'Saya disuruh bersihkan nama'
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tidak ada apa pun tanda-tanda untuk diambil tindakan jenayah atau sebarang tindakan terhadapnya berhubung tohmahan dalam surat dakwaan yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali dan dialamatkan kepada Perdana Menteri pada Ogos 1997.
Anwar berkata, pada 30 Ogos 1997, beliau mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah di pejabatnya.
Pertemuan itu, katanya juga dihadiri oleh Datuk Ismail Che Ros yang kini bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID).
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, Peguam Negara menyuruh beliau membersihkan namanya.
Namun begitu, Anwar mendakwa beliau mengingatkan Peguam Negara mengenai pandangan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Tun Daim Zainuddin akan terseret bersama Datuk Megat Junid Megat Ayob, Datuk Aziz Shamsuddin dan Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan memberitahu demikian ketika menyambung keterangan pembelaan atas empat tuduhan pindaan rasuah atas dakwaan menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Pada sesi pagi hari ini, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam belanya meneruskan soalan:
''Saya ingatkan kamu bahawa saya masih memperkatakan kejadian pada malam 17 Ogos 1997. Adakah dalam perbincangan kamu dengan Mohd Said dan Amir memberitahu mereka mengenai 'gempar' Ummi dan Azizan. Adakah kamu menggunakan perkataan gempar?''
Anwar: ''Saya ingin menjelaskan perbincangan ini sungguh tidak formal. Sangat mesra. Sekarang tidak lagi. Ada cadangan yang dibuat oleh mereka atas apa yang mereka fikir polis boleh buat. Sebab itu saya dinasihatkan untuk melaporkan kepada polis. Tetapi saya tahu mengenai polis dan sesetengah taktik mereka sejak pengalaman awal lagi semasa ditahan lama dulu. Saya tidak mahu mereka menggunakan cara yang kasar, buli seperti yang diamalkan sekarang. Sebab itu saya beritahu mereka dan ini disahkan oleh Mohd. Said. Pertamanya, 'Janganlah tahan lama.' Dan kedua, 'gempar sikit-sikit cukup'.''
Raja Aziz: ''Dan makna 'gempar' telah diberikan. Gempar sedikit. Dan Amir yang asal dari Pulau Pinang menterjemahkan lebih serius. Dan kamu dari Pulau Pinang, apa tujuan gempar sikit-sikit?''
Anwar: ''Gempar sikit-sikit bermakna seperti yang kita katakan kepada anak-anak kita. Berkelakuan baik. Jangan nakal. Amir berada terlalu lama di Sabah. Tetapi sekali lagi saya mahu menjelaskan ia digunakan dalam pengertian pada sesi yang tidak formal dan mesra. Dan mereka memberikan cerita bahawa sesetengah ahli politik ingin melenyapkan saya. Jadi dalam perbincangan itu saya meminta mereka menyiasat sepenuhnya. Dan dapatkan apa yang sebenarnya daripada Ummi dan Azizan.''
Raja Aziz: ''Sekarang kita berbalik pada 17 Ogos 1997 sebelum Mohd. Said dan Amir datang berjumpa kamu, sebelum penangkapan. Adakah kamu berbual dengan Ketua Polis Negara (KPN) melalui telefon.''
Anwar: ''KPN bercakap dengan saya dan beritahu saya mengenai penangkapan. Boleh saya rujuk diari. (Anwar dilihat merujuk diari). Ya, saya berada di Langkawi. Saya tiba balik lebih kurang pukul 11 malam. Dan saya menerima panggilan daripada KPN yang memaklumkan mengenai penangkapan Ummi dan Azizan. Beliau menganggap ia isu keselamatan dan oleh itu telah menugaskan Mohd. Said dan Amir memberi taklimat kepada saya.''
Raja Aziz: ''Dan pada hari berikutnya, 18 Ogos 1997, adakah kamu berjumpa dengan Mohd. Said dan Amir pada sebelah petang?''
Anwar: ''Saya berjumpa Mohd. Said dan Amir pada waktu makan tengah hari di rumah. Kediaman rasmi.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu meminta mereka datang atau mereka yang jumpa kamu?''
Anwar: ''Ada masanya saya yang menjemput mereka. Tetapi dalam beberapa perjumpaan, Amir yang menelefon pegawai pengiring saya, Penolong Penguasa Polis, Zull Aznam Haron.''
Raja Aziz: ''Dan apa yang dibincangkan dalam perjumpaan itu?''
Anwar: ''Mereka memaklumkan saya hasil penyiasatan Ummi dan Azizan. Dan Ummi dan Azizan telah menyatakan mereka menyesali atas tindakan masing-masing. Mereka dipergunakan. Dan mereka telah menulis surat berhubung perkara itu. Saya tidak pasti surat itu telah ditulis atau sedang dibuat. Tetapi perjumpaan pada sebelah petang itu sangat ringkat kerana ketika itu waktu makan tengah hari. Saya ada tetamu di rumah dan tidak dapat jemput mereka makan bersama.''
Raja Aziz: ''Dan tidak ada apa yang berlaku pada hari itu. Pada hari yang sama, malam 18 ogos 1997, adakah mereka datang berjumpa kamu sekali lagi?''
Anwar: ''Ya, mereka datang berjumpa saya lagi pada malam itu.''
Raja Aziz: ''Kenapa?''
Anwar: ''Mereka datang membawa surat-surat yang ditulis oleh Ummi dan Azizan.''
Raja Aziz: ''Ini salinan surat yang diberikan kepada kamu. Rujuk muka surat 3, 'Ekoran ini...' Boleh saya rujuk pada muka surat atas daripada muka tengahnya. Dalam bahagian surat itu terdapat nama-nama yang disebut, Megat Junid, Ziela Jalil, Tun Daim dan Datuk Aziz Shamsuddin. Dan pada perenggan tengah menyebut 'Encik Taib dan Encik Tan.' Soalan saya adakah nama-nama ini disebutkan oleh Mohd. Said?''
Anwar: ''Ya, pada petang itu, nama-nama mereka disebut oleh Mohd. Said sebelum saya menerima dua pucuk surat itu (P17 dan P18) yang menyatakan bentuk politik dakwaan tersebut.''
Raja Aziz: ''Sekarang tengok P17. Muka surat dua pada barisan empat. Ia sekali lagi menyebut Dr. Ristina Majid, Mohd. Taib dan rakannya Tan dan juga Aziz Shamsuddin dibincangkan dalam surat tersebut.''
Anwar: ''Pada malam 18 Ogos itu, Mohd. Said dan Amir telah mengumpul lebih banyak maklumat mengenai kes ini. Dengan itu mereka mengingatkan betapa serius dan besarnya dakwaan serta kempen politik terhadap saya. Mereka menekankan bahawa penglibatan Tun Daim, Megat Junid dan Datuk Aziz Shamsuddin yang merupakan sekutu rapat Perdana Menteri yang pasti menyulitkan penyiasatan.''
Raja Aziz: ''Pada 18 Ogos 1997 sehingga perbicaraan ini adakah kemungkinan isu tindakan jenayah diambil terhadap kamu?''
Anwar: ''Kemungkinan tindakan jenayah terhadap saya tidak pernah ditimbulkan.''
Raja Aziz: ''Adakah sesiapa yang berniat untuk mengambil tindakan jenayah terhadap kamu?''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah.
Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Kamu bantah?''
Bagaimanapun Hakim Augustine membenarkan Anwar meneruskan keterangannya.
Anwar: ''Pada pengetahuan saya, berdasarkan perbincangan dengan Amir dan kemudian dengan Peguam Negara, tidak pernah ada niat atau pertimbangan untuk mendakwa saya.''
Raja Aziz: ''Apakah persoalan tindakan?''
Anwar: ''Persoalan tindakan jenayah. Saya adalah pengadu dan mangsa. Ini suatu yang tak munasabah untuk dibayangkan bahawa tindakan hendak diambil terhadap saya.''
Raja Aziz: ''Baiklah. Bila kamu tengok P17? Adakah kamu percaya atau tahu bagaimana P17 dan P18 diperolehi oleh polis.''
Anwar: ''Apabila saya menerima P17 dan P18, saya tidak tahu bagaimana ia diperolehi. Saya mengandaikan ia diperolehi sebagaimana arahan saya yang sepatutnya polis lakukan dengan cara yang betul.''
Raja Aziz: ''Ini merupakan soalan spesifik yang telah dibangkitkan lebih awal. Dalam perjumpaan yang tidak formal, Mohd. Said dan Amir mencadangkan bahawa kamu ingin jumpa Azizan selepas penangkapan.''
Gani membantah bentuk soalan itu.
Hakim Augustine: ''Dia ada hadir.''
Gani: ''Pada pemeriksaan utama saksi pendakwa (Mohd. Said) soalan itu tidak ditimbulkan.''
Hakim Augustine: ''Ulang soalan. Ini pada 17 ogos?''
Raja Aziz: ''Dalam perjumpaan tidak formal dengan Mohd. Said dan Amir, adakah kamu pernah mencadangkan bahawa kamu mahu melihati Azizan di pejabat Cawangan Khas selepas penangkapan?''
Anwar: ''Saya tidak pernah sekali-kali mencadangkan bahawa saya ingin berjumpa dengan Azizan atau lihat Azizan di Bukit Aman.''
Raja Aziz: ''Apakah mengenai cadangan kepada mereka. Adakah kamu cadangan untuk menyoalnya di pejabat Cawangan Khas di Bukti Aman?''
Anwar: ''Saya tidak buat cadangan untuk menyoal Azizan di pejabat Cawangan Khas di Bukit Aman. Ini tak munasabah.''
Hakim Augustine: ''Jadi dalam kedudukan kamu, kamu tidak boleh pergi ke Bukti Aman?''
Anwar; ''Tidak. Saya tidak mencadangkan perkara itu.''
Raja Aziz: ''Sekarang tiba pada 20 ogos 1997. Adakah Mohd. Said dan Amir datang berjumpa kamu atau kamu yang berjumpa mereka pada malam tersebut?''
Anwar: ''Pada malam itu, saya berjumpa Mohd. Said dan Amir.''
Raja Aziz: ''Siapa yang mencadangkan kamu berjumpa mereka?''
Anwar: ''Datuk Amir yang menelefon Zull Aznam dan meminta temu janji untuk berjumpa saya pada malam itu.''
Raja Aziz: ''Mengapa mereka ingin berjumpa kamu?''
Anwar: ''Mereka ingin berjumpa saya untuk memaklumkan mengenai kes sepertimana yang diminta berwaspada oleh KPN sebelum ini.''
Raja Aziz: ''Apa yang berlaku apabila mereka berjumpa kamu?''
Anwar: ''Mereka memaklumkan mengenai perkembangan terbaru. Dengan itu mereka telah tahu bahawa Tan Sri Rahim Thamby Chik juga terlibat.''
Raja Aziz: ''Pada petang itu, adakah kamu menerima laporan daripada Mohd. Said.''
Anwar: ''Pada perjumpaan itu, Mohd. Said dan Amir memaklumkan saya mengenai laporan yang telah dihantar kepada Perdana Menteri. Satu salinan laporan itu yang tidak bertandatangan diserahkan kepada saya.''
Raja Aziz: ''Dan laporan itu dibuat kepada siapa?''
Anwar: ''Laporan itu dibuat kepada Perdana Menteri.''
Raja Aziz: ''Apa yang terjadi dengan salinan laporan yang tidak bertandatangan itu yang telah kamu lihat?''
Anwar: ''Salinan laporan yang tidak bertandatangan itu ada dengan saya. Dan ia diketahui umum bahawa pejabat dan kediaman saya telah digeledah. Barang-barang dirampas dan dalam proses itu isteri saya mengalami kesulitan untuk mengesan dokumen ini. Jangan terperanjat, saya telah jumpanya! Sebab itulah saya mengarahkan peguam bela saya bahawa adanya surat yang sepatutnya dikemukakan oleh Mohd. Said.''
Raja Aziz: ''Cuba tengok. Adakah kamu pernah lihatnya sebelum ini?''
Anwar: ''Ya, saya pernah lihat sebelum ini.''
Raja Aziz: ''Adakah ini surat yang diserahkan oleh Mohd. Said kepada kamu. Adakah betul jika dikatakan salinan yang diserahkan kepada kamu itu tidak dijumpai.''
Anwar: ''Belum lagi. Tetapi saya sentiasa optimistik.''
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bangun mencelah: ''Adakah dia maksudkan dokumen bertanda D25?''
Anwar: ''Sebab saya tahu kandungannya sebelum ia dikemukakan di mahkamah. Dan saya beritahu peguam bela supaya bertanyakan hal ini kepada Mohd. Said.''
Raja Aziz: ''Saya ingin membentangkan laporan ini. Boleh saya bertanya saksi (Anwar) untuk membacanya. Tengok perenggan tiga. Kandungan ayatnya mengenai penyiasatan yang timbul daripada laporan Zull Aznam. Selepas meneliti keterangan bahawa ia hanya dakwaan semata-mata yang dibuat atas syak wasangka. Bilakah surat ini diserahkan oleh Mohd. Said. Adakah pada malam itu kandungannya dibincangkan dengan Mohd. Said dan Amir?''
Anwar: ''Apabila salinan ini diserahkan kepada saya pada malam itu, sebelumnya mereka beri kepada Perdana Menteri. Saya hanya membaca surat tersebut. Tetapi butir atau dakwaannya telah dibincangkan sebelum ini. Pada malam itu tidak ada perbincangan mengenai perkara itu.''
Raja Aziz: ''Bagi menyambung kejadian pada 25 Ogos 1997, adakah kamu menyedari kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai Ummi dan Azizan?''
Anwar: ''Ya, saya menyedari kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri pada 24 Ogos 1997 dan laporannya disiarkan oleh akhbar pada 25 Ogos.''
Raja Aziz: ''Boleh kamu tengok dokumen bertanda ID23.''
Anwar: ''Ya, saya lihat laporan ini.''
Raja Aziz: ''Pada 27 Ogos 1997, adakah Mohd. Said dan Amir jumpa kamu pada hari itu?''
Anwar: ''Ya, Mohd. Said dan Amir jumpa saya.''
Raja Aziz: ''Selepas P17 dan P18 diserahkan kepada kamu, adakah dakwaan ini hilang begitu sahaja?''
Anwar: ''Selepas itu ia disebarkan dengan meluas.''
Raja Aziz: ''Bagaimana pula dengan dokumen P15 (Surat Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim)?''
Anwar: ''Mohd. Said dan Amir beritahu saya bahawa penglibatan Rahim Thambychik (RTC) berhubung P14 (surat dakwaan perihal salah laku Anwar) dan P15. Saya sungguh terperanjat ia membabitkan pekerja seramai 40 orang.''
Gani membantah soalan itu dengan alasan ia suatu dengar cakap.
Anwar: ''Ini diberitahu oleh Pengarah Cawangan Khas.''
Raja Aziz: ''Ini bukan dengar cakap. Kami menyatakan bahawa saksi pendakwa yang beritahu tertuduh (Anwar) dan boleh diterimapakai.''
Hakim Augustine: ''Ia tidak diterima. Mengapa tidak tanya Mohd. Said?''
Bagaimanapun, Hakim Augustine mengarahkan Raja Aziz meneruskan pada soalan lain.
Raja Aziz: ''Jadi apa yang berlaku?''
Anwar; ''Dengan itu, P14 dan P15 telah diketahui umum. Mohd. Said dan Amir kemudian berbincang bahawa mereka harus menangani isu itu menimbangkan beberapa pilihan sama ada cadangan untuk Azizan dan Ummi memberikan kenyataan umum kepada media atau membuat kenyataan umum. Saya masih ingat nasihat atau cadangan Perdana Menteri bahawa sepanjang masa itu beliau meminta menyatakan, 'pedulikan sahaja.' Saya harus mengingatkan cadangan Perdana Menteri bahawa saya sepatutnya tidak menghiraukan dakwaan ini. Oleh itu saya serahkan kepada Mohd. Said dan Amir.''
Raja Aziz: ''Kita pergi pada 30 Ogos 1997. beritahu saya mengapa Amir menyatakan bahawa kamu hendak meminda beberapa bahagian supaya ia lebih kuat lagi?''
Gani membantah dengan alasan bahawa isu itu tidak ditimbulkan oleh saksi pendakwa dan menganggapnya peguam bela meminta pendapat Anwar.
Hakim Augustine: ''Bantahan ditolak pada ketika ini dan kita lihat apa yang ingin dinyatakannya.''
Anwar: ''Yang Arif, saya mahu menjelaskan bahawa Mohd. Said sering datang berjumpa saya untuk memberikan taklimat perkembangan. Amir juga datang melawat saya tetapi kadang kala cuba untuk menggunakan perjumpaan itu dengan membawa ahli perniagaan. Biasanya saya menolak. Oleh itu saya lebih suka kalau Mohd. Said hadir sama. Saya percaya bahawa Amir agak kecewa dengan saya apabila saya menolak untuk berjumpa Repco Lau dari Sabah. Repco ialah syarikatnya. Saya merasakan ada perubahan sikapnya.''
Raja Aziz kemudian menyoal Anwar mengenai penyiasatan CID berhubung kes itu.
Anwar: ''Saya diberitahu bahawa CID juga terlibat dengan penyiasatan itu.''
Raja Aziz: ''Dan siapa yang mengendalikan penyiasatan CID?''
Anwar: ''Pegawai penyiasatnya, Musa Hassan.''
Raja Aziz: ''Pada 30 ogos 1997, adakah kamu berjumpa dengan Peguam Negara di pejabat kamu?''
Anwar: ''Ya, pada 30 Ogos, 1997, saya berjumpa dengan Peguam Negara di pejabat saya.''
Raja Aziz: ''Adakah ia dicatat dalam diari kamu?''
Anwar: ''Ya, 10 pagi. Peguam Negara dan Datuk Ismail Che Ros.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu ingat Musa Hassan. Dia ada bersama?''
Anwar: ''Ia tidak dicatatkan dalam diari saya bahawa Musa juga datang. Saya juga periksa dengan Setiausaha Sulit saya, Azmin Ali dan beliau menyatakan tidak ada disebutkan mengenai kehadiran Musa dalam perjumpaan itu.''
Selepas itu, Raja Aziz memohon supaya buku diari Anwar itu dikemukakan sebagai bahan bukti pihak pembela.
Peguam Negara, Mohtar Abdullah menyatakan beliau tidak membantah untuk mengemukakan diari tersebut.
Mohtar: ''Bagaimana pun diari itu mengandungi nama-nama orang kaya dan terkenal.''
Anwar: ''Tidak ada masalah. Antaranya, nama Tan Sri Tajuddin. Semasa perjumpaan singkat itu dengan Peguam Negara dan Ismail Che Ros, Peguam Negara sama mengambil berat atas penyiasatan dan dakwaan terhadap saya pada masa itu.''
Anwar: ''Peguam Negara kata kita harus bertindak terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi saya katakan bagaimana dengan Perdana Menteri yang memandang berat bahawa Tun Daim akan diseret bersama, Megat Junid, Aziz Shamsuddin dan Rahim Thambychik. Peguam Negara tidak tahu Dr. Ristina pada masa itu. Jadi tiada persoalan.''
Raja Aziz: ''Selepas itu adakah kamu berjumpa dengan Perdana Menteri mengenai perkara tersebut?''
Anwar: ''Selepas itu pada 31 Ogos 1997, Perdana Menteri membuat kenyataan yang tegas dalam akhbar menyatakan bahawa sesiapa yang cuba untuk mempersoalkan perkara itu atau cuba membuang Anwar dari pejabatnya patut ditembak. Ini dlaporkan pada 31 Ogos 1997. Ia Hari Merdeka. Saya jumpa Perdana Menteri atas pentas semasa perarakan dan saya terpaksa menenangkan beliau. Dan beliau beritahu saya bahawa selepas itu beliau ingin jumpa saya di kediamannya. Ia juga hari kematian Lady Diana.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu pergi ke rumah Perdana Menteri selepas itu.''
Anwar: ''Pada sebelah petang, saya bersama Perdana Menteri di kediamannya. Perjumpaan itu antara kami berdua sahaja. Inilah kali pertama Perdana Menteri berkata, 'Sorry' bahawa Aziz Sahmsuddin terlibat. Saya tidak menjangka perkataan 'sorry' itu datang daripada Perdana Menteri. Dan beliau (Perdana Menteri) kata, 'Saya patut memecat dia (Aziz)) pada 1997. 1998 saya yang kena pecat. Tetapi kedudukan Aziz pada 1997 sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri adalah menyokong Tengku Razaleigh.''
Dalam keterangannya lagi, Anwar berkata bahawa beliau telah dapat mengesan surat laporan kedua yang didakwa dibuat oleh Mohd. Said. dan dokumen itu ditemui oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun, mahkamah belum memutuskan sama ada Anwar boleh mengemukakan sebagai bahan buktinya sehingga beliau boleh berjaya menunjukkan dokumen itu dibuat oleh Mohd. Said.
Sementara itu Hakim Augustine membenarkan Datin Seri Azizah Wan Ismail berada dalam mahkamah untuk menndengar perbicaraan Anwar walaupun beliau mungkin dipanggil menjadi saksi pembela.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
--------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 10/02/1999
'Konspirasi politik tidak relevan'
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa sebarang konspirasi politik terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika ada, adalah tidak relevan dengan tuduhan-tuduhan yang dihadapinya.
Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, pihak pembela bagaimanapun boleh mengemukakan sebarang keterangan untuk membuktikan adanya konspirasi di pihak polis bagi mengubah pendirian mereka atau mereka-reka keterangan terhadap Anwar.
Beliau memutuskan demikian petang ini selepas mendengar penjelasan panjang lebar daripada peguam utama yang mewakili Anwar, Raja Aziz Addruse berhubung alasan mengapa pihak pembela masih beranggapan bahawa wujud konspirasi politik di peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.
Sebelum membuat keputusan, Hakim Augustine menegur Raja Aziz tentang kenyataan beliau bahawa pihak pembela sering dihalang daripada mengemukakan pembelaan.
Menurut Hakim Augustine, kenyataan itu tidak beretika.
''Perkara-perkara yang disentuh oleh pihak pembela itu bukanlah dalam bentuk pembelaan yang sebenar sebaliknya ia tidak relevan malah jauh menyimpang.
''Saya tidak mempunyai pilihan selain melarang pihak pembela daripada mengaitkan isu konspirasi politik,'' tegas beliau.
Raja Aziz masih meneruskan pemeriksaan utama yang masuk hari kedua terhadap Anwar, 51, yang dipanggil membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Perbicaraan hari ke-52 hari ini menyaksikan perselisihan pendapat antara Raja Aziz dan Hakim Augustine sehingga memaksa mahkamah menolak sebarang keterangan berhubung konspirasi politik oleh pihak pembela.
Isu tersebut timbul apabila Raja Aziz yang mengetuai barisan sembilan peguam bela menyoal Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan berhubung tanggapannya setakat 3 September 1997 mengenai segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Raja Aziz: ''Apakah tanggapan kamu mengenai semua tuduhan-tuduhan ini, adakah kamu fikir ia serius?''
Anwar: ''Selepas meneliti laporan-laporan Cawangan Khas (SB), berbincang dengan Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri, diberi jaminan oleh Peguam Negara (AG), malah berbincang dengan ahli-ahli Parlimen UMNO dan meneliti kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) lalu saya anggap ia telah selesai.''
Raja Aziz: ''Jadi sehingga 3 September, perkara itu nampaknya sudah ditutup. Selepas itu, mengapa polis mengubah pendirian mereka terhadap kamu?''
Anwar: ''Ia berkaitan perkembangan politik dan ekonomi negara. Bermula dengan kegawatan di rantau ini dan polisi yang berbeza untuk menangani krisis kewangan dan ekonomi.''
Raja Aziz: ''Bila ia bermula?''
Anwar: ''Kira-kira pertengahan tahun 1997, di Thailand dan Malaysia merasakan kesannya pada penghujung 1997.
