untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Sunday, July 20, 2008

PENDAKWAAN - 6

ARKIB : 16/12/1998

Tilam dikemukakan di mahkamah

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Sebuah tilam yang mempunyai kesan tompokan yang disyaki kesan air mani dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai salah satu bahan bukti pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tilam tersebut dan juga sebiji bantal dirampas di sebuah apartmen Tivoli Villa, Bangsar yang didakwa menjadi tempat Anwar mengadakan perhubungan seks dengan isteri orang.

Dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) mengambil bahan bukti itu pada 10 Julai tahun ini berhubung penyiasatan kandungan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC)1, Musa Hassan sebagai saksi ke-13 kes itu semalam memberitahu bahawa tilam dan bantal yang disyaki mempunyai kesan air mani itu telah dihantar untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia pada 5 November lalu.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraannya masuk hari ke-26 hari ini.

Sebagaimana yang dijanjikan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bahawa pihak pendakwa ingin mengemukakan bahan buktinya hari ini.

Tilam yang berukuran queen size dibawa dengan trak polis ke mahkamah pada pukul 8.30 pagi ini.

Sejurus sahaja Musa membukakan bungkusan tilam itu para hadirin di galeri awam kedengaran tergelak dan ada yang terjengah-jengah untuk melihat dari jauh.

Tilam tersebut disandarkan di dinding bahagian depan sebelah kiri yang jaraknya tidak jauh dari Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Apabila sidang bermula pukul 9.20 pagi ini, Hakim Augustine menanyakan kepada Azahar: ''Tilam kamu sudah ada di sini untuk dikemukakan?''

Azahar:''Saya sedang menunggu bantal.'' Hadirin tergelak.

Hakim Augustine: ''Bilakah bantal kamu sampai?''

Azahar menjawab, seberapa cepat yang mungkin. Beliau kemudian memaklumkan Hakim Augustine untuk merujuk kepada Musa satu bungkusan tilam.

Azahar: ''Apa yang tercatat atas bungkusan ini?''

Musa: ''Tulisan yang tercatat di atas bungkusan tilam adalah laporan polis Dang Wangi 14140/98.''

Azahar: ''Selain daripada itu adakah tercatat huruf E?''

Musa: ''Ia ada juga tercatat huruf E.''

Azahar: ''Di atas bungkusan ini ada juga tercatat kertas putih. Kalau tak nampak minta izin lihat lebih dekat.''

Musa: ''Saya minta izin untuk melihat tilam tersebut. (Beliau lalu bangun berjalan ke tempat tilam itu). Yang Arif, pada kertas putih atas bungkusan tercatat (PJFOR 44997/98-2) yang dibuat oleh ahli kimia.''

Saksi itu juga memberitahu bahawa pegawai yang menulis laporan Dang Wangi 14149/98 dan huruf bertanda E pada bungkusan tersebut adalah ASP Mohd. Rodwan.

Azahar: ''Bungkusan di hadapan kamu ini masih lagi di'seal' (dimeteri)?''

Musa: ''Bungkusan ini masih dimeteri PDRM.''

Azahar: ''Cuba tengok.''

Musa: ''Maaf, Yang Arif. (Beliau bangun meneliti cap di bungkusan)... dimeteri dengan Jabatan Kimia No. 1.''

Azahar: ''Dan bungkusan ini diikat dengan tali putih?''

Musa: ''Ya, ia diikat dengan tali putih.''

Azahar: ''Adakah cap meteri itu masih terdapat pada bungkusan itu?''

Musa: ''Benar, cap meteri itu masih ada di atas bungkusan itu.''

Azahar: ''Saya memohon saksi ini buka bungkusan. (sambil meminta Musa bangun), jangan gunting atas cap meteri itu.''

Pandangan para hadirin di mahkamah semuanya tertumpu ke arah Musa yang sedang membukakan bungkusan tilam.

Pada ketika itu juga, Anwar dilihat menoleh-noleh ke belakang dengan senyuman ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah serta saudara maranya yang duduk di galeri awam.

Azahar kemudian memberitahu Hakim Augustine bahawa kertas bungkusan tilam itu yang berwarna coklat ditandakan sebagai dokumen P59 untuk kes pendakwa.

Beliau lalu meneruskan soalan: ''Encik Musa, beritahu Yang Arif, inikah tilam yang ditunjukkan oleh ASP Rodwan pada 10 Julai tahun lalu?''

Musa; ''Benar, inilah tilam yang ditunjukkan oleh ASP Rodwan pada hari tersebut.''

Azahar: ''Apakah brand atau jenama tilam ini?''

Musa: ''Jenama tilam ini, Orthoflex Classic.''

Azahar: ''Dan tilam inilah yang kamu beritahu mahkamah bahawa kamu simpan dalam bilik dan dikunci?''

Musa: ''Benar, Yang Arif, tilam inilah yang saya simpan di dalam sebuah bilik yang saya kunci berdekatan dengan pejabat saya.''

Azahar: ''Bolehkah Yang Arif, tilam ini ditandakan P60. Kamu lihat P60 ini, ya, sekarang adakah kesan lubang?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, ada kesan carikan - dipotong.''

Azahar: ''Ada kain pembalut tilam?''

Musa: ''Ya, ada kain pada pembalut tilam.''

Azahar: ''Di atas tilam itu ada ditulis catatan, cuba kamu tengok apa yang ditulis. Apa yang kamu nampak?''

Musa: ''Pada tilam tersebut ada catatan huruf dan nombor.''

Azahar: ''Huruf dan nombor apakah itu?''

Musa: ''Yang Arif, huruf dan nombor yang dicatat ialah E1 hingga E13.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, pada masa kamu melihatnya pada 10 Julai terdapat kesan-kesan potongan dan juga huruf E1 hingga E13?''

Musa: ''Semasa saya mula-mula melihat tilam ini pada 10 Julai, Yang Arif, tidak ada kesan potongan atau huruf yang dicatat pada tilam tersebut.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, sama ada kamu tahu atau tidak siapa yang membuat potongan dan catatan E1 hingga E13?''

Musa: ''Pegawai yang membuat potongan dan juga huruf pada tilam tersebut adalah pegawai kimia, Yang Arif.''

Azahar: ''Kamu tahu siapa ahli kimia itu?''

Musa: ''Ahli kimia tersebut bernama Lim Kong Boon.''

Azahar: ''Kamu telah beritahu Yang Arif, kelmarin semasa kamu lihat P60 (tilam) ini, kamu nampak kesan yang kamu syaki sebagai ''seminal stain'' (kesan air mani).''

Musa: '' Benar, semasa saya melihat tilam ini pada 10 Julai ada nampak tompokan yang saya syaki sebagai seminal stain. '' (saksi ini menggunakan perkataan Inggeris, seminal stain iaitu, kesan air mani dan keterangan semalam, beliau menyebut terdapat ''patches seminal fluid.'')

Azahar: ''Di manakah di atas P60 ini kamu nampak tompokan itu pada 10 Julai?''

Musa: ''Tompokan yang saya nampak pada 10 Julai adalah pada tempat sekarang yang telah dipotong, Yang Arif.''

Azahar: ''Itu sahaja soalan untuk P60, Yang Arif, bantal belum tiba. Bantal tidak ada kesan tompokan.''

Hakim Augustine: ''Tidak mengapalah jika ia relevan maka boleh ditanda P60.''

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Anwar setuju uji HIV -- Contoh darah untuk DNA tidak dibenarkan - Musa


TILAM yang dirampas oleh polis dari Tivoli Villa dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan Anwar Ibrahim ditangguhkan semalam.


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya membenarkan contoh darahnya diambil untuk ujian HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan bukan bagi ujian DNA (deoxyribonucleic acid).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga melalui para peguamnya enggan membenarkan pemeriksaan dilakukan terhadap bahagian sulitnya serta mengambil gambar-gambar.

Saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan berkata, contoh darah diambil daripada tertuduh hanya sekali pada 28 September lalu untuk ujian HIV.

Bagaimanapun, kata Musa, setelah dimaklumkan oleh pakar forensik bahawa contoh darah itu telah dicampur bahan pemangkin, pihaknya cuba mendapatkan contoh darah yang baru bagi ujian DNA tetapi tidak dipersetujui oleh Anwar.

''Tertuduh melalui para peguamnya tetap enggan memberi kebenaran walaupun permintaan untuk mendapatkan contoh darahnya sekali lagi dibuat secara bertulis berulang kali.

''Sehingga 23 Oktober lalu, peguam tertuduh, Raja Aziz Addruse masih membantah permintaan kami untuk mendapatkan contoh darah daripada Anwar,'' jawab Musa ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Christopher Fernando.

Perbicaraan kes Anwar, 51, masuk hari ke-27 hari ini dengan pihak pembela menyambung sesi soal balas terhadap Musa di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Anwar kini menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Isu mengenai keengganan Anwar membenarkan contoh darahnya diambil bagi ujian DNA timbul selepas Fernando mempersoalkan mengapa pihak polis menyimpan tilam dan bantal yang dijadikan bahan bukti, selama hampir empat bulan sebelum ia dihantar untuk dianalisis oleh ahli kimia.

Fernando: ''Tilam (P60) dan bantal ini diambil oleh pihak polis pada 10 Julai 1998?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Kenapa ia disimpan hampir empat bulan sebelum dihantar kepada ahli kimia?''

Musa: ''Saya simpan lebih kurang empat bulan kerana ingin mendapatkan contoh darah daripada tertuduh,''

Fernando: ''Bila kamu mendapatkan contoh darah daripada tertuduh?''

Musa: ''Hanya diperoleh pada 28 September 1998.''

Fernando: ''Kenapa kamu masih menyimpan kedua-dua bahan bukti itu sehingga 5 November 1998?''

Musa: ''Selepas dapat contoh darah tertuduh, saya telah meminta pakar forensik memberikan contoh darah itu kepada saya untuk ujian DNA tetapi ia tidak diberikan atas alasan contoh darah itu telah dicampur dengan bahan pemangkin dan tidak boleh digunakan untuk ujian DNA.''

Fernando: ''Bagaimana kamu mengetahui bahawa contoh darah itu mengandungi bahan pemangkin?''

Musa: ''Pakar forensik yang memberitahu saya.''

Fernando: ''Jadi, contoh darah itu tidak dihantar untuk dianalisa?''

Musa: ''Contoh darah yang sama telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.''

Fernando: ''Untuk ujian DNA?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Apa terjadi dengan contoh darah itu?''

Musa: ''Diuji oleh ahli kimia.''

Fernando: ''Kamu ada keputusannya?''

Musa: ''Saya diberitahu keputusan ujian tersebut.''

Fernando: ''Kamu ada laporan ujian itu?''

Musa: ''Saya belum terima.''

Fernando: ''Siapa yang menjalankan ujian itu?''

Musa: ''Encik Lim Kim Boon.''

Fernando: ''Berapa kali contoh darah diambil daripada tertuduh?''

Musa: ''Hanya pada 28 September 1998.''

Fernando: ''Sekali sahaja?''

Musa: ''Ya.''

Fernando: ''Di mana contoh darah tertuduh diambil?''

Musa: ''Di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''

Fernando: ''Contoh darah itu diambil untuk ujian HIV?''

Musa: ''Benar, untuk ujian HIV sahaja.''

Fernando: ''Adakah ujian itu dilakukan di bawah peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952?''

Musa ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Tetapi adakah ia digunakan untuk tujuan lain?''

Musa ''Ya, Yang Arif, contoh darah itu digunakan untuk tujuan lain selain daripada ujian HIV.''

Fernando: ''Yang mana tiada persetujuan diberi?''

Musa ''Anwar tidak setuju ujian DNA dilakukan ke atas contoh darahnya.''

Fernando kemudian menyoal Musa mengenai surat-suratnya bertarikh 22 dan 28 Oktober lalu serta satu lagi yang saksi itu tidak ingat tarikhnya (ditandakan sebagai D67, D69 dan D64) yang dihantar kepada Raja Aziz.

Menurut Musa, surat-surat itu dihantar untuk mendapatkan kebenaran peguam itu bagi mengambil contoh darah tertuduh sekali lagi bagi ujian DNA.

Bagaimanapun, kata saksi itu, Raja Aziz melalui surat-surat jawapannya bertarikh 17, 21 dan 23 Oktober lalu (ditandakan sebagai IDD65, IDD66 dan IDD68) tetap enggan memberi kebenaran contoh darah tertuduh diambil bagi tujuan itu.

Raja Aziz, juga katanya, tidak membenarkan pemeriksaan terperinci dilakukan terhadap bahagian sulit tertuduh dan mengambil gambar-gambar.

Saksi itu memberitahu beliau mempunyai salinan asal surat-surat yang diterimanya daripada Raja Aziz dan akan cuba mencarinya untuk dibawa ke mahkamah esok.

Fernando pula memohon penangguhan sehingga esok untuk menyambung soal balas berhubung surat-surat tersebut.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Ujian DNA buktikan Anwar bukan bapa Afifah


PARA peguam bela Anwar Ibrahim, (dari kanan) Raja Aziz Addruse, Gurbachan Singh, S.N. Nair dan Christopher Fernando berbincang sesuatu ketika mahkamah berhenti rehat sebentar semalam.


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ujian DNA membuktikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukanlah bapa kepada Afifah, anak bungsu Shamsidar Taharin.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan berkata, ujian itu juga menunjukkan bahawa Shamsidar dan suaminya, Mohd. Azmin Ali adalah ibu bapa kandung kanak-kanak itu.

Beliau memberi keterangan itu sebagai menjawab soalan balas oleh peguam Christopher Fernando.

Keterangan Musa itu seterusnya mendorong Fernando untuk mencadangkan bahawa keputusan ujian itu, satu-satunya keterangan saintifik yang ada membuktikan bahawa tuduhan serius yang dibuat oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali sebagai tidak berasas dan palsu.

Apabila Musa menafikan cadangan tersebut, Fernando memberi amaran kepada saksi itu agar mendengar dengan teliti soalan yang beliau kemukakan.

Fernando: ''Saya kata, satu-satunya keterangan saintifik yang ada membuktikan bahawa salah satu tuduhan amat serius yang dibuat oleh Ummi bahawa Anwar adalah bapa Afifah adalah tidak benar.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad membantah sambil berkata: ''Tuduhan-tuduhan Ummi terkandung di dalam suratnya 'Perihal Salah Laku TPM' kepada Perdana Menteri dan tidak ada mana-mana bahagian di dalam dokumen itu beliau menyebut bahawa Anwar adalah bapa Afifah.

''Ummi tidak pernah membuat tuduhan sedemikian. Beliau hanya mengesyaki Shamsidar mempunyai perhubungan intim dengan tertuduh.''

Fernando sambil merujuk kepada surat tersebut membaca perenggan terakhir pada muka surat 5 dan tetap dengan pendiriannya bahawa Ummi membuat dakwaan yang amat serius terhadap tertuduh.

Azahar: ''Peguam kata 'tuduhan amat serius' sedangkan Ummi menggunakan perkataan yang tidak begitu keras 'berbau syak wasangka'.''

Fernando mengulangi soalannya kepada Musa lalu kata saksi itu: ''Di atas ujian DNA, hanya satu daripada beberapa tohmahan mengesahkan bahawa Afifah bukanlah anak kepada Anwar Ibrahim.''

Sebelum itu, Musa ditanya bila contoh darah diambil daripada Mohd. Azmin, Shamsidar dan Afifah.

Musa: ''Contoh darah mereka diambil pada 29 Julai 1998.''

Fernando: ''Adakah Anwar beritahu kamu bahawa dia sudah merujuk kepada PM sama ada perlu atau tidak memberi contoh darah untuk ujian DNA?''

Musa: ''Tertuduh tidak beritahu saya.''

Fernando: ''Adakah tertuduh bagi tahu kamu bahawa PM sendiri nasihatkannya bahawa ia (ujian DNA) tidak perlu?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif. Dia tidak bagi tahu.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, dia beritahu kamu.''

Musa: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah Anwar beritahu kamu bahawa para peguamnya telah menasihatkan bahawa ia tidak perlu, cukup dengan contoh darah daripada ketiga-tiga individu itu bagi ujian DNA?''

Musa: ''Saya tidak diberitahu.''

Fernando: ''Tertuduh juga beritahu kamu bahawa beliau mendapat nasihat dan pandangan bertulis daripada para peguamnya.''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Saya katakan, dia beritahu kamu bahawa Dr. Cyrus Das, Faiz Abdullah dan saya sendiri memberi nasihat bertulis kepadanya.''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Itu sebabnya, tertuduh kata tidak perlu ambil contoh darahnya untuk ujian DNA.''

Musa: ''Saya tidak setuju.''

Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/12/1998

Pita video bahan bukti -- Gani: Usaha untuk mematahkan hujah pihak pembela


ADIK angkat Anwar Ibrahim, Sukma Dermawan Sasmitaat Madja hadir di mahkamah ketika rayuannya berhubung permohonan writ habeas corpus didengar di Mahkamah Rayuan semalam. - Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata, pihaknya akan mengemukakan pita video sebagai salah satu bukti dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mematahkan hujah pihak pembela.

''Ekoran beberapa perkara yang ditimbulkan hari ini, saya ingin memberi notis kepada pihak pembela bahawa kami akan mengemukakan pita video sebagai bahan bukti,'' katanya.

Mendengar kata-kata Gani, Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Mengenai apa?''

Gani: ''Kami tidak boleh beritahu. Mereka (pihak pembela) akan saksikan sendiri.''

Gani memaklumkan demikian sejurus sebelum Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sidangnya selepas mendengar sambungan keterangan Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan selaku saksi pendakwa ke-13.

Musa telah disoal oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Christopher Fernando berhubung dakwaan adik angkat bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di dalam sepucuk suratnya kepada Anwar.

Surat tanpa tarikh itu antara lain mengandungi dakwaan Sukma bahawa dia dipaksa mengakui dan menandatangani dokumen yang menyebut bahawa dia mempunyai hubungan seksual dengan Anwar, Azizan Abu Bakar, Meor dan Ismail serta lain-lain yang tidak dikenalinya.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau atau para pegawainya tidak pernah memaksa Sukma supaya secara palsu mengaitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan tuduhan liwat.

Surat itu kemudian ditandakan sebagai IDD80 dikemukakan oleh Fernando pada perbicaraan sesi petang kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Perbicaraan hari ke-28 hari ini juga agak tegang ekoran pertikaman lidah antara Fernando dan Hakim Augustine yang tidak berpuas hati dengan bentuk soalan-soalan yang ditanya oleh peguam itu kepada Musa.

Walaupun beberapa kali diberi peringatan oleh Hakim Augustine, Fernando masih bertegas bahawa soalan-soalan kepada Musa adalah berkaitan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Sukma terhadap saksi itu.

Keadaan itu berterusan sehingga menyebabkan Hakim Augustine menarik balik kebenaran yang diberikan kepada peguam itu untuk mengemukakan soalan-soalan khusus menyentuh diri saksi.

