untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Monday, July 21, 2008

PENDAKWAAN - 5

ARKIB : 08/12/1998

Sulaiman pertikai sumpah surah Yasin

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini hangat seketika apabila salah seorang peguam belanya, Sulaiman Abdullah cuba mempertikaikan tindakan Azizan Abu Bakar yang bersumpah menggunakan surah Yasin.

Sulaiman yang menyoal balas saksi ke-12 itu telah menyentuh kewibawaan Azizan yang dianggapnya telah bersumpah menggunakan satu buku dan bukannya kitab al-Quran.

Antara lain, Sulaiman bertanya kepada Azizan, sama ada surah Yasin yang dipegangnya semasa bersumpah di hadapan pegawai yang menyiasatnya, hanya mengandungi surah tersebut atau turut dilengkapi terjemahan dan penjelasannya.

Lalu Azizan menjawab: ''Ya, biasanya terjemahan dan penjelasan mengenai surah Yasin lebih panjang daripada surah itu sendiri.''

Sulaiman: ''Tak perlu berwuduk bila memegangnya?''

Mendengar soalan tersebut Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah sambil berkata, peguam bela sudah jauh menyimpang.

Bagaimanapun, Hakim Augustine meminta beliau mendengar dahulu soalan seterusnya dan mengingatkan Sulaiman supaya tidak terkeluar daripada isu yang dibicarakan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula mencelah sambil menegur sikap peguam yang sering tidak mengendahkan arahan hakim dan perkara sedemikian berlaku berulang kali.

Hakim Augustine meminta Sulaiman meneruskan soalan beliau.

Sulaiman mengulangi pertanyaan: ''Adakah kamu setuju, tidak perlu mengambil wuduk bila hendak memegang surah yang mengandungi terjemahan dan penjelasan?''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

Sulaiman: ''Adakah kamu tahu bahawa menurut Islam, sekiranya ayat al-Quran dicampur ayat lain, maka ia tidak dianggap sebagai al-Quran?''

Hakim Augustine pula bertindak menegur peguam bela tersebut kerana soal itu tidak timbul kerana para pegawai penyiasat mempercayai saksi itu kerana beliau bersumpah menggunakan surah Yasin.

''Dan pada ketika itu, jika surah Yasin itu sahaja yang ada, maka beliau terpaksa menggunakannya,'' tegas beliau.

Sulaiman kemudian menjelaskan, beliau tidak berniat untuk mengukur sama ada Azizan seorang Muslim yang baik atau sebaliknya.

''Tetapi saksi ini telah bersumpah menggunakan surah Yasin dan kesahihan sumpahnya itu perlu ditentukan kerana kita juga perlu tahu adakah surah Yassin itu dianggap sebagai al-Quran atau hanya sebuah buku,'' kata beliau.

Lalu kata Hakim Augustine: ''Itu adalah undang-undang Tuhan dan akan ditentukannya. Tetapi kita sedang membicarakan kes ini di mahkamah sivil yang mengutamakan fakta dan keterangan.

''Biarpun saksi memberitahu bahawa beliau bersumpah dengana menggunakan kitab Tuhan, ia tidak bermakna saya akan menerimanya. Itu mahkamah Tuhan, ini mahkamah manusia dan perkara sedemikian tidak boleh dijadikan undang-undang.''

Sulaiman kemudian memohon masa untuk berbincang dengan peguam-peguam bela Anwar yang lain dan Hakim Augustine memberikan masa lima minit untuk berbuat demikian lalu menangguhkan sidang hingga pukul 3 petang.

Sebaik sidang disambung, Sulaiman memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau gagal memahami apa yang dimaksudkan melalui teguran Hakim Augustine.

Bagaimanapun, kata beliau, rakan-rakan peguam yang sama-sama mewakili Anwar memahami bahawa apa yang dilakukan oleh Azizan adalah berdasarkan kepercayaannya.

Cuma kata Sulaiman, beliau ingin tahu sama ada hakim mempercayai apa yang telah dipercayai oleh Azizan atau mempercayai apa yang dikatakan oleh saksi itu.

Hakim Augustine menjawab: ''Saya tidak dapat membuat keputusan mengenainya tanpa bantuan seorang pakar.

''Tak mengapalah, kita biarkan Tuhan berdoa untuk kita semua!''

Sulaiman secara spontan membetulkan kenyataan tersebut: ''Bukan Tuhan yang berdoa untuk kita, kita yang perlu berdoa kepada Tuhan untuk mendapatkan keadilan.''

Lalu kata Hakim Augustine: ''Kita tidak boleh banyak mengganggu Tuhan.''

Oleh: FARIDAH HASHIM

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/12/1998

Orang lain mungkin percayakan Ummi


AZIZAN Abu Bakar (tengah) menutup mukanya dengan kertas bagi mengelak daripada dirakam oleh jurugambar semasa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 7 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau memilih Ummi Hafilda Ali untuk mendedahkan dakwaan bahawa beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ada kemungkinan orang lain akan mempercayai Ummi.

Azizan, 38, saksi pendakwa ke-12 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan walaupun beliau tidak mengenali Ummi dengan dekat tetapi beliau mengenali keluarga wanita itu.

''Walaupun saya jarang berbual dengannya, saya mengenali ibunya dan beliau telah menasihati saya bahawa perbuatan ini adalah salah,'' kata Azizan ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan balas peguam bela Anwar, Christopher Fernando.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Fernando: ''Itu adalah selepas kamu memberitahu cerita kamu. Kita belum sampai ke peringkat itu lagi. Adakah kamu percaya orang lain mempercayai cerita kamu?''

Azizan: ''Berkemungkinan orang lain akan mempercayai Ummi.''

Fernando: ''Apa yang menyebabkan kamu fikir orang akan mempercayai Ummi?''

Azizan: ''Mungkin Ummi akan bercerita dan orang akan mempercayainya.''

Fernando: ''Kenapa orang akan percaya Ummi, jawab soalan. Ini soalan mudah.''

Azizan: ''Pada pandangan saya Ummi seorang yang baik, mungkin orang akan mempercayainya.''

Fernando: ''Itu adalah asas kamu?''

Azizan: ''Benar, Yang Arif.''

Fernando:''Selain Ummi, adakah orang lain?''

Azizan: ''Yang Arif, boleh saya jawab?''

Fernando: ''Ya, ada atau tidak.''

Azizan: ''Mungkin ada, tetapi...''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad membantah: ''Biarlah beliau menjawab soalan.''

Fernando: ''Adakah orang lain yang lebih baik daripada Ummi?''

Azizan: ''Mungkin ada orang lain yang lebih baik daripada Ummi.''

Fernando: ''Bolehkah kamu pergi kepada pemimpin agama?''

Azizan: ''Boleh. Saya boleh berjumpa dengan guru agama untuk buat dakwaan-dakwaan ini.''

Fernando: ''Kamu boleh pergi berjumpa polis?''

Azizan: ''Ya, saya juga boleh berjumpa polis.''

Fernando: ''Dengan lain perkataan, kamu boleh berjumpa ramai orang yang berkedudukan.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul menyampuk: ''Beliau sudah jawab. Sudah ada dalam rekod.''

Fernando: ''Mengapa kamu tidak berjumpa dengan orang yang lebih disegani daripada Ummi?''

Azizan: ''Saya tidak pergi berjumpa orang lain kerana mereka tidak akan mempercayai saya.''

Fernando: ''Mengapa kamu berfikir demikian?''

Azizan: ''Ini kerana tertuduh (Anwar) mempunyai perwatakan yang baik.''

Fernando: ''Jadi pada fikiran kamu, Ummi yang boleh membantu kamu?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden pula membantah dengan menyatakan ia bukanlah demikian, keterangan ada menyatakan Ummi mempunyai masalah.

Fernando: ''Itu boleh dihujahkan, pendakwa raya yang bijaksana boleh menyoal semula nanti.''

Mohd. Yusof lalu membaca satu nas dalam undang-undang keterangan.

Hakim Augustine: ''Saya sudah rekodkan.''

Fernando: ''Saksi tidak menjawab soalan saya, jadi pada fikiran kamu bahawa Ummi boleh membantu untuk membolehkan dakwaan ini dipercayai. Kamu mahu surat kamu dihantar kepada Perdana Menteri.''

Azizan: ''Benar, Yang Arif.''

Fernando: ''Jadi adakah Ummi sahaja yang boleh melakukannya dan bukan orang lain.''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando meninggikan suaranya: ''Orang lain pun boleh buat.''

Azizan: ''Ya, boleh, tapi saya tidak mempunyai ramai kenalan.''

Fernando: ''Azizan, jika ia ada kebenaran dalam dakwaan kamu mengapa kamu tidak percaya pihak polis dan pemimpin agama yang merupakan orang yang terbaik untuk diberitahu perkara itu?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail segera membantah: ''Saya tidak nampak mengapa perlu soalan ini diulang-ulang. Beliau sudah katakan tidak pergi jumpa pemimpin agama atau polis kecuali peguam bela sedang memberi hujahnya sekarang.''

Fernando dengan nada meninggi lagi: ''Tolonglah hormat sedikit. Pendakwa Raya yang buat bising. Saya tidak mengganggu saksi. Saksi boleh disoal balas tanpa henti.''

Hakim Augustine: ''Ya, berlandaskan peraturan undang-undang.''

Fernando: ''Kenapakah kamu tidak pergi berjumpa polis apabila dakwaan itu benar?''

Azizan: ''Kerana saya hanya seorang drebar (pemandu) dan pihak polis tidak akan percaya akan cerita saya berbanding dengan seorang menteri.''

Fernando: ''Jadi dalam lain perkataan, seseorang yang diliwat mereka tidak pergi berjumpa polis kerana tidak percaya. Adakah kamu ingin menyatakan kamu tidak mempunyai kepercayaan kepada polis?''

Azizan: ''Ya, betul saya tidak ada kepercayaan kepada polis.''

Fernando: ''Saya katakan kamu, Azizan bahawa dakwaan kamu itu palsu maka sebab itu kamu tidak berjumpa polis atau orang lain.''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/12/1998

Saksi dakwa takut ugutan orang Anwar

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Saksi pendakwa ke-12, Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau dan Ummi Hafilda Ali tinggal di rumah Dr. Ristina Majid selama dua malam sebelum ditangkap kerana takut dengan ugutan pihak yang dipercayai orang-orang bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azizan, 38, memberi keterangannya dalam pemeriksaan balas pihak peguam bela pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ke-21 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando dengan terperinci menyoal Azizan, bagaimanakah beliau dan Ummi boleh berada di rumah Dr. Ristina sehingga mereka ditangkap.

Fernando: ''Azizan, adakah kamu kenal Dr. Ristina Majid?''

Azizan: ''Ya, saya kenal Dr. Ristina.''

Fernando: ''Bagaimanakah kamu boleh mengenali Dr. Ristina.''

Azizan: ''Dalam bulan Ogos 1997, Ummi memperkenalkan saya kepada Dr. Ristina.''

Fernando: ''Berapa ramai orang di rumah Dr. Ristina semasa kamu ditangkap pada 17 Ogos 1997?''

Azizan: ''Pada 17 Ogos?''

Fernando: ''Kamu ditangkap berapa kali?''

Azizan: ''Sekali! Saya ditangkap di rumah Dr. Ristina pada 17 Ogos. Saya, Ummi, Dr. Ristina, dua orang anaknya dan seorang pembantu rumah berada di rumah pada masa itu.''

Fernando: ''Berapa lamakah kamu tinggal di rumah tersebut sebelum kamu ditangkap?''

Azizan: ''Lebih kurang dua malam.''

Fernando: ''Bagaimana dengan Ummi pula berapa lamakah beliau tinggal di rumah itu?''

Azizan: ''Sama juga, lebih kurang dua hari.''

Fernando: ''Apa maksudnya lebih kurang, adakah dua atau tiga hari?''

Azizan: ''Maksud saya, dua malam sahaja.''

Fernando: ''Kamu pun dua malamlah?''

Azizan: ''Ya, saya pun dua malam sebelum ditangkap.''

Fernando: ''Adakah polis menyuruh Ummi dan kamu keluar daripada rumah itu sebaik sahaja mereka sampai?''

Azizan: ''Benar, kami disuruh keluar.''

Fernando: ''Disuruh keluar oleh pihak polis?''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Adakah kamu dan Ummi berada di bilik tidur utama dan enggan keluar, ya atau tidak?''

Azizan: ''Kami semua berada di dalam bilik tidur.''

Fernando: ''Apa maksud kami?''

Azizan: ''Kami, ialah Dr. Ristina, Ummi, saya dan anak-anak Dr. Ristina.''

Fernando: ''Apakah yang polis kata di luar?''

Azizan: ''Saya tidak dengar apa yang polis kata dari rumah tetapi polis ada menelefon Dr. Ristina bahawa saya dan Ummi berada di rumah tersebut. Dr. Ristina beritahu kami semasa dalam perbualannya.''

Fernando: ''Dr. Ristina menggunakan telefon rumah atau telefon bimbit?''

Azizan: ''Dr. Ristina menelefon di rumahnya.''

Fernando: ''Adakah Dr. Ristina menelefon sesiapa?''

Azizan: ''Dalam keadaan saya ketakutan...''

Fernando: ''Adakah beliau menelefon sesiapa, ya atau tidak.''

Azizan: ''Dr. Ristina ada menelefon seseorang tapi saya tidak pasti siapa kerana saya dalam keadaan takut ketika itu.''

Fernando: ''Semasa dua hari kamu dan Ummi berada di rumah Dr. Ristina, adakah Dr. Ristina menelefon sesiapa menyatakan bahawa kamu berada di situ.''

Azizan: ''Saya tidak pasti.''

Fernando: ''Adakah Ummi menelefon sesiapa?''

Azizan: ''Yang saya nampak Ummi cuma menelefon keluarganya.''

Fernando: ''Di bahagian manakah kamu duduk di rumah itu?''

Azizan: ''Saya duduk di ruang tamu.''

Fernando: ''Di manakah isteri dan anak kamu?''

Azizan: ''Pada masa itu, isteri dan anak-anak saya berada di rumah belakang (Dr. Ristina).''

Pada peringkat ini mahkamah rehat selama 20 minit bagi sesi pagi dan disambung pada pukul 11.20 pagi. Selepas itu Fernando meneruskan soalannya.

Fernando: ''Pada awalnya adakah Dr. Ristina beritahu kamu bahawa polis menghendaki kamu dan Ummi.''

Azizan: ''Ada.''

Fernando: ''Bolehkah kamu nampak dengan mata sendiri pegawai-pegawai polis yang berada di luar?''

Azizan: ''Ya, saya nampak pihak polis yang tidak memakai uniform (pakaian seragam).''

Fernando: ''Apa lagi yang beliau (Dr. Ristina) beritahu kamu berkenaan polis yang hendakkan kamu dan Ummi?''

Azizan: ''Dr. Ristina kata, polis tidak beruniform ingin menahan saya bersama Ummi berkemungkinan mereka menyebelahi Anwar lalu Dr. Ristina mengarahkan saya dan Ummi agar tidak keluar.''

Fernando: ''Jadi beliau beritahu kamu dan Ummi supaya jangan keluar?''

Azizan: ''Ya, benar, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah beliau beritahu apa yang beliau akan lakukan?''

Azizan: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah sebarang percubaan agar kamu keluar daripada rumah tersebut?''

Azizan: ''Dr. Ristina membuka pintu pagarnya.''

Fernando: ''Berapa banyak percubaan supaya kamu keluar dari rumah itu?''

Azizan: ''Maaf, Yang Arif, saya tak ingat.''

Fernando: ''Adakah Dr. Ristina kata beliau akan melindungi kamu dan Ummi?''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Berapa ramai orang yang masuk ke rumah selepas polis sampai?''

Azizan: ''Saya tak ingat kerana saya dalam keadaan takut.''

Fernando: ''Bukan begitu, selepas polis masuk ke dalam rumah, ada tak orang lain yang masuk ke dalam rumah?''

Azizan: ''Saya tak ingat.''

Fernando: ''Adakah mana-mana pegawai polis memasuki rumah sebelum pasukan polis sampai?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah dengan mempersoalkan adakah saksi itu tahu siapa pegawai yang membuat penangkapan.

Fernando lalu mengulang soalannya: ''Sebelum pegawai polis dibenarkan masuk ke dalam rumah adakah pegawai lain masuk ke rumah itu?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Adakah kamu tahu pegawai polis berpakaian biasa masuk ke dalam rumah?''

Gani membantah lagi sambil berkata: ''Keterangan mengenai pegawai polis berpakaian biasa sudah dinyatakan. Jika begini soalannya tidak ada keadilan dalam keterangan saksi.''

Azizan: ''Benar, saya boleh pastikan seseorang pegawai polis hanya apabila dia memakai uniform.''

Fernando: ''Adakah Dr. Ristina beritahu kamu berapa lama harus kamu tunggu sebelum menyerah diri.''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Selepas itu kamu menyerah diri kepada polis?''

Azizan: ''Ya, apabila polis dapat masuk ke rumah tersebut dengan memasuki bilik utama melalui anjung rumah.''

Fernando: ''Dengan lain perkataan, kamu enggan menyerah diri.''

Azizan: ''Tidak.''

Fernando secara spontan: ''Tidak! Jadi hanya selepas polis datang ke anjung rumah baru kamu menyerah diri.''

Azizan: ''Ya, setelah seorang daripadanya memperkenalkan dirinya sebagai 'Tuan Musa', saya menyerah diri.''


-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/12/1998

Laporan polis dibuat selepas Anwar tiada kuasa

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, laporan polis oleh Azizan Abu Bakar berhubung satu surat yang ditandatanganinya di pejabat peguam Sukhdev Singh dibuat 36 hari setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berkuasa.

Azizan, 38, berkata, beliau berbuat demikian setelah mendapat keyakinan selepas bertemu Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa siasatan lebih lanjut akan dijalankan.

Minggu lalu, Azizan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diminta ke pejabat peguam Sukhdev pada penghujung bulan Jun 1998 untuk menandatangani satu surat menafikan bahawa dia pernah diliwat oleh Anwar.

Selepas itu, kata Azizan, beliau telah membuat satu laporan polis berhubung surat yang ditandatanganinya itu.

Bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu memberitahu demikian selepas disoal balas oleh peguam Gurbachan Singh di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul pada perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri yang masuk hari ke-21 hari ini.

Anwar, 51, kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ketika ditanya oleh Gurbachan sama ada beliau mempunyai alasan lain untuk berbuat demikian, Azizan berkata:

''Itu saja alasannya, tiada alasan lain.''

Gurbachan: ''Adakah sesiapa menasihati kamu untuk membuat laporan polis itu?''

Azizan: ''Tiada sesiapa menasihati saya.''

Sebelum itu, saksi pendakwa ke-12 itu ditanya bila beliau mula bertemu dengan Sukhdev.

Menurut Azizan, beliau tidak ingat tarikhnya tetapi sekitar akhir bulan Jun 1998, setelah dibawa oleh Rahim King.

Gurbachan kemudian bertanya, berapa kali beliau bertemu dengan peguam tersebut, lalu jawab Azizan, lebih kurang tiga atau empat kali dan kali terakhir ialah apabila Sukhdev menghubungi melalui telefon meminta beliau menandatangani satu surat pada 10 Ogos 1998.

Gurbachan: ''Pada hari itu, kamu pergi dan tandatangani surat tersebut?''

Azizan: ''Ya, setelah saya ditakutkan kerana sering dihubungi oleh orang-orang suruhan tertuduh (Anwar).''

Gurbachan: ''Kamu tandatangan walaupun kamu kata kamu ditakutkan?''

Azizan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Siapa mereka?''

Azizan: ''Ma'amin dan Rahim King. Dan juga Sukhdev Singh yang selalu telefon saya.''

Jawapan saksi itu membuatkan hadirin di galeri awam ketawa.


------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/12/1998

Azizan pakai pas polis elak daripada jurugambar

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memakai pas polis untuk mengelakkan gambarnya dirakamkan oleh para jurugambar.

Pas tersebut, kata Azizan, dipinjamkan kepadanya oleh seorang pegawai polis bernama Zailani dari Jabatan Siasatan Jenayah.

''Saya hanya memakai pas tersebut semasa menumpang kereta pegawai itu,'' katanya.

Saksi itu memberitahu demikian ketika disoal balas oleh peguam Gurbachan Singh pada perbicaraan hari ke-21 kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Gurbachan: ''Pas itu diberikan di balai polis?''

Azizan: ''Tidak, ia diberikan kepada saya di pekarangan mahkamah semasa saya hendak menumpang kereta pegawai itu.''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa gambar kamu yang disiarkan dalam akhbar menampakkan kamu memakai pas polis?''

Azizan: ''Ya, saya setuju.''

Gurbachan: ''Kami kata, kamu diberi pas semasa hendak menaiki kereta pegawai itu?''

Azizan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Kereta pegawai itu atau kereta polis?''

Azizan: ''Saya tidak pasti, tetapi dia yang pandu.''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa dengan pas itu kamu boleh pergi ke Bukit Aman?''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa kamu pakai pas itu untuk beberapa hari?''

Azizan: ''Tidak, saya pakai hari itu sahaja. Cuma sehari.''

Gurbachan: ''Bila hari itu?''

Azizan: ''Tarikh saya tak ingat, harinya hari Khamis.''

Gurbachan: ''Kamu naik kereta itu untuk ke mana?''

Azizan: ''Saya naik hingga ke Lebuh Ampang.''

Gurbachan: ''Adakah pas itu mempunyai gambar kamu?''

Azizan: ''Tidak ada gambar saya.''

Gurbachan: ''Tapi setuju atau tidak, ia mempunyai gambar seseorang?''

Azizan: ''Benar, ada gambar pegawai polis tersebut.''

Gurbachan kemudian mengalih soalannya berkisar mengenai tindakan polis terhadap saksi itu.

Menurut Azizan, pihak polis belum lagi memberitahu sama ada beliau akan dituduh atau sebaliknya.

Saksi itu juga berkata, sehingga sekarang polis tidak pernah menghantarnya untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Gurbachan: ''Dalam kes ini, pernahkah kamu beri percakapan kepada pegawai penyiasat?''

Azizan: ''Ada, pada 18 Ogos 1997.''

Gurbachan: ''Maksud saya, bukan kepada pegawai Cawangan Khas.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah cara peguam mengemukakan soalan dan meminta supaya soalan itu diolah.

Gurbachan: ''Melainkan percakapan kepada pegawai Cawangan Khas, adakah kamu memberi percakapan kepada pegawai penyiasat?''

Azizan: ''Ya, kepada Penolong Penguasa Polis Mazlan Mansor dari Jabatan Siasatan Jenayah.''

----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 08/12/1998

Azizan: Saya tak diliwat -- 'Sebab itu saya masih mengunjungi kediaman Anwar'

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Azizan Abu Bakar memeranjatkan suasana Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila beliau memberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meliwatnya dan sebab itu beliau masih mengunjungi kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri itu antara tahun 1992 dan 1997.

