untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Tuesday, July 22, 2008

PENDAKWAAN - 4

ARKIB : 01/12/1998

Hakim: Cubaan jejas integriti perbicaraan


MOHTAR Abdullah (dua dari kiri) bersalaman dengan para pegawainya sebelum meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul menyifatkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan dua pendakwa raya dalam kesnya sebagai cubaan untuk menjejaskan integriti perbicaraan yang masuk hari ke-16 hari ini.

Beliau berkata, permohonan untuk melarang Timbalan-timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad daripada meneruskan pendakwaan serta affidavit sokongan yang diikrarkan oleh Anwar adalah campur tangan terhadap pelaksanaan keadilan kerana ia tidak berasas.

''Tujuannya ialah untuk memberi gambaran bahawa pendakwaan kes ini berlandaskan keterangan-keterangan yang sengaja direka.

''Tindakan ini adalah penghinaan mahkamah yang serius dan saya harus segera bertindak ke atasnya untuk memelihara integriti perbicaraan ini.

''Seperti yang telah saya nyatakan pada awal perbicaraan, saya tidak akan teragak-agak untuk 'melentur tegangkan setiap inci otot kehakiman saya' (menggunakan setiap sudut perundangan) bagi memastikan perbicaraan kes ini berjalan lancar,'' tegas Hakim Augustine.

Beliau berkata demikian sewaktu menolak penjelasan yang diberikan oleh peguam Zainur Zakaria berhubung alasan-alasan mengapa permohonan untuk menggugurkan Gani dan Azahar dikemukakan.

Zainur selaku peguam cara Anwar diminta menunjukkan sebab-sebab mengapa dia tidak harus dikenakan tindakan penghinaan mahkamah kerana mengemukakan permohonan tersebut dan affidavit sokongan Anwar.

Sewaktu mahkamah bersidang untuk meneruskan perbicaraan terhadap Anwar pagi ini, peguam kanan yang mewakilinya, Raja Aziz Addruse bangun mengemukakan permohonan itu tetapi tidak dibenarkan berhujah.

Anwar melalui firma guaman Zainur Zakaria & Co memfailkan permohonan dan affidavit sokongan Sabtu lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini untuk menggugurkan Gani dan Azahar atas dakwaan cuba mendapatkan kerjasama Datuk S. Nallakaruppan agar memberi keterangan terhadapnya.

Menurut Anwar, Gani dan Azahar 'melakukan apa saja' untuk membolehkan Nallakaruppan yang juga rakan tenisnya memberi keterangan palsu mengaitkan dia dengan perbuatan salah laku seks.

Anwar, 51, sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraan kesnya hari ini bagaimanapun tidak dapat diteruskan ekoran perkembangan terbaru yang berlaku.

Hakim Augustine menambah, adalah menjadi tugas beliau untuk menjamin bahawa orang-orang yang mengikuti perbicaraan kes itu tidak diperdayakan dengan apa cara sekalipun.

''Dengan permohonan sedemikian untuk mengusutkan lagi perbicaraan, saya tidak akan terkejut jika permohonan yang sama dikemukakan untuk menggugurkan saya daripada mendengar kes ini.

''Berdasarkan permohonan yang tidak berasas yang kamu kemukakan tanpa sebarang dokumen sokongan, saya bercadang mengenakan tindakan penghinaan ke atas kamu kerana cuba menjejaskan integriti perbicaraan ini,'' kata hakim.

Beliau bagaimanapun berkata, mahkamah akan mempertimbangkan untuk menggugurkan semua prosiding lanjutan ke atas Zainur jika peguam itu mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada mahkamah, Peguam Negara, Gani dan Azahar kerana memfailkan permohonan yang langsung tidak berasas dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Augustine kemudian menangguhkan sidang selama setengah jam untuk memberi peluang kepada Zainur memikirkan cadangan beliau.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 01/12/1998

Gani Pathil, Azhar buat laporan polis - Mohtar

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad telah membuat laporan polis berhubung satu notis usul yang difailkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan mereka daripada pendakwaan kes itu.

