Hasil penemuan profil DNA konsisten - Lim
KUALA LUMPUR 4 Dis. - Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa hasil penemuan profil DNA yang terdapat daripada tompokan kesan air mani yang bertanda E8 pada sebuah tilam adalah konsisten dengan Lelaki 1, Lelaki 2 dan Wanita 1 yang menjadi sumber untuk mengenal pasti DNA.
Lelaki 1 itu, kata beliau, dirujukkan kepada contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya ditandakan sebagai A5095.
Lim, saksi pendakwa ke-21 memberitahu demikian ketika menyambung keterangannya pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-38 hari ini.
Dalam keterangannya, Lim, 44, berkata, beliau menyediakan dokumen yang mengandungi jadual-jadual terperinci mengenai statistik yang diperolehnya daripada perisian komputer yang dikenali Statistical Package Version 2.23 dari Australia.
Beliau berkata, dokumen itu disediakan untuk menunjukkan secara ringkas keputusan analisis DNA pada 9 STR (Short Tandem Repeats) genetic loci yang diperoleh daripada kesan tompokan air mani bertanda E1 hingga E13 dengan contoh darah bertanda ABC dan contoh darah A5095.
Tilam tersebut yang dirampas di sebuah unit apartmen mewah di Tivoli Villa kini menjadi bahan bukti pada perbicaraan Anwar.
Lim berkata, semasa menyediakan contoh E1 hingga E13 untuk analisis DNA, beliau juga menyediakan contoh-contoh kawalan positif dan negatif.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dalam pemeriksaan utamanya bertanya: ''Adakah penemuan positif dan negatif kamu ditunjukkan dalam dokumen itu (ditanda P111)?''
Lim: ''Ya, Yang Arif.''
Gani: ''Apakah tujuan positif dan negatif?''
Lim: ''Tujuan contoh kawalan positif untuk menentukan sama ada reagen digunakan bagi memperbesarkan contoh DNA dan peralatannya serta produk pembesaran itu dalam keadaan baik.''
Beliau juga memberitahu contoh kawalan negatif pula bertujuan menentukan sama ada reagen yang digunakan sudah tercemar dengan bahan asing DNA dan keadaan sekitar di mana contoh itu disediakan bebas daripada DNA atau tidak.
Gani: ''Sekiranya reagen tidak tercemar apakah hasil contoh kawalan negatif itu?''
Lim: ''Tidak ada hasil DNA yang akan diperolehdalam contoh kawalan negatif itu.''
Gani: ''Pada contoh kawalan positif pula?''
Lim: ''Kawalan positif menunjukkan hasil yang sepadan dengan contoh yang digunakan.''
Gani: ''Adakah kamu mempunyai electrophroeogram?''
Lim: ''Ya, apabila saya membuat analisis DNA, saya memperoleh electrophroeogram bagi setiap kesan air mani E1 hingga E13 dan contoh darah ABC dan juga contoh darah A5095.''
Bagaimanapun, sidang mahkamah yang bermula tepat pukul 9 pagi berhenti rehat kira-kira 15 minit pada pukul 10.50 pagi.
Kira-kira 10 minit kemudian, kelihatan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dengan ditemani oleh peguam Karpal Singh bersama anaknya, peguam Jagdeep Singh Deo masuk menemui Anwar.
--------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 05/01/1999
Saksi: Rambut Anwar diambil dari lantai lokap
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa polis telah mengambil beberapa helai rambut dari lantai lokap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dihantar ke Jabatan Kimia pada 12 Oktober lalu.
Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan Yusof berkata, beliau yang mengambil rambut tersebut dan memasukkan ke dalam satu sampul dengan menandakan sebagai C.
Sewaktu mengambil rambut itu, menurut Mohd. Rodwan, Anwar tidak berada di dalam lokap.
Menurut Mohd. Rodwan lagi, pada keesokannya, beliau sekali lagi mengambil contoh rambut bekas Timbalan Perdana Menteri itu dari bahagian belakang tilamnya.
''Rambut-rambut ini saya masukkan ke dalam satu sampul dan saya tandakan sebagai D,'' kata Mohd. Rodwan ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar.
Sebelum itu, pada 10 Julai lalu, Mohd. Rodwan memberitahu bahawa beliau mengambil beberapa helai yang dipercayai rambut dan bulu kemaluan di sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Beliau berkata, bulu-bulu dan rambut itu dijumpai di bahagian atas katil dan juga di bawah katil.
Tambahnya, bulu dan rambut itu dimasukkan ke dalam sampul bertanda A.
Selain itu, beliau menjumpai rambut dalam bilik air di bilik tidur utama unit apartmen tersebut dan memasukkan rambut itu dalam sampul dengan menandakan B.
Pada pertengahan keterangan Mohd. Rodwan mengenai rambut itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil bertanya Timbalan Kanan Pendakwa Raya apa kaitannya soal pengambilan rambut itu.
Azahar menyatakan pendakwa ingin mewujudkan bahan bukti bahawa terdapat rambut pada tilam yang dirampas dari Tivoli Villa.
Pada ketika itu juga, Anwar yang berada di kandang tertuduh dilihat secara berseloroh menarik-narik lembut rambutnya sambil menoleh ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah serta kaum keluarganya di galeri awam mahkamah.
Mohd. Rodwan, 41, saksi pendakwa ke-22 memberi keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-38 hari ini.
Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Mohd. Rodwan pada awal keterangannya memberitahu bahawa beliau bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 1 Mac 1994.
Azahar lalu meneruskan soalannya: ''Pada 23 Jun lalu, ada atau tidak kamu menerima arahan daripada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan?''
Mohd. Rodwan: ''Saya menerima arahan SAC1 Musa untuk membantu siasatan bersangkutan laporan Balai Polis Dang Wang no.14140/98. Siasatan itu adalah mengenai buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.''
Azahar: ''Pada 10 Julai lalu, sekitar tengah hari, adakah kamu terima arahan SAC1 Musa untuk menjalankan pemeriksaan di Tivoli Villa?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, saya diarah menjalankan pemeriksaan di unit No.2-5-13 dan No. 2-5-14 di Tivoli Villa.''
Azahar: ''Pukul berapa kamu pergi ke alamat tersebut?''
Mohd. Rodwan: ''Saya sampai di situ lebih kurang pukul 3 petang bersama-sama Penolong Penguasa Wan Zainuddin Wan Mahmood, Detektif Lans Koperal Rahmat Hassan, Detektif Lans Koperal Zaini Mat Piah, Detektif Lans Koperal Mihat dan Detektif Lans Koperal Azman.''
Azahar: ''Adakah kamu tahu Tivoli Villa itu dimiliki oleh siapa?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, saya tahu ia milik oleh Bandaraya Development Berhad (BDB), dan seorang wakilnya, Emily Koh turut hadir dalam pemeriksaan tersebut.''
Azahar: ''Beritahu Yang Arif, apakah yang berlaku apabila sampai di Tivoli Villa?''
Mohd. Rodwan: ''Apabila saya sampai di unit tersebut saya dapati seorang lelaki Cina bernama Wong Hai Fook menunggu di situ.''
Azahar: ''Kamu tahu mengapa Wong tunggu di situ?''
Mohd. Rodwan: ''Wong dipanggil oleh Emily Koh untuk membuka kunci unit-unit tersebut kerana BDB tidak mempunyai kunci pada unit-unit tersebut apabila diminta daripadanya.''
Azahar: ''Seterusnya, berjayakah tukang kunci itu membuka pintu unit-unit tersebut?''
Mohd. Rodwan: ''Seterusnya Wong telah berjaya membuka pintu pada unit-unit itu setelah dicuba sebanyak tiga kali.''
Menurut Mohd. Rodwan, beliau dan anggotanya menjalankan pemeriksaan bersama Emily Koh.
Azahar: ''Ada atau tidak kamu mengambil apa-apa barang?''
Mohd. Rodwan: ''Ya. Saya mengambil sebuah tilam dan sebuah bantal daripada bilik tidur utama.''
Beliau menyatakan beliau kemudian memberikan senarai pemeriksaan bilik itu kepada Emily Koh.
Azahar: ''Apakah jenis tilam yang kamu ambil?''
Mohd. Rodwan: ''Jenis tilam yang saya rampas ialah Othoflex Classic dan bantal Sleeplite.''
Azahar: ''Pada hari tersebut, sewaktu kamu melihat tilam apakah yang kamu dapati pada permukaannya?''
Mohd. Rodwan: ''Saya dapati beberapa tompokan dipercayai kesan air mani yang telah kering di atas tilam tersebut.''
Saksi itu berkata, beliau kemudian menyerahkan tilam dan bantal itu kepada SAC1 Musa pada pukul 7 malam di pejabatnya di Bukit Aman. Perbicaraan bersambung esok.
----------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 05/01/1999Pendakwa bantah afidavit sokongan Anwar
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden hari ini mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi terhadap penggunaan afidavit sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya.
Mohd. Yusof membuat bantahan tersebut selepas peguam bela Sukma, Karpal Singh membangkitkan keterangan yang ditimbulkan oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zahari Noor dalam perbicaraan Anwar pada 29 Disember lalu bahawa beliau tidak menemui kesan yang menunjukkan Sukma telah diliwat selepas memeriksanya.
Terdahulu, Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mendapatkan afidavit Dr. Zahari berhubung keterangannya itu.
Menurut Karpal, perkara tersebut juga telah dinyatakan dalam afidavit Anwar yang difailkan pada 31 Disember lalu bagi menyokong permohonan Sukma untuk menyemak keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya kerana membenarkan dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
''Ini bermakna pertuduhan dan fakta kes yang diberi oleh Timbalan Pendakwa Raya pada 9 September tahun lalu adalah tidak berasas dan mahkamah ini berkuasa mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap Sukma,'' katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Yusof membantah dengan berhujah bahawa pihaknya (responden) memohon supaya mahkamah mengetepikan keseluruhan atau sebahagian daripada afidavit Anwar yang disifatkan tidak releven kerana mengandungi keterangan dengar cakap serta berunsur skandal termasuklah penghujahan Anwar sendiri.
Hujah Mohd. Yusof, permohonan Sukma adalah untuk melanjutkan masa bagi membolehkan dia memfailkan petisyen rayuan dan memohon satu semakan terhadap keputusan hukumannya itu.
''Oleh itu, pihak kami menghujah bahawa mahkamah tidak perlu pergi kepada keterangan yang tidak ada dalam rekod bagi kedua-dua permohonan tersebut.''
''Yang penting ialah apa bentukpun notis rayuan yang difailkan sama ada sabitan atau hukuman atau berbentuk hukuman sahaja, undang-undang sudah pasti iaitu rayuan hanya dibuat terhadap kesahihan hukuman,'' katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyalahgunaan proses telah berlaku kerana Anwar telah menggunakan korum tersebut untuk pembelaan dirinya.
Selain itu, Mohd. Yusof juga menarik perhatian mahkamah dengan mengemukakan satu lagi bantahan berhubung penyiaran kandungan afidavit Anwar oleh akhbar-akhbar tempatan pada 1 Januari lalu.
Pada 10 Disember lalu, Sukma memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya.
Berikutan itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membebaskan Sukma dengan ikat jamin RM10,000 pada 21 Disember sementara menunggu pendengaran semakan keputusan tersebut.
Abdul Wahab menetapkan 12 Januari ini bagi mendengar hujah balas Karpal terhadap bantahan awal Mohd. Yusof itu.
------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 06/01/1999Tompokan disyaki air mani ditemui atas tilam
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau mendapati kesan-kesan tompokan yang teruk disyaki air mani di atas tilam yang dirampas dari sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa, Bangsar di sini.