Azizan yang disoal balas bertubi-tubi oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando nampak keliru sebelum memberi jawapannya.

Fernando mengungkitkan keterangan Azizan minggu lalu bahawa beliau masih menjalin hubungan mesra dengan Anwar sekeluarga dan sentiasa mengunjungi rumahnya sehinggalah bertemu dengan Ummi Hafilda Ali pada Julai 1997.

Pada Khamis lalu, dalam keterangannya, Azizan mengakui telah diliwat oleh Anwar.

Menurut kandungan pengakuan bersumpahnya, Azizan menyatakan perbuatan terkutuk itu dilakukan beberapa kali di sekitar tahun 1992 tanpa kerelaannya. Kejadian itu didakwa kerap berlaku di hotel-hotel mewah seperti PJ Hilton, Hyatt Saujana dan Holiday Villa tanpa pengetahuan umum dan isteri Anwar (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat dan perbicaraan terhadapnya masuk hari ke-21 hari ini.

Pada sesi pagi perbicaraan hari ini, Azizan, 38, disoal oleh Fernando secara lebih dalam berkisar dakwaannya terhadap Anwar.

Fernando: ''Saya katakan dakwaan-dakwaan kamu adalah palsu maka kamu tidak pergi kepada polis atau orang-orang lain.''

Azizan: ''Tidak setuju.''

Jurubahasa mahkamah, Tuan Kecik Tuan Hussin menjelaskan jawapan Azizan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Saya tidak setuju bahawa saya tidak pergi kepada pihak polis atau orang-orang lain kerana dakwaan-dakwaan saya itu palsu.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu oleh kerana ia adalah palsu, kamu tahu bahawa tiada siapa yang percayakan kamu.''

Azizan:''Saya tidak setuju, dakwaan saya adalah benar.''

Fernando: ''Adakah kamu marah kepada tertuduh (Anwar)?''

Azizan: ''Saya marah akan perangai buruknya sahaja.''

Fernando: ''Jadi mengapa kamu masih terus mengunjunginya antara tahun 1992 hingga 1997?''

Azizan: ''Saya bukan selalu ke sana...''

Fernando: ''Jawab soalan, mengapa kamu pergi?''

Azizan: ''Saya masih pergi untuk melihat dan menziarahi anak-anaknya sahaja.''

Jurubahasa menjelaskan lagi jawapan Azizan kepada Hakim Augustine: ''Saya masih pergi ke rumah tertuduh antara tahun 1992 sehingga tahun 1997 kerana saya hanya ingin melihat dan menziarahi anak-anaknya sahaja.''

Azizan: ''Kerana anak-anaknya begitu rapat dengan saya semasa saya bekerja sebagai pemandu (Dr. Wan Azizah).''

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang turut mengikuti perbicaraan itu dilihat memandang ke arah ibunya, Dr. Wan Azizah sebaik sahaja mendengar dakwaan Azizan.

Fernando: ''Ini adalah satu cerita baru yang kamu timbulkan selepas cuti hujung minggu, saya katakan kepada kamu.''

Azizan: ''Saya tidak faham soalan itu, Yang Arif.''

Fernando: ''Selepas cuti hujung minggu kamu timbulkan satu cerita baru.''

Jurubahasa: ''Ini cerita baru yang kamu timbulkan.''

Azizan: ''Tidak, ini bukan cerita baru.''

Fernando: ''Jumaat lalu, kamu kata antara 1992 dan 1997, kamu masih mengunjungi tertuduh dan keluarga kamu mempunyai perhubungan mesra dan kamu menghormatinya sebagai pemimpin.''

Azizan: ''Benar, apabila saya ke rumahnya, saya jarang...''

Fernando: ''Hanya jawab soalan saya! Benar, kamu kata pada hari Jumaat. Saya katakan kerana tertuduh tidak membuat apa-apa pun terhadap kamu sebab itulah kamu masih terus mengunjunginya antara 1992 dan 1997, jika tidak tentu kamu telah menjauhkan diri daripadanya.''

Bagaimanapun, pada peringkat ini, Azizan meminta penjelasan daripada Fernando mengenai apa yang dimaksudkan dengan ''Anwar did not do anything'' (Anwar tidak melakukan apa-apa.)

Hakim Datuk S. Augustine Paul kemudiannya mengarahkan Fernando mengulangi soalannya dengan menggunakan perkataan ''sodomy'' (liwat) bagi menggantikan ''did not do anything''.

Fernando: ''Saya katakan dakwaan-dakwaan kamu adalah palsu.''

Hakim Augustine: ''Kamu tidak mahu meneruskan soalan itu?''

Fernando: ''Saya katakan tertuduh tidak membuat apa-apa terhadap kamu...''

Hakim Augustine: ''Beliau bertanya apa yang kamu maksudkan, 'do anything to you'' (tidak buat apa-apa terhadap kamu).''

Fernando: ''Saya katakan bahawa tertuduh tidak meliwat kamu, sebab itulah kamu masih mengunjunginya.''

Azizan menjawab tanpa ragu-ragu dan jelas: ''Ya, saya setuju yang tertuduh tidak meliwat saya sebab itulah saya masih pergi ke rumahnya antara tahun 1992 dan 1997. Jika tidak saya sudah tentu menjauhkan diri saya dari rumahnya.''

Di peringkat ini, para hadiran di galeri awam kedengaran riuh sedikit dan seorang anggota keluarga Anwar yang dilihat begitu tekun mendengar keterangan Azizan tiba-tiba bertepuk tangan dan dengan nada gembira berkata: ''Yes!''

Selepas itu, Fernando mengalihkan kepada soalan lain dan bertanya kepada Azizan: ''Adakah kamu pernah bekerja dengan Sime Darby?''

Azizan: ''Saya ada bekerja dengan Sime Darby sebagai pemandu.''

Fernando: ''Berapa lama kamu bekerja dengan Sime Darby.''

Azizan: ''Lebih kurang empat tahun.''

Fernando: ''Antara bulan berapa?''

Azizan: ''September 1992 sehingga Januari 1996.''

Fernando: ''Apakah kedudukan kamu yang diambil bekerja oleh Sime Darby?''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah kata, pemandu.''

Fernando: ''Berhenti bagaimana?''

Azizan: ''Saya berhenti bekerja dari Sime Darby dengan sendiri.''

Fernando: ''Adakah kamu pasti kamu berhenti dengan sendiri atau diminta berhenti?''

Azizan: ''Saya berhenti dengan sendiri.''

Fernando: ''Pasti?''

Azizan: ''Saya pasti saya berhenti dengan sendiri.''

Fernando: ''Adakah sebarang unsur jenayah maka kamu berhenti dari Sime Darby?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Jurubahasa mengulang jawapan yang penuh kepada Hakim Augustine: ''Tidak ada unsur-unsur jenayah yang terlibat berhubungan dengan saya meninggalkan atau berhenti bekerja dengan Sime Darby.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail mengingatkan Fernando bahawa beliau tidak boleh timbulkan perilaku buruk saksi.

Fernando: ''Ini bukan perilaku buruk. Soalan saya mengenai beliau berhenti dari Sime Darby.''

Hakim Augustine: ''Tanya beliau dengan soalan umum, mengapa beliau berhenti. Apabila kamu kata 'jenayah' ini kamu buat cadangan.''

Fernando: ''Saya menarik balik soalan untuk sementara waktu.''

Ketika sidang bermula pukul 9.20 pagi ini, Fernando menyambung soalan balas dengan bertanya balik kepada Azizan mengenai pertemuannya pada malam 18 Ogos 1997.

Fernando: ''Apabila kamu pergi ke rumah tertuduh untuk meminta maaf, adakah kamu memegang lututnya, setuju atau tidak?''

Azizan: ''Tidak benar, saya tidak memegang lutut tertuduh, saya cuma tunduk dan meminta maaf.''

Fernando: ''Saya katakan kamu melutut dan meminta maaf.''

Azizan: ''Saya tidak setuju bahawa saya memegang lutut dan meminta maaf.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/12/1998

Pengakuan saya benar -- Azizan memberitahu PM dalam perjumpaan satu jam

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau mengaku kepada Perdana Menteri apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpahnya berhubung kejadian beliau diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah benar.

Azizan berkata, pertemuan empat mata dengan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad itu berlangsung lebih kurang sejam di kediaman Perdana Menteri antara pukul 9.10 hingga 10.10 malam pada 24 Ogos tahun ini.

''Saya mengaku kepada Perdana Menteri bahawa apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpah saya adalah benar,'' katanya.

Bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu menyatakan, beliau diberitahu oleh pegawai Cawangan Khas bahawa Perdana Menteri hendak berjumpa dengannya.

Menurut Azizan, Perdana Menteri menyatakan yang beliau akan menyuruh polis menyiasat kes ini dengan lebih mendalam.

Azizan, 38, juga berkata, Perdana Menteri menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati menjaga keselamatan dan jika diganggu, laporan segera di balai polis terdekat.

Beliau sebagai saksi pendakwa ke-12 memberitahu demikian ketika disoal balas oleh peguam bela pada perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-22 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Semalam, Azizan menimbulkan kekeliruan setelah beliau bersetuju dengan peguam bahawa beliau terus mengunjungi keluarga Anwar antara 1992 hingga 1997 kerana beliau tidak diliwat oleh Anwar.

Pada sesi pagi, sidang perbicaraan itu hari ini, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh meneruskan tugasnya menyoal balas Azizan mengikut urutan soalan yang ditimbulkannya di sesi petang semalam.

Menurut keterangan, Azizan dikatakan membuat laporan polis mengenai satu akuan berkanun yang ditandatangani di pejabat peguam Sukhdev Singh selepas 36 hari menandatanganinya.

Beliau berbuat demikian kerana mendapat keyakinan selepas berjumpa Perdana Menteri.

Gurbachan meneruskan soalannya: ''Adakah kamu seorang diri sahaja berjumpa Perdana Menteri?''

Azizan: ''Ya, saya seorang diri sahaja berjumpa Perdana Menteri setelah dibawa oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusof. (Yusof Abdul Rahman).

Gurbachan: ''Itulah pertama kali kamu berjumpa Perdana Menteri?''

Azizan: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Perjumpaan itu bukan di atas permintaan kamu, betul?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Adakah perjumpaan itu di atas permintaan Perdana Menteri?''

Azizan: ''Saya diberitahu oleh Pengarah Cawangan Khas yang Perdana Menteri ingin berjumpa saya.''

Gurbachan: ''Adakah benar, kamu berjumpa Perdana Menteri di kediamannya?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Pada 24 Ogos 1998?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Pukul berapa?''

Azizan: ''Di antara jam 9.10 hingga 10.10 malam.'

Gurbachan: ''Dan Pengarah Cawangan Khas juga turut hadir?''

Azizan: ''Beliau tidak bersama ketika saya bertemu Perdana Menteri.''

Gurbachan: ''Pengarah Cawangan Khas bawa kamu dari rumah dan bawa kamu balik?''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Rumah siapa?''

Gurbachan: ''Rumah dia (Azizan).''

Azizan: ''Pengarah Cawangan Khas membawa saya ke Bukit Aman dan ke rumah Perdana Menteri, saya balik sendiri ke rumah saya.''

Gurbachan: ''Adakah jumpa Perdana Menteri lagi selepas 24 Ogos?''

Azizan: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Ummi Hafilda Ali hadir sama?''

Azizan: ''Ummi tidak hadir bersama.''

Gurbachan: ''Adakah Ummi beritahu kamu, Perdana Menteri juga ingin berjumpa beliau?''

Azizan: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Adakah Perdana Menteri memberi perlindungan kepada kamu?''

Azizan: ''Perdana Menteri berkata, sekiranya saya diganggu saya disuruh menghubungi balai polis yang terdekat. Maaf, Yang Arif, sekiranya keselamatan saya diganggu saya disuruh menghubungi balai polis terdekat.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju selepas berjumpa Perdana Menteri kamu tidak buat apa-apa laporan berkenaan kamu diganggu?''

Azizan: ''Betul tetapi rumah dan tempat kerja saya sentiasa diawasi oleh pihak polis.''

Gurbachan: ''Selepas jumpa Perdana Menteri, rumah dan tempat kerja kamu diawasi, betul?''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah pun kata begitu.''

Gurbachan: ''Beliau tidak nyatakan masa dan bila. Rumah dan pejabat kamu diawasi, betul?''

Azizan: ''Betul, rumah dan pejabat saya diawasi selepas saya berjumpa Perdana Menteri.''

Gurbachan: ''Itu sahaja nasihat Perdana Menteri?''

Azizan: ''Perdana Menteri ada menyatakan yang beliau akan menyuruh pihak polis menyiasat kes ini dengan lebih mendalam dan menasihatkan saya agar lebih berhati-hati.''

Gurbachan: ''Lebih berhati-hati untuk buat tuduhan terhadap Anwar?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah 'line of question' demikian.

Hakim Augustine: ''Apakah soalannya?''

Gurbachan: ''Lebih berhati-hati buat tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri?''

Gani: ''Bukanlah begitu caranya untuk menyoal.''

Azizan: ''Tidak betul, Perdana Menteri minta supaya lebih berhati-hati tentang keselamatan diri saya.''

Jurubahasa, Tuan Kechik Tuan Hussin mengulang soalan Gurbachan dan menerangkan maksud beliau.

Hakim Augustine sambil menulis mengulang jawapan. Azizan: ''Tidak betul bahawa Perdana Menteri menasihat saya supaya lebih berhati-hati...''

Jurubahasa menyambung kata-kata itu: ''Membuat dakwaan terhadap Anwar.''

Azizan: ''Tetapi Perdana Menteri menasihat saya supaya lebih berhati-hati tentang diri saya.''

Gurbachan: ''Itu sahaja nasihat daripada Perdana Menteri, tiada nasihat lain?''

Azizan: ''Ya, itu sahaja.''

Gurbachan: ''Adakah kamu beritahu Perdana Menteri bahawa kamu telah buat satu surat bersumpah (akuan berkanun), ada?''

Azizan: ''Tidak ada, saya tidak beritahu beliau mengenai akuan berkanun tetapi saya beritahunya...''

Gurbachan: ''Tetapi apa?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad pula bangun membantah; ''Biarlah saksi beri jawapan.''

Hakim Augustine lalu menyampuk: ''Tetapi saya beritahu...apa?''

Azizan: ''Tentang pengakuan bersumpah yang saya tandatangani.''

Gurbachan: ''Hanya itu sahaja, satu pengakuan yang kamu beritahu Perdana Menteri?''

Azizan: ''Saya mengaku kepada Perdana Menteri bahawa apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpah saya adalah benar.''

Gurbachan: ''Soalan saya bukan itu, kamu hanya beritahu bahawa pengakuan bersumpah sahaja?''

Azizan: ''Ya, hanya mengenai satu sahaja pengakuan bersumpah (P14c) saya.''

Gurbachan: ''Tidak beritahu berkenaan dokumen-dokumen lain?''

Azizan: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Adakah Perdana Menteri tulis apa yang kamu beritahu beliau?''

Azizan: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Pada hari itu, pukul berapa kamu pergi ke Cawangan Khas?''

Azizan: ''Lebih kurang pukul 8.30 malam.''

Gurbachan: ''Siapa yang panggil ke sana?''

Azizan: ''Saya dihubungi oleh ACP Mazlan (Penolong Pesuruhjaya Polis Mazlan Mohd. Din) meminta saya datang ke Cawangan Khas.''

Gurbachan: ''Dari 8.30 ke 9.10 malam, siapakah pegawai Cawangan Khas yang kamu jumpa?''

Azizan: ''Saya berada di sana lebih kurang setengah jam sahaja, pegawai yang menemui saya, ACP Mazlan.''

Gurbachan: ''Jumpa di pejabat siapa?''

Azizan: ''Di ruang menunggu pejabat Pengarah Cawangan Khas.''

Gurbachan: ''Apa yang diberitahu kepada kamu?''

Azizan: ''Tujuan mereka untuk memberitahu saya bahawa Perdana Menteri hendak berjumpa saya.''

Gurbachan: ''Untuk tempoh setengah jam, kamu hanya diberitahu itu sahaja?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Adakah kamu diberitahu mengapa Perdana Menteri hendak berjumpa kamu?''

Azizan: ''Kata ACP Mazlan, Perdana Menteri ingin mengetahui cerita sebenar.''

Gurbachan: ''Kamu ditaklimat untuk setengah jam?''

Gani: ''Saya harus membantah rakan bijaksana saya yang membuat andaian mengenai taklimat.''

Gurbachan: ''Saya sedang bertanyakan fakta. Adakah pegawai beri apa-apa taklimat kepada kamu dalam setengah jam itu?''

Azizan: ''Tidak ada taklimat.''

Gurbachan: ''Pada hari itu, adakah kamu membawa apa-apa dokumen?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Gurbachan: ''Apabila kamu pergi ke kediaman Perdana Menteri, adakah bawa dokumen?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Gurbachan: ''Apabila jumpa Perdana Menteri, adakah kamu nampak apa-apa dokumen?''

Hakim Augustine: ''Beliau tidak bawa dokumen.''

Gurbachan: ''Sama ada beliau nampak sebarang dokumen?''

Gani juga bangun membantah.

Hakim Augustine: ''Mungkin sukar untuk beliau faham.''

Gurbachan: ''Ada sesiapa memberi dokumen?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/12/1998

Sebahagian kandungan surat akuan tidak benar


ANWAR IBRAHIM melambaikan tangan selepas dibawa masuk ke dalam kenderaan polis setelah perbicaraan kesnya ditangguhkan semalam.


KUALA LUMPUR 8 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sebahagian daripada kandungan akuan berkanun bertarikh 10 Ogos 1998 adalah tidak benar kerana terdapat ayat yang menafikan bahawa Azizan Abu Bakar menandatangani pengakuan bersumpah bertarikh 5 Ogos 1997 (P14c).

Menurut Azizan, seingat beliau, ayat tersebut adalah di perenggan kelima dokumen tersebut.

''Saya tidak pernah menafikan tandatangan di dalam P14c itu tandatangan saya,'' kata saksi itu.

Azizan, saksi pendakwa ke-12 masih disoal balas oleh peguam Gurbachan Singh pada sesi petang perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-22 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Gurbachan kemudian merujukkan akuan berkanun yang ditandakan sebagai bahan bukti pembela IDD54 kepada Azizan.

Saksi itu mengakui beliau dibawa oleh peguam Sukhdev Singh ke pejabat seorang pesuruhjaya sumpah di Jalan Masjid India di sini untuk menandatangani IDD54.

Menurut beliau, akuan berkanun itu ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah, seorang lelaki keturunan Cina yang berkaca mata.

Gurbachan kemudian meminta pesuruhjaya sumpah, Ngui Kee Heong dipanggil untuk dicamkan oleh Azizan.

Setelah Ngui memperkenalkan dirinya, Azizan mengesahkan bahawa beliaulah pesuruhjaya sumpah yang ditemuinya pada 10 Ogos 1998 bagi menandatangani akuan berkanun itu.

Peguam itu kemudian bertanya mengenai kebenaran setiap perenggan di dalam dokumen tersebut.

Azizan mengakui bahawa perenggan pertama, kedua, ketiga dan keempat pada IDD54 itu adalah benar.

Beliau mengulangi keterangannya bahawa perenggan kelima pada IDD54 itu tidak benar.

Gurbachan: ''Saya katakan, perenggan kelima itu benar belaka, sebab itu kamu menandatangani IDD54 pada 10 Ogos 1998 di pejabat peguam Sukhdev Singh.''

Cadangan peguam itu membuatkan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah kerana menurut beliau saksi itu telah memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau tidak pernah membaca buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM sedangkan IDD54 menyentuh kandungan buku berkenaan.

''Lainlah kalau rakan bijaksana saya hendak mengemukakan soalan bagi mencabar keterangan saksi itu bahawa beliau tidak pernah membaca buku tersebut,'' kata Gani.

Gurbachan: ''Saya tidak tahu kenapa perlu ada bantahan, saya berhak menyoalbalas saksi.

''Adakah perenggan kelima itu betul?''

Azizan: ''Tidak betul, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Bagaimana pula dengan perenggan keenam?''

Azizan: ''Betul bahawa saya pergi ke Bukit Aman untuk memberi keterangan selepas dihubungi pihak polis.''

Gurbachan: ''Bermakna perenggan keenam betul?''

Gani mencelah lagi: ''Saya faham bahawa rakan bijaksana saya berhak menyoal tapi biarlah soalan itu wajar. Saksi berkata beliau pergi ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis.

''Tetapi rakan bijaksana saya menyebut perkataan 'bermakna' seolah-olah keseluruhan perenggan keenam itu betul.''

Gurbachan: ''Saya bertanya sama ada keseluruhan perenggan keenam itu betul atau sebaliknya?''

Azizan: ''Ya, betul saya pergi ke Bukit Aman dan polis ambil kenyataan saya.''

Gurbachan: ''Kamu setuju perenggan keenam benar belaka?''

Azizan: ''Saya setuju.''

Gurbachan: ''Jika kamu kata perenggan kelima tidak betul, kenapa kamu tidak suruh Sukhdev Singh buat pindaan?''

Azizan: ''Saya suruh Sukhdev pinda, tapi beliau kata, biarkanlah ayat itu begitu sahaja.''

Gurbachan: ''Dan kamu bersetuju?''

Azizan: ''Setelah saya merasa takut dan fikiran saya terganggu. Perasaan takut lebih mendalami jiwa saya.''

Gurbachan: ''Saya katakan, apa yang kamu kata, perenggan kelima itu tidak benar adalah tidak benar?''

Gani bangun menegur soalan peguam bela yang disifatkannya sebagai mengelirukan.

Lalu Gurbachan mengubah soalan: ''Saya katakan, apa yang kamu kata, perenggan kelima itu tidak benar adalah satu pembohongan?''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

Gurbachan: ''Saya katakan, tiada sesiapa menakutkan kamu agar menandatangani IDD54?''

Azizan: ''Tidak benar, saya kerap dihubungi oleh Ma'amin (orang suruhan Anwar).''

Gurbachan: ''Saya juga katakan segala kandungan IDD54 disediakan oleh Sukhdev setelah mendapat arahan daripada kamu?''

Azizan: Tidak setuju.''

Gurbachan: ''Perenggan kelima disediakan oleh Sukhdev atas arahan kamu?''

Azizan: ''Tidak.''

Gurbachan: ''Saya juga katakan IDD54 ditandatangani oleh kamu atas kerelaan kamu?''

Azizan: ''Saya telah dipaksa untuk menandatanganinya setelah sering dihubungi oleh Ma'amin dan Rahim King seorang lagi orang suruhan Anwar.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul kemudian menangguhkan persidangan selama lima minit dan peluang ini diambil oleh Anwar untuk menemui kaum keluarga dan sahabat handai yang berada di galeri awam.

Anwar juga sempat meninjau keadaan di luar melalui tingkap mahkamah.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/12/1998

Isteri Azizan meninggal akibat kemalangan biasa

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Saksi pendakwa ke-12, Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak membaca buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang mengandungi dakwaan Anwar terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa isterinya yang sedang hamil tujuh bulan.