Hakim Augustine: ''Soalan-soalan sedemikian sepatutnya dikemukakan dalam perbicaraan kes Sukma. Saya khuatir, saya terpaksa mengubah fikiran. Tidak ada lagi soalan lanjut berhubung surat Sukma.''

Fernando: ''Walaupun mengenai dakwaan terhadap saksi ini?''

Hakim Augustine: ''Ya.''

Fernando: ''Memandangkan mahkamah sudah membuat keputusan sedemikian, saya ingin meringkaskan keseluruhan perkara berkaitan dalam satu soalan terakhir.

''Adakah kamu atau pegawai-pegawai kamu, seperti yang didakwa oleh Sukma, memaksa dia supaya secara palsu mengaitkan Anwar dengan tuduhan liwat?''

Musa menafikannya.

Sebelum itu, daripada soalan-soalan Fernando, Musa memberitahu beliau tidak pernah melihat surat itu dan menafikan beberapa tuduhan lain yang dibuat oleh Sukma terhadapnya.

Antaranya, Sukma mendakwa Musa dan Penolong Penguasa (ASP) Rodwan tidak tahu mengapa dia ditahan dan tertanya-tanya sesama mereka ketika dia dibawa ke Bukit Aman.

Semasa sidang disambung pada pukul 2.15 petang, Musa telah disoal balas oleh seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh berhubung laporan polis yang dibuat oleh Ma'amin Latib terhadapnya,

Gurbachan: ''Adakah semua kandungan laporan ini benar?''

Musa: ''Ada yang benar, ada setengah yang tidak benar.''

Gurbachan: ''Tarikh dan masa pertemuan antara kamu berdua itu semuanya betul?''

Musa: ''Untuk makluman Yang Arif, pada 26 Oktober 1998 dari jam 8 malam hingga 2 pagi, pengadu (Ma'amin) tidak dipanggil oleh saya.''

Gurbachan: ''Habis, di mana kamu pada ketika itu?''

Musa: ''Saya berada di rumah dan saya telah semak diari saya. Dua lagi pertemuan pada jam 8.30 malam 19 November 1998 dan 11 pagi 22 November 1998 adalah betul.''

Gurbachan: ''Kamu setuju bahawa adalah perkara biasa untuk mendapatkan kenyataan saksi di antara jam 1 hingga 2 pagi?''

Musa: ''Biasanya, sekiranya saksi boleh datang pada waktu antara 1 hingga 2 pagi, pada saya adalah normal.''

Gurbachan: ''Kamu tidak bercakap benar, kamu memang bersama Ma'amin pada jam 2 pagi?''

Musa: ''Tidak benar Yang Arif.''

Gurbachan kemudian mengalihkan soalannya mengenai siasatan yang dilakukan berhubung penyebaran surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Katanya: ''Pada masa keputusan dibuat untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap siasatan itu, adakah betul Anwar dianggap sebagai pengadu manakala Ummi Hafilda dan Azizan pula sebagai orang-orang yang disyaki?''

Musa: ''Pengadu adalah juru iring Anwar (ASP Zull Aznam Haron) dan mereka yang disyaki terlibat adalah Ummi dan Azizan. Tertuduh bukan pengadu dalam kes 1997.''

Gurbachan: ''Adakah laporan polis itu dibuat oleh Zull Aznam bagi pihak tertuduh?''

Musa: ''Setelah saya baca laporan itu, pada fahaman saya, mungkin ia dibuat bagi pihak tertuduh.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu bahawa Anwar ingin supaya mereka yang memalukannya didakwa tetapi hasratnya itu tidak digalakkan?''

Musa: ''Saya tidak tahu tertuduh cenderung untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mentohmahnya.''

Gurbachan: ''Tetapi tidak digalakkan oleh Perdana Menteri?''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Perbicaraan disambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/12/1998

Peguam bantah polis ambil contoh darah


AZHAR Mohamad (dua dari kiri) dan rakan-rakannya dalam pasukan pendakwaan berbincang sesuatu ketika sidang ditangguh di Mahkamah Tinggi semalam.


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa para peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah permohonan pihak polis untuk mendapatkan contoh-contoh darah dan juga pemeriksaan anggota badan tertuduh berhubung siasatan dakwaan perihal salah seks terhadapnya.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan menunjukkan tiga pucuk surat yang ditulis dan dihantar kepadanya oleh peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse.

Bagaimanapun, Musa memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ada laporan ujian DNA untuk ditunjukkan sebagaimana yang diminta oleh peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Christopher Fernando semalam.

Musa menyerahkan kepada Fernando dua salinan asal surat itu dan juga sekeping surat yang difakskan ke pejabat beliau.

Fernando: ''Adakah kamu bersetuju bahawa dalam ketiga-tiga surat itu, Raja Aziz membantah dan tidak bersetuju membenarkan sebarang contoh darah Anwar diambil?'

Musa: ''Saya bersetuju.''

''Bolehkah sekarang kami mengemukakan surat-surat yang diterima oleh saksi ini?'' tanya Fernando ketika menyoal balas Musa dalam perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-28 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Hakim Datuk S. Augustine Paul kemudian membenarkan ketiga-tiga surat itu ditandakan sebagai dokumen pihak pembela ID(D)70.

Fernando yang meneruskan soalannya sambil memaklumkan bahawa beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang memberikan satu salinan laporan ujian paterniti DNA.

''Adakah ini laporan awal yang kamu terima,'' tanya Fernando ketika menyambung pemeriksaan balasnya terhadap Musa.

Musa: ''Ini laporan yang diterima oleh pegawai saya, ASP Rodwan.''

Fernando: ''Bolehkah kami mengemukakan dokumen ini?''

Hakim Augustine bersetuju dokumen laporan kimia mengenai ujian DNA ke atas bekas Setiuasaha Sulit Anwar, Mohd Azmin Ali, isterinya, Shamsidar Taharin dan anak mereka, Afifah ditandakan sebagai ID(D)71.

Musa: ''Mengikut laporan ini contoh darah 'A' ialah 'Kanak-kanak', 'B' adalah 'Ibu' dan 'C' adalah 'yang didakwa sebagai bapa.'

Fernando: ''Perenggan 1, menyatakan 'C' yang didakwa sebagai bapa tidak boleh menidakkan kemungkinan adalah bapa kanak-kanak itu.''

Musa: ''Mengikut laporan ini di perenggan 1, 'keputusan ADO,' 'C' 'Yang didakwa sebagai bapa' tidak boleh menidakkan adalah bapa kandung kanak-kanak 'A'.

Fernando: ''Ujian kedua dibuat HLA...(Human Leucocyte Antigen).''

Hakim Augustine mencelah: ''Tunggulah, biar ia betul-betul dibuktikan.''

Fernando: ''Saya ingin terus kepada kesimpulannya. Kemungkinan paterniti berdasarkan 99.9693 pada database (pangkalan) Malaysia.''

Musa: ''Benar di bawah perenggan 4.''

Fernando: ''Akhir sekali di muka 2, yang menyatakan kemungkinan paterniti dicantumkan, berjumlah 19 genetik mencapai 99.9999 peratus.''

Musa: ''Benar.''

Fernando: ''Akhirnya, kesimpulan, ia tiada keraguan bahawa 'C' yang didakwa sebagai bapa adalah bapa kandung.''

Musa: ''Ya.''

Fernando: ''Siapakah bapa kandung?''

Pada peringkat ini para hadirin di galeri sunyi sepi dan masing-masing menumpukan perhatian ke arah Musa.

Musa: ''Menurut laporan ini bapa kandung adalah orang yang memberikan contoh darah 'C'.''

Fernando: ''Siapa?''

Musa: ''Dia adalah Encik Mohd. Azmin.''

Hakim Augustine: ''Adakah ini penting untuk menyoal lebih dalam mengenai kanak-kanak itu?''

Fernando: ''Ini adalah penting kerana dakwaan terhadap tertuduh (Anwar). Saya fikir kami mesti membersihkannya. Ini adalah penting jika tidak ia akan memberi titik hitam sepanjang hidup.''

Hakim Augustine: ''Teruskan.''

Fernando: ''Adakah gambar tilam diambil?''

Musa: ''Ada gambar berkenaan tilam (P16).''

Sebelum meneruskan soalannya, Fernando meminta untuk memeriksa sama ada afidavit rakan tenis Anwar, Datuk S. Nallakaruppan ditandakan sebagai dokumen pihak pembela.

Fernando: ''Semalam kamu beritahu bahawa beberapa bahan pemangkin dicampur dalam contoh darah.''

Musa: ''Benar, semalam saya menyatakan doktor forensik memberitahu saya, contoh darah yang diambil daripada tertuduh telah dicampurkan bahan pemangkin.''

Fernando: ''Apakah nama doktor?''

Musa: ''Dr. Abdul Halim dan Dr. Zahari Noor.''

Fernando: ''Apakah bahan tersebut? Adakah mereka menyebutkan jenisnya?''

Musa: 'Tidak, mereka tidak beritahu saya.''

Fernando: ''Kamu pasti mengenai perkara itu?''

Musa: ''Benar.''

Fernando: ''Adakah mereka beritahu bahawa bahan itu boleh memusnahkan protein?''

Musa: ''Mereka tidak beritahu saya demikian.''

Perbicaraan bersambung esok.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 17/12/1998

Siasatan meliputi elemen konspirasi

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menjalankan siasatan dakwaan perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim secara menyeluruh yang juga meliputi elemen-elemen konspirasi ahli politik.

Musa berkata, beliau mengarahkan pegawainya mengambil kenyataan daripada Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob pada bulan Ogos tahun ini.

Pegawainya juga, kata Musa, pada Oktober lalu, mengambil kenyataan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Datuk Ismail Che Rus.

Ketika menjawab soalan balas yang bertubi-tubi oleh peguam bela Anwar, Gurbachan Singh, Musa menyatakan beliau tidak mengambil kenyataan daripada Perdana Menteri di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Begitu juga, katanya, tidak ada kenyataan diambil daripada Menteri Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Musa, 47, Timbalan Pengarah CID Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, memberitahu demikian ketika menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwa ke-13 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-28 hari ini.

Dalam pemeriksaan balas pada sesi sebelah pagi ini, Gurbachan mengambil alih tugas menyoal balas selepas rakannya, Christopher Fernando memaklumkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa pihaknya masih ada perkara lain yang ingin ditimbulkan.

Seterusnya, Musa ditanya sama ada beliau hadir pada perhimpunan agung UMNO tahun ini.

Musa: ''Saya tidak hadir pada perhimpunan itu.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju perhimpunan UMNO pada 18 Jun tahun ini?''

Musa: ''Saya setuju tetapi saya tidak pasti tarikh sebenar.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju laporan polis ID56 (aduan oleh bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali) bukanlah satu aduan terhadap tertuduh?''

Musa: ''Benar, Yang Arif dan ia juga bukan aduan berkaitan dengan rasuah di bawah Ordinan 22.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju satu aduan dibuat oleh Azmin berhubung fitnah jenayah?''

usa: ''Benar, aduan oleh Azmin mengenai fitnah jenayah terhadap dirinya dan keluarganya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju dakwaan dalam buku tersebut?''

Musa: ''Benar, perenggan 2 laporan (ID56) bahawa buku 50 Dalil telah diedar di kalangan perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung UMNO.''

Gurbachan: ''Adakah ia berkaitan dakwaan terhadap Khalid Jafri?''

Musa: ''Benar, Khalid yang disebut dalam laporan polis sebagai pengarang buku itu telah didakwa.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa Azmin mahu pun isterinya, Shamsidar Taharin tidak membuat aduan terhadap Anwar?''

Musa: ''Ya, saya bersetuju.''

Gurbachan: ''Adakah benar Azmin ditangkap oleh polis dan ditahan selama tujuh hari?''

Musa: ''Saya dapat tahu beliau ditangkap dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.''

Gurbachan: ''Adakah benar beliau ditahan selama 10 hari?''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Adakah beliau ditangkap berkaitan laporan ini (buku 50 Dalil).''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu dapatkan laporan mengenai Azmin?''

Musa: ''Bukan saya yang menyiasat kes itu.''

Gurbachan: ''Siapakah pengawai penyiasat kes itu?''

Musa: ''ACP Mansur Din.''

Gurbachan: ''Adakah kamu sedar Azmin dipanggil sebanyak tujuh kali ke Bukit Aman?''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Musa, bilakah penyiasatan kes ini (terhadap Anwar) dibuka semula?''

Musa: ''Saya buka mulakan pada 22 Jun tahun ini.''

Gurbachan: ''Kenyataan siapakah yang kamu ambil pada atau selepas 22 Jun itu?''

Musa: ''Kenyataan yang pertama yang saya ingat Yang Arif, ialah daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu nyatakan hari dan tarikhnya?''

Musa: ''Saya tidak ingat, bukan saya yang mengambil kenyataan ini, ia diambil oleh pegawai-pegawai saya.''

Gurbachan: ''Siapa yang mengambil kenyataan Ummi Hafilda?''

Musa: ''Kenyataan Ummi Hafilda, seingat saya diambil oleh ASP Zulkifli Mohamad, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Musa, adakah kamu sedar bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan (merujuk laporan akhbar The Star 10 April 1998). Adakah kamu sedar ini?''

Musa: ''Tidak Yang Arif, saya tidak tahu tentang kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara ini dan saya tidak membacanya.''

Gurbachan: ''Saya ingin kemukakan dokumen ini (yang ditanda sebagai ID), adakah kamu bersetuju kenyataan ini telah menimbulkan keraguan?''

Musa: ''Benar, kenyataan dibuat oleh Peguam Negara seperti yang tercatat dalam keratan akhbar ini.''

Gurbachan: ''Izinkan saya membaca perenggan keratan akhbar ini. (Selepas membaca) Adakah ini betul?''

Musa: ''Memang benar, ada tercatat dalam akhbar ini yang berbunyi, ''Bahawa polis telah menamatkan penyiasatan kes berhubung kenyataan Azizan dan laporan dihantar kepada Peguam Negara untuk penelitian. Selepas Peguam Negara membaca laporan ini, beliau mengambil keputusan bahawa penyiasatan menunjukkan dakwaan yang terkandung dalam kenyataan terhadap Anwar adalah palsu dan sebenarnya fitnah'.''

Musa menerangkan lagi: ''Yang Arif, kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara ini adalah jawapan kepada soalan mengapa beliau tidak mendakwa mereka yang membuat tohmahan ke atas salah laku seksual terhadap Anwar pada tahun lalu (1997). Ini merupakan penjelasan Peguam Negara.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju soalan ini dibuat di Parlimen?''

Musa: ''Ini adalah jawapan yang diberikan di Parlimen terhadap siasatan 1997.''

Gurbachan: ''Dan kamu juga mengesahkan bahawa Peguam Negara tidak hendak mendakwa orang yang membuat tohmahan terhadap Anwar?''

Musa: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah keputusan NFA (No Further Action atau Tiada Tindakan Lanjut) dan Peguam Negara direkodkan dalam kertas siasatan kamu?''

Musa: ''Di dalam perbincangan dengan Peguam Negara, saya berjumpa beliau secara persendirian tanpa membuat apa-apa catatan.''

Gurbachan: ''Adakah kamu membuat minit keputusan kamu?''

Musa: ''Saya tidak meminitkan keputusan itu.''

Gurbachan: ''Adakah kamu menjalankan penyiasatan ke atas kesemua organisasi dalam laporan polis (P15) berhubung surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim?''

Musa: ''Benar, saya ada menyiasat laporan P15. Saya tidak mengambil apa-apa kenyataan daripada organisasi yang tercatat dalam surat Talkin Terbuka Untuk Anwar.''

Gurbachan: ''Adakah mana-mana organisasi dalam laporan P15 itu yang menulis surat layang tersebut?''

Musa: ''Saya tidak tahu sama ada mana-mana organisasi tersebut menulis P15.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu penulis P15?''

Musa: ''Dalam siasatan saya tidak dapat memastikan siapakah penulisnya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju laporan awal penting untuk menyiasat perihal salah laku Anwar?''

Musa: ''Saya bersetuju laporan awal atau serta merta adalah penting.''

Gurbachan: ''Musa, adakah kamu mengambil dokumen dari Jabatan Perdana Menteri berhubung penyiasatan ini?''

Musa: ''Saya hanya mengambil dua dokumen daripada Perdana Menteri baru-baru ini iaitu, surat asal yang ditulis oleh Azizan dan Ummi memohon maaf kepada Perdana Menteri.''

Gurbachan: ''Bilakah kamu memperolehnya?''

Musa: ''Tak silap saya, pada 6 November lalu.''

Gurbachan: ''Tidak ada dokumen lain?''

Musa: ''Tiada.''

Gurbachan: ''Saya ingin meringkaskan soalan. Adakah kamu memperoleh surat daripada Tun Daim Zainuddin, Datuk Megat Junid atau Tan Sri Rahim Thamby Chik?''

Musa: ''Ya.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Apa suratnya?''

Musa: ''Saya tidak menerima apa-apa surat atau dokumen daripada Tun Daim, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Megat Junid.''

Gurbachan: ''Musa, jika tak silap, kamu telah menyatakan sesuatu mengenai dokumen daripada Daim?''

Musa dilihat merujuk sesuatu: ''Itu adalah dokumen tambahan daripada Pengarah Cawangan Khas. Minta maaf, tiada apa-apa surat. Saya keliru dengan soalan.''

Gurbachan: ''Apakah yang kamu perolehi daripada Cawangan Khas?''

Musa menyatakan beliau memperolehi dokumen memohon maaf yang ditulis oleh Ummi dan Azizan dan juga surat dakwaan perihal salah laku Anwar dan pengakuan bersumpah Azizan yang mendakwa dia diliwat oleh tertuduh.

Gurbachan: ''Adakah kamu memperolehi daripada mana-mana sumber surat yang ditulis oleh Tun Daim dan Datuk Megat Junid?''

Musa: ''Tidak.'' Saksi itu juga menyatakan beliau secara peribadi tidak tahu menahu mengenai surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Pada satu peringkat, Gurbachan menimbulkan semula soalannya berkisar penangkapan Ummi dan Azizan di rumah Dr. Ristina pada 17 Ogos 1997 yang turut melibatkan Cawangan Khas.

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa Datuk Jamil Johari tiada kaitan dalam penyiasatan kes itu?''

Musa: ''Benar, beliau adalah Pengarah Pengurusan dan tiada kaitan dengan Cawangan Khas.''

Musa juga menyatakan beliau tidak tahu siapa yang memanggil Jamil atau mengapa beliau berada di sana.

Gurbachan: ''Adakah kamu sedar Dr. Ristina membuat tuntutan ganti rugi lebih RM100,000 kerana kerosakan rumahnya?''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Musa, bilakah kamu dinaikkan pangkat?''

Musa: ''Saya dinaikkan pangkat SAC1 pada 1 Oktober tahun ini.''

Gurbachan: ''Adakah kamu sedar Dr. Ristina menelefon Ketua Polis Negara (IGP) di rumahnya?''

