untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Monday, June 2, 2008

PENDAKWAAN - 1

Usul batalkan prosiding kes Anwar ditangguh

KUALA LUMPUR 8 Jun 1999- Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga esok untuk mendengar usul bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membatalkan prosiding perbicaraan atas dakwaan pihak pendakwa menyalahguna kuasa mahkamah kerana meminda pertuduhan terhadapnya bagi kali kedua.

Adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-sama atas dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan Abu Bakar mengemukakan usul yang serupa untuk membatalkan prosiding perbicaraan tersebut.

Anwar, 51, semalam membantah pertuduhan pindaan yang baru dikemukakan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Sebahagian tuduhan pindaan itu berbunyi: ''melakukan persetubuhan di luar tabii di unit No. 10-7-2, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada satu malam, pukul 7.45, antara Januari hingga Mac 1993.''

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan melalui peguam belanya, akan memfailkan kandungan afidavit pindaan untuk menyokong usulnya pagi esok.

Sukma pula yang diwakili peguam Karpal Singh memfailkan usul dan afidavitnya kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketika sidang perbicaraan kes itu bermula pukul 10.50 pagi ini, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela Anwar memaklumkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka bahawa pihaknya telah memfailkan usul tertuduh pertama (Anwar).

Tetapi, menurut beliau, terdapat beberapa pindaan kecil yang perlu dibuat.

''Kami telah menyerahkan salinan afidavit itu kepada Peguam Negara dan beliau memerlu masa untuk menjawabnya, kata Raja Aziz.

Beliau menambah, pindaan kandungan dokumen itu akan difailkan sekali lagi.

Mohtar bangun menjawab: ''Saya tidak ada apa-apa bantahan. Saya juga telah menerima salinan daripada Karpal bagi pihak Sukma. Memandangkan dakwaan-dakwaan sedemikian, saya mohon izin untuk menjawab kedua-dua permohonan kerana perkara-perkara yang ditimbulkan amat serius dan saya juga perlu menjawab afidavit berkenaan.

''Saya perlu masa untuk memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya petang ini. Dengan itu saya memohon izin kes ini disambung pagi esok.''

Karpal mengesahkan bahawa beliau telah memfailkan permohonan bagi pihak Sukma.

Hakim Ariffin membenarkan penangguhan itu setelah tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, hakim Ariffin membenarkan Anwar ditahan di lokap mahkamah sehingga pukul 2 petang untuk membolehkan dia bersama peguam belanya meneliti dan menandatangan afidavit pindaan tersebut.

Dalam kandungan afidavit Sukma, dia turut melampirkan beberapa dokumen termasuk perjanjian jual beli sebuah unit apartmen Tivoli Villa yang didakwa tempat kejadian tersebut.

Menurutnya, saksi-saksi yang akan dikemukakan sudah pasti dia dapat menunjukkan bahawa agak mustahil untuk mempercayai kejadian berlaku di Apartmen No. 10-7-2, Tivoli Villa pada bulan Mei, 1992 memandangkan ia masih belum siap dibina.

Sukma menyatakan dia hanya membeli unit apartmen itu dalam bulan September 1992 dan kunci diserahkan kepadanya pada 15 Disember 1992.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/06/1999

Peguam beritahu rakannya turut ditahan - Saksi

KUALA LUMPUR 8 Jun - Bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainal Abidin Ali memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa seorang peguam menemuinya untuk memberitahu bahawa rakannya telah ditahan dalam satu perhimpunan haram di ibu negara, tahun lalu.

Kejadian itu berlaku di hadapan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sewaktu Zainal sedang mengawal keadaan yang ditimbulkan oleh para penyokong reformasi.

Zainal, 55, yang kini bersara berkata, peguam terbabit ada menerangkan kepada beliau bahawa seorang rakan yang datang bersamanya telah ditangkap polis kerana terbabit dalam perhimpunan haram tersebut.

Menurut Zainal, peguam berkenaan juga menjelaskan bahawa rakannya itu tidak terlibat langsung dalam perhimpunan reformasi yang dibuat di hadapan bangunan KLCC dan tujuan mereka ke situ hanya untuk membeli-belah.

''Saya rasa begitulah penerangannya tetapi saya tidak dapat melayani peguam terbabit pada masa itu,'' katanya.

Zainal berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam bela Zamani Mohammad semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan empat lelaki termasuk seorang peguam dan seorang rakyat Indonesia yang mengaku tidak bersalah terlibat dalam perhimpunan haram tersebut.

Saksi itu juga menjelaskan bahawa para wartawan dan jurugambar yang turut berada di situ untuk membuat liputan telah terkena pancutan air berwarna yang dibuat oleh Unit Water Canon, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Pancutan air itu terpaksa dilakukan selepas anggota perhimpunan haram enggan bersurai walaupun lebih daripada tiga kali amaran bersurai diberikan.

Dalam kes itu, peguam, Wan Haron Wan Hassan, 46, rakyat Indonesia, Chairul Hamka Norman, 22, kontraktor, Md. Ab. Nasir Md. Isa, 42, dan pegawai pemasaran, Mohd. Zaker Mohd. Yusof, 30, masing-masing minta dibicarakan.