Azizan berkata, beliau tidak setuju dengan cadangan peguam bela Anwar, Gurbachan Singh yang menyatakan bahawa isterinya meninggal dunia kerana 'dilanggar' dan pembunuhan itu membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Menurut saksi itu, isterinya meninggal dunia akibat kemalangan biasa pada Hari Raya kedua Aidil Fitri pada 31 Januari lalu dan kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Rawang, Selangor.

Beliau memberitahu demikian pada perbicaraan kes Anwar yang masuk hari ke-22 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Gurbachan menimbulkan soalan tersebut ketika menyambung pemeriksaan balas terhadap Azizan, 38, selepas beliau memberi keterangan yang menyatakan beliau dipanggil oleh pihak polis yang merujuk pengakuan bersumpahnya berkaitan dengan '50 Dalil.'

Gurbachan: ''Bersetujukah bahawa isteri kamu meninggal dunia kerana kemalangan sahaja?''

Azizan: ''Ya, kemalangan yang menimpa saya di mana isteri saya meninggal dunia, suatu kemalangan sahaja.''

Gurbachan: ''Kamu tidak mengesyaki sesiapa membunuh isteri kamu dalam kemalangan itu?''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Adakah ia relevan?''

Gurbachan: ''Ya, ia adalah relevan.''

Azizan: ''Boleh ulang soalan itu?''

Gurbachan: ''Bersetuju, isteri kamu tidak dibunuh, dia meninggal dalam kemalangan?''

Azizan: ''Saya bersetuju isteri saya tidak dibunuh, dia meninggal akibat kemalangan jalan raya.''

Gurbachan: ''Bersetuju, dalam buku 50 Dalil itu?''

Hakim Augustine bertanya lagi apakah kaitannya.

Gurbachan: ''Di dalam buku itu, terdapat tuduhan yang direkakan dan konspirasi.''

Hakim Augustine: ''Ya, apa jawapannya?''

Azizan: ''Soal sekali lagi.''

Gurbachan: ''Bersetuju dengan saya dalam buku '50 Dalil' ia membabitkan Anwar dalam pembunuhan isteri kamu?''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah katakan tidak membaca buku tersebut.''

Gurbachan: ''Ini perlu dijawab.''

Hakim Augustine: ''Beliau sudah pun katakan isterinya meninggal akibat kemalangan.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah dengan alasan bahawa jika ia sebahagian konspirasi, boleh panggil penulisnya sendiri kerana Azizan tidak terlibat dalam penulisan buku itu.

Hakim Augustine: ''Saya tidak nampak sebarang relevan. Ini hanya membuang masa.''

Gurbachan: ''Ini sangat tidak adil.''

Hakim Augustine: ''Apa yang relevannya?''

Gurbachan mengajukan soalannya kepada Azizan: ''Bersetuju bahawa walaupun isteri kamu meninggal dunia dalam kemalangan, Yang Arif, sebahagian buku '50 Dalil' membabitkan Datuk Seri Anwar dalam pembunuhan isterinya.''

Hakim Augustine: ''Tanya beliau (Azizan) sama ada telah membaca buku tersebut.''

Jurubahasa, Tuan Kechik Tuan Hussin menjelaskan soalan itu kepada Azizan.

Gurbachan: ''Adakah kamu membaca buku itu?''

Azizan: ''Saya tidak ada membaca atau melihat buku itu.''

Gurbachan: ''Tetapi pihak polis ada menyoal kamu bahawa isteri kamu meninggal dunia dalam kemalangan itu.''

Azizan: ''Ya, pihak polis bertanya mengenai kemalangan yang berlaku ke atas saya sehingga menyebabkan isteri saya meninggal dunia.''

Gurbachan: ''Adakah kamu, dengan izin Yang Arif, mencadangkan kepada sesiapa bahawa Anwar terbabit dalam kemalangan itu.''

Hakim Augustine: ''Awak faham?''

Azizan: ''Tak faham.''

Jurubahasa jelaskan soalan.

Azizan: ''Saya tidak cadangkan kepada sesiapa bahawa Datuk Seri Anwar ada kena mengena dengan kemalangan tersebut. Ia hanyalah kemalangan jalan raya yang biasa.''

Gurbachan: ''Adakah pihak polis menanyakan kemalangan itu salah laku Anwar?''

Azizan: ''Tidak ada, Yang Arif, pihak polis tidak menanyakan saya sama ada kemalangan tersebut adalah salah laku Anwar. Dan saya ada beritahunya bahawa laporan tersebut boleh didapati di Balai Polis Rawang.''

Gurbachan: ''Pihak polis adakah bertanya bagaimana kemalangan itu berlaku?''

Azizan: ''Pihak polis ada tanya saya bagaimana kemalangan itu berlaku.''

Gurbachan: ''Saya ingin menunjukkan kepada saksi satu salinan laporan.''

Gani: ''Yang Arif, saya tidak nampak sebarang kaitan berhubung salinan laporan ini. Ini kemalangan dan pembunuhan. Ia adalah kes untuk dibuktikan mengenai buku ini dalam perbicaraan.''

Hakim Augustine: ''Ini laporan yang dibuat oleh kamu?''

Azizan: ''Ya.'' Gurbachan lalu memohon supaya dokumen itu ditandakan D53.

Gani membantah dokumen itu ditanda sebagai bahan bukti pihak pembela.

Hakim Augustine: ''Saya benarkan dokumen itu ditanda sebagai salah satu bahan kes pembela.''

Gurbachan: ''Kandungan laporan adakah benar?''

Azizan: ''Ya, inilah laporan yang saya buat.''

Gurbachan: ''Saya sedang tunjukkan muka surat 81 hingga 87 buku 50 Dalil, baca perenggan-perenggan ini perlahan-lahan. Beri beliau baca dengan kuat bahagian yang ditandakan. Boleh baca dengan kuat.''

Azizan membaca sebahagian kandungan buku 50 Dalil: ''Dilakarkan detik-detik bagaimana Anwar dan Polis bekerjasama dalam menipu Dr. Mahathir, UMNO dan seluruh rakyat Malaysia.''

Gurbachan: ''Sekarang pergi muka surat 86, perenggan akhir di nombor 17.''

Azizan membaca perenggan tersebut berbunyi: ''Pada 13 Januari 1998 bersamaan 2 Hari Raya Aidil Fitri, ketika sedang memandu bersama isteri yang mengandung 6 bulan dan dua orang anak, kereta yang dipandu oleh Azizan 'dilanggar' oleh sebuah kereta lain yang tidak dikenali.

Akibatnya, isteri Azizan bersama anak kandung yang belum lahir (6 bulan) telah terkorban. Manakala Azizan dan dua anaknya telah diselamatkan oleh Allah s.w.t. Apa yang pelik ialah dua minggu sebelum itu, pada pertengahan bulan Ramadhan, pintu hadapan rumah Ummi telah disimbah dengan darah. Setelah diperiksa oleh pakar kimia, darah tersebut adalah darah seekor binatang (anjing). Sebuah laporan polis yang berkaitan telah pun dibuat mengenai perkara ini.''

Gurbachan: ''Dalam perkataan 'langgar' di situ terdapat tanda pengikat kata (inverted comas), betul.''

Azizan: ''Saya tidak faham yang itu.''

Jurubahasa menjelaskan soalan peguam bela.

Azizan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Boleh saya dapatkan semula buku itu. Dan adakah kamu bersetuju perkara kemalangan dituduh sebagai 'dilanggar' dan kandungan buku seterusnya, betul?''

Azizan: ''Maksud 'menipu' saya tak faham.''

Hakim Augustine: ''Soalan ini seolah-olah bertanya kepada orang asing untuk membuktikan buku.''

Gurbachan: ''Saya tidak faham mengapa Yang Arif tidak dapat memahami kandungan buku tersebut yang menyentuh kemalangan isteri Azizan.''

Hakim Augustine: ''Memang ada kemalangan. Beliau sudah nyatakan.''

Gurbachan: ''Tetapi beliau tidak nyatakan ia membabitkan tertuduh (Anwar).''

Hakim Augustine: ''Beliau tidak membabitkan apa-apa terhadap tertuduh.''

Gani membantah bahawa perenggan yang dibaca oleh Azizan itu tidak menyentuh pembunuhan, dengan tidak ditulis apakah kemalangan itu membabitkan kereta lembu atau sebagainya.

Hakim Augustine memutuskan soalan itu tidak dibenarkan.

Gani kemudian memberitahu bahawa penulis itu boleh dipanggil malah dia kini menghadapi tuduhan menulis berita palsu.

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 09/12/1998

Orang ramai mula menunggu sejak pukul satu pagi

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-22 hari ini semakin menarik perhatian orang ramai dan menyaksikan satu 'rekod' baru tercipta apabila sebahagian daripada mereka mula menunggu di pekarangan bangunan Sultan Abdul Samad seawal pukul 1 pagi.

Sebelum ini, orang ramai mula berbaris kira-kira pada pukul 6 pagi dan kemudian lebih awal lagi, pada pukul 4 pagi.

Menurut seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Maniam, beliau sampai di bangunan mahkamah pada pukul 1 pagi bersama enam yang lain.

Katanya, perbicaraan ini semakin menarik berikutan keterangan saksi pendakwa ke-12, Azizan Abu Bakar semalam bahawa beliau tidak diliwat oleh tertuduh.

Difahamkan setakat pukul 4 pagi sahaja, sudah terdapat 32 orang yang berbaris. Bagi memudahkan urusan, mereka mencapai kata sepakat dan membuat satu senarai nama pada sehelai kertas lengkap dengan waktu tiba di mahkamah.

Sebanyak 24 orang awam mendapat tempat pada sidang sebelah pagi manakala 25 pula pada sidang sebelah petang. Sebahagian daripada orang awam yang masuk pada sebelah petang adalah mereka yang beratur sejak pukul 4 pagi.

Namun begitu, berlaku sedikit kekeliruan di kalangan orang awam berikutan arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengawal keselamatan bahawa hanya mereka yang menulis nama sahaja akan dipanggil masuk.

Ekoran arahan tersebut, mereka yang terlepas peluang mengikuti sidang sebelah petang bertindak menulis nama untuk sesi sebelah pagi esok.

Bagaimanapun pihak polis menjelaskan kepada mereka bahawa tidak wujud sistem menulis nama seperti yang diarahkan itu kerana mereka (polis) mengamalkan sistem beratur dan memberi keutamaan kepada yang dahulu.

Sementara itu, pekarangan bangunan Sultan Abdul Samad agak sesak pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila orang awam semakin ramai berkumpul bagi mendapatkan perkembangan terkini perbicaraan.

Mereka bukan sahaja menantikan maklumat tentang keterangan yang diberikan oleh Azizan di mahkamah tetapi turut mengambil kesempatan untuk melihat wajah pasukan peguam bela Anwar dari dekat.

Mereka bertepuk tangan, bersorak dan mengambil kesempatan untuk berjabat salam dengan sembilan peguam bela yang diketuai oleh Raja Aziz Addruse.

Tepukan mereka semakin hangat apabila peguam Gurbachan Singh dan Christopher Fernando keluar dari mahkamah kira-kira pukul 4.10 petang.

Pada masa yang sama, anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan turut dikerahkan bagi mengawal keadaan.

Orang ramai kemudian bergerak ke belakang bangunan mahkamah bagi melihat Anwar keluar untuk dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Tidak lama selepas kenderaan pacuan empat roda yang membawa Anwar bergerak, Dr. Wan Azizah keluar dengan diiringi oleh anak sulungnya, Nurul Izzah.

Mereka berdua turut mengambil kesempatan menghampiri tembok di tebing sungai di belakang mahkamah untuk melambaikan tangan kepada orang ramai yang berkumpul di sekitar kawasan Masjid Jamek.

Keadaan hampir menjadi kelam kabut dan tidak terkawal apabila orang ramai yang sebelum itu dihalang oleh pihak polis untuk masuk ke kawasan belakang mahkamah, meluru untuk bersalaman dengan Dr. Wan Azizah.

Bagaimanapun, pihak polis dapat mengawal keadaan dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

---------------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 09/12/1998

Paul arah Zainur terus tugas bela Anwar

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Hakim Datuk S. Augustine Paul hari ini mengarahkan supaya Zainur Zakaria salah seorang daripada sembilan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Mahkamah Tinggi di sini untuk meneruskan tugasnya membela bekas Timbalan Perdana Menteri itu atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Sebelum sidang perbicaraan Anwar yang bermula pukul 9.15 pagi ini, Hakim Augustine bertanya peguam Raja Aziz Addruse yang mengetuai pihak pembela di manakah Zainur kerana beliau tidak berada di dalam mahkamah.

Raja Aziz memaklumkan bahawa Zainur tidak hadir dan menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada bolehkah peguam bela itu berada di dalam mahkamah kerana Zainur sedang menunggu rayuan atas sabitan menghina mahkamah tersebut.

Hakim Augustine: ''Biarlah beliau ada di sini, usah biarkan beliau berlegar sahaja di luar sana. Saya menghormati apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan yang menangguhkan pelaksanaan hukumannya dengan jaminan. Saya terima keputusan itu dengan fikiran yang terbuka. Beliau adalah sebahagian daripada pihak pembela.

Zainur kini dibebaskan dengan jaminan RM10,000 sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan setelah dihukum penjara tiga bulan kerana didapati bersalah menghina mahkamah tersebut pada Isnin minggu lalu.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/12/1998

Azizan sedih peguam bangkit isu kemalangan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau sedih kerana peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak henti-henti mengungkitkan kejadian kemalangan jalan raya yang meragut nyawa isterinya yang hamil tujuh bulan dan bertubi-tubi menimbulkan soalan yang mengelirukannya.

Pada pemeriksaan balas perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-23 hari ini, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh bertanya Azizan mengenai pertemuannya dengan tertuduh itu di kediamannya pada Jun tahun ini.

Gurbachan:''Pada pertemuan itu kamu ada beritahu Anwar, kamu tidak beritahu sesiapa bahawa Anwar terlibat dengan kemalangan isteri kamu?''

Azizan, 38, sebagai saksi pendakwa ke-12 memberi keterangannya yang kini masuk lima hari dengan spontan menjawab: ''Yang Arif, saya sedih apabila peguam bela banyak tanya mengenai isteri saya. Ingatan saya tertumpu kepada isteri saya.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul segera menegur Gurbachan sambil berkata: ''Hentikan soalan itu, sudah 3 atau 4 kali yang saya dengar. Apakah kaitan kematian isterinya dengan dakwaan di mahkamah ini.''

Gurbachan: ''Saya juga simpati dengannya. Tetapi terdapat keterangan pendakwa mengenai pertemuan pada Jun 1998.''

Hakim Augustine: ''Adakah sebarang keterangan tentang kematian isterinya?''

Gurbachan: ''Tidak, tetapi kami mesti mencabar...''

Hakim Augustine: ''Ya, tetapi apa yang relevan mengenai kematian isterinya dengan pertemuan.''

Gurbachan menerangkan bahawa saksi itu telah membuat dakwaan tertentu mengenai pertemuan pada Jun 1998.

Hakim Augustine: ''Tetapi beliau tidak menyatakan apa-apa mengenai kematian isterinya.''

Gurbachan: ''Saya kini bukan menyentuh bukti mengenai kemalangan macam itu.''

Hakim Augustine: ''Apa soalan kamu?''

Gurbachan:''Soalan saya ialah sama ada beliau memberitahu tertuduh bahawa tertuduh terlibat dalam kematian isterinya.

Peguam bela itu dengan nada meninggi berkata: ''Saya tidak mahu berhujah dengan Yang Arif. Tolong catatkan soalan saya dan buatlah keputusan menolaknya.''

Hakim Augustine: ''Apa soalannya?''

Gurbachan: ''Adakah pada pertemuan kamu dengan Datuk Seri Anwar kamu memberitahunya bahawa kamu tidak pernah mengatakan bahawa beliau terlibat dengan kematian dan pembunuhan isteri kamu?''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan soalan ini.''

Gurbachan: ''Terima kasih.''

Anwar, 51, sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada sesi pagi perbicaraan itu, Gurbachan menyambung soalan balasnya mengenai hubungan Azizan dengan Ma'amin Latib yang dikatakan salah seorang daripada 'orang suruhan' Anwar.

Gurbachan: ''Azizan, bersetuju bahawa kamu biasa panggil Ma'amin, abang?''

Azizan: ''Ya, saya setuju, saya biasanya memanggil Ma'amin sebagai abang kerana dia lebih tua daripada saya.''

Gurbachan: ''Adakah benar bahawa kamu ada beritahu Ma'amin seperti berikut:''Saya betul-betul difitnah abang, saya tidak kenal siapa dia Khalid Jafri. Betul?''

Azizan: ''Ya, benar, saya ada berkata demikian, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Adakah juga kamu memberitahu Ma'amin seperti berikut: ''''Saya tengok abang tak tinggal sembahyang, saya minta abang sembahyang hajat untuk saya terlepas daripada fitnah ini, betul Azizan?''

Azizan: ''Ya, ia berkaitan dengan penerbitan dan penulisan buku 50 Dalil sahaja.''

Gurbachan: ''Bersetuju, selepas lebih kurang dua hari, kamu beritahu Ma'amin demikian, kamu ada menelefon Ma'amin?''

Hakim Augustine: ''Pada hari lain.''

Gurbachan: ''Ya.''

Azizan: ''Tidak setuju, saya memberitahunya semasa kami dalam perjalanan pulang ke Melaka dari Kuala Lumpur.''

Gurbachan: ''Azizan, kamu tidak tahu soalan. (Peguam bela itu baca semula). Soalan saya adakah kamu telefon Ma'amin lebih kurang dua hari kemudian?''

Azizan: ''Saya tidak menelefon dia.''

Gurbachan: ''Bersetuju, selepas kamu pergi ke Bukit Aman bersama peguam Sukdev Singh dan Ma'amin kamu ada balik ke Melaka dengan Ma'amin.''

Azizan: ''Saya bersetuju, saya ada balik ke Melaka.''

Gurbachan: ''Kamu memandu kereta dan Ma'amin menjadi penumpang?''

Azizan: ''Saya yang memandu kereta.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah soalan demikian.

Mohd. Yusof: ''Sejak tiga hari soalan berkisar bukan menuju kepada isu tetapi bertujuan untuk mempersoalkan kredibiliti saksi. Ini mesti ditamatkan. ia telah pergi jauh.''

Pendakwa raya itu kemudian merujuk kuasa undang-undang dalam Archbold pada beberapa perenggan di bawah tajuk, Pemeriksaan Balas.

Mohd. Yusof: ''Mereka telah pergi begitu jauh dalam pemeriksaan balas saksi. Tiada isu yang berkaitan di mahkamah ini.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak fikir untuk menghalang mereka (peguam bela) menimbulkan soalan kredibiliti. Kamu mahu saya hentikan. Kamu membaca Archbold. Ia tidak berkait dengan kredibiliti.''

Mohd. Yusof: ''Ia tidak ada penamatnya. Perkara yang disoal tiada relevan langsung dengan isu. Beliau kemudian membaca Seksyen 148 Akta Keterangan 1950.

Hakim Augustine merujuk kuasa undang-undang yang dikemukakan pendakwa raya itu dan selepas menelitinya: ''Saya benarkan peguam bela membuat soalan itu tetapi kredibilit juga mempunyai had. Jika ia melampaui batas-batas kredibiliti kita akan menghentikannya.''

Selepas akur dengan perintah Hakim Augustine lalu Gurbachan menyoal: ''Azizan, dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Melaka, adakah kamu beritahu Ma'amin seperti berikut: ''Saya fed up dengan Ummi.''

Hakim Augustine: ''Itukah sahaja?''

Gurbachan: ''Ya.''

Hakim Augustine: ''Adakah kamu cakap begitu?''

Azizan: ''Saya tidak ingat saya ada mengatakan sedemikian kepada Ma'amin.''

Hakim Augustine lalu mengajukan soalannya kepada Mohd. Yusof: ''Adakah ia relevan Encik Yusof.''

Mohd. Yusof: ''Sama ada ia relevan dengan pertuduhan itu perkara lain.''

Hakim Augustine: ''Bukankah keputusan saya betul?''

Gurbachan: ''Kami semua menerimanya.'' Hadirin kedengaran tergelak.

-------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/12/1998

Pembela diminta urus sendiri temuduga saksi

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Pihak pembela dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diminta menguruskan sendiri soal menemuduga dua saksi pendakwa, Abdul Rahim Dahalan (Rahim King) dan Ma'amin Latib.

Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, mahkamah tidak boleh terlibat dalam soal tersebut dan kedua-dua pihak harus menentukan apa yang perlu dibuat berdasarkan peruntukkan Aturan 34 Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Amalan dan Kesopanan) 1978.

Aturan 34 menyebut: 'Seseorang peguam bela atau peguam cara boleh menyoaljawab mana-mana saksi atau bakal saksi bagi pihak lawan dalam sesuatu perkara sivil atau jenayah tanpa izin peguam atau pihak lawan itu dengan syarat peguam atau pihak lawan itu hendaklah diberitahu terlebih dahulu.

'Pada melakukan demikian itu, ia hendaklah berhati-hati mengelakkan apa-apa saranan yang dikira akan mendorong saksi itu menyembunyikan atau menyimpan dari apa yang sebenarnya.'

''Selepas mempertimbangkan persoalan ini, saya memutuskan bahawa kedua-dua pihak akan menentukan sendiri apa yang perlu dilakukan,'' kata Hakim Augustine selepas mendengar permohonan pihak pembela untuk menemuduga Rahim King dan Ma'amin.

Dalam permohonannya, Gurbachan Singh berkata, pihaknya ingin mencatatkan kenyataan daripada kedua-dua saksi itu atau sekurang-kurangnya menemuduga secara khusus berhubung dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar mengenai peranan mereka berdua ketika saksi itu bertemu peguam Sukhdev Singh dengan kehadiran mereka.

''Kami juga ingin menemuduga kedua-dua lelaki berkenaan berhubung dakwaan-dakwaan Azizan terhadap mereka. Mereka telah dipanggil oleh pihak pendakwa untuk dicamkan dan mereka ada saksi pendakwa.

''Kami tidak dapat menyoalbalas Azizan berhubung dakwaan-dakwaannya tanpa menemuduga kedua-dua saksi ini dan tidak berpeluang mencabar Azizan jika tidak dibenarkan menemuduga Rahim King dan Ma'amin.

''Kami berhujah bahawa kedua-dua saksi itu tidak terikat dengan sesiapa dan kami berhak menemuduga mereka hanya untuk tujuan ini.

''Kami mengemukakan permohonan ini kerana kami tidak sama ada kedua-dua saksi ini akan dipanggil oleh pihak pendakwa. Sebagai menyokong permohonan ini, saya merujuk kepada Aturan 34.''

Hakim Augustine: ''Sebelum saya baca aturan ini, tidakkah ia hanya boleh diguna pakai kepada peguam bela dan peguam cara?''

