untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Monday, July 14, 2008

PEMBELAAN - 4

ARKIB : 09/03/1999

'Saya dipaksa kata diliwat Anwar'


Mohd. Azmin ditemani peguam pemerhatinya, P. V. Pabakharan (di belakang) semasa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 8 Mac - Seorang saksi pembela, Mohd. Azmin Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sekumpulan pegawai polis telah menanggalkan pakaiannya dan memaksa beliau mengatakan diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar itu juga mendakwa beliau dipaksa mengatakan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima rasuah, kaki perempuan dan peliwat.

Namun, menurut Azmin, beliau mengatakan semua itu adalah karut.

Azmin, 34, memberi keterangan itu sebagai saksi pembela ke-14 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-67 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Pada sesi petang sidang mahkamah itu hari ini, peguam bela Anwar, Christopher Fernando yang menyambung pemeriksaan utamanya terhadap Azmin mengemukakan soalan: ''Adakah kamu merasuah bapa kamu?''

Azmin: '' Saya tidak pernah merasuah bapa saya agar tidak mengaku anak terhadap adik saya, Ummi Hafilda.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul segera mencelah: ''Setahu saya sudah dibuat perintah tidak boleh mengaitkan perkara ini. Saya telah putuskan ia tidak boleh lagi dipertikaikan di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan.''

Fernando: '' Terdapatnya resit bahawa rumah (dakwaan rumah bapanya dibina oleh Azmin) sebenarnya dibayar oleh bapanya.''

Hakim Augustine: '' Ia tidak boleh diterima pakai dan saya sudah putuskannya.''

Fernando meneruskan kepada soalan lain: ''Mengapakah kamu membahasakan diri kepada Datuk Seri sebagai saudara Anwar?''

Azmin: ''Dia (Anwar) seorang yang merendah diri.''

Hakim Augustine: '' Apa kaitan dengan panggilan, sesetengah orang memanggil Datuk Seri dan ada yang panggil 'abang'. Apa yang boleh membantu dalam pembelaan?''

Fernando: '' Ini untuk menunjukkan saksi ini sememangnya rapat (dengan Anwar).''

Hakim Augustine: '' Apa jawapan kamu?''

Azmin: '' Yang Arif, dia seorang yang merendah diri. Dia menyuruh kami memanggil 'saudara' dan kami juga memanggil isterinya, 'Kak Wan' (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).''

Fernando: '' Adakah orang-orang yang datang berjumpa Datuk Seri Anwar untuk meminta pertolongan?''

Azmin: '' Ramai yang datang ke rumah untuk mendapatkan pertolongan.''

Fernando: '' Daripada pemerhatian kamu sebagai setiausaha sulit, apakah reaksinya apabila orang-orang datang berjumpa dia untuk mendapat pertolongan dan meminta projek dan sebagainya?''

Azmin: '' Dia sering kali memberitahu supaya melakukan dengan mengikut prosedur biasa. Dia juga telah mengeluarkan arahan kepada semua pegawai peribadinya supaya mematuhi perkara itu.''

Fernando: '' Adakah kamu tahu seorang pegawai polis yang bernama, Datuk Amir Junus?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif, saya mengenalinya.''

Fernando: '' Adakah kamu berjumpa dengan beliau pada penghujung tahun 1997 atau awal 1998?''

Azmin: ''Yang Arif, saya tidak ingat tarikh yang sebenar. Beliau (Amir) selalu datang ke pejabat saya dan beliau mengadu dengan perasaan marah bahawa saudara Anwar tidak menolongnya.''

Fernando: ''Apakah aduannya berhubung Datuk Seri Anwar?''

Azmin: '' Yang Arif, salah satu perkara yang beliau kecewa kerana pada peringkat awal saudara Anwar menolak jemputan dari Heart Scan Centre. Beliau juga mengadu kepada saya saudara Anwar tidak menolongnya untuk mendapatkan kepentingan bagi dirinya dan anaknya di dalam Repco sebagai persiapan beliau untuk bersara. Repco adalah sebuah syarikat yang beroperasi di Sabah.''

Fernando: '' Adakah sebarang aduan yang lain?''

Azmin: '' Inilah dua pengaduan yang besar mengenai Repco dan Heart Scan Centre.''

Fernando: ''Adakah beliau menyebutkan tentang syarikat sekuriti?''

Azmin: '' Yang Arif, saya tidak ada maklumat tentang Syarikat Sekuriti Sabah. Tetapi saya dimaklumkan oleh saudara Anwar mengenai perkara tersebut.''

Fernando: '' Apa yang Datuk Seri Anwar beritahu kamu mengenai syarikat sekuriti ini?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah dengan alasan bahawa keterangan mengenai syarikat sekuriti itu suatu dengar cakap.

Gani: '' Saya tidak ingat bahawa dia (Anwar) ada beritahu mengenai perkara ini kepada saksi (Azmin). Anwar tidak pernah ditanya berhubung perkara ini yang mengatakan dia beritahu Azmin.''

Fernando: '' Sebenarnya, kami ada bertanya Amir Junus.''

Hakim Augustine: '' Teruskan dengan soalan yang lain.''

Fernando: '' Encik Azmin, pada hari yang lepas, kamu telah dipanggil beberapa kali untuk membuat kenyataan berhubung kes ini.''

Hakim Augustine: ''Apakah soalannya?''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu mahkamah bahawa kamu telah beberapa kali dipanggil untuk memberikan kenyataan berhubung kes ini?''

Azmin: '' Ya, Yang Arif.''

Fernando: '' Bekas IGP (Ketua Polis Negara) membuat kenyataan umum bahawa kamu cuba mengelakkan diri daripada polis, adakah benar? Dan kamu bersembunyi bagi mengelakkannya.''

Azmin: '' Yang Arif, ini adalah kenyataan yang bohong oleh Tan Sri Abdul Rahim Noor (bekas IGP) dan cuba memalukan saya.''

Gani yang membantah berkata: ''Pada ketika ini kita tidak ada sebarang kaitan mengenai kenyataan Tan Sri Rahim. Ini adalah soalan yang dipandu.''

Fernando: '' Sebenarnya perkara ini tidak dipertikaikan. Ia sudah diketahui umum mengenai hal itu. Pada masa itu, Tan Sri Rahim membuat kenyataan.''

Gani: '' Saya ingin mendapat penjelasan peguam bela, jika beliau mengatakan kenyataan umum, adakah kenyataan itu dibuat melalui ucapan atau akhbar. Buktikan bagaimana kenyataan itu dibuat.''

Hakim Augustine: '' Apa relevannya dan cara apa ia boleh membantu?''

Fernando: '' Ini untuk mengatakan bahawa saksi ini didakwa melarikan diri daripada polis.''

Hakim Augustine: ''Buatlah soalan dengan tepat.''

Fernando: '' Bagaimanakah kenyataan yang kamu buat sebelum ditahan?''

Azmin: '' Yang Arif, sepanjang yang saya ingat , saya dipanggil sebanyak tujuh kali dan saya memberi dua kenyataan bertulis. Ini tidak termasuk arahan ASP Rodwan Yusof supaya membawa anak saya berumur 2 1/2 tahun ke Bukit Aman.''

Fernando: '' Bilakah kamu ditahan berhubung dengan kes ini?''

Azmin: '' Saya ditahan pada 16 September 1998.''

Fernando: '' Berapa lama kamu ditahan?''

Azmin: '' Saya ditahan selama tujuh hari.''

Fernando: '' Mengapa kamu dibebaskan?''

Azmin: '' Yang Arif, pihak polis tidak membebaskan saya, malahan mahu menyambung penahanan saya. Bagaimanapun saya telah dibebaskan oleh majistret yang mendengar kes tersebut. Setelah mendengar hujah yang saya berikan.''

Fernando: '' Adakah kamu disoal siasat semasa dalam tahanan?''

Azmin: '' Yang Arif, sekumpulan pegawai polis datang menanggalkan pakaian saya dan memaksa saya mengatakan bahawa saya diliwat oleh saudara Anwar. 'Dia menerima rasuah, kaki perempuan dan peliwat'. Saya mengatakan semua ini adalah karut.''

Fernando: ''Mereka menyuruh kamu mengatakan sedemikian?''

Gani: ''Saya membantah. Soalan ini tidak relevan.''

Fernando: ''Saya rasa ada relevansi dan jelas.''

Hakim Augustine: '' Bagaimana?''

Fernando: '' Ia adalah jelas bahawa polis mahu reka keterangan terhadap Datuk Seri Anwar. Ini relevan. Ini juga satu daripada contoh untuk mendapatkan dengan apa cara bukti terhadap Anwar.''

Hakim Augustine: '' Bagaimana dengan 'ceramah' saya pagi ini (penjelasan mengenai konspirasi polis).''

Fernando: '' Saya rasa ia relevan di sini.''

Hakim Augustine: '' Walaupun, beliau mengatakan anak guam kamu dikatakan kaki perempuan dan peliwat, apakah yang boleh membantu?''

Fernando: '' Ini untuk menerangkan bahawa Anwar dikatakan meliwat Azmin.''

Hakim Augustine: '' Tidak relevan. Kita di sini bukan untuk membicarakan tentang Azizan Abu Bakar diliwat.''

Fernando: '' Ia untuk mengatakan bahawa mereka (polis) mahukan saksi yang lain.''

Hakim Augustine: '' Ini sudah pergi kepada kebenaran.''

Fernando: '' Tidak. Ini bukanlah kebenaran. Mereka mahukan dakwaan bahawa Anwar meliwat. Ini konspirasi mengenai keterangan rekaan.''

Hakim Augustine: '' Itu adalah dalam tuduhan bahawa Azizan diliwat.''

Fernando: '' Tetapi ini seorang saksi yang lain.''

Hakim Augustine: ''Kita bukan hendak membicarakan tentang dakwaan. Kita membicarakan fakta dakwaan itu?''

Fernando: '' Kandungan faktanya sungguh serius.''

Hakim Augustine: '' Walaupun ia baru apa yang boleh membantu?''

Fernando: '' Ini sebahagian daripada konspirasi polis.''

Hakim Augustine: '' Tidak, kamu salah anggapan mengenai apa yang telah saya jelaskan pagi ini.''

Fernando: '' Ia mengenai keputusan mahkamah tentang dakwaan. Ini untuk mengatakan bahawa Azizan diliwat oleh Anwar.''

Hakim Augustine: ''Jadi, apakah relevannya dengan perkara ini?''

Fernando: '' Walaupun sebelum Anwar ditahan, terdapat rancangan untuk mengumpulkan bukti palsu untuk membuat kes terhadap Datuk Seri Anwar. Jadi di sini niat atau motifnya jelas mengenai apa yang mereka fikirkan. Dan kes ini khususnya relevan dengan Akuan Berkanun yang dibuat oleh Azizan.''

Hakim Augustine: '' Biarkan dulu bahagian keterangan ini sehingga esok. Tanya soalan lain.''

Fernando: ''Kami akan menghujah lanjut tentang hal ini esok.''

Hakim Augustine: '' Soalan seterusnya?''

Fernando: '' Bolehkah saya dapatkan gambar Ummi, Shamsidar (Shamsidar Taharin, isteri Azmin) dan Datuk Seri Anwar. Saya ingin bertanyakan beliau, adakah cam dengan gambar ini?''

Azmin: ''Saya yang mengambil gambar ini, Yang Arif.''

Fernando: '' Bolehkah kamu beritahu mahkamah apakah keadaan gambar ini diambil?''

Azmin: '' Yang Arif, Ummi telah meminta berkali-kali untu bergambar dengan saudara Anwar dan pada ketika itu beliau mengatakan itulah peluang terbaik mengambil gambar bersama-sama saudara Anwar.''

Fernando: '' Majlis apakah itu?''

Azmin: '' Perhimpunan Agung UMNO.''

Fernando: '' Kamera siapakah yang digunakan untuk mengambil gambar itu?''

Azmin: '' Kamera saya, Yang Arif.''

Fernando: '' Adakah kamu berikan satu salinan kepada Ummi?''

Azmin: '' Ya, saya telah memberikan sebahagian gambar ini kepada beliau dan saya sendiri pernah melihatnya menyimpan gambar ini di atas bantal di bilik tidurnya.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Fernando: '' Saya rasa kita sudah mendapat jawapan yang jelas mengenai gambar ini.''

Hakim Augustine: ''Pada pendapat saya ia tidak relevan. Soalan ini ditimbulkan oleh peguam bela. Bagaimana ini boleh berlaku?''

Fernando: '' Kami tahu mengenai perkara yang sebenarnya. Ramai orang yang tahu.''

Hakim Augustine: '' Teruskan dengan soalan yang lain. Kamu boleh menghujahkan mengenai perkara ini.''

Fernando: '' Menghujah hal ini, saya tidak faham.''

Hakim Augustine: '' Pada akhir kes ini tentang ramai orang yang tahu perkara itu.''

Fernando: '' Ya, sebenarnya, ramai orang bercakap perkara itu. Gambar tersebut disimpan dalam beg tangannya (Ummi).''

Hakim Augustine: ''Kita tengoklah nanti bagaimana ia relevan pada masa yang sesuai.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 10/03/1999

'Megat reka surat salah laku Anwar'


MOHD. Azmin Ali (kanan) berbincang sesuatu dengan Christopher Fernando pada waktu rehat perbicaraan Anwar Ibrahim di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


Mk4

KUALA LUMPUR 9 Mac - Seorang saksi pembela, Mohd. Azmin Ali mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, adiknya, Ummi Hafilda Ali memberitahu beliau bahawa Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob merupakan 'dalang' di belakang surat yang mengandungi perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd. Azmin berkata, Ummi memberitahunya bahawa jika beliau bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, beliau patut bertindak terhadap Megat Junid sebagai orang yang mendrafkan surat berkenaan.

Mohd. Azmin, bekas Setiausaha Sulit Anwar, sebelum itu memberitahu bahawa adiknya telah menegaskan kepadanya sebanyak dua kali yang beliau tidak menulis surat tersebut.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Azmin, Ummi memberitahu bahawa beliau telah dijanjikan wang dan projek untuk mereka keterangan terhadap Anwar.

Mohd. Azmin, 34, memberitahu demikian ketika menyambung keterangannya sebagai saksi pembela ke-14 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-68 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Sejurus sidang bermula pukul 9.05 pagi ini, peguam bela Anwar, Christopher Fernando mengatakan beliau ingin mengemukakan hujah untuk memohon kepada mahkamah supaya membenarkan menyoal mengenai perbualan Azmin dan Ummi mengenai isu surat P14 yang mengandungi dakwaan terhadap Anwar itu.

Fernando: ''Saya menghujah bahawa perbualan Ummi adalah relevan dan harus diterima kerana beliau telah mengakui kepada abangnya bahawa beliau mereka keterangan untuk ganjaran wang dan projek.

''Ia adalah jelas apabila seorang saksi membuat bukti rekaan yang pastinya ada tujuan. Bayaran untuk Ummi sebagai ganjaran untuk melakukan suatu tugas dan beliau melaksanakan tugas itu dengan memberikan keterangan yang palsu.

''Ini juga termasuk keterangan yang diberikan oleh Azizan Abu Bakar. Jika Ummi tidak melaksanakan tugasnya, beliau tidak akan dapat insentifnya. Jadi sekarang beliau harus memastikan tugasnya dilaksanakan untuk mensabitkan musuhnya.''

Beliau berhujah lagi, ini mempersoalkan kredibi-liti, berat sebelah dan kepentingan diri.

Fernando: ''Yang Arif, ini motif yang kukuh kepada beliau sebagaimana yang dijanjikan. Keterangan beliau (Ummi) amat penting bagi kes pihak pembela. Ia berdasarkan perkara dari akar umbi-nya dan mahkamah juga terikat dengan isu konspirasi polis.''

Bagi mengukuhkan hujahnya, Fernando merujuk kes-kes yang terdapat dalam buku perundangan, Blackstone Criminal Practice.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil bertanya: ''Ia motif yang kukuh untuk beliau (Ummi). Walaupun ia palsu, beliau mengemukakan surat tersebut?''

Fernando: ''Benar, beliau adalah saksi kes ini. Keterangannya harus diteliti.''

Hakim Augustine: ''Seolah-olah beliau tidak menulis surat itu.''

Fernando: ''Beliau tidak menulis surat itu dan merekakan perkataannya. Keterangan yang kami kemukakan sebenarnya beliau tidak menulis surat tersebut. Ini untuk menyokong apabila beliau mengatakan menulis surat itu.''

Hakim Augustine: ''Itu keterangan yang dikemukakan oleh Datuk Gani (Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail).''

Fernando: ''Tidak, kami yang mengatakan kepadanya bahawa beliau memberitahu Azmin. Beliau tahu apa yang kami sedang memperkatakannya. Oleh itu kami harus memohonnya mengikut undang-undang.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah dengan memberikan hujahnya mengikut peruntukan Seksyen 153 Akta Keterangan.

Mohd. Yusof: ''Ini merupakan isu sampingan. Tidak ada pada bila-bila masa Ummi mengatakan demikian. Ia berhubung kandungan Akuan Bersumpah yang didakwa dibuat oleh beliau. Tidak terdapat pada bila-bila masa pun bahawa Ummi membuat keterangan rekaan. Semua ini adalah kes yang dibangkitkan oleh pembela. Kami menghujah bahawa motif itu adalah isu sampingan.''

Hakim Augustine: ''Ummi ada mengatakan pada satu peringkat beliau tidak membaca surat itu.''

Mohd. Yusof: ''Ini mengenai janji dan projek.''

Gani turut membantah sambil membaca semula sebahagian keterangan Ummi dalam kes pendakwa.

Hakim Augustine: ''Ia tidak diragukan bahawa beliau yang menulis surat itu.''

Mohd. Yusof: ''Ini adalah perbezaan apabila soalan itu dikatakan kepada beliau.''

Gani: ''Saya tidak ada apa-apa untuk menghalang dari segi undang-undang bagi peguam bela membuat soalan tersebut. Jika pendirian berubah, maka ia mestilah datangnya daripada arahan anak guam. Ini sungguh menarik untuk diperhatikan.''

Hakim Augustine: ''Pembela boleh mengemukakan soalan terhadap saksi (Azmin) mengenai Ummi tidak menulis surat itu. Kamu boleh menyoal dan dihadkan soalan meliputi perkara itu sahaja.''

Fernando: ''Berhubung dengan 30 Jun 1998, apakah Ummi beritahu kamu? Ia mengenai fakta bilakah Ummi menimbulkan surat itu.''

Azmin: ''Pada 26 Jun 1998.''

Fernando: ''Apa yang Ummi beritahu mengenai surat itu?''

Azmin: ''Pada 26 Jun 1998, Ummi memberitahu saya bahawa beliau tidak menulis surat berkenaan.''

Fernando: ''Di manakah beliau mengeluarkan kata-katanya?''

Azmin: ''Yang Arif, di rumah abang saya, Azman.''

Fernando: ''Inikah pertama kali beliau memberitahu kamu?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Selepas itu adakah kamu bertemu dengannya lagi.''

Azmin: ''Saya bertemu dengan Ummi sekali lagi pada 30 Jun 1998, lebih kurang pukul 1.20 petang.''

Fernando: ''Di mana?''

Azmin: ''Di pejabat Datuk Sng Chee Hua (ahli perniagaan dari Sarawak).''

Fernando: ''Adakah beliau memberitahu tentang apa yang dikatakan pada awalnya ketika di pejabat Datuk Sng?''

Azmin: ''Yang Arif, dalam pertemuan berkenaan Ummi sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak menulis surat itu.''

Fernando: ''Bagaimanakah beliau mengungkapkan kata-katanya. Bagaimana beliau mengatakan bagi kali kedua itu?''

Azmin: ''Yang Arif, walaupun Ummi telah memberi pengakuan pada 26 Jun itu bahawa beliau tidak menulis surat (P14), saya terpaksa bertanya beliau sekali lagi kerana saya mengenali beliau yang selalu berbohong semasa bercakap.''

Fernando: ''Jadi kamu bertanya beliau sekali lagi?''

Hakim Augustine: ''Soalan kamu harus meliputi perkara yang dibenarkan sahaja.''

Fernando: ''Boleh kamu jelaskan?''

Azmin: ''Yang Arif, saya bertanya kepada Ummi mengapa beliau sanggup melemparkan fitnah yang kejam terhadap saya dan keluarga serta Saudara Anwar, sedangkan beliau sendiri tahu bahawa tuduhan-tuduhannya tidak berasas dan boleh meruntuhkan rumah tangga.''

Fernando: ''Begitukah perkataannya. Dan apakah jawapan kamu?''

Azmin: ''Beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak menulis surat berkenaan maka saya bertanya kepadanya kalau beliau tidak menulisnya, apakah peranannya? Pada saat ini Ummi menjawab bahawa beliau dijanjikan dengan wang dan projek untuk merekakan keterangan.''

Fernando: ''Adakah beliau menyebutkan surat Akuan Bersumpah pada pertemuan 30 Jun itu?''

Azmin: ''Yang Arif, Ummi ada menyebutkan kepada saya bahawa kalau saya tidak percaya dengan pengakuan-pengakuan beliau sebanyak dua kali bahawa beliau tidak menulis surat berkenaan, maka saya boleh merujuk surat Akuan Bersumpah yang dibuat olehnya beberapa hari sebelum pertemuan dengan saya.''

Fernando: ''Dalam surat akuan bersumpah itu adakah kamu membaca kata-kata Ummi yang menafikan beliau membekalkan surat yang diterbitkan dalam buku (50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM) yang didakwa ditulis oleh beliau kepada Perdana Menteri. Adakah kamu membacanya?''

Azmin: ''Ya, saya membaca perenggan berkenaan.''

Selepas itu, Hakim Augustine membenarkan penangguhan sebentar atas permohonan Fernando untuk membolehkan beliau mengesahkan sesuatu daripada Azmin.

Apabila mahkamah bersidang semula, Fernando menyoal: ''Encik Azmin, berhubung P14, adakah Ummi beritahu kamu siapa yang menulis surat itu dan siapa yang mendrafnya?''

Azmin: ''Yang Arif, Ummi memberitahu saya bahawa surat berkenaan didraf oleh Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob (kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Beliau juga memberitahu saya sekiranya saya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, saya patut ambil tindakan terhadap Megat Junid kerana beliau adalah 'dalang' di belakang surat berkenaan.''

