saya 'diprogram' mengaku ada hubungan homosekual - Tertuduh
KUALA LUMPUR 1 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar keterangan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang mendakwa dia 'diprogramkan' untuk mengaku mempunyai hubungan homoseksual dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sukma mendakwa, dia hanya menyatakan kepada majistret apa yang Asisten Supritendan Polis (ASP) Mohd. Rodwan Yusof dan empat anggota pasukan penyiasat kes itu suruh dia lakukan.
Menurutnya, pengakuan setebal 10 muka surat telah dicatatkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil, yang bertindak sebagai majistret pada 17 September tahun lalu.
Sukma menyatakan demikian sebagai saksi pertama pembela memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuannya sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.
Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.
Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.
Bicara dalam perbicaraan di hari kelapan pada perbicaraan utama Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-16 hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah sebelum itu memaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah mula mengambil alih tugas Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd. Yusof Zainal Abiden.
Difahamkan, Mohd. Yusof kini mengetuai unit pendakwaan di Suruhanjaya Sekuriti.
Ketika menjawab soalan Karpal Singh selaku peguam bela Anwar, Sukma memberitahu selain itu pasukan penyiasat juga mengeluarkan kata-kata yang menghina dirinya.
Sukma juga menafikan pernah membekalkan model lelaki dan wanita kepada Anwar.
Sukma menyatakan gambar-gambar yang dirampas oleh polis dari rumahnya di Tivoli Villa adalah gambar katalog untuk model butiknya.
--------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 02/07/1999
Sukma miliki 3 kereta mewah
KUALA LUMPUR 1 Julai - Sukma Darmawan Sasmitaat Madja mengaku di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mempunyai tiga buah kereta mewah - sebuah jenis BMW 523i dan dua Mercedes Benz model C280 dan 300S.
Sukma memberitahu, kereta BMW miliknya itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran WGG 23 manakala dua buah Mercedes itu bernombor WDS 25 dan WDN 2.
Menurut Sukma, kereta BMW itu pernah digeledah oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof bersama-sama tiga anggota polis lain ketika dia ditahan pada 6 September tahun lalu.
Selain itu, Sukma menyatakan dia memiliki sebuah pangsapuri bernombor 10-7-2, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini yang dibelinya dengan harga lebih kurang RM400,000 pada penghujung tahun 1992.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail, Sukma mengaku bahawa dia pernah mengubahsuai pangsapuri tersebut yang menelan belanja kira-kira RM100,000.
Sukma menyatakan demikian pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada pengakuan yang dibuatnya kepada seorang Hakim Mahkamah Sesyen adalah secara sukarela atau sebaliknya.
Pada satu peringkat, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah untuk bertanya Abdul Gani apa tujuan beliau menimbulkan soalan kepada Sukma sama ada polis pernah mengambil lima pita video ketika menggeledah pangsapurinya.
Hakim Ariffin berpendapat bahawa isu yang diketengahkan adalah berkenaan sama ada pengakuan Sukma dibuat secara sukarela.
Gani menerangkan soalan berhubung pita video itu sebenarnya telah ditimbulkan oleh peguam bela. Bagaimana pun, Gani menarik balik soalan berkenaan.
Pada perbicaraan utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 51, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar. Dia dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan, 38.
Pada sesi sebelah petang, Gani memulakan soalan balas dengan bertanya latar belakang Sukma sebelum dia mendapat pendidikan di sini.
Sukma berkata, dia dilahirkan pada 25 Jun 1961 di Jakarta, Indonesia, dan merupakan anak yang ke-11 daripada 12 orang adik-beradik.
Menurut Sukma, dia kemudian dihantar oleh bapanya berhijrah ke negara ini pada bulan Februari 1977 dan memulakan persekolahannya di Yayasan Anda di Kampung Baru di sini.
Menjawab kepada satu soalan Gani, Sukma menyatakan, dia memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan (ketika itu dikenali sebagai Higher School of Certificate) pada 1990.
Sukma bagaimanapun mengaku bahawa di antara tahun 1980 hingga 1983, dia tidak bersekolah.
Sukma memberitahu, dia menetap di rumah bapa angkatnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, iaitu bapa Anwar sejak berhijrah ke negara ini.
Menurut Sukma lagi, segala perbelanjaan persekolahannya ditanggung oleh bapa Anwar.
