Anwar bagaikan beri ucapan politik
KUALA LUMPUR 14 April - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini seolah-olah menyampaikan ceramah politik apabila dia membuat kenyataan sendiri di Mahkamah Tinggi di sini sebelum hukuman dijatuhkan ke atasnya kerana didapati bersalah atas empat tuduhan pindaan rasuah.
Anwar dengan suara agak keras meminta supaya Hakim Datuk S. Augustine Paul memberikan peluang kepadanya untuk membuat kenyataan sendiri.
Semasa sidang diteruskan pada pukul 9.48 pagi ini selepas rehat 10 minit, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela memaklumkan bahawa Anwar menyatakan dia ingin membuat kenyataan sendiri kepada Hakim Augustine.
Raja Aziz: ''Bolehkah saya memohon izin Yang Arif untuk membenarkannya?''
Hakim Augustine: ''Oleh kerana dia (Anwar) diwakili oleh peguam bela saya tidak izinkan.''
Anwar yang berada di kandang tertuduh lalu bangun berkata: ''Yang Arif, beri peluang saya beberapa minit untuk bercakap.''
Pada masa itu juga, peguam Karpal Singh yang hadir untuk mewakili salah seorang peguam bela Anwar, Christopher Fernando berhubung satu isu yang lain turut mencelah: ''Ada amalan bahawa seseorang tertuduh dibenarkan bercakap sebelum hukuman dikenakan ke atasnya.''
Hakim Augustine: ''Saya sudah jelaskan perkara ini kepada Raja Aziz.''
Raja Aziz menjawab: ''Saya ingin menanyakan bagi pihak tertuduh, adakah Yang Arif membenarkan dia membuat kenyataan?''
Anwar: ''Saya sendiri tidak nampak apa-apa yang tidak betul. Benarkan saya berbincang dengan peguam bela saya seperti Yang Arif inginkan.''
Hakim Augustine: ''Saya tetap dengan keputusan yang sudah dibuat.''
Anwar: ''Saya bincang dengan peguam bela hanya untuk lima minit.''
Hakim Augustine: ''Memandangkan Datuk Seri mahu lima minit, saya benarkan.''
Raja Aziz: ''Dia beritahu ingin buat kenyataan.''
Hakim Augustine: ''Tidak, saya mahu lima minit sahaja.''
Ketika itu, pukul 9.53 pagi, seorang pembantu mahkamah meletakkan alat pembesar suara dekat dengan Anwar.
Sambil memegang satu kenyataan bertulis, Anwar berkata: ''Yang Arif, lebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih ...''
Hakim Augustine: ''Ini bertulis!''
Tanpa menghiraukan komen Hakim Augustine, Anwar meneruskan: ''Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih kepada para peguam bela saya yang mengendalikan pembelaan dengan begitu gigih dan bersemangat. Mereka sungguh mengkagumkan.''
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mewakili pasukan pendakwaan bangun membantah.
Anwar: ''Dengar dulu sekejap! Peguam Negara seharusnya menunjukkan sikap yang baik.''
Mohtar: ''Ini bukannya pentas politik.''
Hakim Augustine: ''Bolehkah saya berkata sesuatu dulu.''
Karpal: ''Dia ada haknya.''
Hakim Augustine: ''Raja Aziz, saya ingin dengar perkara ini daripada kamu. Mengikut undang-undang, peguam bela utama sahaja yang harus mengendalikannya.''
Raja Aziz: ''Dia hanya ingin menyatakan perasaannya.''
Hakim Augustine: ''Tetapi jika ia pergi melampaui rayuan untuk meringankan hukuman maka saya terpaksa menarik balik keistimewaan yang telah diberikan.''
Raja Aziz: ''Ini bukan caranya, Yang Arif.''
Hakim Augustine: ''Sebab itulah kita mempunyai peguam bela.''
Anwar terus membaca kenyataannya: ''Saya tidak menaruh harapan dengan keadilan. Tuduhan-tuduhan adalah sebahagian konspirasi politik untuk memusnahkan saya dan memastikan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkuasa dengan apa cara sekali pun. 'You resign or I charge you'...''
Hakim Augustine dengan nada meninggi: ''Raja Aziz, hentikan.''
Anwar tidak menghiraukan teguran.
