untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Friday, June 6, 2008

PEMBELAAN - 1

ARKIB : 06/07/1999

Sukma: Anwar beri saya RM10,000

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan RM10,000 kepadanya semasa rumahnya sudah siap.

Adik angkat Anwar itu mendakwa dia membeli kereta mewah dan harta benda setelah mewarisi pusaka ayahnya yang meninggal dunia di Indonesia pada tahun 1990.

''Setelah ayah saya meninggal, dari situ saya mewarisi harta ayah pada 1991,'' kata Sukma ketika menjawab soalan peguam belanya, Gobind Singh Deo.

Gobind menyoal semula Sukma berhubung bagaimana pada 1991 dia telah memulakan perniagaan dalam jangka masa yang pendek dan boleh membeli kereta dan harta benda.

Pada Khamis lalu, ketika menjawab soal balas pendakwa, Sukma mengakui dia memiliki tiga buah kereta mewah, sebuah model BMW328i, dua buah Mercedes Benz C280 dan 300S serta membeli sebuah pangsapuri berharga lebih kurang RM400,000 di Tivoli Villa di sini.

Sukma, 38, menyatakan demikian sebagai saksi pertama pembela pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan bahawa dia membenarkan Anwar meliwat dirinya diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa ingin mengemukakan pengakuan Sukma itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dituduh meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-17 hari ini.

Prosiding bicara dalam perbicaraan bermula pukul 10.28 pagi ini.

Sebelum menyoal Sukma, Gobind memaklumkan bahawa Karpal Singh selaku salah seorang peguam bela Anwar bersama Jagdeep Singh Deo yang turut mewakili Sukma tidak hadir pada sesi pagi kerana mereka berada di Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Alor Setar Kedah.

Menurut Gobind, mereka hanya akan hadir di mahkamah pada sesi petang.

Di peringkat itu, Hakim Datuk Ariffin menyedari bahawa hanya Pawancheek Marican yang kelihatan duduk di kerusi barisan peguam bela Anwar.

Hakim Ariffin mencatatkan dalam nota prosiding bahawa para peguam bela Anwar yang lain tidak hadir.

Serentak itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan menyatakan beliau nampak Pawancheek duduk di kerusi barisan belakang berhampiran Anwar yang berada di kandang tertuduh.

Mohtar menyatakan Pawancheek sepatutnya tampil di barisan hadapan kerusi peguam bela dan menyifatkan peguam bela itu sebagai messenger boy.

Gobind segera menyampuk kerana tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat terhadap rakannya itu.

''Peguam Negara tidak patut menyatakan messenger boy,'' kata Gobind dengan nada yang keras.

Mohtar: ''Saya ada hak buat kenyataan kerana Pawancheek duduk di bahagian belakang untuk mendapatkan arahan tertuduh.''

Hakim Ariffin mencelah bahawa apa juga yang berlaku ia seharusnya tanggungjawab peguam bela berkenaan (bukan Gobind).

''Saya memerhatikan bahawa hanya terdapat seorang sahaja peguam bela tertuduh pertama (Anwar),'' ujar Hakim Ariffin.

Pawancheek lalu bangun dan memaklumkan bahawa beliau mengambil arahan anak guamnya.

Hakim Ariffin kemudian meminta Pawancheek memperkenalkan dirinya dan tampil duduk di kerusi barisan hadapan pihak pembela.

Selepas itu, Hakim Ariffin mengarahkan Gobind meneruskan soalannya terhadap Sukma.

Gobind: ''Adakah kamu pada bila-bila masa pada 6 hingga 19 September tahun lalu, berjumpa dengan Senior Asisten Komisioner (SAC) 1 Musa Hassan?''

Sukma: ''Ada, Yang Arif, pada 18 September 1998.''

Gobind: ''Apakah tujuan SAC Musa berjumpa kamu?''

Sukma mendakwa SAC Musa berjumpa dengannya untuk memberitahu bahawa dia akan dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun.

Tetapi, katanya, seandainya dia mengaku salah di mahkamah, SAC Musa akan menuduhnya di bawah Seksyen 377D dengan hukuman penjara tiga bulan.

Tertuduh itu mendakwa lagi, SAC Musa menyatakan kepadanya sekiranya dia menggunakan peguam sendiri maka dia akan didakwa di bawah Seksyen 377B dan 377D sekali gus.

Sukma menambah, seandainya dia menggunakan peguam yang beliau (Musa) lantik maka dia akan dituduh di bawah Seksyen 377D dengan hukuman penjara tiga bulan.

Gobind kemudian menyoal semula Sukma berkaitan satu afidavit yang telah diikrarkannya bertarikh 10 Disember tahun lalu.

Gobind: ''Di mana kamu mengikrarkan afidavit kamu?''

Sukma: ''Di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''

Gobind: ''Mengapa kamu di Bukit Aman pada masa itu.''

Sukma: ''Saya di bawah tahanan.''

Gobind bertanya Sukma bahawa pada pemeriksaan balas pendakwa dia menyatakan afidavit itu adalah benar dan tidak banyak perkara yang diberitahu semasa disoal peguam bela pada awalnya.

''Boleh kamu terangkan mengapa?'' soal Gobind.

Sukma: ''Semasa saya berada di Bukit Aman dan membuat afidavit itu kepada peguam saya, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjelaskan secara lebih terperinci tentang apa yang berlaku ke atas diri saya.''

Gobind meminta Sukma merujuk afidavit itu dan kemudian menyoal: ''Di dalam perenggan 15, kamu kata bahawa polis telah katakan kepada kamu bahawa kamu akan dikenakan penjara satu hari dan denda minimum. Tetapi dalam keterangan di mahkamah kamu katakan bahawa SAC Musa beritahu kamu akan dikenakan penjara tiga bulan sila beri penjelasan.''

Sukma: ''Memang betul, SAC Musa beritahu saya penjara tiga bulan. Tetapi peguam Mohd. Noor Don kata bahawa Musa beritahunya penjara satu hari.''

Hakim Ariffin dengan nada meninggi bertanya: ''Mengapa kamu beritahu mahkamah begitu?''

Sukma: ''Sebab Mohd. Noor beritahu saya bahawa Musa beritahu dia yang saya akan dikenakan penjara satu hari.''

Pada peringkat ini, Gobind dengan suara keras seolah-olah mencabar pendakwa untuk memanggil SAC Musa apabila Hakim Ariffin menyatakan perkara itu adalah dengar cakap.

Hakim Ariffin dengan nada meninggi: ''Jika kamu tidak menjaga tingkah laku kamu, saya tidak hairan kamu dikenakan tindakan menghina mahkamah. Jaga tertib dan sopan kamu. Saya sedang bertanya ia dengar cakap. Adakah kamu akan memanggil Musa?'

Gobind: ''Mereka (pendakwa) patut memanggilnya.''

Hakim Ariffin: ''Mengapa mereka?'' Beliau lalu mencatatkan jawapan dalam nota prosiding perbicaraan itu.

Selepas itu, Mohtar bangun menjawab dengan menyatakan bahawa kini di peringkat pembelaan pada bicara dalam perbicaraan.

''Jika mereka tidak memanggil Musa maka perkara itu adalah dengar cakap,'' kata Mohtar.

Gobind cuba menyampuk dengan kata-kata yang keras sekali lagi.

Hakim Ariffin mencelah: ''Beliau (Peguam Negara) hanya memberikan peringatan.''

Dalam soalan selanjutnya, Gobind bertanya Sukma tentang perniagaannya dan bagaimana dia mengumpul harta sedemikian banyak.

Lalu Sukma menjelaskan tentang harta yang diwarisinya.

Gobind: ''Adakah Anwar beri wang untuk beli barang-barang ini?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail segera membantah kerana beranggapan peguam itu cuba membantu saksi memberikan jawapannya.

Hakim Ariffin: ''Teruskan dengan soalan lain. Biarkan perkara ini dihujahkan.''

Gobind meneruskan soalan yang sama: ''Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi wang kepada kamu?''

Hakim Ariffin: ''Apa salahnya jika dia beri wang, adik angkatnya.''

Sukma: 'Ada, Yang Arif.''

Gobind: ''Berapa?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Berapa juta?''

Sukma: ''RM10,000 waktu rumah saya siap.''

Di peringkat itu, Peguam Negara mengadu bahawa beliau mendengar bunyi bising di kandang tertuduh dan kedengaran Anwar seolah-olah merungut-rungut.

Hakim Ariffin segera mengeluarkan larangan terhadap Anwar: ''Jangan buat komen di kandang tertuduh.''