Menurut Mohtar, laporan itu dibuat semalam setelah dokumen berhubung notis usul itu diedarkan secara meluas kepada media massa yang bukan sahaja menjejaskan kedua-dua pegawainya malah dirinya sendiri.

Mohtar menimbulkan perkara itu ketika dijemput sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) untuk menyuarakan pandangannya pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-16 hari ini.

Bagaimanapun, ketika mahkamah bersidang pada 9.20 pagi ini, Mohtar memaklumkan bahawa beliau hadir di mahkamah itu sebagai responden dalam notis usul tersebut.

Selain Gani dan Azahar, beliau dibantu oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Agustine dan Shamsul Sulaiman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Mohd. Amin dalam kenyataan akhbarnya petang ini mengesahkan bahawa dua laporan telah dibuat di Balai Polis Tun H.S. Lee, pukul 2 petang semalam oleh Gani dan Azahar.

Yaacob berkata, pihak polis telah mengkelaskan kes itu di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan merencanakan keterangan dan satu pasukan penyiasat ditubuhkan untuk menyiasat laporan tersebut.

Pada perbicaraan pagi ini, Mohtar juga memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz berhubung ulasan beliau mengenai Hakim Augustine yang tersiar di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Menurut Mohtar, beliau masih menunggu jawapan daripada Nazri.

Pada 2 November lalu, ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat, Nazri menafikan bahawa beliau meminta Hakim Augustine meletakkan jawatan jika tidak mampu mengendalikan kes Anwar dalam bahasa Malaysia.

Selain itu, Mohtar juga memaklumkan bahawa satu lagi surat tunjuk sebab dikeluarkan terhadap Naib Presiden Majlis Peguam, R.R. Chelvarajah mengenai kenyataannya dalam laporan Utusan Malaysia bertarikh 3 November lalu berhubung ketidakadilan mahkamah kerana tidak membenarkan wakil badan peguam menjadi pemerhati untuk kes itu.

''Chelvarajah telah mengemukakan sebab dan Jabatan Peguam Negara tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadapnya,'' kata Mohtar.

Anwar kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Sejurus mendengar keputusan Hakim Augustine yang mendapati Zainur bersalah menghina mahkamah lalu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan, Anwar berpaling ke arah wartawan dan dengan nada suara yang tinggi berkata: ''Di manakah keadilan? Dia bertindak atas nama saya. Zainur masuk penjara kerana saya.''

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 01/12/1998

Perbicaraan Anwar tarik perhatian Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik perhatian Majlis Peguam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan kepada salah seorang peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Zainur Zakaria.

Pada pukul 11.35 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das dilihat meminta kebenaran daripada pihak polis untuk masuk ke mahkamah tetapi ditolak kerana ''tempat duduk telah penuh.''

Das kemudiannya memaklumkan kepada para wartawan beliau hadir setelah diberitahu oleh salah seorang peguam bela Anwar mengenai prosiding menghina mahkamah yang mungkin dikenakan terhadap Zainur ketika mahkamah berhenti rehat seketika pada sebelah pagi.

Das kemudiannya masuk ke mahkamah kira-kira pukul 12.15 tengahari mewakili Majlis Peguam.

Lebih kurang 15 orang peguam mula berhimpun di perkarangan bangunan Sultan Abdul Samad selepas mendapat tahu mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Zainur.

Jumlah mereka semakin bertambah setelah mendengar bahawa satu permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman akan dibuat di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd. Yunus.

Lamin kemudiannya mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu pada pukul 3 petang di mahkamah terbuka dengan dihadiri oleh sebahagian besarnya para peguam.

Permohonan tersebut dibuat oleh peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse, Gurbachan Singh dan Christopher Fernando yang bertindak bagi pihak Zainur. Das turut hadir mewakili Majlis Peguam.

Setelah mendengar permohonan ex-parte itu, Lamin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan bon jaminan sebanyak RM10,000.

Sementara itu, pada waktu yang sama, peguam dan orang ramai turut memenuhi perkarangan bangunan Sultan Abdul Samad untuk mengetahui perkembangan terkini nasib yang bakal menimpa Zainur.

Beberapa orang peguam turut dilihat mengumpulkan tanda tangan untuk mengusulkan satu mesyuarat tergempar Majlis Peguam bagi membincangkan perkara yang sama.