Hakim Augustine: ''Tolong patuh dengan apa yang dibenarkan.''
Pada satu peringkat pula, Mohtar membantah keras apabila Anwar mengatakan Peguam Negara mengambil sikap membisu mengenai komen-komen yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai perbicaraannya yang dianggap boleh dikenakan tindakan mahkamah.
Raja Aziz menghampiri Anwar dan dilihat berbisik sesuatu.
Anwar: ''O.K! Saya dapat nasihat daripada peguam bela.''
Hakim Augustine: ''Beliau seorang peguam bela yang baik, tolong teruskan.''
Anwar: ''Tuduhan rasuah terhadap saya bukanlah keuntungan kewangan tetapi penyalahgunaan kuasa. Dan semasa saya dituduh rasuah, Peguam Negara tidak ada apa-apa bukti malah beliau tidak pun cuba untuk membuktikan bahawa saya menggunakan kedudukan untuk memperkayakan diri dan keluarga. Tetapi saya ada bukti tentang Mirzan Mahathir...''
Hakim Augustine: ''Kamu telah melangkah keluar daripada sempadan yang dibenarkan. Ini bukan caranya untuk memohon meringankan hukuman. Nyatakan apa peranan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.''
Anwar: ''Ya, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya telah memerangi rasuah. Saya berusaha sedaya upaya. Saya menjadi mangsa untuk menyakinkan rakyat betapa mendesaknya reformasi. Perkara itu saya sebutkan dalam buku Asian Renaissance. Saya boleh berikan satu salinan.''
Suasana mahkamah pada peringkat itu kedengaran bising dengan gelak ketawa di bahagian galeri awam.
Anwar: ''Saya dibesarkan dengan pengajaran bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Saya ingin menambah, hakim mati meninggalkan apa? Tidak ada apa yang lain hanya penghakimannya. Jika penghakimannya itu adil maka seseorang hakim itu dikenang selamanya. Sebaliknya penghakimannya yang tidak adil ia meninggalkan kenangan buruk sehingga keturunannya.
''Perbicaraan ini adalah perbicaraan politik. Terlalu banyak gurau senda - perbicaraan yang tidak relevan.''
Anwar mengakhiri dengan kata-kata: ''Fajar telah menyinsing di Malaysia. Marilah kita membersihkan negara yang tercinta daripada perbuatan kotor dan rasuah yang didalangi oleh orang-orang yang berkonspirasi. Marilah kita membina semula masa depan Malaysia untuk anak-anak kita.''
''Saya akan memberikan satu salinan kenyataan (bahasa Melayu),'' kata Anwar.
Ketika Mohtar menghujah balas, seorang daripada anggota keluarga Anwar mengedarkan kenyataan itu yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris kepada para wartawan yang duduk di galeri awam.
Mohtar: ''Yang Arif telah mendengar apa yang dikatakan reaksi tertuduh. Saya dengan rendah diri menghujah bahawa ini bukanlah rayuan hendak meringankan hukuman tetapi menyalahguna mahkamah untuk mengalihkan pandangan rasuah kepada pandangan politik tertuduh di mahkamah. Ini adalah mahkamah undang-undang dan bukannya forum politik.
''Tengoklah sekarang pun, sambil saya bercakap dia mencelah-celah membuat komennya. Dan inilah sikap tertuduh sepanjang perbicaraannya.
Dalam hujahnya, Mohtar memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang berat memandangkan Anwar menyalah guna kuasanya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.
Mohtar: ''Keterangan menunjukkan tertuduh menggunakan Cawangan Khas untuk menghalang keadilan dengan cuba menutup penyiasatan berhubung perihal salah laku seksualnya.''
Sambil itu, Mohtar merujukkan satu kes dari Brunei membabitkan seorang pegawai polis dengan membuat kiasan: ''Harapkan pagar, pagar makan padi.''
Di peringkat itu, kedengaran, ''...Ooooh!'' di bahagian bangku keluarga Anwar.
Mohtar terus mengukirkan kata-katanya: ''Harapkan pagar, pagar memusnahkan padi.''
Oleh itu, ujar beliau, mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat ke atas Anwar.
ARKIB : 15/04/1999
Garis perundangan diambil kira
KUALA LUMPUR 14 April - Perbicaraan empat tuduhan rasuah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berakhir hari ini apabila Mahkamah Tinggi memutuskan dia bersalah dan dihukum penjara enam tahun.