Fernando: ''Pada 14 Julai 1998, adakah kamu sekali lagi bertemu dengan Ummi?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Di mana kamu bertemu dengannya?''

Azmin: ''Di Restoran Seri Melayu.''

Fernando: ''Yang Arif, saya ingin mengatakan bahawa Ummi telah berkata yang beliau memberitahu Azmin, ia sudah terlambat. Adakah Ummi beritahu bahawa ia sudah terlambat?''

Gani: ''Saya membantah, ungkapan ini salah. Soalan yang dikemukakan pada pemeriksaan balas tidak boleh ditanya dalam pemeriksaan utama.''

Hakim Augustine: ''Apabila saya mengarahkan kamu membuat soalan, soal dengan cara yang betul.''

Fernando: ''Saya sedang menyoal.''

Hakim Augustine: ''Soalan kamu itu salah kerana kamu sudah memberikan jawapannya.''

Fernando: ''Pada pertemuan dengan Ummi, 14 Julai 1998, apa yang beliau memberitahu kamu?''

Azmin: ''Yang Arif, Ummi memberitahu saya bahawa agak lewat untuk beliau keluar daripada pakatan ini kerana dia telah komited dan sejumlah wang telah dibayar (she has committed and some money has been paid to her). Saya juga menasihatkan beliau sebagai abang.''

Hakim Augustine: ''Tidak relevan. Teruskan soalan lain.''

Fernando kemudian menyoal Azmin berkisar penahanannya pada 16 September tahun lalu.

Pada peringkat pemeriksaan balas pendakwa raya, Gani dalam sesi petang menyoal: ''Encik Azmin, adakah kamu membuat pengisytiharan harta bertarikh 25 Mei 1995 kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR)?''

Fernando segera membantah dengan alasan soalan itu melampaui batas.

''Isu itu tidak timbul dalam perbicaraan ini. Sekarang kami pula menyoal apakah relevannya,'' kata beliau.

Gani: ''Saya sudah jelaskan sebelum ini ia berhubung pendapatan.''

Hakim Augustine: ''Mereka bertanya mengenai persoalan kredibiliti.''

Gani: ''Mereka mengatakan ini suatu skandal.''

Fernando: ''Mereka telah memberikan alasan sebelum ini tetapi sekarang mengungkit lagi mengenai kredibiliti.''

Hakim Augustine: ''Beliau telah memberikan jawapan. Kamu hendak dengar sebabnya. Adakah kamu buat?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif, saya ada buat pengisytiharan harta tetapi saya tak ingat tarikh.''

Fernando: ''Perkara ini berhubung dengan pertuduhan kelima.''

Gani: ''Ia tiada kaitan dengan pertuduhan kelima.''

Hakim Augustine: ''Ia mengenai apa yang mereka kata suatu skandal. Teruskan.''

Gani: ''Encik Azmin, saya mengatakan kepada kamu bahawa kamu telah mengisytiharkan kepada BPR yang kamu juga ada pendapatan lain berjumlah RM3,000 sebulan selain daripada gaji kamu dan juga pendapatan se-wa rumah sebanyak RM2,000, betul?''

Azmin: ''Saya pohon kepada Yang Arif untuk menjelaskan.''

Hakim Augustine: ''Peguam kamu boleh memohonnya.''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Gani: ''Saya mengatakan kepada kamu pendapatan RM3,000, saya ulang soalan, saya cadangkan kepada kamu pendapatan tambahan RM3,000 sebulan ini adalah daripada tertuduh (Anwar).''

Azmin: ''Yang Arif, saya tidak setuju bahawa ia merupakan pendapatan tambahan.''

Gani: ''Adakah kamu bersetuju bahawa RM3,000 sebulan ini diberi oleh tertuduh?''

Azmin: ''Wang sejumlah RM3,000 sebulan ini disumbangkan oleh Saudara Anwar untuk urusan perbelanjaan harian pejabat serta sumbangan kecil kepada rakyat miskin yang datang ke pejabat memohon pertolongan.''

Gani: ''Jika itulah sebabnya dan benar, kena-pakah kamu mengisytiharkan RM3,000 sebulan ini sebagai satu daripada pendapatan kamu dan pengisytiharan harta kamu kepada BPR.''

Azmin: ''Yang Arif, saya mengisytiharkan jumlah pendapatan dalam akaun bagi wang yang dipegang oleh saya.''

Gani: ''Saya mengatakan bahawa wang sejumlah RM3,000 ini adalah diberi kepada kamu oleh tertuduh untuk kegunaan kamu sendiri?''

Azmin: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif.''

Gani: ''Pada 2 September 1997, lebih kurang pukul 12 tengah hari, Asisten Supritendan Zull Aznam ada memberitahu kamu mengenai kehadiran Senior Asisten Komisioner Musa Hassan di pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk bertemu dengan tertuduh.''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Gani: ''Pada hari yang sama adakah Musa bertemu dengan Datuk Seri Anwar di pejabat Timbalan Perdana Menteri?''

Azmin: ''Yang Arif, saya memohon keizinan untuk merujuk diari saya.''

Hakim Augustine: ''Mana diari itu?''

Azmin: ''diari itu telah diambil oleh polis sejak 2 September 1998. Saya perlu merujuk pada diari.''

Gani: ''Pada ingatan kamu adakah kamu nampak Musa masuk ke dalam pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk berjumpa dengan tertuduh pada hari itu?''

Azmin: ''Saya tidak nampak, Yang Arif.''

Gani: ''Sebelum Zull Aznam memberitahu kamu mengenai kehadiran Musa, adakah kamu menghubungi Musa melalui telefon untuk memaklumkan kepadanya bahawa Timbalan Perdana Menteri ingin berjumpa dengannya?''

Azmin: ''Yang Arif, jika saya dapat mengingati-nya bahawa Musa ada temu janji pasti saya menuliskannya dalam diari.''

Ketika menjawab soalan pada pemeriksaan semula oleh Fernando, Azmin memberitahu bahawa beliau mengenali Anwar melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Fernando: ''Bolehkah kamu nyatakan bagaimana kamu diperkenalkan dengan Datuk Seri Anwar?''

Azmin: ''Yang Arif, saya memang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan isterinya serta keluarganya. Malahan sehingga hari ini saya masih menghormati Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang mengangkat saya sebagai keluarganya. Saya telah menulis surat kepada Perdana Menteri (ketika menjadi pelajar di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat) untuk mengundang Saudara Anwar berucap di kampus saya dalam satu perhimpunan pelajar. Tetapi ditolak oleh Saudara Anwar.''

Fernando: ''Apa yang berlaku?''

Azmin: ''Perdana Menteri mengarahkan Saudara Anwar pergi juga ke kampus saya. Itulah bagaimana saya bertemu dengan Anwar.''

Fernando: ''Bagaimana kamu diperkenalkan oleh Perdana Menteri?''

Azmin: ''Semasa perbualan saya dengan Perdana Menteri melalui telefon dari Amerika, Perdana Menteri memberitahu bahawa beliau telah meminta Saudara Anwar menghadiri program berkenaan dan meminta saya berbincang dengan Saudara Anwar mengenai mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri.''

Fernando: ''Selain daripada pendapatan kamu, adakah kamu memperoleh pendapatan lain. Adakah isteri kamu bekerja?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Di manakah isteri kamu bekerja?''

Azmin: ''Isteri saya bekerja sebagai perunding di Phileo Allied Berhad.''

Fernando: ''Adakah beliau mempunyai gaji juga. Bagaimana beliau mendapatkan pendapatannya?''

Azmin: ''Pendapatannya sebanyak RM5,500 sebulan.''

Selepas Azmin memberi keterangannya kira-kira pukul 4 petang ini, Hakim Augustine mengarahkan peguam bela dan pendakwa raya menyediakan penghujahan masing-masing berhubung cadangan pihak pembela untuk memanggil peguam Manjeet Singh Dhillion mendedahkan komunikasi sulit mengenai kes Datuk S. Nallakaruppan.

Penghujahan itu didengar pada perbicaraan esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 11/03/1999

Hakim ulangi larangan siar keterangan dengar cakap

KUALA LUMPUR 10 Mac - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini sekali lagi mengeluarkan perintah melarang keras bukan sahaja media massa tetapi juga mana-mana pihak menyiarkan bahagian-bahagian keterangan yang tidak diterima pakai atau dengar cakap dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Augustine sebelum ini telah membuat perintah melarang disiarkan atau dicetak bahagian keterangan yang telah diputuskan sebagai dengar cakap melalui saksi-saksi kes itu.

Walaupun larangan itu dipatuhi oleh akhbar-akhbar tempatan tetapi masih terdapat penerbitan lain menyiarkan bahagian keterangan dan juga disebarkan melalui Internet.

Ketika saksi pembela ke-16, ahli perniagaan Sarawak, Beginda @ Nor Azman Abdullah memberi keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-69 hari ini, Hakim Augustine memutuskan terdapatnya perkataan-perkataan dengar cakap.

Hakim Augustine dengan tegas mengeluarkan perintah bahawa bahagian keterangan itu tidak boleh disiarkan atau diterbitkan oleh akhbar atau mana-mana pihak termasuk beliau sendiri.

ARKIB : 11/03/1999

Wartawan Utusan dipanggil sahkan laporan

KUALA LUMPUR 10 Mac - Wartawan Utusan, Siti Mariam Md. Zin turut dipanggil sebagai seorang saksi pembela ke-17 dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Siti Mariam yang kini bertugas di bahagian Majalah Massa, disoal mengenai laporannya yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 25 Ogos 1997 yang bertajuk, ''Fitnahkan Anwar bermotif politik - PM''

Dalam soalan pemeriksaan utamanya, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh bertanya: ''Apakah pekerjaan kamu dalam Utusan Malaysia?''

Siti Mariam: ''Saya sebagai wartawan.''

Sebelum itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul meminta Gurbachan menyoal terus kepada perkara yang hendak dikemukakan.

Gurbachan: ''Adakah kamu wartawan di Utusan pada 24 Ogos 1997?''

Siti Mariam: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah kamu hadir di satu sidang akhbar yang diberi oleh Perdana Menteri berkenaan laporan Utusan Malaysia bertarikh 25 Ogos 1997 di muka satu dan dua?''

Siti Mariam: ''Ya.''

Sambil menunjukkan salinan keratan akhbar itu, Gurbachan bertanya: ''Adakah ini laporan kamu berkenaan sidang akhbar itu?''

Siti Mariam: ''Ya, bersama rakan setugas, Samsor Joned.''

Gurbachan: ''Adakah laporan asal?''

Siti Mariam: ''Ada, nak tengok.'' Beliau bertanya peguam bela untuk menunjukkan jilid akhbar yang memuatkan keratan asal laporan itu yang dibawanya.

Hakim Augustine: ''Tak apa.''

Gurbachan: ''Adakah apa-apa pembetulan dibuat atas laporan ini?''

Siti Mariam: ''Tidak, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Kamu boleh mengesahkan ini laporannya?''

Siti Mariam: ''Ya.''

Gurbachan: ''Itu sahaja soalan saya.''

Pihak pendakwa raya memberitahu bahawa mereka tidak ada soalan balas.

Hakim Augustine: ''Terima kasih, kamu boleh balik.''

Selepas itu, Hakim Augustine membenarkan permohonan Gurbachan yang memohon untuk memanggil sekali lagi saksinya yang kelapan, Pesuruhjaya Sumpah, Ngui Kee Heong.

Gurbachan: ''Pada 23 Jun 1998, adakah Ummi Hafilda Ali datang mengikrarkan akuan bersumpah. Adakah beliau datang sendiri?''

Ngui: ''Saya pergi ke pejabat Datuk Sng Chee Hua untuk tandatangan satu surat akuan bersumpah.''

Gurbachan: ''Kamu ada berjumpa Ummi di sana?''

Ngui: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah Datuk Sng mempengaruhi kamu dengan apa-apa cara untuk menandatangani dokumen (D90)?''

Ngui: ''Tidak ada. Beliau tidak bercakap apa-apa.''

Gurbachan: ''Adakah Ummi mengadu kepada kamu bahawa beliau didesak untuk mengikrarkan D90?''

Ngui: ''Surat akuan ini direka oleh peguam Yeoh Chong King. Ia ditunjukkan kepada Ummi dan kemudian Ummi membaca sepuas hati (berulang kali) dan beliau sudi menandatangan surat akuan itu.''

Gurbachan: ''Apakah yang kamu maksudkan dengan menggunakan perkataan reka?''

Ngui: ''Ummi ada menggunakan peguam untuk membuat surat itu.''

Gurbachan: ''Apa yang kamu maksudkan reka?''

Ngui: ''Reka bermakna membuat surat.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu makna reka dalam bahasa Melayu ialah untuk membuat satu rekaan.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad membantah cara menyoal.

Grubachan: ''Adakah kamu tahu makna sebenar reka?''

Ngui: ''Ia bermakna untuk merancangkan surat atau membuat surat akuan bersumpah.''

Gurbachan: 'Adakah kamu lebih memahami bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu?''

Ngui: ''Saya rasa saya faham kedua-dua bahasa?''

Gurbachan kemudian mengajukan soalannya dengan menggunakan bahasa Inggeris: ''Adakah kamu tahu siapa yang mendraf akuan bersumpah ini?''

Ngui: ''Akuan bersumpah itu didrafkan oleh peguam Yeoh Chong King.''

Gurbachan: ''Adakah kamu mengesyaki atau mempunyai sebarang sebab untuk mempercayai bahawa Ummi dipaksa menandatangani akuan bersumpah ini?''

Hakim Augustine: ''Saya rasa soalan ini dilarang di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan kerana ia membabitkan komunikasi profesional.''

Gurbachan: ''Saya bertanya saksi ini sama ada beliau merasa ragu-ragu.''

Hakim Augustine: ''Soalan itu ditolak. Tidak boleh diterima pakai.''

Gurbachan: ''Adakah kamu melihat sendiri...?''

Hakim Augustine: ''Beliau bukan peguam. Kamu bertanya melebihi pandangannya.''

Gurbachan: ''Saya tanya mengenai pendapatnya.''

Hakim Augustine: ''Saya percaya ini perkara dengar cakap.''

Gurbachan: ''Kami bertanya mengenai pendapatnya.''

Hakim Augustine: ''Ya, kamu boleh bertanya pekerjaannya.''

Gurbachan: ''Adakah tugas kamu untuk mengesahkan ikrar surat akuan bersumpah?''

Ngui: 'Ya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu akan menerima ikrar untuk surat akuan bersumpah jika mengesyaki bahawa orang yang menandatangani itu dipengaruhi dan dipaksa untuk melakukannya?''

Ngui: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Adakah kamu lihat bahawa Ummi dengan rela menandatangani ikrar akuan bersumpah itu?''

Ngui: ''Dokumen akuan bersumpah itu disediakan oleh peguam dan Ummi menandatangani dengan rela.''

ARKIB : 11/03/1999

'Anwar arah sunting pita kaset'


NOR AZMAN ABDULLAH


KUALA LUMPUR 10 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan seorang ahli perniagaan dari Sarawak, Beginda @ Nor Azman Abdullah menyunting pita kaset yang merakamkan perbualan Ummi Hafilda Ali dengan seorang ahli perniagaan lain di London.

Beginda membuat pengakuan itu setelah ditanya oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad pada perbicaraan salah guna kuasa Anwar petang ini.

Beginda merakamkan perbualan Ummi Hafilda dengan ahli perniagaan Sarawak, Datuk Sng Chee Hua dalam tujuh keping kaset yang kemudian ''dipotong'' menjadi empat keping, dua keping sebelum tinggal sekeping kaset.

Ketika pemeriksaan balas pendakwa raya pada sesi petang, Azahar bertanya: ''Pagi tadi kamu ada beritahu Yang Arif bahawa daripada dua pita kamu menjadikan kepada satu, betul atau tidak?''

Beginda: ''Ya, betul Yang Arif.''

Azahar: ''Siapa yang meminta kamu menjadikan dua pita itu kepada satu pita?''

Beginda: ''Datuk Seri Anwar mengatakan kepada saya bahawa banyak perkataan yang disebut-sebutkan oleh Cik Ummi (Hafilda Ali).''

Azahar: ''Saya minta kamu jawab siapa yang mengarah kamu. Jadi tertuduh (Anwar) yang meminta kamu?''

Beginda: ''Ya.''

Sebelum itu Mahkamah Tinggi menolak permohonan peguam bela Anwar untuk memainkan pita kaset yang didakwa mengandungi perbualan antara Ummi Hafilda dan Sng bagi dijadikan bahan bukti dalam kes pembelaan Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Hakim Datuk S. Augustine Paul memutuskan bahawa pita tersebut tidak boleh diterima pakai kerana ia tiada kaitan dengan kandungan surat (P14) dakwaan mengenai perihal salah laku terhadap Anwar.

Beliau menegaskan bahawa pita kaset itu lebih melibatkan perkara sampingan.

Menurut Hakim Augustine, pita berkenaan juga didapati sudah disunting daripada rakaman asal.

''Kita tidak tahu apa yang terjadi dengan tiga lagi pita daripada empat pita yang disunting itu,'' jelas beliau.

Hakim Augustine membuat keputusannya selepas menimbangkan alasan hujah peguam bela Anwar, Gurbachan Singh.

Pada sesi petang perbicaraan Anwar hari ini, Gurbachan memohon supaya pihak pembela dibenarkan memainkan pita kaset tersebut di mahkamah untuk membuktikan bahawa Ummi ada berbual dengan Sng berhubung isu untuk menjatuhkan Anwar.

Gurbachan berkata, seorang saksi pembela yang dipanggil pagi ini adalah orang yang membuat rakaman perbualan itu ketika mereka bertiga berada di London untuk urusan perniagaan pada Jun tahun lalu.

Perbicaraan sesi pagi ini mendengar keterangan saksi Beginda @ Nor Azman Abdullah yang mengakui bahawa beliau merakamkan perbualan Ummi dan Sng.

Beginda, 39, pengarah eksekutif syarikat Sebiro Holding Sdn. Bhd., memberi keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-69 hari ini.

Dalam sesi pagi, Gurbachan yang mengendalikan pemeriksaan utama pihak pembela memulakan soalannya: ''Pada Jun 1998, di manakah kamu bekerja?''

Beginda: ''Saya bekerja di Kuala Lumpurlah.''

Gurbachan: ''Dengan siapa?''

Beginda: ''Saya bekerja dengan syarikat Sebiro Holding Sdn. Bhd.''

Gurbachan: ''Apakah jawatan kamu?''

Beginda: ''Sebagai pengarah syarikat.''

Gurbachan: ''Adakah kamu kenal dengan seorang yang bernama Datuk Sng Chee Hua?''

Beginda: ''Ya, saya kenal beliau.''

Gurbachan: ''Adakah juga kamu kenal seorang perempuan namanya Ummi Hafilda Ali?''

Beginda: ''Saya kenal, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Pada Jun 1998, adakah kamu pergi ke London?''

Beginda: ''Ada, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Dengan siapa?''

Beginda: ''Dengan Cik Ummi, Datuk Sng dan George.''

Gurbachan: ''Siapa George?

Beginda: ''George ini rakan saya.''

Gurbachan: ''Boleh ingat tarikh bilakah kamu pergi ke London?''

Beginda: ''Pada 16 Jun 1998.''

Gurbachan: ''Bila sampai di Lapangan Terbang London, apa yang berlaku?''

Beginda: ''Tidak ada apa-apa berlaku setibanya di Lapangan Terbang London, cuma yang berlaku di Lapangan Terbang Subang.''

Gurbachan: ''Apa yang berlaku di Lapangan Terbang Subang?''

Beginda: ''Sebelum saya check in, Cik Ummi memberikan buku 50 Dalil (Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM) kepada saya.''

Gurbachan: ''Mengapa beliau beri buku itu kepada kamu?''

Beginda: ''Oleh kerana beliau ingin menunjukkan gambarnya bersama dengan Shamsidar (Shamsidar Taharin) dan Datuk Seri Anwar.''

Gurbachan: ''Berapa hari kamu, Ummi, Datuk Sng dan George tinggal di London?

Beginda: ''Datuk Sng dan George hanya tinggal selama empat hari. Saya dengan Ummi tinggal selama lima hari.''

Gurbachan: ''Semasa di London di manakah kamu tinggal?''

Beginda: ''Kami tinggal di rumah Datuk Sng.''

Gurbachan: ''Apakah hubungan kamu dengan Ummi?''

Beginda: ''Hubungan saya dengan beliau adalah sebagai rakan kongsi (partner).''

Gurbachan: ''Mengapa membawa partner (ke London)?''

Beginda: ''Pada mulanya tujuan kami (semua) ke London untuk berbincang hal perniagaan.''

Gurbachan: ''Semasa di London, adakah perbincangan dibuat berkenaan perniagaan?''

Beginda: ''Selepas dua hari kami sampai di London, belum lagi kami berbincang tentang perniagaan.''

Gurbachan: ''Sebaliknya adakah apa-apa perbincangan lain yang berlaku semasa di London?''

Beginda: ''Kami berbincang tentang buku 50 Dalil.''

Gurbachan: ''Apakah perbincangannya?''

Beginda: ''Ummi mengatakan orang yang menaja buku...''

Di peringkat itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah dengan alasan keterangan saksi tidak relevan dan juga menimbulkan isu yang dilarang mengenai konspirasi politik.

Mohd. Yusof: ''Perkara itu tidak boleh lagi disoal kepada saksi ini.''

Gurbachan: ''Mahkamah telah memutuskan bahawa konspirasi politik dilarang. Saya menghujah bahawa kami ingin menyentuh mengenai keterangan bukan berkaitan konspirasi politik tetapi apa yang berlaku di London. Dan pastinya berkaitan Ummi dengan kandungan surat P14.''

Mohd. Yusof: ''Jika begitu, baiklah, buat soalan yang tepat dan usah meleret hingga timbul perkara dengar cakap.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa teruskan dengan soalan yang tepat mengenai P14 a, b dan c.''

