untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Sunday, June 8, 2008

PEMBELAAN - 3

ARKIB : 28/07/1999

Karpal mohon gugurkan sebahagian kandungan pengakuan Sukma

KUALA LUMPUR 27 Julai - Peguam Karpal Singh hari ini mengemukakan permohonan rasmi di Mahkamah Tinggi di sini untuk menggugurkan sebahagian kandungan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dengan alasan ia tidak berkaitan dengan pertuduhan yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karpal berhujah, perenggan-perenggan yang dimaksudkan itu dikenal pasti bermula dari muka surat tujuh hingga sebelas dan muka surat 15, yang menceritakan aktiviti homoseksual melibatkan kedua-dua tertuduh sebelum tahun 1993 hingga 1998.

Karpal berhujah, bahagian-bahagian tersebut hendaklah digugurkan daripada rekod mahkamah kerana ia tidak berkaitan dengan perbicaraan serta boleh memudaratkan tertuduh dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

''Walaupun, Sukma telah diputuskan memberi pengakuan secara sukarela, mahkamah masih mempunyai bidang kuasa mengetepikan perenggan-perenggan tertentu jika berpuas hati bahawa ia tidak berkaitan dengan kesalahan melibatkan kedua-dua tertuduh,'' hujah Karpal.

Menurut Karpal lagi, kesemua kandungan pengakuan Sukma tidak harus diterima sepenuhnya kerana ia boleh menyebabkan mahkamah mengambil kira kesalahan lain yang tidak dapat dibuktikan dalam perbicaraan kini.

Karpal mengemukakan permohonan itu pada sesi sebelah petang, setelah Hakim Datuk Ariffin Jaka menolak permohonan peguam bela mengkaji semula keputusan mahkamah yang menerima pengakuan Sukma sebagai bahan bukti kes pendakwa.

Mahkamah yang bersidang pukul 2.35 petang ditangguhkan selama 40 minit bagi membolehkan kedua-dua belah pihak berbincang dalam kamar hakim sama ada penghujahan perlu dikemukakan berhubung permohonan Karpal.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah ketika memulakan penghujahan balas pendakwa yang dikemukakan secara bertulis menggariskan beberapa sebab supaya permohonan Karpal itu diketepikan mahkamah.

Menurut Mohtar, pengakuan Sukma perlu diteliti secara keseluruhan kerana tindakan mengetepikan perenggan-perenggan tertentu akan menyebabkan pengakuan itu sukar difahami.

Pendakwa menegaskan, kesemua bahagian yang dimaksudkan oleh Karpal perlu dimasukkan ke dalam rekod mahkamah kerana ia berkaitan dengan tuduhan yang sedang dibicarakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau berhujah, melalui pengakuan tersebut, pendakwa akan membuktikan bahawa hubungan istimewa yang wujud di antara Sukma dan Anwar jauh melebihi hubungan adik beradik sehingga membawa kepada aktiviti homoseksual.

Menurut Mohtar lagi, keterangan pendakwa setakat ini menunjukkan hubungan homoseksual itu bermula sejak Sukma masih belasan tahun dan kemudian bertukar aktif sehingga membabitkan pihak ketiga.

''Mahkamah perlu menimbangkan bahawa masyarakat tidak dapat menerima budaya liwat seperti yang diklasifikasikan dalam Kanun Keseksaan kerana ia perbuatan yang menjijikkan bukan sahaja di sisi agama malah bangsa,'' tegas Peguam Negara.

Beliau berhujah, dengan melihat kandungannya secara menyeluruh akan memudahkan mahkamah membuat penilaian terhadap pengakuan Sukma pada akhir perbicaraan.

Oleh itu, Mohtar memohon supaya mahkamah memasukkan keseluruhan pengakuan Sukma untuk melihat gambaran sebenar aktiviti homoseksual yang didakwa melibatkan kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok bagi mendengar penghujahan balas oleh Karpal.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/07/1999

Mahkamah kekalkan keputusan terima pengakuan Sukma

KUALA LUMPUR 27 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka, mengekalkan keputusannya menerima pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja selepas ketegangan berlaku di antara peguam bela dan Peguam Negara berhubung isu untuk mengkaji semula dokumen pengakuan Sukma itu.

Hakim Ariffin berkata, beliau mendapati tidak ada keterangan lanjut yang sewajarnya untukmengkaji semula pengakuan adik angkat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu.

Semalam mahkamah membenarkan pihak pendakwa mengemukakan pengakuan Sukma untuk dijadikan suatu bahan bukti dalam perbicaraan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya itu yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Hakim Ariffin yang mengumumkan keputusan ringkasnya pada sesi petang ini menegaskan bahawa permohonan peguam bela untuk mengkaji semula pengakuan Sukma itu ditolak.

Beliau menegaskan, apa yang telah diputuskan oleh mahkamah yang menerima dokumen pengakuan Sukma tersebut adalah kekal.

Di sidang sesi pagi perbicaraan Anwar, suasana mahkamah sungguh tegang apabila peguam belanya, Karpal Singh, berhujah untuk memohon agar dikaji semula dan menolak keseluruhan pengakuan Sukma.

Beliau berhujah selepas saksi pendakwa kelima, Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil, selesai memberi keterangannya dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-32 hari ini.

Karpal berkata, di peringkat ini mahkamah ada kuasa menolak apa yang diterima sebagai bahan bukti selepas prosiding bicara dalam perbicaraan dijalankan.

''Ya, Yang Arif boleh, saya ada kuasa undang-undang untuk rujukan,'' kata Karpal sambil merujuk buku perundangan mahkamah di England.

Karpal memberitahu cara beliau ingin berhujah sambil merujuk Seksyen 17(2) Akta Keterangan dan membacanya dengan kuat berbunyi:

''Pengakuan salah ialah pengakuan yang dibuat pada bila-bila masa oleh seseorang yang dituduh atas suatu kesalahan, menyatakan atau menyarankan kesimpulan bahawa dia telah melakukan kesalahan.''

Beliau berkata, Anwar dan Sukma sama-sama menghadapi tuduhan iaitu pada satu malam pukul 7.45 di antara Januari dan Mac 1993.

Beliau berkata, P4 (pengakuan) itu bukanlah pengakuan dan ia seharusnya ditolak.

''Ia tiada kaitan dengan kes ini. Tidak ada apa-apa untuk dikaitkan dengan perbicaraan. Ia tidak relevan, saya petik kata-kata Hakim Datuk S. Augustine Paul,'' kata Karpal.

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Dalam hujahnya, Karpal merujuk kes Anandagoda melawan The Queens, tahun 1962 yang diputuskan oleh Privy Council, Ceylon (Sri Lanka).

Menurut Karpal, ia adalah penting untuk menimbangkan apa yang telah dilabelkan sebagai pengakuan.

''Yang Arif tidak seharusnya memandang dokumen yang dilabel pengakuan Sukma kerana kami menyatakan ia bukanlah pengakuan,'' kata beliau.

Karpal merujuk di muka-muka surat 11, 12, 13 dan 14 pengakuan Sukma sambil mengatakan bahawa pendakwa merujuk muka surat 12 hingga 14.

''Jadi mereka mengubah ke arah lain, biarlah kita tengok sama ada mereka berjaya dalam permainan mereka,''kata beliau.

Karpal mempersoalkan bahawa tarikh kejadian dakwaan tidak dinyatakan dengan tepat dan hanya perkataan 'lebih kurang 2 atau 3 tahun'.

''Apakah makna 2 atau 3 tahun?'' tanya beliau.

Karpal berhujah, tarikh pengakuan dibuat pada tahun 1998, jika mahkamah mengambil masa kejadian itu dua tahun, ia berlaku pada 1996 dan jika tiga tahun maka ia adalah tahun 1995. Tidak ada kejadian tahun 1993.

Hakim Ariffin mencelah: ''Kamu ada alasannya. Dan itu adalah untuk saya memutuskan. Mungkin ia satu kesilapan.''

Karpal: ''Tidak. Demi Tuhan, Yang Arif tidak boleh kata begitu.''

Hakim Ariffin: ''Azizan boleh datang untuk memberikan keterangan.''

Karpal menyampuk: ''Azizan tidak relevan pada peringkat ini. Macam mana Yang Arif menyatakan ia satu kesilapan.''

Hakim Ariffin: ''Baiklah, teruskan.''

Karpal sekali lagi merujuk kes Anandagoda melawan The Queens sambil menyatakan keputusan kes itu dibuat oleh panel lima hakim Privy Council.

''Yang Arif tidak boleh melampaui batas kuasa mereka. Pengakuan itu mestilah diteliti keseluruhannya. Macam mana hakim menyatakan ia satu kesilapan. Azizan tidak ada kaitan apa-apa di peringkat ini. Hakim mestilah dipandukan dengan undang-undang.

''Mahkamah adalah terikat dengan keputusan Privy Council ini untuk menentukan pengakuan,'' kata Karpal.

Beliau menambah: ''Saya sungguh terperanjat (mengenai komen Hakim Ariffin). Mana boleh.''

Hakim Ariffin: ''Tak boleh! Teruskan saya akan menimbangkan.''

Karpal meneruskan hujahnya dengan menyatakan bahawa hakim boleh mengkaji semula walaupun telah memutuskan menerima pengakuan Sukma.

''Malah saya merayu kepada Yang Arif untuk menimbangkan semula, tolaklah pengakuan ini,'' kata beliau.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan bangun menyatakan beliau ingin menjawab hujah Karpal itu berdasarkan undang-undang.

Mohtar: ''Peguam bela menyatakan Yang Arif ada kuasa untuk mengkaji semula dan menolak pengakuan itu.

''Saya dengan rendah hati berhujah bahawa setelah prosiding bicara dalam perbicaraan yang mengambil masa 20 hari itu, hakim akhirnya menerima pengakuan tersebut dan ditandakan P4.''

Namun begitu, Mohtar bersetuju dengan peguam bela bahawa mahkamah mempunyai hak untuk mengkaji semula apa yang telah diputuskan.

Mohtar berhujah bahawa selepas bicara dalam perbicaraan dan Abdul Karim dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan utama tidak ada apa-apa butir lanjut untuk dipersoalkan, dan semasa pemeriksaan balas peguam bela berkisar mengenai masa dan tarikh.

Beliau berkata, pemeriksaan semula saksi itu oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, telah menjelaskan tentang persoalan tarikh dan masa.

Mohtar: ''Yang Arif telah memutuskan bahawa pengakuan itu diterima dan tidak ada butir apa pun yang dinyatakan oleh rakan bijaksana saya, Karpal untuk membolehkan ia dikaji semula. Tidak ada!''

Selepas Mohtar berhujah membantah permohonan peguam bela itu, Karpal menjawab beliau terperanjat mendengar kata-kata Peguam Negara.

Karpal: ''Saya merasa terperanjat. Peguam Negara sebagai teraju jabatannya. Apa yang dinyatakan oleh Peguam Negara tidak seharusnya dianggap sebagai intelektual yang tidak jujur. Ini termasuk Yang Arif. Sebenarnya saya meminta Yang Arif mengundurkan diri. Tidak jujur.''

Hakim Ariffin: ''Tolong dengar, Peguam Negara menyatakan kamu tidak boleh mengkaji semula di peringkat ini, saya tidak boleh kaji semula pada peringkat kes pembelaan.''

Karpal turut meninggikan suara: ''Yang Arif tidak menyatakan walaupun pada peringkat kes pembelaan. Yang Arif hanya baru menyatakannya.''

Hakim Ariffin masih bersuara keras: ''Karpal, kamu ingin singkirkan saya dan pendakwa raya. Kamu terlalu dihantui dengan perkara-perkara kecil. Kamu tidak memahami apa yang saya maksudkan.''

Karpal menjawab: ''Demi Tuhan, Tuhan yang menentukan undang-undang.''

Di peringkat ini, Anwar yang berada di kandang tertuduh kedengaran mengucapkan: ''Thank You.''

Hakim Ariffin menyedari keadaan itu lalu beliau mengingatkan pihak pembela: ''Tolong beritahu tertuduh (Anwar), dia tidak boleh buat komen.''

Namun Anwar menyampuk bahawa dia hanya menyatakan, 'terima kasih.'

Pertikaman lidah berhenti selepas Mohtar berhujah bahawa keadilan bukan sahaja untuk pihak pembela tetapi ia juga mesti dilaksanakan dalam peringkat kes pendakwa.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/07/1999

Mahkamah tolak permohonan peguam bela Sukma

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pihak pembela hari ini tidak dibenar menggugurkan mana-mana perenggan kandungan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja kerana ia relevan dengan isu 'tuduhan bersubahat' dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka berkata, beliau bersetuju dengan Peguam Negara bahawa dokumen pengakuan itu mestilah dibaca secara menyeluruh dan tidak boleh dipadamkan atau digugurkan.

Beliau berkata demikian ketika menolak permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Karpal Singh selaku peguam bela Anwar untuk menggugurkan beberapa perenggan yang dikatakan tidak relevan dalam pertuduhan terhadap Anwar.

Hakim Ariffin membuat keputusan itu pada sidang sesi pagi dalam perbicaraan Anwar selepas menimbangkan penghujahan peguam bela dan bantahan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Pada pendapat beliau, kata Hakim Ariffin, adalah tidak betul bagi mahkamah memadamkan atau menggugurkan dokumen pengakuan itu atau mana-mana bahagiannya dengan alasan ia tidak boleh diterima atau pun menjejaskan keterangan.

Menurutnya, mahkamah telah memutuskan menerima pengakuan tersebut dan apa yang sepatutnya dipertimbangkan ialah kandungannya.

''Saya merasakan lebih baik untuk memutuskan selepas mendengarkan perbicaraan,'' jelas beliau.

Dalam kes ini, kata beliau, pengakuan tersebut membabitkan tertuduh kedua (Sukma) yang mana ia boleh digunakan terhadap Anwar untuk menunjukkan 'tuduhan bersubahat' dan hubungannya dengan Anwar sehingga didakwa melakukan perbuatan meliwat.

Hakim Ariffin menegaskan bahawa pengakuan itu relevan bagi isu tuduhan tersebut.

Dengan demikian permohonan itu ditolak, kata beliau.

Karpal sebelum itu menjawab hujah bantahan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Beliau berkata, fakta yang serupa dalam keterangan boleh menjejaskan Anwar yang dibicarakan bersama-sama Sukma atas tuduhan meliwat Azizan.

''Pengakuan Sukma itu boleh memudaratkan keseluruhan perbicaraan,'' kata Karpal.

Karpal juga tidak bersetuju jika pengakuan disiarkan kepada umum kerana ia boleh mencemarkan tertuduh pertama (Anwar).

Bagaimanapun, Hakim Ariffin mencelah sambil menyatakan beliau tidak boleh membuat apa-apa sabitan dan mungkin selepas mendengar keterangan yang pastinya datang daripada saksi utama, Azizan.

''Saya tidak akan menggunakan pengakuan ini terhadap Anwar. Saya sangat berhati-hati untuk menggunakan pengakuan ini terhadap tertuduh pertama. Ia tidak memprejudiskan minda saya selepas mendengar keterangan Azizan,'' kata Hakim Ariffin.

Menurut beliau lagi, pada masa itulah beliau akan menilaikan keterangannya.

Hakim Ariffin juga meminta supaya pihak pembela memikirkan tentang tuduhan pertama terhadap Sukma iaitu bersubahat dan perhubungannya dalam pertuduhan itu.

''Jangan bimbang di peringkat ini,'' kata Hakim Ariffin kepada Karpal.

Beliau menambah bahawa peguam bela yang akan menghujah dan beliau menimbangkan walaupun di akhir kes pembelaan.

''Saya masih boleh mengkajinya,'' kata beliau.

Namun begitu, kata Hakim Ariffin, beliau akan mempersoalkan kedudukan tertuduh kedua (Sukma) kerana dia menunjukkan peranannya yang rapat dengan Anwar.

Beliau menerangkan keadaan ini hanya untuk menunjukkan latar belakangnya.

Bagaimanapun, Karpal berkata, pihaknya akan membantah bahagian tersebut.

''Inilah yang kami katakan fakta serupa yang didakwa berlaku sebelum 1993 dan selepas itu pada 1993 (mengikut pengakuan) yang menyatakan fakta yang sama melalui keterangan dalam dokumen,'' kata Karpal.

Dalam hujahnya, Karpal menggesa mahkamah agar mengikut prinsip jika ingin melakukan sesuatu yang penting dan ia haruslah dibuat pada peringkat ini (sebelum perbicaraan diteruskan).

Selepas itu, Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma berhujah dengan menyatakan keterangan seorang pakar forensik, Dr. Zahari Noor, seharusnya dipertimbangkan.

Bagaimanapun Mohtar menjawab hujah Gobind.

Mohtar menjelaskan bahawa keterangan Dr. Zahari mengenai pemeriksaannya yang tidak mendapati sebarang kecederaan di bahagian kemaluan Sukma patut dibuktikan dengan semua keterangan yang relevan dan mahkamah yang memutuskannya.

Beliau menarik perhatian mahkamah bahawa Dr. Zahari memberi keterangannya pada prosiding bicara dalam perbicaraan dan dipanggil oleh pihak pembela untuk tujuan menentukan pengakuan Sukma diberikan secara sukarela atau sebaliknya.

''Tetapi keterangan Dr. Zahari bukan bahagian yang bertujuan untuk diterima masuk pada bicara dalam perbicaraan itu dan pendakwa juga tidak memanggilnya pada perbicaraan utama ini,'' jelas Mohtar lagi.

Mohtar berkata, pendakwa memanggil Dr. Fadzil Man (psikiatri) dan oleh itu pengakuan tersebut tidak harus diketepikan.

''Ia adalah keterangan, Yang Arif. Pengakuan itu suatu dokumen keterangan yang dikemukakan oleh saksi pendakwa kelima, Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil,'' jelas beliau.

Mohtar berhujah, kandungan pengakuan itu adalah keterangan yang relevan untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/07/1999

Keterangan Azizan didengar cara tertutup

KUALA LUMPUR 28 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengadakan prosiding secara tertutup untuk mendengar sebahagian keterangan saksi pendakwa paling penting dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadinya, Azizan Abu Bakar.

Azizan, 38, saksi utama kes itu dipanggil memberikan keterangan sejurus sahaja Hakim Datuk Ariffin Jaka memutuskan menolak permohonan pembela untuk menggugurkan beberapa perenggan dalam dokumen pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang bertindak menyoal pada pemeriksaan utama terhadap saksi pendakwa itu memohon supaya keterangan Azizan seterusnya didengar secara tertutup.

Beliau mengemukakan permohonan itu pada peringkat untuk menyoal Azizan tentang apa yang berlaku seterusnya ketika saksi itu dikatakan pada kali pertama pergi ke rumah Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini.

Dalam kes itu, Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Hakim Ariffin bersetuju supaya prosiding itu dijalankan secara tertutup tanpa bantahan daripada peguam bela kedua-dua tertuduh.

Mohtar sebelum itu berkata, pendakwa bersedia jika keseluruhan keterangan Azizan didengar secara terbuka tetapi beliau menyerahkan keputusan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Christopher Fernando yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar memaklumkan pihaknya tidak membantah sebahagian keterangan Azizan patut didengar secara tertutup.

Menurut Fernando, pembela juga mungkin akan mengambil masa beberapa hari untuk membuat pemeriksaan balas.

Mohtar pula memberitahu bahawa pendakwa dijangka mengambil masa dua hari untuk menyoal Azizan.

Sehubungan itu, Hakim Ariffin membenarkan Karpal Singh selaku seorang daripada peguam bela Anwar mengundurkan diri semasa Azizan memberikan keterangannya.

Hakim Ariffin kemudian mengeluarkan arahan kepada anggota polis yang bertugas supaya memastikan hanya kedua-dua tertuduh dan peguam bela berkenaan bersama pendakwa raya sahaja dibenarkan berada dalam mahkamah sepanjang tempoh prosiding tertutup itu.