Hakim Augustine: ''Kamu menyoal dengan melompat-lompat, selepas tanya bila naik pangkat dah tukar soalan lain.''

Para hadirin di galeri awam tergelak.

Gurbachan: ''Minta maaf! Daripada pengamatan kamu adakah Jamil dikenali oleh Dr. Ristina?''

Musa: ''Dari pengamatan saya, Jamil seorang kenalan Dr. Ristina.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/12/1998

Musa: Tidak wujud konspirasi politik

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa siasatannya berhubung dakwaan perihal salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunjukkan wujudnya sebarang konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau.

Sebaliknya, menurut Musa, ia menunjukkan bahawa wujudnya konspirasi bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan individu-individu lain untuk menghalang keadilan dan menggunakan jentera kerajaan iaitu, polis bagi melindungi dirinya.

Musa, 47, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-13 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-29 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Musa memberi keterangannya dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad.

Azahar mengajukan soalan itu kepada Musa untuk menyangkal jawapannya semalam berhubung soalan peguam bela Anwar, Gurbachan Singh yang bertanyakan bagaimanakah beliau menjalankan penyiasatannya terhadap kes Anwar.

Sebelum itu Azahar menyoal: ''Waktu disoal balas kamu ada menyatakan operasi bersama antara Cawangan Khas (SB) dan Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Dalam keadaan bagaimanakah operasi bersama itu dijalankan?''

Musa: ''Sesuatu operasi bersama akan dijalankan oleh pihak CID dan SB sekiranya ia melibatkan jenayah bersindiket.''

Azahar: ''Mengapakah kamu katakan siasatan SB berkaitan surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim (P15), surat dakwaan perihal salah laku Anwar yang ditulis oleh Ummi Hafilda dan pengakuan bersumpah Azizan Abu Bakar mendakwa diliwat oleh tertuduh itu adalah luar biasa?''

Musa: ''Penglibatan SB di dalam siasatan yang berkaitan (dakwaan terhadap Anwar) luar biasa kerana ia tidak melibatkan sesuatu jenayah yang bersindiket. Biasanya operasi bersama pihak SB hanya menjalankan pemerhatian, Yang Arif, dan memberikan maklumat kepada pihak CID untuk mengambil tindakan.''

Azahar: ''Apa beza dokumen surat dakwaan perihal salah laku Anwar dan surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim?''

Musa: ''Di dalam kes ini pihak SB yang menjalankan temu duga dan mengesyorkan tindakan yang sepatutnya diambil oleh CID.''

Azahar: ''Di dalam operasi bersama CID dan SB bekerjasama, betul?''

Musa: ''Memang di dalam operasi bersama SB dan CID sentiasa bekerjasama.''

Azahar: ''Di dalam kes ini adakah tidak kerjasama yang erti katanya operasi bersama?''

Musa: ''Di dalam kes ini tiada kerjasama yang sepatutnya di antara pihak SB dan CID.''

Azahar: ''Kamu ditanya semasa soal balas dalam penyiasatan kes-kes rasuah. Dalam keadaan bagaimana pula menyiasat sesuatu kes rasuah?''

Musa: ''Pihak polis menjalankan siasatan di dalam satu-satu kes rasuah apabila melibatkan anggota polis sendiri, Yang Arif.''

Azahar: ''Adakah juga pihak polis menyiasat sekiranya ada laporan yang membuat dakwaan terhadap orang yang bukan polis.''

Musa: ''Ada juga pihak polis menjalankan siasatan terhadap individu yang bukan anggota polis.''

Azahar: ''Dalam kes 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh jadi PM, adakah kamu buat klasifikasi pada awalnya?''

Musa: ''Dalam kes 50 dalil, pada asalnya telah diklasifikasikan di atas kesalahan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, bagi kesalahan fitnah jenayah.''

Azahar: ''Apakah dakwaan terhadap tertuduh hasil daripada siasatan kamu?''

Musa: ''Hasil daripada siasatan, saya telah mendapati ada satu kesalahan yang berlaku di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 dan saya mengesyorkan cadangan ini kepada pihak Peguam Negara.''

Azahar: ''Dan daripada siasatan dan syorkan kamu itu pihak pendakwa mengambil keputusan atas empat pertuduhan.''

Musa: ''Benar, pihak pendakwa mengambil keputusan untuk empat pertuduhan di bawah ordinan 22. Ia di bawah bidang kuasa Peguam Negara.''

Azahar juga menimbulkan semula afidavit Musa yang diikrarkannya untuk menjawab afidavit rakan tenis Anwar, Datuk Nallakaruppan a/l Solamalai atau Nalla yang mengemukakan permohonan membantah penahanan di lokap Bukit Aman untuk disiasat atas keselamatan negara kerana mendakwa ia tidak sah di sisi undang-undang.

Musa memberitahu bahawa beliau memohon secara rasmi kepada Ketua Pengarah Penjara pada 13 Ogos lalu untuk memindahkan Nallakaruppan ke lokap Bukit Aman daripada Penjara Sungai Buloh mengikut peruntukan Seksyen 31(1) Akta penjara 1995.

Beliau memberi tiga sebab bagi tindakannya terhadap Nallakaruppan:

* Siasatan melibatkan seorang pemimpin negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain pemimpin negara lagi.

* Nallakaruppan dipercayai mempunyai maklumat yang mana boleh mendedahkan perbuatan peras ugut terhadap pemimpin negara tersebut bagi kepentingan dirinya atau mana-mana pihak. Oleh yang demikian rahsia negara mungkin terjejas.

* Untuk keselamatan diri Nallakaruppan di mana terdapat beberapa saksi di dalam kes ini telah diugut.

Azahar: ''Mengapa afidavit (jawapan Musa) dalam kes Nalla dibuat publisiti meluas?''

Musa: ''Benar, afidavit yang diikrar oleh saya telah diberi publisiti meluas sebelum permohonan itu didengar di mahkamah.''

Azahar: ''Permohonan telah didengar pada 2 September lalu?''

Musa: ''Benar.'

Azahar: ''Adakah tidak kamu membaca afidavit Nalla yang disiarkan meluas?''

Musa: ''Benar, dua atau tiga hari sebelum kes itu didengar, afidavit Nalla telah disiarkan oleh media massa dan diberi publisiti meluas. Saya tidak ingat tarikhnya.''

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/12/1998

Kondo kegunaan pengarah - Saksi

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, dua unit kondominium di Tivoli Villa, Bangsar dikhaskan untuk kegunaan para pengarah Multi Purpose Holdings Berhad (MPHB).

Pengurus Pengurusan Harta Bandaraya Development Berhad (BDB), Emily Kao Chung Meng berkata, unit-unit tersebut ialah 2-5-13 dan 2-5-14 yang bermakna unit No. 13 dan 14 di Tingkat 5, Blok 2 kondominium itu.

''Kunci-kunci bagi kedua-dua unit tersebut telah diserahkan kepada Datuk Lim Thian Kiat (T.K.Lim) sebaik sahaja unit-unit kondo itu siap diubahsuai pada tahun 1990,'' kata beliau.

Lim adalah Pengarah Urusan MPHB.

Emily, saksi ke-15 pihak pendakwa memberi keterangan itu dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul pada perbicaraan hari ke-29 kes Anwar hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Menjawab soalan Gani, Emily mengakui bahawa BDB yang menguruskan tiga harta kediaman di Bangsar iaitu Sri Penaga, Bangsar Putri dan Tivoli Villa adalah anak syarikat MPHB, begitu juga dengan Magnum Corporation.

Magnum Corporation adalah bekas majikan rakan tenis Anwar, Datuk S. Nallakaruppan.

Gani: ''Pengarah manakah yang sering mengunjungi kedua-dua unit kondo di Tivoli Villa itu?''

Emily: ''Saya tidak tahu.''

Gani: ''Kenapa?''

Emily: ''Sebagai Pengurus Pengurusan Harta, saya sebenarnya menyelenggara harta itu secara umum bukannya unit-unit kondo itu sendiri.''

Gani: ''Siapa yang menyelenggara kedua-dua unit tersebut?''

Emily: ''Saya tidak pula tahu.''

Gani: ''Adakah pengarah-pengarah syarikat mempunyai kunci bagi kedua-dua unit itu?''

Emily: ''Setahu saya, kunci bagi unit-unit itu telah diserahkan kepada salah seorang pengarah.''

Gani: ''Siapa dia?''

Emily: ''Saya percaya beliau ialah Datuk T.K.Lim.''

Gani: ''Bila unit-unit kondo itu mula diduduki?''

Emily: ''Kedua-dua unit itu yang berada di blok 2 fasa pertama yang siap pada tahun 1990 dan mula diduduki pada tahun yang sama.''

Pada peringkat ini, Gani memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan terus menyoal saksi ini tetapi mengenai isu yang lain dan berharap ia dapat dimulakan esok.

Bagaimanapun, Hakim Augustine berkata, mahkamah tidak akan bersidang esok sebagai memberi peluang kepada kakitangan mahkamah dan juga semua umat Islam yang terlibat membuat persiapan menyambut puasa.

''Kita sambung pada hari Isnin dengan jadual perbicaraan yang diubah suai bagi memudahkan mereka yang berpuasa.

''Perbicaraan yang biasanya bermula pada jam 9.15 pagi akan dimulakan lebih awal pada jam 9 pagi dan berterusan hingga jam 2.30 atau 3 petang tanpa waktu rehat makan tengah hari,'' jelas beliau.

Sebelum Emily memberi keterangan, Gani telah memanggil saksi pendakwa ke-14, seorang tukang kunci, Wong Wai Fook.

Wong, 34, memberitahu mahkamah bahawa pada 10 Julai lalu, beliau telah diminta pergi ke Tivoli Villa untuk membuka kunci di dua unit kondo iaitu 2-5-13 dan 2-5-14.

Menurut saksi itu, apabila tiba di kondominium itu, beliau bertemu ASP Mohd. Rodwan dan Emily.

Kata Wong, beliau hanya berjaya membuka kunci di unit 2-5-13 selepas dua kali mencuba dan kemudian telah diminta membuka pula kunci salah sebuah bilik di dalam unit itu.

''Walaupun kunci bilik itu dapat dibuka tetapi daun pintunya tidak dapat dibuka dan pada pendapat saya, pintu itu telah diselak dari dalam,'' kata beliau.

Wong seterusnya berkata, beliau kemudian diminta membuka kunci di unit 2-5-14 dan ia dapat dilakukan dengan mudah.

Menjawab soalan balas peguam Christopher Fernando, saksi itu berkata, beliau tidak tahu sama ada bilik di unit 2-5-13 berpenghuni memandangkan ia diselak dari dalam.

Wong menjelaskan, beliau hanya mengagak pintu itu diselak kerana ketika daun pintu ditolak, kedengaran seperti bunyi selak di bahagian dalam.

Semasa pemeriksaan semula oleh Gani, Wong berkata, beliau tidak ingat sama ada tujuh atau lapan pegawai yang dilihatnya di kediaman itu mengambil apa-apa barang.

Gani: ''Kamu nampak mereka membawa keluar barang yang besar?''

Soalan Gani itu menyebabkan Fernando membantah sambil menyifatkan pendakwa cuba memasukkan perkataan-perkataan ke mulut saksi.

Gani: ''Saya bukan memasukkan perkataan ke mulut saksi tetapi sekadar bertanya sama ada beliau nampak mereka membawa barang yang besar.''

Lalu kata Hakim Augustine: ''Pendakwa meletakkan perkataan di keliling mulut saksi!''

Perbicaraan bersambung pada hari Isnin.

Oleh: FARIDAH HASHIM

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 18/12/1998

Raja Aziz persoal tindakan polis geledah rumah Anwar

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse mempersoalkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung tindakan polis menggeledah bekas kediaman rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam untuk mengambil tilam-tilam yang dikatakan bagi tujuan penyiasatan terhadapnya.

Raja Aziz menimbulkan perkara itu pada pukul 9.30 pagi ini sebaik sahaja mahkamah memulakan sidang untuk mendengar perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Peguam bela itu memohon untuk menyoal balas pegawai penyiasat yang menjadi saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan yang sedang memberi keterangan beliau pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-29 hari ini.

Raja Aziz: ''Saya diarahkan oleh anak guaman saya bahawa bekas kediaman rasminya telah digeledah dan tilam telah diambil, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Musa sebagai pegawai penyiasat kes ini. Adakah ini benar?''

Musa: ''Benar bahawa kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri telah diperiksa semalam oleh polis.''

Raja Aziz: ''Adakah kamu sedar mengenai perkara ini?''

Musa: ''Saya tahu perkara ini.''

Raja Aziz: ''Dan siapakah pegawai yang mengetuai pasukan polis menjalankan penggeledahan ini?''

Musa: ''Pegawai yang menjalankan pemeriksaan ini adalah Penolong Penguasa Polis, Zulkifli Mohamad.''

Raja Aziz: ''Adakah apa-apa barang yang diambil daripada rumah tersebut?''

Musa: ''Hanya tilam-tilam di kediaman tersebut telah

diambil.''

Raja Aziz: ''Apakah tujuan mengambil barang itu pada peringkat ini?''

Musa: ''Sebagaimana yang telah saya beritahu dalam keterangan saya bahawa penyiasatan di dalam kes ini masih berjalan, Yang Arif.''

Raja Aziz: ''Dan penggeledahan itu ada kena mengena dengan tilam yang ada di sini (mahkamah)?''

Musa: ''Tidak, tilam-tilam yang diambil di kediaman rasmi itu tiada kaitan dengan tilam (P60) yang berada di mahkamah ini.''

Raja Aziz: ''Oleh itu apakah tujuan mengambil tilam di bekas kediaman rasmi tertuduh?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal

Abiden membantah.

''Ini kes melibatkan buku 50 Dalil dan saya rasa pihak pembela sepatutnya tidak perlu bertanya dengan mendalam pada peringkat ini,'' kata beliau.

Raja Aziz: ''Saya tanya apa relevannya mengambil tilam seperti yang dilakukan di Tivoli (Tivoli Villa)?

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil memberi pendapatnya bahawa ia berhubung penyiasatan.

''Sekiranya dipanggil saksi-saksi kamu boleh menyoal mengenai perkara itu,'' kata beliau.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/12/1998

Anwar homoseks - Ummi

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Ummi Hafilda Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau membuat dua pertuduhan utama berhubung perihal salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa seorang homoseksual dan mempunyai hubungan sulit dengan kakak iparnya, Shamsidar Taharin.

Ummi membaca sebahagian daripada laporan sulit yang ditulisnya dan dihantar kepada Perdana Menteri pada 5 Ogos tahun lalu.

''Di dalam laporan ini ada dua pertuduhan utama yang saya kemukakan perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri,'' kata Ummi dan ia menyentuh mengenai Anwar:

* Merupakan seorang homoseksual melalui hubungan sejenisnya dan salah seorang dari mangsa yang berani tampil ke hadapan ialah bekas pemandu kepada beliau iaitu, Azizan Abu Bakar yang kini (ketika dakwaan ditulis oleh Ummi) menjadi pemandu Mohamed Azmin Ali.

* Mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar Taharin iaitu isteri kepada Setiausaha Sulitnya sendiri, Mohamed Azmin.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamad bertanya: ''Cik Ummi, di muka surat dua, kamu menyatakan sebab-sebab yang dikemukakan kepada Perdana Menteri.''

Ummi:''Saya mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri:

* Memohon budibicara Perdana Menteri untuk menyiasat setiap laporan yang dikemukakan.

* Memohon perlindungan keselamatan bagi pihak penulis dan keluarganya.

* Menegakkan kebenaran demi kepentingan parti dan negara.

* Mengalami tekanan emosi yang paling kritikal bagi seluruh keluarga sejak kes ini diketahui.

* Memohon Perdana Menteri menyelamatkan abang saya, Mohamed Azmin dari terus berkhidmat dengan orang yang telah menganiayanya iaitu insan yang munafik bernama Anwar Ibrahim.

* Memohon hukuman yang setimpal sekiranya laporan yang diberikan adalah benar sebagai satu peringatan kepada pemimpin yang lain.

* Menyekat sama sekali perbuatan mungkar di luar tabii manusia iaitu hubungan sejenis yang sememangnya dilaknat oleh Allah S.W.T.''

Ummi Hafilda, 31, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-17 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-30 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ummi mula memberi keterangannya pada kira-kira pukul 10.45 pagi ini.

Sebelum itu, kira-kira pukul 9.30 pagi, Azahar memaklumkan Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa pihaknya ingin memanggil Ummi selepas saksi ke-15, Emily Kau Chung Meng selesai memberi keterangannya.

Emily sebagai pengurus pengurusan harta Bandaraya Development Berhad (BDB) yang hadir ketika pemeriksaan polis di Tivoli Villas pada 10 Julai tahun ini. Bagaimanapun pada masa itu, Ummi belum kelihatan di bilik saksi.

Hakim Augustine sambil berseloroh meminta Azahar menyiasat di mana Ummi berada.

Azahar: ''Saya ingin memanggil Ummi dahulu sebelum panggil saksi-saksi ringkas yang lain.''

Hakim Augustine: ''Kamu seharusnya beritahu dia (Ummi) lebih awal.''

Perbicaraan kemudian ditangguhkan selama 30 minit.

Sementara menunggu Ummi tiba, Azahar memanggil saksinya yang ke-16, Penolong Penguasa Polis, Wan Zainuddin Wan Mahmood memberikan keterangan berhubung tindakan polis merampas sebuah tilam jenis Orthoflex Classic yang disyaki ada tompokan kesan air mani dan sebuah bantal 'Sleepnite' di bilik utama Unit No. 13 dan 14 di Tivoli Villas.

Selepas itu, Azahar memaklumkan bahawa Ummi sudah sampai dan sejurus Ummi masuk ke mahkamah, hadirin yang penuh sesak di galeri awam menumpukan perhatian ke arah beliau di kandang saksi.

Ummi mengangkat sumpah dengan suara yang jelas sambil memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai pengarah sebuah syarikat pengiklanan, Karisma Advertising, di Setapak di sini sejak lima tahun lalu. Azahar meneruskan pemeriksaan utamanya sambil bertanya: ''Adakah kamu kenal seorang bernama Dr. Ristina Majid?''

Ummi: ''Ya, saya kenal Dr. Ristina.''

Beliau lalu menerangkan bahawa Dr. Ristina merupakan doktor gigi peribadinya dan juga seorang kawan di dalam Persatuan Peniagawati.

Azahar: ''Boleh beritahu Yang Arif, apakah Peniagawati ini?''

Ummi: ''Ia merupakan persatuan usahawan-usahawan wanita yang menjalankan perniagaan.''

Azahar: ''Sejak bilakah kamu kenal Dr. Ristina?''

Ummi: ''Saya mengenali beliau lebih kurang empat tahun yang lalu.''

Azahar: ''Cik Ummi, pada sebelah petang 17 Ogos 1997, adakah kamu berada di rumah Dr. Ristina di No. 56, Jalan Medang Tanduk?''

Ummi: '' Ya, Yang Arif, saya berada di rumah Dr. Ristina pada pukul 5.30 petang Ahad itu.''

