untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Saturday, June 7, 2008

PEMBELAAN - 2

ARKIB : 14/07/1999

Dua peguam bela Anwar diberi amaran


ZULKIFLI NOORDIN.


KUALA LUMPUR 13 Julai - Dua peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberi amaran supaya tidak dikenakan tindakan menghina mahkamah apabila mereka cuba bertikam lidah setelah keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini berhubung siapa yang sepatutnya menyoal balas saksi.

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang mengendalikan perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengingatkan dua peguam belanya, Pawancheek Marican dan Zulkifli Noordin tidak 'menentang' apa yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Suasana mahkamah menjadi hangat seketika apabila tiba giliran peguam bela Anwar untuk menyoal balas saksi pendakwa, Detektif Koperal Hamdani Othman.

Saksi itu dipanggil untuk menyangkal dakwaan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja bahawa dia dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuan membabitkan dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kegiatan homoseksual.

Sejurus sidang bermula pukul 9.07 sesi pagi ini, Pawancheek memaklumkan bahawa beliau hadir bersama rakannya, Zulkifli sebagai peguam bela Anwar.

Beliau memaklumkan bahawa Karpal Singh yang sepatutnya bertindak untuk menyoal balas saksi di peringkat prosiding bicara dalam perbicaraan kes itu sedang berada di Mahkamah Persekutuan dan akan datang sebentar lagi.

Setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah selesai mengemukakan soalannya dalam pemeriksaan utama terhadap Hamdani, beliau lalu menawarkan saksi itu untuk disoal balas pihak pembela.

Pawancheek yang mewakili Anwar memaklumkan bahawa rakannya, Karpal telah memberitahunya bahawa beliau akan mengendalikan soal balas itu kemudian.

Hakim Ariffin lalu mengarahkan Gobind Singh Deo meneruskan menyoal balas saksi tersebut.

Apabila tiba giliran peguam bela Anwar menyoal balas saksi itu, Pawancheek bangun memohon ditangguhkan sehingga Karpal hadir.

Di peringkat ini, Hakim Ariffin bertanya: ''Kamu adalah peguam belanya dan sekarang ada dua peguam bela.''

Pawancheek cuba menjawab. Namun, Hakim Ariffin menegaskan: ''Saya tidak benarkan penangguhan. Tolong teruskan. Kamu peguam belanya, kamu yang bertanggungjawab kepada anak guam kamu.''

Dengan sepontan Pawancheek menjawab: ''Yang Arif, pihak tertuduh pertama (Anwar) menerima pakai soalan yang telah dibuat oleh peguam bela tertuduh kedua (Sukma).''

Gobind bangun untuk menyokong Pawancheek sambil menjelaskan: ''Soalan balas telah dibuat oleh rakan saya, Karpal, mungkin beliau mempunyai soalan tertentu untuk dikemukakan.''

Hakim Ariffin dengan suara meninggi: ''Kamu duduk, ini bukan kes kamu.''

Tetapi Gobind menyampuk: ''Saya tidak nampak sebarang masalah. Karpal seharusnya diberi peluang untuk menyoal balas saksi ini. Yang Arif, saya sedia maklum Karpal tidak hadir waktu ini kerana beliau hadir dalam satu kes rayuan di Mahkamah Persekutuan yang disidang oleh panel lima hakim.''

Di peringkat itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan memberi pandangannya sambil berkata: ''Yang Arif, saya difahamkan penangguhan dibenarkan oleh mahkamah ini kepada Karpal untuk menyoal semula seorang saksi. Dan pembelaan tertuduh bukan hanya dianggotai oleh Karpal tetapi dianggotai oleh rakan-rakan peguam bela kanan yang lebih kanan daripada Timbalan Pendakwa Raya sendiri.''

Hakim Ariffin: ''Saya telah buat keputusan semalam hanya membenarkan Karpal menangguhkan untuk menyoal semula tetapi tidak membenarkan penangguhan ini untuk menunggu Karpal.''

Pawancheek mencelah untuk memohon agar prosiding itu ditangguhkan sebentar.

Hakim Ariffin menyatakan dengan tegas, mahkamah telah buat keputusan menolak penangguhan dan menegur Zulkifli yang cuba bangun untuk menyatakan pendapatnya.

Zulkifli yang tidak menghiraukan teguran itu menjawab: ''Saya belum buat apa-apa. Saya juga adalah peguam bela Anwar. Peguam yang mengendalikan soal balas saksi adalah Karpal.''

Menurut Zulkifli, Karpal yang mempunyai fakta dan peguam yang mempunyai arahan untuk menyoal balas saksi tersebut.

Zulkifli: ''Sekiranya kami diarahkan untuk menyoal balas maka kami memohon ditangguhkan sebentar untuk membolehkan kami mendapatkan fakta daripada Karpal yang berada di Mahkamah Persekutuan di tingkat atas bangunan mahkamah ini. Tapi kami mohon ihsan agar diberikan peluang kepada Karpal untuk menyoal balas saksi.''

Peguam Negara menjawab, beliau menyerahkan kepada mahkamah mengenai perkara itu.

Hakim Ariffin bertegas menyatakan beliau telah membuat keputusan bahawa Pawancheek menerima pakai soalan balas yang dikemukakan oleh Gobind terdahulunya.

Di peringkat ini, Pawancheek cuba menyatakan bantahan.

Hakim Ariffin mengingatkan: ''Jika kamu mula sekali lagi, saya kenakan kamu tindakan menghina mahkamah. Saya sudah buat keputusan. Jika kamu menentang keputusan, saya kenakan tindakan menghina mahkamah.''

Pawancheek cuba hendak menerangkan pendapatnya mengenai menerima pakai soalan balas yang dibuat oleh Gobind.

Selepas itu, Zulkifli pula bangun memohon supaya apa yang telah dinyatakan olehnya direkodkan dalam prosiding itu.

Hakim Ariffin membaca apa yang dicatatkan dalam notanya berbunyi: ''Peguam bela yang diberi tanggungjawab ialah Karpal Singh. Dia mempunyai fakta. Mohon tangguh untuk temui Karpal. Saya telah buat keputusan dan tidak boleh ubah lagi.''

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/07/1999

Detektif nafi penyiasat berkomplot

KUALA LUMPUR 13 Julai - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak bersetuju dengan andaian peguam bela bahawa anggota pasukan soal siasat berkomplot menafikan sama sekali sebarang ugutan atau tindakan kasar terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Detektif Koperal Mokhtaruddin Suki yang merupakan seorang daripada anggota pasukan soal siasat itu juga menafikan mereka diprogramkan untuk memberi jawapan 'tidak benar' mengenai segala perkara berkaitan ugutan dan tindakan kasar terhadap Sukma.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo, pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan utama Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-23 hari ini.

Mokhtaruddin dipanggil sebagai saksi pendakwa kelima pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu untuk menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuannya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengendalikan pemeriksaan utama pendakwa, menyoal saksi tersebut sama ada mana-mana anggota pasukan soal siasat memprogramkan Sukma seperti komputer dan bertubi-tubi memaksanya mereka-rekakan cerita.

Mokhtaruddin: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Tun Majid: ''Adakah anda dan mana-mana anggota pasukan soal siasat pernah menghempaskan cermin matanya ke atas meja dan membuangnya ke lantai?''

Mokhtaruddin: 'Tidak ada, Yang Arif.''

Tun Majid: ''Adakah anda dan mana-mana anggota pasukan soal siasat tersebut menyuruh Sukma berpusing-pusing dalam keadaan dia berbogel dan bergari?''

''Tidak, Yang Arif,'' jawab Mokhtaruddin.

Tun Majid: ''Adakah anda dan mana-mana anggota pasukan soal siasat memberi Sukma minuman, makan kuih atau merokok?''

Saksi itu juga menjawab, tidak.

Setelah selesai pemeriksaan utamanya Tun Majid berkata: ''Sekian, saya tawarkan saksi ini untuk disoal balas.''

Gobind segera bangun menyampuk: ''Tawaran diterima.'' Hadirin di galeri awam yang agak sesak hari ini berderai ketawa.

Gobind terus menyoal balas: ''Berapa lama kamu berkhidmat dalam pasukan polis?''

Mokhtaruddin: ''Lebih kurang 22 tahun.''

Gobind: ''Kamu ada pengalaman 22 tahun, adakah kamu nampak apa-apa kekejaman polis terhadap orang biasa?''

Di peringkat ini, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah sambil menegur Gobind supaya mengubah soalannya.

Gobind: ''Adakah kamu dengar?''

Mokhtaruddin: ''Ada, Yang Arif.''

Gobind mengalihkan soalannya: ''Sebelum memberikan keterangan pada dua atau tiga hari yang lalu, kamu bersetuju dengan cadangan saya bahawa kamu berada di bilik sebelah mahkamah ini bersama anggota pasukan soal siasat Sukma.''

Mokhtaruddin: ''Benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Ada bincang berkaitan kes ini?''

Mokhtaruddin: ''Tidak, Yang Arif.''

Gobind meninggikan suara: ''Mokhtaruddin, jangan bohong.''

Mokhtaruddin: ''Tidak, Yang Arif.''

Hakim Ariffin yang sedang menulis nota prosiding itu menegur Gobind dengan kata-kata: ''Jangan terlalu emosi. Bersopanlah sikit dengan saya.''

Gobind masih meninggikan suara terhadap saksi tersebut: ''Kamu bohong.''

Mokhtaruddin: ''Tidak.''

Gobind dengan suara keras: ''Langsung tidak bercakap tentang kes ini?''

Mokhtaruddin: ''Tidak.''

Gobind: ''Saya katakan kamu ada berbincang dengan anggota pasukan soal siasat yang lain di mahkamah sebelah.''

Mokhtaruddin: ''Tidak, Yang Arif.'' Saksi itu cuba menjelaskan mengapa beliau berada di bilik itu.

Tetapi di peringkat itu, Gobind terus mengajukan soalannya dengan andaian: ''Saya katakan semua anggota pasukan penyiasat ini berkomplot untuk datang ke mahkamah dan beri keterangan menafikan sama sekali apa jua ugutan atau pun tindakan kasar yang benar telah pun berlaku kepada Sukma.''

Mokhtaruddin: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Kamu semua diprogram untuk menafikan segala perkara ini berkaitan ugutan dan tindakan kasar terhadap Sukma.''

Mokhtaruddin: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Kamu tahu apa maksud bogel?''

Mokhtaruddin: ''Bogel maknanya tidak berpakaian, Yang Arif.''

Gobind: ''Ini termasuk tidak memakai seluar dalam, bukan?''

Mokhtaruddin: ''Benar, Yang Arif.''

Gobind: ''Pada 8 September 1998, sebelum dimulakan soal siasat atas Sukma, Sukma telah diarahkan untuk berbogel?''

Mokhtaruddin: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Gobind menyoal lagi: ''Dia disuruh menanggalkan pakaiannya?''

Mokhtaruddin: ''Sukma diarahkan oleh Cif Inspektor Sampornak Ismail (ketua pasukan soal siasat) untuk membukakan baju dan seluarnya, Yang Arif.''

Gobind meninggikan suara: ''Mengapa?''

Mokhtaruddin: ''Untuk tujuan pemeriksaan fizikal sama ada terdapat apa-apa kecederaan atau tidak.''

Gobind: ''Kamu setuju dengan saya bahawa tujuan pemeriksaan badan untuk memastikan tiada kecederaan di seluruh tubuhnya termasuk bahagian kemaluan.''

Mokhtaruddin: ''Saya setuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan kepada kamu bahawa Sukma memang disuruh untuk menanggal seluar dalamnya.''

Mokhtaruddin: ''Saya tidak setuju, Yang Arif.''

Di satu peringkat soalan balas itu, Hakim Ariffin menegur Gobind supaya beliau tidak bersikap biadab apabila menyoal saksi tersebut.

Ketika menyoal saksi itu, Gobind dengan suara memekik: ''Hei! Hei! Helo!'' apabila Mokhtaruddin hanya memberikan jawapan: ''Saya tidak tahu.''

Jawapan itu berhubung soalan sama ada selama 22 tahun pengalamannya dalam pasukan polis pernahkah beliau terpaksa menggunakan kekerasan semasa menjalankan soal siasat.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan turut bangun membantah dengan sikap Gobind itu sambil mengingatkan ia bertentangan dengan peruntukan Akta Keterangan.

Hakim Ariffin lalu mengingatkan Gobind supaya tidak biadab dan memelihara peri laku dalam profesionnya.

Bagaimanapun, Gobind menjawab: ''Saya merasa marah. Dia seorang pelakon (Mokhtaruddin). Dia menyatakan dalam pengalamannya tiada kekerasan digunakan. Dia tidak bercakap benar, Yang Arif.''

Hakim Ariffin: ''Dia telah menjawab dalam pengalamannya bahawa tiada kekerasan.''

Gobind menyoal perkara yang sama: ''Kamu tidak bercakap benar dalam mahkamah ini.''

Hakim Ariffin mencelah sambil mengingatkan saksi itu: ''Jangan takut, cakap apa yang awak tahu.''

Gobind meneruskan soalannya: ''Dengan pengalaman, berapa banyakkah orang yang telah dicederakan oleh polis?''

Hakim Ariffin mencelah lagi: ''Nampaknya peguam bela terlalu emosional.''

Gobind menjawab bahawa beliau tidak bersetuju apabila Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail cuba bangun untuk melindungi saksi.

Hakim Ariffin menerangkan bahawa itu bukan untuk melindungi saksi tetapi mengingatkan supaya mengikut peraturan ketika menyoal.

Selepas itu, Gobind menyoal balas Mokhtaruddin hingga selesai.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/07/1999

Cerita Sukma bukan rekaan - Saksi

KUALA LUMPUR 13 Julai - Seorang anggota pasukan teknikal yang menyiasat Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menjelaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia berpuas hati dengan hasil penyiasatan hari terakhir setelah memastikan cerita yang didedahkan oleh tertuduh bukan rekaan bagi mengelakkan unsur-unsur penganiayaan.

Detektif Koperal Mokhtaruddin Suki berkata, dia berpuas hati setelah Sukma memberikan kerjasama baik sepanjang sesi soal siasat mulai 8 September hingga 15 September tahun lalu.

Saksi tersebut menyatakan demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, dalam pemeriksaan semula berhubung soalan yang ditimbulkan dalam pemeriksaan balas oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mokhtaruddin memberi keterangan sebagai saksi kelima dalam prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan pengakuan Sukma diberi secara sukarela atau sebaliknya.

Dalam perbicaraan utama, abang angkat tertuduh yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Sukma, 38, juga dibicarakan bersama-sama Anwar, 51, atas dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Tun Abdul Majid selanjutnya meminta Mokhtaruddin menjelaskan mengapa dia ditempatkan di sebuah bilik mahkamah yang lain bersama-sama saksi lain sebelum dipanggil memberi keterangan.

Pendakwa bertanyakan soalan tersebut bagi menyangkal dakwaan Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma bahawa saksi itu pernah berbincang dengan anggota-anggota pasukannya berhubung isu layanan terhadap Sukma semasa soal siasat.

Mokhtaruddin menjelaskan, dia berada di bilik itu setelah dimaklumkan bahawa semua saksi perlu diletakkan setempat supaya mereka mudah dihubungi.

Ketika ditanya oleh Tun Abdul Majid, anggota itu memberitahu dia cuma berbual-bual kosong dengan anggota lain dan membincangkan hal tugas masing-masing.

Menurut Mokhtaruddin, walaupun pernah mencelah terhadap soalan yang ditanya oleh ketua pasukannya, Cif Inspektor Sampornak Ismail semasa soal siasat, dia tidak pernah mengemukakan apa-apa cadangan kepada Sukma.

