untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Sunday, June 1, 2008

Perbicaraan kes liwat Anwar, Sukma 7 Jun

KUALA LUMPUR 4 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Jun ini untuk memulakan perbicaraan satu daripada lima kes liwat yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes terhadap Anwar akan dibicarakan bersama-sama dua kes membabitkan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang dituduh bersubahat dengannya dan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh Hakim Datuk Abdul Wahab Patail kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Ketika memutuskan tarikh itu, Hakim Abdul Wahab berkata, perbicaraan itu mungkin dikendalikan oleh beliau sendiri ataupun hakim lain yang dilantik oleh Hakim Besar Malaya mengikut Akta Mahkamah Kehakiman.

Bagaimanapun siapakah hakim yang mengendalikan perbicaraan itu hanya diketahui pada 7 Jun ini.

Hakim Abdul Wahab berkata, beliau akan memutuskan pada hari berkenaan sama ada akan menarik diri daripada mendengar kes itu.

Menurutnya, beliau belum membuat keputusan mengenai perkara itu kerana permohonan untuk melucutkan kelayakannya masih belum dikemukakan.

Sehubungan itu, Hakim Abdul Wahab memutuskan meskipun apa jua bentuk pertuduhannya, perbicaraan mestilah dikendalikan sebagaimana kes-kes lain, bukan sahaja bersopan tetapi juga beradab.

Dengan demikian beliau mengeluarkan perintah seperti berikut melarang:

* Para peguam bela, sesiapa atau mana-mana pihak secara langsung atau melalui peguam bela membuat sebarang komen, kenyataan, atau apa-apa wawancara kepada sesiapa berhubung prosiding yang sedang didengar di mahkamah atau pun sebarang perkara yang berkaitan dengannya.

* Tidak boleh komen, wawancara atau membuat kenyataan, selain daripada laporan mengenai fakta keterangan atau penghujahan berkaitan prosiding yang didengar di mahkamah atau sebarang perkara berhubung dengannya. Ia dilarang untuk diterbitkan dalam apa jua bentuk.

Para pemberita daripada mana-mana pertubuhan media yang melanggar perintah itu akan dikenakan tindakan dilarang daripada meliputi perbicaraan ini.

* Perintah-perintah selanjutnya akan dikeluarkan sekiranya perlu.

Hakim Abdul Wahab membuat perintah-perintah itu dalam keputusan ringkasnya semasa menetapkan tarikh perbicaraan.

Sebelum itu, Peguam Negara yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa semua pihak bersedia untuk mendengar sebutan kes itu.

Dua Timbalan Kanan Pendakwa Raya terdiri daripada Azahar Mohamad dan Mohd. Yusof Zainal Abiden bersama Timbalan Pendakwa Raya, Shamsul Sulaiman, menganggotai pasukan pendakwaan.

Anwar, 51, diwakili oleh barisan sembilan peguam bela diketuai oleh Raja Aziz Addruse.

Para peguam bela Anwar yang hadir hari ini selain Raja Aziz ialah Sulaiman Abdullah, Christopher Fernando, Gurbachan Singh, Pawancheek Marican, S. N. Nair, Zulkifli Noordin dan dibantu oleh peguam Robin Choi.

Pada sebutan kes hari ini, dua lagi peguam bela Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Zainur Zakaria tidak hadir.

Sukma pula diwakili oleh peguam Karpal Singh bersama anaknya, peguam Gobind Singh Deo.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April lalu setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah melibatkan penyalahgunaan kuasa. Dia masih menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Rayuan.

Dalam tuduhan liwat, Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada satu malam bulan Mei 1992, lebih kurang pukul 7.45 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Anwar dituduh sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Azizan Abu Bakar dengan... (huraian perlakuan liwat) dan oleh itu dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sabitan kesalahan di bawah Seksyen 377B, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan disebat.

Sukma juga menghadapi dua pertuduhan mengikut seksyen yang serupa yang didakwa dilakukan pada hari, masa dan di tempat yang sama.

Oleh: KAMARIAH AHMAD


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Perbicaraan kes liwat Anwar, Sukma 7 Jun"