untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Tuesday, June 3, 2008

PENDAKWAAN - 2

ARKIB : 15/06/1999

Karpal persoal sebab Azizan tidak didakwa

KUALA LUMPUR 14 Jun - Peguam Karpal Singh mempersoalkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kenapa Azizan Abu Bakar tidak didakwa atas tuduhan memberikan kenyataan bohong ketika dia menyatakan tidak diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1992.

Karpal berkata, bekas pemandu Datin Seri Dr. Wan Azizah itu terlepas daripada tindakan itu dan dia merupakan orang yang digunakan untuk tuduhan ke atas Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh Peguam Negara, katanya.

Beliau mengatakan demikian dalam hujahnya ketika mengemukakan usul bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk membatalkan prosiding perbicaraannya kerana tidak bersetuju dengan tindakan pendakwa yang ingin meminda pertuduhan terhadap Anwar bagi kali kedua berhubung dakwaan meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Karpal selaku peguam bela Sukma membentangkan hujah itu yang turut diterima pakai oleh peguam bela Anwar.

Sebelum itu, Karpal berhujah pendakwa meminda pertuduhan pada kali pertama atas alasan tersilap taip dalam pertuduhan Anwar.

Beliau menerangkan berdasarkan pertuduhan 'bulan Mei 1992' pemohon (Anwar) telah memberikan notis alibi di bawah Seksyen 402A Kanun Keseksaan.

Dalam notisnya, menurut Karpal, Anwar tidak pernah berada di premis (Tivoli Villa) pada bulan Mei 1992 dan akan memanggil saksi-saksi berhubung hal itu.

Seterusnya, Karpal berkata, selepas menerima notis alibi itu yang menyatakan apartmen berkenaan yang hakikatnya belum siap pada 1992 maka Peguam Negara memutuskan untuk meminda pertuduhan atas alasan dengan berasaskan notis alibi itu siasatan telah dijalankan.

Karpal berhujah, pihak pendakwa tidak seharusnya berdolak-dalih di mahkamah untuk meminda pertuduhan.

''Sememangnya jelas bahawa pengadu adalah Azizan dan penyiasatan terhadapnya selesai dengan menyatakan kejadian berlaku pada Mei 1992, maka sebab itu pendakwa meneruskan pertuduhan tersebut,'' kata beliau.

Karpal mengatakan Azizan memberi kenyataannya di bawah peruntukan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

''Azizan sepatutnya didakwa membuat kenyataan palsu,'' ujarnya.

Karpal membangkitkan persoalan kenapa Peguam Negara tidak mendakwa Azizan.

Beliau menyatakan lagi apabila mengetahui apartmen belum siap pada ketika itu, pastilah satu kenyataan Azizan yang lain direkodkan dengan mengubahnya 'pada satu malam pukul 7.45, di antara Januari hingga Mac 1993.'

Karpal Singh berkata, pihaknya telah diberitahu mengenai 'tahun 1994, 1992, 1993' tetapi bukan Januari 1993.

Ini bermakna, tambahnya, terdapat dua kenyataan yang telah dibuat oleh Azizan.

Beliau berkata, pada 7 Jun lalu Peguam Negara meminda pertuduhan.

Karpal berkata, Peguam Negara seorang yang arif dengan undang-undang kerana beliau tahu notis alibi.

''Beliau tidak boleh melakukan demikian di bawah Seksyen 402A itu. Bukankah tindakan Peguam Negara ini tidak munasabah?'' tanya Karpal.

Karpal persoalkan lagi mengapakah Peguam Negara melakukan demikian.

''Peguam Negara di bawah tekanan. Bukan beliau buat demikian. Saya tahu siapa yang melakukannya. Saya tidak mahu sebutkan,'' kata Karpal.

Karpal berkata lagi, ''sekarang (pertuduhan) 1993... kita akan memasuki tahun 2000, sudah enam tahun Azizan mendakwa dia diliwat.''

Di samping itu, Karpal membaca sebahagian keterangan Azizan semasa disoal balas dalam perbicaraan Anwar dalam kes rasuah yang terdahulu.

Karpal berkata, Azizan memberitahu bahawa dia masih pergi ke rumah Anwar kerana dia tidak diliwat oleh Anwar pada tahun 1992.

Berhubung keterangan itu, Karpal mempersoalkan kenapa Azizan tidak didakwa membuat kenyataan palsu.

Dalam hujahnya, Karpal memohon Hakim Ariffin Jaka menimbangkan bahawa mahkamah itu tidak boleh disalahgunakan oleh Peguam Negara.

Selepas itu, Hakim Ariffin membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga Rabu ini atas permohonan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden, yang mengendalikan pendakwaan itu pada peringkat ini.

Difahamkan, Mohd. Yusof memohon penangguhan di kamar hakim kerana bapa mertuanya meninggal dunia.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/06/1999

Mahkamah tolak bantahan awal Anwar

KUALA LUMPUR 14 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan kenyataan beramaran rakan permainan tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan, yang dimuatkan dalam afidavit Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan.

Musa melampirkan kenyataan Nalla untuk menyokong bantahan pendakwa raya terhadap usul bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang ingin membatalkan prosiding perbicaraannya atas tuduhan meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang memutuskan demikian juga menolak permohonan pihak pembela untuk menggugurkan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan keterangan seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak, yang didakwa dibuat secara paksa mengaku membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.

Pengakuan Sukma dan Mior itu dilampirkan dalam afidavit Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, untuk menjawab kandungan afidavit Anwar bagi menyokong usul tersebut.

Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad turut memfailkan afidavit jawapan untuk membantah usul Anwar.

Ketika menolak permohonan tersebut, Hakim Ariffin menegaskan pada pendapat beliau dokumen-dokumen yang dilampirkan dalam afidavit pendakwa hanya untuk menunjukkan bahawa kenyataan dan pengakuan itu memang dibuat.

Namun menurut beliau, ia bukanlah isu pada peringkat ini dan oleh itu bantahan ditolak.

Anwar, 51, dibicarakan bersama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Kedua-duanya mengemukakan usul untuk membantah pihak pendakwa yang ingin meminda pertuduhan terhadap Anwar bagi kali kedua.

Menurut pindaan pertama pertuduhan pada 4 Mei lalu, tarikh kejadian pada satu malam bulan Mei 1992, lebih kurang 7.45 malam, di unit No.10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Bagaimana pun pada 7 Jun lalu pihak pendakwa memohon untuk meminda tarikh dakwaan itu dari 'bulan Mei 1992' menjadi 'di antara bulan Januari hingga Mac 1993.'

Sejurus sidang bermula pukul 10.10 pagi ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden, memaklumkan bahawa Peguam Negara yang mengetuai pendakwaan bersama Gani dan Azahar sebagai pihak yang memfailkan afidavit jawapan mengundurkan diri pada peringkat ini.

Menurutnya, beliau yang mengambil alih tugas pendakwaan untuk menjawab hujah bantahan awal peguam Karpal Singh yang dikemukakan pada Jumaat lalu.

Dalam bantahannya, Karpal selaku peguam bela Sukma memohon menggugurkan dokumen-dokumen yang dilampirkan dalam afidavit pendakwa itu. Penghujahan Karpal juga diterima pakai oleh peguam bela Anwar.

Ketika membentangkan hujah balas Mohd. Yusof berkata: ''Yang Arif, responden (pendakwa) berhujah bahawa afidavit pendakwa raya dan Musa difailkan sebagai jawapan kepada afidavit pemohon-pemohon, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Adalah tidak memadai untuk membuat kenyataan 'kosong' semata-mata tanpa dokumen sokongan dan terdapat lima afidavit.

''Ini adalah sebagai afidavit jawapan kepada afidavit Anwar dan juga afidavit Musa untuk menjawab afidavit Anwar.

''Oleh itu pendakwa raya dan Musa menegaskan bahawa di antara lainnya kenyataan Nalla dan pengakuan salah Sukma itu benar-benar wujud.''

Mohd. Yusof secara ringkasnya merujuk satu kes membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) yang diputuskan oleh Mahkamah Agung berhubung afidavit yang dibuat dengan sesuatu lampiran.

Beliau berhujah lagi: ''Pada peringkat ini sama ada ia 'dengar cakap' tidaklah dipastikan. Pendakwaan dalam kes ini boleh membuktikan pengakuan salah Sukma dan boleh diterima apabila tiba masa perbicaraan.

Mohd. Yusof memberitahu kenyataan amaran Nalla pula dimasukkan tanpa mala fide (niat jahat) dalam perbicaraan Anwar.

Beliau menyangkal kandungan afidavit Anwar yang menyatakan pendakwa mempunyai mala fide dengan merujuk kes Nalla dan maklumat itu dimasukkan secara salah.

Mohd. Yusof: ''Apa yang dimasukkan (dalam afidavit Musa) bukan sahaja tidak secara salah malah Nalla beri kenyataan dengan suka rela dan maklumat itu wujud dan bukan dengar cakap.''

Menurut beliau, walaupun Hakim Ariffin pernah menyatakan bahawa ia tidak relevan bagi perbicaraan Sukma dan Anwar tetapi ini hanya untuk menafikan dakwaan.

Berhubung isu dengar cakap, Mohd. Yusof menjelaskan kenyataan tersebut boleh dibuktikan sama ada diberi oleh orang yang membuat kenyataan atau orang yang merekodkan kenyataan itu.

''Dalam kenyataan Nalla, Musa yang merekodkan kenyataan amaran tersebut. Sekiranya mahkamah mendapati kenyataan itu patut dimasukkan maka kenyataan Nalla digugurkan tetapi bukan afidavit Musa yang merujuk perkara itu sebagai fakta,'' kata beliau.

Mohd. Yusof berhujah, pengakuan salah Sukma dan Mior adalah dalam pengetahuan pendakwa raya sendiri dan pendakwa raya boleh memanggil orang yang membuat dokumen itu.

''Ini bukan untuk mengaku kebenaran tetapi membuktikan ia wujud,'' kata beliau lagi.

Selain itu, Mohd. Yusof mengambil contoh perbicaraan dengan juri, misalnya kes bunuh di mana penyiasatan awal dilampirkan di hadapan hakim.

Mohd. Yusof berkata, hakim tidak memutuskan berdasarkan penyiasatan awal tetapi bukti yang dikemukakan pada perbicaraan.

Dengan itu, menurut beliau, lampiran dokumen-dokumen tersebut adalah sah dan teratur.

''Bantahan peguam bela itu tidak berasas dan melengah-lengahkan permohonan ini dan ia seharusnya ditolak,'' jelas Mohd. Yusof.

Karpal menjawab hujah balas dengan menegaskan bahawa pihaknya tetap memohon agar mahkamah menggugurkan dokumen tersebut.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/06/1999

Pita rakaman: Gurbachan fail afidavit

KUALA LUMPUR 14 Jun - Seorang peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Gurbachan Singh, hari ini memfailkan afidavit untuk mendedahkan dakwaan terdapatnya pita rakaman perbualan di antara peguam-peguam Manjeet Singh Dhillion dan Balwant Singh Sidhu dengan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Kandungan afidavit Gurbachan itu mendakwa beliau mendengar pita rakaman tersebut di dalam kereta Balwant pada Oktober 1998 berkaitan permohonan peguam Datuk S. Nallakaruppan untuk mengurangkan pertuduhan terhadapnya.

Nalla yang merupakan rakan permainan tenis Anwar kini menjalani hukuman penjara 42 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan memiliki peluru tanpa kebenaran di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Dalam pertuduhan asal, Nalla didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Karpal Singh selaku peguam bela Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memaklumkan kepada Hakim Ariffin Jaka pada perbicaraan Anwar bersama Sukma berhubung kes meliwat Azizan Abu Bakar di Mahkamah Tinggi di sini.

Gurbachan diarahkan oleh Sukma untuk mengikrarkan afidavit kerana beliau dikatakan mempunyai fakta-fakta tersebut.

Pada Jumaat lalu, Karpal memohon untuk mendapatkan penangguhan dengan alasan beliau ingin mengemukakan pita rakaman tersebut.

Karpal hari ini menarik perhatian mahkamah terhadap satu laporan akhbar The Star bertajuk 'Manjeet Demands Apology From Karpal'. Beliau juga merujuk laporan akhbar New Straits Times (NST).

Hakim Ariffin menyatakan beliau tidak menghiraukan laporan itu.

Bagaimanapun Karpal berkata, walau dalam keadaan apa pun, Manjeet tidak boleh membuat kenyataan akhbar sebegitu.

Selepas itu, Hakim Ariffin mengingatkan laporan mesti dibuat mengikut batas undang-undang walaupun perintah larangan telah diketepikan.

Menurut hakim itu, beliau akan meneliti laporan tersebut.

Karpal memohon direkodkan bahawa beliau menarik perhatian mahkamah bahawa Manjeet tidak seharusnya membuat kenyataan akhbar menafikan tentang pita rakaman itu.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/06/1999

Pendakwa senarai 18 orang saksi

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pendakwa hari ini menyenaraikan 18 orang saksinya pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Mahkamah Tinggi di sini berhubung dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.

Selain Azizan, turut disenaraikan sebagai saksi ialah bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali dan adiknya, Ummi Hafilda; ahli kimia, Lim Kong Boon, SAC 1 Musa Hassan dan enam pegawai polis, seorang bernama Lee Mon Swi; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Hanif Omar; Dr. Mohd. Fadzil Man dan empat pegawai mahkamah.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/06/1999

Usul batal prosiding perbicaraan ditolak


ARIFFIN JAKA


KUALA LUMPUR 16 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak usul Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, untuk membatalkan prosiding perbicaraannya kerana membantah pindaan pertuduhan bagi kali kedua atas dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka ketika menyampaikan keputusan ringkasnya berkata, beliau dengan kesungguhan meneliti dan menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan panjang lebar oleh peguam bela dan pendakwa raya selama dua hari.

Bagaimanapun jelas beliau, mahkamah mendapati Peguam Negara menggunakan budi bicaranya dengan betul mengikut peruntukan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel itu menyebut bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada perbicaraan di hadapan Mahkamah Syariah, mahkamah bumiputera atau mahkamah-mahkamah.

Menurut Hakim Ariffin, beliau berpuas hati pihak pendakwa membuat pindaan pertuduhan itu dan menyatakan bahawa tiada keterangan yang wajar untuk membantahnya.

Dengan itu, tambahnya, beliau tidak ada pilihan untuk menolak usul membatalkan prosiding perbicaraan itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan Sukma mengemukakan usul apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan memaklumkan hasratnya untuk meminda pertuduhan terhadap Anwar sebelum perbicaraan mereka bermula pada 7 Jun lalu.

Dalam pindaan pertama pertuduhan itu pada 4 Mei lalu, tarikh kejadian pada 'satu malam bulan Mei 1992', lebih kurang pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Pertuduhan pindaan kali kedua yang dibenarkan hari ini menyebutkan pada 'satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993,' di tempat yang sama.

Sejurus selepas Hakim Ariffin membuat keputusannya, beliau mengarahkan pertuduhan pindaan itu dibacakan kepada Anwar dan Sukma.

Bagaimanapun Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden, memaklumkan beliau ingin memanggil masuk Peguam Negara bersama Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini mengundurkan diri pada peringkat peguam bela berhujah untuk mengemukakan usul tersebut dan Mohd. Yusof mengendalikan hujah bantahan mewakili pihak pendakwa.

Ketika itu juga peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah, memohon izin Hakim Ariffin untuk mengundurkan diri daripada mengetuai pasukan pembelaan di peringkat ini.

Beliau menyatakan para peguam lain mengambil alih meneruskan pembelaan Anwar.

Hakim Ariffin membenarkan Sulaiman mengundurkan diri dan kini Anwar diwakili oleh Christopher Fernando, Gurbachan Singh, Pawancheek Marican, Zainur Zakaria, Zulkifli Nordin dan S.N. Nair.

Pada sidang sesi sebelah pagi ini, Sulaiman yang mewakili Anwar menghujah balas bagi usul itu menyatakan pihaknya memohon perintah membatalkan prosiding perbicaraan anak guamnya (Anwar) atas alasan pertuduhan itu menindas dan pindaan tersebut pula menyalahgunakan proses mahkamah.

Secara alternatifnya, kata beliau, Anwar membantah pindaan pertuduhan yang menukarkan perkataan dari 'bulan Mei 1992' kepada 'di antara bulan Mac 1993' yang didakwanya dibuat dengan niat jahat, menimbulkan prejudis, menindas dan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang mulia itu.