''Salah satu sebabnya ialah perbezaan polisi dalam menangani krisis tersebut.''
Raja Aziz: ''Antara siapa?''
Anwar: ''Antara saya selaku Menteri Kewangan dengan PM.''
Raja Aziz: ''Adakah ia diketahui umum?''
Anwar: ''Saya fikir tidak.''
Hakim Augustine: ''Saya tidak nampak kaitannya persoalan ini ditimbulkan.''
Raja Aziz: ''Ia menjadi salah satu sebab yang mengubah pendirian pihak polis terhadap tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Kalau begitu, tumpukan pada pihak polis.''
Raja Aziz: ''Kami hendak membuktikan wujudnya konspirasi yang kelak menjelaskan tentang perubahan pendirian pihak-pihak berkuasa terhadap tertuduh.
''Salah satu sebab konspirasi ialah untuk menyingkirkannya.''
''Isu itu penting kerana kewibawaan pihak polis akan dipersoalkan. Saya kata begitu kerana perubahan pendirian saksi pendakwa pertama (SP1) Pengarah SB ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang; SP11, Timbalannya, Datuk Amir Junus dan SP13, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I, Musa Hassan, begitu ketara antara September 1997 dan kemudian pada tahun 1998.
''Satu perubahan besar dan tiada siapa yang memberikan penjelasan tentang perubahan mereka.''
Hakim Augustine: ''Siapa?''
Raja Aziz: ''Mereka yang berkonspirasi. Kami akan tunjukkan siapa mereka kemudian.''
Hakim Augustine: ''Isu konspirasi untuk buktikan tuduhan-tuduhan itu palsu?''
Raja Aziz: ''Bukan, untuk menunjukkan sejauh mana kewibawaan polis terutamanya SP1, SP11 dan SP13.''
Hakim Augustine: ''Dalam erti kata lain, mereka memberi keterangan palsu?''
Raja Aziz: ''Ya, Yang Arif. Mereka diyakinkan bahawa tiada apa-apa yang tidak kena pada tahun 1997, tetapi pada tahun 1998, berdasarkan semua dokumen semasa termasuk laporan mereka kepada pegawai atasan (IGP dan PM) terhasil kenyataan akhbar yang menolak tuduhan-tuduhan terhadap Anwar.
''Dalam laporan SB itu tercatat tanpa ragu-ragu bahawa terdapat orang tertentu di sebalik dakwaan-dakwaan terhadap tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Tetapi jika kamu baca tuduhan itu dengan teliti, ia tidak menyentuh siapa di sebalik dakwaan-dakwaan itu.''
Raja Aziz: ''Tidak, ia menyentuh arahan yang diberikan oleh tertuduh kepada SP1 dan SP11.''
Hakim Augustine: ''Semalam, saya dengar dengan panjang lebar daripada tertuduh mengenai apa yang berlaku antara dia dengan SP1 dan SP11.''
Raja Aziz: ''SP1 dan SP11 telah memberi keterangan dan disangkal pula oleh keterangan tertuduh. Apa yang kami ingin katakan ialah SP1 dan SP11 tidak harus dipercayai.''
Hakim Augustine: ''Cara yang bagaimana?''
Raja Aziz: ''Melalui konspirasi untuk menjatuhkan tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Maksud kamu terdapat arahan daripada pihak atasan kepada SP1 dan SP11 untuk mereka-reka cerita?''
Raja Aziz: ''Ya.''
Hakim Augustine: ''Kalau adapun konspirasi peringkat tertinggi, biarkanlah. Apa yang penting, kamu buktikan konspirasi di pihak polis.''
Raja Aziz: ''Saya tidak setuju.''
Hakim Augustine: ''Kalau tidak setuju, berhujahlah di tempat lain!''
Raja Aziz: ''Yang Arif belum membuat sebarang keputusan mengenainya.''
Hakim Augustine: ''Konspirasi yang saya maksudkan berbeza daripada bentuk konspirasi yang kamu fikirkan.''
Raja Aziz: ''Yang Arif perlu membuat keputusan bahawa konspirasi tidak menjadi persoalan, jika tidak saya akan terus mengemukakan soalan-soalan yang tidak berkaitan.''
''Jika ada konspirasi, maka jelaslah polis berubah pendirian terhadap tertuduh dan ia juga menjelaskan kenapa semua yang teratur pada September 1997 tiba-tiba menjadi kucar-kacir pada tahun 1998. Apakah sebabnya, tentunya ada penjelasan.''
Hakim Augustine: ''Jika kamu baca dengan teliti keterangan-keterangan yang sudah dikemukakan, tentu kamu akan menemui sebabnya.''
Raja Aziz: ''Kami berhak mengemukakan kes kami dan tidak bermakna apabila mahkamah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh, maka kami tidak boleh berbuat demikian.''
Hakim Augustine: ''Isu konspirasi yang bagaimana yang menjejaskan kewibawaan saksi-saksi tersebut?''
Raja Aziz: ''Konspirasi untuk mengarahkan mereka berbuat sesuatu pada tahun 1998.''
Hakim Augustine: ''Satu bentuk pembelaan yang penuh khayalan. Boleh buat itu, boleh buat ini.
''Anggaplah kamu dapat buktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa terdapat konspirasi di peringkat tertinggi, dengan cara apakah ia menjejaskan kewibawaan saksi-saksi?''
Raja Aziz: ''Akan ada arahan-arahan tertentu daripada peringkat tertinggi.''
Hakim Augustine: ''Bagaimana kamu boleh buat tanggapan sedemikian pada peringkat ini?''
Raja Aziz: ''Bagaimana Yang Arif boleh mengetepikan isu konspirasi yang menjadi asas kepada kes kami. Kami harus dibenarkan membuktikannya.
''Keterangan yang didengar pagi ini mengenai percakapan di antara tertuduh dengan IGP, PM, AG, SP1 dan SP11 berhubung perkara ini, turut menyentuh isu konspirasi. Ia amat relevan.''
Peguam Negara, Datuk Mohtar Abdullah yang mengetuai barisan pendakwa bangun memberi penjelasan.
Mohtar: ''Persoalan mengenai konspirasi perlu relevan dengan fakta dalam isu seperti yang didakwa.
''Ia mestilah mengenai arahan tertuduh kepada polis untuk berbuat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.
''Kami perlu mengukuhkan elemen kami terhadap dakwaan. Pada tahun 1997, ada siasatan oleh SB yang menghasilkan penarikan balik dakwaan, diikuti laporan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan SACI Musa tidak menyempurnakan siasatan ekoran siasatan oleh SB.
''Beliau diberikan laporan hasil proses 'turning over' yang kemudian dimaklumkan kepada PM dan AG, lalu kedua-duanya mempercayainya.
''Tiba pula kepada perubahan pendirian pada 1998, siasatan oleh CID disabotaj oleh SB lalu ia terhenti. Dan ekoran penerbitan buku 50 Dalil, satu siasatan menyeluruh dimulakan ada kaitannya dengan siasatan tahun 1997.
''Siasatan dilengkapkan lalu membawa kepada pendakwaan kes ini. Jikapun ada konspirasi, ia bukanlah konspirasi di pihak polis. AG tak faham soal politik tetapi dia tahu apa yang ahli politik buat.
''Bagi pihak kami, konspirasi sebenarnya berdasarkan keterangan para saksi pendakwa ialah di antara tertuduh, SP1 dan SP11 yang menjadi asas kes ini.
''Jadi konspirasi di peringkat tertinggi tidak relevan sama sekali. Isu konspirasi jika hendak dikemukakan perlulah relevan. Jangan berpegang pada perkara yang tidak wujud dan menimbulkan pelbagai cerita.''
Raja Aziz mengakui kebenarannya tetapi hujah beliau, pihak pembela harus dibenarkan membawa ceritanya pula.
Katanya: ''Benarkan kami memberikan alasan kami.''
Hakim Augustine: ''Demi kepentingan keadilan, jikapun ada konspirasi pihak polis, kamu tidak menyoal saksi pendakwa berhubung isu tersebut, memandangkan kamu gagal berbuat demikian, bagaimana kamu hendak memberikan alasan kamu?
''Melainkan kamu dapat meyakinkan saya berdasarkan hujah perundangan, saya akan benarkan kamu meneruskan isu konspirasi ini, jika tidak, saya khuatir saya tidak dapat berbuat apa-apa.''
Raja Aziz kemudian memohon penangguhan selama 10 minit bagi membolehkan pihaknya bersedia untuk berhujah mengenai perkara itu.
Ketika mahkamah bersidang semula, Raja Aziz mengemukakan salinan dua pucuk surat Anwar kepada PM bertarikh 25 dan 28 Ogos 1998 yang kemudian ditandakan D76 dan D77.
Hakim Augustine: ''Isu konspirasi politik bukan sahaja tidak relevan tetapi terlalu jauh menyimpang daripada kes ini. Adakah sebarang bukti di dalam surat-surat ini?''
Raja Aziz merujuk kepada beberapa perenggan di dalam surat tersebut lalu berkata:
''Kandungan itu antaranya membuktikan pendirian polis terhadap tertuduh dan cara polis memaksa individu tertentu mengaku terlibat dalam hubungan seks dengan tertuduh.''
Setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan Raja Aziz, Hakim Augustine membuat keputusan menolak sebarang keterangan yang berkaitan dengan isu konspirasi politik.
Ketika meneruskan pemeriksaan balas terhadap Anwar berhubung kedua-dua suratnya kepada PM, Raja Aziz bertanya:
''Dalam keadaan bagaimanakah kamu menulis surat-surat itu?''
Belum sempat Anwar menjawab, Hakim Augustine mencelah: ''Tolong pastikan soalan-soalan kamu tidak terkeluar daripada kandungan surat yang menyentuh pihak polis.''
Anwar: ''Maksud saya, ketika itu saya dapat merasakan niat jahat terhadap saya berkaitan siasatan pihak polis.''
Raja Aziz: ''Cara yang bagaimana?''
Anwar: ''Cara mereka menyiasat. Rujukan juga dibuat terhadap hakim. Pada satu ketika, polis secara keterlaluan, saya sifatkan secara terang-terangan tidak menghiraukan undang-undang.
''Dalam surat saya, disebutkan bahawa mereka menggelidah rumah Datuk S. Nallakaruppan (Nalla) dan saya tunjukkan salah laku pihak polis. IGP pernah berkata: 'Saya tidak mempersoalkan tindakan polis yang menggelidah atau menahan Nalla bagi membantu siasatan mereka berhubung buku 50 Dalil.
''Komen IGP kepada saya pula (tidak tercatat di dalam surat saya) amat tidak saya senangi. Katanya: Lelaki India itu lahir di Madras, daripada miskin menjadi kaya raya, mempunyai tingkah laku yang mencurigakan. Saya anggap kenyataan itu berbau perkauman.
''Kerana masih ramai lagi yang dilahirkan di luar sama ada di China atau India, maka beliau tidak harus bersikap prejudis terhadap hak setiap orang untuk mendapat layanan yang adil di negara ini.
''Perkara ini saya sampaikan kepada PM dengan amat tegas sekali.''
Raja Aziz: ''Ada apa-apa lagi yang hendak kamu nyatakan?''
Anwar: ''Ini amat penting (sambil merujuk pada D76).
''Saya jelaskan bahawa selama beberapa hari Nalla diganggu dan dipaksa mengaku bagi tujuan mengaitkan saya dengan salah laku seksual dan tuduhan mengkhianat. Saya juga mengesyaki penahanan Nalla didalangi oleh pihak polis. Polis yang menjadi alat kerajaan telah dipergunakan.''
Perbicaraan bersambung esok.
Oleh: FARIDAH HASHIM
------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 11/02/1999
Anwar sangkal beri arahan
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mengarahkan pegawai penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara.
Anwar juga berkata, dia tidak melarang Musa daripada mengambil kenyataan bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali dan isterinya, Shamsidar Taharin; bekas rakan tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan dan pembantu rumah Shamsidar, Aton atau nama penuhnya, Halimatul Saadiah Hashim.
''Tidak munasabah bagi saya mengarahkan demikian sedangkan saya sendiri meminta pegawai pengiring, Penolong Penguasa Polis, Zull Aznam Haron membuat laporan bagi pihak diri saya,'' kata Anwar. Bagaimanapun, katanya, dia boleh mencadangkan kepada polis supaya tidak menyoal siasat Zull Aznam.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan memberi keterangan pada hari ketiga dia membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Dia adalah saksi utama pembela pada perbicaraan yang masuk hari ke-53 hari ini.
Pada sesi pagi perbicaraan itu, peguam belanya, Raja Aziz menyoal: ''Saya mahu kamu tengok dokumen bertanda D76 dan D77 (surat Anwar kepada Perdana Menteri). Ia disertai beberapa lampiran.''
Anwar: ''Ya.''
Raja Aziz: ''Bagaimana dan bila surat ini dihantar kepada Perdana Menteri (PM)?''
Anwar: ''Saya sendiri hantar D76 dengan tangan pada 25 Ogos manakala D77 pada 28 Ogos lalu.''
Raja Aziz: ''Bagaimana kamu serahkan sendiri?''
Anwar: ''Saya jumpa PM hampir setiap hari, lebih kurang pukul 8.15 pagi.''
Raja Aziz: ''Surat-surat tersebut mengenai?''
Anwar: ''Surat pertama ialah pengesahan Tun Daim Zainuddin bahawa beliau berjumpa Ummi Hafilda Ali dan jaminan bahawa beliau kawan saya. Surat kedua...''
Hakim Augustine: ''Bagaimana lampiran ini relevan?''
Raja Aziz: ''Ia mengenai kredibiliti Ummi.''
Hakim Augustine: ''Surat pertama adalah relevan. Semua surat disertakan lampiran. Kemukakan dan ia akan ditentukan sama ada relevan atau tidak.''
Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohtar Abdullah mencelah: ''Kami tidak tahu tentang lampiran-lampiran ini sama ada ia relevan atau tidak kerana saya tengok surat itu memperkatakan soal konspirasi.''
Suasana galeri awam yang dipenuhi sebahagiannya oleh kaum keluarga Anwar kedengaran bising.
Hakim Augustine: ''Kemukakan surat dan lampiran dan juga salinan kepada pihak pendakwa.''
Raja Aziz terus menyoal: ''Adakah kamu dipecat dari jawatan pada 2 September 1998?''
Anwar: ''Ya.''
Raja Aziz: ''Sebelum dipecat, adakah apa-apa perbincangan dengan PM yang relevan bagi kes ini?''
Anwar: ''Sebulan sebelum saya dipecat, hubungan saya dengan PM bergolak. Sering timbul perdebatan hangat.''
Hakim Augustine: ''Apakah semua ini relevan?''
Raja Aziz: ''Adakah kamu diberikan pilihan?''
Hakim Augustine: ''Dalam cara apakah ia relevan dengan kes ini?''
Raja Aziz: ''Adakah kamu diberikan pilihan oleh PM berhubung peletakan jawatan?''
Mohtar: ''Saya bantah soalan begini kerana peguam bela tahu ia tidak relevan. Ia menyentuh konspirasi politik yang ditolak oleh mahkamah. Persoalan sama ada dia dipecat dari jawatannya tiada kaitan dengan empat tuduhan berhubung aktivitinya pada 1997.''
Raja Aziz: ''Sekali lagi pendakwa mengandaikan tentang apa yang berlaku pada 1997 yang dikatakan kesalahan berunsur jenayah. Jika kita tengok fakta secara objektif, AG sendiri buat keputusan bahawa tiada apa pun yang salah. Pada umumnya, PM dan Ketua Polis Negara (IGP) berpandangan serupa.
''Sebenarnya, pada April 1998, kami akan kemukakan keterangan bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz yang kita perkatakan tempoh hari telah memberitahu Parlimen bahawa AG menyatakan tiada apa-apa kesalahan (Anwar) pada 1997 dan tiada tindakan diambil.''
Mohtar: ''Peguam bela tidak boleh merujuk tuduhan sehingga mahkamah buat keputusan berhubung kejadian 1997. Peguam bela sudah tersalah arah tentang keterangan yang telah diputuskan oleh mahkamah yang mendapati ada kes prima facie. Ya, memang ada nasihat oleh AG dan juga IGP dan PM sebelum Nazri buat kenyataan. Tetapi peguam bela gagal melihatnya, misalnya, penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) ada proses sabotaj dengan Cawangan Khas (SB). Kes pada 1997 di bawah persepsi penyiasatan CID yang selama ini ada sabotaj. Mengapa keputusan dibuat pada 1997. Semua ini bohong. Tetapi pada 1998 penyiasatan dijalankan dengan menyeluruh. Ia dikatakan konspirasi politik.''
Raja Aziz: ''Saya rasa ia perlu dijawab. Sebab itu AG tidak seharusnya mengetuai pendakwaan.''
Mohtar: ''Saya bercakap berdasarkan pandangan mahkamah. Jika demikian saya boleh tinggalkan mahkamah ini.''
Hakim Augustine mencelah dengan menyatakan beliau bersetuju dengan pendapat AG itu.
Raja Aziz: ''Selain itu, beliau tidak harus berada di sini (mahkamah) kerana menyatakan PM dan IGP diperdaya. Pendakwa menyatakan adanya sabotaj oleh tertuduh melalui SB. Mengapa tidak boleh kami tunjukkan bahawa tidak berlaku sabotaj dan perkara ini diselesaikan.''
Hakim Augustine: ''Saya mengendalikan perbicaraan jenayah tak lebih daripada itu.''
Raja Aziz: ''Kejadian pada tahun 1998 adalah ekoran peristiwa pada tahun 1997. Ia kejadian yang sama kecuali dipusingkan tentang apa yang tidak salah pada 1997 dan kesalahan besar pada 1998. Mahkamah telah putuskan tiada konspirasi.''
Bagaimanapun Hakim Augustine menegaskan tiada apa yang relevan dengan persoalan yang dibangkitkan oleh peguam bela itu.
Raja Aziz: ''Kami mesti diberi peluang berhujah jika ia dikatakan sabotaj. Macam mana ada sabotaj.''
Hakim Augustine kemudian membenarkan Anwar menjawab soalan berhubung pemecatannya.
Anwar: ''Ya, saya diberi pilihan pada 2 September 1998 berhubung dakwaan atas diri saya sama ada letak jawatan atau menghadapi tuduhan salah laku seks dan mengkhianat.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu sedar kamu mungkin didakwa.''
Anwar: ''Ya, pada 12 Ogos 1998, lebih kurang pukul 8.30 pagi, Daim menemui saya di pejabat dan memaklumkan bahawa AG akan mendakwa saya.''
Raja Aziz: ''Bagaimana beliau tahu?''
Hakim Augustine: ''Tanyalah soalan lain.''
Raja Aziz: ''Saya ingin merujuk Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan. Kenapa Daim berurusan dengan AG dan bukan PM?''
Hakim Augustine: ''Tak relevan.''
Raja Aziz: ''Boleh saya buat pemerhatian bahawa mahkamah memutuskan PM juga Menteri Dalam Negeri.''
Hakim Augustine: ''Soal tentang perkara lain.''
Raja Aziz: ''Jadi kamu temui PM?''
Anwar: ''Ekoran maklumat Daim, saya terus pergi ke pejabat PM dan protes kenapa AG beritahu Daim. Kenapa AG nak dakwa saya. Dan adakah kerana wang boleh membeli segala-galanya.''
Gani memohon untuk membuat komen berhubung keterangan Anwar itu yang menyentuh Daim dan AG yang mengeluarkan kata-kata 'Wang boleh membeli segala-galanya.'
Anwar: ''Ini kebenaran. Apa yang saya katakan itu adalah benar.''
Suasana di galeri awam terutamanya bahagian yang menempatkan keluarga Anwar kedengaran bising lagi.
Hakim Augustine segera mengarahkan polis mengawasi mereka yang berkenaan.
''Siapa yang menganggap mahkamah sebagai pawagam, boleh keluar,'' kata Hakim Augustine sambil meninggikan suara.
Hadirin senyap serta merta.
Selepas itu, Hakim Augustine memutuskan keterangan yang berunsur pendapat adalah tidak relevan.
Raja Aziz: ''Saya tidak pasti apa lagi yang relevan.''
Hadirin tergelak.
Hakim Augustine kemudian meminta Raja Aziz menyoal tentang perubahan pendirian pihak polis.
Raja Aziz: ''Pegawai polis tidak bertindak sendiri. Mereka bertindak atas arahan.''
Hakim Augustine: ''Adakah sebarang keterangan untuk ditumpukan? Sebab itu saya benarkan soalan mengenai konspirasi polis yang relevan sahaja.''
Raja Aziz: ''Apakah yang boleh saya soal secara spesifik mengenai pertuduhan?''
Hakim Augustine: ''Sebab SB mengubah arahan.''
Raja Aziz: ''Arahan itu mungkin diberikan oleh seseorang untuk memecat tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Itu isu lain untuk dihujah pada forum yang lain.''
Raja Aziz: ''Isunya jika kamu (Anwar) tidak letak jawatan kamu akan didakwa?''
Hakim Augustine: ''Tumpukan soalan kepada tuduhan.''
Raja Aziz: ''Di sinilah salahnya, PM sebagai Menteri Dalam Negeri juga mempunyai kuasa ke atas polis.''
Hakim Augustine: ''Tanyalah soalan yang lebih mantap. Kamu rasa AG buat bantahan. Saya benarkan.''
Raja Aziz: ''Saya ingat lagi kenyataan tertuduh selepas dia dipecat. Ini perkara yang berbeza.''
Hakim Augustine: ''Kamu boleh hujah kemudian.''
Raja Aziz: ''Apakah hasil daripada perjumpaan pada 12 Ogos?''
Anwar: ''Pada hari yang sama ada mesyuarat kabinet. Ia terlewat 45 minit.
Hakim Augustine: ''Mahkamah ini tidak berminat dengan pertikaian antara PM dan timbalannya.''
Anwar: ''Saya ingin tahu apa yang dikehendaki oleh mahkamah mengenai isu dakwaan terhadap polis.''
Hakim Augustine: ''Dakwaan mengikut yang dipinda, kebenaran dakwaan tidak relevan. Tumpukan pada tuduhan.''
Raja Aziz: ''Kami akan tiba pada persoalan mala fide (niat jahat) polis. Kami mempersoalkan kewibawaan terutamanya saksi-saksi. Biarlah pembela dibenarkan mengemukakan kesnya yang bukan sahaja bergantung pada bahan bukti tetapi juga isu kewibawaan. Saya rasa mahkamah harus menjawabnya.''
Hakim Augustine: ''Saya putuskan bahawa kewibawaan keterangan harus seperti dalam tuduhan yang boleh dikaitkan konspirasi polis dan tidak lebih daripada itu.''
Bagaimanapun, Anwar terus memperkatakan tentang insiden pertemuannya dengan dengan PM pada 12 Ogos 1998.
Hakim Augustine: ''Tolong kawal anak guam kamu. Ini tiada kena mengena dengan pertuduhan.''
Raja Aziz: ''Memang ada sebab apabila polis mengubah tindakan pada 1997.''
Gani bangun hendak membantah.
Hakim Augustine: ''Tak payah, saya hendak buat satu lagi keputusan. Tidak ada soalan boleh dibuat mengenai apa yang diputuskan oleh AG di bawah Artikel 145 untuk pendakwaan.''
Raja Aziz: ''Kita pergi pada 2 September 1998 selepas kamu berpindah dari kediaman rasmi.''
Anwar: ''Saya pindah ke rumah sendiri di Damansara pada 3 September.''
Raja Aziz: ''Dan bila kamu ditangkap?''
Anwar: ''Saya ditangkap pada 20 September 1998, lebih kurang pukul 9.30 malam.''
Raja Aziz: ''Bagaimana kamu ditangkap?''
Hakim Augustine: ''Ia tidak relevan. Kita tumpukan pada elemen.''