Ketika itu, Pawancheek menoleh ke arah Anwar dan cuba mencatatkan sesuatu yang diperkatakannya.

Hakim Ariffin yang nampak keadaan itu segera menegur: ''Datuk Seri, kamu mempunyai masa untuk memberikan arahan,'' sambil mengingatkan Christopher Fernando yang mengetuai pasukan peguam bela. Fernando tiba pada pertengahan perbicaraan itu.

Hakim Ariffin menegaskan: ''Pawancheek! Jangan mengambil arahan. Saya sedang memerhati kamu bercakap. Dia tidak menghormati saya.''

Anwar dilihat cuba bangun dan kedengaran berkata: ''Tak usah salahkan peguam bela saya, saya yang selalu beri arahan.''

Pada peringkat ini, Hakim Ariffin menangguhkan prosiding hampir 10 minit memandangkan Anwar ingin memberikan arahan kepada peguam belanya dan kemudian meneruskan sidang sesi pagi hingga waktu rehat lebih kurang pukul 12.45 tengah hari.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 06/07/1999

Permohonan Karpal Singh siasat dakwaan ditolak


RAFIE SHAFIE.


KUALA LUMPUR 5 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam Karpal Singh supaya dakwaan seorang peguam bahawa rakannya, seorang pegawai kanan polis pernah dipaksa supaya mengaku mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, disiasat.

Hakim Datuk Ariffin Jaka ketika memutuskan demikian pada pukul 4.50 petang ini berpendapat, mahkamah kini hanya mengambil berat soal sama ada mahu menerima keterangan peguam itu, Mohd. Rafie Mohd. Shafie atau keterangan Asisten Supritendan Zulkifli Mohamed.

Oleh itu tegas beliau, mahkamah tidak akan mengeluarkan sebarang perintah atas permohonan peguam bela Anwar itu supaya dakwaan Mohd. Rafie disiasat.

Sebelum itu, mahkamah mendengar keterangan Mohd. Rafie, 49, saksi pembela ketiga pada bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada percakapan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dibuat secara sukarela atau secara paksaan.

Peguam itu dipanggil sebagai saksi pembela ekoran keterangan Zulkifli (saksi pendakwa keempat) dalam prosiding yang sama pada 24 Jun lalu, menafikan dakwaan beliau pernah menemui peguam itu setelah dipaksa mengaku memukul Anwar.

Dalam permohonannya, Karpal berhujah, keterangan bersumpah Mohd. Rafie memberi kesan yang mendalam kerana tindakan itu jelas menunjukkan adanya cubaan untuk melepaskan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada memikul tanggungjawab mencederakan Anwar.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail berhujah balas bahawa pada peringkat ini tidak timbul isu berkaitan dakwaan Mohd. Rafie kerana sesiapa pun boleh membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Menurut Abdul Gani lagi, Karpal masih berpeluang menimbulkan isu berkenaan dalam perbicaraan terhadap Abdul Rahim yang akan didengar tidak lama lagi.

Bagaimanapun, kata Karpal, mahkamah tidak boleh mengambil mudah keterangan Mohd. Rafie kerana dakwaannya bukan satu isu yang berlainan.

Karpal kemudian bertegas bahawa beliau selaku peguam pemerhati kepada Anwar tetap akan menimbulkan isu itu dalam kes Abdul Rahim.

Sebelum itu, Mohd. Rafie dalam keterangannya mengaku Zulkifli pernah memberitahu, beliau dipaksa memikul tanggungjawab mencederakan Anwar yang ketika itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut Mohd. Rafie, Zulkifli bagaimanapun enggan mengaku kerana beliau tidak terlibat.

Mohd. Rafie menyatakan demikian ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Christopher Fernando yang mewakili Sukma.

Kata Mohd. Rafie, Zulkifli menyatakan demikian dalam satu perbualan ketika mereka bertemu pada hari penyampaian hadiah anak mereka di Sekolah Bukit Bandaraya, Bangsar pada 14 November tahun lalu.

Fernando: ''Apa Zulkifli beritahu kamu tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim?''

Rafie: ''Ketika itu, kami berbincang secara kasual. Kata Zulkifli, beliau disuruh bertanggungjawab atas kecederaan Datuk Seri Anwar. Beliau enggan kerana tidak melakukannya.''

Pada peringkat itu, Abdul Gani membantah keterangan tersebut yang disifatkannya sebagai isu dalam satu perbicaraan lain yang tidak ada kaitan dengan prosiding bicara dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, tegas Fernando, keterangan Mohd. Rafie jelas membuktikan tindakan pihak tertentu yang memaksa seorang pegawai kanan polis mereka-reka keterangan.

Menurut Fernando lagi, keterangan itu relevan untuk menunjukkan kredibiliti Zulkifli yang mengaku kononnya beliau tidak mengenali peguam itu sedangkan anak mereka adalah rakan sekelas di sekolah yang sama.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin membenarkan Fernando meneruskan soalannya dalam pemeriksaan utama itu.

Menurut Mohd. Rafie lagi, ketika saling bertukar-tukar kad nama, Zulkifli menyatakan bahawa beliau akan menemuinya jika ada perkembangan lanjut berhubung kes kecederaan Anwar.

Sebelum itu, ketika disoal oleh Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma, Mohd. Rafie mengaku mengenali Zulkifli secara peribadi sejak empat tahun lalu.

Mohd. Rafie ketika disoal oleh Fernando memberitahu, salah seorang anaknya adalah rakan sekelas anak Zulkifli selama enam tahun manakala pegawai kanan polis itu pernah menghantar anaknya ke rumah beliau untuk menyiapkan projek sekolah.

Pada satu peringkat lain, Abdul Gani memohon untuk menangguhkan pemeriksaan balas terhadap Mohd. Rafie sehingga esok bagi memberi peluang pihak pendakwa mendapat pengesahan daripada Zulkifli atas dakwaan yang dibuat terhadap beliau.

Menurut Abdul Gani, jika benar seperti yang didakwa oleh Mohd. Rafie, satu laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin Jaka ketika memerintahkan supaya Abdul Gani meneruskan pemeriksaan balas berkata, keterangan Mohd. Rafie boleh membantu mahkamah menentukan kredibiliti saksi.

Menjawab soalan Abdul Gani, Mohd. Rafie menyatakan bahawa pertemuannya dengan Zulkifli sekeluarga di Hospital Pantai, di sini bukan secara kebetulan kerana pegawai kanan polis itu melawat anaknya (Mohd. Rafie) yang sedang sakit.

Sebelum itu, mahkamah juga mendengar keterangan kakak Sukma, Komalawati Sasmitaat Madja, 48, saksi kedua pembela.

Komalawati berkata, pegawai penyiasat kes, Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan pernah melarangnya menemui Sukma selepas dia ditangkap kerana adiknya itu masih disiasat.

Menurut Komalawati, selepas ditahan pada 6 September tahun lalu, dia tidak pernah mendapat panggilan telefon daripada Sukma.

Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 07/07/1999

Mahkamah tolak kesimpulan pakar forensik


DR. ZAHARI NOOR.


KUALA LUMPUR 6 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak kesimpulan yang dikemukakan oleh seorang pakar forensik, Dr. Zahari Noor, berhubung hasil pemeriksaan perubatan terhadap tertuduh, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Hakim Datuk Ariffin Jaka ketika memutuskan demikian berpendapat, keterangan Dr. Zahari ekoran daripada soalan yang dikemukakan oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma berhubung kesimpulan terhadap pemeriksaan itu sebagai tidak relevan.

Sebelum itu pakar dari Unit Forensik, Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu memberitahu, hasil pemeriksaan terhadap aktiviti liwat mendapati tidak ada sebarang kecederaan pada badan mahupun bahagian sulit Sukma.

Dr. Zahari berkata, pemeriksaan pada 9 September tahun lalu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dijalankan atas arahan Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berdasarkan laporan polis Dang Wangi 14140/98.

Pada peringkat itu, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, mengemukakan bantahan berhubung soalan yang ditimbulkan oleh Gobind berhubung kesimpulan pemeriksaan Dr. Zahari.

Mohtar membantah dengan alasan kesimpulan tersebut tidak ada kena- mengena dengan prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan pengakuan Sukma dibuat secara sukarela atau dengan paksaan.

Bagaimanapun Gobind bertegas bahawa kesimpulan hasil pemeriksaan itu adalah penting kerana ia membuktikan tiada aktiviti homoseksual terhadap Sukma.

Hakim Ariffin Jaka kemudian mengeluarkan perintah bahawa soalan yang ditimbulkan berhubung penemuan Dr. Zahari adalah tidak relevan kerana Sukma bukanlah mangsa dalam perbicaraan ini.