Zainur tiba di mahkamah pada 3.30 petang dengan diiringi oleh isteri dan anak-anaknya dan masuk ke bangunan Sultan Abdul Samad untuk bertemu dengan para peguam yang lain.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 01/12/1998

Mahkamah keluar waran tangkap Manjeet Singh

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas peguam Manjeet Singh Dhillon untuk hadir memberi sebab mengapa tindakan menghina mahkamah tidak harus diambil terhadapnya berikutan pendedahannya mengenai tawaran pengakuan oleh Jabatan Peguam Negara kepada anak guamnya, Datuk S. Nallakaruppan.

Hakim Datuk S. Augustine Paul ketika memutuskan demikian mahu Manjeet dibawa ke mahkamah secepat mungkin.

Tindakan Manjeet itu didedahkan melalui affidavit yang difailkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong permohonannya yang dikemukakan Sabtu lalu supaya dua pendakwa raya di dalam kesnya digugurkan atas alasan 'berniat jahat' (mala fide) dalam pendakwaan mereka.

Dalam usul yang dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Zainur Zakaria & Co, Anwar menamakan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad sebagai pihak responden.

Usul itu meminta kedua-duanya dihalang atau dilarang atau digugurkan daripada terus menjalankan pendakwaan terhadap Anwar.

Anwar, 51, kini menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Dalam permohonannya, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Azahar menyalahgunakan kuasa dengan membayangkan akan menimbangkan untuk mendakwa Nallakaruppan atas tuduhan yang lebih ringan hukumannya jika dia 'mengada-adakan' cerita Anwar terbabit dalam jenayah seks dengan pelbagai wanita.

Nallakaruppan yang lebih dikenali sebagai 'Nalla' adalah rakan bermain tenis Anwar dan bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation itu kini menghadapi tuduhan memiliki 125 butir peluru secara tidak sah mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Dalam affidavit sokongannya, Anwar melampirkan kenyataan bersumpah Manjeet yang menyebut bahawa Abdul Gani dan Azahar cuba menggunakan 'pendekatan yang sama untuk mendapatkan bukti daripada Nalla dengan menggunakan ISA sebagai ancaman dalam tawar menawar mereka'.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 01/12/1998

Pendakwa didakwa ugut guna hukuman mati

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pihak pendakwa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengugut untuk menggunakan hukuman mati mengikut Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebagai alat perjanjian bagi mengumpul keterangan terhadap Anwar daripada rakan tenisnya.

Dakwaan itu dibuat oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Datuk S. Nallakaruppan, yang menghadapi hukuman mati kerana memiliki 125 butir peluru secara salah di sisi undang-undang, dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

Manjeet mendakwa bahawa Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail cuba mendapatkan keterangan untuk membuktikan tuduhan bahawa bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu telah melakukan jenayah seks dengan tiga wanita yang berkahwin dan dua wanita yang belum berkahwin.

Surat Manjeet kepada Mohtar yang diklasifikasikan sebagai ''persendirian/untuk tatapan anda sahaja'' dibacakan di mahkamah hari ini oleh seorang daripada peguam Anwar, Zainur Zakaria selepas Hakim Datuk S.Augustine Paul meminta beliau berbuat demikian bagi menjelaskan dakwaan pemalsuan keterangan sebagaimana tercatat dalam afidavit Anwar yang difailkan Sabtu lepas.

Dalam afidavit itu, Anwar menuduh pihak pendakwa cuba memaksa Nallakaruppan, untuk memalsukan keterangan salah laku seks olehnya.

Afidavit itu juga menyatakan bahawa surat daripada Manjeet kepada Mohtar bertarikh 12 Okt yang menuduh Abdul Gani memaksa Nallakaruppan memberikan keterangan terhadap Anwar sebagai pertukaran kepada tuduhan senjata api yang lebih ringan terhadap ahli perniagaan itu. - Bernama.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 01/12/1998

Peguam Anwar dipenjara -- Didapati bersalah menghina mahkamah


PEGUAM bela Anwar Ibrahim, Zainur Zakaria meninggalkan mahkamah dengan diiringi oleh isterinya selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan ke atasnya kerana menghina mahkamah petang semalam.