Mereka dituduh mengingkari perintah bersurai yang diberikan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Zainal Abidin Ali.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 2 dan 3 petang, 15 November lalu di depan bangunan KLCC, Jalan Ampang, di sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(4) Akta Polis 1967 (akta 344) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta yang sama.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/06/1999

Permohonan PM batal saman tidak sempurna

KUALA LUMPUR 8 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membatalkan writ saman terhadap beliau atas dakwaan memfitnah pada satu sidang akhbar, tahun lalu, adalah tidak sempurna.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana afidavit yang menyokong permohonan itu kurang jelas dan gagal mematuhi peruntukan Aturan 18, Kaedah 19(2), Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Menurut Anwar, afidavit tersebut tidak sempurna kerana fakta-fakta yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir bagi membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah pembatalan saman, tidak jelas.

Anwar selaku plaintif dalam tuntutan samannya, menyatakan demikian dalam afidavit balasan terhadap permohonan Dr. Mahathir untuk membatalkan writ saman terhadap beliau.

Afidavit tersebut difailkan melalui Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Sivil), Wisma Denmark di sini.

Pada 24 Mei lalu, Dr. Mahathir sebagai defendan memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan writ saman yang dikemukakan oleh Anwar atas dakwaan memfitnah pada satu sidang akhbar, September tahun lalu.

Anwar selaku plaintif menyaman defendan pada 25 Januari lalu serta menuntut ganti rugi RM100 juta kerana mendakwa butir-butir pada sidang akhbar itu kemudiannya diterbitkan oleh Newsweek bertarikh 5 Oktober tahun lalu.

Perkataan-perkataan yang didakwa berunsur fitnah itu disiarkan dalam majalah tersebut pada muka surat 24 bertajuk Here's Mud In Your Face.

Dr. Mahathir didakwa mengadakan sidang akhbar di pejabat beliau pada 22 September tahun lalu yang dihadiri oleh wartawan media dalam dan luar negara.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/06/1999

Buat pertuduhan pindaan tidak profesional

KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pihak pendakwaan bersikap amat tidak profesional serta berkepentingan ketika mensabitkannya dengan cara yang boleh dipersoalkan kerana membuat pertuduhan pindaan atas dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.

Selain itu, Anwar juga mempertikaikan penglibatan dua timbalan kanan pendakwa raya yang menurutnya boleh dipersoalkan berhubung sikap ketika mengendalikan prosiding terhadapnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat dakwaan demikian dalam kandungan afidavitnya untuk menyokong permohonan bagi usul membatalkan prosiding perbicaraan terhadapnya.

Anwar, 51, memfailkan afidavit itu melalui peguam belanya pagi ini.

Dalam afidavit tersebut Anwar menyatakan bahawa dalam pertuduhan asal melibatkan dakwaan bahawa dia telah meliwat Azizan, kesalahan itu dikatakan dilakukan pada 7.45 petang, bulan Mei 1994.

Menurutnya, ketika kes itu disebut pada 27 April 1999, pendakwa raya memohon supaya tarikh kesalahan tersebut dipinda dari bulan Mei 1994 menjadi bulan Mei 1992 dengan alasan bahawa ia adalah kesilapan tipografi.

Anwar berkata, apabila kes bermula untuk perbicaraan pada 7 Jun 1999, pendakwa raya sekali lagi memohon agar tarikh kesalahan itu dipinda dari 'bulan Mei 1992' menjadi 'di antara bulan Januari hingga Mac 1993.'

Sehubungan itu, Anwar menyatakan pendakwa raya cuai ketika mengemukakan tuduhan jenayah terhadapnya kerana mereka bertindak meminda pertuduhan pada 27 April 1999 setelah mendapati bahawa pindaan itu tidak boleh dipertahankan.

Oleh itu, Anwar menyatakan bahawa pindaan tersebut tidak harus dibenarkan kerana ia berniat jahat, bukan sahaja akan memprejudiskannya bahkan akan menyalahgunakan proses mahkamah.

Afidavit itu juga menyatakan niat jahat seperti yang didakwa itu boleh dibuktikan melalui pengemukaan keterangan seorang peguam Manjeet Singh Dhillon.

Keterangan Manjeet boleh menunjukkan bahawa pendakwa raya berniat jahat dengan menuduh anak guamnya, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai, di bawah Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yang boleh dikenakan hukuman mati).

Menurut Anwar, pada 9 November 1998, Manjeet dalam akuan berkanun telah menyatakan bahawa dia pernah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Peguam Negara pada 2 Oktober 1998.

Mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh seorang lagi peguambela Nallakaruppan, Balwant Singh Sidhu adalah bagi meminta supaya pertuduhan terhadap Nallakaruppan diringankan kepada sesuatu yang tidak boleh dikenakan hukuman mati.

Manjeet selanjutnya menyatakan dua Timbalan Kanan Pendakwa Raya iaitu Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad yang hadir dalam perbincangan itu memberitahu bahawa mereka boleh menimbangkan permintaannya jika Nallakaruppan bersedia bekerjasama.

Kerjasama yang didakwa itu adalah dengan mengakui penglibatan seksualnya dengan beberapa gadis dan isteri orang.

Anwar dengan itu menyatakan bahawa tingkah laku Abdul Gani dan Azahar jelas menunjukkan bahawa mereka telah menyalahgunakan jawatan sebagai pegawai Jabatan Peguam Negara dengan mencari jalan keluar secara luar biasa untuk mencungkil keterangan terhadapnya dengan cara yang salah.

Selain itu katanya, penglibatan tidak sihat Abdul Gani boleh dibuktikan dengan keterangan seorang pegawai polis ketika dia memberi keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat kecederaan semasa dia ditahan.