Sulaiman berkata, dalam kes ini 'mangsa' bernama Azizan dan mengungkitkan bahawa ketika Anwar mula didakwa pada September tahun lalu tidak ada apa-apa tuduhan membabitkan Sukma meliwat Azizan.

Dalam hujahnya, Sulaiman membangkitkan keterangan Azizan pada perbicaraan Anwar berhubung empat tuduhan yang terdahulu.

Di antara lain beliau memetik sebahagian keterangan Azizan yang berbunyi: ''Saya berhenti kerja dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah pada Februari 1992. Dalam tempoh itu hingga 1997, kadang-kadang sahaja saya berjumpa tertuduh (Anwar).''

Sulaiman berhujah bahawa ayat kedua yang terakhir keterangan Azizan menyatakan secara ringkas bahawa tertuduh meliwatnya sekitar tahun 1992.

Beliau memetik sebahagian keterangan Azizan itu yang berbunyi: ''Selepas 1992 hingga sekarang tertuduh tidak lagi meliwat saya.''

Sulaiman menegaskan dalam hujahnya bahawa Azizan mengatakan perbuatan liwat tidak berlaku lagi dan terus memetik keterangan Azizan berbunyi: ''Saya setuju tertuduh tidak meliwat saya sejak 1992 hingga 1997 jika tidak saya tidak pergi ke rumah tertuduh.''

Peguam bela berhujah bahawa kejadian liwat itu didakwa berlaku pada awal 1992 hingga Mei 1992.

''Dan apa yang dikatakan oleh 'mangsa' ialah kejadian liwat yang dikatakan berlaku di antara awal 1992 hingga Mei 1992 sahaja,'' kata Sulaiman.

Hakim Ariffin mencelah: ''Dia (Azizan) boleh buat kenyataan itu dan kertas siasatan ada dalam tangan Peguam Negara. Pastilah beliau menggunakan budi bicaranya. Karpal Singh telah mempersoalkan kenapa tidak mendakwa Azizan. Tetapi kamu harus membuktikan mala fide (niat jahat).

Sulaiman: ''Mungkin ada jawapan bagi sesuatu perkara itu.''

Hakim Ariffin: ''Semua mengenai Azizan ini penting pada perbicaraan ini. Saya tidak tahu apa yang dia telah buat. Hanya dengan mendakwa niat jahat tanpa membuktikannya melampaui keraguan yang munasabah. Mereka (pendakwa) tidak mendakwanya dan membuat pindaan mungkin kerana mereka mempunyai bukti.''

Bagaimanapun, Sulaiman mengatakan pihaknya tidak bersetuju dengan pindaan daripada pertuduhan asal bulan Mei 1994 dan selepas itu dipinda menjadi tahun 1992.

Selain itu, Sulaiman dengan terperinci menerangkan latar belakang bagaimana pendakwaan dibuat terhadap Sukma dan Anwar.

Beliau memberitahu bahawa Sukma pertama kali didakwa bersama Anwar pada 27 April lalu.

''Yang Arif, pindaan ini dibuat agak lewat dan kami membantah oleh kerana kami tidak ada pembelaan,'' jelas Sulaiman.

Pada 27 April, menurut Sulaiman, pihaknya tidak membantah kerana mempunyai pembelaan yang secukupnya memandangkan apartmen Tivoli Villa yang didakwa sebagai tempat kejadian, tidak wujud.

''Tivoli Villa tidak wujud pada masa itu, mereka (pendakwa) terlalu ghairah dengan tempat kejadian dan selepas mengetahuinya barulah meminda pertuduhan pada bulan Januari hingga Mac 1993,'' kata beliau.

Sulaiman mengatakan bahawa pendakwa mengabaikan dengan sewenang-wenangnya keterangan yang diberikan oleh Azizan bahawa tidak ada apa-apa berlaku selepas Mei 1992.

Dengan pindaan pertuduhan itu, hujah Sulaiman, pihak pendakwa telah memusnahkan notis alibi.

Karpal selaku peguam bela Sukma turut menghujah balas dengan mengulangi persoalannya mengapa Azizan tidak didakwa atas tuduhan memberikan keterangan palsu.

Sebaliknya, beliau menambah, Sukma, Mior Abdul Razak dan Dr. Munawar Ahmad Anees yang didakwa atas kesalahan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/06/1999

Hakim sahkan tidak baca pengakuan Sukma

KUALA LUMPUR 16 Jun - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, mengesahkan hari ini beliau tidak membaca atau meneliti dokumen pengakuan salah Sukma Darmawan Sasmitaat Madja atas perbuatan membenarkan dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Hakim Ariffin memutuskan mengeluarkan daripada rekod mahkamah dokumen tersebut termasuk kenyataan beramaran Datuk S. Nallakaruppan dan keterangan seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, sebelum ini melampirkan dokumen pengakuan Sukma dan kenyataan Mior itu dalam afidavit jawapannya untuk membantah usul Anwar yang ingin membatalkan prosiding perbicaraannya terhadap dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.

Kenyataan beramaran Nalla pula dimuatkan dalam afidavit Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan untuk menyokong bantahan pihak pendakwa.

Hakim Ariffin memutuskan demikian setelah menimbangkan permohonan peguam bela Sukma, Karpal Singh, yang tidak bersetuju dokumen itu berada dalam rekod mahkamah sebelum perbicaraan dimulakan.

Terdahulu, Karpal sekali lagi memohon agar Hakim Ariffin menarik dirinya daripada mengendalikan perbicaraan terhadap Anwar dan Sukma.

Karpal: ''Yang Arif, saya membuat permohonan untuk mencadangkan agar Yang Arif menarik diri daripada perbicaraan ini.

''Semasa permohonan untuk prosiding membatalkan perbicaraan, tiga dokumen yang penting digunakan oleh pendakwa.

''Ia adalah dalam afidavit yang dilampirkan oleh Peguam Negara yang memuatkan pengakuan tertuduh kedua (Sukma) yang direkodkan pada 17 September tahun lalu oleh Majistret Abdul Karim Abdul Jalil.

''Dokumen itu mengandungi dakwaan pengakuan yang panjang lebar dan juga kenyataan yang didakwa daripada Mior setebal 35 muka bertarikh 23 September tahun lalu yang dibuat oleh Majistret Ananth Namasivayam dan afidavit SAC 1 Musa.

''Semasa prosiding itu, mahkamah telah memerintahkan bahawa dokumen tersebut tidak dikeluarkan daripada afidavit berkenaan.

''Yang Arif telah membuat keputusan bahawa Peguam Negara membacanya dan saya membuat andaian ia telah dibaca. Bolehkah saya mendapatkan pengesahan Yang Arif tidak membaca dokumen ini?''

Hakim Ariffin: ''Pada pendapat saya, dokumen itu tidak diterima pakai oleh mahkamah ini. Saya berpuas hati Peguam Negara menggunakannya untuk mengemukakan dakwaan yang wujud terhadap defendan.

''Saya meneliti afidavit Peguam Negara itu sama ada ia betul atau salah untuk mengambil keputusan membuat pendakwaan.

Karpal: bertanya dengan meninggikan suaranya: ''Yang Arif tidak membaca keseluruhannya?''

Hakim Ariffin: juga dengan suara meninggi: ''Saya tidak langsung membaca dokumen Sukma.''

Karpal: ''Bolehkah saya katakan bahawa Yang Arif tidak membaca langsung?''

Hakim Ariffin: ''Saya melihat afidavit Nalla... itu sahaja.''

Karpal: ''Dengan lain perkataan, dokumen yang dikemukakan itu bukan untuk dibaca?''

Hakim Ariffin: ''Saya tidak menghiraukan dengan penerimaannya pada peringkat ini. Pada pandangan saya ia relevan apabila perbicaraan bermula.

Karpal: ''Bolehkah saya pastikah bahawa ia tidak dibaca?''

Hakim Ariffin: ''Ya, saya tidak membacanya.''

Karpal: Jika begitu saya tidak meneruskan permohonan ini.''

Hakim Ariffin: ''Saya dengan jujur mengatakan saya tidak membacanya dan saya boleh meyakinkan kamu bahawa saya tidak membaca pengakuan Sukma itu.

Karpal: ''Dengan itu saya tidak meneruskan niat saya untuk memohon Yang Arif menarik diri.''

Sebelum itu, Peguam Negara, Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan mengatakan beliau bersikap telus untuk memberitahu bahawa pihaknya akan menggunakan dokumen pengakuan Sukma pada perbicaraan tersebut.

Bagaimana pun pada peringkat ini beliau tidak bercadang untuk menggunakan kenyataan Mior dan Nalla dan mungkin dikemukakan kemudian.

Selepas itu Karpal membuat satu permohonan lagi untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Beliau memberi alasan bahawa pembela memerlukan masa selama 12 hari untuk memfailkan notis alibi.

Mohtar membantah penangguhan tersebut.

Hakim Ariffin memutuskan menolak penangguhan dan mengarahkan pendakwa meneruskan kesnya.

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/06/1999

Peguam Negara ada bukti Anwar, Sukma liwat Azizan

KUALA LUMPUR 16 Jun - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, hari ini membentangkan di Mahkamah Tinggi di sini kenyataan pembukaan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Ketika membuka tirai kes itu, Mohtar berkata, Anwar yang disenaraikan tertuduh pertama dan Sukma tertuduh kedua dibicarakan atas tuduhan masing-masing seperti yang dipinda.

Beliau berkata, pendakwa akan membuktikan melalui keterangan saksi, Azizan, dan keterangan-keterangan relevan yang lain bahawa Anwar melakukan persetubuhan sejenis yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Azizan, dengan lain perkataan Anwar meliwat Azizan.

Kesalahan ini, kata beliau, dilakukan di dalam apartmen milik Sukma di Tivoli Villa di Bangsar di sini pada satu malam seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan pindaan.

''Yang Arif, tertuduh kedua didakwa bersubahat dengan perbuatan tertuduh pertama ini dan selepas tertuduh pertama selesai melakukan perbuatan terkutuknya, tertuduh kedua pula meliwat Azizan,'' kata Mohtar.

Tambah beliau, itulah keterangan yang akan diberikan oleh pendakwa.

Sebelum perbicaraan diteruskan yang masuk hari kelima hari ini, Karpal selaku peguam bela Sukma sekali lagi mengemukakan permohonan untuk meminta prosiding itu ditangguhkan sehingga pembela membuat rayuan berhubung usulnya yang telah ditolak oleh mahkamah itu.

Mohtar membantah permohonan itu dengan menyatakan pembela tiada hak untuk merayu lagi kerana prosiding perbicaraan kes itu belum selesai.

Selepas mendengar penghujahan pembela dan pendakwa Hakim Ariffin Jaka menolak permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, mengendalikan pendakwaan dengan memanggil saksi pertama pendakwa, Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret, Kathirelayudham a/l Palaniappan atau dikenali P. Kathir, 52.

Kathir memberitahu beliau menyandang jawatannya sejak 7 Januari tahun lalu dan bertanggungjawab untuk menyimpan semua fail rekod prosiding kes Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini.

Azahar meminta Kathir mengemukakan rekod berhubung nota prosiding kes pendakwa lwn Sukma yang bernombor 62-135-98.

Nota prosiding itu mengandungi kertas pertuduhan, nota keterangan, fakta kes dan lampiran pengakuan salah Sukma.

Pada peringkat ini, Karpal membantah terhadap pendakwa yang ingin mengemukakan bahan bukti tersebut.

Azahar lalu menyerahkan kepada rakannya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, untuk mengambil alih menjawab bantahan itu.

Gani: ''Saya tidak tahu bantahan peguam bela itu ada relevansi di bawah Akta Keterangan yang mana?''

Karpal: ''Relevansi apabila mahkamah menerimanya.''

Gani: ''Kami mengemukakan keterangan untuk menyangkalnya di bawah Seksyen 80 Akta keterangan. Terdapat banyak kuasa undang-undang untuk membenarkan rekod keterangan. Perkara ini mempunyai relevansi di mana tertuduh kedua telah membuat pengakuannya. Kami menyangkal bantahan pembela.''

Karpal: ''Saya bantah untuk mengemukakan fail ini.'

Gani: ''Ini dokumen awam.''

Karpal meninggikan suara: ''Apa tujuannya?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Untuk bahan bukti.''

Karpal: ''Ia tidak boleh dijadikan bahan bukti dokumen daripada perbicaraan yang lain dikemukakan di sini.''

Hakim Ariffin: ''Tunjukkan kuasa undang-undang kamu.''

Karpal: ''Sudah pastinya saya tidak bersedia.''

Mohtar turut mencelah: ''Perkara ini adalah mudah, ia telah dinyatakan di bawah Seksyen 80.''

Karpal: ''Oleh itu saya memohon diberikan masa untuk mengemukakan kuasa undang-undang bagi mengatakan keterangan pada perbicaraan lain tidak boleh dikemukakan dalam kes ini.''

Hakim Ariffin: ''Memandangkan masa sudah hampir pukul 4 petang, perbicaraan disambung pagi esok.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/06/1999

Sukma pernah dirawat - Doktor

KUALA LUMPUR 17 Jun - Seorang ahli psikiatri, Dr. Mohd. Fadzil Man memberitahu perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja pernah mendapatkan rawatan di klinik beliau pada bulan November 1994.

Dr. Mohd. Fadzil berkata, daripada pengamatan dan pemeriksaannya, beliau mendapati Sukma menderita penyakit 'depression'.

Bagaimanapun, pada peringkat itu, Karpal Singh selaku peguam bela Sukma membantah keterangan tersebut.

Hakim Datuk Ariffin Jaka kemudian mengarahkan sebahagian keterangan Dr. Mohd. Fadzil didengar secara tertutup.

Para wartawan yang meliputi kes itu dan orang awam termasuk ahli keluarga Anwar dan Sukma diarahkan keluar dari mahkamah.

Hakim Ariffin juga mengeluarkan perintah melarang media massa melaporkan sebarang keterangan yang menyentuh latar belakang keluarga Sukma.

Sukma, 38, sedang dibicarakan bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, sebagai tertuduh pertama menghadapi dakwaan meliwat Azizan.

Kejadian itu didakwa berlaku pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, lebih kurang pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Dr. Mohd. Fadzil, 48, merupakan saksi pendakwa yang kedua dalam perbicaraan kes ini yang masuk hari keenam hari ini.

Ketika memulakan keterangannya, Dr. Mohd. Fadzil memberitahu bahawa beliau sekarang bertugas sebagai pakar perunding penyakit jiwa.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang menyoal saksi itu meminta beliau menerangkan kelayakan profesionnya.

Dr. Mohd. Fadzil berkata, beliau berkelulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya pada tahun 1977 dan selepas itu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana perubatan.

Gani: ''Adakah pernah menjalani kursus di mana-mana?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Saya pernah mengikut kursus kepakaran di Universiti Malaya.''

Gani: ''Adakah doktor merupakan ahli pertubuhan perubatan Malaysia?''

Dr. Mohd. Fadzil menerangkan beliau menjadi ahli seumur hidup Pertubuhan Psikiatri Malaysia sejak 1981. Selain itu beliau telah menjadi bendahari pertubuhan itu selama enam tahun pada 1986 hingga 1992.

Dari 1996 hingga tahun 2000, beliau adalah Naib Presiden Persatuan Psikoterapi Asia Pasifik.

Menurutnya, beliau juga bertindak sebagai pengerusi penganjur bagi persidangan psikoterapi Asia Pasifik kali kedua yang akan berlangsung di Pulau Langkawi pada bulan Mac tahun depan.

Dr. Mohd. Fadzil berkata, beliau juga ahli kanan perhubungan Persatuan Rangkaian Pendidikan Psikoterapi Dunia yang diseliakan oleh Prof. Roger Montgomery.

''Sebagai ahli kanan, saya bertanggungjawab mengatur program latihan psikiatri kepada doktor-doktor di kawasan pedalaman bagi membolehkan doktor yang bukan psikiatri menyampaikan khidmat psikiatri mereka,'' kata beliau.

Menurut saksi itu, beliau pernah menjadi pengajar sambilan menawarkan khidmat penyeliaan dalam psikiatri kepada doktor-doktor daripada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

''Saya juga pernah menjadi pemeriksa protokol-protokol dan kes laporan yang diperlukan untuk ijazah tersebut,'' tambah beliau.

Gani meneruskan soalannya: ''Adakah kamu kenal seorang bernama Sukma Darmawan?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Ya.''

Beliau kemudian mengecamkan Sukma yang duduk di sebelah kanan Anwar di kandang tertuduh.

Gani: ''Bagaimana kamu mengenali Sukma?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Saudara Darmawan (Sukma) berjumpa saya di klinik pada 10 November 1994.''