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Zainur Zakaria, salah seorang daripada sembilan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana didapati bersalah menghina mahkamah pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertindak demikian terhadap Zainur setelah peguam itu enggan memohon maaf kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad atas usul yang dikemukakan bagi pihak Anwar untuk menggugurkan Gani dan Azahar daripada terus memikul tugas pendakwaan bagi kes itu.

Sehubungan itu, Hakim Augustine juga mengeluarkan waran tangkap terhadap peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Datuk S. Nallakaruppan supaya hadir di hadapan beliau secepat mungkin.

Hakim itu memerintahkan hukuman ke atas Zainur berkuatkuasa sebelum pukul 4 petang ini setelah beliau menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaannya sehingga peguam itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 3.30 petang ini, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan Zainur didengar pada Jumaat ini dan peguam itu dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tiga peguam yang mewakili Zainur, Raja Aziz Addruse, Gurbachan Singh dan Christopher Fernando memfailkan notis rayuan di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira 3 petang ini.

Pada Sabtu lalu, Anwar melalui Zainur yang bertindak sebagai peguam caranya memfailkan notis usul meminta Gani dan Azahar digugurkan atas alasan 'berniat jahat' dalam pendakwaan mereka.

Anwar mendakwa mereka menyalah guna kuasa dengan membayangkan akan menimbangkan untuk mendakwa Nallakaruppan atau 'Nalla' atas tuduhan yang lebih ringan hukumannya jika dia 'mengada-adakan' cerita penglibatan Anwar dalam jenayah seks dengan pelbagai wanita.

Nalla, rakan tenis Anwar kini menghadapi tuduhan di bahwa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana memiliki 125 butir peluru secara tidak sah.

Afidavit Anwar yang menyokong permohonan itu melampirkan kenyataan bersumpah dan surat Manjeet selaku peguam bela Nalla, yang mendakwa Gani dan Azahar cuba merundingkan satu tawar-menawar pengakuan.

Berikutan itu juga, perbicaraan terhadap Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat yang masuk hari ke-16 hari ini ditangguhkan esok.

Hakim Augustine berkata, beliau minta maaf kepada semua pihak yang terlibat kerana perbicaraan yang sepatutnya dijalankan pada pagi ini tertangguh.

Namun seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bangun memohon agar kes itu ditangguhkan kerana pihaknya berdukacita dengan apa yang berlaku.

''Saya juga dukacita, pada awal-awal lagi saya telah beri peluang,'' kata Hakim Augustine lalu bertanya pula kepada Gani, apakah perbicaraan harus diteruskan.

''Saya serahkan kepada mahkamah,'' jawab Gani.

Hakim Augustine: ''Demi kepentingan keadilan saya tangguhkan perbicaraan. Saya juga perlukan fikiran yang tenteram. Kita berehat dan datang esok.''

Sejurus selepas Hakim Augustine membuat keputusannya, galeri awam diselubungi suara-suara yang mengulas hukuman ke atas Zainur.

Menyedari keadaan itu, Hakim segera mengingatkan bahawa semua pihak termasuk orang awam tidak dibenarkan mengulas mengenai kes tersebut.

Hakim Augustine: ''Ini bukanlah pawagam, sesiapa yang kurang sopan akan diarah keluar.''

Kemuncak suasana tegang dalam mahkamah hari ini berlaku apabila Hakim Augustine memutuskan bahawa permohonan itu tidak berasas lalu mengarahkan Zainur sebagai peguam cara kepada Anwar untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan Zainur, Hakim Augustine memutuskan untuk mengenakan tindakan penghinaan terhadap peguam itu tetapi beliau menangguhkan sidang kira-kira 30 minit untuk memberi peluang kepada Zainur memikirkan soal memohon maaf.

Apabila bersidang semula, Hakim Augustine menyoal peguam itu sama ada beliau bersedia memohon maaf.

Zainur: ''Saya telah membuat keputusan bahawa saya tidak dapat membuat permohonan maaf.''

Hakim Augustine: ''Baiklah.''