Menurut Anwar, saksi itu pernah menyatakan bahawa Abdul Gani berada bersama-sama dengan pegawai-pegawai polis yang menunggunya ketika dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Anwar juga menyatakan niat jahat pendakwa raya boleh dibuktikan melalui tindakan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menarik balik pengakuan bersalah atas tuduhan membenarkan dirinya diliwat setelah mendakwa pengakuan itu diperoleh oleh polis secara paksa.

Anwar juga menyatakan selain itu, seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya, juga telah dituduh membuat keterangan palsu setelah dia membuat pengakuan terpaksa mengaku membenarkan dirinya diliwat.

Menurut Anwar lagi, bekas penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees juga mendakwa dipaksa oleh polis membuat pengakuan berhubung perbuatan liwat dengan cara yang salah.

Afidavit tersebut juga menyatakan, Anwar pada mulanya telah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 29 September tahun lalu dengan sembilan pertuduhan, lima di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1970, dan yang lain di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Dia menyatakan atas permohonan Peguam Negara, perbicaraan terhadap tuduhan-tuduhan tersebut telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Jenayah) di sini.

Pada 5 November tahun lalu, empat tuduhan di bawah Ordinan 22 telah dibicarakan dan pada penghujung perbicaraan dia didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun.

Menurutnya, pada penghujung kes tersebut, pihak pendakwa telah meminda pertuduhan-pertuduhan supaya supaya mereka tidak lagi perlu membuktikan bahawa perbuatan liwat telah dilakukannya.

Anwar berkata, pindaan kepada pertuduhan-pertuduhan telah dibenarkan sungguhpun keterangan yang memprejudiskan telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada kes pendakwaan.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Sukma sendiri akui diliwat - Mohtar

KUALA LUMPUR 9 Jun - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah hari ini menyatakan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja secara sukarela memberi pengakuan salah di hadapan Majistret bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia sendiri telah meliwat Azizan Abu Bakar di apartmennya di Tivoli Villa.

Peguam Negara mendedahkan demikian dalam afidavit jawapannya yang difailkan hari ini untuk membantah usul bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang memohon membatalkan prosiding perbicaraan terhadapnya atas tuduhan meliwat Azizan.

Mohtar melampirkan salinan pengakuan salah Sukma yang bertulisan tangan Majistret Abdul Karim Abdul Jalil bertarikh 17 September tahun lalu.

Menurut Peguam Negara, saksi-saksi, khususnya Azizan telah memberi pernyataan yang menyatakan penglibatan Anwar dan Sukma yang meliwatnya di Tivoli Villa.

Peguam Negara menegaskan bahawa siasatan itu telah dijalankan oleh polis dan kes itu tidak dicemari dengan niat jahat.

''Mereka bertindak mengikut peraturan dan prosedur undang-undang demi menegakkan keadilan,'' katanya.

Beliau juga berkata pendakwaan terhadap Anwar dijalankan secara profesional, jujur dan tanpa mala fides (niat jahat).

Sebaliknya, Mohtar mendakwa permohonan (usul) Anwar itu dibuat dengan niat jahat.

''Anwar cuba untuk melengah-lengahkan pendakwaannya serta menindas dan ia merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah,'' tegas beliau.

Berhubung dengan beberapa pindaan yang dilakukannya, Mohtar dalam afidavitnya menjelaskan bahawa:

* Pindaan pertama dibuat atas tuduhan terhadap Anwar kerana terdapat kesilapan menaip pada tahun kesalahan dilakukan.

* Pindaan lain yang dibuat pada 7 Jun lalu berdasarkan siasatan lanjut dan penjelasan yang diperoleh daripada saksi-saksi yang berkaitan penerimaan notis di bawah Seksyen 402A Kanun Prosedur Jenayah.

Mohtar menegaskan, pertuduhan dibuat berdasarkan maklumat/keterangan yang ada pada ketika itu dan pindaan yang dibuat berdasarkan penyiasatan dan penjelasan lanjut yang menunjukkan pihaknya berusaha mengemukakan pertuduhan yang tepat dan berasakan keterangan mutakhir yang diperoleh.

Menurut Peguam Negara, pindaan tersebut tidak menindas dan juga tidak memprejudiskan Anwar kerana tertuduh masih boleh membangkitkan pembelaan alibi.

Dalam jawapannya kepada afidavit Sukma pula, Mohtar menegaskan bahawa apabila pertuduhan dikemukakan pada 23 April lalu, ia adalah berasaskan siasatan dan rakaman pernyataan saksi-saksi ketika itu.

Mohtar berkata, setelah menerima notis di bawah Seksyen 402A Kanun Prosedur Jenayah pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Beliau berkata, hasil daripada siasatan itu dan penjelasan yang diperoleh daripada saksi-saksi berkaitan maka pada 7 Jun lalu pindaan yang berkenaan telah dibuat.

Berhubung kes Sukma itu, Mohtar menyatakan bahawa pindaan pertuduhan-pertuduhan dibuat pada peringkat ini berdasarkan maklumat mutakhir untuk kepentingan keadilan, terutama untuk Anwar dan Sukma dengan memberi peluang kepada mereka menyediakan pembelaan dengan sempurna.

Mohtar berpuas hati kerana terdapat keterangan prima facie bahawa Anwar dan Sukma telah meliwat Azizan di Tivoli Villa.