Gurbachan membaca sepenuhnya peruntukkan tersebut.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd. Yusof Zainal Abiden pula berkata:

''Saya kurang jelas mengenai tujuan sebenar temuduga ke atas kedua-dua saksi ini, kalau sekadar untuk menyanggah keterangan Azizan, ia tidak boleh dilakukan berdasarkan peruntukkan Seksyen 153 Akta Keterangan 1950. Soalan-soalan berkaitan Rahim King dan Ma'amin hanya relevan kepada soal kewibawaan.''

Hakim Augustine: ''Mohd. Yusof, sila duduk sekejap. Permohonan ini kedengaran agak pelik bagi saya. Adakah kamu (Gurbachan) mempunyai sebarang rujukan undang-undang mengenainya?''

Gurbachan: ''Tidak pada masa ini.''

Hakim Augustine: ''Saya tak fikir kamu dapat mencarinya. Jika permohonan ini dibenarkan, setiap kali saksi disoal balas, kamu boleh menemuduga saksi-saksi pendakwa yang lain. Pada penghujung kes pendakwa. saksi-saksi akan ditawarkan kepada kamu. Apa lagi yang pendakwa hendak katakan.''

Yusof: ''Jika tujuannya hanya untuk menyanggah keterangan Azizan, maka soalan-soalan ini dilarang oleh Seksyen 153 Akta Keterangan 1950 yang menyebut bahawa tidak ada keterangan boleh diberi untuk menyanggah seseorang saksi.

''Jikapun mahkamah membenarkan pembela menemuduga saksi, maka ia akan menjadi usaha yang sia-sia kerana keterangan-keterangan itu tidak boleh dikemukakan. Jika ia untuk tujuan mencabar kebolehpercayaan saksi, maka kita mempunyai hujah lain untuk dibuat.''

Gurbachan: ''Pada masa ini, bukanlah niat kami untuk menemuduga Rahim King dan Ma'amin bagi menyanggah Azizan tetapi tujuan kami ialah untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku supaya kami boleh menyoal balasnya dengana berkesan.

''Aturan 34 tidak pula menyebut bahawa hak untuk menemuduga hanya boleh dilaksanakan semasa kes pembela.''

Hakim Augustine: ''Aturan 34, kalaupun ia mempunyai kuasa undang-undang, memerlukan notis diberikan. Saya tidak tahu sama ada saya boleh melakukannya atau tidak.''

Gurbachan: ''Kami sudahpun beri notis kepada mereka semalam dan juga hari ini.''

Hakim Augustine: ''Kamu mesti beri notis bertulis.''

Gani: ''Berhubung isu Akta Profesion Undang-undang, saya ingin tahu daripada Gurbachan bagaimana akta ini merangkumi perkara ini. Saya tertanya-tanya sama ada Akta tersebut boleh 'menceroboh ke dalam alam' Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan.''

Hakim Augustine: ''Dengan ketiadaan kes rujukan undang-undang, saya berpendapat bahawa Aturan 34 hanya diguna pakai bagi saman-saman peribadi, yang kini sudah dimansuhkan.

''Jika tidak ia akan membawa kepada situasi yang tidak munasabah apabila semua saksi pendakwa boleh ditemuduga. Setahu saya, pembela hanya boleh menemuduga saksi pendakwa setelah mereka ditawarkan kepada pihak pembela.''

Gurbachan: ''Aturan 34 tidak mengehad atau menyekat hak untuk menemuduga mana-mana saksi atau bakal saksi sama ada dalam aduan persendirian atau ia hanya boleh dilakukan apabila pendakwa menutup kesnya dan menawarkan saksi-saksi kepada kami.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamad pula berkata, peraturan itu dibuat oleh Majlis Peguam berdasarkan Seksyen 77 Akta Profesion Undang-undang dan tentu sekali pihak pendakwa tidak tertakluk kepada peraturan yang dibuat oleh majlis itu.

Hakim Augustine: ''Saya akan menangguhkan sidang selama 10 minit untuk menimbangkan permohonan ini.''

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/12/1998

Saya terpaksa - Azizan -- Tandatangan akuan berkanun walau perenggan kelima tidak benar

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau terpaksa menandatangani Akuan Berkanun (D55) setelah sentiasa dihubungi oleh 'orang suruhan' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ma'amin Latib dan Abdul Rahim Dahalan (Rahim King).

Kata Azizan, beliau terpaksa berbuat demikian walaupun menyedari perenggan kelima dalam D55 adalah tidak benar.

(Perenggan kelima menyebut 'Saya berikrar dan bersumpah bahawa kandungan buku tersebut setakat mana ianya merujuk kepada saya adalah tidak benar sama sekali dan adalah berniat jahat.')

''Saya tidak bersetuju bahawa tiada sesiapa mempengaruhi saya untuk membuat perenggan kelima di dalam D55 itu,'' kata saksi pendakwa ke-12 itu ketika disoal oleh peguam Gurbachan Singh yang memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaannya.

Prosiding itu dibenarkan oleh Hakim Datuk S. Augustine Paul petang ini untuk mencabar keterangan Azizan semalam yang menafikan kebenaran perenggan kelima dalam D55 sedangkan beliau sendiri menandatangani dokumen tersebut.

D55 adalah akuan berkanun bertarikh 5 Ogos 1998 yang diperakukan dan ditandatangani oleh Azizan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Ngui Kee Heong.

Sebelum ini, Azizan telah mengakui kebenaran perenggan 1, 2, 3, 4 dan 6 dalam D55.

Antara lain, Azizan mengakui bahawa beliau tidak mengenali penulis atau pencetak buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' dan beliau tidak terlibat dalam apa jua cara dengan penulisan, percetakan, penjualan dan pengedaran buku tersebut.

Gurbachan sebelum itu menyoal Azizan: ''Kamu bersetuju pernah berkata seperti kandungan dalam perenggan kelima D55 dan kamu tandatangani Akuan Berkanun ini.''

Azizan: ''Saya bersetuju, saya ada membuat kenyataan seperti di perenggan kelima D55.''

Gurbachan: ''Bersetuju, kamu ada baca D55 ini di pejabat peguam Sukhdev Singh sebelum menandatanganinya.''

Azizan: ''Ada.''

Gurbachan: ''Tapi semalam kamu memberi keterangan bahawa perenggan kelima D55 tidak benar.''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gurbachan: ''Kamu sedar bukan, dalam Akuan Berkanun mesti cakap semua yang benar.''

Hakim Augustine: ''Ada faham?''

Azizan: ''Tetapi saya telah dipaksa...''

Gurbachan: ''Itu bukan soalan saya.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail: ''Dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi, saksi dibenarkan memberi penjelasan.''

Hakim Augustine: ''Ya, saya setuju dengan mereka (pendakwa).''

Azizan menjelaskan bahawa beliau terpaksa berbuat demikian walaupun beliau tahu Akuan Berkanun seharusnya mengandungi maklumat yang benar sahaja.

Gurbachan: ''Saya katakan bahawa kamu membuat perenggan kelima di dalam D55 dengan rela hati.''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju.''

Gurbachan: ''Pada peringkat ini, saya perlu memanggil saksi untuk membuktikan kerelaan saksi ini.''

Hakim Augustine: ''Kalau begitu, pihak pendakwa boleh menyoal saksi ini.''

Gurbachan: ''Saya ada satu soalan lagi. Bersetuju pada 10 Ogos 1998, apabila kami tandatangani D55, Rahim King dan Ma'amin tidak berada di situ.''

Azizan: ''Rahim King dan Ma'amin tidak ada bersama kerana sebelum ini Ma'amin selalu berada di pejabat saya dan menyuruh saya ke Kuala Lumpur bagi menandatangani Akuan Berkanun yang telah siap, katanya.''

Sebelum mahkamah menangguhkan sidang, peguam Anwar, Raja Aziz Addruse memaklumkan bahawa beliau dan Christopher Fernando perlu hadir di Mahkamah Persekutuan bagi mengendalikan rayuan kes menghina mahkamah.

Menurut beliau, peguam Sulaiman Abdullah juga mempunyai kes di mahkamah lain manakala Anwar mempunyai kes berhubung pemecatannya.

Hakim Augustine: ''Dalam kes-kes sivil pihak terlibat tidak perlu hadir, Gurbachan akan ada di sini dan beliau telah mengendalikan kes ini sehingga kini.''

Raja Aziz: ''Saya fikir perkara ini cukup penting bagi kami semua hadir, kami akan berada di Mahkamah Persekutuan esok.''

Hakim Augustine: ''Anak guam kamu tidak perlu hadir dalam kes sivilnya.''

Raja Aziz: ''Adalah lebih baik jika kami semua dapat berada di sini.''

Hakim Augustine: ''Tidak. Kes ditangguhkan hingga 9.15 pagi esok.''

Oleh: FARIDAH HASHIM

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/12/1998

Prosiding cabar saksi dibawah Seksyen 155 Akta Keterangan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ialah satu proses perbicaraan bertujuan untuk mencabar kewibawaan saksi berkenaan.

Ia diperuntukkan di bawah seksyen 155 Akta Keterangan 1950 manakala prosedur serta peraturan mengenainya digariskan oleh kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

Prosiding ini boleh dimulakan oleh pihak lawan atau, dengan izin mahkamah, oleh pihak yang memanggil saksi tersebut.

Menurut seksyen 155, terdapat tiga cara seorang saksi boleh dicabar kebolehpercayaannya:

* dengan keterangan saksi lain bahawa saksi berkenaan tidak boleh dipercayai;

* dengan membuktikan bahawa saksi itu telah disogok atau dirasuah supaya memberikan keterangan; atau

* dengan membuktikan bahawa peryataan-peryataannya sebelum ini bercanggah dengan mana-mana bahagian keterangan yang boleh disangkalkan.

Mahkamah akan membandingkan terlebih dahulu kenyataan saksi yang didakwa bercanggah dengan keterangannya di dalam perbicaraan itu.

Sekiranya terdapat percanggahan yang penting, mahkamah akan membenarkan saksi ditanya sama ada beliau ada membuat kenyataan seperti yang didakwa itu.

Prosedur yang digunakan dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan ini sama seperti dalam perbicaraan utama iaitu pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.

Sekiranya saksi menafikan ada membuat kenyataan seperti dalam dokumen itu, dokumen berkenaan perlu dibuktikan kesahihannya dengan memanggil orang-orang yang terlibat bagi membuktikan bahawa saksi ada membuat kenyataan seumpama itu.

Sebaliknya, jika saksi mengaku bahawa ada membuat kenyataan seumpama itu, beliau akan ditunjukkan perbezaan berkenaan dan diminta memberi penjelasan mengenainya.

Setelah prosiding mencabar kebolehpercayaan ini selesai, saksi akan menyambung semula keterangannya dalam perbicaraan utama.

Mahkamah akan memutuskan kebolehpercayaan saksi pada akhir perbicaraan sama ada untuk menerima atau menolak penerangan saksi itu.

Sekiranya mahkamah berpuashati wujudnya percanggahan, kebolehpercayaan saksi telah tercabar dan seluruh keterangan saksi berkenaan akan ditolak.

Saksi berkenaan pula boleh didakwa atas kesalahan jenayah berbohong di mahkamah atau membuat kenyataan palsu.

------------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/12/1998

Pembela dibenar cabar saksi


AZIZAN Abu Bakar (tengah) ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 9 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pihak pembela dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan Azizan Abu Bakar berhubung percanggahan antara perenggan kelima akuan berkanun (D55) dan keterangan lisannya semalam yang menafikan kebenaran perenggan tersebut.

Hakim Datuk S. Augustine Paul ketika memutuskan demikian berkata, pihak pembela dibenarkan mencabar kebolehpercayaan saksi itu berhubung perkara tersebut.

''Pada pendapat saya, permohonan untuk memulakan prosiding ini lebih banyak merangkumi pelanggaran peraturan daripada pematuhan peruntukan undang-undang berkaitan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

''Namun begitu, atas dasar kepentingan keadilan dan untuk membolehkan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya, saya membenarkan permohonan ini,'' tegas Hakim Augustine.

Percanggahan yang didakwa berlaku itu tidak melibatkan keseluruhan keterangan saksi pendakwa ke-12 itu dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Beliau memutuskan demikian selepas mendengar hujah peguam bela Anwar, Gurbachan Singh dan hujah balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Gurbachan bertindak mengemukakan permohonan tersebut setelah menyedari Azizan memberi keterangan yang bercanggah dalam perbicaraan kes Anwar, 51 yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Perbicaraan masuk hari ke-23 hari ini dan Azizan masih disoalbalas oleh pihak pembela.

Gurbachan mendakwa, dalam keterangannya di mahkamah semalam, Azizan mengakui bahawa dia menandatangani D55 di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

''Bagaimanapun, saksi itu menafikan kebenaran perenggan kelima dalam D55 yang menyebut: 'Saya berikrar dan bersumpah bahawa kandungan buku tersebut setakat mana ianya merujuk kepada saya adalah tidak benar sama sekali dan adalah berniat jahat','' tegas Gurbachan.

Keterangan Azizan itu, kata peguam tersebut bercanggah dengan kandungan muka surat 76 hingga 78 buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM', mengandungi pengakuan bersumpah saksi tersebut bertarikh 5 Ogos 1997 (P14c) yang mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Sewaktu memulakan hujahnya, Gurbachan telah menyerahkan satu salinan buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' kepada Hakim Augustine dengan kandungan muka surat 76 hingga 78, 81, 86 dan 87 digariskan.

Hakim Augustine: ''Bagaimana dengan soalan-soalan dan jawapan yang telah dikemukakan dan dicatatkan sepanjang dua hari lalu.

''Soalan-soalan yang dikemukakan kepada saksi ini sejak semalam dan hari ini menuntut penjelasan daripadanya.''

Gurbachan: ''Tidak, Yang Arif. Saya sekadar melaksanakan tugas menyoal balas saksi ini. Beliau yang menimbulkan keterangan ini dalam pemeriksaan utama.''

Hakim Augustine: ''Adalah satu usaha yang merugikan untuk mengulangi keseluruhan proses ini sekali lagi. Saya rasa kamu sudah meliputi keseluruhan isu berkenaan.''

Gurbachan: ''Tetapi Yang Arif telah berkata bahawa kami mungkin boleh mencabar kebolehpercayaan saksi ini dalam kes pihak pembela nanti.''

Hakim Augustine: ''Kamu tidak faham apa yang saya katakan kepada kamu. Apa yang saya kata ialah bahawa untuk menjimatkan masa, kamu boleh memetik kesemua keterangan dalam soalbalas untuk tujuan ini.''

Gurbachan: ''Saya bingung. Pada satu ketika, Yang Arif meminta kami menyoalbalas saksi ini terlebih dahulu dan membiarkan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ini dilakukan selepas sesi soalbalas.''

Hakim Augustine: ''Bila saya tanya sama ada kamu faham, kamu jawab 'Ya', tetapi jika kamu faham, bagaimana kamu boleh kebingungan.

''Adakah soalan dan jawapan yang diharapkan nanti sama dengan apa yang telah dicatatkan?''

Gurbachan: ''Tidak, Yang Arif. Kami akan hanya tertakluk kepada prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ini sahaja?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden bangun menghujah balas sambil berkata: ''Kami ingin tahu bahagian mana di dalam keterangan Azizan yang begitu ketara bercanggah dengan perenggan kelima D55?''

Hakim Augustine: ''Ya, itu persoalan yang baik. Dan saya perlu melihat buku itu untuk mengetahui apa yang diperkatakannya.''

Yusof kemudian merujuk kepada keterangan Azizan yang ada kaitannya dengan buku tersebut.

Hakim Augustine: ''Saya rasa kamu perlu tunjukkan buku itu kepada saya terlebih dahulu. Terima kasih Mohd. Yusof kerana menimbulkan perkara ini.''

Gurbachan: ''Maklum balas saya kepada soalan Yang Arif ialah bahawa percanggahan itu adalah seperti berikut:

''Dalam keterangan semalam, saksi menafikan kebenaran perenggan kelima D55 sedangkan dalam dokumen yang sama yang diperakukan dan ditandatanganinya mengandungi perenggan berikut, iaitu 'kandungan buku tersebut setakat mana ianya merujuk kepada saya adalah tidak benar sama sekali dan adalah berniat jahat'.

''Saksi juga semalam mengakui kebenaran kandungan perenggan 1,2,3,4 dan 6 dalam D55. Pada perenggan keempat, jelas disebut bahawa bahagian-bahagian tertentu di dalam buku itu yang merujuk kepada diri saksi ditunjukkan kepadanya oleh pihak polis.

''Maka, percanggahan adalah begitu jelas apabila muka-muka surat tertentu di dalam buku itu yang kami ingin cadangkan kepada saksi semalam terkandung pada muka 76 hingga 78 begitu juga muka 81, 86 dan 87 yang turut merujuk secara khusus kepada saksi ini.''

Hakim Augustine: ''Kamu berikan saya ringkasannya sahaja.''

Gurbachan: ''Muka surat 76 hingga 78 mengandungi Pengakuan Bersumpah (P14c). Muka surat 81 ialah mengenai ketika di mana tertuduh dan polis dikatakan bekerjasama untuk menipu Perdana Menteri, UMNO dan seluruh rakyat Malaysia.''

Hakim Augustine: ''Adakah ia mempunyai kaitan dengan saksi ini?''

Gurbachan: ''Ya.''

Hakim Augustine: ''Adakah beliau membuat kenyataan di muka surat 81.''

Gurbachan: ''Muka surat 81 tidak akan membawa apa-apa makna melainkan saya merujuk ke muka 76. Dan di muka surat 86 mengandungi sindiran bahawa tertuduh terlibat dengan kematian isteri saksi.''

Hakim Augustine: ''Datuk Gani (Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail), ada apa-apa yang ingin kamu katakan?''

Mohd. Yusof: ''Keseluruhan undang-undang prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi menghendaki keseluruhan bahagian yang dikatakan bercanggah itu digariskan dan ditunjukkan kepada mahkamah. Boleh kami diberikan masa beberapa minit untuk meneliti kandungan buku ini bagi melihat bahagian yang telah disebutkan oleh Gurbachan tadi.''

Hakim Augustine: ''Adakah 10 minit memadai?''

Gani: ''Terima kasih, Yang Arif.''

Selepas perbicaraan disambung semula, Hakim Augustine meminta Gani menghujah balas.

Gurbachan: ''Sebelum Gani berhujah, saya ingin menjelaskan bahawa permohonan kami hanya tertakluk kepada percanggahan antara perenggan kelima D55 dan keterangan lisannya semalam di mana saksi ini menafikan kebenaran perenggan kelima D55 itu. Kami tidak berhasrat untuk menjangkau lebih jauh dan menimbulkan isu berhubung apa yang terkandung dalam buku 50 Dalil.''

Gani: ''Sebelum ini, Gurbachan berkata bahawa Azizan menafikan perenggan kelima. Jika kita lihat perenggan kelima - kandungan buku tersebut setakat mana ia dirujuk kepada saya adalah tidak benar.'

''Pertamanya, saksi ini telah memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah membaca buku itu. Kedua, beliau bukan pengarang atau penulis buku berkenaan.

''Gurbachan sekali lagi merujuk kepada perenggan keempat D55 - bahawa ada bahagian di dalam buku itu dirujukkan kepada saksi ini. Saya dapat benar bahawa perkara ini tidak dirujukkan kerana ketika disoalbalas, saksi menyebut...''

Gurbachan: ''Kami tidak akan merujuk kepada perenggan keempat.''

Gani: ''Jadi di mana percanggahannya antara perenggan kelima D55 dan keterangan saksi ini di dalam mahkamah?''

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/12/1998

Siasatan meliputi 4 perkara

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu siasatan polis berhubung kandungan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM meliputi empat perkara.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I, Musa Hassan berkata, perkara-perkara itu ialah berhubung tuduhan mengadakan hubungan seks dengan isteri orang, meliwat atau homoseksual, tuduhan membunuh isteri Azizan Abu Bakar dan menipu Perdana Menteri dengan menggunakan polis.

''Siasatan berhubung keempat-empat perkara itu ada kaitannya dengan satu lagi siasatan yang dilakukan pada tahun 1997 berkenaan kes penyebaran surat Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim,'' jelas beliau.

Musa memberi keterangan itu sebagai saksi pendakwa ke-13 yang mula memberi keterangan pada kira-kira pukul 3 petang ini di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Beliau disoal oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Mahkamah hari ini selesai mendengar keterangan saksi pendakwa ke-12, bekas pemandu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azizan Abu Bakar.

Sebaik mahkamah mula bersidang pada pukul 2.20 petang, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail meneruskan sesi pemeriksaan semula ke atas Azizan selama kira-kira 30 minit sebelum tiba giliran Musa.

Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman itu mengakui bahawa beliau bertanggungjawab sebagai pegawai penyiasat kes terhadap Anwar.

Menurut Musa, siasatan terhadap Anwar adalah berkaitan laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Sulitnya ketika itu, Azmin Mohd. Ali.

Azahar: ''Saya mohon kepada Yang Arif untuk merujukkan satu laporan polis kepada saksi. Sila beritahu mahkamah nombor laporan polis ini.''

Musa: ''Dang Wangi Police Report 14140/1998 yang dibuat pada jam 4.50 petang 19 Jun 1998.''

Azahar: ''Menurut laporan polis itu, apakah pekerjaan Azmin?''

Musa: ''Setiausaha Sulit TPM.''

Azahar: ''Pada masa itu tertuduh (Anwar) adalah TPM?''

Musa: ''Ya.''

Pada peringkat ini, Azahar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwa ingin mengemukakan laporan polis itu sebagai bahan kes.

Salah seorang peguam Anwar, Gurbachan Singh bagaimanapun membantah atas alasan, Musa bukanlah orang yang membuat laporan itu.

Azahar: ''Sebelum mahkamah membuat keputusan, saya ingin berhujah dengan mengemukakan beberapa kes lampau sebagai sokongan terhadap permohonan saya.

''Sebagai pegawai penyiasat, saksi ini mempunyai kawalan ke atas laporan polis ini dan dokumen tersebut telah pun disahkan oleh Ketua Polis Daerah.''

Gurbachan: ''Saya cadangkan agar laporan ini ditandakan dahulu bagi tujuan pengecaman sebelum dijadikan bahan bukti kes.''

Hakim Augustine: ''Saya menerima cadangan itu.'' Azahar kemudian meneruskan soalannya kepada Musa sambil berkata: ''Siapakah yang membuat laporan polis berhubung surat 'Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim?''

Musa: ''Orang yang membuat laporan ialah Penolong Penguasa Polis Zull Aznam Haron.''

Azahar: ''Sila baca kandungan laporan ini (ID16) dan saya akan tanya soalan.

''Adakah ID16 ini laporan polis yang dibuat oleh Zull Aznam?''

Musa: ''Ya. Berkaitan surat 'Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.''

Azahar: ''Bilakah beliau membuat laporan polis ini?''

Musa: ''Pada jam 3.45 petang 15 Ogos 1997.''