Selepas membaca tuduhan terhadap Zainur, Hakim Augustine memerintahkan peguam itu tampil ke kandang saksi dan sekali lagi diberi peluang untuk menyatakan sebab mengapa dia tidak boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Raja Aziz segera memaklumkan bahawa beliau mewakili Zainur bersama peguam-peguam, Sulaiman Abdullah, Christopher Fernando, Gurbachan Singh, Pawancheek Marican, Kamar Ainiah Kamaruzaman, S.N. Nair dan Zulkifli Nordin.

Menurut Raja Aziz, kejadian pagi ini adalah mengenai fakta yang dikemukakan dalam afidavit yang didakwa mengandungi skandal berhubung pertemuan Manjeet yang dinyatakan dalam kenyataan bersumpahnya.

Hakim Augustine: ''Itu saya tidak nafikan. Semua dokumen itu adalah benar hanya di perenggan empat.''

Raja Aziz: ''Kami juga harus diberikan masa untuk pembelaan dan ini berbentuk kesalahan jenayah. Jadi Zainur perlu diberi masa untuk membela dirinya. Saya faham bahawa perbicaraan kes ini terganggu, Yang Arif, tetapi seperti juga tertuduh, Zainur harus diberi peluang menyediakan pembelaan.''

Raja Aziz kemudian memohon masa sehari dua bagi menyediakan pembelaan untuk Zainur.

Pada peringkat itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang hadir sebagai responden dalam permohonan Anwar bangun menyatakan pandangannya bahawa prosiding menghina mahkamah diputuskan oleh hakim sendiri dan beliau hanya bersuara jika dijemput sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Sahabat mahkamah yang dimaksudkan ialah seseorang peguam yang membantu mahkamah dengan mengemukakan hujah-hujah yang menyokong sesuatu perkara (umpamanya berkaitan kepentingan umum) yang mungkin tidak dihujahkan secukupnya oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perbicaraan atau berhujah bagi pihak yang tidak diwakili.

Hakim Augustine: ''Kami menjemput anda.''

Lalu Mohtar berkata, perbuatan menghina mahkamah itu tidak berlaku di luar seperti di Parlimen atau sebagainya untuk diambil tindakan. Apabila ia berlaku dalam mahkamah, tindakan segera boleh diambil.

''Apa yang dilakukan oleh Zainur telah menjejaskan integriti perbicaraan. Tidak ada prosedur yang spesifik dalam prosiding menghina mahkamah. Oleh itu Zainur harus dipanggil untuk menjelaskan sebabnya,'' ujar Mohtar.

Selepas Raja Aziz berhujah panjang lebar membalas hujah Mohtar itu, Hakim Augustine menolak permintaan Zainur lalu mengarahkan dia tampil ke kandang saksi.

Zainur: ''Kami minta satu atau dua hari sahaja untuk berbincang.''

Hakim Augustine: ''Prosiding menghina mahkamah diambil apabila mahkamah merasa tersinggung. Tetapi bagi kepentingan keadilan, saya mesti menyelesaikan perkara ini dengan segera.''

Raja Aziz: ''Sebelum prosiding, siapakah pihak-pihak yang terbabit dalam kes ini.''

Hakim Augustine: ''Terhadap Zainur?''

Raja Aziz: ''Apakah peranan Peguam Negara.''

Hakim Augustine: ''Beliau (Mohtar) boleh duduk di situ.''

Raja Aziz: ''Biarlah saya hujah mengenai perkara tunjuk sebab.''

Hakim Augustine: ''Kamu sendiri ingin melakukan perbuatan menghina mahkamah? Saya sudah jelaskan tadi.''

Raja Aziz: ''Saya tidak bermaksud untuk memberikan makna tunjuk sebab. Saya hanya berhujah untuk Zainur sama ada dia harus tunjuk sebab.''

Pada pertengahan hujah Raja Aziz, Hakim Augustine menegur peguam bela itu sambil menyatakan bahawa beliau terkeluar daripada maksudnya.

Raja Aziz: ''Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk membuat tawar-menawar pengakuan. Jika hendak mengesahkannya panggillah Manjeet.''

Hakim Augustine lalu meminta Zainur tampil lagi ke kandang saksi.