Mohd. Rodwan berkata, beliau pernah menemui tompokan kesan yang disyaki air mani yang sebegitu teruk di atas tilam ketika menyiasat satu kes rogol melibatkan seorang bekas pelacur sambilan di Pulau Pinang.
Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-22 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-39 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Pada pemeriksaan balas, peguam bela Anwar, Christopher Fernando menyoal: ''Kamu kata, kamu lihat kesan air mani atas tilam?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, Yang Arif, saya menjumpai kesan-kesan air mani yang kering.''
Fernando: ''Kamu mengesyaki atau kamu lihat?''
Mohd. Rodwan: ''Saya syaki ia adalah kesan air mani.''
Fernando: ''Adakah kamu hendak katakan ia kesan yang teruk di atas tilam itu?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, Yang Arif, saya dapati kesan air mani itu teruk.''
Fernando: ''Adakah kamu menjumpai kesan air mani itu di sekeliling tilam?''
Mohd. Rodwan: ''Saya dapati kesan air mani di bahagian tengah tilam sahaja.''
Fernando: ''Di bahagian tengah sahaja dan tidak ada di tempat lain?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, Yang Arif, pada pendapat saya.''
Fernando: ''Berapa banyak kesan yang kamu jumpa di bahagian tengah tilam itu?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak mengiranya, Yang Arif, kerana saya kurang arif tentang air mani yang terdapat pada tilam tersebut.''
Kaum keluarga Anwar yang duduk di galeri awam kedengaran bising. Dua anggota polis yang bertugas memberi isyarat tangan supaya diam: ''Syyy...''
Fernando: ''Apa yang kamu maksudkan, tidak arif?''
Mohd. Rodwan: ''Maksud saya terdapat kesan tompokan air mani atas tilam.''
Fernando: ''Kamu cuba hendak katakan bahawa kamu tidak dilatih untuk mengenali air mani?''
Mohd. Rodwan: ''Apa yang saya maksudkan saya tidak dilatih untuk mengira berapa banyak kesan tompokan air mani yang terdapat atas tilam tersebut.''
Fernando: ''Pernahkah kamu tengok tilam yang tercemar seteruk tilam (yang dirampas dari Tivoli Villa) ini?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, saya pernah tengok tilam yang teruk seperti ini.''
Fernando: ''Di mana kamu melihatnya?''
Mohd. Rodwan: ''Saya pernah melihat tilam-tilam tersebut ketika menyiasat kes-kes lain.''
Fernando: ''Apakah jenis kesnya?''
Mohd. Rodwan: ''Kes-kes yang saya jalankan pada masa yang lampau adalah kes rogol.''
Ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan semula pendakwa, Mohd. Rodwan memberitahu bahawa beliau pernah menyiasat satu kes rogol di Pulau Pinang melibatkan tilam yang terdapat kesan yang disyaki air mani seperti tilam tersebut.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bertanya: ''Siapakah mangsanya?''
Mohd. Rodwan: ''Ia melibatkan pelacur sambilan.''
Azahar: ''Adakah kamu dilatih untuk mengambil air mani daripada seseorang yang sedang pengsan?''
Mohd. Rodwan: ''Tidak.''
Pada satu soalan pendakwa raya, Mohd. Rodwan berkata, mengikut prosedur siasat yang lazim dilakukan untuk mendapat air mani seseorang itu, dia hendaklah dibawa berjumpa dengan pegawai perubatan bagi tujuan tersebut.
--------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 06/01/19995 pita asal perbualan Ummi - Sng dirampas
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa polis merampas lima pita asal rakaman (kaset) yang didakwa mengandungi perbualan Ummi Hafilda Ali dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Sng Chee Hua ketika bercuti di London pada Jun lalu.
Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan Yusof berkata, beliau merampas pita-pita tersebut daripada seorang lelaki bernama Norazman Abdullah yang datang menyerahkannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mohd. Rodwan mendedahkan perkara itu ketika isu pita berkenaan ditimbulkan oleh peguam bela Anwar, Gurbachan Singh.
Beliau yang bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang di Bukit Aman merupakan saksi pendakwa ke-22 pada perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-39 hari ini.
Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Pada pemeriksaan balasnya, Gurbachan menyoal: ''Adakah betul kamu sering berjumpa dengan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya sering berjumpa mereka.''
Gurbachan: ''Kamu pernah makan tengah hari dengan mereka?''
Mohd. Rodwan: ''Tidak pernah.''
Gurbachan: ''Adakah kamu merampas beberapa pita rakaman daripada Bagida (Norazman)?''
Mohd. Rodwan: ''Saya ada merampas pita-pita rakaman tersebut dari seorang bernama Norazman Abdullah.''
Gurbachan: ''Adakah nama lain, Bagida (bukan baginda) atau dengan alias...?''
Mohd. Rodwan: ''Hanya Norazman tidak ada alias.''
Gurbachan: ''Pada 23 Disember lalu?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak ingat tarikh.''
Gurbachan: ''Di manakah ia dirampas?''
Mohd. Rodwan: ''Di pejabat saya.''
Gurbachan: ''Pita-pita itu adalah perbualan di antara Ummi dan Datuk Sng?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu.''
Gurbachan: ''Adakah kamu mengambil kenyataan daripada Sng dan Norazman berhubung pita tersebut?''
Mohd. Rodwan: ''Tidak.''
Gurbachan: ''Adakah kamu tahu mana-mana pegawai polis yang mengambil kenyataan mereka.''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu.''
Gurbachan: ''Di manakah pita-pita tersebut?''
Mohd. Rodwan: ''Saya dah serahkan kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan pada hari yang sama setelah saya rampas.''
Gurbachan: ''Adakah kamu diberitahu bahawa ini adalah pita-pita yang asal?''
Mohd. Rodwan: ''Ya.''
Gurbachan: ''Berapa banyak pita yang kamu rampas?''
Mohd. Rodwan: ''Lima pita.''
Gurbachan: ''Adakah kamu meminta Norazman menyerahkan pita-pita itu?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak menyuruh Norazman datang ke Bukit Aman.''
Gurbachan: ''Adakah kamu tahu mengapa Norazman menyerahkan pita-pita itu kepada kamu?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu.''
Selepas itu, Gurbachan memberitahu bahawa pihak pembela ingin meminta saksi itu mengemukakan pita-pita tersebut kepada mahkamah.
Gurbachan: ''Saya dimaklumkan bahawa pita-pita tersebut adalah pita asal.''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah.
Gani: ''Peguam bela menyatakan bahawa pita-pita tersebut bukanlah dalam milik mereka. Pendakwa tidak mahu peguam bela buat hal dan untuk memudahkannya, mereka boleh memohon mendapatkannya.''
Gurbachan: ''Saya bukan buat hal. Saksi ini telah mengaku bahawa pita-pita itu diserahkan kepada beliau oleh Norazman. Pita-pita ini sangat penting dan mempunyai kaitan. Saksi ini juga merupakan orang yang membantu pegawai penyiasat (Musa). Ia diserah dan dirampas oleh beliau.''
Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Ia sudah diserahkan kepada Musa.''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden turut membantah: ''Soalnya, ia mesti ada kaitan dengan kes ini.''
Gurbachan: ''Perkaitannya adalah jelas kerana pita-pita itu mengandungi perbualan.''
Hakim Augustine: ''Saya rasa mahkamah tidak seharus mengeluarkan satu perintah.''
Gurbachan: ''Kami mempunyai satu salinannya. Ia sungguh penting dalam kes ini. Sungguh penting. Ini bagi menunjukkan sejak awal lagi, Yang Arif, kes ini sebenarnya melibatkan konspirasi politik beberapa personaliti yang ada hubung kait dengan Ummi (saksi pendakwa ke-17).''
Gani: ''Saya ingin membantah peguam bela yang membuat ucapan yang baik di ruang galeri umum. Kami tahu ia adalah rekaan dan telah disunting. Rakan saya (peguam bela) tahu perkara ini. Dan laporan polis sudah pun dibuat. Saya tidak mahu katakan siapa yang membuat suntingan. Kami pun tidak membantah untuk mengemukakan pita-pita tersebut tetapi panggillah orang yang membuatnya.''
Hakim Augustine: ''Buatlah dan ikut prosedur. Dengan prosedur, saya mahu pita-pita yang asal.''
Gurbachan: ''Biarlah saya menghujah balas. Kami tidak mahu memainkan pada umum. Ini sungguh tidak adil dengan apa yang dikatakan oleh pendakwa yang kami tidak menyedari mengenai sebarang rekaan mengenai pita tersebut. Saya minta pendakwa menarik balik dakwaannya.
''Sebagaimana yang sudah saya katakan bahawa kami tidak tahu mengenai pita tersebut.''
Hakim Augustine: ''Pita-pita itu tidak boleh dikemukakan oleh saksi itu (Mohd. Rodwan).''
Gurbachan dengan suara agak meninggi: ''Kami bukan meminta daripada saksi itu tetapi beliau sebagai pegawai yang merampasnya. Kami akan memanggil orang yang berkenaan. Saya bersetuju beliau bukan saksi yang boleh mengemukakan pita tersebut kepada pihak pembela.''
Selepas itu, Gurbachan memohon supaya mahkamah membenarkan mendapatkan transkrip bagi membandingkan kandungan pita tersebut dengan pihak pendakwa.
Gani: ''Kami tidak membantah. Ini membolehkan undang-undang dilaksanakan dengan lancar.''
Perbicaraan bersambung esok.
-------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 06/01/1999
Rodwan nampak mata Anwar lebam
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau nampak mata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebam semasa doktor mengambil contoh darahnya pada 28 September tahun lalu.
Mohd. Rodwan saksi pendakwa ke-22 menyatakan demikian selepas disoal bertubi-tubi oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando pada pemeriksaan balasnya dalam perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-39 hari ini.
Hakim Datuk S. Augustine Paul bagaimanapun memutuskan tidak membenarkan peguam bela menyoal lebih mendalam mengenai isu itu kerana ia tidak relevan dengan kes yang sedang dibicarakan di hadapan beliau.
''Saya membuat arahan secara umum dan tidak membenarkan soalan ditimbulkan dengan lebih lanjut berhubung perkara tersebut,'' kata Hakim Augustine.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Sebelum itu, Hakim Augustine menegur Fernando yang menyoal saksi tersebut dalam bahasa Inggeris dan meminta peguam itu menggunakan bahasa yang mudah difahami apabila beliau membuat andaian bagaimana tilam yang dirampas di sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa itu boleh sengaja diletakkan air mani dan juga dakwaan Anwar dipukul.
Hakim Augustine: ''Beritahu dia dengan bahasa Inggeris yang mudah. Tak usah menyembunyikan keterangan dengan menyatakan di situ dan di sana.''
Fernando: ''Saya bercakap dengan bahasa Inggeris yang mudah. Sudah empat kali saya bertanya.
Pada pemeriksaan balas itu, peguam bela Anwar menggunakan bahasa Inggeris dan saksi pula menjawab menggunakan bahasa Melayu.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang membantah cara soalan itu dikemukakan memberitahu bahawa doktor telah dipanggil memberi keterangan dan saksi itu seharusnya ditanya dengan mendalam.
Gani: ''Kami bantah cara menyoal sedemikian mengenai dakwaan tertuduh dipukul.''
Hakim Augustine: ''Kenapa tidak bertanya tentang hal itu kepada saksi (Dr. Abdul Halim Manzar yang memeriksa Anwar)?''
Fernando: ''Saya dihalang untuk menimbulkan soalan ini sedangkan ia amat penting dalam pembelaan kami.''