Beliau menegaskan tindakan mendakwa Anwar dan Sukma atas perbuatan meliwat Azizan adalah berasaskan keterangan yang kukuh dan mencukupi seperti yang dizahirkan di dalam kertas siasatan.

Peguam Negara itu juga berkata pada menjalankan budi bicaranya sebagai pendakwa raya, beliau mendapati keterangan yang mencukupi untuk menuduh Anwar dan Sukma di atas pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.

Dengan itu, katanya, pindaan kepada pertuduhan-pertuduhan terhadap Sukma tidak mengakibatkan sebarang prejudis atau penyalah gunaan keadilan.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/06/1999

Nalla akui perkenal Syarifah, Ann, Norlela pada Anwar

KUALA LUMPUR 9 Jun - Senior Asistan Komisioner 1 Musa Hassan mendedahkan dalam afidavitnya hari ini mengenai pengakuan Datuk S. Nallakaruppan bahawa dia memperkenalkan tiga orang wanita bernama Ann, Syarifah dan Norlela kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bertemu ketiga-tiga wanita itu di apartmen di Tivoli Villa, menurut afidavit itu yang diikrarkan untuk menyokong pihak pendakwa membantah permohonan Anwar membatalkan prosiding perbicaraan terhadapnya.

Ann dan Sharifah diperkenalkan oleh Nallakaruppan tetapi Norlela ialah pekerja di butik milik Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Hotel Hilton.

Dalam afidavit itu, Musa melampirkan kenyataan beramaran yang dibuat oleh Nallakaruppan, rakan permainan tenis Anwar, berhubung pertemuan Anwar dengan beberapa wanita.

Memetik sebahagian kandungan kenyataan beramarannya, Nallakaruppan memberitahu bahawa hubungan Anwar dengan wanita bermula kira-kira dua atau tiga tahun terakhir iaitu sekitar tahun 1996.

Kata Nallakaruppan, pada tahun 1997 kira-kira pukul 6 hingga 6.30 petang, dia diminta oleh Anwar untuk mengambil seorang wanita di kompleks membeli belah Bangsar menaiki kereta BMW nombor pendaftaran WCH 5959.

Menurutnya, dia kemudian membawa pasangan itu ke Tivoli Villa kerana kata Anwar dia ada masalah keluarga yang hendak diselesaikan dengan wanita itu.

Mereka ditinggalkan di Coffee House Tivoli Villa selama 45 minit.

Coffee House itu terletak dalam satu bangunan dengan apartmen di Tivoli Villa di mana Anwar mempunyai kunci apartmen tersebut yang diberi oleh seorang yang bernama T.K Lim dan Nallakaruppan secara peribadi.

''Biasanya selepas menggunakan apartmen itu, dia (Anwar) akan menyerahkan kunci kepada saya dan kepada T.K. Lim.

''Saya tidak tahu sama ada Anwar dan Shamsidar menggunakan apartmen itu tetapi saya meninggalkan mereka di coffee house yang berada dalam bangunan Tivoli Villa,'' katanya.

Dalam pertemuan pertama Nallakaruppan tidak diperkenalkan kepada wanita itu. Tetapi sebulan kemudian pada Hari Raya, Nallakaruppan melawat rumah Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali, dan mendapati wanita yang ditemui oleh Anwar di Tivoli Villa itu ialah isteri Azmin, Shamsidar Taharin.

Nallakaruppan memberitahu Musa bahawa pertemuan kedua antara Anwar dan Shamsidar berlangsung empat bulan selepas pertemuan pertama dengan modus operandi yang sama iaitu Shamsidar menunggu di kompleks membeli belah Bangsar.

Menurut Nallakaruppan, beliau meninggalkan pasangan itu di coffee house Tivoli Villa, dan datang semula selepas 45 minit. Kemudian dia dan Anwar bermain tenis.

Kata Nallakaruppan, pada hari sepatutnya mereka menjemput Shamsidar, Anwar lazimnya menghubungi wanita itu melalui telefon terlebih dahulu.

Ketika dia bertemu dengan Azmin tidak lama kemudian, Nallakaruppan memberitahu Azmin mengenai pertemuan antara Anwar dan isterinya, dan bertanya sama ada mereka mempunyai masalah keluarga.

''Azmin bertanya saya, di mana pertemuan itu diadakan tetapi saya hanya kata di Bangsar. Tetapi Azmin tidak beritahu sama ada dia ada masalah keluarga dengan Shamsidar tetapi Anwar beritahu mereka ada masalah keluarga,'' katanya.

Dalam kenyataan beramaran pada 23 Januari 1999 di Hospital Besar Kuala Lumpur, Musa kemudian bertanya Nallakaruppan adakah dia juga terlibat memperkenalkan wanita-wanita lain kepada Anwar.

Jawapan Nallakaruppan ialah: ''Ya, saya terlibat memperkenalkan wanita lain kepada Anwar.

''Wanita yang saya perkenalkan ialah Ann, Syarifah dan Norlela.''

Dia memperkenalkan Ann kepada Anwar pada tahun 1997. Wanita itu datang sendiri dan menunggu dekat Tivoli Villa di mana selepas itu Nallakaruppan dan Anwar membawanya ke Tivoli Villa.

Selepas meninggalkan mereka di sana lebih kurang 45 minit Nallakaruppan kembali mengambil mereka dan menghantar Ann kembali ke keretanya.

