untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Tuesday, July 15, 2008

PEMBELAAN - 3

ARKIB : 02/03/1999

Azizan nampak kecewa - Saksi


MOHAMED AHMAD.


KUALA LUMPUR 1 Mac - Bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Mohamed Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Azizan Abu Bakar nampak kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan pertolongan bagi cadangan perniagaannya pada Jun tahun lalu.

Beliau berkata, Anwar enggan berjumpa dengan Azizan untuk mengelakkan tohmahan terhadap dirinya pada masa itu.

Mohamed, 39, memberitahu demikian sebagai saksi pembela yang ketiga pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-62 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan diri daripada keaiban.

Ketika sidang mahkamah bermula 9.04 pagi, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa beliau yang mengendalikan pemeriksaan utama pada peringkat kes pembelaan hari ini.

Beliau lalu memanggil Mohamed untuk tampil memberi keterangan.

Gurbachan: ''Pada 1998, adakah kamu sebagai Setiausaha Sulit Kanan di Kementerian Kewangan?''

Mohamed: ''Ya.''

Gurbachan: ''Sejak bilakah kamu memegang jawatan itu?''

Mohamaed: ''Sejak 1994.''

Gurbachan: ''Siapakah Menteri Kewangan ketika itu?''

Mohamed: ''Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Gurbachan: ''Sehingga bilakah kamu memegang jawatan ini?''

Mohamed: Sehingga 3 September 1998.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu dengan seorang bernama Azizan Abu Bakar.''

Mohamed: ''Ya, saya kenal, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Bagaimana kamu mengenali Azizan?''

Mohamed: ''Saya telah diperkenalkan oleh ASP Zull Aznam (bekas juruiring Anwar).''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu beritahu bilakah kamu diperkenalkan?''

Mohamed: ''Dalam bulan Jun 1998.''

Gurbachan: ''Bagaimana kamu diperkenalkan dengan beliau?''

Mohamed: ''Yang Arif, Zull Aznam telah menelefon saya di pejabat dan memaklumkan bahawa Azizan ingin berjumpa dengan saya untuk membuat satu cadangan perniagaan.''

Gurbachan: ''Dan adakah Azizan datang berjumpa dengan kamu?''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif. Saya telah memaklumkan kepada Zull Aznam tarikh dan masa perjumpaan?''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu ingat tarikh perjumpaan yang kamu tetapkan itu?''

Mohamed: ''Saya ingat harinya iaitu hari Khamis. Tarikhnya saya tidak ingat.''

Gurbachan: ''Kamu kata tadi beberapa cadangan perniagaan. Boleh kamu jelaskan apa yang dimaksudkan cadangan perniagaan.''

Mohamed: ''Yang Arif, yang dimaksudkan perniagaan bukanlah cadangan perniagaan yang biasa. Ia merupakan permohonan kontrak dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).''

Gurbachan: ''Kontrak TNB dengan siapa?''

Mohamed: ''Azizan telah menyatakan Yang Arif, beliau bagi pihak salah seorang pengarah syarikat yang bernama Datuk Taufik Yap Abdullah.''

Gurbachan: ''Adakah kamu maklumkan kepada Datuk Seri?''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Apabila kamu maklumkan kepada Datuk Seri, apakah jawapannya?''

Mohamed: ''Seperti biasa Yang Arif, sebarang rujukan yang menggunakan nama Datuk Seri Anwar, saya akan terlebih dulu merujuk kepada beliau sendiri. Beliau mengatakan Azizan ingin berjumpa dengannya tetapi beliau enggan. Dengan itu beliau mencadangkan saya berjumpa dengan Azizan mengenai cadangan perniagaan tersebut.''

Gurbachan: ''Apabila Zull Aznam menelefon kamu, adakah apa-apa permintaan daripada sesiapa untuk berjumpa Datuk Seri?''

Mohamed: ''Maaf, saya minta ulang soalan.''

Gurbachan: ''Soalan saya, adakah sebarang permintaan daripada sesiapa?''

Mohamed: ''Orang lain tidak ada, hanya Azizan ingin berjumpa Datuk Seri.''

Gurbachan: ''Adakah kamu sampaikan pesanan Azizan untuk berjumpa dengan Datuk Seri?''

Mohamed: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Apa yang kamu rujukkan kepada Datuk Seri selepas menerima telefon daripada Azizan.''

Mohamed: ''Seperti yang saya terangkan tadi, saya mengatakan bahawa Azizan akan berjumpa dengan saya pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan melalui Zull Aznam.''

Gurbachan: ''Baiklah, adakah Datuk Seri berikan jawapan lain. Kamu kata beliau keberatan. Adakah beliau beritahu apa-apa lagi.''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif, pada kebiasaannya, Datuk Seri akan memaklumkan bahawa 'dengar apa yang dicakap'. Perkataan Datuk Seri ialah 'just mere listen'.''

Gurbachan: ''Khususnya berhubung kes ini, adakah Datuk Seri memberikan arahan untuk berjumpa Azizan.''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif, Datuk Seri mengatakan 'just listen, saya enggan berjumpa dengan beliau (Azizan)'.''

Gurbachan: ''Siapa yang enggan berjumpa Azizan.''

Mohamed: ''Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Gurbachan: ''Adakah Datuk Seri beritahu kenapa beliau enggan berjumpa Azizan?''

Mohamed: ''Dengan keadaan semasa itu, dan bagi mengelakkan tohmahan beliau enggan berjumpa dengan Azizan.''

Gurbachan: ''Apa yang kamu maksudkan dengan keadaan semasa itu?''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif, pada anggapan saya...''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah sambil berkata: ''Soal apa yang dimaksudkan?''

Gurbachan: ''Saya terima bantahan itu. Saya tidak mahu jawapan anggapan, apa yang kamu maksudkan semasa itu?''

Gani menyampuk: ''Beliau (Anwar) enggan berjumpa Azizan.''

Gurbachan: ''Kamu maksudkan keadaan semasa itu, mengelakkan tohmahan. Adakah Datuk Seri beritahu kamu keadaan semasa itu untuk mengelakkan tohmahan?''

Mohamed: ''Tidak, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah Datuk Seri berikan sebarang alasan kenapa beliau enggan berjumpa Azizan?''

Mohamed: ''Tidak, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Baiklah, adakah Azizan datang berjumpa kamu pada hari yang dijanjikan?''

Mohamed: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Bagaimana Azizan memberitahu hari dan masanya?''

Mohamed: ''Ia melalui Zull Aznam.''

Gurbachan: ''Apa berlaku apabila Azizan datang berjumpa kamu di Kementerian Kewangan pada Jun 1998.''

Mohamed: ''Beliau telah tiba di pejabat saya dan menyerahkan sekeping kertas dan kad perniagaan tempat beliau bekerja sebagai jurujual dan pentadbir eksekutif di salah sebuah syarikat perumahan di Melaka.''

Gurbachan: ''Apa lagi yang berlaku ketika Azizan berjumpa kamu?''

Mohamed: ''Azizan ingin berjumpa dengan Datuk Seri, bagaimanapun beliau telah dirujuk kepada saya oleh Zull Aznam.''

Gurbachan: ''Adakah Azizan beritahu mengapa beliau ingin berjumpa Datuk Seri?''

Mohamed: ''Beliau mengatakan bahawa beliau memohon pertolongan Datuk Seri mengenai satu kontrak dengan TNB seperti yang ternyata atas sekeping kertas yang mengandungi maklumat kontrak tersebut.''

Gurbachan: ''Apakah jawapan kamu dengan permintaan untuk berjumpa Datuk Seri?''

Mohamed: ''Saya agak terperanjat, Yang Arif, kerana biasanya saya mungkin dapat membantu dalam urusan sesuatu cadangan perniagaan atau kesulitan semasa dalam menjalankan perniagaan. Tetapi tidak dalam urusan kontrak.''

Gurbachan mengulang soalannya: ''Adakah kamu benarkan Azizan berjumpa Anwar?''

Mohamed: ''Saya telah mengatakan kepada beliau bahawa Datuk Seri tidak dapat berjumpa dengannya dan beliau dirujukkan kepada saya.''

Gurbachan: ''Adakah Azizan memberikan apa-apa dokumen?''

Mohamed: ''Beliau hanya menyerahkan sekeping kertas mengandungi maklumat mengenai permohonan kontrak dengan TNB.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu siapa yang buat permohonan kontrak itu?''

Mohamed: ''Datuk Taufik Yap Abdullah.''

Gurbachan: ''Apa lagi yang Azizan beritahu kamu?''

Mohamed: ''Beliau meminta saya membawa perkara ini kepada Datuk Seri dan memohon agar Datuk Seri membantu beliau mendapatkan kontrak tersebut.''

Gurbachan: ''Selepas dokumen diberikan kepada kamu apa yang berlaku?''

Mohamed: ''Selepas itu Yang Arif, saya memaklumkan bahawa mengenai isu kontrak adalah sukar untuk dibantu kerana ia harus mengikut proses yang ada dan tidak ada 'shortcut' bagi prosedur pemberian kontrak.''

Gurbachan: ''Dari manakah kamu mendapat arahan itu?''

Mohamed: ''Yang Arif, ia merupakan kelaziman yang diamalkan di Kementerian Kewangan.''

Gurbachan: ''Baiklah, Azizan beri kamu beberapa dokumen. Apa yang kamu buat dengan dokumen ini?''

Mohamed: ''Tidak ada apa-apa tindakan diambil.''

Gurbachan: ''Apabila kamu beritahu bahawa Datuk Seri tidak mahu berjumpa dengannya, apakah reaksi Azizan?''

Mohamed: ''Beliau nampak agak kecewa. Beliau minta saya maklumkan juga kepada Datuk Seri.''

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya tidak ada sebarang soalan balas terhadap Mohamed.

Selepas itu, Gurbachan memanggil saksi pembela keempat, seorang wartawan kanan dari agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), E. Sivabalan, 34.

Gurbachan: ''Pada 24 Ogos 1997, kamu bertugas di Bernama?''

Sivabalan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Pada hari itu, adakah kamu menghadiri sidang akhbar Perdana Menteri (PM) di sirkit lumba kereta Shah Alam?''

Sivabalan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah wawancara itu berhubung dakwaan terhadap Anwar?''

Sivabalan: ''Ya, sebahagian sidang akhbar mengenai dakwaan. Sidang akhbar itu sempena pelancaran Petronas 300 kilometer di sirkit perlumbaan Batu 3, Shah Alam.''

Gurbachan: ''Adakah PM memberi sidang akhbar khususnya berhubung dakwaan terhadap Anwar?''

Sivabalan: ''Ya, beliau membuat sidang akhbar berhubung perkara itu.''

Gurbachan: ''Adakah kamu membuat catatan dalam sidang akhbar itu?''

Sivabalan: ''Ya, saya mencatatkan dalam nota dan juga membuat rakaman dengan kaset.''

Gurbachan: ''Adakah kamu masih menyimpan kaset rakaman?'

Sivabalan: ''Saya tidak ada lagi kaset rakaman itu kerana saya menggunakannya semula untuk sidang akhbar yang lain.