Gani: ''Berapa kali Sukma datang untuk mendapatkan khidmat doktor?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Sekali sahaja.''

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando bangun membantah keterangan itu.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin meminta Gani meneruskan soalannya.

Gani: ''Semasa menemui doktor, adakah sesiapa menemaninya?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Tiada sesiapa bersamanya.''

Gani: ''Di manakah klinik doktor?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Klinik saya terletak di Lot 354, Tingkat 2, di Pusat Membeli-Belah Ampang Park, Jalan Ampang.''

Gani: ''Sila beritahu nama klinik doktor.''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Klinik saya dinamakan Pakatan Medik.''

Gani: ''Pada masa itu adakah doktor mempunyai jururawat bernama Manjit Kaur a/p Mohan Singh?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Ya.''

Gani: ''Sila beritahu apakah tugasnya?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Dia bertugas sebagai pembantu klinik, mendaftar pesakit, membantu membekalkan ubat dengan arahan saya dan menerima bayaran daripada pesakit-pesakit.''

Gani memanggil masuk Manjit untuk dicamkan di mahkamah.

Selepas itu Gani meminta Dr. Mohd. Fadzil menceritakan apa yang berlaku dalam pertemuannya dengan Sukma pada 10 November.

Pada peringkat ini, Karpal membantah bahawa pendakwa secara tidak langsung mendedahkan keadaan hubungan antara doktor dengan pesakitnya.

Karpal memohon kes ditangguhkan seketika untuk membolehkan beliau mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya.

Ketika perbicaraan sesi petang, Karpal mengemukakan beberapa kuasa undang-undang untuk menghalang saksi pendakwa itu mendedahkan hasil pemeriksaannya terhadap Sukma.

Fernando turut membantah dengan alasan ia boleh membawa mudarat ke atas kes Anwar.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan, bagaimanapun, menjelaskan pihaknya mesti memasukkan keterangan saksi itu dan bersetuju sekiranya ia didengar secara tertutup.

Pada pukul 2.58 petang, Hakim Ariffin mengarahkan semua orang awam keluar sementara perbicaraan tertutup itu dijalankan.

Lebih kurang 15 minit selepas itu, mahkamah membenarkan orang awam masuk semula. Di peringkat ini, Karpal membantah lagi dengan mempersoal kredibiliti Dr. Mohd. Fadzil dalam profesionnya.

Dalam soal balasnya, Karpal bertanya: ''Doktor, beritahu mahkamah bilakah mendapat kelayakan untuk menjadi doktor?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Tahun 1977.''

Karpal: ''Bilakah kamu mengangkat sumpah Hippocrates?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Seingat saya tiada majlis rasmi untuk mengangkat sumpah Hippocrates.''

Karpal: ''Adakah kamu sedar bahawa kamu terikat dengan peraturan profesion?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Ya.''

Saksi itu memberitahu, beliau tampil memberi keterangan setelah pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof membacakan peruntukan undang-undang yang membenarkan beliau memberi kenyataan.

Karpal: ''Adakah kamu sedar boleh dikenakan tindakan dan kamu melanggar peraturan perubatan.?''

Dr. Mohd. Fadzil: ''Ya.''

Hakim Ariffin mengarahkan Karpal berhenti mempersoalkan kredibiliti saksi itu.

Selepas itu Karpal menyoal balas Dr. Mohd. Fadzil secara tertutup. Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/06/1999

Anwar, Sukma fail notis rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR 17 Jun - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak usul untuk membatalkan prosiding perbicaraan kes mereka.

Sehubungan itu, peguam bela kedua-duanya memohon perbicaraan yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sebentar pagi ini untuk membolehkan mereka berjumpa Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus bagi memohon penangguhan sementara kesnya.

Bagaimanapun, penangguhan itu belum diperoleh kerana Hakim Lamin sedang bercuti.

Ketika perbicaraan bermula pukul 9.12 pagi ini, peguam Karpal Singh yang mewakili Sukma memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Ariffin Jaka semalam.

Sukma dibicarakan bersama-sama Anwar atas dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Karpal memohon supaya beliau dibenarkan menemui Hakim Lamin untuk mendapatkan penangguhan sementara perbicaraan itu.

Hakim Ariffin kemudian membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan sebentar bagi tujuan itu.

Apabila mahkamah bersidang semula kira-kira pukul 11.30 pagi, Karpal memaklumkan bahawa prosiding perbicaraan itu boleh diteruskan kerana mereka diberitahu oleh Timbalan Pendaftar bahawa Hakim Lamin bercuti.

Terdahulunya, pertikaman lidah berlaku antara Karpal dan Hakim Ariffin apabila peguam bela itu membantah pihak pendakwa yang ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma atas satu kes liwat yang lain untuk dijadikan bahan bukti pada perbicaraan itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pendakwa melalui saksi pertamanya, Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, Kathirelayudham a/l Palaniappan atau dikenali P. Kathir mengemukakan fail dokumen itu untuk ditandakan sebagai bahan bukti.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 19/06/1999

Permohonan peguam bela ditolak

KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan keterangan seorang ahli psikiatri, Dr. Mohd. Fadzil Man pada perbicaraannya atas tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Dalam keterangan Dr. Mohd. Fadzil semalam, beliau memberitahu bahawa adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja pernah datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan pada November 1994.

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang memutuskan demikian menjelaskan, keterangan Dr. Mohd. Fadzil adalah relevan dengan pertuduhan walaupun mahkamah belum mendengar saksi utama (Azizan).

Katanya, beliau akan menimbangkan pada perbicaraan itu dan pembela tidak boleh memohon untuk menggugurkannya.

Hakim Ariffin membuat keputusan itu selepas Karpal Singh selaku peguam bela Sukma dan peguam bela Anwar, Christopher Fernando mengemukakan bantahan pada sidang pagi ini.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 19/06/1999

Anwar jalin hubungan intim dengan dua orang - HANIFF OMAR


MOHD. Haniff Omar meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam setelah memberi keterangan dalam perbicaraan Anwar Ibrahim.


KUALA LUMPUR 18 Jun - Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Haniff Omar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalin hubungan intim 'berunsur seks' dengan dua orang pada tahun 1993.

Seorang daripadanya, kata beliau, adalah rakyat asing dipercayai dari Pakistan dan mempunyai taraf penduduk tetap (PR) Amerika Syarikat.

''Maklumat-maklumat itu saya perolehi daripada siasatan Cawangan Khas (SB) yang kemudian saya sampaikan kepada Perdana Menteri pada 9 Oktober 1993 dalam satu pertemuan di pejabat beliau,'' kata Haniff menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwaraya, Datuk Abdul Gani Patail.

Menurut Haniff, beliau juga memberitahu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tentang kebimbangannya andainya Anwar yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan terdedah kepada tindakan peras ugut.

Bagaimanapun, menurut Haniff, Perdana Menteri (PM) tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap maklumat yang disampaikan kepadanya.

Tun Haniff, 60, memberitahu demikian dalam keterangannya sebagai saksi pendakwa ketiga pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, lebih kurang pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Haniff dipanggil memberi keterangannya sebaik sidang bermula pukul 9.08 pagi dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ketujuh hari ini.

Gani memulakan soalan dengan bertanya Haniff tentang pekerjaannya sekarang.

Menurut Haniff, beliau kini menjadi pengarah beberapa syarikat dan sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara mulai tahun 1974 hingga tarikh persaraannya pada 17 Oktober 1993.

Gani: ''Adakah Tun kenal seorang bernama Datuk Zulkifli Abdul Rahman?''

Haniff: ''Ya, beliau adalah Pengarah SB pada 1993.''

Gani: ''Pada 9 Oktober 1993, adakah Tun bertemu dengan Zulkifli?''

Haniff: ''Saya tak ingat tarikhnya tetapi pada 1993, saya ada bertemu dengannya.''

Gani kemudian memanggil masuk Zulkifli untuk dicamkan.

Selepas Hanif mengecam Zulkifli, Gani meneruskan soalannya: ''Pada 9 Oktober 1993, adakah Tun bersama Zulkifli pergi menemui PM di pejabatnya?''

Haniff: ''Ada, Yang Arif.''

Gani: ''Tun, lebih kurang pukul berapa Tun berada di pejabat PM?'

Haniff: ''Saya berada di sana kira-kira pukul 8.30 atau 8.35 pagi, selama lima atau 10 minit.''

Gani: ''Apa tujuan Tun menemui PM?''

Haniff: ''Tujuannya, Yang Arif, untuk menyampaikan kepada PM, iaitu SB dalam siasatannya telah berdepan dengan bukti yang menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim...''

Pada peringkat ini, peguam bela Anwar, Christopher Fernando membantah dengan andaian bahawa keterangan itu keterlaluan.

Gani menjawab: ''Tuduhan adalah tahun 1993.''

Hakim Datuk Ariffin Jaka yang mengendalikan perbicaraan mencelah: ''Perkara ini relevan dengan fakta dan isu. Biar saya rekodkan dulu.''

Hanif meneruskan keterangan: ''...telah menunjukkan bukti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Menteri Kewangan mempunyai hubungan intim dengan dua orang yang dikenali.''

Selepas itu, Karpal Singh selaku peguam bela Sukma turut membantah.

Hakim Ariffin merekodkan bantahan itu sambil berkata: ''Fernando beritahu...''

Fernando menyampuk: ''Saya membantah sekeras-kerasnya. Sungguh jelas ia keterangan dengar cakap dan keterlaluan dan tak relevan bagi prosiding ini. Kami menghujah bahawa saksi ini menyatakan perkara dengar cakap.''

Hakim Ariffin: ''Saya rasa ini keterangan yang mempunyai fakta dengan isu.''

Fernando: '' Perkara ini tidak relevan dengan fakta dan isu.''

Hakim Ariffin: ''Tetapi pendakwa ingin membuktikan kesnya.''

Fernando: ''Sebelum saksi ini meneruskan lebih lanjut, ini adalah peringkat yang sesuai untuk membantah. Pada prosiding yang terdahulu, kami juga telah membantah walaupun tuduhannya tidak serupa.''

Hakim Ariffin: ''Bagaimanapun, saya akan menimbangkan sama ada ia adalah fakta. Mereka (pendakwa) sedang membuktikan kesnya. Fakta adalah relevan dengan pertuduhan dan ini dianggap suatu maklumat. Itulah pandangan saya tetapi saya mungkin salah.''

Namun kata Fernando, keterangan itu mungkin menimbulkan prejudis dan tidak boleh diterima pakai.

Gani berhujah, ia bukan keterangan dengar cakap dan akan menyangkal seberapa yang mungkin anggapan pihak pembela.

Karpal mencelah sambil berhujah bahawa ia akan menjadi relevan apabila diterima pakai dan memohon agar mahkamah menimbangkannya dengan penuh keadilan.

Selepas mendengar hujah bantahan pihak pembela dan pendakwa, Hakim Ariffin memutuskan bahawa ia bukan persoalan dengar cakap kerana saksi (Hanif) mengumpulkan maklumatnya daripada SB dan pendakwa boleh mengemukakan saksi lain berhubung perkara itu.

Hakim Ariffin: ''Ia relevan dengan pertuduhan dan mempunyai butir-butirnya dan tidak memprejudiskan tertuduh. Oleh itu bantahan ditolak.''

Gani meneruskan soalannya: ''Apa yang berlaku sewaktu Tun bertemu PM?''

Haniff: ''Saya telah sampaikan maklumat itu kepada PM. Saya telah menyatakan salah satu perhubungan itu melibatkan seorang warganegara asing dan saya difahamkan dia mempunyai status PR USA (Amerika Syarikat). Jadi saya bimbang menteri tersebut mungkin terdedah dengan peras ugut.''

Gani: ''Apakah reaksi PM mengenai perkara itu?''

Haniff: ''PM tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Saya menekankan bahawa bukti SB ada kukuh tetapi beliau masih tidak menunjukkan apa-apa reaksi, jadi saya rasa itu adalah mencukupi. Atau beliau boleh mengambil tindakan berhubung sebarang kemungkinan peras ugut. Saya meninggalkan beliau begitu sahaja.''

Gani: ''Tun mengatakan berkenaan menteri, siapakah menteri itu?''

Haniff: ''Menteri yang saya maksudkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Di peringkat ini, Karpal bangun bertanya: ''Berhubung dengan 'dengar cakap' sumber dari SB, adakah mana-mana saksi akan dipanggil?''

Karpal meninggikan suara: ''Jawab... Jawab'' sambil ditujukan kepada pendakwa.

Gani bangun menjawab: ''Saya tidak beri jawapan kepada dia (Karpal). Saya jawab kepada mahkamah. Saya tidak mahu dia kata 'jawab... jawab' dengan cara begitu.''

Hakim Ariffin lalu menegur Karpal dan mengingatkan bahawa beliau selaku peguam bela kanan tidak seharusnya bersikap sedemikian.

Karpal: ''Saya hendak tahu sama ada SB akan dipanggil?''

Gani: ''Saya akan memanggil Zulkifli dan beliau sudah berada di sini.''

Karpal: ''Ya, beliau (Gani) sudah menjawabnya.''

Gani menyoal lagi: ''Tun, yang dimaksudkan tadi adakah dia seorang lelaki?''

Haniff: ''Seorang lelaki.''

Gani: ''Sila beritahu apakah yang dimaksud perhubungan intim menteri dengan dua orang lain?''

Haniff: ''Maksud saya perhubungan itu bukanlah biasa antara kawan-kawan tetapi yang mengandungi unsur seks.''

Dalam soalannya, Gani bertanya sama ada Hanif mengenali seorang bernama Datuk Andrew Leong.

Haniff menerangkan bahawa Leong adalah pengarah syarikat Johan Holding yang datang bertemu beliau di pejabatnya, dua hari selepas pertemuannya dengan PM.

Beliau berkata, Leong datang untuk menyampaikan pesanan Anwar yang hendak bertemu dengannya selepas subuh keesokannya.

Haniff memberitahu, selepas itu beliau pergi ke rumah Anwar di No. 8 Jalan Setiamurni, Bukit Damansara sebagaimana yang diminta dan Leong yang membuka pintu dan mempelawanya masuk.

Semasa bertemu dengan Anwar, Haniff berkata, Anwar bertanya sama ada sudah ramai pegawai yang mengetahui perkara yang disampaikan kepada PM.

Haniff: ''Datuk Seri Anwar menanya saya adakah kemungkinan mereka black mail beliau.''

Gani: ''Apakah jawapan Tun?'

Haniff: ''Saya kata, eh, apa pula black mail kami bukan dalam business itu. Tetapi apa business yang dijalankan oleh kamu (Anwar) macam ini. Kamu sepatutnya menghentikannya.''

Gani: ''Apa-apa lagi?'

Haniff: ''Tak ada, perkara itu habis begitu sahaja dan selepas itu Leong turut bersarapan dengan kami.''

Fernando ketika menyoal balas meminta Hanif memberitahu jawatannya dalam beberapa syarikat selepas beliau bersara.

Haniff berkata, beliau adalah Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan juga pengarah Binariang Sdn. Bhd., Brolink Sdn. Bhd., Link Kedua Sdn. Bhd., General Corporation Berhad, Park May Bhd., Arab Malaysian Holding Berhad dan Arab Malaysian Finance Bhd.

Ketika menyoal balas, Fernando mengajukan pertanyaan adakah benar Haniff tidak mendengar nasihat Anwar agar beliau tidak menerima tawaran menjadi pengarah Genting kerana beliau beragama Islam dan syarikat tersebut pula syarikat perjudian.

Haniff berkata, beliau tidak pernah bertemu dengan Anwar dan apa yang dinyatakan dalam soalan Fernando itu bohong.

Menurut Haniff, beliau sebagai seorang Islam mengetahui bahawa terdapat tiga ayat dalam al-Quran mengenai perjudian dan memahaminya.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 19/06/1999

Satu penderhakaan -- PM: Tingkah laku Anwar tidak pernah dilaku oleh pemimpin UMNO terdahulu


DR. MAHATHIR Mohamad diberi penghormatan tepukan berdiri oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi selepas beliau selesai menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO kali ke-53, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 18 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mensifatkan perlakuan dan tingkah laku bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ''satu penderhakaan yang tidak pernah dilakukan oleh mana- mana pemimpin UMNO yang terdahulu.''

''Biarlah saya dikutuk, dimaki hamun, diselar dan dicerca asalkan saya tahu dalam hati saya, dan Tuhan yang Maha Kuasa mengetahui bahawa saya tidak mengkhianati agama, bangsa dan negara yang saya telah bersumpah untuk mempertahan dan melindunginya,'' katanya.