Menjawab soalan lain, Nallakaruppan menafikan dia mendapatkan pelacur-pelacur untuk Anwar.

Sementara itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed dalam afidavitnya berkata, Anwar telah berniat jahat menyalahgunakan proses mahkamah dengan membuat tohmahan yang tidak berasas dalam permohonannya.

Dalam ikrar afidavitnya, Azahar berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung permohonan yang yang dikemukakan oleh Anwar untuk menyingkirkan beliau dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Abdul Gani Patail daripada mengendalikan kes Datuk S. Nallakaruppan.

Beliau mengemukakan laporan polis terhadap Anwar, peguam Zainur Zakaria, Manjeet Singh Dhillon dan lain-lain.

Dalam laporan polis itu, Azhar menyifatkan ''tohmahan tersebut adalah palsu sama sekali dan berniat jahat untuk menghalang saya daripada menjalankan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Anwar.''

Abdul Gani pula dalam afidavitnya turut mengikrarkan perkara yang sama.

Beliau memberitahu kehadirannya di Bukit Aman pada malam 20 September 1998 ketika Anwar ditangkap adalah atas arahan Peguam Negara dan permintaan polis untuk mendapatkan nasihat berkaitan kekacauan dan rusuhan yang tercetus di Kuala Lumpur pada hari itu.

Katanya, kehadirannya itu sama sekali tidak menimbulkan persoalan berat sebelah dan sikap pendakwaan berhubung segala prosiding terhadap Anwar.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/06/1999

Perbicaraan Anwar, Sukma ditangguh Jumaat

KUALA LUMPUR 9 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pada Jumaat ini perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas tuduhan meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Jumaat ini mahkamah akan mendengar usul Anwar yang ingin membatalkan prosiding perbicaraan tersebut atas dakwaan pihak pendakwa menyalahgunakan kuasa apabila meminda pertuduhan terhadapnya bagi kali kedua.

Adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang dibicarakan bersama-sama Anwar atas dua tuduhan bersubahat dengannya meliwat Azizan juga mengemukakan usul yang serupa untuk membatalkan prosiding tersebut.

Permohonan untuk usul Anwar dan Sukma itu sepatutnya didengar pagi ini tetapi ia ditangguhkan selepas pihak pembela dan pendakwa menemui Hakim Datuk Ariffin Jaka di kamar beliau kira-kira pukul 9.34 pagi ini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dilihat keluar dari kamar hakim kira-kira pukul 9.51 pagi.

Turut keluar dari kamar hakim ialah para peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse dan Christopher Fernando serta peguam Karpal Singh yang mewakili Sukma.

Selepas itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rozilah Salleh, tampil ke ruang mahkamah dan mengumumkan bahawa perbicaraan kes Anwar dan Sukma ditangguhkan pada Jumaat, pukul 9 pagi.

Sebaik sahaja kes ditangguhkan, Fernando mendekati para wartawan yang berada di bahagian galeri awam untuk memberitahu bahawa penangguhan itu untuk memberi masa kepada pihak peguam bela dan pendakwa memfailkan afidavit masing-masing sebelum usul didengar.

Pada sesi perbicaraan semalam, Raja Aziz memaklumkan kepada Hakim Ariffin bahawa Anwar ingin memfailkan satu afidavit baru untuk menyokong usulnya kerana terdapat beberapa pindaan yang harus dibuat.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan tidak sempat memfailkan afidavit itu semalam kerana kesuntukan masa dan ia hanya difailkan pada pagi ini.

Bagaimanapun Sukma telah memfailkan afidavit sokongan bagi usulnya semalam dan telah menyerahkan kepada Peguam Negara untuk jawapan.

Pada hari pertama perbicaraan Isnin lalu, Anwar mengemukakan bantahan apabila Mohtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwa ingin membuat pindaan dalam pertuduhan terhadapnya.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/06/1999

Peguam bela minta gugurkan kenyataan Nalla

KUALA LUMPUR 11 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diminta menggugurkan kenyataan beramaran Datuk S. Nallakaruppan yang dimuatkan dalam afidavit Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan untuk menyokong bantahan pendakwa terhadap usul Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membatalkan prosiding perbicaraan atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Peguam Karpal Singh berhujah bahawa kenyataan itu sepatutnya digugurkan memandangkan ia direkodkan oleh Musa ketika Nalla sedang sakit di Hospital Kuala Lumpur di sini pada 23 Januari lalu.

Beliau mempersoalkan sama ada Nalla memberikan kenyataan itu secara sukarela.

Menurut Karpal, Nalla tidak diberikan peluang untuk menjawab dan menyatakan bahawa kenyataan itu bukan dibuat dengan kerelaannya.

''Nalla memberi kenyataan itu di hospital dan dia sebagai orang membuat dokumen tersebut tidak dipanggil dalam prosiding ini,'' kata Karpal.

Karpal berhujah demikian ketika membangkitkan bantahan awal berhubung kandungan jawapan afidavit Peguam Negara, Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Azahar Mohamad serta Musa.

Beliau membangkitkan isu tersebut dalam permohonan Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk usul membatalkan prosiding perbicaraannya.

Karpal bertindak mewakili Sukma yang dibicarakan bersama-sama Anwar atas dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Kedua-duanya mengemukakan usul tersebut kerana membantah pihak pendakwa yang ingin meminda pertuduhan terhadap Anwar bagi kali kedua.