Azahar: ''Sekitar 11 malam hari tersebut adakah kamu berada di dalam rumah tersebut?''

Ummi: ''Ya, saya masih berada di situ.''

Beliau berkata selain dirinya, Dr. Ristina, dua orang anak doktor itu, Azizan Abu Bakar dan seorang pembantu rumah juga berada di rumah itu.

Azahar: ''Mengenai Azizan, adakah kamu mengenalinya pada 17 Ogos 1997?''

Ummi: ''Yang Arif, saya mengenali Azizan lebih awal dari hari tersebut.''

Azahar: ''Cik Ummi, beritahu Yang Arif, bagaimana kamu mula mengenali Azizan?''

Ummi: ''Saya mula mengenali Azizan sebagai pemandu kepada Shamsidar, kakak ipar saya. Shamsidar ialah isteri kepada Azmin, abang saya.''

Azahar: ''Pada hari tersebut sekitar 11 malam, sewaktu kamu dan Azizan di rumah Dr. Ristina, beritahu Yang Arif apa yang berlaku?''

Ummi: ''Pada malam 17 Ogos itu, saya dan Azizan telah ditangkap polis.''

Azahar: ''Setelah kamu ditangkap polis, ke mana kamu berdua dibawa?''

Ummi: ''Saya dan Azizan dibawa ke Bukit Aman.''

Azahar: ''Adakah kamu tahu sebab apa kamu ditangkap oleh polis?''

Ummi: ''Saya telah dimaklumkan bahawa penangkapan saya berhubung surat perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri yang saya buat.''

Azahar: ''Bilakah tarikh kamu buat surat itu?''

Ummi: ''Yang Arif, tarikh sebenar saya kurang pasti tetapi saya menghantarnya kepada Perdana Menteri pada 5 Ogos 1997.''

Azahar: ''Cik Ummi, apakah kandungan surat yang kamu tulis dan hantar kepada Perdana Menteri.''

Ummi: ''Yang Arif, surat itu merupakan satu laporan sulit berkenaan perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri dan juga pengakuan bersumpah Azizan.''

Azahar: ''Dengan izin Yang Arif, saya ingin saksi ini dirujuk dokumen 1D14a, ID14b dan P14c, cuba kamu lihat dokumen-dokumen ini. Saya akan tanya beberapa soalan mengenainya. Adakah dokumen ini yang kamu alamat kepada Perdana Menteri dan kamu tandatangani?''

Ummi: ''Ya, benar, Yang Arif.''

Azahar kemudian memohon ketiga-tiga dokumen itu ditanda sebagai bahan bukti kes pihak pendakwa dan beliau menyoal: ''Adakah laporan sulit ini disediakan oleh kamu sendiri?''

Ummi: ''Ya, benar, saya sendiri menyediakannya.''

Azahar: ''Lihat dokumen P14 mengenai surat perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri. Saya ingin tanya beberapa soalan. Kamu telah menyatakan perihal salah laku, siapakah Timbalan Perdana Menteri yang kamu maksudkan?''

Ummi: ''Timbalan Perdana Menteri yang saya maksudkan ialah tertuduh, Yang Arif.''

Azahar: ''Siapa namanya?''

Ummi: ''Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Azahar: ''Adakah Datuk Seri Anwar ada pada hari ini, sila camkan.''

Ummi memandang ke arah Hakim Augustine: ''Ya, dia berada di kandang tertuduh, Yang Arif.''

Ketika itu, Anwar yang nampak tersenyum menoleh ke galeri awam memandang isteri dan anaknya, Nurul Izzah serta keluarganya.

Azahar kemudian meminta Ummi menerangkan apakah dua pertuduhan utama yang terkandung dalam laporan sulit yang dihantarkan kepada Perdana Menteri itu.

Ummi membaca sebahagian kandungan surat dakwaan yang ditulisnya. Selepas selesai pihak pendakwa menyoal dalam pemeriksaan utama, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh memaklumkan bahawa beliau memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada tertuduh dan ingin menyoal balas saksi itu esok.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/12/1998

Karpal maklumkan kandungan surat

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, peguam Karpal Singh dimaklumkan berhubung kandungan penuh surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali yang mengandungi dakwaan perihal salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ummi, 31, berkata, beliau bersama Azizan Abu Bakar dan Dr. Ristina Majid telah pergi berjumpa Karpal di pejabatnya pada 15 Ogos 1997, dua hari sebelum ditangkap oleh polis.

Menurut Ummi, beliau berjumpa Karpal untuk mendapatkan nasihat dari segi perundangan yang mungkin timbul setelah sering diekori oleh orang-orang yang tidak dikenali.

Ummi memberi keterangan itu sebagai saksi pendakwa ke-17 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-30 hari ini.

Anwar dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad ketika menyoal dalam pemeriksaan utama pihaknya bertanya: ''Adakah alasan-alasan tertentu mengapa kamu memilih untuk berjumpa Karpal dan bukan orang lain?''

Ummi: ''Ya, saya memilih Karpal Singh berdasarkan kredibilitinya sebagai peguam mengendalikan khususnya kes jenayah.''

Azahar: ''Semasa kamu berjumpa dengan Karpal pada hari tersebut adakah kamu beri dokumen P14abc (dakwaan perihal salah laku Anwar)?''

Ummi: ''Ya, semasa saya berjumpa Karpal, saya telah meminta Zamrah Lajis untuk menfakskan surat-surat tersebut ke pejabat Karpal.''

Azahar: ''Siapakah Zamrah Lajis ini?''

Ummi: ''Zamrah Lajis ini, rakan kongsi perniagaan saya.''

Azahar: ''Adakah tidak Karpal menerima P14a, b dan c melalui faks?''

Ummi: ''Ya, Karpal telah menerima ketiga-tiga dokumen itu melalui faks.''

Azahar: ''Seterusnya apakah Karpal beritahu kamu tentang masalah kamu?''

Ummi: ''Karpal bertanya saya akan kebenaran laporan yang dikemukakan dan dia telah minta saya merujuknya kepada Perdana Menteri kerana Perdana Menteri adalah Menteri Dalam Negeri.''

Azahar: ''Kamu menyatakan bahawa Karpal bertanya tentang kebenaran laporan itu, apakah jawapan kamu?''

Ummi: ''Saya menyatakan, ya, ia adalah benar.''

Azahar: ''Cik Ummi, pada masa kamu berjumpa Karpal pada 15 Ogos itu, kamu tahu Karpal adalah seorang ahli politik.''

Ummi: ''Ya, saya sedar Karpal sebagai ahli politik dari pihak pembangkang.''

Azahar: ''Adakah tidak kamu tahu pada masa itu Karpal juga seorang ahli parlimen?''

Ummi: ''Ya, saya sedar, Karpal pada masa itu seorang ahli parlimen.''

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 22/12/1998

'Dakwaan saya kukuh' -- Anwar Ibrahim seorang homoseksual - Ummi


UMMI Hafilda Ali mula memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Ummi Hafilda Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau yakin dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang homoseksual dan menjalin hubungan sulit dengan kakak iparnya, Shamsidar Taharin, mempunyai asas yang kukuh untuk disiasat oleh polis.

Atas keyakinan itulah, kata Ummi, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk menarik balik dakwaan itu walaupun telah diperlakukan dengan kasar oleh pegawai Cawangan Khas (SB).

''Bagaimanapun selepas pihak SB melakukan deraan mental dan mengugut untuk menghantar saya ke lokap Jalan Travers untuk ditahan bersama-sama penagih dadah dan pelacur, saya merasa amat takut dan akhirnya membuat penafian,'' kata Ummi.

Menurut Ummi, beliau juga diancam untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun jika enggan menafikan dakwaan-dakwaannya terhadap Anwar.

Ummi berkata, beliau disoal siasat berterusan selepas ditangkap pada 17 Julai 1997 mulai 12 tengah malam hingga pukul 7 pagi keesokannya.

Dalam jangka masa itu, katanya, beliau tidak dibenarkan tidur sama sekali.

Ummi, 31, memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-17 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-30 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad ketika mengendalikan pemeriksaan utama terhadap Ummi bertanya apa yang berlaku selepas beliau ditangkap oleh polis pada malam 17 Ogos 1997 di rumah Dr. Ristina.

Ummi memberitahu bahawa beliau dan Azizan dibawa ke Bukit Aman dan telah disoal siasat oleh beberapa pegawai yang beliau kenali, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Aziz Hussin dan Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan Mohd. Din.

Azahar: ''Kamu tahukah DSP Aziz dan ACP Mazlan dari bahagian mana?''

Ummi: ''Saya dimaklumkan, mereka pegawai SB.''

Azahar: ''Adakah kamu disoal siasat bersendirian atau bersama Azizan.''

Ummi: ''Saya disoal siasat secara berasingan, Yang Arif.''

Azahar: ''Sampai bilakah soal siasat dijalankan terhadap kamu?''

Ummi: ''Soal siasat berterusan dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 7 pagi 18 Ogos 1997.''

Azahar: ''Dalam jangka masa itu adakah kamu tidur?''

Ummi: ''Tidak, Yang Arif, saya tidak dibenar tidur sama sekali.''

Azahar: ''Bagaimanakah cara soal siasat yang dijalankan oleh SB terhadap kamu?''

Ummi: ''Yang Arif, caranya begitu kasar, lebih bercorak ancaman dan ugutan.''

Azahar: ''Cik Ummi, semasa kamu disoal siasat dengan cara sedemikian adakah tidak, pegawai SB meminta kamu buat penafian berkaitan surat yang kamu hantar kepada Perdana Menteri?''

Ummi: ''Pegawai polis meminta saya membuat satu surat penafian dan menarik balik segala pertuduhan yang saya kemukakan dalam dokumen P14abc (surat dakwaan dan pengakuan bersumpah oleh Azizan).''

Azahar: ''Pada mulanya adakah kamu bersetuju berbuat demikian?''

Ummi: ''Tidak bersetuju sama sekali.''

Azahar: ''Mengapa tidak bersetuju?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju kerana saya yakin pertuduhan dan laporan saya mempunyai asas yang begitu kukuh untuk disiasat oleh polis.''

Azahar: ''Apabila kamu begitu adakah SB meneruskan soal siasat terhadap kamu?''

Ummi: ''Ya, Yang Arif, mereka meneruskan penderaan mental untuk mengubah pendirian saya.''

Azahar: ''Adakah tidak pada akhirnya kamu bersetuju untuk mengubah pendirian dan menarik semula surat?''

Ummi: ''Ya, Yang Arif, akhirnya saya bersetuju.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, kenapakah akhirnya kamu bersetuju untuk buat penafian sungguh pun kamu kata mempunyai asas yang kukuh?''

Ummi: ''Saya bersetuju kerana saya telah diancam dan diugut oleh DSP Aziz untuk menghantar saya ke lokap Jalan Travers sebelum ditahan di bawah ISA selama dua tahun.''

Azahar: ''Dengan izin, saya ingin saksi ini dirujuk pada dokumen 1D18 (surat mohon maaf). Sila Cik Ummi lihat dokumen ini, adakah surat ID18 ditandatangan oleh kamu?''

Ummi: ''Ya, benar, saya yang menandatanganinya.''

Azahar kemudian memohon dokumen ID18 itu ditanda sebagai P18, bahan kes pihak pendakwa. Beliau meneruskan soalan: ''Surat P18 ini dialamatkan kepada Perdana Menteri?''

Ummi: ''Ya, benar.''

Azahar: ''Dan ia bertarikh 18 Ogos 1997?''

Ummi: ''Ya, benar.''

Menurut Ummi, jika beliau tidak silap, beliau menandatanganinya pada sebelah petang 18 Ogos.

Pada peringkat ini, peguam Gurbachan Singh bangun membantah atas alasan soalan itu dibuat secara dipandu arah.

Azahar mengalihkan soalannya: ''Apa yang berlaku pada 18 Ogos itu?''

Ummi: ''Pada 18 Ogos, saya telah ditemui oleh Penolong Penguasa Polis (ASP), Zulkifli Mohamad.''

Ummi memberitahu bahawa ASP Zulkifli membawa beliau ke pejabatnya di Danau Kota, Setapak di sini.

Saksi itu menyatakan ketika di pejabatnya, beliau menyerahkan satu disket yang mengandung laporan sulit kepada Perdana Menteri. Disket itu kemudian ditanda oleh pihak polis bertajuk, 'X-rated' dan 'XXX-rated.'

Ummi juga memberitahu bahawa polis juga mengambil beberapa dokumen lain termasuk salinan pengakuan bersumpah oleh Azizan.

Setelah selesai mengambil bahan bukti di pejabatnya, kata Ummi, beliau telah dibawa semula ke Bukit Aman.

Azahar: ''Sebentar tadi, kamu beritahu Yang Arif, kamu telah menandatangani P18 pada 18 Ogos, sebelah malam, setelah tandatangan P18, apa terjadi pada kamu?''

Ummi: ''Selepas itu, saya dibebaskan lebih kurang pukul 12 malam dengan jaminan polis.''

Azahar: ''Kamu telah beritahu Yang Arif, pada malam 17 Ogos, SB telah melakukan penderaan mental, apakah kamu maksudkan?''

Ummi: ''Yang Arif, penderaan mental yang saya maksud ialah hampir setiap 1/2 jam DSP Aziz mengancam untuk menghantar saya ke lokap Jalan Travers bersama-sama penagih dadah dan pelacur, itu amat menakutkan saya ketika itu.''

Azahar: ''Cik Ummi, beritahu Yang Arif, pada 19 Ogos 1997, sebelum pukul 10 pagi adakah mana-mana pegawai polis hubungi kamu?''

Ummi: ''Ya, saya telah dihubungi oleh ACP Mazlan untuk hadir di Hotel Pan Pacific pukul 10 pagi.''

Azahar: ''Adakah kamu hadir di hotel tersebut?''

Ummi: ''Saya telah pergi ke Hotel Pan Pacific pada pukul 10 pagi.''

Azahar: ''Siapakah yang kamu temui?''

Ummi: ''Saya bertemu ACP Mazlan dan DSP Aziz di lobi hotel tersebut.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif apa yang berlaku seterusnya?''

Ummi: ''Saya telah dibawa ke sebuah bilik yang bernombor 1426.''

Azahar: ''Setiba di bilik itu beritahu apa yang berlaku?''

Ummi: ''DSP Aziz berkata, pengarahnya, Datuk Mohd. Said Awang tidak berpuas hati dengan surat penafian yang saya kemukakan sebelum ini dan dia mahu saya membuat satu lagi surat yang lebih komited.''

Azahar: ''Adakah surat sebelum ini P18?''

Ummi: ''Ya, benar, P18?''

Azahar: ''Kamu menyatakan bahawa dia ingin satu surat lagi yang lebih komited, ini berkenaan apa?''

Ummi: ''Surat lebih komited untuk menafikan segala pertuduhan ke atas tertuduh.''

Azahar: ''Adakah ACP Mazlan mencadangkan apa-apa?''

Ummi: ''Ya, DSP Aziz telah menyuruh saya membuat satu kenyataan umum memohon maaf untuk disiarkan secara langsung di semua TV1, TV2 dan TV3 tetapi saya tidak bersetuju sama sekali.''

Azahar: ''Apa sebabnya kamu tidak bersetuju?''

Ummi: ''Kerana ini mungkin menjejaskan kredibiliti saya dan dianggap sebagai orang yang tidak mempunyai prinsip.''

Azahar: ''Setelah kamu enggan membuat apa yang dicadangkan adakah dia minta kamu buat sesuatu lagi?''

Ummi: ''Ya, akhirnya DSP Aziz minta saya membuat satu lagi kenyataan umum secara bertulis.''

Azahar: ''Adakah pada mulanya kamu bersetuju membuat kenyataan ini?''

Ummi: ''Sudah pasti saya tidak bersetuju sama sekali kerana seperti yang saya nyatakan pertuduhan saya mempunyai asas yang kukuh untuk diketengahkan.''

Azahar: ''Akhirnya, adakah kamu bersetuju dengan saranan DSP Aziz?''

Ummi: ''Ya, setelah lima jam saya didesak, dipaksa dengan keadaan yang tidak selesa, akhirnya saya bersetuju.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/12/1998

'Saya tidak cintai Anwar' -- Ummi jawab soalan peguam dalam suasana tegang

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ummi Hafilda Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah mencintai atau tergila-gilakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ummi memberi jawapan itu dalam suasana yang agak tegang apabila disoal balas bertubi-tubi oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando yang menimbulkan isu itu dalam pemeriksaan balasnya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-31 hari ini.

Fernando menyatakan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa soalan itu dikemukakan atas arahan anak guamannya, Anwar yang sedang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Para hadirin di galeri awam yang penuh sesak tergelak melihat gelagat peguam bela itu dan juga gaya Ummi menjawab setiap soalan dengan nada tegas dan hampir berlaku pertikaman lidah di antara saksi itu dengan peguam bela.

Ummi, 31, saksi pendakwa yang ke-17 sebagai saksi paling penting yang menulis surat dakwaan perihal salah laku Anwar dan dokumen setebal 19 muka itu kini dijadikan bahan bukti kes pihak pendakwa.

Fernando yang mengendalikan tugas menyoal balas saksi itu pada sesi pagi perbicaraan yang bersidang pukul 9 pagi ini antara lain memulakan soalannya: ''Saya ingin mengalihkan tajuk lain, adakah kamu bercinta dengan Anwar?''

Para hadirin kedengaran ketawa berdekah-dekah.

Ummi: ''Tidak pernah, saya tidak pernah jatuh cinta atau pun bercinta dengan tertuduh.''

Fernando: ''Adakah kamu menulis surat cinta?''

Ummi: ''Saya rasa saya boleh menyaman peguam.''

Hakim Augustine: ''Tak usah tinggikan suara, ini bulan Ramadan.'' Beliau mengingatkan saksi itu apabila Ummi memberi jawapannya dengan nada marah.

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya pernah menulis surat-surat cinta kepada tertuduh.''

Hakim Augustine: ''Beliau (Ummi) kata ini soalan yang ada unsur skandal''

Fernando: ''Tidak...Beliau kata hendak menyaman saya. Ini adalah arahan, saya baru diarahkan. Adakah Datuk Megat Junid beritahu kamu bahawa Anwar menyatakan kepada beliau (Megat) yang kamu menulis surat cinta?''

Ummi: ''Ya, Datuk Megat Junid ada menyatakan bahawa tertuduh telah membuat satu tuduhan kepada saya bahawa saya telah menghantar surat-surat cinta kepadanya.''

Hakim Augustine: ''Kepada tertuduh (Anwar)?''

Ummi: ''Ya.''

Fernando: ''Tadi kamu kata kamu mahu menyaman saya. Adakah kamu ingin menyaman tertuduh?''

Hakim Augustine mengingatkan supaya tidak menimbulkan lagi perkara itu.

Fernando: ''Adakah kamu cemburukan Shamsidar? (Kakak ipar Ummi).''

