untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Friday, July 11, 2008

SUKMA

ARKIB : 04/03/1999

Penahanan Sukma sah di sisi undang-undang

KUALA LUMPUR 3 Mac - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan bahawa penahanan terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja adalah sah di sisi undang-undang setelah menolak rayuan writ habeas corpus ahli perniagaan itu.

Panel tiga hakim yang bersidang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Dr. Zakaria Mohd. Yatim memutuskan demikian setelah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Sukma.

Eusoff ketika mengumumkan keputusan mahkamah itu berkata, alasan penghakiman terhadap penolakan rayuan Sukma yang juga adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan kemudian.

Mahkamah Persekutuan adalah peringkat yang paling akhir bagi mana-mana pemohon mengemukakan rayuan writ habeas corpus supaya mereka dibebaskan daripada tahanan yang didakwa tidak sah.

Sebelum ini peguam Karpal Singh pernah memohon supaya kes itu didengar oleh panel sembilan hakim kerana rayuan Sukma berhubung bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah adalah yang pertama dalam sistem perundangan negara ini.

Sukma, 37, mengemukakan rayuan tersebut setelah Mahkamah Rayuan di sini pada 19 Disember tahun lalu memutuskan penahanannya adalah sah di sisi undang-undang setelah menolak rayuan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi.

Ahli perniagaan itu merayu terhadap keseluruhan keputusan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abu Mansor Ali dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Panel tiga hakim itu memutuskan Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa mendengar tuduhan terhadap Sukma mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan seterusnya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula 19 September tahun lalu.

Pada masa ini Sukma tidak perlu menjalani hukuman untuk sementara waktu setelah dia dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 sehingga semakan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen berhubung kes membenarkan Anwar meliwatnya, diputuskan oleh Mahkamah Tinggi nanti.

Menurut tuduhan, perbuatan liwat itu dilakukan pada waktu malam bulan April tahun lalu di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di No. 47, Jalan Damansara di sini.

Bagaimanapun, sebarang keputusan sama ada Sukma perlu menghabiskan baki hukuman penjara itu atau terus dibebaskan adalah tertakluk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mendengar semakannya.

Sementara itu, Karpal Singh yang mewakili Sukma ketika berhujah telah membangkitkan isu bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berhubung tuduhan liwat yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Menurut Karpal, tahanan terhadap ahli perniagaan itu adalah tidak sah kerana hukuman penjara diputuskan oleh Mahkamah Sesyen yang didakwa tidak layak membicarakan kes itu.

Ini kerana, pendakwaan terhadap Sukma yang beragama Islam sepatutnya dijalankan di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Lagipun kata peguam itu, beban untuk membuktikan tuduhan di bawah kesalahan jenayah syariah adalah lebih berat terutama jika ia melibatkan saksi-saksi.

Beliau juga membangkitkan isu 'eksklusif' berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa hak untuk membicarakan Sukma hanya dimiliki oleh Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil.

Oleh itu kata Karpal, Mahkamah Rayuan tersilap ketika mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang pada peringkat awal telah menolak permohonan writ habeas corpus Sukma.

Karpal kemudian membangkitkan isu bagaimana jika keadaan adalah sebaliknya apabila Mahkamah Syariah pula membuat keputusan untuk mendakwa Sukma.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Ahmad Maarop berhujah, Mahkamah Rayuan adalah betul ketika berpendapat bahawa walaupun perkataan 'liwat' digunakan dalam fakta kes, ini tidak bermakna pendakwaan terhadap Sukma terkeluar daripada bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Menurut Ahmad, penggunaan Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa kepada pendakwaan di Mahkamah Sesyen adalah lebih sesuai kerana ia lebih meluas bagi menjelaskan klasifikasi pertuduhan terhadap Sukma.

Oleh: NORLIZAH ABAS


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "SUKMA"