Gurbachan: ''Adakah Ummi beritahu kamu berkenaan surat yang dikatakan ditulis oleh Ummi kepada Perdana Menteri. Ia berkenaan tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar. Maaf, tuduhan seksual, Yang Arif, yang terkandung dalam buku 50 Dalil itu.''

Beginda: ''Pada masa itu Ummi tidak menyebut surat yang beliau tulis kepada PM.''

Gurbachan: ''Adakah kamu ditunjukkan buku 50 Dalil itu, mengenai surat yang dikatakan ditulis oleh Ummi?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad pula membantah dengan mengatakan bahawa ia adalah soalan yang dipandu dengan jawapan.''

Gurbachan: ''Saya bertanyakan sama ada beliau ditunjukkan atau tidak.''

Hakim Augustine: ''Ulang soalan.''

Gurbachan: ''Adakah kamu ditunjukkan apa-apa surat yang dikatakan ditulis oleh Ummi?''

Hakim Augustine: ''Perkara yang sama.''

Mohd. Yusof mengingatkan soalan yang dibuat oleh Gurbachan: ''Peguam bela telah bertanya semasa beliau di Lapangan Terbang Subang, Ummi menunjukkan gambar kepadanya yang terdapat dalam buku tersebut.''

Gurbachan: ''Saya ulang soalan. Kamu kata tadi bahawa kamu ada ditunjukkan satu gambar yang terkandung dalam buku 50 Dalil itu, ya?''

Beginda: ''Cik Ummi menunjukkan semua gambar yang ada dalam buku 50 Dalil itu.''

Gurbachan: ''Selain daripada gambar-gambar, adakah kamu ditunjukkan apa-apa lagi yang terdapat dalam buku 50 Dalil itu?''

Beginda: ''Oleh kerana masa sangat singkat beliau tidak boleh menunjukkan semua gambar dan tulisan yang terkandung di dalam buku tersebut.''

Gurbachan: ''Kamu kata masa singkat, masa singkat di mana?''

Beginda: ''Di Lapangan Terbang Subang.''

Gurbachan: ''Baik, kamu kata ada pegang buku itu. Berapa lama kamu pegang buku 50 Dalil semasa di Subang?''

Beginda: ''Saya tengok buku itu dalam setengah jam.''

Gurbachan: ''Mengapa Ummi beri buku itu kepada kamu?''

Beginda: ''Oleh kerana beliau hendak beritahu mengenai buku 50 Dalil kepada saya. Sebab saya kata tadi masa sangat singkat. Sebelum kami berlepas ke London, Cik Ummi memberi buku tersebut kepada Halimah.''

Gurbachan: ''Siapakah Halimah?''

Beginda: ''Halimah adalah kawan Cik Ummi.''

Gurbachan: ''Selepas setengah jam itu, adakah kamu pegang atau baca buku 50 Dalil itu?''

Beginda: ''Saya pegang dan tengok gambar sahaja.''

Gurbachan: ''Adakah buku itu dibawa ke London?''

Beginda: ''Buku itu kami tidak bawa ke London dan Cik Ummi memberikannya kepada Halimah.''

Gurbachan: ''Apabila berada di London apa yang menyebabkan kamu mengesyaki sesuatu?''

Beginda memberi jawapannya dalam bahasa Inggeris: ''I can't understand your question. (Saya tidak faham soalan kamu).'' Para hadirin di galeri awam tergelak.

''You mean you want me to tell what Ummi told me about 50 Dalil (Adakah maknanya kamu mahu saya beritahu apa yang Ummi beritahu mengenai 50 Dalil),'' tanya Beginda.

Hakim Augustine: ''Teruskan dengan soalan lain. Jika tidak kita akan mengelilingi dunia lagi.'' Para hadirin tergelak.

Gurbachan: ''Adakah kamu syak menyebabkan kamu membuat sesuatu?''

Beginda: ''Ya, benar Yang Arif. Saya mengesyaki apa yang dikatakan oleh Ummi bahawa kandungan yang ditulis dalam buku tersebut untuk menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri sebagai orang nombor dua di Malaysia pada masa itu.''

Gurbachan: ''Selepas itu menyebabkan kamu buat apa?''

Beginda dengan loghat Melayu Sarawak menjawab: ''Lagipun saya risau besar. Besar kemungkinan nama baik bos saya Datuk Sng akan diheretkan sebagai salah satu nama yang menaja buku 50 Dalil.''

Gurbachan: ''Apa yang kamu buat adalah disebabkan kamu risau besar (sangat risau), bukan?''

Beginda: ''Sebab itu saya merakamkan perbualan Ummi dan Datuk Sng.''

Gurbachan: ''Dalam perbualan itu adakah orang lain selain Ummi dan Datuk Sng?''

Beginda: ''Tidak ada orang lain. Saya sendiri, Beginda sendiri.'' Para hadirin tergelak.

Gurbachan: ''Selama berapa hari rakaman perbualan itu dibuat?''

Beginda: ''Saya membuat pita rakaman itu selama empat hari.''

Gurbachan: ''Berapa pita yang kamu rakamkan?

Beginda: ''Semuanya, Yang Arif ada tujuh. Oleh kerana pita yang ketujuh tidak berapa jelas, saya memotongnya. Saya jadikan empat pita. Saya buat rakaman itu di restoran, ada bunyi bising. Bunyi tak jelas, krongkrang-krongkrang. Itulah bahagian yang saya potong.'' Pada peringkat ini, suasana mahkamah riuh dengan gelak ketawa para hadirin.

Gurbachan: ''Tujuh pita itu adalah semuanya mengandungi perbualan atau ada bahagian-bahagian yang kosong.''

Beginda: ''Ketujuh-tujuh pita itu kebanyakannya bising dan kosong, kosonglah tidak ada orang bercakap.''

Gurbachan: ''Bagaimana kamu membuat rakaman atas tujuh pita itu.''

Beginda: ''Saya membuat rakaman itu semasa kami bersemuka dengan Ummi.''

Gurbachan: ''Adakah Ummi dan Datuk Sng tidak tahu bahawa perbualan itu dirakam oleh kamu?''

Beginda: ''Semasa merakamkan perbualan tersebut saya sembunyikan pita di dalam poket baju. Mereka berdua tidak tahu saya merakamkan perbualan tersebut.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bawa balik tujuh pita itu ke Malaysia?''

Beginda: ''Ya, saya bawa balik ketujuh-tujuh pita itu.''

Gurbachan: ''Setelah balik ke Malaysia, apakah yang berlaku pada ketujuh-tujuh pita rakaman itu?''

Beginda: ''Sampai di Malaysia, saya mendengar suara di dalam pita rakaman tersebut tidak jelas dan tidak terang, saya memotongnya menjadikannya empat pita.''

Gurbachan: ''Tujuh pita itu apakah bentuk dan saiznya.''

Beginda: ''Bentuk dan saiznya saya tidak pasti tetapi ia berukuran kecil sahaja.''

Gurbachan: ''Dan empat pita rakaman itu berapa saiznya?''

Beginda: ''Empat pita itu saiznya kecil juga.''

Gurbachan: ''Adakah kamu mengubah atau memotong perbualan yang boleh didengar?''

Beginda: ''Ada Yang Arif. Saya mengubah pita rakaman daripada empat kepada dua.''

Gurbachan: ''Soalan saya lain. Ulang jawapan kamu.''

Hakim: ''Sila ulang jawapan tadi.''

Beginda: ''Saya membuatnya daripada empat menjadi dua pita rakaman yang besar.''

Gurbachan: ''Soalan saya tadi daripada tujuh pita rakaman yang asal, adakah kamu ubah dan potong perbualan yang terang dan yang boleh didengar untuk menjadikannya empat pita rakaman itu. Faham soalan?''

Beginda: ''Ya benar Yang Arif, ada.''

Gurbachan: ''Apa yang kamu potong dan mengapa?''

Beginda: ''Oleh kerana ia tidak terang. Tadi saya sudah jelaskan.''

Gurbachan: ''Soalan saya, adakah kamu potong atau ubah perbualan yang terang.''

Beginda: ''Ada, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Apa maknanya?''

Azahar membantah dengan mengatakan bahawa Gurbachan menyoal balas saksinya sendiri.''

Gurbachan: ''Pastinya saya tidak menyoal balas saksi sendiri.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/03/1999

Hujah peguam bela minta kemuka saksi relevan

KUALA LUMPUR 11 Mac - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi petang ini mendengar hujah peguam bela untuk mengemukakan keterangan saksi-saksinya yang mempunyai relevansi berhubung isu konspirasi polis pada peringkat pembelaannya.

Peguam Gurbachan Singh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pihak pembela ingin mengemukakan keterangan saksi-saksi yang terdiri daripada Manjeet Singh Dhillion, adik angkat Anwar, Sukma Darmawan, penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees, Datuk S. Nallakaruppan, dan pereka fesyen, Mior Abdul Razak.

Menurut Gurbachan, pembela juga ingin mengemukakan sebahagian keterangan yang telah diberikan oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali.

Bagaimanapun, Hakim Datuk S. Augustine Paul melarang media massa menyiarkan fakta-fakta yang dibentangkan oleh Gurbachan berkaitan saksi-saksi tersebut sehingga beliau mengeluarkan perintah berhubung perkara itu.

Pihak pembela menyambung hujahnya esok.

ARKIB : 12/03/1999

Anwar tinggikan suara ditegur guna telefon bimbit

KUALA LUMPUR 11 Mac - Suasana perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dicetuskan dengan kejutan apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu meninggikan suara dengan kuat kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan yang menghalangnya menjawab panggilan telefon bimbit melalui isterinya.

Kejadian itu berlaku sejurus sidang mahkamah ditangguhkan sekejap pada pukul 9.40 pagi ini.

Pada masa itu, Anwar sedang berbual dengan salah seorang anggota AdiL, Rustam A. Sani dan beberapa orang sahabat handainya di bahagian tempat duduk keluarganya.

Dengan tiba-tiba Anwar meninggikan suara dengan kata-kata: ''Cakap sopan sikit dengan isteri saya. Sopan sikit. Nak ikut macam Rahim Noor.''

Seorang pegawai polis datang menenangkan keadaan itu. Selepas itu, kedengaran bising sekali lagi apabila seorang daripada peguam bela Anwar, Zulkifli Nordin menghampiri anggota polis berkenaan yang sedang menulis sesuatu dalam diarinya.

Zulkifli kedengaran berkata: ''Kamu tidak ada hak untuk membuat laporan.''

Apabila melihat keadaan tersebut, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden berkejar untuk menenangkan mereka.

Kemudian Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani pula bersama peguam bela Anwar yang lain, Sulaiman Abdullah dan Gurbachan Singh turut menenangkan Zulkifli.

Abang sulong Anwar, Rani berada di mahkamah ketika itu memberi komen: ''Patut dia (Anwar) buat sekali sekala bagi bising sikit. Jangan dia (polis) buat kita sesuka hati.''

Kemudiannya, Azizah memberitahu pemberita bahawa beliau meletakkan telefon dekat Anwar untuk menyambut panggilan seorang saudaranya yang dukacita dengan kesnya.

''Beliau hanya ingin mendengar suara Anwar. Saya bukan hendak memberikan telefon kepada Anwar. Saya yang memegang telefon dan minta dia jawab helo,'' kata Azizah.

Setiap orang dilarang membawa masuk telefon bimbit ataupun sebarang alat eletronik ke dalam mahkamah sepanjang perbicaraan Anwar.

Bagaimanapun, isteri Anwar dan para peguam belanya dan juga pendakwa raya diberikan keistimewaan untuk membawa masuk telefon bimbit ke dalam mahkamah.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai kejadian itu, anggota polis berkenaan memberitahu bahawa beliau menegur Azizah dengan berkata, ''Datin jangan bagi Datuk Seri cakap telefon.''

Menurut anggota polis itu, beliau membuat teguran tersebut apabila nampak Azizah telah meletakkan telefon bimbitnya dekat pipi Anwar.

--------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 12/03/1999

Rahsiakan perbualan Faiz, Sukdev


AHMAD AZAM.


KUALA LUMPUR 11 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa peguam Mohd. Faiz Abdullah dilarang mendedahkan perbincangannya dengan seorang peguam lain, Sukdev Singh Randhawa mengenai kes yang melibatkan Azizan Abu Bakar kerana ia merupakan komunikasi profesional di bawah Akta Keterangan.

Mohd. Faiz, peguam cara mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah terhadap penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Beliau dipanggil sebagai saksi pembela yang ke-19 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-70 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Hakim Datuk S. Augustine Paul membuat keputusannya pada sidang sesi pagi ini setelah mendengar alasan hujah peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah dan bantahan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Sebelum itu, Mohd. Yusof menimbulkan bahawa keterangan Mohd. Faiz adalah terikat dengan Seksyen 126 Akta Keterangan mengenai komunikasi profesional antara seseorang peguam bela dengan anak guamannya.

Menurut Hakim Augustine persoalannya sama ada Mohd. Faiz boleh mendedahkan dengan seorang peguam yang lain mengenai isu yang membabitkan anak guam masing-masing.

''Perkara ini agak biasa untuk menentukan isu sama ada keistimewaan dengan anak guaman. Pada pendapat saya, ia juga terpakai di bawah Seksyen 27 akta tersebut yang meliputi ejen termasuk jurubahasa dan kerani atau pengkhidmat peguam bela,'' jelas beliau.

Hakim Augustine yang menyampaikan keputusannya secara lisan itu berkata, bentuk perbincangan antara mereka berdua ialah Mohd. Faiz ketika itu sedang menyediakan saman buku 50 Dalil dan Sukdev pula hendak menyediakan dokumen akuan bersumpah oleh Azizan yang juga mengenai buku tersebut.

''Apabila mereka mengatakan membantu di antara satu sama lain maka Mohd. Faiz adalah sebahagian daripada agen Sukdev di bawah peruntukan Seksyen 126 akta itu,'' kata beliau.

Bagaimanapun, dalam keputusannya, Hakim Augustine menjelaskan bahawa Mohd. Faiz tidak melakukan sebarang kesalahan dalam keterangan yang dikemukakan di hadapan beliau.

Seorang lagi peguam bela Anwar, Gurbachan Singh mengatakan pihaknya akur dengan keputusan itu. Menurutnya, beliau kini diberikan panduan yang diperlukan bahawa Seksyen 126 juga terpakai dalam seksyen 127 Akta Keterangan.

Terdahulunya, Gurbachan memanggil saksi pembela ke-18, Presiden ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman dan mengemukakan soalan dalam pemeriksaan utamanya.

Gurbachan: ''Sejak bila kamu jadi Presiden ABIM?''

Azam: ''Saya dipilih menjadi Presiden ABIM pada September 1997.''

Gurbachan: ''Sebelum September 1997, apakah jawatan Encik Azam di dalam ABIM?''

Azam: ''Sebelum itu saya adalah Setiausaha Agung ABIM sepenuh masa.''

Gurbachan: ''Sejak bila Encik Azam memegang jawatan Setiausaha Agung ABIM?''

Azam: ''Sejak Ogos 1993.''

Gurbachan: ''Bolehkah saksi ini ditunjuk dokumen P15 (surat Talkin Terbuka untuk Anwar Ibrahim).''

Hakim Augustine: ''Apakah soalannya?''

Gurbachan: ''Biarkan saksi baca surat ini dulu. Adakah pernah Encik Azam lihat surat ini sebelum hari ini?''

Azam: ''Ini pertama kali saya lihat P15.''

Gurbachan: ''Sila lihat muka terakhir, adakah disebut nama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan nampaknya ABIMlah bersama persatuan-persatuan dan gabungan yang lain disebut di situ dan nampaknya telah menulis surat ini. Adakah benar bahawa ABIM satu daripada pihak-pihak yang menulis surat ini?''

Azam: ''Tidak benar, Yang Arif. Ini adalah fitnah sama sekali.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu sebagai Setiausaha Agung sepenuh masa ABIM, adakah ABIM mengambil apa-apa bahagian dalam penulisan P15 ini?''

Azam: ''Saya tidak pernah melihat surat ini dan pastinya tidak tahu menahu mengenai perkara ini.''

Hakim Augustine: ''Itukah sahaja?''

Gurbachan: ''Izinkan saya buat satu lagi soalan. Jikalau ABIM mengambil apa-apa bahagian dalam penulisan surat P15 ini, kamu sebagai Setiausaha Agung pasti akan tahu?''

Azam: ''Sebagai Setiausaha Agung sepenuh masa adalah tanggungjawab saya untuk melaksanakan apa-apa juga keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa pusat mengenai sebarang surat keluar yang melibatkan persoalan seumpama surat ini, pastilah dengan pengetahuan saya.''

Gurbachan: Adakah kamu ditangkap oleh polis?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah: ''Apakah relevansinya dengan soalan ini?''

Gurbachan: ''Perkara yang relevansi dengan soalan ini bahawa beliau (saksi) ditangkap oleh polis pada 23 September 1998 iaitu, sehari selepas Anwar ditangkap dan ini berhubung penangkapan untuk menyakinkan penglibatan skandal seks.''

Bagaimanapun, pada peringkat itu, Gurbachan memaklumkan kepada Hakim Augustine bahawa beliau menangguhkan sementara keterangan saksi ini dan memohon memanggil beliau semula setelah penghujahan mengenai relevansinya dibenarkan oleh mahkamah.''

Hakim Augustine lalu meminta pendapat pihak pendakwa mengenai hal itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bangun menjawab: ''Kami tidak ada masalah.''

Gurbachan: ''Izinkan kami melepaskan saksi ini dulu dan akan memanggil beliau semula.''

Seterusnya pada sesi petang, Gurbachan memaklumkan beliau ingin memanggil seorang lagi wartawan dari New Straits Times (NST) bagi keterangan yang singkat berhubung satu sidang akhbar bekas IGP (Ketua Polis Negara), Tan Sri Abdul Rahim Noor yang diadakan di Pulau Pinang pada 2 September tahun lalu.

Wartawan tersebut, S. Karthirasen, 45, mengesahkan bahawa berita yang disiarkan oleh akhbar bertarikh 3 Mac 1998 ditulis oleh beliau.

Gurbachan: ''Adakah penafian mengenai apa yang dikatakan dalam berita tersebut?''

Karthirasen: ''Tidak ada apa-apa, Yang Arif.''

Sebelum itu, Gani berkata beliau ingin menjelaskan kepada mahkamah bahawa sapina telah dikeluarkan pada 1 Mac lalu kepada dua orang saksi tetapi polis tidak dapat menyerahkannya kerana mereka bertukar ke Langkawi dan Pulau Pinang.

Beliau juga memaklumkan polis masih belum dapat menyerahkan sapina kepada seorang wartawan Utusan, Samsor Junet kerana beliau berada di Sabah membuat liputan pilihan raya.

Perbicaraan bersambung esok.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/03/1999

5 saksi relevan untuk kes Anwar

KUALA LUMPUR 12 Mac - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pihak pembela ingin mengemukakan keterangan yang relevan daripada lima orang saksinya untuk membuktikan bahawa dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu suatu rekaan.

Peguam Sulaiman Abdullah berkata, lima saksi tersebut akan memberi keterangan mengenai apa sebenarnya yang berlaku ke atas mereka sebelum tuduhan dibuat terhadap Anwar.

Saksi-saksi itu terdiri daripada peguam Manjeet Singh Dhillion, adik angkat Anwar, Sukma Darmawan, penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anee, Datuk S. Nallakaruppan dan pereka fesyen, Mior Abdul Razak.

Sulaiman berkata, pihaknya juga ingin membentangkan sebahagian keterangan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali mengenai perbualan dengan adiknya, Ummi Hafilda Ali.

Beliau berkata demikian ketika menyambung hujah lanjut berhubung keterangan saksi yang mempunyai relevansi dalam isu konspirasi polis pada peringkat pembelaan Anwar.

Hakim Datuk S. Augustine Paul sebelum itu mengarahkan peguam bela dan pendakwa raya kes itu menghujah lanjut mengikut peruntukan Seksyen 11 dan Seksyen 15 Akta Keterangan untuk menentukan permohonan pihak pembela.

Seksyen 11 ialah bila fakta-fakta yang selainnya tak relevan menjadi relevan.

Sementara Seksyen 15 akta itu menyebutkan bahawa apabila ada suatu soal sama ada suatu perbuatan telah dilakukan dengan tak sengaja atau dengan sengaja atau dilakukan dengan pengetahuan atau niat tertentu, maka fakta bahawa perbuatan itu menjadi sebahagian daripada siri kejadian-kejadian yang serupa dan tiap-tiap kejadian itu ada melibatkan orang yang melakukan perbuatan itu, adalah relevan.

ARKIB : 13/03/1999

Percakapan amaran ditentukan 31 Mac

KUALA LUMPUR 12 Mac - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 31 Mac ini untuk memutuskan sama ada percakapan beramaran salah seorang daripada tertuduh yang didakwa terbabit dalam perhimpunan haram di kawasan persimpangan Jalan Damansara - Jalan Mahameru tahun lalu, diterima atau tidak sebagai keterangan.

Majistret Norliza Othman memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujahan peguam bela P. Uthayakumar dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaruzaman Abdul Jalil semasa bicara dalam perbicaraan bagi menentukan percakapan beramaran Rozman Mohd. Ariffin semasa ditahan di lokap polis, boleh diterima atau sebaliknya.

Rozman, 24, pelajar A-Level jurusan Undang-Undang, mendakwa sebahagian daripada keterangan dalam kenyataan beramarannya kepada seorang pegawai polis dibuat bukan secara sukarela.

Uthayakumar dalam hujahnya berkata, Rozman mendakwa bahawa semasa kenyataan beramaran diambil oleh Cif Inspektor M. Gunalan, tertuduh masih dalam kesakitan akibat dipukul oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan peristiwa itu masih menghantui fikirannya.

Rozman mendakwa, perasaannya pada ketika itu juga tidak tenteram dan berada dalam ketakutan ekoran mendengar jeritan orang dipukul dalam lokap.

Tambahan pula, dakwa lelaki itu lagi, dia ternampak polis memukul orang menggunakan getah paip.

Menurut Uthayakumar, disebabkan perasaan takut dan tidak mahu kesakitan yang dialaminya berlarutan, maka dia menandatangani kenyataan itu.