Saksi itu juga memberitahu bahawa beliau juga tidak menyimpan lagi buku nota yang mengandungi catatan sidang akhbar itu.

Gurbachan: ''Apa yang terjadi dengan buku nota kamu?''

Sivabalan: ''Saya sudah membuangnya.''

Gurbachan memanggil saksi kelima pihak pembela, Ashraf Abdullah yang kini merupakan penulis rencana ekonomi akhbar New Strait Times (NST).

Ashraf juga memberitahu bahawa beliau menghadiri sidang akhbar tersebut.

Bagaimanapun, menurut Ashraf, beliau juga membuang buku nota yang mengandungi catatan sidang akhbar itu selepas tiga bulan tidak terdapat sebarang penafian tentang apa yang telah disiarkan.

Menurutnya, beliau juga menggunakan semula kaset rakaman yang digunakan dalam sidang akhbar untuk tugas yang lain.

Gurbachan: ''Adakah cerita yang kamu tulis itu menggambarkan apa yang dikatakan oleh PM?''

Ashraf: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah kamu dengar sendiri mengenai apa yang diperkatakan oleh PM?''

Ashraf: ''Ya, Yang Arif.''

Seterusnya, saksi pembela keenam, pemandu Anwar, Abdullah Sani Hassan, 39, juga dipanggil memberikan keterangannya.

Gurbachan: ''Sekarang kamu bertugas di mana?''

Abdullah: ''Saya bertugas di rumah Datuk Seri sebagai pemandu untuk anak-anaknya dan isterinya.''

Gurbachan: ''Sejak bilakah kamu bertugas dengan Anwar?''

Abdullah: ''Saya bertugas dengan Datuk Seri sejak 1983 hingga sekarang.''

Gurbachan: ''Adakah kamu kenal Azizan Abu Bakar?''

Abdullah: ''Ya, saya kenal Azizan.''

Gurbachan: ''Macam mana kamu kenal Azizan?''

Abdullah: ''Saya kenal Azizan semasa dia kerja di rumah Datuk Seri. Azizan bertugas sebagai pemandu kepada anak-anak dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.''

Gurbachan: ''Adakah pernah kamu nampak Azizan memandu Datuk Seri seorang diri?''

Abdullah: ''Tidak pernah.''

Gurbachan: ''Pada Jun 1998, adakah Azizan menghubungi kamu?''

Abdullah: ''Ya, Azizan ada menghubungi saya.''

Gurbachan: ''Macam mana beliau beritahu kamu?''

Abdullah: ''Beliau beritahu saya bahawa beliau ingin berjumpa Datuk Seri.''

Gurbachan: ''Adakah beliau beritahu mengapa hendak jumpa Datuk Seri?''

Abdullah: ''Beliau kata ada masalah sedikit.''

Gurbachan: ''Adakah beliau beritahu apa masalahnya.''

Abdullah: ''Beliau tak beritahu apa-apa?''

Ketika pemeriksaan balas Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, Abdullah memberitahu bahawa beliau tidak pernah mengambil cuti panjang.

Menurutnya, jika mengambil cuti maka tugasnya diambil alih oleh pemandu kementerian untuk membawa Anwar ketika itu.

Pada sesi sebelah petang perbicaraan itu, Ashraf mengemukakan jilid akhbar NST yang memuatkan salinan asal beritanya pada 24 September tahun lalu.

Seterusnya Gurbachan memanggil saksi pembela ketujuh, seorang wartawan NST di cawangan Klang, Sa'odah Elias.

Sa'odah disoal berhubung sidang akhbar Anwar pada 25 Ogos 1997.

Bagaimanapun, Sa'odah juga memberitahu bahawa beliau tidak menyimpan lagi buku notanya dan kaset rakaman yang digunakan dalam sidang akhbar itu telah digunakan semula untuk merakam liputan berita yang lain.

Saksi pembela kelapan, Ngui Kee Heong, 58, yang bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah memberitahu bahawa Azizan telah datang berjumpanya untuk mengangkat sumpah dan menandatangani satu surat akuan berkanun pada 10 Ogos 1998.

Menurut Ngui, Azizan menandatangani surat akuan berkanun itu secara sukarela dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

Selepas itu, saksi pembela kesembilan, Maamin Latip, 49, dipanggil memberi keterangan.

Gurbachan: 'Adakah kamu pernah berjumpa dengan Azizan Abu Bakar?''

Maamin: ''Saya pernah berjumpa dengan Azizan di Melaka.''

Gurbachan: ''Adakah kamu pernah tinggal dengan Azizan di mana-mana?''

Maamin: ''Azizan pernah datang bermalam di rumah saya dan saya juga pernah dibawa bermalam di rumahnya.''

Gurbachan: ''Rumahnya di mana?''

Maamin: ''Bukan rumahnya, saya bermalam di rumah ayahnya di Jinjang.''

Gurbachan: ''Pernahkah kamu berulang alik bersama Azizan dari Melaka ke Kuala Lumpur dan balik ke Melaka?''

Maamin: ''Saya pernah berulang alik dengan kenderaan yang dipandu sendiri oleh Azizan.''

Gurbachan: ''Adakah satu ketika kamu mengikut Azizan pergi ke pejabat peguam, boleh ingat tarikh atau bila Azizan minta kamu menemaninya pergi ke pejabat peguam?''

Maamin: ''Tarikh saya tidak ingat. Bulan pada minggu pertama Julai tahun 1998.''

Gurbachan: ''Di manakah pejabat peguam?''

Maamin: ''Tempat pejabat peguam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.''

Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB : 02/03/1999

Hakim arah siasat sebaran maklumat melalui Internet

KUALA LUMPUR 1 Mac - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini memandang serius dan meminta dijalankan siasatan mengenai penyebaran maklumat melalui Internet berhubung sebahagian keterangan dengar cakap dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilarang disiarkan oleh media.

Beliau memberi pandangan demikian selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menimbulkan satu isu berhubung keterangan dengar cakap ketika peguam bela Anwar sedang membuat pemeriksaan utama terhadap saksi pembela yang keempat dalam kes itu, wartawan kanan Bernama, E. Sivabalan.

Mohtar berkata, beliau tidak membantah sekiranya Gurbachan Singh ingin mengemukakan satu keratan akhbar sebagai dokumen pihak pembela yang dianggap keterangan dengar cakap.

Namun, katanya, beliau telah memerhatikan bahawa keputusan mahkamah mengenai keterangan dengar cakap itu tidak dipatuhi.

''Semua keterangan yang tidak boleh dilaporkan disebarkan melalui Internet. Walaupun akhbar utama tempatan mematuhinya tetapi terdapat juga dalam media yang lain. Ia telah disebarkan meluas seluruh dunia, '' jelas Mohtar.

Hakim Augustine berkata, keratan akhbar itu bukan keterangan dengar cakap.

Menurut Mohtar, beliau tidak membantah dan hanya memberikan misalan sahaja.

Tambah beliau, ia datangnya daripada dalam mahkamah itu dan mungkin daripada pihak pembela atau para pemerhati.

''Ini perkara serius, kita harus menyiasatnya,'' kata hakim Augustine.

Mohtar berkata, pihaknya memandang serius tetapi tidak akan mengambil sebarang tindakan ketika perbicaraan ini.

Gurbachan menjawab, bahawa pihak pembela tidak tahu menahu mengenai penyebaran maklumat tersebut.

''Semua anggota pasukan pembela tidak tahu hal ini dan kami memberi jaminan bahawa kami mematuhi dengan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah,'' kata Gurbachan.

ARKIB : 03/03/1999

Permohonan untuk Anwar dengar keterangan Rahim ditolak

KUALA LUMPUR 2 Mac - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan peguam Karpal Singh agar dibenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada prosiding untuk mendengar keterangan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Abdul Rahim Noor kepada Suruhanjaya Diraja hari ini yang menyiasat kecederaannya ketika dalam tahanan polis.

Hakim Datuk S. Augustine Paul yang mengendalikan perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu memutuskan bahawa beliau mendapati tidak ada permintaan daripada Suruhanjaya itu yang memerlukan Anwar berada dalam prosiding siasatan tersebut.

Beliau menjelaskan sekiranya, Anwar dihantar ke sana dan berlaku sesuatu yang tidak kena maka beliau tidak tahu kemungkinannya.

''Saya harap kamu faham,'' ujar Hakim Augustine ketika menolak permohonan Karpal yang dikemukakan melalui peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse.

Raja Aziz yang mengetuai barisan sembilan peguam bela mewakili Anwar mengemukakan permohonannya pada peringkat Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail sedang menyoal balas saksi pembela kesembilan, seorang bekas komando, Maamin Latip.

''Saya ingin mengganggu sebentar, bekas IGP, Rahim Noor sedang memberi keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Diraja. Seperti yang mahkamah ini maklum bahawa keterangan itu memberi kesan secara langsung kepada tertuduh (Anwar),'' kata Raja Aziz.

Menurut Raja Aziz, beliau bagi pihak Karpal memohon agar Anwar dibenarkan berada dalam prosiding itu ketika bekas IGP memberi keterangan walaupun Suruhanjaya tidak memerlukan kehadirannya.

''Kami tidak ada halangan jika Datuk Seri dibenarkan menghadiri prosiding itu sebagaimana yang dimohon oleh Karpal,'' tambah beliau.

Namun Hakim Augustine menegaskan bahawa perkara itu tidak timbul dan ia mengikut perintah di bawah Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah.

----------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/03/1999

'Saya disuruh perhatikan Azizan'

KUALA LUMPUR 2 Mac - Seorang bekas anggota komando, Maamin Latip memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau disuruh memerhatikan Azizan Abu Bakar dengan diberikan ganjaran berupa sedikit wang.

Bagaimanapun, dia tidak menyebut berapa jumlah ganjaran yang diberikan kepadanya bagi tujuan itu.

Maamin, 49, memberitahu demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan balas pendakwa raya pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-63 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalahgunakan kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan diri daripada keaiban.

Ketika sidang bermula pukul 9.04 pagi ini, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh menyambung pemeriksaan utama terhadap Maamin.

Gurbachan: ''Semalam saya ada tanya kamu sama ada pergi ke pejabat Azizan. Kamu jawab ada. Siapakah pelawa untuk pergi ke pejabat Azizan?''

Maamin: ''Azizan sendiri.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu mahkamah di manakah pejabat Azizan?''

Maamin: ''Di Alor Gajah, Melaka, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Selain pejabat Azizan di Alor Gajah, adakah kamu pernah pergi ke pejabat Azizan yang lain?''

Maamin: ''Ada, di Jinjang.''

Gurbachan: ''Siapa yang pelawa kamu untuk pergi ke pejabat Azizan di Jinjang.''

Maamin: ''Azizan sendiri, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Baiklah, setelah anda mengiringi Azizan dari Melaka ke Kuala Lumpur (KL) dan jumpa peguam yang kamu kata semalam, bilakah kamu dan Azizan balik?''

Maamin: ''Kami balik ke Melaka selepas selesai tugas Azizan di KL.''

Gurbachan: ''Dengan keadaan apa Azizan dan kamu balik dari KL ke Melaka?''

Maamin: ''Dengan kenderaan Azizan sendiri.''