Menjawab satu soalan Gani, Sukma menyatakan bahawa selepas tamat persekolahan dia pernah berniaga secara sambilan dengan menjual ubat-ubatan tradisional dan kain.
Menurut Sukma lagi, dia mula menceburkan diri secara serius dalam urusan perniagaan dengan membuka sebuah syarikat pada pertengahan 1991.
Soalan pendakwa selanjutnya berkisar berhubung dakwaan Sukma bahawa seorang pegawai polis lain, Asisten Supritendan Zulkifli Mohamed, pernah melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya sebelum dibawa berjumpa majistret untuk mendapatkan perintah reman.
Gani: ''Saya katakan, Zulkifli tidak pernah menyelak baju kamu, memulas serta mencubit dada sambil mempersenda-sendakan kamu?''
Sukma: ''Tidak setuju.''
Gani: ''Saya katakan, Zulkifli tidak pernah sama sekali meramas-ramas bahagian kemaluan kamu?''
Sukma: ''Tidak setuju.''
Gani: ''Jika benar ia berlaku, kamu sudah membuat aduan kepada majistret ketika polis memohon perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah?''
Sukma: ''Ia benar berlaku tetapi saya tidak melaporkan kepada majistret.''
Antara soalan terakhir Abdul Gani petang ini, Sukma menyatakan dia tidak bersetuju bahawa adalah tidak munasabah seorang pegawai kanan polis berbuat demikian di hadapan orang ramai termasuk kakitangan lain.
Sebelum itu, Sukma menafikan bahawa dia memberi kebenaran kepada pihak polis untuk memecahkan pintu bilik utama pangsapurinya pada hari dia ditangkap.
Sukma juga menafikan bahawa polis telah menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan anak kunci daripada salah seorang kakaknya yang enggan datang ke rumah.
Perbicaraan bersambung esok.
Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS
---------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 02/07/1999Hakim tegur jangan jadi mahkamah sebagai sarkas
KUALA LUMPUR 1 Julai - Hakim Datuk Ariffin Jaka hari ini menegur peguam bela supaya tidak 'melompat tidak menentu' seolah-olah menjadikan Mahkamah Tinggi di sini sebagai sarkas.
Beliau yang mendengar perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, membuat teguran selepas Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dengan suara amat tinggi membantah satu soalan balas yang dikemukakan terhadap anak guamnya itu.
Semasa Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, menyoal balas Sukma pada bicara dalam perbicaraan, beliau mengulangi beberapa kali soalan supaya Sukma faham dan menjawabnya.
Gani menyoal Sukma mengenai sebahagian kandungan afidavit yang diikrarkannya menyentuh seorang peguam, Mohd. Noor Don.
Peguam itu dikatakan bertindak mewakili Sukma sewaktu dia didakwa atas tuduhan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.
Berhubung kes itu, Sukma telah mengaku salah dan dikenakan penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 19 September tahun lalu.
Bagaimanapun semasa disoal balas tentang kes itu, Sukma menafikan dia melantik Mohd. Noor sebagai peguambelanya.
Sebaliknya Sukma mendakwa pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan, yang meminta Mohd. Noor bertindak mewakilinya dalam kes tersebut.
Apabila Gani membaca perenggan 15 afidavit berkenaan, Sukma menjawab: ''Apa yang saya kata afidavit itu betul.''
Gani sebelum itu mengulang soalannya berbunyi: ''Tolong terangkan, di dalam afidavit, kamu kata tiga bulan penjara dan dalam keterangan (hari ini) kamu kata sehari, yang mana betul?''
Sukma menjawab: ''Semasa saya menemui peguam Mohd. Noor, saya diberitahu bahawa saya akan dijatuhkan hukuman sehari (sekiranya mengaku salah).''
Gani: ''Apa yang saya katakan kamu menyatakan dalam afidavit bahawa polis kata satu hari, tapi pagi ini kamu kata tiga bulan?''
Sukma: ''Boleh saya jelaskan, Mohd. Noor beritahu saya bahawa Musa yang kata satu hari.''
Hakim Ariffin sambil meneliti kandungan afidavit yang disebutkan oleh Gani meminta pendakwa raya itu mengulangi soalannya.
Hakim Ariffin kemudian bertanya: ''Fahamkah soalan? Jelaskan perbezaannya.''
Sukma: ''Apa yang saya kata afidavit betul.''