''Baiklah, siapa yang hadir semasa pemeriksaan terhadap tertuduh?'' tanya Hakim Augustine kepada Mohd. Rodwan.
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu siapa yang hadir semasa Dr. Abdul Halim dan Dr. Zahari Noor menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh (Anwar) mengenai...''
Saksi itu belum habis menjawab, Fernando terus menyoal: ''Adakah kamu lihat keadaan mata tertuduh bengkak selepas dia dipukul?''
Hakim Augustine: ''Ini tidak relevan.''
Fernando bertanya hakim: ''Tidak relevan? Beliau ada di sana, di Bukit Aman.''
Hakim Augustine: ''Tanya tentang contoh darah.''
Mohd. Rodwan: ''Pada masa contoh darah diambil saya dapati mata tertuduh lebam.''
Fernando: ''Adakah ia hitam biru?''
Hakim Augustine: ''Apa halnya dengan hitam biru, adakah ia penting?''
Fernando: ''Saya katakan ia penting. Bolehkah ini direkodkan.''
Hakim Augustine: ''Macam mana kamu tahu ia tidak direkodkan?''
Fernando tidak menghiraukan komen hakim dan terus menyoal: ''Adakah kamu nampak bibirnya bengkak?''
Hakim Augustine: ''Saya buat arahan umum dan tidak membenarkan soalan ini ditanya lebih lanjut berhubung perkara tersebut.''
Fernando: ''Jadi itulah keputusan mahkamah. Adakah laporan yang dibuat oleh Dr. Halim dan Dr. Zahari selepas memeriksa tertuduh?''
Hakim Augustine: ''Bagaimana ia ada kaitannya?''
Fernando: ''Peringkat seterusnya ada kandungan laporan itu.''
Hakim Augustine: ''Kamu kata, dia melihatnya?''
Fernando: ''Penyiasatan berhubung keputusan dakwaan dipukul dan tertuduh pengsan.''
Hakim Augustine: ''Tidak relevan.''
Fernando mengalihkan soalan mengenai tindakan Mohd. Rodwan mengambil rambut tertuduh tanpa pengetahuannya.
Mohd. Rodwan: ''Saya telah diarahkan oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) 1, Musa Hassan untuk mengambil contoh-contoh rambut dalam lokap tertuduh semasa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''
Fernando: ''Adakah kamu mengambilnya tanpa pengetahuannya?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu sama ada tertuduh tahu yang saya telah mengambil contoh-contoh rambut tersebut.''
Fernando: ''Dan beliau tidak ada di situ dan kamu ambil tanpa kebenarannya?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, Yang Arif, tertuduh tidak hadir semasa saya mengambil contoh rambut tersebut dan kebenarannya juga tidak diperolehi.''
Fernando: ''Saya ingin bertanya soalan secara langsung sama ada ia boleh dengan sengaja diambil (air mani) semasa beliau (tertuduh) di dalam tahanan polis di Bukit Aman.''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu sama ada air mani daripada tertuduh boleh diambil semasa tertuduh tidak sedarkan diri dan sengaja diletakkan ke atas tilam yang pada masa itu di dalam jagaan SAC 1 Musa.''
Fernando: ''Adakah penyiasatan kamu itu jelas tidak melenyapkan kemungkinannya?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, Yang Arif, semasa penyiasatan yang dijalankan kemungkinan perkara itu berlaku.''
Fernando mengubah soalannya: ''Dr. Ristina Majid tinggal di kawasan jalan yang sama dengan Tivoli Villa?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu Dr. Ristina tinggal berdekatan dengan Tivoli Villa.''
Fernando: ''Jalan Medang Tanduk. Tivoli Villa terletak di Bangsar?''
Mohd. Rodwan: ''Ya, di Bangsar.''
Fernando: ''Adakah kamu tahu orang yang terakhir duduk dilokap tertuduh (di Bukit Aman)?''
Mohd. Rodwan: ''Saya tidak tahu siapa yang menduduki lokap tahanan tersebut sebelum tertuduh mendudukinya di Bukit Aman.''
Perbicaraan bersambung esok.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
-----------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 06/01/1999Suryani saksi akhir pendakwa disoal
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendengar saksi akhir pendakwa, Penolong Penguasa Polis, Suryani Sungit pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Suryani, 28, yang dipanggil sebagai saksi pendakwa ke-23, memberitahu bahawa beliau merupakan pegawai penyiasat dalam satu aduan polis berhubung kenyataan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa suaminya, Anwar mungkin akan disuntik dengan virus HIV.
Menurutnya, beliau menerima tugas itu lebih kurang pukul 2.30 tengah hari pada 22 September lalu.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail ketika menyoal dalam pemeriksaan utama bertanya: ''Pada 28 September lalu, sekitar pukul 9 pagi, apa yang berlaku, adakah kamu berjumpa dengan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan?''
Suryani: ''Ada, Yang Arif.''
Gani: ''Apakah tujuan kamu berjumpa dengannya?'
Suryani: ''Saya berjumpa SAC 1 Musa untuk meminta kerjasama daripada beliau mengambil contoh darah Anwar bagi tujuan ujian HIV.''
Gani: ''Adakah Musa bersetuju?''
Suryani: ''Benar, beliau memberikan kerjasama kepada saya.''
Peguam bela Anwar, Christopher Fernando menyoal balas: ''Selepas itu adakah kamu memperolehi keputusan ujian itu?''
Suryani: ''Ya, saya menerima keputusannya daripada Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan.''
Fernando: ''Apakah keputusan itu?'
Suryani: ''Seperti yang dimaklumkan oleh Mohd. Rodwan, ia adalah negatif, Yang Arif.''
Fernando: ''Adakah kamu lihat sendiri laporan ini?''
Suryani: ''Tidak.''
Fernando: ''Jadi, keputusan ini dimaklumkan oleh Mohd. Rodwan.''
Suryani: ''Benar, Yang Arif.''
Gani kemudian memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa pendakwa tidak akan memanggil saksi lagi dan ingin menutup kesnya.
-----------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 07/01/1999
Pita: Permohonan peguam bela ditolak
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini tidak membenarkan pihak pembela dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan pita rakaman yang didakwa mengandungi perbualan Ummi Hafilda Ali dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Sng Chee Hua ketika bercuti di London pada Jun lalu.
Hakim Datuk S. Augustine Paul memutuskan demikian setelah mendapati ketulenan pita itu diragui untuk dijadikan bukti pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Pihak pembela mendakwa perbualan yang dirakamkan itu berunsur konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.
Hakim Augustine membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan peguam bela Anwar, Gurbachan Singh yang menyatakan beliau ingin memanggil pembuat rakaman itu bernama Norazman Abdullah yang juga dikenali sebagai Begida.
Sebelum itu, Hakim Augustine membenarkan prosiding perbicaraan Anwar ditangguhkan sebentar pada pukul 9.45 pagi ini bagi membolehkan para peguam belanya yang terdiri daripada Gurbachan, Christopher Fernando dan S.N. Nair menemu soal Norazman di bilik rehat peguam berdekatan mahkamah itu.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraannya masuk hari ke-40 hari ini.
Selepas peguam bela menemu soal Norazman, mahkamah menyambung sidang pada lebih kurang pukul 12.40 tengah hari ini.
Hakim Augustine: ''Saya ingin bertanya, adakah apa-apa percanggahan di antara pita-pita yang ada pada pendakwa dan peguam bela?''
Gurbachan: ''Ya, ada.''
Hakim Augustine: ''Apa yang harus kita buat sekarang. Adakah mahkamah dalam kedudukan untuk membuktikan ketulenan pita tersebut?''
Gurbachan: ''Jawapan saya, ya. Kita boleh buktikan melalui Begida mengenai apa yang terjadi dengan pita-pita tersebut dan juga beliau merupakan orang yang membuat 4 pita rakaman yang ada dengan kami dan pihak polis mempunyai tujuh pitanya yang tulen.''
Hakim Augustine sambil meninggikan suara: ''Ini sudah jadi suatu yang serius.''
Gurbachan: ''Mahkamah harus memutuskan mengenai keterangan berhubung pita tersebut.''
Hakim Augustine: ''Pita-pita itu terlalu banyak.''
Gurbachan: ''Pendakwa dan begitu juga peguam bela menyatakan bahawa pita-pita yang ada itu bukanlah salinan yang tulen. Dalam hal ini ia hanya boleh dijawab oleh Begida. Peguam bela tidak boleh memberi keterangan tidak bersumpah dari meja peguam sama ada Begida boleh mengesahkan ketulenan empat pita tersebut atau sebaliknya.''
Beliau menambah: ''Kami memohon supaya dibenarkan memanggil Begida untuk mendapatkan fakta daripadanya. Beliau yang membuat pita-pita rakaman itu untuk pihak pendakwa dan peguam bela.''
Hakim Augustine: ''Adakah bagi tujuan prosiding mencabar saksi di bawah Seksyen 155 dan 145(2) Akta Keterangan?''
Gurbachan: ''Kami bergantung hanya pada sebahagian perbualan itu maka tidak perlulah untuk betul-betul membuktikan keseluruhan kandungan pita itu. Kami boleh bergantung kepada satu bahagian sahaja bagi tujuan mencabar dan kami bercadang untuk berbuat demikian.''
Beliau menghujah: ''Misalnya, kalau mahkamah membenarkan pita ini dikemukakan dan Ummi mengakui ia adalah perbualannya.''
Hakim Augustine: ''Bukan begitu caranya. Masalah sekarang, prosiding ini dibuat mengikut Seksyen 136 Akta Keterangan.''
Di bawah seksyen tersebut, hanya mahkamah yang mempunyai budi bicara untuk menentukan kebolehterimaan keterangan.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah mengenai ketulenan pita-pita tersebut.
Hakim Augustine: ''Saya buat keputusan saya, pada pendapat saya bukti mengenai dakwaan perbualan yang dirakamkan antara Ummi dan Sng telah diselubungi misteri dari saat cubaan pertama dibuat untuk mengemukakannya sebagai bukti.''
Menurut beliau, pada mulanya hanya ada satu pita.
''Saya tidak menyalahkan peguam bela yang cuba menggunakan satu pita itu kerana saya menerima pengakuan mereka bahawa pita berkenaan diberikan kepada mereka,'' kata beliau.
Hakim Augustine: ''Bagaimanapun, saya ingin menambah bahawa pihak pembela yang telah diberikan pita ini untuk digunakan seharusnya membuat beberapa pertanyaan mengenai ketepatan dan kebenaran pita itu.''
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua pihak telah mengaku pita pertama bukanlah salinan yang tepat daripada empat pita yang dimiliki oleh peguam bela.
''Sesetengah orang mungkin menyebutnya versi yang disunting, sesetengah orang menyatakan ia keterangan rekaan,'' ujar beliau.
Beliau berkata, namun sebenarnya apa yang ingin dikemukakan ialah satu pita yang mengandungi kombinasi petikan perbualan daripada empat buah pita.
''Ini sebenarnya sama seperti meminda bukti tetapi saya tidak ingin untuk menyentuh perkara itu sekarang. Pembela tidak patut bergantung pada pita tersebut,'' ujar beliau.
Berhubung keempat-empat pita tersebut, kata beliau lagi, mahkamah membenarkan penangguhan sebentar bagi membolehkan peguam bela dan pendakwa membanding-bandingkan pita-pita tersebut dan mereka mendapati ia bercanggah di antara satu sama lain.