Beliau berkata, para pemberita yang meliputi perbicaraan itu akan dimaklumkan apabila sidang dibuka untuk orang awam.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/07/1999

'Anwar beri isyarat masuk bilik'


MOHTAR ABDULLAH.


KUALA LUMPUR 28 Julai - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau terkejut dan tergamam apabila melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di rumah adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di apartmen mewah Tivoli Villa di sini, pada satu malam, tahun 1993.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menyoal mengapa Azizan merasa terkejut dan tergaman sedangkan beliau pernah mengenali bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Azizan berkata, beliau terkejut dan tergamam kerana tidak menyangka Anwar akan berada di situ juga.

Katanya, Sukma tidak beritahu sebab mengapa menjemput beliau pergi ke rumahnya.

Selepas itu, menurut Azizan, Anwar membuat isyarat dengan tangan menyuruh beliau masuk ke dalam sebuah bilik yang didapati merupakan bilik tidur. Sukma juga turut masuk ke dalam bilik itu.

Mohtar meminta Azizan menunjukkan cara Anwar membuat isyarat tangannya.

Selepas mendapat izin Hakim Datuk Ariffin Jaka, Azizan lalu bangun sambil mengangkatkan tangan kanannya dengan gaya seolah-olah 'melambai' isyarat masuk.

Beliau memberitahu demikian ketika dipanggil sebagai saksi pendakwa yang keenam dalam perbicaraan terhadap Anwar yang dituduh meliwatnya.

Azizan, 38, dianggap 'mangsa' oleh pihak pendakwa merupakan saksi paling penting pada perbicaraan tersebut.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Azizan memberi sebahagian keterangannya di mahkamah terbuka dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-32 di sidang sesi pagi ini.

Bagaimanapun sebahagian keterangannya mengenai dakwaan kejadian itu didengar dalam prosiding secara tertutup.

Mohtar mengambil peranan menyoal Azizan dalam pemeriksaan utama pendakwa.

Sebelum itu, Azizan melafazkan sumpahnya yang berbunyi: ''Bahawasanya saya Azizan Abu Bakar dengan sesungguhnya dan suci hati berikrar bahawa segala keterangan yang akan saya berikan dalam perbicaraan ini adalah benar, tiadalah apa-apa yang tidak benar melainkan benar belaka.''

Azizan memberitahu alamat beliau bekerja sekarang di Syarikat Distine Sdn. Bhd. Alor Gajah Melaka.

Mohtar memulakan soalan: ''Encik Azizan, tadi menyatakan kepada Yang Arif hakim awak bekerja dengan Syarikat Distine Sdn. Bhd. Sejak bilakah awak bekerja dengan syarikat itu?''

Azizan: ''Sejak 17 November 1997.''

Mohtar: ''Sekarang ini masih bekerja dengan syarikat Distine?''

Azizan: ''Ya.''

Mohtar: ''Sebelum bekerja di syarikat ini, di syarikat manakah yang Azizan pernah bekerja?''

Azizan: ''Sebelum itu saya pernah bekerja sebagai pemandu kepada isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.''

Mohtar: ''Dan bilakah bekerja dengan Datin Seri?''

Azizan: ''Dari awal Ogos 1989.''

Mohtar: ''Berapa lama kerja dengan Datin Seri?''

Azizan: ''Saya bekerja sehingga bulan September 1992.''

Mohtar: ''Selepas itu bekerja di mana?''

Azizan: ''Selepas itu saya bekerja di syarikat Sime Darby Sdn. Bhd.''

Mohtar: ''Agak berapa lama kerja di situ?''

Mohtar: ''Dari awal Oktober 1992 sehingga awal bulan Februari 1994.''

Mohtar: ''Selepas itu ada kerja di mana-mana lagi?''

Azizan: ''Kemudian saya bekerja semula sebagai pemandu kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah untuk dua minggu sahaja.''

Mohtar: ''Lebih kurang bila dua minggu ini?''

Azizan: ''Dua minggu sebelum Hari Raya Puasa dalam tahun 1994.''

Mohtar: ''Kita pergi sejarah pekerjaan. Selepas itu di manakah Azizan bekerja.''

Azizan: ''Saya kerja balik dengan syarikat Sime Darby sehingga awal 1996.''

Mohtar: ''Selepas kerja di Sime Darby, awak kerja di mana?''

Azizan: ''Selepas itu saya telah dipelawa oleh Azmin Ali iaitu Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar ketika itu.''

Mohtar: ''Dipelawa sebagai apa?''

Azizan: ''Sebagai pemandu kepada isterinya dan anak-anaknya.''

Mohtar: ''Berapa lama Azizan kerja sebagai pemandu Azmin?''

Azizan: ''Saya bekerja di situ pada pertengahan bulan Januari 1996 sehingga pertengahan Ogos 1997.''

Mohtar: ''Isteri Azmin, siapakah nama?''

Azizan: ''Shamsidar Taharin.''

Mohtar: ''Azizan menyatakan sebagai pemandu kepada Shamsidar. Adakah awak tahu siapa yang bayar gaji?''

Azizan: ''Saya dibayar gaji oleh Azmin.''

Mohtar: ''Satu lagi soalan, tadi kata mula-mula kerja dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah, ini hanya untuk rekod, Yang Arif. Siapa itu Datin Seri Wan Azizah?''

Azizan: ''Datin Seri Wan Azizah ialah isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Mohtar sekali lagi memaklumkan kepada Hakim Ariffin bahawa soalan ini pun untuk rekod.

Beliau menyoal: ''Awak kenal Datuk Seri Anwar, adakah dia ada di mahkamah pagi ini. Tengok. Boleh camkan. Ramai di sini, yang mana?''

Azizan: ''Ya, ada.'' Azizan menyatakan dia nampak Anwar berada di kandang tertuduh.

Mohtar: ''Ada dua orang, yang mana satu?''

Azizan: ''Yang memakai baju putih.''

Hakim Ariffin: ''Bolehkah tertuduh bangun.''

Anwar dilihat bangun.

Hakim Ariffin: ''Terima kasih, Datuk Seri.''

Mohtar: ''Boleh Azizan menyatakan apakah tugas-tugas awak semasa menjadi pemandu kepada Datin Seri Wan Azizah.''

Azizan: ''Untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan membawanya pulang. Dan menghantar balik beliau dari tempat kerja. Dan juga tugas-tugas lain yang diarahkan.''

Mohtar: ''Azizan kata hantar Datin Seri ke tempat kerja. Pada masa itu apakah kerja Datin Seri?''

Azizan: ''Pada masa itu beliau bertugas sebagai doktor di Universiti Hospital, Petaling Jaya.''

Mohtar: ''Bagaimana waktu kerja?'

Azizan: ''Masa saya kerja lebih kurang pukul 7 pagi dan waktu selesai kerja tak menentu.''

Mohtar: ''Selain sebagai pemandu untuk Datin Seri dan anak-anak beliau, adakah Azizan memandu untuk orang lain dalam keluarga?''

Azizan: ''Ya, kadang-kadang saya ada juga membawa Datuk Seri Anwar apabila diarahkan.''

Mohtar: ''Kadang-kadang ini berapa kerap, sekali-sekali atau sebulan atau lebih kurang?''

Azizan: ''Lebih kurang sekali sebulan.''

Mohtar: ''Pada masa-masa Azizan bawa tertuduh pertama (Anwar), biasanya untuk urusan apa atau ke mana lazimnya?''

Azizan: ''Kadang-kadang atas urusan peribadi, biasanya di sebelah petang.

Mohtar: ''Apakah itu peribadi, sebagai contohnya?''

Azizan: ''Selalunya saya tidak ambil tahu.''

Mohtar: ''Tak ambil tahu pergi ke mana, kita bawa kereta ke mana dia pergi?''

Azizan: ''Kadang-kadang dia menyuruh saya membawa ke hotel untuk berjumpa kawan-kawannya.''

Mohtar: ''Adakah pemandu lain untuk Datuk Seri?''

Azizan: ''Ada, Yang Arif.''

Mohtar: ''Pemandu rasmi atau pemandu apa?''

Azizan: ''Ada.''

Mohtar: ''Namanya siapa?''

Azizan: ''Abdullah Sani.''

Mohtar: ''Selain Azizan sebagai pemandu Datuk Seri, Abdullah Sani pemandu rasmi, adakah pemandu lain lagi di rumah itu?''

Azizan: ''Pada ketika itu hanya kami berdua sahaja.''

Mohtar: ''Dalam keadaan manakah awak disuruh memandu Datuk Seri Anwar?''

Azizan: ''Sekiranya pemandu rasmi ada halnya sendiri, kadang-kandang saya diberitahu oleh pemandu itu sendiri.''

Di peringkat ini, Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma membantah dengan alasan keterangan itu suatu dengar cakap.

Mohtar menjelaskan bahawa beliau ingin bertanya perkara itu memandangkan Anwar mempunyai pemandunya sendiri.

Hakim Ariffin mencelah: ''Biarlah dia menjawab.''

Azizan: ''Kadangkala pemandu rasmi memberitahu saya Datuk Seri suruh saya membawanya.''

Hakim Ariffin lalu bertanya Gobind sama ada beliau hendak membantah.

Gobind: ''Biasanya ia suatu dengar cakap melainkan pendakwa memanggil saksi berkenaan untuk menentukan kebenarannya.''

Mohtar menjawab tujuan soalan itu untuk membuktikan pada masa itu Azizan bekerja dengan Datin Seri Wan Azizah. Beliau meneruskan soalan: ''Apakah alamat rumah Datin Seri dan pastinya rumah Datuk Seri Anwar.''

Azizan: ''No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara.''

Mohtar: ''Selain Datin Seri Azizah dan Datuk Seri Anwar, adakah awak kenal anggota keluarga mereka?''

Azizan: ''Ya.''

Mohtar: ''Kenal anak-anaknya?''

Azizan: ''Ya.''

Mohtar: ''Awak kenal adik beradik mereka?''

Azizan: ''Ya, saya kenal.''

Mohtar: ''Adakah awak kenal seorang bernama Sukma Darmawan?''

Azizan kemudian mengecamkan Azizan yang duduk di sebelah kanan Anwar di kandang tertuduh.

Menurut Azizan, Sukma ketika itu tinggal di rumah Anwar di mana tempat beliau bekerja.

Mohtar meneruskan soalan: ''Saya bawa perhatian Azizan pada awal tahun 1993, adakah Azizan tahu di manakah Sukma tinggal?''

Azizan: ''Setahu saya dia tinggal di apartmen Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar.''

Mohtar: ''Adakah Azizan pergi ke rumah Sukma?''

Azizan: ''Ada, Yang Arif''

Mohtar: ''Boleh ingat berapa kali?''

Azizan: ''Lebih kurang tiga kali.''

Mohtar: ''Bilakah kali pertama pergi ke rumah Sukma di Tivoli Villa?''

Azizan: ''Tarikh saya tak ingat tapi...''

Mohtar: ''Lebih kurang bila?''

Azizan: ''Di antara bulan Januari hingga Mac 1993.'' Di peringkat ini, kedengaran suara, booo...! di sebahagian bangku hadirin di galeri awam.

Mohtar: ''Saya ingin Azizan terangkan lawatan pertama. Bolehkah Azizan menerangkan macam mana boleh pergi ke rumah Sukma?''

Azizan: ''Ketika saya pergi menziarah keluarga Anwar?''

Mohtar: ''Apakah yang menyebabkan awak pergi ke rumah Sukma?''

Azizan: ''Saya telah dipelawa oleh Sukma untuk pergi ke rumahnya.''

Mohtar: ''Awak berada di mana ketika Sukma mempelawa awak?''

Azizan: ''Ketika saya menziarahi anak-anak Datuk Seri di rumahnya.''

Mohtar: ''Tadi awak menyatakan bekerja pada September 1992. Ini adalah awal 1993. Masa menziarah awak tidak bekerja lagi di sana.''

Azizan: ''Betul.''

Selepas itu Mohtar meminta Azizan menceritakan apa yang berlaku semasa beliau pergi ke rumah Sukma.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/08/1999

Azizan: Anwar liwat saya 15 kali

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar, mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meliwatnya sebanyak 10 hingga 15 kali sejak tahun 1992.

Azizan memberitahu, ia berlaku di Hotel Holiday Villa dan Hyatt Saujana kedua-duanya di Subang, dekat sini, serta di sebuah bilik tetamu di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri.

Bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, itu juga membuat pendedahan Anwar meliwatnya kali pertama di sebuah banglo di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketika ditanya oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengendalikan soalan dalam pemeriksaan utama pendakwa, Azizan menyatakan semua kejadian berlaku sebelum dia diliwat di apartmen mewah Tivoli Villa di sini.

Azizan menyatakan demikian ketika dipanggil sebagai saksi pendakwa keenam dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwatnya.

Anwar, 51, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat mangsa, 38.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Ketika sidang sesi petang yang didengar secara terbuka, peguam Christopher Fernando yang mewakili Anwar menarik perhatian mahkamah bahawa keterangan Azizan mengenai kejadian di Port Dickson itu dikemukakan kali pertama dalam perbicaraan ini.

Bagaimanapun Mohtar menyatakan pihak pendakwa tidak akan mengemukakan soalan lanjut berhubung kejadian di Port Dickson.

Soalan pihak pendakwa selanjutnya berkisar mengenai kejadian liwat sejak tahun 1992.

Mohtar: ''Mengapa anda membiarkan diri diliwat sepanjang masa sebelum kejadian di Tivoli Villa?''

Azizan: ''Saya berasa takut kerana Datuk Seri Anwar berkuasa ketika itu. Saya tertekan kerana tidak menyangka beliau yang selalu memperjuangkan Islam dan dipandang mulia oleh masyarakat sanggup melakukan perbuatan itu terhadap saya. Beliau telah mengambil kesempatan terhadap kelemahan saya.''

Mohtar: ''Setelah diliwat kali pertama, mengapa anda terus bekerja dengan isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah?''

Azizan: ''Fikiran saya bercelaru, saya amat menghormati Datin Seri Dr. Wan Azizah manakala anak-anaknya juga rapat dengan saya.''

Azizan kemudian menyatakan, dia bersetuju menerima pelawaan Dr. Wan Azizah sebagai pemandu peribadi dan hanya sempat bertahan selama dua minggu iaitu sebelum Hari Raya pada 1994.

Menurut Azizan, dia berhenti berkhidmat dengan isteri Anwar kerana bimbang kejadian liwat tersebut akan berulang.

Soalan pendakwa selanjutnya berkisar mengenai pertemuan Azizan dengan Anwar di kediaman rasmi tertuduh pada akhir bulan Jun tahun lalu yang diatur oleh juruiringnya, Asisten Supritendan Zull Aznam Haron.

Sebelum Azizan memberi keterangan berhubung perjumpaan itu, Fernando mengemukakan bantahan kerana keterangan tersebut adalah suatu dengar cakap melainkan Zull Aznam dipanggil untuk mengesahkannya.

Bagaimanapun Hakim Datuk Ariffin Jaka bersetuju dengan hujah Peguam Negara bahawa ia bukan dengar cakap kerana perbualan di antara saksi itu dengan Zull Aznam adalah secara langsung.

Menurut Azizan, Zull Aznam menghubunginya melalui telefon menjemputnya ke kuarters pengawal polis yang berhampiran dengan kediaman rasmi untuk makan malam.

Bagaimanapun, kata saksi itu, sesampainya di kuarters itu, Zull Aznam memberitahu bahawa Anwar ingin bertemunya.

Menurut Azizan, tertuduh dalam pertemuan itu telah memintanya berbohong dan menafikan surat pengakuan bersumpah yang pernah dibuatnya jika dia dipanggil oleh pihak polis.

''Anwar memaklumkan bahawa dia ditohmah menyebabkan kematian isteri saya dalam satu kemalangan jalan raya dan menyimbah darah binatang ke rumah saya seperti yang disebut dalam buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

''Saya katakan perkara itu tidak benar kerana kematian isteri saya adalah akibat kemalangan biasa,''jelas saksi itu.

Menurut Azizan lagi, Zull Aznam tidak hadir dalam perjumpaan yang diadakan di sebuah bilik di kediaman rasmi tertuduh.

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/08/1999

Saya buat pengakuan bersumpah kerana rasa bersalah

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau membuat pengakuan bersumpah secara bertulis dengan nama Tuhan kerana merasa bersalah membiarkan dirinya diliwat beberapa kali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azizan, 38, yang merupakan bekas pemandu peribadi isteri Anwar menyatakan demikian dalam keterangannya dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-35 hari ini.

Anwar, 51, dituduh meliwat Azizan. Dia dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Azizan sebagai saksi pendakwa yang keenam menyatakan bahawa Ummi Hafilda Ali yang menulis pengakuannya dan beliau menandatangan dokumen tersebut.

Selepas itu, menurut Azizan, beliau bersama Ummi dan Dr. Ristina Majid telah pergi bertemu peguam Karpal Singh untuk mendapatkan nasihat perundangan.

Azizan memberitahu demikian ketika menjawab soalan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengendalikan pemeriksaan utama pihak pendakwa.

Sebelum menyoal Azizan, Mohtar menyingkap sedikit soalan yang dijawab oleh Azizan semasa perbicaraan tertutup. Akhbar dilarang menyiarkan keterangan tersebut apabila peguam bela Anwar, Christopher Fernando membantah.

Mohtar berkata, beliau tidak bercadang untuk menyoal saksi itu secara mendalam tentang dakwaan kejadian.

Bagaimanapun sebelum Peguam Negara meneruskan soalan, Hakim Datuk Ariffin Jaka menegur seorang peguam bela Anwar, Zulkifli Noordin, yang dilihat menghulurkan sesuatu nota kepada Fernando.

Hakim Ariffin dengan nada keras: ''Apabila saya sedang bercakap jangan mengganggu (ditujukan kepada Zulkifli). Fernando, kamu sebagai peguam bela. Tadi buat sekali, saya hanya pejamkan mata.

Zulkifli cuba bangun untuk menjawab dan sempat berkata: ''Saya nak cakap, Yang Arif tidak bagi.''

Hakim Ariffin: ''Kamu duduk. Mestilah hormat apabila orang lain dalam sidang sedang bercakap. Tolong perhatikan.''

Mohtar kemudian memberitahu bahawa soalannya yang belum dijawab itu oleh Azizan ditangguhkan pada satu sidang yang tertutup.

Fernando: ''Akhbar tidak patut menyiarkannya.''

Mohtar lalu meneruskan soalan: ''Saya merujuk kepada saksi satu salinan dokumen pengakuan bertarikh 5 Ogos 1997. Dokumen asalnya telah dikemukakan pada perbicaraan yang terdahulu. Tetapi kami tunjukkan salinan yang disahkan. Adakah dokumen ini ditandatangan oleh Azizan?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Mohtar yang merujuk muka surat dua pengakuan bersumpah itu dan menyoal: ''Tandatangan siapakah ini?''

Azizan: ''Ini adalah tandatangan saya.''

Mohtar: ''Bilakah awak tandatangani pengakuan ini?''

Azizan: ''Pada 5 Ogos 1997.''

Mohtar: ''Dan butir-butir pengakuan, nombor kad pengenalan, alamat rumah, siapakah yang punya?''

Azizan: ''Nombor kad pengenalan saya dan alamat tersebut adalah alamat rumah saya.''

Mohtar: ''Yang Arif, saya mohon pengakuan ini diterima menjadi bahan bukti dan ditanda P5.''

Fernando: ''Tiada bantahan.''

Mohtar kemudian meminta Azizan membaca pengakuan itu sepintas lalu sebelum beliau menyoal.

Mohtar: ''Adakah kandungan pengakuan ini, maaf, (beliau mengubah soalan) mengapakah Azizan membuat pengakuan ini. Apakah tujuan buat pengakuan bersumpah ini? Ini hanya pengakuan dengan nama Tuhan.''

Azizan: ''Saya rasa bersalah kerana membiarkan diri saya diliwat beberapa kali.''

Mohtar: ''Adakah Azizan menyerahkan pengakuan ini kepada sesiapa?''

Azizan: ''Ada, saya serahkan pengakuan ini kepada Ummi Hafilda yang membuat pengakuan ini.''