Dalam perbicaraan utama, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, juga dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Ketika Dr. Zahari mula memberi keterangan pada sesi petang sebagai saksi pembela kelima, Mohtar mengemukakan bantahan supaya Gobind menjelaskan soalannya kepada Dr. Zahari berhubung pemeriksaan dijalankan berkaitan kes liwat.

Menurut Mohtar, Sukma kini dibicarakan atas tuduhan meliwat Azizan manakala keterangan Dr. Zahari berhubung aktiviti liwat terhadap Sukma adalah satu kes yang lain.

Mohtar berhujah, aktiviti homoseksual merangkumi banyak makna sama ada meliwat atau membenarkan dirinya diliwat.

Gobind berhujah, keterangan Dr. Zahari adalah untuk menguji kredibiliti Mohd. Rodwan yang sebelum ini menyatakan bahawa Dr. Zahari tidak pernah memberitahunya mengenai kesimpulan kepada pemeriksaan itu.

Hakim Ariffin sebelum membenarkan Gobind meneruskan soalannya dalam pemeriksaan utama, sempat menegur kedua-dua belah pihak supaya jangan menjadikan mahkamah sebagai pentas untuk berdebat.

Dr. Zahari kemudian menjawab bahawa beliau pernah memaklumkan kepada Mohd. Rodwan kesimpulan pemeriksaan pada hari yang sama.

Menurut Dr. Zahari pemeriksaan itu turut disaksikan oleh Mohd. Rodwan dan seorang doktor lain.

Dr. Zahari memberitahu, selain pemeriksaan forensik di bahagian kemaluan dan duburnya, beliau juga menjalankan pemeriksaan am terhadap Sukma bagi melihat sebarang kecederaan atau tanda-tanda fizikal serangan penyakit.

Beliau juga mengambil contoh darah, rambut dan bulu kemaluan serta merakam gambar bahagian sulitnya.

Ketika ditanya oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, Dr. Zahari bersetuju bahawa pemeriksaan berdasarkan laporan polis itu adalah berkaitan siasatan dakwaan Sukma diliwat.

Ketika pemeriksaan balas, Dr. Zahari menafikan cadangan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, bahawa beliau tidak layak untuk menjalankan pemeriksaan forensik terhadap Sukma.

Abdul Gani sebelum itu menyatakan bahawa Sukma tidak layak diperiksa oleh Dr. Zahari kerana pemeriksaan tersebut hanya boleh dijalankan oleh pakar (klinikal) forensik.

Bagaimanapun, Dr. Zahari menjawab bahawa jawatan yang didakwa oleh Abdul Gani itu sebenarnya tidak wujud kerana semua pakar forensik juga adalah pakar (klinikal) forensik.

Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 07/07/1999

Saya dilarang jumpa Sukma - Peguam


K. GANESAN.


KUALA LUMPUR 6 Julai - Peguam, K. Ganesan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau mencuba sebanyak enam kali untuk berjumpa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada bulan September tahun lalu.

Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkannya kepada kakak Sukma, Komalawati Sasmitaat Madja, yang kemudian melantiknya mewakili Sukma.

Sebagai usaha menemui Sukma, kata Ganesan, beliau telah menulis surat kepada pihak polis dan juga Jabatan Peguam Negara.

Tetapi usaha itu tidak berjaya kerana polis memberikan alasan bahawa Sukma sedang disiasat, katanya.

Ganesan, 35, saksi keempat pihak pembela memberitahu demikian dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Dalam kes itu, Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Sebelum keterangan Ganesan didengar, peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo, memberitahu Hakim Datuk Ariffin Jaka bahawa M. Puravalen hadir sebagai peguam pemerhati bagi saksi itu.

Sidang bermula pukul 10.20 pagi ini dan perbicaraan utama Anwar masuk hari ke-18.

Ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Ganesan memberitahu bahawa beliau dilantik mewakili Sukma pada 6 September tahun lalu.

Gobind: ''Masa itu kamu tahu di mana Sukma berada?''

Ganesan: ''Tidak.''

Gobind: ''Selepas itu adakah kamu tahu di mana Sukma?''

Ganesan: ''Ya, Yang Arif, pada 7 September, saya dapat tahu dia berada di Bukit Aman.''

Gobind: ''Adakah kamu buat apa-apa percubaan untuk menemuinya?''

Ganesan: ''Ada, Yang Arif, pada hari itu saya menulis surat kepada Ketua Polis Negara memohon mengetahui sama ada Sukma ditahan oleh polis.''

Gobind: ''Dalam surat itu adakah kamu beritahu kamu mewakili Sukma?''

Ganesan: ''Saya nyatakan, kakak Sukma memberitahu saya Sukma ditahan pada 6 September lebih kurang 1.30 petang di Pusat Membeli-Belah Lot 10.''

Saksi itu menambah, beliau hanya ingin memastikan Sukma ditahan oleh polis.

Gobind: ''Selepas surat ini adakah kamu buat apa-apa percubaan lain untuk temui Sukma?''

Ganesan: ''Yang Arif, pada petang hari yang sama, saya dihubungi oleh Azlan, rakan perniagaan Sukma. Kata Azlan, dia dihubungi Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof supaya membawa pakaian untuk Sukma.''

Gobind: ''Kamu katakan usaha kamu tidak berjaya. Apakah alasan pihak polis dan Peguam Negara tidak membenarkan kamu berjumpa Sukma?'

Ganesan: ''Kata mereka, siasatan sedang dijalankan.''

Gobind: ''Selepas itu, adakah Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan dan ASP Rodwan menghubungi kamu?''

Ganesan: ''Ada Yang Arif.''

Gobind: ''Untuk apa?''

Ganesan: ''Pada 14 September 1998, ASP Rodwan telah memanggil saya ke pejabatnya kerana hendak merekodkan kenyataan saya. Saya juga dihubungi oleh SAC Musa mengenai perkara yang sama.''

Gobind: ''Adakah SAC Musa beritahu perkara yang lain?''

Ganesan: ''Beliau suruh saya menemuinya.''

Gobind: ''Sukma telah didakwa di mahkamah (atas tuduhan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar) pada 19 September tahun lalu.''

Ganesan: ''Ya.''

Gobind: ''Adakah sebelum ini SAC Musa atau ASP Rodwan menghubungi kamu mengenai perkara ini?''

Ganesan: ''Tidak Yang Arif.''

Selepas itu, Christopher Fernando mengambil giliran menyoal balas Ganesan.

Fernando: ''Berapa jam kamu di Bukit Aman dalam percubaan berjumpa Sukma?''

Ganesan: ''Saya tak dapat menyatakan dengan tepat berapa jam. Saya habiskan masa dua jam dalam setiap pertemuan dengan polis.''

Fernando: ''Berapa kali kamu cuba pergi ke Bukit Aman?''

Ganesan: ''Saya rasa lebih kurang enam kali. Tiga kali semata-mata berjumpa Sukma dan tiga lagi membuat kenyataan kepada polis.''

Fernando: ''Adakah SAC Musa dan ASP Rodwan tahu kamu dilantik sebagai peguam untuk Sukma.''

Ganesan: ''Ya.''

Fernando: ''Adakah salah seorang daripada mereka menghubungi kamu untuk memberitahu bahawa Sukma akan didakwa di mahkamah pada 19 September tahun lalu?''

Ganesan: ''Tidak sekali-kali.''

Karpal Singh yang juga peguam bela Anwar menyambung menyoal balas Ganesan.

Karpal: ''Dalam tempoh 7 hingga 9 September, adakah polis dan Jabatan Peguam Negara menerima kamu sebagai peguam yang mewakili Sukma?''

Ganesan: ''Ya, saya faham begitulah.''

Menjawab satu soalan lain, Ganesan berkata, beliau telah menulis surat kepada polis untuk membawa balik sebuah kereta Sukma yang berada di Bukit Aman.

Menurut beliau, pada 10 September, kereta itu diserahkan kepada Rahim Azlan (rakan perniagaan Sukma).

Karpal: ''Pada 19 September, adakah kamu menerima panggilan telefon daripada seorang peguam bernama Mohd. Noor Don?''

Ganesan: ''Ya.''

Karpal: ''Apa yang kamu bualkan dengannya?''

Ganesan: ''Beliau memperkenalkan diri daripada firma guaman Mohd. Noor dan Rakan-Rakan. Beliau katakan bahawa Sukma melantiknya untuk mengendalikan kesnya. Dan selepas itu talian telefon terputus.''

Karpal: ''Adakah kamu menelefonnya?''