Azahar kemudian beralih kepada soalan lain.

Katanya: ''Pada 15 Ogos 1997, kira-kira jam 3.30 petang, apa berlaku?''

Musa: ''Saya dipanggil oleh saksi pendakwa (SP) pertama, Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang supaya pergi ke pejabatnya.

''Apabila saya sampai, beliau memberitahu bahawa Zull Aznam juruiring TPM ingin buat laporan polis berkaitan surat yang diterima oleh TPM, 'Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim'.''

Azahar: ''Adakah SP1 bagi tahu tentang surat itu?''

Musa: ''Ia suatu gurindam yang memberikan tohmahan tentang salah laku TPM, salah laku seksual serta homoseks.''

Azahar: ''Apa tindakan kamu seterusnya?''

Musa: ''Zull Aznam kemudian membuat laporan polis setelah menerima borang Polis 55 berkaitan penerimaan surat tersebut kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur hasutan supaya membenci seorang pemimpin kerajaan dan menimbulkan rasa tidak puas hati dan hilang keyakinan kepada kerajaan.''

Azahar: ''Adakah surat itu diserahkan oleh Zull Aznam kepada kamu?''

Musa: ''Ya.''

Azahar: ''Sehingga surat itu dikemukakan, adakah ia sentiasa berada dalam jagaan kamu?''

Musa: ''Ya."

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/12/1998

Azizan tidak hairan hubungan Shamsidar dengan tertuduh

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak hairan kalau benar tertuduh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mempunyai hubungan dengan kakak ipar Ummi Hafilda Ali kerana menurut beliau 'dengan lelaki pun dia boleh main'.

Kata Azizan, jawapan itu diberikannya kepada Ummi apabila wanita itu menceritakan kepadanya masalah kakak iparnya.

Saksi pendakwa ke-12 itu memberi keterangan tersebut sewaktu sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Ummi Hafilda Ali merupakan adik kepada Mohd Azmin Ali, bekas setiausaha sulit Anwar manakala Shamsidar Taharin, kakak iparnya, ialah isteri kepada Azmin.

Bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu memberi keterangan pada hari ke-24 perbicaraan terhadap Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Jawapan Azizan itu telah menimbulkan kemarahan peguam Anwar, Christopher Fernando yang menyifatkan keterangan itu sebagai baru dan pihak pembela tidak berpeluang menyoal balas.

Fernando bingkas bangun: ''Ini yang saya maksudkan sebagai menambah keterangan. Pihak pendakwa cuba membuatkan keterangan itu nampak lebih menjijikkan. Tentunya ada had untuk berbuat demikian.

''Tambahan keterangan menjadikan keterangan awal lebih buruk, maka keterangan ini tidak akan ada penghujungnya.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Jika ada perkara tertentu yang disebut semasa pemeriksaan utama, yang awak soal balas, maka mereka berhak memeriksa semula.''

Fernando: ''Kami tahu benar undang-undang, semuanya di belakang hujung jari kami...''

Hakim Augustine: ''Di belakang hujung jari kamu?''

Fernando: ''Maaf Yang Arif, saya tersasul. Maksud saya semua di hujung jari kami. Pihak pendakwa tidak harus terus bermain-main sendiri.

''Ini adalah keterangan baru yang tidak tertakluk kepada soal balas. Saya tidak soal balas saksi berhubung perkara ini.''

Pendakwa, kata Fernando lagi, cuba mendapatkan two bites of the cherry (dua peluang) apabila mereka mengulangi soalan yang sama.

Hakim Augustine: ''Kamu sudahpun berpeluang mendapat first bite (peluang pertama) semasa sesi soal balas dan baru sekarang mereka mendapat a proper bite (peluang yang sewajarnya).

''Baiklah, beritahu saya bahagian mana yang kamu tidak soal balas. (Lalu menoleh kepada Gani) Apa soalan kamu seterusnya?''

Gani: ''Apabila pergi ke rumah tertuduh pada malam 18 Ogos 1997, apa berlaku?''

Azizan: ''Tertuduh memarahi saya dan saya meminta maaf dengan berjabat tangan sambil tunduk tanda hormat.''

Sebelum itu, lima minit selepas Gani memulakan sidang pada pukul 2.20 petang, tiba-tiba kedengaran bunyi menderu di dalam mahkamah membuatkan semua orang termasuk Hakim Augustine tertanya-tanya sambil mendongak ke siling untuk mengetahui apa yang menyebabkan bunyi tersebut.

Lalu kata Gani: ''Takkanlah bunyi alat pendingin hawa begitu kuat!''

Seorang kakitangan mahkamah segera keluar untuk memeriksa apa yang sebenarnya berlaku.

Tidak lama kemudian, bunyi itu reda, tetapi habuk hitam mula bertaburan di dalam kamar mahkamah.

Para pemberita dan orang ramai yang berada di galeri awam berbisik sesama sendiri dan berpendapat memang benarlah bunyi tadi disebabkan oleh alat pendingin hawa.

Gani segera meneruskan pemeriksaan balasnya kepada peristiwa penangkapan Azizan dan Ummi Hafilda: ''Pada 17 Ogos 1997, kenapa Dr. Ristina menghalang kamu daripada menyerah diri pada polis?''

Azizan: ''Kerana polis yang datang tidak memakai pakaian seragam dan Dr. Ristina khuatir sekiranya mereka orang-orang yang menyamar sebagai polis.

''Walaupun mereka menghubungi Dr. Ristina melalui telefon dan mengakui diri mereka sebagai anggota polis, Dr. Ristina masih bimbang.''

Gani: ''Adakah kamu takut ditangkap polis?''

Azizan: ''Saya tidak takut, saya cuma takut sekiranya polis mengapa-apakan saya.''

Gani: ''Apa maksud mengapa-apakan?''

Azizan: ''Sebab saya tidak pernah ditahan polis, saya dengar cerita, polis akan torture (seksa) saya.''

Gani: ''Pada 17 Ogos 1997, sebelum ditangkap, adakah kamu dan Ummi ketakutan?''

Azizan: ''Ya, kerana sentiasa diekori orang yang tidak dikenali.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir keterangan itu tidak dicabar semasa sesi soalbalas.''

Selepas selesai memeriksa balas saksi itu, Gani memohon kepada mahkamah agar Azizan dilepaskan tertakluk kepada arahan dipanggil semula jika perlu.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/12/1998

'Anwar, Sukma liwat saya' -- Azizan menceritakan peristiwa di Tivoli Villa


ANWAR, AZIZAN dan SUKMA.


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Azizan Abu Bakar mengejutkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menceritakan satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya apabila dia diliwat bergilir-gilir oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sukma Sasmitaat Darmawan Madja di rumah Sukma di Tivoli Villa, sekitar 1992.

Keterangan Azizan itu mencetuskan suasana bising seketika dalam mahkamah terutamanya di kalangan saudara mara bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang kelihatan terkejut dan saling berpandangan.

Bagaimanapun keadaan itu segera ditenangkan oleh anggota polis yang bertugas dengan memberi amaran kepada hadirin di galeri awam supaya tidak membuat komen dan jika gagal mengawal kelakuan, mereka akan diminta keluar.

''Peristiwa yang saya tidak dapat lupakan ialah di rumah Sukma, Yang Arif.

''Tertuduh (Anwar) meliwat dulu saya dan diikuti adik angkatnya (Sukma) meliwat saya pula,'' kata Azizan, 38, sebagai saksi pendakwa ke-12 ketika memberi keterangannya pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ke-24 hari ini.

Anwar, 51, juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Sebelum sidang perbicaraan itu disambung kira-kira pukul 10 pagi ini, Hakim Datuk S. Augustine Paul memutuskan menamatkan prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan keterangan Azizan mengenai kebenaran perenggan lima dalam akuan berkanun yang ditandatanganinya dengan paksa, untuk menafikan beliau diliwat oleh Anwar.

Pihak pembela mendakwa Azizan memberi keterangan yang bercanggah dan meminta agar beliau digugurkan daripada menjadi saksi kes itu.

Bagaimanapun Hakim Augustine berpendapat percanggahan tidak wujud dan pembela hanya mencabar kredibiliti saksi tersebut yang tiada kaitan dengan keterangan yang penting berhubung dakwaan dalam dokumen P14(c) iaitu, pengakuan bersumpah yang mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Pada Isnin lalu, Azizan telah memberi keterangan yang memeranjatkan apabila memberitahu yang beliau masih pergi ke kediaman Anwar kerana tertuduh tidak meliwatnya antara tahun 1992 hingga 1997.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Azizan menyatakan beliau salah faham soalan peguam bela Anwar, Christopher Fernando.

Hari ini, Azizan menjelaskan bahawa soalan tempoh hari berhubung tahun 1992 terlalu umum dan pihak pembela tidak bertanya bulan berapakah beliau pergi ke rumah tertuduh.

Gani: ''Kamu kata antara tahun 1992 hingga 1997, kamu masih ziarah rumah tertuduh untuk jumpa anak-anaknya, betul?''

Azizan:''Ya, betul, dari bulan September 1992 selepas saya berhenti kerja sebagai pemandu kepada isteri tertuduh, saya ada melawat dan menziarahi anak-anak tertuduh di rumahnya.''

Gani: ''Dari September 1992 hingga 1997, apabila kamu menziarahi rumah tertuduh adakah kamu berjumpa dengan tertuduh di rumahnya?''

Azizan: ''Kadang-kadang dan anak-anak tertuduh ada bersama saya.''

Gani: ''Dalam tempoh itu, dengan siapa kamu bekerja.''

Azizan: ''Dari September 1992 hingga akhir 1995, sebagai pemandu di Sime Darby Berhad, awal 1996 sehingga Ogos 1997, sebagai pemandu Shamsidar, isteri Mohd. Azmin Ali.''

Gani: ''Bolehkah beritahu kandungan ringkas Pengakuan Bersumpah (P14c).''

Azizan: ''P14c ialah tertuduh telah meliwat saya tanpa kerelaan saya di sekitar tahun 1992.''

Gani: ''Kamu telah memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah meliwat kamu di sekitar 1992. Perbuatan ini adakah dilakukan semasa kamu menjadi pemandu Datin Seri Wan Azizah?''

Azizan: ''Ya, benar.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah, adakah peristiwa liwat terhadap kamu oleh tertuduh masih berlaku selepas daripada bulan September 1992?''

Peguam bela Anwar, Gurbachan Singh segera membantah: ''Sebenarnya tiada soalan ditanya ketika soal balas mengenai perkara ini. Pemeriksaan semula harus diarahkan.''

Gani: ''Soalan ini berhubung dengan soalan yang ditimbulkan oleh Christopher Fernando yang mana beliau katakan kepada saksi ini (SP12) bahawa tertuduh tidak meliwatnya antara 1992 dan 1997 dan sebab itu SP12 masih pergi ke kediaman tertuduh. Jawapan SP12 ialah, ''Saya setuju yang tertuduh tidak meliwat saya dan sebab itulah saya masih pergi ke rumahnya dari 1992 dan 1997.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir soalan ada ditimbulkan.''

Gurbachan: ''Soalan yang dibuat oleh Fernando sangat jelas.''

Peguam bela itu membaca semula soalan yang telah dikemukakan oleh Fernando kepada Azizan Isnin lalu.

Hakim Augustine: ''Jawapan yang diberikan kepada saya bahawa pada tempoh itu beliau TIDAK diliwat.''

Gurbachan: ''TIDAK. Jawapan bahawa beliau TIDAK diliwat. Soalan ini ditanya dua kali. Makna soalan itu bahawa beliau TIDAK PERNAH diliwat.''

Gani menerangkan bahawa Fernando tidak menggunakan perkataan 'TIDAK PERNAH'.''

Gani mengulangi soalan yang dikemukakan kepada Azizan tadi.

Azizan: ''Tidak. Selepas bulan September 1992 sehingga sekarang, tertuduh tidak lagi meliwat saya.''

Gani: ''Sebelum saya beralih ke soalan lain, saya ingin merujukkan kepada beliau mengenai apa yang telah dinyatakan ketika disoal balas.''

Gurbachan: ''Saya ingin membantah. Ini soalan yang dipandu.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak fikir begitu.''

Gani: ''Saya akan baca ini. Dengar baik-baik apa yang kamu jawab kepada soalan peguam (Fernando):

Gani meneruskan petikan bahagian terakhir keterangan Azizan itu yang mengesahkan soalan Fernando: Saya katakan bahawa tertuduh tidak meliwat kamu, dan sebab itulah kamu masih mengunjunginya antara 1992 dan 1997. Jika tidak kamu sudah tentu menjauhkan diri.

Azizan: ''Ya.''

Gani kemudian menyoal semula Azizan: ''Pada awal tadi, kamu telah mengatakan.''

Gurbachan: ''Saya menghujahkan bahawa keterangan saksi ini dirujukkan dengan panjang lebar.''

Hakim Augustine: ''Apa soalan kamu?''

Gani: ''Apa maksud kamu apabila kamu menjawab, ''Saya setuju yang tertuduh tidak meliwat saya sebab itulah saya masih pergi ke rumahnya antara tahun 1992 dan 1997. Jika tidak saya sudah tentu menjauhkan diri saya dari rumahnya.''?''

Azizan: ''Pada awal tahun 1992 hingga September 1992, saya masih lagi (bekerja) sebagai pemandu Datin Seri Wan Azizah. Saya melawat ke rumahnya selepas saya berhenti kerja iaitu bulan September 1992. Di antara awal tahun 1992 hingga September, saya bekerja dengannya dan tidak mungkin saya melawatnya di dalam tempoh itu. Kejadian liwat tetap berlaku terhadap saya di awal tahun 1992 hingga bulan Mei 1992 tanpa kerelaan saya.

''Saya salah faham mengenai soalan yang dikemukakan kepada saya tempoh hari kerana tahun 1992 terlalu umum dan pihak pembela tidak menyatakan kepada saya bilakah bulannya saya melawat rumah tertuduh. Kejadian liwat memang terjadi semasa saya bekerja sebagai pemandu kepada isteri tertuduh dari awal tahun 1992 hingga bulan Mei 1992.''

Gani: ''Kamu mengatakan 'kejadian liwat'. Antara siapa dengan siapa?''

Azizan: ''Maksud liwat ialah tertuduh telah meliwat saya. Salah satu perbuatannya yang saya tidak dapat lupakan.''

Fernando: ''Saya bantah. Beliau ditanya satu soalan dan menyimpang daripadanya. Memberi butir secara sukarela di luar skop soalan itu.''

Hakim Augustine: ''Apa salahnya memandangkan pihak pendakwa tidak membantah.''

Azizan: ''Satu perbuatan tertuduh yang tidak dapat saya lupakan ialah peristiwa di rumah Sukma, tertuduh meliwat saya dahulu, diikuti dengan adik angkatnya (Sukma) meliwat saya pula.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/12/1998

Kebolehpercayaan Azizan tidak dicabar

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini menamatkan prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan saksi pendakwa ke-12, Azizan Abu Bakar pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tiada percanggahan dalam keterangan saksi itu.

Beliau berkata, seperti yang diputuskan semalam, bahawa syarat bagi pihak pembela memohon mencabar keterangan saksi itu ditumpukan sepenuhnya kepada dokumen P14c (pengakuan bersumpah)nya.

Bagaimanapun, kata beliau, sekarang peguam bela menyatakan percanggahan itu bukan berhubung kait dengan P14c dan oleh itu ia tidak ada makna lagi untuk mencabarnya.

Menurut Hakim Augustine beliau menamatkan prosiding itu setelah mendapati dakwaan yang dibuat oleh peguam bela berkisar atas kredibiliti dan tidak relevan dengan keterangan penting dalam perbicaraan.

Hakim Augustine mengambil masa kira-kira lebih 1/2 jam untuk membuat keputusannya selepas Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membangkitkan persoalan mengenai isu tersebut sebelum prosiding itu yang sepatutnya diteruskan hari ini dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraan terhadapnya masuk hari ke-24 hari ini.

Sebaik sahaja sidang dimulakan kira-kira 9.15 pagi, Gani bangun sambil menyatakan beliau ingin membawa satu dua isu kepada mahkamah.

Gani berkata, sebelum beliau meneruskan pemeriksaan semula saksi itu, semua pihak seharusnya jelas dengan 'apakah itu percanggahan'.

Beliau memetik kata-kata peguam bela Anwar, Gurbachan Singh semalam bahawa permohonan pihaknya untuk mencabar saksi adalah hanya menumpukan kepada percanggahan yang terdapat di perenggan lima dalam dokumen akuan berkanun (D55) dan keterangan Azizan di mahkamah kelmarin yang menafikan kebenaran kandungan dalam perenggan tersebut.

Gani: ''Saya ingin meminta penjelasan sama ada prosiding mencabar saksi ini, adakah P14c diambil untuk perbandingan.''

Gurbachan: ''Seperti yang dinyatakan oleh Gani tadi, permohonan kami untuk mencabar saksi tidak melibatkan P14c.''

Hakim Augustine: ''Sebenarnya, perenggan 5 dalam D55 dan permohonan mencabar saksi, saya kira ia adalah syarat bahawa P14 itu terlibat. Sekiranya ia tidak terlibat P14c maka saya akan menimbang semula permohonan untuk mencabar saksi.''

''Sekarang pihak pembela menyatakan P14c bukanlah isunya dengan itu saya akan menimbangkan semula keputusan yang telah dibuat semalam.''

Gurbachan tidak membantah hanya menyerahkan kepada mahkamah sambil menyatakan P14c sama sekali tidak relevan dengan permohonannya.

Selepas mendapatkan penjelasan pihak pembela, Hakim Augustine kemudian menangguhkan sebentar sidang perbicaraan itu untuk membuat keputusannya.

Petang semalam mahkamah itu memulakan prosiding mencabar keterangan Azizan dan saksi itu memberitahu beliau terpaksa menandatangani akuan berkanun yang kandungannya tidak benar kerana sentiasa dihubungi oleh dua orang suruhan Anwar, Rahim King dan Ma'amin Latib.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/12/1998

Dr. Ristina enggan buka pintu - Saksi

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Dr. Ristina Majid enggan membuka pintu ketika polis datang untuk menangkap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar yang berlindung di rumahnya, kerana beliau tidak percaya mereka adalah anggota polis.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) I, Musa Hassan berkata, seorang pegawai Cawangan Khas, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mazlan Mohd Din telah menelefon beliau pukul 8.30 malam, 17 Ogos tahun lalu untuk meminta bantuan kerana menghadapi masalah di rumah Dr. Ristina.

Menurut Musa, ACP Mazlan beritahu beliau penghuni rumah tersebut telah mengunci diri mereka di dalam sebuah bilik dan enggan membuka pintu.

''Tujuan untuk masuk ke rumah itu, bagi menangkap dua orang yang disyaki, Ummi dan Azizan yang diketahui berada di rumah tersebut,'' kata Musa dalam keterangannya sebagai saksi pendakwa ke-13 pada perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-25 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Musa, 47, yang menyambung keterangannya dalam pemeriksaan utama pihak pendakwa menyatakan bahawa rumah Dr. Ristina itu adalah rumah banglo dua tingkat dan mempunyai kawasan yang luas.

Saksi itu berkata, apabila beliau sampai di rumah tersebut, beliau mendapati pegawai-pegawai Cawangan Khas yang diketuai oleh ACP Mazlan dan Penolong Penguasa Polis (ASP) Zulkifli Mohamed yang mengetuai pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) berada di rumah tersebut.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bertanya: ''Beritahu Yang Arif, apakah tindakan kamu?''

Musa: ''Saya kemudian memasuki rumah tersebut dan mendapati penghuni rumah iaitu Dr. Ristina dan saya juga diberitahu oleh ACP Mazlan yang kedua-dua orang yang disyaki, Ummi dan Azizan mengunci diri mereka di bilik tidur utama tingkat atas rumah tersebut.''

Azahar: ''Apabila kamu diberitahu oleh Mazlan mengenai perkara ini apakah tindakan selanjutnya?''

Musa: ''Saya telah cuba meminta Dr. Ristina membuka pintu bilik berkenaan dan saya juga memberitahu tujuan pihak polis untuk menangkap Ummi dan Azizan.''

Azahar: ''Bagaimanakah kamu berkomunikasi dengan Dr. Ristina?''

Musa: ''Saya berkomunikasi dengan Dr. Ristina secara bercakap dengannya dari luar bilik di depan pintu.''

Azahar: ''Apakah reaksi Dr. Ristina apabila kamu maklumkan tujuan pihak polis untuk menangkap Azizan?''

Musa: ''Pada mulanya, Dr. Ristina tidak mempercayai kepada pihak polis dan dia menyatakan bahawa dia curiga dengan polis kerana dua atau tiga hari sebelum ini Dr. Ristina bersama Ummi dan Azizan sentiasa diekori oleh orang-orang yang tidak dikenali.''

Azahar: ''Ada tidak kamu sendiri memperkenalkan atau menyatakan bahawa kamu pegawai polis?''

Musa: ''Benar, saya menyatakan kepada Dr. Ristina yang saya seorang pegawai polis.''

Azahar: ''Dan apa reaksinya apabila kamu kata sebagai pegawai polis?''

Musa: ''Saya mendengar Dr. Ristina telefon seseorang.''

Azahar: ''Selepas itu adakah akhirnya Ummi dan Azizan ditangkap?''

Musa: ''Selepas itu Dr. Ristina bersetuju membuka pintu bilik itu tetapi pintu bilik itu 'jam' (tersekat) dan tidak boleh dibuka sehingga saya terpaksa memanggil tukang kunci untuk membuka pintu bilik itu.''

Azahar ''Kamu tahu apa sebab pintu 'jam'?''

Musa: ''Berkemungkinan sebelum saya sampai pihak polis cuba membuka pintu itu secara paksa, Yang Arif, yang menyebabkan pintu tersekat.''

Azahar: ''Ada tidak tukang kunci datang untuk cuba buka pintu itu?''

Musa: ''Betul! Tukang kunci datang untuk cuba buka pintu itu tetapi gagal.''

Azahar: ''Apa berlaku selanjutnya setelah tukang kunci gagal buka pintu?''

Musa: ''Setelah tukang kunci gagal untuk buka pintu itu, saya beritahu Dr. Ristina supaya keluar melalui balkoni bilik tersebut.''

Azahar: ''Sebentar tadi kamu ada beritahu Yang Arif bahawa Dr. Ristina ada menelefon, tahukah kamu panggilan itu dibuat kepada siapa?''

Musa: ''Saya tahu Yang Arif, Dr. Ristina telah telefon Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan Tan Sri Norian Mai mengesahkan kepadanya yang saya adalah seorang pegawai polis dan meminta dia mengikuti permintaan saya.''

Azahar: ''Kamu ada beritahu Yang Arif, bahawa kamu telah beritahu Dr. Ristina keluar dari bilik tersebut, adakah Dr. Ristina berupaya keluar dari bilik itu?''