Tun Abdul Majid kemudian meminta saksi itu menjelaskan berhubung keterangannya ketika pemeriksaan balas bahawa Sukma dilayan seperti orang salah dan bukannya sebagai seorang saksi.

Mokhtaruddin berkata, Sukma dilayan sedemikian kerana dia telah ditangkap oleh polis. Bagaimanapun jelasnya, ini tidak bermakna dia adalah seorang pesalah.

Mahkamah juga mendengar keterangan saksi ketiga, Detektif Koperal Ahmad Bustamin Ayob ketika diperiksa semula oleh Tun Abdul Majid.

Saksi itu disoal oleh pendakwa berhubung tindakannya menyatakan kepada pengawal penjara, Sukma dibawa keluar dari lokap untuk soal siasat pada 17 September sedangkan penyiasatan tidak lagi dijalankan pada hari itu.

Menurut Ahmad Bustamin, dia menyatakan demikian ekoran arahan daripada Sampornak supaya Sukma dibawa keluar walaupun ketika itu tertuduh sebenarnya dibawa ke pejabat Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof.

Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/07/1999

Peguam bela soal bertubi-tubi isu bogel

KUALA LUMPUR 14 Julai - Pihak pembela hari ini mencetuskan suasana hangat di Mahkamah Tinggi di sini apabila peguam Gobind Singh Deo bertubi-tubi menyoal saksi untuk mendapatkan kepastian jawapannya apabila beliau menyatakan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja tidak 'telanjang bogel'.

Detektif Koperal Tan Hwa Cheng, seorang anggota pasukan soal siasat memberitahu bahawa Sukma hanya diarahkan membuka baju dan seluarnya tetapi masih memakai seluar dalam.

Beliau berkata, apa yang difahamkan dengan perkataan 'telanjang bogel' itu maknanya tubuh yang tidak dibaluti seurat benang pun.

Tan menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang dibuat oleh Gobind bahawa Sukma dipaksa berbogel atau 'telanjang bogel.'

Gobind selaku peguam bela Sukma menimbulkan soalan itu ketika memeriksa balas Tan pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-24 hari ini.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Tan merupakan saksi pendakwa yang keenam dipanggil untuk menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuannya.

Gobind mengambil giliran menyoal balas Tan selepas rakannya, Jagdeep Singh Deo yang juga peguam bela Sukma selesai menyoal saksi tersebut.

Peguam bela itu menyoal Tan berkisar hari pertama Sukma disoal siasat pada 8 September tahun lalu.

Gobind: ''Kamu setuju dia (Sukma) ditelanjangkan?''

Tan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Adakah Sukma membuka pakaiannya?''

Tan: ''Ada.''

Gobind: ''Adakah dia ditelanjangkan?''

Tan: ''Tidak setuju.''

Di peringkat ini, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah: ''Kamu tahu apa makna telanjang?''

Tan: ''Telanjang maknanya bogel.''

Sebelum meneruskan soalannya, Gobind membuat komen: ''Dia (saksi) tidak faham perkataan itu.''

Hakim Ariffin: ''Apabila saya tanya telanjang, dia jawab bogel, hal ini dah habislah.'' Bagaimanapun untuk mendapatkan penjelasan Hakim Ariffin bertanya: ''Telanjang itu apa?''

Tan menjawab: ''Bogel.''

Para hadirin di galeri awam kedengaran tergelak.

Gobind meninggikan suara: ''Adakah awak faham makna perkataan telanjang?''

Tan: ''Ya, Yang Arif.''

Gobind: ''Dia tahu apa itu makna telanjang.''

Hakim Ariffin mencelah sekali lagi: ''Telanjang adalah bogel.''

Tan: ''Ya, Yang Arif.''

Gobind meneruskan soalan: ''Biasakah seseorang yang disyaki itu ditelanjangkan?''

Hakim Ariffin menerangkan kepada Tan: ''Membuka pakaian.''

Gobind: ''Saya ingin menggunakan perkataan menelanjangkan.''

Tetapi Tan menyampuk: ''Membuka pakaian.''

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun menyatakan pandangannya bahawa saksi itu telah menerangkan makna yang difahaminya bahawa telanjang itu bogel.''

Hakim Ariffin sekali lagi menjelaskan soalan itu kepada Tan: ''Bila kata telanjang itu bogel, adakah satu amalan biasa seseorang yang disyaki itu ditelanjangkan.''

Tan: ''Tidak biasa.''

Gobind: ''Mengikut ketua pasukan soal siasat kamu, Cif Inspektor Sampornak Ismail bahawa 'ditelanjangkan' adalah satu amalan biasa semasa pemeriksaan, setuju atau tidak?''

Tan: ''Tidak setuju.''

Gobind masih menyoal mengenai isu yang sama: ''Kamu tahu tujuan Sukma ditelanjangkan?''

Tan: ''Sukma tidak ditelanjangkan.''

Gobind: ''O.K, mengapa Sukma disuruh membuka pakaiannya.''

Tan: ''Bagi tujuan memeriksa badannya.''

Gobind: ''Amalan pemeriksaan badannya bertujuan untuk memeriksa kecederaan, betul?''

Tan: ''Betul.''

Gobind: ''Adakah kamu setuju tidak pedulikan pemeriksaan kemaluannya?''

Tan: ''Ya, Yang Arif.''

Gobind: ''Kamu setuju pemeriksaan tidak lengkap?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Bukan dia yang menjalankan pemeriksaan.''

Gobind mengubah soalan: ''Kamu setuju semasa pemeriksaan dijalankan kamu ada di situ?''

Tan: ''Ya, Yang Arif.''

Gobind: ''Adakah dia memakai seluar dalam?''

Tan: ''Ada.''

Gobind: ''Boleh ingat apa warnanya?''

Tan: ''Tak boleh.''

Gobind: ''Kamu tidak ingat kerana ia telah dibuang.''

Hakim Ariffin segera menegur Gobind supaya meneruskan soalan yang lain.

Gobind: ''Saya katakan bahawa Sukma telah ditelanjang bogel.''

Hakim Ariffin mengingatkan saksi itu: ''Ini perkataan telanjang bogel (tidak memakai seurat benang).''

Tan: ''Tidak, Yang Arif.''

Gobind: ''Dia telah dikehendaki berpusing-pusing di hadapan semua anggota soal siasat di situ dalam keadaan amat memalukan.''

Tan: ''Tidak, Yang Arif.''

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/07/1999

Saksi nafi caci maki Sukma

KUALA LUMPUR 14 Julai - Seorang saksi menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dakwaan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja bahawa anggota-anggota pasukan soal siasat memaki, mencaci, menengking dan mengugutnya sebelum dia membuat pengakuan terbabit dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kegiatan homoseksual.

Detektif Koperal Lee Tuck San yang merupakan seorang daripada anggota pasukan soal siasat itu memberitahu demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama pendakwa pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah memanggil Lee sebagai saksi pendakwa ketujuh untuk menyangkal dakwaan Sukma.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Ketika disoal balas Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma, saksi itu juga menafikan bahawa semasa sesi soal siasat itu pihak polis menggunakan kaedah kekerasan secara meninggikan suara untuk mendapatkan pengakuan Sukma.

Gobind menyoal: ''Saya katakan kamu menggunakan taktik menakutkan serta kaedah-kaedah untuk meletakkan Sukma dalam keadaan tertekan bagi mendapatkan pengakuan daripadanya pada hari soal siasat itu.''

Lee: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Ketika mengambil alih menyoal balas saksi itu, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar berkata: ''Kamu mengingatkan saya kepada Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Kota Melaka).''

Sebelum memulakan soalannya, Karpal berkata: ''Beritahu apa yang benar seperti Guan Eng.''

Karpal: ''Adakah kamu menjalani apa-apa kursus selama 17 tahun berkhidmat dengan pasukan polis?''

Lee: ''Tidak pernah.''

Karpal: ''Selama 17 tahun ini, adakah hanya menjadi pengawal sahaja, tiada tujuan lain?''

Lee: ''Tidak setuju, Yang Arif.''

Karpal: ''Jadi ada tugas-tuas lain, adakah mengambil bahagian dalam soal siasat?''

Lee memberitahu bahawa beliau mempunyai tugas lain tetapi tidak terlibat dalam menyoal siasat Sukma.

Menurutnya, beliau hanya mengawal keselamatan anggota soal siasat dan tertuduh itu.

Terdahulunya, Karpal menyoal balas saksi pendakwa keenam, Detektif Koperal Tan Hwa Cheng yang juga anggota pasukan soal siasat terhadap Sukma.

Karpal: ''Semasa menjalankan soal siasat, adakah satu keperluan untuk meninggikan suara?''

Tan: ''Tidak.''

Karpal: ''Adakah pernah mendapatkan pengakuan daripada mana-mana samseng misalnya, Botak Chin?''

Tan: ''Ada.''

Karpal: ''Adakah semua ini dihasilkan tanpa meninggikan suara?''

Tan: ''Ya.''

Seterusnya, Karpal menyoal: 'Adakah kamu bersetuju dengan saya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadang-kadang keadaan di sana tidak berapa aman?''

Tan: 'Tidak setuju.''

Sambil mengingatkan saksi itu Karpal berkata: ''Tan, di sini tidak boleh bohong, nanti masuk penjara. Adakah awak tahu bahawa bekas Ketua Polis Negara telah mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri di lokap. Adakah mendengarnya?''

Tan menjawab: ''Ada dengar.''

Karpal terus menyoal perkara yang sama: ''Bersetuju dengan saya, kadang-kadang keadaan Bukit Aman tidak berapa aman?''

Tan: ''Tidak setuju.''

Di peringkat ini Karpal membuat komennya kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka: ''Yang Arif, beri amaran kepada saksi ini tak usah berbohong perkara itu. Ia adalah jelas, hakim tidak boleh memandang ringan. Perkara yang hitam dikatakan putih.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Dia tak setuju.''

''Itu suatu kejadian,'' kata Hakim Ariffin yang merujuk soalan Karpal berhubung kes bekas Ketua Polis Negara dengan Anwar.

Hakim Ariffin sambil itu membetulkan soalan Karpal yang menimbulkan tentang 'Bukit Aman'. Beliau mencadangkan soalannya harus berbunyi: ''Kadang-kadang adakah kacau-bilau.''

Karpal lalu menerima cadangan itu dan menyoal: ''Adakah berlaku kacau-bilau di dalam lokap Bukit Aman yang dilakukan oleh pegawai polis atasan?''

Tan: 'Tidak ada, Yang Arif.''

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/07/1999

Mahkamah dengar aduan dakwaan terhadap polis

KUALA LUMPUR 14 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar aduan pihak peguam bela berhubung dakwaan polis merekod kenyataan seorang saksi, Mohd. Rafie Mohd. Shafie, ekoran pendedahannya bahawa seorang pegawai kanan polis pernah dipaksa mengaku mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis.

Peguam Karpal Singh yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri ketika mengemukakan aduan lisan itu pada pukul 4.05 petang berkata, polis bertindak demikian ekoran laporan yang dibuat sendiri oleh pegawai polis terlibat, Asisten Supritendan Zulkifli Mohamed.

Menurut Karpal, beliau difahamkan bahawa keterangan Mohd. Rafie itu akan direkodkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu dakwaan memberi keterangan palsu di mahkamah.

Hakim Ariffin Jaka kemudian memerintahkan supaya keterangan Mohd. Rafie hanya direkodkan selepas mahkamah memberi keputusan sama ada menerima atau menolak pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja sebagai bahan bukti kes.

Hakim Ariffin ketika memutuskan demikian berpendapat, beliau bukanlah berniat untuk campur tangan dalam tugas polis.

Jelas beliau, Mohd. Rafie masih boleh dipanggil semula memberi keterangan jika dia diperlukan.

Mohd. Rafie, 49, pada 5 Julai lalu pernah mendedahkan Zulkifli mengaku kepadanya bahawa beliau dipaksa memikul tanggungjawab mencederakan Anwar ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Karpal ketika mengemukakan aduan tersebut memberitahu, polis tidak sepatutnya bertindak demikian kerana mahkamah belum lagi membuat keputusan pada prosiding bicara dalam perbicaraan.

Karpal memberi pandangan bahawa pihak polis sekurang-kurang menunggu sehingga mahkamah mengeluarkan perintah sama ada Sukma memberi pengakuan secara sukarela atau sebaliknya.

Menurut Karpal, mahkamah masih di peringkat mendengar keterangan saksi-saksi pendakwa untuk menyangkal dakwaan pembela bahawa Sukma memberi pengakuan bukan secara sukarela.

Oleh itu, Karpal memohon melalui mahkamah supaya pihak polis mengundur diri daripada merekod kenyataan sebarang saksi sehingga prosiding itu selesai.

Sementara itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, ketika membalas hujah Karpal mengesahkan, Zulkifli telah membuat laporan polis ekoran keterangan yang diberikan oleh Mohd. Rafie.

Bagaimanapun, Abdul Gani menyatakan polis hanya menjalankan tugas dengan meminta kerjasama daripada Mohd. Rafie bagi membantu siasatan dengan merekodkan keterangannya.

Menurut Abdul Gani, laporan polis juga pernah dibuat terhadap pihak pendakwa dan jika dipanggil memberi kenyataan, beliau tetap akan memberi kerjasama.

Bagaimanapun, Karpal menyatakan, sesiapa pun boleh direkodkan kenyataannya, tetapi bukan pada peringkat ini kerana prosiding bicara dalam perbicaraan belum mencapai sebarang keputusan.

Mahkamah mendengar aduan tersebut sejurus sebelum perbicaraan selesai bersidang pada sesi sebelah petang.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan Ketua Pengawal Lokap Bukit Aman, Koperal Shamsudin Mohamad, 33, bahawa lokap polis tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya tanpa keizinan.

Saksi itu bagaimanapun menyatakan, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dibolehkan memasuki kawasan lokap tanpa mendapat kebenaran mana-mana pihak.

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/07/1999

Sukma tidak menangis - Saksi

KUALA LUMPUR 15 Julai - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja tidak menangis semasa ditahan dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada bulan September tahun lalu.

Ketua pengawal lokap Bukit Aman, Koperal Kamaruzaman Idnin berkata, beliau juga tidak dimaklumkan oleh pengawal lokap lain bahawa Sukma menangis atau tidak dapat tidur selepas dia ditahan di situ pada 6 September tahun lalu.

Kamaruzaman memberi keterangannya sambil merujuk pada butir-butir catatan dalam buku harian balai lokap Bukit Aman berhubung gerak geri Sukma semasa ditahan.

Beliau memberitahu demikian pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberi secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama Anwar atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, du unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-25 hari ini.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan itu, Kamaruzaman dipanggil sebagai saksi pendakwa kesembilan untuk menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap saksi itu menyoal: ''Semasa kamu memeriksa Sukma pada 16 September 1998, adakah dia dalam keadaan ketakutan atau kebimbangan.''

Kamaruzaman: 'Tidak, Yang Arif.''

Tun Majid: ''Antara 7.30 sehingga 8.30 malam hari itu, adakah Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof berjumpa Sukma di lokap Bukit Aman?''

Kamaruzaman: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Tun Majid: ''Adakah lokap itu kotor, berbau dan basah?''

Kamaruzaman: ''Tidak, Yang Arif.''

Selepas itu, peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo meneruskan menyoal balas saksi tersebut.

Jagdeep: ''Kamu setuju bahawa semua perkara dan kejadian dicatatkan dalam buku harian?''