Ummi: ''Saya tidak pernah rasa cemburu kepada Shamsidar.''

Fernando: ''Kamu biasanya memastikan apabila ada kenduri di rumah Azmin dan Anwar dijemput, kamu akan berada di sana?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya ingin bersama di dalam setiap kenduri yang dihadiri oleh tertuduh di rumah Azmin.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, tolong bercakap benar bahawa kamu tergila-gilakan Anwar Ibrahim.''

Ummi: ''Tidak pernah Yang Arif.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa kamu tergila-gilakan Anwar dan kamu beritahu abang kamu, Azmin?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya tergila-gila tertuduh.''

Fernando: ''Soalan saya adakah kamu beritahu abang kamu, Azmin bahawa kamu tergila-gila tertuduh.''

Ummi: ''Saya juga tidak pernah memberitahu tertuduh bahawa saya tergila-gila tertuduh tetapi saya ada menyatakan saya menyanjunginya sebagai seorang pemimpin sebelum saya mengetahui siapakah dia sebenarnya.''

Fernando: ''Dan gambar yang dikemukakan di mahkamah (P48)?''

Ummi: ''Saya perlu beri penjelasan semasa saya ditahan pihak polis saya ada membawa gambar P48 bersama saya.''

Fernando: ''Dan polis mengambil daripada kamu semasa kamu ditahan?''

Ummi: ''Ya, saya menyerahkan gambar ini kepada Datuk Amir Junus (kini bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas).''

Fernando: ''Gambar ini kamu duduk di sebelah Anwar dan di sebelah kamu ialah Shamsidar?''

Ummi: ''Ya.''

Fernando: ''Berapa lamakah kamu menyimpan dalam beg tangan kamu sebelum kamu memberikan kepada polis?''

Ummi: ''Saya tidak pasti berapa lama gambar itu disimpan di dalam beg tangan saya.''

Fernando: ''Adakah kamu bersetuju, dengan izin mahkamah, adakah seseorang itu membawa barang orang yang mereka cinta?''

Hakim Augustine: ''Tanya soalan lain.''

Fernando: ''Adakah kamu meletakkan gambar itu atas bantal kamu?''

Ummi: ''Tidak!'' Nada suara Ummi meninggi lalu menyoal balik kepada Fernando: ''Pernahkah awak datang ke bilik saya?''

Fernando: ''Tidak mahu datang!'' Para hadirin tergelak kuat lagi. Fernando lalu menyoal: ''Atas bantal?''

Ummi nampak naik berang: ''Mana-manalah, sebenarnya saya membawa gambar ini bagi tujuan pihak polis mengenal identiti Shamsidar Taharin.''

Fernando mengubah soalan: ''Adakah kamu takut apabila ditangkap oleh polis?''

Ummi: ''Ya, saya takut dan terperanjat apabila ditangkap oleh polis.''

Fernando balik kepada tajuk soalannya: ''Saya katakan bahawa kamu beritahu beberapa orang jika kamu tidak dapat memiliki tertuduh, orang lain tidak boleh milikinya.''

Ummi dengan nada meninggi: ''Sekali lagi itu adalah tuduhan palsu. Saya tidak setuju bahawa saya ada menyatakan kepada beberapa orang bahawa tidak ada orang lain yang boleh miliki tertuduh kecuali saya.''

Hakim Augustine: ''Ini sesuatu yang mengaibkan. Ini haknya untuk menyaman kamu!''

Fernando yang tidak menghiraukan komen Hakim Augustine lalu menyoal: ''Saya katakan kamu membawa gambar untuk menunjukkan bahawa kamu rapat dengan tertuduh.''

Hakim Augustine: ''Apakah relevannya?''

Fernando: ''Beliau cuba menunjukkan ...''

Ummi menjawab soalan itu: ''Saya tidak pernah merasa bangga.''

Fernando: ''Tak apa, kita tinggalkan perkara itu. Ini soalan akhir saya, saya tanya adakah kamu takut apabila ditangkap polis?''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah pun beri jawapan. Tanya soalan lain.''

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/12/1998

Ummi nafi syarikatnya berhutang RM1.27j

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ummi Hafilda Ali menyangkal dakwaan peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat pengiklanannya sedang menghadapi petisyen penggulungan kerana menanggung hutang berjumlah RM1.27 juta.

Ummi berkata, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan peguam Christopher Fernando yang menyoalnya secara bertubi-tubi mengenai kedudukan kewangan syarikatnya.

Beliau berkata, ''Ya, syarikat saya ada menerima surat daripada peguam tetapi semuanya adalah dalam keadaan terkawal.''

Ummi memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa yang ke-17 dalam perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-31 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Fernando yang mengendalikan pemeriksaan balas saksi itu pada sesi pagi menimbulkan soalan dengan bertanya: ''Cik Ummi, adakah kamu telah dibuang oleh bapa kamu?''

Ummi: ''Tidak pernah, saya tidak pernah dibuang atau diketepikan oleh bapa saya.''

Fernando: ''Saya katakan kamu telah dibuang oleh bapa kamu?''

Ummi dengan nada meninggi: ''Adakah bapa saya beritahu awak? Saya tidak setuju saya telah dibuang oleh bapa saya.''

Fernando: ''Pada satu ketika kamu menjual kereta Mercedes bapa kamu untuk membayar hutang?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya menjual kereta Mercedes tanpa kebenarannya untuk membayar hutang saya.''

Fernando: ''Kamu mempunyai banyak hutang, Cik Ummi.''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju, Yang Arif bahawa saya mempunyai banyak hutang.''

Fernando: ''Adakah syarikat kamu mempunyai banyak hutang, ada atau tidak?''

Ummi: ''Perjalanan syarikat saya adalah terkawal.''

Fernando: ''Adakah kamu menerima banyak surat daripada peguam yang menuntut hutang?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden bangun membantah di bawah Seksyen 149 Akta Keterangan yang menyatakan soalan tidak boleh dibuat tanpa alasan munasabah.

Bagaimanapun, Hakim Datuk S. Augustine Paul mengarahkan supaya merujuk Seksyen 153 Akta tersebut.

Mohd. Yusof membaca seksyen tersebut yang menerangkan mengenai penyingkiran keterangan bagi menyangkal jawapan kepada soalan menguji kebenaran.

Tetapi, menurut Mohd. Yusof, di bawah Seksyen 151 yang berkaitan soalan lucah dan skandal, mahkamah boleh menghalangnya.

Hakim Augustine: ''Dalam kes ini, pihak pembela bersandar kepada soalan untuk menguji kredibiliti saksi. Mungkin soalannya ada kaitan.''

Mohd. Yusof: ''Tetapi Seksyen 151 tidak membenarkan kecuali pendapat mahkamah. Soalan itu suatu skandal.

Hakim Augustine: ''Kita lihat bagaimana soalannya.''

Fernando: ''Adakah benar beberapa surat tuntutan untuk menyelesaikan hutang?''

Ummi: ''Yang Arif, saya tidak menafikan dalam keadaan gawat.''

Hakim Augustine: ''Siapa yang terima ini, syarikat?''

Ummi: ''Ya, syarikat ada menerima surat daripada peguam tetapi saya yakin semuanya dalam keadaan terkawal.''

Fernando: ''Berapakah jumlahnya secara kasar?''

Ummi: ''Saya tidak pasti jumlah sebenar.''

Fernando: ''Nilainya berjumlah RM400,000 hingga RM500,000, adakah betul?''

Ummi: ''Saya tidak setuju jumlahnya besar.''

Fernando: ''Ada petisyen untuk menggulung syarikat kamu?''

Ummi: ''Daripada siapa?''

Fernando: ''Banyak.''

Hakim Augustine: ''Petisyen apa, bilakah ini berlaku, tarikhnya?''

Fernando: ''Ia bertarikh Januari 1998.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir ia tidak relevan. Ia sepatutnya di sekitar surat dakwaan itu.''

Pada peringkat ini juga Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan.

Fernando menyatakan bahawa petisyen itu terhadap Syarikat Karisma Advertising Sdn. Bhd.

Fernando: ''Hutang yang dituntut berjumlah RM1.27 juta, betul?''

Ummi: ''Tidak benar, sebab jumlah yang dimaksudkan tidak benar.''

Hakim Augustine: ''Berapakah jumlah sebenar?''

Fernando: ''RM1,271,674.90.''

Ummi: ''Sebab adanya kerjasama perniagaan yang akan dijalankan oleh saya bersama tuan punya syarikat tersebut. Akhirnya petisyen ini tidak dipakai.''

Fernando: ''Apa yang kamu maksudkan?''

Ummi: ''Adanya rundingan, macam mana saya nak terangkan semua ini, Datuk Lim Huah Leong, tentulah saya tidak boleh dedahkan di mahkamah. Petisyen tidak sah.''

Fernando: ''Apa yang kamu maksudkan tidak sah?''

Ummi: ''Petisyen dalam proses dibatalkan kerana kesilapan teknikal pihak pengurusan.''

Fernando: ''Adakah kamu hendak katakan RM1.27 juta itu perkara teknikal.''

Ummi lalu menerangkan bahawa itu adalah teknikal yang melibatkan invois dan pengurusan.

Fernando: ''Siapa yang datang menyelamatkan kamu?''

Ummi: ''Tidak ada sesiapa.''

Fernando: ''Adakah kamu menulis surat kepada bapa kamu bahawa kamu akan diberikan satu kontrak bernilai berjuta ringgit?''

Ummi: ''Mungkin tidak ada tahun ini.''

Fernando: ''Mungkin tahun ini?''

Ummi: ''Saya tidak ingat pada tahun ini saya ada menulis surat kepada bapa saya menyatakan saya telah menerima kontrak bernilai jutaan ringgit.''

Fernando: ''Kamu tidak boleh ingat perkara yang sangat penting itu?''

Ummi: ''Dalam proses untuk mendapatkan kontrak.''

Fernando: ''Sekarang sudah terbukti.''

Ummi: ''Tentulah saya tidak ingat, kontrak pengiklanan.''

Fernando: ''Dedahkan.''

Ummi: ''Saya dalam proses untuk mendapat kontrak pengiklanan di KLIA dari MAB (Malaysia Airports Berhad).''

Fernando: ''Saya bertanya sekali lagi bahawa kamu menulis kepada bapa kamu menyatakan dapat kontrak berjuta ringgit.''

Ummi menyatakan beliau tidak pasti ada menulis surat kepada bapanya.

Fernando: ''Cik Ummi, pada masa yang sama kamu menghantar RM1,000 dan akan hantar lebih lagi.''

Hakim Augustine: ''Apa kena mengena dengan RM1,000?''

Fernando: ''Saya bertanya tentang surat malah saya hendak mencungkil ingatannya.''

Hakim Augustine: ''Apa soalannya?''

Fernando: ''Kita tengok apa jawapannya.''

Ummi: ''Yang Arif, perlukah saya menjawab?''

Gani: ''Ini soalan secara membuli.''

Fernando tidak hirau dengan bantahan Gani terus menyoal: ''Adakah kamu diberi kontrak oleh Pemadam?''

Ummi: ''Ya, saya diberi kontrak selama lima tahun bagi menjalankan projek anti dadah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.''

Fernando: ''Berapakah nilai kontrak itu?''

Ummi: ''Tidak ada jumlah sebenar terpulang kepada pelanggan.''

Fernando: ''Berapakah nilainya?''

Ummi: ''Lebih kurang RM1 juta atau RM2 juta setahun.''

Fernando: ''Benarkah Pengerusi Pemadam Datuk Megat Junid?''

Ummi: ''Ya, benar.''

Fernando: ''Berhubung projek KLIA, adakah kamu berjumpa dengan Tan Sri Basir Ismail?''

Ummi: ''Ya, benar, bagi projek KLIA saya ada berjumpa Tan Sri Basir di pejabatnya.''

Fernando: ''Perjumpaan itu adakah diatur oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu pergi bersama Tan Sri Rahim Thamby Chik?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa perjumpaan itu diatur oleh Tun Daim.''

Fernando: ''Adakah kamu ditemani oleh Tan Sri Rahim?''

Ummi: ''Saya berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir.''

Fernando: ''Adakah kamu diatur untuk berjumpa beliau di sana?''

Gani membantah.

Hakim Augustine: ''Ubah cara soalan. Beliau (Ummi) sudah menjawabnya.''

Perbicaraan bersambung esok.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/12/1998

Perbicaraan semakin hangat

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Suasana perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini semakin hangat dan sekali sekala menjadi begitu tegang apabila Ummi Hafilda Ali yang merupakan saksi pendakwa ke-17 bertikam lidah dengan peguam bela yang menyoal balasnya.

Pada satu peringkat para hadirin di galeri awam tergelak ketika peguam bela Anwar, Christopher Fernando menimbulkan soalan yang dikatakannya mengenai perbualan Ummi dengan isteri kedua Datuk Seri Megat Junid, Ziela Jalil di sebuah tandas awam mahkamah itu.

Fernando: ''Sekarang mengenai di tandas baru-baru ini, adakah Ziela Jalil memberitahu kamu selepas Azizan Abu Bakar menyatakan sebanyak tiga kali bahawa Datuk Seri Anwar tidak melakukan apa-apa terhadapnya sebab itu dia masih pergi ke rumahnya, adakah Ziela beritahu kamu, ini semua kerana cerita yang kamu buat dan kini Azizan dalam kesusahan, ya atau tidak?''

Ummi: ''Sepanjang berada di mahkamah hampir dua bulan yang lalu, tidak satu keadaan pun saya bersama Ziela berada di dalam tandas dan saya hairan bagaimana Encik Fernando boleh masuk tandas wanita?''

Fernando: ''Jangan terkejut. Saya tidak pergi ke tandas wanita.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Soalan kamu itu mestilah disokong jika tidak inilah padahnya.''

Ummi pula dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya selepas Fernando menjawab semula soalannya.

Fernando: ''Kami boleh berlegar-legar.''

Dalam soalan lain pula Fernando bertanya: ''Adakah kamu beritahu orang lain bahawa kamu ada berunding untuk mendapatkan ganjaran bagi diberikan kepada Azizan Abu Bakar?''

Ummi: ''Saya tidak pernah menyatakan kepada sesiapa bahawa saya cuba berunding bagi pihak Azizan untuk jumlah wang yang perlu dibayar kepadanya.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu orang lain jumlah pertama kepada Azizan sebanyak RM1 juta?''

Hakim Augustine mengingatkan Fernando tiada guna beliau menyoal secara demikian.

Ummi: ''Tidak benar, saya tidak beritahu orang Azizan akan mendapat bayaran pertama RM1 juta.''

Fernando: ''Saya katakan kamu yang memujuk Azizan membuat keterangan palsu.''

Ummi: ''Yang Arif, surat pengakuan Azizan dengan penuh keinsafan dan perasaan ingin bertaubat. Saya perlu beri penjelasan dalam satu insiden, kami sempat merakamkan perbualan tertuduh (Anwar) dengan Azizan di mana tertuduh merayu-rayu dan minta kerjasama Azizan untuk menafikan segala pertuduhan.''

Ummi: ''Ini bukan rekaan Yang Arif, izinkan saya memetik dialog ini. Rakaman ada dengan Datuk Aziz Shamsuddin (Setiausaha Politik Perdana Menteri). Ia bukan rekaan, Mr. Fernando, ini bulan Ramadan.''

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/12/1998

Ummi nafi diperalatkan -- Tidak setuju dakwaan Daim menyuruhnya tulis surat kepada PM

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Ummi Hafilda Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah diperalatkan oleh mana-mana tokoh korporat atau tokoh politik untuk menulis surat dakwaan perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ummi juga tidak bersetuju tohmahan peguam bela Anwar bahawa Menteri Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin menyuruhnya menulis surat itu kerana beliau yang meminta supaya ia dihantar kepada Perdana Menteri (PM).

Ummi juga menyangkal bahawa surat itu diderafkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob.

Beliau memberitahu demikian ketika menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas pihak pembela.

Ummi, 31, sebagai saksi pendakwa ke-17 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-32 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Peguam Gurbachan Singh menyambung soal balasnya sebaik sahaja sidang mahkamah bermula pukul 9 pagi ini.

Gurbachan: ''Berapa kali kamu bertemu Tun Daim?''

Ummi: ''Hanya sekali sahaja.''

Gurbachan: ''Di mana dan bila?''

Ummi: ''Di pejabat beliau pada Ogos 1997.''

Gurbachan: ''Adakah ia berkaitan dengan surat yang dihantar kepada PM?''

Ummi: ''Benar, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Dan berapa kali pula kamu bertemu Datuk Seri Megat Junid?''

Ummi: ''Saya bertemu beliau hampir setahun lalu.''

Gurbachan: ''Sebelum setahun atau sebelum kamu buat ini (surat dakwaan perihal salah laku Anwar)?''

Ummi: ''Itu pun tidak benar Yang Arif, saya tidak bertemu dengan beliau tetapi berurusan melalui isterinya, Ziela Jalil.''

Gurbachan: ''Adakah kamu ingin katakan kamu tidak pernah berjumpanya secara peribadi?''

Ummi: ''Ya, saya pernah berjumpa beliau dalam majlis formal Pemadam Kebangsaan.''

Gurbachan: ''Ziela Jalil juga ada di sana?''

Ummi: ''Ziela Jalil merupakan seorang kawan yang saya kenali beberapa tahun lalu.''

Gurbachan: ''Siapa yang mengatur pertemuan dengan Tun Daim?''

Ummi: ''Pertemuan itu diatur oleh Megat Junid.''

Gurbachan: ''Adakah benar kamu bertemu Tun Daim sebelum menghantar surat kepada PM?'

Ummi: ''Benar, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah beliau beritahu kamu supaya menulis surat itu?''

Ummi: ''Tidak, sebaliknya saya yang meminta bantuannya untuk menyampaikan surat itu pada PM.''

Gurbachan: ''Bila kamu menyebut mengenai surat itu?''

Ummi: ''Semasa surat itu masih dalam simpanan saya.''

Gurbachan: ''Jadi, kamu tak berikan surat itu kepada Daim pada hari pertemuan dengannya?''

Ummi: ''Tidak, saya hanya menyerahkannya beberapa hari kemudian.''

Gurbachan: ''Berapa hari selepas itu?''

Ummi: ''Saya tidak pasti, mungkin 4 atau 5 hari.''

Gurbachan: ''Adakah kamu sendiri menyerahkannya?''

Ummi: ''Tidak, Yang Arif, saya menghantarnya ke rumah Ziela Jalil untuk disampaikan kepada suaminya, Datuk Seri Megat Junid.''

Gurbachan: ''Bagaimana dengan surat kepada Tun Daim, adakah ia diserahkan kepadanya?''

Ummi: ''Saya berikan surat itu kepada Ziela untuk disampaikan kepada Megat Junid yang kemudian menyerahkannya kepada Daim supaya dihantar kepada PM.''

Gurbachan: ''Berapa salinankah yang kamu berikan kepada Ziela?''

Ummi: ''Kalau tak silap, saya serahkan tiga salinan, satu untuk PM, satu kepada Daim dan satu lagi kepada Ziela.''