Gurbachan: ''Dalam perjalanan balik dari KL ke Melaka, adakah anda memerhatikan keadaan Azizan?''

Maamin: ''Ada.''

Gurbachan: ''Siapa yang memandu kereta dari KL ke Melaka?''

Maamin: ''Azizan sendiri, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Apakah keadaan Azizan yang anda perhatikan dalam perjalanan balik dari KL ke Melaka?''

Maamin: ''Beliau tidak bercakap dan keadaannya serius.''

Gurbachan: ''Adakah apa-apa perbualan dalam perjalanan itu semasa dengan Azizan.''

Maamin: ''Ada.''

Gurbachan: ''Apakah perbualan itu?''

Maamin: ''Yang pertama, saya menasihatkan beliau jangan memandu laju dan bertenang. Dan beliau menjawab nasihat saya. Dengan spontan Azizan menepuk stering keretanya.''

Gurbachan: ''Apa beliau kata?''

Maamin: ''Beliau mengatakan dia difitnah. Saya bertanya lagi, 'siapa fitnah kamu.' Beliau menjawab, 'saya tak kenal Khalid Jafri dan buku itulah'. Saya bertanya buku apa? Beliau mengatakan buku 50 Dalil. Dan, saya bertanya kepada Azizan lagi, 'awak sudah membacakah?' ''

Gurbachan: ''Membaca apa?''

Maamin: ''Membaca buku 50 Dalil?''

Gurbachan: ''Apa jawapannya?''

Maamin: ''Beliau menjawab, 'abang baca tak dalam surat khabar?''

Gurbachan: ''Ya, kemudian apa berlaku apabila sampai di Melaka?''

Maamin: ''Apabila sampai di Melaka, di rumah saya, waktu Maghrib dan saya mengerjakan solat Maghrib berjemaah dengannya. Dan, Azizan bermalam di rumah saya.''

Gurbachan: ''Setelah bermalam apa berlaku pada pagi esoknya?''

Maamin: ''Pada pagi esoknya, beliau pergi ke tempat kerja semula tapi saya tidak mengikutnya. Pada sebelah tengah hari, beliau (Azizan) kembali semula ke rumah saya dan membawa saya ke bandar Melaka untuk berjumpa peguam perumahan. Dan, ketika dalam kereta, beliau mengatakan kepada saya perkataan, 'bang, saya melihat abang tak tinggal sembahyang dan saya meminta tolong jasa abang, sembahyang hajat lepaskan saya daripada fitnah ini.''

Gurbachan: ''Maamin, boleh ingat nama peguam itu?''

Maamin: ''Saya tak ingat, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Maamin, lebih kurang dua hari kemudian apa yang berlaku?''

Maamin: ''Azizan menelefon saya menemankannya ke Bukit Aman di KL.''

Gurbachan: ''Adakah anda bersetuju temani beliau?''

Maamin: ''Saya kasihankan beliau dan saya setuju.''

Gurbachan: ''Kali ini anda dan Azizan pergi ke KL menaiki apa?''

Maamin: ''Menaiki keretanya dan Azizan sendiri yang memandu.''

Gurbachan: ''Apa berlaku apabila sampai di KL?''

Maamin: ''Beliau membawa saya berjumpa dengan peguam yang berbangsa Sikh bertempat di Jalan Masjid India.''

Gurbachan: ''Adakah peguam ini orang yang sama yang dijumpai oleh Azizan dan anda pada hari dahulu?''

Maamin: ''Peguam yang sama, Yang Arif?''

Saksi itu kemudian menerangkan bahawa mereka bertiga pergi ke Bukit Aman tetapi selepas itu beliau diarahkan oleh pegawai polis di situ supaya balik.

Gurbachan: ''Di mana anda bermalam?''

Maamin memberitahu bahawa beliau bermalam di rumah bapa Azizan di Jinjang.

Gurbachan: ''Pada keesokannya adalah anda dan Azizan balik ke Melaka.''

Maamin: ''Keesokannya, saya dan Azizan pergi ke pejabatnya di pekan Jinjang.''

Gurbachan: ''Siapa yang pelawa anda pergi ke pejabat Azizan di pekan Jinjang?''

Maamin: ''Azizan sendiri.''

Hakim Datuk S. Augustine kemudian melarang Gurbachan menimbulkan perbualan saksi itu dengan Azizan ketika dalam perjalanan balik ke Melaka.

Hakim Augustine berkata bahawa ia tidak relevan kerana keterangan Azizan sudah muktamad.

Gurbachan yang akur dengan arahan itu berkata: ''Sila jangan jawab soalan itu.''

Beliau mengajukan soalan lain: ''Kemudian adakah apa-apa perbualan anda dengan Azizan berkenaan jikalau kes ini selesai. Sila jawab.''

Maamin: ''Beliau mengatakan, 'kalau settled masalah ini bang, adalah sesuatu untuk abang.' Saya bertanya, 'apa sesuatu itu?' Beliau berkata, 'senanglah kita, bang'.''

Gurbachan: ''Adakah Azizan beritahu anda apa-apa berkenaan dengan satu kemalangan jalan raya di mana isterinya meninggal?''

Hakim Augustine: ''Tidak relevan. Apakah peranan yang dimainkan oleh beliau (Maamin) dalam hal ini. Apa faedahnya. Azizan sudah beri keterangan yang jelas mengenai perkara itu.''

Gurbachan: ''Kami berniat untuk mengemukakan keterangan yang lebih mendalam bagi menunjukkan bentuk pertalian yang rapat di antara saksi ini dengan Azizan.''

Hakim Augustine: ''Macam mana ia boleh membantu?''

Gurbachan: ''Ia mungkin membantu mahkamah memutuskan sama ada dakwaan Azizan bahawa beliau telah dipengaruhi atau diugut oleh saksi ini. Ini sesuatu yang tidak boleh dipercayai.''

Hakim Augustine: ''Apakah kaitannya?''

Gurbachan: ''Kami ingin menunjukkan bahawa perhubungan saksi ini dengan Azizan seperti adik beradik.''

Hakim Augustine: ''Bagaimana cara untuk memutuskannya?''

Gurbachan: ''Ia untuk menunjukkan bahawa Azizan sedang melawan dengan masalah peribadi. Itulah relevensinya.''

Hakim Augustine: ''Saya tak nampak ia relevan.''

Gurbachan: ''Saya menghujah bahawa ada dakwaan terhadap saksi ini.''

Hakim Augustine: ''Tidak relevan. Teruskan soalan lain.''

Gurbachan: ''Jangan jawab soalan ini. Soalan seterusnya, adakah anda orang Datuk Seri Anwar?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah soalan tersebut.

Hakim Augustine: ''Tanya sama ada beliau faham soalan?''

Gurbachan: ''Kalau faham, sila jawab.''

Maamin: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Adakah pada bila-bila masa Datuk Seri Anwar arah atau minta anda untuk berjumpa atau mempengaruhi Azizan dengan apa cara pun?''

Maamin: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Adakah anda dengan apa-apa cara pun mempengaruhi Azizan?''

Maamin: ''Tidak.''

Seterusnya, Maamin menafikan dakwaan bahawa beliau mengancam Azizan atau memberi arahan kepada peguam berbangsa Sikh itu untuk berjumpa dengan Azizan.

Dalam pemeriksaan utama juga saksi itu memberitahu bahawa beliau melaporkan kepada polis kerana merasa letih dan penat setelah beberapa kali dipanggil oleh ke balai dan keterangannya adalah serupa.

Pada peringkat pemeriksaan balas, pendakwa raya menyoal dengan terperinci mengenai latar belakang Maamin yang merupakan seorang bekas tentera.

Maamin memberitahu bahawa beliau berkhidmat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1970 dan mendapat latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Apabila tamat latihan, beliau diberikan pula latihan komando di Sungai Udang Melaka.

Menurut Maamin, beliau dihantar bertugas di merata-rata kawasan untuk membanteras komunis hinggalah ke Sarawak.

Maamin berkata, pada 1975, beliau dipilih menjadi pengawal peribadi kepada Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Sani Abdul Ghafar.

Saksi itu tidak bersetuju dengan soalan Gani bahawa pemilihan sebagai pengawal peribadi itu disebabkan beliau seorang anggota komando yang amat cekap dan terbaik.

Selepas Jeneral Sani bersara, kata Maamin, beliau dilantik sebagai jurulatih kepada 'Handau' (Hantaran Udara) dan ia merupakan pasukan menyelamat dan membantu khususnya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Maamin berkata, beliau bersara daripada perkhidmatannya pada tahun 1983 dengan berpangkat Staf Sarjan.

Selepas itu, beliau diambil menjadi jurulatih di Biro Tata Negara (BTN).

Gani mengajukan soalannya: ''Dan kamu dipanggil untuk menjadi jurulatih BTN oleh kawan-kawan kamu, betul?''

Maamin: ''Benar.''

Gani: ''Kawan-kawan kamu ini termasuk seorang bernama Rahim King, betul?''

Maamin: ''Betul, Yang Arif?''

Gani: ''Apakah nama yang sebenar Rahim King?''

Maamin: ''Abdul Rahim Dahalan.''

Gani: ''Maamin, cuba terangkan kepada mahkamah kenapa beliau digelar Rahim King?''

Maamin: ''Yang Arif, sekadar glamour.''

Gani sambil ketawa meneruskan soalan: ''Itu perkara biasa, sebab apa beliau diberi gelaran?''

Maamin: ''Salah satu contoh, beliau suka meletakkan dirinya sebagai 'king' (raja).''

Gani: ''Rahim ini bekas komando juga, betul?''

Maamin: ''Benar, Yang Arif.''

Seterusnya Gani menyoal: ''Saya mengatakan kepada kamu pada bulan Julai 1998, Rahim King telah menelefon kamu untuk memerhatikan seorang lelaki yang bernama Azizan Abu Bakar.''

Maamin: 'Betul.''

Gani: ''Saya mengatakan kepada kamu bahawa Rahim King meminta kamu pergi ke KL dan berjumpanya di Restoran Tom Yam, Kampung Baru.''

Maamin: ''Betul, Yang Arif.''

Gani: ''Adakah kamu pergi ke tempat itu?''

Maamin: ''Saya pergi, Yang Arif.''

Menurut Maamin, setelah sampai di restoran itu, beliau diperkenalkan dengan Azizan.

Gani: ''Saya mengatakan kepada kamu pada masa itulah juga Rahim King telah menyuruh kamu membuat pemerhatian ke atas Azizan, betul?''

Maamin: ''Saya bukan diarah tetapi diminta tolong memerhatikan.''

Gani: ''Saya tidak menggunakan perkataan mengarah tetapi menyuruh. Dan, itulah pertama kali kamu berjumpa dengan Azizan, betul?''

Maamin: ''Betul.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah, adakah tugas kamu membuat pemerhatian diberi ganjaran oleh Rahim King?''

Maamin: ''Diberi sedikit wang.''