Di peringkat ini, Jagdeep Singh Deo selaku peguam bela Sukma membantah sambil berkata: ''Tadi keterangannya menyatakan serah pengakuan kepada Ummi yang membuat pengakuan ini. Jika inilah sebabnya mahkamah tidak boleh menerimanya sebagai bahan bukti untuk ditanda P5.''

Hakim Ariffin: ''Alahai! kenapa tadi tidak bantah.''

Jagdeep: ''Beliau buat jawapan begini.''

Hakim Ariffin meminta Azizan menjelaskan jawapannya.

Azizan: ''Ummi Hafilda yang menulis surat ini dengan persetujuan saya dan saya yang menandatangani.''

Jagdeep masih membantah dengan andaian bahawa jawapan itu dipimpin oleh Peguam Negara.

Hakim Ariffin sambil menulis jawapan Azizan berbunyi: ''Ada, saya serah kepada Ummi yang menulis surat ini.'' Dan beliau bertanya: ''Betul?''

Azizan: ''Betul.''

Hakim Ariffin mengingatkan peguam bela jika terdapat soalan yang dipimpin buatlah bantahan.

Mohtar menerangkan bahawa beliau menyoal perkara itu kerana Azizan yang menandatanganinya.

Hakim Ariffin bersetuju sambil memberi pandangan bahawa ia seperti penulis petiysen yang menaip surat dan ditandatangan oleh orang yang membuatnya.

Mohtar: ''Selain serah kepada Ummi, adakah Azizan menyerahkan pengakuan ini kepada sesiapa lagi?''

Azizan memberitahu bahawa selain itu, beliau menyerahkan salinan pengakuannya kepada Perdana Menteri, Peguam Karpal Singh dan kepada pegawai polis yang merakamkan percakapannya.

Mohtar: ''Saya ingin bertanya mengenai pengakuan yang diberikan kepada Karpal. Adakah Azizan bertemu dengan Karpal berkaitan surat pengakuan atau ada hubungan dengan pengakuan ini?''

Selepas itu, Azizan menceritakan beliau bersama Ummi dan Dr. Ristina pergi ke pejabat Karpal di Lorong Pudu di sini.

Karpal yang kini merupakan seorang daripada peguam bela Anwar tidak berada di dalam mahkamah untuk dicamkan oleh Azizan.

Peguam bela itu telah memohon untuk mengundurkan diri sejak hari pertama Azizan memberi keterangan pada Rabu lalu.

Menurut Mohtar, beliau akan memanggil Karpal untuk dicamkan oleh Azizan.

Bagaimanapun, Azizan menyatakan beliau tidak berjumpa dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep (kedua-duanya anak Karpal) ketika berada di pejabat peguam bela itu pada bulan Ogos 1997.

Azizan memberitahu beliau bertemu dengan Karpal untuk mendapatkan nasihat perundangan kerana mengesyaki dirinya sentiasa diekori oleh polis dan juga ingin Karpal mewakilinya sekiranya beliau disaman berkaitan pengakuan tersebut.

Mohtar: ''Adakah awak menceritakan secara mendalam kepada Karpal kejadian liwat yang pertama dan di Tivoli Villa.''

Azizan: 'Ya, saya menceritakan secara mendalam.''

Mohtar: ''Adakah hal ini diceritakan kepada Karpal selepas perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri?''

Azizan: ''Saya menceritakan perkara tersebut selepas surat ini dihantar kepada Perdana Menteri.''

Mohtar: ''Setelah Karpal mendengar cerita itu apakah tindakan yang diambil oleh beliau?''

Azizan: ''Beliau cuma berkata oleh kerana surat ini telah sampai kepada Perdana Menteri dan biarlah Perdana Menteri yang menyelesaikan.''

Mohtar: ''Ada apa-apa lagi yang dikatakannya?''

Azizan: ''Dan beliau juga akan bawa perkara ini ke Parlimen apabila Parlimen bersidang.

Mohtar: ''Berapa lamakah Azizan bertiga dengan Karpal?''

Azizan: ''Lebih kurang 45 minit atau sejam.''

-------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/08/1999

Azizan nafi bohong kejadian liwat di Port Dickson

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Azizan Abu Bakar menafikan dia berbohong di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ekoran pengakuan bersumpah yang dibuatnya tidak pernah menyebut kejadian liwat berlaku di Port Dickson dan Tivoli Villa.

Azizan bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam Christopher Fernando bahawa dia tidak memberitahu penulis surat itu, Ummi Hafilda Ali, mengenai kedua-dua tempat kejadian liwat yang didakwanya pernah berlaku.

Saksi itu kemudian mengaku bercakap benar ketika memberi keterangan dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lalu bahawa Ummi tidak pernah diberitahu berhubung kejadian-kejadian itu.

''Saya tidak memaklumkan Ummi sepenuhnya kerana berasa sedih dengan kejadian pertama diliwat di Port Dickson,'' jelas saksi itu ketika disoal balas oleh peguambela.

Azizan mengaku dia tetap bersedih dengan kejadian di tempat-tempat lain walaupun tidak memaklumkannya kepada Ummi.

Soalan Fernando selanjutnya menyentuh isu pelantikan Azizan sebagai salah seorang pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan.

Fernando dalam soalannya mendakwa, pelantikan Azizan sekitar Ogos 1997 berlaku ketika saksi itu masih berkhidmat sebagai pemandu kepada Shamsidar Taharin iaitu isteri bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali.

Azizan ketika menjawab soalan Fernando bersetuju bahawa dia dilantik sebagai salah seorang pengarah bertujuan untuk memulihkan syarikat itu walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang korporat.

Saksi itu kemudian menyenaraikan nama-nama yang disebut sebagai Junaidah, Omar Verankutty dan Ahmad Bastari yang dikenal pasti sebagai pengarah ketika pelantikannya.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah setelah Fernando bertanya kepada saksi soalan-soalan termasuk tempat tinggalnya jika tidak menghadiri perbicaraan, berapa umur pengarah-pengarah tersebut serta siapa pengarah sebenar dalam syarikat itu.

Mahkamah ditangguhkan esok setelah Fernando memaklumkan, pihak pembela hanya akan memberitahu kaitannya dalam kamar kemudian.

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/08/1999

PM punyai tanggungjawab jelaskan isu singkir Anwar

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab membuat kenyataan untuk menjelaskan kepada negara akan alasan di sebalik penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Peguam Datuk Mohd. Adnan Shuaib yang mewakili Dr. Mahathir berkata demikian dalam meminta perintah dari mahkamah untuk membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan terhadap beliau oleh Anwar.

Anwar, 51, dalam samannya terhadap Dr. Mahathir, mendakwa Perdana Menteri telah memfitnah beliau dalam persidangan berita di Jabatan Perdana Menteri pada 22 September lepas.

Mohd. Adnan berkata, Dr. Mahathir membuat kenyataan itu atas perlindungan bersyarat berhubung orang yang merupakan bekas timbalannya dalam kabinet dan dalam UMNO.

Mohd. Adnan berhujah yang Dr. Mahathir mempunyai tanggungjawab moral dan sosial kepada negara untuk membuat kenyataan itu memandangkan jawatannya dan tekanan terhadap beliau untuk menyatakan secara terbuka perkara-perkara berkaitan bekas timbalannya yang dilucutkan jawatan pada 2 September lepas kerana tuduhan salah laku seks.

Mohd. Adnan berkata, Dr. Mahathir memberitahu pemberita yang dakwaan salah laku seks itu diterima oleh beliau daripada polis berhubung prosiding jenayah terhadap bekas penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Anees dan adik angkat (Anwar) Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Beliau berkata, maklumat itu disahkan lagi oleh prosiding jenayah terhadap Dr. Munawar dan Sukma yang berlangsung dua hari sebelum persidangan berita itu dan pensabitan mereka menunjukkan dengan jelas pembabitan Anwar dalam "perbuatan memalukan".

Sukma dan Munawar dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 19 September lalu selepas mengaku bersalah membenarkan Anwar meliwat mereka.

Menurut Mohd. Adnan lagi, tuduhan yang dibuat oleh Anwar yang Dr. Mahathir membuat kenyataan itu dengan niat jahat adalah tidak benar sama sekali memandangkan tuduhan itu tidak berkaitan dengan prosiding terhadap dua orang itu.

Mohd. Adnan berkata, maklumat berkaitan prosiding jenayah telah menjadi pengetahuan umum sebelum 22 September lepas dan ia diberi publisiti meluas oleh media sebelum persidangan berita itu.

Beliau berkata, Dr. Mahathir mempunyai pertahanan yang jelas yang merupakan pertahanan mutlak bagi defendan dalam saman fitnah.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar meminta mahkamah menolak permohonan Dr. Mahathir untuk membatalkan saman fitnah itu kerana alasan beliau tidak boleh diterima.

Beliau berkata, kenyataan Dr. Mahathir telah ditokok tambah dan telah melampaui fakta prosiding jenayah serta pensabitan Munawar dan Sukma.

Menurut Karpal Singh lagi, sebarang pensabitan atau fakta berhubung pensabitan itu mesti dikaitkan dengan kata-kata yang dipersoalkan dan bukan melampauinya.

Karpal Singh juga berkata, kata-kata yang dipersoalkan yang ditutur oleh Dr. Mahathir di persidangan berita itu tidak berkaitan dengan prosiding jenayah terhadap Sukma dalam apa cara pun dan ia hanya merujuk kepada Munawar sahaja.

Beliau berkata, pembelaan bagi perlindungan bersyarat seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, mesti ada keterangan untuk menunjukkan adanya bona fide dan tiadanya niat jahat.

Hakim Datuk Dr. R.K. Nathan akan memberikan keputusannya pada 30 Ogos. - Bernama

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/08/1999

Azizan akui sukar bukti dia diliwat

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar, yang telah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya beberapa kali hari ini mengakui adalah sukar untuk membuktikan bahawa beliau seorang lelaki yang telah diliwat.

Azizan menyatakan bahawa beliau pernah memberitahu Polis Cawangan Khas (SB) yang menyoal siasatnya tentang perkara tersebut.

Menurut Azizan, pada bila-bila masa beliau tidak dihantar untuk menjalani pemeriksaan doktor.

''Tidak ada,'' kata Azizan ketika menjawab soalan yang bertubi-tubi oleh peguam Christopher Fernando.

Fernando selaku peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat 'mangsa' tersebut.

Pada satu peringkat, Fernando berulang-ulang kali menyoal Azizan mengapa beliau dan Ummi Hafilda Ali memilih untuk 'berlindung' di rumah Dr. Ristina Majid selama dua atau tiga malam selepas membuat pengakuan bersumpah diliwat oleh Anwar.

Selain itu, Azizan disoal mengapa beliau berjumpa bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Azizan, 38, memberi keterangannya sebagai saksi pendakwa yang keenam dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-36 hari ini.

Sejurus sidang bermula pukul 9.05 pagi ini, Fernando menyoal: ''Adakah Tan Sri Rahim Tamby Chik terlibat dalam syarikat yang kamu kerja?''

Azizan menjawab bahawa beliau tidak tahu.

Fernando: ''Benarkah Ummi Hafilda menyuruh kamu menemui Tan Sri Rahim Tamby Chik sekitar dalam masa P5 (pengakuan bersumpah) itu dibuat?''

Azizan: ''Ada, sekali sahaja.''

Fernando: ''Apakah tujuan Ummi menyuruh kamu menemui Tan Sri Rahim Tamby Chik?''

Azizan: ''Saya dan Ummi pergi ke pejabat Tan Sri Rahim.''

Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah: ''Apakah tujuannya?''

Azizan: ''Kerana Tan Sri Rahim Tamby Chik ingin tahu benarkah kejadian liwat yang berlaku ke atas saya.''

Fernando: ''Apakah Tan Sri Rahim Tamby Chik cadang kamu lakukan?''

Azizan: ''Beliau tidak mencadangkan apa-apa.''

Fernando: ''Bilakah kamu pergi berjumpa Tan Sri Rahim Tamby Chik?''

Azizan: ''Hari saya tak ingat. Tapi selepas P5 di hantar kepada Perdana Menteri.''

Fernando: ''Apakah Ummi beritahu kamu sebelum kamu dijemput untuk berjumpa Tan Sri Rahim Tamby Chik?''

Azizan menyatakan bahawa Tan Sri Rahim Tamby Chik ingin berjumpa sahaja.

Pada soalan seterusnya, Azizan berkata, beliau tidak bertanya sebab Tan Sri Rahim Tamby Chik hendak berjumpanya.

Fernando: ''Adakah kamu bertanya Ummi kenapa seorang bekas Ketua Menteri ingin jumpa kamu?''

Azizan: ''Ya, saya ada bertanya.''

Fernando: ''Apa beliau (Ummi) jawab?''

Azizan: ''Ummi beritahu apabila sampai di pejabat, saya tanyalah sendiri.''

Fernando bertanya lagi adakah Ummi kawan baik Tan Sri Rahim Tamby Chik tetapi Azizan menjawab beliau tidak tahu.

Azizan memberitahu bahawa pada pemerhatiannya beliau tidak nampak Ummi kawan baik dengan Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Fernando: ''Azizan, macam mana Ummi perkenalkan kamu kepada Tan Sri Rahim Tamby Chik?''

Azizan: ''Ummi berkata, Tan Sri, ini Azizan.''

Fernando: ''Itu sahaja, tak kata daripada mana?''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Ini bermakna Tan Sri Rahim Tamby Chik telah tahu kamu.''

Hakim Ariffin: ''Kamu boleh hujah. Beliau tak tahu. Beliau diperkenalkan.''

Fernando menyoal isu yang sama: ''Adakah Tan Sri Rahim Tamby Chik tanya kepada Ummi, ini Azizan yang mana?''

Azizan menjawab, tidak.

Fernando: ''Siapa lagi pergi berjumpa Tan Sri Rahim Tamby Chik?''

Azizan: ''Selain kami berdua, Ziela Jalil juga pergi bersama.''

Fernando: ''Sila beritahu Yang Arif, siapakah Puan Ziela Jalil?''

Azizan: ''Setahu saya, Ziela adalah isteri kepada Datuk Seri Megat Junid (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).''

Fernando: ''Isteri kedua, bukan?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Adakah itu penting?''

Fernando: ''Tak apalah, adakah Ziela dan Ummi kawan baik?''

Azizan menjawab, tidak tahu.

Menjawab soalan seterusnya, Azizan berkata, beliau tidak tahu sebab berjumpa dengan Tan Sri Rahim Tamby Chik. Beliau berada di pejabat Tan Sri Rahim selama 20 minit dan selepas itu beliau balik dengan keretanya sendiri.

Ketika ditanya adakah Tan Sri Rahim Tamby Chik gembira, Azizan memberi pandangannya dengan menjawab, tidak.

Selepas itu, Fernando menyoal Azizan berkisar perkenalan dan pertemuan dengan Dr. Ristina.

Menurut Azizan, Ummi memperkenalkan beliau dengan Dr. Ristina di rumah keluarganya di Kampung Klang Gate di sini.

Fernando: ''Dan selepas pertemuan di rumah keluarga Ummi, adakah kamu bertemu Dr. Ristina semula?''

Azizan: ''Ya, ada.''

Fernando: ''Di mana?''

Azizan: ''Saya dan Ummi menumpang sementara di rumah Dr. Ristina.''

Fernando: ''Bilakah kamu dengan Ummi pergi ke rumahnya.''

Azizan: ''Dua atau tiga hari sebelum saya ditangkap oleh polis pada Ogos 1997.''

Fernando meninggikan suara: ''Kamu hanya kenal Dr. Ristina dengan bertemu sekali sahaja dan menumpang di rumahnya berapa lama?''

Azizan: ''Lebih kurang dua atau tiga malam.''

Fernando mengulangi soalan: ''Walaupun kamu hanya menemuinya sekali sahaja, kamu pergi menumpang dua hingga tiga malam, betul?''

Azizan: ''Ya.'' Dan Azizan memberitahu bahawa adik-beradik Ummi termasuk Azwan Ali seorang personaliti TV datang ke rumah Dr. Ristina semasa beliau menumpang di situ.

Katanya, kawan-kawan Dr. Ristina juga ada datang pada masa itu tetapi mereka bukanlah pegawai polis atau tokoh politik sebagaimana yang dikatakan oleh Fernando.

Menjawab soalan Fernando mengapa beliau memilih untuk menumpang di rumah Dr. Ristina, Azizan memberitahu bahawa beliau berlindung di situ untuk mengelakkan daripada dianiaya dan dipukul selepas surat pengakuannya diliwat oleh Anwar telah dihantar kepada Perdana Menteri.

Pada satu peringkat pemeriksaan balas itu, Hakim Ariffin menghentikan tindakan Fernando untuk menyoal Azizan bertubi-tubi berhubung soalan berapa kali beliau membuat kenyataan kepada polis.

Hakim Ariffin mengingatkan Fernando supaya 'jangan memancing' (memerangkap saksi dengan soalan) dan juga mengulang-ulangkan soalannya kerana pembela tidak ada dokumen kenyataan itu.

Fernando menerangkan bahawa beliau ingin menguji kredibiliti saksi itu dalam soalannya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bangun membantah sambil menyatakan Fernando bukan sahaja memancing tetapi 'memancing dalam kolam renang' sewaktu menyoal Azizan.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/08/1999

Mahkamah larang Azizan bincang soalan pembela

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang Azizan Abu Bakar daripada berbincang dengan pihak pendakwa atau polis mengenai soalan pembela berhubung kenyataan saksi itu ketika soal siasat.

Hakim Datuk Ariffin Jaka mengeluarkan larangan itu setelah Christopher Fernando selaku peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon supaya Azizan tidak mengadakan perbincangan sehingga esok.

Sebelum itu, Hakim Ariffin menolak permohonan pertama Fernando supaya Azizan dilarang berbincang dengan mana-mana pihak berhubung keterangannya hari ini, dengan alasan mahkamah tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Mahkamah memutuskan demikian dalam sesi pemeriksaan balas pada sidang sebelah petang perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri atas tuduhan meliwat Azizan yang merupakan bekas pemandu peribadi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar, 51, juga dituduh bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja atas dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat mangsa.

Isu larangan itu ditimbulkan oleh Fernando setelah Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah membantah soalan yang dikemukakan kepada Azizan berhubung kenyataan yang dirakam oleh polis.

Azizan dalam keterangannya menyatakan, dia pernah memberitahu polis tarikh dia diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri (seperti yang disebut dalam pertuduhan).

Pada peringkat ini, Mohtar membantah kerana pihak pembela tidak boleh membongkar maklumat dengan mengemukakan soalan berdasarkan kenyataan yang dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, Fernando menegaskan, Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 membolehkan soalan-soalan itu dikemukakan semasa pemeriksaan balas.

Hakim Ariffin kemudian menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan pihak pendakwa dan pembela merujuk nas undang-undang sebelum mahkamah memutuskan sama ada membenarkan pembela mengemukakan soalan lanjut berhubung kenyataan Azizan.

Ketika perbicaraan bermula pada pukul 2.35 petang, mahkamah mendengar keterangan Azizan ketika disoal balas oleh Fernando berhubung kejadian liwat.

Menurut Azizan, dia tidak ingat bahawa dia telah memberitahu polis, Anwar pernah meliwatnya pada bulan Mei 1994.

Mohtar membantah soalan itu kerana kejadian liwat pada tahun 1994 tidak ditimbulkan dalam pemeriksaan utama.

Bagaimanapun Fernando menyatakan, pembela sedang mengimbas kembali pertuduhan asal sebelum pindaan daripada tahun 1994 kepada 1992 dan kemudian dipinda semula kepada tahun 1993.

Menjawab soalan Fernando, Azizan mengaku dia mengetahui bahawa tuduhan asal terhadap Anwar telah dipinda setelah membacanya melalui akhbar.

Saksi itu kemudian menafikan pernah memberitahu polis bahawa dia telah diliwat pada bulan Mei 1992.

Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/08/1999

Saksi disoal bertalu-talu

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Saksi pendakwa, Azizan Abu Bakar hari ini disoal bertubi-tubi oleh peguam bela di Mahkamah Tinggi di sini berhubung isu tarikh dakwaan kejadian Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya di apartmen mewah Tivoli Villa di Bangsar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka pada sesi pagi ini memutuskan membenarkan Christopher Fernando selaku peguam bela Anwar menyoal Azizan mengenai dakwaan tarikh kejadian tersebut.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa pembela hanya boleh menimbulkan perkara itu dan tidak menyentuh soalan kandungan kenyataan Azizan kepada pihak polis.

Hakim Ariffin membuat keputusannya selepas menimbangkan hujah Fernando dan bantahan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Fernando memohon untuk menyoal Azizan berhubung isu tarikh itu dengan alasan bahawa pihaknya mempunyai alibi (saksi yang berada di tempat kejadian).

Beliau membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwa keenam dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Ketika memulakan pemeriksaan balas, Hakim Ariffin mengingatkan Fernando supaya berhati-hati dalam soalannya dan tidak menyentuh apa-apa kandungan kenyataan Azizan.

Fernando: ''Kamu beritahu pihak polis kamu diliwat pada Januari 1993 dan kenyataan ini dibuat pada 1 Jun tahun ini. Adakah kamu setuju kenyataan yang kamu buat itu adalah selepas kes ini disebutkan?''

Hakim Ariffin segera mencelah: ''Ini adalah fakta, kamu tidak boleh nafikan. Biarlah adil kepada saksi.''

Fernando: ''Baiklah.''

Hakim Ariffin: ''Perbicaraan ini bermula 7 Jun lalu. Ia adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.''

Fernando: ''Azizan, kamu ingat baik-baik mengenai tarikh semasa polis berjumpa dengan kamu. Ini adalah soalan pembukaan sahaja.''

Hakim Ariffin: ''Macam mana beliau hendak menjawab. Orang yang boleh jawab ialah polis.''

Fernando: ''Ini yang diberitahu oleh beliau bahawa pada 1 Jun 1999....''

Hakim Ariffin: ''Jika begitu, teruskan.''

Fernando: ''Azizan, dalam konteks apakah pihak polis tanya kamu, ingat betul-betul, dalam bulan Jun 1999, jawab, jawab.''

Azizan: ''Kerana saya telah diliwat dua orang sekali.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Fernando: ''Tidak jawab tarikh.''

Azizan: ''Sebab ia terjadi empat bulan selepas saya berhenti.''

Fernando: ''Adakah pihak polis beritahu kamu tarikh itu salah, ingat betul-betul.''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Kamu beritahu mahkamah semalam bahawa tarikh iaitu Mei 1992, tarikh yang dikatakan berlaku telah dipinda, kamu tidak beritahu polis. Adakah polis beritahu tarikh Mei 1992 ini salah?''

bAzizan: ''Saya tak ingat.''

Fernando: ''Saya bertanya mengenai perkara yang berlaku pada Jun 1999, kamu kata tak ingat.''

Hakim Ariffin: ''Kamu mesti berlaku adil terhadapnya.''

Fernando: ''Tetapi ini dipinda pada Jun 1999. Mereka (polis) tanya beliau pada Jun 1999.'

Hakim Ariffin: ''Dia kata tak ingat.''

Fernando: ''Perkara ini berlaku hanya dua bulan lalu, kamu kata tak ingat.''

Azizan: ''Benar.''

Fernando: ''Kamu setuju atau tidak bahawa tarikh Mei 1992 itu adalah tidak benar.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, bDatuk Abdul Gani Patailn membantah dan bertanya apakah yang dimaksudkan oleh Fernando.

Hakim Ariffin menjelaskan: ''Ia berkenaan tarikh diliwat itu tidak benar.''

Fernando meneruskan soalan: ''Kamu setuju atau tidak bahawa pada tarikh ini kamu tidak diliwat?''

Tetapi Azizan menjawab: ''Di sepanjang 1992 saya diliwat.''

Hakim Ariffin meninggikan suara: ''Jangan main-main, ini soalan balas saksi, tidak boleh jawab soalan yang mudah. Mengelak soalan. Fernando katakan soalan ini kepada kamu, adakah kamu setuju tarikh Mei 1992 itu tidak benar?''

Azizan segera menjawab: ''Setuju, tidak benar.''

Fernando: ''Azizan, setuju atau tidak pada tarikh Mei 1992 itu Tivoli Villa tidak wujud?''

Azizan: ''Setuju.''

Fernando: ''Adakah kamu disuruh pinda tarikh itu. Tarikh Mei 1992 yang dikatakan diliwat oleh Anwar dan Sukma kepada Januari hingga Mei 1993, jawab.''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Bila dan siapa yang suruh kamu buat demikian, jawab.''

Hakim Ariffin menjelaskan: ''Bila dan siapa suruh kamu buat demikian, tukar tarikh.''

Fernando meninggikan suara: ''Jawab.''

Hakim Ariffin: ''Biarlah beliau jawab.''

b~Azizan: ''Pegawai polis yang mengambil kenyataan saya.''

Fernando: ''Dan kamu setuju?''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Siapakah pegawai itu?''

Azizan: ''SAC Musa (pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan).''

Fernando: Pada 1 Jun 1999, bukan?''

bAzizan: ''Ya.''

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/08/1999

Azizan nafi diberi rasuah jawatan

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau diberi 'rasuah' jawatan pengarah syarikat dan sejumlah besar wang untuk membuat kenyataan palsu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwatnya.

Azizan memberi sebab mengapa beliau mengambil masa selama lima tahun untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum.

Katanya, perasaan bersalah menguasai dirinya dan wujud kesedaran agar ia tidak berlaku ke atas orang lain.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan bertubi-tubi dalam pemeriksaan balas Christopher Fernando selaku peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat Azizan.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45 di unit No. 10-7-2, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Azizan, 38, merupakan saksi pendakwa keenam memberi keterangan dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-37 hari ini.

Ketika meneruskan pemeriksaan balas pada sesi pagi ini, Fernando menyoal: ''Azizan, kamu beritahu mahkamah kamu berjumpa dengan Asisten Supritendan Zull Aznam (bekas juruiring Anwar)?''

Azizan: ''Ya, saya ada berjumpa.''

Fernando: ''Adakah selepas kamu jumpa Anwar pada Jun atau Julai 1998? Kamu beritahu mahkamah bahawa kamu pernah berbincang tentang kemalangan jalan raya yang meragut nyawa isteri kamu. Selepas itu adakah Zull Aznam memandu dan membawa kamu balik ke Rawang?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Adakah beliau bawa kamu pergi ke mana-mana?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Adakah kamu berjumpa beliau selepas kamu bertemu Anwar?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Adakah kamu jumpa beliau sebelum menemui Anwar?''

Azizan: ''Ada.''

Fernando: ''Adakah kamu memberitahu beliau bahawa kamu merekakan perkara liwat ini untuk wang?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Saya katakan kamu memberitahu Zull Aznam bahawa kamu merekakan perkara ini kerana kamu dijanjikan wang.''

Azizan: ''Tidak setuju.''

Fernando: ''Adakah Ummi (Hafilda Ali) beritahu kamu bahawa beliau diberi satu kontrak oleh Datuk Seri Megat Junid bernilai berjuta-juta ringgit. Ada atau tidak?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Adakah kamu tahu bahawa Ummi diberi satu kontrak oleh Megat Junid yang bernilai berjuta-juta ringgit?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Kamu tidak baca 'paper' atau akhbar mengenai perkara ini, ada atau tidak?''

Azizan: ''Maaf Yang Arif, saya tidak faham.''

Hakim Datuk Ariffin Jaka lalu mencelah: ''Apakah relevan Ummi dan Megat Junid ini?''

Fernando: ''Ia relevan untuk menunjukkan bagaimana wang itu masuk.''

Azizan menjawab: ''Saya tidak ada membacanya.''

Hakim Ariffin mencelah dengan soalan: ''Mengenai Megat Junid beri kontrak berjuta-juta ringgit kepada Ummi?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa Ummi memujuk kamu merekakan perkara liwat ini supaya Anwar akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, jawab dengan jujur.''

Azizan: ''Tidak setuju.''

Fernando: ''Dan saya katakan bahawa Ummi berjanji akan membayar sejumlah wang yang besar kepada kamu untuk berbuat demikian.''

Azizan: ''Tak setuju.''

Fernando: ''Dan saya katakan bahawa seleaps berkali-kali dipujuk kamu setuju untuk memasuki satu konspirasi menjatuhkan Anwar.''

Azizan: ''Tidak setuju.''

Fernando: ''Adakah Ummi beritahu kamu bahawa beliau telah berjumpa di antara lain Tun Daim Zainuddin untuk melaksanakan konspirasi ini?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Beliau (Ummi) tak beritahu kamu beliau jumpa Tun Daim sehingga hari ini?''

Azizan: ''Tak pernah.''

Fernando: ''Adakah Ummi beritahu kamu bahawa antara lain Tun Daim, Megat Junid, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Dr. Ristina Majid, Datuk Aziz Shamsuddin adalah orang yang akan memastikan Anwar dipecat daripada jawatan beliau jikalau kamu sanggup membuat pertuduhan-pertuduhan seperti dalam P5.''

Azizan: ''Saya tak faham.''

Di peringkat ini, Hakim Ariffin menjelaskan kepada Azizan soalan itu mengenai pengakuan bersumpahnya.

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Ada atau tidak selepas kamu tandatangan P5 kamu beritahu kawan-kawan kamu bahawa Ummi adalah jahat dan memujuk kamu menandatangani P5 itu?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Adakah kamu pada satu ketika beritahu kawan-kawan kamu selepas P5 ini ditandatangani bahawa kamu bosan dengan Ummi yang selalu kacau kamu?''

Azizan: ''Tidak.''

Saksi itu menyatakan beliau beritahu kawan-kawannya bahawa beliau ingin memulakan penghidupan baru.

Fernando: ''Sebagai pengarah syarikat dan eksekutif jualan dan pentadbiran?''

Azizan: ''Tidak, bukan sebagai pengarah tetapi eksekutif jualan di Syarikat Distine Trading Sdn. Bhd.''

Tambahnya, beliau pernah memberitahu kawannya yang bernama Omar Veran Kutty dan seorang yang bernama Ma'amin.

Fernando: ''Boleh beritahu berapakah rumah dan flat yanh kamu miliki pada masa ini?''

Azizan: ''Sebuah rumah sahaja iaitu di Rawang.''

Fernando: ''Adakah itu atas nama kamu sendiri?''

Azizan: ''Bukan. Ia atas nama arwah isteri saya.''

Fernando: ''Azizan, adakah kamu memiliki rumah dan apartmen yang bukan atas nama kamu?''

Hakim Ariffin bertanya Fernando: ''Adakah soalan adil kepada saksi ini?''

Namun Azizan menjawab: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Sekarang kamu tinggal di Alor Gajah, Melaka?''

Azizan:f ''Ya, benar.''

Fernando: ''Kamu tinggal dengan siapa?''

Azizan: ''Bersama rakan tempat saya kerja di Alor Gajah.''

Fernando: ''Saya katakan kamu adalah lembaga pengarah syarikat Azarik Sdn. Bhd., dan jawatan yang kamu pegang masa ini antara lain termasuk sejumlah wang yang besar sebagai rasuah kepada kamu untuk membuat kenyataan palsu terhadap Anwar, setuju atau tidak?''

Azizan: ''Tidak setuju sama sekali.''

Selepas jawapan itu Fernando memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil beberapa orang saksi.

Hakim Ariffin: ''Saya pasti kamu ada arahan spesifik.''

Fernando mengalihkan soalannya: ''Azizan, kenapa jikalau benar dakwaan liwat terhadap Anwar dan Sukma, kamu menunggu selama lebih kurang lima tahun untuk bawa perkara ini secara terbuka untuk memberitahu dunia?''

Azizan: ''Sebab perasaan bersalah menguasai diri saya dan kesedaran pada diri saya agar perkara yang telah terjadi tidak akan berlaku kepada orang lain.''

Fernando: ''Soalan saya, kenapa kamu tunggu lima tahun bukan lima hari atau lima bulan.''

Pada peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan membantah soalan peguam bela itu dengan alasan bahawa Fernando tidak boleh dapat jawapan seperti yang diinginkan.

Hakim Ariffin bersetuju dengan Peguam Negara lalu berkata: ''Dia (Azizan) telah jawab bahawa perasaannya telah sedar dan berfikir tidak mahu perkara ini terjadi, dia telah jawab.''

Fernando: ''Saya mohon izin mahkamah untuk bertanya kenapa mengambil masa lima tahun.''

Hakim Ariffin lalu bertanya Azizan: ''Kenapa lima tahun, ada sebab?''

Azizan: ''Perasaan saya tertekan.''

Fernando yang nampak tidak berpuas hati dengan jawapan Azizan terus menyoal: ''Jikalau benar, kamu tidak tunggu selama lima tahun.'

Hakim Ariffin: ''Dia sudah pun menjawab.''

Fernando mengubah soalan: ''Adakah keputusan kamu untuk menuduh selepas kamu berjumpa Ummi Haflida?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Tidak! Kamu faham soalan saya. Bukankah selepas kamu jumpa Ummi, kamu setuju untuk buat dakwaan-dakwaan ini terhadap Anwar. Saya menghargai sekiranya mahkamah membenarkan dia menjawab soalan ini.''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Berapa lamakah kamu merancang dengan Ummi sebelum kamu bersetuju untuk menandatangani P5 ini?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula bangun membantah soalan itu.

Menurut Gani, faktanya tidak boleh dinafikan.

Hakim Ariffin berkata, Gani boleh menyoal semula Azizan mengenai perkara itu selepas pemeriksaan balas.

Fernando meneruskan soalan: ''Berapa lama kamu merancang?''

Azizan: ''Saya tidak merancang.''

Di peringkat ini, Fernando mengingatkan Gani supaya tidak memimpin saksi itu menjawab soalannya macam 'burung kakak tua'.

Hakim Ariffin mencelah dengan soalan: ''Berapa lama?''

Azizan: ''Saya tidak ada merancang.''

Fernando: ''Baiklah, berapa lama selepas kamu menemui Ummi kamu mengambil masa untuk menandatangani P5?''

Azizan: ''Lebih kurang tiga minggu.

Fernando: ''Pada pendapat kamu mana yang lebih serius: Meletak jawatan sebagai pemandu atau membuat suatu dakwaan seserius ini. Jikalau kamu takut kepada Anwar, mengapa buat dakwaan ini terhadap pemimpin politik.?''

Azizan menyatakan bahawa membuat dakwaan terhadap Anwar adalah lebih serius.

Fernando: ''Semalam kamu sendiri memberitahu mahkamah bahawa Ummi beritahu kamu beliau kenal ramai orang kenamaan untuk meyakinkan kamu supaya menandatangani P5, betul atau tidak.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Kenapa kamu ulang-ulang soalan?''

Fernando: ''Saya ada sebab. Tolong bersabar dengan saya. Benar atau tidak?''

Azizan: ''Saya sudah jawab soalan.''

Mohtar membantah: ''Yang Arif, saya tidak mahu memprotes tetapi beliau (Fernando) tidak boleh 'berpusing-pusing' untuk mendapatkan jawapan daripada saksi.''

Hakim Ariffin: ''Beliau sudah jawab semalam. Kamu boleh baca jawapannya.''

Fernando: ''Saya ada sebab untuk menyoal perkara ini, saya minta tolong bersabar.''

Hakim Ariffin: ''Tunjukkan soalan kamu semalam.''

Tetapi Fernando terus menyoal: ''Jawab soalan, setuju atau tidak?'' Para hadirin di galeri awam tergelak kuat apabila melihat Azizan membisu dan terpinga-pinga sahaja.

Hakim Ariffin memandang ke arah Azizan sambil berkata: ''Mengapa tengok saya macam mimpi, kamu lapar.''

Fernando segera menyampuk: ''Jawab soalan hakim, adakah kamu letih dan lapar, nak minta berhenti beritahu mahkamah.''

Azizan: ''Ya, saya rasa letih.''

Fernando: ''Lapar atau tidak?''

Hakim Ariffin: ''Adakah kamu hendak tidur?''

Azizan: ''Saya letih dan lapar.''

Hakim Ariffin: ''Kita tangguh sekarang, kamu (Azizan) pergi makan dan tidur, datang pada sebelah petang.''

Sidang sesi pagi berhenti pukul 12.10 tengah hari.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/08/1999

Saksi tidak rujuk kes ke Mahkamah Syariah dipersoal

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pihak pembela hari ini menyoal Azizan Abu Bakar di Mahkamah Tinggi di sini mengapa beliau tidak merujuk ke Mahkamah Syariah jika benar Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya.

Bagaimanapun Azizan menjawab beliau tidak berbuat demikian kerana menganggap tidak ada siapa yang akan mempercayai cakapnya.

Beliau memberitahu demikian ketika disoal balas oleh Christopher Fernando selaku peguam bela Anwar.

Fernando menimbulkan soalan itu dalam perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya itu.

Dalam keterangannya, Azizan yang merupakan saksi pendakwa yang keenam menyatakan sebagai seorang Islam, beliau bukannya tidak yakin dengan prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah, tetapi tidak mempunyai pengetahuan undang-undang mengenainya.

Katanuya, beliau tidak mengetahui kesalahan liwat yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan adik angkatnya terkandung di bawah peruntukan undang-undang Syariah.

Bagaimanapun Azizan bersetuju bahawa keterangannya mengenai isu diliwat seperti yang dibangkitkan dalam perbicaraan lalu dilakukan demi kepentingan maruah dan agama.

Azizan juga menyatakan dia tidak tahu mengapa Ummi Hafilda Ali yang menulis pengakuan bersumpahnya tidak membawa isu kejadian liwat itu ke Mahkamah Syariah.

Soalan pihak pembela seterusnya berkisar mengenai tindakan Azizan yang tidak pernah membuat laporan polis.

Saksi itu mengakui beliau tidak melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai peristiwa diliwat.

Sebaliknya, kata Azizan, beliau membuat pengakuan bersumpah kerana merasakan pada peringkat awal polis mungkin tidak akan mempercayainya.

Fernando menyoal: ''Jika polis dan Mahkamah Syariah tidak percaya, bagaimana kamu tahu pihak yang lain akan percaya?''

Azizan: ''Saya serahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis untuk menyiasatnya.''

Fernando: ''Mengapa kamu membuat pengakuan bersumpah sedangkan kamu tahu polis tentu menjalankan siasatan?''

Azizan: ''Saya membuat pengakuan bagi membolehkan polis menyiasat kebenaran kandungannya.''

Hakim Ariffin kemudian membenarkan permohonan peguam bela menangguhkan perbicaraan sehinga esok bagi memberi peluang untuk memutuskan sama ada ingin meneruskan prosiding mencabar kredibiliti saksi atau menyambung pemeriksaan balas secara tertutup.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 07/08/1999

Mohon salinan nota dari Augustine Paul

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah hari ini menghantar surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul untuk memohon salinan nota prosiding yang mengandungi beberapa keterangan yang digugurkan pada perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohtar memberitahu Hakim Datuk Ariffin Jaka pagi ini bahawa adalah satu tindakan yang tidak beretika jika pihaknya sahaja yang menemui hakim berkenaan dan peguam bela Anwar pula enggan bersama.

Oleh itu, kata beliau, jalan yang terbaik bagi pendakwa ialah menulis surat kepada Hakim Augustine untuk mendapatkan penjelasan bahagian keterangan yang telah digugurkan pada perbicaraan lalu.

Sehubungan itu, Hakim Ariffin menangguhkan sehingga Isnin ini untuk mendengar keterangan bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Azizan Abu Bakar dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Azizan. Dia dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar selanjutnya pemeriksaan balas pihak pembela terhadap Azizan.

Bagaimanapun, pertikaman lidah tercetus seketika antara Christopher Fernando dengan Mohtar apabila beliau membantah peguam bela itu mengemukakan soalan untuk dijawab oleh Azizan yang dikatakan telah dipadamkan oleh Hakim Augustine sebelum ini.