Kata Ganesan, beliau cuba menghubunginya semula kerana ingin tahu bagaimana Mohd. Noor dapat mengendalikan kes Sukma.''

Karpal: ''Apakah jawapannya?''

Ganesan: ''Kata Mohd. Noor, Sukma telah menelefonnya pada malam sebelumnya dan nampaknya Sukma tidak mengenali saya lalu ingin melantik Mohd. Noor menjadi peguamnya.''

Ketika disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Ganesan berkata, beliau menerima surat jawapan dari Jabatan Peguam Negara bertarikh 12 September 1998 yang menyatakan Sukma masih di dalam siasatan polis dan permohonannya berjumpa Sukma di bawah bidang kuasa polis.

Gani: ''Di antara 6 hingga 19 September itu, adakah kamu pernah memberitahu polis secara lisan bahawa Zulkifli Noordin juga peguam mewakili Sukma?''

Ganesan: ''Tidak.''

Gani: ''Siapa yang melantik kamu mewakili Sukma?''

Ganesan: ''Komalawati, kakak Sukma.''

Gani: ''Siapa yang kenalkan kamu kepada Komalawati?''

Ganesan: ''Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Gani: ''Bila dan di mana?''

Ganesan: ''Di rumah Anwar pada 6 September, lebih kurang pukul 2 atau 2.30 petang.''

Gani: ''Bersetuju atau tidak bahawa Komalawati katakan kepada kamu bahawa Sukma telah ditangkap oleh polis pada hari itu?'

Ganesan: ''Benar.''

Gani: ''Bersetuju atau tidak bahawa Komalawati menyatakan kepada kamu beliau telah dibawa dalam kereta berasingan oleh polis?''

Ganesan: ''Setuju Yang Arif.''

Gani: ''Bersetuju dengan saya bahawa selepas itu Komalawati diturunkan di satu tempat kerana beliau ingin mengambil teksi untuk pergi ke rumah Datuk Seri Anwar?''

Ganesan: ''Tidak setuju.''

Apabila soalan itu diulang, Ganesan berkata, apa yang beliau faham pendakwa menyatakan Komalawati yang 'mahu ambil teksi'.

Di peringkat ini, Hakim Ariffin mencelah dengan menyatakan bahawa jawapan bagi soalan itu tiada bezanya.

Menjawab soalan lain, Ganesan berkata, beliau dipanggil ASP Rodwan pergi ke Bukit Aman membuat kenyataan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Ganesan bersetuju dengan pendakwa bahawa ia berhubung laporan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah.

Sebelum mengakhiri soalan balasnya, Gani bertanya: ''Adakah kamu bila-bila masa membuat laporan atau aduan kepada Majlis Peguam tentang apa yang berlaku di antara kamu dengan Mohd. Noor Don pada 19 September dan selepas itu?''

Ganesan: ''Tidak.''

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/07/1999

Hakim nasihat peguam bela jangan panas baran

KUALA LUMPUR 7 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, hari ini menasihatkan peguam bela, Jagdeep Singh Deo supaya bertenang dan jangan 'panas baran' ketika menyoal balas saksi dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Ariffin memberi nasihat itu sebelum beliau menangguhkan perbicaraan kira-kira 12 minit bagi membolehkan Jagdeep bertenang dan meneruskan pemeriksaan balas terhadap pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan.

Suasana tegang tercetus di antara peguam bela itu dengan Musa apabila Jagdeep menyatakan saksi itu bercakap bohong dalam jawapannya.

Hakim Ariffin dengan nada lembut berkata: ''Kamu boleh menghujah. Jangan cepat marah. Saya yang akan menilainya. Jika kamu ingin tangguh sekejap, beritahulah saya. Jangan panas baran.''

Jagdeep memeriksa balas Musa pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pada peringkat soalan balas itu, Jagdeep selaku peguam bela Sukma bertanya: ''Sebagai pegawai penyiasat kes ini, adakah kamu setuju atau tidak bahawa kamu telah pun tahu tentang kandungan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh sebelum Sukma ditahan?''

Musa: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Kamu langsung tidak tahu tohmahan kegiatan homoseksual kedua-dua tertuduh? Kamu pasti atau tidak tohmahan-tohmahan ini terhadap kedua-dua tertuduh dalam pertuduhan sebelum mereka ditahan?''

Musa: ''Tohmahan berkaitan tuduhan dalam kes ini pada masa itu saya tidak tahu lagi.''

Jagdeep: ''Kamu setuju atau tidak bahawa laporan polis melalui Balai Dang Wangi berkenaan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM?''

Musa: ''Benar Yang Arif, berkaitan buku 50 Dalil.''

Jagdeep menyoal dengan begitu cepat: ''Kamu bersetuju bahawa buku ini mengandungi bermacam fitnah. (Dengan nada keras), setuju atau tidak?''

Hakim Ariffin yang tidak sempat mencatat soalan itu segera menegur: ''Saya sedang menulis..., tolong beri peluang. Baru sikit sudah bising (marah). Jangan bising, apa yang saya hendak tulis. ... terhadap siapa, soalan ini tergantung.''

Jagdeep dengan nada marah menyampuk: ''...terhadap kedua-dua tertuduh.''

Musa kedengaran menjawab: ''Ia berunsur fitnah tetapi perkaranya belum siasat.''

Hakim Ariffin meminta Musa jawab apa yang disoal: ''Setuju atau tidak?''

Musa menyatakan ia tohmahan umum.

Jagdeep: ''Adakah tohmahan itu antara lain ialah tohmahan homoseksual yang dilakukan oleh Sukma?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Kamu tahu tentang buku ini sebelum 1998?''

Musa: ''Benar, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Kalau itu benar maka kamu bohong.''

Di peringkat ini, Hakim Ariffin menghentikan prosiding sebentar untuk menenteramkan peguam bela tersebut.

----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/07/1999

Musa nafi paksa Sukma


MUSA HASSAN.


KUALA LUMPUR 7 Julai - Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mengaturkan melalui telefon untuk Sukma Darmawan Sasmitaat Madja melantik peguam Mohd. Noor Don mengendalikan satu kesnya di Mahkamah Sesyen, September tahun lalu.

Musa menafikan ketika menjawab soalan balas pihak pembela yang menyatakan beliau memaksa Sukma melantik Mohd. Noor menjadi peguam bela berhubung kes tersebut.

Beliau menyatakan demikian ketika dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwa pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menyangkal dakwaan menggunakan ugutan, pujukan dan paksaan terhadap Sukma sebelum dia membuat pengakuannya dalam kes berkenaan.

Prosiding bicara dalam perbicaraan itu dijalankan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti pada perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-19 hari ini.

Sidang bermula lebih kurang pukul 9.15 pagi ini. Sebelum meneruskan prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Hakim Datuk Ariffin Jaka mengumumkan bahawa mahkamah hanya bersidang pada sesi sebelah pagi sahaja dan tidak ada sesi petang hari ini.

Sejurus itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad memohon izin memanggil Musa memberi keterangan sebagai saksi untuk menyangkal dakwaan pihak pembela.

Musa, 47, menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, merupakan pegawai penyiasat kes Anwar dan Sukma itu.

Dalam pemeriksaan utama, Azahar menyoal: ''Adakah kamu berjumpa dengan seorang bernama Sukma, pada pukul 9.30 pagi, 18 September tahun lalu?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, saya ada berjumpa Sukma.''

Azahar: ''Adakah Sukma hadir di mahkamah hari ini?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, dia hadir di mahkamah hari ini dan duduk di kandang tertuduh (sebelah kiri Anwar). Dia adalah tertuduh kedua (Sukma).''

Azahar: ''Di mana awak berjumpa Sukma?''

Musa: ''Saya berjumpa Sukma di sebuah bilik di cawangan D9 (jenayah berat), di Bukit Aman.''

Azahar: ''Semasa awak berjumpa dengan Sukma pada masa itu, adakah awak maklumkan apa-apa kepadanya?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, saya telah memberitahu Sukma bahawa saya ingin menuduh (mendakwa) dia di mahkamah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.''

Azahar: ''Adakah awak memaklumkan apa-apa lagi pada Sukma pada masa itu?''

Musa: ''Apabila Sukma bertanya pada saya...''

Di peringkat itu, Karpal Singh selaku salah seorang peguam bela Anwar bangun membantah atas alasan bahawa tiada keterangan yang pernah menyatakan polis memberikan sebarang peringatan kepada tertuduh itu sebelum buat kenyataan.

Hakim Ariffin segera mengingatkan Azahar supaya berhati-hati sewaktu membuat soalan.