Ketika sesi petang, Gani meneruskan soalannya berkisar pertemuannya dengan Azizan dan juga Rahim King.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 04/03/1999

Mohtar bantah dedah komunikasi sulit

KUALA LUMPUR 3 Mac - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah hari ini membantah sekeras-kerasnya cadangan pihak pembela dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil peguam Manjeet Singh Dhilion bagi mendedahkan komunikasi rasmi dan sulit antara beliau dengan dua orang Timbalan Kanan Pendakwa Raya.

Manjeet, 56, sebelum ini merupakan peguam bela yang mewakili bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corp. Berhad, Datuk S. Nallakaruppan yang sedang menjalani hukuman penjara 42 bulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Akta Senjata Api.

Pihak pembela memanggil Manjeet sebagai salah seorang saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-64 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Pada sesi petang perbicaraan itu, selepas mendengar bantahan awal Peguam Negara, Hakim Datuk S. Augustine Paul mengarahkan pendakwa raya dan peguam bela Anwar membentangkan hujah masing-masing mengikut peruntukan undang-undang pada Isnin ini.

Hakim Augustine meminta kedua-dua pihak itu menyediakan alasan hujah mereka di bawah peruntukan Seksyen 124 Akta Keterangan 1950.

Seksyen 124 menjelaskan mengenai komunikasi rasmi yang menyebut bahawa seseorang pegawai awam tidak boleh dipaksa mendedahkan komunikasi yang dibuat kepadanya secara rasmi dan sulit apabila difikirkannya kepentingan awam akan terjejas dengan pendedahan itu:

Dengan syarat bahawa mahkamah boleh menghendaki ketua jabatan pegawai itu memperakui secara bertulis sama ada atau tidak pendedahan itu akan memudaratkan kepentingan awam, maka pegawai itu hendaklah mendedahkan komunikasi itu.

Hakim Augustine mencadangkan bahawa peguam bela harus memfailkan afidavit bagi membolehkan mahkamah memutuskan berdasarkan permohonan dalam afidavit tersebut.

Beliau juga mengeluarkan perintah melarang pihak pendakwa dan peguam bela memberikan apa jua dokumen untuk disiarkan yang difailkan berhubung perbicaraan kes itu.

Sehubungan itu, Mohtar memberitahu bahawa beliau memberi notis kepada peguam bela mengikut Seksyen 123 Akta Keterangan.

Seksyen 123 itu menyebut keterangan mengenai hal ehwal negara.

Seksyen itu menjelaskan bahawa tiada sesiapa jua boleh dibenar mengemukakan apa-apa rekod rasmi yang tidak disiarkan yang berhubungan dengan hal ehwal negara, atau memberi apa-apa keterangan yang didapati daripadanya, kecuali dengan kebenaran pegawai yang menjadi ketua jabatan berkenaan sebagaimana difikirkannya patut, dengan tertakluk, walau bagaimanapun, kepada kawalan Menteri jika berkenaan dengan jabatan kerajaan Malaysia, dan kawalan Ketua Menteri jika berkenaan dengan kerajaan negeri.

Pada sesi pagi, setelah saksi pembela kesembilan, bekas anggota komando, Maamin Latip selesai memberi keterangannya, peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse memanggil saksinya yang ke-10, Manjeet Singh Dhilion.

Sebelum Manjeet memberi keterangannya, Raja Aziz memaklumkan kepada Hakim Augustine bahawa Balwant Singh Sidhu hadir sebagai peguam pemerhati bagi saksi itu.

Tanpa berlengah Raja Aziz menyoal: ''Kamu pada satu ketika menjadi peguam bela mewakili Nallakaruppan berhubung kes jenayah yang dihadapinya.''

Manjeet: ''Saya telah menjadi peguam bela Nallakaruppan dalam kes jenayah yang telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.''

Raja Aziz: ''Ketika menjadi peguam bela Nallakaruppan, adakah kamu berhubungan dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengurangkan dakwaan terhadapnya?''

Manjeet: ''Saya telah berhubung dengan Jabatan Peguam Negara untuk tujuan mengurangkan dakwaan ke atas Nallakaruppan.''

Sebaik sahaja Manjeet memberi jawapan itu, Mohtar bangun membantah dengan menyatakan bahawa mahkamah itu telah membuat keputusan mengikut Seksyen 136 Akta Keterangan.

Di bawah Seksyen itu, apabila salah satu pihak bercadang hendak memberi keterangan mengenai sesuatu fakta, mahkamah bolehlah bertanya kepada pihak yang bercadang hendak memberi keterangan itu bagaimana fakta yang dikatakan itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan; dan mahkamah hendaklah menerima keterangan itu jika difikirkannya bahawa fakta itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan, dan tidak selainnya.

Mohtar: ''Perbicaraan Nallakaruppan atas tuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudian dikurangkan tuduhan mengikut Akta Senjata Api. Ia tidak relevan dengan fakta dan isu perbicaraan ini. Dengan demikian Yang Arif, kami tidak tahu pada peringkat ini sama ada soalan dan jawapan adalah berkaitan komunikasi profesional peguam bela dan tertuduh, dan juga pegawai kanan pendakwa di Jabatan Peguam Negara. Itulah sahaja yang saya ingin nyatakan pada peringkat ini.''

Raja Aziz menjawab: ''Ia mungkin boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ini. Kes yang ditimbulkan oleh Jabatan Peguam Negara berhubung komunikasi profesional jika boleh untuk dihujahkan sepenuhnya di hadapan Yang Arif. Tidak ada perilaku yang melanggar Akta Profesion.''

Mohtar: ''Saya mengambil keistimewaan anak guaman tetapi di sini ia mengenai akta profesional.''

Manjeet yang berada di kandang saksi berkata: ''Ia tidak pernah menjadi isu prejudis.''

Raja Aziz bertanya: ''Adakah mahkamah yang membangkitkan isu ini sendiri atau peguam bela Nallakaruppan yang patut melakukannya?''

Mohtar menjawab: ''Kami (pendakwa) berada dalam kesukaran mengenai soalan apa yang ingin dikemukakan pada peringkat ini. Saya hanya membuat bantahan awal di sini mengenai keterangan saksi itu. Tengoklah apa yang peguam bela soal sama ada kami membantah atau tidak.''

Raja Aziz: ''Saya boleh menyoal dan bantahan dibangkitkan kemudian.''

Hakim Augustine: ''Berikan alasan-alasannya.''

Raja Aziz: ''Ini adalah keterangan tambahan. Biarlah soalan dibuat dulu, selepas itu apa yang relevan boleh dibangkitkan. Perkara ini tidak pernah dibuat sebelum ini dan ia tidak bermakna tidak boleh dibantah.''

Hakim Augustine: ''Tanyalah mengenai keterangan relevan yang telah diberikan.''

Raja Aziz: ''Kami tidak boleh timbulkan keterangan tentang apa yang sudah dibantah.''

Hakim Augustine: Sila rujuk Seksyen 136 Akta Keterangan.''

Mohtar: ''Dalam apa keadaan, Raja Aziz telah membuat soalan di bawah Seksyen 136.''

Hakim Augustine: ''Adakah bantahan boleh dikekalkan?''

Raja Aziz: ''Mahkamah telah perintahkan bahawa kami hanya boleh mengemukakan keterangan meliputi dakwaan konspirasi polis.''

Hakim Augustine: ''Jadi apakah masalah kamu?''

Raja Aziz: ''Saya tiada masalah.''

Hakim Augustine: ''Mereka (pendakwa) membantah dengan beralasan pada peringkat ini. Dan mahkamah ingin tahu daripada pihak pembela apakah relevannya keterangan saksi ini?''

Bagaimanapun sebelum Raja Aziz memberi jawapannya, Hakim Augustine menangguhkan pada sesi petang untuk mendengar hujah bantahan awal Peguam Negara.

Sebaik sahaja sidang petang bermula pukul 2.17 petang, Hakim Augustine berkata: ''Baca beberapa seksyen dalam Akta Keterangan. Saya tidak tahu apa yang hendak dibangkitkan oleh Peguam Negara dalam bantahan awalnya. Kita boleh dengar bantahan dengan rasional. Kamu boleh hujah sehingga mana yang dimahukan. Peguam Negara, bolehkah beritahu arah manakah yang kamu tuju?''

Mohtar: ''Sebagaimana yang saya nyatakan pagi ini bahawa saya membantah atas dua alasan. Pertama, relevansi di bawah Seksyen 136 Akta Keterangan. Kedua, saya juga membantah berhubung keistimewaan komunikasi yang dibuat secara rasmi dan sulit antara peguam bela dalam kes Nallakaruppan dengan dua orang pendakwa raya. Ia juga terdapat persoalan mengenai keistimewaan profesion antara anak guaman.''

Peguam Negara itu lalu menghujah panjang lebar tentang komunikasi profesional dalam kes Nallakaruppan.

Beliau menarik perhatian mahkamah kepada awal perbicaraan Anwar dan memetik kata-kata tertuduh itu sendiri tentang dakwaan untuk memburukkan orang kenamaan serta pasukan peguam belanya telah membawa usul untuk menggugurkan dua Timbalan Kanan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad.

Mohtar: ''Seperti yang mahkamah ini ingat bahawa terdapat surat yang ditulis oleh Manjeet (saksi) yang dialamatkan kepada saya dengan tanda 'sulit dan persendirian'. Ia juga ditulis dengan perkataan, 'Untuk tatapan mata kamu sahaja.'

Oleh sebab ia sulit 'untuk tatapan mata kamu sahaja', saya tidak mendedahkannya walaupun kepada setiausaha sulit saya, malah kepada para pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara.

''Mahkamah telah melihat bagaimana surat itu termasuk surat Akuan Bersumpah yang diikrarkan oleh Manjeet bagi tujuan perbicaraan Nallakaruppan, bagaimana ia diperoleh pihak pembela dalam perbicaraan ini dan digunakan untuk memburukkan nama dan menggugurkan dua orang pendakwa raya yang sungguh berkebolehan itu.

''Permohonan itu menyebabkan satu tindakan prosiding diambil terhadap salah seorang peguam bela kes ini, Zainur Zakaria. Saya tidak mahu menyatakan dengan mendalam perkara itu. Ia sudah jelas bahawa keputusan mahkamah ini mengenai permohonan tersebut yang menyalah guna proses mahkamah. Saya menyebutkan perkara ini bagi kaitan keterangan Manjeet.''

Mohtar menghujah bahawa pihak pembela melalui Manjeet sekarang cuba untuk mendedahkan isu itu berkaitan surat Manjeet yang telah dialamatkan kepada beliau.

''Saya berhujah bahawa ia sungguh memalukan terutamanya Peguam Negara dan dua pendakwa raya itu,'' kata Mohtar sambil merujuk Peraturan 13 Profesion dan Etika Guaman.

Selepas mendengar penghujahan Mohtar, Raja Aziz memohon agar pihak pembela diberikan masa untuk mengkaji kuasa undang-undang yang ada bagi menjawabnya.

Hakim Augustine bagaimanapun menegaskan bahawa beliau membenarkan penangguhan hujah itu dan meminta pembela memanggil saksi seterusnya.