''Oleh itu, saya memohon supaya kesemua bahagian percakapan beramaran itu tidak perlu diambil kira oleh mahkamah kerana ia tidak dibuat secara sukarela,'' katanya.

Sementara itu, Kamaruzaman dalam hujah balasnya berkata, sebelum percakapan itu dirakam oleh pegawai polis terbabit, beliau telah bertanya sama ada Rozman ingin memberi keterangannya secara sukarela, dan ini diakui sendiri olehnya.

Berhubung dakwaan peguam bela bahawa Rozman tidak diberi makan sebelum kenyataan itu diambil, Kamaruzaman menghujah bahawa sekiranya tertuduh diberi makan sebelum itu, maka akan timbul pula dakwaan bahawa pegawai polis berkenaan cuba memujuk Rozman.

''Jadi tidak ada keterangan bahawa tidak diberi makan dan minum membuatkan fikiran tertuduh berkecamuk sehingga mendorong dia memberi kenyataan itu tanpa sukarela,'' katanya.

Kamaruzaman juga berhujah bahawa keterangan Rozman yang mengatakan dia berada di tempat kejadian adalah untuk menenangkan fikirannya, adalah tidak munasabah.

Mengenai ketidakfahaman tertuduh ke atas makna amaran yang diberi sebelum kenyataan itu diambil, ini telahpun diterangkan oleh Gunalan kepada Rozman sebelum kenyataan itu direkodkan.

''Hujah saya, perkara ini tidak timbul kerana tertuduh seorang terpelajar, lebih-lebih lagi mengambil jurusan undang-undang,'' katanya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, sembilan lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengingkari perintah bersurai oleh Asisten Supritendan Nasarudin Zahari, antara pukul 8.35 dan 11 malam, 20 September 1998 ketika menghadiri satu perhimpunan haram.

Mereka ialah Mohd. Nor Abd. Aziz, 54, Rozman Mohd. Ariffin, 23, Nik Muhammad Najib Nik Jaafar, 24, Ramli Saari, 54, Mohd. Fazil Mohammad Said, 22, Zulaimi Shafii, 22, Mohd. Amin Ramly, 53, Mohd. Shahrizal Mamter, 24, dan Ruslan Hassan, 40.

ARKIB : 13/03/1999

Pembela batal hasrat panggil PM

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pihak pembela hari ini membatalkan hasrat untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama tiga menteri kabinet dan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Abdul Rahim Noor untuk menjadi saksi dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam mewakili Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, saksi-saksi itu tidak boleh dipanggil tanpa membuat kenyataan dan menandatangani dokumen seperti yang diperlukan dalam kes pembelaan.

Ketika Anwar diperintah membela diri, peguam belanya bercadang untuk memanggil Dr. Mahathir, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz serta Rahim Noor.

Raja Aziz berkata: ''Kami telah menemu soal Megat Junid dan mendapati beliau tidak dapat menyumbangkan apa-apa kerana mahkamah sudah pun memutuskan bahawa isu konspirasi politik tidak boleh ditimbulkan pada perbicaraan Anwar.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Mengapa kamu beritahu semua ini?''

Raja Aziz: ''Kami ingin memanggil PM tetapi beliau tidak bersedia untuk memberikan kenyataan kecuali diketahuinya apa tajuk persoalan yang hendak kami kemukakan.

''Selepas itu kami menghantar surat yang mengandungi soalan-soalan yang dicadangkan atas tajuk itu. Setiausahanya memaklumkan kepada kami bahawa PM tidak akan menurunkan tanda tangannya atas kenyataan yang disediakan itu.''

Hakim Augustine: ''Itu tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah. Saya rasa beliau betul. Mana-mana saksi tidak diwajibkan untuk memberi kenyataan yang bertandatangan.''

Raja Aziz: ''Pastinya bahawa prosedur kami untuk mendapatkan saksi memberi keterangan secara suka rela. Beliau telah mengatakan tidak akan menandatangan sebarang kenyataan yang diperlukan. Dengan demikian kami tidak berhasrat untuk memanggil PM tanpa dokumen yang ditandatanganinya. Oleh itu, kami tidak memanggil saksi-saksi ini.''

Sehubungan itu juga, Raja Aziz memaklumkan bahawa pihaknya menambahkan tiga saksi lagi dengan mengeluarkan sapina kepada Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau dan dua penolong pengarangnya untuk memberi keterangan mengenai satu rencana yang telah disiarkan oleh akhbar itu.

Semasa ditemui pemberita di luar mahkamah, Raja Aziz memberitahu bahawa mereka tidak akan memanggil Daim atas alasan yang serupa seperti Megat Junid dan Rahim pula enggan memberikan kenyataan yang bertandatangan.

Pada sidang sesi pagi ini, Hakim Augustine membenarkan permohonan peguam bela memanggil semula tiga saksi pendakwa terdiri daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang, bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus dan pegawai penyiasat kes itu, SAC 1 Musa Hassan.

Peguam Gurbachan Singh memberitahu bahawa mereka mahu memanggil semula Mohd. Said untuk menyoal beliau mengenai keterangan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali yang mengatakan ada perbualan di antara mereka berhubung satu laporan kedua.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 13/03/1999

Hanya RM1,500 duit pasar hilang - Azizah


WAN AZIZAH


KUALA LUMPUR 12 Mac - Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa hanya duit RM1,500 untuk kegunaan belanja pasar pernah hilang ketika beliau dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tinggal di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Beliau tidak bersetuju dengan soalan yang ditimbulkan oleh pihak pendakwa bahawa pernah berlaku kehilangan wang yang banyak daripada peti besi di kediaman rasmi itu.

Wan Azizah, 46, memberitahu demikian dalam keterangannya sebagai saksi pembela ke-21 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-71 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Pada pemeriksaan utama pihak pembela, peguam Gurbachan Singh menyoal: ''Datin Seri adakah isteri kepada Datuk Seri Anwar?''

Wan Azizah: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah pada satu masa Azizan Abu Bakar bekerja sebagai pemandu dengan Datuk Seri.''

Azizah: ''Ya, ada, pada satu ketika Azizan bekerja sebagai pemandu saya.''

Gurbachan: ''Datin Seri boleh ingat dari tahun mana hingga bila beliau bekerja sebagai pemandu?''

Wan Azizah: ''Saya tak ingat dengan pasti.''

Gurbachan: ''Boleh ingat lebih kurang?''

Wan Azizah: ''Saya ingat 1992 sampai 1995.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Katalah lebih kurang.''

Wan Azizah: ''Saya tak ingat.''

Gurbachan: ''Tak apa, pada masa Azizan bekerja sebagai pemandu untuk Datin Seri, siapakah pemandu untuk Datuk Seri Anwar?''

Wan Azizah: ''Abdullah Sani.''

Gurbachan: ''Adakah Abdullah Sani masih bekerja sebagai pemandu untuk Datin Seri dan keluarga sekarang?''

Wan Azizah: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Dalam pengetahuan Datin Seri, adakah Azizan memandu untuk Datuk Seri Anwar dan semua keluarganya?''

Wan Azizah: ''Hanya dua atau tiga kali Azizan memandu kami sekeluarga bersama suami saya.''

Gurbachan: ''Adakah pernah Azizan memandu Datuk Seri Anwar tanpa diikuti oleh keluarga?''

Wan Azizah: ''Tidak pernah, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Yang Arif, bolehkah saksi ini ditunjukkan dengan dokumen IDD123 (surat laporan kedua yang didakwa mengandungi nama-nama menteri dan tokoh korporat yang dikatakan berkonspirasi untuk menjatuhkan Anwar).''

Hakim Augustine: ''Soalannya.''

Gurbachan: ''Ya, adakah Datin Seri pernah nampak surat ini?''

Wan Azizah: ''Pernah, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu Yang Arif, bilakah pertama kali Datin Seri nampak surat ini?''

Wan Azizah: ''Awal bulan September 1997.''

Gurbachan: ''Siapa yang tunjukkan surat ini kepada Datin Seri?''

Wan Azizah: ''Suami saya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Apabila suami Datin Seri tunjuk surat ini, adakah Datin Seri baca kandungannya?''

Wan Azizah: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah Datin Seri pasti bahawa inilah surat yang Datuk Seri beri pada Datin Seri.''

Wan Azizah: ''Saya pasti.''

Gurbachan: ''Setelah diberi kepada Datin Seri, apakah Datin Seri buat dengan surat ini?''

Wan Azizah: ''Saya menyimpannya dalam almari.''

Gurbachan: ''Sehingga bilakah surat ini disimpan dalam almari?''

Wan Azizah: ''Sehingga kami terpaksa berpindah dan surat-surat dipindahkan di dalam kotak dan disimpan di tempat berasingan, sebab tergesa-gesa untuk berpindah.''

Gurbachan: ''Masa surat ini disimpan oleh Datin Seri di dalam almari, di manakah Datin Seri dan keluarga tinggal?''

Wan Azizah: ''Di rumah kediaman rasmi TPM di No. 47, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.''

Gurbachan: ''Bilakah Datin Seri dan keluarga pindah?''

Wan Azizah: ''3 September 1998.''

Gurbachan: ''Dan Datin Seri dan keluarga berpindah ke mana?''

Wan Azizah: ''Pindah ke rumah No. 8, Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara.''

Gurbachan: ''Datin Seri kata telah simpan daripada almari ke dalam kotak-kotak, di manakah kotak itu disimpan?''

Wan Azizah: ''Di rumah saudara mara.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu mahkamah bilakah surat ini Datin Seri nampak semula?''

Wan Azizah: ''Saya mencari surat ini selepas rumah kami digeledah polis pada 21 September 1998, pukul 1 hingga 6 pagi. Saya terpaksa mencari surat ini dalam kotak-kotak yang disimpan di rumah saudara.''

Gurbachan: ''Kemudian bilakah Datin Seri berjaya mendapat balik surat ini?''

Wan Azizah: ''Lebih kurang sebulan lalu.''

Gurbachan: ''Dan dari mana Datin Seri dapat surat ini?''

Wan Azizah: ''Daripada salah satu kotak yang tersimpan di rumah saudara.''

Gurbachan: ''Adakah Datin Seri pasti bahawa surat yang Datin Seri dapati lebih kurang sebulan lalu adalah surat yang sama yang diberi oleh Datuk Seri Anwar pada awal bulan September 1997.''

Wan Azizah: ''Ya.''

Gurbachan: ''Setelah surat ini didapati sebulan lalu, pada siapakah Datin Seri berikan?''

Wan Azizah: ''Yang Arif, saya berikan kepada peguam.''

Gurbachan: ''Adakah pada satu ketika wang didapati hilang di rumah rasmi Datin Seri?''

Wan Azizah: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu berapakah wang yang didapati hilang?''

Wan Azizah: ''Lebih kurang RM1,500.''

Gurbachan: ''Datin Seri, untuk kegunaan apakah RM1,500 itu disimpan?''

Wan Azizah: ''Untuk ke pasar.''

Gurbachan: ''Adakah pada bila-bila masa pun wang sebanyak RM4 juta disimpan di rumah rasmi dan didapati hilang?''

Wan Azizah: ''Tidak, Yang Arif.''

Selepas itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membuat pemeriksaan balas dengan menyoal: ''Datin Seri, selain daripada RM1,500 yang kamu kata hilang ini, adakah wang lain hilang dari rumah rasmi TPM?''

Wan Azizah: ''Tidak ada.''

Gani: ''Datin Seri, wang kamu RM1,500 yang hilang ini disimpan di mana?''

Wan Azizah: ''Di dalam office di kediaman rasmi.''

Gani: ''Office itu, salah sebuah bilik di rumah rasmi kamu. Adakah bilik itu dipanggil bilik perpustakaan?''

Wan azizah: ''Tidak, bilik ini bersebelahan dengan bilik yang dipanggil perpustakaan.''

Gani: ''Di manakah Datin Seri simpan RM1,500 di bilik office rumah rasmi?''

Wan Azizah: ''Kalau tak silap, dalam laci, Yang Arif.''

Gani: ''Laci ini berkunci atau tidak?''

Wan Azizah: ''Tidak.''

Gani: ''Duit RM1,500 ini, adakah Datin Seri punya? Saya ulang soalan, adakah duit RM1,500 ini diberi oleh Datuk Seri kepada Datin Seri untuk kegunaan perbelanjaan pasar?''

Wan Azizah: ''Ya, sebahagian daripada wang belanja yang diberikan oleh suami saya.''

Gani: ''Datin Seri tahu atau tidak terdapat satu kehilangan wang kepunyaan Datuk Seri Anwar yang disimpan di dalam peti besi di kediaman rasmi itu?''

Wan Azizah: ''Yang saya tahu suami saya ingin meneliti tentang sekuriti (kawalan) rumah rasmi.''

Gani: ''Datin Seri, soalan saya tadi, tahu atau tidak terdapat kehilangan wang yang tersimpan di dalam peti besi rumah rasmi?''

Wan Azizah: ''Yang saya tahu tidak ada kehilangan wang kepunyaan suami saya.''

Gani: ''Datin Seri tahu atau tidak, ada pegawai SB (Cawangan Khas) yang datang ke kediaman rasmi itu untuk menyiasat kehilangan duit yang berjumlah besar.''

Wan Azizah: ''Yang saya tahu mereka menyiasat tentang sekuriti rumah rasmi itu.''

Gani: ''Berkenaan kehilangan tahu atau tidak?''

Wan Azizah: ''Tidak.''

Gani: ''Datin Seri boleh ingat atau tidak pegawai SB yang datang ke kediaman rasmi TPM?''

Wan Azizah: ''Yang saya ingat Datuk Said Awang (bekas Pengarah SB) dan Datuk Amir Junus (bekas Timbalan Pengarah SB) dan yang lain saya tak ingat.''

Gani: ''Saya mengatakan kepada Datin Seri bahawa ada kehilangan wang berjumlah besar di dalam peti besi kepunyaan Datuk Seri Anwar.''

Wan Azizah: ''Saya tak setuju, Yang Arif.''

Gani: ''Datin Seri, ada atau tidak pegawai-pegawai SB menemubual orang-orang di rumah kamu?''

Wan Azizah: ''Ada, Yang Arif.''

Gani: ''Adakah pegawai-pegawai SB ini datang sekali atau banyak kali untuk menemubual dengan penghuni-penghuni di rumah Datin Seri?''

Wan Azizah: ''Dua atau tiga kali , Yang Arif, disebabkan ramai yang masuk dan keluar kediaman rasmi memperbaiki kebocoran bumbung, alat hawa dingin, kawalan serangga, jadi mereka runsing dengan sekuriti rumah rasmi.''

Gani: ''Datin Seri, saya mengatakan bahawa pegawai-pegawai SB ini datang ke rumah rasmi TPM dengan tujuan untuk menyiasat kehilangan wang yang berjumlah besar di kediaman itu.''

Wan Azizah: ''Yang Arif, saya tak setuju.''

Gani: ''Ingatkah tahun berapa Azizan bekerja sebagai pemandu Datin Seri.''

Wan Azizah: ''Yang Arif, saya kurang pasti sebab Azizan bekerja beberapa tahun, berhenti dan bekerja kembali dengan saya beberapa bulan.''

Gani: ''Saya mengatakan bahawa Azizan berhenti sebagai pemandu Datin Seri daripada bulan September tahun 1992 sehingga sekarang.''

Wan Azizah: ''Yang Arif, yang saya ingat Azizan berhenti untuk mengambil kerja sebagai pemandu di syarikat swasta di mana gajinya lebih lumayan dan mendapat kemudahan hospital swasta.''

Gani: Di antara bulan September 1992 sehingga sekarang adakah Azizan berkhidmat dengan Datin Seri sebagai pemandu?''

Peguam bela Anwar, Christopher Ferando segera membantah dengan alasan soalan seperti itu adalah menyimpang.

Hakim Augustine: ''Bagaimana?''

Fernando: ''Azizan sendiri mengaku beliau tidak lagi bekerja di sana (rumah Anwar).''

Hakim Augustine: ''Kamu anggap perkara ini tidak boleh ditanya. Kamu boleh berhujah kemudian.''

Wan Azizah: ''Ulangkan soalan.''

Selepas Gani mengulangkan soalan, Wan Azizan menjawab: ''Azizan kembali kerja sekejap semasa suami saya menjadi TPM dan beliau berhenti begitu sahaja.''

Gani: ''Soalan saya tadi di antara 1992 sehingga sekarang.''

Wan Azizah: ''Tak ingat.''

Gani: ''Datin Seri, saya mengatakan bahawa Azizan pernah memandu kereta untuk Datuk Seri Anwar.''

Wan Azizah: ''Ada bersama saya dan keluarga, Yang Arif.''

Gani: ''Saya mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar banyak kali menggunakan Azizan sebagai pemandu terutamanya pada masa lepas waktu pejabat dan semasa cuti.''

Wan Azizah: ''Kalau Azizan memandu, kami ada sekeluarga.''

Gani: ''Saya mengatakan bahawa jika Datin Seri dan keluarga tidak bersama dengan Datuk Seri Anwar di dalam kereta yang dipandu oleh Azizan, Datin Seri tidak akan tahu.''

Wan Azizah: ''Saya faham soalan. Selalunya, suami saya keluar dipandu oleh Sani. Dengan keluarga biasanya, suami saya memandu sendiri dengan saya bersama anak-anak. Dan Azizan membawa pembantu rumah.''

Gani: ''Saya mengalih soalan lain. Saya merujuk dokumen IDD123 surat bertarikh 3 September 1997. Sila lihat betul-betul, ada perkataan ditulis 'Rahsia/Persendirian' terletak dan tertulis di setiap muka surat itu.''

Wan Azizah: ''Betul.''

Gani: ''Pada awal September 1997, adakah Datin Seri sebagai surirumah?''

Wan Azizah: ''Ya.''

Gani: ''Pada awal tadi Datin Seri mengatakan bahawa Datin Seri menyimpan dokumen ini.''

Wan Azizah: ''Betul, Yang Arif.''

Gani: ''Soalan saya, surat ini 'rahsia' Kenapakah Datin Seri menyimpan IDD123 ini?''

Wan Azizah: ''Saya diamanahkan suami saya untuk menyimpan surat ini.''

Gani: ''Datin Seri, jika IDD123 benar-benar satu surat rasmi kerajaan dan rahsia macam manakah Datin Seri boleh diamanahkan oleh Datuk Seri Anwar untuk menyimpannya?''

Gurbachan membantah soalan tersebut dengan dua alasan.

''Pertamanya, soalan ini tak relevan langsung dan kedua, ia spekulasi kerana hanya Anwar sahaja yang boleh menjawab soalan itu. Ia bukan fakta tetapi suatu pandangan,'' hujah Gurbachan.

Hakim Augustine: ''Beliau boleh berikan jawapannya.''

Wan Azizah lalu menjawab: ''Suami saya suruh simpan, saya simpan.'' Para hadirin di galeri awam tergelak.

Gani: ''Adakah Datin Seri seorang doktor?''

Wan Azizah: ''Saya berkelulusan sebagai seorang doktor.''

Gani: ''Datin Seri pernah berkhidmat dengan kerajaan Malaysia?''

Wan Azizah: ''Ya, Yang Arif, saya berkhidmat untuk membayar balik biasiswa.''

Gani: ''Berapa tahunkah Datin Seri berkhidmat untuk bayar balik biasiswa?''

Wan Azizah: ''14 1/2 tahun.''

Gani: ''Sebagai seorang yang pernah kerja atau berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, sudah tentu Datin Seri maklum tentang rahsia-rahsia kerajaan atau pun dokumen rahsia, betul?''

Fernando membantah cara soalan itu ditimbulkan.

Hakim Augustine: ''Saya rasa tidak ada apa salahnya dengan soalan itu. Bukankah pada awalnya beliau telah berikan jawapan. Beliau sudah menjawab dan itu mencukupi. Jawapannya agak munasabah (mengenai kenapakah Anwar memberikan isterinya menyimpan dokumen IDD123). Orang yang menerima dokumen juga tertakluk dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA).''

''Saya tidak mempersoalkannya.'' kata Gani lalu menamatkan pemeriksaan balas terhadap Wan Azizah.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

------------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 16/03/1999

Saksi tidak relevan ditolak


JAMAL AMR0... pemilik limosin di Washington yang diberi kontrak sejak 1981 untuk membawa menteri-menteri kabinet Malaysia.


KUALA LUMPUR 15 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan keterangan saksi-saksinya yang dianggap relevan berhubung isu konspirasi polis pada peringkat pembelaannya kerana gagal memenuhi peruntukan yang ditetapkan dalam undang-undang.

Dalam kes pembelaan, Anwar bercadang untuk mengemukakan keterangan saksi-saksi terdiri daripada peguam Manjeet Singh Dhillon; adik angkatnya, Sukma Darmawan; penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees; Datuk S. Nallakaruppan dan pereka fesyen, Mior Abdul Razak.

Selain itu, dia juga ingin mengemukakan sebahagian keterangan yang dikatakan relevan yang telah diberikan oleh bekas setiausaha sulitnya, Mohd. Azmin Ali.

Hakim Datuk S. Augustine Paul ketika menyampaikan keputusannya secara lisan petang ini berkata semua keterangan yang dibentangkan oleh pihak pembela tidak boleh diterima kerana gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 11 dan Seksyen 15 Akta Keterangan.

Seksyen 11 memperuntukkan bila fakta-fakta yang selainnya tidak relevan menjadi relevan.

Permohonan tertuduh juga, kata Hakim Augustine, tidak memenuhi peruntukan Seksyen 15 akta tersebut yang menjelaskan bahawa apabila ada suatu soal sama ada suatu perbuatan telah dilakukan dengan tak sengaja atau dengan sengaja atau dilakukan dengan pengetahuan atau niat tertentu, maka fakta bahawa perbuatan itu menjadi sebahagian daripada siri kejadian-kejadian yang serupa dan tiap-tiap kejadian itu melibatkan orang yang melakukan perbuatan itu, adalah relevan.

Anwar, 51, merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Hakim Augustine memutuskan demikian pada perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-72 hari ini.

Berhubung keputusan sama ada saksi-saksi yang ingin dipanggil itu relevan atau sebaliknya, Hakim Augustine berkata, ringkasan mengenai fakta yang dibentangkan oleh peguam bela mengenai mereka (saksi) boleh disiarkan.