Azahar akur dan meneruskan soalannya: ''Apa lagi yang kamu maklumkan kepada Sukma?''

Serentak itu, Hakim Ariffin mencatatkan dalam notanya bahawa Karpal mengemukakan bantahan terhadap jawapan saksi berhubung kata-kata tertuduh tidak boleh dimasukkan sebagai keterangan jika ia jawapan melibatkan Sukma.

Hakim Ariffin juga mengingatkan Musa supaya berhati-hati ketika menjawab soalan tentang apa yang dinyatakan oleh Sukma kecuali amaran telah diberikan kepada tertuduh itu mengikut peruntukan Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah.

Azahar: ''Musa, saya ingin ingatkan, beritahu apa yang kamu kata kepada Sukma dan bukan apa yang tertuduh itu katakan (jawab).''

Musa: ''Saya beritahu kepada Sukma selanjutnya bahawa saya tidak tahu apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh mahkamah sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen tersebut.''

Azahar: ''Semasa perjumpaan itu adakah kamu merujukkan kepada Sukma mengenai apa-apa surat?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, saya ada merujukkan kepada Sukma mengenai surat peguam K. Ganesan.''

Azahar: ''Apakah surat yang kamu tunjukkan kepada Sukma?''

Musa: ''Surat bertarikh 10 September 1998, dialamatkan kepada Peguam Negara.''

Saksi itu kemudian diminta menunjukkan salinan asal surat tersebut kepada mahkamah.

Azahar: ''Saya bercadang untuk mengemukakan surat ini kepada mahkamah dan ditandakan sebagai satu daripada dokumen pendakwa pada bicara dalam perbicaraan.''

Hakim Ariffin mencatatkan dalam notanya bahawa permohonan pendakwa itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pendakwa raya itu meneruskan soalannya: ''Semasa awak menunjukkan kepada Sukma surat itu, adakah awak maklumkan apa-apa lagi?''

Musa: ''Saya beritahu Sukma sama ada dia ingin melantik Ganesan sebagai peguam belanya.''

Azahar: ''Apa tindakan awak selanjutnya?''

Musa: ''Seterusnya saya menunjukkan beberapa kad nama peguam untuk dia pilih bagi mewakilinya.''

Azahar: ''Apa tindakan awak seterusnya?''

Musa menjawab: ''Pilihan yang dibuat adalah peguam Mohd. Noor Don.''

Di peringkat ini, Karpal sekali lagi membantah dengan alasan ia menunjukkan keadaan perilaku tertuduh.

Azahar mengingatkan Musa: ''Jangan beritahu tentang perilaku tertuduh. Apa berlaku seterusnya.''

Musa: ''Pada hari yang sama, pukul 4.30 petang, saya telah mengaturkan untuk Sukma menghubungi peguam Mohd. Noor.''

Azahar: ''Mengatur tertuduh dengan cara apa?''

Musa: ''Dengan telefon...''

Karpal bangun membantah lagi dengan alasan yang serupa.

Azahar berhujah bahawa Seksyen 113 memperkatakan sesuatu secara lisan.

Hakim Ariffin bagaimana pun berpendapat bahawa sebaik sahaja tertuduh bercakap maka ia menjadi satu kenyataan.

Azahar memberikan hujahnya bahawa beliau menyoal mengenai 'mengatur dengan cara apa'.

Hakim Ariffin: ''Ya, tanya tentang 'mengatur' itu sudah cukup adil. Jadi, soalannya...?''

Azahar: ''Soalannya, mengatur dengan cara apa?''

Hakim Ariffin mengingatkan Musa supaya berhati-hati ketika menjawab. Beliau sambil menyoal: ''Mengatur dengan cara apa?''

Musa: ''Melalui telefon.''

Hakim Ariffin : ''Siapa yang hubungi peguam Mohd. Noor?''

Musa menjawab: ''Melalui telefon.''

Azahar: ''Selepas itu adakah Mohd. Noor datang berjumpa dengan Sukma?''

Musa: ''Ya, Yang Arif. Mohd. Noor datang berjumpa dengan Sukma di Bukit Aman.

Azahar: ''Adakah awak pada bila-bila masa memaksa Sukma untuk melantik Mohd. Noor sebagai peguamnya?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif, saya tidak pada bila-bila masa memaksa Sukma untuk melantik peguam Mohd. Noor Don.''

Azahar: ''Adakah awak pada bila-bila masa menyatakan pada Sukma bahawa jika dia melantik peguam sendiri atau daripada keluarga maka tertuduh itu akan didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Azahar: ''Adakah awak pada bila-bila masa menyatakan kepada Sukma jika dia menggunakan peguam yang dilantik oleh awak dan dia mengaku salah, dia hanya akan dituduh di bawah Seksyen 377D dan akan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan sahaja?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Menjawab satu soalan lain, Musa memberitahu bahawa beliau menerima laporan pakar forensik, Dr. Zahari Noor, yang memeriksa Sukma selepas doktor berkenaan memberi keterangannya dalam perbicaraan kes Anwar yang terdahulu atas tuduhan rasuah.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/07/1999

Kawalan ketat halang adakan perbincangan sulit

KUALA LUMPUR 8 Julai - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, kawalan ketat pegawai penjara telah menghalang peguam dari berbicara perkara sulit dengan Anwar.

Karpal Singh yang bertindak sebagai salah seorang peguam bela Anwar membangkitkan perkara itu sejurus selepas sidang berhenti rehat kira-ira pukul 11.10 pagi ini.

Dalam aduan lisannya, Karpal memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini terdapat dua orang pegawai kanan penjara, Ahmad Jaafar dan Sabri, yang mengarahkan supaya mengenakan kawalan ketat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

''Semasa sidang rehat kami merasa sukar untuk berhubung secara profesional dan berbual perkara sulit kerana para pegawai penjara ini sentiasa berada di sebelah Anwar,'' kata Karpal.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin menangguhkan sidang dan mengarahkan Karpal dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdulah yang mengetuai pasukan pendakwaan menemui beliau di kamarnya.

------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/07/1999

'Sukma seorang penakut'

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau bersetuju dengan pandangan pihak pembela bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja adalah seorang penakut (timid person).

Bagaimanapun, Musa berkata, ia adalah tanggapan satu-satu individu tersebut.

Karpal Singh selaku peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim menyoal Musa dengan menyatakan seorang penakut adalah mudah break down (terganggu jiwa).

Musa menjawab: ''Kemungkinan besar.''

Beliau menyatakan jawapan itu ketika disoal balas Karpal pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada dia memberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-20 hari ini.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Musa, 47, dipanggil sebagai saksi pendakwa untuk menyangkal dakwaan Sukma yang menyatakan dia dipaksa, diugut, dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuan tersebut.

Karpal mengambil alih menyoal balas Musa pada sidang bermula pukul 9.15 sesi pagi ini.

Ketika menjawab soalan Karpal, Musa memberitahu bahawa beliau menjadi pegawai penyiasat sejak laporan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali, berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh jadi PM pada 9 Jun tahun lalu.

Karpal: ''Selepas penyiasatan itu adakah kamu membuat laporan bahawa Sukma patut didakwa?''

Musa: ''Ya.''

Karpal: ''Semasa dalam penyiasatan adakah kamu meneliti fail sebelum membuat cadangan dakwaan terhadap Sukma?''

Musa: ''Ya.''

Karpal: ''Kami mempunyai bukti bahawa Sukma telah menjalani penyiasatan selama 80 jam. Adakah kamu menyedarinya?''

Musa: ''Tidak.''

Karpal: ''Adakah kamu berjumpa dengan Sukma semasa dia ditempatkan dalam tahanan di Bukit Aman?''

Musa: ''Ya.''

Karpal: ''Adakah kamu bersetuju bahawa Sukma ialah 'timid person'?''

Musa: ''Ya.''

Karpal: ''Adakah kamu bersetuju pada pandangan kamu sebagai pegawai polis untuk menyatakan demikian.''

Musa: ''Ia bergantung pada tanggapan satu-satu individu itu.''

Karpal: ''Seorang yang timid mudah mengalami break down?''

Musa: ''Berkemungkinan besar.''

Sebelum itu Karpal menyoal Musa berkisar kelayakannya sebagai pegawai polis yang kini berpangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC1) .

Karpal: ''Dalam tahun 1997, apa pangkat kamu?''

Musa: ''Pangkat saya ialah SAC II.''

Karpal: ''Adakah betul jika saya katakan dari pangkat SAC II, kamu melompat kepada SAC 1?''

Hakim Datuk Ariffin Jaka segera mencelah: ''Apa yang kamu maksudkan?''