Kamaruzaman: ''Setuju, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Di manakah dalam buku harian Balai Lokap Bukit Aman ini, kamu lihat tercatat Sukma tidak menangis?''

Kamaruzaman: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Selanjutnya, soalan Jagdeep berkisar mengenai keadaan dalam lokap tempat tahanan Sukma.

Jagdeep: ''Lokap ini lantainya simen, adakah tempat di mana tertuduh (Sukma) boleh duduk atau dia tidur atas simen?''

Kamaruzaman: ''Ada.''

Jagdeep: ''Tempat itu juga simen?''

Kamaruzaman: ''Betul, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Jadi, Sukma tidur atas simen sepanjang dia ditahan, betul?''

Kamaruzaman: ''Tidak, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Dia tidur atas apa?''

Kamaruzaman: ''Dia tidur atas simen di alas dua helai selimut 'Kemli' warna hijau.''

Jagdeep: ''Apakah coraknya, ia tebal atau nipis?''

Kamaruzaman: ''Tebal, Yang Arif. Kalau selimut tentu berpeluh.''

Para hadirin di galeri awam kedengaran tergelak.

Sambil menunjukkan jenis kain pakaian seragamnya (jubah), Jagdeep menyoal: ''Macam baju saya?''

Kamaruzaman menerangkan bahawa selimut 'Kemli' itu tebal.

Jagdeep: ''Berapa tebal?''

Kamaruzaman: ''Tebal setengah milimeter.''

Jagdeep: ''Berapa besar selimut itu?''

Kamaruzaman: ''Saya tidak pasti.''

Jagdeep: ''Adakah lokap Sukma mempunyai tingkap?''

Kamaruzaman: ''Tidak.''

Jagdeep: ''Daripada lokap ini, adakah terdapat lubang udara untuk saluran keluar dari setiap bilik lokap?''

Kamaruzaman: ''Tidak ada.''

Jagdeep: ''Buang air kecil dan air besar, semuanya berlaku dalam bilik lokap. Adakah tiap-tiap bilik lokap ada tandas?''

Kamaruzaman: ''Ya.''

Jagdeep dengan suara meninggi: ''Jadi, jika tiada lubang udara, seseorang itu menggunakan tandas tiap-tiap hari, adakah kamu setuju keadaannya busuk?''

Kamaruzaman: ''Tidak setuju. Sebab ada ruang udara di sebelah luar.''

Jagdeep menegaskan soalannya: ''Kalau digunakan tandas tiap-tiap hari dan tidak ada lubang udara maka ia busuk.''

Kamaruzaman: ''Tidak busuk.''

Jagdeep: ''Di manakah tempat mandi?''

Kamaruzaman: ''Ada dalam bilik lokap masing-masing.''

Jagdeep: ''Adakah dalam bilik lokap ada bilik mandi?''

Kamaruzaman memberitahu bahawa tidak ada bilik mandi tetapi ada tempat mandi.

Jagdeep menyoal isu yang sama: ''Jadi jika seseorang itu mandi dalam bilik lokap itu akan basah kuyup.''

Kamaruzaman: ''Tidak semestinya, tempat mandi itu sahaja yang basah.'' Saksi itu menambah: ''Tempat mandi, mandi dengan air, basahlah.''

Para hadirin kedengaran tergelak kuat.

Jagdeep: ''Tempat mandi itu, adakah dinding?''

Kamaruzaman minta peguam bela itu ulang soalannya.

Selepas ulang soalannya, Jagdeep menyoal dengan pantas: ''Kamu tengok bilik lokap ini tidak ada dinding.''

Kamaruzaman: ''Ada dinding di ruang.''

Di peringkat ini, Hakim Datuk Ariffin Jaka menegur Jagdeep supaya tidak menyoal begitu cepat kerana beliau hendak menulis dalam buku notanya.

Jagdeep meneruskan: ''Berapa tinggi dinding ini?'

Kamaruzaman: ''Saya tak ingat.''

Jagdeep: ''Apa tak ingat?''

Kamaruzaman: ''Lebih kurang 6 kaki.''

Jagdeep: ''Kamu bohong dalam mahkamah ini. Saya katakan dinding itu hanya di tepi tandas lebih kurang 2 kaki.''

Kamaruzaman: ''Saya tidak setuju, Yang Arif, dinding lebih kurang 6 kaki.

Jagdeep: ''Saya kata tidak ada dinding.''

Kamaruzaman: ''Saya tidak setuju.''

Dalam satu soalan lain Jagdeep berkata: ''Setuju atau tidak dia menangis dan awak tak lihat.''

Kamaruzaman: ''Mungkin.''

Jagdeep: ''Kamu juga menyatakan semasa membuat pemeriksaan, adakah Sukma berpakaian dan memakai baju sahaja bukan?''

Berhubung soalan itu, Kamaruzaman berkata bahawa dia melihat Sukma memakai baju dan seluar panjang.

Peguam bela Anwar, Karpal Singh mengambil alih menyoal balas saksi itu dengan cuba menimbulkan kejadian semasa Anwar ditahan pada malam 20 September tahun lalu.

Hakim Ariffin melarang Karpal menyoal perkara itu kerana kejadian tersebut bukan isu dalam prosiding bicara dalam perbicaraan ini.

Bagaimanapun, Karpal menjawab bahawa kes tersebut akan ditimbulkan pada September ini.

Pada peringkat itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun menarik perhatian mahkamah bahawa pihaknya membantah soalan sebegitu.

Selepas itu, pendakwa memanggil saksinya yang ke-10, Koperal Mohd. Sharif Ishak yang bertugas sebagai pengawal lokap di Bukit Aman.

Ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama, Mohd. Sharif memberitahu bahawa semasa berada dalam lokap pada 7 September tahun lalu, beliau diarahkan untuk membenarkan tertuduh memakai baju dan juga seluar dan menyerahkan sehelai sejadah kepadanya.

Mohd. Sharif berkata, pada hari itu ketika beliau masuk bertugas kira-kira pukul 5.45 petang dan membuat rondaan di bilik-bilik lokap, beliau mendapati Sukma memakai bajunya sendiri dan perkara itu dimaklumkan oleh ASP Mohd. Rodwan (pegawai penyiasat) bahawa tertuduh itu mengidap penyakit asthma.

Menurut saksi itu, semasa membuat pemeriksaan di bilik lokap Sukma, beliau tidak nampak tertuduh itu menangis atau dalam keadaan ketakutan.

Peguam bela Anwar dan Sukma pula meneruskan pemeriksaan balas terhadap Mohd. Sharif pada prosiding perbicaraan yang bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/07/1999

Hakim melawat bilik lokap Sukma ditahan


HAKIM Ariffin Jaka berjalan keluar dari bangunan Ibu Pejabat Polis bukit Aman selepas beliau melawat bilik lokap yang menempatkan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja semasa ditahan September tahun lalu. - Gambar Bernama.


KUALA LUMPUR 15 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, bersama peguam bela dan pendakwa raya hari ini melawat selama 15 minit bilik lokap yang pernah didiami oleh Sukma Darmawan Sasmitaat Madja selepas ditangkap berhubung dakwaan terbabit dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kegiatan homoseksual.

Bilik lokap No.8 itu terletak di tingkat bawah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Hakim Ariffin mengetuai rombongan mahkamah itu tiba di perkarangan pintu hadapan Bukit Aman kira-kira pukul 2.20 petang ini dalam keadaan hujan agak lebat.

Anwar bersama-sama adik angkatnya, Sukma dibawa menyertai rombongan itu sebagai kedua-dua tertuduh yang sedang dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Azizan Abu Bakar.

Sukma juga menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar meliwat Azizan.

Pasukan pembelaan diwakili dua peguam bela Anwar, Karpal Singh dan Christopher Fernando. Manakala Sukma diwakili dua peguam belanya, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo.

Anggota pasukan pendakwaan yang menyertai lawatan ke lokap itu terdiri daripada Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Nordin Hassan.

Hakim Ariffin memutuskan untuk melawat bilik lokap berkenaan selepas menimbangkan permohonan Jagdeep yang meminta supaya mahkamah pergi ke lokap tersebut untuk memastikan keadaannya.

Jagdeep mengemukakan permohonan itu pagi ini, selepas selesai menyoal balas seorang saksi pendakwa pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Semasa memberi keterangan sebagai saksi pembela pada prosiding itu 30 Jun lalu, Sukma mendakwa dia telah diletakkan dalam sebuah lokap berukuran 6 kali 10 kaki luas dan 10 kaki tinggi yang keadaannya kotor, lembap serta lantainya basah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan menyatakan pandangannya bahawa pihak pendakwa berpendapat tidak perlu mahkamah melawat lokap tersebut.

Namun begitu, Mohtar berkata, sekiranya Hakim Ariffin tidak dapat gambaran yang jelas maka beliau mencadangkan supaya mahkamah menangguhkan kes itu untuk melawat lokap tersebut.

Sehubungan itu, Karpal bangun menyokong permohonan Jagdeep untuk pergi melihat keadaan lokap tersebut bagi memastikan apa yang sebenarnya dinyatakan oleh saksi.

Hakim Ariffin yang bersetuju dengan cadangan itu berkata: ''Untuk melihat keadaan bilik lokap itu sama ada ia basah.''

Karpal: 'Kita buat lawatan mengejut. Bagaimanapun saya serahkan kepada mahkamah. Kita patut melawatnya.''

Hakim Ariffin lalu mengeluarkan arahan kepada pihak pendakwa supaya mengatur lawatan itu pada sebelah petang.

Mohtar: ''Apa yang saya cadangkan agar seorang peguam bela daripada pasukan pembelaan mewakili setiap tertuduh.''

Karpal menjawab beliau mencadangkan dua peguam bela dibenarkan mewakili setiap tertuduh (Anwar dan Sukma).

Hakim Ariffin: ''Saya pernah melihat lokap tahanan tetapi bukan lokap tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Buat persiapan, saya benarkan dua peguam bela mewakili setiap tertuduh dan tertuduh juga dibawa bersama-sama untuk melihat lokap ini.''

Di peringkat itu, Jagdeep sekali lagi memohon agar prosiding dijalankan di lokap itu untuk soalan dan catatan.

Hakim Ariffin meninggikan suara: ''Tidak. Hanya pergi untuk melihat.''

Jagdeep: ''Tetapi kami boleh membuat catatan.''

Hakim Ariffin masih meninggikan suara: ''Jangan mengarah mahkamah apa yang harus dibuat. Kita pergi hanya untuk melihat.''

Peguam Negara lalu memaklumkan bahawa pihaknya akan mengatur segala apa yang perlu untuk lawatan itu.

Hakim Ariffin kemudian mencatatkan dalam nota prosidingnya bahawa lawatan itu dibuat berdasarkan keterangan seorang saksi pendakwa yang menceritakan keadaan lokap itu yang pernah digunakan oleh Sukma.

Sambil itu, beliau mengingatkan semua pihak menyediakan pengangkutan masing-masing dan juga membawa kedua-dua tertuduh.

Pada kira-kira pukul 3 petang ini, selepas rombongan mahkamah melawat lokap berkenaan, Karpal yang ditemui pemberita tidak dapat memberi apa-apa komen kerana pihak pembela akan menyoal saksi seterusnya berhubung perkara itu pada perbicaraan esok.

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/07/1999

Rodhwan nafi pernah maki hamun Anwar


ASP MOHD. RODHWAN YUSOF


KUALA LUMPUR 16 Julai - Seorang pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Rodhwan Yusof menafikan di Mahkamah Tinggi di sini beliau pernah memaki hamun Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Rodhwan berkata, beliau juga tidak memainkan kaset ucapan Anwar ketika berada dalam kereta bersama Sukma selepas menangkapnya atas dakwaan terbabit dengan Anwar dalam kegiatan homoseksual.

Beliau juga menafikan memberikan garis panduan dan memprogramkan Sukma dengan mengulang-ulangkan soal jawab, sebelum Sukma membuat pengakuan kepada seorang majistret berhubung kes itu.

Rodhwan memberitahu demikian ketika dipanggil semula sebagai saksi pendakwa hari ini untuk menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia dipaksa, diugut dan dipujuk sebelum membuat pengakuan itu.

Beliau memberi keterangan itu pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-26 hari ini.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail sebelum itu memaklumkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka bahawa pihaknya ingin memanggil Rodhwan bagi menyangkal dakwaan terhadap keterangan Sukma.

Christopher Fernando yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar bangun memberitahu bahawa pihaknya tidak membantah.

Gani: ''Semasa membawa Sukma (selepas ditangkap) ke Bukit Aman dari Pusat Membeli Belah Lot 10 menaiki kereta Proton Wira warna putih, di manakah kamu duduk dalam kereta itu, dan kejadian ini pada 6 September tahun lalu.''

Rodhwan menyatakan beliau duduk di bahagian belakang bersama Sukma dan kereta itu dipandu oleh pegawai polis, Cif Inspektor Rajagopal.

Gani: ''Semasa Sukma dibawa balik ke Bukit Aman menaiki kereta tersebut dari Lot 10, adakah kamu pada bila-bila masa memasang kaset ucapan Datuk Seri Anwar dengan sekuat-kuatnya?''

Rodhwan: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Gani: ''Pada masa itu juga adakah kamu pada bila-bila masa memaki hamun tertuduh pertama (Anwar) dengan kata-kata seperti 'kurang ajar, sial, tak guna dan ustaz yang sukakan buntut'.''

Rodhwan: ''Tidak pernah sama sekali, Yang Arif.''

Gani: ''Pada hari yang sama, semasa kamu membuat pemeriksaan di rumah Sukma di Tivoli Villa, adakah kamu dapati bilik utama rumah itu berkunci?''

Rodhwan: ''Ya, benar, Yang Arif.''

Gani: ''Adakah kamu tahu, siapakah yang memegang anak kunci bilik tersebut?''

Rodhwan: ''Anak kunci bilik tersebut dipegang oleh kakak Sukma bernama Komalawati.''

Gani: ''Adakah kamu cuba berhubung dengan puan Komalawati?'

Hakim Ariffin mencelah sambil bertanya Gani apa tujuan beliau menyoal perkara itu.

''Ia untuk menyangkal apa yang telah dinyatakan oleh Sukma dalam keterangannya, Yang Arif,'' jelas Gani.

Rodhwan menjawab: ''Ada, Yang Arif.''

Gani: ''Beritahu bagaimana kamu berhubung dengan Komalawati?''

Menurut Rodhwan, Sukma menghubungi Komalawati dengan telefon bimbit.

Gani: ''Apakah yang berlaku selepas Sukma menelefon Komalawati?''

Rodhwan: ''Setelah Sukma bercakap dengan kakaknya, kami tunggu lebih kurang setengah jam. Kemudian Sukma menelefon kakaknya menggunakan telefon bimbit yang lain setelah kakaknya tidak juga datang ke rumah tersebut.''

Gani: ''Selepas panggilan kedua ini, adakah kakak Sukma datang ke Tivoli Villa?'''

Rodhwan: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Seterusnya, menurut Rodhwan, Sukma memberi kebenaran untuk memecahkan pintu bilik utama itu supaya pemeriksaan dapat dijalankan.

Gani: ''Pada waktu pemeriksaan itu, adakah Sukma meminta kebenaran untuk bersembahyang?''

Rodhwan: ''Ada, Yang Arif.''

Gani: ''Apakah tindakan kamu apabila Sukma meminta untuk bersembahyang.''

Rodhwan: ''Saya telah memberi kebenaran kepada Sukma untuk mengerjakan sembahyang dan telah mengarahkan Detektif Lans Koperal Zaini Mohamed Diah untuk membuka gari Sukma supaya membolehkan dia bersembahyang.''