Hakim Augustine: ''Keputusan saya ini adalah berkaitan beberapa aspek hujah tertentu yang dikemukakan di hadapan saya. Saya rasa ia perlu kembali kepada prinsip asas. Akta Keterangan 1950 bertujuan mengetatkan atau mengehadkan sesuatu keterangan yang mungkin diterima pada satu-satu perbicaraan. Jika tidak, maka sesuatu pihak akan cuba menimbulkan semua keterangan yang difikirkan relevan. Jika cara demikian diamalkan dalam satu-satu kes, ia akan membawa pelbagai dimensi yang berbeza dan ini bermakna isu sebenarnya yang terlibat akan hilang.''

''Inilah sebabnya mengapa satu daripada seksyen-seksyen yang prinsip dipertimbangkan mengikut Seksyen 5 Akta Keterangan 1950 yang menyebut bahawa keterangan boleh diberi dalam mana-mana guaman atau prosiding mengenai wujud atau tidak wujudnya tiap-tiap fakta isu dan mengenai apa-apa fakta lain yang ditetapkan kemudian daripada ini sebagai relevan, dan tidak mengenai mana-mana fakta lain.''

Hakim Augustine juga membaca peruntukan Seksyen 136 (1) Akta Keterangan iaitu, apabila salah satu pihak bercadang memberi keterangan mengenai sesuatu fakta, mahkamah bolehlah bertanya kepada pihak yang bercadang hendak memberi keterangan itu bagaimana fakta yang dikatakan itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan; dan mahkamah hendaklah menerima keterangan itu jika difikirkannya bahawa fakta itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan, dan tidak selainnya.

Beliau juga merujuk komentari dalam buku perundangan Sarkar mengenai Seksyen 136 yang mempersoalkan penerimaan keterangan adalah persoalan undang-undang dan ditentukan oleh hakim.

Menurut Hakim Augustine, hakim berkewajipan menerima semua keterangan yang relevan dan menolak keterangan tidak relevan.

Petikan daripada buku itu mengenai Seksyen 5 menyebut bahawa satu-satu pihak prosiding dibenarkan memberi keterangan yang relevan sahaja.

Hakim Augustine: ''Prosiding ini tidak sepatutnya dianggap luar biasa atau yang tidak pernah didengar sebelum ini.

''Ia adalah peruntukan yang telah diberikan dalam undang-undang dan tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah. Dengan itu, untuk menghujah bahawa keterangan yang dicadangkan itu jika tidak diterima akan menjejaskan pihak pembela, pada pendapat saya, ia bukanlah sama sekali menidakkan hak pembelaan.''

Beliau menegaskan lagi, satu daripada prinsip am undang-undang yang lain ialah mahkamah harus meneliti bahawa keterangan yang diterima itu adalah keterangan yang ada hubung kait secara langsung dengan fakta dan isu.

Hakim Augustine membaca petikan kes GS-Philip dari Mahkamah Inggeris (England).

Ia menyebut mengenai satu kes seorang lelaki yang didakwa melakukan sumbang muhrim dengan anak gadisnya.

Menurut si bapa, anaknya itu telah diajar oleh si ibu untuk membuat keterangan terhadapnya dan Mahkamah Inggeris mengatakan ini adalah salah.

Dalam kes Philip ini, jelas Hakim Augustine, keterangan si ibu yang mengajar anaknya itu tidak boleh diterima pakai. Namun keterangan itu bukanlah muktamad kerana ia relevan dengan fakta dan isu.

Hakim Augustine: ''Dalam kes kita ini, kita mendapati ada beberapa pengakuan. Keputusan ini dibuat atas andaian bahawa keterangan yang dicadangkan itu adalah benar. Jika ia didapati benar, saya katakanlah ia benar. Keterangan yang dicadangkan daripada saksi-saksi ini tiada apa-apa kaitan dengan kes ini. Ia sesuatu yang bebas. Dan itu bukanlah bermakna keterangan sedemikian tidak boleh diterima pakai. Berdasarkan Seksyen 5, ia boleh diterima jika dikemukakan berdasarkan peruntukan salah satu seksyen lain dalam Akta Keterangan 1950.''

''Pertamanya, saya teliti di bawah Seksyen 15. Satu daripada prinsip penting yang harus diperhatikan sebelum menerima fakta keterangan yang serupa, ia mestilah menonjolkan kesamaan antara fakta-fakta kes ini dan fakta yang ingin dikemukakan itu,'' kata beliau.

Hakim Augustine memetik satu kes di Afrika Selatan, R lwn Lesotho. Mahkamah negara itu memutuskan bahawa ia ada hubung kait antara fakta kes R lwn Bond yang mana fakta dakwaannya dan fakta keterangan adalah serupa.

Beliau menerangkan bahawa dalam kes ini, andainya ada pengakuan yang diberikan oleh tertuduh dan beliau dikatakan mengalami bermacam bentuk penyiksaan seperti yang didakwa oleh seorang yang lain.

''Apa yang dipandang bahawa ia tiada kaitan antara keterangan yang ingin dikemukakan dan keterangan dalam kes ini,'' kata Hakim Augustine.

Beliau menegaskan lagi bahawa ia mesti mempunyai hubung kait untuk membuktikan fakta yang serupa bagi siri-siri kes berkenaan.

''Dengan itu, dia (Anwar) gagal untuk mengemukakan keterangan yang dicadangkannya bagi diterima pakai di bawah Seksyen 15 Akta Keterangan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden ketika menghujah balas membantah cadangan pihak pembela mengatakan bahawa ia tidak ada kaitan dengan pertuduhan terhadap Anwar di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Menurut Mohd. Yusof, ia merupakan isu sampingan dan jika ingin dikemukakan di bawah Seksyen 15 Akta Keterangan maka fakta dan isu mestilah berhubung kait antara satu sama lain.

Terdahulunya, peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah dalam hujahnya berkata, mahkamah harus mempertimbangkan keterangan saksi-saksi yang ingin dikemukakan bagi menunjukkan pendakwa membuat bukti rekaan terhadap tertuduh.

Sulaiman berkata, kejadian pada Ogos 1997 ditimbulkan oleh beberapa pegawai atasan untuk menggunakan Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali membuat dakwaan perihal salah laku seks dan meliwat oleh tertuduh.

Keterangan lima orang saksi ini, menurut Sulaiman akan menceritakan apa sebenarnya yang berlaku ke atas mereka sebelum tuduhan dibuat terhadap Anwar.

Pada sesi perbicaraan pagi ini, seorang lagi peguam bela Anwar, Christopher Fernando memberitahu bahawa pembela ingin memanggil seorang bernama Jamal Amro dari Amerika Syarikat untuk memberi keterangan sebagai saksi pembela.

Fernando berkata, Jamal, merupakan pemilik syarikat perkhidmatan limosin di Washington D.C. yang diberikan kontrak sejak 1981 untuk membawa menteri-menteri kabinet, duta-duta dan orang kenamaan Malaysia ketika melawat Washington dan malah ke tempat-tempat lain di Amerika Syarikat.

Menurutnya, saksi ini akan memberi keterangan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai kedutaan negara ini yang datang ke New York.

Fernando: ''Semasa dalam perjalanan, pegawai kedutaan ini cuba memujuk Jamal untuk merekakan bukti terhadap Anwar bagi bayaran yang lumayan. Beliau akan memberi keterangan bahawa beliau enggan terlibat dalam pakatan itu. Lepas itu, beliau menemui duta Malaysia dan membuat aduan mengenai tingkah laku pegawai berkenaan.''

''Beliau juga akan beri keterangan seterusnya bahawa duta Malaysia di Amerika Syarikat meminta maaf kepadanya secara peribadi tentang apa yang telah berlaku dan duta tersebut juga mengelakkan diri daripada terbabit. Duta itu mengatakan bahawa beliau tidak ada kena mengena malah mengatakan, biarlah saya petik kata-katanya, 'Kami malu, jika kamu jumpa dia, tempelengkan dia','' kata Fernando.

Fernando memberitahu lagi bahawa Jamal sendiri pernah membawa beberapa orang menteri kabinet termasuk Datuk Seri Anwar ketika dia melawat Amerika Syarikat.

''Beliau akan beri keterangan bahawa beliau mengatakan kepada pegawai kedutaan itu, 'Kamu sudah gila untuk menyuruh saya mengaku melakukan hubungan seksual dengan Anwar'. Beliau beritahu pegawai kedutaan ini bahawa Anwar seorang yang sungguh warak. Beliau mengatakan bahawa beliau tidak akan mengatakan apa-apa mengenai hal ini,'' kata Fernando lagi.

Hakim Augustine memberi keputusannya bahawa keterangan itu tidak relevan walaupun beliau mengatakan keterangannya itu di kandang saksi.

Sebelum itu, Hakim Augustine memutuskan bahawa cadangan pembela untuk memanggil Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau dan dua penolong pengarangnya juga tidak relevan.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 16/03/1999

3 saksi pendakwa dipanggil semula

KUALA LUMPUR 15 Mac - Tiga saksi pendakwa dalam perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil semula untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada peringkat pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketiga-tiga saksi itu, bekas pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang; bekas Timbalannya, Datuk Amir Junus dan pegawai penyiasat kes itu, SAC 1, Musa Hassan.

Mereka dipanggil semula pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-72 hari ini.

Pada sesi pagi ini, peguam bela Anwar, Christopher Fernando memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa pihaknya ingin memanggil Musa dahulu.

Ketika mengendalikan pemeriksaan semula, Fernando menyoal: ''Adakah kamu membawa afidavit berhubung beberapa dakwaan yang kamu buat terhadap Anwar?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, saya ada bawa afidavit itu.''

Fernando: ''Bilakah afidavit itu difailkan?''

Musa: ''Afidavit ini telah difailkan pada 2 September 1998.''

Fernando: ''Adakah ia dibuat sebelum atau selepas Anwar didakwa di mahkamah?''

Musa: ''Sebelum, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah kamu membawa afidavit itu?''

Musa lalu menyerahkan salinan afidavitnya kepada peguam bela.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: ''Sebelum afidavit ini diterima bolehkah saya meminta penjelasan di bawah peruntukkan manakah dalam undang-undang yang membolehkan pihak pembela kemukakan dokumen ini. Saya ingin merujuk seksyen 2 Akta Keterangan.

Hakim Augustine: ''Ia bukanlah ada unsur keterangan dengar cakap. Saya benarkan dokumen ini ditanda D135.''

Gani selepas itu memberi tahu beliau tidak ada soalan.

Peguam bela Anwar, Gurbachan Singh pula memanggil Mohd. Said.

Gurbachan: ''Bolehkah saksi ini ditunjukkan dengan dokumen IDD123 (laporan kedua yang didakwa mengandung nama-nama orang yang berkonspirasi untuk menjatuhkan Anwar) Adakah kamu bersetuju ini adalah laporan SB (Cawangan Khas).''

Mohd. Said: ''Ia nampak seperti laporan SB.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa laporan SB nampak seperti ini?''

Mohd. Said: ''Saya tidak pasti. Ia nampak serupa itu. Tetapi saya tidak begitu pasti.''

Gurbachan: ''Biar kita tengok dokumen D25. Adakah kamu bersetuju bahawa ia mengandungi perkataan 'Rahsia/Persendirian' yang tertera atasnya?''

Mohd. Said: ''Ya, saya setuju.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa perkataan yang sama 'Rahsia/Persendirian' tertera atas IDD123?''

Mohd. Said: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju laporan SB tertulis 'Rahsia/Persendirian'?''

Mohd. Said: ''Bukan semua, hanya yang sulit.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju atau tidak pasti secara positif kerana ia berlaku sudah agak lama pada Ogos 1997, betul?''

Mohd. Said: ''Saya tidak pasti.''

Gurbachan: ''Dokumen IDD123. Soalan saya, ia nampak serupa dengan laporan SB tetapi kamu kata tidak pasti. Adakah kamu tidak pasti kerana masanya sudah agak lama pada Ogos 1997 hingga sekarang Mac 1999?''

Mohd. Said: ''Saya tidak pasti, Yang Arif kerana terdapat beberapa perkara yang tidak ada di dokumen IDD123 itu, contohnya, fail rujukan. Ia tidak ada fail rujukan dan tidak ditandatangani, Yang Arif. Ia tidak seperti dokumen D25.''

Gurbachan: ''Adakah itu sahaja sebabnya?''

Mohd. Said: ''Ya, inilah sebabnya.''

Gurbachan: ''Datuk, adakah kamu bersetuju bahawa kadang kala SB memang tidak menandatanganinya?''

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif, saya setuju jika ia tidak bertandatangan ia mestilah ada surat lampiran yang ditandatangan.''

Gurbachan: ''Surat lampiran itu pasti ada alamat seseorang yang mana laporan yang tidak bertandatangan itu diberikan.''

Mohd. Said: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah mungkin Datuk, jika salinan laporan IDD123 diberikan kepada seseorang yang lain bukan kepada orang yang dialamatkan dan ia tidak akan ada surat lampiran.''

Gani membantah atas alasan bahawa jawapan sudah pun diberikan.

Hakim Augustine menyampuk: ''Sekarang beliau sedang memastikan bahawa ia diberikan oleh orang lain.''

Mohd. Said: ''Biasanya, dalam perkara ini yang mana sesuatu yang mengandungi rahsia ia mestilah ada surat lampiran walaupun dalam kes sedemikian.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa surat lampiran dalam keadaan begini jika surat tersebut ditunjukkan salinannya kepada orang lain.''

Mohd. Said: ''Saya tidak dapat memahaminya.''

Hakim Augustine: ''Saya pun tidak faham.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Gurbachan memperjelaskan soalannya.

Mohd. Said: ''Dalam surat yang amat sulit ia disertai dengan surat lampiran.''

Gurbachan: ''Adakah kamu sudah baca kandungan IDD123?''

Mohd. Said: ''Saya melihatnya sepintas lalu.''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu membacanya sendirian.''

Hakim Augustine: ''Berapakah muka suratnya?''

Gurbachan: ''Empat muka surat.''

Mohd. Said mengambil masa kira-kira 60 saat untuk membaca dokumen IDD123.

Hakim Augustine: ''Sudah selesai?''

Mohd. Said: ''Saya membacanya dengan cepat.''

Gurbachan: ''Adakah kamu pernah membaca kandungan surat itu?''

Mohd. Said: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah kandungan IDD123 sambungan daripada D25?''

Mohd. Said: ''Ia nampaknya seperti itu?''

Gurbachan: ''Selepas membaca IDD123 dan D25 adakah kamu bersetuju kedua-dua kandungan itu adalah hubungan dengan penyiasatan SB?''

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif, ia nampak begitulah.''

Gurbachan: ''Datuk, sesetengah nama yang disebutkan dalam IDD123 juga terdapat dalam D25.''

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Jika dibandingkan dengan D25 dan IDD123, adakah kamu bersetuju bahawa perkataan 'Rahsia dan Persendirian' ditulis pada setiap bahagian kanan atas dan bawah semua muka surat dalam kedua-dua laporan?''

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa IDD123 itu diserahkan kepada Datuk Seri Anwar kerana ia melibatkannya?''

Gani membantah soalan itu.

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa kamu tidak begitu pasti mengenai apa sebenarnya berlaku pada Ogos 1997?''

Mohd. Said: ''Saya bersetuju bahawa perkara rutin saya tidak boleh ingat dengan jelas seperti yang disoal oleh peguam bela.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada 11 Ogos 1997, kamu bertemu dengan Anwar melalui bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali?''

Mohd. Said: ''Saya tidak bersetuju. Saya tidak bertemu dengan Azmin pada 11 Ogos 1997 dan oleh itu soalan ini tidak timbul.''

Fernando memanggil pula Amir Junus lalu menyoal: ''Adakah kamu menelefon ASP Zull Aznam beberapa kali?''

Hakim Augustine menegur: ''Adakah soalan ini sebahagian daripada sebab untuk memanggil semula beliau dan menyoal mengenai Zull Aznam dan bukannya berkenaan keterangan Azmin yang mengatakan beliau ingin berjumpa Anwar untuk merasmikan Heart Scan Centre.''

Fernando mengubah soalannya: ''Pada 18 Ogos 1997, adakah kamu menelefon Zull Aznam untuk menghubungi Datuk Seri Anwar?''

Amir: ''Yang Arif, bukan pada 18 Ogos, tetapi pada 17 Ogos 1997, lebih kurang pukul 11.15 malam.''

Fernando: ''Adakah kamu menghubungi Azmin beberapa kali untuk memujuk Anwar merasmikan Heart Scan Centre.''

Amir: ''Saya bukan menghubungi Azmin.''

Fernando: ''Adakah kamu menafikan?''

Amir: ''Saya tidak menghubungi Azmin tetapi pemilik Heart Scan Centre, Johnny Tan Teck Sin telah memberi surat kepada Zull Aznam dan bukan kepada Azmin. Perbicaraan bersambung pada 23 Mac ini.

ARKIB : 16/03/1999

Pembela tutup kes penggulungan hujah 23 Mac

KUALA LUMPUR 15 Mac - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa pihak pembela menutup kesnya hari ini dan penggulungan hujah ditetapkan pada 23 Mac ini.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memohon penghujahan dibuat pada hari tersebut selepas memanggil 22 orang saksi pembela pagi ini dan juga memanggil semula tiga saksi pendakwa.

Bagaimanapun, menurut Gurbachan, beliau masih mempunyai seorang lagi saksi biasa, seorang wartawan dari The Sun, Ian McIntyre untuk mengesahkan laporannya mengenai satu sidang akhbar bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor di Pulau Pinang pada September 1997.

Hakim Datuk S. Augustine Paul membenarkan permohonan pihak pembela yang memerlukan masa untuk menyediakan penghujahan mereka.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bersetuju dengan tarikh penggulungan hujah itu.

Di samping itu juga, Hakim Augustine membenarkan peguam bela Anwar mendapatkan nota-nota prosiding kes itu dari mahkamah untuk memudahkan menyediakan penghujahan.

Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu masuk hari ke-72 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus telah diminta oleh Anwar mendapatkan Ummi Hafilda Ali yang menulis sepucuk surat perihal salah laku dirinya kepada Perdana Menteri dan kenyataan bertulis Azizan Abu bakar untuk menafikan dakwaan liwat yang terkandung dalam 'pengakuan bersumpahnya' yang bertarikh 5 ogos 1997.

Tuduhan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970, sekiranya terbukti boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda sehingga RM20,000.

-------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 17/03/1999

Anwar failkan usul lucut S. Augustine kendalikan perbicaraan

KUALA LUMPUR 16 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan satu notis usul untuk melucutkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk S. Augustine Paul daripada terus mengendalikan perbicaraan atas empat tuduhan yang sedang dihadapinya.

Anwar, 51, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengemukakan notis usul dengan sokongan afidavit setebal 21 muka surat.

Dokumen itu difailkan melalui peguam belanya, Raja Aziz Addruse di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini petang semalam.

Pada peringkat perbicaraannya yang masuk hari ke-72 semalam, seorang daripada peguamnya, Gurbachan Singh memaklumkan kepada Hakim Augustine bahawa pihak pembela menutup kesnya dan tarikh penggulungan hujah ditetapkan pada 23 Mac ini.

Anwar menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalahgunakan kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Menurut notis usulnya, Anwar sebagai pemohon menamakan pendakwa raya selaku pihak responden.

Dia memohon supaya usul itu didengar secepat mungkin untuk mendapatkan perintah bahawa Hakim Augustine tidak patut mendengar dan membicarakan isu-isu dan perkara-perkara di dalam perbicaraan tersebut.

Anwar juga memohon perintah agar Hakim Augustine dilucutkan kelayakannya untuk mendengar dan membicarakan kesnya.

Menurut afidavitnya, Anwar memberikan alasan antara lain:

* Hakim Augustine telah dengan jelas membuat suatu prapenghakiman mengenai isu-isu.

* Mengecualikan peguamnya daripada mengemukakan kes dengan sepenuhnya.

* Memusnahkan keterangan yang menyebelahinya.

* Menggunakan standard berlainan kepada pihak pendakwa dan pembela mengenai penerimaan keterangan.

Anwar mendakwa bahawa semasa dalam perbicaraan kesnya, Hakim Augustine telah kerap kali mencelah pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas saksi-saksi seolah-olah hakim berkenaan mengambil peranan sebagai pendakwa raya.

Memandangkan kesemua keadaan itu, dan keputusan Hakim Augustine (termasuk menolak permohonannya untuk jaminan), Anwar mengatakan bahawa dia khuatir hakim berkenaan tidak mempunyai minda yang berkecuali kepada isu-isu dan perkara-perkara dalam perbicaraan.

Menurut Anwar, dia tidak percaya bahawa dia telah diberi satu perbicaraan yang adil.

ARKIB : 23/03/1999

Keputusan kes Anwar 6 April

KUALA LUMPUR 23 Mac - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 April ini untuk mengumumkan keputusannya dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk S. Augustine Paul membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan enggan membuat penghujahan.

Sebelum itu, Paul meminta Anwar untuk mengemukakan penghujahan bertulis tiga hari sebelum keputusan diumumkan.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan untuk campur tangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan yang beliau terlibat dalam salah laku seks.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 2(1) Ordinan Darurat No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) 1970 yang membawa hukuman penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan memasuki hari ke 73 hari ini.

Peguam utama Anwar, Raja Aziz Addruse sebelum itu enggan membuat penghujahan setelah mahkamah menolak permintaannya untuk menangguhkan perbicaraan kerana permohonan pihak pembelaan untuk melucutkan kelayakan Paul mendengar kes itu, perlu diselesaikan dahulu.

Raja Aziz berkata berdasarkan bentuk permohonan mereka, pihak pembelaan berpendapat tidak wajar perbicaraan diteruskan sehingga permohonan berkenaan diselesaikan.

''Bagi kami, untuk terus (mengemukakan penghujahan) dalam keadaan ini, tidak selari dengan tujuan permohonan yang dibuat. Kami sekali lagi memohon kepada Yang Arif supaya menimbang sebaik-baiknya permintaan yang kami buat sebelum ini supaya permohonan itu diselesaikan dahulu,'' katanya.

Raja Aziz berkata berdasarkan keadaan sedemikian, pihak pembelaan tidak akan membuat penghujahan atau memanggil saksi terakhir jika mahkamah membuat keputusan untuk meneruskan perbicaraan.