Dalam afidavitnya, Musa mendedahkan Nalla memberitahunya bahawa dia telah memperkenalkan tiga wanita kepada Anwar.

Anwar bertemu dengan ketiga-tiga wanita itu yang bernama Ann, Syarifah dan Norlela di apartmen Tivoli Villa di sini.

Nalla juga memberitahu Musa bahawa dia diminta oleh Anwar untuk mengambil Shamsidar Taharin, isteri bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali dan membawa Shamsidar ke Tivoli Villa.

Seterusnya, Karpal berhujah bahawa keseluruhan afidavit Musa seharusnya ditolak kerana ia adalah keterangan ''dengar cakap''.

Dengan demikian, menurut Karpal, kenyataan Nalla itu harus digugurkan.

Beliau berhujah bahawa afidavit Peguam Negara juga harus digugurkan kerana melampirkan pengakuan Sukma dan juga seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya yang dituduh membuat keterangan palsu setelah dia terpaksa mengaku membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.

Karpal memberitahu, pengakuan Sukma itu dibuat di hadapan seorang majistret mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah.

Dengan itu, hujahnya, orang yang merekodkan pengakuan itu (majistret) sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan.

Karpal berkata, dengan ini memang jelas bahawa Peguam Negara bukan sahaja mengemukakan ''perkara dengar cakap malah dengar cakap yang berganda''.

''Musa sekurang-kurangnya telah merekodkan kenyataan Nalla,'' ujar beliau.

Karpal menyatakan lagi keadaan ini adalah penyalahgunaan mahkamah sebelum perbicaraan dimulakan.

Karpal: ''Ini menunjukkan keadaan perilaku pendakwaan yang ...''

Hakim Ariffin Jaka yang mengendalikan perbicaraan itu mencelah: ''Boleh dipersoalkan...?

Karpal: ''Bukan... ia sungguh teruk. Dan keterangan dengar cakap ini haruslah digugurkan.''

Terdahulu, Karpal secara lisan menyatakan bahawa beliau memberi notis untuk menyoal balas Mohtar, Gani, Azahar dan Musa berhubung afidavit jawapan masing-masing.

Karpal berkata, walaupun tidak terdapat peruntukan bagi permohonan itu tetapi melalui pengalamannya mahkamah mempunyai kuasa dan budi bicara sekiranya ia dibuat secara formal.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pendakwaan menghujah balas dengan menyatakan bahawa terdapat peruntukan berhubung perkara itu mengikut Peraturan dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi.

Beliau menerangkan ada peruntukan di bawah Seksyen 16 Akta Mahkamah Kehakiman dan mengikut Perintah 38 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi yang terpakai berhubung memfailkan afidavit.

Dalam peruntukan itu, menurut beliau, responden tidak perlu dipanggil untuk disoal balas.

Beliau menegaskan oleh itu, permohonan ini tidak boleh dibuat dalam usul tersebut.

Sebelum itu, peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah menerima pakai penghujahan yang dibentangkan oleh Karpal memandangkan anak guamnya dibicarakan bersama-sama Sukma.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini pada pukul 12 tengah hari bagi membolehkan Anwar dibawa balik awal ke tempat tahanan di Penjara Sungai Buloh untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Perbicaraan bersambung pada Isnin ini.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/06/1999

Suasana perbicaraan Anwar tegang

KUALA LUMPUR 11 Jun - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat Azizan Abu Bakar berlangsung dalam suasana tegang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila peguam belanya memohon penangguhan dan meminta hakim kes itu digugurkan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ariffin Jaka yang mendengar perbicaraan itu enggan menangguhkannya lalu mengarahkan supaya usul Anwar untuk membatalkan prosiding didengar di hadapan beliau hari ini.

Hakim Ariffin juga menolak permohonan peguam Karpal Singh yang meminta agar beliau menarik diri daripada mengendalikan perbicaraan itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengemukakan usul tersebut kerana membantah hasrat pihak pendakwa untuk meminda pertuduhan berhubung kes liwat itu bagi kali kedua.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dituduh bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Karpal sebagai peguam bela Sukma memohon agar beliau diberikan lebih masa atas alasan ingin mengemukakan satu pita rakaman perbualan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dengan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili rakan permainan tenis Anwar, Datuk S. Nallakaruppan.

Beliau mendakwa pita itu mengandungi perilaku Gani untuk mencungkil maklumat secara salah daripada Nalla mengenai diri Anwar.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Ariffin menegaskan bahawa penangguhan tidak wajar diberi kerana tiada isu baru dalam afidavit jawapan Peguam Negara.

Katanya, soal pita sepatutnya dibawa sebelum ini dan afidavit pendakwa pula tidak menimbulkan isu itu.

''Isu pita rakaman itu mungkin lebih relevan pada kes Anwar dan kenyataan beramaran Nalla adalah relevan pada kesnya sendiri,'' jelas Hakim Ariffin.

Menurut beliau, bahan untuk meneruskan perbicaraan ini mencukupi dan afidavit responden sekadar menjawab isu yang ditimbulkan pemohon (Anwar).

''Bahan-bahan adalah cukup untuk peguam bela berhujah bagi mengetepikan isu ini,'' ujar beliau.

Kata Hakim Ariffin, para peguam bela sepatutnya bersedia kerana masa yang panjang telah diberikan dan tarikh perbicaraan itu ditetapkan atas permintaan peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse.