Gani: ''Pada 6 September 1998, adakah kamu pada bila-bila masa sewaktu di tingkat 11, Bangunan Bukit Aman ditanya oleh Zaini seperti berikut: ''Bos, ini dah tangkap ni, sebab apa, apa nak tulis? Bos, borang nak tahan dia ni ditulis atas dasar apa dan kamu jawab, entah.'' Adakah kamu pernah ditanya begini?''

Rodhwan: ''Tidak, Yang Arif.''

Gani: ''Pada 7 September 1998, kamu telah membawa Sukma berjumpa majistret untuk mendapatkan perintah reman, betul?''

Rodhwan: ''Betul, Yang Arif.''

Di peringkat ini, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar membantah apabila saksi itu disoal apakah kata-kata Sukma kepada majistret.

Karpal memberi alasan bahawa apa jua pertuturan Sukma kepada majistret adalah tidak boleh diterima pakai sebagai keterangan.

Hakim Ariffin mengarahkan Gani mengubah soalannya.

Gani: ''Adakah Sukma berkata apa-apa kepada majistret?''

Rodhwan: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Gani: ''Adakah kamu pada masa itu juga mendengar majistret memberitahu kepada Sukma apa-apa berkenaan arahan polis?''

Rodhwan: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Gani mengajukan soalannya: ''Setelah mendapatkan perintah tahanan daripada majistret adakah kamu pada bila-bila masa berkata kepada Sukma seperti berikut:

Pertama, ''Sekarang awak ada di bawah tahanan saya, lebih baik awak cakap kepada saya mengenai hubungan awak dengan Datuk Seri Anwar.''

Kedua, ''Ini terpulang kepada awak. Awak tadi cakap nak keluar cepat, you cakap dengan saya, you boleh balik dan tidak perlu dua minggu.''

Ketiga, ''Kalau lambat awak cakap, lambatlah awak boleh balik. Kalau awak tidak mahu bercakap juga saya akan serahkan awak kepada Badan Penyiasat Khas di mana mereka itu sangat kasar, awak menyesal nanti.'' Adakah pada bila-bila masa kamu kata pada Sukma demikian?''

Rodhwan: ''Pada bila-bila masa pun, saya tidak pernah kata kepada Sukma sedemikian.''

Gani: ''Adakah kamu pergi berjumpa Sukma di lokap Bukit Aman lebih kurang pukul 2.50 petang pada 16 September 1998?''

Rodhwan: ''Ya, Yang Arif.''

Gani: ''Beritahu Yang Arif apa tujuan berjumpa dengan Sukma pada masa itu?''

Rodhwan: ''Tujuan saya ke lokap tersebut, selain untuk menanyakan khabar Sukma, saya juga ada bertanya sama ada dia ingin bercakap apa-apa dan jika ada sama ada dia bersetuju dan sukarela percakapannya divideokan secara terbuka. Saya juga ada menerangkan tempat dan masa yang ditanya oleh Sukma.''

Gani: ''Kamu berjumpa Sukma di bahagian mana kawasan lokap tersebut?''

Rodhwan: ''Saya berjumpa Sukma di bahagian kaunter lokap setelah dia dibawa keluar dari bilik lokap.''

Semasa disoal balas oleh Karpal, Rodhwan memberitahu bahawa beliau berjumpa Sukma pada hari tersebut selama 20 minit.

Karpal: ''Dalam tempoh 20 minit itu adakah dia rela dirakamkan dengan video?''

Rodhwan: ''Saya bertanya sama ada percakapannya sukarela dan sama ada dia mahu dirakamkan dengan video secara terbuka.''

Karpal menyoal bertubi-tubi saksi itu untuk memastikan bahawa Rodhwan mengambil masa 20 minit ketika berjumpa Sukma dan soal siasatnya.

''Kamu mengesahkan telah menyoal siasat tertuduh?'' tanya Karpal.

Rodhwan: ''Ya, Yang Arif.''

Karpal: ''Dalam lokap, adakah apa-apa larangan mengikut Peraturan Lokap untuk soal siasat?''

Rodhwan: ''Saya tidak pasti, Yang Arif.''

Karpal: ''Kamu tahu Peraturan Lokap. Ketua Pengawal Lokap, Kamaruzaman Idnin (saksi pendakwa) menyatakan kamu melanggar Peraturan Lokap. Bukan saya yang kata. Ia menjadi satu kesalahan untuk menjalankan soal siasat di lokap.''

Rodhwan: ''Saya tidak setuju, Yang Arif.''

Karpal: ''Ini bermakna dia (Kamaruzaman) bohong dalam mahkamah.''

Rodhwan: ''Itu pendapat dia.''

Di peringkat ini, Hakim Ariffin mencelah: ''Beliau sudah menyatakan tidak pasti. Tanya adakah dia (pengawal lokap berkenaan) bohong.''

Karpal menerima cadangan itu lalu menyoal: ''Adakah dia bohong?''

Rodhwan menjawab: ''Saya tidak bersetuju dengan pendapat dia.''

Sebelum perbicaraan ditangguhkan pada Isnin ini, Karpal memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembela memberi notis untuk memanggil dua saksi terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustine dan Hakim Kanan Mahkamah Sesyen di sini, Lim Yee Lan.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/07/1999

Saksi: Sukma tidak pakai pakaian lokap

KUALA LUMPUR 16 Julai - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja tidak memakai pakaian lokap tetapi berpakaian sendiri semasa diletakkan dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 7 September, tahun lalu.

Pengawal lokap Bukit Aman, Koperal Mohd. Sharif Ishak berkata, semasa beliau membuat rondaan pada pukul 5.46 petang hari tersebut, tahanan-tahanan lain berpakaian lokap, baju dan seluar warna biru.

Tambahnya, ketika itu beliau melihat Sukma tidak memakai pakaian lokap.

Mohd. Sharif diminta merujuk catatan yang dibuatnya dalam Buku Harian Balai Lokap Bukit Aman yang menyatakan bahawa beliau telah menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Rodhwan Yusof untuk memastikan bahawa Sukma dibenarkan memakai pakaiannya dan diberikan sehelai sejadah.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada prosiding bicara dalam perbicaraan.

Bicara dalam perbicaraan itu untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Terdahulu, Christopher Fernando yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar menyoal balas saksi itu berkisar sama ada Sukma berpakaian ketika itu atau berbogel.

Fernando menyoal: ''Adakah kamu meminta kebenaran Rodhwan untuk Sukma memakai baju dan seluar?''

Mohd. Sharif: ''Ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Bilakah kamu meminta kebenaran?''

Saksi itu memberitahu bahawa beliau meminta kebenaran Rodhwan sebelum mencatatkan dalam buku harian lokap itu.

Fernando: ''Secara logik jikalau Sukma telah berpakaian...'' Di peringkat ini Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah: ''Sebelum ini dia tidak ada pakaian?''

Fernando lalu melengkapkan soalan: ''Adakah awak bersetuju jikalau Sukma telah memakai baju dan seluar maka awak tidak perlu meminta kebenaran, jawab.''

Mohd. Sharif: ''Tidak setuju.''

Fernando: ''Saya ulangi, jikalau dia sudah berpakaian baju dan seluar kenapa perlu minta kebenaran untuk pakai baju dan seluar?''

Mohd. Sharif menyatakan beliau tidak faham soalan peguam bela itu.

Selepas Fernando ulang soalannya, Mohd. Sharif menjawab: ''Tujuannya untuk pastikan dia pakai baju dan seluar.''

Fernando meninggikan suara: ''Sila jawab dengan betul jika dia sudah berpakaian baju dan seluar, tidak lojik minta kebenaran.''

Mohd. Sharif: ''Saya hendak pasti kebenaran siapa dia pakai baju dan seluar.''

Hakim Ariffin sekali lagi mencelah: ''Maksudnya?''

Mohd. Sharif: ''Semasa dia datang sudah berpakaian baju...'' Fernando segera menyoal: ''Dalam konteks kamu sendiri, kamu tulis supaya dia memakai baju dan seluar, kamu minta kebenaran.''

Hakim Ariffin lalu meminta Fernando menyoal apa makna catatan yang telah dibuat oleh saksi itu.

Setelah Fernando bertanyakan perkara itu, Mohd. Sharif menerangkan bahawa beliau mendapat tahu Sukma memakai pakaiannya dengan kebenaran Rodhwan.

Fernando: ''Baiklah, kamu kata, kamu telefon Rodhwan meminta kebenaran supaya dia beri Sukma memakai baju dan seluar dalam lokap.''

Mohd. Sharif menjelaskan: ''Bukan meminta kebenaran tapi minta kepastian sama ada Sukma dibenarkan memakai baju dan seluar.''

Fernando: ''Adakah kamu bercakap benar.''

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah kerana tidak bersetuju dengan Fernando yang telah menyoal saksi itu berulang-ulang kali mengenai perkara yang sama.

Hakim Ariffin berkata bahawa beliau tidak mencatatkan soalan berulang-ulang itu dan meminta supaya Mohd. Sharif menceritakan apa sahaja dan jangan takut.

Mohd. Sharif: ''Saya telefon Rodhwan untuk bertanya sama ada Sukma dibenarkan memakai baju dan seluar semasa dalam lokap.''

Fernando: ''Saya katakan kamu tidak bercakap benar. Baca sekali lagi apa yang kamu tulis (dalam buku harian lokap).''

Selepas Mohd. Sharif membaca catatan buku harian itu lalu Hakim Ariffin menjelaskan kepada Fernando: ''Detektif Lans Koperal 125598 itu dimaksudkan bahawa koperal itu sendiri. Rodhwan membenarkan Sukma pakai baju.''

Fernando mengalih soalan: ''Pada satu ketika Sukma berbogel?''

Mohd. Sharif: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Awak tahu atau tidak?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Sebenarnya adakah dia berbogel?''

Mohd. Sharif: ''Itu saya tidak tahu.''

Fernando: ''Kamu tak tahu pula sama ada dia berbogel atau tidak. Saya katakan jikalau dia tidak berbogel tidak perlu minta kebenaran.'

Hakim Ariffin bertanya: ''Siapa yang minta kebenaran?''

Fernando: ''Sebelum dia datang.''

Hakim Ariffin mengingatkan Fernando: ''Kamu mesti bersikap adil kepada dia (saksi). Siapa yang minta kebenaran.''

Fernando meneruskan soalannya: ''Tidak perlu minta kebenaran, Sukma memakai baju dan seluar, adakah kamu setuju?''

Mohd. Sharif: ''Ya, saya setuju.''

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/07/1999

Hakim, peguam bertikam lidah

KUALA LUMPUR 19 Julai - Suasana perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini hangat apabila tercetus pertikaman lidah ekoran teguran Hakim Datuk Ariffin Jaka terhadap seorang peguam bela yang mengacu-acukan jari ke arah beliau.

Hakim Ariffin menegur Gobind Singh Deo yang sering kali nampak mengacukan-acukan tangan kanannya semasa menyoal balas seorang saksi pendakwa, Asisten Supritendan Mohd. Rodhwan Yusof.

''Jangan acu-acukan jari,'' kata Hakim Ariffin dengan nada yang keras kepada Gobind.

Gobind merupakan peguam bela adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. Beliau menyoal balas Rodhwan pada sesi pagi prosiding bicara dalam perbicaraan kes Anwar.

Bicara dalam perbicaraan itu dijalankan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu pada perbicaraan utama kes Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Hakim Ariffin mencatatkan dalam notanya teguran itu sambil berkata: ''Mahkamah dapati peguam ini selalu menggunakan tangannya dan menunjuk-nunjukkan ke arah hakim, beliau diberikan teguran.''

Gobind menyampuk: ''Yang Arif, saya tidak buat apa-apa yang salah dengan mengangkat tangan. Saya tidak pernah pada bila-bila masa menunjukkan tangan saya kepada Yang Arif. Ini gaya saya bercakap. Saya selalunya dengan gaya begini untuk menyampaikan maksud saya, Yang Arif. Semua peguam seharusnya diberikan kebebasan di mahkamah. Yang Arif tidak patut menjadikan ia satu rujukan dalam prosiding ini.''

Hakim Ariffin menegaskan: ''Saya menghargai apa yang ingin kamu hendak nyatakan tetapi jangan buat begini, acu-acukan tangan (ke arahnya), kamu boleh buat begitu ke arah dinding.''

Gobind menyatakan beliau menerima teguran itu.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin dengan nada tegas berkata: ''Jika saya dapati kamu melakukan lagi kepada saya, saya kenakan kamu tindakan menghina mahkamah. Hentikan perbuatan ini. Kamu boleh menggunakan gaya kamu untuk menyatakan maksud kamu tetapi jangan lakukan sedemikian kepada hakim. Kamu boleh menggunakan tangan.''

Di peringkat ini, peguam bela Anwar, Karpal Singh bangun lalu nada meninggi menyuarakan pandangannya bahawa beliau tidak bersetuju andainya perilaku Gobind itu dikenakan tindakan menghina mahkamah.

''Ia tidak boleh dikenakan tindakan mahkamah,'' ujar beliau.

Hakim Ariffin berkata: ''Itu saya tidak tahu.''

Karpal terus menyampuk: ''Ia bukan suatu perbuatan menghina mahkamah dan peguam bela tidak patut diugut begitu hanya atas alasan yang remeh ini.''

Menurut Karpal, Gobind tidak mengacukan tangannya dengan kata-kata, 'Hei kamu!' atau ditambah dengan kata-kata, 'Hei hakim, dengar sini'.

''Beliau (Gobind) mempunyai gayanya dan malah kami (peguam bela) ada gaya tersendiri. Para peguam tidak seharusnya diugut dengan dikenakan tindakan menghina mahkamah kecuali jika ia perlu,'' kata Karpal.

Karpal: ''Saya telah menjadi pengamal undang-undang selama 30 tahun. Belum pernah terdapat hakim yang ugut untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap peguam.

''Perbicaraan ini adalah penting dan ia harus dikendalikan dengan korum termasuk peguam bela dan pendakwa raya. Yang Arif seharusnya menghentikan mengeluarkan kata-kata 'mengugut' yang tidak perlu.''

''Ia adalah penting kerana Yang Arif yang memegang neraca keadilan. Yang Arif merupakan pengadil.''

Karpal berkata lagi: ''Yang Arif tidak tahu perasaan kami yang mengendalikan kes ini. Oleh itu Yang Arif tidak seharusnya menyekat apa yang kami ingin nyatakan dan perkara ini menjadi gambaran kepada masyarakat umum tentang bagaimana seorang hakim mengendalikan perbicaraan.

''Hakim tidak patut 'mengugut' tanpa asas. Perbicaraan ini bukan sahaja menjadi perhatian dalam negara ini malah antarabangsa.''

Di peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail cuba bangun untuk menyatakan sesuatu tetapi Karpal meminta supaya beliau tidak mencelah percakapannya.

Hakim Ariffin berkata, beliau mengendalikan perbicaraan itu sebaik mungkin dengan kemampuannya.

Karpal memberi pandangannya lagi dengan menyatakan hakim tidak patut sensitif dengan teguran.

Beliau juga berkata bahawa hakim tidak seharusnya bertengkar dengan peguam bela dan jika ini berlaku maka tidak ada perbicaraan yang adil.

Hakim Ariffin mencelah: ''Saya tidak bertengkar dengan peguam bela.''

Beliau lalu menegaskan: ''Saya boleh menghentikan tetapi juga boleh menyatakan tidak bersetuju dan jika perkara ini berlaku, saya mahu lihat kamu menyatakan 'maaf', itu sahaja dan saya boleh minta kamu tunjuk sebab mengapa tidak boleh mengambil tindakan menghina mahkamah.''