Selepas 77 hari mendengar keterangan para saksi dan hujah pendakwaraya dan peguambela, Hakim Datuk S. Augustine akhirnya merumuskan keputusan beliau hari ini dalam satu penghakiman yang panjang lebar setebal 391 muka surat.
Dalam penghakimannya, Hakim Augustine menggariskan dengan terperinci setiap aspek perundangan yang telah diberi pertimbangan terutamanya berhubung:
* hujah kedua-dua belah pihak pendakwa dan peguambela;
* perkara-perkara yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa;
* pengguguran sesetengah keterangan;
* penggulungan hujah kedua-dua pihak;
* prinsip yang merangkumi tata kelakuan pihak pembela;
* kewibawaan saksi-saksi pendakwa dan
* sama ada pendakwa telah membuktikan kesnya terhadap tertuduh melampaui keraguan yang munasabah.
Menurut Hakim Augustine, keputusannya berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tersebut telah ''meleburkan'' pembelaan Anwar mengenai konspirasi polis yang sering timbul semasa perbicaraan.
''Walaupun hakikatnya dakwaan pihak pembelaan ini diteruskan dengan penuh tabah, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa keterangan pihak pendakwaan telah dipalsukan hasil daripada konspirasi yang sedemikian,'' katanya.
Beliau berkata tiada saranan dibuat kepada saksi-saksi polis semasa pemeriksaan balas dijalankan terhadap mereka atau pun semasa bekas pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang dan timbalannya Datuk Amir Junus dipanggil semula oleh pihak pembela untuk memberikan mereka peluang menjelaskan sama ada mereka telah memalsukan keterangan terhadap Anwar mengenai konspirasi polis itu.
''Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan yang diperolehi, saya berpuas hati bahawa berdasarkan kebanyakan percanggahan dan keterangan pihak pembela yang tidak konsisten bukan sahaja oleh tertuduh sendiri tetapi juga oleh saksi-saksinya, pihak pembela sudah tiada lagi pegangan.
''Seterusnya pihak pembela telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah kepada kebenaran kes pendakwaan atau kepada kesalahan tertuduh,'' katanya.
Hakim Augustine berkata, Anwar menganggap adanya konspirasi terhadapnya dengan berkata bahawa sikap polis terhadapnya berubah pada 1998 berbanding pada 1997.
''Keputusan yang saya buat menunjukkan mengapa adanya perubahan itu. Oleh itu cerita mengenai dakwaan konspirasi polis itu terhapus sebelum ia dapat bertapak,'' katanya.
Hakim Augustine berkata, penerimaannya terhadap pandangan pembelaan bahawa Mohd Said dan Amir merupakan rakan subahat Anwar tanpa ragu-ragu lagi menunjukkan bahawa Anwar adalah orang yang membawa mereka ke dalam satu konspirasi bagi menutup dakwaan yang dibuat terhadapnya demi menyelamatkan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dakwaan itu dapat diselindungkan sejak Ogos 1997 hingga Jun 1998 apabila Anwar menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadap sebuah buku bertajuk '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM','' kata beliau.
Oleh itu, katanya, apa yang diselindungkan oleh Anwar telah didedahkan oleh tertuduh sendiri apabila beliau meminta setiausaha sulitnya pada ketika itu, Mohamed Azmin Ali, membuat laporan polis mengenai buku itu.
Hakim Augustine berkata, tindakan tersebut mendedahkan kebenaran kerana sehingga ketika itu, semua pihak yang berkenaan termasuk Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara percaya bahawa dakwaan seksual terhadap Anwar telah ditarik balik mengikut undang-undang dan secara sukarela.
''Berikutan kepercayaan inilah yang menyebabkan Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyebut bahawa dakwaan terhadap tertuduh adalah tidak berasas,'' katanya.
Menurutnya jika tidak kerana laporan polis yang dibuat ke atas buku itu, mereka dan rakyat Malaysia akan terus mempercayai perkara itu.
''Hakikat yang harus dihadapi sekarang ialah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tidak boleh, dalam apa cara pun, dijadikan kayu pengukur perdebatan memandangkan tertuduh telah diisytiharkan tidak bersalah pada 1997 dan perubahan sikap terhadap Anwar pada 1998 adalah berikutan konspirasi dan pemalsuan keterangan oleh tertuduh sendiri.