Perbicaraan Anwar dan Sukma masuk hari ke-38 hari ini. Sebelum sidang bermula pada pukul 10.25 pagi, Mohtar bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Fernando serta Jagdeep Singh Deo selaku peguam bela Sukma menemui Hakim Ariffin di kamarnya.

Sejurus mahkamah bersidang, Fernando memaklumkan beliau ingin menyoal balas Azizan sebelum mengemukakan permohonan untuk mencabar saksi itu.

Fernando: ''Pada bulan Jun 1998, adakah kamu pergi ke Kementerian Kewangan?''

Azizan: ''Ada.''

Fernando: ''Apakah tujuan kamu pergi ke sana pada Jun 1998 bukan 1997?''

Azizan: ''Saya berjumpa dengan Setiausaha Anwar bernama Encik Mohamad dengan tujuan untuk mengetahui keputusan permohonan kontrak oleh salah seorang pengarah syarikat saya yang telah dibuat sebelum saya memasuki syarikat di tempat saya kerja sekarang.''

Fernando: ''Siapakah nama pengarah yang dimaksudkan?''

Azizan: ''Beliau ialah Datuk Taufik Yap Abdullah.''

Fernando: ''Siapa suruh kamu pergi ke Kementerian Kewangan?''

Azizan: ''Encik Lai Fong Wah, salah seorang pengarah syarikat saya.''

Fernando: ''Dan Datuk Seri Anwar enggan menjumpai kamu bukan?''

Azizan: ''Saya tidak diberitahu tentang keengganan Datuk Seri Anwar.''

Fernando: ''Adakah kamu berjumpa Datuk Seri Anwar pada ketika itu?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa kamu mencuba menemui Datuk Seri Anwar tetapi dia enggan menemui kamu, jawab.''

Azizan nampak lambat menjawab lalu Fernando meninggikan suara: ''Jawab, jawab.''

Saksi itu memberi jawapan, beliau tidak bersetuju.

Sebaik mendengar jawapan Azizan, Fernando meminta Hakim Ariffin mencatatkan dalam notanya berapa lama saksi tersebut mengambil untuk menjawab.

Fernando meneruskan soalan: ''Azizan, masa perbicaraan yang lalu, bukankah kamu beritahu mahkamah ketika pemeriksaan balas bahawa Anwar enggan menemui kamu?''

Di peringkat ini, Mohtar membantah. Beliau menyatakan soalan tersebut merujuk keterangan saksi yang diberikan pada perbicaraan dahulu dan kecualilah mendapat kepastian dari rekod mahkamah.

''Saya tidak tahu sama ada keterangan ini adalah sebahagian keterangan yang telah dibatalkan oleh Hakim Augustine,'' kata beliau.

Menurut Mohtar, andainya ia merupakan keterangan yang dibatalkan, maka peguam bela tidak boleh menyoal dalam perbicaraan ini perkara-perkara yang telah terbatal.

Hakim Ariffin mencelah sambil mencadangkan supaya kedua-dua pihak meneliti rekod hakim berkenaan sama ada ia telah dipadamkan.

Namun Fernando berhujah bahawa walaupun ia berkisar soalan yang dipadamkan beliau tidak menyoal berhubung kebenaran atau sebaliknya tuduhan terhadap Anwar dan hanya untuk membangkitkan kredibiliti saksi.

Hakim Ariffin menegaskan beliau berpandukan dengan rekod mahkamah yang lalu.

Fernando berkata, soalan yang ditimbulkan oleh beliau bukanlah bahagian yang dipadamkan.

Mohtar pula memberitahu, pihaknya ingin menemui Hakim Augustine untuk mendapatkan kepastian tetapi peguam bela itu enggan berbuat demikian.

Hakim Ariffin mencadangkan agar kedua-dua pihak pergi menemui hakim berkenaan.

Fernando berkata, beliau hendak memberi hujah balas. Katanya, selepas menimbangkan perkara ini rakan beliau dalam pasukan pembelaan mengambil pendirian tegas menyatakan adalah tidak sesuai pihaknya menemui hakim berkenaan pada peringkat ini.

Mohtar pula menyatakan beliau mahu berhujah balas. Beliau berkata, demi memelihara keadilan, kedua-dua pihak harus menemui Hakim Augustine untuk mendapatkan penjelasan.

''Yang Arif berkata bahawa kami boleh pergi. Kami tidak boleh pergi secara sendirian tetapi rakan peguam bela kata mereka tidak boleh pergi,'' kata Peguam Negara.

Peguam Negara berhujah lagi bahawa sesetengah orang memadamkan beberapa perenggan dengan menandakannya dan ada sesetengah yang lain menandakan di bahagian baris tulisan.

Beliau mengambil rujukan kes Insas melawan Air Molek yang hakim memadamkan perenggan tertentu dengan menandakannya.

Tambah beliau, Mahkamah Persekutuan merujuknya ketika mendengar kes tersebut.

Tetapi, menurut Mohtar, kes yang didengar oleh Hakim Augustine itu tidak dinyatakan bahagian yang dipadamkan dan oleh itu pendakwa dan peguam bela seharusnya menemui beliau untuk penjelasan.

Hakim Ariffin berkata, beliau sendiri tidak tahu yang mana satu bahagian yang telah dipadamkan.

Fernando menjawab hujah dengan menyatakan bahawa pihaknya tidak ingin menemui Hakim Augustine tetapi sebaliknya beliau mencadangkan agar hakim berkenaan disapina untuk datang ke mahkamah dengan mengangkat sumpah menerangkan bahagian yang telah dipadamkan itu.

''Kami katakan adalah salah untuk bertemu hakim secara sulit dan ia tidak ada dalam peruntukan. Tiada hakim yang mengatasi undang-undang,'' kata peguam bela itu.

Hakim Ariffin: ''Semua orang, tidak ada yang mengatasi undang-undang.''

Mohtar menjawab hujah bahawa apa yang diinginkan oleh peguam bela untuk memanggil hakim datang ke mahkamah itu bertentangan dengan peruntukkan di bawah Seksyen 121 Akta Keterangan.

Hakim Ariffin kemudian membuat keputusan mengarahkan kedua-dua pihak pergi berjumpa Hakim Augustine.

''Kamu pergi menemui hakim berkenaan untuk memastikan bahagian mana sahaja yang dipadamkan tanpa sebarang soalan lain tetapi jika beliau tidak ingin bertemu, datang balik beritahu saya. Pergi temu hakim itu,'' kata Hakim Ariffin.

Fernando segera menjawab bahawa pihaknya tidak boleh menemui hakim berkenaan atas alasan keputusan yang dibuat dalam kes itu kini sedang menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Memandangkan keengganan peguam bela menyertai pendakwa menemui Hakim Augustine, Mohtar memberitahu bahawa pihaknya mengambil keputusan untuk menulis surat meminta salinan bahagian yang dipadamkan dan menyerahkan kepada Hakim Ariffin.

Hakim Ariffin turut bertanya bagaimana pula dengan arahannya yang dikeluarkan kepada peguam bela dan pendakwa raya.

Mohtar menerangkan beliau akan membuat surat segera dan menarik balik permohonan untuk mendapatkan arahan mahkamah menemui Hakim Augustine.

Hakim Ariffin lalu mencatatkan dalam nota prosiding bahawa beliau tidak ada mengarahkan sedemikian kerana Peguam Negara menarik balik permohonannya.

Laporan: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/08/1999

Azizan tak lupa diliwat di Tivoli Villa

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Azizan Abu Bakar hari ini diminta membuat penjelasan mengenai isu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kesahihan keterangannya dicabar oleh peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Ariffin Jaka mengarahkan Azizan menjelaskan tentang perbezaan keterangannya berbanding dengan keterangan yang pernah dibuatnya terdahulu.

''Ada sedikit perbezaan dalam perbicaraan yang lalu, awak kata diliwat pada Mei 1992, tapi di hadapan saya, awak kata awak diliwat antara Januari hingga Mac 1993. Ini bercanggah. Ada dua percanggahan yang besar. Tolong jelaskan percanggahan ini,'' tegas hakim Ariffin.

Pada permulaannya, Azizan nampak sukar untuk menyampaikan penjelasan dan hakim Ariffin mencatatkan bahawa saksi itu tidak tahu bagaimana hendak menyatakannya.

Bagaimanapun, hakim Ariffin kemudian mencatatkan penjelasan Azizan berbunyi: ''Apa saya katakan saya tidak diliwat hingga Mei 1992, kejadian itu berlaku di rumahnya (rumah Anwar). Itu adalah bagi menjawab soalan peguam bela mengapa saya masih berkunjung ke rumah Datuk Seri Anwar.''

Hakim Ariffin: ''Begitukah?'

Azizan menjelaskan lagi: ''Kejadian liwat memang berlaku terhadap saya selepas bulan Mei 1992 dan selepas saya berhenti kerja tetapi bukan berlaku di rumahnya.''

''Dan saya juga ada memberitahu pada masa perbicaraan yang dahulu, kejadian yang saya tidak boleh lupakan berlaku di rumah Sukma di Tivoli Villa dan tidak ada pihak yang menanyakan tarikh pada ketika itu,'' jelas Azizan.

Hakim Ariffin: ''Baiklah, jika begitu, yang awak beritahu di hadapan saya ialah yang awak kata perkara yang tidak boleh dilupakan.''

Azizan: ''Ya.''

Selepas mencatatkan dalam notanya, hakim Ariffin lalu membaca semula penjelasan tersebut sambil menerangkan maksud yang ingin dinyatakan oleh Azizan berbunyi: ''Apabila saya beri keterangan dengan ringkas apa maksud liwat itu berlaku bukan Mei 1992, itulah yang dimaksudnya. Benda ini berlaku selepas Mei 1992 dan satu yang tidak boleh saya lupa ialah berlaku di Tivoli Villa.''

Azizan, 38, sebagai saksi utama pendakwa memberitahu demikian dalam prosiding mencabar kebolehpercayaannya pada perbicaraan Anwar, 51, bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang dituduh meliwat 'mangsa' tersebut.

Selain itu, Sukma juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar meliwat Azizan.

Perbicaraan Anwar dan Sukma masuk hari ke-39 hari ini.

Sidang bermula pukul 10.32 pada sesi pagi.

Sejurus mahkamah bersidang, Mohtar memaklumkan bahawa beliau menarik balik untuk sementara waktu permohonan pihak pendakwa bagi mendapatkan nota penjelasan daripada hakim Datuk S. Augustine Paul yang dikemukakan pada 6 Ogos lalu.

Fernando kemudian menyambung pemeriksaan balas terhadap Azizan dengan mengulangi soalan apakah tujuan saksi itu pergi ke Kementerian Kewangan pada bulan Jun tahun lalu.

Azizan memberitahu bahawa beliau disuruh oleh pengarah syarikatnya, Datuk Taufik Yap Abdullah untuk mengetahui tentang permohonan kontraknya.

Menurutnya, beliau menemui setiausaha Anwar ketika itu bernama Mohamad Ahmad.

Dalam soalannya, Fernando menyatakan bahawa Azizan meminta hendak berjumpa dengan Anwar untuk meminta pertolongannya.

''Saya tidak bersetuju,'' jawab Azizan.

''Dan saya katakan kamu tidak berpuas hati kerana tidak dapat berjumpa Anwar dan selepas beberapa hari, kamu cuba sekali lagi melalui seorang yang bernama Abdullah Sani (pemandu Anwar) dan ASP Zul Aznam untuk membuat temu janji berjumpa Anwar,'' kata Fernando.

Azizan juga menjawab: ''Saya tidak setuju.''

Fernando berkata, dan akhirnya Anwar dengan amat keberatan setuju untuk berjumpa Azizan.

Azizan menjawab, beliau diberitahu oleh Zull Aznam bahawa Anwar hendak berjumpa dengan beliau.

''Saya katakan kamu cuba-cuba beberapa kali untuk jumpa Datuk Seri Anwar,'' kata Fernando.

''Tidak setuju,'' jawab Azizan.

Fernando menyatakan bahawa ketika Azizan bekerja sebagai pemandu isteri bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali, gajinya dibayar oleh Azmin.

''Tidak setuju,'' jawab Azizan.

Fernando: ''Adakah Azmin memberikan sebuah motosikal untuk kamu berulang alik?''

Azizan: ''Ada.''

Fernando: ''Dan adakah kamu menjual motosikal itu tanpa kebenaran beliau?''

Azizan menjawab bahawa beliau tidak menjual motosikal tersebut.

Fernando: ''Semasa itu adakah kamu tinggal di sebuah flat di Kuala Lumpur?''

Azizan menyoal balik Fernando dengan nada meninggi: ''Masa bila?''

Hakim Ariffin: ''Jangan biadab. Soalannya semasa awak bekerja dengan Azmin. Kalau tak faham soalan tanya baik-baik.''

Fernando menyampuk: ''Jangan biadab. Para hadirin di galeri awam tergelak.

Azizan: ''Saya minta maaf.'' Dan beliau menjawab: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando menyoal lagi: ''Flat ini No. 3402, Pangsapuri Dahlia, Jalan 3/11, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, siapakah memiliki flat itu? Jawab soalan.''

Azizan memberitahu bahawa flat itu adalah atas nama beliau dan arwah isterinya.

Hakim Ariffin berkata, soalannya sama ada beliau tinggal di situ.

Fernando menyatakan alasannya bahawa beliau menyoal perkara itu untuk mengetahui sama ada Azizan memiliki rumah yang lain.

''Tidak mengapa, kamu boleh hujah perkara tersebut,'' kata hakim Ariffin.

Di peringkat ini, Fernando memohon penangguhan sebentar sebelum beliau memulakan prosiding untuk mencabar keterangan Azizan.

Ketika itu waktu kira-kira pukul 11.10 pagi, Hakim Ariffin mengarahkan Fernando meneruskan soalannya untuk prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu memandangkan mahkamah bersidang lewat pagi ini.

Fernando: ''Pada perbicaraan Anwar yang lalu, adakah kamu beritahu mahkamah bahawa kamu tidak diliwat selepas September 1992 sehingga hari ini (iaitu perbicaraan tahun lalu).''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah sambil menyatakan prosiding itu hanya boleh dijalankan selepas peguam bela menandakan mana-mana bahagian yang dirasakan beliau mempunyai keterangan yang bercanggah dibanding dalam perbicaraan ini.

Hakim Ariffin berkata, beliau boleh memutuskan kemudian dan meminta Fernando meneruskan soalannya.

Fernando: ''Jawab soalan saya, pada perbicaraan yang lalu, kamu tidak diliwat selepas September 1992 sehingga hari ini.''

Azizan: ''Ya, apa yang saya maksudkan...''

Fernando: ''Tak payah...maksudkan.''

Peguam Negara membantah kerana tidak bersetuju dengan cara Fernando menyoal saksi itu.

Hakim Ariffin mencelah: ''Tunjukkan bahagian yang bercanggah itu. Kamu mesti tandakan.''

Fernando: ''Ada.''

Hakim Ariffin: ''Beritahu saya di manakah percanggahan jika dibandingkan dengan nota saya.''

Fernando: ''Di muka surat 265 prosiding ini, ketika kamu menjawab soalan dalam pemeriksaan utama pendakwa.''

Mohtar bangun mencelah: ''Saya mesti protes, ia patutnya ditandakan dan ditunjuk kepada Yang Arif.''

Hakim Ariffin: ''Ya, tunjukkan kepada saya keterangan mana yang bercanggah, bahagian keterangan mana?''

Fernando: ''Ia adalah soalan Peguam Negara.'' Dan beliau membacanya.

Hakim Ariffin: ''Berapa hari bulan?''

Fernando: ''Pada 28 Julai lalu ketika menjawab soalan pemeriksaan utama sebelum perbicaraan secara tertutup.''

Fernando meneruskan: ''Kamu beritahu Yang Arif bahawa pertama kali liwat ini berlaku di antara Januari hingga Mac 1993, benar?''

Azizan: ''Ya, saya setuju, saya diliwat di antara Januari hingga Mac 1993.''

Fernando berkata bahawa pada perbicaraan yang lalu, Azizan menjawab soalan beliau berbunyi: ''Saya setuju bahawa Datuk Seri Anwar tidak meliwat saya sebab itulah saya masih pergi ke rumahnya antara tahun 1992 hingga 1997, jika tidak sudah tentu saya menjauhkan diri daripada rumahnya.''

Beliau menyoal: ''Adakah kamu beritahu demikian?''

Azizan bersetuju dengan soalan peguam bela itu.

Selepas Azizan membuat penjelasan, Fernando meneruskan menyoal balas saksi tersebut.

Fernando: ''Adakah kamu beritahu pihak polis, kamu diliwat di antara Januari hingga Mac 1993 di Tivoli Villa?''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Jikalau kamu beri tarikh itu kenapa Musa Hitam...'' Di peringkat ini, para hadirin tergelak kuat apabila mendengar Fernando tersasul menyebut nama 'Musa Hitam' dalam soalannya kepada Azizan.

Fernando mengulang soalannya: ''Jikalah kamu bercakap benar, kenapa Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan suruh ubah tarikh itu daripada Mei 1992 kepada Januari hingga Mac 1993?''

Azizan: ''SAC Musa menyuruh saya mengingati dengan jelas tentang saya diliwat oleh Anwar dan Sukma di Tivoli Villa.''

Fernando: ''Ini bermakna jika SAC Musa tidak menyuruh kamu pinda tarikh itu tentu kamu tidak buat apa-apa, bukan?''

Hakim Ariffin: ''Apa makna pula?''

Fernando: ''Tukar tarikh.''

Azizan menjawab, beliau tidak setuju.

Ketika sesi di sebelah petang, Fernando sekali lagi bertubi-tubi menyoal Azizan dengan mengulangi isu apakah sebab SAC Musa menyuruhnya mengubah tarikh dakwaan kejadian liwat di Tivoli Villa.

Pada kira-kira pukul 3.21 petang, sidang ditangguhkan sebentar atas permohonan Fernando sebelum beliau meneruskan soalan balas terhadap Azizan.

Di peringkat ini, hakim Ariffin mengarahkan orang awam termasuk pemberita mengosongkan mahkamah kerana prosiding seterusnya didengar secara tertutup. Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/08/1999

Cerita saya diliwat benar - Azizan

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini apa yang diceritakan tentang beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebenaran.

Azizan menyatakan beliau tidak mengheret adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk membuat pembohongan tersebut bagi memastikan Anwar disabitkan dengan kesalahan.

''Saya tidak bersetuju, Yang Arif, terserah pada mahkamah untuk memutuskannya,'' kata Azizan ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo.

Gobind selaku peguam bela Sukma mengambil giliran memeriksa balas Azizan selepas peguam bela Anwar, Christopher Fernando selesai menyoal saksi itu.

Azizan, 38, bekas pemandu peribadi isteri Anwar merupakan saksi pendakwa keenam memberi keterangan pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwatnya.

Anwar, yang genap usia 52 tahun hari ini dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, yang menghadapi tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Perbicaraan Anwar dan Sukma masuk hari ke-40 hari ini.

Keterangan Azizan didengar secara tertutup sebentar pada sesi pagi ini. Selepas sidang dibuka kepada umum kira-kira pukul 9.42 pagi, Gobind menyoal Azizan di manakah beliau bekerja dari bulan Januari hingga Mac 1993.

Azizan menyatakan beliau bekerja sebagai pemandu di Sime Darby Sdn. Bhd..

Pada awal soalannya Gobind cuba menguji ingatan Azizan tentang dakwaan kejadian diliwat oleh Anwar dan Sukma.

Gobind menyoal: ''Azizan, kamu pergi ke Tivoli Villa pada malam kejadian, kamu jumpa pengawal keselamatan di situ. Adakah pengawal itu merakamkan nombor kereta kamu?''

Azizan: ''Saya tidak tahu.''

Gobind: ''Kamu ke situ menggunakan apa?''

Azizan: ''Menaiki kereta saya.''