Namun, Karpal mengulangi kata-katanya dengan meminta Hakim Ariffin menghentikan 'ugutan' untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap peguam bela.

Hakim Ariffin: ''Saya beri jaminan kepada kamu bahawa tidak ada ugutan.''

Karpal: ''Yang Arif boleh menanyakan soalan. Undang-undang membenarkan. Tetapi apabila menyoal hakim tidak boleh panas baran.''

Hakim Ariffin dengan nada tegas: ''Tengok sini Karpal, saya ingin prosiding ini berjalan lancar. Jika kamu menyatakan 'maaf' maka ia sudah selesai. Tetapi jika kamu bersikap begini ia kurang sopan.''

Bagaimanapun, Karpal membangkitkan apa yang berlaku terhadap dua peguam bela Anwar yang lain, Pawancheek Marican dan Zulkifli Noordin yang dikatakan telah diberikan amaran untuk dikenakan tindakan mahkamah pada minggu lalu.

Hakim Ariffin menjelaskan bahawa ketika itu beliau telah membuat keputusan tetapi Zulkifli masih hendak berhujah dan tidak mengendahkan perintah mahkamah.

Karpal lalu meminta supaya Hakim Ariffin memberikan jaminan bahawa peguam bela tidak diugut untuk dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Di peringkat ini, Hakim Ariffin mengarahkan Gani memberikan pandangannya.

Gani bangun menerangkan bahawa peguam bela dan pendakwa raya semuanya merupakan pegawai mahkamah.

Setiap pegawai mahkamah, menurut beliau, tahu tentang etika dalam profesion perundangan.

Gani berkata, tapi ia sungguh mendukacitakan dan mungkin dilupakan kerana terdapat dalam buku undang-undang Sarkar dan Archbald bahawa apabila seorang hakim membuat sesuatu keputusan maka ia diterima tanpa takut atau pun memihak.

''Yang Arif, saya bukanlah berpengalaman seperti Karpal tetapi apa yang saya perhatikan bahawa adanya peguam yang mengendalikan kes secara 'garang' dan saya tidak bersetuju dengan keadaan begini,'' kata Gani.

Selepas itu, Hakim Ariffin menulis keputusannya bahawa beliau memberikan jaminan kepada semua pihak tidak ada sebarang ugutan dan bukan sifatnya untuk mengugut mana-mana peguam bela di hadapan beliau.

Hakim Ariffin menegaskan apabila beliau merasakan ingin mencelah dalam prosiding itu ia dilakukan dengan niat yang baik dan bukanlah seperti anggapan bahawa beliau mengugut peguam bela atau menghalang mereka daripada menikmati kebebasan untuk melaksanakan pembelaan.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

---------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/07/1999

Musa: Stanley bantu dapatkan pegawai rakam pengakuan

KUALA LUMPUR 19 Julai - Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Stanley Clement Agustin pernah membantu beliau mendapatkan seorang pegawai kanan mahkamah yang berpengalaman untuk merekod pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Musa berkata, beliau memohon bantuan Stanley, 48, yang berjawatan Ketua Unit Pendakwaan Wilayah Persekutuan kerana pihak mahkamah yang dihubunginya sebelum itu memaklumkan bahawa majistret tiada ketika itu untuk merekod pengakuan Sukma.

Pada peringkat itu, Karpal Singh selaku peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keterangan Musa berhubung dakwaan beliau pernah dimaklumkan oleh pihak mahkamah.

Karpal memberi alasan, keterangan itu adalah suatu dengar cakap.

Musa kemudian menyatakan, oleh kerana ketiadaan majistret, beliau memohon Stanley membantunya mencari mana-mana pegawai kanan yang berpengalaman supaya tertuduh tidak perlu tertunggu-tunggu tanpa kepastian.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail, Musa menjelaskan, bantuan Stanley juga untuk menyenangkan tugas polis yang mengiringi Sukma.

Menurut Musa, Stanley dihubungi di pejabat beliau di Tingkat 16, Jabatan Peguam Negara, Bangunan Bank Rakyat, Jalan Tangsi di sini, pukul 10.30 pagi, 17 September tahun lalu, hari yang sama pengakuan Sukma direkod.

Sebelum itu, Musa ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Karpal menafikan beliau menghubungi Stanley kerana siasatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah kes yang istimewa.

Musa, pegawai penyiasat kes itu, memberi keterangan pada sesi petang setelah dipanggil semula oleh pihak pembela dalam prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menentukan pengakuan Sukma diberi secara sukarela atau sebaliknya.

Dalam perbicaraan utama, Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, juga dibicarakan bersama-sama adik angkatnya Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Dalam keterangannya, Musa mengaku memohon bantuan Stanley mendapatkan pegawai kanan yang berpengalaman sedangkan beliau mengetahui bahawa mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah, mana-mana majistret boleh merekod pengakuan Sukma.

Menurut Musa, beliau pernah membaca salinan pengakuan Sukma yang diserahkan kepadanya dalam sampul berpelekat pada sebelah petang, hari yang sama ia direkodkan.

Musa kemudian disoal oleh Karpal sama ada beliau mengetahui pengakuan mengikut Seksyen 115 hanya boleh disimpan oleh majistret yang merekod atau majistret lain yang mengendalikan kes itu.

Bagaimanapun Musa menjawab, majistret hanya menyimpan pengakuan asal.

Dalam pemeriksaan utama prosiding itu, berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua belah pihak apabila Karpal membuat andaian bahawa Musa kerap kali memandang ke arah skrin komputer pihak pendakwa.

Karpal menimbulkan isu perilaku Musa setelah saksi itu kerap kali mengubah keterangannya berhubung percakapan Sukma sama ada ia direkod mengikut Seksyen 112 atau 113 Kanun Prosedur Jenayah.

Abdul Gani membantah dengan alasan, Musa tidak melihat ke arah skrin komputer kerana ia diletakkan dalam keadaan membelakangkan saksi.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ariffin Jaka dengan pantas meredakan perbalahan tersebut dengan mengarahkan Musa memandang ke arahnya setiap kali menjawab soalan.

Hakim Ariffin ketika mengarahkan demikian sambil berjenaka: ''Saya agak kacak, pandang saya.''

Musa kemudian mengesahkan, beliau tidak pernah secara khusus mengarahkan pegawainya, Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof merakam percakapan Sukma mengikut Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah dalam bentuk pita video.

Mahkamah juga mendengar keterangan Stanley ketika dipanggil oleh Karpal sebagai saksi pada prosiding tersebut.

Menurut Stanley, beliau pernah bertemu dengan Hakim Kanan Mahkamah Sesyen, Lim Yee Lan, untuk mendapatkan seorang pegawai kanan mahkamah yang berpengalaman merekod pengakuan Sukma sejurus selepas Musa menghubunginya melalui telefon.

Saksi itu berkata, ketika itu beliau tidak mengetahui bahawa polis sedang menjalankan siasatan terhadap Sukma.

Stanley berkata, beliau kemudian menghubungi pegawai polis yang membantu Musa, Mohd. Rodwan supaya bertemu dengan Lim untuk mengatur pertemuan dengan pegawai yang akan merekod pengakuan tertuduh.

Selepas Karpal memaklumkan pihaknya tidak ada saksi lain untuk dipanggil, mahkamah menetapkan esok untuk mendengar penggulungan hujah prosiding bicara dalam perbicaraan itu.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/07/1999

Rodwan jelas kesilapan keterangan

KUALA LUMPUR 19 Julai - Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau melakukan kesilapan ketika memberikan keterangannya sebelum ini berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Rodwan menjelaskan bahawa kesilapan itu berkaitan tempat dan waktu Sukma dibawa berjumpa pegawai penyiasat kes itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan.

Dalam keterangan yang pertama, katanya, beliau memberitahu mahkamah bahawa sehari sebelum pengakuan dibuat, Sukma telah dibawa berjumpa Musa di pejabatnya (Rodwan) pada pukul 3.30 petang pada 16 September, 1998.

Bagaimanapun, hari ini, Rodwan menerangkan bahawa Sukma sebenarnya telah dibawa berjumpa Musa pada pukul 4.20 petang pada hari yang sama di pejabat Musa.

Rodwan menjelaskan lagi, kesilapan itu berlaku kerana pada 16 September 1998, beliau berjumpa Sukma sebanyak dua kali, iaitu pukul 3.30 petang di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pada pukul 4.20 petang selepas Sukma dibawa ke pejabatnya sebelum beliau membawa tertuduh itu berjumpa Musa.

Beliau berkata demikian ketika memberi jawapannya dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Sukma Gobind Singh Deo.

Rodwan merupakan saksi pendakwa yang dipanggil semula untuk memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuannya.

Bicara dalam perbicaraan itu untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan utama Anwar atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-27 hari ini.

Ketika menjawab soalan lain, Rodwan menerangkan bahawa Sukma sendiri yang meminta untuk berjumpa dengan Musa pada hari tersebut.

Rodwan menafikan apa yang dikatakan oleh Gobind bahawa keterangannya hari ini adalah, 'to serve particular situation' (untuk memenuhi keperluan dalam keadaan tertentu).

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan satu soalan peguam bela bahawa keterangan sebelum ini mengenai perkara tersebut adalah tidak benar.

Ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Rodwan menyatakan bahawa beliau hanya tersilap berhubung masa dan tempat Sukma dibawa berjumpa dengan Musa.

Menurutnya, keterangan yang tidak betul atau kesilapan itu bukan disengajakan.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 21/07/1999

Musa mahu tahu usaha programkan tertuduh - Karpal

KUALA LUMPUR 20 Julai - Karpal Singh berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tindakan Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan yang ghairah ingin membaca kandungan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja bertujuan mengetahui hasil daripada usaha memprogramkan tertuduh.

''Musa mengaku membaca dan meneliti pengakuan Sukma dan perbuatan itu tidak boleh dimaafkan,'' kata Karpal.

Karpal selaku peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan demikian ketika membentangkan penggulungan hujah pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama Anwar atas tuduhan meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Karpal berhujah bahawa mahkamah harus menolak pengakuan Sukma memandangkan ia direkodkan dengan kaedah yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, Musa tahu mengenai peruntukan yang ketat di bawah Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah yang boleh digunakan malah untuk menggantung seseorang.

''Tetapi, mengapakah beliau begitu ghairah untuk membaca kandungan pengakuan itu,'' kata Karpal.

Dalam hujahnya, Karpal juga mempersoalkan mengapa Musa mengatur dan menelefon Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Augustine untuk mendapatkan seorang majistret yang kanan untuk merekodkan pengakuan Sukma.

Selepas membuat pengakuan, menurut Karpal, Sukma dibawa balik ke Bukit Aman dan diletakkan dalam tahanan untuk memastikan bahawa dia telah menyatakan apa yang telah diprogramkan terhadapnya.

--------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 21/07/1999

Tindakan mengaku lakukan homoseksual dipersoal

KUALA LUMPUR 20 Julai - Peguam Karpal Singh mempersoalkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengapa tiba-tiba Sukma Darmawan Sasmitaat Madja ingin membuat pengakuan di hadapan majistret bahawa dia terbabit dalam kegiatan homoseksual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karpal berhujah, pihak pendakwa bukan sahaja gagal membuktikan melalui saksi-saksinya bahawa Sukma membuat pengakuan secara sukarela malah gagal menyatakan dalam keadaan bagaimana dia mahu berbuat demikian.

Beliau sebaliknya menyatakan tertuduh telah diprogram supaya menurut kehendak polis.

Karpal menyatakan demikian ketika membentangkan pengulungan hujah pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan adik angkat Anwar itu diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Dalam hujahnya, Karpal meminta mahkamah menolak keterangan Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil yang bertindak sebagai majistret merekod pengakuan Sukma pada 17 September tahun lalu.

Menurut Karpal, keterangan Abdul Karim boleh diragui kerana beliau memberi keterangan yang berbeza ketika dipanggil sebagai saksi pada prosiding bicara dalam perbicaraan.

Beliau berhujah bahawa ketika pemeriksaan utama, Abdul Karim mengaku beliau tidak bertanya Sukma mengapa tertuduh itu ingin membuat pengakuan.

Bagaimanapun Karpal menyatakan dalam pemeriksaan semula oleh pendakwa, Abdul Karim kemudian mendakwa beliau ada bertanya tujuan Sukma.

Lagipun menurut Karpal, saksi itu dalam keterangannya pernah mengaku dia tidak merekodkan kata-kata tertuduh yang ingin membuat pengakuannya.

Karpal berkata, keterangan Abdul Karim tidak boleh diterima pakai kerana ia perkara yang difikirkan semula.

Oleh itu Karpal menyatakan, mahkamah perlu menolak keterangan Abdul Karim kerana ia cacat, sebaliknya menerima keterangan Sukma bahawa pengakuan itu dibuat tanpa kerelaannya.

Selain itu, Karpal mempertikaikan keperluan polis merekod pengakuan Sukma mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah, sedangkan mereka boleh merakam percakapan beramaran tertuduh mengikut Seksyen 113.

Karpal juga mempersoalkan mengapa pendakwa tidak memanggil peguam Mohd. Noor Don yang mewakili Sukma ketika tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 September tahun lalu, sedangkan namanya disebut dalam keterangan seorang peguam, K. Ganesan.

Karpal menyifatkan kehadiran Mohd. Noor adalah secara mengejut kerana Ganesan terlebih dahulu telah dilantik oleh kakak Sukma, Komalawati Sasmitaat Madja untuk mewakilinya.

Menurut Karpal lagi, keengganan pendakwa memanggil semua saksi walaupun keterangan mereka adalah penting bagi kedua-dua belah pihak, menunjukkan mereka mempunyai niat lain.

Karpal juga berhujah, mahkamah tidak sepatutnya membuat andaian bahawa kenyataan risikan daripada Sukma melalui penyiasatan pasukan teknikal tidak diperolehi hasil soalan secara bertubi-tubi.

Ini kerana menurut Karpal, Sukma dalam keterangannya berkata, dia dikasari polis, dibogelkan dan disoal siasat berhari-hari.

Mahkamah menetapkan esok untuk mendengar penggulungan hujah balas pihak pendakwa.

-------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 21/07/1999

Sukma mengaku tanpa kemahuan


JAGDEEP SINGH DEO.


KUALA LUMPUR 20 Julai - Pihak pembela berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memberikan pengakuan tanpa kemahuannya kerana tertekan, dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji oleh polis.

Peguam belanya, Jagdeep Singh Deo berkata, mahkamah harus meneliti budi pekerti dan latar belakang Sukma sebelum dia ditangkap.

''Sukma, pemilik butik yang telah biasa dengan gaya hidup kelas atasan. Perhatikan bahawa dia berbadan kecil dan nampak 'penakut','' kata peguam bela itu.

Jagdeep menambah, menurut fakta yang tidak dipertikaikan, Sukma menghidap penyakit asma.

Malah, katanya, sepanjang masa sebelum dia ditangkap pada 6 September 1998, Sukma sentiasa bekerjasama dengan polis.

Dengan itu, kata Jagdeep, mahkamah harus meneliti keadaan hari pertama semasa dia ditangkap.

Katanya, Sukma ditangkap pada siang hari tanpa sebarang amaran walaupun dia telah bekerjasama untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dua minggu sebelum itu.

''Keretanya telah digeledah di depan khalayak ramai dan tangannya digari, selepas itu dia dibawa ke apartmennya di mana polis merampas sewenang-wenang barang yang tidak menentu sehingga pintu bilik utama rumahnya telah dipecahkan,'' kata Jagdeep.

Selepas itu, kata Jagdeep, Sukma dibawa ke Bukit Aman dan dipaksa berbogel dan tidur tanpa pakaian.