Karpal: ''Kenaikan pangkat yang begitu cepat.''

Musa: ''Saya dinaikkan pangkat SAC 1 lebih kurang setahun pada 1998.''

Karpal: ''Adakah kamu mempunyai kelulusan bidang undang-undang untuk melayakkan diri sebagai peguam?''

Musa: ''Saya mempunyai Diploma Undang-undang.''

Karpal: ''Tetapi kamu mempunyai Diploma Lanjutan dalam Undang-Undang.'

Musa: ''Saya lulus Diploma Lanjutan Undang-Undang dari University of Wales. Saya pun tak kisah.'' Di peringkat ini, hadirin di ruang galeri kedengaran tergelak.

Sebelum meneruskan soalan, Karpal berkata: ''Ini adalah untuk melaksanakan keadilan.'' Beliau lalu menyoal: ''Adakah kamu tahu peruntukan di bawah Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/07/1999

Saksi nafi ugut upah orang tembak tertuduh


MUSA Hassan (kanan) bersama Mohd. Rodwan Yusof ketika menaiki kereta selepas perbicaraan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 8 Julai - Ketua pasukan teknikal yang menyiasat Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau pernah mengugut untuk mengupah orang menembak tertuduh jika dia enggan bekerjasama dalam penyiasatan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cif Inspektor Sampornak Ismail, 43, ketika menyangkal dakwaan Sukma berkata, beliau tidak pernah memaklumkan bahawa polis mampu melakukannya tanpa pengetahuan sesiapapun.

Pegawai penyiasat dari Cawangan Bantuan Teknik (D6), Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu juga menafikan beliau pernah menggertak Sukma bahawa polis boleh meletakkan peluru berharga 45 sen sebutir dalam keretanya.

Sebelum itu, Sampornak memberitahu, Sukma disiasat hanya pada waktu pejabat bermula 8 September hingga 15 September tahun lalu di bilik mesyuarat D6.

Menurut Sampornak, beliau tidak pernah mengugut Sukma bahawa dia boleh dikenakan tuduhan seperti yang dihadapi oleh Datuk S. Nallakaruppan.

Beliau juga menafikan pernah menakut-nakutkan Sukma bahawa dia boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun dan tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan.

Oleh itu, Sampornak menyangkal dakwaan bahawa beliau dan lima anggota pasukannya pernah memaksa Sukma mengaku menjalin hubungan homoseksual dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sampornak menyatakan demikian ketika dipanggil sebagai saksi pendakwa yang kedua untuk menyangkal di sidang sesi petang pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan pengakuan Sukma dibuat secara sukarela atau sebalik.

Dalam perbicaraan utama, Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, juga dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, atas dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Pada soalan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamad, Sampornak menjawab, sebelum soal siasat, Sukma telah diminta membuka seluruh pakaian untuk pemeriksaan fizikal sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuhnya.

Menurut pegawai polis itu, setelah mengesahkan tidak ada sebarang kesan kecederaan, beliau kemudian meminta Sukma menyarungkan semula baju dan seluarnya.

Sampornak berkata, arahan supaya setiap tahanan menanggalkan pakaian sebelum soal siasat adalah prosedur biasa.

Ketika ditanya oleh Azahar, Sampornak berkata pasukan penyiasat itu tidak pernah mengarahkan Sukma berbogel sepanjang soal siasat kerana ketika itu Sukma berseluar dan berbaju lengan panjang.

Pada satu peringkat, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu, pihaknya mungkin menimbangkan untuk membawa ke mahkamah sebuah kerusi yang diduduki oleh Sukma ketika sesi soal siasat.

Mohtar menimbulkan cadangan itu ketika Sampornak menghadapi sedikit kesukaran untuk menggambarkan bentuk kerusi tersebut.

Sebelum itu, Sampornak ketika menjawab soalan Azahar menyatakan pasukannya tidak pernah menendang kerusi yang diduduki oleh Sukma sehingga dia terjatuh.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma, Sampornak menjawab beliau tidak pernah diarah mendapatkan pengakuan daripada tertuduh ketika soal siasat.

Bagaimanapun saksi itu bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa beliau terlebih dahulu telah mengetahui maklumat berkaitan hubungan homoseksual yang sepatutnya beliau peroleh semasa siasatan.

Gobind mengemukakan cadangan itu setelah Sampornak mengaku bahawa Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof pernah memberinya salinan dua muka surat yang dipetik daripada buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM sebelum memulakan siasatan.

Sampornak setuju petikan itu adalah mengenai tohmahan Sukma mengadakan hubungan homoseksual dengan seseorang yang namanya disebut sebagai 'Azizan'.

Perbicaraan bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/07/1999

Kali pertama pasukan teknikal siasat VIP

KUALA LUMPUR 9 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu inilah kali pertama pasukan teknikal polis menyiasat kes orang kenamaan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan buku, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Cif Inspektor Sampornak Ismail yang mengetuai pasukan penyiasat itu berkata, beliau telah diberikan petikan dua helai muka surat buku tersebut oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof untuk rujukan sebelum menyoal siasat Sukma.

Menurut Sampornak, beliau melaksanakan tugasnya dengan anggota pasukan penyiasat lain mengikut peruntukan di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis.

Seksyen 3 (3) itu berbunyi: ''Tertakluk kepada akta ini, keanggotaan pasukan polis hendaklah diguna khidmat di dalam dan di seluruh Malaysia (termasuk perairan wilayahnya) bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.

Sampornak, 43, memberitahu demikian pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma bahawa dia membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar dibuat secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti pada perbicaraan utama Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, di sini.

Sampornak dipanggil sebagai saksi pendakwa yang kedua untuk menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuan itu.

Sukma membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil yang bertindak selaku majistret pada 17 September tahun lalu.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-21 hari ini.

Prosiding bicara dalam perbicaraan itu bermula pukul 10.12 pagi ini.

Sebelum itu, pada pukul 9.08 pagi, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bersama Karpal Singh selaku peguam bela Anwar dan dua peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo dilihat masuk menemui Hakim Datuk Ariffin Jaka di kamar beliau.

Mereka keluar pada pukul 10.05 pagi dan sejurus itu sidang dimulakan.

Gani memaklumkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah tidak hadir hari ini kerana mempunyai urusan penting.

Gobind yang mengambil alih menyoal balas Sampornak lalu bertanya: ''Sejak bila kamu menyertai pasukan polis?''

Sampornak: ''Sejak tahun 1976.''

Gobind: ''Kamu biasa siasat kes-kes jenayah?''

Sampornak: ''Biasa, Yang Arif.''

Gobind: ''Kamu setuju bahawa kes ini antara kes the most high profile case that you have investigated?''

Sampornak: ''Saya tak faham apa makna high profile.''

Gobind menerangkan dalam bahasa Inggeris: ''It is a big matter involving big man, faham?'' Beliau lalu menjelaskan dalam bahasa Melayu: ''High profile adalah suatu kes serius dan melibatkan orang-orang ternama.''

Sampornak: ''Sekarang saya faham apa makna high profile.''

Gobind: ''Jadi kamu setuju ini adalah kes high profile yang kamu siasat?''

Sampornak: ''Setuju, Yang Arif.''

Gobind mengulang pertanyaan: ''Kamu kata kamu setuju soal siasat melibatkan orang ternama?''

Sampornak: ''Setuju.''

Gobind: ''Kamu kata siasatan ini berasaskan buku 50 Dalil. Siapakah yang dimaksudkan dalam petikan itu, siapakah namanya di dalam buku itu. Sekarang boleh beritahu namanya?''

Sampornak: ''Sekarang saya tahu nama orang ternama itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum soal siasat saya tidak tahu.''

Gobind: ''Adakah kamu bercakap benar di mahkamah ini?''

Sampornak: ''Benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Petikan itu tidak menyebut Anwar?''

Sampornak: ''Saya tidak tahu.''

Gobind: ''Adakah kamu setuju inilah kali pertama awak menyiasat kes melibatkan Anwar Ibrahim?''

Sampornak: ''Benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Dan kamu setuju bahawa Anwar bukan orang biasa dan dia adalah bekas Timbalan Perdana Menteri?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Ia bukan isu di sini.''

Gobind segera menyampuk: ''Soalan ini untuk menguji kredibiliti saksi.''

Hakim Ariffin lalu mencatatkan dalam nota prosiding soalan berbunyi: ''Adakah awak setuju Anwar bukan orang biasa tetapi merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri.''

Sampornak: ''Ya, Yang Arif.''

Selanjutnya Gobind menyoal: ''Semasa menyoal siasat, adakah awak sentiasa menghubungi pegawai penyiasat dalam kes ini?''