Gobind: ''Adakah kamu mengingati nombor kereta itu.''

Azizan: ''WBQ 3047.''

Hakim Datuk Ariffin Jaka mencelah: ''Saya tidak tahu kenapa kamu menyoal perkara ini dengan mendalam. Adakah ia boleh membantu kamu?''

Gobind meneruskan soalannya: ''Sehingga hari ini, berapa kali kamu pergi ke Tivoli Villa?''

Azizan: ''Lebih kurang tiga kali sahaja.''

Gobind: ''Kali kedua dan ketiga, adakah kamu ingat bila?''

Azizan: ''Kali kedua saya tak ingat.''

Gobind: ''Lebih kurang dalam tahun bila?'

Azizan: ''Pada tahun 1993, kali ketiga awal 1994.''

Gobind: ''Adakah kamu tahu bahawa liwat ini satu kesalahan?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Kamu tahu, ya! Kenapakah kamu tidak buat laporan polis kalau benar-benar berlaku?''

Azizan: ''Tidak ada siapa yang akan percaya cakap saya.''

Gobind: ''Kenapa kamu kata sedemikian.''

Azizan: '' Kerana Datuk Seri Anwar dan Sukma berwatak baik.''

Gobind: ''Dulu kamu kata kamu takut untuk buat laporan polis?''

Azizan: ''Betul.''

Gobind: ''Kamu takut siapa?''

Azizan: '' Pada Datuk Seri Anwar yang berkuasa ketika itu.''

Gobind: ''Adakah kamu seorang yang tidak mempunyai watak yang baik?''

Azizan: ''Saya tidak boleh menilai diri saya sendiri.''

Di peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah membantah soalan tersebut.

Gobind mengubah soalan: ''Adakah kamu takut pada Sukma.''

Azizan: ''Ya, kerana Sukma adalah adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Hakim Ariffin sekali lagi mengingatkan Gobind supaya beliau berhati-hati menanya soalan. Beliau berkata: ''Tengok sini, memperkatakan tentang orang yang bersubahat seharusnya kenalah berhati-hati. Buat soalan yang boleh membantu kamu.''

Gobind masih mengulang soalannya: ''Tapi apa yang kamu takut dengan Sukma. Kenapa kamu takut pada Sukma?''

Hakim Ariffin: ''Teruskan dengan soalan lain.''

Gobind: ''Saya tidak tahu apa jawapannya.''

Hakim Ariffin: ''Jawapannya beliau takut. Kamu boleh hujah kelak.''

Gobind menyoal lagi: ''Adakah kamu takut pada Sukma?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Oleh kerana kamu takut, kamu tidak buat laporan polis?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind mengubah soalannya: ''Kamu kata apabila kamu sampai di apartmen (Tivoli Villa), kamu ada lihat Datuk Seri (Anwar).''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Dan dia di ruang tamu berhadapan kamu. Adakah dia berhadapan kamu?''

Azizan: ''Apabila saya masuk dia menoleh pandangan ke arah saya.''

Gobind: ''Selepas itu adakah dia berdiri untuk menjemput kamu?''

Hakim Ariffin: ''Kenapa kamu mengambil berat tentang Anwar. Tumpukan mengenai Sukma.''

Gobind menyatakan beliau ingin tahu sama ada Anwar bangun dan memandang Azizan.

Hakim Ariffin: ''Apakah relevannya.''

Gobind mengalih soalan: ''Saya katakan kamu tidak pergi ke tempat kejadian seperti yang kamu katakan.''

Azizan: ''Tidak setuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan Sukma tidak menjemput kamu pergi ke tempat kejadian seperti yang kamu katakan.''

Azizan: ''Tidak setuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan sekiranya Sukma menjemput kamu ke apartmen dia untuk perkara terkutuk ini dia memang akan beritahu nombor unit apartmennya.''

Azizan: ''Tidak bersetuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan bahawa kamu hanya pergi ke Tivoli Villa untuk sekali sahaja bagi membantu Sukma semasa dia pindah ke apartmen itu.''

Azizan: ''Tidak bersetuju, Yang Arif.''

Pada satu peringkat, hakim Ariffin melarang Gobind menyergah Azizan ketika menyoalnya.

Gobind memberi alasan bahawa beliau ingin menguji ingatan saksi itu dan beliau terus menyoal: ''Kamu bersetuju bukan, bahawa kamu amat takut sekiranya Anwar berkuasa bukan?''

Azizan meminta soalan itu diulang.

Gobind: ''Kamu amat takut sekiranya Anwar berkuasa.''

Azizan: 'Ya.''

Gobind: ''Jadi kamu bersetuju datang ke mahkamah untuk berbohong dan Anwar dipenjarakan. Kamu bersetuju kamu sanggup buat apa sahaja untuk memastikan Anwar tidak berkuasa.''

Peguam Negara membantah soalan itu dan berpendapat ia hanya untuk penghujahan.

Hakim Ariffin: ''Mengapa soalan ini? Saya tidak faham apa yang kamu mahu, ya, jawab.'' Beliau meminta Azizan menjawab soalan Gobind itu.

Azizan: ''Saya membuatnya demi kebenaran.''

Gobind: ''Saya katakan bahawa tiada langsung kebenaran tohmahan liwat terhadap kedua-dua tertuduh itu.''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan kamu terus mengheret Sukma ke dalam pembohongan ini untuk memastikan Anwar disabitkan dengan kesalahan.''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif. Terserah pada mahkamah untuk memutuskannya.''

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/08/1999

Saksi utama sakit, perbicaraan ditangguh

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan sehingga pagi esok kerana saksi utama , Azizan Abu Bakar jatuh sakit.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa Azizan diserang penyakit migrain semasa beliau sepatutnya meneruskan keterangan dalam pemeriksaan pihak pembela pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwatnya.

Pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini, Gani memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka.

Gani: ''Tadi semasa waktu rehat saya telah diberitahu bahawa Azizan sakit, tidak sihat. Dan saya ada berjumpa Christopher Fernando. Dengan kebenarannya saya pergi sendiri bersama Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad untuk melihatnya.

''Saya dapati Azizan terbaring di kerusi panjang di bilik saksi. Bapanya (Abu Bakar) menyatakan beliau ada mengidap penyakit migrain. Beliau telah muntah-muntah.''

Oleh itu, kata Gani, pihaknya memohon supaya Azizan dapat dihantar oleh bapanya ke hospital.

Fernando selaku peguam bela Anwar menyatakan beliau tidak membantah dan harap agar Azizan cepat sembuh.

''Kami tidak ada bantahan,'' kata Fernando.

Gobind Singh Deo selaku peguam bela adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja juga tidak membantah dan turut mengharapkan agar Azizan pulih dengan cepat.

Hakim Ariffin menyatakan beliau bersetuju menangguhkan perbicaraan hingga pagi esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan juga bersetuju kes itu ditangguhkan.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/08/1999

Penyokong raikan hari jadi Anwar di pekarangan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Lebih 60 orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanyi-nyanyi sambil memekik-mekik Selamat Hari Lahir kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang genap berusia 52 tahun hari ini.

Sambutan itu diadakan di hadapan Mahkamah Tinggi, Bangunan Sultan Abdul Samad dekat Dataran Merdeka di sini.

Mereka membawa kek dan sekeping kad besar yang tertera dengan gambar Anwar. Kad itu ditanda tangani oleh penyokong-penyokongnya.

Kek yang dihadiahkan oleh Pemuda dan Wanita Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Seputeh kemudian diserahkan kepada isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama enam orang anaknya pada tengah hari ini.

Suasana sambutan oleh penyokong Anwar itu diperhatikan berpuluh anggota polis termasuk pasukan unit anjing. Walaupun kawalan ketat dibuat di sekitar mahkamah itu namun polis bersikap 'mesra rakyat'.

Bagaimanapun, pihak polis mengarahkan mereka bersurai selepas Dr. Wan Azizah selesai memotong kek. Dr. Wan Azizah kemudian pergi menemui suaminya seketika di lokap sebelum dia dibawa ke tempat tahanan di Penjara Sungai Buloh.

Sebelum sidang ditangguhkan pada perbicaraan Anwar pagi ini, peguam belanya, Christopher Fernando memaklumkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka bahawa pihaknya ingin bertemu dengan anak guamnya itu beberapa minit kerana hari ini adalah hari jadinya.

Hakim Ariffin lalu mengucapkan, Happy Birthday Datuk Seri.

''Saya tidak memasukkan perkara ini dalam rekod,'' kata beliau. Dan serentak itu juga para hadirin terutamanya di bahagian bangku keluarga dan sebahagian penyokongnya yang berada di mahkamah bertepuk tangan.

Hakim Ariffin segera mengingatkan bahawa ia bukan untuk membuat sambutan di mahkamah.

Selepas itu, para hadirin yang berada di dalam mahkamah berjabat salam dengan Anwar sambil mengucapkan Selamat Hari Jadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/08/1999

Azizan nafi diperalat jatuhkan Anwar

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak diperalatkan untuk mereka-reka cerita (diliwat) bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada berkuasa.

Azizan juga berkata, beliau tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam Gobind Singh Deo yang menyifatkan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menjadi mangsa dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Saksi pendakwa keenam itu memberitahu demikian ketika disoal balas bertubi-tubi oleh Gobind selaku peguam bela Sukma yang dibicarakan bersama Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, atas tuduhan meliwat Azizan.

Sukma juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar meliwat Azizan. Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, di sini.

Azizan, 38, menyambung keterangannya pada perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-42 hari ini.

Sebaik sahaja Azizan mengangkat sumpah, Gobind terus menyoal: ''Azizan kata bahawa selepas kejadian yang dikatakan itu kamu berasa takut kepada Sukma, benar?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Kamu setuju dengan saya bahawa kamu masih melawat Sukma berkali-kali selepas bulan Januari hingga awal Mac 1993?''

Azizan: ''Ya, saya setuju.''

Gobind: ''Dan minggu lalu kamu katakan bahawa kejadian berlaku antara Januari dan Mac 1993. Kamu kata telah pergi (ke rumah Anwar) pukul 3 petang. Dan kamu kata ada hantar anak majikan ke sekolahnya, betul?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Sekolah anak majikan kamu, sekolah apa, ingat?''

Azizan: ''Sekolah Menengah Sri Hartamas dan Sekolah Kebangsaan Sri Damansara, Bukit Damansara.''

Gobind: ''Sebelum daripada ini, kamu kata berada di pejabat kamu bukan?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Jadi kamu berada di pejabat kamu sejurus sebelum daripada mengambil anak-anak majikan kamu?''

Azizan: ''Ya.''

Setelah mendengar jawapan Azizan itu, Gobind berkata: ''Yang Arif, sejurus sebelum ini, bukanlah keterangan beliau.''

Di peringkat ini, Hakim Datuk Ariffin Jaka mengingatkan supaya Gobind menyoal mengenai fakta dan jika ingin menyoal sedemikian mestilah pastikan Azizan yang menyatakan perkara itu.

Gobind meneruskan soalan: ''Kamu setuju dengan saya sejurus kamu mengambil anak-anak majikan kamu, kamu berada di pejabat kamu, setuju?''

Azizan: ''Setuju.''

Gobind: 'Azizan, kamu setuju dengan saya kamu tidak mengerjakan sembahyang oleh kerana pada hari itu bukan hari Jumaat.''

Hakim Ariffin mencelah: ''Apa yang kamu katakan ini, sembahyang adalah lima kali sehari. Apa relevannya timbulkan soal sembahyang ini?''

Gobind menyampuk: ''Adakah soalan saya tidak adil?''

Hakim Ariffin lalu meminta supaya Gobind tanya sama ada pada hari itu adakah hari Jumaat.

Gobind lalu menyoal: ''Adakah hari itu hari Jumaat?''

Azizan menjawab bahawa beliau tidak ingat.

Gobind: ''Kamu biasanya mengerjakan sembahyang Jumaat?''

Azizan: ''Ya, mesti, sebagai orang Islam.''

Di peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdulah yang mengetuai pendakwaan membantah: ''Andainya ia adalah hari Jumaat, ini mengaitkan watak buruk (saksi).''

Gobind menjawab bahawa beliau menimbulkan soalan itu hanya untuk menguji ingatan Azizan.

Hakim Ariffin mencelah: ''Saksi sudah kata beliau tidak ingat.''

Gobind: ''Berhubung dengan sembahyang Jumaat, beliau kata tidak ingat!''

Bagi memastikan jawapan Azizan, Hakim Ariffin lalu bertanya: ''Awak sembahyang atau tidak?''

Azizan: ''Saya mengerjakan solat zuhur di pejabat.''

Gobind menyoal isu yang sama: ''Azizan, pada hari itu adakah kamu ingat sama ada hari itu melibatkan sembahyang Jumaat?''

Hakim Ariffin: ''Beliau sudah pun menjawab. Beliau mengerjakan sembahyang zuhur.''

Gobind: ''Tolonglah, benarkan saya menyoal.''

Hakim Ariffin lalu mengingatkan Gobind bahawa beliau tidak boleh soal apa yang beliau suka.

''Saya tidak akan mencatatkan dalam nota jika ia tidak relevan. Kamu mesti mendapatkan arahan saya dulu,'' tegas Hakim Ariffin.

Gobind terus menyoal: ''Adakah kamu ingat, kamu sembahyang pada hari itu?''

Hakim Ariffin segera mencelah dengan menyatakan bahawa soalan itu sudah dijawab.

''Teruskan dengan soalan lain,'' kata beliau.

Gobind: ''Adakah kamu ingat sembahyang subuh.''

Di peringkat ini, Hakim Ariffin menjelaskan kepada Gobind tentang apa makna sembahyang di sisi orang Islam.

Beliau berkata: ''Kamu tidak boleh mengerjakan sembahyang Jumaat sahaja. Sembahyang Jumaat dibuat di masjid. Beliau (Azizan) kata beliau sembahyang zuhur di pejabatnya.''

Gobind: ''Baiklah, kami terima perkara itu.''

Hakim Ariffin: ''Teruskan soalan.''

Gobind bertanya: ''Adakah kamu ingat hari sebelum itu, adakah kamu pergi kerja sebelum pergi ke rumah Datuk Seri Anwar?''

Azizan: ''Ya, saya bekerja pada hari itu.''

Gobind: ''Jadi kamu bersetuju hari sebelum itu bukan hari Ahad?''

Azizan: ''Ya.''

Gobind: ''Saya katakan bahawa cerita kamu diliwat pada bulan Januari hingga awal Mac ini adalah palsu semata-mata.''

Azizan: ''Saya tidak setuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Azizan, saya beri peluang, ingat betul-betul, adakah kamu masih pegang pada cerita kamu?''

Di peringkat ini Azizan nampak lambat menjawab. Gobind lalu memekik: ''Azizan!''

Hakim Ariffin segera memberi amaran: ''Jangan memekik ke arah saksi.''

''Bertenang,'' kata Hakim Arifin mengingatkan Gobind ketika menyoal Azizan.

Gobind lalu meneruskan soalan: 'Kamu masih memegang cerita kamu?''

Azizan: ''Ya, demi kebenaran.''

Gobind: ''Kebenaran!'' Beliau lalu menyoal: Pada tahun itu bulan Ramadan bermula pada 23 Februari hingga Mac 1993. Jadi kamu sendiri kata tidak berlaku pada Ramadan, cerita bulan Mac tidak terpakai.''

Hakim Ariffin menjelaskan soalan peguam bela kepada Azizan: ''Dia (Gobind) kata bulan Ramadan pada 23 Februari hingga 25 Mac 1993, setuju atau tidak?''

Azizan: ''Saya tidak ingat.''

Gobind: ''Saya katakan bahawa tilam yang kamu katakan 5 kaki, queen size di mana kamu diliwat tidak berada dalam apartmen tersebut pada 12 Februari 1993.''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Di antara 12 Februari hingga 23 Februari, Anwar langsung tidak berada di Tivoli Villa pada pukul 7.30 malam, kami akan buktikan.''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan kepada kamu, Datuk Seri Anwar berada di England, France dan Germany. Jumpa dengan John Major juga, ia di antara 10 hingga 14 Februari 1993.''

Azizan menjawab beliau tidak bersetuju.

Gobind: ''Tidak setuju atau tidak tahu?''

Azizan: ''Tidak tahu.''

Gobind: ''14 Februari 1993 adakah hari Ahad, setuju?''

Azizan: ''Tidak tahu.''

Gobind: ''Perkara ini tidak boleh berlaku pada hari Ahad.''

Azizan: ''Saya tidak ingat.''

Gobind: ''Perkara ini tidak boleh berlaku pada Isnin kerana kamu sendiri kata bahawa sehari sebelum itu kamu bekerja.''

Azizan: ''Saya tidak ingat.''

Gobind: ''15 hingga 19 Februari 1993, Datuk Seri Anwar berada di upacara rasmi setiap malam, tahu atau tidak?''

Azizan: ''Tidak tahu.''

Gobind: ''Saya katakan pada 21 hingga 22 Februari Anwar berada di Bangkok.''

Azizan: 'Saya tidak tahu, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya katakan kepada kamu mustahil bahawa perkara ini berlaku pada Januari hingga awal Mac 1993.''

Azizan: ''Tidak setuju, Yang Arif.''

Gobind: ''Saya cadangkan bahawa kamu diperalatkan untuk mereka-reka cerita di dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar daripada berkuasa.''

Azizan: 'Tidak bersetuju.''

Gobind: ''Saya katakan bahawa Sukma adalah mangsa yang tidak bersalah dalam konspirasi yang amat keji dan tidak berperikemanusiaan ini.''

Azizan: ''Tidak bersetuju, Yang Arif.''

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/08/1999

Isu kredibiliti saksi ditentukan di penghujung kes - Mohtar

5KUALA LUMPUR 16 Ogos - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa isu kredibiliti saksi seharusnya diputuskan pada akhir perbicaraan atau di penghujung kes pihak pendakwa.

Beliau menyatakan demikian ketika membantah peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Christopher Fernando yang meminta mahkamah mengambil tindakan terhadap saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar yang dikatakan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri tu.

Mohtar berkata, mahkamah telah mendengar prosiding mencabar kesahihan saksi berkenaan dan sama ada kredibilitinya dipertikaikan hanya akan diputuskan oleh hakim yang mengendalikan perbicaraan.

Menurut Peguam Negara, adalah terlalu awal bagi pendakwa berhujah untuk menyatakan tentang kredibiliti saksi tersebut sama ada boleh dikenakan tindakan memberikan keterangan palsu.

''Yang Arif semestinya sedar bahawa pendakwa hanya baru mengemukakan soalan semula terhadap Azizan dan keseluruhan keterangannya akan ditimbangkan oleh mahkamah. Hujah mengenai kredibilitinya boleh dibuat kemudian,'' kata Mohtar kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka.

Terdahulu, suasana mahkamah tegang seketika apabila Fernando bangun membantah sebahagian keterangan Azizan yang menjawab soalan pemeriksaan semula oleh Peguam Negara yang mengetuai pihak pendakwaan kes itu.

Pada satu peringkat, Azizan yang sedang memberi keterangan tiba-tiba memohon untuk makan ubat kerana beliau mempunyai penyakit migrain.

Para penyokong Anwar yang hadir di bahagian bangku galeri awam tergelak besar apabila mendengar Azizan meminta untuk makan ubat.

Hakim Ariffin bagaimanapun segera menangguhkan sidang sebentar untuk membolehkan Azizan mengambil ubatnya. Dan selepas itu saksi tersebut meneruskan keterangan.

Fernando sebelum itu menyatakan bahawa Azizan memberi keterangan bohong dan mahkamah seharusnya memberikan perhatian yang serius.

''Sama ada beliau berbohong pada awal keterangan, Yang Arif, beliau adalah bercakap bohong di mahkamah ini. Beliau adalah berbohong dan bohong adalah tetap bohong. Saksi tersebut sudah tidak boleh dipercayai,'' kata Fernando, disambut gelak ketawa oleh sebahagian hadirin di galeri awam.