''Dia hanya diberikan sehelai baju setelah diminta dan perkara ini ada dicatatkan dalam buku harian Balai Lokap Bukit Aman,'' kata beliau.

Jagdeep berkata, penjelasan yang dibuat oleh seorang anggota polis yang dipanggil sebagai saksi pendakwa untuk menyangkal dakwaan Sukma, telah dipersoalkan dan mahkamah tidak harus menerima keterangannya.

Peguam bela itu berkata demikian ketika menggulung hujah pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-28 hari ini.

Jagdeep membentangkan hujahnya di hadapan Hakim Datuk Ariffin Jaka pada pukul 9.10 pagi ini.

Seterusnya, beliau menarik perhatian mahkamah bahawa Sukma ditangkap waktu makan tengah hari dan apabila dia dibawa ke Bukit Aman tidak ada makanan yang tinggal lagi dan tertuduh terus berlapar sepanjang hari itu.

Jagdeep merujuk kes Pendakwa Raya lwn Chong Boo See mengenai kegagalan pihak berkuasa memberi seseorang itu makan semasa tempoh dia ditahan dan mendatangkan kesan ke atasnya sehingga dia membuat kenyataan amaran.

Selain itu, Jagdeep berhujah, mahkamah tidak harus mengabaikan pandangannya tentang keadaan lokap yang menempatkan Sukma semasa dia ditahan.

''Sukma hanya tidur atas simen beralaskan sehelai selimut dan dia diberikan selimut yang nipis. Dengan keadaan ini, penyakit asma yang dihidapinya semakin teruk,'' kata Jagdeep.

Jagdeep menerangkan dengan panjang lebar tentang keadaan lokap No. 8 di Bukit Aman di mana Sukma ditahan.

Ia tidak dipertikaikan, kata peguam bela itu bahawa Sukma ditahan di lokap tersebut selama 12 hari dan 11 malam sebelum dia membuat pengakuan.

Jagdeep berkata, setelah melawat dan membuat pemerhatian di lokap itu, keadaannya nampak sungguh menakutkan, kecil dan gelap. (Hakim Ariffin telah mengetuai rombongan mahkamah melawat lokap berkenaan pada Khamis minggu lalu).

Menurut Jagdeep, ruang mandi yang berlantai terazo dalam bilik lokap itu mudah basah apabila seseorang itu mandi.

Beliau memberitahu, tidak terdapat dinding berukuran 6 kaki tinggi yang mengasingkan ruang mandi seperti yang dikatakan oleh seorang saksi pendakwa yang dipanggil untuk menyangkal dakwaan Sukma.

Kata Jagdeep, amalan Sukma mengerjakan sembahyang lima waktu dan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari sudah pasti menjadikan lokap itu lembap dan basah lantas tidak sesuai didiami.

Beliau berhujah, begitu juga dua helai selimut kemeli yang diberikan kepada tertuduh, tidak membantu untuk menahan dirinya daripada kesejukan kerana sehelai digunakan untuk alas tidur dan sehelai lagi dijadikan selimut.

Jagdeep menarik perhatian mahkamah bahawa tertuduh ditempatkan sendirian dalam lokap tersebut sepanjang tempoh tahanan.

Peguam bela itu juga membangkitkan bagaimana pasukan soal siasat yang pada mulanya dianggotai seramai lima orang dan kemudian dikurangkan kepada empat orang.

Beliau berkata, soal siasat itu dijalankan pada 8 September hingga 17 September 1998 dan tercatat dalam buku harian Balai Lokap Bukit Aman bahawa Sukma disoal siasat tidak lebih daripada enam jam setiap hari.

Jagdeep berhujah, Sukma juga tidak dibenarkan berjumpa dengan keluarganya atau pun melantik peguam cara sebelum pengakuan dibuat dan keadaan ini mendatangkan kesan yang serius ke atas mindanya.

Di samping itu, kata Jagdeep, fakta yang menyatakan Sukma telah disoal siasat oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof seperti dalam keterangannya adalah versi yang benar.

Beliau menyatakan, keterangan Sukma bahawa dia diprogramkan secara sistematik untuk membuat pengakuan telah disokong dengan apa yang dinyatakan oleh ketua pasukan soal siasat, Cif Inspektor Sampornak Ismail.

Jagdeep berkata, keterangan Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan tidak boleh dipercayai kerana ia bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh Sampornak bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang nota laporan soal siasat itu.

Menurutnya, dengan kesilapan yang jelas dan kredibiliti saksi pendakwa dipersoalkan maka mahkamah tidak patut menerima pengakuan Sukma kerana ia tidak diberikan dengan kemahuannya dan tidak boleh dijadikan bukti pendakwa.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/07/1999

Pendakwa beritahu amalan biasa serah salinan dokumen

KUALA LUMPUR 21 Julai - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa menjadi amalan biasa salinan sesuatu dokumen berhubung penyiasatan dibekalkan kepada polis atau mana-mana agensi penyiasatan.

Oleh itu, kata beliau, pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja adalah dibuat berdasarkan penyiasatan polis.

Menurut Gani, pegawai penyiasat kes itu, Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan memberi keterangan bahawa salinan dokumen pengakuan Sukma telah diberikan kepada beliau untuk menyelesaikan penyiasatan kes itu.

Gani menyatakan fakta yang menunjukkan Musa membaca dokumen itu pada 17 September 1998 tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap Sukma.

Dengan itu, rujukan kes Goh Ching An dan Noor Muhammad tidak relevan kerana pengakuan itu diperolehi secara adil.

Beliau berhujah, jika Musa menerima dokumen asal maka ia akan menimbulkan ketidakadilan malah kuasa undang-undang di India menyatakan sebaliknya dalam kes Hansraj lwn Emperor.

Gani menyatakan demikian dalam penggulungan hujah balas pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Beliau menyangkal hujah yang dikemukakan oleh Karpal Singh selaku peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama Anwar atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Terdahulunya, Gani menyangkal hujah peguam bela Sukma, Jagdep Singh Deo berhubung keadaan Sukma ketika ditahan di lokap di Ibu Pejabat Bukit Aman sebelum dia membuat pengakuannya.

Menurut Gani, tidak terdapat keterangan yang menyatakan Sukma diserang penyakit asma yang teruk dan juga tidak ada permintaan tertuduh untuk mendapatkan rawatan doktor.

Beliau menyangkal Sukma tidak diberikan makanan malah tertuduh tidak menafikan dia dapat makan pada 7 September 1998 dan seterusnya.

Gani menjelaskan bahawa pada 6 September 1998, Sukma ditahan di lokap pukul 6.10 petang dan waktu makan malam sudah selesai.

Bagaimana pun, menurut Gani, pihaknya mengaku Sukma menghidap asma dan ubat-ubatan disediakan apabila diminta.

''Sukma tidak buat apa-apa aduan kepada pengawal lokap,'' kata beliau.

Berhubung soal siasat terhadap Sukma, Gani berhujah dengan merujuk kes Datuk Mokhtar Hashim.

Beliau berkata, Rahmat Satiman ditahan selama 42 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ini adalah melanggar Peraturan Lokap.

''Yang Arif boleh melihat fakta dalam kes kita bahawa ia amat jauh berbeza. Sukma disoal siasat semasa waktu pejabat. Dan ada waktu rehat untuk makan tengah hari. Ketua pasukan soal siasat, Cif Inspektor Sampornak Ismail dan anggotanya mematuhi peruntukan di bawah Peraturan Lokap,'' ujar beliau.

Beliau berkata, dakwaan-dakwaan yang dibuat Sukma berhubung layanan buruk polis terhadapnya semasa soal siasat, ugutan, paksaan serta janji-janji mereka sehingga mendorong tertuduh itu membuat pengakuan adalah tidak berasas.

Menurut Gani, keterangan Sukma di mahkamah langsung tidak boleh dipercayai kerana dia sering menukar-nukar cerita mengenai perkara itu untuk faedahnya sendiri.

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/07/1999

Pengakuan Sukma benar - Gani

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pihak pendakwa berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tohmahan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja bahawa dia diprogramkan untuk mengingati secara berulang-ulang sehingga dapat memberikan pengakuan terbabit dalam kegiatan homoseksual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah tidak munasabah.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata, Sukma mahu membuat pengakuan sendiri dan jika dia diprogramkan pasti tidak dapat memberikan jawapan spontan semasa disoal oleh pegawai yang merekodkannya.

''Sukma memberikan pengakuan yang benar dan datang daripadanya sendiri,'' kata Gani.

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang mendengar hujah itu mencelah sambil bertanya: ''Adakah ia dibuat tanpa persediaan.''

Gani menjawab, Sukma memberikan pengakuannya dengan spontan.

Menurut Gani, orang yang merekodkan pengakuan itu merupakan seorang pegawai kanan iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Jalil.

Beliau berkata, Abdul Karim membuat pemerhatian, dan dapat 'menghidu' untuk menentukan jawapan Sukma kepada soalannya ketika membuat pengakuan itu.

''Abdul Karim juga boleh menentukan sama ada Sukma berkeadaan tertekan atau dipaksa,'' kata Gani.

Dengan itu, pengakuan Sukma dibuat mengikut peraturan undang-undang yang betul.

Gani menyatakan demikian ketika menggulung hujah balas pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela atau sebaliknya.

Pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu untuk dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan utama bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No.10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-29 hari ini.

Pada sidang yang bermula pukul 9.06 pagi ini, Gani memaklumkan bahawa pihaknya membahagikan tiga bahagian dalam penggulungan hujah balas yang meliputi fakta ringkas dan menjawab dakwaan pihak pembela.

Dalam hujahnya, Gani menjawab dakwaan Sukma berhubung kandungan pengakuannya yang setebal 10 atau 11 muka surat itu yang dibuat di hadapan Abdul Karim pada 17 September 1998, konon berdasarkan guideline (garis panduan) yang diberikan kepadanya oleh Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof.

Gani berhujah, Rodwan sendiri juga menafikan sama sekali dakwaan itu.

''Dakwaan tertuduh kedua (Sukma) bahawa guideline ini diberikan adalah tidak munasabah kerana Rodwan tidak terlibat di dalam soal siasat terhadapnya,'' kata pendakwa raya itu.

Gani menerangkan bahawa Rodwan juga tidak ada menemui Sukma di sepanjang tempoh tahanan remannya kecuali empat kali iaitu:

i. Pada 9 September 1998, untuk pemeriksaan oleh Dr. Zahari Noor.

ii. Pada 10 September 1998, untuk menguruskan pemulangan keretanya;

iii. Pada 16 September 1998, untuk rakaman video; dan

iv. Pada 17 September 1998, untuk membawa tertuduh kedua ke hadapan majistret membuat pengakuannya.

Oleh itu, kata Gani, adalah tidak munasabah dan mustahil Rodwan mempunyai peluang untuk memberikan guideline untuk diingati secara berulang-ulang sehingga Sukma dapat memberikan pengakuannya di dalam dokumen (ID4) berkenaan yang mengambil masa lebih dua jam yang dicatatkan oleh Abdul Karim.

Beliau menegaskan bahawa ia adalah pengakuan yang benar dan datangnya daripada Sukma sendiri.

Gani berhujah seterusnya bahawa Sukma mendakwa semasa ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dia telah diarahkan menanggalkan baju dan seluarnya.

Katanya, Sukma juga mengatakan bilik lokap di mana dia ditahan kotor, berbau dan basah.

''Seterusnya Sukma mendakwa dia amat lemah, sedih, kecewa dan takut yang teramat sangat. Dan pada malam 6 September 1998 (selepas ditangkap), dia tidak dapat tidur dan menangis sepanjang malam,'' kata Gani.

Gani: ''Berkaitan dengan keadaan lokap yang didakwa kononnya basah, kotor dan berbau telah dinafikan oleh tiga saksi pendakwa yang dipanggil untuk menyangkal dakwaan itu. Malahan, Yang Arif telah dapat menyaksikan dengan sendiri keadaan sebenar lokap Bukit Aman dan bilik lokap No. 8 khasnya yang bertentangan dengan apa yang didakwa oleh Sukma.''

Beliau berhujah, dua pengawal lokap juga dengan jelas menyatakan mereka tidak nampak atau mendengar Sukma menangis atau tidak dapat tidur pada malam berkenaan.

Menurut Gani, memandangkan bilik lokap No. 8 yang paling dekat dengan kaunter, sekiranya benar Sukma tidak dapat tidur dan menangis perkara ini semestinyalah disaksikan oleh pengawal lokap yang berada di situ dan juga apabila mereka membuat rondaan.

Bagaimanapun, Gani menyatakan adalah tidak dinafikan bahawa Sukma diminta membuka baju dan seluarnya oleh seorang anggota polis yang bertugas dengan tujuan untuk memeriksa sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuhnya.

Walau bagaimanapun, kata Gani, setelah diperiksa, Sukma dibenarkan memakai semula seluarnya dan apabila berada di lokap dua atau tiga minit kemudian bajunya telah dipulangkan untuk dipakai, dan dia juga diberikan sehelai selimut memandangkan dia menghidap penyakit asma.

Seterusnya, Gani berhujah, pada 7 September 1998, Sukma mendakwa semasa di lokap dia telah meminta kebenaran pengawal untuk memberi sesuatu bagi menutup auratnya memandangkan dia kononnya hanya berseluar dalam.

Gani berkata, Sukma mendakwa pengawal lokap telah memberinya sehelai selimut yang sangat kotor tetapi kerana tiada pilihan lain tertuduh telah menggunakan selimut tersebut sebagai sarung untuk sembahyang.

Beliau menjelaskan bahawa pada pukul 5 petang hari tersebut seorang pengawal lokap telah menerima barang-barang untuk diberikan kepada Sukma antaranya sehelai sejadah, dua helai kain sarung, dua helai seluar trek, dua baju T, tiga helai seluar dalam, baju singlet, dua tuala mandi dan ubat-ubatan untuk sakit asma.

Gani berhujah bahawa barang-barang yang disediakan itu seperti pengalamannya tinggal di hotel.

Di peringkat ini, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar bangun membantah tidak bersetuju apabila Gani menyelitkan hujahnya dengan pengalaman beliau dengan kata-kata 'tinggal di hotel' untuk membandingkan lokap di mana Sukma ditahan.

Hakim Ariffin mencelah sambil meminta Gani berhujah berkaitan kes itu dan tidak dimuatkan dengan hal lain.

Gani berhujah lagi, Sukma juga mendakwa pada 10 September 1998, Cif Inspektor Sampornak Ismail mengugutnya dengan mengatakan bahawa dia boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama dua tahun dan tahanannya itu boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi selepas itu.

Menurutnya, Sampornak juga didakwa telah mengatakan kepada Sukma bahawa dia boleh dituduh seperti Datuk S. Nallakaruppan.

Katanya, pada hari yang sama, Sukma mendakwa Sampornak ada menyatakan bahawa beliau dan anggota pasukan soal siasat boleh meletakkan peluru di dalam keretanya dan peluru murah hanya sebutir berharga 45 sen sahaja.

Selain itu, kata Gani, Sukma mendakwa bahawa Sampornak telah mengugut untuk menembaknya dengan mengatakan beliau boleh mengupah sesiapa pun untuk menembak tertuduh itu dan tiada siapa pun yang akan menyangka bahawa pihak polis yang menembaknya.

Menurut Gani lagi, Sukma mendakwa Sampornak dan anggota pasukan memaksanya mengaku mempunyai hubungan homoseksual dengan Anwar.