''Ini bermakna ketulenan pita-pita tersebut yang ingin dikemukakan sebagai bukti amat diragukan dan ia membawa kepada kesimpulan saya bahawa bukti yang peguam bela ingin kemukakan mengenai perbualan itu tidak mempunyai asas yang kukuh. Saya tidak membenarkan permohonan ini,'' tegas beliau.
Selepas keputusannya, Hakim Augustine mengingatkan peguam bela Anwar bersiap sedia dengan pakar DNA untuk membantu mereka menyoal balas ahli kimia forensik, Lim Kong Boon berhubung ujian DNA Anwar.
Hakim Augustine membenarkan pendakwa memanggil ahli kimia kanan, Chee Ong Koh duduk sebagai pemerhati ketika Lim disoal balas pada perbicaraan esok.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
--------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 07/01/1999
Gurbachan pertahankan kenyataan
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Peguam Gurbachan Singh mempertahankan kenyataannya di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak menaruh kepercayaan terhadap polis dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Hakim Datuk S. Augustine Paul segera membuat keputusan bahawa Gurbachan selaku peguam bela dan peguam cara tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian yang dianggap pendapat yang berunsur skandal.
Sebelum itu Hakim Augustine menegur Gurbachan dan meminta beliau menarik balik kenyataannya.
Perkara ini timbul ketika Gurbachan menghujah untuk memohon menangguhkan sebentar perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi membolehkan peguam bela menemu soal seorang saksi berhubung pita rakaman yang hendak dikemukakan sebagai bahan buktinya.
Pita itu didakwa mengandungi rakaman perbualan Ummi Hafilda Ali dengan Datuk Sng Chee Hua mengenai konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.
Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Ketika membuat permohonan itu Gurbachan memberitahu bahawa semalam pihaknya cuba untuk menemu soal seorang lelaki bernama Begida atau nama sebenarnya, Norazman Abdullah dan saksi ini hadir di mahkamah hari ini.
Gurbachan: ''Sebenarnya, semalam, saya ingin beritahu terus terang bahawa Datuk Sng adalah sukar untuk ditemu soal.''
Hakim Augustine: ''Berapa lama yang kamu perlukan?''
Gurbachan: ''Ia mengambil masa setengah jam hingga 45 minit.''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang tidak membantah dengan permohonan itu menyatakan beliau hanya ingin menyentuh mengenai Datuk Sng yang dikatakan sukar untuk ditemu soal oleh peguam bela.
Gani: ''Pada awalnya, Sng telah membuat aduan polis bahawa beliau menerima tekanan. Saya dimaklumkan pula bahawa Begida menyatakan beliau mahu kenyataannya dibuat oleh peguam secara bertulis. Dan Sng ingin peguamnya ada bersama semasa ditemu soal. Tetapi perkara ini tidak dipersetujui (oleh peguam bela Anwar).''
Gurbachan: ''Isu aduan polis. Datuk Sng boleh bersama peguamnya ketika ditemu soal. Kami tidak melakukan apa-apa yang tidak betul. Begida pula boleh jadi saksi pendakwa.''
Gani: ''Boleh saya membetulkan bahawa Begida bukan saksi pendakwa.''
Hakim Augustine: ''Tak usah membuang masa. Peguam bela diberi masa setengah jam.''
Gurbachan: ''Saya mencadangkan agar jurubahasa Tuan Kechik Tuan Hussin turut serta dalam temu soal ini sebagai pegawai mahkamah.''
Hakim Augustine: ''Mengapa minta jurubahasa saya untuk jadi saksi pembela?''
Gurbachan: ''Kami lebih suka jika pegawai mahkamah ada bersama supaya tidak ada lagi aduan polis yang lain.''
Hakim Augustine: ''Saya tidak mahu pegawai mahkamah saya terlibat.''
Gani: ''Berhubung dengan saksi dan pengaduan polis. Sudah terlalu banyak pengaduan polis.''
Pada peringkat itu, Gurbachan berkata bahawa beliau sudah tidak mempercayai polis.
Hakim Augustine: ''Jangan sebut pegawai polis. Mereka menjalankan tugas untuk melaksanakan undang-undang. Tarik balik kenyataan kamu.''
Gurbachan: ''Saya mempertahankan kenyataan saya.''
Sambil merekodkan dalam notanya Hakim Augustine: ''Pegawai polis tidak boleh dipercayai. Kamu katakan ini pendapat kamu.''
Gurbachan: ''Saya maksudkan pegawai polis yang terlibat dalam kes ini. Ini ada fakta, Ummi kata begitu dan Azizan Abu Bakar juga kata begitu.''
Hakim Augustine: ''Saya rasa tidak wajar bagi seorang peguam bela dan peguam cara membuat kenyataan sedemikian yang berunsur skandal.''
Gurbachan: ''Kami berhak memberikan pendapat.''
Hakim Augustine: ''Kamu boleh menyatakan pendapat pada tempat yang betul. Saya buat keputusan secara umum bahawa adalah tidak wajar bagi seorang peguam bela dan peguam cara membuat kenyataan sedemikian.''
Perbicaraan bersambung esok.
----------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 08/01/1999Saksi yakin 100% hasil analisis DNA
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau yakin 100 peratus dengan hasil analisis DNA contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepadan dengan 13 kesan tompokan air mani pada tilam yang dirampas di sebuah apartmen mewah di Tivoli Villa, Bangsar di sini.
Namun begitu, Lim berkata, beliau menyedari bahawa hasil analisis itu mungkin akan dicabar pada bila-bila masa.
Lim, 44, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-21 ketika menjawab soalan balas peguam bela pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-41 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Peguam Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela Anwar mengendalikan pemeriksaan balas itu hari ini dengan kehadiran dua pakar DNA dari luar negara sebagai penasihat untuk membantu menyoal Lim.
Mereka ialah Dr. Henry Roberts dari Australia dan Dr. Duncan Colin Woods dari Britain.
Pihak pendakwa pula memanggil seorang ahli kimia kanan, Chee Ong Koh hadir sebagai pemerhati pada sepanjang pemeriksaan balas terhadap Lim.
Raja Aziz kemudian menyoal Lim bagaimana beliau memperoleh hasil analisis sedemikian: ''Di bahagian mana kamu membuat ujian pada tilam tersebut?'
Lim: ''Saya menjalankan ujian pada lebih daripada 13 tempat kesan tompokan yang terdapat atas tilam itu.''
Raja Aziz: ''Tiga belas kesan tompokan ini, adakah ia hanya di bahagian tertentu sahaja atau di sekitar tilam itu?''
Lim: ''Kesan tompokan itu terdapat di sekitar tilam tetapi ia lebih banyak pada bahagian tengahnya.''
Raja Aziz: ''Dan kamu menemui keputusan yang positif. Dengan itu apa yang kamu buat untuk menentukan ia adalah air mani.''
Lim: ''Saya memotong 13 bahagian kesan tompokan air mani itu. Setiap bahagian saya menggunakan proses yang dikenali sebagai ujian pengasingan spermatozoa.''
Raja Aziz: ''Selepas itu apa berlaku?''
Lim: ''Semasa membuat ekstrak sebarang spermatozoa yang ada menjadi gentelan dan kami mengujinya dalam alat emparan (centrifuge). Dan jumlah kecil gentelan itu disapukan pada slaid mikroskop. Slaid adalah kering dan kesan itu dibubuh pewarna untuk mencari spermatozoa.''
''Saya mengesan banyak spermatozoa di bawah mikroskop pada kesan tompokan yang bertanda E1 hingga E13,'' jelas Lim.
Raja Aziz: ''Bolehkah dapatkan slaid pada hari ini?''
Lim: ''Tidak, ia sudah dimusnahkan. Ia bukanlah amalan Jabatan Kimia untuk menyimpan slaid-slaid itu.''
Raja Aziz: ''Adakah kamu mengambil gambar slaid-slaid tersebut?'
Lim: ''Saya tidak ada mengambil gambar dan ia juga bukan amalan Jabatan Kimia.''
Raja Aziz: ''Adakah keterangan kamu sebagai pakar pernah dicabar?''
Lim: ''Sudah pasti. Semasa saya memberi keterangan di mahkamah, ia telah dicabar.''
Raja Aziz: ''Semasa kamu memberi keterangan itu, ia dicabar dan dipertikaikan, adakah slaid itu relevan dalam prosiding seperti ini?''
Lim: ''Ini adalah pertama kali peguam bela bertanya mengenai slaid hasil ujian pengasingan spermatozoa dalam masa 20 tahun saya bertugas sebagai ahli kimia forensik.''
Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa selain membuat analisis spermatozoa beliau tidak mempunyai slaid lain berhubung kes ini.
Raja Aziz: ''Tidakkah kamu sedar bahawa hasil analisis kamu mungkin dicabar pada bila-bila masa.''
Lim: ''Ya, saya menyedari bahawa hasil analisis saya (dalam kes Anwar) akan dicabar pada bila-bila masa.''
Raja Aziz: ''Kamu membuat analisis dengan tidak memihak sesiapa?''
Lim: ''Hasil analisis yang saya jalankan berdasarkan penemuan saya. Ia adalah 100 peratus daripada penemuan saya.''
Raja Aziz: ''Saya rasa adil jika boleh melihat slaid-slaid itu.''
Lim: ''Slaid-slaid tidak pernah dikemukakan di mahkamah dan ia bukan amalan Jabatan Kimia. Mungkin kesan daripada kes ini kami akan kemukakan.
Raja Aziz: ''Bagaimanakah dengan contoh darah itu?''
Lim: ''Contoh darah yang digunakan untuk dianalisis telah dimusnahkan kerana ia mengalami kerosakan tetapi bagi kes ini saya masih menyimpan sebahagiannya iaitu 13 kesan tompokan tersebut. Saya serahkan kepada polis yang kini berada di mahkamah.''
Raja Aziz: ''Apakah penemuan kamu pada slaid-slaid itu?''
Lim: ''Slaid-slaid itu hanya memberitahu saya mengenai spermatozoa dan bukan profil DNA. Jadi, analisis DNA saya bukan hanya berdasarkan slaid.''
Sebelum itu, Raja Aziz merujuk carta-carta ringkas dan graf yang telah disediakan oleh Lim untuk menerangkan butir-butir statistik dalam analisis DNA mengenai contoh darah Anwar.
Raja Aziz: ''Macam mana kamu membuat kemungkinan ia adalah sepadan dengan darah bertanda A5095 (contoh darah Anwar). Adakah kamu menimbangkan sebab contoh darah A5095 hanya memberikan pecahan 1 pada 6 loci. Dan ini mungkin telah mengalami degradasi?'
Lim: ''Saya telah menimbangkan perkara itu. Dan saya mendapat kesimpulan profil ini mempunyai 6 homozygote pada 6 genetic loci daripada 9 genetic loci. Ia jarang ditemui. Ini bermakna sesuatu yang sangat unik.''
Hakim Datuk S. Augustine mencelah: ''Saya tidak faham.'' Para hadirin di galeri awam tergelak.
Raja Aziz: ''Saya pun begitu juga.''
Lim: ''Biasanya nombor bagi penduduk adalah antara 2.4, itulah yang saya maksudkan ia unik.''
Raja Aziz: ''Pada pendapat kamu, kamu katakan ia sangat unik, apa yang boleh dijelaskan?''
Lim: ''Hasil penemuan unik menunjukkan profil ini yang berkemungkinan tinggi orang lain mempunyai profil tersebut 1 dalam 59 bilion.''
Raja Aziz: ''Adakah kemungkinan ia unik kerana mengalami degradasi?''
Lim: ''Keunikannya profil itu bukan kerana degradasi DNA atas contoh darah tersebut.''