Raja Aziz: ''Ia relevan dengan mala fide mengenai sikap polis terhadap tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Tak relevan.''
Raja Aziz: ''Ketika ditangkap, adakah kamu diberitahu mengenai tuduhan?''
Anwar: ''Saya segera diberitahu oleh Ketua Polis Daerah Damansara yang turut berada dalam kenderaan bahawa saya ditangkap di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.''
Raja Aziz kemudian mengalih soalan: ''Ketika Azizan Abu Bakar datang jumpa kamu pada 18 Ogos 1997, adakah kamu memarahinya?''
Anwar: ''Saya tidak menyenanginya tetapi saya tidak marahkan dia.''
Raja Aziz: ''Pada Jun 1998, adakah Azizan cuba berjumpa kamu di Kementerian Kewangan?''
Anwar: ''Azizan cuba menemui saya di Kementerian Kewangan tetapi saya enggan dan dia berjumpa dengan Setiausaha Sulit kanan saya, Mohamad Ahmad dan juga pegawai pengiring, Zull Aznam.''
Raja Aziz: ''Kenapa kamu enggan menemuinya?''
Anwar: ''Saya tidak tahu apa nak kata. Ketika itu saya sudah membuat laporan polis berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Saya enggan jumpa kerana dia nak bincang mengenai cadangan perniagaan.''
Raja Aziz: ''Selepas itu, adakah dia menemui kamu?''
Anwar: ''Ya, dia datang ke kediaman rasmi saya, tapi tak bincang mengenai cadangan perniagaan. Apabila saya sebut buku 50 Dalil, dia kata tidak terlibat dan tak pernah buat dakwaan mengenai kemalangan yang meragut nyawa isterinya. Saya katakan bahawa saya tak tuduh dia terlibat dengan konspirasi buku itu.''
Raja Aziz: ''Semasa Azizan jumpa kamu, adakah kamu beritahunya sama ada polis menyoalnya mengenai dakwaan meliwat.''
Anwar: ''Saya tidak beritahu dia supaya menafikan kepada polis mengenai dakwaan meliwat atau apa-apa isu lain kerana apa yang saya tahu ia sudah ditutup.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu berjumpa dengan Musa Hassan pada 2 September 1997 berhubung penyiasatan?''
Anwar: ''Saya tidak ingat sama ada saya jumpa beliau pada hari itu.''
------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 11/02/1999
Pendakwa raya soal balas hari ini
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah akan mula disoal balas oleh pendakwa raya esok selepas sesi pemeriksaan utama oleh peguam belanya selesai petang ini.
Pemeriksaan utama terhadap Anwar oleh peguam kanan yang mewakilinya, Raja Aziz Addruse berlangsung selama tiga hari sejak Isnin lalu.
Anwar, 51, diperintah membela diri setelah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul mendapati pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya atas empat tuduhan pindaan rasuah.
Bekas Menteri Kewangan itu didakwa menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Sebaik sahaja Raja Aziz mengakhiri pemeriksaan utamanya terhadap Anwar pada kira-kira pukul 3.35 petang, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah memohon agar pemeriksaan balas terhadap Anwar dimulakan pagi esok.
Hakim Augustine membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan bermula pukul 9 pagi dan bukan 9.15 pagi seperti yang diminta oleh Raja Aziz.
Menurut Raja Aziz, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan arahan-arahan daripada Anwar.
Hakim Augustine pula berkata, pihak pendakwa yang akan menyoal balas jadi mengapa pula pihak pembela yang meminta agar diberikan masa untuk mendapatkan arahan.
Sebelum itu, Raja Aziz telah menyoal Anwar berhubung Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Raja Aziz: ''Antara tahun 1992 hingga 1997, adakah Azizan mengunjungi kamu dan keluarga kamu di kediaman rasmi kamu?''
Anwar: ''Azizan mengunjungi kediaman kami sekali sekala dan bertemu saya dan keluarga.
Ada juga beberapa kali dalam tempoh tersebut, beliau membawa bersama arwah isterinya dan juga anak-anaknya.''
Raja Aziz beralih kepada soalan yang menyentuh kuasa Anwar selaku Menteri Kewangan.
Katanya: ''Sebagai Menteri Kewangan, adakah kamu berkuasa ke atas polis atau pegawai-pegawai Cawangan Khas (SB) seperti saksi pendakwa pertama (SP1) bekas Pengarahnya, Datuk Mohd. Said Awang dan SP11, timbalan beliau, Datuk Amir Junus?''
Anwar: ''Saya tidak mempunyai autoriti, bidang kuasa atau kuasa ke atas polis atau SB atau SP1 dan SP11.''
Raja Aziz: ''Sebagai Timbalan Perdana Menteri, adakah kamu berkuasa ke atas pihak-pihak tersebut?''
Anwar: ''Saya tidak berkuasa ke atas mereka.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu menggunakan jawatan atau kedudukan kamu sebagai Menteri Kewangan untuk memastikan aduan kamu berhubung tuduhan-tuduhan di dalam P14 dan P15 disiasat.?
''Adakah kamu memberi sebarang arahan kepada SP1 dan SP11 untuk mendapatkan kenyataan umum?''
Anwar: ''Saya tidak memberi sebarang arahan kepada SP1 dan SP11 untuk mendapatkan kenyataan umum daripada mereka.''
Raja Aziz: ''Kamu menyebut 'mereka', siapa mereka?''
Anwar: ''Daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan.''
Raja Aziz kemudian kembali kepada soal pemandu yang berkhidmat dengan Anwar.
Katanya: ''Pada ketika itu, antara 1992 hingga 1997, adakah kamu mempunyai pemandu peribadi?''
Anwar: ''Pemandu saya ialah Abdullah Sani.''
Raja Aziz: ''Sejak bila beliau menjadi pemandu kamu?''
Anwar: ''Sejak 1984 atau 1985 hingga sekarang.''
Raja Aziz: ''Bila Azizan berhenti daripada menjadi pemandu kepada isteri kamu?''
Anwar: ''Pada penghujung 1992.''
Raja Aziz: ''Pernahkah kamu menggunakan khidmat Azizan sebagai pemandu kamu?''
Anwar: ''Tidak pernah kecuali beberapa kali ketika keluar bersama isteri dan anak-anak saya.''
Raja Aziz: ''Biasanya pada waktu siang atau malam?''
Anwar: ''Sekali sekala kami sekeluarga keluar membeli-belah, biasanya pada waktu siang. Ia berlaku pada tahun 1991, tapi saya tak ingat masanya.
Raja Aziz: ''Pernahkah kamu menggunakan khidmat Azizan sebagai pemandu ketika kamu berada sendirian di dalam kereta?''
Anwar: ''Semua majlis yang perlu saya hadiri adalah pada waktu malam.
Apabila saya keluar, kereta saya akan dipandu oleh Abdullah dan saya diiringi oleh pegawai polis bernama Mokhtar.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu turut diiringi pegawai keselamatan?''
Anwar: ''Ya.''
Selepas beberapa siri soalan tersebut, Hakim Augustine bertanya, apa kaitannya dengan pembelaan Anwar.
Lalu kata Raja Aziz, ia bertujuan membuktikan Azizan tidak pernah bersendirian bersama-sama Anwar.
''Ia cuma persoalan mengenai kewibawaan Azizan,'' jelas peguam itu.
Mahkamah kemudian ditangguhkan kira-kira setengah jam sebelum disambung pada pukul 3.25 petang dengan makluman oleh Raja Aziz bahawa pemeriksaan utama terhadap anak guamnya itu sudah selesai.
Hakim Augustine menangguhkan perbicaraan sehingga esok.
-------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 11/02/1999
Larangan mahkamah ke atas media massa
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang media massa daripada menyiarkan kandungan perbualan antara bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri dan dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam dua pertemuan pada September tahun lalu.
Hakim Datuk S. Augustine Paul mengeluarkan perintah itu ketika memutuskan bahawa kandungan perbualan itu masih belum diterima sebagai bukti pada peringkat kes pembelaan terhadap Anwar atas empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.
Beliau menegaskan bahawa akhbar dilarang menyiarkan kenyataan kedua-duanya sehingga ia dibuktikan pada perbicaraan itu.
Hakim Augustine membuat keputusannya pada sesi petang perbicaraan itu selepas bantahan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang menyatakan alasan bahawa ia keterangan dengar cakap dan tidak boleh diterima pakai.
Larangan mahkamah itu meliputi dakwaan Anwar terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Ketika memberi keterangan membela diri pada sesi pagi, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan menganggap perjumpaan keduanya dengan Abdul Rahim pada Ogos tahun lalu sungguh kritikal.
Anwar berkata, pada 25 Ogos 1998, dia mengadakan pertemuan kedua dengan Peguam Negara berhubung kes ini.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Abdul Rahim, timbalannya, Tan Sri Norian Mai dan juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Datuk Yaakob Mohd. Amin di pejabat Anwar di Jabatan Perdana Menteri.
Selepas itu, kata Anwar, dia berjumpa Abdul Rahim secara bersendirian dan bercakap secara terus terang dengannya.
--------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 12/02/1999
Tertuduh tidak cenderung bawa isu ke mahkamah
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak cenderung untuk membawa kes berhubung perihal salah laku terhadapnya ke mahkamah memandangkan Cawangan Khas (SB) baru lagi menyiasat pada Ogos 1997.
Anwar menafikan dia keberatan kes itu disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) kerana tidak mahu kebenaran terbongkar.
Dia yang juga bekas Menteri Kewangan memberi tahu demikian dalam keterangan pembelaan pada perbicaraan yang masuk hari ke-54 hari ini.
Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Ketika pemeriksaan balas pada sesi pagi perbicaraan itu hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memulakan soalannya: ''Datuk Seri, pada 8 Mei 1995, adakah kamu mengangkat sumpah menyimpan rahsia?''
Anwar: ''Saya mengangkat sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Persekutuan.''
Gani: ''Adakah sumpah ini berbunyi, Saya, Anwar Ibrahim bersumpah tidak akan memberitahu kepada sesiapa apa-apa perkara yang dibawa kepada pengetahuan umum, saya sebagai menteri menzahirkan secara langsung atau tidak langsung.''
Anwar: ''Ya.''
Hakim Augustine bertanya Gani: ''Kamu mahu ia direkodkan atau menyatakan sahaja.''
Gani: ''Ia boleh direkodkan oleh mahkamah.''
Hakim Augustine dilihat menulis seketika lalu menyatakan: ''Ya.''
Gani: ''Semasa pertemuan Datuk Seri dengan SPI (bekas Pengarah SB, Datuk Mohd. Said Awang) dan SP11 (bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus) pada 11 Ogos 1997, Datuk Serilah yang mula-mula membangkitkan perkara P14, betul?''
Anwar: ''Bukan saya yang mula membangkitkan P14.''
Gani: ''Sila lihat P14a,b,c dan P15 (surat layang bertajuk Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim), Datuk Seri setuju atau tidak, dakwaan dalam P14 itu, Datuk Seri sendiri yang tanya.''
Anwar: ''Dakwaan P14a,b,c dan P15 sebahagian besar adalah tohmahan jahat terhadap saya.''
Gani: ''Datuk Seri, bersetuju atau tidak bahawa kandungan P14 yang berkaitan kegiatan amat tidak bermoral menjejaskan reputasi sendiri?''
Anwar: ''Saya bersetuju ia menjejaskan maruah dan nama baik saya.''
Gani: ''Saya ulang soalannya. Saya tanya kandungan P14 adakah berkaitan dengan kegiatan tidak bermoral?''
Anwar: ''Kandungan yang berunsur fitnah dan bertujuan jahat tidak semestinya akan menjejaskan nama baik saya sekiranya maklumat sebenar diketahui.''
Gani: ''Datuk Seri, saya nak mengingatkan apa yang Datuk Seri telah jawab pada pemeriksaan utama oleh peguam bela Isnin lalu selepas pukul 2.15 petang di mana peguam bela menanyakan kejadian yang berlaku mengenai pertemuan dengan SP1 yang datang sendirian untuk bertemu Datuk Seri.
Gani membaca semula keterangan yang telah diberikan oleh Anwar pada pemeriksaan utamanya dan kemudian meneruskan soalan: ''Siapakah yang mula membangkitkan perkara P14 semasa pertemuan dengan SP1 pada 11 Ogos 1997?''
Anwar: ''Yang Arif, saya nak menjelaskan ada dua hal di sini. Pada 11 Ogos 1997, bukan saya yang mula membangkitkan isu P14 dengan SP1.''
Gani: ''Yang Arif, soalan saya mengenai perkara berkaitan dengan kandungan P14 dan bukan P14.''
Hakim Augustine: ''Apa perbezaannya?''
Para hadirin di galeri awam tergelak.
Gani: ''Ini tanda-tanda hendak mengelak jawapan.''
Peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse mencelah: ''Saya rasa jawapannya sangat mudah.''
Gani: ''Perkara berkaitan isu-isu yang terkandung dalam P14. Siapa yang membangkitkannya?''
Anwar: ''Yang Arif, masa itu saya tidak tahu dengan P14.''
Gani: ''Datuk Seri, adakah bersetuju P14 mengandungi dakwaan bahawa Datuk Seri terlibat di dalam kegiatan homoseksual dan berzina dengan isteri Mohd. Azmin Ali. Bersetuju?''
Anwar: ''Saya mengetahui bahawa P14 mengandungi tohmahan dan fitnah jahat yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.''
Gani: ''Datuk Seri, soalan saya sangat mudah. Peguam bela kamu boleh menyoal semula selepas ini. Jawab, ya atau tidak.''
Anwar: ''P14 mengandungi tohmahan dan fitnah jahat yang sengaja disebarkan oleh orang-orang jahat yang diupah.''
Gani: ''Boleh saya ulang soalan. Adakah kamu bersetuju P14 mengandungi dakwaan bahawa Datuk Seri terlibat.''
Anwar: ''Sabarlah, saya nak jawab.''
Gani: ''Dah dua kali sabar ni.''
Anwar: ''P14 mengandungi fitnah jahat oleh orang jahat dan diupah dan dipercayai orang-orang yang sama jenisnya. Tindakan...''
Pada peringkat ini Mohtar bangun membantah.
Raja Aziz mencelah lagi: ''Ketika pendakwa membentangkan kesnya, saksi dibenarkan memberi penjelasan dalam jawapan mereka. Yang Arif pagi ini memutuskan bahawa dokumen D76 dan D77 menjelaskan dengan sendirinya.''
Gani: ''Boleh saya ingatkan bahawa saksi ini mengelak daripada memberi jawapan.''
Hakim Augustine: ''Ulang soalan.''
Gani: ''Datuk Seri bersetuju bahawa P14 mengandungi dakwaan bahawa Datuk Seri terlibat di dalam kegiatan homoseksual dan melakukan perbuatan zina dengan isteri Mohd. Azmin Ali. Betul atau tidak?''
Anwar: ''Saya mengetahui P14 mengandungi tohmahan dan fitnah jahat terhadap saya oleh orang-orang jahat.''
Hakim Augustine: ''Ini bukan jawapan yang diminta.''
Anwar: ''Dengar dulu, yang menuduh saya melakukan kegiatan homoseksual dan fitnah zina adalah orang-orang yang diupah terhadap isteri Mohd. Azmin.''
Gani: ''Adakah Datuk Seri setuju bahawa P14 atau dakwaan yang terkandung di dalamnya telah disebar pada bulan Ogos 1997?''
Anwar: ''Saya setuju ia telah disebar secara meluas melalui satu konspirasi mulai Ogos 1997.''
Gani: ''Yang Arif, mahkamah memutuskan konspirasi tidak relevan. Ini harus dibatalkan.''
Anwar: ''Saya tidak menyatakan konspirasi politik. Ia konspirasi. Saya hanya beri penjelasan.''
Hakim Augustine: ''Datuk Seri berikan jawapan secara terus terang. Jika tidak ia akan berbalik kepada kamu semula. Jika kamu tidak tahu, katalah tidak tahu.''
Gani: ''Adakah Datuk Seri bersetuju dakwaan dalam P14 boleh mendedahkan Datuk Seri pada penghinaan dan kebencian ramai. Bersetuju atau tidak.''
Anwar: ''Tohmahan dan fitnah P14 tidak mudah menyebabkan kebencian ramai kerana rakyat juga ingin mengetahui punca dalam usaha penyebaran fitnah.''
Gani: ''Soalan saya kan mudah...''
Hakim Augustine: ''Kamu meminta pendapatnya.''
Gani: ''Dia tidak menjawab mengenai pendedahan. Jawapannya kan mudah. Pendedahan ada bezanya.''
Hakim Augustine: ''Itu kamu boleh hujah kemudian.''
Gani: ''Jika begitu, saya katakan pada Datuk Seri bahawa dakwaan dalam P14 telah mendedahkan Datuk Seri pada penghinaan dan kebencian ramai.''
Anwar: ''Saya bersyukur kerana meskipun ada tohmahan jahat dan pakatan untuk menghina dan menimbulkan kebencian ramai, rakyat masih menyayangi saya.''
Sebahagian kaum keluarga Anwar yang duduk di galeri awam kedengaran riuh ..Yaaa!
Anwar: ''Dan tidak terpengaruh dengan pakatan jahat tersebut.''
Gani: ''Pakatan juga tidak boleh diterima. Datuk Seri mengelak daripada menjawab.''
Anwar: ''Kamu mahu saya beri jawapan.''
Hakim Augustine: ''Biar saya tulis dulu dan selepas itu saya nasihatkan kamu. (Hakim Augustine mengambil masa menulis seketika).
Beliau lalu menasihatkan Anwar: ''Pada akhir soalan jawapan mestilah diberikan seringkasnya. Jika kamu berterusan begini ia membayangkan keadaan kamu yang sebenar dan pendakwa boleh menghujah sebaliknya terhadap kamu. Kamu tidak perlu memberi jawapan. Mereka (peguam bela) sedang membuat pemerhatian ketat dan mereka boleh menyoal semula.''
Anwar: ''Untuk menjelaskan pendedahan kepada orang ramai, saya katakan, tidak.''
Hakim Augustine: ''Kamu boleh kata tidak. Jangan bawa pakatan. Jawapan kamu mestilah bermakna untuk kepentingan kamu. Tak usah nyatakan perkara yang tidak perlu.''
Anwar: ''Ini agak relevan.''
Hakim Augustine: ''Inilah orang yang memastikan keadilan yang akan menasihatkan kamu. Saya seorang hakim. Saya tak tahu politik. Kamu beri jawapan berorientasikan politik. Ini soalan dan kamu sepatutnya beri jawapan yang sebaiknya kerana jawapan itu boleh memudaratkan kamu.''
Gani: Adakah Datuk Seri setuju...''
Hakim Augustine: ''Soalan sama atau baru?''
Gani: ''Baru...adakah Datuk Seri setuju bahawa kandungan P14 boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri selaku TPM dan Menteri Kewangan pada ketika itu?''
Anwar: ''Tohmahan P14 bertujuan menjejaskan nama baik saya tetapi telah tidak berhasil.''
Hakim Augustine: ''Letakkan noktah, jangan pergi lebih jauh...tidak berhasil kerana pakatan?''
Gani: ''Yang Arif, saya ulang soalan. Datuk Seri, soalan ini berbunyi begini, adakah Datuk Seri bersetuju bahawa kandungan P14a,b dan c, boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri selaku TPM dan Menteri Kewangan pada ketika itu?''
Hakim Augustine: ''Apa jawapannya?''
Anwar: ''Saya telah jawab tadi. Soalannya berbentuk andaian. Boleh menjejaskan...''
Gani: ''Adalah baik jika penjelasan direkodkan.''
Anwar: ''Saya meminta untuk beri penjelasan sama ada soalan ini suatu andaian.''
Gani: ''Yang Arif, saya menyatakan kepada dia.''
Hakim Augustine: ''Dia tanya adakah suatu andaian.''
Gani: ''Saya tidak jawab soalan daripada saksi.''
Hakim Augustine: ''Pada pendapat saya ini soalan andaian.''
Gani: ''Adakah kandungan P14 boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri sebagai TPM?''
Anwar: ''Itu saya setuju, tapi kalau yang tadi (soalan) seperti jawapan yang sudah saya buat.''
Gani: ''Saya menyatakan bahawa kandungan P14 boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri selaku TPM dan Menteri Kewangan pada ketika itu.''
Anwar: ''Jawapan tadi, saya tidak terjejas semata-mata kerana tohmahan dan fitnah P14.''
Gani: ''Datuk Seri, oleh sebab P14 boleh mendedahkan Datuk Seri pada penghinaan dan kebencian ramai dan juga boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri sebagai TPM dan Menteri Kewangan maka dakwaan dalam P14 dan P15 disebarkan secara meluas kepada umum.''
Seorang lagi peguam bela Anwar, Gurbachan Singh membantah bentuk soalan dengan alasan pendakwa raya membuat andaian boleh menyebabkan 'kebencian'.
Hakim Augustine: ''Adakah bahagian pertama soalan itu berdasarkan andaian?''
Gurbachan: ''Ya.''
Hakim Augustine: ''Ulang soalan.''
Gani: ''Datuk Seri, saya mengatakan bahawa Datuk Seri tidak mahu dakwaan-dakwaan seperti dalam P14 dan P15 disebarkan secara meluas kepada umum kerana ini akan dedahkan Datuk Seri pada penghinaan dan kebencian ramai.''
Anwar: ''Jawapan unsur politik Yang Arif tegur pula. Tohmahan P14 dan P15 dari awal lagi diketahui fitnah besar dan jahat tidak mungkin kalau pun tersebar luas boleh mengakibatkan penghinaan dan kebencian ramai.''
Gani: ''Saya katakan bahawa Datuk Seri tidak mahu dakwaan seperti yang terkandung dalam P14 dan P15 disebar secara meluas kepada umum kerana ini boleh menjejaskan nama baik Datuk Seri selaku TPM dan Menteri Kewangan pada ketika itu.''
Anwar: ''Saya telah jelaskan bahawa fitnah dan tohmahan tidak mungkin menjejaskan nama baik saya.''
Gani: ''Datuk Seri menyebut isu keselamatan. Adakah isu keselamatan ini berhubung kait dengan penjejasan nama baik Datuk Seri selaku TPM dan Menteri Kewangan pada ketika itu.
Anwar: ''Saya sebut isu keselamatan sepertimana yang disebut kepada saya oleh IGP.''
Gani: ''Saya juga mengatakan bahawa Datuk Seri pada 13 Ogos 1997 telah mengarahkan SP1 dan SP11 untuk mengesan Ummi dan Azizan secepat mungkin, menemu duga mereka dan menggempar mereka.''
Anwar: ''Tidak benar bahawa SP1 dan SP11 diarah oleh saya. Mereka datang ke kediaman rasmi saya untuk memaklumkan kemajuan siasatan berdasarkan arahan IGP kepada mereka sebelum itu. Dalam perbincangan itu saya bertanya.''
Gani: ''Boleh jelaskan kemudian.''
Anwar: ''Jadi saya tidak jawab sepenuhnya?''
Gurbachan: ''Biarlah dia jawab.''
Gani: ''Saya katakan kepada Datuk Seri bahawa Datuk Seri telah meminta SP1 dan SP11 menggempar dan bukan menggempar sikit-sikit Ummi dan Azizan.''
Anwar: ''Tidak setuju, apa yang berlaku ialah SP1 dan SP11 memaklumkan kepada saya kemajuan siasatan dan saya menyatakan dalam perbualan ringan itu supaya mereka (SP1 dan SP11) jangan terlalu keras. Terutamanya, Yang Arif, SP11 dalam laporannya, agak marah dan keras terhadap Ummi dan Azizan. Dalam konteks itu, saya sebut, janganlah macam itu, gempar sikit-sikit cukuplah.''