Katanya beliau cuba mendapatkan maklumat mengenai perkembangan permohonan itu daripada pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi dan diberitahu bahawa usul itu belum dikeluarkan kepada mereka.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan, membantah dengan alasan permohonan itu tidak wajar dan meminta mahkamah menolak permintaan pembelaan supaya perbicaraan ditangguhkan.

Sambil mengesahkan bahawa pejabatnya tidak menerima sebarang dokumen mengenai permohonan itu, beliau berkata permohonan itu bukan saja tidak sopan malah berunsur menghina mahkamah.

''Satu-satunya maklumat yang kami ada mengenai apa yang disebut sebagai permohonan ini ialah menerusi akhbar dan internet. Malahan, kami perolehi daripada internet apa yang kelihatan seperti 'notis usul' berhubung permohonan yang dikatakan itu. Itulah saja yang kami tahu mengenai permohonan ini.

''Dukacita saya katakan bahawa peguam utama atau mana-mana anggota pihak pembelaan tidak langsung memberitahu kami mengenai permohonan itu sebelum ianya dikeluarkan dalam media dan secara penuhnya dalam internet,'' katanya.

Mohtar berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada Majlis Peguam kemudian.

ARKIB : 24/03/1999

Peguam bela mungkin kena tindakan hina mahkamah

KUALA LUMPUR 23 Mac - Sembilan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dikenakan tindakan menghina mahkamah ekoran keengganan mereka menemui Hakim Besar Malaya untuk mendapatkan arahan berhubung usul melucutkan Hakim Datuk S. Augustine Paul daripada mengendalikan perbicaraan kes itu.

Hakim Augustine berkata, prosedur yang sesuai dengan perkara itu terletak di bawah Seksyen 20 Akta Mahkamah Kehakiman.

Perkara itu, jelas beliau, harus dibawa ke pengetahuan Hakim Besar Malaya, Datuk Wan Adnan Ismail untuk mendapatkan arahan.

''Saya akan mematuhi apa jua arahan Hakim Besar Malaya demi keadilan dan keadilan itu bukan sahaja dilaksanakan tetapi juga harus nampak dilaksanakan,'' kata Hakim Augustine ketika menolak permohonan peguam Raja Aziz Addruse untuk menangguhkan prosiding perbicaraan Anwar sehingga keputusan berhubung usulnya dibuat.

Hakim Augustine berkata, memandangkan tarikh bagi mendengar usul itu belum ditetapkan maka beliau tidak mempunyai alasan untuk menangguhkan perbicaraan kes Anwar.

Bagaimanapun, Raja Aziz berhujah, beliau telah meneliti Seksyen 20 itu dan berpendapat ia adalah bertentangan dengan hujah Peguam Negara.

Hakim Augustine: ''Hakikatnya, usul itu sudah difailkan. Saya memberikan penyelesaian yang terbaik. Jika beliau (Hakim Besar Malaya) kata saya tidak layak, maka saya sedia menerimanya.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Raja Aziz: ''Apabila usul difailkan, ia tidak boleh didengar dalam kamar dan selesai begitu sahaja. Ia mesti didengar secara terbuka dalam mahkamah.''

Hakim Augustine: ''Adakah kamu ingin mematuhi Seksyen 20?''

Raja Aziz: ''Saya menganggap seksyen itu tidak memenuhi kehendak kami. Saya tidak akan berjumpa Hakim Besar Malaya. Saya rasa ia harus diselesaikan secara terbuka. Inilah pendirian yang kami ambil.''

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menjawab: ''Saya katakan dengan rasa hormat, sekurang-kurangnya cubalah dulu dan bukannya tutup hati dan perasaan. Berilah keadilan, walaupun saya dengar gelak ketawa di bahagian belakang (galeri awam). Rakan bijaksana saya adalah seorang peguam bela yang kanan.''

Raja Aziz: ''Saya bukanlah peguam yang amat kanan. Apabila kami datang ke mahkamah kami kendalikan kes mengikut undang-undang. Itulah sebabnya kami kemukakan usul tersebut.''

Hakim Augustine: ''Tak usah buat banyak ucapan. Adakah kamu ingin atau tidak untuk berjumpa dengan Hakim Besar Malaya?''

Raja Aziz: ''Kami tidak ingin berjumpa dengan Hakim Besar Malaya mengikut Seksyen 20 Akta Kehakiman.''

Hakim Augustine: ''Jika begitu adakah patut saya yang menemui beliau dan maklumkan bahawa ada orang yang hendak melucutkan saya. Ini menyalahi undang-undang.''

Raja Aziz: ''Yang Arif, kami berada pada kedudukan yang sukar di bawah Seksyen 20. Hakim Besar Malaya boleh memutuskan bahawa Yang Arif masih boleh mendengar perkara (perbicaraan) ini. Tetapi kami tidak mahu menghujah di hadapan beliau.''

Hakim Augustine: ''Jadi, bolehkah saya buat keputusan?''

Mohtar: ''Saya ingin menjemput supaya kita boleh sama-sama menemui beliau tapi jika tidak mahupun, kita boleh pergi seorang demi seorang.''

Para hadirin tergelak.

Hakim Augustine: ''Ini cadangan yang adil.''

Raja Aziz: ''Ia suatu cadangan. Saya rasa beliau tidak betul. Usul telah dikemukakan. Tetapi tindakan menemui Hakim Besar Malaya boleh mengubah hala tuju kami. Yang Arif, mungkin kami boleh membuat surat bersama untuk menentukan sama ada perkara ini didengar di hadapan hakim yang lain atau sebaliknya.''

Mohtar: ''Maksud saya ia harus mematuhi Seksyen 20. Apa yang saya fahamkan pada masa lalu, Raja Aziz dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Gani Patail telah berjumpa pihak atasan berhubung Ordinan 22. Tetapi bila tiba isu yang paling penting ini, mereka enggan pula. Sekurang-kurangnya berilah peluang. Terima kasih, Yang Arif.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa tidak perlulah lagi buat ucapan.''

Raja Aziz: ''Kami sebelum ini menemui Hakim Besar Malaya mengikut prosedur sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Tetapi ini perkara yang berbeza.''

Hakim Augustine: ''Raja Aziz, soalan saya adakah kamu bersedia dengan Peguam Negara untuk berjumpa Hakim Besar Malaya?''

Raja Aziz: ''Saya bersedia untuk sama-sama menulis surat.''

Hakim Augustine: ''Menulis surat! Jumpa beliau lebih cepat.''

Raja Aziz: ''Mungkin kami menulis surat dalam masa setengah jam.''

Hakim Augustine: ''Ya, komputer ada di sini, saya boleh tangguhkan hingga 2.15 petang.''

Raja Aziz: ''Saya bukan hendak melucutkan Yang Arif, saya hanya ingin bertanya siapa yang akan mendengar usul kami.''

Hakim Augustine: ''Surat yang saya maksudkan ialah sama ada saya patut mendengar usul itu ataupun hakim lain dan Hakim Besar Malaya perlu memutuskannya. Jika demikian saya arahkan prosiding diteruskan sekarang.''

Bagaimanapun, pada peringkat itu, Raja Aziz tetap dengan pendiriannya.

Hakim Augustine kemudian memanggil saksi terakhir pihak pembela, seorang wartawan dari Bernama, Kamel Othman.

Dalam keterangannya, Kamel mengesahkan bahawa beliau menulis laporan mengenai satu sidang akhbar Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan dalam akhbar The Sun pada 4 Oktober 1997.

ARKIB : 24/03/1999

Peguam tak berhasrat menggulung hujah


LIMA daripada sembilan peguam bela Anwar (kiri) Raja Aziz Addruse, S. N. Nair, Gurbachan Singh, Christopher Fernando dan Zulkifli Nordin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 23 Mac - Pihak pembela memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka tidak berhasrat membentangkan penggulungan hujah sehingga usul bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan Hakim Datuk S. Augustine Paul daripada mengendalikan perbicaraannya didengar terlebih dahulu.

Peguam Raja Aziz Addruse berkata, mahkamah tidak harus meneruskan prosiding perbicaraan kerana usul tersebut belum didengar dan diputuskan lagi.

Beliau memberitahu demikian pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-73 hari ini.

Sebaik sahaja sidang bermula pukul 9.04 pagi ini, Raja Aziz memberitahu, hari ini tibalah masa untuk pihaknya membuat penghujahan selepas memanggil seorang saksi lagi.

Raja Aziz: ''Sejak sidang yang lepas, kami telah memfailkan usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini berhubung perkara ini pada 15 Mac lalu.

''Tetapi difahamkan, salinan asal dengan meterai pejabat pendaftaran mahkamah masih belum diperoleh. Dengan itu, kami tidak dapat menyerahkan dokumen usul kepada Peguam Negara yang dinamakan sebagai responden.

''Usul itu dan alasan-alasannya harus dijawab secara teratur oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

''Oleh itu, adalah tidak betul atau tidak teratur ataupun munasabah bagi mahkamah ini meneruskan prosiding di hadapan Yang Arif (Hakim Augustine) sementara menunggu keputusan usul tersebut.

''Kami cuba mendapatkan perkembangan terkini berhubung usul itu di pejabat pendaftar tetapi saya diberitahu bahawa ia belum dimeteraikan. Itulah permohonan saya buat masa ini.

''Sebelum saya duduk, saya ingin memaklumkan kepada Yang Arif bahawa Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Pengerusi Badan Peguam Malaysia, R.R. Chelvarajah hadir di mahkamah ini dan ingin tahu mengenai usul berkenaan.''

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun menjawab: ''Saya diberitahu bahawa jabatan saya belum menerima sebarang dokumen yang dikatakan usul yang difailkan pada 15 Mac lalu.

''Saya mengetahui tentang usul itu hanya melalui laporan akhbar dan Internet. Pejabat saya telah dapat membuat salinan sebahagian usul itu daripada Internet. Itulah sahaja maklumat yang kami ada mengenainya.

''Saya menyatakan kesal kerana peguam yang mengetuai pembelaan atau mana-mana anggota pembelaan itu seharusnya dengan sopan memberitahu kepada kami bahawa mereka memfailkan permohonan tersebut sebelum ia disiarkan oleh media massa dan sepenuhnya didapati dalam Internet.

''Saya akan membawa perkara ini kepada Majlis Peguam kemudiannya. Yang Arif, telah menetapkan hari ini untuk mendengar penghujahan di hujung kes pembelaan yang ditutup pada 15 Mac minggu lalu.

''Bagaimanapun, kami mendapati pembela tidak menepati kata-katanya malah memohon penangguhan pula.

''Oleh kerana kami belum menerima salinan dokumen bagi tujuan tersebut, pada peringkat ini saya tidak akan menyentuh mengenai kandungan usul dan afidavit Datuk Seri Anwar.

''Saya hanya ingin menyentuh alasan-alasannya berhubung pelbagai keputusan Yang Arif sepanjang perbicaraan yang tidak disenangi oleh pembela, contohnya keputusan supaya bahagian-bahagian tertentu dalam rekod perbicaraan iaitu butiran dengar cakap dan sebagainya digugurkan.

''Yang Arif, terdapat perkara-perkara yang diputuskan oleh Yang Arif, boleh dibawa untuk rayuan kelak. Ada juga perkara yang tidak disenangi oleh pihak pendakwa berhubung keputusan menggugurkan butiran berkenaan fakta pendakwaan kes ini.

''Perkara itu akan ditimbulkan pada peringkat lain. Dengan itu, ia adalah salah bagi pembela untuk membuat permohonan ini berdasarkan keputusan yang diterima pakai dalam undang-undang.

''Andainya pembela tidak senang dan ingin melucutkan Yang Arif daripada mengendalikan kes, mereka hendaklah lebih bersopan dengan membayangkan perkara ini kepada Yang Arif terlebih dahulu dan juga dengan kehadiran kami. Inilah korumnya.

''Sebaliknya permohonan itu dikemukakan di hadapan seorang hakim yang lain. Bayangkan Yang Arif, peguam bela kanan memohon kepada hakim yang lain untuk melucutkan hakim yang mempunyai bidang kuasa yang sama dengannya.

''Saya akan jelaskan, Yang Arif bahawa pembela mungkin boleh memohon kepada mahkamah yang lebih tinggi bidang kuasanya dan perkara ini saya rasa tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

''Tindakan memohon kepada hakim Mahkamah Tinggi yang lain untuk melucutkan Yang Arif bukan sahaja tidak beradab, ia juga suatu penghinaan. Inilah perkara yang harus kita selesaikan, Yang Arif.

''Bagaimanapun, pada masa ini, usul itu tidak ada di hadapan Yang Arif. Pendakwa telah menutup kesnya mengikut undang-undang, begitu juga dengan pembela. Undang-undang menyebut bahawa pembela boleh menghujah apa yang mereka inginkan mengenai apa yang berlaku dalam perbicaraan.

''Apa jua kes yang difailkan dalam mahkamah lain bukanlah untuk didengar di hadapan Yang Arif pagi ini. Dan perbicaraan tidak sepatutnya dilengahkan lagi. Terima kasih, Yang Arif.''

Raja Aziz kemudian menjawab: ''Kenyataan yang dibuat adalah salah anggapan yang besar oleh Peguam Negara dan harus diperbetulkan. Biarlah saya jelaskan bahawa usul yang difailkan itu samalah juga seperti usul Datuk Seri Anwar tempoh hari untuk menyingkirkan kedua-dua Timbalan Kanan Pendakwa Raya.

''Yang Arif pasti ingat, usul itu dibawa serta merta di hadapan Yang Arif dan tarikh untuk mendengarnya ditetapkan, bezanya tajuk kecil 'Jenayah' tidak kami masukkan dalam usul terdahulu.

Hakim Augustine: ''Adakah kamu memfailkan sijil untuk menyegerakan usul itu?''

Raja Aziz: ''Tidak. Memandangkan Peguam Negara mengakui belum menerima dokumen tersebut, maka saya rasa ia tidak harus disentuh sekarang. Usul telah dibuat dengan menyerahkan salinan dokumen kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nursinah Adzmi melalui jurubahasa.''

Hakim Augustine: ''Perkara yang hendak disegerakan perlu disertakan sijil untuk menyegerakannya.''

Raja Aziz: ''Dalam usul kami dulu, kami tidak sertakan sijil untuk menyegerakannya. Kami tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa daripada Yang Arif. Yang Arif mungkin merasakan ia menambahkan kerja.''

Mohtar menjawab: ''Saya ingin jelaskan mengenai usul itu yang akan didengar oleh hakim lain. Saya telah mengarahkan pegawai saya membuat pertanyaan berhubung perkara ini dan saya dimaklumkan usul itu didaftarkan mengikut nombor di mahkamah lain. Jika maklumat itu tidak benar, saya mohon maaf.''

Hakim Augustine: ''Apa yang saya tahu, semua permohonan disenaraikan mengikut sistem nombor di sesebuah mahkamah.''

Raja Aziz: ''Tetapi dalam kes Zainur Zakaria (peguam bela Anwar yang kini dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah) kami tidak diberikan nombor.''

Hakim Augustine: ''Itu perkara kecil.''

Mohtar: ''Oleh kerana perkara itu tidak difailkan di hadapan Yang Arif, saya minta maaf. Bagaimanapun pihak yang berkenaan seharusnya dengan sopan membuat permohonan untuk melucutkan Yang Arif dan bukannya 'menjerit' dalam akhbar dan Internet.''

Hakim Augustine: ''Perkara yang disiarkan itu adalah hal lain. Kita tidak usah rumitkan perkara ini.''

Raja Aziz: ''Memandangkan usul itu belum diputuskan maka prosiding ini bukan sahaja tidak sesuai diteruskan malah tidak betul jika ia diteruskan juga.''

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 28/03/1999

Permohonan Anwar Lucut Kelayakan Hakim Paul Ditolak

KUALA LUMPUR 27 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan Hakim Datuk S. Augustine Paul bagi mendengar perbicaraan rasuah melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Hakim Augustine Paul berkata permohonan itu tidak boleh diterima dan beliau mengesahkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

Dalam bantahan awalnya Mohtar berkata notis usul itu adalah cacat dan pembelaan bersifat mala fide atau niat jahat kerana memfailkan permohonan itu di peringkat akhir perbicaraan serta alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu boleh dipertikaikan dalam prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Paul membenarkan pembelaan membuat beberapa pindaan pada permohonan itu yang memohon mendapatkan dua perintah agar Paul tidak patut mendengar dan membicarakan isu-isu dan perkara dalam perbicaraan kes itu serta dikehendaki melucutkan kelayakannya untuk mendengar dan membicarakan kes berkenaan.

Permohonan itu yang difailkan pada 15 Mac disokong dengan afidavit Anwar setebal 21 muka surat.

Dalam keputusannya Paul berkata permohonan untuk melucutkan kelayakan seseorang hakim adalah satu perkara serius dan kuasa itu harus digunakan dengan sebaiknya kerana ia akan menjejaskan kewujudan sistem keadilan dan menggalakkan litigan memilih hakim.

Paul, yang membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak semasa bantahan awal, berkata pada pendapatnya walaupun selepas dibuat pindaan, kedua-dua alasan itu tidak menepati undang-undang.

Katanya apa yang diminta beliau lakukan adalah tidak munasabah kerana beliau diminta untuk tidak terus mendengar dan membicarakan semua isu dan perkara di mana keputusan sudahpun dibuat.

''Kenapa harus dihentikan. Saya sudah mendengar segala-gala yang ingin saya dengar. Alasan dalam permohonan ini tidak menepati undang-undang,'' katanya.

Paul berkata beliau telah membuat keputusannya dalam perbicaraan rasuah Anwar selepas hujah-hujah yang substantif dan menurut undang-undang.

''Ia hanya boleh dicabar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tetapi saya tidak mengatakan bahawa keputusan saya itu adalah betul. Keputusan yang saya buat adalah mengikut keupayaan saya, kebolehan penyelidikan dan penghujahan daripada kedua-dua pihak di hadapan saya,'' katanya.

Anwar, 51, yang menghadapi empat pertuduhan rasuah, mengemukakan permohonan pada 15 Mac untuk melucutkan kelayakan Paul daripada mendengar kes rasuahnya.

Beliau hadir pada prosiding hari ini.

Anwar, yang juga bekas menteri kewangan, didakwa menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya bagi mengelakkan keaiban.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Paul menetapkan 6 April untuk mengumumkan keputusan selepas pembelaan enggan membuat penghujahan pada akhir perbicaraan yang berlangsung selama 73 hari dan meminta Anwar mengemukakan penghujahan bertulis jika beliau memilih untuk berbuat demikian.

Peguam utama Anwar Raja Aziz Addruse Selasa lalu memberitahu mahkamah bahawa pembelaan tidak akan mengemukakan penghujahan sehingga mahkamah mendengar permohonan untuk melucutkan kelayakan Paul, yang Anwar dakwa, tidak mengadili perbicaraannya secara adil.

Pada permulaan prosiding hari ini, Paul memberitahu mahkamah bahawa permohonan yang akan didengar di hadapannya adalah seperti yang diarahkan oleh Hakim Besar Malaya Datuk Wan Adnan Ismail dan menurut kehendak undang-undang.

Dalam afidavitnya untuk menyokong permohonan itu, Anwar mendakwa bahawa dalam perbicaraan kesnya, Paul telah kerapkali mencelah pemeriksaan dan pemeriksaan balas saksi-saksi sehinggakan hakim kelihatan mengambil peranan sebagai pendakwa raya.

Katanya beliau mempunyai kekhuatiran bahawa hakim mempunyai minda yang tidak berkecuali kepada isu-isu dan perkara-perkara dalam perbicaraan.

Sebelum itu Mohtar dalam hujahnya berkata notis usul itu mempunyai kecacatan kerana terdapat beberapa kelemahan daripada segi bahasa pada notis yang rasmi iaitu dalam bahasa Melayu berbanding salinan bahasa Inggeris yang disertakan bersama.

Beliau berkata terdapat perbezaan maksud yang amat ketara pada kedua-duanya bahasa notis berkenaan terutama perintah yang dipohon yang tidak membawa erti langsung kerana membawa maksud tidak mendengar kes itu lagi sedangkan hakim telah mendengarnya.

''Kedua-dua bahasa afidavit yang berbeza dan berlainan boleh menimbulkan kekacauan dalam penghakiman,'' katanya.

Sementara itu, Raja Aziz berkata pembelaan mengemukakan permohonan di peringkat itu kerana 10 daripada saksi mereka tidak dibenar memberi keterangan dan ia menyukarkan pembelaan untuk mengemukakan kes mereka dan isu berhubung mala fide tidak timbul.

Beliau berkata mengikut undang-undang mereka berhak membuat permohonan itu di mana-mana peringkat dan adalah menjadi tugas mahkamah untuk memutus dan menimbang permohonan itu.

Timbalan kanan pendakwa raya Datuk Abdul Gani Patail juga mengemukakan perkara undang-undang sebagai membalas penghujahan Raja Aziz.

Selepas Paul memberikan keputusannya, Raja Aziz meminta nasihat mahkamah mengenai arah perjalanan seterusnya bagi kes ini kerana dalam prosiding yang lepas mahkamah telah menetapkan 6 April untuk mengumumkan keputusan selepas pembelaan tidak mahu membuat penghujahan.

Hakim kemudian meminta pembelaan membuat permohonan bagi mereka mengemukakan penghujahan tetapi Mohtar memberitahu mahkamah bahawa satu keputusan telah dibuat berhubung perkara itu dan mencadangkan supaya kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan bertulis.

''Demi keadilan, ia harus dibuat secara lisan,'' kata Raja Aziz.

Paul membenarkan permohonan Raja Aziz untuk memberi penghujahan secara lisan dan menetapkan Selasa ini untuk mendengar penghujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu Paul memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak bercadang mengambil tindakan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pasukan pembelaan kerana beliau tidak mahu mindanya diganggu oleh sebarang isu.

Katanya beliau mempertanggungjawabkan Peguam Negara untuk menimbangkan tindakan susulan yang akan diambil.

Selasa lalu, Paul memberitahu mahkamah bahawa beliau atau Peguam Negara akan mengambil tindakan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pasukan pembelaan kerana tindak tanduk mereka yang enggan membuat penghujahan pada akhir perbicaraan itu.