Sampornak: ''Hanya dua kali saya berjumpa dengan pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan?''

Gobind: ''Kamu tidak dihubungi oleh Rodwan?''

Sampornak: ''Tidak, Rodwan yang datang berjumpa saya di bilik soal siasat.''

Gobind: ''Kamu kata menyoal siasat Sukma bermula pada 7 September. Kamu menyuruh dia menanggalkan pakaian, adakah itu satu prosedur. Prosedur mana yang menghendaki Sukma menanggalkan pakaian?''

Sampornak: ''Sebelum menjalankan siasatan, ini adalah prosedur yang saya pelajari dalam kursus soal siasat.''

Gobind: ''Adakah prosedur ini dicatatkan di mana-mana?''

Sampornak: ''Saya tak ingat, Yang Arif.''

Gobind dengan nada keras: ''Tidak ingat! Dan apakah tujuan prosedur ini?''

Sampornak: ''Untuk memeriksa jika terdapat kesan kecederaan fizikal pada tubuh tertuduh.'

Gobind: ''Adakah dinyatakan bahawa prosedur ini perlu kamu lakukan?''

Hakim Ariffin mencelah lagi meminta peguam bela menyoal dengan lebih jelas.

Gobind: ''Adakah prosedur ini berlaku setiap hari?'

Sampornak: ''Tidak.''

Gobind: ''Jadi keesokannya ia tidak penting untuk memeriksa apa-apa kesan kecederaan tertuduh?''

Sampornak: ''Tidak perlu.''

Di peringkat ini, Hakim Ariffin mencelah dengan soalan: ''Penting...atau tidak perlu. Dia (peguam bela) mahukan jawapan 'penting'.''

Sampornak: ''Penting, Yang Arif.''

Gobind: ''Kenapa tak buat?''

Sampornak: ''Tak buat apa?''

Gobind menyampuk: ''Dia melawan balik.''

Hakim Ariffin mengingatkan peguam bela: ''Dia sedang menjawab soalan. Saksi merupakan orang yang sensitif. Tak usah buat komen, kenapa tak penting?''

Sampornak: ''Saya tak faham, penting dari segi apa.''

Gobind menyoal dengan pantas: '' Helo! tidak penting, mengapa tak buat?''

Sampornak yang nampak memahami soalan itu menjawab: ''Saya tak buat kerana setiap pagi kami akan bertanya Sukma sama ada dia sihat atau tidak dan tidak membuka bajunya.

Dalam satu soalan lain Gobind berkata: ''Saya katakan kamu ada membuat perjanjian dengan Rodwan bahawa Sukma akan dibebaskan sekiranya kamu dapat satu pengakuan daripada tertuduh itu.''

Sampornak: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Seterusnya, Karpal menyoal balas: ''Adakah soal siasat ini dijalankan di bawah peruntukan Kanun Prosedur Jenayah?''

Sampornak: ''Tidak, di bawah Akta Polis.''

Karpal: ''Peruntukan apakah di bawah Akta Polis jika bukan Kanun Prosedur Jenayah.''

Sampornak: ''Seksyen 3(30) Akta Polis.''

Karpal membaca sepenuhnya akta tersebut lalu menyoal: ''Ini umum bukan?''

Sampornak: ''Benar, Yang Arif.''

Hakim Ariffin pula mencelah: ''Ini tugas.''

Karpal: ''Dan apa yang awak buat ialah mengumpul maklumat perisikan keselamatan.''

Sampornak: ''Benar, Yang Arif.''

Saksi itu menerangkan bahawa soal siasat kes tersebut dijalankan berkaitan dengan laporan jenayah.''

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Laporan: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/07/1999

Saksi sangkal Sukma dibogel


SUKMA.


KUALA LUMPUR 12 Julai - Seorang saksi, Cif Inspektor Sampornak Ismail, menyangkal di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dibogelkan tanpa seurat benang semasa disoal siasat berhubung dakwaan terbabit dalam kegiatan homoseksual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sampornak yang mengetuai pasukan teknikal menyoal siasat itu menyatakan beliau hanya membogelkan Sukma dengan membuka baju dan seluar tanpa menanggalkan seluar dalamnya.

Beliau juga menjelaskan tujuan menyoal Sukma berkali-kali supaya apabila tertuduh itu memberikan maklumat, beliau menyoal balik mengenai maklumat tersebut pada masa yang berlainan atau pun keesokan harinya.

Menurut Sampornak, beliau melakukan demikian untuk mengesahkan kesahihan maklumat tersebut dan maklumat berkenaan tidak direka-reka.

Sampornak, 43, memberitahu demikian ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti pada perbicaraan utama Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-22 hari ini.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Sampornak merupakan saksi pendakwa yang kedua dipanggil menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuan tersebut.

Ketika sidang sesi pagi ini, Azahar menyoal semula Sampornak selepas peguam bela Anwar, Karpal Singh dan Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma selesai menyoal balasnya.

Azahar menyoal: ''Bilakah awak mengambil kenyataan perisikan daripada Sukma sebelum dikemukakan kepada pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan?''

Sampornak: ''Saya mula mengambil kenyataan perisikan tertuduh itu pada 13 September hingga 15 September 1998.''

Azahar: ''Sekiranya awak dan anggota pasukan awak memarahi serta memaki secara serentak terhadap Sukma adakah boleh didengar di luar bilik soal siasat?''

Sampornak: ''Ya, boleh didengar dari luar, Yang Arif.''

Azahar: ''Sekiranya awak atau anggota awak ada menendang kerusi yang diduduki oleh Sukma dengan kuat hingga dia terjatuh adakah ini juga boleh didengar dari luar mesyuarat itu?''

Sampornak: ''Ya, boleh dengar, Yang Arif.''

Azahar: ''Apakah yang ditaklimatkan oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof pada 7 September 1998 apabila dia mengarahkan awak untuk menjalankan soal siasat terhadap Sukma?''

Sampornak: ''Rodwan ada beritahu saya bahawa Sukma telah ditangkap bersabit satu laporan polis berkaitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM.''

Azahar: ''Kamu menyatakan tidak membaca laporan itu, apakah sebabnya?''

Sampornak: ''Rodwan tidak memberitahu tentang laporan itu kepada saya.''

Azahar: ''Oleh demikian apakah asasnya awak menjalankan soal siasat itu?''

Sampornak: ''Saya berpandukan satu salinan muka surat 63 dan 64 petikan buku 50 Dalil yang disertakan oleh Rodwan kepada saya.''

Azahar: ''Semasa disoal balas oleh Karpal, awak menyatakan bahawa dalam satu hari awak menyoal Sukma lebih kurang lima hingga enam jam. Soalan saya, adakah lima hingga enam jam itu berterusan?''

Sampornak: ''Tidak, Yang Arif.''

Azahar: ''Apa maksud tidak berterusan?''

Sampornak: ''Pada waktu pagi selama dua hingga tiga jam dan sesi petang dua hingga tiga jam.''

Azahar: ''Jadi adakah waktu rehat untuk makan tengah hari antara sesi pagi dan petang itu?''

Sampornak: ''Benar, Yang Arif.''

Azahar: ''Dalam sesi pagi itu adakah waktu rehat?''

Sampornak: ''Ada, Yang Arif.''

Azahar: ''Biasanya sesi pagi itu dari pukul berapa?''

Sampornak: ''Sesi pagi dari pukul 9 hingga 12 tengah hari dan sesi petang pukul 2 hingga 4.30.''

Azahar: ''Masa rehat adakah Sukma dihantar ke lokap?''

Sampornak: ''Dia berehat di bilik soal siasat dan pada waktu makan tengah hari dia dihantar ke lokap.''

Sebelum mahkamah berhenti rehat kira-kira pukul 10.35 pagi ini, Karpal yang juga merupakan ahli Parlimen Jelutong memaklumkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka bahawa sidang Parlimen bermula pukul 10 pagi ini.

Karpal berkata, beliau meminta kelonggaran jika perbicaraan itu bersidang sebentar sahaja di sebelah pagi bagi membolehkan beliau hadir sidang Parlimen.

Menurut beliau, mahkamah boleh menyambung perbicaraan pada sesi petang.

Hakim Ariffin bagaimanapun menegaskan bahawa beliau mahu kes itu diteruskan seperti biasa dan mengarahkan Karpal mengatur tugasnya untuk dikendalikan oleh peguam bela yang lain.

Seterusnya, pendakwa memanggil seorang lagi saksinya, Detektif Koperal Ahmad Bustamin Ayob, untuk menyangkal dakwaan Sukma ketika disoal siasat.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengambil alih tugas pendakwaan menyoal saksi itu apakah peranannya dalam pasukan penyiasat tersebut.