Perbicaraan bersambung esok.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
-------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 09/01/1999DNA berlainan cap jari - Saksi
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar yang membanding keunikan analisis DNA dengan kesan cap jari.
Peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah ketika menyoal balas Lim menyatakan profil DNA tidak unik seperti kesan cap jari.
Menurut Lim, satu nombor pada genetic loci itu terdiri daripada satu profil DNA.
Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-21 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-42 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.
Sulaiman yang menyoal balas Lim mengucapkan terima kasih sambil berkata: ''Jadi kamu harus melihat nombor profil DNA?''
Lim: ''Daripada 9 STR (Short Tandem Repeat) genetic loci saya mesti mendapatkan 4 keputusan positif pada mana-mana 4 STR genetic loci untuk membentuk profil DNA dengan menggunakan STR genetic loci. Kita mesti melihat pada nombor genetic loci itu.''
Sulaiman: ''Jadi aspek teknikal DNA ialah nombor-nombor yang ditaip terdedah kepada kesilapan.''
Lim: ''Saya tidak setuju aspek teknikal DNA mempunyai kesilapan pada nombor-nombor yang ditaip.''
Sulaiman kemudian menimbulkan soalan sama ada Lim tahu mengenai konsep prinsip siling dalam struktur kecil populasi.
Sulaiman: ''Jadi kamu bersetuju tentang prinsip siling dalam struktur kecil populasi?''.
Lim: ''Ya, tetapi bukan tentang tujuan itu.''
Sulaiman: ''Dalam konteks populasi Melayu apa yang mungkin menjadi struktur kecil populasi?''
Lim: ''Struktur kecil merujuk kumpulan populasi yang lazimnya membiak di kalangan mereka.''
Sulaiman: ''Seumpamanya Melayu Penang?''
Para hadirin di galeri awam tergelak.
Lim: ''Saya tidak bersetuju ia dirujuk kepada Melayu Penang.''
Sulaiman: ''Adakah kamu sedar adanya populasi berasal daripada penduduk kulit putih Amerika. Orang-orang yang asalnya dari Itali?''
Lim: ''Saya tidak menyedari bahawa orang kulit putih Amerika Syarikat berasal dari Itali dikaitkan sebagai struktur kecil populasi.''
Sulaiman: ''Di Pulau Pinang, kita mempunyai populasi Melayu yang berdarah Arab dan India.''
Lim: ''Ya.''
Sulaiman: ''Sehingga kini, darah Cina dan Siam akan membawa gen berbeza, dan membawa gen baru dan allele baru dalam populasi Melayu Kelantan.''
Lim: ''Saya tidak bersetuju, allele biasa yang wujud dalam mana-mana populasi adalah lebih kurang sama kecuali perbezaan dalam frekuensi relatif setiap allele.''
Beliau memberi contoh, allele no. 6 (dalam darah Anwar) pada THO1 genetic locus, orang Cina mungkin mempunyai 20 peratus frekuensi relatif, 25 peratus Melayu dan 30 peratus India.
Oleh itu, katanya, perbezaan terletak pada frekuensi.
Sulaiman: ''Saya diarahkan bahawa kamu silap. Percampuran darah akan menimbulkan perbezaan.''
Lim: ''Perbezaannya tidak membawa makna.''
Sulaiman: ''Tidak ada perbezaan?''
Lim: ''Ya.''
Sulaiman: ''Mr. Lim, tak mungkin kamu pasti bahawa ia ada perbezaan atau tidak.''
Lim: ''Saya tidak bersetuju kerana terdapat banyak penerbitan data mengenai pelbagai jenis populasi. Jadi dengan mengkaji allele atau allele biasa yang wujud dalam pelbagai kumpulan populasi ini boleh menunjukkan bagaimana kahwin campur benar-benar mempengaruhi populasi pangkalan data bagi kumpulan populasi itu.
Perbicaraan bersambung Isnin ini.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
----------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 09/01/1999Analisis DNA dari satu sumber
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tidak ada angka yang dipamerkan untuk menunjukkan paras kekuatan hasil analisis DNA kerana ia datang daripada satu sumber.
''Saya sungguh yakin bahawa puncak yang ditunjukkan pada graf adalah daripada satu sumber DNA,'' kata ahli kimia forensik, Lim Kong Boon ketika menjawab soalan balas peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse.
Raja Aziz yang merujuk carta dan graf yang disediakan oleh Lim, mempersoalkan bagaimana beliau memperoleh statistik untuk membandingkan contoh darah Anwar yang ditanda A5095 dengan sebuah tilam yang terdapat kesan 13 tompokan air mani.
Tilam tersebut yang dirampas dari sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa kini dijadikan bahan bukti kes pendakwa pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Lim, 44, saksi pendakwa ke-21 menyambung keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-42 hari ini.
Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Sepanjang pemeriksaan balas itu, dua pakar DNA, Dr. Henry Roberts dari Australia duduk di sebelah kiri Raja Aziz manakala Dr. Duncan Colin Woods di sebelah kanan beliau untuk membantu menasihatkannya menyoal Lim.
Sebelum itu, Lim mengemukakan salinan asal carta dan grafnya yang terdapat tanda nombor hitam dan merah.
Raja Aziz menyoal: ''Pada sesetengah barang kes (carta dan graf) mengapa ada merah dan setengahnya hitam?''
Lim: ''Rujukan khusus yang mana dimaksudkan. Ya, contohnya, pada yang berwarna merah itu menunjukkan allele dan hitam adalah nombor tahap kekuatan.''
Raja Aziz: ''Mengapa nombor allele tidak menunjukkan tahap kekuatan?''
Lim: ''Ini adalah opsyen yang saya gunakan bagi sesetengah kesan air mani. Jika saya rasa tahap kekuatan puncaknya (graf) tidak perlu dipamerkan maka saya tidak nyatakan dalam dokumen ini.''
Raja Aziz: ''Adakah sebarang kriteria yang kamu gunakan untuk menjelaskan dan mempamerkannya.''
Lim: ''Saya menggunakan kriteria biasa bagi puncak-puncak yang tidak berapa kuat dan kesan air mani yang bercampur-campur.''
Raja Aziz: ''Apabila puncak itu hanya pada tahap 80 hingga 100, adakah kamu menggunakan tahap kekuatan?''
Lim: ''Pada kebanyakannya tahap kekuatan ialah di puncak 80 hingga 100.''
Raja Aziz merujuk pada satu dokumen lalu bertanya: ''Mengapa angka tahap kekuatan tidak ditunjukkan?''
Lim: ''Kerana saya sungguh yakin bahawa puncaknya datang daripada satu sumber DNA.''
Raja Aziz: ''Mengapa kamu begitu yakin?''
Lim: ''Kerana saya sudah katakan dulu apa juga puncak melebihi tahap 80 adalah hasil yang positif.''
Selepas itu, Lim menerangkan satu persatu kedudukan graf bagi hasil analisis DNA dalam dokumen yang disediakannya.
Perbicaraan bersambung Isnin ini.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Bukti keterangan DNA kukuh - Saksi
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberi peringatan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa bukti berhubung keterangan DNA pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat kukuh.
Namun begitu, katanya, ia masih perlu disokong oleh bukti-bukti yang lain.
''Oleh yang demikian, mahkamah mesti mengambil sikap berhati-hati untuk memahami hasil keputusannya,'' kata Lim.
Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya apa yang beliau maksudkannya.
Lim: ''Saya maksudkan bahawa bukti DNA mesti ada keterangan lain yang menyokongnya. Jadi bukanlah selamat untuk bersandarkan pada keterangan DNA semata-mata.''
Hakim Augustine: ''Adakah ia hanya keterangan untuk menyokong sahaja?''
Lim: ''Bagi menjadikan keterangan lebih kukuh, ini bergantung kepada ciri sesuatu kes itu.''
Hakim Augustine: ''Adakah kamu pasti ini hanya keterangan yang menyokong sahaja?''
Lim: ''Ini hanya sebagai peringatan.''
Hakim Augustine: ''Bagus, soalan ini dikemukakan oleh peguam Sulaiman Abdullah. Oleh itu di manakah letaknya salah anggapan pendakwa?''
Hakim itu meneliti seketika persoalan yang ditimbulkan oleh peguam bela Anwar itu ketika beliau menyoal dalam pemeriksaan balas terhadap Lim.
Lim, 44, merupakan saksi ke-21 sedang menyambung keterangannya pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-43 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Sepanjang pemeriksaan balas terhadap Lim, para peguam bela Anwar mendapat nasihat daripada dua pakar DNA dari luar negara.
Mereka ialah Dr. Henry Roberts dari Australia yang duduk di sebelah kiri Sulaiman hari ini manakala Dr. Duncan Colin Woods dari Britain di sebelah kanan beliau.
Seterusnya, Hakim Augustine berkata, dengan lain perkataan keterangan DNA tidak boleh dipegang sebagai asas yang kukuh.
Lim lalu memberitahu bahawa beliau telah membaca dalam jurnal di mana polis membuktikan kes mereka melalui hasil ujian DNA.
Hakim Augustine: ''Apakah salah anggapan pendakwa.''
Lim: ''Terdapat banyak hujah. Saya telah membaca dalam jurnal bahawa polis mendapati tertuduh bersalah berdasarkan bukti DNA. Bagaimanapun ada yang memberikan pendapat lain.''
Hakim Augustine: ''Oleh itu, bukti saintifik pada keseluruhannya sepadan?''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula memberitahu bahawa terdapat banyak bukti antaranya, penyimpangan dan ini lebih tertumpu pada hujah perundangan, bukan penemuan saintifik bagi keterangan menyokong.
Hakim Augustine: ''Bolehkah dapatkan contoh kes mengenai perkara salah anggapan pendakwa ini.''
Sulaiman memberitahu bahawa ada keputusan kes mengenai perkara itu di England.
Hakim Augustine: ''Kamu seharusnya beritahu saya lebih dulu semasa pemeriksaan utama lagi.''
Lim: ''Ini adalah defence fallacy (salah anggapan pembela).''
Para hadirin di galeri awam tergelak.
Sulaiman meneruskan soalannya: ''Adakah kemungkinan keterangan mengenai contoh darah dan contoh yang didakwa itu datangnya daripada orang yang sama?''
Gani membantah: ''Saya rasa soalan ini tidak adil untuk ditanya, cuba tengok soalannya. Adakah kamu bersetuju apakah kemungkinannya di mahkamah.''
Hakim Augustine: ''Memandangkan ini kes baru, ia ada kemungkinan besar.''
Gani: ''Ia boleh diperjelaskan lagi.''
Sulaiman: ''Saya memperjelaskan soalan bahawa berdasarkan laporan Majlis Penyelidikan Kebangsaan (NRC) 1996. Adakah kamu bersetuju, bahawa kamu mesti melihat kemungkinan bahawa kedua-dua contoh itu mempunyai sumber yang sama dan jika saya terangkan maknanya kamu mesti ketepikan bukti DNA dan mencari keterangan lain.''
Gani: ''Saya membantah.''
Hakim Augustine: ''Ini adalah fungsi mahkamah. Beliau seorang pakar.''
Sulaiman: ''Mahkamah juga harus melihat keterangan statistik untuk mengatakan kedua-dua contoh itu sepadan dan sama ada ia kuat atau lemah.''
Hakim Augustine: ''Saya rasa ini harus dikemukakan untuk penghujahan. Bagaimana harus mahkamah menangani penggunaan keterangan DNA.''
Sulaiman: ''Adakah kamu fikir keterangan DNA itu penting mengenai barang kes ketika ia diambil alih dan sewaktu ia diletakkan di bawah jagaan polis?''