Selepas itu, Hakim Ariffin menegaskan bahawa beliau yang akan membuat keputusan dan membenarkan Peguam Negara meneruskan menyoal semula Azizan berkisar keterangannya berhubung tarikh kejadian dakwaan diliwat oleh Anwar.

Pada sesi sebelah petang, Hakim Ariffin mengarahkan supaya keterangan Azizan didengar secara tertutup kerana Peguam Negara ingin menyoal saksi itu dengan mendalam berkaitan perkara yang dikatakan sensitif terhadap diri Anwar.

Perbicaraan bersambung esok.

---------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/08/1999

'Sukma pernah bedah dubur'

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja pernah menemui pakar bedah di Pusat Perubatan Subang Jaya, dekat sini, untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami koyak (fissure) dan pendarahan (haemorrhage) di bahagian duburnya.

Pakar perunding pembedahan di pusat perubatan itu, Dr. Abel W.K. Arumugam berkata, Sukma datang menemui beliau sebagai pesakit pada bulan Jun 1997.

Dr. Abel berkata, beliau telah memeriksa Sukma dan menasihatkannya supaya menjalani pembedahan.

Menurut beliau, Sukma dibedah pada 21 Jun 1997.

Dr. Abel memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa kelapan dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Di peringkat awal keterangan Dr. Abel itu, Christopher Fernando dan Gobind Singh Deo yang masing-masing selaku peguam bela Anwar dan Sukma mengemukakan bantahan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap saksi itu menerangkan bahawa Dr. Abel dipanggil kerana terdapat keterangan dalam pengakuan Sukma yang dia telah diliwat.

Gani menyatakan pihak pembela cuba menimbulkan isu konspirasi dan saksi alibi manakala pendakwa mempunyai bukti bagi tuduhan terhadap Anwar dan Sukma.

Sepanjang perbicaraan ini, jelas beliau, mahkamah mendengar keterangan berkaitan kejadian liwat dan pihaknya juga ada bukti daripada saksi pakar perubatan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ariffin Jaka meminta penjelasan mengapa memanggil saksi berkenaan sedangkan yang kena liwat adalah Azizan.

Gani menjawab, terdapat keterangan yang menyatakan Sukma bukan seorang homoseks.

Oleh itu, kata beliau, untuk bukti yang konsisten maka pendakwa ingin mendedahkan keterangan ini dan juga menyangkal apa yang diberitahu oleh seorang pakar forensik, Dr. Zahari Noor, berhubung diri Sukma yang dibangkitkan dalam pembelaan.

Gani menyatakan lagi, pembela telah menimbulkan isu bahawa Sukma tidak diliwat sebab itu mereka mengemukakan keterangan Dr. Zahari yang telah memberitahu mahkamah bahawa Sukma bukan homoseks.

''Kami juga ingin menunjukkan bahawa keterangan Dr. Zahari adalah tidak konsisten,'' kata Gani.

Gobind bangun membantah dengan memberi alasan bahawa dakwaan itu pada 1993 dan doktor berkenaan memeriksa Sukma tahun 1997.

''Saya tidak nampak pemeriksaan pada 1997 itu dikaitkan dengan dakwaan terhadap Sukma. Ini adalah perkara yang penting di mana pendakwa menentang pembelaan berhubung kepalsuan pengakuan Sukma yang dibuat pada tahun lalu,'' kata Gobind.

Hakim Ariffin pula menyatakan bahawa keterangan begini adalah sepatutnya dikemukakan pada bicara dalam perbicaraan.

''Bolehkah kamu melakukan sekarang?'' tanya Hakim Ariffin kepada Gani.

Gani menjawab bahawa mahkamah seharusnya meneliti keseluruhan keterangan dalam perbicaraan ini.

Beliau berkata, pendakwa menegaskan pengakuan Sukma itu merupakan fakta bahawa Azizan diliwat.

''Faktanya dia (Azizan) diliwat,'' kata Gani lagi.

Hakim Ariffin menyatakan lagi beliau tidak nampak apakah relevan keterangan Dr. Abel itu dalam perbicaraan terhadap Anwar dan Sukma.

Di peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan bangun menjelaskan bahawa terdapat isu untuk dipertimbangkan berhubung pengakuan Sukma dan mahkamah yang harus menentukannya.

''Dan pastinya, ia harus ada kaitan dengan pertuduhan,'' kata Hakim Ariffin.

Mohtar berkata, persoalannya bahawa pendakwa juga mempunyai sebab yang lain di mana pengakuan telah dibuat iaitu bahagian Sukma telah diliwat.

''Saksi ini (Dr. Abel) untuk menerangkan fakta yang serupa sebagaimana dalam pengakuan yang mana Azizan telah diliwat oleh Anwar dan Sukma. Selain itu untuk menunjukkan fakta bahawa Sukma mempunyai hubungan intim yang istimewa dengan abang angkatnya,'' jelas Mohtar.

Beliau menambah, apa yang pendakwa ingin buktikan tentang bahagian keterangan perubatan untuk menyokong fakta berkenaan cerita diliwat yang membabitkan hubungan homoseksual di antara abang angkat yang didakwa direka oleh polis.

''Kami mahu menunjukkan bahawa ia bukan rekaan. Ini adalah relevan dengan keputusan Yang Arif berhubung pengakuan Sukma yang mengandungi cerita perhubungan intim yang istimewa di antara Sukma dengan Datuk Seri Anwar,'' jelas beliau lagi.

Menurut Mohtar, keterangan Dr. Abel sama dengan apa yang telah diberitahu oleh saksi pendakwa sebelum ini, Ahli Psikiatri, Dr. Fadzil Man.

Selepas itu, Fernando pula membantah dengan menyatakan bahawa Dr. Abel seharusnya dipanggil pada peringkat bicara dalam perbicaraan.

Beliau mempersoalkan mengapa keterangan itu tidak dikemukakan pada peringkat tersebut dan menganggap pendakwa telah cuai.

''Yang Arif, jika pendakwa boleh menunjukkan alasan yang memuaskan bahawa keterangan saksi itu tidak diperoleh pada masa tersebut maka mungkin ada kewajaran untuk menimbulkan keterangan itu dalam perbicaraan penuh ini,'' kata Fernando.

Fernando mengungkit sikap pendakwa yang membantah tindakan pihaknya untuk mengemukakan beberapa soalan lanjut sebelum ini dalam pemeriksaan balas saksinya.

''Saya memohon agar mahkamah tidak membenarkan doktor berkenaan memberikan keterangannya kecuali ia tidak diperoleh semasa peringkat bicara dalam perbicaraan,'' kata Fernando lagi.

Selepas itu, Gobind sekali lagi bangun membantah dengan menyatakan bahawa konsep keterangan sedemikian adalah melampau.

Namun, Hakim Ariffin berkata, beliau berpendapat bahawa pendakwa mempunyai hujahnya untuk membuktikan 'perhubungan intim yang istimewa' dan perkara itu adalah relevan.

Gobind menjawab dengan hujah bahawa keterangan doktor berkenaan akan menimbulkan prejudis dan beliau pula tidak dibenarkan untuk mengemukakan keterangan Dr. Zahari.

Beliau menyatakan pendakwa tidak patut memanggil Dr. Abel di peringkat ini dan seharusnya memberikan notis terlebih untuk mencabar mana-mana saksi.

Hakim Ariffin dengan nada meninggi bertanya Gobind bahawa undang-undang yang manakah di negara ini yang menyatakan pendakwa harus memberikan notis jika ingin mencabar saksi.

''Saya merasa kesal kamu menyatakan ia harus diberikan notis. Mana ada dalam undang-undang,'' tegas Hakim Ariffin.

Peguam Negara pula menjawab hujah Fernando. Beliau menerangkan pendakwa tidak cuai dalam tindakannya kerana tidak memanggil Dr. Abel di peringkat bicara dalam perbicaraan.

''Ia bukan kecuaian pendakwa tetapi satu strategi untuk memanggil saksi pada masa yang sesuai,'' jelas beliau.

Selepas itu, Hakim Ariffin memutuskan bahawa beliau berpuas hati dengan penjelasan pendakwa bahawa keterangan Dr. Abel relevan dalam perbicaraan itu untuk membuktikan kebenaran.

Beliau mengarahkan Gani meneruskan soalannya.

Gani lalu menyoal: '''Apakah fissure?''

Dr. Abel: ''Fissure adalah koyakan di kulit dubur dan nucosa.''

Gani: ''Apakah itu nucosa?''

Dr. Abel: ''Ia adalah bahagian sekitar dubur.''

Gani: ''Apakah haemorrhage?''

Dr. Abel: ''Ia sesuatu yang membengkak di bahagian dubur yang disebabkan urat-urat yang mengeluarkan cecair.''

Gani: ''Setelah memeriksa Sukma apakah yang kamu lakukan?''

Dr. Abel: ''Saya menasihatkan supaya dia menjalani pembedahan.''

Gani: ''Doktor, adakah dia menjalani sebarang pembedahan?''

Dr. Abel: ''Ya.''

Gani: ''Adakah kamu yang melakukan pembedahan?''

Dr. Abel: ''Ya.''

Gani: ''Tolong beritahu mahkamah apakah jenis pembedahan yang kamu lakukan?''

Dr. Abel menerangkan beliau melakukan pembedahan untuk merawat koyakan dan membuang pendarahan di bahagian dubur Sukma.

Gani: ''Apakah biasanya yang menyebabkan fissure itu?''

Dr. Abel: ''Biasanya ia disebabkan sesuatu benda yang keras menembusinya.''

Gani: ''Tolong beritahu mahkamah apakah sebab lain terjadinya fissure?''

Dr. Abel: ''Ia mungkin disebabkan kena rogol.''

Hakim Ariffin segera mencelah: ''Rogol!...ia berlaku ke atas lelaki?''

Dr. Abel berkata, atau mungkin benda keras yang menembusi dubur.

Gani: ''Bilakah pembedahan ini dilakukan?''

Dr. Abel: ''Pada 21 Jun 1997.''

Gani: ''Bolehkah kamu terangkan kepada mahkamah di manakah bahagian pendarahan dubur itu dibedah?''

Dr. Abel: ''Di antara bentuk jam 12 dan jam t3 iaitu suku bahagian dubur.''

Gani: ''Di manakah fissure itu?''

Dr. Abel: 'Ia dalam bentuk jam 6 atau koyak membujur (separuh).''

Gani: ''Adakah pembedahan pendarahan itu meninggalkan apa-apa kesan?''

Dr. Abel: ''Sudah pasti.''

Bagaimanapun, menurut Dr. Abel, biasanya koyakan itu hanya meninggalkan kesan yang kecil.

bBeliau kemudian mengesahkan tujuh keping gambar Sukma yang menunjukkan kesan koyakan di bahagian duburnya.

Sebelum itu, pihak pendakwa memanggil saksi ketujuh, jurugambar polis, Sarjan Mohd. Zan Jantan yang diarahkan mengambil gambar Sukma di sebuah bilik dekat kawasan lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi pada 9 September tahun lalu.

Fernando dan Gobind kemudian memohon supaya pihak pembela dibenarkan menangguhkan pemeriksaan balas sehingga esok bagi membolehkan mereka mendapatkan pakar untuk meneliti gambar-gambar dan nasihat yang diperlukan.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/08/1999

Azizan minta PM siasat terhadap Anwar

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menghantar surat yang mengandungi pengakuan bersumpahnya bahawa dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri supaya diambil tindakan.

Menurut Azizan, beliau berpendapat Perdana Menteri lebih berkuasa daripada Timbalan Perdana Menteri (Anwar) ketika itu untuk mengarahkan siasatan atas dakwaan-dakwaan yang dibuat olehnya terhadap Anwar.

Saksi utama pendakwa itu juga memberitahu, beliau telah menjual rumah di flat Dahlia, Bandar Baru Selayang dan sekarang hanya memiliki sebuah rumah atas nama arwah isterinya di Rawang, Selangor.

Selain itu, Azizan menjelaskan bahawa beliau tidak menjual motosikal yang diberikan oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmi Ali, dan motosikal itu kini digunakan oleh adiknya.

Azizan memberitahu demikian semasa menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan Anwar.

Anwar dituduh meliwat Azizan. Dia dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Selepas itu, Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak bercadang untuk memanggil Karpal Singh sebagai saksi pendakwa memandangkan tidak ada bantahan mana-mana pihak pembela berhubung pertemuan Azizan, Ummi Hafilda Ali dan Dr. Ristina Majid dengan peguam tersebut.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 19/08/1999

Azizan diminta ingat tarikh tepat diliwat

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau meminta Azizan Abu Bakar mengingatkan tarikh yang tepat kejadian diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Musa, beliau menelefon Azizan supaya datang ke pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1 Jun tahun ini untuk memberitahu berkenaan tarikh itu.

Katanya, beliau meminta Azizan mengingatkan tarikh kejadian pertama kali diliwat oleh Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Tivoli Villa.

''Azizan telah mengingatkan tarikh itu adalah bulan Januari hingga Mac 1993,'' kata Musa.

Musa memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa kesembilan dalam perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Ketika menjawab soalan di peringkat pemeriksaan utama pendakwa, Musa memberitahu bahawa tarikh pertuduhan terhadap Anwar tidak tepat setelah beliau menerima surat notis alibi yang diserahkan kepadanya oleh Jabatan Peguam Negara.

''Saya telah membuat siasatan lanjut dan dari situ saya dapati bahawa tarikh itu tidak tepat,''jelas Musa.

Terdahulunya, pakar perunding pembedahan, Dr. Abel W.K. Arumugam, bersetuju dengan pendapat peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menjalani pembedahan untuk membesarkan bahagian duburnya kerana penyakit buasir.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan balas peguam bela.

Christopher Fernando yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar bertanya adakah kemungkinan dubur Sukma koyak kerana disebabkan susah hendak membuang air besar atau sembelit.

Dr. Abel berkata tidak, sebaliknya menjelaskan bahawa ia disebabkan sesuatu yang keras dan sembelit berpunca daripada pemakanan.

------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 19/08/1999

Musa tidak berbohong - Gani

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pihak pendakwa berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Senior Asisten Komisioner 1, Musa Hassan tidak sekali-kali berbohong ketika menjawab soalan balas peguam bela dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat Azizan Abu Bakar.

''Saksi ini tidak berbohong. Dan tiada niat langsung untuk berbohong,'' kata Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

''Jika perlu perkara yang ditimbulkan oleh peguam bela itu boleh dijelaskan oleh pendakwa,'' kata beliau.

Gani berkata, pendakwa memohon kepada mahkamah membenarkan saksi ini memberikan penjelasan tentang apa yang dipersoalkan berhubung keterangannya.

Beliau menyatakan Musa ingin menjelaskan dalam jawapannya tetapi 'terjatuh' apabila peguam bela menyoal secara bertubi-tubi.

''Kita tidak boleh mengambil tindakan terhadap Musa atas dakwaan menghina mahkamah sebaliknya kita harus mendapatkan penjelasan daripada beliau,'' kata Gani.

Gani berkata demikian dalam hujah balas membantah permohonan Karpal Singh yang meminta agar mahkamah menjalankan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Musa kerana didakwa bercakap bohong semasa disoal balas oleh beliau.

Karpal selaku peguam bela Anwar mempersoalkan sebahagian keterangan Musa pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-44 hari ini.

Anwar, 52, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Musa, 43, yang menyandang jawatan Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ialah pegawai penyiasat kes Anwar dan Sukma.

Beliau dipanggil sebagai saksi pendakwa kesembilan hari ini.

Di pertengahan pemeriksaan balas pihak pembela dalam sidang sesi pagi ini, Karpal secara tiba-tiba memohon agar mahkamah mengambil tindakan penghinaan mahkamah terhadap Musa kerana beliau dikatakan berbohong ketika menjawab soalannya berhubung mengapa Azizan tidak dihantar menjalani pemeriksaan doktor.

Di peringkat itu, Hakim Ariffin Jaka menangguhkan perbicaraan pada sesi petang ini untuk membolehkan Karpal berhujah dengan mengemukakan kuasa undang-undang yang boleh dirujukkan bagi menyokong permohonannya.

Sejurus sidang bermula pukul 2.35 pada sesi sebelah petang ini, Karpal segera berhujah dengan menyatakan untuk melaksana kuasa mengambil tindakan menghina mahkamah maka ia mestilah berdasarkan kes yang serius seperti kes Anwar itu.

Beliau berkata, apa yang ditimbulkan berhubung keterangan Musa bukanlah perkara yang boleh dipermain-mainkan tetapi benar.

''Keterangannya (Musa) dibuat secara bersumpah dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan,'' kata beliau.

Karpal berhujah, saksi yang memberi keterangan di mahkamah mestilah bercakap benar, semuanya yang benar dan tiada apa yang tidak benar.

''Ini bermakna seseorang saksi itu mesti bercakap apa yang sebenarnya,'' hujah beliau.

''Yang Arif mestilah dengan berhati-hati menimbangkan keterangan saksi ini kerana beliau bukan orang biasa tetapi arif dalam undang-undang malah ada Diploma Lanjutan dalam bidang undang-undang,'' tambah beliau.

Karpal berkata, Musa juga berjawatan tinggi di Bukit Aman dan telah memberikan keterangan secara bersumpah pada perbicaraan Anwar yang terdahulu.

Beliau menarik perhatian mahkamah mengenai jawapan bagi soalannya yang dikemukakan kepada Musa.

''Beliau tidak hantar Azizan untuk menjalani pemeriksaan perubatan kerana kejadian itu berlaku lebih daripada lima tahun,'' kata Karpal.

Hakim Ariffin mencelah dengan menyatakan saksi itu beritahu perkara tersebut semasa pemeriksaan utama pendakwa.

Beliau lalu membaca butir keterangan itu yang berbunyi: ''Gani menyoal, mengapa kamu tidak menghantar Azizan untuk menjalani pemeriksaan doktor. Musa menjawab, saya tidak menghantar Azizan untuk pemeriksaan doktor kerana kejadian liwat ini telah berlaku lebih kurang lima tahun. Dan mengikut pengalaman saya di dalam penyiasatan kes-kes rogol kejadian yang begitu lama tidak akan meninggalkan kesan apa-apa.''

Menurut hakim Ariffin, peguam bela Anwar, Christopher Fernando telah membantah kepada soalan itu dengan alasan saksi bukan pakar.

Tetapi Karpal berhujah, pada peringkat menjawab soalan balasnya Musa berkata, ia mungkin lima tahun dan pada soalan lain, beliau menyatakan tidak hantar Azizan untuk pemeriksaan perubatan kerana ia lebih daripada lima tahun.

Selain daripada pengalaman, kata Karpal, Musa menyatakan beliau merujuk buku perubatan dengan menjawab, 'tidak' pada soalannya dan selepas itu dengan pantas menjawab bukan lima tahun.

''Keterangan saksi ini bercanggah. Beliau menjawab soalan dengan berbohong dan berbohong secara bersumpah,'' kata Karpal.

Karpal berhujah lagi, jika saksi berbohong dalam mahkamah, apakah maknanya.

Beliau berkata, mahkamah boleh menyatakan perkara itu adalah keterangan palsu.

''Saya menyatakan ia adalah keterangan palsu dan juga menghina mahkamah. Berbohong di hadapan hakim mestilah dikenakan tindakan segera kerana bukti kesnya sudah ada. Saksi ini awalnya kata 'hitam' tetapi selepas itu mengubahnya menyatakan 'putih'. Perkara ini dicatatkan oleh Yang Arif,'' kata Karpal.

Karpal merujuk satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Australia dan juga kes tempatan untuk menyatakan bahawa mahkamah itu boleh mengambil tindakan terhadap Musa.

Hakim Ariffin bagaimana pun menangguhkan esok untuk memutuskan sama ada Musa bercakap bohong sebelum mengambil tindakan bagi prosiding dakwaan menghina mahkamah terhadap beliau.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 20/08/1999

Karpal dibenar berhujah isu alibi

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim berhujah dengan mengemukakan kuasa undang-undang untuk menentukan sama ada pegawai penyiasat boleh menjalankan siasatan lanjut berhubung keterangan alibi.