Gani: ''Saya mengatakan kepada Datuk Seri bahawa untuk melaksanakan segala arahan-arahan Datuk Seri kepada SP1 dan SP11, untuk mengesan, menemuduga dan menggempar Ummi dan Azizan, pihak polis terpaksa menahan mereka.''
Gurbachan: ''Maaf jika mencelah. Saya ingin bantah soalan ini. Saya katakan soalan ini menyimpang.''
Gani: ''Ini soalan yang dikatakan kepada saksi.''
Anwar: ''Saya tidak memberi arahan sama sekali seperti yang didakwa dan soal cara tindakan polis tidak pernah dibincang dengan saya.''
Gani: ''Datuk Seri, saya katakan Datuk Seri tidak membuat laporan polis melalui Zull Aznam (bekas pegawai pengiring Anwar) untuk membolehkan SP1 dan SP11 melaksanakan arahan-arahan dan membolehkan Ummi dan Azizan ditangkap.''
Anwar: ''Tidak benar. Saya yang buat laporan polis. Saya tahu tujuannya. Yang Arif, pada peringkat awal saya keberatan buat laporan tetapi dinasihatkan oleh SP1 untuk membolehkannya menyiasat sedalam-dalamnya isu P14 dan P15.''
Gani: ''Saya mengatakan pada 15 Ogos 1997, Datuk Seri telah mengatakan kepada SP1 dan SP11 sekiranya perkara ini disiasat oleh CID kes tersebut janganlah dibawa ke mahkamah.''
Anwar: ''Yang Arif, kes tersebut seperti mana yang dimaklumkan oleh IGP melibatkan isu keselamatan sebab itu sebelum CID memanjangkannya kepada saya kerana saya harus dimaklumkan kemajuannya. Saya juga akui, saya tidak cenderung pada ketika itu untuk membawa perkara itu ke mahkamah kerana SB baru lagi memulakan siasatan.''
Gani: ''Datuk Seri, saya mengatakan bahawa Datuk Seri pada mulanya keberatan kes ini disiasat oleh CID kerana Datuk Seri tidak mahu kebenaran akan terbongkar.''
Anwar: ''Tidak benar.''
Gani: ''Saya katakan...''
Anwar: ''Jawapan belum habis. Itu teori dipakai oleh musuh saya. Politik tak boleh sebut. Kalaulah benar saya takut kebenaran dengan maksud melindungi atau saya telah buat apa-apa kesalahan seperti yang ditohmah, saya tidak akan membuat laporan polis. Dan tidak pula meminta SP1 menyiasat sedalam-dalamnya.''
---------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 12/02/1999
Anwar nafi sedia kenyataan Ummi
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia terlibat menyediakan kenyataan-kenyataan daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk menarik balik tuduhan terhadapnya.
Anwar juga menafikan bahawa dia mengarahkan saksi pendakwa pertama (SP1), Pengarah Cawangan Khas (SB) ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang dan timbalannya, SP11, Datuk Amir Junus supaya mendapatkan kenyataan-kenyataan tersebut daripada mereka, malah katanya:
''Saya tidak pernah diberitahu sama sekali tentang apa yang dikatakan arahan itu.''
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan disoal oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pada sesi pemeriksaan balas pihak pendakwa yang bermula pagi ini.
Perbicaraan yang masuk hari ke-54 hari ini menyaksikan Anwar membela diri buat hari keempat atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk mengelakkan dirinya daripada keaiban.
Pemeriksaan balas yang disambung pada pukul 2.15 petang berkisar mengenai arahan yang didakwa diberikan oleh Anwar kepada SP1 dan SP11 serta laporan SP1 kepada Perdana Menteri (PM).
Gani: ''Berdasarkan laporan SP1 kepada PM bertarikh 20 Ogos 1997 (D25) adakah benar siasatan SB terhadap P14b dan c (surat Ummi mengandungi dakwaan perihal salah laku TPM dan surat pengakuan Azizan) dan P15 (surat layang 'Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim') tidak dijalankan sepenuhnya?''
Anwar: ''Saya tidak setuju sebab laporan itu menyebut pengakuan Ummi dan Azizan dibuat secara sukarela. Mengikut para ke-4, siasatan juga melibatkan sumber-sumber lain yang menunjukkan tuduhan-tuduhan yang dilempar itu tidak mempunyai bukti dan sengaja direka. Di samping itu, disebut 'wujud...''
Gani memintas sambil berkata: ''Yang Arif, Saya tidak berminat tentang perkara itu. Soalan saya mudah. Berdasarkan hasil siasatan setakat ini...''
Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Kalau begitu, lebih baik kamu berhujah mengenainya pada penghujung kes ini.''
Gani: ''Saya beralih ke soalan lain. Datuk Seri berkata, Datuk Seri tidak mahu kes ini dibawa ke mahkamah kerana khuatirkan publisiti.''
Anwar: ''Saya tidak setuju atas dua alasan. Pertama kerana saya sendiri membuat laporan polis melalui Zull Aznam dan kedua, saya bersetuju dengan Peguam Negara (AG) bila beliau cadangkan pada saya untuk mengambil tindakan terhadap orang-orang berkenaan.
''Pada masa itu, PM tidak setuju. Jadi, tidak benar bahawa saya takut atau khuatir akan publisiti mengenai kes ini jika ia dibawa ke mahkamah.''
Gani: ''Saya katakan pada Datuk Seri, hanya pendakwa raya boleh membawa kes ini ke mahkamah.''
Anwar: ''Kuasa pendakwaan pada AG sebab itu saya kata, rujuk kepada laporan polis dan pandangan AG.''
Gani: ''Datuk Seri, saya katakan bahawa pada 16 Ogos 1997, Datuk Seri berkata pada SP1 dan SP11, sekiranya Ummi dan Azizan ditangkap, mereka janganlah ditahan lama-lama.''
Anwar: ''Memang benar, saya menyebut 'janganlah tahan Ummi dan Azizan lama-lama'. Yang Arif, SP1 dan SP11 kata pada saya, 'Datuk Seri ni baik hati sangat, orang fitnah macam itupun masih kasihan lagi'. Itu pada tahun 1997, tapi tahun 1998 dah salah pulak!''
Gani: ''Yang Arif, jawapan terakhir ini tidak pernah dikemukakan kepada SP1 dan SP11.''
Hakim Augustine: ''Hujahkan kemudian.''
Gani: ''Saya katakan pada Datuk Seri bahawa jawapan tadi tidak pernah disebut oleh SP1 atau SP11 kepada Datuk Seri.''
Anwar: ''Yang Arif, mereka sebut. Yang Arif harus tahu pada masa itu mereka menunjukkan simpati yang amat sangat kepada saya. Kalau boleh saya tambah, bila dicadangkan pendakwaan oleh AG...''
Gani: ''Bukan ini jawapannya, hanya bahagian yang awal tadi. Saya katakan pada Datuk Seri, pada 18 Ogos 1997, sekitar 12.30 pagi, Datuk Seri arahkan SP1 dan SP11 untuk dapatkan kenyataan bertulis daripada Ummi dan Azizan bagi menarik balik dan menafikan dakwaan-dakwaan dalam P14b dan c.''
Anwar: ''Saya tidak mengarahkan mereka.''
Gani: ''Datuk Seri juga arah supaya kenyataan-kenyataan bertulis itu dialamatkan kepada PM.''
Anwar: ''Perkara ini tidak berbangkit langsung sehingga Jun 1998. Makluman daripada SP1 hanya diperoleh pada bulan Oktober 1998 selepas saya dipecat.'' Gani mengulangi soalannya.
Anwar: ''Pertemuan itu singkat sekali dan saya tidak mengarahkan SP1 dan SP11 mengemukakan laporan kepada saya untuk mengatakan bahawa dua pihak terlibat. Surat P14 ditulis kepada PM dan saya menjadi mangsa tohmahan.''
Gani: ''Datuk Seri, saya katakan, kandungan P17 dan P18 adalah penting dan memberi faedah kepada Datuk Seri.''
Anwar: ''P17 dan P18 memberi penjelasan dan maklumat tentang pandangan SP1 dan SP11, berfaedah untuk saya.''
Gani: ''Adakah surat-surat ini penting dan berfaedah kepada Datuk Seri?''
Anwar: ''Saya minta polis siasat sepenuhnya...''
Gani yang tidak berpuas hati dengan jawapan Anwar mengadu kepada Hakim Augustine: ''Tertuduh bukan memberikan jawapan, saya soal sama ada ia memberi sebarang faedah atau penting kepadanya.''
Anwar: ''Saya perlu berhati-hati agar jawapan saya tidak diputarbelitkan.''
Gani: ''Soalan saya, sama ada ia memberi faedah kepadanya atau sebaliknya. Jika ya, jawab ya, jika tidak, katakan tidak.''
Anwar: ''Saya sudah pun meminta polis menyiasat secara menyeluruh dan beritahu saya apa sebenarnya. Jadi kenapa perlu beranggapan sebaliknya.
''Bagi saya, yang penting ialah kebenaran, Setakat itu, surat-surat ini penting kepada saya.''
Gani beralih ke isu lain lalu menyoal: ''Datuk Seri, saya katakan, pada malam 18 Ogos 1997, Datuk Seri sendiri yang berhasrat menemui Azizan di pejabat SB tetapi tidak dipersetujui oleh SP11.''
Anwar: ''Saya tidak setuju cerita yang direka oleh SP11. Kalau betul saya nak jumpa, saya jumpa dua-dua sekali, Azizan dan Ummi. Tapi sebenarnya, saya tdak ingin jumpa Ummi...''
Jawapan Anwar membuatkan kalangan hadirin di galeri awam tergelak.
Hakim Augustine: ''Kamu kata, nak jumpa kedua-duanya, tetapi kemudian kamu kata tak nak jumpa Ummi, macam mana?''
Anwar: ''Maksud saya, kalau benarlah saya serius hendak berjumpa mereka.''
Hakim Augustine: ''Saya dah kata, komen-komen sedemikian tidak bagus. Lagipun bila saya semak keterangan, saya hanya membaca apa yang saya catatkan.
''Jadi bataskan diri kamu untuk memberikan jawapan yang wajar dicatatkan di dalam buku ini.'' (Hakim Augustine merujuk kepada buku catatan beliau).
Gani: ''Datuk Seri juga kemudian mengarahkan supaya Azizan dibawa ke rumah Datuk Seri pada malam tersebut.''
Anwar: ''Tidak benar, saya mengarahkan SP1...''
Hakim Augustine mencelah: ''Tidak benar, cukup.''
Gani: ''Sila lihat D76, surat Datuk Seri kepada PM yang disertakan beberapa lampiran). Saya akan berikan masa untuk Datuk Seri menelitinya.''
Anwar: ''Saya sudah biasa melihat surat ini.''
Hakim Augustine: ''Tak mengapa, kita tangguh sebentar untuk membolehkan kamu menelitinya. Kesenangan anda satu kepuasan buat kami.''
Sidang kemudian disambung pada pukul 3.25 petang dengan soal balas Gani berhubung P20 dan P22 (kenyatan umum Ummi dan Azizan menarik balik tuduhan terhadap Anwar).
Gani: ''Datuk Seri, bersetujukah bahawa P20 dan P22 berfaedah kepada Datuk Seri?''
Anwar: ''Bagi saya soal faedah tidak berbangkit. Yang penting ialah kebenaran.''
Gani: ''Sila jawab soalan saya.''
Anwar: ''Itu jawapan saya.''
Gani: ''Yang Arif, saya dah minta tertuduh jawab soalan dan katanya, itulah jawapannya.'' Lalu beliau mengulangi soalan tersebut.
Anwar: ''Yang Arif, kebenaran penting buat saya.''
Gani: ''Kebenaran memang penting, adakah P20 dan P22 penting bagi Datuk Seri?''
Anwar: P20 dan P22 adalah penjelasan Ummi dan Azizan terhadap tohmahan atau fitnah, bertujuan memberi kenyataan yang benar.''
Gani: ''Saksi ini suka mengelak daripada menjawab.''
Peguam kanan yang mewakili Anwar, Raja Aziz mencelah, katanya: ''Bukan, soal menjawab soalan atau tidak harus dihujahkan pada penghujung kes ini dan penjelasan akan diberi kenapa soalan-soalan itu dijawab sedemikian.''
Gani: ''Tetapi ini membuktikan perilaku tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Raja Aziz sudah menjelaskan bahawa perkara itu wajar dihujahkan kemudian. Adakah kamu hendak berhujah sekarang?''
''Tidak, Yang Arif,'' jawab Gani lalu menyoal Anwar: ''P20 dan P22 telah dihantar oleh Datuk Seri bersama-sama D76.''
Anwar: ''Soalan itu sengaja mengelirukan kerana D76 dihantar kepada PM satu tahun berikutnya dan saya turut lampirkan hampir semua dokumen yang ada dalam simpanan.''
Gani: ''Datuk Seri setuju atau tidak bahawa ia dihantar untuk perhatian PM?''
Anwar: ''Yang Arif, D76 dihantar kepada PM sebagai lanjutan perbincangan antara saya dengan beliau.''
Gani: ''Soalan saya tidak dijawab.'' Beliau mengulanginya.
Anwar: ''Saya dah jawab tapi pendakwa masih kata saya cuba mengelak daripada menjawab.''
Hakim Augustine: ''Kalau kamu dah jawab, katakan kamu dah jawab.''
Anwar: ''Selepas berbincang dengan PM, semua dokumen dalam rekod saya dilampirkan.''
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai barisan pendakwa bangun membantah sikap tertuduh dan berkata: ''Saya ingin mencelah pada peringkat ini. Soalan Gani begitu mudah, untuk perhatian PM, bukan untuk gantung di dinding, dimasukkan ke dalam laci atau sebagainya. Sebaliknya, tertuduh menjawab berbelit-belit.''
Mendengar teguran Peguam Negara, Anwar dengan suara lantang segera menjawab: ''Nasihat itu sepatutnya ditujukan kepada PM. Saya harus diberi kebebasan untuk menjawab dan bukanlah urusan Peguam Negara untuk menentukan apa atau bagaimana saya perlu menjawab.''
Mohtar: ''Saya mohon mahkamah mencatatkan peri laku tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Itu sebabnya, saya minta kamu berikan jawapan sependek mungkin untuk mengelakkan sebarang masalah.''
Anwar: ''Saya ulangi jawapan saya dalam bahasa Melayu yang mudah. Keseluruhan lampiran dalam D76 termasuk P20 dan P22 dihantar kepada PM sebagai lanjutan perbincangan dengannya.
Gani: ''Datuk Seri, adakah Datuk Seri menyebut bahawa Azizan dan Ummi telah menafikan dakwaan-dakwaan mereka dalam P14b dan c melalui P20 dan P22?''
Hakim Augustine: ''Jika dia sudah nyatakan demikian, maka ia hanya perlu dihujahkan kemudian.''
Gani: ''Walaupun begitu, saya mahukan kepastian daripadanya.''
Anwar: ''Ini adalah surat saya kepada PM menjelaskan konspirasi...''
Gani: ''Itu bukan soalan saya, saya cuma ingin tahu sama ada dia menyebut dalam suratnya bahawa Ummi dan Azizan sudah menarik balik dakwaan.''
Anwar: ''Betul...''
Hakim Augustine: ''Betul, cukup.''
Anwar: ''Pendek sangat Yang Arif. Saya sebut di muka lima surat itu.''
Gani: ''Saya katakan pada Datuk Seri bahawa P20 dan P22 dibawa ke perhatian PM bagi kepentingan dan faedah Datuk Seri sendiri.''
Hakim Augustine: ''Adakah ini relevan?''
Gani: ''Ia bertujuan membuktikan keadaan fikirannya.''
Hakim Augustine: ''Kenapa perlu persoalkan tentang tindakannya menulis surat kepada PM yang tidak ada kena mengena dengan tindakan menghentikan pendakwaan jenayah.''
Gani: ''Terdapat aspek yang menunjukkan perkara ini tiba ke perhatian PM dan kemudian ke Jabatan Peguam Negara, kami cuba membuktikan keadaan fikiran tertuduh.
''Kami berpendapat, tertuduh cuba meyakinkan PM dan kerana itulah dia melakukan kesalahan yang didakwa.''
Hakim Augustine: ''Tapi tak pula disebut dalam tuduhan bahawa tindakannya itu untuk mengelak pendakwaan jenayah.''
Gani: ''Kami mahu buktikan bahawa dengan menghantar surat kepada PM, tertuduh cuba meyakinkan PM untuk menghentikan pendakwaan.''
Hakim Augustine kali ini mengingatkan Gani: ''Bataskan pemeriksaan balas kamu hanya kepada elemen-elemen tuduhan yang dihadapinya. Di mana kaitannya untuk membuktikan perkara ini.''
Gani: ''Dia berbuat demikian kerana surat-surat itu amat penting baginya.''
Hakim Augustine: ''Menyentuh soal kepentingan dokumen itu, kamu perlu merangka tuduhan lain.''
Kata-kata hakim itu membuatkan Anwar menyampuk: ''Saya harap Yang Arif tidak berniat mencadangkan demikian.''
Gani: ''Saya katakan bahawa Datuk Seri bawa P20 dan P22 ke perhatian PM bagi faedah dan kepentingan Datuk Seri sendiri.''
Hakim Augustine: ''Saya tidak fikir soalan itu relevan. Soalan itu dibatalkan.''
Sambil tersenyum, Anwar berkata: ''Saya boleh memberikan jawapan secara sukarela...'' disambut gelak para hadirin.
Gani: ''Datuk Seri sendiri terlibat dalam penyediaan P20 dan P22?''
Hakim Augustine: ''Faham?''
Anwar: ''Ya. Tidak benar.''
Mohtar: ''Jawab begitu kan senang...''
Lalu kata Anwar: ''Senang bagi mereka, tapi tidak bagi saya, Yang Arif.''
Perbicaraan bersambung.
Oleh: FARIDAH HASHIM
-------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 13/02/1999
Isu sumpah simpan rahsia dibangkitkan
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah ketika menyoal balas Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menimbulkan soalan berhubung ikrar mengangkat sumpah menyimpan rahsia sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 8 Mei 1995.
Ketika menjawab soalan itu, Anwar berkata, dia memahami ikrar sumpah itu yang dilafazkan dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Anwar berkata dengan sumpah itu menyebabkan dia menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dan tidak boleh menggunakan kuasa untuk memperkayakan keluarga atau bertindak zalim.
Dia memberitahu demikian dalam keterangan pembelaannya atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi menyelamatkan diri daripada keaiban.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan membuat pembelaan itu pada perbicaraan yang masuk hari ke-55 hari ini.
Perbicaraan bermula pukul 9.16 pagi ini. Sebelum memulakan sidang, Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata: ''Saya ingin menasihatkan pembela jika mengemukakan mana-mana fakta sampingan mengenai konspirasi polis ia mestilah menyediakan penghujahan dengan mematuhi peruntukan Seksyen 136 Akta Keterangan 1950.''
Peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse bangun bertanya: ''Saya ingin meminta penjelasan, adakah ia berhubung fakta sampingan untuk mewujudkan konspirasi polis?''
Hakim Augustine: ''Saya memberikan garis panduan, ia harus mematuhi Seksyen 136, tetapi tak relevan sekarang ini. Hujah yang dibuat harus menyatakan bagaimana ia relevan. Misalnya, kamu ingin mengemukakan keterangan bahawa nota dicampak ke arah lokap No. 6 di Bukit Aman.''
Pada sebahagian pemeriksaan utama semalam, Anwar mendakwa bahawa adik angkatnya, Sukma Darmawan mencampakkan secebis nota ke arah lokapnya tiga hari sebelum dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh pada September tahun lalu.
Selepas itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail meneruskan pemeriksaan balas dengan soalan: ''Betul atau tidak Datuk Seri pernah kehilangan dua jumlah wang yang besar di kediaman rasmi Datuk Seri?''
Hakim Augustine: ''Adakah ia relevan?''
Gani: ''Untuk menunjukkan kredibiliti saksi. Pada pemeriksaan utama perkara ini tidak dibangkitkan. Tetapi soalan ini ditimbulkan oleh pihak pembela kepada saksi pendakwa ke-11 (SP11), bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Amir Junus. Ia mengenai polis memasang alat perakam telefon di kediaman tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Adakah memasang alat perakam telefon relevan dengan pertuduhan?''
Gani: ''Mereka (peguam bela) membangkitkan konspirasi polis. Kami hanya cuba menunjukkan alat itu dipasang atas permintaan tertuduh.''
Hakim Augustine: ''Jadi maksud kamu, pemasangan alat perakam itu relevan. Apa kata pembela?''
Gurbachan: ''Kami tidak membantah soalan ini.''
Hakim Augustine: ''Walaupun ia tidak dibantah saya rasa ia tidak relevan.''
Gurbachan: ''Ia sebahagian kes kami dan ia relevan.''
Hakim Augustine: ''Saya benarkan soalan meliputi perkara itu sahaja.''
Anwar: ''Yang Arif, SP11 tidak bercakap benar. Saya maklumkan...''
Gani: ''Datuk Seri ada meminta SB menyiasat kehilangan wang tersebut?''
Anwar: ''Bila saya jadi TPM, pihak SB berpendapat kawalan keselamatan di rumah harus lebih ketat lagi, tidak terdedah kepada orang ramai yang memasuki rumah dan kawasannya.''
Gani: ''Saya ulang soalan. Soalan saya mudah, adakah Datuk Seri meminta SB menyiasat kehilangan wang tersebut, ada atau tidak?''
Anwar: ''Itulah saya nak jawab, kurang sabar. Susulan daripada jawapan saya, ya, betul, untuk menjaga kawasan rumah saya. Betul saya bercakap dengan SB untuk mengawal kawasan rumah dan ini saya sampaikan kepada pegawai keselamatan saya, Zull Aznam (bekas pegawai pengiringnya, Zull Aznam Haron).''
Gani: ''Datuk Seri, saya tidak ulang soalan itu lagi. Berkaitan kehilangan wang-wang tersebut.''
Seorang lagi peguam belanya, Sulaiman Abdullah membantah: ''Beliau (Gani) buat andaian terdapat banyak wang.''
Hakim Augustine: ''Soalkan sama ada hilang wang.''
Gani: ''Biar saya periksa dulu (Gani dilihat memeriksa notanya), Datuk Seri, saya akan ulang satu lagi soalan.''
Hakim Augustine: ''Dia kata SP11 tidak bercakap benar.''
Gani: ''Saya mengatakan Datuk Seri ada meminta SB pasang alat perakam telefon di rumah Datuk Seri.''
Anwar: ''Tidak benar, tidak munasabah dan tidak masuk akal untuk saya meminta polis buat begitu. Bahkan, Yang Arif, saya diberitahu telefon rumah saya dirakam beberapa tahun sebelumnya di rumah peribadi di Damansara, selepas itu di kediaman rasmi.''
Gani: '' Ini keterangan dengar cakap.''
Sulaiman: ''Ini bukan dengar cakap.''
Anwar: ''Mengapa pula saya berbincang mengenai isu keselamatan.''
Gani: ''Kamu boleh menjelaskan kemudian. Saya tidak buat apa-apa cadangan.''
Anwar: ''Kalau Yang Arif tidak catat, baguslah.''
Gani: ''Dengar betul-betul, saya katakan pada pertemuan pertama, 30 Ogos 1997 antara Datuk Seri, Peguam Negara (AG) dan Datuk Ismail Che Ros yang merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID), juga disertai oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan (SP13).''
Anwar: ''Yang Arif saya jawab, setelah menyemak diari pejabat yang dirampas sebelumnya dan bertanyakan kepada bekas setiausaha sulit saya, Mohd. Azmin Ali, kita tidak ada rekod kehadiran Musa pada tarikh tersebut. Nama-nama AG dan Pengarah CID ada dicatatkan.''
Gani: ''Betul atau tidak, nama pegawai-pegawai yang hadir bersama pegawai atasannya di dalam sesuatu pertemuan dengan Datuk Seri tidak akan dicatat dalam diari ini.''