Dalam ucapannya yang betemakan Maruah Bangsa Tanggungjawab UMNO pada Perhimpunan Agung terakhir abad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Presiden UMNO itu menjelaskan bahawa penyingkiran Anwar disebabkan oleh perbuatannya sendiri.

''Saya tidak menganiayakannya, saya tidak berkonspirasi untuk menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

''Moral dan kelakuannya yang menyekat beliau daripada menjadi Presiden UMNO, bahkan daripada menjadi ahli UMNO,'' kata Perdana Menteri.

''Walaupun pada ketika itu beliau adalah rakan dan kawan saya, kepentingan bangsa dan negara tidak mengizinkan saya menutup mata dan membiarkan sesuatu yang begitu buruk menimpa bangsa dan negara,'' kata Perdana Menteri secara terharu sambil menerima tepukan bergemuruh daripada para perwakilan.

Ucapan beliau selama sejam 40 minit mencakupi pelbagai aspek daripada isu politik, ekonomi dan isu-isu global. Ia disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia.

Dalam ucapan yang sebahagiannya berkisar kepada isu Anwar, termasuk tajuk kecil teks ucapannya ''Tiada Ada Konspirasi Singkir Datuk Seri Anwar'' beliau menegaskan, tuduhan bahawa beliau mengadakan konspirasi untuk menjatuhkan timbalannya tidak munasabah.

Dr. Mahathir mengakui tuduhan terhadap Anwar itu sukar dipercayai kerana sifat warak dan alim bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

''Bolehkah seorang yang ternampak begitu warak, yang boleh menjadi imam dan pandai berkhutbah, bolehkah ia melakukan perbuatan yang begitu buruk seperti yang didakwa di mahkamah?'' tanya Perdana Menteri sambil dijawab oleh perwakilan ''boleh''.

Beliau berkata pada ketika laporan mengenai tingkah laku Anwar dibuat kepadanya pada 1993 beliau juga tidak percaya.

''Saya berasa lega apabila polis memberitahu saya yang Ummi Hafilda dan Azizan sudah menarik balik tuduhan mereka. Apabila ditanya oleh pemberita saya telah berkata tuduhan itu berniat jahat dan bertujuan untuk menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan saya.

''Saya cuma mempercayai akan kebenaran tuduhan terhadap Anwar apabila polis, selepas sisatan awal terhadap buku 50 Dalil susulan kepada laporan yang dibuat oleh beliau (Anwar ) sendiri , melaporkan kepada saya bahawa ada kebenaran dalam tuduhan buku itu,'' kata Perdana Menteri.

Katanya, untuk lebih meyakinkan dirinya bahawa tidak ada niat buruk oleh sesiapa terhadap Anwar, beliau memanggil beberapa orang yang disebut dalam laporan polis untuk disoal siasat sendiri olehnya.

''Selepas itu saya tidak dapat lagi menafikan kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Anwar,'' katanya.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak pernah berkonspirasi terhadap sesiapa, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri yang lain, Tengku Razaleigh dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang tersingkir atau digugur dahulu.

''Sebaliknya saya yang menjadi mangsa pakatan untuk menjatuhkan saya,'' katanya.

Sambil merujuk bagaimana Anwar bersekongkol dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pihak-pihak asing untuk menjatuhkannya, beliau berkata ''rupa-rupanya ada juga warganegara kita (Anwar), bahkah pemimpin kita, yang melihat kegawatan ekonomi sebagai peluang untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan.''

Katanya, Anwar pernah mengaku di Terengganu dialah yang menyuruh Ketua Pemuda UMNO (Datuk Zahid Hamidi) menuduh secara tidak langsung pucuk pimpinan kerajaan Malaysia mengamalkan kronisme, nepotisme dan sebagainya.

''Saya akui agak 'naive' atau terlalu lurus kerana tidak percaya bahawa timbalan saya, orang yang saya bawa masuk UMNO, orang yang saya beri kedudukan dalam parti dan kerajaan, orang yang saya sokong supaya mendapat jawatan-jawatan yang tinggi dalam parti dan kerajaan, akan cuba menjatuhkan saya.

''Tetapi sekarang saya terpaksa mempercayai inilah yang dilakukan olehnya. Dia sendiri telah mengaku,'' katanya sambil disambut dengan laungan ''Hidup Mahathir.''

Konspirasi seperti yang dituduh ke atasnya, kata Dr. Mahathir, bukanlah sesuatu yang mudah dibuat dan dirahsiakan. Ini adakah kerana begitu ramai yang perlu terlibat.

''Mustahil berita konspirasi ini tidak sampai ke pengetahuan umum berbulan-bulan sebelum Anwar disingkir.

''Konspirasi yang besar seperti ini tentu akan terbongkar dan tersebar luas berbulan-bulan sebelum apa-apa berlaku kerana konspirasi mengambil masa yang panjang untuk dirancang, diatur dan untuk mendapat kerjasama ramai yang perlu terlibat. Konspirasi tidak boleh diadakan dengan serta- merta.

''Tetapi tidak ada sesiapa yang mencerita, tidak ada surat layang yang membongkar komplot ini. Sehingga Anwar disingkir tidak ada apa-apa berita tentang Perdana Menteri dan Presiden UMNO sedang berusaha untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri,'' kata Dr. Mahathir.

Sebaliknya, kata beliau, umum tahu bahawa Anwar telah dinamakan oleh beliau sebagai penggantinya hampir ke saat terakhir (sebelum Anwar disingkirkan).

''Demikianlah kepercayaan bahawa Anwar akan mengganti saya sehingga ramai daripada pegawai, Menteri Besar dan pemimpin parti di pelbagai peringkat yang tidak berani menyoal apa-apa perbuatan atau arahan yang dibuat oleh Anwar.

''Mereka semua takut mereka akan menjadi mangsa apabila Anwar menjadi Perdana Menteri,'' jelas beliau disambut dengan tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati di Dewan Merdeka, ibu pejabat parti itu.

Tegas Dr. Mahathir, beliau tidak dapat menggunakan alasan lain kerana beliau tidak berniat untuk menyingkirkannya.

''Apa yang menimpanya adalah disebabkan oleh apa yang telah dilakukan olehnya kerana beliau sanggup menggunakan topeng agama semasa melakukan perbuatan-perbuatan yang amat bertentangan dengan agama dan tatasusila kaum bangsanya,'' katanya.

Sambil mengakui adalah sukar untuk menjelaskan isu Anwar itu, beliau berkata nasib yang menimpa Anwar memang malang, namun di dalam sejarah UMNO nasib yang sama telah menimpa beberapa pemimpin tinggi parti.

''Tetapi mereka menerima nasib mereka walaupun mereka tetap menyangkal yang mereka bersalah. Mereka tidak menuduh sesiapa berkonspirasi untuk menjatuhkan mereka. Mereka tidak keluar dari parti, tidak mengecam parti, dan tidak mengadakan pakatan untuk menghancurkan parti dan memburukkan negara,'' kata beliau.''

Malang sekali, kata Dr. Mahathir, selepas sahaja Anwar disingkirkan, dia telah melemparkan bermacam-macam tuduhan terhadap kerajaan, UMNO dan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO. Beliau telah menghasut orang Melayu membenci UMNO serta merusuh dan mengganas di jalan-jalan di Kuala Lumpur.

''Beliau telah memburukkan negara, kerajaan dan UMNO di merata dunia, menggunakan orang asing dan media asing untuk menyokong tindakan pengikutnya dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negara kita, negaranya sendiri.

''Ini adalah satu penderhakaan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin UMNO yang terdahulu, walau apapun kekecewaan mereka.''

Tegas Perdana Menteri, dengan perbuatan Anwar itu maka tindakan menyingkirnya menjadi lebih tepat.

Katanya, amatlah tidak sesuai seorang yang begitu tidak setia kepada negara menjadi pemimpin negara ini.

''Jika dahulu saya merasa tindakan terhadapnya adalah terlalu keras, hari ini saya berpendapat tindakan yang diambil terhadap kesalahannya memang wajar,'' kata beliau.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/06/1999

Anwar intim dengan Sukma, Mior


MOHD. Haniff Omar menuju ke kereta di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad selepas selesai memberi keterangan dalam perbicaraan Anwar Ibrahim semalam.


KUALA LUMPUR 19 Jun - Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Haniff Omar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya menjalinkan hubungan intim dengan tiga lelaki.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Cawangan Khas (SB), seorang daripada lelaki itu bernama Sukma dan seorang lagi dikenali sebagai Mior.

''Dengan dua orang inilah dia (Anwar) telah melakukan hubungan seksual,'' kata Haniff.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan balas peguam bela Anwar, Christopher Fernando, pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya (Anwar), Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Ketika menjawab soalan pendakwa semalam, Hanif memberitahu bahawa Anwar menjalin hubungan intim berunsur seks dengan dua orang.

Seorang daripadanya, kata beliau, rakyat Pakistan yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) Amerika Syarikat.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan. Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Haniff, 60, disoal balas oleh Fernando pada perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari kelapan hari ini. Fernando meminta Haniff memberitahu mahkamah siapakah orang yang dikatakan dalam keterangannya semalam.

Haniff berkata, sebenarnya beliau dimaklumkan oleh SB tiga orang dan dua daripadanya menjalin hubungan seks dan membabitkan seorang lagi.

Fernando: ''Semalam kamu menyebut dua orang.''

Haniff: ''Ya, hubungan seksual.''

Fernando: '' Saya dimaklumkan seorang bernama Sukma.''

Pada peringkat ini, Karpal Singh selaku peguam bela Sukma membantah atas alasan ia keterangan dengar cakap. Fernando meneruskan soalan: ''Kamu dimaklumkan?''

Haniff: ''Ya, saya dimaklumkan seorang daripadanya Sukma dan seorang lagi dikenali sebagai Mior. Inilah orang yang dia (Anwar) melakukan hubungan seksual.''

Bagaimanapun menurut Haniff, beliau tidak memeriksa sendiri perkara itu dan diberitahu oleh Pengarah SB ketika itu Datuk Zulkifli Abdul Rahman. Dalam soalan balas Karpal, Haniff yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan pengarah beberapa syarikat memperolehi pendapatan lebih kurang RM100,000 sebulan.

Hanif berkata, semasa menjadi IGP (Ketua Polis Negara) pendapatannya sebulan ialah RM20,000.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/06/1999

Hakim arah mohon ikut peraturan

KUALA LUMPUR 19 Jun - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, hari ini mengarahkan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan yang mengikut peraturan (formal) jika ingin mendapatkan perintah komital memenjarakan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad atas dakwaan menghina mahkamah.

Anwar mendakwa Perdana Menteri dalam ucapannya ketika merasmikan Perhimpunan Agong UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam menyentuh tuduhan yang dihadapinya yang sedang dalam prosiding perbicaraan.

Bagaimanapun Hakim Ariffin berkata, beliau belum membaca naskhah ucapan itu dan meminta peguam bela Anwar membuat permohonan secara yang betul.

Menurutnya, permohonan ini boleh didengar di sidang mahkamah yang lain.

Pada pandangannya, kata Hakim Ariffin, perkara ini telah diketahui oleh umum.

''Oleh itu buat permohonan dan biarlah seorang hakim mendengar dan memutuskannya,'' jelas beliau.

Beliau berkata, perkara ini juga melengahkan prosiding perbicaraan di hadapan beliau.

Hakim Ariffin mengatakan demikian dalam keputusannya selepas mendengar hujah Karpal Singh yang bertindak mewakili Anwar dan bantahan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Beliau mendengar perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar. Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Sebelum perbicaraan diteruskan kira-kira pukul 9.10 pagi ini, Karpal memaklumkan beliau selaku peguam bela Sukma tetapi bertindak mewakili Anwar dalam hal ini.

Beliau merujuk naskhah terjemahan bahasa Inggeris salinan ucapan Perdana Menteri di Perhimpunan Agong UMNO semalam.

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando mengesahkan Karpal yang bertindak untuk Anwar dalam perkara itu.

Peguam Negara yang mengetuai pendakwaan bangun mempersoalkan tentang etika peguam bela (Karpal) yang boleh menerima arahan Anwar sedangkan beliau melaksanakan pembelaan pihak Sukma.

''Ini bukan Parlimen,'' kata Mohtar.

Hakim Ariffin turut menegur tindakan itu dengan menyatakan apa-apa permohonan Anwar sepatutnya dibuat oleh peguam belanya dan bukannya Karpal.

Beliau bertanya Fernando tentang perkara itu.

Fernando memaklumkan beliau ingin mengemukakan permohonan itu selepas menyoal balas saksi pendakwa ketiga, Tun Mohd. Haniff Omar.

Setelah sidang berehat selama setengah jam, dan disambung pukul 11.03 pagi ini, Fernando memberitahu bahawa mereka (peguam bela) telah berbincang dan mendapat arahan Anwar untuk menggabungkan pasukan pembelaan.

Fernando berkata, oleh kerana kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama maka beliau yang mengetuai pembelaan dan Karpal bertindak dalam satu pasukan.

Mohtar: ''Saya inginkan kepastian adakah peguam bela kedua-dua tertuduh bergabung?''

Fernando: ''Memandangkan kedua-dua tertuduh sama-sama dalam satu perbicaraan maka tidak timbul konflik.''

Hakim Ariffin: ''Boleh saya mengubahkan catatan dalam nota saya dengan menyatakan bahawa semua peguam bela mewakili kedua-dua tertuduh.

Karpal mengesahkannya dan memberitahu bahawa Fernando yang mengetuai pembelaan.

Mohtar menjawab, pihaknya tidak membantah.

Hakim Ariffin kemudian mengeluarkan perintahnya bahawa hanya peguam yang mengetuai pembelaan sahaja yang akan membuat pemeriksaan balas saksi.

Bagaimana pun selepas sesi pagi ini selesai, kira-kira pukul 12.10 tengah hari, Karpal memberitahu bahawa beliau mewakili Anwar untuk memohon mendapatkan perintah komital memenjarakan Perdana Menteri.

Karpal: ''Pada pandangan kami ucapan Perdana Menteri memudaratkan perbicaraan kedua-dua anak guam kami terutamanya Anwar.

''Sebenarnya ia membabitkan Anwar tetapi boleh memberi kesan kepada Sukma.''

Karpal memetik sebahagian teks ucapan Perdana Menteri yang terkandung dalam perenggan 90 dan 91 berhubung isu Anwar.

Beliau mendakwa ucapan Perdana Menteri menyentuh pertuduhan isu yang sedang dibicarakan mengenai dakwaan perilaku seksual di mahkamah itu.

Karpal meminta agar Perdana Menteri menunjukkan sebab mengapa beliau tidak boleh dipenjarakan atas dakwaan menghina mahkamah.

Mohtar berhujah balas bahawa isu Anwar dalam ucapan Perdana Menteri itu telah diketahui umum.

''Perdana Menteri sebagai pemimpin kerajaan dan pemimpin partinya berhak menjalankan kewajipannya untuk menjelaskan kepada anggota-anggota parti dan juga kritikan rakyat tentang apa yang beliau anggap suatu kesalahan,'' kata Peguam Negara.

Beliau berkata, ia juga mengenai isu sekitar pemecatan Anwar dari jawatan yang disandangnya dalam kerajaan dan parti politik.

Peguam Negara itu berpendapat ia tidak ada apa pun perbuatan yang menghina mahkamah dalam ucapan Perdana Menteri itu.

Beliau menerangkan bahawa umum telah mengetahui tentang kesalahan Anwar pada perbicaraannya yang terdahulu atas empat tuduhan rasuah yang membawa dakwaan perilakunya.

Peguam Negara berkata, ia juga hak Perdana Menteri sebagai pemimpin untuk menjelaskan kepada anggota parti mengenai keadaan yang diketahuinya mengenai perkara tersebut.

Beliau tidak bersetuju dengan tindakan peguam bela Anwar yang mengemukakan permohonan itu secara lisan pada peringkat perbicaraan ini dan sepatutnya memohon mengikut peraturan di Mahkamah Tinggi.

''Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan kewajiipannya kepada parti dan negara,'' jelas Peguam Negara.

Karpal membalas hujah dengan menyatakan ucapan Perdana Menteri itu telah dilaporkan meluas oleh media tempatan dan juga antarabangsa seolah-olahnya dirancang.

Beliau sambil itu menarik perhatian mahkamah berhubung kes Manjeet Singh Dhillion sebelum ini yang diperintahkan menunjukkan sebab mengapa tidak boleh diambil tindakan penjara terhadapnya kerana menghina mahkamah.

''Yang Arif seharusnya melakukan sesuatu agar undang-undang terpelihara,'' kata Karpal.