Seorang lagi peguam bela Anwar, Christopher Fernando bangun memaklumkan bahawa saksi-saksi pembela lain sudah disuruh balik kerana menyangka keterangan Manjeet akan mengambil masa yang panjang.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/03/1999

Saksi diminta bandingkan kenyataan kepada polis

KUALA LUMPUR 3 Mac - Seorang saksi pembela, Maamin Latip hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini membaca semula sebahagian kenyataan yang dibuatnya kepada polis berhubung tugasnya untuk memerhati dan mengekori Azizan Abu Bakar.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail ketika memeriksa balas saksi itu meminta Maamin 'menyegarkan' ingatannya bagi memberi keterangan yang tepat sama ada beliau ditugaskan untuk mengekori dan menjaga keselamatan Azizan.

Selepas membaca kenyataannya yang ditandakan sebagai dokumen P130 (bahan bukti pendakwa), saksi itu mengakui bahawa memang benar beliau ada membuat kenyataan itu.

Gani bertanya saksi itu mana yang betul kenyataan yang diberikan dalam P130 atau keterangan di mahkamah pagi ini dan petang semalam.

''Saya rasa keterangan hari ini yang betul,'' kata Maamin.

Maamin, 49, bekas anggota komando Tentera Udara Malaysia (TUDM) memberi keterangan itu sebagai saksi pembela kesembilan pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-64 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Pada sidang mahkamah yang bermula pukul 9.05 pagi ini, Gani memohon kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul supaya Maamin dibenarkan membaca semula bahagian kandungan yang diberikannya kepada polis di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah pada 16 September dan 22 November tahun lalu.

Gani memberi alasan bahawa beliau ingin menunjukkan kenyataan itu kepada saksi bagi tujuan mencari kebenaran dan keadilan.

Menurut Gani, beliau tidak mempersoalkan keterangan saksi itu di bawah Seksyen 145 Akta Keterangan.

Hakim Augustine kemudian menangguhkan kira-kira 10 minit untuk membaca bahagian kandungan kenyataan itu di kamar beliau sebelum membenarkan dokumen tersebut ditunjukkan kepada Maamin.

Seterusnya ketika memeriksa balas saksi itu, Gani bertanya: ''Sila baca perkara dua P130. Soalan saya, kamu beri kenyataan dalam P130, betul atau tidak berbanding dengan keterangan yang kamu nyatakan petang semalam?''

Maamin menjawab bahawa ia betul.

Gani: ''Bermakna betullah tugas kamu adalah untuk mengekori dan menjaga keselamatan Azizan.''

Maamin: ''Yang Arif, tugas saya yang sebenar dari awal saya nyatakan bahawa saya hanya diminta tolong untuk memerhati tetapi mengekori dan menjaga Azizan ialah di atas budi bicara saya.''

Selepas Gani selesai menyoal balas saksi itu, Gurbachan meneruskan soalan dalam pemeriksaan semula pihak pembela.

Gurbachan: ''Adakah Azizan minta apa-apa pertolongan daripada anda?''

Maamin: ''Ada, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Apakah pertolongan yang diminta oleh Azizan?''

Maamin: ''Untuk mengerjakan sembahyang hajat.''

Gurbachan: ''Berkenaan kamu mengekori atau mengiringi Azizan dari Melaka ke Kuala Lumpur (KL) dan sebaliknya, siapakah meminta kamu berbuat demikian?''

Maamin: ''Rahim King (juga bekas seorang komando) menyuruh saya memerhati Azizan dan Azizan juga selalu minta tolong daripada saya memerhatikan kenderaan yang mengekorinya.''

Gurbachan: ''Berapa kalikah Azizan sendiri minta pertolongan anda untuk mengiringi beliau daripada Melaka ke KL?''

Maamin: ''Banyak kali.''

Gurbachan: ''Setiap kali Azizan minta pertolongan anda untuk mengiringi beliau, adakah kamu mematuhi permintaan Azizan?''

Maamin: ''Ada juga perkara-perkara yang saya tidak mematuhinya.''

Gurbachan: ''Adakah pada bila-bila masa anda sendiri memaksa Azizan untuk datang ke KL atau memaksa beliau pergi ke pejabat peguam berbangsa Sikh (Sukdev Singh)?''

Maamin: ''Saya tidak pernah memaksa Azizan.''

Gurbachan: ''Adakah pada satu masa anda dan Rahim King bekerja di pejabat yang sama di TUDM?''

Maamin: ''Tidak, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Rakan bijaksana (pendakwa raya) ada menanyakan bahawa Rahim King telah menelefon kamu meminta memerhatikan Azizan, adakah Rahim King memberitahu anda mengapa beliau minta pertolongan kamu untuk memerhati Azizan?''

Maamin: ''Katanya, kawan dan rakan lama.''

Gurbachan: ''Bagaimanakah Rahim King berkata kepada kamu berkenaan dengan pemerhatian ke atas Azizan?''

Maamin: ''Perbualan saya dengan Rahim King, beliau mengatakan 'Amin minta tolong perhatikan Azizan kerana ini kawan lama saya dan beliau berada di Melaka'.''

Gurbachan: ''Berkenaan pada 16 September 1998, pada hari itu kamu buat kenyataan kepada Asisten Supritendan Mazlan Mansor, berapa lamakah kamu beri keterangan kepada Mazlan?''

Maamin: ''Saya hadir di Bukit Aman pukul 11 pagi dan saya disuruh balik pukul 6.30 petang.''

ARKIB : 05/03/1999

Haliliah menganggotai pasukan pendakwa

KUALA LUMPUR 4 Mac - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan enam Timbalan Pendakwa Raya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengenai tambahan anggotanya dengan kehadiran Peguam Cara Negara, Datuk Haliliah Mohd. Yusof dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohtar memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul sejurus sidang mahkamah bermula pada sesi pagi hari ini.

Beliau juga berkata, beliau ingin memberikan notis di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan secara lisan untuk membantah cadangan pihak pembela memanggil peguam Manjeet Singh Dhillion untuk mendedahkan komunikasi sulit berhubung kes Datuk S. Nallakaruppan.

Penghujahan berhubung bantahan itu akan didengar pada Isnin ini.

Menurut Mohtar, notis lisan itu berbunyi seperti berikut: ''Saya sebagai Ketua Jabatan Peguam Negara menimbangkan demi kepentingan awam sekiranya pendedahan dibuat mengenai komunikasi sulit antara Manjeet sebagai peguam bela Nallakaruppan dengan para pegawai di jabatan saya.''

Peguam Negara itu menyatakan bahawa beliau bersandarkan peruntukkan di bawah Seksyen 124 dan Seksyen 123 bagi bantahan itu dan peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang relevan.

''Saya rasa notis lisan ini sudah mencukupi,'' kata Mohtar.

Semalam, Mohtar mengemukakan bantahan awalnya atas tindakan pihak pembela untuk memanggil Manjeet sebagai saksinya yang ke-10 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pada pagi ini juga, Hakim Augustine menolak cadangan pembela untuk memanggil Dr. Vasantha Nair dan Dr. Halim Mansar sebagai saksinya kerana keterangan yang hendak diberikan oleh mereka adalah tidak relevan dengan kes yang dihadapi oleh Anwar.

Dr. Vasantha merupakan doktor yang merawat Anwar semasa berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri manakala Dr. Halim adalah pakar forensik.

ARKIB : 05/03/1999

Azmin sangkal dakwaan Ummi

KUALA LUMPUR 4 Mac - Bekas Setiuasaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Azmin Ali menyangkal dakwaan adiknya, Ummi Hafilda Ali terhadap perihal salah laku bekas Timbalan Perdana itu dengan isterinya (Azmin).

Azmin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau mempercayai isterinya, Shamsidar Taharin sepenuh hati dan mengenali Anwar lebih 10 tahun.

''Saya tahu dia (Anwar) tidak buat perkara terkutuk ini,'' kata Azmin ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh peguam Christopher Fernando yang mewakili Anwar pada perbicaraannya atas empat tuduhan pindaan rasuah.

Fernando bertanya sama ada sikapnya berubah terhadap Anwar apabila mengetahui tentang dakwaan itu.

Azmin yang menyebut nama Anwar sebagai 'saudara Anwar' mengatakan bahawa hubungan mereka berdua bertambah rapat.

Beliau berkata: ''Hubungan saya bertambah rapat untuk mempertahankan dia atas nama keadilan walaupun melibatkan adik saya sendiri.''

Azmin, 34, sebagai saksi pembela yang ke-13 memberitahu demikian pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-65 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi tuduhan menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Terdahulunya, ketika sidang mahkamah bermula pukul 9.14 pagi, pihak pembela memanggil saksinya yang ke-11, Ketua Penolong Setiausaha Parlimen, Zamani Sulaiman.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela Anwar mengendali soalan dalam pemeriksaan utama terhadap saksi itu.

Ketika Raja Aziz bertanyakan tentang tugasnya, Zamani memberitahu bahawa beliau bertugas di Bahagian Pengurusan Dewan untuk mengawasi perjalanan sidang Parlimen dan memastikan ia berjalan dengan lancar.

Tugasnya juga untuk menerbitkan aturan urusan mesyuarat iaitu merupakan persidangan dan juga agenda mesyuarat.

Selain itu, katanya, menerbitkan Penyata Rasmi Parlimen iaitu ucapan dan perbahasan yang berlangsung di pada sidang Parlimen. Laporan itu dibuat kata demi kata atau pun verbatim.

Raja Aziz: ''Bolehkah saya mengatakan kamu bertanggungjawab untuk merekodkan prosiding Parlimen.''

Zamani: ''Ya.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil bertanya apakah peranan yang dimainkan oleh saksi ini.

Raja Aziz: ''Semasa sidang Parlimen pada tahun 1997 ada dilaporkan mengenai Peguam Negara yang menyatakan beliau berpuas hati bahawa tidak ada kes terhadap tertuduh (Anwar) kerana ia tanpa asas. Dan terdapat ucapan TPM di Parlimen. Adakah ini Penyata Rasmi yang mengandungi ucapan itu?''

Zamani: ''Ya.''

Raja Aziz: Boleh kamu lihat muka 53 dokumen itu dan bacakan kandungannya.''

Zamani: ''Ahli Yang Berhormat dari Jelutong meminta supaya Peguam Negara mendakwa Azizan (Azizan Abu Bakar) sekiranya kenyataan bersumpahnya terhadap TPM tidak benar berhubung kes homoseks. Untuk makluman Yang Berhormat bahawa pihak polis telah pun selesai menyiasat kes berkaitan. Surat kenyataan bersumpah Azizan dan Peguam Negara sudah pun meneliti laporan siasatan pihak polis menunjukkan bahawa dakwaan terhadap TPM yang terkandung dalam kenyataan bersumpah tersebut adalah palsu, tidak benar sama sekali dan merupakan satu fitnah.

''Azizan sendiri telah pun mengakui bahawa kenyataan bersumpah itu adalah palsu serta tidak benar dan dia telah pun meminta maaf kepada TPM di atas perbuatannya itu. Berdasarkan pengakuan dan permohonan maaf dari yang bertanggungjawab, Peguam Negara memutuskan tidak akan mendakwa Azizan berkaitan dengan kenyataan bersumpah yang palsu itu.''