Ketika menangguhkan kes itu pada Rabu lalu, menurut Hakim Ariffin, beliau menegaskan bahawa tiada lagi penangguhan akan diberi dan pihak peguam bela pula menyatakan sudah bersedia untuk meneruskan permohonan itu.

Berhubung alasan seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bahawa beliau sukar menemui anak guamnya, Hakim Ariffin berkata, itu bukan masalah mahkamah.

''Masa yang cukup telah diberi jadi mahkamah tidak akan menangguhkan kes ini,'' tegas beliau.

Hakim Ariffin membuat keputusannya selepas mendengar penghujahan Karpal dan hujah bantahan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pihak pendakwa.

Sejurus sidang mahkamah bermula pada pukul 9.09 pagi ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa beliau bersama Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad serta Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan telah mengemukakan afidavit jawapan bagi membantah usul tersebut.

Oleh itu, kata Mohtar, beliau bersama rakan-rakannya memohon untuk mengundurkan diri ketika penghujahan dibentangkan dan tugasnya diambil alih oleh Mohd. Yusof.

Selepas itu, Raja Aziz pula memaklumkan bahawa beliau memohon dilepaskan daripada melaksanakan pembelaan pada peringkat ini kerana akan bertolak ke luar negara esok.

Raja Aziz memberitahu bahawa tugasnya diambil alih oleh rakannya, Sulaiman.

Sulaiman lalu bangun dan memohon agar permohonan bagi usul itu ditangguhkan untuk membolehkan Anwar mengemukakan afidavit balas terhadap jawapan Peguam Negara.

Beliau memberikan alasan afidavit jawapan pihak pendakwa disampaikan kepada peguam bela pada pukul 10.45 pagi semalam dan mengandungi isu-isu baru atau membangkitkan isu baru yang memerlukan arahan daripada anak guamnya (Anwar).

Sulaiman: ''Yang Arif, pihak kami mengalami kesulitan untuk meneliti afidavit itu dengan sepenuhnya.''

Hakim Ariffin: ''Afidavit-afidavit tersebut adalah jawapan dan tidak ada apa pun yang baru.''

Namun menurut Sulaiman, terdapat lampiran dalam afidavit jawapan itu yang perlu diperjelaskan.

Hakim Ariffin dengan suara meninggi: ''Jangan melengah-lengahkan prosiding ini.''

Sulaiman: ''Saya tidak berniat begitu.''

Hakim Ariffin: ''Saya telah beri dua hari yang cukup untuk membuat afidavit balas.''

Raja Aziz bangun mencelah sambil menerangkan afidavit jawapan oleh Peguam Negara membangkitkan perkara baru.

Hakim Ariffin: ''Apakah yang sulitnya afidavit ini?''

Kata Sulaiman, beliau tidak dapat berjumpa dengan anak guamnya untuk mendapatkan arahan setelah tidak mendapat kebenaran pihak penjara memandangkan waktu itu sudah melepasi jam 4 petang.

Menurut Sulaiman, pihaknya memerlukan masa membuat afidavit balas kerana ada perkara baru yang dipertikaikan.

Karpal kemudian bangun berhujah dengan menyatakan beliau menyokong penangguhan berdasarkan keperluan dan beberapa faktor.

Beliau berkata, antaranya, afidavit jawapan itu diterima pada pukul 6.45 petang kelmarin dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Pada peringkat ini, Karpal memohon agar Hakim Ariffin menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan beliau telah terlebih dulu membuat keputusan untuk menolak permohonannya.

Karpal sambil meninggikan suara meminta agar permohonannya direkodkan.

Hakim Ariffin dengan tegas mengarahkan Karpal supaya agar tidak lagi meninggikan suaranya.

Karpal meneruskan berhujah bahawa hakim tersebut sudah membuat keputusannya walaupun sebelum permohonan itu didengar.

Hakim Ariffin pula meninggikan suara dan menyifatkan hujah itu sebagai dakwaan semata-mata.

Karpal sekali lagi dengan nada meninggi: ''Tolong rekodkan bahawa perkara ini ingin didengar pada perbicaraan. Oleh itu penghakiman telah dibuat lebih awal berhubung isu ini. Dengan itu, Yang Arif harus menarik diri daripada mendengar perbicaraan ini. Ini adalah undang-undang.''

Hakim Ariffin: ''Saya tidak berfikiran demikian berhubung dakwaan itu. Apa yang saya nyatakan bahawa saya mungkin menimbangkan isu-isu tersebut pada masa perbicaraan. Dan permohonan ini (untuk menggugurkan hakim) ditolak.''

Mohd. Yusof dalam hujah balas membantah penangguhan kes itu berkata, jawapan dalam afidavit pihak pendakwa bukanlah perkara baru.

''Ia adalah jawapan berdasarkan fakta dalam afidavit Anwar,'' katanya.

Mohd. Yusof menegaskan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa pihak responden meminta kerjasama Nalla dan menafikan dakwaan cuba mencungkil maklumat secara salah daripadanya.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/06/1999

Peguam tidak boleh elak dihukum hina mahkamah

UALA LUMPUR 11 Jun - Para peguam tidak boleh membuat andaian bahawa mereka tidak boleh dihukum menghina mahkamah hanya kerana mereka bertindak atas arahan anak guam masing-masing, kata hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul.