Tambahnya, Sukma mendakwa Sampornak dan anggota pasukannya telah memprogramkannya secara sistematik, di drill dan diprogramkan macam komputer supaya dia memberi pengakuan di hadapan majistret.

Gani dengan lantang berhujah bahawa dakwaan-dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Sampornak dan kesemua anggota pasukan soal siasat.

Beliau menyatakan bahawa Sukma sendiri bersetuju dengan cadangan pendakwa raya bahawa dia langsung tidak menyebut kes Nallakaruppan di dalam afidavit yang dibuat olehnya bertarikh 11 Disember 1998 dalam permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

''Pasukan soal siasat tidak ada sebab untuk berbohong kerana mereka tidak langsung mengetahui siasatan yang dibuat oleh Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan berkaitan kes Sukma,'' jelas Gani.

Beliau berhujah lagi, pasukan soal siasat tidak mengetahui langsung bahawa Sukma akan membuat pengakuan di hadapan majistret pada 17 September 1998.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/07/1999

Mahkamah gugur butir-butir tambahan pengakuan

KUALA LUMPUR 21 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk menggugur butir-butir tambahan dalam pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang direkodkan hasil soal jawab di antara tertuduh itu dengan seorang majistret pada 17 September tahun lalu.

Hakim Datuk Ariffin Jaka membenarkan permohonan peguam Karpal Singh untuk menggugurkan soalan Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil yang bertindak sebagai majistret mencatatkan jawapan tambahan pada akhir kandungan pengakuan itu.

Karpal mengemukakan alasannya bahawa mahkamah tidak sepatutnya merekodkan ayat tambahan dalam pengakuan Sukma pada peringkat ini sebelum memastikan sama ada ia dibuat mengikut peruntukan Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah.

Oleh itu, Karpal memohon tambahan kepada pengakuan itu digugurkan daripada rekod mahkamah bagi mengelakkan unsur-unsur prejudis terhadap Sukma.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail menjawab dengan hujah meminta supaya butir penambahan itu direkodkan kerana ia membuktikan bahawa Sukma memberi pengakuan secara sukarela.

Keputusan itu dibuat sebelum mahkamah mendengar jawapan hujah balas oleh peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo pada sidang sesi sebelah petang prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan tertuduh itu dibuat secara sukarela atau sebaliknya.

Jagdeep dalam hujahnya mempertikaikan tindakan polis mencatat dalam diari lokap bahawa Sukma sedang disoal siasat sedangkan tertuduh sebenarnya dibawa berjumpa majistret membuat pengakuan.

Beliau berkata, mahkamah mempunyai asas mencurigai catatan diari lokap bahawa Sukma dibawa keluar bermula pukul 2 petang dan dihantar semula pukul 6.50 petang, 17 September tahun lalu.

Jagdeep menyatakan keraguannya berdasarkan keterangan saksi-saksi bahawa pengakuan Sukma direkod oleh Abdul Karim pada pukul 3.50 petang, hari yang sama.

Beliau berhujah, dakwaan Sukma telah diprogram dan ini dibuktikan melalui tindakan Abdul Karim menyerahkan sesalinan pengakuan kepada Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan melalui Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof yang mengiringi tertuduh.

Oleh itu, Jagdeep meminta mahkamah meneliti untuk menentukan sama ada menerima keterangan Sukma atau saksi-saksi lain terutamanya Musa serta pasukan penyiasat teknikal yang diketuai oleh Cif Inspektor Sampornak Ismail.

Jagdeep juga tidak bersetuju dengan hujah pendakwa yang menyatakan tiada keterangan bahawa Sukma menderitai penyakit asma ketika ditahan dalam lokap.

Menurut Jagdeep, catatan dalam diari lokap ada mengesahkan bahawa Sukma menderitai asma sehingga tertuduh memerlukan bekalan ubat.

Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/07/1999

Mahkamah diminta teliti saksi-saksi pendakwa


KARPAL SINGH.


KUALA LUMPUR 22 Julai - Peguam Karpal Singh hari ini meminta Mahkamah Tinggi di sini meneliti dengan cermat terhadap saksi-saksi pendakwa sebelum memutuskan sama ada pengakuan Sukma Sasmitaat Madja boleh diterima pakai dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-30 hari ini.

Karpal selaku peguam bela Sukma menyatakan demikian pada prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada dibuat secara sukarela atau sebaliknya.

Ketika sidang sesi pagi ini, Karpal menjawab hujah balas Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, yang dikemukakan semalam.

Karpal berkata, isu yang dibentangkan di hadapan Hakim Ariffin amat penting dan beliau diberi tanggungjawab untuk mendukung perlembagaan dan undang-undang.

''Seorang hakim itu mestilah berpandukan dengan hati nurani ketika membuat keputusan,'' katanya.

Menurut Karpal, ini kerana keputusan tersebut mendatangkan kesan pada perbicaraan kes jenayah yang dihadapi oleh seseorang tertuduh.

Dengan itu beliau meminta agar keadilan dilaksanakan dalam perbicaraan yang membabitkan Anwar dan Sukma.

Dalam hujahnya, Karpal menarik perhatian mahkamah berhubung salinan pengakuan Sukma yang dibuat di hadapan majistret pada 17 September tahun lalu dan telah diberikan kepada Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof pada hari yang sama.

Pada petang hari itu juga, Rodwan menyerahkan salinan tersebut kepada pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan, katanya.

Karpal berhujah bahawa Musa telah membaca kandungan pengakuan itu.

''Perbuatannya melanggar peraturan untuk kuasa merekod pernyataan atau pengakuan salah di bawah Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah,'' kata beliau.

Peguam bela itu berkata, tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 115 (ii) kanun tersebut yang berbunyi: ''Pernyataan atau akuan salah sedemikian itu, hendaklah ditulis dengan sepenuhnya oleh Majistret yang menerimanya dan kemudian hendaklah dihantar kepada Majistret, jika berlainan, yang akan menyiasat atau membicarakan kes itu.''

Dengan lain perkataan, kata Karpal, dokumen pengakuan itu tidak boleh diserahkan kepada sesiapa pun.

Beliau mengambil rujukan beberapa kes lama dari Mahkamah Inggeris berhubung Seksyen 115 (ii) itu.

Karpal menyatakan bahawa perkara ini berdasarkan perundangan semata-mata.

Katanya, walaupun tidak terdapat kesilapan dalam pengakuan itu tetapi ia bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 115 (ii) kanun tersebut.

Karpal berkata, dengan itu jelas bahawa tindakan mengambil pengakuan Sukma dibuat secara tidak sah di sisi undang-undang dan tidak boleh diterima masuk sebagai bahan bukti.

Mahkamah harus menimbang dan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwa, misalnya, Cif Inspektor Sampornak Ismail yang mengetuai pasukan soal siasat terhadap Sukma, kata Karpal lagi.

Menurutnya, mahkamah sepatutnya memerhati perilaku saksi itu ketika memberi keterangan semasa menjawab soalan untuk menyangkal dakwaan Sukma.

Di peringkat itu, Karpal mengimbaskan semula pada hari Sampornak memberi keterangannya dan beliau menyatakan Hakim Ariffin pernah mengeluarkan komen mengenai saksi tersebut.

Karpal membaca satu petikan dari majalah Asiaweek bertarikh 23 Julai 1999 yang menyiarkan komen Hakim Ariffin mengenai Sampornak.

Ia disiarkan dalam Talking Points (di ruangan perbualan) bertajuk, He is a stupid witness. (Dia seorang saksi yang bodoh).

Karpal: ''Malah Yang Arif telah membuat komen begitu terhadap saksi tersebut dan ini dipetik oleh Asiaweek.''

Hakim Ariffin: ''Asiaweek boleh tulis apa sahaja. Mereka boleh kata apa yang mereka suka.''

Karpal: ''Tetapi mereka memetik apa yang dikatakan oleh Yang Arif. Jika mahkamah menerima keterangan Sampornak yang menafikan dengan begitu nyata maka apakah pertimbangannya memandangkan beliau adalah saksi penting pada bicara dalam perbicaraan ini.''

Dengan itu, Karpal berhujah, mahkamah harus meneliti dengan cermat sama ada untuk menerima keterangan Sampornak yang hanya membuat penafian semata-mata.

Karpal mengakhiri hujahnya dengan memohon agar mahkamah mengetepikan pengakuan Sukma itu.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/07/1999

Akhbar dilarang siar pengakuan Sukma


SUKMA Darmawan Sasmitaat Madja dikerumuni sekumpulan jurugambar di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.


KUALA LUMPUR 26 Julai - Pihak akhbar hari ini dilarang menyiarkan kandungan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja sehingga Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan muktamad mengenainya.

Dokumen pengakuan Sukma telah diterima sebagai suatu bahan bukti pihak pendakwa dalam perbicaraan Anwar atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar. Ia ditandakan sebagai ''P4''.

Hakim Datuk Ariffin Jaka mengeluarkan arahan itu selepas menimbangkan permohonan Karpal Singh selaku peguam bela Anwar.

Karpal memohon supaya akhbar tidak menyiarkan kandungan pengakuan Sukma ketika ini walaupun ia telah dibacakan secara terbuka di mahkamah.

Saksi pendakwa yang kelima, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abdul Karim Abdul Jalil membaca keseluruhan kandungan itu ketika dipanggil oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad untuk mengemukakan dokumen asal pengakuan Sukma.

Pada satu peringkat, Karpal bangun membantah dengan alasan bahawa saksi itu membaca perkara yang tidak ada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Karpal memohon supaya Abdul Karim tidak membaca lebih daripada itu.

Beliau berhujah bahawa ada peruntukan undang-undang ia boleh diedit sebelum membacanya.

''Lebih elok kedua-dua pihak menyemak kandungannya. Jika beliau (saksi) membaca dan Yang Arif dengan itu menjadi prejudis, Yang Arif akan memihak dan memutuskan apa yang sepatutnya,'' kata Karpal.

Di peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bangun menjawab bantahan pihak pembela.

Mohtar: ''Dengan izin Yang Arif, pihak pendakwa berpendapat bahawa keseluruhan P4 hendaklah dibaca. Ia atas alasan Yang Arif telah menerima keseluruhan P4 ini.

''Andai adanya bahagian-bahagian pengakuan itu yang dianggap memprejudiskan mana-mana tertuduh (Anwar dan Sukma), ini boleh diambil kira oleh Yang Arif hakim dalam menentukan sama ada Yang Arif hakim hendak mengetepikan keterangan itu daripada pemikiran dan pemerhatian serta pertimbangan.''

Mohtar memetik penghakiman Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram dalam kes Juraimi Husin lawan Pendakwa Raya, iaitu kes Mona Fandey.

Beliau berhujah bahawa kes itu adalah di hadapan juri tetapi perbicaraan ini (kes Anwar) lebih baik kerana ia ditentukan oleh hakim sendiri yang terlatih dalam undang-undang.

''Bahagian atau keterangan yang mungkin dianggap memprejudis tertuduh adalah relevan di bawah Akta Keterangan. Antara lain, untuk menunjukkan latar belakang perhubungan antara orang-orang berkenaan dan dalam kes ini ialah tertuduh pertama dan tertuduh kedua (Anwar dan Sukma),'' kata Mohtar.

Beliau berkata lagi, ia untuk menunjukkan keadaan minda kedua-dua tertuduh dan juga relevan sebagai fakta yang serupa mengenai tertuduh.

''Oleh itu, tambah beliau, terlalu awal bagi mahkamah itu untuk memutuskan membuang atau expunge bahagian-bahagian berkenaan,'' kata beliau.

Menurut Mohtar, prosedur yang betul dan teratur ialah bagi keseluruhan pengakuan ini dibaca dan dikemukakan dalam keterangan dan pada peringkat akhir kes pendakwa atau pembela hakim boleh mendengar hujah kedua-dua pihak untuk membuat keputusan sama ada hendak menggugurkan atau sebaliknya.

''Saya menyatakan dengan segala hormat kepada rakan bijaksana (Karpal) bahawa hendaklah dibacakan, kami yakin Yang Arif sebagai seorang hakim fakta dan undang-undang akan membuat keputusan yang wajar sekiranya ada bahagian-bahagian yang memprejudiskan tertuduh,'' jelas beliau.

Mohtar berkata lagi, dan yang patut dibuang sekiranya kesan prejudis itu melebihi atau mengatasi kesan pembuktian keterangan.

Beliau memohon bantahan itu ditolak dan meminta dibenarkan Abdul Karim meneruskan membaca kandungan pengakuan Sukma.

Karpal menghujah balas dengan menyatakan bahawa semasa prosiding bicara dalam perbicaraan tidak ada rujukan yang dibuat mengenai pengakuan itu selain daripada percubaan saksi tersebut untuk membaca bahagian akhir dokumen itu.

Beliau menyatakan sebelum saksi itu membaca keseluruhan kandungan pengakuan dan untuk menentukan sama ada ia adalah fakta yang serupa berkaitan dakwaan itu, maka hakim sendiri patut membacanya terlebih dahulu.

''Terdapat peraturan, Yang Arif adalah hakim dan juri. Kerana sekarang tidak ada perbicaraan di hadapan juri lagi. Yang Arif tidak seharusnya terkhilaf arahan. Ia penting bagi tertuduh dan ini haruslah dilakukan. Hakim patut membaca keseluruhannya dan menentukan mengikut undang-undang,'' hujah beliau.

Selepas merujuk satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, Karpal mencadangkan bahawa pada peringkat ini hakim harus meneliti kandungan yang agak panjang lebar itu di kamar beliau manakala pembela juga menelitinya.

Karpal memohon agar dibenarkan penangguhan sebentar kerana memerlukan masa untuk meneliti kandungan pengakuan tersebut.

Mohtar menjawab hujah Karpal itu. Beliau menyatakan jika pengakuan itu dibaca dulu oleh hakim sebelum saksi membacakannya, ia seolah-olah hakim membuat preview keterangan sebelum ia dibentangkan secara rasmi walaupun undang-undang membenarkannya.

''Ia harus dibentangkan dengan rasmi,'' kata Mohtar.

Mohtar menambah, jika hakim Ariffin menggugurkan kandungan itu pada peringkat ini, ia mungkin relevan di bawah peruntukan Akta Keterangan dan sebelum bantahan dikemukakan di mahkamah terbuka.

''Dengan itu, beliau berhujah, hakim berkenaan mungkin membuat keputusan dan peraturan mendahului hujah bantahan,'' katanya.

Mohtar memohon supaya saksi itu dibenarkan membaca dan jika didapati bahagian keterangan itu patut dibantah maka pembela boleh membangkitkannya dalam bantahan rasmi dan mahkamah dapat memutuskan secara yang betul.

Beliau juga menarik perhatian mahkamah bahawa peguam bela telah mengetahui kandungan dokumen itu dari 'A hingga Z' dan tahu yang mana prejudis.

''Saya pasti bahawa Karpal telah membaca keseluruhannya dan sama ada ia relevan maka bolehlah dihujahkan tetapi bukan pada peringkat ini,'' kata Mohtar.

Hakim Ariffin kemudian memutuskan membenarkan Abdul Karim membaca pengakuan itu dan sekiranya peguam bela ingin membantah ia boleh mengemukakan penghujahan.

''Jika begitu, ia adil, Yang Arif boleh membacanya dan kemudian menimbangkan untuk menggugurkan. Kami tidak mahu ia disiarkan oleh akhbar,'' kata Karpal.

Karpal juga mengakui bahawa pihaknya telah membaca kandungan pengakuan tersebut lebih dari 'A hingga Z'.

Hakim Ariffin bersetuju dengan peguam bela bahawa kandungan itu tidak patut disiarkan dan mengingatkan para pemberita yang membuat liputan supaya mematuhi arahan mahkamah.