Raja Aziz: ''Dan ini adalah ucapan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Nazri Aziz.''

Zamani: ''Betul.''

Raja Aziz: ''Dan menurut penyata itu, bilakah ucapan tersebut dibuat?''

Zamani: ''Ucapan itu telah dibuat pada 9 April 1998.''

Selepaas itu Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bangun memberitahu bahawa pihaknya tidak ada sebarang soalan dalam pemeriksaan balas. Pihak pembela memanggil pula saksi pembela ke-12, seorang wartawan The Sun, Rusdi Mustapha yang mengesahkan bahawa beliau menulis berita mengenai sidang akhbar Anwar yang disiarkan pada 26 September 1997.

Selepas itu, Fernando memaklumkan saksi pembela seterusnya ialah Azmin. Sebelum Azmin mengangkat sumpah untuk memberi keterangannya, Hakim Augustine bertanya apakah relevannya untuk memanggil saksi ini.

Fernando menjelaskan bahawa Azmin merupakan bekas Setiuasaha Sulit kepada tertuduh dan beliau akan mengemukakan soalan yang umum.

Hakim Augustine: ''Tentang perkara apa?''

Fernando: ''Beliau ada berhubungan dengan saksi-saksi yang dikemukakan oleh pendakwa.''

Sebaik sahaja dibenarkan, Fernando menyoal: ''Azmin, bolehkah kamu beritahu kelayakan kamu.''

Azmin ketika mengangkat sumpah memberitahu bahawa beliau kini seorang penganggur.

''Saya mendapat ijazah pertama dalam bidang matematik dan ekonomi. Kemudian saya dapat sarjana dalam bidang yang sama,'' katanya.

Fernando: ''Di mana dan bila?''

Azmin: ''Universiti Minnesota, Amerika Syarikat untuk ijazah pertama pada 1986 dan sarjana pendidikan dalam tahun 1987.''

Fernando: ''Apakah bidang kamu?''

Azmin: ''Matematik dan ekonomi.''

Fernando: ''Di manakah kamu ditempatkan apabila balik ke Malaysia?''

Azmin: ''Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Sains Selangor.''

Fernando: ''Berapa lamakah kamu di sana?''

Azmin: ''Saya mengajar selama sehari.''

Fernando: ''Selepas itu kamu ke mana?''

Azmin: ''Pada keesokannya, 2 Oktober 1987, saya dilantik sebagai pegawai khas Menteri Pendidikan iaitu saudara Anwar.''

Fernando: ''Berapa lama kamu memegang jawatan itu?''

Azmin: ''Sehingga 4 April 1989.''

Fernando: ''Selepas 4 April 1989?''

Azmin: ''Saya dilantik Setiausaha Sulit Menteri Kewangan dan pada Disember 1993 saya dilantik sebagai Setiausaha TPM.''

Fernando: ''Berapa lama kamu memegang jawatan itu?''

Azmin: ''Sehingga 2 September 1998.''

Fernando: ''Apa yang berlaku selepas itu. Adakah apa-apa yang luar biasa berlaku pada hari itu?''

Azmin: ''Ya, pada tarikh berkenaan saudara Anwar telah dipecat oleh Dr. Mahathir (Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad).''

Fernando: ''Dan apa yang berlaku?''

Azmin: ''Saya telah dipanggil oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali yang mengarahkan saya dipindahkan ke Kementerian Pendidikan.''

Fernando: ''Berapa lama kamu berada di sana?''

Azmin: ''Saya tolak permintaan berkenaan dan meletakkan jawatan serta-merta.''

Hakim Augustine: ''Tanyakan soalan yang kamu ingin sebenarnya?''

Fernando: ''Ia untuk mengetahui latar belakangnya. Adakah kamu sudah berkahwin?''

Azmin memberitahu bahawa beliau berkahwin dengan Shamsidar Taharin dan pada masa ini mempunyai empat orang anak.

Feranndo: ''Adakah kamu tahu secara peribadi siapakah Ummi Hafilda?''

Azmin menyebut dengan nada perlahan: ''Adik saya.''

Fernando: ''Adakah kamu menyedari mengenai sepucuk surat yang didakwa ditulis oleh Ummi dan dihantar kepada PM pada Ogos 1997?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Dalam apa keadaan kamu dapat tahu mengenai surat tersebut?''

Azmin: ''Sejurus selepas saudara (Anwar) bertemu dengan PM, dia kembali ke pejabat dan membaca sepucuk surat yang diserahkan oleh PM. Surat ini adalah surat Ummi kepada PM.''

Fernando: ''Adakah surat ini ditunjukkan oleh Anwar?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Boleh kamu ingat apa kandungan surat itu? Adakah kamu ingat apa yang tertulis? Nyatakan dengan ringkas.''

Azmin: ''Surat ini diserahkan kepada saya memandangkan Ummi adalah adik saya.''

Fernando: ''Saya katakan surat ini ditujukan kepada kamu.''

Azmin: ''Yang Arif, kandungan surat ini lebih tertumpu kepada kritikan Ummi terhadap saya kerana...''

Hakim Augustine mencelah sambil mengingatkan kepada Fernando bahawa jawapan saksi itu adalah dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai keterangan.

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bangun menghujah bahawa surat tersebut diberikan oleh PM kepada Anwar sebelum surat dakwaan (P14) dan Anwar telah menerangkan isi kandungannya dan kemudian memberikan kepada Azmin.

Bagaimanapun, kata beliau, surat itu tidak ada kerana ia sudah dimusnahkan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah dengan alasan bahawa ia menjadi satu kesalahan untuk menyoal kandungan surat yang sudah tidak ada lagi.

Hakim Augustine bagaimanapun membenarkan soalan itu selepas menimbangkan hujah Sulaiman.

Fernando meneruskan soalan: ''Kamu membaca surat itu, apa yang kamu baca?''

Azmin: ''Yang Arif, surat itu mengandungi kritikan Ummi terhadap saya kerana tidak membantu beliau untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan. Kandungannya juga ringkas, tidak kasar dan lebih lembut daripada dokumen P14.''

Fernando kemudian meminta saksi itu merujuk dokumen P14 (surat yang dihantar kepada PM mengenai dakwaan perihal salah laku Anwar).

Peguam bela itu meminta Azmin menerangkan dengan ringkas kandungan P14 itu.

Azmin: ''Dokumen ini mengandungi tohmahan dan fitnah terhadap saudara Anwar serta isteri dan keluarga saya.''

Fernando: ''Dalam dokumen ini adakah kritikan terhadap kamu?''

Hakim Augustine: ''Ada atau tidak?''

Azmin: ''Tidak.''

Fernando: ''Bagaimana kamu tahu mengenai P14 yang bertarikh 5 Ogos 1997 ini?''

Azmin: ''Saya dimaklumkan oleh sahabat karib saya pada ketika itu, Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn (kini Timbalan Menteri Perusahaan Utama) pada 10 Ogos 1997.''

Fernando: ''Bolehkah kamu ceritakan keadaan macam mana P14 ini dibawa kepada perhatian kamu?''

Azmin: ''Yang Arif, Hishamuddin telah memanggil saya ke rumahnya dan memberitahu saya mengenai surat tersebut yang diterimanya daripada Datuk Seri Rafidah Aziz.''

Bagaimanapun Hakim Augustine memutuskan segala keterangan Azmin mengenai reaksi dan kata-kata Hishamuddin kepadanya mengenai dakwaan terhadap Anwar itu tidak relevan dalam kes perbicaraan ini.

Azmin kemudian menerangkan selepas beliau bertemu dengan Hishamuddin, beliau balik ke rumahnya dan berbincang dengan isterinya.

Selepas itu, katannya, beliau melihat surat tersebut setelah isterinya mengambilnya daripada peti surat.

Fernando: ''Adakah surat itu serupa dengan P14?''

Azmin: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah kamu percaya dengan kandungan surat itu?''

Hakim Augustine: ''Adakah ia relevan. Tumpukan soalan yang relevan.''

Fernando: ''Bagaimanapun, saya minta agar ia direkodkan. Adakah kamu percaya dengan kandungannya?''

Hakim Augustine: ''Apabila saya rekodkan dan ia tidak relevan. Dan ini bukan isu untuk saya dengar.''

Fernando: ''Setiap lelaki saya rasa mempunyai perasaan terhadap isterinya. Kami ingin bertanya reaksinya. Baiklah, kami anggap soalan ini tidak dibenarkan. Adakah kamu tahu tentang seorang lelaki yang berbudi bahasa yang digelar Datuk Amir Junus atau biar saya sebutkan seorang lelaki sahaja.''

Hakim Augustine segera menegur sikap Fernando itu yang menggunakan bahasa yang tidak menyenangkan.

Fenando: ''Baiklah, saya menggunakan perkataan seorang pegawai...''

Hakim Augustine: ''Kamu telah mengubah bahasa kamu.''

Pada peringkat itu juga, Peguam Cara Negara, Datuk Haliliah Yusof bangun membantah dengan mengatakan Fernando tidak sepatutnya menggunakan bahasa sedemikian dan meminta ia digugurkan.''

Fernando akur dengan bantahan itu lalu mengubah soalannya kepada perkara lain.

''Apakah reaksi Anwar berhubung surat ini? Adakah dia mengambil serius atau ketawakan sahaja mengenai perkara itu?'' tanya Fernando.

Azmin: ''Yang Arif, saudara Anwar tidak mengambil serius malahan dia bertanya kepada saya secara bersahaja mengapa kah Ummi menggelarnya sebagai peliwat.''

Gani membantah soalan itu dengan memberi alasan ia suatu dengar cakap kerana tidak dibangkitkan kepada Anwar ketika beliau memberi keterangan membela diri.

Fernando: ''Kami tidak perlu menyoal semuanya kepada setiap saksi. Ketika menemu soal Azmin, beliau memberitahu mengenai perkara ini kepada kami dan inilah apa yang berlaku.''

Hakim Augustine: ''Tanyakan soalan yang lain.''

Fernando: ''Adakah Anwar percaya tentang perkara itu?''

Hakim Augustine: ''Kamu boleh menyoal Anwar.''

Fernando: ''Ia berkenaan reaksi Anwar yang bertemu dengan seorang suami (Azmin) di mana satu dakwaan telah dibuat terhadapnya. Mungkin ada tekanan, misalnya, si suami ini akan datang membawa parang.''

Para hadirin tergelak.

Hakim Augustine: ''Tanyakan soalan lain.''

''Apakah reaksi? Apakah sikap kamu selepas mengetahui mengenai dakwaan ini?'' tanya Fernando.

Azmin: ''Yang Arif, saya mempercayai isteri saya sepenuh hati dan saya mengenali saudara Anwar lebih 10 tahun. Dan saya tahu dia tidak buat perkara terkutuk ini.''

Fernando: ''Kamu mempercayai isteri kamu sepenuhnya dan Anwar tidak mungkin melakukannya. Adakah kamu berubah sikap terhadapnya?''

Azmin: ''Yang Arif, maksud saya hubungan saya bertambah rapat untuk mempertahankan dia atas nama keadilan walaupun melibatkan adik saya sendiri.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 06/03/1999

Azmin sakit tidak dapat teruskan keterangan

KUALA LUMPUR 5 Mac - Seorang saksi pembela dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Azmin Ali tidak dapat meneruskan keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana sakit disebabkan keracunan makanan.