Musa: ''Ada Yang Arif, Dr. Ristina, Ummi, Azizan, dua anak Dr. Ristina dan seorang pembantu rumahnya berjaya dikeluarkan dari rumahnya melalui balkoni bilik tersebut.

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, selain Dr. Ristina, Ummi, Azizan, dua anaknya dan pembantu rumah, ada tak penghuni lain di rumah tersebut?

Musa: ''Tidak ada penghuni lain dalam rumah tersebut.''

Azahar: ''Selepas mereka ini keluar, betul atau tidak, Ummi dan Azizan ditangkap oleh ASP Zulkifli?''

Musa: ''Betul, selepas Ummi dan Azizan keluar dari bilik itu mereka telah ditangkap oleh ASP Zulkifli.''

Azahar: ''Setelah ASP Zulkifli menangkap Ummi dan Azizan, apa terjadi kepada mereka?''

Musa: ''Selepas ASP Zulkifli menangkap Ummi dan Azizan mereka kemudian di bawa balik ke Bukit Aman oleh ACP Mazlan.''

Azahar: ''Selain Ummi dan Azizan serta Dr. Ristina, dua orang anaknya dan pembantu rumahnya, ada tak mana-mana orang lain selain pihak polis?

Hakim Augustine Paul mencelah: ''Sudah jawab.''

Azahar: ''Saya ingin memastikan daripada saksi ini.''

Musa: ''Selain penghuni rumah ada orang lain di rumah tersebut iaitu bekas suami Dr. Ristina dan juga Datuk Jamil Johari (Pengarah Pengurusan PDRM).''

Azahar: ''Bila bekas suami Dr. Ristina datang?''

Musa: ''Suami Dr. Ristina telah berada di rumah itu sebelum saya sampai. Tetapi Datuk Jamil datang ke rumah itu selepas saya berada di rumah tersebut.''

Azahar: ''Kamu tahu bilakah bekas suami Dr. Ristina berada di rumah tersebut?''

Musa: ''Saya tidak tahu bila bekas suami Dr. Ristina berada di rumah itu.''

Azahar mengalihkan soalannya: ''Pada 8 Ogos, 8.30 pagi ada tidak kamu memberi taklimat kepada pegawai atasan kamu tentang tangkapan Ummi dan Azizan?''

Musa: ''Saya beri taklimat pada pegawai atasan saya Datuk Ismail Che Rus yang pada masa itu adalah pengarah CID berkaitan dengan tangkapan Ummi dan Azizan.''

Azahar: ''Apakah reaksi Datuk Ismail Che Rus setelah kamu beri taklimat mengenai perkara ini?''

Musa: ''Ismail Che Rus menyuarakan tidak puas hatinya kerana pihak Cawangan Khas menemu duga Azizan dan Ummi, bagaimanapun Yang Arif, saya beritahu beliau bahawa Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd Said Awang menyatakan kedua mereka ditangkap dan ditemu duga untuk mendapatkan risikan lebih lanjut mengenai Surat Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim (P15).''

Azahar: ''Musa, beritahu Yang Arif samada ia satu prosedur biasa bagi Cawangan Khas terlibat dalam siasatan yang dijalankan oleh CID dalam kes jenayah?''

Musa: ''Ini adalah prosedur luar biasa di mana pihak Cawangan Khas terlibat dengan siasatan yang dijalankan oleh CID.''

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 12/12/1998

Anwar minta siasatan surat talqin dihentikan: Sac I Musa Hassan

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis supaya menghentikan siasatan mengenai surat layang berkaitan salah laku seks dan homoseksualnya di hadapan Peguam Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan seorang pegawai kanan jabatan itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Anwar meminta siasatan itu dihentikan dengan alasan ia bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa perkara itu adalah fitnah, kata SAC I Musa Hassan, pegawai penyiasat dalam kes Anwar.

Musa berkata Anwar yang meminta siasatan terhadap surat ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim'' itu diberhentikan juga tidak mahu mengambil apa-apa tindakan terhadap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memintanya menghentikan siasatan yang di peringkat awal itu di hadapan Datuk Ismail Che Rus dan Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri pada 30 Ogos 1997, katanya.

Musa, saksi ke-13 pendakwaan, memberi keterangan itu pada hari ke-25 perbicaraan terhadap Anwar, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Musa, Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-undang di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, mula memberi keterangan semalam.

Perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Kepada soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed, Musa berkata pada 9.30 pagi, 30 Ogos 1997 beliau menerima panggilan daripada Ismail yang beliau (Musa) dikehendaki mengiringi Ismail untuk berjumpa Anwar di JPM.

Ismail memberitahunya yang mereka dipanggil oleh Anwar, katanya.

''Saya bersama Datuk Ismail ke pejabat Anwar di JPM pada 5 petang. Semasa tiba di bilik tetamu, saya ternampak Peguam Negara Tan Sri Mohtar pun ada bersama. Kami tidak bercakap apa-apa semasa berada di bilik tetamu itu,'' katanya.

Katanya sebelum berjumpa dengan Mohtar, beliau dan Ismail tidak mengetahui yang Peguam Negara turut dipanggil ke JPM.

Musa berkata semasa mereka berada dalam bilik Anwar, Anwar bertanyakan berkaitan siasatan jabatan siasatan jenayah terhadap surat ''Talqin''.

Siasatan terhadap surat itu bermula selepas pegawai pengiring Anwar, ASP Zull Aznam Harom membuat laporan polis pada 15 Ogos 1997 dan siasatan dijalankan oleh ASP Zulkifli Mohamed dari CID.

Beliau berkata beliau menjelaskan kepada Anwar bahawa polis akan menjalankan siasatan dengan teliti untuk mendapatkan keterangan sama ada tohmahan itu benar atau tidak.

''Saya menyatakan bahawa siasatan masih belum selesai kerana ia baru di peringkat awal,'' katanya.

Azahar: Apabila kamu beritahu tertuduh bahawa siasatan itu di peringkat awal, apa respons tertuduh?

Musa: Apabila saya menyatakan bahawa siasatan baru peringkat awal, tertuduh menyatakan perkara ini tidak perlu disiasat.

Pada peringkat itu peguam Christopher Fernando membantah atas alasan bahawa keterangan itu tidak relevan kepada tuduhan, sangat berprejudis dan tidak seharusnya diterima sebagai bukti.

Azahar semasa menjawab berkata keterangan itu mungkin tidak relevan kepada pembelaan tetapi relevan kepada pendakawaan kerana ia akan menunjukkan bahawa Anwar memberi arahan di hadapan Peguam Negara dan pengarah CID.

''Yang pastinya ia relevan kepada kami untuk membuktikan tuduhan itu dan salah satu daripada ciri tuduhan itu ialah bahawa Anwar telah menggunakan kedudukannya dan keterangan ini akan membuktikannya,'' kata beliau.

Fernando berkata sama ada keterangan itu menyebelahi pembelaan atau pendakwaan, ia bercanggah dengan peraturan kerelevanan dan tidak seharusnya diterima, tambahan mengikut pertuduhan, arahan kepada Datuk Mohd Said Awang (Pengarah Cawangan Khas) dan Datuk Amir Junus (Timbalan Pengarah Cawangan Khas II), serta tarikh yang berbeza antara pertuduhan dan keterangan.

Paul bagaimana menolak bantahan itu kerana beliau berpendapat ia relevan untuk menghasilkan bukti memandangkan tuduhan itu menyatakan bahawa Anwar telah memberi arahan dengan tujuan memastikan yang beliau tidak akan didakwa.

Selepas mahkamah mengarahkan Azahar meneruskan soalannya Musa berkata: ''Tertuduh tidak mahu disiasat kerana ia bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa perkara ini adalah fitnah,''.

Beliau berkata dalam perjumpaan itu Mohtar ada memberi pandangan dan menasihatkan Anwar bahawa adalah lebih baik untuk pihak polis meneruskan siasatan dan sekiranya tohmahan itu dibuktikan tidak benar, tindakan boleh diambil terhadap orang yang menulis tohmahan-tohmahan itu.

''Di perjumpaan itu juga tertuduh menyatakan bahawa dia tidak mahu mengambil apa-apa tindakan ke atas Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar,'' katanya.

Ummi Hafilda Ali ialah penulis surat Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri yang dialamatkan kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Surat itu disertakan bersama surat pengakuan bersumpah Azizan Abu Bakar yang mendakwa diliwat Anwar.

Azizan ialah bekas pemandu Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, isteri Anwar.

Musa berkata setelah perjumpaan itu selesai, Mohtar, Ismail dan beliau keluar dari pejabat Anwar dan semasa di luar pejabat itu, Mohtar telah menegur beliau dan Ismail mengenai sebab siasatan itu tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu ''kerana ini adalah satu kes yang menarik perhatian yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri,''.

Sebelum itu Musa berkata beliau menerima satu salinan surat Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri bersama surat pengakuan bersumpah Azizan daripada Amir.

Katanya selepas menerima surat itu beliau ingin mengetahui kebenaran tohmahan yang dilemparkan terhadap TPM iaitu Anwar pada masa itu.

Setelah membandingkan surat itu dengan surat Talqin, beliau mendapati bahawa ia mengandungi tohmahan salah laku seksual dan homoseksual TPM, kata Musa yang menyatakan tidak tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap surat itu.

Setelah itu, Musa berkata pada 19 Ogos 1997, pukul 5 petang beliau membuat temujanji untuk menemui Anwar di kediamannya bagi merakamkan percakapannya berkenaan tohmahan-tohman yang telah dibuat ke atasnya dan dapat berbuat demikian.

Sebelum itu beliau berkata penglibatan Cawangan Khas dalam siasatan kes jenayah terhadap Azizan dan Ummi Hafilda dibuat di luar prosedur biasa.

Katanya pada 8.30 pagi 18 Ogos 1997 semasa memberi taklimat kepada Datuk Ismail Che Rus yang pada masa itu adalah Pengarah CID berkaitan tangkapan Ummi Hafilda dan Azizan, pegawai atasannya itu menyuarakan rasa tidak puas hatinya kerana Cawangan Khas menemuduga Azizan dan Ummi Hafilda yang sepatutnya disoal siasat CID.

(Ummi Hafilda dan Azizan ditangkap di rumah Dr Ristina Majid di Bangsar pada 17 Ogos 1997).

Beliau berkata beliau memberitahu Ismail yang Mohd Said ingin menemuduga mereka untuk mendapatkan risikan yang lebih lanjut mengenai surat Talqin itu.

Sejam kemudian beliau dihubungi Mohd Said yang memintanya datang ke pejabatnya yang kemudian memberitahunya bahawa Cawangan Khas telah selesai menemuduga Azizan dan Ummi dan mereka akan diserahkan semula kepada CID untuk siasatan jabatan itu.

Musa seterusnya berkata pada 8.30 malam hari yang sama, Mohd Said menyerahkan Azizan dan Ummi Hafilda kepadanya yang diiringi ASP Mazlan Mansor dan ASP Zulkifli Mohamed dan memaklumkan bahawa mereka (Azizan dan Ummi Hafilda) telah menulis surat kepada Perdana Menteri memohon maaf terhadap penulisan surat-surat berkaitan salah laku Anwar.

''Pihak Cawangan Khas juga memberitahu saya yang mereka tidak mahu menahan selanjutnya Ummi dan Azizan dan minta mereka dibebaskan,'' kata Musa.

''Saya kemudian membebaskan Ummi dan Azizan dengan jaminan polis.''

Bilangan anggota keluarga Anwar yang menghadiri perbicaraan berkurangan hari ini dan isteri beliau juga tidak kelihatan di mahkamah. Hanya anak keduanya, Nurul Nuha hadir sepanjang perbicaraan separuh hari, hari ini.

Tumpuan orang ramai terhadap kes Anwar juga tidak begitu ketara hari ini berbanding beberapa hari lepas semasa Azizan memberi keterangannya selama tujuh hari yang berakhir semalam.

Sepanjang memberi keterangan, Azizan mengaku diliwat Anwar, kemudian membuat kejutan menafikan kejadian itu semasa disoal balas peguam bela dan semasa siasatan semula oleh pendakwaan, Azizan bukan sahaja mengulangi dakwaan diliwat Anwar malahan mendedahkan pernah diliwat bergilir-gilir oleh Anwar dan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja pada satu ketika antara awal 1992 dan Mei tahun yang sama.

Sementara itu semasa memberi keterangan berkaitan penangkapan Azizan dan Ummi Hafilda, Musa berkata Dr Ristina Majid, tuan rumah tempat penulis surat perihal salah laku itu berlindung menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai bagi mengesahkan kehadiran polis di rumahnya.

''Saya tahu Dr Ristina telah menelefon Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai dan Tan Sri Norian mengesahkan bahawa saya adalah seorang pegawai polis dan meminta dia (Ristina) mengikuti permintaan saya,'' katanya.

Musa berkata beliau mengetahui Dr Ristina menelefon Norian semasa berada di depan pintu bilik tidur utama tingkat atas rumah wanita itu di Jalan Medang Tanduk, Bangsar pada 17 Ogos 1997.

Ketika itu Dr Ristina menguncikan dirinya bersama dua anak dan pembantunya serta Ummi Hafilda dan Azizan dalam bilik tidur utama rumahnya.

''Saya berkomunikasi dengan Dr Ristina secara bercakap dengannya dari luar bilik itu di depan pintu,'' kata Musa yang sebelum itu menjelaskan bahawa beliau telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

''Pada mulanya Dr Ristina tidak percaya yang kami polis dan dia menyatakan bahawa dia curiga kerana dua tiga hari sebelum itu dia bersama Ummi Hafilda dan Azizan sentiasa diekori oleh orang yang beliau tidak kenal,'' katanya.

Musa berkata sebelum itu beliau menerima panggilan telefon daripada ACP Mazlan Mohd Din dari cawangan khas pada pukul 8.30 malam yang menyatakan bahawa beliau menghadapi masalah semasa hendak memasuki rumah Dr Ristina dan memintanya datang ke rumah berkenaan.

Tidak lama kemudian Azizan dan Ummi Hafilda ditangkap dan diserahkan kepada cawangan khas sebelum dibawa ke Bukit Aman, katanya lagi.

Perbicaraan disambung Isnin depan pukul 9 pagi. - Bernama.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/12/1998

Peguam diminta kemuka soalan relevan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini berulang kali menegur peguam Christopher Fernando agar tidak menyentuh perkara-perkara yang tidak relevan dengan tuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Malah pada satu peringkat beliau telah mengingatkan Fernando bahawa tindakan menghina mahkamah boleh diambil sekiranya peguam itu gagal membuktikan soalan-soalan yang dikemukakannya kepada saksi ada kaitannya dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semuanya bermula apabila Fernando yang menyoal balas saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) I Musa Hassan, merujuk kepada afidavit yang difailkan oleh rakan Anwar, Datuk S. Nallakaruppan (Nalla) dan afidavit Dr. Munawar Anees berhubung kes masing-masing.

Musa merupakan pegawai penyiasat dalam kes Anwar dan Khamis lalu beliau mula memberi keterangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu.

Perbicaraan kes Anwar, 51, yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat, masuk hari ke-26 hari ini.

Menurut Fernando, tindakan menyoal Musa berhubung kandungan kedua-dua afidavit itu adalah untuk membuktikan wujudnya unsur-unsur niat jahat.

Selepas menyoal Musa berhubung kelulusannya, Fernando bertanya saksi itu sama ada beliau telah mengikrarkan satu afidavit yang mengandungi 'scurrilous and vicious remarks' (pernyataan cabul dan dahsyat) terhadap Anwar biarpun tertuduh ketika itu belum didakwa.

Belum sempat Musa menjawab, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun sambil menyatakan bahawa beliau tidak nampak kaitan antara soalan itu dengan tuduhan yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

''Saya juga membantah penggunaan perkataan 'scurrilous' dan 'vicious'. Para peguam seharusnya tidak membuat sebarang komen.''

Fernando: ''Saya bukan membuat komen. Saya hanya bertanya saksi sama ada beliau membuat afidavit sedemikian terhadap Anwar. Saya bukan cuba memusuhi saksi.''

Hakim Augustine: ''Keputusan saya, soalan itu hendaklah dipinda.''

Fernando: ''Kalau begitu, saya gugurkan kedua-dua perkataan itu. Adakah kamu mengikrarkan satu afidavit yang mengandungi tuduhan-tuduhan serius terhadap Anwar sebelum dia didakwa?''

Musa: ''Ya. Soalan perlu diberi penjelasan lebih lanjut. Bukan hanya beri jawapan 'ya' atau 'tidak'.''

Fernando: ''Awak jawab sahaja, sebarang penjelasan akan diuruskan oleh pihak pendakwa.''

Musa: ''Benar, Yang Arif. Saya ada mengikrarkan satu afidavit yang menyebut tentang kegiatan salah laku tertuduh bagi menjawab permohonan oleh Nalla yang menyatakan tindakan polis mempunyai niat jahat terhadapnya.''

Fernando: ''Dan ini berlaku sebelum Anwar didakwa?''

Musa: ''Benar, Yang Arif.''

Fernando: ''Sebelum Anwar ditangkap?''

Musa: ''Benar, Yang Arif.''

Fernando: ''Afidavit kamu diberi publisiti yang meluas?''

Hakim Augustine: ''Terus kepada matlamatnya!''

Fernando: ''Saya harap Yang Arif dapat bersabar dengan saya.''

Hakim Augustine: ''Apa gunanya?''

Fernando: ''Saya akan tunjukkan adanya niat jahat.''

Hakim Augustine: ''Oleh siapa?''

Fernando: ''Oleh pasukan penyiasat.''

Musa: ''Memang ada publisiti kerana disiarkan oleh akhbar-akhbar dan juga siaran televisyen.''

Hakim Augustine: ''Di mana kaitannya?''

Fernando: ''Saya akan tunjukkan.''

Hakim Augustine: ''Saya akan hanya benarkan perkara yang berkaitan.''

Selepas menyoal Musa mengenai afidavitnya, Fernando menyentuh kes Nalla dan bertanya sama ada pegawai penyiasat kes itu melaporkan kepada saksi tersebut hasil siasatannya.

Musa: ''Beliau laporkan siasatan yang dilakukannya kepada saya.''

Fernando: ''Adakah dia...?''

Hakim Augustine mencelah sambil mempersoalkan apa kaitannya dengan kes di hadapan beliau.

Fernando: ''Tolonglah, benarkan saya menyoal saksi ini. Jika saya kerap diganggu, adalah sukar bagi saya melaksanakan tugas untuk menegakkan keadilan.''

Beliau mengulangi soalan itu kepada Musa: ''Adakah dia melaporkan kepada kamu?''.

Mendengar soalan itu diulang, Hakim Augustine bertegas: ''Kamu boleh menganggap sesuatu itu ada kaitan tetapi jika saya tidak nampak kaitannya maka ia tiada kaitan. Saya mahu soal kaitan ini dibuktikan segera.''

''Dan jangan kata saya mengganggu. Ini adalah mahkamah undang-undang. Mungkin kamu patut lebih membiasakan diri dengan adab dalam mahkamah.''

Fernando: ''Kalau begitu saya akan gunakan perkataan mencelah.''

Hakim Augustine: ''Jadi sekarang kamu faham kenapa saya mencelah?''

Fernando: ''Saya bukan hendak menunjukkan sikap tidak hormat.''

Hakim Augustine: ''Saksi dahpun jawab soalan kamu tadi, jadi kenapa perlu diulang.''

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu bahawa tuduhan serius kamu terhadap Anwar di dalam afidavit kamu dibuat dengan niat jahat kerana ia tiada kaitan dengan kandungan afidavit Nalla.''

Musa: ''Tidak benar, Yang Arif bahawa saya telah mengikrarkan satu afidavit yang menyebut salah laku Anwar dengan niat jahat.''

Fernando kemudian merujuk petikan daripada afidavit Nalla yang mendakwa polis bertindak kejam terhadapnya.

Musa: ''Tohmahan bukan sahaja mengenai kekejaman polis tetapi juga menyebut bahawa polis cuba mendapatkan kenyataan beliau.''

Hakim Augustine: ''Apa kaitannya tohmahan oleh orang lain dengan kes kamu?''

Fernando: ''Sukar bagi saya memberi penjelasan dengan kehadiran saksi ini.''

Peguam itu merujuk kepada satu bahagian dalam afidavit Nalla sebelum menyoal Musa.

Hakim Augustine: ''Tiada sebarang peruntukan undang-undang yang membolehkan dokumen yang difailkan bagi satu kes lain digunakan dalam kes ini.''

Fernando: ''Kami sedang cuba membuktikan isu niat jahat.''

Gani mencelah: ''Ini afidavit Nalla, bukan afidavit saksi ini, di mana kaitannya?''

Fernando: ''Kami tegaskan bahawa tuduhan-tuduhan ini telah sengaja direka terhadap tertuduh. Jadi saya perlu tunjukkan apa yang berlaku dalam kes Nalla.''

Hakim Augustine: ''Ini adalah dakwaan yang serius (sengaja reka keterangan). Jika di penghujung kes ini, dakwaan itu tidak dapat dibuktikan, saya khuatir saya terpaksa memulakan tindakan menghina mahkamah ke atas kamu.''

Fernando: ''Yang Arif janganlah cuba mengugut saya.''

Lalu peguam itu meneruskan soal balas sambil memetik afidavit Nalla yang menyebut: 'Sebagai tukaran kepada pembebasan saya, saya telah dipaksa menyetujui kenyataan yang disediakan oleh pihak polis. Saya tidak bersedia untuk berbohong, jadi tindakan memujuk, mengugut dan melemparkan kata-kata kesat terhadap saya oleh para penyiasat berterusan tanpa had.''

Musa: ''Itu adalah tohmahan Nalla.''

Fernando memetik lagi kandungan afidavit Nalla. Kali ini ia menyentuh bentuk soal siasat yang dilakukan dengan soalan-soalan berhubung hal peribadi dan keluarga, bukan mengenai keselamatan negara.

Lalu peguam itu berkata: ''Saya ingin tunjukkan apa yang mereka lakukan terhadap Nalla.''

Hakim Augustine: Ia tidak ada kaitan. Ia satu perbicaraan kes lain.

Gani mencelah lagi: ''Pertamanya, afidavit yang dirujuk afidavit Nalla, bukan afidavit saksi (Musa), kedua, ada satu lagi afidavit oleh saksi ini dan kedua-duanya tidak langsung menyebut bahawa Musa memaksa Nalla untuk mereka-reka keterangan.''

Hakim Augustine: ''Kamu perlu buktikan saksi ini memaksa Nalla berbuat demikian, jika tidak saya tidak akan benarkan soalan-soalan ini berterusan.

''Kamu memulakan persoalan berhubung isu niat jahat, oleh itu beritahu mahkamah bahagian mana yang berunsur niat jahat, jika tidak saya tak akan benarkan.''

Fernando: ''Memandangkan dalam afidavitnya, Nalla tak sentuh tentang Anwar, jadi kenapa bila kamu ikrarkan afidavit jawapan, kamu buat pelbagai tuduhan terhadap Anwar?''