Anwar: ''Yang Arif, soalan itu umum, kalau pegawai 100 orang maka jumlah pegawai, nama pegawai yang mengiring tidak dicatatkan. Tetapi jika perjumpaan itu kecil, empat atau lima orang, nama mereka akan dicatatkan.''
Gani: ''Saya katakan pada Datuk Seri, apa yang Datuk Seri cakap adalah tidak betul.''
Anwar: ''Saya jelaskan bahawa apa yang saya jawab itu betul mengikut catatan diari dan nota pejabat.''
Gani: ''Saya katakan pada pertemuan Datuk Seri dengan SP13 pada 2 September 1997, Datuk Seri telah memberi arahan kepadanya untuk menutup kes berkaitan dengan siasatan terhadap P16 (laporan yang dibuat oleh Zull Aznam mengenai surat layang bertajuk, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim).''
Anwar: ''Saya tidak memberi arahan kepada SP13 untuk tutup kes.''
Gani: ''Saya katakan kepada Datuk Seri bahawa Datuk Seri telah mengarahkan SP13 untuk tidak menghantar kertas siasatan P16 kepada Peguam Negara pada pertemuan 2 September 1997 itu.''
Anwar: ''Yang Arif, ini tidak benar, direka kemudian sebagai bukti konspirasi polis.''
Gani: ''Saya katakan di dalam pertemuan itu juga Datuk Seri telah serahkan P20, P21 dan P22 (surat kenyataan umum Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar menarik balik dakwaan salah laku terhadap Anwar) kepada Musa.''
Anwar: ''Yang Arif, tidak benar.''
Gani: ''Sila rujuk P56 (laporan polis yang dibuat oleh Azmin) Datuk Seri, bersetuju atau tidak laporan ini dibuat.''
Anwar: ''Laporan ini dibuat berkaitan fitnah jenayah buku 50 Dalil. (Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM).''
Gani: ''Sila rujuk D85 (laporan polis yang dibuat oleh Anwar sendiri pada 23 Jun 1998). Bersetuju atau tidak sebelum buat laporan ini Datuk Seri telah membaca buku 50 Dalil itu.''
Anwar: ''Setuju. Saya sudah baca buku 50 Dalil dan telah berbincang dengan AG untuk membuat laporan polis mengenai fitnah jenayah.''
Gani: ''Saya rasa kamu tidak menjawab soalan saya.''
Hakim Augustine: ''Jawapan ringkas lebih baik. Jika kamu menjawab panjang lebar dan tidak kepada soalan ia akan memudaratkan kamu.''
Gani: ''Dia akan gantung dirinya dengan cara itu (jawapan yang panjang lebar).''
Anwar naik berang lalu berkata: ''Itulah Gani Patail yang lagak sombong. Beliau sangka boleh gantung sesiapa sahaja. Inilah yang dikatakan konspirasi untuk menggantung orang yang tidak bersalah, pendakwaan berpilih.''
AG, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun mencelah: ''Bolehkah ledakan kemarahan ini dihentikan. Saya minta perilaku ini direkodkan.''
Anwar: ''Siapa yang mulakan dulu? Perilaku AG juga dipersoalkan.''
Hakim Augustine: ''Biarlah kita redakan keadaan ini. Biarlah saya kendalikan perbicaraan dalam keadaan aman.''
Anwar: ''Saya hendak menasihatkan mereka mengenai hendak menggantung...''
Hakim Augustine: ''Mereka tidak boleh menggantungkan kamu.''
Pada peringkat ini, para hadirin di galeri awam semuanya tergelak melihat gelagat tertuduh dengan pendakwa raya.
Anwar: ''Terima kasih Yang Arif.''
Gani: ''Bersetuju atau tidak bahawa salah satu dakwaan dalam buku 50 Dalil adalah Datuk Seri telah menggunakan polis untuk menipu Perdana Menteri (PM) dan seluruh rakyat Malaysia.''
Anwar: ''Yang Arif...''
Hakim Augustine: ''Soalan ini boleh dijawab oleh mahkamah.''
Gani: ''Ia tidak boleh dijawab oleh mahkamah.''
Gurbachan: ''Soalan ini seharusnya tidak boleh dibenarkan kerana ia tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Anwar. Dengan itu ia tidak relevan. Tuduhan yang dikenakan ke atas Datuk Seri bukan kandungan buku 50 Dalil.''
Gani: ''Saya bukan bertanya sama ada Datuk Seri telah menipu PM atau tidak. Salah satu dakwaan dalam buku itu. Dia sudah baca buku tersebut.''
Hakim Augustine: ''Saya benarkan tetapi terbatas mengenai kandungan buku itu.''
Anwar: ''Ada tohmahan yang dibuat oleh pengarang buku jijik dan kotor itu sebagai satu pakatan.''
Hakim Augustine: ''Bukan tohmahan?''
Anwar: ''Buku kotor dan pakatan politik ini ada dimuatkan tuduhan dan tohmahan itu sebagai konspirasi politik. (Gani hendak mencelah jawapan itu). Jangan ganggu bila saya berbincang dengan hakim.''
Gani: ''Sila rujuk pada D85 balik. Betul atau tidak di dalam laporan ini Datuk Seri mengatakan kandungan 50 Dalil merujuk fitnah terhadap Datuk Seri.''
Anwar: ''Soalan itu tidak tepat sepenuhnya seperti biasa. Yang saya tulis dalam laporan polis ialah atas nasihat AG, tuduhan fitnah jenayah terhadap saya.''
Gani: ''Datuk Seri kata kandungan 50 Dalil adalah fitnah jenayah. Bersetuju atau tidak, bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil berkaitan laporan D85 dan P56 Datuk Seri perlu memberi kerjasama kepada polis bagi membuktikan dakwaan terhadap Datuk Seri tidak benar?''
Anwar: ''Bersetuju. Saya hendak jelaskan. Sepanjang kes ini disiasat saya tidak pernah ditanya sehinggalah saya dipecat dan berada di lokap Bukit Aman pada bulan September 1998.''
Gani: ''Setuju atau tidak bahawa pihak polis ada meminta Datuk Seri menjalankan pemeriksaan perubatan bagi tujuan siasatan ini?''
Anwar: ''Yang Arif, pihak polis enggan memberi kemudahan perubatan selepas seminggu.''
Gani: ''Ini bukan jawapan. Nampaknya saksi mengelak sama sekali untuk menjawab soalan berhubung penyiasatan buku 50 Dalil.''
Anwar: ''Yang Arif, yang minta saya lakukan ujian perubatan, ujian doktor ialah Musa yang memang saya tahu terlibat dalam konspirasi. Yang Arif, saya tidak pernah kata saya tak setuju untuk menjalani ujian itu sebaliknya saya minta polis rujuk kepada peguam saya.''
Gani: ''Bersetuju atau tidak bahawa dari semasa ke semasa pihak SB memberi taklimat kepada PM mengenai situasi politik di Malaysia.''
Anwar: ''SB dengan PM. Saya agak begitulah. Saya tidak hadir dalam pertemuan SB dan PM.''
Gani: ''Jika SB beri taklimat kepada Datuk Seri berkenaan perkara itu tentunya SB juga akan beri taklimat yang sama kepada PM, betul?''
Anwar: ''Yang Arif, saya jawab tadi, saya rasa ia berlaku tetapi SB banyak menyampaikan taklimat kepada saya kerana mereka sukar dapat temu janji dengan PM selalu.''
Gani: ''Bersetuju atau tidak bahawa dari semasa ke semasa pihak SB memberi taklimat kepada PM perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan negara.''
Anwar: ''Yang Arif, taklimat SB mencakupi secara luas isu keselamatan termasuk aspek politik, ekonomi, kedudukan pemimpin kerajaan.''
Gani: ''Taklimat kepada PM. Soalan saya kepada PM?''
Anwar: ''Saya percaya begitulah.''
Gani: ''Adakah taklimat diberi oleh SB kepada PM bukan sahaja kerana beliau PM tetapi juga Menteri Dalam Negeri.''
Anwar: ''Bersetuju. Saya jawab satu perkataan sahaja.''
Para hadirin tergelak.
Gani: ''Saya katakan bahawa dalih atau pembelaan Datuk Seri mengenai wujudnya konspirasi dan mala fide (niat jahat) di pihak polis ke atas kamu, maaf, Datuk Seri, adalah tidak benar dan sesuatu yang diada-adakan untuk melepaskan diri Datuk Seri dari pertuduhan yang dikenakan.''
Anwar: ''Soalan panjang lebar perlukan jawapan yang panjang. Yang Arif, dalih atau pembelaan mengenai wujudnya konspirasi dan mala fide yang saya percaya melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan dan polis adalah berdasarkan bukti yang kukuh dan urutan peristiwa yang berlaku. Banyak kepentingan yang terlibat.''
Gani: ''Yang Arif, penjelasan ini boleh dibuat pada pemeriksaan semula peguam belanya.''
Anwar: ''Baiklah. Saya hanya hendak menjawab untuk menyelesaikan soalan. Banyak kepentingan yang terlibat, projek berbilion ringgit, konspirasi politik, ugut dan saksi yang dipaksa membuat pengakuan.''
Gani: ''Sudah beberapa kali semua pihak diingatkan tetapi banyak kali pihak itu masih memperkatakan perkara itu (konspirasi). Pertamanya, ia bertentangan dengan keputusan mahkamah.''
Hakim Augustine: ''Saya sudah nasihatkan pada Isnin lalu bahawa jawapan haruslah terus kepada apa yang disoal.''
Raja Aziz: ''Pendakwa raya membuat hujah ketika dalam pemeriksaan balas mempersoalkan sama ada terdapat konspirasi atau mala fide. Memang ada dakwaan. Saya rasa ia tidak salah. Pendakwa raya mahukan jawapan yang sesuai untuk pihaknya. Biarlah kita buktikan kebenaran.''
Hakim Augustine: ''Saya rasa berilah jawapan yang relevan jika tidak kamu dianggap mengelak untuk menjawab soalan.''
Anwar: ''Soalan begitu panjang lebar, jawapan dua baris.''
Para hadirin tergelak lagi.
Gani: ''Dia enggan mendengar apa yang mudah dan tidak mengendahkan. Yang Arif memutuskan bahawa ada perkara yang disebutkan dalam keterangan pada pemeriksaan utama sebagai dengar cakap dan masih belum dibuktikan. Oleh itu saya menangguhkan soalan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada AG untuk meneruskan soalan.
Mohtar: ''Saya masih ada dua isu untuk menyoal balas. Jika dia (Anwar) berkelakuan baik maka soalannya mengambil masa lebih singkat.''
Anwar: ''AG tidak harus berkata sedemikian. Mentang-mentanglah kerana saya sudah dipecat sudah tidak perlu dihormati.''
Mohtar: ''Saya hanya mengingatkan sahaja. Tentang perilaku.''
Hakim Augustine: ''Terima Kasih.''
Pada pukul 10.34 pagi, sidang mahkamah berhenti rehat dan disambung pada pukul 10.45 pagi.
Mohtar: ''Isu mengenai perkara rahsia. Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan rahsia peribadi, berkaitan isu kredibiliti.''
Hakim Augustine: ''Macam mana ia relevan?''
Mohtar: ''Saya rujuk pada dokumen D76 dan D77.
Kedua-dua surat ini ditulis oleh Datuk Seri kepada PM, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ia masing-masing bertarikh 25 Ogos dan 28 Ogos 1998.''
Anwar: ''Saya setuju.''
Mohtar: ''Kedua-duanya Datuk Seri kelaskan sebagai sulit dan persendirian, setuju?''
Anwar: ''Setuju. sulit dan persendirian.''
Mohtar: ''Apakah yang Datuk Seri faham sebagai Sulit dan Persendirian.''
Anwar: ''Ia bermaksud surat-surat untuk pertimbangan penerima sahaja.''
Mohtar: ''Dengan lain perkataan bukan untuk mata orang lain selain penerima, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.''
Anwar: ''Setuju. Melainkan keadaan memaksa seperti membela diri dari fitnah mengikut proses undang-undang.''
Mohtar: ''Biarkan dia jawab. Saya mempunyai lebih belas kasihan daripada rakan saya (Gani). (Para hadirin tergelak). Walaupun Datuk Seri telah menjelaskan D76 dan D77 sebagai sulit dan persendirian, untuk perhatian PM sahaja Datuk Seri telah sebarkan maklumat kandungan surat-surat ini kepada khalayak ramai demi kepentingan sendiri. Benar atau tidak?''
Sulaiman: ''Soalan ini tidak relevan dengan pertuduhan. Walaupun untuk mempersoalkan kredibiliti tetapi haruslah ada batasnya. Dokumen itu telah dikemukakan di mahkamah. AG pula menyatakan ia surat di bawah OSA. Apa yang pembela pandang berat, adakah AG hendak membangkitkan hujah mengenai dokumen rahsia atau mempersoalkan moraliti. Dalam apa hal pun ia tidak relevan dan masih di bawah peruntukan Seksyen 136 Akta Keterangan. AG harus tunjuk apa kaitannya.''
Mohtar: ''Mahkamah mencatatkan bahawa saya bercakap mengenai rahsia peribadi dan rasmi dan ini mengikut Seksyen 148 (1) Akta Keterangan. Seksyen ini menyatakan bahawa mahkamah akan memutuskan bila soalan boleh dibuat dan bila saksi boleh dipaksa menjawab. Soalan ini, khususnya saksi ini telah menulis surat sulit dan persendirian kepada PM, 25 Ogos. Surat itu memulakan 'penjelasan fitnah' dan kedua, dia mengakhirinya 'saya kemukakan untuk pertimbangan dan kebijaksanaan.' Saksi ini mengalamatkan kepada PM, pemimpinnya. Dan kemudian memberitahu seluruh dunia tentang kandungan sulit itu. Ini yang menunjukkan kredibiliti. Jika dia boleh buat begitu, dia boleh buat perkara lain lagi dalam perbicaraan ini.''
Hakim Augustine: ''Ini dibangkitkan oleh pembela. Apa yang tidak betulnya?''
Mohtar: ''Itulah yang hendak saya tanya.''
Hakim Augustine: ''Walaupun dia buat untuk tujuan lain. Adakah apa-apa undang-undang untuk menghalangnya.''
Mohtar: ''Tiada undang-undang untuk menghalang. Kami berhak untuk 'menyerang' (mempersoalkan) kredibiliti mana-mana saksi.''
Hakim Augustine: ''Apakah bahagian pertamanya?''
Mohtar: ''Dia tidak menjawab sebab bantahan peguam bela.''
Sulaiman sekali lagi membantah dengan alasan bahawa persoalan itu mengenai watak dan mahkamah telah melarangnya.
Hakim Augustine: ''Di sini tidak ada watak buruk.''
Sulaiman: ''AG yang mempersoalkannya.''
Hakim Augustine: ''Dia boleh nafikan tentang penyebaran itu.''
Anwar: ''Yang Arif, surat-surat ini saya gunakan untuk membela diri dan menegakkan keadilan mengikut proses undang-undang. Lagi pun, sebahagian dari surat ini telah digunakan oleh PM berbincang dengan Menteri-Menteri Besar dan Majlis Tertinggi UMNO.''
Mohtar: ''Apa juga penjelasan boleh dibuat pada peringkat pemeriksaan semula oleh peguam bela. Bahagian pertama soalan saya sudah selesai. Saya merujuk jawapan pertama dalam pemeriksaan balas mengenai mengangkat sumpah simpan rahsia.''
Sulaiman: ''Bantahan harus dibuat mengenai perkara yang sudah disoal oleh Gani seperti mana juga mahkamah mengehadkan pihak kami.''
Hakim Augustine: ''Ini tidak benar. Saya tidak membataskan kamu. Saya mendapati terlalu banyak, 30 kali soalan pihak pembela yang bertindih-tindih.''
Sulaiman: ''Jika begitu, saya memohon mereka juga harus dimarahi seperti kami.''
Mohtar: ''Saya bersedia untuk dimarahi.''
Hakim Augustine: ''Apa yang buat kamu beranggapan bahawa saya marah?''
Mohtar: ''Saya sudah katakan bahawa saya lebih belas kasihan dan ingin menyoal sedikit sahaja.''
Para hadirin tergelak lagi.
Mohtar: ''Saya merujuk berkenaan OSA. Peguam bela sudah bantah. Baru cuit sikit sudah melompat.''
Sulaiman: ''AG merupakan orang yang paling bijaksana dalam undang-undang di negara ini.''
Mohtar: ''Saya merujuk saksi dengan jawapan awalnya, soalan saya, Datuk Seri telah memegang beberapa jawatan dalam pentadbiran kerajaan bermula dari tahun 1982, timbalan menteri dan kemudiannya Datuk Seri telah memegang pelbagai jawatan menteri sehingga TPM. Ini adalah kenyataan, betul?''
Anwar: ''Benar.''
Mohtar: ''Ikrar atau sumpah menyimpan rahsia ini adalah kehendak peruntukkan perlembagaan sebelum seseorang Timbalan Menteri atau Menteri menjalankan tugas seperti mana di bawah Artikel 43 (6) Perlembagaan Persekutuan.''
Anwar: ''Setuju.''
Mohtar: ''Apakah mengikut fahaman Datuk Seri sumpah menyimpan rahsia?''
Sulaiman: ''Yang Arif, apa relevan dengan menyimpan rahsia. Tidak ada OSA dalam pertuduhan.''
Hakim Augustine: ''Apakah relevannya?''
Mohtar: ''Yang Arif, biarlah peguam bela sabar dulu dengan saya. Ada relevannya. Ini baru hanya bunga-bunga sahaja.''
Sulaiman: ''Apa yang relevan dalam Seksyen 136?''
Hakim Augustine: ''Saya agak tegas dengan Seksyen 136, tolong jelaskan?''
Mohtar: ''Ia relevan di bawah Seksyen 148 Akta Keterangan.''
Hakim Augustine: ''Pada kredibiliti. Jadi apakah soalan kamu?''
Mohtar: ''Apakah mengikut fahaman Datuk Seri maksud simpan rahsia?''
Anwar: ''Saya harus menjaga rahsia kerajaan dan kepentingan negara. Ini berbeza dengan perbuatan penyelewengan, rasuah atau penyalahgunaan kuasa. OSA dan sumpah menyimpan rahsia menteri tidak boleh digunakan untuk tujuan menipu atau mencuri hak rakyat.''
Mohtar: ''Itu tafsirannya. Biarkanlah. Saya akan hujah kemudian. Sejak 1982 hingga pemecatan sebagai TPM, agak berapa kalikah Datuk Seri telah angkat sumpah?''
Anwar: ''Saya agak tiga kali. Tiga kali.''
Mohtar: ''Dan setiap kali Datuk Seri mengangkat sumpah simpan rahsia ini ia dalam istiadat yang sama, sumpah jawatan taat setia mengikut peruntukan yang sama.''
Anwar: ''Dalam istiadat yang sama dengan mengangkat sumpah jawatan untuk mempertahankan perlembagaan.''
Mohtar: ''Saya ingin kemukakan surat sumpah simpan rahsia pada 8 Mei 1995. Adakah ini sumpah simpan rahsia yang ditandatangani pada tarikh tersebut.''
Anwar: ''Ini sumpah simpan rahsia yang saya tandatangani pada 8 Mei 1995.''
Mohtar: ''Rujuk pada P125 ini. Surat menyimpan rahsia ini adalah seperti yang ditetapkan dalam jadual 6 Perlembagaan Persekutuan. Dengan perbezaan sedikit bagi orang-orang Islam. Menteri Islam memulakan sumpah ini dengan melafazkan, Bismillahi, Wabillahi, Watallahi. Dengan menyebut nama Tuhan.''
Anwar: ''Sumpah ini dengan nama Allah. Dengan nama Allah Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.''
Mohtar: ''Adakah kamu bersetuju?''
Sulaiman: ''Oleh sebab AG tidak berada di mahkamah sebelum ini, beliau tidak tahu bahawa Yang Arif telah menyatakan kita tidak boleh banyak mengganggu Tuhan.''
Mohtar: ''Saya menyedari semua yang berlaku dalam mahkamah ini.''
Hakim Augustine: ''Saya suka mendengar perkataan, Yang Maha Pemurah, lagi Mengasihani. Ia lebih sedap didengar.''
Anwar: ''Ini menyebabkan kita menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dan tidak boleh menggunakan kuasa untuk memperkayakan keluarga atau bertindak zalim.''
Mohtar: ''Berhubung semua jawapan itu saya memohon ia dibatalkan. Dengan itu saya selesai menyoal balas saksi ini.
Gurbachan mengambil alih dalam pemeriksaan semula terhadap Anwar.
Gurbachan: ''Datuk Seri, berhubung sumpah ini, adakah kamu mengangkat sumpah yang lain seperti yang diperuntukkan di bawah perlembagaan?''
Anwar: ''Selain itu saya mengangkat sumpah jabatan untuk mempertahankan perlembagaan Malaysia.''
Gurbahan meminta Anwar merujuk satu dokumen yang dikemukakan oleh pihak pembela dan ia ditanda sebagai D126.
Anwar: ''Saya sahkan dokumen sumpah ini.''
Gurbachan: ''Bolehkah kamu jelaskan mengenai sumpah kedua ini yang juga untuk melindungi dan mempertahankan perlembagaan. Ia juga termasuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas. Datuk Seri, adakah kamu mematuhi peruntukan ini?''
Anwar: ''Dengan seberapa upaya dan penuh dedikasi saya melaksanakan tugas jabatan seperti yang telah diikrarkan. Dan saya tidak pernah melanggar kedua-dua sumpah ini.''
Hakim Augustine selepas itu mencelah: ''Adakah pemeriksaan semula ini mengambil masa yang lama?''
Gurbachan: ''Kami tidak dapat menyelesaikan hari ini.''
Hakim Augustine: ''Memandangkan ia hari Jumaat maka waktu sembahyang hampir tiba dan kita tangguhkan.''
Anwar: ''Hari Jumaat, tidak ada apa makna pada saya.''
Hakim Augustine berkata bahawa Anwar boleh menyempurnakan sembahyang Jumaat dan masanya masih panjang.''
Anwar: ''Saya duduk di Penjara Sungai Buloh.''
Hakim Augustine: ''Ia boleh diaturkan.'' Beliau lalu bertanya mengenai hal itu kepada AG.
Mohtar: ''AG tidak ada bidang kuasa tentang perkara ini.''
Hakim Augustine: ''Mereka harus menimbangkannya. Bagaimanapun, kami mendoakan kamu. Dan oleh kerana atas permintaan kedua-dua pihak dan memandangkan sempena Tahun Baru Cina maka mahkamah menangguhkan kes ini hingga Khamis depan.''
Gurbachan: ''Kami pun mendoakan untuk Yang Arif.''
Hakim Augustine: ''Terima kasih.''
Perbicaraan bersambung pada 18 Februari ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Anwar nafi enggan buat laporan polis
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia membuat laporan melalui pegawai pengiringnya, Zull Aznam Haron untuk membolehkan siasatan dijalankan secara mendalam mengenai dakwaan kandungan surat Ummi Hafilda Ali dan Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.
''Maka jelaslah bahawa saya sendiri yang membuat laporan,'' kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu ketika menyangkal dakwaan bahawa dia enggan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Menurut Anwar, tindakan itu diambil setelah Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang, (saksi pendakwa pertama - SP1) menasihatkan dia supaya melaporkan kepada polis berhubung pengedaran kedua-dua surat itu bagi memudahkan siasatan.
Dia memberitahu demikian ketika menyambung keterangan membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan memberi keterangannya ketika diperiksa semula oleh peguam belanya dalam perbicaraan yang masuk hari ke-58 hari ini.
Sebaik sahaja sidang bermula pukul 9.03 pagi ini, Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, Anwar dibenarkan mendapat pelepasan esok untuk hadir memberi keterangan dalam siasatan oleh suruhanjaya bebas mengenai kecederaan yang dialaminya ketika dalam tahanan polis.