Ahmad Bustamin memberitahu bahawa beliau hanya diberi peranan sebagai membantu Sampornak sewaktu menjalankan soal siasat misalnya, mengiringi Sukma dari lokap ke bilik soal siasat.

Menurutnya, beliau juga ditugaskan untuk menjaga keselamatan tertuduh itu semasa disoal siasat dan menjaga keselamatan pasukan soal siasat.

Dalam keterangannya, Ahmad Bustamin menyatakan pada hari pertama soal siasat Sukma pada 8 September 1998, Sampornak telah meminta tertuduh membukakan baju dan seluarnya.

''Saya diarahkan untuk membukakan gari tangan Sukma supaya dia dapat membuka baju dan seluarnya sendiri dan ketika itu Sukma masih memakai seluar dalam.'' kata saksi tersebut.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/07/1999

Bustamin nafi berbincang isu layanan tertuduh

KUALA LUMPUR 12 Julai - Seorang anggota pasukan teknikal yang menyiasat Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dia pernah berbincang dengan anggota-anggota lain atau diberitahu mengenai isu layanan terhadap tertuduh sebelum dipanggil memberi keterangan.

Detektif Koperal Ahmad Bustamin Ayob ketika menyangkal dakwaan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma memberitahu, dia juga tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana pegawai polis ketika ditempatkan dalam bilik saksi, sejurus sebelum dipanggil memberi keterangan.

Anggota itu menyatakan demikian ketika menafikan bahawa keterangannya mengenai layanan tersebut sebenarnya hasil daripada perbincangan dengan anggota-anggota pasukan teknikal dan pegawai polis yang lain.

Sebelum itu, saksi tersebut menyatakan bahawa salah satu layanan terhadap Sukma adalah polis tidak pernah meninggikan suara atau menekannya dengan bercakap kasar ketika soal siasat.

Gobind kemudian bertanya, ''Siapa yang mencadangkan kepada kamu bahawa ada penggunaan tekanan dan suara yang meninggi ketika sesi soal siasat?''

Ahmad Bustamin menjawab, ''Tiada langsung.''

Sebelum itu, cubaan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid untuk membantah soalan tersebut ditolak oleh Hakim Datuk Ariffin Jaka dengan alasan mahkamah ingin mendengar jawapan saksi terlebih dahulu.

Gobind: ''Jika tiada siapa yang mencadangkan, bagaimana kamu tahu perkara adanya tekanan dan suara tinggi terhadap Sukma?''

Hakim Ariffin mencelah dengan suara yang tinggi, ''Tadi, kamu yang timbulkan soalan itu!''

Gobind menjawab, ''Isu tersebut terlebih dahulu dibangkitkan oleh pendakwa.''

Tun Abdul Majid bagaimanapun menjelaskan, saksi itu ketika ditanya semasa pemeriksaan utama berhubung layanan terhadap Sukma sepanjang sesi soal siasat telah menyatakan, polis tidak pernah meninggikan suara atau menekan Sukma.

Ahmad Bustamin dipanggil sebagai saksi ketiga untuk menyangkal pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada pengakuan Sukma dibuat secara sukarela atau secara paksaan. Dalam perbicaraan utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, juga dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, atas dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Soalan selanjutnya berkisar mengenai atur cara penyoalan yang digunakan oleh polis ketika soal siasat.

Gobind: ''Saya katakan, kamu dan anggota-anggota pasukan itu telah menyoal Sukma secara kasar, menengking, bertubi-tubi dan bergilir-gilir serta menendang kerusinya sehingga dia terjatuh.''

Ahmad Bustamin: ''Tidak ada.''

Gobind: ''Tindakan itu adalah untuk menakut-nakutkannya supaya dia tersinggung, bingung dan kabur sehingga dia terpaksa menerima apa yang kamu inginkan untuk melepaskan diri daripada kekejaman.''

Ahmad Bustamin: ''Tidak benar.''

Mahkamah juga mendengar keterangan Ahmad Bustamin ketika disoal balas oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar.

Karpal: ''Kamu pernah menyatakan Sukma tenang dan memberi kerjasama ketika disoal siasat.''

Ahmad Bustamin: ''Ya.''

Karpal: ''Jika benar demikian, mengapa siasatan telah dijalankan berhari-hari dan berulang-ulang?''

Ahmad Bustamin: ''Ia untuk memastikan cerita-cerita yang disampaikan adalah benar dan bukan direka-reka.''

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/07/1999

Penentuan Azmin bela diri diputuskan hari ini

KUALA LUMPUR 12 Julai - Mahkamah Sesyen di sini akan memutuskan esok sama ada Mohamed Azmin Ali akan dipanggil membela diri atau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi, Mac lalu.

Hakim Hamdan Indah menetapkan demikian selepas selesai mendengar penghujahan bertulis yang dibacakan oleh peguam bela C. V. Prabhakaran dan hujah balas Timbalan Pendakwa Raya, K. Muniandy yang dibantu oleh Zauyah Be Loth Khan, pagi ini.

Terdahulu Prabhakaran dalam hujahnya menegaskan apa yang dikatakan oleh Azmin kepada Majistret Mohd. Azhar Othman semasa prosiding penahanan reman adalah benar walaupun kenyataan itu tidak dinyatakan dalam bentuk setiap patah perkataan seperti yang disebut dalam pertuduhan terhadapnya.

Azmin, 34, menghadapi tuduhan pindaan memberi keterangan palsu pada 9 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Tiga, Jalan Raja di sini.

Tertuduh selaku saksi pembela ke-14 didakwa berbuat demikian di peringkat pemeriksaan semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah kerana menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Azmin didakwa memberi keterangan palsu bahawa dia mengatakan kepada Majistret yang tempoh tahanan remannya tidak boleh dilanjutkan kerana tindakan dan ugutan pihak polis semasa dia ditahan adalah terlalu kejam dan mereka memaksanya membuat pengakuan yang membabitkan 'Saudara Anwar'.

Dia didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Seperti biasa, Azmin hadir di mahkamah dengan ditemani oleh isterinya, Shamsidar Taharin dan beberapa ahli keluarganya lebih kurang pukul 8.30 pagi ini.

Prabhakaran ketika berhujah menjelaskan, apa yang dinyatakan oleh Azmin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang disebut dalam pertuduhan merupakan ringkasan dan intipati kepada apa yang telah diberitahu kepada Majistret, tahun lalu.

''Tertuduh tidak seharusnya dihukum kerana memberi kenyataan ringkas mengenai apa yang telah dikatakan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi.''

''Sekiranya adapun beberapa perkataan tidak digunakan telah menyebabkan timbulnya satu inferens (tanggapan) lain terhadap tertuduh, tetapi ini tidak bermakna tertuduh boleh didapati bersalah kerana memberi keterangan palsu,'' kata peguam itu.

Ini kerana, jelas Prabhakaran, anak guamnya hanya mengemukakan penjelasannya kepada Majistret tersebut mengenai layanan yang diterimanya semasa dalam tahanan polis.

''Intipati kenyataan tertuduh adalah dia berada dalam keadaan 'ugut, paksa yang kejam,'' tegas beliau.

Peguam itu ketika mengakhiri penghujahannya berkata, anak guamnya seharusnya dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri kerana menurutnya pihak pembelaan telah menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kesahihan kes pendakwaan.

Sementara itu, Muniandy ketika membalas hujah Prabhakaran berkata, Majistret Azhar telah mengesahkan bahawa perkataan yang disebut dalam kertas pertuduhan, tidak diucapkan oleh tertuduh kepada beliau pada 22 September tahun lalu iaitu semasa permohonan lanjutan reman dibuat di dalam kamarnya.

Merujuk keterangan yang diberi oleh Majistret Azhar semasa keterangannya, Muniandy menjelaskan, saksi pendakwa keenam itu pernah mengatakan sekiranya tertuduh ada berkata demikian maka sudah tentu ia akan dicatatkan.

Selain itu, tegas Muniandy, Majistret Azhar turut mengesahkan bahawa semua perkara yang dihujahkan oleh Azmin adalah berkenaan dirinya sendiri dan tidak langsung menyentuh mengenai 'Saudara Anwar'.

Justeru Muniandy menegaskan bahawa ia bercanggah dengan keterangan yang diberikan oleh Azmin di Mahkamah Tinggi pada 9 Mac lalu di mana tertuduh mengatakan:

Justeru berdasarkan hujah tersebut, Muniandy memohon supaya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PEMBELAAN - 1"