Beliau memberi masa untuk peguam bela memeriksa balas saksi pada perbicaraan esok.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/07/1999

Pengakuan Sukma diterima -- Hakim Mahkamah Tinggi putuskan dibuat secara sukarela

KUALA LUMPUR 26 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan menerima pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja bahawa dia (Sukma) terbabit dalam kegiatan homoseksual dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pihak pendakwa memohon untuk menjadikan pengakuan Sukma itu sebagai bahan bukti pendakwa dalam perbicaraan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang menyampaikan penghakiman ringkasnya pagi ini memutuskan Sukma memberi pengakuan tersebut secara sukarela.

Ariffin bagaimanapun berkata, kandungan pengakuan Sukma itu hanya akan ditentukan pada perbicaraan utama kes tersebut.

Seorang peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo, dalam reaksinya kepada Utusan selepas perbicaraan itu berkata: ''Keputusan itu kami terima dengan segala hormatnya. Tetapi ia tidak melemahkan semangat perjuangan kami, pasukan pembelaan.

''Kami akan tetap meneruskan kes pembelaan kami dengan penuh harapan dan kami akan meletakkan keputusan mutakhir di dalam tangan mahkamah yang mulia.''

Selepas keputusan itu dibuat oleh hakim, pihak pendakwa Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad memanggil saksi kelima, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abdul Karim Abdul Jalil untuk mengemuka dan membaca keseluruhan kandungan daripada dokumen asal pengakuan Sukma.

Ketika Abdul Karim membacakan pengakuan Sukma itu para hadirin di galeri awam dan bangku sanak-saudara Anwar senyap. Galeri awam agak sesak pagi ini kerana ramai yang datang untuk mendengar keputusan mengenai pengakuan Sukma.

Bagaimanapun Hakim Ariffin memerintahkan pihak akhbar tidak menyiarkan kandungan pengakuan Sukma itu sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan muktamad mengenainya.

Pada perbicaraan utama yang masuk hari ke-31 hari ini, Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Kejadian itu didakwa berlaku pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Sebelum ini permohonan pendakwa untuk menjadikan pengakuan Sukma sebagai bahan bukti mendapat bantahan peguam bela.

Ekoran itu, Hakim Ariffin memerintahkan diadakan prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela atau sebaliknya.

Prosiding tersebut berlangsung 20 hari dan berakhir Khamis lepas. Sebanyak 18 orang saksi dipanggil memberikan keterangan termasuk Sukma sendiri.

Hakim Ariffin membacakan penghakiman sejurus sidang bermula pukul 9.20 pagi.

Hakim Ariffin: ''Ini adalah keputusan saya. Alasan-alasan yang mendalam akan dibentangkan dalam penghakiman yang penuh kelak.''

Beliau berkata, pendakwa memohon untuk memasukkan pengakuan (ID4) yang direkodkan pada 17 September 1997 oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Jalil, yang ketika itu bertindak sebagai seorang majistret.

Menurutnya, pembela telah mengambil langkah-langkah untuk mencabar kesahihan pengakuan tersebut. Bagi menentukan sama ada ia boleh diterima masuk maka prosiding bicara dalam perbicaraan diadakan. Dan tertuduh kedua (Sukma) telah membuat beberapa dakwaan yang spesifik.

Hakim Ariffin menegaskan, sesuatu pengakuan boleh ditolak atas alasan yang sah atau butir-butir andaian.

Katanya, dengan berdasarkan kemungkinan semata-mata bahawa pengakuan itu tidak dibuat secara sukarela adalah tidak mencukupi untuk asas penolakannya tetapi satu keharusan jika ia tidak dibuat secara sukarela adalah mencukupi untuk menolaknya.

''Saya telah bersusah payah dan mengambil masa untuk menimbang keterangan yang dikemukakan.

''Saya membuat analisis dengan cermat mengenai keterangan dan setelah menimbangkan penghujahan oleh peguam bela, saya dapati bahawa pihak pendakwa telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa pengakuan tersebut dibuat secara sukarela.

''Dengan erti kata bahawa ia tiada dorongan, ugutan atau janji,'' kata Hakim Ariffin.

Menurutnya, beliau berpuas hati bahawa soal siasat dijalankan pada waktu-waktu hari yang munasabah, terutamanya semasa waktu pejabat, dan terdapat masa rehat khususnya untuk makan tengah hari.

Beliau berkata, fakta menyatakan bahawa tertuduh kedua itu berada dalam tahanan sebelum pengakuan direkodkan dan kemudian balik ke dalam tahanan polis bukanlah bermakna kebebasannya telah dikongkong.

''Fakta juga menyatakan dia (Sukma) bekerjasama dengan polis. Saya akan nyatakan dengan mendalam perkara ini dalam penghakiman kelak,'' kata Hakim Ariffin.

Menurutnya, beliau mendapati tertuduh kedua dilayan dengan baik dan diberikan ubat untuk penyakit asmanya.

''Saya dapati bahawa dakwaan dibuat tanpa asas dan saya akan berikan alasan-alasan dalam penghakiman tidak lama lagi.

''Pada masa ini, mencukupi untuk menyatakan bahawa saya merasa sukar untuk menerima dakwaan-dakwaan yang saya dapati ia ''perkara selepas berfikir semula'' yang dibuat setelah sabitan kesalahannya di Mahkamah Sesyen yang terkandung dalam afidavit bertarikh 10 Disember 1998,'' kata beliau.

Hakim Ariffin menegaskan, tertuduh kedua tidak pernah mengadu berhubung sebarang layanan buruk. Adalah menasabah bagi tertuduh itu untuk melaporkan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan, Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof dan/ atau Abdul Karim jika benar adanya layanan buruk.

''Pengakuan itu telah dikemukakan untuk dijadikan bahan bukti di Mahkamah Sesyen dan digunakan sebagai rayuan untuk meringankan hukuman. Pengakuan tersebut ditandakan sebagai D2 (di Mahkamah Sesyen).

''Ini merupakan faktor penting untuk menimbangkan bagi memutuskan berhubung kerelaan membuat pengakuan tersebut. Saya juga mendapati bahawa tertuduh kedua telah diwakili oleh peguam ketika kes itu didengar dan tidak menahan haknya daripada mendapatkan peguam bela,'' kata Hakim Ariffin.

Beliau menegaskan, Karpal Singh (peguam bela Anwar), menimbulkan isu bahawa ia melanggari peruntukan Seksyen 115(2) Kanun Prosedur Jenayah kerana satu salinan pengakuan itu telah diserahkan melalui ASP Rodwan kepada SAC 1 Musa yang membacanya.

''Saya mendapati bahawa peruntukan di bawah Seksyen 115 kanun itu menyatakan bahawa pengakuan mestilah disimpan oleh majistret yang merekodkannya atau menyerahkan kepada seorang Majistret yang akan mendengar kes itu adalah suatu kelaziman dan bukannya hal yang diperbincangkan.

''Tidak ada peraturan yang dilanggar jika tidak ada prejudis terhadap tertuduh. Saya dapati tidak ada prejudis terhadap tertuduh kedua dalam kes ini. Oleh itu, perselisihan mengenainya tiada merit.

''Dengan alasan seperti di atas dan berpandukan dengan hati nurani saya maka diputuskan bahawa pengakuan itu diterima,'' kata Hakim Ariffin.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/07/1999

Saksi: Sukma lupa tarikh, tahun kejadian

KUALA LUMPUR 27 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja tidak ingat tarikh dan tahun yang tepat berhubung dakwaan kejadian di mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meliwat Azizan Abu Bakar.

Seorang saksi, Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, dalam pengakuan Sukma yang dibuat di hadapannya menyebutkan dia (Sukma) tidak ingat dengan tepat tarikh kejadian liwat itu berlaku.

Abdul Karim menyatakan demikian dalam keterangannya semasa disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad.

Beliau merupakan saksi pendakwa yang kelima pada perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Terdahulu, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar menyoal balas Abdul Karim pada sidang sesi pagi dalam perbicaraan itu yang bermula pukul 10.02 pagi.

Sebelum itu pada pukul 9.13 pagi, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bersama Karpal dan Jagdeep Singh Deo dilihat masuk ke kamar Hakim Datuk Ariffin Jaka.

Selepas keluar dari kamar hakim pukul 9.39 pagi, Karpal dilihat berbincang sebentar dengan Anwar dan Sukma.

Sebaik sahaja mahkamah bersidang Karpal terus menyoal balas: ''Pengakuan yang direkod pada 17 September 1998 ini adakah arahan pihak atasan, bukan arahan Perdana Menteri, arahan siapa?''

Abdul Karim: ''Saya diarah oleh Hakim Kanan Mahkamah Sesyen, Lim Yee Lan.''

Karpal: ''Selepas merekodkan dokumen ini, awak simpan pengakuan ini?''

Abdul Karim: ''Ya, saya simpan pengakuan asal.''

Karpal: ''Adakah dibuat salinan daripada dokumen asal?''

Abdul Karim: ''Ada, pertamanya salinan pada 17 September 1998, saya serahkan kepada Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof, lebih kurang pukul 6.15 petang, sebelum Sukma dibawa balik ke tempat tahanan polis.''

Karpal: ''Adakah Rodwan memohon salinan?''

Abdul Karim: ''Ya, beliau memohon salinan dalam bilik saya setelah saya serah Sukma kepada polis.''

Karpal: ''Adakah awak sedar ada perbicaraan yang melibatkan Sukma di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September tahun lalu?''

Abdul Karim: ''Ya.''

Karpal: ''Adakah pada bila-bila masa dibekalkan salinan kepada peguam Mohd. Noor Don yang mewakili Sukma?''

Abdul Karim: ''Seingat saya tidak beri apa-apa.''

Karpal menyoal: ''Apabila pengakuan direkodkan adakah awak setuju bahawa satu pengakuan telah direkodkan?''

Abdul Karim: ''Ya, saya setuju.''

Karpal: ''Sila lihat isi kandungan P4 (pengakuan). Adakah di mana-mana dalam kandungan itu terdapat satu pengakuan oleh Sukma bahawa dia ada terbabit dengan kesalahan liwat 'pada satu malam, di antara Januari dan Mac 1993, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar' melakukan liwat ke atas Azizan Abu Bakar?''

Abdul Karim meneliti kandungan pengakuan itu. Bagaimanapun, Karpal terus menyoal: ''Adakah Sukma atau Anwar melakukan liwat pada 'satu malam, di antara Januari dan Mac 1993' ke atas Azizan?''

Setelah meneliti dokumen itu, Abdul Karim berkata: ''Khususnya di antara Januari hingga Mac 1993, tidak ada.''

Karpal: ''Tidak ada langsung? Bolehkah kamu membaca kedua-dua tuduhan. Jangan bimbang.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Tidak ada?''

Abdul Karim: ''Setakat yang saya baca tidak ada.''

Karpal: ''Baca tuduhan dengan ringkas, ini adalah pertuduhan Anwar yang dikatakan seperti yang disebutkan tadi dan Sukma, dua pertuduhan. Apa jadi, tohmahan tidak disebutkan dalam pengakuan?''

Hakim Ariffin bertanya Karpal: ''Adakah kamu merujuk mengenai tarikh atau kesalahan?''

Karpal: ''Saya bertanya tarikh kesalahan-kesalahan itu didakwa berlaku, ia tidak ada?''

Abdul Karim: ''Soalan mengenai tuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh (Anwar dan Sukma) tidak dinyatakan dengan tepat.''

Karpal menyampuk: ''Bukan dengan tepat tapi tidak ada.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Tidak ada disebut di dalam pengakuan.

Karpal: ''Yang Arif, dakwaan mengenai kejadian malam itu tidak ada.''

Abdul Karim: ''Tidak ada secara khusus.''

Karpal: ''Bukan cara khusus, langsung tidak ada?''

Abdul Karim cuba menjelaskan: ''Seperti dalam pertuduhan, tarikh-tarikh tidak ada mengenai tarikh dan tempat seperti yang disebut.''

Karpal: ''Langsung tidak ada, setuju?''

Abdul Karim: ''Setuju.''

Karpal: ''Perkara ini penting.''

Hakim Ariffin: Saya mahu kamu tunjukkan apakah soalannya.''

Di peringkat itu, Karpal berhujah: ''Mengikut Seksyen 115 (2) Kanun Prosedur Jenayah, seorang majistret diwajibkan menyimpan satu pengakuan yang telah direkodkan jika majistret itu akan membicarakan kes itu.''

Hakim Ariffin: ''Seksyen 115 (2) adalah serah dokumen kepada majistret lain.''

Karpal menjawab: ''Ini keperluan untuk menyimpan dengan dirinya sendiri.''

Mohtar bangun membantah Karpal yang membangkitkan perkara tersebut.

Hakim Ariffin: ''Saya telah buat keputusan.''

Karpal: ''Tunggu dulu, Yang Arif. Saya akan tiba pada perkara itu kemudian sebagaimana mengikut undang-undang. Beliau (saksi) menyimpannya mengikut undang-undang.''

Abdul Karim menjawab bahawa beliau setuju.

Karpal menyoal lagi: ''Adakah awak setuju bahawa apa yang didapati di dalam kandungan P4 adalah mengenai perkara-perkara yang lain, bagi tahun-tahun yang lain dan bukan 1993?''

Abdul Karim: ''Masalahnya di sini...''

Karpal meninggi suara: 'Bukan masalah.''

Abdul Karim: ''Biar saya jawab... masalahnya tertuduh menyatakan masa, tarikh tidak ingat. Tahun 1993 langsung tidak disebut oleh tertuduh. Setakat ini tahun 1993 tidak didapati dalam pengakuannya.''

Karpal: ''Itu sahaja soalan balas saya.

Selepas itu Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma memberitahu bahawa beliau tidak ada soalan terhadap saksi itu.

Azahar yang menyoal semula Abdul Karim mengemukakan soalannya: ''Kamu telah beritahu Yang Arif semasa soal balas, kamu diarahkan oleh Hakim Lim Yee Lan. Adakah awak akan merekodkan pengakuan Sukma jika tidak berpuas hati dia memberikan pengakuan secara sukarela?''

Abdul Karim: ''Saya tidak akan rekodkan.''

Azahar: ''Yang Arif, dengan izin, saya ingin saksi ini rujuk pertuduhan-pertuduhan, sila lihat tuduhan terhadap Anwar dan pertuduhan pindaan kedua terhadap Sukma. Adakah kamu bersetuju dengan saya dalam pertuduhan ini, Anwar dan Sukma masing-masing dituduh melakukan liwat terhadap Azizan di satu unit No.10-7-2, Tivoli Villa pada satu malam, lebih kurang 7.45 malam?''

Abdul Karim: ''Ya.''

Azahar: ''Sila lihat P4 pengakuan yang awak rekod, antara muka surat 12 hingga 14. Baca muka 12 mulai perenggan akhir sehingga muka 14 perenggan kedua terakhir.''

Abdul Karim: ''Ya.''

Azahar: ''Adakah bersetuju dengan saya dalam P4 ini, Sukma ada membuat pengakuan bahawa Datuk Seri Anwar telah meliwat Azizan pada satu malam pukul 7.30 atau pun selepas 7.30 malam di apartmen kepunyaan Sukma di Tivoli Villa?''

Abdul Karim: ''Ada disebutkan Yang Arif.''

Azahar: ''Adakah juga bersetuju dengan saya dalam pengakuan ini, Sukma menyatakan dia tidak ingat dengan tepat tarikh kejadian liwat yang berlaku?''

Abdul Karim: ''Ya, Yang Arif.''

--------------------------------------------------------------------------------------



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PEMBELAAN - 2"