Oleh itu, kata Paul, beliau tidak boleh menerima alasan peguam Zainur Zakaria bahawa afidavit yang mengandungi dakwaan salah laku dua orang pendakwa raya difailkannya tahun lalu atas arahan anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Paul sebelum itu memutuskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas.

Katanya, biar apa pun tugas seorang peguam terhadap anak guamnya, namun tanggungjawab peguam kekal terhadap mahkamah bagi memastikan pengurusan keadilan.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman bertulis terhadap Zainur yang dihukum penjara tiga bulan pada 30 November tahun lalu setelah didapati bersalah menghina mahkamah.

Penghakiman setebal 48 muka surat bertarikh 26 Mei lalu diumumkan kelmarin.

Zainur didapati bersalah menghina mahkamah kerana memfailkan afidavit bagi pihak Anwar, yang mengandungi dakwaan bahawa Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad telah meminta agar direka bukti terhadap Anwar.

Bekas Timbalan Perdana itu menuduh Gani dan Azahar mahu rakan bermain tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan mengaitkan Anwar dengan tuduhan seksual.

Afidavit itu juga menyebut pihak pendakwa raya membuat permintaan itu melalui peguam Nalla, Manjeet Singh Dhillon.

Anwar membuat dakwaan itu berdasarkan pengisytiharan berkanun yang dibuat oleh Manjeet dan surat kepada Peguam Negara mengadu mengenai peri laku pendakwa raya tersebut.

Beliau membuat dakwaan itu bagi menyokong permohonan untuk melarang Gani dan Azahar daripada terus mengendalikan pendakwaan kes rasuahnya.

Dalam keputusan itu, Paul berkata, adalah sukar untuk menentukan apakah permintaan Gani agar Nalla bekerjasama boleh dianggap sebagai permintaan untuk memalsukan bukti.

Paul berkata, kesimpulan yang dibuat oleh Manjeet pula tidak dapat dipastikan kerana Manjeet tidak boleh berbuat demikian tanpa mengetahui apa bukti yang terkandung dalam kertas siasatan.

Menurut hakim, kesimpulan Manjeet hanya boleh disahkan jika peguam itu berbincang dengan Nalla bagi menentukan apa diketahui oleh rakan Anwar itu sebaliknya dalam kes ini, surat Manjeet ditulis sebelum beliau menemui Nalla.

Kata Paul, tindakan pendakwa raya meminta maklumat daripada seseorang terhadap seseorang lain adalah sah, dan dalam berbuat demikian, maklumat yang diperoleh ditukarkan dengan pengurangan tuduhan atau dimaafkan.

''Ia adalah sebahagian daripada amalan sistem pengurusan jenayah keadilan yang bertamadun dan memenuhi keperluan kepentingan masyarakat, kalau tidak, agaK sukar bagi pihak berkuasa meneruskan pendakwaan terhadap banyak penjenayah,'' katanya.

Kata beliau, tidak ada tanda, tegas atau bersahaja, langsung atau tidak langsung, bahawa Gani cuba mendapatkan maklumat palsu.

''Ini adalah pelaksanaan bidang kuasa yang sah,'' katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, setelah membaca isi kandungan surat Manjeet, beliau beranggapan ia berniat jahat bagi memperkecilkan pentadbiran penghakiman.

Paul berkata, Zainur mengetahui lebih banyak fakta daripada Manjeet, merujuk kepada surat Ummi Hafilda Ali yang dipamerkan dalam perbicaraan. Surat itu mengisahkan tentang dakwaan Nalla menjemput kakak ipar Ummi, Shamsidar Taharin ke Tivoli Villa untuk bertemu Anwar.

Kata hakim, surat itu menunjukkan penglibatan Nalla dalam perhubungan Anwar dengan Shamsidar. Oleh itu, kata Paul, tindakan Zainur menerima kesimpulan Manjeet sebagai satu 'kecuaian'.

''Saya mungkin menerima alasan bahawa beliau telah memaklumkan kepada Manjeet mengenai maklumat yang tidak sama dengan maklumat yang diterima olehnya (Manjeet).

''Ini akan membolehkan Manjeet menarik balik pendirian yang diambilnya sebelum ini,'' kata Paul.

Menurut hakim, para peguam bela harus membuat laporan polis mengenai dakwaan memalsukan bukti kerana jika ini didapati benar, ia akan memberi kredibiliti tinggi kepada kes pembelaan Anwar atas tuduhan disengajakan.

Katanya, tuduhan terhadap pendakwa raya telah mencampuri urusan pentadbiran kehakiman kerana ia menjejaskan kewibawaan dan kuasa prosiding mahkamah.

Mengenai alasan Zainur bahawa beliau bertindak atas arahan, Paul memetik beberapa kes sebelum ini dan menyifatkan ia melampaui keraguan dan tidak cukup untuk melindungi seorang peguam.

Kata Paul, beliau tidak membenarkan Zainur memanggil saksi kerana kes menghina mahkamah itu adalah berdasarkan dokumen yang difailkannya.

''Saya puas hati bahawa penghinaan mahkamah yang dilakukan melampaui keraguan maka peguam itu didapati bersalah,'' tegas beliau.

Menyentuh hukuman penjara ke atas Zainur, kata Paul, fakta kes menunjukkan bahawa peguam itu telah mempamerkan tahap kecuaian yang tinggi tanpa mengambil kira akibatnya.

Zainur telah mengemukakan rayuannya kepada Mahkamah Rayuan yang kemudian membenarkan pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 1"