Mohtar menjawab hujah balas itu dan menerangkan bahawa kes Manjeet membabitkan dokumen yang dikemukakan di mahkamah dan isunya dibuat secara formal.

Sebaliknya, menurut beliau, ucapan Perdana Menteri itu dibuat dalam satu forum yang berlainan dan bukan di mahkamah.

Peguam Negara itu menarik perhatian mahkamah tentang perintah larangan yang pernah dikeluarkan oleh Hakim Datuk Abdul Wahab Patail terhadap para peguam bela Anwar.

Bagaimanapun perintah itu, kata beliau, telah ditarik balik oleh Hakim Ariffin.

Dengan itu, sesiapa pun bebas untuk menyuarakan dan memberi komen tentang kes Anwar dan kini peguam belanya pula yang hendak memulakan 'makan capati dengan serentak'.

Selain itu, Mohtar memaklumkan bahawa telah terdapat satu laporan polis yang dibuat oleh isteri ahli psikiatri, Dr. Mohd. Fadzil Man, iaitu saksi pendakwa kedua pada perbicaraan ini.

Mohtar memberitahu bahawa laporan itu berhubung dakwaan bahawa ada seseorang daripada firma guaman yang dikaitkan dengan pihak pembela cuba campur tangan dan perkara ini dalam penyiasatan polis.

Dengan itu beliau meminta agar mahkamah tidak melayan permohonan secara lisan tersebut.

Bagaimanapun Karpal menjawab bahawa pihaknya tidak ada tolak ansur berhubung laporan yang dibuat oleh isteri Dr. Mohd. Fadzil dan memandang berat tentang perkara itu.

Beliau berkata, Hakim Ariffin menarik balik perintah larangan terhadap peguam bela Anwar berlandaskan kebebasan bersuara tetapi Perdana Menteri melakukan perbuatan menghina mahkamah. Oleh itu, ujar Karpal, perkara 'makan capati serentak' adalah tidak timbul.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/06/1999

Karpal anggotai barisan pembelaan Anwar

KUALA LUMPUR 21 Jun - Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguh lebih satu jam 15 minit apabila pembelaan menyusun semula keanggotaannya.

Ketika mahkamah memulakan sidang pada pukul 9.08 pagi ini, Hakim Datuk Ariffin Jaka berkata, beliau mahu mencatatkan dalam notanya senarai peguam bela yang mewakili Anwar.

Christopher Fernando yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar menyebutkan nama rakan-rakannya terdiri daripada Zainur Zakaria, Pawancheek Marican, Gurbachan Singh, Zulkifli Nordin dan S.N. Nair.

Fernando memberitahu bahawa pada masa ini Karpal Singh adalah dengan pasukannya tetapi juga bertindak mewakili adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Sukma menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan. Dia dibicarakan bersama-sama Anwar.

Menurut Fernando, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo juga turut menjadi peguam bela Sukma.

Hakim Ariffin: ''Pada perbicaraan (Sabtu) lalu kamu telah bergabung.''

Fernando: ''Biarlah kami jelaskan, Karpal bertindak mewakili Anwar dan juga sebagai peguam bela Sukma.

Hakim Ariffin: ''Kamu mengubah fikiran kamu atas isu-isu tertentu.

Pada peringkat itu, Hakim Ariffin menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, Fernando dan Karpal masuk ke kamar beliau. Waktu pada ketika itu ialah pukul 9.14 pagi. Turut ke kamar hakim ialah Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad.

Tepat 9.46 pagi, Fernando sahaja yang keluar dari kamar dan menemui Anwar. Mereka dilihat berbincang sesuatu.

Pada pukul 9.59 pagi, Karpal pula keluar dan nampak menyertai Fernando berbincang dengan Anwar.

Selepas kira-kira 10 minit kemudian, Karpal, Fernando dan Gurbachan dilihat masuk semula ke kamar hakim.

Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari kamar hakim bersama-sama Mohtar dan Azahar pada pukul 10.21 pagi lalu mahkamah meneruskan sidangnya.

Hakim Ariffin mengatakan beliau mencatatkan dalam notanya bahawa mahkamah menangguhkan sidang dan dimulakan pukul 10.25 pagi.

Sebaik sahaja sidang bermula, Karpal memaklumkan bahawa beliau menarik diri daripada menjadi peguam bela Sukma.

Katanya, peguam bela Sukma ialah Jagdeep dan Gobind.

Fernando mengesahkan bahawa sekarang Karpal adalah peguam bela Anwar.

Sebelum mahkamah meneruskan prosiding, Karpal menarik perhatian mahkamah bahawa pada Sabtu lalu beliau mengemukakan permohonan untuk mendapatkan perintah komital memenjarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, atas dakwaan menghina mahkamah.

Karpal: ''Yang Arif tidak menolaknya dan menasihatkan kami memfailkan permohonan mengikut peraturan. Tetapi Perdana Menteri telah pun mengatakan beliau tidak menghina mahkamah di Perhimpunan Agung UMNO semalam.

Hakim Ariffin: ''Ya, beliau (Perdana Menteri) berhak menyatakan apa sahaja kerana ia bukan perkara yang berlaku di mahkamah. Saya tidak katakan bahawa hal itu menghina mahkamah.''

Karpal: ''Tetapi ia berbeza, kami tidak memfailkan lagi permohonan. Kami biarkan dulu perkara ini...''

Hakim Ariffin: ''Perdana Menteri berhak mengatakan apa yang beliau inginkan.''

Di peringkat ini, Peguam Negara mencelah: ''Perdana Menteri sebenarnya berhak mengatakan demikian bagi menjawab apa yang dikatakan permohonan yang dibangkitkan oleh rakan bijaksana (peguam bela). Perdana Menteri berhak mengesahkan apa yang diucapkan dan sebabnya.

''Begitu juga dengan tertuduh yang menyatakan dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.''

Hakim Ariffin pula menambah: ''Itulah yang telah saya katakan bahawa semua orang boleh menyuarakannya apabila perintah larangan telah ditarik balik.''

Peguam Negara menyambung hujah dengan mengatakan permohonan itu tidak difailkan lagi dan ia berunsur politik.

Mohtar: ''Dan saya harap ia tidak menggunakan mahkamah ini bagi motif lain. Oleh itu bolehkah kita meneruskan perbicaraan.''

Karpal berkata, beliau perlu menjawab hujah itu.

Menurutnya, ia bukanlah berunsur politik sama ada Perdana Menteri ingin menakutkan mahkamah ini tetapi berlandaskan undang-undang semata-mata.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya membuat permohonan pada Sabtu lalu dan dinasihat oleh hakim untuk memohonnya secara betul.

Karpal menganggap ucapan Perdana Menteri semalam telah menjawab bahawa beliau tidak melakukan kesalahan sebelum pertuduhan dibuat terhadapnya.

''Tidak ada unsur politik dan kami katakan permohonan kami berlandaskan undang-undang,'' kata Karpal.

Hakim Ariffin menegaskan bahawa beliau kekal dengan perintahnya supaya permohonan peguam bela itu dibuat mengikut peraturan dan biarlah ia didengar di sebuah mahkamah yang lain.

''Kamu mempunyai hak untuk memfailkan permohonan dan ia bukan sebahagian prosiding ini. Saya tidak campur perkara itu. Teruskan. Apa yang saya katakan bahawa Perdana Menteri berhak untuk menyatakan pendapatnya,'' jelas beliau.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/06/1999

Pengakuan Sukma sukarela - Saksi

KUALA LUMPUR 21 Jun - Seorang Hakim Mahkamah Sesyen memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mencatatkan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja setelah berpuas hati ia diberikan secara sukarela tanpa ugutan, paksaan, pujukan atau janji.

Abdul Karim Abdul Jalil, 40, berkata pengakuan Sukma dicatatkan di kamarnya kira-kira pukul 3.50 petang, 17 September tahun lalu tanpa kehadiran sesiapa.

Menurut Abdul Karim, sebelum itu beliau telah mengarahkan dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof bersama seorang detektif yang mengiringi Sukma meninggalkan kamarnya.

Abdul Karim berkata, Sukma yang ketika itu berada dalam tahanan polis mula-mula menyatakan niatnya membuat pengakuan kepada Mohd. Rodwan sehari sebelum ia direkodkan (16 September 1998).

Beliau memberi keterangan demikian pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan kesahihan bahawa pengakuan Sukma dibuat secara sukarela.

Hakim Datuk Ariffin Jaka memerintahkan supaya diadakan bicara dalam perbicaraan setelah peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo, membantah terhadap pendakwa yang ingin memasukkan dokumen itu sebagai bahan bukti pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Sementara itu, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar berhujah bahawa pengakuan itu dibuat bukan secara sukarela dan ia tidak mematuhi Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan, menjawab bahawa pengakuan itu boleh dikemukakan mengikut Seksyen 80 Akta Keterangan 1950.

Seksyen itu menerangkan mengenai anggapan dokumen yang boleh dikemukakan sebagai rekod keterangan.

Sukma, 38, sedang dibicarakan bersama-sama bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Abdul Karim merupakan saksi pendakwa kelima memberi keterangan pada sesi petang perbicaraan Anwar hari ini.

Ketika disoal dalam pemeriksaan utamanya, beliau memberitahu bahawa pada pukul 2.50 petang, 17 September tahun lalu, beliau berada di kamarnya di Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2, di sini.

Menurut Abdul Karim, beliau menerima panggilan daripada hakim kanan Mahkamah Sesyen, Lim Yee Lan yang hendak berjumpa beliau.

Selepas berjumpa dengan Lim, Abdul Karim berkata, beliau diarahkan untuk mengambil pengakuan daripada seorang tahanan yang akan dibawa oleh anggota polis Bukit Aman.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad yang mengendalikan pendakwaan bertanya: ''Adakah Lim maklumkan kepada kamu siapa yang akan membuat pengakuan?''

Abdul Karim: ''Tidak.''

Azahar: ''Adakah kamu dimaklumkan pengakuan itu berkaitan kes apa?''

Abdul Karim: ''Tidak.''

Ketika keterangan bicara dalam perbicaraan pula, Azahar bertanya sama ada saksi itu ada memeriksa badan Sukma.

Menurut Abdul Karim, beliau meminta tertuduh membuka kemeja-T berwarna hijau tua yang dipakainya diperiksa jika terdapat sebarang tanda kecederaan akibat dipukul.

Azahar: ''Apakah penemuan kamu?''

Abdul Karim: ''Saya dapati tiada sebarang kesan menunjukkan sedemikian.''

Abdul Karim kemudian memberitahu, dia juga mengajukan beberapa soalan kepada Sukma bertujuan memuaskan hatinya bahawa tertuduh bersedia memberi pengakuan.

Azahar: ''Sila beritahu mahkamah satu persatu soalan yang kamu ajukan kepada tertuduh kedua (Sukma).''

Abdul Karim kemudian menjelaskan kepada mahkamah 13 soalan yang diajukan kepada Sukma sebelum pengakuannya dicatatkan.

Menurut Abdul Karim, Sukma antara lain menyatakan bahawa dia ditangkap pada pukul 1.35 tengah hari, 6 September tahun lalu di Kompleks Membeli Belah Lot 10, di sini.

Kata saksi itu, Sukma memberitahu, dia kemudian dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan dan seterusnya ditahan di Bukit Aman selama 12 hari.

Saksi itu berkata, walaupun setelah dinasihatkan supaya berfikir dua kali, Sukma masih mengaku bahawa dia tidak pernah diugut, dipukul, dipaksa atau dijanjikan sesuatu supaya membuat pengakuan.

Menurut Abdul Karim, beliau juga memberitahu Sukma bahawa masa masih belum terlewat untuk dia mengubah fikiran, lalu jawab tertuduh dia dengan rela hati mahu membuat pengakuan.

Kata hakim itu lagi, Sukma masih dengan pendiriannya walaupun setelah diingatkan bahawa sebarang percakapan yang dibuatnya boleh digunakan dalam perbicaraan kelak.

Menurutnya, setelah berpuashati dengan kerjasama yang diberikan oleh ahli perniagaan itu, beliau mencatatkan pemerhatiannya bahawa Sukma bersedia memberi pengakuan secara sukarela.

Abdul Karim berkata, selain itu Sukma diminta menurunkan tandatangan pada akhir setiap soalan dan catatan beliau (hakim) sebelum merekodkan seluruh pengakuannya.

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/06/1999

Saksi akui atur pertemuan Anwar-Haniff


ANDREW LEONG


KUALA LUMPUR 21 Jun - Seorang ahli perniagaan, Datuk Andrew Leong Wye Keong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah mengatur pertemuan peribadi di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Haniff Omar pada tahun 1993.

Leong menyatakan beliau mengenali Haniff sejak 17 tahun lalu semasa Haniff masih berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara.

Menurutnya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu pula dikenalinya pada tahun 1980-an semasa Anwar masih menyandang jawatan Timbalan Menteri atau menteri.

Leong, 44, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa yang keempat pada perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Pada perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari kesembilan hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menyoal: ''Bagaimana kamu mengenali Haniff?

Leong: ''Saya menyertai pasukan badminton yang dipengerusikan oleh Haniff dan pasukan itu dikenali sebagai pasukan Sri Aman.''

Gani: Sejak bila kamu mengenali Anwar?''

Leong: ''Sebenarnya saya mengenali Anwar sejak dia menjadi pemimpin Pemuda UMNO, saya tidak ingat tahunnya.''

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan Gani yang menyatakan beliau mengenali Anwar sejak tahun 1980-an.

Gani: ''Bagaimanakah kamu boleh mengenali Anwar?''

Leong: ''Biasanya melalui pertemuan di majlis-majlis.''

Gani: ''Selepas itu kamu rapat dengan Anwar.''

Leong: ''Saya kenal dia biasa sahaja dan tidaklah begitu rapat.''

Gani: ''Apabila kamu mengenalinya, adakah kamu kadang-kadang pergi ke rumahnya?''

Leong: ''Bukanlah pada permulaannya tetapi selepas itu saya biasa pergi ke rumahnya.''

Gani: ''Pada satu hari lewat 1993, adakah Anwar meminta kamu pergi ke rumahnya?''

Leong: ''Ya.''

Gani: ''Adakah kamu pergi ke rumahnya?''

Leong: ''Ya, saya pergi.''

Gani: ''Apa yang berlaku apabila kamu pergi ke rumahnya?''

Leong: ''Saya mengatur supaya Haniff menemui Anwar.''

Gani: ''Adakah Anwar menyatakan apa-apa kepada kamu di rumahnya?''

Leong: ''Dia (Anwar) menyuruh saya sama ada saya boleh mengatur Haniff bertemu dengannya.''

Gani: ''Adakah Anwar beritahu sebab kenapa dia mahu bertemu dengan Haniff?''

Leong: ''Dia menyatakan perkara peribadi.''

Gani: ''Apa yang kamu kata kepada Anwar apabila dia menyuruh kamu mengatur pertemuan dengan Haniff?''

Leong: ''Saya kata bahawa saya akan cuba sebaik mungkin.''

Pada keesokannya, menurut Leong, beliau pergi bertemu dengan Haniff di pejabatnya ketika itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Leong berkata, setelah memberitahu Haniff mengenai hasrat Anwar itu, Haniff menyatakan kepadanya 'Baiklah'.

Setelah itu, Leong berkata, beliau mengaturkan masa pertemuan itu yang dipersetujui oleh Anwar dan Haniff selepas subuh keesokannya.

Walaupun tidak ingat alamat rumah Anwar, Leong memberitahu mahkamah bahawa beliau telah sampai lebih dahulu daripada Haniff dan membuka pintu mempelawanya masuk.

Leong memberitahu lagi, Anwar kemudian bertemu Haniff dan menjemputnya ke bilik bacaan dan meminta beliau menunggu di ruang tamu.

Ketika ditanya apa yang berlaku seterusnya, Leong berkata, kira-kira 10 atau 15 minit selepas itu Anwar dan Haniff keluar dari bilik bacaan dan mempelawanya turut bersarapan dengan mereka.

Selepas itu, katanya, beliau dan Haniff meninggalkan rumah Anwar.

Gani: ''Sebelum kamu meninggalkan rumah Anwar, adakah dia bercakap apa-apa dengan kamu?''

Leong: ''Tidak. Saya rasa dia hanya menyatakan, ''Terima kasih''.

Dalam pemeriksaan balas, peguam bela Anwar Christopher Fernando menyoal: ''Pada masa itu adakah kamu berkawan rapat dengan Datuk Seri Megat Junid (kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna)?''

Leong: ''Saya adalah kawan Megat Junid.''