Lim: ''Ya, soal barang kes diletakkan di bawah jagaan sesuatu pihak dan contoh barang kes itu adalah penting.''
Sulaiman menyoal pula mengenai bagaimana Lim mendapatkan populasi bagi data penduduk Melayu Malaysia.
''Dan kamu memperolehi data populasi Melayu Malaysia pada teknik STR (Short Tandem Repeat) dalam bulan Mac 1998?''
Lim: ''Ya.''
Perbicaraan bersambung esok.
------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 12/01/1999Analisis DNA contoh darah Anwar dicabar
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Seorang saksi, Lim Kong Boon hari ini dicabar oleh peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung profesionnya sebagai ahli kimia forensik ketika membuat analisis DNA contoh darah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar, 51, sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Lim, 44, merupakan saksi pendakwa ke-21 menyambung keterangannya dalam pemeriksaan balas peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah pada perbicaraan yang masuk hari ke-43 hari ini.
Sulaiman menyoal: ''Kamu menyatakan bahawa kamu mengendalikan kes-kes polis. Ujian DNA bagi kes bunuh, rogol, untuk mengenali pasti mangsa kebakaran dan tubuh yang hangus serta mengenali rangka tulang. Ini semua kamu buat untuk polis.''
Lim: ''Ya, termasuk kes paterniti.''
Sulaiman: ''Kita ambil kes bunuh. Misalnya ada seorang yang mati. Analisisnya memang mengenai mayat.''
Lim: ''Saya bersetuju, andainya ia melibatkan kes sedemikian.''
Sulaiman: ''Tugas kamu, untuk memeriksa contoh bukti yang datang daripada mayat mangsa. Sama ada DNA sepadan dengan mangsa atau DNA orang yang disyaki.''
Lim: ''Ya, itulah yang kami carikan.''
Sulaiman: ''Dalam kes yang menyebabkan tubuh mangsa terbakar teruk atau hangus, ujian DNA boleh dilakukan dan cara yang terbaik ialah mengambil contoh DNA daripada saudara maranya untuk dibuat perbandingan.''
Lim: ''Ya, begitu juga kami jalankan proses yang sama untuk mengenal pasti rangka tulang.''
Sulaiman: ''Adakah dalam kes rogol kamu ada mangsa dan mengambil bukti (contoh) daripadanya?''
Lim: ''Biasanya bukti diambil daripada mangsa dan orang yang disyaki.''
Sulaiman: ''Tetapi dalam kes ini, kamu mengambil bukti daripada tubuh mangsa dan membandingkan dengan orang yang disyaki.''
Lim: ''Tidak Yang Arif, bukti ini bukan diambil dari mangsa, ia datang dari tempat kejadian jenayah itu. Oleh itu kewujudan DNA di tempat kejadian sama pentingnya.''
Sulaiman: ''Jadi kamu bersetuju bahawa dalam setiap jenayah rogol, ada bukti positif dan kamu memainkan peranan membuktikannya.''
Lim: ''Ya, ini bermakna kesalahan telah dilakukan. Jawapan saya, ya.''
Sulaiman: ''Dalam sesuatu kes kamu mengambil satu contoh.''
Lim: ''Apa yang dimaksudkan satu contoh?''
Sulaiman: ''Kamu telah mengendalikan lebih 2,000 ujian DNA.''
Lim: ''Satu contoh bermakna satu bukti.''
Sulaiman: ''Bolehkah kamu beritahu hasil bagi 10 ujian DNA ini?''
Lim: ''Ia meliputi banyak kes paterniti.''
Sulaiman: ''Berapa banyakkah kes rogol yang telah kamu kendalikan ujian DNA?''
Lim: ''Saya tidak ingat.''
Sulaiman: ''Di antara bulan Mac tahun lalu hingga Januari ini?''
Lim: ''Kamu bertanya mengenai teknik STR (Short Tandem Repeat)?''
Sulaiman: ''Dalam kes-kes yang kamu tidak dicabar misalnya kes paterniti.''
Lim: ''Saya tidak dicabar mengenai penggunaan pangkalan data secara umum seperti sekarang. Tidak seperti ini, saya dicabar dan ia memberi sejarah kepada Jabatan Kimia.''
Sulaiman: ''Berapa banyak seperti kes bunuh. Adakah 10 kes?''
Lim: 'Saya tidak ingat.''
---------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 13/01/1999Saya tidak dipengaruhi polis - Lim
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak dipengaruhi oleh mana-mana pegawai polis ketika membuat analisis DNA pada 13 kesan tompokan air mani di atas tilam untuk dibandingkan dengan contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tilam itu dirampas oleh polis dari sebuah apartmen mewah Tivoli Villa dan kini dijadikan bahan bukti kes pendakwa pada perbicaraan Anwar.
Lim, saksi pendakwa ke-21 memberitahu demikian dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-44 hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Ketika memeriksa semula saksi itu Gani merujuk Borang 21 iaitu dokumen yang dilampirkan oleh polis ketika membuat permintaan kepada Jabatan Kimia untuk menganalisis barang kes.
Gani: ''Adakah kamu didatangi oleh sesiapa untuk mempengaruhi analisis kamu?''
Lim: ''Saya tidak pernah didatangi oleh sesiapa untuk mempengaruhi keputusan analisis saya.''
''Semasa membuat analisis, saya berulang kali memeriksa ujian DNA. Saya menggunakan teknik PCR (Polymerase Change Reaction) pada HLA DQ Alpha Polymarker genetic loci pada kesan air mani (atas tilam) yang bertanda E1-E13 dengan contoh darah bertanda A,B, dan C dan contoh darah A5095 (darah Anwar),'' kata ahli kimia itu.
Lim menjelaskan bahawa hasil keputusan DNA yang diperoleh pada HLA DQ Alpha dan Polymarker genetic loci pada bahan-bahan contoh itu disahkan lagi dengan keputusan melalui teknik STR (Short Tandem Repeat).
Gani juga meminta Lim menjelaskan lagi berhubung beberapa jawapan yang diberikan oleh beliau ketika disoal balas oleh peguam bela Anwar.
Menurut Lim, apabila beliau bercakap tentang slaid, seperti yang dibangkitkan oleh peguam bela, mempunyai nilai bukti yang kukuh, apa yang dimaksudkan ialah mengenai hasil ujian spermatozoa.
Lim berkata, beliau tidak bersetuju apabila peguam bela menyatakan beliau salah faham mengenai laporan Majlis Penyelidikan Kebangsaan (NRC) 1996 kerana tersilap dalam soal kiraan data populasi.
''Saya menggunakan panduan dalam konteks Malaysia selagi ia tidak berkompromi dalam memperoleh ketepatan, boleh dipercayai dan sahih untuk hasil analisis yang dijalankan,'' kata beliau.
Lim juga memperjelaskan bahawa daripada pengalamannya, apabila mendapati 13 kesan air mani di merata tempat atas tilam itu, keputusan DNA mendedahkan bahawa ia adalah sumber yang bercampur aduk lelaki dan wanita.
Hasil analisis DNA juga, kata beliau, mengenal pasti bahawa terdapat lima sumber, dua lelaki dan tiga wanita pada kesan 13 tompokan atas tilam itu.
Lim: ''Saya berpendapat beberapa aktiviti seksual telah berlaku di situ (atas tilam).''
Sebelum itu Gani menyoal semula mengenai hasil analisis Lim pada contoh rambut yang dihantar oleh polis untuk dibandingkan dengan contoh darah A5095.
Lim: ''Saya ingin merujuk hasil keputusan saya. Apa yang saya peroleh bahawa profil DNA wujud pada contoh rambut yang bertanda D dan sepadan dengan profil DNA dalam contoh darah bertanda A5095.
Bagaimanapun, menurut Lim, contoh rambut bertanda C tidak sepadan dengan DNA yang ditemui dalam contoh darah A5095.
Lim kemudian menjelaskan bagaimana beliau mengumpulkan data untuk populasi Cina dan India bagi perbandingan sumber profil DNA pada kesan 13 tompokan air mani atas tilam itu.
Beliau menerangkan penemuannya seperti berikut:
Daripada punca rambang data penduduk Cina Malaysia yang dipilih mempunyai profil DNA sepadan dengan sumber profil DNA kesan air mani bertanda E2-E7, E11-E12 pada 9 STR loci dianggarkan 1 dalam 18.5 bilion.
Ini berdasarkan pangkalan data Cina Malaysia sepadan pada 8 genetic loci daripada kesan air mani sumber lelaki E13 dianggarkan 1 dalam 2.7 bilion.
Dalam kes yang sepadan dengan 4 genetic loci yang dijumpai pada kesan air mani E1 dianggarkan 1 dalam 7,400.
Punca rambang penduduk Cina Malaysia yang mempunyai profil DNA bagi sumber wanita profil DNA E13 dianggarkan 1 dalam 256 juta pada 9 genetic loci. Sumber wanita sepadan E5 pada 8 STR genetic loci dianggarkan 1 dalam 33.3 juta.
Data penduduk India pula yang pada 9 genetic loci di mana profil DNA sepadan dengan sumber dikenal pasti kesan air mani E2-E7 dan E11-E12 dianggarkan 1 dalam 72 bilion.
Ia dipadankan pada 8 STR genetic loci bagi sumber profil DNA yang dijumpai atas kesan E13 dianggarkan 1 dalam 7.4 bilion. Dan bagi memadankan pada 4 STR genetic loci sumber profil DNA lelaki yang dikesan E1 dianggarkan 1 dalam 17,000. Ini sama dengan profil DNA sepadan sumber E13 pada 9 STR genetic loci dianggarkan 1 dalam 9.5 bilion.
Bagi sepadan dengan sumber profil DNA kesan air mani E15 dianggarkan 1 dalam 830 juta.
---------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 13/01/1999Ahli kimia sediakan pangkalan data penduduk Melayu
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pangkalan data penduduk Melayu telah disediakan untuk membuat pengiraan dalam ujian DNA kerana ia melibatkan penyiasatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli kimia forensik, Lim Kong Boon berkata, beliau yang menyediakan maklumat itu.
Peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah yang menyoal balas Lim mengandaikan bahawa saksi itu bukan bekerja untuk mensabitkan kesalahan sesiapa.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail segera membantah dengan menyatakan bahawa Sulaiman hanya membuat kenyataan dan bukan menyoal saksi.
Hakim Datuk S. Augustine Paul pula mencelah: ''Itu kerja mahkamah untuk mensabitkan kesalahan sesiapa.''
Sulaiman terus menyoal: ''Kerja kamu untuk menyediakan bukti analisis.''
Lim: ''Ya, Yang Arif.''
Sulaiman: ''Adakah kamu bersetuju bahawa di Amerika Syarikat, analisis DNA adalah untuk membebaskan orang?''
Lim: ''Ya, Yang Arif.''
Sulaiman: ''Jika analisis kamu menghasilkan penemuan yang membuktikan seseorang itu tidak bersalah, adakah kamu menyediakan laporan berdasarkan keputusan demikian?''
Lim: ''Ya, saya akan berikan keputusan itu.''
Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-21 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-44 hari ini.
Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Sulaiman menyoal balas saksi itu setelah tugasnya tertangguh semalam kerana beliau kurang sihat.
Sebelum itu, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela Anwar memaklumkan kepada Hakim Augustine bahawa Sulaiman dalam keadaan sihat hari ini dan boleh meneruskan menyoal balas terhadap saksi.
Ketika disoal balas, Lim memberitahu bahawa beliau menumpukan perhatian yang tinggi dalam tugasnya membuat analisis berhubung kes Anwar.