Hakim Datuk Ariffin Jaka membenarkan permohonan Karpal Singh selaku peguam bela Anwar supaya beliau diberikan masa untuk menyediakan penghujahan pada pukul 9 pagi esok.

Ia juga mengikut peruntukan di bawah Seksyen 402(A) Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut Seksyen 402(A) (i) kanun itu menyebutkan bahawa di dalam mana-mana perbicaraan jenayah tertuduh memohon untuk mengemukakan pembelaan alibi, keterangan yang menyokong alibi tidak boleh diterima kecuali tertuduh itu telah memberi notis secara bertulis kepada pendakwa raya sekurang-kurangnya sepuluh hari sebelum perbicaraan itu dijalankan.

Dalam Seksyen 420 (ii) pula menerangkan notis yang dikehendaki oleh subseksyen (i) hendaklah dimasukkan butir-butir tempat di mana tertuduh itu berada semasa berlakunya kesalahan yang ia dituduh, berserta dengan nama-nama dan alamat saksi-saksi yang ia bercadang untuk memanggil bagi menyatakan keterangan alibi.

Pada pagi ini, suasana mahkamah tegang apabila pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner I Musa Hassan menjawab 'ya' ketika disoal balas oleh Karpal bahawa sama ada beliau sekarang bersedia membuat siasatan lanjut mengenai notis pembelaan alibi.

Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, Karpal serta merta memohon penangguhan dan waktu itu hampir 11.30 pagi.

''Kami mohon perbicaraan ditangguhkan sehingga penyiasatan alibi diperolehi,'' kata Karpal.

Hakim Ariffin membenarkan penangguhan dan mengarahkan Musa mendapatkan maklumat dan memberitahu mahkamah pada sesi sebelah petang.

Pada sidang pukul 9.08 pagi ini, Hakim Ariffin mengumumkan keputusan berkaitan sebahagian keterangan Musa yang dipersoalkan oleh peguam bela itu semalam.

Menurut Hakim Ariffin, beliau mendapati Musa memberi keterangan yang berbeza mengenai masa (lima tahun) mengapa beliau tidak menghantar Azizan Abu Bakar yang mendakwa diliwat oleh Anwar untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Namun begitu, jelasnya, Musa belum lagi selesai memberi keterangan.

''Saya dapati beliau (Musa) tidak berbohong tetapi mungkin ada percanggahan jawapan bagi soalan yang dikemukakan,'' katanya.

Hakim Ariffin berkata, dengan itu beliau tidak membenarkan permohonan bagi prosiding penghinaan mahkamah kerana tidak ada asas untuk mengambil tindakan terhadap Musa.

Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu masuk hari ke-45 hari ini. Anwar, 52, dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan, 38.

Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45 di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Musa, 43, yang kini memegang jawatan Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, merupakan saksi pendakwa yang keenam dan keterangannya dianggap sangat penting oleh peguam bela dalam perbicaraan Anwar dan Sukma.

Ketika meneruskan pemeriksaan balas, Karpal bertanya bilangan kenyataan yang dibuat oleh Azizan kepada Polis di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada mulanya Musa menjawab, empat tetapi selepas disoal bertubi-tubi, Musa memberitahu bahawa ada lima kenyataan Azizan kepada polis.

Karpal meminta Musa mengingatkan tarikh-tarikh kenyataan itu dibuat.

Musa hanya mengingat dua tarikh kenyataan tersebut. Dan di peringkat itu, Karpal bertanya sama ada saksi tersebut ingin merujuk dokumen dalam failnya.

Tetapi Musa menjawab, beliau tidak ingin.

''Saya tak peduli, beritahu tarikh kenyataan ketiga,'' tegas Karpal.

''Bulan Jun 1998,'' jawab Musa.

Hakim Ariffin meninggikan suara meminta Musa memberitahu tarikh yang tepat.

''Saya tak ingat,'' jawab Musa.

''Adakah kamu ingin merujuk tarikh yang tepat,'' tanya Karpal.

''Jika mahkamah izinkan,'' kata Musa.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan membantah sambil menyatakan bahawa sesetengah dokumen itu dibuat oleh pegawai yang lain.

Hakim Ariffin lalu mengingatkan sekiranya saksi itu tidak ingin merujuk tarikh kenyataan itu, maka apabila penghujahan kelak, ia akan dipersoalkan oleh pihak pembela.

Peguam Negara lalu memohon supaya Musa dibenarkan merujuk fail yang mengandungi dokumen kenyataan Azizan.

Karpal segera menyampuk bahawa bukan pendakwa yang memohon tetapi saksi berkenaan.

''Saya ambil fail saya,'' kata Musa.

Di peringkat ini, Hakim Ariffin membenarkan kes ditangguh sebentar untuk membolehkan Musa mengambil failnya yang diletakkan di bilik saksi.

Selepas itu, Musa memberitahu bahawa Azizan membuat lima kenyataan bertarikh 18 Ogos 1997, 3 September 1997, 7 Julai 1998, 3 Oktober 1998 dan 1 Jun lalu.

Dan seterusnya, Karpal membangkitkan soalan adakah Musa menyedari tentang pembelaan alibi. Musa menjawab: ''Ya.''

''Alibi itu adalah dalam tempoh Januari hingga Mac 1993?'' tanya Karpal.

Musa juga menjawab: ''Ya.''

''Adakah kamu bersedia untuk menjalankan penyiasatan sebagai pegawai penyiasat sekarang?'' tanya Karpal.

''Ya, Yang Arif,'' jawab Musa.

Karpal bertanya, ''Adakah demi kepentingan keadilan?''

''Ya,'' kata Musa.

Karpal lalu menyatakan bahawa Peguam Negara mengakui tentang alibi itu dan mengeluarkan arahan untuk menyiasat.

Mohtar bangun membantah sambil berkata: ''Peguam Negara tidak mengarahkan penyiasatan. Saya tidak arah beliau untuk menyiasat kerana kami tidak tahu apa alibi itu.''

Karpal dengan nada meninggi bertanya Musa sama ada beliau bersedia untuk menyiasat demi kepentingan keadilan.

''Ya,'' jawab Musa.

''Baiklah, pergi siasat,'' kata Karpal.

Musa bertanya, ''Alibi apa?''

Hakim Ariffin yang mencelah turut bertanya, ''Alibi apa?''

Karpal menyatakan bahawa Musa baru sahaja menjawab dan jawapan direkodkan oleh mahkamah mengenai tempoh masa tarikh itu.

Musa berkata, soalannya ialah mengenai tarikh dan itulah satu daripada alibi.

''Apakah alibi?'' tanya hakim Ariffin.

Musa juga bertanya: ''Apakah alibi?''

''Kamu pergi siasat,'' kata Karpal.

Hakim Ariffin menegur Musa: ''Tengok sini.''

Karpal menyampuk: ''Sekarang beliau baru tahu.''

Hakim Ariffin lalu menjelaskan kepada Musa bahawa soalan itu mengenai tempoh Januari hingga Mac 1993 yang dikatakan dalam pertuduhan.

''Mereka tidak maklumkan apakah alibi itu, mereka hanya membuat cadangan kepada saya, '' kata Musa.

Karpal berkata, ''Baiklah, tangguhkan perbicaraan ini sebentar, biar beliau pergi siasat alibi. Pergilah siasat.''

Hakim Ariffin bertanya berapa lama Musa memerlukan untuk menyiasat. Sambil itu, beliau menyatakan selepas itu Musa mesti memaklumkan kepada mahkamah apa yang diperolehnya.

''Kami memohon penangguhan perbicaraan ini sehingga saksi ini menjalankan penyiasatan dan mendapatkan alibi,'' kata Karpal.

Dan sejurus sidang bermula pada sebelah petang, Peguam Negara memaklumkan bahawa beliau ingin menasihatkan Musa bahawa pendakwa tidak memerlukan siasatan lanjut berkaitan alibi atau mana-mana alibi oleh kedua-dua pihak pembela.

Mohtar menjelaskan bahawa pendakwa mempunyai rekod dan keterangan berkaitan dengan pergerakan Anwar di dalam negeri dan luar negara dari tahun 1992 hingga September 1998 iaitu pada tarikh dia dibicarakan.

Karpal membantah dengan hujah bahawa isu dalam mahkamah itu pagi ini bukan bagi kes pendakwaan tetapi untuk saksi buat siasatan.

Menurut Karpal ia adalah permintaan Hakim Ariffin.

''Saya tidak menggunakan kuasa untuk mengarah saksi itu,'' kata Hakim Ariffin.

Karpal lalu berhujah dengan menyatakan ia bukan permohonannya tetapi sekarang menerima tawaran saksi tersebut untuk membuat penyiasatan lanjut berkaitan alibi dalam pengetahuannya.

''Itu sahaja, perkara yang mudah. Saya tidak minta mahkamah buat arahan. Peguam Negara tidak boleh nasihatkan saksi,'' kata beliau.

Hakim Ariffin lalu bertanya Karpal, apa haknya untuk meminta saksi pendakwa berbuat demikian.

Karpal menjawab dengan hujah bahawa beliau menerima tawaran yang dikatakan dibuat oleh saksi berkenaan pagi ini.

Katanya, beliau tetap berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh Musa untuk membuat siasatan alibi dan mahkamah tidak ada kuasa untuk melarang atau pun Peguam Negara.

''Saya minta penangguhan sehingga pegawai penyiasat ini selesai menyiasat alibi. Saya mohon mahkamah benarkan kerana ia sesuatu yang perlu,'' kata beliau.

Peguam Negara bangun membantah.

''Saya menentang permohonan menangguhkan perbicaraan untuk saksi menyiasat alibi kerana pada peringkat ini tidak ada apa-apa yang hendak disiasat. Kami telah mempunyai maklumat lengkap,'' kata Mohtar.

Menurut Mohtar, notis alibi itu bertujuan bagi membolehkan pendakwa memeriksa perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis berkenaan.

Beliau menambah, ia maklumat mengenai pergerakan Anwar sebagaimana yang ditimbulkan oleh peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo, ketika menyoal balas Azizan.

''Tidak ada apa yang hendak disiasat lebih lanjut dan ia bukanlah pendakwa atau polis untuk membuktikannya tetapi dalam pembelaan alibi tertuduh,'' jelas beliau.

Karpal membantah hujah Peguam Negara itu. Pada pendapatnya, kata Karpal, Musa bersedia menjalankan siasatan tetapi Peguam Negara bertindak sebaliknya.

''Ini adalah menghalang keadilan. Mahkamah tidak harus membiarkannya kerana ia akan menjadi bahan ketawa dunia,'' kata Karpal.

''Pada pandangan saya, pendakwa hanya berminat untuk mendapatkan sabitan kesalahan terhadap tertuduh (Anwar),'' tambah beliau.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 21/08/1999

Isu alibi: Karpal setuju pendapat hakim

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Peguam Karpal Singh hari ini menerima pandangan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ariffin Jaka, bahawa persoalan sama ada rekod mengenai pergerakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1992 hingga September tahun lalu boleh disahkan atau sebaliknya akan diputuskan oleh mahkamah.

Perkara itu, kata beliau, akan dihujah dalam pembelaan alibi Anwar atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Karpal juga bersetuju dengan pendapat Hakim Ariffin jika pendakwa gagal mengesahkan tentang rekod pergerakan bekas Timbalan Perdana itu maka ia 'menggali kuburnya sendiri' dalam pendakwaannya.

Karpal menerima pandangan Hakim Ariffin pada peringkat beliau berhujah untuk mengemukakan kuasa undang-undang agar pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner I Musa Hassan, menjalankan siasatan lanjut berhubung notis alibi dalam pembelaan kes Anwar.

''Jika mengikut undang-undang keterangan alibi itu wujud dan rekod bagi pergerakan Anwar tidak dapat pengesahan. Maka mereka (pendakwa) gagal mengesahkan dan ia memihak kepada kamu. Kerana pada pendapat saya ini adalah peluang kamu. Tak usah minta penjelasan.

''Saya tidak hendak buat penentuan sekarang kerana saya tidak tahu tentang rekod tersebut. Biarlah pendakwa yang mengemukakan kerjanya dan mengesahkan rekod berkenaan,'' kata Hakim Ariffin.

Karpal berkata, pihaknya mahu pengesahan.

''Penyiasatan dibuat dengan budi bicara. Kamu boleh berhujah. Saya tidak tahu bagaimana mereka mengemukakan rekod tersebut,'' ujar beliau.

''Ini seolah-olah menggali kubur sendiri. Saya ingin menunjukkan bahawa tuduhan itu tidak seharusnya dibuat dan ia adalah konspirasi. Pembelaan boleh membuktikan bukan dengan keraguan yang munasabah tetapi melampaui keraguan munasabah,'' kata Karpal.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan menyatakan pihaknya tidak ada apa yang hendak dihujahkan kecuali hanya ingin membalas teguran yang dibuat oleh Karpal.

Bagaimanapun, di peringkat itu, Karpal menerima pandangan Hakim Ariffin.

Selepas itu, Hakim Ariffin menyatakan penghargaan dengan ikhlas hati kerana Karpal menerima pandangan beliau dan isu tersebut tidak berlarutan, malah memudahkan perbicaraan apabila peguam bela bersedia meneruskan untuk menyoal balas Musa.

Peguam Negara bagaimanapun menjawab bahawa beliau tidak membantah sekiranya Karpal hendak meneruskan menyoal balas saksi tetapi beliau ingin membuat penjelasan tentang 'teguran' yang dibuat oleh Karpal terhadap pendakwa.

Mohtar berkata, seperti yang diberitahu semalam, pendakwa menasihatkan Musa bahawa pihaknya tidak memerlukan siasatan lanjut berhubung keterangan alibi.

Kata beliau, ia adalah kewajipan pendakwa mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah.

Di peringkat ini, Hakim Ariffin mencelah sambil berkata bahawa beliau membuat pemerhatian dan mengarahkan Karpal meneruskan pemeriksaan balas Musa yang merupakan saksi pendakwa yang kesembilan dalam perbicaraan Anwar.

Anwar, 52, dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan, 38.

Ketika meneruskan soalan balas, Karpal bertanya Musa semasa menjalankan penyiasatan adakah beliau tahu sama ada Azizan menemui Perdana Menteri.

Musa: 'Tidak, Yang Arif.''

Karpal: ''Kamu tidak pernah baca dalam akhbar bahawa Perdana Menteri menemu bual saksi-saksi tertentu?''

Musa: ''Saya ada membacanya.''

Karpal: ''Adakah kamu membaca bahawa Perdana Menteri menemu bual Azizan dan Ummi Hafilda Ali?''

Musa: ''Ya, saya membaca dalam akhbar.''

Selepas itu ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwaraya, Datuk Abdul Gani Patail, Musa berkata bahawa Azizan tidak membuat kenyataan palsu kerana kenyataannya adalah konsisten berkaitan kejadian liwat dan pertuduhan terhadap Anwar dan Sukma.

Gani: ''Dalam kes ini apakah yang menyebabkan kamu tidak menghantar Azizan menjalani pemeriksaan doktor?''

Musa: ''Seperti yang saya nyatakan bahawa kejadian liwat telah berlaku begitu lama, Yang Arif.''

Gani: ''Musa, apakah tempoh masa bagi kamu menentukan sama ada kejadian itu telah lama berlaku?''

Musa: ''Yang Arif, saya tidak dapat menentukan tempoh masa ini.''

Gani mengulangi soalannya: ''Apakah tempoh masa untuk hantar pemeriksaan?''

Musa: ''Dalam tempoh masa 10 hari.''

Gani: ''Jika kurang daripada 10 hari, adakah kamu akan menghantarnya?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Gani: ''Kenapa kamu akan menghantarnya?''

Hakim Ariffin mencelah: ''Jawapannya sudah jelas.''

Selepas itu, Gani mengalih soalannya: ''Kamu ada menerima notis alibi, adakah kamu menjalankan siasatan apabila menerima notis alibi pada 27 Mei tahun ini?''

Musa: ''Ada, Yang Arif.''

Menjawab satu soalan lain, Musa berkata, beliau menjalankan penyiasatan kes Anwar itu berdasarkan laporan yang dibuat oleh bekas juruiring Anwar, Asisten Supritendan Polis, Zull Aznam berhubung Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 21/08/1999

Pendakwa, pembela buat penggulungan 6 September

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pihak pendakwa hari ini menutup kes selepas selesai mendengar keterangan sembilan orang saksinya dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk mendengar penggulungan hujah pihak pembela dan pendakwa.

Pembentangan hujah itu bagi menentukan sama ada Anwar yang dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja akan dipanggil membela diri atau sebaliknya.

Sukma juga menghadapi tuduhan bersubahat dengan Anwar meliwat Azizan.

Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam antara Januari hingga Mac 1993, di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Ariffin Jaka, pendakwa menutup kes pada perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-46 hari ini.

Mohtar memberitahu demikian setelah pegawai penyiasat kes itu, Senior Asisten Komisioner I Musa Hassan yang merupakan saksi pendakwa kesembilan selesai memberi keterangan pagi ini.

Beliau berkata, dengan rasminya pendakwa menutup kes mengikut peruntukan Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen 180(i) menyebut bahawa apabila kes bagi pendakwaan ditutup, mahkamah hendaklah menimbangkan sama ada pendakwa telah mengemukakan satu kes prima facie terhadap tertuduh.

Seksyen 180(ii) pula menerangkan, jika mahkamah mendapati bahawa pendakwa masih belum lagi membuat suatu kes prima facie terhadap tertuduh, maka mahkamah hendaklah merekodkan suatu perintah pembebasan.

Dalam pada itu, Seksyen 180(iii) menyebut jika mahkamah mendapati bahawa sesuatu kes prima facie tertuduh atas kesalahan yang dipertuduhkan maka mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk mengemukakan pembelaan.

Sehubungan itu, Peguam Negara menyenaraikan 21 orang saksi untuk ditawarkan kepada pihak pembela.

Beliau berkata, ia termasuk Karpal Singh a/l Ram Singh yang disenaraikan sebagai saksi nombor 21. Karpal merupakan seorang daripada peguam bela Anwar.

Christopher Fernando yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar menyatakan pihaknya akan memaklumkan pendakwa nama mana-mana saksi yang ingin dipanggil kelak.

Serentak itu juga, Karpal bangun memberitahu bahawa pembela tidak ingin memanggil saksi dalam senarai nombor 21. Para hadirin yang memenuhi bangku di galeri awam tergelak.

Fernando sambil berseloroh menyampok bahawa pembela menawarkan semula Karpal untuk jadi saksi pendakwa. Para hadirin tergelak lagi.

Di antara saksi-saksi yang ditawarkan kepada pembela ialah Hakim Kanan Mahkamah Sesyen di sini, Lim Yee Lan; Pendakwa Raya, Stanley Augustin; bekas Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Zulkifli Abdul Rahman dan Asisten Komisioner, Koh Hong Sun.

Asisten Supritendan , Mohd. Rodwan Yusof; Asisten Supritendan, Mazlan Mansor; Asisten Supritendan Wan Ahmad Wan Abas; Cif Inspektor A. Rajagopal; Detektif Koperal Razib Mohd. Noh; Detektif Lans Koperal Zaini Mat Piah dan Detektif Lans Koperal Rozlan Yusof.

Ahli kimia, Lim Kong Boon; peguam Mohd. Noor Don; Ummi Hafilda Ali, Dr. Ristina Majid, Manjeet Kaur a/p Mohan Singh, Alijah Che Lah, Lee Mon Swi, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali dan Karpal Singh.

Pada peringkat kes pendakwa, mahkamah mengadakan prosiding bicara dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada Sukma membuat pengakuannya secara suka rela berhubung penglibatan Anwar dalam kegiatan homoseksual.

Pada akhir bicara dalam perbicaraan itu, mahkamah memutuskan bahawa Sukma didapati membuat pengakuan secara suka rela dan dokumen itu dikemukakan sebagai sebahagian bahan bukti pendakwa.

Oleh: KAMARIAH AHMAD




Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PEMBELAAN - 3"