Peguam Christopher Fernando memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa Azmin yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar tidak dapat hadir memberi keterangan dan mendapat cuti sakit.

Azmin sebagai saksi pembela ke-14, sepatutnya menyambung keterangannya pada peringkat pemeriksaan utama peguam bela dalam perbicaraan Anwar hari ini.

Azmin dibenarkan menyambung keterangannya pada Isnin ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan itu menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Pada sesi pagi ini, Hakim Augustine memutuskan bahawa tidak ada relevan dengan isu berhubung persoalan kredibiliti Azmin dalam pertikaian dengan adiknya, Ummi Hafilda Ali bersama keluarga.

Semalam Hakim Augustine mengarahkan peguam bela Anwar dan juga pihak pendakwa menyediakan hujah lebih lanjut mengikut Seksyen 153 Akta Keterangan.

Seksyen tersebut menjelaskan, apabila seseorang saksi telah ditanya dan telah menjawab sesuatu soalan yang relevan dengan siasatan itu kecuali, setakat yang boleh melemahkan kebolehpercayaannya dengan mencela wataknya, tiada apa-apa keterangan boleh diberi bagi menyangkalnya; tetapi dia menjawab dengan palsu, maka dia kemudiannya boleh dipertuduh memberi keterangan palsu.

Setelah mendengar penghujahan, Hakim Augustine berkata, semalam beliau tertarik dengan alasan peguam bela Anwar, Gurbachan Singh yang mengatakan bahawa Azmin dipanggil untuk memberi peluang menyelamatkan diri daripada dakwaan yang dibuat oleh Ummi dalam keterangannya sebagai saksi pendakwa.

Hakim Augustine berkata, beliau memutuskan hari ini bahawa isu itu tidak relevan pada perbicaraan ini.

''Fakta mengenai Ummi keseluruhannya tidak relevan dan tidak perlu dipertikaikan antara Ummi dan Azmin,'' kata belaiu.

Dengan itu, jelas Hakim Augustine, kredibiliti Azmin tidak menanggung prejudis kerana keterangan beliau tidak relevan.

Dalam sebahagian keterangan semalam, Fernando menyoal Azmin mengapa beliau mengatakan dakwaan yang dibuat oleh Ummi terhadapnya adalah palsu.

Azmin mengatakan bahawa Ummi menuduhnya telah mempengaruhi bapanya supaya tidak mengaku Ummi sebagai anak dan mendakwa beliau merasuah bapanya dengan sebuah rumah banglo.

Menurut Azmin, adiknya (Ummi) merupakan pembohong yang besar kerana rumah yang didiami oleh bapanya dibina pada tahun 1993.

Beliau memberitahu bahawa bapanya mengambil tindakan untuk tidak mengakui Ummi sebagai anak pada pukul 5.50 petang pada 1 September tahun lalu, sehari sebelum Anwar dipecat daripada jawatannya.

Berikutan keterangan itu, Hakim Augustine mengarahkan kedua-dua pihak menghujah mengikut peruntukan Seksyen 153.

Pada pagi ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Gani Patail meminta izin untuk memulakan hujahnya dahulu.

Gani: ''Apabila kita melihat Seksyen 153 maka kita patut membaca keseluruhan seksyen itu. Persoalan yang penting di sini bahawa isu tersebut adalah keterangan sampingan dalam pertuduhan kes ini. Dalam kes ini, Ummi ditanya mengenai sama ada bapanya tidak mengaku beliau sebagai anak. Ia tiada kaitan dengan kes ini.''

Dalam penghujahannya, Gani mengambil rujukan kes-kes yang berkaitan dalam buku perundangan Sarkar edisi ke-14.

Peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah menghujah balas bertanya sama ada mahkamah mempersoalkan Ummi sebagai seorang saksi yang tidak berat sebelah dalam perkara ini.

Sulaiman juga mengatakan ia harus dipersoalkan sama ada episod ini berpunca daripada kemarahan Ummi yang berakhir dengan membuat dakwaan terhadap kakak iparnya, Shamsidar Taharin (isteri Azmin).

Persoalannya, menurut Sulaiman, Ummi mempunyai sebab untuk merasa marah dengan pihak pembela dan adakah soalannya berat sebelah seperti yang dipersoalkan oleh Gani di bawah Seksyen 153(e) Akta Keterangan.

Mengikut Seksyen 153(e) memberi misalan, A ditanya sama ada dia pernah berkata bahawa dia akan membalas dendam terhadap B. Dia menafikan. Dia boleh sangkal atas alasan bahawa soalan itu boleh mencabar kesaksamaannya.

Sulaiman berhujah, persoalan di sini bahawa keluarga merasakan Ummi melakukan sesuatu yang salah bagi kepentingan dirinya dan beliau mengatakan tidak, bagi tujuan yang lain.

''Kami mencabar bagi tujuan yang lain itu, beliau (Ummi) menentang keluarganya,'' kata Sulaiman.

ARKIB : 06/03/1999

Peguam dilarang dedah komunikasi


SUKDEV SINGH RANDHAWA.


KUALA LUMPUR 5 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pihak pembela dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memanggil saksi mereka, peguam Sukdev Singh Randhawa untuk mendedahkan komunikasi profesional antara beliau dan Azizan Abu Bakar kerana beliau tidak memperoleh persetujuan anak guamannya.

Sukdev yang merupakan seorang peguam bela dan peguam cara dipanggil sebagai salah seorang saksi pembela pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-66 hari ini.

Hakim Datuk S. Augustine Paul membuat keputusannya selepas menimbangkan alasan penghujahan peguam bela Anwar dan juga bantahan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail mengikut Seksyen 126 Akta Keterangan.

Menurut Hakim Augustine, apa jua keterangan Sukdev mempunyai kaitan dengan Azizan.

Beliau berkata, bantahan yang ditimbulkan bertujuan untuk melindungi anak guaman (Azizan). Sukdev tidak boleh memberi keterangannya tanpa mendapatkan persetujuan anak guamannya.

Seksyen 126 itu menerangkan dengan jelas mengenai komunikasi profesional yang menyebut bahawa seseorang peguam bela tidak boleh pada bila-bila masa dibenar, melainkan dengan persetujuan nyata anak guamannya, mendedahkan apa-apa komunikasi yang telah diberi kepadanya dalam masa dan bagi maksud dia digunakhidmat sebagai peguam bela itu oleh atau bagi pihak anak guamannya, atau menyatakan kandungan keadaan sesuatu dokumen yang telah diketahuinya dalam masa dan bagi maksud perkhidmatan profesionalnya, atau mendedahkan apa-apa nasihat yang telah diberi olehnya kepada anak guamannya dalam masa dan bagi maksud dia digunakhidmat.

Hakim Augustine: ''Oleh itu keterangan Sukdev tidak relevan dalam kes ini kerana ia perkara yang berkaitan dengan Azizan. Sebarang keterangan yang diberikan oleh Azizan mungkin menimbulkan konflik kerana Sukdev harus memperoleh persetujuannya.''

Sejurus sahaja Hakim Augustine memberi keputusan, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Anwar memohon supaya Sukdev dibenarkan meninggalkan sidang mahkamah.

Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menyalahgunakan kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Ketika sidang mahkamah bermula pukul 9.01 pagi ini, Sukdev dipanggil untuk memberi keterangannya sebagai saksi pembela yang ke-15.

Gurbachan memulakan soalannya: ''Kamu adalah peguam bela dan peguam cara?''

Sukdev: ''Benar, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Bilakah kamu menjadi peguam?''

Sukdev: ''Saya menjadi seorang peguam sejak 1990, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Dan kamu mengamalkan undang-undang di firma guaman mana?''

Sukdev: ''Saya menjalankan amalan undang-undang di firma guaman Tetuan Azlan Shah, Sukdev & Co. Firma ini ditubuhkan pada 1 Januari 1990 di Lot No. 4.5 Tingkat 4, Wisma Shen, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.''

Gurbachan: ''Adakah pada Jun atau Julai 1998, seorang bernama Azizan Abu Bakar meminta perkhidmatan kamu atau datang berjumpa kamu?''

Sukdev: ''Ada, Yang Arif. Saya percaya ia pada penghujung bulan Jun 1998.''

Pada peringkat ini, Mohtar bangun membantah.

Mohtar: ''Yang Arif, memandangkan soalan dan jawapan ini saya ingin melalui mahkamah meminta supaya menyatakan dengan tepat dan rasmi sama ada peguam ini adalah peguam cara dan peguam bela bagi Azizan kerana soalan mengikut Seksyen 126 Akta Keterangan adalah relevan. Sekiranya, seperti yang beliau nyatakan Azizan mendapat perkhidmatannya, ia haruslah mematuhi Seksyen 126.''

Mohtar lalu membaca sepenuhnya kandungan seksyen tersebut.

Beliau berhujah, Azizan perlu memberikan persetujuan sebagai anak guaman sebelum sebarang keterangan didedahkan.

Mohtar mempersoalkan perkara itu dengan dua alasan. Pertama, sama ada Azizan anak guamannya dan kedua sama ada beliau (Sukdev) telah memperoleh persetujuan yang nyata untuk mendedahkan apa jua komunikasi antara anak guaman dan peguam cara.

Gurbachan: ''Izinkan saya menjawab bantahan Peguam Negara. Ia berkenaan dengan saksi pendakwa ke-12, Azizan yang telah memberikan keterangannya seperti berikut, 'Saya tidak pernah melantik peguam Sukdev Singh untuk apa-apa perkara'.''

Hakim Augustine: ''Tanyalah sama ada beliau dilantik oleh Azizan?''

Gurbachan meneruskan soalannya: ''Adakah Azizan melantik kamu sebagai peguam cara beliau?''

Sukdev: ''Yang Arif, ada. Beliau melantik saya sebagai peguam cara beliau.''

Hakim Augustine: ''Sekarang beliau menyatakan demikian maka kita harus menimbangkan bantahan yang dibuat oleh Peguam Negara.''

Mohtar: ''Mengikut keterangan bahawa beliau tidak melantik Sukdev tetapi saksi ini (Sukdev) datang mengatakan beliau dilantik sebagai peguam cara bagi Azizan. Kalaulah apa yang dinyatakan beliau diterima, kami memandang berat tentang komunikasi Azizan sebagai anak guaman di bawah Seksyen 126. Sekarang Sukdev mengatakan Azizan anak guamannya maka beliau mesti menunjukkan persetujuan daripada Azizan. Bukti yang menyatakan beliau dilantik oleh Azizan. Seksyen 126 adalah jelas menyatakan mengenai persetujuan anak guaman di bawah undang-undang.''