Hakim Augustine: ''Kami (beliau) memberi pelepasan itu berdasarkan tempoh masa yang dikehendaki. Bagaimanapun, Setiausaha Suruhanjaya mestilah memaklumkan kepada mahkamah supaya perbicaraan tidak dilengahkan.''
Raja Aziz: ''Mahkamah membenarkan penangguhan pada Jumaat lalu, dan saya telah uruskan cuti saksi tertuduh dan saya serahkan kepada Yang Arif.''
Pada Jumaat lalu, Anwar dibenarkan bercuti sakit setelah mengadu sakit kerana giginya patah.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula memaklumkan bahawa rakannya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden kini menghadiri prosiding suruhanjaya bebas berhubung kecederaan Anwar selaku wakil Peguam Negara.
Gani juga berkata, seorang lagi rakannya, Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Augustin pula mengendalikan satu kes lain di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Raja Aziz: ''Saya juga ingin memaklumkan kepada Yang Arif bahawa Gurbachan Singh yang mengendalikan pemeriksaan semula hari ini kini berada di Mahkamah Rayuan. Saya mohon perbicaraan ditangguhkan 15 minit.''
Hakim Augustine: ''Inilah masalahnya yang melengahkan perbicaraan.''
Raja Aziz: ''Saya mohon ditangguh 15 minit sahaja. Jika tidak, soalan akan menjadi bertindih.''
Hakim Augustine: ''Pastinya, beliau (Gurbachan) boleh menghantar orang lain. Peguam bela tidak sepatutnya menghilangkan diri begitu sahaja tanpa meninggalkan pesan. Kes tersebut seharusnya dimaklumkan seminggu yang lalu dengan surat kerana beliau sedang mengendalikan pemeriksaan semula pada perbicaraan ini. Peguam bela tidak seharusnya mengendalikan dua kes dalam satu masa.''
Raja Aziz: ''Bukanlah niat kami untuk buat begini.''
Bagaimanapun, untuk tidak membuang masa Hakim Augustine mengarahkan Anwar mengangkat sumpah bagi meneruskan keterangannya.''
Raja Aziz: ''Biarlah saya pergi panggil Gurbachan.'' (Mahkamah Rayuan terletak di tingkat satu, Bangunan Sultan Abdul Samad di sini yang mana Mahkamah Tinggi yang mengendalikan perbicaraan Anwar di tingkat bawah).
Hakim Augustine: ''Baiklah, saya tangguh sekejap.''
Beberapa minit sahaja selepas itu, Gurbachan dilihat tiba di mahkamah dan beliau memohon maaf atas kelewatannya.
Gurbachan meneruskan soalannya: ''Datuk Seri, kamu telah disoal balas oleh pendakwa raya dan kamu menjawab mengenai P14 (surat dakwaan perihal salah laku terhadapnya) dan P15 (surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim)... semasa pertemuan dengan SP1.''
Anwar: ''Apabila saya menyatakan dalam soalan balas iaitu, semasa pertemuan saya dengan SP1 pada 11 Ogos 1997 bukanlah saya yang membangkitkan isu P14. Apa yang saya maksudkan bahawa pertamanya, selepas saya menerima panggilan daripada Ketua Polis Negara (IGP), beliau membayangkan mengenai P14 dan meminta SP1 dan Timbalannya, Datuk Amir Junus (SP13) berjumpa dengan saya untuk memberikan taklimat. Dan, keduanya, kerana lawatan SP1 dan Amir singkat sahaja. Mereka segera taklimatkan saya mengenai P14 sebagaimana arahan IGP.''
Gurbachan: ''Datuk Seri, kita sedang membicarakan mengenai 11 Ogos 1997. Soalan hanya berkisar pertemuan itu sahaja dan soalannya mengenai dengan SP1 sahaja. Jadi jawapan kamu itu pertemuan pada sebelah pagi atau malam?''
Anwar: ''Jawapan yang saya maksudkan pertemuan pada sebelah malam 11 Ogos 1997.''
Gurbachan: ''Jadi, pada pagi 11 Ogos itu adakah kamu berjumpa dengan SP1 sahaja?''
Anwar: ''Saya berjumpa dengan SP1 lepas waktu pejabat. Pada pertemuan pagi, 11 Ogos 1997 taklimat yang disampaikan oleh SP1 dengan pasukannya membincangkan mengenai Majlis Keselamatan Negara.''
Gurbachan: ''Ini pertemuan rasmikah?''
Anwar: ''Ini pertemuan rasmi.''
Gurbachan: ''Datuk Seri, adakah dalam pertemuan rasmi itu SP1 membangkitkan P14?''
Anwar: ''P14 tidak dibangkitkan.''
Gurbachan: ''Berhubung pertemuan dengan SP1?''
Anwar: ''SP1 masih berada di pejabat saya selepas pertemuan rasmi itu untuk berbual-bual kosong tetapi saya tidak membangkitkan isu P14 kerana pada masa itu saya tidak mengedari lagi adanya P14.''
Gurbachan: ''Apa yang kamu maksudkan tidak menyedari mengenai P14?''
Anwar: ''P14 hanya kemudian dibayangkan kepada saya oleh IGP yang menerima surat daripada Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob.''
Gurbachan: ''Bolehkah kamu beritahu mahkamah ini, bilakah IGP membayangkan kepada kamu?''
Anwar: ''IGP membayangkan saya mengenai P14 pada sebelah malam 11 Ogos 1997. Pada masa itulah beliau mencadangkan SP1 dan SP13 berjumpa saya untuk memberikan taklimat.''
Gurbachan: ''Yang Arif, bolehkah Datuk Seri ditunjukkan dokumen P14a,b dan c. Datuk Seri, bilakah pertama kalinya kamu menyedari mengenai P14 dan kandungannya?''
Hakim Augustine: ''Apa yang kamu maksudkan. Adakah kenyataan kandungannya yang berbeza?''
Anwar: ''Saya disedarkan mengenai P14 oleh IGP pada malam 11 Ogos 1997 dan salinan suratnya ditunjukkan oleh SP1 dan SP13.''
Gurbachan: ''Beritahu mahkamah ini mengenai P14 dan perbezaannya.''
Anwar: ''Surat yang sebelum ini, lampirannya sama dengan P14a. P14b berbeza dan lebih ringkas.''
Gurbachan: ''Ya, ada perbezaan, bagaimana. Berikan sedikit aspeknya.''
Anwar: ''Terdapat kritikan terhadap Mohd. Azmin Ali (bekas setiausaha sulitnya) kerana kegagalan beliau atau enggan membantu keluarganya. Ia tidak ada hal perbualan telefon seperti siri skrip drama televisyen.''
Gurbachan: ''Kamu kata, aduan terhadap Azmin oleh keluarganya?''
Anwar: ''Aduan dibuat oleh Ummi Hafilda (adik Azmin) kerana tidak membantu keluarganya.''
Gurbachan: ''Sekarang apa yang didakwa terhadap kamu, adakah sama seperti dalam surat tersebut?''
Anwar: ''Seperti yang saya nyatakan bahawa rujukannya sama dalam P14b tetapi lebih sederhana dan bahasa bersopan. P14b lebih banyak isu politik yang tidak terdapat dalam surat sebelum itu.''
Gurbachan: ''Dalam soalan balas, kamu ditanya seperti berikut, 'Adakah Datuk Seri setuju bahawa dakwaan yang terkandung dalam P14 boleh mendedahkan Datuk Seri kepada penghinaan dan kebencian ramai? Dan kamu katakan tohmahan dan fitnah P14 tidak mudah menyebabkan kebencian ramai kerana rakyat juga ingin mengetahui punca dan usaha penyebar fitnah. Soalan saya Datuk Seri, kenapa kata begitu, yang mana satu alasan kamu?''
Anwar: ''Kita tidak boleh merendahkan kepandaian orang ramai. Mereka pasti ingin tahu sama ada ia dakwaan yang mencemarkan dan niat jahat yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab atau didalangi oleh kumpulan yang berkonspirasi.''
Gurbachan: ''Datuk Seri, daripada pengetahuan kamu adakah nama baik dan reputasi kamu terjejas akibat kandungan P14a,b dan c pada 1997?''
Anwar: ''Saya bersyukur kepada Allah, cubaan liar memfitnah reputasi saya ditolak oleh orang ramai kecuali beberapa musuh politik saya.''
Gurbachan: Adakah dakwaan liar terhadap ahli politik perkara biasa?
Anwar: ''Dakwaan liar di kalangan ahli politik dan tokoh terkenal adalah perkara biasa.''
Gurbachan: ''Dalam pertemuan kamu dengan SP1 dan SP13 pada 13 Ogos 1997, adakah kamu bertanya apa-apa?''
Anwar: ''Pada pertemuan itu, saya hanya mencadangkan mereka memberikan taklimat ringkas untuk menyiasat P14 dengan sedalam-dalamnya.''
Gurbachan: ''Apakah tujuan laporan polis yang kamu buat melalui Penolong Penguasa Polis, Zull Aznam?''
Anwar: ''Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan bagi membenarkan polis menyiasat P14 dan P15 secara mendalam. Jelaslah saya membuat laporan.''
Gurbachan: ''Dengan nasihat siapa kamu buat laporan polis melalui pegawai pengiring kamu?''
Anwar: ''SP1 yang mencadangkan saya patut buat laporan untuk memudahkan polis menjalankan siasatan.''
Gurbachan: ''Bolehkah kamu jelaskan mengapa kamu enggan membawa perkara ini ke mahkamah?''
Anwar: ''Biarlah saya jelaskan. Terdapat dua isu yang terlibat iaitu, saya membuat laporan polis yang pada mulanya saya enggan. Kami telah menerima beratus surat layang. Sebagai amalannya, kami tidak melaporkan kepada polis.''
Pada peringkat soalan semula itu, Anwar memberi jawapan yang kebanyakannya dibantah pihak pendakwa kerana dianggap sebagai keterangan dengar cakap.
Hakim Augustine melarang pihak media melaporkan sebahagian keterangan itu sehingga saksi dipanggil untuk membuktikan apa yang didakwa oleh Anwar itu benar atau sebaliknya.
Perbicaraan disambung pukul 2.15 petang esok.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
----------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 23/02/1999
Anwar tidak melawan - Saksi
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis diberitahu, Anwar tidak menunjukkan sebarang bantahan atau melawan ketika ditangkap di rumahnya pada 20 September tahun lepas.
Saksi kedua, Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (PPjP), Koh Hong Sun, 46, berkata, beliau masuk ke bilik Anwar di tingkat atas rumahnya dan mendekati Anwar sambil memberitahu beliau akan ditahan di bawah Seksyen 377D.
''Saya memegang tangan kiri Anwar dan memberitahu beliau yang saya mahu menangkapnya.
''Beliau tidak melawan ketika ditangkap. Beliau juga tidak melakukan apa-apa untuk melawan saya atau pegawai lain yang turut berada di situ. Anwar menyerah diri untuk ditangkap tanpa melawan,'' katanya.
Koh berkata demikian kepada tiga panel suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin (ketua), bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.
Ketua Penyiasat suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman bertindak menyoal saksi-saksi yang telah disapina bagi membantu siasatan yang dijalankan terhadap kecederaan yang dialami oleh Anwar.
Panel Suruhanjaya memulakan prosidingnya hari ini dengan memanggil Komander Pasukan Tugas Khas, Pemangku Penolong Pesuruhjaya Kanan 1, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin.
Menurut Koh, Anwar juga tidak membantah ketika Inspektor Nasaruddin Nasir menutup matanya dengan menggunakan sehelai saputangan ketika mereka dalam perjalanan dari rumahnya ke Bukit Aman.
Dalam keterangan awalnya, Koh memberitahu, pada 20 September 1998 beliau menerima arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali untuk menangkap Anwar di rumahnya di No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara.
Beliau diarahkan menangkap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, tambahnya.
Koh berkata, beliau bersama orang-orangnya telah sampai ke rumah Anwar pada pukul 9.05 malam dan mendapati orang ramai sedang melaungkan perkataan 'Reformasi' dan 'Allahuakbar' di luar rumah Anwar.
Menurut Koh, beliau telah bertemu dengan Meor Chek Hussein di tingkat atas rumah Anwar ketika menunggu beliau keluar daripada biliknya.
Ditanya siapa yang mengiringi Anwar selepas ditangkap, katanya, beliau dan beberapa anggota Pasukan Gerakan Khas (PGK) mengiringi Anwar ke kereta polis. Anwar turut diiringi oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.
Beliau berkata, Anwar, isteri dan anak-anaknya kemudian diarah menaiki van dan beliau tidak pasti sama ada terdapat kereta polis lain di hadapan van itu.
Katanya, beliau kemudiannya menaiki kereta polis manakala Meor Chek Hussein menaiki van tersebut bersama-sama Anwar, isteri dan anak-anaknya.
''Selepas lima minit perjalanan, van tersebut berhenti dan Meor Chek Hussein memberitahu Anwar akan menaiki kereta yang saya naiki,'' katanya.
Menurut beliau, di dalam kereta, Anwar duduk di tengah dengan diapit oleh beliau di sebelah kanan dan seorang lagi anggota PGK iaitu Inspektor Mohd Nasaruddin Mohd Nasir di sebelah kiri.
Katanya, Anwar tidak bercakap sepatah perkataan pun sepanjang perjalanan mereka ke Bukit Aman.
Koh berkata, Nasaruddin telah mengikat mata Anwar dan beliau tidak bertanya kenapa Nasaruddin berbuat demikian.
Katanya lagi, walaupun tidak bertanya secara lisan kepada Nasaruddin, beliau cuba bertanya dengan isyarat tangan mengapa Nasaruddin berbuat demikian (menutup mata Anwar).
''Nasaruddin membalas balik dengan pergerakan tangan juga yang saya fahami beliau telah menerima arahan untuk berbuat demikian,'' katanya.
Menurut Koh, setibanya di lokap Bukit Aman beliau telah menyerahkan Anwar yang ketika itu ditutup matanya kepada Penolong Penguasa Polis (PPP) Mohd. Rodwan Mohd Yusof.
Beliau berkata, tangan Anwar ketika itu tidak bergari.
Sementara itu, saksi pertama, Meor Chek Hussein, 52, ketika memberi keterangan, berkata, beliau telah menerima panggilan telefon ketika berada dalam kereta polis di hadapan van yang dinaiki oleh Anwar, isteri dan anak-anaknya semasa dalam perjalanan ke Bukit Aman selepas Anwar ditangkap.
Katanya, beliau menerima arahan daripada Timbalan Pengarah 1, Cawangan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam, Datuk Mohd Yusof Mohd Said supaya Anwar menaiki kereta peronda polis yang dinaiki oleh Koh.
Beliau berkata, Anwar tidak berkata atau berbuat apa-apa, sebaliknya hanya menurut setiap arahan yang dikeluarkan.
Kata Meor Chek Hussein, sesampainya di Bukit Aman beliau telah masuk ke foyer bangunan tersebut dan berjumpa dengan Pengarah Cawangan Jenayah, Datuk Mohd Yaacob Mohd Amin.
''Yaacob tidak berkata apa-apa ketika berjumpa dengan saya dan saya terus ke hadapan menghala ke lokap Bukit Aman,'' katanya.
Katanya, beliau tidak nampak sebarang kecederaan pada Anwar ketika beliau dibawa ke lokap tersebut dan beredar meninggalkan tempat itu sebaik sahaja Anwar sampai ke situ.
Beliau kemudiannya naik ke Tingkat 30 untuk memberi taklimat tidak rasmi kepada pegawai-pegawai kanan polis yang berada di situ.
Antara yang hadir pada taklimat itu ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, Timbalannya, Tan Sri Norian Mai, Datuk Mohd Yusof Mohd Said, Datuk Abdul Ghani Patail (dari pejabat Peguam Negara) dan Pengarah Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Jamil Mohd Johari.
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK dan NOOR AZAM SHAIRI
------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 25/02/1999
Zull lapor Talkin Untuk Anwar
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Bekas juruiring Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penolong Penguasa Polis Zull Azna, Haron memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau membuat laporan polis bagi pihak bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.
Laporan yang dibuat itu, katanya, adalah berdasarkan ungkapan-ungkapan dan perkataan-perkataan yang dimaklumkan kepadanya oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) Musa Hassan dan Pengarah Cawangan Khas (SB) ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang yang juga saksi pendakwa pertama (SP1).
''Saya membuat laporan itu pada kira-kira pukul 3.45 petang 15 Ogos 1997 setelah diarahkan oleh Datuk Seri Anwar bagi membolehkan polis menjalankan siasatan yang rapi dan teliti berhubung surat tersebut.
''Saya pergi ke pejabat SP1 dan laporan saya dirakamkan oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Zulkifli Mohamad,'' kata Zull Aznam ketika peguam Christopher Fernando menyambung pemeriksaan utama terhadapnya petang ini.
Beliau adalah saksi pembela yang kedua kepada Anwar yang diperintah membela diri atas empat tuduhan pindaan menyalah guna kuasa bagi mengelakkan dirinya daripada keaiban.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan selesai memberi keterangan bela dirinya pada perbicaraan sebelah pagi.
Perbicaraan sesi petang bagi hari ke-59 kes ini, dimulakan dengan permohonan penangguhan oleh seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh.
Beliau memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa Anwar telah pun disapina untuk menghadiri prosiding siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung kecederaannya, pagi esok.
Gurbachan: ''Kami ingin memohon penangguhan bagi tempoh masa Anwar dikehendaki menghadiri prosiding tersebut sekiranya suruhanjaya itu memutuskan untuk menyoal balasnya.
''Jika pagi esok, keputusan dibuat untuk tidak menyoal balas Anwar, maka dia tidak perlu hadir di hadapan suruhanjaya berkenaan.''
Hakim Augustine: ''Suruhanjaya itu perlu ingat, sekiranya mereka membenarkan pemeriksaan balas terhadap tertuduh, ini bermakna perbicaraan kes ini sudah cukup dilengah-lengahkan.
''Saya tidak nampak sebarang masalah andainya perbicaraan ini diteruskan tanpa kehadiran tertuduh kerana dia diwakili oleh sebilangan peguam dan keadaan ini tentu tidak menimbulkan prejudis terhadapnya.''
Gurbachan: ''Bukanlah niat kami untuk sengaja melengah-lengahkan perbicaraan kes ini, semuanya bergantung kepada keputusan pihak suruhanjaya sama ada mahu menyoal balas Anwar atau sebaliknya.''
Hakim Augustine: ''Terpulanglah kepada kamu (tertuduh) untuk memilih sama ada mahu menghadiri prosiding siasatan itu ataupun terus berada di mahkamah ini esok. Saya boleh uruskan agar kamu dapat menghadiri prosiding tersebut dan saya boleh keluarkan arahan bahawa kamu tidak perlu hadir pada perbicaraan kes ini esok.''
Gurbachan: ''Dia mahu menghadiri kedua-duanya. Memandangkan Yang Arif bersedia memberi pelepasan kepadanya daripada menghadiri perbicaraan ini, maka dia akan berada di sana. Keputusan itu akan menyulitkan tertuduh kerana jika dia gagal hadir di hadapan suruhanjaya, pihak tersebut akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya memandangkan dia telah disapina.
''Oleh sebab itu, kami perlu memohon penangguhan untuk tempoh kehadiran dia di sana sahaja.''
Hakim Augustine kemudian membuat keputusannya: ''Tertuduh diberi pelepasan untuk menghadiri prosiding suruhanjaya siasatan tersebut dan sementara itu, perbicaraan kesnya akan diteruskan.''
Dalam keterangan seterusnya, Zull Aznam memberitahu bahawa sewaktu beliau membuat laporan polis di pejabat SP1, selain SP1, Musa dan Zulkifli, turut hadir ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis (ACP) Mazlan Mohd. Din.
Fernando: ''Adakah Anwar membuat sebarang permintaan untuk kamu sampaikan kepada para penyiasat itu?''
Zull Aznam: ''Ya, ada.''
Fernando: ''Apakah permintaan tersebut?''
Zull Aznam: ''Datuk Seri Anwar meminta saya memaklumkan kepada SP1 bahawa dengan adanya laporan ini, polis dapat menjalankan siasatan yang terperinci mengenai surat tersebut.''
Fernando: ''Selepas itu, adakah sebarang kenyataan diambil daripada kamu?''
Zull Aznam: ''Kenyataan pertama saya telah dirakamkan pada Jun 1998 setelah polis memulakan siasatan berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.''
Fernando: ''Kamu ingat tak tarikhnya?''
Zull Aznam: ''Tarikh sebenar saya tak ingat, tapi bulan Jun 1998.''
Fernando: ''Adakah kenyataan kamu diambil berhubung laporan polis yang kamu buat bagi pihak tertuduh (P16)?''
Zull Aznam: ''Tak pernah.''
Fernando: ''Berapa banyak kenyataan diambil daripada kamu?''
Zull Aznam: ''Pada ingatan saya, 5 atau 6 kali percakapan saya direkodkan oleh polis.''
Fernando: ''Yang pertama dirakamkan oleh siapa?''
Zull Aznam: ''Kenyataan pertama saya dirakamkan oleh ASP Zulkifli.''
Fernando: ''Adakah lagi kenyataan kamu yang direkodkannya?''
Zull Aznam: ''Tidak ada, kenyataan berikutnya direkodkan oleh ASP Mazli Mohamad.''
Fernando: ''Sebaik sahaja perbicaraan kes ini bermula, adakah sebarang kenyataan diambil daripada kamu?''
Zull Aznam: ''Lebih kurang 4 atau 5 hari selepas perbicaraan bermula, saya telah diarahkan untuk pergi ke Pejabat Peguam Negara. Setibanya saya di sana, saya dapati, boleh dikatakan semua saksi yang terdiri daripada pegawai polis ada di sana termasuk beberapa pegawai penyiasat kes ini.''
Fernando: ''Apa yang berlaku?''
Zull Aznam: ''Pada mulanya, saya diminta menunggu di luar bilik mesyuarat di pejabat Datuk Abdul Gani Patail bersama saksi-saksi lain.''
Mendengar keterangan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun membantah soalan dan jawapan yang cuba dicungkil daripada saksi oleh pihak pembela.
''Pertamanya, corak soalan yang jelas tiada kaitannya dengan tuduhan yang dihadapi dan keduanya, amalan pendakwaan dalam profesion guaman ketika menyediakan kes untuk perbicaraan adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh pihak peguam bela dalam menyediakan kes pembelaan.
''Kedua-dua pihak perlu menemuduga saksi masing-masing dan keistimewaan hubungan antara para pegawai pendakwa raya dengan saksi-saksi mereka samalah juga dengan keistimewaan hubungan di antara para peguam bela dengan anak guam mereka.
''Pegawai-pegawai pihak pendakwa, sekadar melaksanakan fungsi menyediakan kes masing-masing untuk perbicaraan sebagaimana yang dilakukan oleh para peguam bela.''
Fernando: ''Di sini, kita bercakap soal konspirasi polis memandangkan semua saksi polis termasuk para penyiasatnya turut berada di sana.''
Mohtar: ''Saya bantah sekeras-kerasnya, pihak pembela bukan sekadar mengeluarkan kenyataan malah menyindir.''
Fernando: ''Saya tidak berniat menyindir...''
Hakim Augustine: ''Ia sebenarnya sama seperti keistimewaan hubungan antara peguam dengan anak guam.''
Mohtar: ''Jika inilah asas kes pihak pembela, ia bermakna mereka cuba mendalami tentang apa yang dibincangkan antara saksi dengan pihak pendakwa, ini satu perkara yang serius.''
Hakim Augustine kemudian berkata, pihak pembela belum menyentuh tentang perkara itu lagi, lalu beliau membenarkan soalan diteruskan terhadap Zull Aznam.
Fernando: ''Siapa yang mengambil kenyataan daripada kamu?''