Fernando: ''Adakah kamu bertemu dengan beliau secara sosial pada waktu petang?''

Leong: ''Ya, kadang-kadang saya bertemu dengan beliau secara sosial pada waktu petang.''

Fernando: ''Adakah kamu biasa pergi bermain golf?''

Leong: ''Biasanya kami pergi bermain golf.''

Dalam soalan berikutnya, Fernando bertanya sama ada saksi itu bermain poker atau pergi berjudi dengan Megat Junid.

''Tidak,'' jawab Leong.

Pada peringkat ini Gani membantah soalan tersebut dengan alasan bahawa ia tidak ada sangkut paut dengan Megat Junid.

Hakim Ariffin Jaka mencelah: ''Saya tidak tahu mengapa beliau (Fernando) ingin melibatkan Megat Junid.''

Bagaimanapun, Leong menyatakan beliau ada bertaruh ketika bermain golf dan pertaruhan itu jika sesiapa yang kalah biasanya terpaksa belanja makan malam dan tidak lebih daripada itu.

Hakim Ariffin bertanya Fernando: ''Apakah yang kamu ingin tahu tentang perkara ini?''

Serentak itu juga Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan membantah dengan berkata: ''Kita tidak seharusnya meneruskan soalan yang mencemarkan ini dan menanyakan tentang orang yang bukan saksi kes ini.''

Fernando menjawab, beliau ingin menyoal tentang kredibiliti Leong.

Leong kemudian mengatakan beliau tidak mahu menjawab soalan peguam bela itu.

Hakim Ariffin mengarahkan Fernando meneruskan soalannya yang lain.

Fernando: ''Adakah kamu mengenali Perdana Menteri secara sosial?''

Leong: ''Ya, saya kenal Perdana Menteri.''

Fernando: ''Adakah kamu rapat dengan Perdana Menteri?''

Leong: ''Saya ingin rapat dengannya tetapi beliau mungkin tidak rapat dengan saya.''

Fernando: ''Adakah kamu bergaul secara sosial dengan Perdana Menteri?''

Leong bertanya balik maksud soalan peguam bela.

Fernando: ''Adakah kamu pernah keluar bersama (Perdana Menteri)?''

Leong: ''Tidak.''

Fernando: ''Adakah kamu mengunjunginya?''

Leong: ''Ya, saya ada mengunjungi beliau di pejabatnya.

Fernando: ''Di rumah beliau?'

Leong: ''Jarang sekali.''

Fernando: ''Dengan siapa kamu pergi mengunjungi beliau di pejabatnya?''

Leong: ''Kadang kala saya pergi sendiri dan kadang kala saya membawa pelawat dari luar negara.''

Fernando: ''Adakah kamu membawa pelawat dari luar negara untuk bertemu dengan Perdana Menteri?''

Mohtar membantah soalan itu: ''Saya rasa apa yang disoal tidak relevan dengan apa yang sepatutnya dibenarkan dalam menyoal balas.''

Hakim Ariffin turut bertanya apakah relevansi dengan soalan itu.

Fernando menyatakan bahawa saksi ini mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri.

Hakim Ariffin: ''Kamu ingin menyatakan sesuatu, beritahu mahkamah, nyatakan apakah relevansinya?''

Fernando: ''Biarlah saksi ini keluar.''

Hakim Ariffin: ''Saya hendak tahu apa relevansinya?''

Fernando: ''Saksi ini ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, tolonglah bersabar dengan saya, kerana saksi ini berada dalam mahkamah. Beliau bertemu dengan Perdana Menteri dan pada masa yang sama kenalan baik Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.''

Hakim Ariffin: ''Apa cara ia relevan dengan kes di sini. Saya tidak senang hati dengan cara untuk membabitkan Perdana Menteri.''

Fernando: ''Anwar menghadapi tuduhan yang serius. Benarkan kami menyoal saksi ini yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri.''

Hakim Ariffin: ''Tolong jawab soalan saya.''

Fernando: ''Saya minta saksi ini keluar sebentar agar saya boleh beritahu mahkamah.''

Hakim Ariffin meninggikan suara: ''Kamu nyatakan apakah relevannya.''

Fernando: ''Ia tidak meragukan lagi bahawa terdapat permusuhan di antara Perdana Menteri dan Anwar.''

Hakim Ariffin: ''Saya tidak tahu tentang permusuhan ditimbulkan dan kamu boleh tanya saksi (Leong) sama ada beliau tahu tentang permusuhan itu.''

Fernando: ''Saya ingin buktikan dulu dan selepas itu boleh tanya soalan.

Mohtar membantah tindakan Fernando dan menyatakan bahawa beliau belum menjawab pertanyaan mahkamah tentang apakah relevan soalan tersebut.

Hakim Ariffin bagaimanapun memutuskan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan Fernando dan tidak membenarkan soalan sedemikian dikemukakan kepada saksi berkenaan.

Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/06/1999

Haniff akui memperoleh pendapatan RM100,000 sebulan

KUALA LUMPUR 21 Jun - Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd. Haniff Omar, menjelaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memperoleh pendapatan lebih kurang RM100,000 sebulan sebagai pengarah beberapa syarikat dan termasuk bayaran pencen persaraan.

Haniff berkata, beliau tidak memegang sebarang ekuiti dalam Syarikat Binariang dan hanya menyandang jawatan pengerusi dengan elaun sebanyak RM20,000 sebulan.

Menurut beliau, 33 peratus ekuiti Binariang kini dipegang oleh British Telecom.

Haniff, 60, selaku saksi pendakwa ketiga memberitahu demikian ketika menjawab soalan balas Karpal Singh dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Karpal kini merupakan peguam bela Anwar menimbulkan soalan itu untuk mengetahui kedudukan pendapatan Haniff selepas beliau bersara.

Menurut Haniff lagi, selain elaun, syarikat itu juga menanggung pembayaran bil elektrik dan air di kediamannya tetapi beliau tidak mendapat kemudahan kereta rasmi.

Ketika disoal berhubung jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Genting Berhad, Haniff memberitahu bahawa beliau tidak memiliki saham dalam syarikat itu walaupun sebelum ini diberikan saham pilihan tetapi tarikhnya sudah luput.

Begitu juga, kata Haniff, beliau tidak memiliki saham dalam Kentucky Fried Chicken (KFC) kerana telah menjual 10 atau 11 juta unit sahamnya.

Karpal bertanya berapakah harga jualan saham tersebut.

Haniff memberitahu, beliau menjual sahamnya pada nilai RM8 sesaham menyebabkan beliau mengalami kerugian sebanyak RM75,000.

Karpal menyatakan bahawa hasil jualan saham itu, Haniff memperoleh RM24 juta.

Tetapi Haniff menafikannya, lalu berkata, beliau kerugian RM75,000 bagi saham yang dibeli melalui pembiayaan sebuah syarikat broker saham.

Ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Haniff memberitahu bahawa beliau mendapat tawaran sebagai Pengarah Genting Berhad selepas bersara.

Kata saksi itu, beliau mengenali Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Goh Tong semasa mereka sama berada di hospital pada tahun 1974.

Beliau juga menerangkan anak lelaki Lim yang merupakan Pengarah Urusan Genting pula menganggotai pasukan badmintonnya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/06/1999

Sukma ingin luah segalanya

KUALA LUMPUR 22 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menyatakan dia hendak meluahkan segala-galanya yang sudah begitu lama disimpan dalam dadanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil, memberitahu demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma dibuat secara sukarela atau sebaliknya.

Menurut saksi itu, beliau telah bertanya Sukma tujuannya ingin membuat pengakuan.

Lalu, katanya, Sukma menjawab: ''Lama sangat dalam dada. Saya ingin meluahkan segala-galanya.''

Abdul Karim, 40, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa kelima pada perbicaraan penuh Anwar yang masuk hari ke-10 hari ini.

Bagaimanapun, pada bicara dalam perbicaraan ini Abdul Karim dipanggil sebagai saksi pertama.

Dalam kes itu, Sukma merupakan tertuduh kedua yang dibicarakan bersama-sama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 51, yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Sukma, 38, menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Ketika menyoal semula saksi itu pada sidang sesi sebelah petang perbicaraan itu, Azahar bertanya: ''Sepanjang Sukma berada dengan kamu, lebih kurang pukul 3.50 hingga 6 petang, bagaimana keadaannya?

Abdul Karim: ''Dia kelihatan sungguh tenang ketika berbicara, duduknya dalam keadaan relax, tidak tertekan serta memberi pengakuan dengan lancar.

''Apabila saya tanya sama ada seluarnya perlu dibuka (untuk melihat andainya terdapat kesan-kesan kecederaan), dia menyatakan tidak perlu.''

Azahar: ''Adakah pada bila-bila masa dia mengadu kepada kamu, dia diberi layanan kasar dan tidak berperi kemanusiaan seperti yang dikatakan oleh pembela?''

Abdul Karim: ''Dia tidak mengadu sedemikian.''

Azahar: ''Kata kamu, kamu tidak menandakan muka surat dokumen itu, dari masa kamu merekodkan kenyataan sehingga kamu mengemukakannya di mahkamah, siapa yang menyimpannya?''

Abdul Karim: ''Saya yang menyimpannya.''

Ketika menjawab soalan balas Karpal Singh selaku peguam bela Anwar, Abdul Karim memberitahu, beliau tidak pula bertanya Sukma bagaimana tertuduh itu tahu bahawa dia boleh membuat pengakuan kepada hakim.

Pada peringkat itu, Hakim Ariffin Jaka mencelah: ''Ya, soalan itu patut ditanya kerana ia boleh digunakan ke atas Sukma.''

Abdul Karim: ''Saya tidak terlintas untuk bertanya hal itu.''

Karpal: ''Adakah soalan itu penting?''

Lalu jawab Abdul Karim, baginya, soalan itu tidak penting.

Pada sesi pagi, peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo menyoal Abdul Karim, mengapa beliau tidak menerangkan kepada Sukma bahawa dia berhak membuat kenyataan dan bukan pengakuan.

Abdul Karim menjawab: ''Saya tidak menerangkan kedudukan tersebut sebab pada pandangan saya mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah, saya tidak bertanggungjawab berbuat demikian kerana saya diberitahu bahawa Sukma ingin membuat pengakuan.''

Jagdeep: ''Kamu tidak menerangkan sebab kamu menganggap dia sudah nak beri pengakuan?''

Abdul Karim: ''Saya sudah diberitahu bahawa tertuduh (Sukma) hendak buat pengakuan.''

Jagdeep: ''Kamu tahu bahawa maklumat itu bukannya datang daripada mulut tertuduh?''

Abdul Karim: ''Ya, Yang Arif.''

Jagdeep: ''Maknanya kamu tahu daripada 'mulut' Asisten Supritendan Rodwan Mohd. Yusof (pegawai penyiasat)?''

Abdul Karim sambil merujuk dokumen pengakuan Sukma (ID4), beliau bersetuju bahawa ASP Rodwan yang memberitahunya bahawa Sukma mahu membuat pengakuan.

Jagdeep merujuk perenggan satu pengakuan Sukma dan memetik sebahagiannya. Beliau lalu menyoal: ''Mengikut perenggan satu, kamu tahu mengapa tertuduh dibawa ke hadapan kamu untuk membuat pengakuan.''

Abdul Karim: ''Saya setuju.''

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan Jagdeep bahawa beliau tidak mematuhi Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah kerana tidak merekodkan sepenuhnya soalan dalam dokumen pengakuan Sukma.

Jagdeep: ''Kenyataan mestilah direkodkan sepenuhnya.''

Abdul Karim: ''Ya, saya faham dengan pengakuan salahnya.''

Dalam soal balas itu, Abdul Karim juga memberitahu bahawa dokumen tersebut tidak ditandakan nombor pada kesemua muka surat dan Sukma tidak menurunkan tandatangan atas setiap perenggannya.

Menjawab satu soalan lain, Abdul Karim menyatakan beliau tahu bahawa Sukma berada di bawah tahanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selama 12 jam sebelum dibawa ke hadapan beliau.

Jagdeep: ''Dalam tempoh 12 jam ini, dia diberi layanan yang kasar dan buruk dan tidak berperi kemanusiaan.''

Abdul Karim: ''Saya tidak tahu tentang hal ini.''

Jagdeep: ''Saya katakan semua ini berlaku semasa di bawah jagaan ASP Rodwan?'

Abdul Karim: ''Saya tidak tahu.''

Hakim Ariffin: ''Beliau sudah kata, tidak tahu.''

Jagdeep: ''Adakah kamu tahu tertuduh ini diprogramkan secara sistematik tiap-tiap hari macam komputer sebelum dia beri pengakuan pada 17 September tahun lalu.''

Abdul Karim: ''Saya tidak tahu.''

Jagdeep: ''Adakah kamu setuju bahawa pengakuan itu adalah pengakuan yang keluar dari mulut ASP Rodwan dan bukan orang lain lalu Sukma diarahkan mengulanginya.''

Abdul Karim: ''Saya tidak tahu.'

Perbicaraan bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/06/1999

Permohonan peguam hentikan prosiding ditolak

KUALA LUMPUR 22 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon menghentikan prosiding bicara dalam perbicaraan yang sedang didengar berhubung kes tuduhan meliwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja atas dua tuduhan bersuhabat dengan Anwar dan meliwat Azizan Abu Bakar.

Peguam bela Anwar, Karpal Singh, memohon agar prosiding itu dihentikan dengan alasan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil, mencatatkan pengakuan Sukma tanpa mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Ariffin semalam memerintahkan supaya diadakan bicara dalam perbicaraan untuk menentukan kesahihan pengakuan Sukma sama ada ia dibuat secara sukarela atau sebaliknya.

Dokumen pengakuan Sukma itu dikemukakan oleh pendakwa untuk dimasukkan sebagai bahan bukti pada perbicaraan Anwar dan Sukma.

Ketika menolak permohonan itu pagi ini, Hakim Ariffin terdahulunya mengucapkan terima kasih kepada Karpal yang menarik perhatian mahkamah berhubung perkara itu.

Menurut beliau, Seksyen 115 itu walaupun terpakai untuk penyiasatan awal namun ia juga masih boleh diterima pakai dalam sesuatu perbicaraan maka permohonan pihak pembela ditolak.

Hakim Ariffin berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding itu bagi menentukan kesahihan dokumen tersebut sebelum ia boleh diterima masuk dalam perbicaraan.

Beliau mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana peguam bela menimbulkan isu tersebut tetapi beliau menyatakan ia sepatutnya dibangkitkan lebih awal.

Sebelum sidang bermula pada sesi pagi ini, pada pukul 9.14, peguam bela Anwar yang diketuai oleh Christoper Fernando, Karpal, Gurbachan Singh dan peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden dilihat masuk ke kamar hakim.

Mereka berada di kamar hakim lebih kurang 15 minit sebelum keluar meneruskan perbicaraan pada pukul 9.38 pagi ini.

Sebaik dimulakan, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad memaklumkan bahawa Peguam Negara tidak hadir hari ini kerana mempunyai tugas yang tidak dapat dielakkan.

Fernando pula memaklumkan susunan anggota pembelaan Anwar yang diketuai oleh beliau bersama Karpal, Gurbachan, Zainur Zakaria, Pawancheek Marican, Zulkifli Nordin dan S.N. Nair.

Peguam bela Sukma terdiri daripada Jagdeep dan Gobind Singh Deo.

Selepas itu, Fernando memberitahu bahawa rakannya, Karpal ingin membuat satu permohonan.

Karpal berkata, beliau hendak berhujah berhubung Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah untuk menyatakan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menerima masuk sebarang kenyataan atau pengakuan bagi tujuan prosiding ini.

Ini kerana, kata beliau, Seksyen 115 menetapkan hanya majistret yang berhak merekodkan atau mencatatkan pernyataan akuan salah daripada tertuduh.

Beliau membacakan Seksyen 115(1) yang berbunyi: ''Mana-mana juga majistret boleh merekod sebarang pernyataan akuan salah yang dibuat di hadapannya pada bila-bila masa sebelum daripada siasatan atau perbicaraan dimulakan.''

Namun dalam kes ini, hujah beliau, kenyataan Sukma direkodkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen kerana kedua-dua kes (Anwar dan Sukma) pada asalnya adalah kes di mahkamah tersebut sebelum ia dipindahkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Hujah Karpal lagi, kenyataan itu hanya sah digunakan bagi tujuan siasatan awal sebelum perbicaraan di mulakan tetapi dalam kes ini, ia ditimbulkan oleh pihak pendakwa selepas perbicaraan bermula.