Hakim Ariffin: ''Dalam mahkamah kamu katakan polis kata tiga bulan?''
Sukma: ''Betul, kedua-duanya betul.''
Sebaik mendengar jawapan Sukma, Gani berkata: ''Saya rasa agak senang hati, dia kata kedua-duanya betul dan ini menunjukkan kedua-duanya bohong.''
Jagdeep segera bangun membantah sambil menunjuk-nunjukkan tangannya ke arah Gani. Jagdeep: ''Dia (Gani) yang minta penjelasan.''
Hakim Ariffin dengan nada yang kuat: ''Jangan kata begitu.''
Gani juga meninggikan suara: ''Saya mahu peguam bela mohon maaf kerana membuat andaian bahawa saya berkata bohong di mahkamah.''
Gobind segera bangun turut membantah sambil bertanya: ''Adakah soalan ini satu penjelasan?''
Bagaimanapun sebelum Gobind mencetuskan pertikaman lidah, Hakim Ariffin menegur: ''Jangan melompat tak menentu. Jangan jadikan mahkamah ini sebagai sarkas.''
Beliau lalu membaca sekali lagi kandungan afidavit berkenaan.
Hakim Ariffin juga membaca jawapan yang telah diberikan oleh Sukma kepada mahkamah.
Di peringkat itu, Gobind cuba untuk berhujah. Bagaimanapun, Hakim Ariffin mencelah sambil meminta Gani meneruskan soalannya.
Sukma juga diingatkan jika dia tidak faham soalan, dia boleh bertanya.
Hakim Ariffin: ''Jangan jawab sewenang-wenangnya, Kalau tak faham boleh bertanya, tak salah.''
Sebelum itu, pada sidang sesi pagi perbicaraan Anwar, suasana mahkamah tegang seketika apabila peguam bela Anwar, Karpal Singh, mencetuskan pertikaman lidah dengan Hakim Ariffin.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.24 pagi sebelum Gani menyoal balas Sukma.
Karpal bangun menyatakan bahawa perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Ariffin itu adalah bicara dalam perbicaraan.
Tetapi, kata beliau, keadaan sebaliknya apabila hakim dikatakan turut memainkan peranan.
Karpal: ''Saya membantah, Yang Arif tidak sepatutnya menyoal balas saksi. Saya bimbang dengan keadaan ini. Saya tidak mahu bertelagah. Saya hanya ingin mengingatkan Yang Arif tidak menganggu saksi.''
Hakim Ariffin menjawab: ''Saya hendak beritahu dia (Sukma) supaya berhati-hati ketika memberi jawapan. Adakah saya tidak boleh membuka mulut?''
Karpal: ''Yang Arif boleh membuka mulut (bercakap) tetapi tidak usah menyoal balas saksi.''
Hakim Ariffin: ''Jangan hendak bertelagah dengan saya.''
Karpal: ''Saya bukan hendak bertelagah dengan hakim.''
Hakim Ariffin: ''Kamu hanya menimbulkan aduan ini selepas sidang berhenti rehat. Lain kali jangan tunggu selepas sidang rehat. Dan tolong duduk. Saya beri jaminan ia tidak berlaku lagi.''
Karpal: ''Yang Arif beri jaminan tidak mengulanginya.''
Hakim Ariffin mengarahkan Karpal duduk tetapi peguam bela itu tetap berkeras meminta supaya bantahannya itu dicatatkan dalam nota prosiding.
Ia berbunyi: ''Bahawa Yang Arif tidak patut campur tangan terhadap saksi dan apabila penghujahan dibuat seorang hakim hanya boleh bertanya soalan dan bukan menyoal balas saksi.''
Hakim Ariffin dengan nada tegas: ''Saya rasa saya akan melakukannya atas budi bicara saya. Jika kamu tidak suka, buatlah bantahan.''
Karpal: ''Yang Arif menganggu saksi.''
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bangun memberi pandangannya.
Mohtar: ''Boleh saya menjawab, saya hanya mahu dimasukkan dalam rekod prosiding bahawa pendakwa berpendapat Yang Arif berhak untuk bertanya atau menyoal bagi tujuan mendapatkan penjelasan daripada saksi atau peguam bela.
''Sekiranya peguam bela merasakan hakim melakukan demikian, maka ia boleh dibangkitkan di Mahkamah Rayuan.''