Lim berkata, Ketua Jabatannya juga memberikan perhatian memandang kes itu mendapat publisiti meluas.
Sulaiman: ''Oleh kerana kamu memberikan keutamaan maka bolehkah saya melihat laporan statistik hasil kerja kamu. Ia bertarikh 5 November 1998. Kamu membuat pengiraan untuk memadankan hasil kerja kamu pada 5 November?''
Lim: ''Ya.''
Sulaiman: ''Semasa kamu membuat pengiraan ini, kamu belum lagi menerima contoh darah Anwar?''
Lim: ''Ya, saya belum menerima contoh darah lagi.''
Sulaiman: ''Sebenarnya, contoh darah itu kamu terima pada 9 Disember lalu.''
Lim: ''Ya.''
Sulaiman: ''Izinkan saksi ini ditunjukkan dengan laporan analisis yang disediakannya. Ini adalah analisis contoh darah bertanda A5095 (darah Anwar). Ia dianalisis pada 9 Disember lalu.''
Lim: ''Ya.''
Sulaiman: ''Jadi bagaimanakah ia disediakan enam hari sebelum kamu menganalisis contoh darah yang kamu tahu kesan air maninya sepadan dengan DNA sesiapa sahaja.''
Lim: ''Saya tidak katakan DNAnya sepadan dengan sesiapa sahaja pada masa itu.''
Sulaiman: ''Jadi mengapa buat pengiraan pada 5 November?''
Lim: ''Tujuan saya membuat pengiraan untuk mencari kebarangkalian bahawa orang lain mempunyai profil DNA yang saya peroleh daripada kesan air mani itu.''
Sulaiman: ''Siapa yang mengarahkan supaya kamu membuat pengiraan pada 5 November?''
Lim: ''Tidak ada sesiapa yang menyuruh saya. Saya buat sendiri.''
Sulaiman: ''Jika kamu memperolehi contoh yang sepadan dalam pengiraan itu bukankah ini membuang masa?''
Lim: ''Tidaklah begitu.''
Sulaiman: ''Mengapa kamu gunakan pangkalan data Melayu sedangkan kamu tidak tahu siapa yang menyedia perbandingan untuk sepadan dengan pengiraan itu?''
Lim: ''Ini kerana ia berhubung kes penyiasatan Datuk Seri Anwar. Jadi tujuan saya membuat pengiraan untuk menunjukkan puncanya adalah Melayu.''
Sulaiman kemudian merujuk laporan Lim mengenai hasil analisis DNA contoh darah Anwar.
Beliau menyoal: ''Menurut Laporan Majlis Penyelidikan Kebangsaan 1996, prinsip siling tidak digunakan lagi sebaliknya pengiraan harus mengambil kira faktor-faktor populasi kecil dalam kiraan persamaan 4.10a bagi homozygote dan 4.10b untuk hetrozygote. Adakah kamu sedar perkara ini?''
Sebelum menjawab, Lim bertanya peguam bela itu muka surat berapakah yang dirujuknya.
Sulaiman memberitahu bahawa beliau merujuk pada muka surat 114 laporan NRC.
Lim: ''Ya, saya menyedari perkara itu, ia digunakan dengan spesifik kerana orang yang disyaki datangnya daripada kumpulan kecil tersebut.''
Perbicaraan bersambung esok.
-------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 14/01/1999Mahkamah benarkan pertuduhan dipinda
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pendakwa mengemukakan empat pertuduhan rasuah yang dipinda terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan salah laku seks dan meliwat.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, pindaan itu tidak mendatangkan sebarang prasangka pada tertuduh (Anwar).
Beliau kemudian mengarahkan kedua-dua pihak menggulung hujah masing-masing setelah Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa pendakwa secara rasmi menutup kesnya pada perbicaraan yang masuk hari ke-45 hari ini.
Penggulungan hujah bagi menentukan sama ada Anwar akan dipanggil membela diri atas tuduhan yang dihadapinya akan didengar esok.
Ketika empat pertuduhan itu dibacakan, Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menyatakan bahawa beliau faham dan minta dibicarakan.
Dalam pertuduhan asal, Anwar menghadapi empat dakwaan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Menurut keputusan ringkasnya, Hakim Augustine berkata, perkara pertama yang diteliti ialah kemungkinan pindaan tuduhan dibuat pada mana-mana peringkat perbicaraan sehingga penghakiman.
''Permohonan pihak pendakwa boleh dilakukan mengikut undang-undang. Namun, mahkamah yang memutuskan sama ada ia dibenarkan atau tidak,'' kata beliau.
Hakim Augustine: ''Peguam Raja Aziz memberikan alasan utama dalam hujahnya bahawa pindaan yang dicadangkan itu akan mendatangkan prasangka terhadap tertuduh.''
Seterusnya beliau berkata: ''Semasa menghujah mengenai pendapatnya, Raja Aziz merujuk tuduhan-tuduhan asal dengan pertuduhan pindaan itu.''
''Beliau (Raja Aziz) menyatakan bahawa memandangkan tuduhan-tuduhan asal mengaitkan dengan perihal salah laku seks dan meliwat, pendakwaan telah mengemukakan keterangan ke arah itu dan telah menjejaskan bentuk bukti.''
''Apa yang tersirat dalam hujah Raja Aziz ialah keterangan ini tidak relevan terhadap pertuduhan maka pindaannya menimbulkan prasangka.''
''Pada pendapat saya, prasangka tidak boleh dipandang sedemikian di mana keterangan telah dikemukakan dan tuduhan dipinda, kerana mahkamah yang akan memutuskan apakah keterangan tidak relevan yang telah dikemukakan. Oleh itu prasangka tidak wujud.
''Setelah menimbangkan tuduhan-tuduhan asal dan pertuduhan yang dipinda, pada pandangan saya, selain daripada terminologi, tidak ada perubahan substantif dalam pertuduhan yang hendak dipinda.
''Elemen-elemennya masih serupa. Perubahan penting sekiranya ada, merujuk kepada perbuatan perihal salah laku seks dan meliwat. Selepas sejam membaca tuduhan (asal), saya mendapati ia bukanlah suatu elemen yang substantif untuk dibuktikan.''
''Saya memutuskan bahawa pindaan itu tidak mendatangkan sebarang prasangka kepada tertuduh dan saya membenarkannya. Selepas ini, saya minta kedua-dua pihak membentangkan hujah masing-masing berhubung kesan bukti yang telah dikemukakan setakat ini, dan sama ada ia mendatangkan sebarang prasangka kepada tertuduh.''
Hakim Augustine mengarahkan jurubahasa mahkamah, Tuan Kecik Tuan Hussin membaca pertuduhan pindaan itu kepada Anwar.
Sebelum itu, Gani berkata, beliau telah memaklumkan kepada mahkamah semalam bahawa pendakwa ingin memohon untuk mengemukakan pertuduhan-pertuduhan baru dalam kes Anwar.
Hakim Augustine: ''Mana dia?''
Gani: ''Saya juga menyediakan salinan terjemahan bahasa Inggeris.''
Hakim Augustine: ''Adakah peguam bela ingin menyatakan apa-apa mengenai permohonan ini.''
Raja Aziz: ''Kami mengucapkan terima kasih kerana pendakwa raya telah memberikan salinan pertuduhan terlebih dulu. Selepas berbincang, pihak pembela merasakan perlu membantah dengan beberapa alasan.''
Beliau berhujah, sejak mula lagi, pendakwa telah mengemukakan keterangan dalam perbicaraan ini dengan niat membuktikan tertuduh bertanggungjawab atas perbuatan meliwat Azizan.
Menurut Raja Aziz, bantahan bertubi-tubi dibuat terhadap keterangan yang ditimbulkan itu dan juga dakwaan perihal salah laku seks.
''Namun, pendakwa terus menumpukan pada keterangan perihal salah laku seks dan meliwat,'' kata beliau.
Malah semalam, kata Raja Aziz, saksi pendakwa ke-21, ahli kimia forensik, Lim Kong Boon ketika disoal semula berkata, 13 tompokan kesan air mani di atas tilam itu disebabkan aktiviti seksual di antara tertuduh dengan seorang yang dikenal pasti sebagai wanita 2 (DNA contoh darah Shamsidar Taharin).
Raja Aziz berkata, Lim menyatakan pendapatnya selepas memberi keterangan pada pemeriksaan balas peguam bela bahawa beliau tidak mengenali pasti kewujudan kesan air mani itu.
Beliau memberitahu bahawa keterangan Lim dicabar dengan sekeras-kerasnya.
Apabila pertuduhan hendak dipinda, kata Raja Aziz, sambil merujuk perkataan menafikan 'perbuatan' kepada menafikan dakwaan perihal salah laku seks dan meliwat, kini menjejaskan reputasi tertuduh dengan seorang wanita bernama Shamsidar.
Gani menghujah balas bahawa pertuduhan masih kekal di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu).
Beliau berkata, tumpuan pendakwa tidak pernah secara langsung terhadap dakwaan salah laku seks dan meliwat.
Hakim Agustine: ''Bagaimana pula dengan keterangan ahli kimia. Bukankah itu yang difokuskan?''
Gani: ''Biarlah saya jelaskan bahawa terdapat begitu banyak fakta mengenai Azizan. Saksi ini dan Ummi Hafilda Ali telah dipanggil atas perbuatan berhubung perihal salah laku seks dan meliwat kerana mereka yang menulis dokumen P14. Begitu banyak fakta yang harus kami kemukakan.''
Beliau juga membangkitkan pada perbicaraan itu, peguam bela menimbulkan afidavit penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Anees dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja juga sepucuk surat Sukma.
Berhubung dengan keterangan ahli kimia itu, jelas Gani, ia tidak menjejaskan kes pendakwa.
-------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 15/01/1999Keterangan tidak relevan digugur
KUALA LUMPUR 14 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggugurkan bahagian yang tidak relevan daripada keterangan tiga orang saksi dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi empat tuduhan pindaan rasuah menafikan dakwaan perihal salah laku seks dan meliwat.
Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, beliau memutuskan bahagian-bahagian itu terkandung dalam keterangan ahli kimia forensik, Lim Kong Boon; Azizan Abu Bakar dan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zahari Noor yang menyentuh mengenai adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
''Bagi mengelakkan prasangka terhadap tertuduh (Anwar), saya mengarahkan apa jua keterangan yang telah digugurkan daripada rekod ia tidak boleh diambil kira oleh kedua-dua pihak,'' tegas beliau.
Beliau menambah bahawa penggulungan hujah pendakwa dan peguam bela mesti dibuat berdasarkan keputusan itu.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Augustine menyatakan pendapatnya, sama ada benar atau tidak pertuduhan asal yang dihadapi Anwar dengan merujuk perihal salah laku seks dan meliwat.
''Tuduhan pindaan itu tidak menyebutkan demikian tetapi hanya merujuk kepada dakwaan. Dengan ini ia tidak menjadi asas pertuduhan. Oleh itu sebarang keterangan mengenai kebenaran atau tidaknya dianggap tidak relevan,'' jelas beliau.
Hakim Augustine membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam bela dan pendakwa mengenai intipati tuduhan pindaan terhadap Anwar pada perbicaraannya yang masuk hari ke-46 hari ini.
Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela Anwar segera bangun meminta agar Hakim Augustine memberikan beberapa teguran berhubung kesan prasangka atau menyatakan rasa kesal atas peri laku pendakwaan dengan mengemukakan keterangan sedemikian melalui saksi-saksinya.
''Dan mungkin Yang Arif boleh menyatakan bahawa mahkamah berpendapat kenyataan yang dikatakan untuk membuktikan dakwaan-dakwaan itu, tidak boleh diterima,'' kata beliau.