Gurbachan: ''Adakah kamu beri apa-apa arahan lain kepada Ziela?''

Ummi bertanya balik: ''Apa yang awak maksudkan?''

Gurbachan: ''Adakah kamu membuat apa-apa permintaan berhubung surat itu?''

Ummi: ''Saya tidak beri apa-apa arahan kepada Ziela.''

Gurbachan: ''Pada pertemuan dengan Daim itu, adakah kamu meminta supaya dihantar satu salinan kepada PM.''

Ummi: ''Dalam pertemuan dengan Tun Daim, saya ada memintanya menghantar surat itu kepada PM.''

Gurbachan: ''Dan beliau bersetuju untuk menyampaikannya?''

Ummi: ''Pada mulanya beliau agak keberatan tetapi setelah mendengar cerita dari saya bahawa laporan itu mempunyai asas, beliau bersetuju membantu saya untuk menghantar surat itu kepada PM.''

Gurbachan: ''Berapa lama kamu bertemu Daim?''

Ummi: ''Tempoh yang diambil untuk saya berbincang dengan Tun Daim ialah setengah jam.''

Gurbachan: ''Dalam tempoh setengah jam itu kamu menceritakan kepada beliau tentang syak wasangka kamu.''

Ummi: ''Ya, saya menceritakan hal salah laku TPM dalam tempoh tersebut.''

Gurbachan: ''Adakah kamu pastikan sama ada surat itu akan dihantar kepada PM?''

Ummi: ''Itu saya tidak pasti sama ada surat itu telah dihantar oleh Tun Daim kepada PM.''

Gurbachan: ''Adakah kamu juga berbincang dengan Ziela mengenai syak wasangka kamu itu?''

Ummi: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu Yang Arif, bilakah surat bertarikh 5 Ogos 1997 itu dibuat?''

Ummi: ''Saya kurang pasti bila atau berapa hari sebelum saya bertemu dengan Tun Daim.''

Gurbachan: ''Nyatakan lebih kurang bila seminggu atau dua minggu.''

Ummi: ''Mungkin 10 hari, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah kamu berbincang mengenai isu ini dengan Dr. Ristina Majid?''

Ummi: ''Ya.''

Gurbachan: ''Bila?''

Ummi: ''Pada Ogos 1997.''

Gurbachan: ''Adakah kamu berbincang dengan Datuk Aziz Shamsuddin (Setiausaha Politik PM)?''

Ummi: ''Ya, saya juga berbincang bersama Datuk Aziz di pejabat Dr. Ristina.''

Ummi menyatakan beliau tidak ingat tarikh sebenar pertemuan itu.

Gurbachan: ''Berapa kali kamu bertemu dengan Tan Sri Rahim Thamby Chik?''

Ummi: ''Saya bertemu beliau sebanyak dua kali.''

Gurbachan: ''Bilakah pertama kali kamu menemuinya?''

Ummi: ''Saya tak ingat tarikh tetapi pada tahun lepas (1997).

Gurbachan: ''Dan pertemuan di pejabat Tan Sri Basir Ismail (keterangan ini disebut semalam di KLIA) adalah kali kedua?''

Ummi: ''Tidak, itu hanyalah secara kebetulan. Saya ada bertemu dengan Tan Sri Rahim di pejabatnya di Melaka bersama dengan Zamrah Lajis (rakan kongsi perniagaannya).''

Gurbachan: ''Kamu juga ada membincangkan salah laku TPM dengan Tan Sri Rahim?''

Ummi: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Kamu juga bertemu Tan Sri Rahim di Pulau Pinang?''

Ummi: ''Benar, secara kebetulan dalam majlis penerangan yang diadakan di Pulau Pinang.''

Gurbachan: ''Adakah benar kamu bertemu dengan Tan Sri Sanusi Junid?''

Ummi: ''Saya tidak pernah bertemu dengan Sanusi.''

Gurbachan: ''Adakah benar bahawa kamu beritahu abang kamu, Azmin bahawa surat itu dideraf oleh Megat Junid?''

Ummi meninggikan suara: ''Itu adalah pembohongan besar daripada Azmin.''

Gurbachan: ''Pernahkah kamu menyatakan kepada Azmin bahawa kamu telah diperalatkan oleh orang lain?''

Ummi: ''Itu tidak benar.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/12/1998

Pita rakaman: Mahkamah putuskan hari ini

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan esok untuk menentukan sama ada peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan mengemukakan pita rakaman perbualan di antara Ummi Hafilda Ali dengan seorang ahli perniagaan Sarawak, Datuk S'ng Chee Huah.

Pita itu didakwa mengandungi unsur konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Peguam Gurbachan Singh, dalam perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-32 hari ini turut membacakan beberapa petikan daripada transkrip perbualan itu ketika menyoal balas Ummi yang merupakan saksi pendakwa ke-17.

Bagaimanapun transkrip perbualan itu tidak boleh disiarkan oleh pihak media atas arahan mahkamah.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada peringkat menyoal balas Ummi, Gurbachan memetik dialog-dialog yang didakwa perbualan Ummi dengan S'ng.

Hakim Datuk S. Augustine Paul melarang petikan-petikan dialog itu disiarkan sehingga beliau membuat keputusan bagi permohonan pihak pembela untuk memainkan pita rakaman perbualan saksi itu.

Gurbachan: ''Yang Arif, saya memohon Yang Arif untuk memainkan kaset perbualan saksi ini bagi menunjukkan sama ada Ummi mengaku atau menafikan adakah itu suaranya atau tidak seperti yang ditimbulkan dalam soalan saya.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah permohonan itu di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan.

Hakim Augustine: ''Soalan ini ditimbulkan oleh pembela untuk menyangkal tuduhan, saya tidak tahu sama ada ini boleh diterima pakai. Ini kamu (peguam bela) kata ia boleh disebutkan sebagai keterangan.''

Gurbachan memberi hujahnya: ''Sebab utama perbualan ini ditimbulkan kepada saksi ini apabila beliau menafikan petikan perbualan yang pertama dan selepas itu beliau menyatakan tidak ingat.''

Beliau menambah: ''Demi keadilan bagi pemeriksaan balas untuk mendengar perbualan ini bagi disahkan kepada mahkamah adakah itu suaranya (Ummi). Bagi membuktikan melampaui keraguan. Pihak pembela mempunyai hak untuk menyangkal kes pendakwa.''

Hakim Augustine: ''Tetapi sekarang masih pada peringkat kes pendakwa.''

Gurbachan merujuk kuasa undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Agung terdahulunya.

Hakim Augustine: ''Tetapi ini bukan perbualan dalam kes pendakwa, ia dalam kes pembela.''

Gurbachan: ''Tetapi kami boleh menyangkalnya semasa dalam kes pendakwa bagi mewujudkan pembelaan.''

Hakim Augustine kemudian bertanya kepada pihak pendakwa raya dan meminta mereka menghujah balas.

Mohd. Yusof masih merujuk Seksyen 153 Akta Keterangan ketika membuat bantahan.

Hakim Augustine kemudian meminta supaya kedua-dua pihak merujuk kepada Seksyen 145 akta itu dan menyatakan sehingga kini belum ada keputusan kuasa undang-undang berhubung akta tersebut di negara ini.

(Seksyen 145 (2) berbunyi: Jika seseorang saksi, apabila diperiksa balas mengenai pernyataan lisan yang dibuat olehnya yang relevan dengan perkara-perkara yang dipersoalkan dalam guaman atau prosiding dalam mana dia diperiksa balas itu dan yang tak konsisten dengan keterangan yang sedang diberinya, tidak mengaku dengan nyatanya bahawa dia telah membuat pernyataan itu.

Maka bukti (dalam kes ini pita rakaman) bolehlah diberi yang dia telah sebenarnya membuat pernyataan lisan itu. Tetapi sebelum bukti boleh diberi, hal keadaan pernyataan yang dikatakan itu yang cukup untuk menentukan hal kejadian tertentu itu mestilah disebutkan kepadanya, dan dia mestilah ditanya sama ada telah membuat pernyataan itu atau tidak.)

Sehubungan itu, beliau meminta kedua-dua pihak menyediakan hujah mereka dengan merujuk mana-mana kuasa undang-undang dari India atau Sri Lanka.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/12/1998

Azmin marahkan Ummi

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Mohd. Azmin Ali memarahi adiknya, Ummi Hafilda, kerana menulis surat yang mengandungi syak wasangka terhadap isterinya, Shamsidar Taharin, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ummi menyatakan abangnya, Azmin, yang merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar, kemudian telah 'membuang' adik-beradik lain yang menyokongnya membuat surat dakwaan itu selepas pertemuan keluarga pada bulan Jun tahun lalu.

Beliau memberitahu demikian ketika disoal balas bertubi-tubi oleh peguam Gurbachan Singh pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-32 hari ini.

Ummi, 31, pengarah urusan syarikat pengiklanan, Karisma Sdn. Bhd., adalah saksi penting pendakwa yang ke-17 dan beliaulah yang menulis surat berhubung dakwaan perihal salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ketika menyambung pemeriksaan balasnya, Gurbachan menyoal: ''Adakah benar kamu tidak menunjukkan surat itu kepada seorang lagi abang kamu, Azman?''

Ummi: ''Saya tidak setuju bahawa saya tidak merujukkan surat itu kepada Azman, abang saya.''

Gurbachan: ''Saya katakan kamu tidak bercakap benar.''

Ummi: ''Saya boleh panggil abang dan ahli keluarga lain, saya ada tujuh saksi lain.''

Gurbachan: ''Bolehkah kamu memanggil Azman?''

Ummi: ''Itu terpulang kepada dia.''

Gurbachan: ''Adakah perhubungan kamu dengan Shamsidar baik?''

Ummi: ''Hubungan saya dengan Shamsidar tidak begitu baik selepas 30 Jun 1997 apabila saya mengintipnya di Bangsar.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju bahawa kamu tidak memberi peluang kepadanya untuk membersihkan syak wasangka kamu?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya tidak memberi peluang kepada Shamsidar untuk berbuat demikian.''

Gurbachan: ''Bilakah kamu memberi peluang, adakah kamu bersemuka dengannya?''

Ummi: ''Saya adakan pertemuan adik-beradik di rumah kakak sulung saya, Norlia, di mana Azmin cuba menafikan segala-galanya.''

Gurbachan: ''Adakah Shamsidar di situ?''

Ummi: ''Pertemuan itu kami minta persetujuan...''

Gurbachan dengan nada meninggi: ''Adakah Shamsidar di situ?''

Ummi: ''Shamsidar tidak ada tetapi kami meminta pandangan Azmin berkenaan isu isterinya.''

Gurbachan: ''Selepas itu kamu tidak lagi bertemu dengan Shamsidar?''

Ummi: ''Ya, selepas itu saya tidak lagi bertemu dengan Shamsidar dan Azmin pada malam tersebut kerana Azmin telah 'membuang' kami sebagai adik-beradiknya.''

Gurbachan: ''Jadi kamu sebenarnya tidak bersemuka untuk syak wasangka kamu?''

Ummi: ''Yang Arif, saya perlu meminta izin suaminya (Azmin).''

Gurbachan: ''Ini sudah jelas...''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Beliau sudah menjawab.''

Peguam Christopher Fernando bangun untuk menambah: ''Saya fikir ini soalan penting.''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah menjawabnya, ini common sense. Saya hendak kamu memahami common sense.''

Serentak itu juga, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah: ''Kita bukan memperkatakan pertuduhan. Ini perkara yang lain. Azizan Abu Bakar adalah saksi utama. Beliau (Ummi) penulis dakwaan (P14a, b dan c). Kita telah pergi kepada orang ketiga yang tidak berada di mahkamah.''

Hakim Augustine lalu mengarahkan Gurbachan supaya mengemukakan soalan lain.

Gurbachan: ''Jadi Azmin marah?''

Hakim Augustine: ''Keterangan mestilah inti patinya. Tetapi saya merekodkan setiap perkataan. Tanya soalan lain.''

Gurbachan: ''Soalan ini perlu ditanya mengikut Seksyen 272 Kanun Prosedur Jenayah.''

Hakim Augustine mengajukan soalan kepada Ummi: ''Jadi Azmin marah kerana syak wasangka terhadap isterinya?''

Ummi: ''Ya, Azmin telah memarahi ahli keluarga yang lain kerana isu ini.''

Gurbachan: ''Beliau marah kamu?''

Ummi: ''Ya, Azmin menyatakan kepada saya cerita ini tidak benar.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula membantah kerana tidak bersetuju isu keluarga Ummi ditimbulkan.

Gani: ''Mereka (pihak pembela) boleh membawa tentang konspirasi supaya didengar oleh seluruh dunia. Ini isu keluarga mengenai apa yang Azmin tahu, biarlah kita menerima realiti kecualilah peguam bela.''

Gurbachan menghujah balas dengan mengungkit isu yang ditimbulkan pihak pendakwa mengenai Azizan yang mendakwa diliwat tertuduh (Anwar) dan Sukma Darmawan.

Hakim Augustine: ''Walaupun isu keluarga, apa relevannya?''

Ummi dengan nada kuat menjawab soalan: ''Semasa surat itu dibuat ia mendapat sokongan keluarga.''

Gani: ''Saya fikir sesuatu yang salah untuk merujuk P14 (surat dakwaan yang ditulis oleh Ummi). Rakan bijaksana saya menyatakan seluruh keluarga (merujuk dokumen tersebut), ia tidak pernah menyebut bapa dan Azmin. Saya fikir ini salah.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir pergilah kepada isu yang lain sama ada keluarga setuju atau tidak.''

Gurbachan: ''Mungkin saya tanya satu lagi soalan, adakah kamu bersetuju Azmin dan Shamsidar tidak bersetuju dengan surat tersebut?''

Ummi: ''Mungkin Azmin dan Shamsidar tidak setuju mengenai laporan surat itu.''

Gurbachan: ''Semasa kamu di London adakah kamu menulis surat meminta maaf kepada Azmin?''

Ummi: ''Semasa saya di London saya ada menghantar surat simpati kepada Azmin bukan surat kemaafan.''

Gurbachan: ''Kamu simpati dengan keadaan kacau yang kamu timpakan kepadanya?''

Ummi: ''Tidak, saya simpati nasib yang menimpa dirinya di mana saya meminta dia menyerahkan masalah kepada Tuhan kerana bagi saya Allah yang mengetahui segala-galanya.''

Gurbachan dengan nada yang agak tinggi: ''Adakah gara-gara surat kamu itu menyebabkan keluarga kamu tersungkur?''

Ummi: ''Saya bukan nak menjawab. Mr. Gurbachan tak perlu menengking saya di bulan Ramadan. Don't yell at me.''

Para hadirin di bahagian bangku keluarga Anwar kedengaran menyebut: ''Hoo...!''

Hakim Augustine mencelah dengan komen: ''Ya, itu prinsip Islam.'' Beliau lalu menerangkan kepada saksi itu bahawa pihak pembela ingin menuntut kebenaran dakwaan tersebut.

Mohd. Yusof bangun membantah.

Hakim Augustine: ''Jawapan?''

Gurbachan mengajukan semula soalannya: ''Adakah kamu bersetuju bahawa surat kamu itu mencetuskan suasana (gempar) dalam negara ini?''

Ummi: ''Mungkin Yang Arif.''

Gurbachan: ''Sebelum surat ini tiada skandal sedemikian diperkatakan?''

Ummi: ''Sebelum surat ini, ahli keluarga, kakak dan ibu ada berbincang berkenaan skandal ini.''

Gurbachan: ''Kamulah penyebab yang membawa keluar masalah dalam keluarga kamu?''

Ummi: ''Saya tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa saya adalah penyebab yang membawa isu keluar dari keluarga.''

Gurbachan: ''Jika tidak siapa yang bertanggungjawab?''

Ummi: ''Saya membuatnya setelah mendapat sokongan dari kakak-kakak dan abang saya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu berbincang dengan keluarga kamu?''

Ummi: ''Saya hanya mengemukakan kepada orang yang rapat dengan Perdana Menteri.''

Gani: ''Yang Arif, faktanya bahawa surat dakwaan P14 a, b dan c disediakan oleh saksi ini. Ada fakta yang menyatakan beberapa salinan dibuat dan dihantar kepada Perdana Menteri dan satunya jatuh ke tangan Ketua Polis Negara (IGP). Soalan peguam bela adalah bertujuan untuk memalukan saksi.''

Gani menambah soalan peguam bela itu tidak sampai ke mana dan meminta biarlah perbicaraan ini berjalan dengan lancar.

Gurbachan menghujah balas bahawa soalan itu ditimbulkan kerana pihak pendakwa membuat tuduhan sebegitu rupa terhadap Anwar.

Hakim Augustine: ''Fakta yang menyentuh isu keluarga itu adakah ia relevan dengan tuduhan?''

Gurbachan: ''Tetapi ini sokongan dari seluruh keluarga.''

Hakim Augustine: ''Kamu boleh tanya satu dua soalan lagi dan tutup isu ini.''

Gurbachan: ''Baik Yang Arif. Cik Ummi, adakah kamu sebagai penyebab yang membawa keluar masalah keluarga?''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan soalan begini.''

Bagaimanapun, kepada satu soalan lain, Ummi mendedahkan bahawa seorang lagi abangnya, Azwan telah membuat laporan polis pada 12 Oktober lalu terhadap Azman dan Azmin apabila beliau menerima panggilan telefon dari ibunya yang menyatakan bahawa Azman ingin membakar baju-baju dan barang-barang peribadinya yang masih terdapat di rumah ibu bapanya.

Ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad, Ummi memberitahu bahawa Azmin ada mendesaknya untuk menarik balik dakwaannya melalui seorang ahli perniagaan, Datuk S'ng Chee Huah.

Azahar: ''Mengenai Azman, adakah tidak dia terlibat dengan siasatan kes ini?''

Ummi: ''Ya, abang saya, Azman juga ada membuat intipan terhadap Shamsidar yang menaiki kereta Daimler kepunyaan Datuk Nalla (rakan tenis Anwar, S. Nallakaruppan) ke Tivoli Villas, Bangsar pada 30 Jun 1997 dalam keadaan yang begitu mencurigakan.''

Azahar: ''Kamu juga telah menyatakan bapa kamu telah menukar pendiriannya semasa kamu tulis surat P14 itu, bagaimanakah pendiriannya?''

Ummi: ''Semasa surat dakwaan itu dibuat, bapa saya ketika itu menyatakan, 'sesiapa yang membuat kesalahan akan menanggung balasannya' dan dia bersetuju bahawa tingkah laku dan tindak tanduk Shamsidar menunjukkan sememangnya mempunyai kekasih.''

Azahar: Kamu tidak lagi berhubungan baik dengan Azmin dan Shamsidar, apa sebabnya kamu berhubung surat?''