Zull Aznam: ''Saya telah dipanggil ke dalam bilik mesyuarat di mana kalau tak silap saya, semua DPP (Timbalan Pendakwa Raya), SP1, DSP Abdul Aziz Hussin...''
Hakim Augustine mencelah: ''Pergilah kepada perkara yang lebih relevan. Setakat ini, kita hanya mendengar cerita.''
Fernando ulang soalan.
Zull Aznam: ''Yang Arif,...''
Hakim Augustine: ''Bagi nama cukuplah!''
Zull Aznam: ''ASP Mazli Mohamad.''
Fernando: ''Apa peranan SAC Musa?''
Zull Aznam: ''Semasa saya disoal oleh Datuk Abdul Gani Patail, SAC Musa mencatat soalan dan jawapan yang saya berikan.''
Fernando: ''Lepas itu, apa yang beliau lakukan?''
Zull Aznam: ''Saya telah diarahkan untuk memberi kenyataan kepada ASP Mazli berdasarkan catatan SAC Musa.''
Fernando: ''Bila kenyataan kamu dirakamkan oleh ASP Mazli?''
Zull Aznam: ''Keesokkan harinya di pejabat ASP Mazli di Bukit Aman.''
Mohtar: ''Inilah sebab utamanya mengapa saya bantah, peguam bela cuba memandu saksi kepada jawapan yang mereka perlukan. Corak soalan ini amat tidak beretika, tanyalah soalan yang adil, bukan yang tiada kaitan.
''Jika tujuan pembela untuk mengatakan kenyataannya itu tidak boleh diterima, maka ajukan soalan kepada saksi ini. Ini amat tidak adil.''
Hakim Augustine: ''Apakah kaitannya?''
Fernando: ''Kaitannya ialah selepas itu tiada apa-apa yang berlaku kepada para pegawai terbabit. Inilah urutan peristiwa yang sebenar.''
Hakim Augustine: ''Saya fikir kamu perlu lebih spesifik.''
Fernando: ''Siapa mengarahkan ASP Mazli merakamkan kenyataan kamu?''
Zull Aznam: ''SAC Musa.''
Fernando: ''Siapa pula yang mengarahkan kamu memberi kenyataan?''
Zull Aznam: ''SAC Musa.''
Fernando: ''Selepas itu, adakah DSP Aziz hadir sama?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Fernando: ''Adakah kamu dilawati oleh DSP Aziz?''
Zull Aznam: ''Semasa perbicaraan ini berlangsung, DSP Aziz ada memanggil saya ke bilik rehat VIP mahkamah ini. Pada pertemuan itu, beliau telah memberitahu saya bahawa beliau ada membawa pesanan daripada pihak DPP. Saya tanya beliau...''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad mencelah: ''Tentunya apa yang dikatakan oleh saksi ini keterangan dengar cakap. Pesanan yang dikatakan disampaikan oleh DSP Aziz daripada DPP adalah keterangan dengar cakap.''
Hakim Augustine: ''Saya sedang cuba mengimbangi kepentingan kes pembelaan.''
Azahar: ''Bahayanya keterangan dengar cakap ialah ia mungkin dipinda, ditokok tambah. Pihak pembela boleh memanggil DSP Aziz, saksi pendakwa kedua dan soal beliau, bukannya melalui saksi ini.''
Hakim Augustine: ''Jika saya benarkan sekalipun, kalau hanya untuk mengetahui apakah pesanan tersebut, ia tidak membawa sebarang makna.''
''Saya benarkan tetapi apa yang hendak dikatakan oleh saksi ini tidak boleh disiarkan melainkan DSP Aziz dipanggil semula untuk mengesahkannya.''
Mohtar: ''Saya mahu Yang Arif merekodkan bahawa Yang Arif telah membenarkan saksi memberi keterangan dengar cakap walaupun melarang media menyiarkannya. Sepatutnya, keterangan dengar cakap tidak harus direkodkan. Dengar cakap, tetap dengar cakap.''
Perbicaraan diteruskan dengan keterangan Zull Aznam secara panjang lebar berhubung pesanan yang disampaikan oleh DSP Aziz.
Fernando menyoal saksi sama ada Anwar pernah merungut tentang aspek keselamatan kediaman rasminya yang perlu diperketatkan.
Zull Aznam: ''Datuk Seri Anwar pernah memaklumkan rasa bimbang dan tidak puas hatinya mengenai peraturan kawalan ke atas pelawat yang keluar masuk ke kediaman rasminya.''
Fernando: ''Adakah dia memberitahu tentang kehilangan beberapa dokumen?''
Zull Aznam: ''Tiada kehilangan dokumen.''
Fernando: ''Apa yang tidak kena dengan soal keselamatan?''
Zull Aznam: ''Kawalan keselamatan ada kalanya didapati longgar.''
Fernando: ''Jadi dia mahu ia diperketatkan?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Fernando: ''Adakah dia memberitahu kamu tentang kehilangan sejumlah wang yang kecil?''
Zull Aznam: ''Datuk Seri Anwar pernah memaklumkan bahawa dia kehilangan sejumlah wang yang disimpan di dalam pejabat di kediaman rasminya tetapi tidak pula dinyatakan jumlahnya.''
Fernando: ''Adakah kamu uruskan agar aspek keselamatan itu diperketatkan?''
Zull Aznam: ''Saya cadangkan kepadanya agar memaklumkan perkara itu kepada pihak Cawangan Khas melalui SP1 ataupun timbalannya, Datuk Amir Junus untuk tindakan selanjutnya.''
Di peringkat ini, Fernando berhenti menyoal saksi dan memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan pengesahan daripada Zull Aznam kemudian berhubung timbalan-timbalan pendakwa raya yang hadir pada mesyuarat di Pejabat Peguam Negara.
''Saya dimaklumkan bahawa terhadap lebih 400 DPP di seluruh negara, maka mereka yang hadir perlu dikenal pasti,'' jelasnya.
Perbicaraan diteruskan dengan soal balas oleh Azahar.
Azahar: ''Betul atau tidak bahawa kenyataan-kenyataan kamu di buat mengikut Kanun Prosedur Jenayah?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Azahar: ''Sebelum ASP Mazli ambil kenyataan kamu, adakah beliau mengingatkan kamu supaya bercakap benar?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Azahar kemudian membacakan keseluruhan amaran mengikut Seksyen 112 kanun tersebut lalu menyoal saksi itu, adakah itu amaran ASP Mazli kepadanya.
Zull Aznam: ''Ya.''
Azahar: ''Adakah semua yang telah kamu nyatakan di dalam kenyataan-kenyataan yang dirakamkan oleh ASP Mazli di bawah Seksyen 112 itu ataupun mana-mana pegawai lain, semuanya adalah benar?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Perbicaraan bersambung esok.
--------------------------------------------------------------------------------
Saya aturkan dua temu janji - Zull Aznam
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penolong Penguasa Polis, Zull Aznam Haron memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau yang mengatur dua pertemuan antara bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus untuk berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Mohd. Said dan Amir bertemu Anwar untuk memberi taklimat berhubung tindakan polis menangkap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.
Zull Aznam, 44, memberitahu demikian sebagai saksi kedua pihak pembela pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-59 hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Ketika sidang sesi pagi bermula pukul 9.02 pagi ini, Anwar terlebih dahulu menyambung keterangan bagi peringkat pemeriksaan semula oleh peguam belanya.
Peguam Christopher Fernando memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa beliau mengambil alih untuk menyelesaikan pemeriksaan semula itu kerana rakannya, Gurbachan Singh berada di Mahkamah Rayuan.
Fernando: ''Datuk Seri, kamu ditanya soalan oleh pendakwa raya sama ada telah kehilangan wang berjuta ringgit. Bolehkah beritahu apa sebenarnya yang berlaku dan kamu kata cerita ini direka oleh Amir Junus.''
Anwar: ''Berhubung dakwaan oleh Amir Junus, saya ingin menjelaskan tentang perkara itu bahawa tidak ada kehilangan wang sedemikian. Tidak ada laporan yang dibuat. Saya tidak pernah menyebutkan dalam mana-mana keadaan pun berhubung kehilangan wang sebanyak itu. Saya menyebutkan kepada Zull Aznam mengenai pandangan keselamatan kediaman rasmi. Dan kemungkinan dokumen-dokumen telah digeledah atau ditengok, malah beberapa wang tunai atau wang untuk perbelanjaan runcit telah hilang. Jadi saya hanya bercakap dengan Zull Aznam dan Zull Aznamlah yang membawa perkara ini kepada pihak atasan polis.''
Fernando: ''Berapakah jumlah sebenar wang yang hilang itu. Tolong beritahu Yang Arif. Wang yang dimaksudkan untuk perbelanjaan runcit.''
Anwar: ''Jumlah yang dinyatakan atau tidak dilaporkan tetapi menurut Azizah ia kurang daripada RM2,000.''
Fernando: ''Siapakah Azizah, Datuk Seri?''
Anwar: ''Azizah ialah isteri saya yang tersayang.'' Para hadirin yang tidak begitu ramai di galeri awam hari ini kedengaran tergelak. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk di bahagian bangku keluarganya nampak tersenyum.
Anwar: ''Jumlah RM4 juta itu hanya kali pertama diketahui ketika Datuk Amir memberi keterangannya.''
Fernando: ''Jadi itulah yang kamu katakan cerita yang direka, betul?''
Anwar: ''Oleh sebab itu, saya tetap menyatakan ia cerita rekaan yang baru dibuat sebagai sebahagian cubaan polis dan Jabatan Peguam Negara untuk mengenakan saya.''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah: ''Isu ini dibangkitkan oleh rakan bijaksana peguam bela. Pihak kami tidak pernah timbulkan perkara ini. Dia mestilah bersikap adil dan tidak menuduh tanpa asas. Yang Arif, saya menyedari bahawa perkara ini digugurkan tetapi tertuduh terus meleret-leret.''
Fernando: ''Yang Arif harus ingat bahawa jawapan yang diberikan oleh Amir keseluruhannya bukan arahan peguam.''
Hakim Augustine: ''Apa yang diberitahunya.''
Fernando: ''Saya memang cuba menghentikan beliau.''
Hakim Augustine: ''Keterangan itu dikemukakan oleh pendakwa.''
Fernando: ''Amir saksi pendakwa.''
Anwar: ''Saya ada bukti yang cukup dan prosiding suruhanjaya...''
Hakim Augustine: ''Biarlah, kita tinggalkan begitu.''
Fernando: ''Adakah kamu memperoleh apa-apa faedah daripada tindakan Ummi Hafilda dan Azizan menarik balik dakwaan mereka.''
Anwar: ''Berhubung surat permohonan maaf (P17 dan P18), saya tidak mendapat apa-apa faedah. Ia misalnya hanya satu dakwaan terhadap si pembunuh dan esoknya, dakwaan itu ditarik balik. Yang Arif, pendapat saya adalah konsisten bahawa dakwaan itu berniat jahat dan untuk memburukkan orang ternama dan ia mestilah ditolak.''
Fernando: ''Saya ingin menyoal dengan izin mahkamah. Adakah dakwaan itu benar?''
Hakim Augustine: ''Dia (Anwar) sudah kata bahawa ia berniat jahat untuk memburukkan orang ternama.''
Fernando: ''Usaha siapakah untuk mendapatkan Ummi Hafilda dan Azizan menarik balik dakwaan itu.''
Anwar: ''Usaha itu datangnya daripada Mohd. Said dan Amir atau polis tetapi bukan saya. Polis yang beritahu saya bahawa surat itu sudah siap. Mereka menelefon saya dan hanya menunjukkan surat itu. Kerana pada masa itu saya bersetuju dengan cadangan atau nasihat Peguam Negara bahawa kita patut meneruskan dakwaan terhadap Ummi Hafilda dan Azizan.''
Fernando: ''Itu pada peringkat kemudian.''
Anwar: ''Ya, apabila Peguam Negara memaklumkan dan menerima kertas siasatan dan surat penarikan balik dakwaan.''
Selepas itu, Hakim Augustine sekali lagi memutuskan melarang pihak media menyiarkan sebahagian keterangannya sehingga beliau memanggil saksi untuk membuktikannya.
Anwar yang mengambil masa selama tujuh hari untuk pembelaannya selesai kira-kira pukul 9.25 pagi ini. Hakim Augustine menangguhkan selama 20 minit bagi membolehkan peguam belanya memanggil saksi seterusnya.
Pada pukul 9.45 pagi, saksi kedua pembela, Zull Aznam dipanggil untuk memberi keterangan.
Fernando: ''Kamu adalah ADC kepada Datuk Seri Anwar antara tahun 1997 hingga 1998, adakah betul?''
Zull Aznam: ''Benar.''
Fernando: ''Adakah kamu berkhidmat dengan Cawangan Khas pada masa itu?''
Zull Aznam: ''Pada ketika itu saya sebagai ADC. Saya berkhidmat di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''
Fernando: ''Sebagai ADC kepada Anwar, apakah tugas kamu?''
Zull Aznam: ''Saya sebagai ADC dan dalam bahasa Melayu, juruiring polis kepada Timbalan Perdana Menteri. Saya bertanggungjawab sepenuhnya mengenai perkara yang berhubung dengan keselamatan serta bertanggungjawab di dalam hal-hal yang berkaitan adat istiadat rasmi.''
Fernando: ''Adakah kamu juga diberikan tugas untuk mengatur temu janji dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM)?''
Zull Aznam: ''Yang Arif, saya tidak bertanggungjawab untuk mengatur dan menetapkan temujanji antara TPM dengan siapa jua yang memohon untuk menemuinya. Ia tanggungjawab Setiausaha Sulit kepada TPM.''
Fernando: ''Adakah sesiapa yang membuat temu janji melalui kamu untuk berjumpa Datuk Seri?''
Zull Aznam: ''Di sepanjang perkhidmatan saya dengannya, cuma dua pegawai polis yang memohon untuk menemuinya. Mereka yang menemui saya secara peribadi adalah Mohd. Said yang ketika itu Pengarah Cawangan Khas dan Amir Junus yang juga ketika itu Timbalan Pengarah Cawangan Khas II.''
Fernando: ''Adakah mereka kerap buat temu janji melalui kamu atau sekali sekala.''
Zull Aznam: ''Di sepanjang ingatan saya, Mohd. Said pernah menghubungi saya untuk mengatur temu janji dengan Datuk Seri Anwar, dua atau tiga kali sahaja. Amir pula, memang beliau selalu menghubungi saya untuk temu janji dengan Datuk Seri.''
Fernando: ''Berapa kerapkah Amir buat temu janji melalui kamu untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar?''
Zull Aznam: ''Saya tidak ingat berapa kali tetapi Amir telah banyak kali menghubungi saya untuk temu janji dengan Datuk Seri Anwar.''
Fernando: ''Bagaimana beliau melakukannya?''
Zull Aznam: ''Amir menghubungi saya melalui telefon dan memaklumkan bahawa beliau ingin berjumpa dengan Datuk Seri Anwar bagi memaklumkan sesuatu atau pun untuk memberi taklimat kepada Datuk Seri.''
Fernando: ''Kadang-kadang adakah Datuk Seri Anwar buat temu janji untuk berjumpa dengan dua pegawai ini melalui kamu?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Fernando: ''Jadi siapakah yang lebih kerap?''
Zull Aznam: ''Yang Arif, seingat saya, Amirlah yang kerap menelefon saya.''
Fernando: ''Adakah Amir membuat temu janji untuk berjumpa Anwar melalui kamu dengan membawa bersama seorang lelaki bernama Repco Low?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif, Amir pernah beberapa kali menelefon saya dan memaklumkan bahawa beliau ingin berjumpa dengan Datuk Seri Anwar dengan membawa bersama seorang lelaki Cina yang bernama Low dari syarikat Repco.''
Fernando: ''Adakah Amir buat temu janji melalui kamu untuk membawa Azizan berjumpa Anwar?''
Zull Aznam: ''Ya, pada 18 Ogos 1997, saya ada menerima panggilan telefon daripada Amir. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa dengan menyatakan, We may bring Azizan to see AI (Anwar Ibrahim) tonight'.'' Para hadirin tergelak. Anwar yang duduk di kandang tertuduh dilihat mengangkat tangan.
Kata Zull Aznam lagi: ''Saya bertanya pukul berapa beliau akan membawa Azizan bertemu Datuk Seri Anwar. Kata Amir beliau akan menelefon semula untuk mengesahkan waktunya.''
Fernando: ''Adakah kamu sampaikan pesanan ini kepada Datuk Seri Anwar?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Fernando: ''Apa jawapannya?''
Zull Aznam: ''Datuk Seri Anwar bertanya kepada saya kenapakah Azizan hendak dibawa bertemu dengannya. Saya menjawab, saya tidak tahu sebab saya tidak dimaklumkan oleh Amir.''
Fernando: ''Selepas itu adakah Azizan datang ke rumah kamu?''
Zull Aznam: ''Yang Arif, Amir menelefon saya kembali dan meminta saya memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa beliau dan Mohd. Said akan membawa Azizan bertemu Datuk Seri pada kira-kira pukul 11.30 malam tersebut di kediaman rasminya. Seterusnya, Amir telah mengarahkan saya untuk datang bersama ke kediaman rasmi Datuk Seri Anwar kerana menurut beliau saya dikehendaki menghantar Azizan pulang selepas pertemuan tersebut.''
Fernando: ''Di manakah kamu berada ketika Azizan bertemu dengan Datuk Seri Anwar?''
Zull Aznam: ''Saya berada di luar rumah beliau.''
Fernando: ''Lebih kurang berapa lama pertemuan itu?''
Zull Aznam: ''Pertemuan antara Datuk Seri Anwar dan Azizan pada malam itu kira-kira 20 hingga 30 minit.''
Fernando: ''Adakah mereka kata apa-apa kepada kamu?''
Zull Aznam: ''Hanya Amir keluar sambil bercakap sesuatu melalui telefon bimbit dan selepas itu memaklumkan kepada saya bahawa Azizan di dalam perjalanan ke kediaman Datuk Seri.''
Fernando: ''Selepas pertemuan itu, adakah kamu bawa balik Azizan ke rumahnya?''
Zull Aznam: ''Setelah selesai pertemuan antara Azizan dan Datuk Seri Anwar, Amir telah mengarahkan saya menghantar Azizan pulang ke rumahnya.''
Fernando: ''Di manakah rumahnya?''
Zull Aznam: ''Di Rawang.''
Fernando: ''Adakah kamu terus menghantarnya balik atau singgah di mana-mana?''
Zull Aznam: ''Sebelum sampai ke rumahnya, Azizan minta saya berhenti seketika di sebuah warung kerana beliau ingin makan.''
Fernando: ''Jadi kamu berhenti di situ dan makan, betul?''
Zull Aznam: ''Betul.''
Fernando: ''Encik Zull, berapa lamakah kamu bersama dengan Azizan.''
Zull Aznam: ''Saya berhenti di gerai tersebut antara 45 minit hingga satu jam.''
Fernando: ''Adakah kamu berbual dengannya?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Fernando: ''Adakah beliau menyatakan sesuatu kepada kamu mengenai perkara ini atau kes ini?''
Zull Aznam: ''Yang Arif, Azizan telah memaklumkan bahawa yang sebenarnya beliau telah diseret oleh Ummi Hafilda ke dalam perkara ini.''
Fernando: ''Beliau beritahu perkara ini kepada kamu. Adakah beliau beritahu apa-apa lagi?''
Zull Aznam: ''Tidak.''
Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden bangun untuk cuba membantah.
Namun Hakim Augustine meminta Fernando meneruskan soalan.
Fernando: ''Adakah apa-apa yang berlaku di pekarangan rumah?''
Zull Aznam: ''Yang Arif, sepanjang ingatan saya tidak ada apa-apa perkara luar biasa yang berlaku.''
Fernando: ''Ini merupakan temu janji pertama di mana Azizan berjumpa dengan Datuk Seri Anwar. Adakah selepas itu Azizan membuat temu janji melalui kamu untuk bertemu dengan Anwar?''
Zull Aznam: ''Dalam bulan Jun 1998, saya telah dimaklumkan oleh Abdullah Sani, pemandu kepada Datuk Seri Anwar bahawa Azizan ada menghubungi beliau untuk menyampaikan hasrat menemui Anwar.''
Fernando: ''Adakah kamu menyampaikan pesanan ini kepada Datuk Seri Anwar?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Fernando: ''Dan apakah reaksi Anwar?''
Zull Aznam: ''Reaksi pertama Datuk Seri Anwar yang saya ingat beliau berkata kepada saya, 'No'.''
Fernando: ''Selepas itu apa yang berlaku?''
Zull Aznam: ''Selepas itu Datuk Seri Anwar bertanya saya apa yang dimahukan oleh Azizan.''
Fernando: ''Apakah jawapan kamu?''
Zull Aznam: ''Saya memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa hasrat Azizan untuk menemuinya untuk mendapatkan bantuan atau sokongan berhubung satu projek perniagaan.''
Fernando: ''Selepas itu bagaimana reaksi Datuk Seri mengenai perkara itu?''
Zull Aznam: ''Pada mulanya dia kata kepada saya, 'tidak payahlah kerana ini akan menimbulkan tohmahan.' Bagaimanapun katanya kepada saya sekiranya Azizan hendak berjumpa sangat memadailah sekadar beliau berjumpa dengan Mohamed Ahmad yang pada ketika itu selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Kewangan.''
Fernando: ''Adakah kemudiannya Azizan membuat temu janji lagi melalui kamu?''
Zull Aznam: ''Selang lebih kurang seminggu atau pun lebih, Azizan telah sekali lagi menghubungi Abdullah Sani untuk memohon agar beliau dapat bertemu dengan Datuk Seri Anwar secara peribadi.''
Fernando: ''Sebelum itu, adakah kamu tahu Azizan berjumpa dengan Mohamed Ahmad.''
Zull Aznam: ''Ya, saya yang mengaturkan pertemuan antara Azizan dengan Mohamed Ahmad di Kementerian Kewangan.''
Fernando: ''Sekarang kita tiba di mana satu lagi percubaan Azizan untuk berjumpa dengan Anwar. Apa yang berlaku?''
Hakim Augustine mencelah: ''Berhubung dengan cubaan itu?''
Fernando: ''Ya.''
Zull Aznam: ''Saya memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar tentang hasrat Azizan ini. Pada mulanya dia masih enggan bertemu Azizan. Tetapi pada akhirnya dengan berat hati dia kata kepada saya, 'kalau nak jumpa pun okaylah'.''
Fernando: ''Selepas itu adakah Azizan datang ke rumah untuk berjumpa Anwar secara peribadi?''
Zull Aznam: ''Setelah dipersetujui oleh Anwar, saya minta Abdullah Sani menghubungi Azizan dan seterusnya menetapkan tarikh, waktu dan tempat pertemuan tersebut. Pertemuan yang saya aturkan pada bulan Jun 1998 bertempat di kediaman rasmi Datuk Seri Anwar.''
Fernando: ''Adakah kamu hadir dalam pertemuan itu?''
Zull Aznam: ''Saya cuma membawa Azizan ke dalam rumah Datuk Seri Anwar tetapi saya tidak hadir di dalam pertemuan itu.''
Fernando: ''Berapa lamakah pertemuan itu?''
Zull Aznam: ''Lebih kurang 20 minit.''
Bagaimanapun, Hakim Augustine memutuskan bahawa mahkamah menolak soalan peguam bela untuk membangkitkan isu perbualan Zull Aznam dengan Azizan berhubung dakwaan terhadap Anwar.
Hakim Augustine menjelaskan bahawa keterangan Azizan sendiri ketika dalam perbicaraan adalah muktamad.
Pembela mahu semua kenyataan rakaman saksi
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Mahkamah Tinggi akan membuat keputusannya esok berhubung permohonan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dibekalkan dengan semua kenyataan yang dirakamkan oleh polis daripada saksi-saksi pendakwa yang ditawarkan kepada pihak pembela.
Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, beliau merasakan perlu menyemak beberapa kes terdahulu sebelum membuat keputusan.