ARKIB : 28/03/1999

Anwar, Guan Eng Mohon Perintah Mahkamah Untuk Ke Parlimen

KUALA LUMPUR 27 Mac - Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Kota Melaka Lim Guan Eng masing-masing mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini supaya dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bermula 5 April ini.

Dalam permohonan berasingan itu yang dikemukakan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi oleh Messrs Karpal Singh & Company, kedua-duanya menamakan Ketua Pengarah Penjara Datuk Omar Mohamed Dan sebagai responden.

Dalam notis usul pemula mereka, Anwar dan Guan Eng memohon perintah supaya Omar, berdasarkan Seksyen 31 (1)(a) Akta Penjara, dikehendaki secara bertulis membenarkan mereka dibawa dari Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang untuk menghadiri sidang Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kesembilan Dewan Rakyat setiap hari bermula 5 April ini.

Atau, mereka mahukan Omar diperintah menggunakan budibicara berdasarkan prinsip perundangan mengikut akta berkenaan bagi mengendalikan permohonan mereka bertarikh 15 Mac diarah supaya Anwar dan Guan Eng dibawa menghadiri sidang Dewan Rakyat setiap hari.

Anwar dan Guan Eng juga memohon kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavit mereka, Anwar dan Guan Eng berkata mereka perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana jika tidak, kerusi masing-masing akan diisytiharkan kosong berdasarkan Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendakwa menerima notis pada 1 Mac daripada Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka mengemukakan soalan lisan atau usul bagi sidang kali ini dan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong mengakui hak mereka untuk hadir di dewan.

Anwar berkata beliau telah mengemukakan 10 soalan lisan dan tiga soalan bertulis manakala Guan Eng telah mengemukakan 10 soalan lisan dan lima soalan bertulis ekoran notis Setiausaha Dewan Rakyat itu.

Kedua-duanya berkata mereka tidak mempunyai jalan lain kecuali menerusi mahkamah bagi mendapatkan hak mereka.

Guan Eng berkata walaupun dia gagal mendapatkan pengampuanan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka pada 20 Mac lepas, petisyennya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memansuhkan pelucutan kelayakannya belum diselesaikan dan dengan itu dia masih menjadi anggota Dewan Rakyat.

Kedua-dua permohonan itu dibuat ekoran keputusan Omar pada 19 Mac menolak permohonan Anwar dan Guan Eng tanpa memberi alasan.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, menghadapi lima tuduhan meliwat dan lima tuduhan rasuah.

Dia kini dibicarakan terhadap empat daripada tuduhan rasuah itu. Anwar ditahan di Penjara Sungai Buloh setelah permohonannya untuk diikat jamin ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Guan Eng, 39, dihukum penjara 18 bulan setelah didapati bersalah menerbitkan berita palsu dan menghasut. Dia kini ditahan di Penjara Kajang.

Bapanya Lim Kit Siang turut berada di mahkamah hari ini.

Karpal Singh, peguam yang mewakili Anwar dan Guan Eng, berkata beliau akan memohon agar kedua-dua permohonan itu segera didengar kerana sidang Dewan Rayat akan bermula 5 April ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 31/03/1999

Pembela persoal 2 pegawai SB

KUALA LUMPUR 30 Mac - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus bertanggungjawab mengeluarkan arahan kepada pegawai mereka untuk mengubah pendirian Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.

''Kita sedang berurusan dengan anggota lama dalam perisikan, jadi mereka pasti tahu apa yang mereka buat. Jika mereka kata tidak tahu apa yang mereka buat, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Perkara ini boleh dipertikaikan,'' kata peguam Sulaiman Abdullah ketika menggulung hujah pada akhir perbicaraan Anwar hari ini.

Beliau meminta Hakim Datuk S. Augustine meneliti keterangan dua bekas pegawai kanan SB itu yang mendakwa mereka tidak tahu apa yang dilakukan kerana itu adalah arahan Anwar.

Sulaiman berkata: ''Kita harus lihat jenis tugas yang mereka (Mohd. Said dan Amir Junus) jalankan iaitu untuk mewujudkan konsep kebenaran dan kepalsuan.

''Mereka seolah-olah hantu (spooks) untuk menakut-nakutkan. Dan mereka sanggup melakukan apa sahaja dalam konsep itu bagi kepentingan negara.

''Hujah pendakwa yang mengatakan mereka tidak tahu berkenaan apa yang telah dilakukan adalah sesuatu yang tidak kena. Oleh itu, kami mengatakan bukan sahaja keterangan Mohd. Said tidak benar, malah keterangan para pegawai SB yang lain juga begitu.''

Sulaiman berhujah demikian pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-75 hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan itu menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Ketika sidang bermula pukul 9.01 pagi ini, Sulaiman memberitahu bahawa pihaknya masih memakai penggulungan hujah yang dibentangkan pada penghujung kes pendakwa dengan menambah beberapa perkara lain dalam keseluruhan perbicaraan itu.

Beliau berhujah, berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan di mahkamah itu, tertuduh (Anwar) tidak bersalah atas semua tuduhan yang dihadapinya.

Seterusnya, Sulaiman berkata, keterangan Mohd. Said dan Amir harus dipertimbangkan secara berhati-hati kerana terdapat konflik dengan keterangan tertuduh mengenai apa yang sebenarnya yang dikatakan.

''Ia bukan hanya konflik antara keterangan Mohd. Said dan keterangan pembelaan. Ia adalah konflik antara siapa yang sebenarnya terlibat dengan perbuatan salah dan keterangan seorang lelaki yang mereka katakan mempunyai kepentingan dan sebagai orang yang bertanggungjawab.

''Saya berhujah, pembela mengatakan pada 1997 pasukan polis yang diketuai oleh bekas IGP (Ketua Polis Negara) melaksanakan tugas dan kewajipan negara untuk membersihkan nama Datuk Seri Anwar daripada sebarang dakwaan salah laku.

''Pada 1998 pula, kewajipan yang serupa untuk melakukan segala yang perlu bagi keselamatan negara dengan inisiatif polis bahawa Anwar yang memberikan arahan.

Keterangan Mohd. Said dan Amir bertentangan dengan keterangan tertuduh.

''Yang Arif harus menimbangkan keterangan kedua-dua ini berhubung kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

Keterangan Datuk Seri Anwar pada sepanjang pembelaannya tetap mengatakan bahawa dia meminta polis melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang.

Selain itu, Sulaiman meminta mahkamah menimbangkan mengenai dakwaan perbualan telefon antara Amir yang berada di kelab golf Titiwangsa dengan tertuduh.

Peguam itu mempersoalkan jika perbualan telefon benar-benar berlaku maka pendakwa seharusnya mengemukakan rekod mengenai panggilan tersebut.

Hakim Augustine mencelah: ''Saya mesti nasihatkan kamu berkenaan apa yang kamu nyatakan ini mesti diambil kira. Kamu ingin katakan Amir yang membuat panggilan telefon ini?''

Sulaiman: ''Ia panggilan telefon. Di manakah keterangannya. Kami cabar keterangan ini yang dikemukakan oleh pendakwa, mengapakah tidak ada rekod mengenai panggilan telefon yang didakwa itu. Tambahan pula, telefon tertuduh dikatakan dipasang alat perakam, harus ada buktinya.''

Beliau juga menghujah dalam apa keadaan pun, pendakwa seharusnya memberikan hak kepada tertuduh untuk berlaku adil dan saksama dan bukan hanya semata-mata untuk mensabitkannya.

Sulaiman: ''Anwar tidak mendapat haknya bagi keadilan dan saksama daripada pendakwa. Yang Arif, pada 8 Februari lalu membuat keputusan apabila pembela menimbulkan isu mengenai Peguam Negara yang merupakan sebahagian pasukan pendakwa dengan mempersoalkan penglibatan aktifnya dalam kes ini.

''Kehadiran Peguam Negara adalah prejudis bagi tertuduh tetapi Yang Arif mengatakan bahawa kami boleh menghujah di akhir kes ini.''

Sulaiman juga membangkitkan bahawa mahkamah juga menghalang pihaknya pada satu peringkat ketika tertuduh memberi keterangan.

''Raja Aziz Addruse sedang menyoal tertuduh dalam bahasa Inggeris dan peguam itu mengatakan tertuduh boleh menjawab menggunakan bahasa Melayu tetapi Anwar berkata dia memilih untuk memberi jawapan dengan bahasa Inggeris kerana ia dibenarkan oleh undang-undang.

''Apa yang berlaku, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun lalu membuat komen bahawa tertuduh seorang juara bahasa Melayu memberi keterangan dalam bahasa Inggeris.

Nampaknya pendakwa menunjukkan permusuhan terhadap tertuduh dengan membuat komen sedemikian,'' kata Sulaiman.

Hakim Augustine: Hal ini tidak relevan. Kenyataan yang prejudis seharusnya dalam bentuk fakta dan bukan apa yang dinyatakan di sini (komen dalam mahkamah).''

Dalam hujah selanjutnya, Sulaiman berkata, tertuduh memberi keterangan bahawa dia bertindak mengikut undang-undang dan mendapat pandangan dua pegawai kanan SB itu di samping berunding dengan Peguam Negara.

Sulaiman: ''Ini bukanlah perilaku seorang yang percaya bahawa dirinya mengatasi undang-undang. Jika seluruh kejadian itu berlaku pada bulan Ogos 1997 dan katakanlah ia betul, maka dakwaannya harus di bawah satu tuduhan dan bukan empat tuduhan. Dengan itu, tertuduh seharusnya dilepaskan dan dibebaskan.''



ARKIB : 31/03/1999

Mahkamah diminta nilai kredibiliti Ummi, Azizan

KUALA LUMPUR 30 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diminta membuat penilaian ke tahap yang maksimum berhubung kredibiliti saksi-saksi pendakwa sebelum menentukan sama ada kes terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah atau sebaliknya.

Peguam bela Anwar, Gurbachan Singh berhujah, pendakwa gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan pembela pula dapat menyangkal dakwaan itu sebagaimana alasan yang dibentangkan.

Beliau meminta Hakim Datuk S. Augustine Paul menilai keterangan Ummi Hafilda Ali yang menulis surat (P14B) mengandungi dakwaan perilaku Anwar.

Menurut Gurbachan, dokumen P14B itu tidak ditandatangani dan keterangan Anwar pula menyebut bahawa sebelum itu surat yang serupa telah dihantar kepada Perdana Menteri.

''Dalam keterangan Ummi tidak pula disebut bahawa terdapat lebih daripada satu surat. Perdana Menteri tidak dipanggil oleh pendakwa untuk membuktikan beliau menerima dokumen P14A, B dan C,'' kata Gurbachan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung hujahnya pada akhir perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-75 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Gurbachan berhujah seterusnya bahawa pendakwa sepatutnya memanggil Perdana Menteri bagi mengesahkan keterangan tersebut.

Beliau berkata, terdapat keraguan yang serius untuk mengatakan bahawa P14B itu adalah surat daripada Ummi.

Ketika memberi keterangan pembelaan, kata Gurbachan, Anwar dan bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali sungguh positif bahawa kandungan surat kepada Perdana Menteri berbeza dan nada bahasanya lebih lembut.

Gurbachan juga mempersoalkan kredibiliti Ummi dengan mengatakan wanita itu pastinya bukan seorang saksi yang boleh dipercayai atau yang bercakap benar.

''Ummi sebagai anak yang telah dibuang oleh bapanya, seorang yang boleh memusnahkan, menghina dan memalukan seluruh keluarganya untuk memuaskan hati kerana membenci Datuk Seri Anwar,'' kata Gurbachan.

Beliau juga mempersoalkan adakah Azizan Abu Bakar menulis P14C (pengakuan bersumpah yang mengandungi dakwaan dia diliwat oleh Anwar).

Gurbachan: ''Semasa pemeriksaan balas, Azizan mengatakan dia hanya beritahu Ummi 'beberapa kali dan tempat.'

''Oleh itu P14C itu sebenarnya telah ditambah oleh Ummi. Azizan tidak pernah mengatakan dia penulis keseluruhan surat P14C itu.

''Dalam keterangan Anwar pula mengatakan ketika dia berjumpa Azizan pada 18 Ogos 1997 di kediaman rasminya, Azizan kata dia tidak tandatangan P14C tetapi kemudian dia (Azizan) mengakui menandatangan surat itu tanpa membacanya.

Apa yang paling penting ialah Azizan dengan bantuan peguam caranya, Sukdev Singh, telah mengikrarkan akuan berkanun (D55) menafikan sebarang penglibatannya berhubung buku 50 Dalil (buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM).

''Ini bermakna dia tidak ada apa-apa kaitan dengan P14C yang merupakan aspek penting kandungan buku itu.

''Saya berhujah bahawa mahkamah harus menolak P14B dan P14C kerana ia tidak dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah sebagai surat Ummi dan Azizan yang dihantar kepada Perdana Menteri. Pendakwa sepatutnya memanggil bekas Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Rahim Noor) atau Datuk Seri Megat Junid untuk menjelaskan tentang keraguan ini.''

Seterusnya, Gurbachan berhujah tidak ada keraguan Anwar bagi menunjukkan dia tidak memberi arahan sebagaimana yang didakwakan oleh bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan timbalannya, Datuk Amir Junus.

Gurbachan: ''Keterangan mereka berdua bercanggah. Hakikatnya bahawa Anwar meminta mereka menyiasat sedalam-dalamnya dan mencari kebenaran. Ini bukanlah suatu jenayah. Versi pembela disokong oleh Mohd. Said dan juga Amir. Ia juga disokong oleh dua saksi pembela, bekas juruiring Anwar, Zull Aznam dan Mohd. Azmin.''

Beliau mempersoalkan lagi sama ada dakwaan itu ditarik balik seperti dakwaan ia diarah oleh Anwar.

Gurbachan: ''Pembela mengatakan tidak ada tindakan untuk menarik balik. Keterangan Mohd. Said dan Amir bahawa mereka tidak pernah mengarahkan dua pegawai Cawangan Khas untuk melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang atau mendapati Ummi dan Azizan untuk berbohong.

''Mohd. Said juga mengatakan beliau tidak pernah memberitahu pegawai-pegawainya untuk menggunakan kekerasan atau janji terhadap Ummi dan Azizan.''

Gurbachan berhujah, Mohd. Said mengatakan kepada pegawai-pegawainya bahawa pegawai polis mesti menjalankan penyiasatan mengikut peraturan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau meminta mahkamah menolak keseluruhan keterangan dua saksi pendakwa, ACP Mazlan Mohd. Din dan DSP Abdul Aziz Hussin berhubung cara penyiasatan yang didakwa dilakukan oleh mereka yang mendedahkan tindakan polis yang tidak berprinsip dan memalukan.

Menurut Gurbachan lagi, sehingga kini Ummi dan Azizan tidak membuat aduan atau melaporkan kepada polis terhadap dua pegawai dari Cawangan Khas itu.

''Ia adalah mudah untuk mereka mengubahkan cerita mereka sekarang bahawa mereka dipaksa untuk membuat surat memohon maaf (P17 dan P18). Perilaku mereka yang tidak membuat aduan polis walaupun berjumpa dengan peguam cara untuk mendapatkan nasihat undang-undang menunjukkan tindakan mereka konsisten dengan penulisan surat-surat tersebut yang dibuat dengan suka rela,'' kata Gurbachan.

Perbicaraan bersambung esok.

--------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 01/04/1999

Banyak bukti wujud konspirasi

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pihak pembela memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat banyak bukti wujudnya konspirasi polis untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan bahawa pada tahun 1997, pasukan polis menyebelahi Anwar,'' kata peguam belanya, Gurbachan Singh.

Menurut beliau, pada tahun itu juga, ada cadangan untuk mendakwa Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar berhubung surat dakwaan perilaku terhadap Anwar.

Bagaimanapun, katanya, pada 1998, keadaan berlaku sebaliknya.

Gurbachan memberitahu bahawa ia berlaku menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 19 Jun hingga 21 Jun 1998, apabila buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM diedarkan dan polis berubah sikap terhadap Anwar.

''Anwar telah menjadi seorang tertuduh apabila polis yang sepatutnya menyiasat aduannya mengenai surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim sebaliknya menyiasat terhadapnya atas dakwaan rasuah menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat,'' kata Gurbachan.

Gurbachan berkata demikian ketika menyambung penggulungan hujahnya pada akhir perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau memberitahu, Anwar kemudian dipecat daripada jawatannya pada 2 September 1998.

Selepas itu, katanya, penyiasatan polis yang sebenar ke atasnya, hanya berdasarkan kenyataan dua saksi, bekas Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus pada bulan September dan Oktober 1998.

Menurut Gurbachan, ketika itu juga Perdana Menteri merupakan Menteri Dalam Negeri yang menguasai Jabatan Polis.

''Tindakan memukul Anwar pada hari penahanannya juga menunjukkan sikap dan kebencian serta niat jahat polis,'' tambah beliau.

Selain itu, Gurbachan mengatakan bahawa perjumpaan Anwar dengan dua pegawai kanan SB (Mohd. Said dan Amir) adalah secara peribadi dan tidak rasmi.

''Dalam keterangan pembelaannya, Anwar memberitahu dengan jelas bahawa ia perjumpaan tidak rasmi dan oleh itu tidak dicatatkan dalam diari atau mana-mana minit. Keterangan ini tidak dicabar. Dengan demikian persoalan bahawa Anwar menggunakan kediamannya atau pejabat tidak timbul,'' kata beliau.

Dalam kesimpulan hujahnya, beliau berkata, seluruh keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa gagal membuktikan keraguan dalam kes pembelaan.

Gurbachan mengungkap semula kata-kata bekas Lord Cancellor England, Sir Thomas Moore pada penghujung perbicaraannya dalam kes yang direka berhubung saksi-saksi pendakwa yang bersumpah bohong ketika memberi keterangan mereka.

Menurut Gurbachan, berhubung keterangan bohong terhadap beliau yang dibuat Peguam Negara Wales ketika itu, Sir Thomas berkata: ''Seseorang itu tidak menjual maruah untuk seluruh dunia dan kamu melakukannya untuk Wales.''

''Tidak usahlah dinyatakan bahawa mereka yang memberi keterangan bohong terhadap Sir Thomas termasuk Peguam Negara Wales telah dibicarakan kerana bersumpah bohong dan didapati salah, lalu dihukum penjara 5 tahun. Tetapi Sir Thomas yang dihukum bunuh dikenang sebagai legenda,'' kata Gurbachan.

Keadaan yang sama, beliau menghujah, berlaku dalam kes ini apabila saksi-saksi pendakwa memberi keterangan yang palsu.

ARKIB : 01/04/1999

Ghani: Sikap Anwar sembunyikan sesuatu


ABDUL GANI PATAIL


KUALA LUMPUR 31 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengelak untuk memberi jawapan ketika disoal balas pihak pendakwa membuktikan dia menyembunyikan sesuatu.

Dengan keadaan demikian, kata Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, kredibiliti Anwar boleh dipersoalkan.

Gani meminta Hakim Datuk S. Augustine Paul menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan diri Anwar atas empat tuduhan pindaan rasuah yang dihadapinya.

Beliau berhujah bahawa keterangan tertuduh itu tidak boleh dipercayai, sukar diterima dan tidak menimbulkan sebarang keraguan.

Menurut Gani, dalam percubaan untuk menyokong keterangan pembelaannya, Anwar memanggil beberapa orang saksi yang berpihak kepadanya.

''Prinsip keterangan untuk menyokong adalah keterangan yang seharusnya boleh dipercayai dan memuaskan untuk menjadi keterangan sokongan kepada satu keterangan yang lain,'' kata Gani.

Beliau berkata, oleh kerana keterangan tertuduh itu sendiri tidak boleh dipercayai dan tidak menimbulkan sebarang keraguan maka keterangan sokongannya adalah tidak relevan.

Selain itu, menurut Gani, selepas menyaring keterangan saksi-saksi pembela, apa yang jelas bukan sahaja keterangan pembela tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwa sebaliknya faktanya mengukuhkan lagi kes pendakwa.

Gani berkata demikian ketika menggulung hujah balas pendakwa pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-76 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi tuduhan menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Gani terdahulunya membentangkan garis kasar bagi keseluruhan keterangan meliputi saksi-saksi pendakwa dan saksi pembela.

Dalam hujah seterusnya, Gani menganalisis keterangan pembelaan Anwar dan saksi-saksi pembela.

Gani: '' Tertuduh (Anwar) ketika disoal balas mengelak untuk menjawab soalan walaupun ia soalan-soalan yang mudah dan terus terang. Malah tertuduh enggan menjawab soalan yang hanya memerlukan jawapan, ya atau tidak dan dalam proses itu dia memberi jawapan-jawapan yang tidak relevan.

''Dan ada pada ketikanya Yang Arif menegur sikap tertuduh ini.''

Gani membaca semula petikan daripada notanya untuk menunjukkan sikap Anwar pada pemeriksaan balas pendakwa pada 11 Februari lalu seperti berikut;

Gani: '' Adakah Datuk Seri bersetuju bahawa P14 mengandungi dakwaan-dakwaan bahawa Datuk Seri terlibat di dalam kegiatan homoseksual dan melakukan perbuatan zina dengan isteri Mohd. Azmin Ali?''

Anwar: '' Saya mengetahui bahawa P14 mengandungi tohmahan dan fitnah jahat yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab (dengar cakap).''

Gani: '' Soalan saya sangat mudah. Raja Aziz boleh menyoal semula.'' Menurut Gani, beliau mengulangi soalan tersebut.

Anwar: ''P14 mengandungi tohmahan dan fitnah yang sengaja disebarkan oleh orang-orang jahat yang diupah...''

Gani: ''Tertuduh mengelak untuk menjawab soalan.''

Beliau berhujah, sikap Anwar itu dicatatkan dalam rekod perbicaraan.

Gani menerangkan bahawa keadaan itu juga berlaku ketika pemeriksaan balas pada 11 Februari lalu.

Seterusnya, Gani berhujah bahawa saksi pembela yang kedua, ASP Zull Aznam Haron (bekas juruiring Anwar) tidak membantu apa-apa dalam pembelaannya tetapi mengukuhkan lagi kes pendakwa.