Musa: ''Afidavit saya menyentuh tentang Anwar adalah untuk menunjukkan bahawa tahanan terhadap Nalla adalah berkaitan satu kes yang menggugat keselamatan negara.''

Fernando: ''Kamu tidak menjawab soalan saya.''

Gani: ''Tidak adil bagi saksi ini dan juga mahkamah yang tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam kes Nalla di mahkamah lain.

''Polis memohon di bawah Seksyen 33 Akta Polis untuk memindahkan Nalla dari Penjara Sungai Buloh ke Bukit Aman. Permohonan itu dibenarkan oleh pihak berkuasa penjara tersebut atas alasan keselamatan.

''Jadi beliau (Musa) perlu memberi penjelasan dalam afidavitnya. Bukannya sesuatu yang timbul secara tiba-tiba.''

Mendengar kata-kata Gani, Fernando menyindir: ''Beliau tak boleh bagi keterangan dari meja peguam.''

Hakim Augustine pula mencelah: ''Saya akan buat keputusan dari meja Hakim....''

Selepas beberapa soalan lagi daripada Fernando, Hakim Augustine masih belum berpuas hati lalu berkata: ''Mana dia unsur niat jahat yang hendak kamu tunjukkan?''

Fernando: ''Saya hendak buktikan niatnya.''

Sambil menoleh ke arah Musa, Fernando berkata: ''Saya katakan kepada kamu bahawa kamu memasukkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar di dalam afidavit kamu kononnya sebagai jawapan kepada afidavit Nalla, hanya untuk memalukannya dan mencemarkan namanya.''

Musa: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Hakim Augustine mencelah lagi: ''Kemukakan soalan yang lebih berfaedah. Jangan buang masa.''

Fernando: ''Bagi Yang Arif, mungkin membuang masa, tetapi bagi saya, ia amat penting.''

Fernando merujuk pula afidavit Dr. Munawar Anees sambil mendakwa bekas penulis ucapan Anwar itu turut mengatakan bahawa dia dipaksa mereka-reka keterangan terhadap tertuduh.

Hakim Augustine: ''Kamu nyatakan bahagian mana yang ada kaitan. Saya dah bagi peluang kepada kamu untuk memberi penjelasan. Adakah dakwaan keterangan yang direka-reka itu berkaitan dengan keempat-empat tuduhan yang dibicarakan di hadapan saya?''

Fernando: ''Ya.''

Hakim Augustine: ''Tolong tunjukkan secara khusus dakwaan yang berkaitan dengan tuduhan dalam kes ini.''

Fernando: ''Bila saya membantah keterangan mengenai insiden-insiden di Tivoli Villa seperti yang didengar pada sesi pagi, Yang Arif, adalah kerana ia tidak benar dan sengaja direka.''

Hakim Augustine: ''Mana kaitannya?''

Fernando: ''Ia menunjukkan saksi dipaksa oleh polis. Satu kempen sistematik, lepas satu saksi, satu lagi saksi dipaksa, tentunya akan sampai ke akar umbinya.

''Terdapat konspirasi untuk menjatuhkan Anwar, untuk memusnahkannya. Afidavit-afidavit tersebut bukannya diikrarkan oleh budak kecil tetapi golongan yang dihormati.''

Hakim Augustine: ''Clinton juga orang yang dihormati (merujuk kepada keterangan Presiden Amerika itu yang dicabar). Dalam undang-undang, kita tidak ambil kira soal seseorang itu dihormati atau sebaliknya. Apa yang penting ialah sama ada apa yang dinyatakan itu benar atau tidak. Jadi bagaimana ia ada kaitan dengan kes ini?''

Fernando: ''Saksi ini sedia maklum hasil siasatan kes itu.'' Beliau lalu menyoal Musa: ''Adakah kamu tahu mengenai afidavit Dr. Munawar?''

Musa: ''Ya, tetapi apa yang peguam kata itu, saya tidak setuju.''

Fernando: ''Kamu tahu atau tidak bahawa dalam afidavitnya, Dr. Munawar mendakwa polis bertindak kejam terhadapnya?''

Musa: ''Benar dalam tohmahannya, Dr. Munawar ada menyebut tentang keganasan polis.''

Fernando: ''Betulkah Dr. Munawar dibotakkan kepalanya?''

Hakim Augustine tidak membenarkan soalan tersebut.

Fernando: ''Kamu tahu atau tidak Dr. Munawar sebut dalam afidavitnya bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dia tidak bersalah.''

Hakim Augustine: ''Saya buat keputusan, tidak ada lagi soalan berhubung afidavit ini melainkan ia ada kaitan langsung dengan isu di hadapan saya.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/12/1998

Musa: Anwar persoal tindakan saya


AZMIN Mohd. Ali dan isterinya, Shamsidar Taharin meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, setelah perbicaraan Anwar Ibrahim ditangguhkan, petang semalam.


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah dipersoalkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin mengambil pernyataan saksi-saksi berhubung tohmahan kegiatan seksual dan homoseksual terhadapnya.

Musa berkata, beliau telah dipanggil oleh Anwar ke pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri kira-kira pukul 12.20 tengah hari pada 2 September tahun lalu.

Dalam pertemuan itu, menurut Musa, Anwar menyatakan kepada beliau, apa gunanya beliau memanggil saksi-saksi untuk merakamkan pernyataan mereka kerana Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar telah menulis surat kepadanya menafikan tohmahan-tohmahan kegiatan seksual dan homoseksual yang dilakukannya.

Musa, 47, memberitahu demikian sebagai saksi ke-13 pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-26 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ketika menyambung soalan dalam pemeriksaan utama, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad meminta Musa menceritakan apa yang berlaku pada 2 September 1997.

Musa: ''Pada 2 September 1997, saya telah menghubungi pegawai pengiring tertuduh (Anwar), ASP Zull Aznam, meminta beliau menyediakan saksi-saksi supaya saya dapat merakamkan pernyataan mereka.''

Azahar: ''Beritahu senarai saksi yang kamu ingin rakamkan pernyataan mereka?''

Musa: ''Mereka ialah bekas setiausaha sulit tertuduh, Mohd. Azmin Ali, isterinya, Shamsidar Taharin, Datuk S. Nallakaruppan, Aton (pembantu rumah Shamsidar) dan juga Zull Aznam sendiri.''

Azahar: ''Apa sebabnya kamu bercadang untuk merakamkan pernyataan mereka?'

Musa: ''Saya ingin mengetahui perhubungan mereka serta apa-apa pernyataan yang mereka hendak memberikan kepada saya.''

Azahar: ''Apabila kamu memberitahu Zull Aznam, apa kata beliau?''

Musa: ''Kata Zull Aznam, beliau akan menghubungi saya semula.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, apa yang berlaku pada pukul 11.50 pagi tersebut.''

Musa: ''Saya menerima panggilan telefon daripada Azmin yang menyatakan kepada saya bahawa tertuduh ingin bertemu saya di pejabatnya.''

Azahar: ''Apa yang kamu lakukan kemudian?''

Musa: ''Saya kemudian memaklumkan kepada Datuk Ismail Che Rus ketika itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan meminta kebenaran beliau untuk bertemu tertuduh di pejabatnya.''

Azahar: ''Adakah Datuk Ismail benarkan kamu bertemu tertuduh pada hari itu?''

Musa: ''Ya, beliau beri kebenaran.''

Azahar: ''Pukul berapa kamu bertemu tertuduh?''

Musa: ''Saya menemui tertuduh pada jam 12.20 tengah hari di pejabatnya di JPM.''

Azahar: ''Selain kamu, sesiapa lagi yang menemui tertuduh?''

Musa: ''Tidak ada orang lain.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, apa yang berlaku di pejabat tertuduh pada hari itu semasa kamu menemuinya?''

Musa: ''Tertuduh menyatakan kepada saya, apa gunanya saya memanggil saksi untuk merakamkan pernyataan mereka kerana Ummi dan Azizan telah menulis surat kepadanya menafikan tohmahan-tohmahan kegiatan seksual dan homoseksual yang dilakukannya.''

Azahar: ''Selepas tertuduh kata begitu, apakah respons kamu?''

Musa: ''Saya memberitahu bahawa saya merakamkan pernyataan mereka untuk melengkapkan siasatan saya sebelum saya edarkan kepada Peguam Negara.''

Azahar: ''Apabila berkata sedemikian, adakah tertuduh tunjuk apa-apa dokumen?''

Musa: ''Ada, tertuduh tunjukkan tiga dokumen iaitu dua kenyataan umum, satu ditandatangani oleh Azizan dan satu lagi oleh Ummi bersama memo yang ditulis oleh Ummi.''

Azahar: ''Adakah kamu melihat tanda pada dokumen-dokumen tersebut?''

Musa: ''Kesemuanya ada tanda cop diterima oleh pejabat TPM yang bertarikh 30 Ogos 1997.''

Azahar: ''Apa lagi berlaku di bilik itu?''

Musa: ''Saya juga mengingatkan tertuduh tentang arahan Peguam Negara bahawa setiap siasatan yang dijalankan ke atas pegawai-pegawai kerajaan dan juga pemimpin kerajaan perlu dikemukakan kepada pihaknya.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, apakah reaksi tertuduh apabila kamu terangkan prosedur itu?''

Musa: ''Tertuduh telah mengarahkan saya supaya tidak menghantarkan kertas siasatan kepada Peguam Negara.''

Azahar: ''Setelah pertemuan itu, kamu kembali ke pejabat kamu?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, setelah pertemuan itu, pada jam 1 petang, saya kembali ke pejabat saya.''

Azahar: ''Adakah kamu membawa balik dokumen-dokumen itu ke pejabat kamu?''

Musa: ''Saya bawa ketiga-tiga dokumen itu kembali ke pejabat.''

Pada peringkat soalan pendakwa raya yang bertanya sama ada saksi itu meneliti dokumen-dokumen tersebut di pejabatnya, peguam bela Anwar, Christopher Fernando bangun membantah dengan alasan ia tidak ada kaitan dengan pertuduhan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk S. Augustine Paul menolak bantahan kerana berpendapat dokumen-dokumen tersebut ada kaitannya dengan tuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Azahar meneruskan soalan: ''Kita pergi ke 3 September 1997, sekitar 8.30 pagi, beritahu Yang Arif, apa yang berlaku.''

Musa: ''Saya telah berbincang dengan Datuk Ismail Che Rus berkaitan siasatan yang saya jalankan dan juga menunjukkan kepada beliau dokumen-dokumen yang saya terima, iaitu surat-surat memohon maaf daripada Azizan dan Ummi kepada tertuduh.''

Azahar: ''Apakah rumusan Pengarah CID itu buat?''

Musa: ''Berdasarkan dokumen-dokumen ini, beliau dan saya mengambil keputusan untuk menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara dengan cadangan untuk NFA atau No Further Action (Tiada Tindakan Lanjut) bagi kes tersebut.''

Azahar: ''Di peringkat itu adakah siasatan kamu telah lengkap?''

Musa: ''Siasatan saya masih belum lengkap.''

Azahar: ''Apakah sebabnya kamu cadangkan NFA bagi kes ini walaupun siasatan belum lengkap?''

Musa: ''Saya cadangkan begitu kerana dokumen-dokumen, memohon maaf dan kenyataan umum telah mempengaruhi saya untuk menutup kes tersebut.''

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 15/12/1998

Tilam jadi bahan bukti -- Akan dibawa ke mahkamah hari ini dengan kesan tompokan air mani

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu mengenai kesan tompok-tompok air mani pada sebuah tilam dan bantal yang dirampas oleh polis dari apartmen mewah Tivoli Villa yang didakwa menjadi tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan isteri orang.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan berkata, tilam dan bantal itu dirampas pada 10 Julai tahun ini ketika polis membuat siasatan berhubung kandungan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Katanya, tilam dan bantal yang mempunyai kesan tompokan air mani itu telah dianalisis oleh Jabatan Kimia dan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi esok sebagai bahan bukti baru pendakwaan.

Musa memberitahu demikian sebagai saksi ke-13 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-26 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Menurut Musa, kaitan pemeriksaan apartmen di Tivolli Villa dengan siasatan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM adalah kerana terdapat tohmahan yang menyatakan bahawa Shamsidar Mohd. Tahrin (isteri Setiausaha Sulit Anwar, Mohd. Azmin Ali) telah dibawa oleh Datuk Nallakaruppan ke apartmen itu.

Katanya, tohmahan juga telah menyatakan bahawa Anwar telah mengadakan hubungan seksual dengan Shamsidar di apartmen tersebut.

Musa, 47, menimbulkan keterangan itu ketika Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad menyambung soalan dalam pemeriksaan utama pihak pendakwa pada sesi pagi perbicaraan tersebut.

Ia berkisar mengenai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) mengambil tindakan menyiasat buku berkenaan selepas Mohd. Azmin membuat laporan polis pada 19 Jun tahun ini.

Azahar: ''Semasa kamu menjalankan penyiasatan ID56, adakah kamu membaca dengan teliti buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang dikarang oleh seorang bernama Khalid Jafri.''

Musa: ''Betul, semasa saya menjalankan siasatan berkaitan ID56, saya ada membaca buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang ditulis oleh Khalid Jafri.''

Azahar: ''Dengan izin Yang Arif, saksi ini dirujukkan dengan ID14a, ID14b dan P14c. Dalam pembacaan kamu terhadap buku 50 Dalil, adakah kandungan ID14a, ID14b, P14c terkandung dalam buku tersebut?'

*ID14a - Surat Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri ditulis oleh Ummi Hafilda Ali bertarikh 5 Ogos 1997.

*ID14b - Laporan salah laku Timbalan Perdana Menteri oleh Ummi Hafilda.

*P14c - Pengakuan Bersumpah Azizan Abu Bakar bahawa dia diliwat oleh Anwar, bertarikh 5 Ogos 1997.

Musa:''Semasa saya menjalankan siasatan terhadap buku 50 Dalil pada tahun ini saya mendapati bahawa kandungan ID14a ID14b, dan P14c ada di dalam buku tersebut.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, semasa menjalankan siasatan berkaitan ID56, adakah kamu menjalankan pemeriksaan di mana-mana?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, semasa saya menjalankan siasatan ID56, saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya , ASP Mohd. Rodwan dan ASP Wan Zainuddin untuk memeriksa sebuah apartmen di Tivoli Villa, Bangsar, Yang Arif.''

Azahar: ''Sila beritahu Yang Arif, apakah kaitan dengan siasatan yang kamu jalankan dengan buku 50 Dalil ini?''

Musa: ''Pemeriksaan di apartmen di Tivoli Villa dan siasatan buku 50 Dalil adalah kerana terdapat tohmahan yang menyatakan...''

Di peringkat ini, peguam bela Anwar, Christopher Fernando bangun membantah: ''Sebelum saksi ini beri jawapan sepenuhnya, ia adalah jelas bahawa perkara ini tiada kaitan dengan empat tuduhan. Ia tiada relevan.''

Azahar: ''Biarlah Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menjawab.''

Gani: ''Ia memangnya tiada relevan tetapi berkaitan salah laku (tertuduh). Itu sahaja yang hendak diterangkan oleh saksi.''

Fernando: ''Ini tiada relevan atas empat tuduhan itu. Biarlah saya berikan satu ilustrasi yang mudah. Beliau (Anwar) didakwa atas empat tuduhan dan ia tidak dikaitkan dengan Tivoli Villa''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Ia dirujukkan kepada P14c. Ia ada menyebutkan tempat, bukankah begitu?''

Fernando: ''Kami tetap menyatakan ia jelas terkeluar daripada empat tuduhan ini.''

Hakim Augustine: ''Saya tolak bantahan.''

Musa lalu meneruskan jawapannya: ''Tohmahan menyatakan Shamsidar telah dibawa oleh Datuk Nalla (Nallaruppan a/l Solaimalai) ke apartmen di Tivoli Villa.''

Azahar: ''Apa lagi tohmahan di dalam buku itu?''

Musa: ''Tohmahan juga menyatakan bahawa Shamsidar telah mengadakan hubungan seksual dengan tertuduh (Anwar) di apartmen tersebut.''

Azahar: ''Sebentar tadi, kamu telah menyatakan kamu mengarah ASP Rodwan dan ASP Wan Zainuddin pergi ke Tivoli Villa. Apakah alamat apartmen itu?''

Musa: ''Apartmen tersebut di Blok 2, Tingkat 5, Unit No. 13 dan 14.''

Azahar:''Unit itu kepunyaan siapa?''

Musa: ''Unit tersebut kepunyaan Bandaraya Development Corporation, anak syarikat Magnum Corporation.

Azahar: ''Adakah seorang yang bernama Datuk Nalla mempunyai kaitan dengan Magnum Corporation?''

Musa: ''Ya, Datuk Nalla adalah pengarah eksekutif di dalam syarikat Magnum Corporation.''

Azahar: ''Bilakah pegawai-pegawai kamu menjalankan pemeriksaan di unit-unit di Tivoli Villa?''

Musa: ''Pegawai-pegawai saya, ASP Mohd. Rodwan dan ASP Wan Zainuddin telah menjalankan pemeriksaan di unit-unit apartmen tersebut pada 10 Julai tahun ini.''

Hakim Augustine: ''Adakah ini penting?''

Azahar: ''Ya, kami akan menunjukkan kepada Yang Arif.''

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bangun membantah: ''Jika mereka (pendakwa) ingin menyatakan tertuduh berada di sana, dakwaan itu mestilah diberitahu oleh pegawai polis dan bukan hanya dengar cakap saksi ini yang tidak boleh diterima.''

Hakim Augustine menoleh ke arah Azahar: ''Apakah soalan kamu seterusnya?''

Azahar: ''Adakah tidak pegawai kamu dapat apa-apa di apartmen tersebut?''

Musa: ''Pegawai-pegawai saya telah merampas sebuah tilam dan bantal.''

Sulaiman: ''Bolehkah saya bertanya adakah pegawai polis ini akan dipanggil?''

Gani: ''Saksi akan dipanggil untuk menunjukkan motif tertuduh.''

Hakim Augustine: ''Sebuah tilam...''

Azahar menambah, ''bantah'' lalu meneruskan soalannya: ''Berkenaan tilam dan bantal, adakah kedua-dua pegawai kamu buat laporan polis?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, berkenaan tilam dan bantal, pegawai saya telah membuat laporan polis.''

Hakim Augustine: ''Semua ini adalah relevan.''

Bagaimanapun, P. V. Prabhkaran yang bertindak sebagai peguam pemerhati untuk Shamsidar bangun hendak membantah dengan alasan bahawa Anwar hanya terlibat dengan tuduhan liwat sahaja.

Hakim Augustine: ''Baca tuduhan sekali lagi, ia juga melibatkan perihal salah laku seksual.''

Selepas Musa mengesahkan dokumen laporan polis yang dibuat oleh ASP Wan Zainuddin Wan Mahmood pada 6 petang di Balai Polis Pantai pada 10 Julai itu, Azahar menyoal lagi: ''Pada hari itu, adakah pegawai kamu merujuk kepada kamu?''

Musa: ''Betul, pada 10 Julai, jam 7 malam, pegawai-pegawai saya telah membawa tilam dan bantal tersebut dan ditunjukkan kepada saya di pejabat saya.''

Azahar:''Adakah tidak kamu memeriksa tilam dan bantal tersebut. Adakah pada tilam tersebut kamu nampak apa-apa?''

Musa:''Pada tilam tersebut saya dapati beberapa tompok seminal fluid (cecair mani).''

Azahar:''Setelah kamu memeriksa apakah yang kamu buat pada tilam dan bantal tersebut?''

Musa:''Setelah saya memeriksa, saya telah menyimpan barang-barang kes tersebut di dalam bilik berdekatan dengan pejabat saya dan saya mengunci bilik tersebut.''

Azahar:''Siapakah yang memegang kunci bilik itu?''

Musa:''Saya sendiri memegang kunci bilik tersebut.''

Azahar:''Selain daripada kamu adakah sesiapa yang mempunyai akses pada bilik tersebut?''

Musa:''Tiada orang lain yang boleh akses pada bilik tersebut.''

Azahar:''Beritahu Yang Arif, adakah kamu mengarahkan untuk mengambil contoh darah sesiapa?''

Musa: ''Dalam siasatan ini saya telah mengarahkan untuk mengambil contoh-contoh darah daripada Azmin, Shamsidar dan anak mereka, Hafifah Azmin dan juga contoh darah tertuduh.''

Azahar:''Mengenai contoh darah Azmin dan Sahmsidar, bilakah diperoleh?''

Musa:''Contoh-contoh darah Azmin, Shamsidar dan Hafifah telah diambil pada 29 Julai tahun ini.''

Azahar: ''Bilakah contoh darah tertuduh diambil?''

Musa: ''Contoh darah tertuduh diambil pada 28 September tahun ini.''

Azahar:''Mengapakah contoh darah tertuduh hanya diperoleh pada 28 September 1998?''

Musa: ''Contoh darah tertuduh hanya diperoleh pada 28 September itu kerana tertuduh sebelum itu enggan memberikan contoh darahnya.''

Azahar:''Apakah tujuannya contoh-contoh darah Azmin, Shamsidar dan Hafifah diambil?''

Musa: ''Contoh darah mereka diambil untuk menjalankan ujian DNA, Yang Arif.''

Azahar:''Beritahu Yang Arif, adakah tilam dan bantal dihantar pada pihak kimia?''

Musa: ''Tilam dan bantal yang diperoleh daripada apartmen Tivolli Villa telah dihantar kepada Jabatan Kimia.''

Azahar: ''Bila dan oleh siapa?''

Musa: ''Tilam dan bantal itu dihantar ke Jabatan Kimia pada 5 November 1998 oleh ASP Rodwan.''

Azahar: ''Adakah contoh-contoh darah yang diambil daripada Azmin, Shamsidar dan Hafifah dihantar ke Jabatan Kimia?''

Musa:''Ya, contoh-contoh darah Azmin, Shamsidar dan Hafifah dihantar oleh ASP Rodwan pada 29 Julai 1998.''

Azahar: ''Sebentar tadi, kamu beritahu Yang Arif, contoh darah tertuduh diperoleh pada 28 September?''

Musa: ''Contoh darah yang diambil daripada tertuduh pada 28 September telah diambil oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zahari dan Dr. Abdul Halim.''

Azahar: ''Daripada 28 September hingga 9 Disember 1998 siapakah yang menyimpan contoh darah tertuduh?''

Musa: ''Contoh darah tertuduh disimpan oleh pakar forensik HKL, Dr. Abdul Halim.''

Azahar: ''Beritahu sama ada kamu ada beri apa-apa arahan kepada ASP Rodwan pada 9 Disember 1998?''

Musa: ''Pada hari itu saya mengarahkan ASP Rodwan untuk dapatkan contoh darah tertuduh daripada pakar forensik, Dr. Abdul Halim untuk dihantar ke Jabatan Kimia.''

Azahar: ''Adakah ASP Rodwan memperoleh contoh darah tertuduh daripada Dr. Abdul Halim?''

Musa: ''Ya, ASP Rodwan telah memperoleh contoh darah tertuduh daripada Dr. Abdul Halim apda 9 Disember.''