''Saya tidak akan membuat keputusan sekarang sebaliknya saya akan cuba membuat semakan dan memutuskannya esok,'' kata beliau terhadap permohonan oleh salah seorang peguam Anwar, Gurbachan Singh.
Permohonan itu dibuat sebaik sahaja, seorang lagi peguam Anwar, Christopher Fernando selesai memeriksa semula bekas juruiring Anwar, Pemangku Timbalan Penguasa Polis Zull Aznam Haron.
Zull Aznam, 44, adalah saksi pembela kedua memberi keterangan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu dipanggil membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalahguna kuasa untuk mengelak dirinya daripada keaiban.
Dalam hujahnya, Gurbachan berkata, semua kenyataan itu dirakamkan oleh polis menurut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah daripada saksi-saksi pendakwa yang ditawarkan kepada pihak pembela pada penutup kes pendakwa dan akan dipanggil oleh pihak pembela.
''Berdasarkan satu kes autoriti, kenyataan-kenyataan tersebut dianggap dokumen awam.
''Tertuduh dalam melaksanakan pembelaannya ingin mengetahui apa yang dikatakan oleh saksi-saksi tersebut dalam kenyataan mereka sebelum keputusan dibuat untuk memanggil mereka,'' katanya.
Peguam itu berhujah, tanpa mengetahui kandungan kenyataan-kenyataan itu, tertuduh tidak mendapat gambaran tentang apa yang dinyatakan oleh saksi-saksi tersebut kepada pihak polis.
Tindakan pendakwa menawarkan saksi-saksi mereka kepada pembela juga, kata Gurbachan tidak membawa apa-apa makna andainya pihak pembela tidak membekalkan sama kenyataan-kenyataan mereka.
''Saya ingin mengingatkan mahkamah dan Yang Arif sendiri mungkin dapat mengimbas kembali keterangan saksi pendakwa ke-7, Pemangku Pesuruhjaya Polis Mazlan Mohd. Din bahawa beliau dibekalkan dengan kenyataannya yang dibuat di bawah Seksyen 112 KPJ itu.
''Jika beliau boleh, kenapa tidak saksi-saksi lain yang ditawarkan kepada kami?'' soal peguam itu.
Oleh itu, tambah beliau, demi keadilan, mahkamah perlu menimbangkan permohonan pihak pembela.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula menghujah balas, dokumen awam yang dimaksudkan bukanlah kenyataan saksi sebaliknya kenyataan tertuduh dalam sesuatu kes.
''Berdasarkan keputusan dalam kes autoriti yang dirujuk, dokumen awam tidak termasuk kenyataan para saksi kepada polis kerana ia adalah dokumen terlindung,'' tegas beliau.
Hakim Augustine lantas bertanya: ''Kalau ia dianggap dokumen terlindung bagaimana saya boleh arahkan agar ia diedarkan?''
Lalu jawab Gurbachan: ''Kami hanya meminta kenyataan-kenyataan itu selepas pihak pendakwa menutup kes mereka dan bukannya pada permulaan perbicaraan.''
Gani: ''Berdasarkan kes autoriti yang relevan, kenyataan polis adalah dokumen terlindung - tentu sekali terlindung kerana ia direkodkan dalam proses siasatan polis.''
Sebelum itu, sewaktu sidang sesi petang bermula pada pukul 2.30 petang, Zull Aznam yang disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamad ditanya tentang kekerapan kunjungan bekas Pengarah Hal Ehwal Awam Magnum Corporation, Datuk S. Nallakaruppan ke kediaman rasmi Anwar.
Nallakaruppan, 52, kini sedang menjalani hukuman penjara 42 bulan setelah dia mengaku bersalah di bawah Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki 125 butir peluru tanpa permit.
Dia sebelum itu ditahan oleh polis untuk disiasat berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Azahar: ''Betulkah bahawa boleh dikatakan selalu Nallakaruppan berada di rumah Anwar apabila kamu mengiringi tertuduh pulang ke kediaman rasminya dari pejabat?''
Soalan itu bagaimanapun dibantah oleh Fernando kerana menurutnya ia tidak relevan dengan isu yang dibicarakan.
Namun jawab Azahar: ''Anwar beberapa kali merujuk kepada Nallakaruppan dalam keterangannya sebelum ini, tentang hubungan mereka dalam konteks konspirasi polis.
''Dalam keterangannya, Anwar mendakwa dia mengadu kepada Perdana Menteri tentang konspirasi polis yang mengaitkan hubungannya dengan Nallakaruppan.''
Fernando: ''Dalam konteks yang bagaimana, soalan ini relevan?''
Azahar: ''Saya sedang menyoal balas saksi ini berhubung dakwaan tertuduh.''
Lalu Hakim Augustine membenarkan soalan tersebut.
Zull Aznam: ''Boleh saya dapatkan maksud 'selalu'?''
Hakim Augustine: ''Selalu, adakah hari-hari atau sebulan sekali?''
Azahar: ''Saya katakan, seminggu dua kali.''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Ada juga masanya kamu nampak Nallakaruppan di rumah tertuduh lebih daripada dua kali seminggu?''
Zull Aznam: ''Kadangkala ya.''
Azahar: ''Dan kamu nampak Anwar menaiki kereta Nallakaruppan yang dipandu oleh pemandu Nallakaruppan?''
Fernando: ''Rakan bijaksana saya ini sudah jauh melencong, apa kaitannya dengan tuduhan yang dihadapi, ia sudah terkeluar dari rangka tuduhan.''
Azahar: ''Saya hanya mahu membuktikan hubungan yang akrab antara tertuduh dengan Nallakaruppan berdasarkan keterangan tertuduh bahawa polis berkonspirasi untuk mereka-reka keterangan, kononnya polis berkonspirasi terhadapnya melalui Nallakaruppan.''
Fernando: ''Jika benar Anwar dan Nallakaruppan adalah rakan karib, ia tidak memberi apa-apa makna, tidak ada sebarang hubungan. Konspirasi polis tetap konspirasi polis.''
Azahar: ''Saya serahkan kepada mahkamah. Saya sudah berhujah secukupnya dan saya fikir ia relevan.''
Hakim Augustine: ''Ia tidak relevan.''
Mahkamah kemudian mendengar pemeriksaan semula terhadap Zull Aznam oleh Fernando.
Fernando: ''Kata kamu, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) Musa Hassan meminta kamu mendapatkan beberapa saksi untuk dirakamkan keterangan mereka?''
Zull Aznam: ''Betul.''
Fernando: ''Apa katanya ketika meminta kamu berbuat demikian?''
Zull Aznam: ''Semasa SAC Musa menelefon saya, beliau minta saya menyelaraskan agar saksi-saksi yang disebutkan tadi boleh diambil percakapan mereka oleh polis. Beliau juga berkata bahawa saya akan dihubungi semula untuk ditetapkan tempat, waktu dan tarikh kenyataan-kenyataan ini akan direkodkan serta kepada siapa ia perlu diberikan.''
Fernando: ''Dalam erti kata lain, kamu menguruskan hal itu dengan beranggapan bahawa beliau akan menghubungi kamu semula?''
Zull Aznam: ''Betul.''
Fernando: ''Adakah SAC Musa menghubungi kamu semula?''
Zull Aznam: ''Selepas pertemuan saya dengan SAC Musa pada 2 September 1998 di pejabat Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak pernah sama sekali menghubungi saya sebagai susulan.''
Fernando: ''Adakah kamu enggan bekerjasama dengan SAC Musa?''
Zull Aznam: ''Saya tidak berniat demikian.''
Fernando: ''Adakah menjadi sebahagian tugas kamu untuk mencari saksi bagi membolehkan keterangan mereka diambil oleh pegawai polis lain?''
Zull Aznam: ''Ini bukan tugas dan tanggungjawab saya sebagai seorang juruiring polis kepada Timbalan Perdana Menteri.''
Merujuk kepada laporan polis yang difailkannya berhubung surat layang 'Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim' (P16), Fernando bertanya: ''Adakah Anwar pernah menghalang atau mengganggu siasatan kes ini?''
Azahar membantah.
Katanya: ''Persoalan ini tidak ditanya semasa soal balas dan hanya mahkamah yang boleh membuat keputusan mengenainya pada akhir perbicaraan nanti.''
Hakim Augustine: ''Ini memang persoalan yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.''
Fernando: ''Maksud saya berhubung P16.''
Hakim Augustine: ''Itu sebabnya saya katakan kamu perlu lebih spesifik.''
Fernando: ''Berkaitan P16, adakah Anwar mengganggu atau menghalang siasatannya?''
Azahar: ''Saya masih membantah.''
Hakim Augustine: ''Saya sudah pun mengingatkan peguam bahawa ini bukanlah soalan yang patut ditanya.''
Fernando: ''Baiklah, saya serahkan kepada mahkamah.''
Hakim Augustine kemudian merekodkan bahawa peguam menarik balik soalan tersebut.
Perbicaraan bersambung esok.
Anwar pernah kehilangan wang
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah kehilangan sejumlah wang simpanan dari peti besi dalam bilik tidur di kediaman rasminya ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Bekas juruiringnya, Zull Aznam Haron berkata, Anwar memaklumkan kepada beliau mengenai kehilangan sejumlah wang yang disimpan di dalam peti besi itu kepada beliau.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kata Zull Aznam, mengarahkan beliau menghubungi Cawangan Khas (SB) untuk memberitahu tentang kehilangan wang tersebut.
Zull Aznam, 44, yang kini dinaikkan pangkat sebagai pemangku Timbalan Penguasa Polis (DSP) menjawab soalan pada pemeriksaan balas pihak pendakwa.
Beliau memberi keterangan sebagai saksi kedua pembela dalam perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-60 hari ini.
Pada kebanyakan soalan yang dikemukakan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, Zull Aznam menjawab secara objektif dengan berkata, 'Ya, Yang Arif atau Betul, Yang Arif' dan sekali sekala menyatakan, 'Saya tak ingat.'
Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil berseloroh berkata, jawapan yang diberikan oleh Zull Aznam itu ringkas dan mudah untuk beliau merekodkannya.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Ketika sidang bermula pukul 9 pagi ini, Azahar menyambung pemeriksaan balas dengan mengajukan soalan: ''Sila beritahu Yang Arif, sejak bila kamu berkhidmat sebagai ADC (juruiring) Datuk Seri?''
Zull Aznam: ''Sejak Disember 1993.''
Azahar: ''Semalam kamu beritahu Yang Arif bahawa pada 15 Ogos 1997 lebih kurang pukul 3 petang kamu berada di pejabat SP1 (bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang) dan kemudiannya kamu membuat laporan (mengenai surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim), bukankah begitu?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif, petang hari itu saya telah pergi ke pejabat SP1 untuk membuat laporan polis.''
Azahar: ''Adakah waktu kamu pergi itu pukul 3 petang seperti yang kamu kata semalam?''
Zull Aznam: ''Saya berada di sana kira-kira pukul 3.20 petang atau 3.40 petang.''
Azahar: ''Laporan (P16) yang kamu buat itu adalah berdasarkan surat Talkin (P15), betul atau tidak?''
Zull Aznam: ''Benar.''
Azahar: ''Beritahu Yang Arif, bagaimanakah dan bila kamu menerima P15 itu?''
Zull Aznam: ''Saya telah menerima surat Talkin ini ketika berada di pejabat TPM pada petang yang sama.''
Azahar: ''Pukul berapa kamu menerima P15?''
Zull Aznam: ''Saya menerima P15 di pejabat TPM lebih kurang pukul 3 petang.''
Azahar: ''Adakah surat P15 itu terkandung di dalam satu sampul surat?''
Zull Aznam: ''Surat tersebut telah diberikan kepada saya oleh salah seorang kakitangan am rendah yang menerima surat tersebut melalui pos di pejabat TPM.''
Azahar: ''Sampul surat tersebut dialamatkan kepada TPM, bukankah begitu?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Azahar: ''Setelah menerima sampul surat itu, adakah kamu memberikannya kepada Datuk Seri kerana alamatnya untuk Datuk Seri.''
Zull Aznam: ''Yang Arif, adalah menjadi amalan pejabat, surat yang dialamatkan kepada Datuk Seri Anwar diterima dan dibuka oleh kakitangan pejabat am melainkan surat-surat sulit dan persendirian.''
Azahar: ''Sebentar tadi kamu beritahu Yang Arif, kamu menerima surat tersebut lebih kurang pukul 3 petang. Jadi saya katakan tidak begitu tepat. Kamu menerima surat itu pukul 3.45 petang, itulah soalan saya.''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Jadi laporan polis yang kamu buat yang menyatakan bahawa kamu menerima surat Talkin tersebut pada pukul 3.45 petang adalah tidak tepat, bukan?''
Zull Aznam: ''Ya, dalam hal ini.''
Azahar: ''Jawab soalan saya. Sila lihat P16, kamu menyatakan menerimanya pukul 3.45 petang, tidak tepatlah.''
Zull Aznam: ''Ya, di dalam laporan ini saya terima surat tersebut pada pukul 3.45 petang.''
Azahar: ''Setelah kamu menerima P15, apa kamu buat?''
Zull Aznam: ''Saya membaca surat tersebut sebelum membawa kepada TPM.''
Azahar: ''Apa berlaku seterusnya apabila kamu bertemu dengan TPM?''
Zull Aznam: ''Datuk Seri Anwar telah mengarahkan saya untuk membuat satu laporan polis berhubung surat itu.''
Azahar: ''Kamu telah membaca P15 dan memahami kandungannya, bukan?''
Zull Aznam: ''Saya telah membaca dan memahami isi kandungan P15.''
Azahar: ''P15 mengandungi dakwaan yang amat serius terhadap Datuk Seri, bukan?''
Zull Aznam: ''Ya.''
Azahar: ''P15 mengandungi dakwaan bahawa Datuk Seri seorang homoseksual, bukan?''
Zull Aznam: ''Ya, itulah yang ditulis di dalam P15.''
Azahar: ''P15 juga antara lain mengandungi dakwaan...''
Peguam Sulaiman Abdullah bangun membantah.
Sulaiman: ''Yang Arif, izinkan saya membantah mengenai soalan tentang kandungan P15. Mereka (pendakwa) merujuk dakwaan yang mencemarkan dan mahkamah telah memutuskan dakwaan ini tidak patut ditimbulkan lagi.''
Hakim Augustine lalu meminta Azahar tidak menyoal mengenai fakta dakwaan tersebut.
Sulaiman: ''Dakwaan telah dibuat. Kami harus menghujah bahawa pendakwa raya patut menyentuh bahagian yang relevan.''
Azahar: ''Saya membuat soalan dengan hanya menyatakan untuk menunjukkan betapa seriusnya dakwaan hingga menyebabkan tertuduh (Anwar) mengarahkan SB menyiasat.''
Hakim Augustine: ''Saya rasa ada relevan di situ ketika Datuk Seri Anwar memberi keterangannya.''
Sulaiman: ''Kami hujahkan bahawa tidak perlu lagi dakwaan itu dan tertuduh tidak memberi arahan sedemikian.''
Hakim Augustine: ''Perkara ini boleh dihujahkan kemudian.''
Selepas menyoal panjang lebar mengenai isu P15, Azahar mengalihkan topiknya dengan bertanya: ''Zull Aznam, betul bukan bahawa pada 1995, Datuk Seri Anwar ada memaklumkan kepada kamu bahawa dia telah kehilangan sejumlah wang yang disimpan di dalam beg di kediaman rasminya pada 1995.''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Betul bukan bahawa Datuk Seri meminta kamu memaklumkan tentang kehilangan wang tersebut kepada SB?''
Zull Aznam: ''Betul, Yang Arif.''
Azahar: ''Betul bukan bahawa beberapa hari kemudiannya, Timbalan Pengarah SB ketika itu, Datuk Amir Junus memaklumkan bahawa DSP Aziz (Timbalan Penguasa Polis, Abdul Aziz Hussin) dari SB akan terlibat dalam siasatan kehilangan wang itu.''
Zull Aznam: ''Betul, Yang Arif.''
Azahar: ''Berkaitan kehilangan wang itu, kamu tahukan tiada laporan polis dibuat?''
Zull Aznam: ''Saya tidak membuat laporan polis dan saya tidak tahu sama ada laporan berhubung kehilangan wang ini pernah dibuat oleh Datuk Seri Anwar atau sesiapa jua bagi pihaknya.''
Azahar: ''Zull Aznam, setuju atau tidak bahawa memandangkan kamu telah sekian lama bertugas sebagai ADC kepada Datuk Seri, sekiranya Datuk Seri membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu kamu akan mengetahuinya. Faham soalan saya?
''Saya katakan kepada kamu bahawa sekiranya Datuk Seri Anwar membuat laporan polis tentang kehilangan wang tersebut kamu akan dimaklumkan oleh Datuk Seri?''
Zull Aznam: ''Saya tidak setuju, Yang Arif.''
Azahar: ''Bersetuju atau tidak, Datuk Seri Anwar meminta kamu memaklumkan tentang kehilangan wang itu kepada SB dan bukan membuat laporan polis.''
Peguam Christopher Fernando pula bangun membantah dengan alasan bahawa saksi itu sudah menjawab soalan.
Hakim Augustine: ''Soalan ini terus terang dan mudah.''
Zull Aznam: ''Ya, saya telah diarahkan untuk memaklumkan perkara ini kepada pihak SB.''
Azahar: ''Dan bukan buat laporan polis?''
Zull Aznam: ''Arahan yang saya terima untuk memaklumkannya sahaja.''
Azahar: ''Kamu mengambil berat tentang kehilangan wang di kediaman rasmi TPM.''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Bersetuju atau tidak bahawa insiden ini adalah sesuatu yang amat serius kerana ia berlaku dan di rumah TPM?''
Zull Aznam: ''Saya tidak setuju.''
Azahar: ''Bersetuju atau tidak bahawa kehilangan wang TPM di kediaman rasminya yang dikawal oleh pihak polis melibatkan isu keselamatan kediaman TPM?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Kamu bukan sahaja sebagai ADC bertanggungjawab dan merupakan tugas utama kamu untuk menjaga keselamatan TPM dan juga kediamannya.''
Zull Aznam: ''Yang Arif, saya bertanggungjawab terhadap langkah-langkah keselamatan peribadi Datuk Seri Anwar tetapi bagi kawalan keselamatan di kediamannya, ia tanggungjawab penuh Cawangan Pengawal dan Pengiring Kontinjen Polis Kuala Lumpur.''
Azahar: ''Walaupun kawalan keselamatan kediaman rasmi tertuduh tanggungjawab cawangan tersebut, kamu sebagai ADC kepada TPM mengambil berat tentang keselamatan kediamannya, bukan?''
Zull Aznam: ''Betul, Yang Arif.''
Azahar: ''Oleh yang demikian kamu mengambil berat bukan tentang kehilangan wang tersebut?''
Fernando sekali lagi bangun membantah.
Azahar: ''Saya bertanya mengikut urutan soalan saya seterusnya.''
Hakim Augustine: ''Biarlah kita tunggu apa soalannya.''
Azahar: ''Apa sebabnya kamu sebagai pegawai polis tidak buat laporan polis tentang kehilangan wang itu supaya perkara ini disiasat demi kepentingan negara, kerana melibatkan TPM.''
Zull Aznam: ''Yang Arif, dalam keadaan ini saya tidak membuat laporan polis kerana saya tidak diarahkan oleh TPM untuk berbuat demikian.''
Selepas sidang berhenti rehat selama 20 minit pada pukul 11.25 pagi, Azahar meneruskan soalannya: ''Itu mengenai kehilangan pada 1995. Betul atau tidak pada satu masa, sekali lagi tertuduh memaklumkan kepada kamu bahawa dia telah kehilangan sejumlah wang.''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Datuk Seri Anwar juga memaklumkan kepada kamu bahawa kehilangan wang yang kedua ini merupakan sejumlah wang yang disimpan di dalam peti besi di bilik tidur, betul atau tidak?''
Zull Aznam: ''Betul, Yang Arif.''
Azahar: ''Peti besi ini di dalam bilik tidurnya dalam kediaman rasmi TPM?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Mengenai kehilangan wang dalam peti besi ini, Datuk Seri Anwar telah mengarahkan kamu menghubungi SB untuk menyiasat, bukan?''
Zull Aznam: ''Ya, Yang Arif.''
Azahar: ''Kamu ingat atau tidak bilakah kejadian kehilangan ini berlaku?''
Zull Aznam: ''Saya tidak boleh ingat dengan tepat.''
Azahar: ''Adakah ia berlaku sebelum atau selepas 1995.''
Zull Aznam: ''Selepas kejadian pada 1995.''
Azahar: ''Adakah laporan polis dibuat mengenai kehilangan ini.''
Zull Aznam: ''Laporan polis tidak dibuat.''
----------------------------------------------------------------------------------------
Isteri peguam bela sakit perbicaraan Anwar ditangguh
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sehingga Isnin ini kerana seorang peguam belanya, Gurbachan Singh, tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana isterinya sakit tenat.
Hakim Datuk S. Augustine Paul membuat penangguhan itu selepas menimbangkan permintaan seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah yang memaklumkan bahawa Gurbachan, yang mengendalikan pemeriksaan utama saksi pembela, tidak dapat hadir.
Menurut Sulaiman, rakannya itu bergegas balik ke Ipoh untuk menemui isterinya yang dimasukkan ke hospital di sana.
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah turut menyatakan simpatinya ke atas apa yang dihadapi oleh Gurbachan.
Mohtar berkata, pihak pendakwa tidak membantah dan jika tiada apa halangan lain, maka pihak pembela hendaklah bersedia untuk meneruskan kes itu pada Isnin.
Anwar, 51, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.
Ketika sidang bermula pukul 9.26 pagi ini, Sulaiman memohon maaf kepada Hakim Augustine bagi pihak Gurbachan kerana beliau tidak dapat hadir untuk mengendalikan tugasnya.
Sulaiman: ''Keadaan ini berlaku dengan tiba-tiba. Gurbachan beritahu kami semalam bahawa isterinya sakit. Pada petang semalam, isterinya semakin tenat dan terpaksa dimasukkan ke hospital di Ipoh dan Gurbachan bergegas balik.
''Oleh kerana perkembangan yang mengejutkan ini, pihak pembela menghadapi situasi yang sukar. Gurbachan yang mengambil kenyataan daripada beberapa saksi dan mereka sepatutnya kami panggil hari ini.
Disebabkan masa yang singkat... dan sebenarnya kami tidak ada kenyataan saksi-saksi tersebut.''
Menurut Sulaiman, sembilan orang peguam yang mewakili Anwar pada perbicaraan itu telah membahagikan tugas dan Gurbachan merupakan orang yang menemu soal untuk mendapatkan kenyataan itu.
''Malangnya, beliau mencatatkan semua kenyataan itu dengan tulisan tangan yang sangat sukar untuk kami membacanya. Kami tidak tahu apa yang ingin disoalkan oleh beliau,'' kata Sulaiman.
Mohtar: ''Saya sendiri merasa simpati dengan situasi yang dihadapi oleh Gurbachan dan juga pihak pembela. Kami semua harap dan berdoa isteri Gurbachan akan pulih segera.
Memandangkan keadaan ini maka pendakwa tiada bantahan atas permohonan pihak pembela supaya dibenarkan kes ditangguh hingga Isnin ini.
Sulaiman: ''Kami ingin mengucapkan rasa terhutang budi kepada Peguam Negara.''
Hakim Augustine: ''Oleh itu, kita benarkan penangguhan dan kita akan sambung hari Isnin. Saya meminta Christoper Fernando menghubungi Gurbachan dan bersedia mengambil alih perkara itu pada hari yang ditetapkan.
''Dalam saat-saat begini, Gurbachan harus berada di samping isterinya. Saya yakin kamu (Fernando) memang boleh mengambil alihnya.''
0 comments: on "PEMBELAAN - 2"
Post a Comment