Dalam hujahnya, Gani menggariskan keterangan-keterangan saksi pembela yang mengukuhkan kes pendakwa antaranya:

* Zull Aznam mengesahkan fakta bahawa beliau menghubungi bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Amir Junus pada 12 Ogos 1997 atas arahan Anwar untuk menyampaikan pesanannya yang mahukan bekas Pengarah SB, Datuk Mohd. Said Awang dan Amir berjumpa dia (Anwar) di kediaman rasminya.

* Fakta itu menyokong keterangan Mohd. Said dan Amir apabila mereka memberitahu bahawa mereka dipanggil ke kediaman rasmi tertuduh pada malam 12 Ogos 1997. Pada malam itu, tertuduh mengarahkan Mohd. Said dan Amir mengesan di mana Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar berada kerana dia mahu tahu mengenai P14 dan mengapa ia ditulis.

* Zull Aznam juga mengesahkan bahawa pada 13 Ogos 1997, beliau sekali lagi menelefon Mohd. Said atas arahan tertuduh yang mengatakan dia mahu berjumpa dengan Mohd. Said dan Amir di kediaman rasminya.

* Fakta di atas menyokong keterangan Mohd. Said dan Amir berhubung perjumpaan dengan tertuduh di kediaman rasminya pada 13 Ogos 1997 atas arahan tertuduh. Pada malam itu tertuduh mengarahkan Mohd. Said dan Amir mengesan Ummi dan Azizan secepat mungkin untuk disoal siasat dan menakutkan mereka sedikit.

* Dalam keterangannya lagi, Zull Aznam mengatakan ada dua kejadian yang berlaku mengenai kehilangan wang dari kediaman tertuduh dan beliau diarahkan oleh tertuduh menghubungi SB tentang perkara ini dan tidak melaporkan kepada polis.

* Fakta di atas menyokong keterangan Amir bahawa SB terlibat dalam siasatan kehilangan wang dari kediaman rasmi tertuduh itu.

* Keterangan saksi ini bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh tertuduh mengenai hal ini. Tertuduh menafikan kehilangan wang seperti yang dinyatakan oleh Amir. Sebaliknya, tertuduh mengatakan wang hilang itu hanya RM2,000 sebagai 'duit pasar.' Keterangan tertuduh mengenai fakta 'duit pasar' ini harus ditolak dan sukar diterima. Kehilangan RM2,000 itu tidak perlu diberitahu SB dan sebaliknya ia harus dilaporkan kepada polis.

* Keterangan Zull Aznam harus disaringkan kerana terdapat sebahagiannya adalah benar. Dalam keterangan awalnya, Zull Aznam mengatakan beliau diberitahu oleh seorang saksi pendakwa lain bahawa kenaikan pangkatnya berdasarkan apa yang ditunjukkan di mahkamah ini.

Pada peringkat ini, seorang daripada peguam bela Anwar, Christopher Fernando membantah sambil memberitahu bahawa kenaikan pangkat Zull Aznam kini sudah ditarik balik dan pendakwa tahu berkenaan hal ini.

Hakim Augustine lalu mencelah meminta Fernando membuat bantahan mengikut fakta yang dikemukakan di dalam mahkamah.

Gani pula dengan nada meninggi mencabar Fernando supaya membuktikan bahawa pihaknya tahu mengenai apa yang beliau katakan itu.

''Pendakwa tidak pernah mencelah untuk membantah ketika pembela membentang hujahnya, '' kata Gani.

Hakim Augustine: ''Betul juga.''

Beliau sebelum itu mengingatkan Fernando supaya jangan membawa keterangan yang lain dan hujah haruslah dikemukakan melalui keterangan yang sedia ada.

Gani meneruskan hujahnya dengan mengatakan bahawa Zull Aznam merupakan saksi penting pembela dan jika pembela benar-benar mahu mengemukakan bukti bahawa wujudnya konspirasi polis terhadap tertuduh maka ia boleh dibuat melalui saksi tersebut.

Beliau berhujah, tidak ada keterangan daripada Zull Aznam untuk menunjukkan konspirasi polis bagi sengaja mereka dakwaan terhadap tertuduh.

''Tidak ada secebis fakta pun untuk menunjukkan bahawa terdapatnya konspirasi polis dan dakwaan pembela itu hanya tinggal sebagai dakwaan,'' kata Gani.

Menurut Gani lagi, saksi pembela ke-14, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin dipanggil untuk membuktikan bahawa P14 tidak ditulis oleh adiknya, Ummi dan adiknya itu telah diberi ganjaran untuk membuat cerita rekaan bahawa beliau menulis surat tersebut dan juga Ummi dikatakan seorang pembohong besar.

Gani: '' Keterangan Azmin menyebut bahawa beliau mengenali tertuduh sejak masih belajar lagi. Di samping itu, beliau mengatakan hubungannya dengan tertuduh terjalin semasa menjadi pelajar dan pemimpin pelajar. Dan hubungan Azmin dengan tertuduh lebih akrab lagi. Beliau rapat dengan tertuduh dan bekerja dengannya hingga 11 tahun sejak 2 Oktober 1987. Dan oleh itu keterangan saksi ini adalah berat sebelah.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 02/04/1999

Anwar hanya minta siasat kandungan surat dakwaan

KUALA LUMPUR 1 April - Pihak pembela memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya meminta bekas Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus menyiasat sedalam-dalamnya berhubung kandungan surat dakwaan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.

''Jika diterjemahkan perkataan 'arahan' sebagaimana yang dikatakan oleh kedua-dua saksi pendakwa itu ialah permintaan,'' kata peguam Gurbachan Singh ketika menjawab semula hujah balas pendakwa raya pada akhir perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-77 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah dengan menyalah guna kuasa untuk menyelamat dirinya daripada keaiban.

Dalam hujahnya, Gurbachan berkata, pihaknya mencabar kenyataan amaran tertuduh, kenyataan yang diambil berhubung kes ini.

Bagaimanapun Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Ia sama ada tertuduh memberi arahan.''

Gurbachan: ''Ia bukan arahan. Dengan itu, ia dicabar.''

Beliau juga membangkitkan isu berhubung kenyataan Azizan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Augustine: ''Persoalan itu biarlah saya yang memutuskannya.''

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah menyambung penghujahan dengan menegaskan bahawa pembela menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh pendakwa.

Sulaiman berkata, dalam usaha untuk menjaga kepentingan disiplin, semua perbuatan salah dilemparkan kepada tertuduh.

Beliau menambah, jika mahkamah menerima keterangan pendakwa maka masih terdapat keterangan pembela yang boleh dianggap wajar.

ARKIB : 02/04/1999

Pegawai SB terpaksa ikut arahan Anwar - Gani


HAKIM S. Augustine Paul diiringi ke keretanya selepas selesai mengendalikan perbicaraan kes Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 April - Pihak pendakwa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus terpaksa menurut arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos 1997 kerana dia adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Gani berkata demikian ketika menjawab penggulungan hujah peguam bela Anwar yang mendakwa andainya Anwar menyalahi undang-undang atau melakukan perkara yang tidak betul, ia pasti disedari oleh kedua-dua pegawai kanan SB itu.

Beliau membentangkan hujah balas itu pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-77 hari ini.

Menurut Gani, keterangan Mohd. Said dan Amir mengatakan mereka tidak menyedari apa yang dilakukan itu bertentangan dengan undang-undang berhubung tindakan ke atas Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.

Beliau membaca sebahagian notanya dalam pemeriksaan semula terhadap Mohd. Said pada 9 November tahun lalu.

Gani: ''Berhubung arahan atau arahan-arahan yang diberikan kepada kamu, adakah boleh kamu menolaknya ketika itu?''

Mohd. Said: ''Tidak, saya tidak boleh.''

Gani: ''Adakah kamu mempunyai pilihan untuk menyetujui atau menolak arahan-arahan tertuduh (Anwar) ketika itu?''

Mohd. Said: ''Saya tidak ada pilihan, saya harus mematuhinya.''

Gani: ''Bolehkah kamu jelaskan kepada mahkamah mengapa kamu tidak ada pilihan?''

Mohd. Said: ''Dia berada dalam kedudukan tinggi. Dia ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan bukan orang biasa. Dan kerana itu saya terpaksa melakukannya (apa juga yang disuruhnya).''

Gani juga membaca sebahagian keterangan Amir pada akhir pemeriksaan balas peguam bela Anwar, Gurbachan Singh dan pemeriksaan semula oleh beliau.

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Adakah apa yang disuruh tertuduh itu salah atau tidak betul?''

Gurbachan memberi jawapannya: ''Tidak''

Amir: ''Sebab kita.''

Gurbachan meninggikan suaranya: ''Tolong jawab soalan sahaja.''

Amir: ''Sebab kita tidak mendapatkan satu kesahihan yang nyata daripada Ummi dan Azizan, maka apa yang disuruh oleh tertuduh adalah unlawful (menyalahi undang-undang).''

Gurbachan: ''Itu bukanlah soalan saya. 'Unlawful adalah untuk Yang Arif putuskan.''

Hakim Augustine: ''Menyalahi undang-undang, tidak betul apakah perbezaannya. Adakah tertuduh suruh kamu lakukan itu salah atau tidak betul?''

Amir: ''Saya rasa salah.''

Gurbachan: ''Jadi, adakah kamu mengaku secara bersumpah, apa yang kamu lakukan itu salah dan tidak betul?''

Amir: ''Apa yang saya buat adalah atas arahan.''

Gurbachan meninggikan suara: ''Tidak mengapa mengenai arahan. Adakah kamu mengakui apa yang kamu lakukan itu salah dan tidak betul?''

Amir: ''Pada masa itu...''

Gurbachan meninggikan suara: ''Sekarang!!!''

Amir: ''Saya cuma mengikut arahan.''

Gurbachan: ''Tidak mengapa arahan!''

Amir: ''Salah.''

Hakim Augustine: ''Apa yang saya buat...?''

Amir: ''...adalah salah.''

Gurbachan: ''Terima kasih banyak.''

Hakim Augustine: ''Berapa lama masa untuk pemeriksaan balas?''

Gani: ''Lebih kurang setengah jam.''

Dalam pemeriksaan balas itu Gani menyoal: ''Kamu telah mengatakan apa yang kamu buat salah. Pada masa kamu buat, adakah kamu sedar apa yang kamu buat itu salah?''

Amir: ''Pada ketika arahan diberikan kami tidak dapat menentukan adakah arahan itu sah atau tidak sah.''

Hakim Augustine: ''Jadi hanya sekarang kamu sedar ia adalah salah?''

Amir: ''Ya.''

Beliau berhujah seterusnya bahawa pembela merujuk keterangan Amir yang mengatakan beliau tidak diarahkan oleh tertuduh sebaliknya mendapat arahan daripada pegawai atasannya, Mohd. Said.

Gani: ''Keterangan Amir mengatakan beliau dan Mohd. Said diarah oleh tertuduh untuk mengesan, menahan, menakutkan dan menggunakan nada ugutan menakutkan Ummi dan Azizan untuk mendapatkan surat-surat menarik balik dakwaan terhadap Anwar.

''Amir tetap dengan keterangannya. Oleh itu tanggapan pembela bahawa tertuduh tidak pernah memberi arahan kepada Amir jelas bertentangan dengan keadaan keterangannya.''

Gani berhujah, pendakwa tidak pernah membuat sebarang kompromi bahawa pihaknya menerima keterangan tertuduh yang dia sebenarnya meminta Mohd. Said dan Amir menyiasat sepenuhnya dan sedalam-dalamnya.

Tetapi, kata beliau, pihaknya mempersoalkan untuk membuktikan tertuduh memandang berat atas dakwaan-dakwaan tersebut kerana ia merupakan dakwaan yang serius.

Gani: ''Ini dapat dilihat jika soalan dan jawapan tidak diasingkan dan terkeluar daripada konteks. Yang Arif akan mendapat konteks yang relevan daripada awal pemeriksaan balas tertuduh sebagaimana soalan oleh Gurbachan.

''Kami berhujah, jawapan yang diberikan oleh tertuduh menunjukkan bahawa dia memahami soalan yang ditekankan iaitu, berhubung soalan sama ada dia memandang berat terhadap dakwaan dan dia memberikan dua sebab dan bukannya dia meminta Mohd. Said dan Amir menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya.''

Selain itu, Gani menjawab, persoalan yang ditimbulkan oleh pembela mengatakan kenyataan Azizan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah mestilah konsisten dengan P17 (surat menarik balik dakwaan terhadap Anwar).

Gani berkata, sebelum Seksyen 113 kanun itu dipinda, tidak ada kenyataan dibuat oleh mana-mana orang dalam penyiasatan diterima pakai pada perbicaraan.

''Oleh itu, saya menghujah kenyataan Azizan di bawah Seksyen 112 tidak boleh diterima kerana beliau bukanlah tertuduh,'' kata Gani yang merujuk kes Pendakwa Raya lawan Datuk Harun Idris dan Datuk Harun Idris lawan Pendakwa Raya.

Gani berhujah lagi, kenyataan Azizan juga tidak boleh diterima di bawah Seksyen 157 Akta Keterangan 1950 kerana satu daripada alasannya ialah pihaknya tidak dapat mencari keterangan untuk menunjukkan bahawa terdapat satu kenyataan di bawah Seksyen 112 yang direkodkan daripada Azizan berhubung penyiasatan P16 (buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM).

Ketika mengakhiri hujahnya, Gani berkata, pembela gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwa. Sebaliknya pembela sebenarnya mengukuhkan lagi kes pendakwa.

Beliau berhujah, pendakwa telah membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan memohon mahkamah memutuskan tertuduh bersalah atas empat tuduhan pindaan dan menyabitkannya mengikut peruntukan undang-undang.

ARKIB : 02/04/1999

Hakim perlu masa teliti hujah

KUALA LUMPUR 1 April - Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 14 April ini terhadap kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menetapkan demikian selepas pihak pembela dan pendakwa selesai menggulung hujah keseluruhan kes itu hari ini.

Menurut beliau, keputusan terpaksa ditangguhkan kerana beliau memerlukan masa untuk menimbangkan penghujahan kedua-dua pihak.

''Memandangkan penghujahan yang panjang lebar yang dibuat oleh kedua-dua pihak maka saya memerlukan masa untuk menimbangkannya. Apa yang saya tulis, mesti ditaip semula dan diteliti sebelum saya membuat keputusan. Oleh itu saya terpaksa menetapkan tarikh lain,'' jelas beliau.

Sebelum itu pada 23 Mac lalu, Hakim Augustine menetapkan keputusan perbicaraan pada 6 April ini setelah pihak pembela enggan menggulung hujah kerana usul mereka untuk menggugurkan beliau belum didengar dan diputuskan.

Bagaimanapun setelah usul itu didengar dan beliau tolak pada 27 Mac lalu, Hakim Augustine menetapkan 30 dan 31 Mac lalu bagi kedua-dua pihak menggulung hujah dan ia berlarutan hingga ke hari ini.

Pihak pembela dan pendakwa mengakhiri penghujahan masing-masing pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-77 hari ini.

Perbicaraan Anwar yang bermula pada 2 November tahun lalu menarik perhatian umum dan mendapat liputan meluas media massa tempatan dan asing.

Tiga daripada sembilan peguam bela Anwar, terdiri daripada Sulaiman Abdullah, Gurbachan Singh dan Christopher Fernando menggulung kes pembelaan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang menganggotai pasukan terdiri daripada enam pendakwa membentangkan penghujahan balas bagi keseluruhan kes itu.

Pasukan pendakwa diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah manakala Peguam Cara Negara, Datuk Heliliah Mohd. Yusof turut serta pada peringkat akhir kes itu.

Ketika sidang bermula pukul 9.03 pagi ini, Gani memberitahu Hakim Augustine bahawa beliau ingin menjelaskan perkara yang dipertikaikan oleh Fernando semalam berhubung kenaikan pangkat seorang saksi pembela, bekas juruiring Anwar, ASP Zull Aznam Haron.

Bagaimanapun, Fernando tidak hadir pada perbicaraan hari ini kerana melaksanakan tugas pembelaan di mahkamah lain.

Gani: ''Saya ingin memaklumkan kepada mahkamah mengenai kenaikan pangkat Zull Aznam. Tidak ada dakwaan yang mengatakan kenaikan pangkatnya ditarik balik. Keadaan sebenar, beliau seharusnya ditukar ke Jerantut untuk menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah dengan memangku pangkat Deputi Supritendan (DSP).

''Tetapi Timbalan Ketua Polis Daerah yang sepatutnya bertukar itu meminta penangguhan ke Bahagian Narkotik di Kuala Lumpur sehingga selesai menyediakan kertas-kertas penyiasatannya.

''Timbalan Ketua Polis Daerah itu baru melaporkan dirinya dan beliau (Zull Aznam) boleh lapor diri bagi jawatan barunya pada 1 atau 16 April ini.

''Saya merasa sedih apabila seorang peguam bela membuat kenyataan di dalam mahkamah tetapi gagal membuktikan kebenaran faktanya.

''Dan saya juga merasa sedih kerana Fernando mengeluarkan perkataan seolah-olah pihak pendakwa tahu hal itu.

''Pada pandangan umum, kata-kata peguam bela itu hanya bertujuan menarik perhatian hadirin di galeri awam.

''Saya menegaskan dan merasa sedih bagi rakan bijaksana itu kerana ia tidak melakukan apa-apa kebaikan kepada profesion perundangan. Saya mohon mahkamah untuk menyebutkan bahawa terdapat beberapa kali pada perbicaraan ini beliau menimbulkan pelbagai dakwaan yang meminta untuk dibuktikan.

''Seseorang itu seharusnya tidak menaruh syak. Kami mempunyai tanggungjawab sebagai anggota profesion perundangan. Kami berada di sini untuk satu tujuan bagi mencari keadilan dan kami adalah pegawai mahkamah. Dengan rasa hormat, saya boleh membangkitkan beberapa kejadian tetapi Yang Arif mematahkannya.

''Walaupun keputusan mahkamah memihak pendakwa namun Yang Arif masih membenarkan peguam bela meneruskan dengan soalan yang sama. Saya ada 22 contoh untuk menunjukkan mahkamah masih membenarkan peguam bela mengulangi soalan mereka selepas membuat keputusan perkara itu ditolak.

''Saya percaya peguam bela juga menyedari perkara ini kerana mereka mempunyai nota sendiri.

''Malah saksi-saksi pun ada yang disifatkan oleh mereka secara terus terang sebagai pembohong. Walaupun seseorang hakim itu melakukan kesilapan, kita tidak boleh menggunakan perkataan 'buat silap' tetapi terkhilaf di sisi undang-undang. Dan kita tidak memanggil seseorang itu sebagai pembohong.

''Mahkamah juga pernah memerhatikan pada satu ketika, peguam bela (Fernando) menarik balik bantahannya. Jika ini masih dikatakan sebagai tidak adil maka saya tidak tahu apakah makna keadilan.

''Kenyataan yang dibuat oleh Fernando itu seolah-olah menggambarkan polis dan pendakwa tidak senang dengan apa yang diberitahu (keterangan) Zull Aznam di mahkamah dan oleh itu pangkatnya ditarik balik.

''Dengan itu, keterangan yang dikemukakan boleh melemahkan lagi pembelaan.''

Pada peringkat ini, Raja Aziz Addruse yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar bangun membantah kerana tidak bersetuju dengan Gani apabila beliau menyentuh berkenaan keterangan saksi pembela itu.

Raja Aziz: ''Saya bantah perkara ini. Ia sepatutnya mengenai aduan tentang Fernando. Jika hal ini tidak betul maka mahkamah boleh membuat pertimbangan.

''Apa yang relevan ialah anak guam (Anwar) telah dimaklumkan oleh Zull Aznam bahawa kenaikan pangkatnya telah ditarik balik. Berdasarkan maklumat itu maka Fernando membangkitkan dalam hujah semalam.

Hakim Augustine: ''Raja Aziz, penghujahan seharusnya berdasarkan perkara yang dikemukakan dalam mahkamah.''

Raja Aziz: ''Saya setuju sepenuhnya dengan Yang Arif. tetapi pendakwa raya mengatakan bahawa kami patut berhujah berdasarkan fakta.''

Hakim Augustine: ''Hujahlah apa yang ada dalam rekod berhubung keterangan yang dikemukakan di mahkamah.''

Raja Aziz: ''Kami mendapat tahu perkara ini kemudian.''

Hakim Augustine: ''Nampaknya kamu hendak menggunakan sesuatu yang di luar daripada rekod.

Raja Aziz: ''Kami ingin mengatakan bahawa apa yang difahamkan kenaikan pangkat itu telah ditarik balik.''

Hakim Augustine: ''Pada pandangan saya, mengikut undang-undang ia mestilah berdasarkan dalam rekod.''

Raja Aziz: ''Sebagai pegawai mahkamah kami mempunyai kewajipan untuk membuat teguran.''

Hakim Augustine: ''Fernando tidak seharusnya mengatakan dengan cara yang telah beliau lakukan. Tidak usah buat dakwaan. Dengan cara itu ia lebih bersopan. Saya rasa Gani pun boleh menerimanya. Sebab itulah beliau kata sungguh sedih dengan tindak-tanduk peguam bela.''

Raja Aziz: ''Beliau mengatakan dengan caranya. Begitulah cara Fernando.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Hakim Augustine: ''Kita tidak seharusnya terbawa dengan emosi. Saya tidak mengatakan kamu emosional tadi. Saya akui bahawa ia adalah percakapan yang ikhlas.''

Raja Aziz: ''Saya akan beritahu Fernando supaya beliau lebih bersopan. Saya rasa itu sudah pembawaannya.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa itu bukan caranya. Jika demikian itu adalah binatang yang seharusnya ditembak. Ini hanya ilustrasi sahaja supaya beliau (Fernando) bersikap lebih bersopan. Begitu juga misalnya, orang awam yang duduk di kerusi itu harus menghormati tempat duduknya.''

Bagaimanapun, Hakim Augustine memuji sikap Gurbachan yang membuat kajian dalam tugas pembelaannya.

Sambil tersenyum, Gurbachan bangun mengucapkan terima kasih.

Oleh: KAMARIAH AHMAD





Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PEMBELAAN - 4"