Hakim Ariffin mencelah sambil menyatakan bahawa perkara itu sepatutnya dibangkitkan lebih awal.

Karpal meneruskan hujahnya dengan menyatakan bahawa beliau ingin membangkitkan perkara itu pada peringkat ini.

Beliau menyatakan hanya majistret di Mahkamah Majistret sahaja yang boleh menggunakan pengakuan yang direkodkan itu dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana mahkamah lain.

Sambil berhujah, Karpal memohon maaf kepada Abdul Karim kerana membangkitkan perkara itu dan memberitahu beliau teringatkan mengenainya malam tadi.

Mohd. Yusof yang mewakili pendakwaan menghujah balas dengan menyatakan bahawa Seksyen 115 dan Seksyen 399 Kanun Prosedur Jenayah merupakan prosedur bagi pembuktian dalam perbicaraan.

Menurut beliau, seksyen itu juga memperuntukkan prosedur untuk merekodkan kenyataan dan pengakuan sebelum siasatan atau perbicaraan.

Mohd. Yusof menjelaskan bahawa Kanun Prosedur Jenayah adalah untuk diterima pakai oleh semua mahkamah dan apa yang harus ditimbangkan sama ada pengakuan itu boleh diterima masuk sebagai dokumen untuk bahan bukti dalam kes Anwar dan Sukma.

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/06/1999

Cubaan pendakwa dedahkan percakapan Sukma dibantah

KUALA LUMPUR 23 Jun - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membantah cubaan pendakwa yang mendedahkan melalui saksinya, Mohd. Rodwan Yusof, berhubung percakapan dengan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja sebelum Sukma dibawa ke hadapan Majistret untuk membuat satu pengakuan.

Dalam keterangannya, Rodwan yang berpangkat Asisten Supritendan Polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau diarahkan untuk mengambil percakapan Sukma dengan merakamkannya dalam pita video.

Menurutnya, beliau diarahkan oleh pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan untuk melaksanakan tugas itu.

Karpal selaku peguam bela Anwar membangkitkan bantahan terhadap Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad yang sedang menyoal Rodwan.

Rodwan yang merupakan saksi kedua memberi keterangan pada bicara dalam perbicaraan hari ini.

Karpal memohon supaya mahkamah memansuhkan atau menggugurkan sebahagian keterangan Rodwan dengan alasan ia berbentuk kenyataan dan juga menggambarkan keadaan minda Sukma ketika itu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Ariffin Jaka memutuskan bahawa bahagian keterangan yang dipertikaikan itu digugurkan daripada nota prosiding bicara dalam perbicaraan tersebut.

Hakim Ariffin telah memerintahkan supaya bicara dalam perbicaraan diadakan untuk menentukan kesahihan dokumen pengakuan Sukma sama ada diberikan secara sukarela untuk dijadikan bahan bukti pendakwa terhadap Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-11 hari ini dan bicara dalam perbicaraan diteruskan pada hari ketiga.

Mahkamah bersidang pukul 9.08 pada sesi pagi hari ini dan pendakwa memanggil saksinya yang kedua, Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret, Kathirelayudham a/l Palaniappan atau dikenali P. Kathir, 52, bagi mengesahkan dokumen salinan pengakuan Sukma yang berada dalam simpanannya.

Kathir merupakan saksi pendakwa pertama yang memberi keterangan pada perbicaraan utama Anwar dan Sukma.

Selepas itu, Azahar memanggil Rodwan untuk memberikan keterangan.

Rodwan, 42, memberitahu beliau berkelulusan undang-undang dari Universiti East London dan bertugas di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Ibu Pejabat Bukit Aman sejak 1 Mac 1994.

Beliau berkata, pada 6 September tahun lalu, beliau menerima arahan daripada SAC Musa supaya menangkap Sukma.

Rodwan berkata, arahan itu berkaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali, pada 16 Jun tahun lalu bagi siasatan buku berjudul 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Azahar bertanya: ''Bilakah kamu menangkap Sukma?''

Rodwan: ''Saya tangkap Sukma pada 6 September 1998, lebih kurang pukul 1.40 tengah hari di Lot 10, Jalan Bukit Bintang.''

Pada keesokannya, kata Rodwan, lebih kurang pukul 12.45 tengah hari, beliau membawa Sukma ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Azahar: ''Adakah perintah itu diberikan oleh Majistret?''

Rodwan: ''Majistret telah membenarkan tahanan mulai 7 sehingga 20 September 1998.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Perintah reman diberi sekali gus (14 hari).''

Rodwan: ''Ya, Yang Arif.''

Pada hari yang sama, menurut Rodwan, lebih kurang pukul 2.20 petang, beliau menerima arahan SAC Musa untuk mendapatkan bantuan soalsiasat ke atas Sukma.

Menurutnya, beliau kemudian menyerahkan Sukma kepada pegawai polis yang membantu menjalankan soal siasat Sukma.

Azahar: ''Pada 16 September 1998, lebih kurang pukul 3 petang, apa yang berlaku?''

Rodwan: ''Sukma telah dibawa ke pejabat saya dan dia ...'' Di peringkat ini, Karpal membantah keras butir keterangan saksi itu dan memohon supaya ia dipadamkan daripada rekod mahkamah.

Karpal berhujah bahawa apa yang ditimbulkan dalam keterangan itu adalah suatu 'kenyataan' kepada seorang pegawai polis.

Hakim Ariffin: ''Beliau (Rodwan) tidak meminta sebarang kenyataan.''

Azahar menjawab: ''Kami ingin mengemukakan bagaimana ia berlaku sehingga pengakuan dibuat oleh tertuduh (Sukma).''

Hakim Ariffin bagaimanapun mencatatkan dalam notanya bantahan itu yang berbunyi: ''Bantahan atas alasan satu kenyataan dibuat oleh tertuduh semasa ditahan.''

Azahar meneruskan soalan: ''Setelah Sukma memberitahu kamu sesuatu, apa tindakan kamu. Kami bukan hendak mendedahkan kandungannya. Kami hanya ingin buktikan keadaan perilaku tertuduh.''

Karpal dengan suara agak meninggi: ''Saya bantah. Soalan begini pun tidak boleh ditanya.''

Ketika menyoal Rodwan lagi, Azahar mengingatkan supaya saksi itu tidak menyebut mengenai apa yang diberitahu oleh Sukma kepadanya dan hanya jawab soalan tentang apa tindakan beliau seterusnya.

Di peringkat ini, sekali lagi Karpal memohon supaya keterangan bagi soalan itu dimansuhkan daripada nota prosiding.

Hakim Ariffin membenarkan permintaan peguam bela itu.

Menjawab soalan seterusnya, Rodwan berkata, beliau diarahkan oleh SAC Musa untuk mengambil percakapan Sukma dengan rakaman video.

Azahar: ''Apa sebabnya?''

Rodwan: ''Sebab siasatan kes ini sensitif dan tidak mahu ada tohmahan kelak.''

Azahar meminta penjelasan Rodwan apa yang dikatakan 'tidak mahu ditohmahkan kelak'.

Rodwan: ''Yang akan dibuat oleh Sukma.''

Azahar: ''Yalah, tohmahan apa?''

Rodwan menjelaskan bahawa tohmahan yang mengatakan polis buat rekaan.

Selepas itu, menurut Rodwan, beliau melaksanakan arahan itu dan merakamkan percakapan Sukma bermula pukul 4.40 hingga 5.05 petang.

Pada peringkat ini, Karpal membantah lagi kerana tidak bersetuju dengan keterangan Rodwan yang mendedahkan mengenai keadaan Sukma ketika itu.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin mengarahkan supaya bantahan itu dikemukakan oleh peguam bela Sukma, Jagdeep Sing Deo atau Gobind Singh Deo.

Jagdeep bangun menyatakan pihaknya membantah dengan soalan sedemikian.

Azahar menjawab bahawa pada peringkat ini pihaknya tidak mengemukakan pita video tersebut kerana ia adalah bicara dalam perbicaraan untuk menentukan pengakuan Sukma sama ada diberikan secara suka rela.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, turut menjawab hujah bantahan itu dengan menerangkan bahawa pita video itu tidak dikemukakan pada peringkat ini dan hanya ingin menunjukkan rentetan apa yang berlaku sebelum pengakuan itu dibuat oleh Sukma.

Mohtar: ''Tetapi jika rakan bijaksana (peguam bela) ingin menonton video itu kami benarkan. Ia hanya untuk menunjukkan rentetan tentang apa yang berlaku.''

Gobind turut membantah sambil menyatakan bahawa beliau perlu mengetahui apakah yang dirakamkan dalam pita video tersebut.

Bagaimanapun, selepas mendengar hujah bantahan, Hakim Ariffin memutuskan bahawa pita video itu hanya untuk menunjukkan rentetan peristiwa dan membenarkan pendakwa meneruskan soalannya.

Selepas itu, Mohtar bersetuju untuk tidak membangkitkan tentang rakaman pita video Sukma pada peringkat ini.

Pada sesi pagi, Gobind mengendalikan pemeriksaan balas.

Beliau menyoal: ''Saya katakan sebelum Sukma dibawa ke mahkamah, kamu meminta seorang ustaz untuk Sukma menjunjung al-Quran.''

Rodwan: ''Tidak benar, Yang Arif.''

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/06/1999

Pakar forensik periksa Sukma - Saksi

KUALA LUMPUR 23 Jun - Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang pakar forensik pernah memeriksa bahagian dubur dan kemaluan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk memastikan kesan kegiatan homoseksual.

Pegawai polis itu berkata, ketika pemeriksaan itu, beliau juga melihat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Zahari Noor, cuba memasukkan jarinya ke dalam dubur Sukma setelah semua pakaiannya ditanggalkan.

Rodwan ketika disoal balas oleh peguam bela Gobind Singh Deo yang mewakili Sukma bersetuju bahawa beliau kemudian mengarahkan gambar Sukma dirakam ketika bahagian kemaluan dan duburnya diperiksa.

Pegawai polis itu bagaimanapun menyatakan, Dr. Zahari tidak pernah memberitahunya bahawa tiada tanda kegiatan homoseksual dikesan ke atas Sukma.

Rodwan berkata demikian ketika menolak cadangan yang dikemukakan oleh peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo.

Beliau memberi keterangan pada sesi petang bicara dalam perbicaraan untuk menentukan kesahihan pengakuan Sukma sama ada dibuat secara sukarela.

Dalam perbicaraan utama, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Seterusnya ketika disoal balas itu, Rodwan mengaku bahawa beliau turut hadir semasa pemeriksaan terhadap Sukma dijalankan pada 9 September tahun lalu.

Gobind: ''Kamu setuju pemeriksaan itu memalukan?''

Rodwan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Saya katakan, kamu memanggil Dr. Zahari memeriksa Sukma dan kemudian menyimpan gambarnya (Sukma) dengan tujuan untuk menakut-nakutkannya.''

Rodwan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Saya katakan, tujuan Sukma ditangkap, ditahan, diletakkan dalam keadaan memalukan serta dirakam gambarnya adalah supaya dia berada dalam keadaan terpaksa dan ketakutan?''

Rodwan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Saya katakan hanya selepas itu Sukma sanggup buat apa saja untuk melepaskan dirinya daripada tahanan?''

Rodwan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Saya katakan kepada kamu, sebelum Sukma dibawa di hadapan majistret pada 17 September tahun lalu, kamu ada menyatakan bahawa jika dia mengaku dia akan dibebaskan esoknya?''

Rodwan: ''Tidak setuju.''

Gobind: ''Saya katakan, kamu ada beritahu Sukma bahawa jika dia tidak mengaku, dia akan ditahan selama 14 hari lagi?''

Rodwan: ''Saya tidak pernah berkata begitu.''

Rodwan dalam keterangannya kemudian menyatakan bahawa pemeriksaan yang dijalankan terhadap Sukma adalah atas permintaan pihak polis.

Karpal Singh selaku peguam bela Anwar menyoal balas Rodwan berhubung salinan pengakuan Sukma yang diserahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil kepada beliau.

Rodwan memberitahu bahawa beliau menerima sampul surat yang berisi salinan pengakuan Sukma untuk diserahkan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan yang merupakan pegawai penyiasat kes itu.

Dalam soalan lain, Karpal berkata: ''Saya katakan bahawa kamu bersungguh-sungguh untuk memastikan Anwar dan Sukma disabitkan atas kesalahan dan kemudian dipenjarakan?''

Rodwan: ''Tidak benar.''

Di satu peringkat tercetus pertikaman lidah di antara Karpal dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, apabila peguam bela itu menyoal Rodwan sama ada beliau pernah memberitahu penulis surat dakwaan perilaku Anwar, Ummi Hafilda Ali.

Karpal: ''Saya katakan pada bulan Jun 1998, kamu ada menyatakan kepada Ummi bahawa Anwar akan dipecat.''

Rodwan: ''Tidak ada.''

Mohtar membantah: ''Dalam soalan terakhir ini, peguam bela merujuk kepada Ummi. Saya ingin menarik perhatian dalam perbicaraan yang terdahulu, terdapat keterangan diberikan bahawa Ummi dan Azizan telah menemui Karpal dalam kedudukannya sebagai peguam dan bukan seorang ahli Parlimen.

''Pertemuan itu untuk mendapatkan nasihat perundangan berkaitan dengan tohmahan terhadap Anwar. Sekiranya asas soalan ini adalah hasil perbualan Karpal dengan kedua-dua saksi itu maka ini akan menimbulkan soal etika profesion perundangan terhadap beliau.

''Saya telah menyatakan perkara ini dalam kamar kepada Yang Arif yang dihadiri para peguam bela berkenaan.''

Karpal menjawab: ''Itu hal dalam kamar hakim. Hal ini penting kerana apa yang didedahkan Ummi dan Azizan ada menemui saya di pejabat dalam bulan Ogos 1997.

''Tetapi apa yang saya nyatakan tadi adalah apa yang berlaku pada Jun 1998. Ini tiada kaitan langsung.''

Mohtar: ''Soalan saya merujuk kepada perhubungan profesional sama ada ia menjadi asas kepada soalan yang ditimbulkan. Saya tahu ia adalah perkara yang berlainan.''

Perbicaraan bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/06/1999

Hina mahkamah: Tun Hamid beri pandangan

KUALA LUMPUR 23 Jun - Seorang tidak melakukan penghinaan kepada mahkamah jika bercakap tentang orang lain mengenai perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan kes yang dihadapi oleh orang itu di mahkamah, menurut bekas Ketua Hakim Negara Tun Hamid Omar.

''Jika seseorang membuat komen tetapi tidak berkaitan dengan kes, saya berpendapat ia tidak menghina mahkamah. Kita perlu memperseimbangkannya dengan kebebasan bercakap,'' kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan laman web Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa satu daripada hak fundamental seseorang ialah kebebasan bersuara.

Beliau berkata sesuatu komen yang dibuat itu menyentuh kelemahan dan kekuatan mahkamah, maka barulah ia dianggap menghina mahkamah.

Hamid diminta mengulas sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menghina mahkamah apabila ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas menyentuh bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ditanya lagi sama ada Dr. Mahathir telah menghina mahkamah, Hamid berkata: ''Saya berpendapat soalan itu mudah tetapi sukar dijawab kerana penghinaan mahkamah ialah perkara yang menyentuh aspek teknikal. Anda perlu memperseimbangkan semua aspek sebelum menyuarakan pandangan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Hamid menarik perhatian bahawa membuat kritikan secara langsung terhadap mahkamah dan semasa proses rayuan dianggap sebagai menghina mahkamah. - Bernama.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/06/1999

Ulasan Hamid Omar hanya pandangan umum - Hakim

KUALA LUMPUR 24 Jun - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka hari ini berkata, ulasan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar yang menyatakan Perdana Menteri tidak patut dikenakan tindakan menghina mahkamah ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, adalah berupa pandangan umum.

Ketika melahirkan pendapatnya, Hakim Ariffin menyatakan bahawa sesiapapun boleh mengemukakan pandangan masing-masing selagi ia tidak menyentuh prosiding perbicaraan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menghadapi tuduhan meliwat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak-pihak yang berbuat demikian perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dikenakan tindakan menghina mahkamah pada masa hadapan.

Hakim Ariffin berkata demikian ketika memberi perhatian mengenai isu yang dibangkitkan oleh Karpal Singh yang bertindak sebagai salah seorang peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum perbicaraan pada sesi sebelah petang, Karpal menarik perhatian mahkamah dengan merujuk muka surat empat keratan akhbar The Star hari ini.