Gurbachan: ''Izinkan saya menjawab hujah Peguam Negara. Kami berdepan dengan situasi bahawa Azizan telah memberi keterangan secara mengangkat sumpah menyatakan beliau tidak pernah melantik Sukdev sebagai peguam caranya atau sesiapa pun. Mahkamah boleh menguji keterangan Sukdev. Ini satu isu yang menarik. Di akhir perbicaraan mahkamah boleh memutuskan fakta bahawa Azizan yang bercakap benar atau keterangan daripada Sukdev mengenai perkara ini.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa jika menurut Seksyen 126 ia adalah agak ketat bagi peguam cara dan peguam bela sama ada untuk menentukan beliau dilantik oleh Azizan. Jika beliau didapati tidak dilantik oleh Azizan maka tidak perlulah (memanggil Sukdev sebagai saksi).''

Mohtar: ''Sebelum kita meneruskan hujah, dalam keterangan Azizan, rakan saya Gani (pada pemeriksaan utama) bertanya, 'Adakah kamu melantik Sukdev?' dan peguam bela tidak pernah menyoal bahagian ini. Jika mereka katakan bahawa Azizan melantik saksi ini maka mereka harus mengatakan kepada Azizan mengenai soalan tersebut.''

Hakim Augustine: ''Apa yang saya rasakan jika beliau mendakwa dilantik oleh Azizan, biarlah kita menerimanya. Jika tidak, ia harus dijalankan siasatan. Saya rasa kita tidak perlu siasatan. Oleh kerana beliau seorang peguam, Seksyen 126 harus dipatuhi dan tidak boleh diteruskan lagi.''

Mohtar: ''Pihak pendakwa menerima kata-katanya pada peringkat ini.''

Hakim Augustine kemudian bertanya Gurbachan sama ada beliau ingin menghujah mengenai hal itu.

Gurbachan: ''Kami tidak mencabar Azizan kerana memanggil Sukdev dan bukan untuk mencetuskan keadaan yang sukar dalam undang-undang.''

Hakim Augustine: ''Cuba patuhi seksyen ini. Tengoklah dalam Akta Keterangan.''

Mohtar: ''Bolehkah kami cadangkan kita tangguh dulu dengan saksi ini dan teruskan dengan saksi lain.''

Gurbachan: ''Saya tidak ingin menangguhkannya. Saya ada alasan dan izinkan saya mendapatkan pengesahan dulu mengenai beberapa perkara.''

Hakim Augustine membenarkan sidang ditangguhkan sebentar pada pukul 9.53 pagi bagi membolehkan Gurbachan berbincang dengan Sukdev bersama Karpal Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhatinya.

Apabila mahkamah bersidang semula pukul 10.35 pagi, Gurbachan menyoal: ''Bolehkah saya bertanya, adakah kamu mendapatkan persetujuan daripada Azizan untuk mendedahkan apa jua komunikasi yang dibuat kepada kamu semasa dilantik menjadi peguam cara dan peguam bela beliau?''

Sukdev: ''Saya tidak mempunyai persetujuan atau kelulusan anak guaman saya, Azizan seperti yang diminta oleh tuan peguam (Gurbachan).''

Mohtar: ''Memandangkan jawapan yang diberikan oleh saksi ini dan untuk kepentingan profesional, saya ingin meminta arahan mahkamah pada peringkat ini. Saya harap mahkamah dapat menimbangkan arahan sebelum perkara ini diteruskan.''

Hakim Augustine: ''Mengapakah kamu tidak mendapatkan persetujuan setelah disapina?''

Sukdev: ''Saya telah diserahkan dengan sapina sebanyak dua kali Yang Arif, dan saya meminta nasihat peguam, Yang Arif. Dan peguam saya menasihatkan saya hadir ke mahkamah ini.''

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bangun untuk menjelaskan mengenai penyerahan sapina kepada saksi tersebut.

Hakim Augustine: ''Itu masalah mereka. Saya bertanya mengapa tidak meminta persetujuan dulu sebelum disapina?''

Sulaiman: ''Jika sebenarnya untuk mengetepikan sapina, biarlah kami terangkan mengenai apa yang ingin kami kemukakan melalui saksi ini. Jika tidak dibenarkan memberitahu mengenai komunikasi profesional maka apa lagi yang boleh ditanya daripada beliau. Ia juga mengenai apa yang dikata ada ugutan dan janji terhadap Azizan.''

Hakim Augustine: ''Saya tak ingat tentang adanya ugutan.''

Gurbachan: ''Perkara ini ada diterangkan oleh Maamin Latip (saksi pembela kesembilan).''

Hakim Augustine: ''Bagaimana caranya pendakwa hendak menyelesaikan perkara ini?''

Mohtar: ''Pihak pendakwa dalam kedudukan untuk menimbulkan percanggahan berhubung perkara itu.''

Hakim Augustine kemudian berkata bahawa beliau harus membuat keputusan menolak keterangan Sukdev kerana perkara itu tidak ada persetujuan.

Sulaiman pula bangun menghujah dengan panjang lebar mengenai komunikasi profesional.

Hakim Augustine: ''Terdapat terlalu banyak perkara yang beliau (Sukdev) tidak boleh dedahkan.''

Gani pula bangun berhujah dengan meminta mahkamah meneliti kandungan Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh Azizan.

Beliau berkata, Azizan menurunkan tandatangannya dengan terpaksa.

''Saya tidak nampak apa-apa ugutan oleh Sukdev terhadap Azizan,'' kata Gani.

Gani: ''Apa yang kita nampak Maamin yang merupakan pihak yang menekan Azizan. Saya rasa Sukdev seorang peguam yang baik. Semua keterangan menunjukkan isu berkenaan Maamin di luar pejabat atau di rumahnya.''

Hakim Augustine: ''Semua kandungan dokumen (Akuan Bersumpah) ini dikemukakan oleh peguam bela. Saya nampak beberapa konflik antara anak guaman dan peguam cara. Dan semua isu ini ditimbulkan dalam kes pihak pembela.''

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

ARKIB : 09/03/1999

Cadangan panggil Manjeet tidak relevan - Hakim

KUALA LUMPUR 8 Mac - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul berpendapat, cadangan pihak pembela untuk memanggil peguam Manjeet Singh Dhillion bagi mendedahkan satu komunikasi sulit mengenai kes Datuk S. Nallakaruppan, tidak relevan dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Augustine bagaimanapun membenarkan pihak pembela dan pendakwa raya membentangkan hujah lanjut berhubung isu tersebut esok.

Beliau memberikan pandangannya berhubung isu itu selepas mendengar hujah bantahan yang dikemukakan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Haliliah Mohd. Yusof bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Selain itu, Hakim Augustine juga mengarahkan kedua-dua pihak menghujah bagaimana relevansinya cadangan pembela untuk mengemukakan afidavit penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Anees melalui keterangan Manjeet.

Dr. Munawar telah dibebaskan pada 18 Januari lalu, iaitu dua bulan lebih awal daripada keseluruhan pelaksanaan hukuman setelah didapati berkelakuan baik.

Dia dipenjara enam bulan pada 19 September tahun lalu selepas mengaku bersalah membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.

Pada sesi pagi perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-67 hari ini, Mohd. Yusof mengemukakan bantahan dengan meminta supaya peguam bela Anwar menjelaskan apakah relevansinya cadangan mereka untuk memanggil Manjeet sebagai saksinya untuk mendedahkan perkara itu.

Manjeet sebelum ini merupakan peguam yang mewakili Nallakaruppan dipanggil sebagai saksi pembela yang ke-10 pada 3 Mac lalu.

Berhubung kes itu, Nallakaruppan, bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corp. Berhad kini sedang menjalani hukuman penjara 42 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Akta Senjata Api.

Ketika berhujah, Raja Aziz Addruse yang mengetuai sembilan barisan peguam bela Anwar menerangkan, beliau sudah memikirkan sebelum perkara itu dibantah dan bentuk keterangan yang ingin dikemukakan kepada pihak pendakwa.

Raja Aziz berkata, beliau menyedari tentang Seksyen 126 Akta Keterangan mengenai komunikasi profesional. Bagaimanapun beliau meraguinya berhubung seksyen itu boleh diguna pakai bagi bantahan tersebut.

Beliau menerangkan kepada mahkamah dan juga pendakwa bahawa pihaknya memanggil Manjeet atas dua sebab.

Pertama, katanya, ia berhubung dengan konspirasi polis yang mahkamah membenarkan pihaknya untuk membangkitkan isu tersebut.

Raja Aziz: ''Manjeet akan ditanya mengenai beberapa pertemuan yang dibuat olehnya dengan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang mana saya telah nyatakan pada 3 Mac lalu.

''Beliau telah mengadakan perbincangan yang kemungkinan untuk dakwaan terhadap anak guamnya, Nallakaruppan yang ketika itu menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia adalah untuk dikurangkan kepada dakwaan di bawah hukuman Akta Senjata Api.''

Menurut Raja Aziz, sebelum pertemuan dengan Gani, Manjeet telah menulis surat kepada Peguam Negara.

Raja Aziz: ''Ia untuk menjelaskan kepada beliau bahawa Gani tidak bersedia untuk menimbangkan bagi mengurangkan pertuduhan jika anak guam Manjeet itu tidak mahu bekerjasama untuk membabitkan Anwar dengan memberikan maklumat berhubung beberapa wanita.

''Mahkamah akan mendengar keterangan bahawa beberapa wanita dicadangkan terbabit tetapi kemudiannya hanya lima wanita, tiga sudah bersuami dan dua lagi belum berkahwin. Syarat lain yang digariskan oleh Gani menimbangkan bagi mengurangkan dakwaan bahawa Nallakaruppan harus memberi keterangan terhadap Anwar berhubung lima wanita itu. Selepas itu, yang Arif, adanya perbualan telefon dengan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad.''

Beliau menghujah bahawa penglibatan dua anggota pendakwa raya dalam kes ini untuk mengumpulkan bukti terhadap Anwar adalah isu konspirasi polis.

''Kami mengatakan bahawa penglibatan mereka dan bagaimana polis mengendalikan penyiasatan berhubung kes-kes Dr. Munawar, Sukma Darmawan dan Nallakaruppan sendiri adalah kaitan di antara satu sama lain,'' kata Raja Aziz.

Perkara yang kedua, kata Raja Aziz, mengenai Dr. Munawar yang telah meninggalkan negara ini.

''Saya ingin bertanya Manjeet tentang perkara ini.

Hakim Augustine berkata: ''Apa yang kamu hendak tanya?''

Raja Aziz: ''Terdapatnya Akuan Berkanun berhubung afidavit Dr. Munawar.''

Hakim Augustine: ''Apa yang ingin ditanyakan mengenai perkara itu?''

Raja Aziz: ''Ia mengenai di mana beliau (Dr. Munawar)?''

Hakim Augustine: ''Adakah kamu hendak katakan di manakah beliau sekarang?''

Raja Aziz: ''Ia bagi tujuan bahawa Dr.Munawar tidak dapat dipanggil (saksi pembela). Kami akan mengemukakan dokumen bahawa Dr. Munawar tidak ada di sini. Ini juga menunjukkan sebahagian daripada konspirasi polis.''

Mohd. Yusof yang membantah cadangan pihak pembela itu mengatakan isu komunikasi antara peguam bela dan anak guam adalah dilarang.

Dalam hujah bantahannya, beliau berpendapat tidak ada sebarang isu konspirasi polis dalam perkara tersebut.





Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PEMBELAAN - 3"