Ummi: ''Walaupun saya dengan Azmin tidak baik tetapi perasaan kasih sayang sebagai adik terhadap abangnya masih ada di mana dalam perbualan saya dengannya saya menyatakan, 'I love you' dan ketika itu saya dimaki dengan perkataan 'bastard'. '' Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/12/1998

Permohonan dapatkan pakar ujian DNA ditolak

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini memutuskan menolak permohonan pembela dan pendakwa raya untuk mendapatkan pakar ujian DNA sebagai pemerhati dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Augustine berkata, beliau mengambil keputusan itu demi kepentingan keadilan bukan hanya untuk tertuduh (Anwar) tetapi juga negara.

Menurut beliau, kedua-dua pihak harus melakukannya sendiri dengan hanya memerlukan pembacaan buku-buku mengenai ujian DNA (asid deoksiribonukleik).

''Peguam sepatutnya merupakan pakar kepada segala pakar,'' kata Hakim Augustine ketika menolak permohonan peguam bela Anwar untuk memanggil pakar dari luar negara bagi memerhatikan saksi yang terdiri dari ahli kimia yang mungkin menyentuh mengenai ujian dalam kes Anwar esok.

Hakim Augustine juga menolak permintaan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang memohon agar dibenarkan seorang ahli kimia kanan dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Chee Ong Koh duduk di mahkamah sebagai pemerhati ketika saksi yang terdiri daripada ahli kimia memberi keterangan.

Beliau membuat keputusan itu pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-34 hari ini.

Menurut keputusan Hakim Augustine lagi bahawa persoalannya sama ada pakar boleh dipanggil ke mahkamah.

Hakim Augustine: ''Saya rasa dalam kes melibatkan orang yang tak siuman, mungkin ia perlu untuk pembela memanggil pakar. Dalam kes ini pula saya rasa bukan bersesuaian. Sepanjang pembacaan saya, ujian DNA hanya perkara perkiraan matematik di mana peguam bela boleh membacanya.''

Ketika membuat keputusannya itu, Hakim Augustine merujuk satu kes Kementerian Pengangkutan lawan Gary. Beliau berkata, keterangan pakar terlalu teknikal hinggakan pendakwa memohon penangguhan tetapi ia ditolak.

Gani kemudian memanggil saksi pendakwa ke-19, ahli kimia, Hitaya Jeevan a/l Narayasamy, 46.

Hitaya berkata, beliau menerima bungkusan tiga sampul bahan bukti kes itu yang dihantar kepada beliau oleh Penolong Penguasa Polis (ASP), Mohd. Rodwan Yusof pada 29 Julai lalu.

Menurut beliau, bungkusan itu mengandungi tilam dan bantal dan juga sampul surat yang dimeteri dengan cop Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Barang-barang itu, katanya, diserahkan pula kepada rakan setugasnya, ahli kimia, Lim Kong Boon pada 6 November lalu.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 29/12/1998

Anwar setuju darahnya diambil - Saksi


DR. ABDUL Halim Manzar (kanan) dan Dr. Zahari Noor yang mengambil contoh darah Anwar Ibrahim hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi pendakwa semalam.


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Ketua Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Abdul Halim Manzar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pemeriksaan penyakit berjangkit HIV, Hepatitis dan ujian penyakit sifilis VDRL (Venereal Disease Research Lab).

Dr. Abdul Halim, 49, berkata beliau bersama pakar forensik, Dr. Zahari Noor dan pembantu perubatan Zaidon Che Mat pergi ke Bukit Aman kira-kira pukul 11 pagi pada 28 September lalu.

Menurut pakar forensik itu, beliau diarahkan membuat pemeriksaan terhadap Anwar berhubung laporan polis Dang Wangi di sini.

Menurut beliau, Anwar membenarkan darahnya diambil bagi tujuan pemeriksaan HIV, Hepatitis dan VDRL.

Dr. Abdul Halim memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-18 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-34 hari ini.

Ketika mengendalikan pemeriksaan utama pendakwa, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: ''Adakah darah yang diambil daripada tertuduh dengan persetujuannya?''

Dr. Halim: ''Ya.''

Gani: ''Berapa banyak darah dan bagaimana ia diambil?''

Dr. Halim: ''Darah diambil dalam empat tiub mengandungi 2.5 cc.''

Gani: ''Adakah Dr. Zahari melabelkan darah tersebut?''

Dr. Halim: ''Dr. Zahari melabelkan dengan tanda A5o95.''

Gani: ''Dimanakah empat tiub itu diletakkan?''

Dr. Halim: ''Empat tiub itu dimasukkan dalam sampul berasingan, dimeterikan, diletakkan di tempat yang berbeza dan ia dimeterikan lagi dengan cop PDRM (Polis Diraja Malaysia) serta disimpan dalam peti sejuk di pejabatnya di HKL.

Gani: ''Pada 30 September lalu adakah sesiapa datang berjumpa kamu?''

Dr. Halim: ''Pada hari itu lebih kurang pukul 3 petang Timbalan Penguasa Polis (DSP) Choong Fui Foong datang berjumpa saya untuk mengambil satu contoh darah bagi dihantar ke makmal.''

Gani: ''Apakah contoh darah yang kamu ambil?''

Dr. Halim: ''HIV, hepatitis dan VDRL.''

Gani: ''Berapa contoh darah?''

Dr. Halim: ''Saya berikan satu contoh dan tiga lagi saya simpan.''

Gani: ''Pada 9 Disember lalu, lebih kurang pukul 1 petang, adakah sesiapa datang berjumpa kamu?''

Dr. Halim: ''Pada tersebut, ASP (Penolong Penguasa Polis) Mohd. Rodwan Yusof datang dan saya menyerahkan dua contoh darah kepadanya.''

Dr. Halim memberitahu bahawa pada 20 Disember lalu, ASP Rodwan datang mengambil satu lagi contoh darah tertuduh.

Gani: ''Sepanjang pengalaman kamu adakah pernah kamu membuat ujian DNA (asid deoksiribonukleik)?''

Dr. Halim: ''Saya ada mengendalikan ujian DNA.''

Gani: ''Bolehkah kamu beritahu bila dan di mana?''

Dr. Halim: ''Saya mengendalikan ujian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan HKL dan kami menghantar darah ke Jabatan Kimia dan juga ke luar negara. Saya tidak membuat ujian. Kami hanya mengambil darah kerana tidak ada kemudahan.''

Gani: 'Adakah kamu tahu prosedur terbaru mengendalikan ujian itu.''

Dr. Halim: ''Saya ada membaca mengenai prosedur terbaru itu.''

Christopher Fernando: ''Kamu memeriksa Anwar di Bukit Aman, benar?''

Dr. Halim: ''Ya.''

Fernando: 'Kamu membuat laporan berhubung perkara tersebut?''

Dr. Halim: ''Saya ada buat laporan.''

Fernando: ''Adakah laporan itu ada kena mengena dengan dakwaan Anwar dipukul?''

Gani membantah: ''Ini tidak ada relevan kerana ia dalam penyiasatan.

Fernando: ''Ini amat relevan.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Mengapa ia amat relevan?''

Fernando: ''Kerana kami ingin tahu mala fide, niat jahat. Mala fide adalah berterusan.''

Hakim Augustine: ''Itu sahaja?''

Fernando: ''Kami ingin tahu daripada Dr. Halim sama ada tertuduh dalam keadaan pengsan dan ini ada kaitan dengannya. Saya rasa ini penting.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan. Soalan ini tiada kaitan dengan tuduhan.''

Fernando: ''Boleh saya katakan sesuatu, doktor ini memeriksa beliau.''

Hakim Augustine: ''Pergi ke soalan lain.''

Fernando: ''Berapa laporan yang kamu buat?''

Dr. Halim: ''Satu laporan.''

Fernando: ''Laporan itu diberikan kepada siapa?''

Gani membantah.

Fernando: ''Beliau dipanggil oleh polis. Ini pasti untuk memeriksa keadaan kesihatan tertuduh. Dan, harus diingat bahawa ia berhubung dengan permohonan ikat jamin. Mengapa beliau pergi ke sana pasti relevan. Sekiranya dibenarkan saya ingin tanya satu soalan. Pendakwa raya dibenarkan membawa tilam sebagai bukti.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan isu ini ditanya. Saya beri amaran bahawa tiada lagi soalan seumpama ini.''

Fernando: ''Bolehkah saya bertanya mengapa saya tidak boleh menyoal mengenai perkara ini?''

Hakim Augustine: ''Ia tidak relevan.''

Dr. Halim: ''Dr. Zahari membantu saya membuat pemeriksaan.''

Fernando: ''Apakah pemeriksaan yang kamu lakukan?''

Gani membantah lagi dengan alasan tertuduh bukan diperiksa tetapi diambil contoh darah.

Hakim Augustine: ''Tolong buat soalan yang hanya merangkumi pengambilan darah.''

Fernando: ''Adakah keputusan (hakim) hanya untuk mengambil darah sahaja?''

Hakim Augustine: ''Keputusan mestilah menyoal mengenai pengambilan darah.''

Fernando: ''Yang Arif, saya ingin membuat permohonan untuk menyoal dan Yang Arif boleh menolaknya dalam pemeriksaan balas.''

Hakim Augustine: ''Keputusan mahkamah jelas.''

Fernando: ''Baiklah kalau tak boleh soal tak mengapa. Tetapi saya mempersoalkan keputusan ini.''

Hakim Augustine: ''Ia memusnahkan keputusan jika kamu mempersoalnya dan kamu tahu padahnya?''

Fernando: ''Saya tahu kamu (Hakim) membuat keputusan tetapi ia tidak menghalang kes anak guaman saya. Bolehkah kita tangguh sebentar?''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan.''

Fernando: ''Sekarang saya menarik balik soalan. Saksi pendakwa, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu mahkamah Dr. Zahari mengesahkan beliau mengambil contoh darah dan darah itu ada pemangkin dan tidak boleh dibuat ujian DNA, betul?''

Dr. Halim: ''Tidak.''

Fernando: ''Berapa kali kamu mengambil darah tertuduh. Adakah beliau dalam keadaan sedar semasa darah itu diambil?''

Dr. Halim: ''Beliau dalam keadaan sihat.''

Fernando: ''100 peratus sihat?''

Dr. Halim: ''Tidak semestinya sihat 100 peratus, orang sakit pun boleh diambil darah.''

Fernando: ''Adakah beliau (Anwar) sihat semasa diambil darah.''

Dr. Halim: ''Tidaklah sakit tenat.''

Fernando: ''Beliau sakit apa?''

Gani membantah.

Fernando: ''Adakah kamu memberi beliau ubat?''

Hakim Augustine: ''Perkara sakit tidak relevan.''

Fernando: ''Saya ingin bertanya sama ada beliau dipukul?''

Hakim Augustine: ''Sudah pasti saya tidak membenarkannya.''

Fernando: ''Saya mencuba sedaya upaya untuk menonjolkan kes anak guaman saya. Adakah berkemungkinan boleh mengambil darah ketika pengsan?''

Dr. Halim: ''Ya.''

Fernando: ''Itu sahaja.''

Selepas itu, Gurbachan pula menyoal balas dengan bertanya sama ada tertuduh memberi persetujuan bertulis membenarkan darahnya diambil.

Dr. Halim memberitahu bahawa Anwar menandatangani surat kebenaran itu pada 28 September lalu. Menurut Dr. Halim beliau tidak meminta kebenaran Anwar untuk mengambil darah bagi ujian DNA.

Perbicaraan bersambung esok.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 30/12/1998

2 sebab tidak ambil darah tertuduh - Saksi


CHRISTOPHER Fernando dan Gurbachan Singh menjawab soalan pemberita di luar Mahkamah Tinggi semalam.


KUALA LUMPUR 29 Dis. - Pakar forensik, Dr. Zahari Noor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memberi dua sebab kepada polis mengapa tidak boleh mengambil contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan ujian DNA (asid deoksiribonukleik).

Dr. Zahari berkata, Anwar hanya memberikan persetujuan bertulis untuk memeriksa darahnya bagi penyakit HIV, hepatitis dan ujian penyakit sifilis VDRL (Veneral Disease Research Lab).

Menurutnya, darah yang diambil hanya boleh diletakkan dalam satu bekas yang sesuai untuk ujian HIV dan keadaannya tidak dicampurkan dengan sebarang pengawet atau EDTA.

Sebelum itu, menurut Dr. Zahari, beliau telah meminta kebenaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk mengambil contoh darahnya bagi ujian DNA.

Dr. Zahari berkata, Anwar enggan memberikan persetujuan dengan alasan beliau harus merujukkan perkara itu kepada peguamnya.

Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-20 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-35 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Dr. Zahari, 36, yang berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) memberitahu bahawa beliau bersama Ketua Unit Forensik hospital itu, Dr. Abdul Halim Manzar telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan arahan supaya mengambil contoh darah Anwar pada pukul 11.30 pagi, 28 September lalu.

Pada awal soalan pemeriksaan utama, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: ''Pada 29 Julai lalu, adakah polis menghubungi kamu?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Apa tujuannya?''

Dr. Zahari: ''Bagi tujuan mengambil contoh darah untuk ujian DNA ke atas tiga orang iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun bernama Farah Afifah Mohd. Azmin, Shamsidar Taharin dan Mohd. Azmin Ali.''

Gani: ''Adakah kamu terima arahan itu?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Boleh kamu beritahu mahkamah di mana kamu mengambil tiga contoh darah itu?''

Dr. Zahari: ''Di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan HKL.''

Gani: ''Siapakah pegawai polis yang meminta kamu mengambil darah tersebut?''

Dr. Zahari: ''Penolong Penguasa Polis, Mohd. Rodwan Yusof.''

Gani: ''Doktor, selepas mengambil darah daripada ketiga-tiga mereka di manakah kamu letakkan darah itu?''

Dr. Zahari: ''Saya mengambil empat contoh darah daripada setiap mereka dan memasukkannya ke dalam bekas khas yang dipanggil EDTA. Ini untuk mengelakkan darah itu menjadi beku.''

Gani: ''Adakah kamu mengambil contoh darah itu di hadapan Mohd. Rodwan?''

Dr. Zahari: ''Ya, saya mengambil darah itu di hadapan Mohd. Rodwan.''

Gani: ''Contoh darah kamu letak di mana selepas itu?''

Dr. Zahari: ''Contoh-contoh darah itu telah dilabelkan dan dimeteri dengan cop HKL.''

Setelah selesai memasukkan contoh darah tersebut ke dalam sampul, kata Dr. Zahari, beliau menyerahkan kepada Mohd. Rodwan pada pukul 12.30 petang hari yang sama.

Gani kemudian mengalihkan soalannya: ''Pada 28 September lalu, adakah kamu dipanggil ke Bukit Aman.?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Semasa di Bukit Aman, adakah kamu bertemu dengan sesiapa?''

Dr. Zahari: ''Di Bukit Aman, saya bertemu dengan Mohd. Rodwan, Datuk Ramly dan Timbalan Penguasa Polis, Choong Fui Foong. Datuk Ramly adalah seorang pegawai polis tetapi saya tidak tahu pangkatnya.''

Gani: ''Selepas bertemu dengan mereka apa yang berlaku?''

Dr. Zahari: ''Selepas itu saya diminta bertemu dengan tertuduh (Anwar).''

Gani: ''Adakah kamu diminta mengambil contoh darah?''

Dr. Zahari: ''Pada mulanya, kami diminta mengambil persetujuan daripada Datuk Seri Anwar untuk menjalankan pemeriksaan. Beliau enggan memberikan kebenaran dengan alasan beliau harus merujuk kepada peguamnya dulu.''

Kemudiannya, menurut Dr. Zahari, Mohd. Rodwan meminta beliau mendapatkan sekali lagi persetujuan Anwar untuk mengambil contoh darahnya untuk ujian HIV di bawah Seksyen 7, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988.

Dr. Zahari: ''Dan tertuduh bersetuju diambil contoh darahnya untuk HIV, Hepatitis dan VDRL.''

Gani: ''Doktor, awalnya kamu menyatakan tertuduh enggan untuk memberikan contoh darahnya?''

Dr. Zahari: ''Ya, awalnya, beliau enggan memberi contoh darahnya untuk ujian DNA.''

Gani: ''Pada masa itu, adakah pembantu perubatan kamu ada bersama?''

Dr. Zahari: ''Pada 29 September lalu, beliau tidak bersama kami, hanya saya dengan Dr. Abdul Halim Manzar.''

Gani: ''Selepas beliau memberi persetujuan, apakah kamu buat?''.

Dr. Zahari: ''Tertuduh memberi persetujuan bahawa darah itu diletakkan dalam satu bekas kosong tanpa sebarang pengawet.''

Gani: ''Adakah betul jika saya katakan tanpa sebarang pengawet atau EDTA.''

Dr. Zahari: ''Ya, tanpa pengawet atau ETDA.''

Gani: ''Selepas itu apa berlaku?.''

Dr. Zahari: ''Kami memasukkan dalam empat bekas yang berasingan dan kemudian memasukkan pula ke dalam empat sampul. Semua sampul itu berasingan.''

Gani kemudian meminta saksi itu merujuk contoh darah Anwar yang ditandakan sebagai bahan bukti pihak pendakwa.

Dr. Zahari: ''Saya melabelkan A5095 dan menulis laporan polis Dang Wangi 14140/98 dengan menandakan contoh 'darah' bersama Dr. Halim pada 28 September lalu.

Gani: ''Adakah terdapat tampalan di sekeliling penutup tiub.''

Dr. Zahari: ''Ia terdapat tampalan di sekeliling tiub plastik. Tiga tiub lagi juga dilabel dengan tulisan tangan saya dengan merujuk A5095 bermakna Anwar Ibrahim. Saya meterikan dengan cop PDRM dan kemudian memasukkan empat sampul ke dalam satu sampul besar.''

Gani: ''Selepas itu apa berlaku dengan sampul tersebut.''

Dr. Zahari: ''Kami membawa balik sampul tersebut ke HKL dan menyimpan di dalam bilik Dr. Halim. Dengan lebih tepatnya di dalam peti sejuk biliknya.''

Gani: ''Pada 28 September lalu, adakah polis meminta sedikit darah selepas kamu mengambil contoh darah tertuduh?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Apakah sebabnya?''

Dr. Zahari: ''Kami memberitahu jika untuk tujuan ujian HIV, kami boleh memberikan kepada mereka. Bagaimanapun, 28 September itu adalah hari cuti umum, oleh itu kami meminta mereka mengambilnya pada hari kerja untuk dihantar ke Pusat Perkhidmatan Darah bagi ujian HIV, Hepatitis dan VDRL.''

Gani: ''Doktor, adakah polis meminta darah untuk tujuan yang lain?''

Dr. Zahari: ''Polis meminta contoh darah untuk ujian DNA. Kami menasihatkan mereka dengan dua alasan:

* Saya mendapat persetujuan daripada tertuduh untuk mengambil darah daripada beliau bagi tujuan ujian HIV.

* Saya juga mematuhi untuk meletakkan hanya dalam satu bekas yang sesuai bagi ujian HIV. Ini bermakna, ujian HIV itu diletakkan di dalam bekas tanpa sebarang pengawet atau EDTA.''