Azahar: ''Dan pada hari tersebut adakah contoh darah dihantar ke Jabatan Kimia?''

Musa: ''Pada hari yang sama, ASP Rodwan menghantar contoh darah tertuduh ke Jabatan Kimia.''

Azahar: ''Untuk tujuan apakah contoh darah tertuduh dihantar ke Jabatan Kimia?''

Musa: ''Untuk menjalankan ujian DNA.''

Azahar: ''Untuk buat ujian DNA berkaitan barang kes apa?''

Musa: ''Berkaitan barang kes tilam yang didapati tompok-tompok seminal fluid.''

Azahar: ''Yang Arif, saya tidak ada apa-apa soalan lagi kepada saksi ini cuma untuk memanggil beliau mengecamkan tilam ini esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Tilam dikemukakan di mahkamah

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Sebuah tilam yang mempunyai kesan tompokan yang disyaki kesan air mani dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebagai salah satu bahan bukti pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tilam tersebut dan juga sebiji bantal dirampas di sebuah apartmen Tivoli Villa, Bangsar yang didakwa menjadi tempat Anwar mengadakan perhubungan seks dengan isteri orang.

Dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) mengambil bahan bukti itu pada 10 Julai tahun ini berhubung penyiasatan kandungan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC)1, Musa Hassan sebagai saksi ke-13 kes itu semalam memberitahu bahawa tilam dan bantal yang disyaki mempunyai kesan air mani itu telah dihantar untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia pada 5 November lalu.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraannya masuk hari ke-26 hari ini.

Sebagaimana yang dijanjikan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bahawa pihak pendakwa ingin mengemukakan bahan buktinya hari ini.

Tilam yang berukuran queen size dibawa dengan trak polis ke mahkamah pada pukul 8.30 pagi ini.

Sejurus sahaja Musa membukakan bungkusan tilam itu para hadirin di galeri awam kedengaran tergelak dan ada yang terjengah-jengah untuk melihat dari jauh.

Tilam tersebut disandarkan di dinding bahagian depan sebelah kiri yang jaraknya tidak jauh dari Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Apabila sidang bermula pukul 9.20 pagi ini, Hakim Augustine menanyakan kepada Azahar: ''Tilam kamu sudah ada di sini untuk dikemukakan?''

Azahar:''Saya sedang menunggu bantal.'' Hadirin tergelak.

Hakim Augustine: ''Bilakah bantal kamu sampai?''

Azahar menjawab, seberapa cepat yang mungkin. Beliau kemudian memaklumkan Hakim Augustine untuk merujuk kepada Musa satu bungkusan tilam.

Azahar: ''Apa yang tercatat atas bungkusan ini?''

Musa: ''Tulisan yang tercatat di atas bungkusan tilam adalah laporan polis Dang Wangi 14140/98.''

Azahar: ''Selain daripada itu adakah tercatat huruf E?''

Musa: ''Ia ada juga tercatat huruf E.''

Azahar: ''Di atas bungkusan ini ada juga tercatat kertas putih. Kalau tak nampak minta izin lihat lebih dekat.''

Musa: ''Saya minta izin untuk melihat tilam tersebut. (Beliau lalu bangun berjalan ke tempat tilam itu). Yang Arif, pada kertas putih atas bungkusan tercatat (PJFOR 44997/98-2) yang dibuat oleh ahli kimia.''

Saksi itu juga memberitahu bahawa pegawai yang menulis laporan Dang Wangi 14149/98 dan huruf bertanda E pada bungkusan tersebut adalah ASP Mohd. Rodwan.

Azahar: ''Bungkusan di hadapan kamu ini masih lagi di'seal' (dimeteri)?''

Musa: ''Bungkusan ini masih dimeteri PDRM.''

Azahar: ''Cuba tengok.''

Musa: ''Maaf, Yang Arif. (Beliau bangun meneliti cap di bungkusan)... dimeteri dengan Jabatan Kimia No. 1.''

Azahar: ''Dan bungkusan ini diikat dengan tali putih?''

Musa: ''Ya, ia diikat dengan tali putih.''

Azahar: ''Adakah cap meteri itu masih terdapat pada bungkusan itu?''

Musa: ''Benar, cap meteri itu masih ada di atas bungkusan itu.''

Azahar: ''Saya memohon saksi ini buka bungkusan. (sambil meminta Musa bangun), jangan gunting atas cap meteri itu.''

Pandangan para hadirin di mahkamah semuanya tertumpu ke arah Musa yang sedang membukakan bungkusan tilam.

Pada ketika itu juga, Anwar dilihat menoleh-noleh ke belakang dengan senyuman ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah serta saudara maranya yang duduk di galeri awam.

Azahar kemudian memberitahu Hakim Augustine bahawa kertas bungkusan tilam itu yang berwarna coklat ditandakan sebagai dokumen P59 untuk kes pendakwa.

Beliau lalu meneruskan soalan: ''Encik Musa, beritahu Yang Arif, inikah tilam yang ditunjukkan oleh ASP Rodwan pada 10 Julai tahun lalu?''

Musa; ''Benar, inilah tilam yang ditunjukkan oleh ASP Rodwan pada hari tersebut.''

Azahar: ''Apakah brand atau jenama tilam ini?''

Musa: ''Jenama tilam ini, Orthoflex Classic.''

Azahar: ''Dan tilam inilah yang kamu beritahu mahkamah bahawa kamu simpan dalam bilik dan dikunci?''

Musa: ''Benar, Yang Arif, tilam inilah yang saya simpan di dalam sebuah bilik yang saya kunci berdekatan dengan pejabat saya.''

Azahar: ''Bolehkah Yang Arif, tilam ini ditandakan P60. Kamu lihat P60 ini, ya, sekarang adakah kesan lubang?''

Musa: ''Ya, Yang Arif, ada kesan carikan - dipotong.''

Azahar: ''Ada kain pembalut tilam?''

Musa: ''Ya, ada kain pada pembalut tilam.''

Azahar: ''Di atas tilam itu ada ditulis catatan, cuba kamu tengok apa yang ditulis. Apa yang kamu nampak?''

Musa: ''Pada tilam tersebut ada catatan huruf dan nombor.''

Azahar: ''Huruf dan nombor apakah itu?''

Musa: ''Yang Arif, huruf dan nombor yang dicatat ialah E1 hingga E13.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, pada masa kamu melihatnya pada 10 Julai terdapat kesan-kesan potongan dan juga huruf E1 hingga E13?''

Musa: ''Semasa saya mula-mula melihat tilam ini pada 10 Julai, Yang Arif, tidak ada kesan potongan atau huruf yang dicatat pada tilam tersebut.''

Azahar: ''Beritahu Yang Arif, sama ada kamu tahu atau tidak siapa yang membuat potongan dan catatan E1 hingga E13?''

Musa: ''Pegawai yang membuat potongan dan juga huruf pada tilam tersebut adalah pegawai kimia, Yang Arif.''

Azahar: ''Kamu tahu siapa ahli kimia itu?''

Musa: ''Ahli kimia tersebut bernama Lim Kong Boon.''

Azahar: ''Kamu telah beritahu Yang Arif, kelmarin semasa kamu lihat P60 (tilam) ini, kamu nampak kesan yang kamu syaki sebagai ''seminal stain'' (kesan air mani).''

Musa: '' Benar, semasa saya melihat tilam ini pada 10 Julai ada nampak tompokan yang saya syaki sebagai seminal stain. '' (saksi ini menggunakan perkataan Inggeris, seminal stain iaitu, kesan air mani dan keterangan semalam, beliau menyebut terdapat ''patches seminal fluid.'')

Azahar: ''Di manakah di atas P60 ini kamu nampak tompokan itu pada 10 Julai?''

Musa: ''Tompokan yang saya nampak pada 10 Julai adalah pada tempat sekarang yang telah dipotong, Yang Arif.''

Azahar: ''Itu sahaja soalan untuk P60, Yang Arif, bantal belum tiba. Bantal tidak ada kesan tompokan.''

Hakim Augustine: ''Tidak mengapalah jika ia relevan maka boleh ditanda P60.''

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Tertuduh halang tindakan

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalang beliau daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali berhubung dakwaan perihal salah laku seks terhadapnya.

Musa berkata, semasa beliau bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 30 Ogos 1997, Anwar tidak membenarkan beliau mengambil apa-apa tindakan terhadap Azizan dan Ummi dan mengarahkan memberhentikan siasatan.

Beliau memberi keterangan demikian sebagai saksi pendakwa ke-13 ketika disoal dalam pemeriksaan balas yang bertubi-tubi oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-27 hari ini.

Dalam pemeriksaan balasnya Fernando bertanya: ''Berapa banyak kenyataan yang Azizan buat?''

Musa: ''Azizan telah membuat lebih kurang lima pernyataan kepada polis.''

Fernando: ''Ada terdapat beberapa kenyataan dia menafikan dakwaannya.''

Musa: ''Tidak ada kenyataan yang dibuat oleh Azizan yang dia menafikan bahawa dia diliwat oleh tertuduh (Anwar).''

Fernando: ''Saya katakan kamu memaklumkan kepada tertuduh bahawa terdapat versi-versi yang berbeza dalam kenyataanya, ya atau tidak?''

Musa: ''Tidak Yang Arif, saya tidak pernah memaklumkan kepada tertuduh yang Azizan ada membuat kenyataan yang berbeza-beza.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu tertuduh bahawa Azizan tidak bertanggungjawab?''

Musa: ''Tidak, saya tidak beritahu tertuduh bahawa Azizan dan Ummi Hafilda Ali adalah orang yang tidak bertanggungjawab.''

Fernando: ''Kamu telah beritahu mahkamah semalam, apakah yang mempengaruhi kamu untuk mengesyorkan NFA (No Further Action) dalam kes ini.''

Musa: ''Saya beritahu mahkamah bahawa saya mengesyorkan yang siasatan berkaitan laporan polis (P16) oleh pegawai pengiring Zull Aznam berhubung surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim untuk NFA.''

Fernando: ''Selain dipengaruhi dokumen P16 itu, adakah sebarang dokumen lain yang membuat kamu mengambil keputusan begitu?''

Musa: ''Selain itu ada dokumen P17 dan ID18 iaitu surat-surat mohon maaf Azizan dan Ummi kepada Perdana Menteri bertarikh 18 Ogos 1997 yang mempengaruhi saya untuk mengesyorkan supaya NFA siasatan yang saya jalankan.''

Fernando: ''Apakah dokumen lain?''

Musa: ''Dokumen lain yang mempengaruhi siasatan saya adalah P20, ID21 dan ID22, Yang Arif.

* P20 - Kenyataan Umum Azizan (bertaip) menafikan bahawa dia menulis pengakuan bersumpah (P14c).

* ID21 - Penjelasan Umum Ummi Hafilda (bertulis tangan) kepada tertuduh bertarikh 29 Ogos 1997.

* ID22 - Kenyataan Umum Umi Hafilda (bertaip dan tidak dialamatkan kepada sesiapa) bertarikh 29 Ogos 1997; Ummi kononnya mengaku bahawa apa yang dinyatakan di dalam ID14, laporan Salah laku TPM, adalah tidak benar.

Fernando: ''Selepas penangkapan Ummi dan Azizan, Pengarah Cawangan Khas (ketika itu Datuk Mohd. Said Awang) meminta pegawai-pegawai kamu menyerahkan mereka kepada Cawangan Khas.''

Musa: ''Benar, Yang Arif, selepas tangkapan Azizan dan Ummi, Mohd. Said ada mengarahkan saya untuk menyerahkan mereka kepada Cawangan Khas.''

Fernando: ''Surat yang kamu cakapkan itu, ID18 dan P17 adakah ia ditulis pada 18 Ogos 1997?''

Musa: ''Saya tidak tahu.''

Fernando: ''Tengok dokumen tersebut.''

Musa: ''Tarikh pada P17 dan ID18 ada tercatat haribulan 18 Ogos 1997.''

Fernando: ''Bukankah Ummi dan Azizan diserahkan semula kepada kamu pada 18 Ogos itu?''

Musa: '' Pada 18 Ogos, lebih kurang pukul 10 pagi, Azizan dan Ummi diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (CID).''

Ketika ditanya peguam bela itu sama ada beliau membaca kandungan P17, Musa memberitahu bahawa dokumen P17 dan ID18 itu telah diberikan kepada beliau oleh Timbalan Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Amir Junus.

Fernando: ''Adakah kamu membaca kandungannya?''

Musa: ''Benar, saya ada membaca kandungan P17 dan ID18.''

Fernando: '' Bilakah masanya kamu klasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan?''

Musa: ''Saya klasifiksikan kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan apabila saya menyiasat buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM selepas laporan polis yang dibuat oleh Zull Aznam pada bulan Jun 1997.''

Fernando: ''Sebagai pegawai perisikan, apabila kamu membaca dokumen P17 dan ID18, adakah kamu tahu Ummi dan Azizan melakukan kesalahan yang serius terhadap Anwar?''

Musa: ''Benar, apabila saya membaca dokumen-dokumen tersebut, kedua-dua penulis ada membuat tohmahan terhadap tertuduh.''

Fernando: ''Apabila membaca surat ini, setujukah kamu bahawa mereka membuat dakwaan palsu terhadap tertuduh?''

Musa: ''Saya tidak setuju Azizan dan Ummi telah mmebuat tuduhan palsu terhadap tertuduh.''

Fernando: ''Saya bercakap pada masa itu.''

Musa: ''Ya.''

Fernando: ''Adakah surat ini menarik balik?''

Musa: ''Ini adalah surat memohon maaf, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah surat-surat ini menafikan dakwaan oleh mereka.''

Musa: ''Tidak, surat-surat ini tidak menafikan tohmahan terhadap salah laku tertuduh''

Selepas berlaku pertikaman lidah seketika di antara Fernando dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail yang membantah gaya soalan yang dikemukakan oleh Fernando kepada Musa yang mempertikaikan mengapa saksi itu tidak mengambil tindakan terhadap Ummi dan Azizan.

Bagaimanapun, Musa mengakui bahawa terdapat kesalahan di atas penafian itu dalam dokumen yang dibuat oleh kedua-dua mereka iaitu kesalahan jenayah fitnah.''

Fernando: ''Mengapa kamu tidak meneruskan perkara itu dan mendakwa mereka dan sebaliknya mengsyorkan NFA.''

Musa: ''Kerana semasa saya bertemu tertuduh pada 30 Ogos 1997, tertuduh telah menyatakan beliau tidak membenarkan mengambil apa-apa tindakan terhadap Azizan dan Ummi.''

Fernando: ''Saya katakan kamu beritahu perkara baru.''

Musa: ''Saya telah beritahu dalam pemeriksaan utama.''

Fernando dengan nada meninggi: ''Kamu tidak beritahu dalam pemeriksaan utama.''

Musa: ''Saya tidak setuju ini perkara baru kerana pada ingatan saya, saya ada beritahunya semasa pemeriksaan utama.''

Fernando: ''Kamu tidak nyatakan dalam pemeriksaan utama. Saya katakan ini perkara baru.''

Musa: ''Pada ingatan saya, saya ada menyatakan perkara ini.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul menyelak semula notanya dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad lalu bangun membaca keterangan Musa pada hari Jumaat lalu.

Azahar membaca keterangan Musa itu yang berbunyi: ''Apabila saya dan Datuk Ismail Che Rus dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah bertemu tertuduh...''

Azahar: ''Saya yang bertanya soalan pada pertemuan itu dan tertuduh tidak mahu mengambil tindakan terhadap Ummi dan Azizan.''

Fernando: ''Andainya beliau menyatakan demikian.''

Hakim Augustine: ''Ini sudah ada dalam nota.''

Fernano:''Kamu katakan tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap Azizan dan Ummi?''

Musa: ''Adalah benar, Yang Arif, beliau tidak mahu tindakan diambil terhadap Ummi dan Azizan.''

Fernando: ''Mengapa kamu tidak mengambil tindakan?''

Musa: ''Saya tidak mengambil tindakan terhadap Ummi dan Azzian kerana saya tidak dapat membuat siasat dengan teliti.'' Sambil menggunakan bahasa Inggeris Musa berkata: ''I have not completed my investigation in 1997.''

Perbicaraan bersambung esok.

---------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Peguam diingat tidak keterlaluan

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini mengingatkan Raja Aziz Addruse yang mengetuai sembilan peguam bela dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak bersikap keterlaluan ketika mengeluarkan kata-katanya sehingga boleh diambil tindakan menghina mahkamah.

Hakim Augustine berkata, Raja Aziz merupakan seorang peguam bela yang kanan dan bersopan.

Beliau memberi ingatan itu apabila Raja Aziz bangun menghujah setelah seorang lagi peguam bela Anwar, Christopher Fernando membangkitkan isu niat jahat (mala fide) ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan.

Raja Aziz berhujah dengan menyatakan isu penting kes itu ialah niat jahat dan mahkamah tidak harus mengetepikan begitu sahaja.

Beliau menyatakan dalam undang-undang sebarang tindakan yang menaruh kepercayaan buruk mestilah diwujudkan dengan fakta.

''Oleh itu kita mesti wujudkan fakta, bagaimanapun, Yang Arif telah membuat keputusan semalam.'' kata Raja Aziz.

Hakim Augustine mencelah bahawa semalam beliau memutuskan bahawa tidak ada lagi soalan berhubung afidavit melainkan ia kaitan langsung dengan isu di hadapan beliau.

Raja Aziz: ''Niat jahat adalah menaruh kepercayaan buruk terhadap kes ini dan kami katakan polis merekakan keterangan untuk membuat tuduhan.''

Hakim Augustine: ''Buatlah usul dengan afidavit terhadap saksi. Saya tidak faham mengapa kamu perlu terganggu.''

Raja Aziz: ''Benar ia tiada relevan. Kami melihatnya dengan hala tuju yang salah, polis merekakan keterangan.''

Hakim Augustine: ''Ia tiada relevan dengan isu.''

Raja Aziz: ''Keputusan Yang Arif berdasar niat jahat, ia tiada relevan.''

Hakim Augustine: ''Apakah relevan dengan mengambil afidavit orang lain, dan bila menyoal hanya tanya, 'kamu bersetuju dan ... pergilah kepada perkara yang lebih kukuh dan usah membuang masa mahkamah.''

Raja Aziz: ''Saya fikir, Yang Arif tetap dengan keputusan.''

Hakim Augustine:''Saya pegang dengan keputusan semalam. Teruskan perbicaraan.''

Sebelum itu, Fernando menimbulkan soalan kepada Musa mengenai kandungan afidavit yang diikrarkan oleh penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Anees yang kini sedang menjalani hukuman penjara enam bulan setelah mengaku bersalah atas dakwaan diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, Musa menyatakan beliau tidak membaca afidavit itu dan hanya menjawab, ya atau atau benar sahaja ketika disoal.

Fernando: ''Adakah kamu hadir ketika soal siasat dijalankan terhadap Dr. Munawar?''

Musa menjawab, tidak hadir.

Fernando: ''Siapa yang menyediakan peguam bela ketika Dr. Munawar didakwa di mahkamah?''

Hakim Augustine: ''Adakah ia relevan. Perkara ini di mahkamah yang lain.''

Fernando meneruskan soalan: ''Siapakah yang menyediakan peguam bela ketika dia didakwa di mahkamah yang mana kesalahannya dikaitkan dengan Anwar.''

Hakim Augustine: ''Apa relevannya?''

Fernando: ''Untuk menunjukan sistem yang dijalankan.''

Hakim Augustine: ''Soalan ini tidak dibenarkan.''

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 16/12/1998

Musa nafi beritahu Anwar semua tuduhan palsu

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Saksi pendakwa ke-13, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan menafikan beliau memberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah palsu dan tidak berasas.

Musa bagaimanapun mengaku telah mengesyorkan kepada Peguam Negara (AG) agar tindakan lanjut tidak diambil (NFA) terhadap siasatan berhubung semua tuduhan salah laku Anwar.

Katanya, syor itu dikemukakan setelah beliau meneliti kesemua lima dokumen yang diterimanya berhubung kes itu dan berbincang dengan pegawai atasannya, Datuk Ismail Che Rus.

''AG setuju dengan cadangan saya,'' kata saksi itu selepas ditanya oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando sama ada AG juga memutuskan NFA bagi siasatan kes itu.

Jawapan Musa berhubung perkara itu adalah sebahagian daripada keterangan-keterangannya pada sesi soal balas dalam perbicaraan hari ke-27 kes Anwar, 51, yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Fernando mengemukakan soalan-soalan itu sebaik sahaja perbicaraan disambung pada pukul 2.20 petang ini.

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu bahawa tertuduh tidak pernah melarang kamu daripada menghantar kertas siasatan kesnya kepada AG.''

Musa: ''Saya tidak setuju.''

Fernando: ''Ia tidak membawa apa-apa perbezaan selepas kamu meneliti dokumen-dokumen itu, selepas kamu berbincang dengan Datuk Ismail Che Rus, kamu membuat kesimpulan supaya NFA diambil.''

Musa: ''Saya tidak setuju hanya berdasarkan dokumen-dokumen yang saya terima menyebabkan saya mengesyorkan NFA bagi kes itu.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Ada faham soalan?''

Musa: ''Lima dokumen yang saya terima telah mempengaruhi saya untuk mencadangkan NFA bagi siasatan kes itu.''

Fernando: ''Memang itulah soalan saya, jadi kamu setuju dengan saya?''

Musa: ''Benar, Yang Arif. Saya setuju. Selepas meneliti kelima-lima dokumen yang saya terima, saya telah mengesyorkan NFA bagi siasatan kes itu.''

Fernando: ''Selepas itu, kamu syorkan kepada AG supaya NFA diambil?''

Musa: ''Benar, Yang Arif.''

Fernando: ''AG juga memutuskan NFA diambil?''

Musa: ''Benar, Yang Arif. AG setuju cadangan saya.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu tertuduh bahawa tuduhan terhadapnya adalah palsu dan tidak berasas?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu memberitahu tertuduh demikian.''

Musa: ''Saya tidak setuju.''

Fernando: ''Adakah kamu menemui tertuduh pada 2 September 1997?''

Musa: ''Ya, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah tertuduh beritahu kamu bahawa dia telah menemui PM di kediamannya selepas sambutan Hari Kebangsaan?''

Musa: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: ''Adakah tertuduh beritahu kamu bahawa PM mengatakan begini kepadanya: 'Sorry, Aziz Shamsuddin was involved. I have warned him. I should have sacked him. But as I've said, the case is closed.' (Maaf, Aziz Shamsuddin terlibat. Saya sudah memberi amaran kepadanya. Saya sepatutnya sudah memecatnya. Tetapi, macam yang saya kata, kes ini sudah ditutup).''

Musa: ''Tidak, tertuduh tidak beritahu saya demikian.''

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu, tertuduh memberitahu kamu mengenai perkara ini pada 2 September 1997.''

Musa: ''Tidak benar, Yang Arif.''

Perbicaraan bersambung.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 5"