Mohtar juga tidak bersetuju dengan tindakan peguam bela itu yang membangkitkan perkara tersebut selepas mahkamah berhenti rehat kerana ia seolah-olah diprogramkan oleh mereka (pihak pembela).
Karpal menghujah balas dengan menyatakan hakim mempunyai hak untuk bertanya soalan tetapi bukan ke tahap membuat komen dan menyuarakan pendapatnya kepada saksi.
Selepas itu Hakim Ariffin mengarahkan pendakwa meneruskan menyoal balas Sukma.
----------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 03/07/1999Sukma dakwa reka cerita diliwat
KUALA LUMPUR 2 Julai - Sukma Darmawan Sasmitaat Madja hari ini mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia telah membuat 'cerita rekaan' dalam satu pengakuan membenarkan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin menyelamatkan diri dari tahanan polis.
Sukma bersetuju dengan cadangan pendakwa tentang apa yang dikatakannya itu betul dan terkandung dalam perenggan 14 afidavit yang telah diikrarkannya bahawa dia sendiri mereka-reka cerita untuk membuat polis gembira.
''Saya ada cakap begitu,'' kata Sukma ketika menjawab soalan balas pendakwa pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuannya sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.
Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.
Dalam perbicaraan utama yang masuk hari ke-17 hari ini, Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Di awal sidang perbicaraan itu pagi ini, Sukma, 38, memohon maaf untuk memperbetulkan keterangannya berhubung satu daripada tiga buah model kereta mewahnya yang diberitahu semalam.
Menurut Sukma, keretanya yang disebut BMW 523i sebenarnya model 328i.
Ketika menyambung pemeriksaan balas, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menyoal: ''Saya katakan juga kepada kamu dalam perenggan 14 afidavit itu bahawa kamu mereka cerita untuk menyelamatkan diri kamu, betul?''
Sukma: ''Ya.''
Gani: ''Saya menyatakan kepada kamu bahawa cerita-cerita kamu di mahkamah ini bahawa kamu diprogramkan sebagai komputer adalah tidak benar.''
Sukma: menjawab, dia tidak bersetuju.
Gani: meneruskan soalan: ''Saya menyatakan kepada kamu apa yang kamu nyatakan di dalam afidavit bahawa kamu mereka-reka cerita untuk menyelamatkan diri kamu juga tidak benar.''
Sukma: yang dilihat tidak memahami soalan pendakwa itu bertanya: ''Apakah soalan?''
Gani: mengulangi soalannya. Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah sambil bertanya: ''Adakah cerita itu benar?''
Sukma: ''Semua dalam afidavit benar.''
Gani: ulang soalannya dan cuba memperjelaskan: ''...yang kamu kata kamu reka cerita itu untuk menyelamatkan diri kerana saya katakan kamu reka cerita. Kami (pendakwa) tidak mempertikaikan dokumen pengakuan tetapi kami menyatakan apa yang kamu dakwa cerita itu bagi tujuan hendak menyelamatkan diri dan daripada sebarang hukuman, adakah benar?''
Hakim Ariffin turut menjelaskan soalan pendakwa raya itu dengan menerangkan bahawa mereka itu adalah mewujudkan sesuatu.
Sukma: menjawab: ''Saya merekakan apa yang mereka (polis) kehendaki.''
Gani: ''Saya katakan apa yang direka itu tidak benar.''
Hakim Ariffin: ''Dalam soalan itu saya tidak faham apa yang kamu (pendakwa) mahu.''
Beliau lalu menerangkan kepada Sukma bahawa apa yang dikatakan pendakwa yang dia reka cerita itu tidak benar.
Sukma: ''Saya merekakan apa yang dikehendaki.''
Dia mengulangi jawapannya: ''Semua yang saya reka apa yang mereka kehendaki.''
Hakim Ariffin mencatatkan dalam nota prosiding apa yang Sukma beritahu sambil bertanya: ''Betul?''
Sukma: ''Betul.''
Gani: menyoal lagi: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada perenggan 11 afidavit, kamu ada menyatakan pada hari ketiga dalam tahanan polis kamu telah diperlakukan dengan kasar oleh enam anggota pasukan penyiasat, kamu digari, dihina, dipukul dan dicaci, ada kamu kata begitu?''
Sukma: ''Ya, Yang Arif.''
Perbicaraan bersambung Isnin ini.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
-------------------------------------------------------------------------------
0 comments: on "PENDAKWAAN - 3"
Post a Comment