Gani: ''Doktor, apabila kamu memasukkan dalam empat tiub (darah) adakah kamu memeteri di atas penutupnya?''

Dr. Zahari: ''Saya tidak ingat.''

Gani: ''Adakah kamu yang mengambil contoh darah tertuduh?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Doktor, pada 30 September lalu, lebih kurang pukul 2 petang, adakah sesiapa datang bertemu kamu?''

Dr. Zahari: ''Ya, pegawai polis, Choong Fui Foong untuk mengambil satu contoh darah. Contoh darah ini, beliau menghantarnya ke Pusat Perkhidmatan Darah untuk ujian HIV, hepatitis dan VDRL.''

Gani: ''Siapa yang memberi darah itu kepada Choong?''

Dr. Zahari: ''Saya yang memberikan darah itu dengan kehadiran Dr. Halim.''

Gani: ''Adakah kamu sendiri mengambil darah itu dari peti sejuk dan menyerahkan kepada Choong?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Adakah ini dengan arahan dan kebenaran Dr. Halim?''

Dr. Zahari: ''Ya.''

Gani: ''Selepas kamu memberikan darah itu kepada Choong, apa yang berlaku dengan contoh darah yang lain?''

Dr. Zahari: ''Saya letak semula di bilik Dr. Halim.''

Selepas itu, menurut Dr. Zahari, pada 9 Disember lalu, Mohd. Rodwan datang mengambil dua contoh darah lagi dan ia diserahkan oleh Dr. Halim.

Gani: ''Sebelum 9 September itu, adakah Mohd. Rodwan dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan datang bertemu kamu untuk meminta mengambil darah tertuduh?''

Dr. Zahari: ''Mohd. Rodwan dan SAC Musa datang ke HKL untuk meminta mengambil contoh darah tertuduh bagi tujuan ujian DNA daripada darah yang kami ambil untuk ujian HIV.''

Gani: ''Apakah reaksi kamu?''

Dr. Zahari: ''Kami menyatakan contoh darah itu bukan untuk ujian DNA dan kamu beri sebabnya:

* Contoh darah bukan untuk ujian DNA.

* Ia tidak sesuai untuk ujian DNA.

* Pada pendapat kami, ujian DNA tidak boleh dipercayai.

* Ia boleh menghasilkan keputusan menyimpang kerana kami telah meletakkan contoh darah tanpa pengawet atau EDTA.''

''Kami mencadangkan bahawa kami bersedia untuk mengambil contoh darah tertuduh pada bila-bila masa di Sungai Buluh jika tertuduh memberikan persetujuannya,'' menurut Dr. Zahari.

Gani: ''Adakah HKL mengendalikan ujian DNA?''

Dr. Zahari: ''Tidak.''

Gani: ''Adakah pernah kamu mengendalikan ujian DNA?''

Dr. Zahari: ''Tidak pernah.''

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 30/12/1998

Hasil ujian ke atas tilam diketahui hari ini

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Seorang ahli kimia forensik, Lim Kong Boon memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau membuat ujian ke atas tilam yang dikatakan terdapat kesan tompokan air mani dan bantal yang dirampas di sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa yang dijadikan bahan kes dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Lim, beliau memeriksa tilam jenama Orthoflex Classic berukuran panjang 6 kaki 3 inci kali 5 kaki dan tebalnya 8 inci.

Beliau juga membuat pemeriksaan ke atas sebuah bantal 'Sleepnite.'

''Saya mendapati pada permukaan tilam tersebut ada beberapa kesan tompokan,'' kata Lim.

Bagaimanapun, Lim hanya dapat memberitahu pada peringkat itu sahaja dan hasil ujiannya hanya diketahui esok apabila beliau menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwa ke-21 dalam perbicaraan Anwar.

Lim, 44, berkhidmat di Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor, dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-35 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Dalam pemeriksaan awalnya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail mengenai pengalaman Lim yang bertugas sebagai ahli kimia forensik.

Lim berkata, beliau bertugas sejak 1994 dalam bidangnya setelah mengikuti pengajian tinggi dan seminar berhubung ujian DNA.

Gani: ''Sejak November 1994, sehingga hari ini, berapa banyak ujian DNA yang kamu jalankan?''

Lim: ''Saya sudah mengendalikan 200 ujian DNA terutama atas permintaan polis dan swasta. Malah saya pernah mengendalikan ujian untuk mengenal keturunan dalam satu kes di Dubai.''

Gani meminta Lim menceritakan contoh kes yang pernah dikendalikannya bagi kes polis untuk ujian DNA.

Lim: ''Kes-kes polis ialah pembunuhan, menyebabkan kematian, kes rogol.

Mengenal pasti mangsa dalam kebakaran dan mangsa yang mati hangus dan juga ujian daripada rangka tubuh mangsa.''

Gani: ''Adakah makmal di Jabatan Kimia itu sama dengan makmal-makmal yang lain?''

Lim menerangkan makmal bagi ujian DNA itu telah dibina oleh pasukan pakar teknikal dan garis panduannya diiktiraf oleh Amerika Syarikat.

Gani: ''Bolehkah kamu ceritakan kes-kes yang melibatkan kepentingan awam yang telah kamu jalankan ujian DNA?''

Lim yang memohon untuk merujuk notanya memberitahu bahawa contohnya, beliau kendalikan kes kemalangan yang berlaku di satu lebuh raya pada Disember 1996.

Kemalangan itu, katanya, melibatakan sebuah bas ekspres dan sebuah lori yang membawa besi keluli.

Menurutnya, sebanyak 13 mangsa yang semuanya terdiri daripada warganegara Singapura hampir tidak dapat dikenali.

''Saya menjalankan ujian DNA di makmal Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk mengenali pasti identiti 13 mangsa itu,'' kata Lim.

Pada masa itu, menurutnya, beliau dengan positif berjaya membuat perbandingan melalui ujian DNA daripada contoh darah dan tisu mangsa dengan orang yang paling dekat dengan mereka.

Dalam kes kedua, kata Lim, pada Januari hingga Mei 1997 berlaku sebanyak 14 kes rogol dan ia dihantar kepada pihaknya untuk dianalisis.

''Polis mengesyaki bahawa perbuatan itu dilakukan oleh perogol bersiri.'' kata beliau.

''Saya sendiri terlibat secara langsung untuk membuat analisis enam daripada 14 kes tersebut,'' jelas Lim.

Lim berkata, beberapa kesan air mani diambil daripada 10 kes itu dan dicampurkan di antara satu sama lain.

Hasil ujian DNA itu mengenal pasti identiti 10 kesan air mani itu adalah daripada seorang sahaja sebagai orang yang disyaki.

Ekoran itu, katanya, pada Mei 1997, orang yang disyaki itu ditangkap dan contoh darahnya telah dibuat ujian DNA dan hasilnya menunjukkkan semua kesan air mani itu terdapat dalam 10 kes tersebut.

Selain itu, Lim juga mengesahkan bahawa ujian darah DNA Mohd. Azmin Ali dan Shamsidar Taharin membuktikan bahawa mereka adalah ibu bapa kandung kepada anaknya, Farah Afifah Azmin.


-----------------------------------------------------------------------------------------------

---ARKIB : 31/12/1998

Ujian DNA bahan bukti

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwa mengemukakan ujian DNA darah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bahan bukti pada perbicaraan terhadapnya atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Sehubungan itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul menolak bantahan peguam bela Anwar berhubung pengambilan darah untuk ujian DNA tanpa persetujuan beliau.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Augustine berkata isu yang dibangkitkan oleh peguam bela Anwar, Gurbachan Singh ialah sama ada keterangan ahli kimia forensik, Lim Kong Boon boleh diterima sebagai bahan bukti kes itu atau sebaliknya.

Beliau berkata, dalam kes ini, mahkamah menimbangkan bahawa contoh darah yang diambil daripada tertuduh (Anwar) bagi satu tujuan dan bukan digunakan untuk tujuan yang lain.

''Apa yang dipertimbangkan ialah sama ada ia relevan untuk menunjukkan kesalahannya,'' ujar beliau.

Hakim Augustine merujuk tiga kes dari Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand mengenai penggunaan contoh darah yang diambil secara haram.

''Dalam ketiga-tiga kes ini keterangan mengenai contoh darah dicabar dengan alasan bahawa ia menunjukkan kesalahan terhadap tertuduh.''

Bagaimanapun, jelas beliau, ketiga-tiga keputusan itu mendapati ia hanya terpakai pada keterangan yang dibuat melalui surat akuan yang sah.

Gurbachan yang mengemukakan hujah bantahan menyatakan, saksi pendakwa ke-18, Ketua Forensik Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), Dr. Abdul Halim Manzar telah bertemu tertuduh atas arahan polis pada 28 September lalu.

Gurbachan: ''Tertuduh enggan memberikan contoh darahnya dan beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian. Dr. Halim juga mengesahkan bahawa persetujuan haruslah diperolehi daripada seseorang sebelum contoh darahnya diambil.''

----------------------------------------------------------------------------------------




ARKIB : 31/12/1998

Saksi: Kesan di tilam milik Anwar, Shamsidar

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kesan-kesan tompokan air mani Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shamsidar Taharin pada tilam yang dirampas dari sebuah unit apartmen mewah Tivoli Villa dan kini menjadi bahan bukti pendakwa dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Seorang ahli kimia forensik, Lim Kong Boon berkata, beliau menemui kesan air mani tersebut setelah menjalankan ujian DNA ke atas 13 tompokan yang terdapat pada tilam tersebut.

Lim menerangkan bahawa beliau membuat perbandingan profil yang diambil daripada contoh darah Anwar dan Shamsidar yang merupakan isteri bekas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali.

Ketika memberitahu demikian, Lim merujuk Shamsidar sebagai Wanita 2 dan contoh darahnya ditanda B.

Beliau juga merujuk contoh darah Anwar dengan hanya menggunakan nama A5095 dan hasil ujian DNA itu disebutkan sebagai Lelaki 1.

''Rujukan saya berdasarkan hasil ujian DNA yang saya peroleh daripada contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim,'' kata Lim.

Bagaimanapun peguam bela Anwar, Gurbachan Singh mengemukakan bantahan dengan alasan bahawa tertuduh tidak pernah membenarkan contoh darahnya diambil bagi ujian DNA.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail segera mencelah:

''Biarlah saya menjawab, kami telah membuktikan P97 (contoh darah Shamsidar), jika tidak, tentu beliau tidak tahu.''.

Hakim Datuk S. Augustine mencelah:'' Beliau diberikan contoh darah tanpa nama.

Gani: ''Pada sepanjang analisisnya, beliau tidak tahu bahawa darah tersebut dibuktikan daripada Anwar.''

Hakim Augustine kemudian mengarahkan supaya Lim hanya menyebut nombor sahaja apabila merujuk nama Anwar.

Selepas itu Lim merujuk Anwar sebagai A5095.

Gurbachan: ''Saya juga memohon padamkan nama Shamsidar.

Lim: ''Saya diberitahu oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd. Rodwan Yusof.''

Kaum keluarga Anwar yang berada di galeri awam kedengaran bising dan ada setengahnya cuba bertepuk tangan. Turut berada bersama mereka ialah isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan anak sulungnya, Izzah.

Hakim Augustine segera menegur: ''Orang awam, jangan anggap mahkamah ini macam sebuah pawagam.''

Bagaimanapun selepas itu, Hakim Augustine menolak bantahan peguam bela dan mengarahkan Lim meneruskan keterangannya.

Lim, 44, saksi pendakwa ke-21 memberi keterangannya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-36 hari ini.

Selepas itu, Lim sambil merujuk notanya menyatakan beliau menjalankan ujian yang dikenali Asid Phosphatase untuk menentukan sama ada kesan-kesan tompokan itu adalah air mani.

Menurut beliau terdapat 13 kesan tompokan dan ia ditandakan E1 hingga E13.

Lim: ''Saya potong setiap tempat tompokan pada tilam itu untuk mengesan spermatozoa dan membuat analisis DNA. Dan saya dapati 13 kesan tompokan itu mengandungi banyak spermatozoa.''

Gani: ''Apabila kamu mengesahkan semua 13 tompokan itu air mani, apa yang kamu buat'

Lim: ''Saya menjalankan analisis ke atas tompokan air mani E1-E13.''

Gani: ''Bolehkah kamu beritahu apakah teknik yang kamu gunakan untuk membuat analisis DNA atas 13 tompokan air mani itu?''

Lim: ''Bagi analisis DNA itu saya menggunakan teknik yang dikenali sebagai Polymerase Change Reaction atau teknik PCR.''

Gani: ''Apabila kamu menjalankan ujian DNA ke atas kesan tompokan itu, apakah hasilnya?''

Lim memohon untuk merujuk notanya lalu menerangkan bahawa beliau menggunakan kaedah profil DNA, Short Tandem Repeat atau STR dan Amelog Genetic Loci bagi mengembangkan 13 kesan tompokan pada tempat E1-E13 itu.

DNA atau asid deoksiribonukleik memainkan peranan penting dalam membantu mencari penyelesaian mengenal pasti identiti berhubung kes-kes jenayah seperti kemalangan, kebakaran, kecederaan, pembunuhan dan lain-lain.

Kebarangkalian untuk mengenal pasti identiti individu terbabit amat tinggi dan mencapai 99.99 peratus kerana setiap individu memiliki DNA yang tersendiri.

Beliau menamakan sumber DNA pada kesan tompokan itu seperti berikut:

E1 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E2 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E3 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E4 - Lelaki 1.

E5 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E6 - Lelaki 1.

E7 - Lelaki 1.

E8 - Lebih daripada dua sumber.

E9 - Lebih daripada dua sumber.

E10 - Lelaki 1.

E11 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

E12 - Lelaki 1.

E13 - Lelaki 1 dan Wanita 1.

Gani: ''Hasil analisis DNA, daripada berapa sumberkah yang kamu temui kesan air mani?''

Lim: ''DNA mengenal pasti lima sumber, dua lelaki dan tiga wanita daripada kesan air mani E1-E13.''

Dalam penemuannya itu Lim menerangkan, profil DNA daripada punca wanita pada tompokan air mani E5 dan E13 adalah sepadan, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti itu adalah daripada punca yang sama. Beliau menamakan sumber ini sebagai Wanita 2.

Menurut Lim, profil-profil DNA ini sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada contoh darah Shamsidar dan kemungkinan profil DNA seorang Melayu Malaysia yang dipilih secara rambang mempunyai profil DNA yang sepadan dengan DNA wanita yang diperoleh daripada tompokan air mani itu adalah satu dalam 31 juta.

Beliau berkata lagi, profil daripada punca wanita yang dikesan pada tompokan air mani E1 dan E11 adalah sepadan, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti adalah daripada sumber yang sama. Lim menamakan sumber ini Wanita 1.

Seterusnya, menurut Lim, profil DNA daripada wanita yang dikesan pada tompokan air mani E2, tidak sepadan dengan yang diperoleh daripada tompokan air mani E1, E11, E5 dan E13, menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti adalah daripada sumber lain. Beliau menamakan sumber ini Wanita 3.

Lim menjelaskan bahawa tompokan air mani E10 tidak sepadan dengan yang lain dan ia adalah daripada punca lain yang beliau namakan Lelaki 2.

Gani kemudian menyoal: ''Apakah makna EDTA?''

Lim: ''Maknanya, Asid Ethylenedianimetracitic.''

Gani: ''Adakah EDTA itu pengawet?''

Lim: ''Lebih kurang begitulah, untuk mengelakkan sel darah daripada beku.''

Gani: ''Adakah Jabatan Kimia mengeluarkan garis panduan berhubung perkara ini.''

Lim: ''Garis panduan dikeluarkan kepada semua hospital yang terlibat dengan pengumpulan contoh darah untuk ujian DNA.''

Gani: ''Adakah ia meliputi penggunaan EDTA?''

Lim: ''Ya.''

Gani: ''Mengapakah kamu menggunakan EDTA untuk mengumpulkan darah?''

Lim: ''Penggunaan EDTA bertujuan mencegah darah daripada beku bagi penyediaan membuat analisis DNA.'' Beliau kemudian menjelaskan dengan panjang lebar maksud 'melancarkan penyediaan analisis DNA'.

Gani: ''Jika contoh darah itu telah beku adakah ia merosakkan sel darah?''

Lim: ''Pada pendapat saya ia tidak merosakkan sel darah sebaliknya sel darah akan bercampur.''

Gani: ''Jika analisis DNA dikendalikan pada contoh darah tanpa EDTA dan profil DNA yang diperoleh akan menghasilkan DNA yang dipersoalkan.''

Lim: ''Tidak, Yang Arif.''

Gani: ''Boleh kamu jelaskan mengapa?''

Lim: ''Ia kerana apabila profil DNA diperoleh daripada darah yang beku pastilah memberikan profil contoh darah DNA.''

Gani: ''Sehingga hari ini berapa banyak DNA yang sudah kamu buat selain 200 kes yang sebutkan semalam.''

Lim: ''Saya telah buat lebih 2,000 analisis DNA.''

Gani: ''Daripada 1,000 contoh yang dianalisis itu adakah kamu menggunakan teknik PCR?''

Lim: ''Lebih kurang 600, saya gunakan teknik PCR manakala 500 pula dengan teknik STR genetic loci.''

Sebelum itu Lim menerangkan bahawa teknik PCR bukan sahaja diiktiraf di Britain, Amerika Syarikat dan Australia, malah di seluruh dunia.

Lim yang menamatkan pengajian tinggi di Britain dalam bidangnya memberitahu, beliau juga mengikuti pelbagai kursus dan seminar berhubung ujian DNA.

Dalam keterangannya semalam, beliau berkata, sebanyak 200 ujian DNA telah dikendalikannya termasuk kes yang dirujuk oleh polis dan pihak swasta.

Selain itu, beliau juga terlibat secara langsung membuat ujian DNA berhubung kes rogol bersiri tahun lalu sehingga orang yang disyaki tertangkap.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 31/12/1998

Anwar fail notis usul dapatkan pakar DNA

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini untuk memohon diberikan masa mendapatkan pakar-pakar dalam bidang DNA bagi membantu pihak pembela menyoal balas saksi-saksi pada perbicaraannya atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Notis usul itu difailkan melalui peguam belanya, S. N. Nair ketika perbicaraannya sedang didengar di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul yang masuk hari ke-36 hari ini.

Sehubungan itu, Anwar juga memohon agar kesnya ditangguhkan sehingga 7 Januari ini. Mahkamah akan mendengar usul itu esok.

Pada perbicaraannya kelmarin, peguam Raja Aziz Addruse yang mengetuai pembelaan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan menyoal balas saksi pendakwa yang terdiri daripada ahli kimia yang menjalankan ujian DNA terhadapnya.

Bagaimanapun, Hakim Augustine menolak permohonan itu dan beliau juga menolak permintaan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail untuk membenarkan seorang ahli kimia kanan, Chee Ong Koh sebagai pemerhati ketika ahli kimia memberi keterangan.

------------------------------------------------------------------------------------



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 6"