Hakim Augustine: ''Saya sudah katakan bahawa ia tidak boleh dipertimbangkan.''
Raja Aziz: ''Pertuduhan-pertuduhan itu tidak boleh disahkan.''
Hakim Augustine: ''Ini membuatkan saya terpaksa menimbangkan dakwaan. Sebenarnya, saya dihalang melakukannya.''
Raja Aziz: ''Itu halangan yang dibuat sendiri. Apa yang ingin saya katakan bahawa sekurang-kurang menyatakan pandangan mengenai kesan keterangan terhadap tertuduh (Anwar) yang sehingga kini tidak boleh dianggap telah disahkan.''
Peguam bela itu menambah: ''Saya juga ingin menyatakan bahawa keputusan ini banyak memberi kesan mengenai keterangan yang direkodkan dan tidak boleh digunakan. Kami memohon Yang Arif untuk menimbangkan yang mana patut digugurkan sebagaimana mengikut keputusan itu dan ia dikenal pasti, agar kami tahu apa yang hendak buat.''
Hakim Augustine: ''Contohnya, keseluruhan keterangan ahli kimia (saksi pendakwa ke-21), pemeriksaan dan pemeriksaan balas Azizan mengenai kebenaran dakwaannya.''
Raja Aziz: ''Bagaimana dengan saksi pendakwa ke-11 (bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Amir Junus)?''
Hakim Augustine: ''Jika ia berhubung dengan kebenaran atau tidak benarnya dakwaan maka ini digugurkan. Contohnya, kepercayaan beliau pada pegawai-pegawai penyiasatan (SB).''
Raja Aziz: ''Adakah saya difahamkan bahawa pendakwa terdedah dengan dakwaan oleh Ummi Hafilda Ali dan Azizan?''
Hakim Augustine: ''Ya.''
Raja Aziz: ''Mungkin boleh beritahu kami, apakah kesnya yang patut kami jawab. Setakat ini kes pendakwa berkisar mengenai dakwaan dalam dokumen P14, dan dakwaan-dakwaan ini dibuat oleh Ummi dan Azizan...''
Hakim Augustine: ''Jadi kita tidak pergi secara mendalam mengenai benar atau tidak dakwaan tersebut.''
Raja Aziz: ''Ia asas kes ini?''
Hakim Augustine: ''Ya, memang begitu. Mereka (pendakwa) juga harus mengehadkan diri daripada aspek ini.''
Raja Aziz: ''Apa-apa yang berkait dengan perkara kebenaran atau tidak adalah tidak relevan.''
Hakim Augustine: ''Ya. Jika ada berkaitan perkara itu maka saya tahu di mana perlu dihentikan (dimaksudkan apabila pendakwa dan peguam bela menghujah).''
Raja Aziz: ''Yang Arif mesti menyatakan prihatin...''
Hakim Augustine: ''Macam mana saya hendak menyatakan prihatin sedangkan saya belum memikirkan tentang keterangan yang dibentangkan. Bagi membuat keputusan sama ada terdapat sebarang bukti, contohnya, ahli kimia. Apa yang pendakwa hendak katakan?''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memberi reaksinya sambil berkata: ''Saya hanya hendak buat komen. Raja Aziz tidak ada hak untuk meminta mahkamah memberikan kenyataan. Saya merasa kecewa. Raja Aziz tahu bahawa kami akan membentangkan mengenai motif dan kredibiliti. Raja Aziz kini hendak membuat teguran mengenai perilaku pendakwaan. Saya sungguh kecewa.''
Hakim Augustine: ''Ya.''
Raja Aziz: ''Saya meminta Yang Arif menyatakan prihatin mengenai perkara yang tidak menunjukkan keadilan. Saya rasa itulah tujuan kita di sini. Kita di sini untuk mencari keadilan, jika ketidakadilan telah berlaku, ia adalah kewajipan Yang Arif untuk mengambil langkah menyelesaikannya.''
Hakim Augustine: ''Saya hanya boleh menyatakan bahawa keterangan yang dikemukakan mungkin relevan pada masa itu tetapi sekarang ia tidak lagi. Sebab itulah saya arahkan keterangan itu digugurkan. Saya tidak boleh menyatakan apa-apa lagi.''
---------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 15/01/1999Pembela cabar kredibiliti saksi - Pendakwa
KUALA LUMPUR 14 Jan. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pendakwa sedang membuktikan pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh isu sampingan mengenai motifnya dan kredibiliti saksi-saksi.
Beliau berkata, intipati pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 harus dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah.
Gani: ''Perkara yang ingin saya bangkitkan menyentuh kredibiliti saksi-saksi yang telah hebat dicabar.
''Misalnya, Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar. Apakah lagi keterangan yang lebih baik, jika tidak dipanggil ahli kimia (Lim Kong Boon) untuk membantu keterangan atau malah menyokong keterangan berhubung dakwaan perihal salah laku seks dan meliwat?''
Gani berhujah demikian berhubung isu yang relevan dengan intipati empat pertuduhan pindaan yang didakwa dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada perbicaraannya yang masuk hari ke-46 hari ini.
Hakim Datuk S. Augustine Paul sebelum itu mengarahkan pendakwa raya dan peguam bela berhujah mengenai bukti yang relevan dengan dakwaan dalam pertuduhan pindaan itu.
Pertuduhan pindaan itu dibuat ketika pendakwa menutup kesnya semalam selepas memanggil 23 orang saksi.
Sebelum itu peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse berkata, ''Pendakwa harus memulakan dulu. Saya rasa mereka patut menerangkan kepada kami apa yang telah mereka buat dengan pindaan itu.''
Gani: ''Tuduhan adalah di bawah Ordinan 22. Asas intipati ialah amalan rasuah. Ia tidak ada kena mengena, terutamanya kes ini, dengan perilaku seks atau sebagainya. Ini jelas jika dilihat dalam peruntukkan Ordinan 22 itu. Persoalannya mengapakah pendakwa menimbulkan keterangan sehingga begini.''
''Dalam pembentangan kes kami, pendakwa mesti mengemukakan keterangan berkenaan perilaku seks dan meliwat. Ini kerana keseluruhan kes ini timbul daripada dakwaan yang dibuat oleh Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar seperti yang terkandung dalam dokumen P14(a),(b) dan (c).''
Gani: ''Pendakwa menyatakan bahawa motif dibuktikan melalui keterangan terutamanya ahli kimia.
''Ini merupakan motif mengapa tertuduh mengarahkan dua pegawai kanan (Datuk Mohd. Said Awang dan Datuk Amir Junus) mendapatkan surat-surat bertarikh 18 Ogos dan 29 Ogos 1997.''
''Ini kerana P14 (dokumen mengenai dakwaan perihal salah laku Anwar) yang menyebabkan tertuduh mengarahkan pegawai-pegawai kanan polis tersebut,'' kata Gani.
Raja Aziz menghujah balas bahawa bukti bagi perihal salah laku seks adalah relevan untuk dibuktikan di bawah kesalahan Seksyen 2, Ordinan itu. Beliau berkata, ia relevan dengan apa sahaja yang pendakwa fikirkan.
Hakim Augustine: ''Keterangan DNA adakah relevan?''
Raja Aziz: ''Ya.''
Hakim Augustine: ''Ini adalah bertentangan dengan apa yang telah kamu katakan semalam.''
Raja Aziz: ''Tentang apa?''
Hakim Augustine: ''Jika kamu menyatakan ia relevan, jadi di manakah bantahan prasangka itu?''
Raja Aziz: ''Kami mengatakan sekarang bahawa ia relevan berdasarkan keterangan ahli kimia, mereka (pendakwa) patut kekal dengan perkara itu.''
Hakim Augustine: ''Tidak, tidak, ini berhubung pertuduhan pindaan. Pindaan tuduhan tidak mengubah keterangan yang relevan, adakah ini yang kamu ingin katakan.''
Raja Aziz: ''Ya. Mungkin perkara ini nampak jelas apabila Yang Arif meneliti pada pertuduhan pindaan yang kedua dan keempat itu.''
Peguam bela itu membaca dua pertuduhan itu lalu menerangkan: ''Sekarang bagaimana seseorang melindungi dirinya daripada tindakan jenayah jika dakwaan tidak benar.''
Raja Aziz menghujah bahawa jika dilihat pada pertuduhan pindaan yang pertama dan ketiga pula, pendakwa menyebut 'bagi menyelamatkan diri kamu daripada keaiban.''
''Pindaan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan,'' hujah beliau.
Bagi persoalan motif pula, Raja Aziz berkata, apa yang beliau fahamkan ialah jika ada apa-apa motif tertuduh, ia tidak dibuktikan melalui tilam. Dan tilam itu menjadi bukti bahawa beliau melakukan sesuatu untuk melindungi dirinya.
''Mereka (pendakwa) mesti menunjukkan bahawa tertuduh melakukan sesuatu untuk mendedahkan motifnya,'' kata Raja Aziz.
Raja Aziz menghujah lagi bahawa dalam kes ini, motif bukanlah bahagian intipati dan ia tidak sama sekali relevan.
----------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 15/01/1999Perbicaraan kes Anwar ditangguh 26 Januari
KUALA LUMPUR 14 Jan. - Perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditangguhkan sehingga 26 Januari ini untuk membolehkan peguam bela menyediakan sepenuhnya hujah penggulungan bagi empat tuduhan pindaan rasuah menafikan dakwaan perihal salah laku seks dan meliwat.
Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, beliau berada dalam keadaan yang sangat sukar untuk meluluskan permohonan peguam Raja Aziz Addruse yang memerlukan masa bagi menyediakan penghujahan.
Namun, katanya, demi keadilan ia tidak boleh dilengah-lengahkan dan sebaliknya ia juga tidak boleh dijalankan secara tergesa-gesa.
''Oleh itu, saya mesti memberikan keseimbangan bagi kedua-dua belah pihak. Tambahan pula kesukaran ini disebabkan tuduhan pindaan dibuat pada peringkat yang lambat, dan saya juga harus mengaku ini berlaku kerana keputusan yang saya buat pagi ini.
''Saya dengan berat hati membenarkan penangguhan ini. Masalahnya ialah menetapkan tarikh untuk menyambung perbicaraan memandangkan cuti beberapa hari sempena Hari Raya, '' kata Hakim Augustine.
Ketika memohon penangguhan, Raja Aziz memberitahu bahawa setelah beliau menimbangkan keputusan mahkamah pagi ini yang menyatakan kebenaran mengenai dakwaan salah laku seks dan meliwat tidak lagi menjadi isu dalam pertuduhan pindaan maka pihaknya tidak boleh mengubah serta-merta penghujahan yang sudah disediakan.
''Kami perlu meneliti semula tuduhan pindaan dengan merujuk kepada peruntukkan Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 dan keterangan yang telah dicatatkan dalam nota-nota kami,'' kata beliau.
Hakim: ''Tidak bolehkah bentangkan sebahagian hujahnya.
Raja Aziz: ''Ia tidak mungkin hujah yang berkesan jika kami beri sebahagian demi sebahagian.''
Hakim Augustine: ''Tetapi sebahagian besar isunya sama dengan pertuduhan asal, bukankah begitu?''
Raja Aziz: ''Kami harus menimbangkan isu ini dengan hati-hati sekali kerana hasil penghujahan kami boleh mendatangkan kemungkinan yang serius kepada tertuduh (Anwar), jika kami tidak meneliti perkara ini dengan menyeluruh dan hanya mengambil sebahagian sahaja.''
0 comments: on "PENDAKWAAN - 7"
Post a Comment