''Perubahan sikap itu berlaku lewat hanya kerana kebenaran telah diselindungkan sebelum itu,'' katanya.
Berkaitan dengan kewibawaan saksi-saksi pihak pendakwaan, Hakim Augustine berkata, cabaran yang dikemukakan oleh pihak pembela terhadap kewibawaan Mohd. Said adalah tidak berasas.
''Versi beliau mengenai rentetan kejadian adalah konsisten dan menepati keterangan-keterangan lain yang diperolehi,'' katanya.
Beliau berkata, Mohd. Said dapat bertahan dengan pemeriksaan balas yang panjang dan bertenaga walaupun ''saya sedar bahawa hakikatnya seseorang itu tidak gentar dalam pemeriksaan balas bukannya satu ujian asid mengenai kewibawaannya.''
''Dalam suasana kes ini dan dengan perangai dan tingkah lakunya dalam memberikan keterangan, saya putuskan bahawa beliau adalah saksi yang berwibawa,'' kata Hakim Augustine.
Mengenai keterangan Amir, Hakim Augustine berkata, penelitiannya terhadap keterangan beliau tidak menunjukkan sebarang bahan yang ditokok tambah, diperbesar-besarkan atau bercanggah.
Beliau berkata, pihak pembela berpendapat Amir cuba mendapatkan kekayaan menerusi Anwar dan mungkin memikirkan bahawa ia adalah peluang keemasan untuk menghasilkan banyak wang tetapi tiada keterangan yang menunjukkan pegawai polis itu berhasrat meraih kekayaan daripada hubungannya dengan Anwar.
Hakim Augustine berkata, keterangan Amir menunjukkan beliau berhasrat memasuki dunia perniagaan apabila bersara kelak yang dengan tujuan itu beliau memperkenalkan seorang teman kepada Anwar.
Amir menafikan beliau menyimpan dendam terhadap Anwar dan ini menyebabkannya memperbesar-besarkan dan menokok tambah keterangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
''Saya tidak dapat menerima hujah ini kerana jika Datuk Amir berasa kecewa dengan tertuduh, beliau akan membuat laporan terhadapnya sejak dahulu lagi,'' katanya.
Beliau berkata, Amir tidak membuat apa-apa berhubung perkara itu sehingga polis memulakan penyiasatan mengenai perkara itu selepas laporan mengenai buku itu dibuat.
Kepada perkara lain, Hakim Augustine berkata, walaupun Anwar telah berusaha menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa ke atas polis untuk mengarahkan mereka mendapatkan surat penarikan balik dakwaan itu, hakikatnya bahawa beliau boleh meminta Mohd Said dan Amir pergi ke kediaman rasminya menunjukkan perkara yang sebaliknya.
Oleh: FARIDAH HASHIM
---------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 15/04/1999Anwar dihukum penjara 6 tahun -- Bersalah terhadap empat tuduhan rasuah kerana menyalah guna kuasa
KUALA LUMPUR 14 April - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah atas empat tuduhan pindaan rasuah kerana menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.
Hakim Datuk S. Augustine Paul menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap tuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Hakim Augustine berkata, pendakwa dapat membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah, dan kesudahannya Anwar didapati bersalah sebagaimana tuduhan yang dihadapinya.
Keputusan itu diumumkan kira-kira pukul 10.45 pagi ini, setelah Anwar membaca sendiri satu kenyataan bertulis lima muka surat dalam bahasa Melayu untuk dipertimbangkan bagi meringankan hukuman.
Anwar juga gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan ikat jamin, sementara menunggu rayuan.
Menurut Hakim Augustine, kesalahan yang dilakukan oleh Anwar adalah serius dan undang-undang yang berkaitan telah diluluskan untuk mencegah ahli politik dan pegawai awam daripada menyalahgunakan kuasa mereka.
Beliau merujuk satu kes membabitkan seorang pegawai rendah dihukum penjara dua tahun kerana menyalahgunakan kuasa.
''Saya teringatkan kes Pendakwa Raya melawan Nunis, memandangkan Anwar adalah kapten politik Malaysia dan orang nombor dua di negara ini, saya menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas setiap empat kesalahan kamu,'' kata Hakim Augustine.