Akhbar itu menyiarkan komen Hamid bahawa Dr. Mahathir tidak harus dikenakan tindakan menghina mahkamah ketika Perdana Menteri menyentuh perbicaraan Anwar dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Dalam akhbar itu, Hamid mengulas bahawa Dr. Mahathir tidak harus dikenakan tindakan jika ucapan beliau tiada kaitan dengan pendakwaan yang sedang dihadapi oleh Anwar.

Karpal berhujah bahawa Hamid perlu lebih bertanggungjawab dengan pandangan yang dibuatnya kerana ia boleh menyebabkan beliau pula dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Menurut Karpal lagi, prosiding perbicaraan Anwar tidak seharusnya membiarkan campur tangan pihak-pihak tertentu kerana ia boleh meninggalkan kesan kepada pandangan umum.

Hujah Karpal, semua pihak mahukan supaya perbicaraan Anwar dapat dijalankan dalam suasana yang aman tanpa penglibatan mana-mana pihak.

Bagaimanapun Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, menghujah balas bahawa ulasan Hamid tidak termasuk dalam fasa perbicaraan yang sedang berlangsung kerana ia melibatkan forum yang berlainan.

Menurut Mohtar, jika tindakan sedemikian didakwa boleh dikenakan tindakan mahkamah, pihak peguam bela perlu menyalurkannya melalui prosedur yang bersesuaian, iaitu menerusi permohonan di mahkamah.

Mohtar menjelaskan, tindakan menarik perhatian mahkamah seperti itu bukan sahaja bersifat 'pra-masa' kepada peguam bela, tetapi juga kepada hakim berkenaan untuk membuat sebarang perintah atau komen.

Menurut Mohtar, beliau bukan berniat untuk membela bekas Ketua Hakim Negara itu tetapi berpendapat bahawa kata-kata Hamid adalah pandangan yang adil.

Sabtu lalu, Karpal telah memohon secara lisan untuk mendapatkan perintah komital memenjarakan Dr. Mahathir atas dakwaan menghina mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin mengarahkan peguam bela itu memfailkan permohonannya mengikut peraturan undang-undang dan ia boleh didengar oleh hakim di sebuah Mahkamah Tinggi yang lain.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/06/1999

Rodwan tidak pasti Dr. Zahari beri keterangan

KUALA LUMPUR 24 Jun - Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak pasti sama ada pakar forensik, Dr. Zahari Noor, pernah memberi keterangan mengenai kesan homoseksual pada Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dalam perbicaraan lain.

Menurut Rodwan, beliau tidak pernah membaca laporan pemeriksaan yang diterima daripada pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu mahupun laporan akhbar mengenainya.

Beliau menafikan bercakap bohong ketika disoal balas oleh Karpal Singh selaku peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuan secara sukarela atau sebaliknya.

Rodwan berkata demikian ketika menyambung keterangannya sebagai saksi kedua pada perbicaraan itu.

Ketika menjawab satu soalan Karpal, Rodwan menyatakan bahawa beliau pernah melihat cubaan salah seorang peguambela Anwar, Zulkifli Nordin, untuk menemui Sukma ketika dia didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 September tahun lalu.

Pada peringkat itu, Christopher Fernando pula bangun dan menjelaskan kepada mahkamah bahawa pihak peguam bela mungkin akan memanggil Zulkifli sebagai saksi.

Bagaimanapun Hakim Datuk Ariffin Jaka mengingatkan para peguam bela supaya berbincang sesama sendiri berhubung perkara tersebut.

Sejurus selepas itu, Fernando meminta rakannya, Zulkifli meninggalkan mahkamah pada pukul 3.35 petang.

Sementara itu, Rodwan ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad berkata, Dr. Zahari tidak menggunakan alat yang dipanggil 'proctoscope' sewaktu memeriksa bahagian dubur Sukma pada 9 September tahun lalu.

Menurut saksi itu, Sukma ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan tidak di tempat-tempat lain kerana siasatan dijalankan di situ dan ia juga bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk tahanan.

Rodwan memberitahu, beliau tidak membenarkan permohonan seorang peguam bernama Ganesan menemui Sukma ketika dia ditahan pada 10 September tahun lalu kerana siasatan masih belum selesai.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/06/1999

Zulkifli nafi jumpa peguam Rafie Shafie

KUALA LUMPUR 24 Jun - Seorang pegawai polis, Asisten Supritendan (ASP), Zulkifli Mohamed menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau pernah menemui peguam bernama Rafie Shafie setelah beliau kononnya dipaksa mengaku memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli, 43, dari Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menjawab demikian selepas disoal bertubi-tubi oleh salah seorang peguam bela Anwar, Christopher Fernando.

Fernando mengajukan soalan itu ketika memeriksa balas saksi tersebut pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, diberi secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi pengakuan Sukma itu sebagai bukti dalam perbicaraan utama terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut yang dituduh meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Bicara dalam perbicaraan itu diteruskan bagi hari keempat pada perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-12 hari ini.

Pemeriksaan utama pendakwa terhadap Zulkifli yang merupakan saksi keempat bermula pada pukul 10.44 pagi.

Menurut saksi itu, beliau membantu rakannya, ASP Mohd. Rodwan Yusof mengiringi Sukma untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September tahun lalu.

Dalam sebahagian soalannya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bertanya Zulkifli: ''Adakah kamu pada bila-bila masa ketika berada di pejabat kamu di Tingkat 11, Bukit Aman, di antara pukul 11 pagi hingga 12.45 tengah hari telah menyerang Sukma?''

Zulkifli: ''Tidak pernah, Yang Arif.''

Fernando kemudian menyoal balas: ''Berapa orang yang masuk ke kamar Majistret untuk mendapatkan perintah reman?'

Zulkifli: ''Sukma, saya, ASP Rodwan dan Detektif Lans Koperal Zaini Mohamed Diah.''

Fernando: ''Ada perbualan antara polis dan Majistret?''

Zulkifli: ''Ada, antara ASP Rodwan dengan Majistret berkenaan. Saya tak ingat, Yang Arif.''

Fernando: ''Apa yang ASP Rodwan beritahu pada Majistret?''

Zulkifli: ''Saya tidak begitu pasti. Tetapi apa yang saya dengar ia bertujuan mendapatkan perintah reman.''

Fernando: ''Berapa lama kamu berada dalam kamar Majistret?''

Zulkifli: ''Lebih kurang 10 hingga 15 minit.''

Fernando: ''Tetapi kamu tidak ingat apa perbualan antara Rodwan dengan Majistret.''

Zulkifli: ''Saya tak ingat.''

Seterusnya, Fernando menyoal berhubung satu isu lain: ''Selepas beberapa hari Datuk Seri Anwar ditangkap, adakah kamu pergi berjumpa dengan seorang peguam?''

Zulkifli: ''Saya tak ingat. Seingat saya, tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Ada kamu pergi berjumpa seorang peguam bernama Rafie Shafie?''

Zulkifli: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Pasti?''

Zulkifli: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Apakah nama penuh Encik Zulkifli?''

Zulkifli: ''Nama penuh saya, Zulkifli bin Mohamed.''

Fernando: ''Adakah kamu mempunyai kad profesion?''

Zulkifli: ''Ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah kamu membawanya dalam poket kamu?''

Zulkifli: ''Dah habis.''

Fernando: ''Adakah kamu berikan kad profesion kepada peguam tersebut?''

Zulkifli: ''Saya memang banyak kawan, saya tak ingat.''

Fernando: ''Ada atau tidak?''

Zulkifli: ''Saya tak kenal peguam Rafie Shafie.''

Fernando: ''Peguam Rafie Shafie ialah bekas pegawai polis.''

Zulkifli: ''Saya tak ingat, kalau tengok muka mungkin saya kenal. Saya tak ingat, Yang Arif.''

Fernando: ''Kamu kenal atau tidak?''

Zulkifli: ''Saya tak ingat.''

Hakim Datuk Ariffin mencelah: ''Saya tak ingat, tak kenal dia, macam mana ini. Adakah kamu kenal seorang peguam Rafie Shafie?''

Zulkifli: ''Saya tak ingat.''

Hakim Ariffin mencelah lagi: ''Kamu tak boleh kata tak ingat.''

Zulkifli mengulangi jawapannya: ''Saya tak ingat. Mungkin saya tengok muka, saya cam dia.''

Hakim Ariffin menyatakan kepada Fernando: ''Tak apalah kamu boleh berhujah.''

Bagaimanapun, Fernando terus menyoal: ''Saya katakan kamu jumpa peguam ini kerana kamu mempunyai masalah.''

Zulkifli: ''Tidak, saya tidak bersetuju, Yang Arif.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, jawab dengan jujur, kamu pergi jumpa peguam Rafie Shafie dan beritahu beliau kamu dipaksa mengaku memukul Anwar.''

Di peringkat soalan ini, Azahar bangun untuk cuba membantah.

Hakim Ariffin: ''Biar saya merekodkan soalan ini dulu.''

Azahar: ''Saya bantah soalan ini kerana ia tiada apa-apa untuk menunjukkan kaitan pada bicara dalam perbicaraan. Isu bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sukma diberi secara sukarela.''

Bagaimanapun, Hakim Ariffin memutuskan membenarkan Fernando menimbulkan soalan itu setelah memberi alasan untuk menunjukkan 'corak'.

Hakim Ariffin: ''Saya beri peluang. Ia untuk menunjukkan corak yang bagaimana?''

Fernando: ''Ia untuk menunjukkan corak bagaimana perkara ini mungkin boleh berlaku terhadap orang lain.''

Hakim Ariffin mengulangi soalan kepada Zulkifli dan meminta saksi itu menjawab.

Zulkifli: ''Saya tidak ada langsung (jumpa peguam berkenaan), Yang Arif.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa kamu risaukan keselamatan kamu.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Pegawai polis!'' Suasana hadirin di galeri awam kedengaran tergelak.

Zulkifli: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Dan pada masa yang sama kamu berikan kad profesion yang tercatat nama kamu dan juga lambang polis.''

Zulkifli: ''Saya tidak ingat.''

Ketika menjawab pemeriksaan semula pendakwa, Zulkifli memberitahu bahawa beliau mencetak 100 keping kad profesionnya dan memberikannya kepada kawan-kawan dan kenalan.

Tetapi, katanya, beliau tidak ingat kad-kad itu diberikan kepada siapa.

Ketika peringkat pemeriksaan balas peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo, saksi itu memberitahu bahawa beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengejek tertuduh sebagai seorang homoseks.

Zulkifli: ''Tidak ada langsung, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan kepada kamu bahawa kamu telah menyelak baju Sukma, memulas kuat bahagian dadanya, meramas kemaluannya dan membuat ejekan seperti yang dikatakan tadi.''

Zulkifli: ''Saya tidak setuju.''

Gobind: ''Jadi, kamu 'seorang angel cop' (polis malaikat)?''

Hakim Ariffin segera menegur Gobind supaya tidak membuat sindiran sebegitu.

''Hentikan kata-kata sindiran yang tidak perlu. Ia tidak sedap didengar,'' ujar beliau.

Perbicaraan bersambung esok.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 26/06/1999

Pengakuan strategi pendakwa

KUALA LUMPUR 25 Jun - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu strategi pendakwa mengemukakan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang telah didakwa membenarkan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim disasarkan kepada Anwar.

Peguam Anwar Karpal Singh hari ini berkata, ia adalah strategi pendakwa untuk memasukkan pengakuan Sukma dalam kes Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pemandu, Azizan Abu Bakar.

''Sasarannya bukan Sukma, sasarannya ialah Anwar. Sukma adalah secara tidak sengaja,'' katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil yang dalam kedudukannya selaku Majistret mencatatkan pengakuan Sukma.

Karpal berkata, kandungan pengakuan yang diambil daripada Sukma boleh dipertikaikan kesahihannya kerana dia tidak memberikannya secara sukarela.

Beliau berhujah, ia menjadi kewajipan pendakwa untuk membuktikan kesnya itu melampaui keraguan yang munasabah.

Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa dua saksi yang dianggap penting, pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1 Musa Hassan dan Cif Inspektor Sampornak Ismail yang mengetuai pasukan teknikal menyoal siasat Sukma tidak dipanggil.

Beliau berkata, apabila Sampornak tidak dipanggil maka soal siasat terhadap Sukma dianggap tidak sempurna.

Karpal menghujah demikian pada bicara dalam perbicaraan untuk menentukan kesahihan pengakuan Sukma sama ada diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

Pihak pendakwa telah memanggil empat orang saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Dalam perbicaraan utama, Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan, 38.

Mereka berdua melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Sejurus sidang bermula pukul 9.04 pagi ini, Karpal memberitahu bahawa beliau ingin membentangkan penghujahan setelah pendakwa selesai memanggil empat orang saksinya pada bicara dalam perbicaraan itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menjawab tujuan bicara dalam perbicaraan itu diadakan untuk menentukan kesahihan dokumen pengakuan Sukma.

Abdul Gani membaca satu nas undang-undang dan juga merujuk sebuah buku yang ditulis oleh Hakim Augustine Paul yang memperkatakan mengenai bicara dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah: ''Ia tidak menyatakan apa-apa bahawa kamu tidak boleh membuat penghujahan.''

Hakim Ariffin berkata, biarlah peguam bela itu berhujah dan selepas itu pendakwa boleh menyangkalkan hujahnya.

Walaupun bersetuju dengan pendapat Hakim Ariffin, Abdul Gani merujuk nas undang-undang yang lain sambil menyatakan tertuduh (Sukma) seharusnya dipanggil untuk menyatakan dakwaannya dengan spesifik bagi mengenal pasti pegawai polis yang dikatakan menyerangnya.

''Mahkamah seharusnya memberikan peluang bagi keterangan kedua-dua belah pihak pendakwa dan pembela untuk menentukan pengakuan itu dibuat dengan sukarela atau sebaliknya,'' jelas beliau.

Karpal menjawab: ''Kami menyatakan bahawa kami boleh menghujah di peringkat ini kerana pendakwa tidak ada kes untuk dijawab. Bicara dalam perbicaraan serupa dengan perbicaraan utama. Cara yang digunakan adalah sama.

''Ia diadakan untuk menentukan sama ada boleh diterima masuk kenyataan atau pengakuan dan selepas itu tidak perlu diteruskan lebih lanjut. Ia membazirkan masa dan perbelanjaan orang awam.''

Hakim Ariffin kemudian membenarkan peguam bela Anwar dan Sukma membentangkan penghujahan masing-masing.

Anak lelaki Karpal, Jagdeep Singh Deo yang bertindak selaku peguam bela Sukma memulakan hujah untuk menyatakan dua fakta penting yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah.

Jagdeep berkata, Abdul Karim merupakan saksi pendakwa yang pertama pada bicara dalam perbicaraan itu memberi keterangan bahawa beliau adalah sebagai seorang Majistret.

Tetapi, hujah beliau, fakta itu tidak ada dicatatkan dalam dokumen pengakuan Sukma (ID4) dan keterangan tersebut hanya dinyatakan secara lisan.

Menurut Jagdeep, Abdul Karim juga tidak memeriksa Sukma di bahagian bawah seluarnya dan hanya menyatakan tertuduh itu ingin memberitahu: ''Lama sangat dalam dada, saya hendak luahkan segala-galanya.''

Beliau berkata, perkara ini tidak dicatatkan dalam pengakuan itu.

Jagdeep membaca dengan kuat peruntukan di bawah Seksyen 115(ii) Kanun Prosedur Jenayah yang berbunyi: ''Pernyataan atau akuan salah sedemikian itu, hendaklah ditulis dengan sepenuhnya oleh Majistret yang menerimanya dan kemudian hendaklah dihantar kepada Majistret, jika berlainan, yang akan menyiasat atau membicara kes itu.''

Menurut Jagdeep, pengakuan itu tidak ditambahkan dengan perkataan-perkataan itu.

Beliau berhujah bahawa tidak terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah yang memberi hak kepada mana-mana Majistret untuk menanyakan soalan dan jawapan dan kemudian datang ke mahkamah menyampainya dalam keterangan secara lisan.

Jagdeep berkata, perkataan-perkataan yang didakwa dinyatakan oleh Sukma itu diberitahu selepas berfikir semula.

Beliau berhujah keterangan itu dinyatakan oleh Abdul Karim ketika pemeriksaan semula dan sebagai tambahan kerana pendakwa kekurangan bukti.

''Oleh itu, keterangan ini tidak boleh diterima. Ini bahaya,'' ujar beliau.

Dalam hujahnya, Jagdeep merayu agar mahkamah tidak menerima sebahagian keterangan Abdul Karim kerana ia tidak terdapat dalam dokumen pengakuan Sukma.

Perbicaraan bersambung pada 29 Jun ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 2"