Sebaik sahaja mendengar hukuman itu, Anwar yang berada di kandang tertuduh bangun bertanya: ''Enam tahun atau 16 tahun?''
Hakim Augustine: ''16 tahun adalah salah di sisi undang-undang kerana hukuman maksimum 14 tahun.''
Di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 itu, sekiranya terbukti, hukuman maksimum penjara adalah 14 tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000.
Sebaik sahaja Hakim Augustine mengumumkan Anwar didapati bersalah di atas empat tuduhan terbabit, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan sembilan peguam bela, meminta penangguhan selama 10 minit untuk berbincang dengan Anwar sebelum hukuman dijatuhkan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mewakili pasukan pendakwaan tidak membantah permintaan Raja Aziz itu.
Hakim Augustine membaca secara ringkas penghakiman bertulis setebal 391 muka surat pada pukul 9.23 pagi pada penghujung perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-78 hari ini.
''Setelah menimbangkan dengan amat teliti, maka kini tibalah peringkat penghakiman perbicaraan ini,'' kata beliau.
Hakim Augustine berkata, pada dasarnya, beliau membaca semua pertuduhan dan dalam penghakiman itu menjelaskan mengapa beliau meminda tuduhan terhadap Anwar.
''Saya juga jelaskan dalam penghakiman mengapa saya membuat pindaan dan mengapa saya menggugurkan sesetengah keterangan dan ini saya berikan garis kasarnya kepada pihak berkenaan,'' kata beliau.
Beliau berkata, persoalan yang ditimbulkan terhadap bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang sama ada beliau bersubahat dengan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus, juga diteliti.
Hakim Augustine: ''Saya meneliti keterangan pembelaan dan menjelaskan mengapa saya mengetepikan konspirasi politik, butiran keterangan mengenai pita rakaman, keterangan dalam profesion guaman dan menilai laporan-laporan akhbar.
''Saya menilai laporan kedua (laporan yang didakwa mengandungi nama tokoh-tokoh politik yang ingin menjatuhkan Anwar) sebagai keterangan dengar cakap.
''Saya juga membincangkan tentang prinsip yang dikendalikan oleh pembelaan yang mempertikaikan kredibiliti saksi-saksi pendakwa.
''Perkara yang utama adalah sama ada pendakwa membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.
''Ini adalah pertimbangan pendapat saya selepas meneliti dengan cermat undang-undang dan fakta asas keseluruhannya bahawa pendakwa membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.''
Pada peringkat ini, kedengaran bunyi ''Ooooh'' dari bahagian bangku yang diduduki oleh keluarga Anwar.
Bagaimanapun sebelum hukuman diputuskan Hakim Augustine mengarahkan Raja Aziz sebagai peguam bela utama mewakili Anwar untuk mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan.
Selepas sesi mahkamah, Anwar ditanya oleh wartawan tentang perasaannya.
''Saya tidak terkejut, anda terkejut?,'' kata Anwar.
Dr. Wan Azizah pula didengar berkata: ''Ya Tuhanku'' apabila mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas suaminya.
Anwar sempat memeluk Dr. Wan Azizah dan empat orang anaknya sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh pada tengah hari.
Dia dijangka dipindahkan ke Penjara Kajang untuk memulakan hukumannya.
Saudara mara Anwar yang berbual dengan wartawan juga mengatakan mereka telah bersedia untuk menerima apa sahaja kemungkinan dalam keputusan kes hari ini.
Suasana di galeri awam penuh sesak termasuk di bahagian bangku keluarga Anwar.
Sebanyak 23 wartawan tempatan dan 21 wartawan asing serta diplomat yang hadir sebagai pemerhati, memenuhi ruang yang terhad di galeri awam.
Empat bangku khas disediakan untuk isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah, anak-anaknya dan saudara mara serta beberapa orang sahabat handainya.
Hanya 20 orang awam yang bernasib baik dapat masuk mengikuti keputusan kes itu, setelah beratur panjang sejak awal pagi.
Beberapa wartawan media tempatan juga hampa untuk membuat liputan keputusan hari ini apabila bilangan wartawan asing mendahului satu barisan masuk ke dalam mahkamah.
Oleh: KAMARIAH AHMAD
0 comments: on "KEPUTUSAN KES"
Post a Comment