Hakim Augustine: ''Zainur mahu menyatakan tunjuk sebab sambil berdiri di meja peguam. Kalau itulah caranya, saya tidak pernah menggunakan kuasa saya. Saya suka peguam, mereka adalah sebahagian daripada mahkamah. Sekiranya dia mahu beri keterangan di sana, maka saya tidak teragak-agak mengeluarkan waran tangkap untuk meletakkan dia di kandang saksi.''

Raja Aziz cuba berhujah lagi.

Hakim Augustine: ''Saya tidak menggunakan kuasa saya. Perbuatan menghina mahkamah sepatutnya ditangkap dan kemudian dimasukkan ke dalam lokap. Saya tidak mahu buat demikian. Saya tidak mahu memalukan peguam yang sudah kanan. Tapi saya masih tidak mengeluarkan perintah waran tangkap.''

Raja Aziz: ''Zainur ingin menyatakan tunjuk sebab di meja peguam.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan kerana ia tidak dibuat dengan mengangkat sumpah.''

Raja Aziz: ''Bolehkah kita tangguh sebentar.''

Sebelum sidang dibenarkan tangguh 15 minit pada kira-kira pukul 12 tengah hari, Hakim Augustine meminta Raja Aziz merujuk keputusan Hakim Ali (beliau tidak ada nas tersebut) mengenai huraian prosiding menghina mahkamah.

Sebaik sahaja mahkamah bersidang semula pada pukul 12.15 tengah hari, Raja Aziz menyatakan bahawa Peguam Negara berada di mahkamah sebagai amicus curiae dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Dr. C.V. Das kini hadir bagi pihak Majlis Peguam untuk memohon menjadi amicus curiae sebagai peguam pemerhati kerana ia melibatkan peguam bela dan peguam cara.

Hakim Augustine: ''Saya tidak benarkan. Tapi beliau boleh duduk dan memerhati.''

Akhirnya, Zainur tampil ke kandang saksi dan mengangkat sumpah untuk memberi keterangan tunjuk sebabnya.

Hakim Augustine: ''Kamu boleh kata apa yang kamu mahu.''

Raja Aziz: ''Zainur, kenapakah kamu memfailkan permohonan ini.''

Zainur: ''Yang Arif, permohonan ini difailkan atas arahan anak guam saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya lakukannya demi melaksanakan kewajipan profesion saya.''

Raja Aziz: ''Tolong beritahu saya tentang kewajipan profesion kamu?''

Zainur: ''Kewajipan sebagai peguam bela dan peguam cara bukanlah hanya terdapat dalam Common Law tetapi dalam kes kita ini, dalam Akta Profesion Guaman dan kalau saya tidak silap Seksyen 42 yang memerlukan peguam bela dan peguam cara menegakkan keadilan tanpa gentar dan memihak.''

Raja Aziz: ''Itukah objektif kamu memfailkan permohonan ini?''

Zainur: ''Ya.''

Raja Aziz kemudian dibenarkan berhujah selepas Zainur memberi keterangannya. Bagaimanapun, Hakim Augustine memutuskan bahawa Zainur bersalah dan memberi peluang kepada peguam itu untuk merayu hukuman ringan.

Zainur: ''Yang Arif, saya ingin mulakan bahawa saya tidak berniat untuk menghina mahkamah. Permohonan ini dikemukakan selepas pihak pembela mengadakan perbincangan. Demi kepentingan keadilan perkara ini dibawa ke hadapan mahkamah.''

Hakim Augustine: ''Saya bertanya lagi, adakah kamu ingin memohon maaf seperti yang saya nyatakan?''

Zianur: ''Yang Arif, jika saya diizin untuk merujuk...''

Hakim Augustine: ''Adakah kamu hendak memohon maaf.''

Zainur hanya menyatakan beliau ingin merujuk sesuatu.

Hakim Augustine: ''Ini membuang masa. Saya tanya adakah kamu hendak memohon maaf tanpa syarat kepada Peguam Negara, Gani dan Azahar, jawab, ya atau tidak.''

Zainur: ''Saya kesal kerana tidak dapat berbuat demikian.''

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Daim tidak terlibat tulis surat - Saksi


PEGUAM bela Anwar Ibrahim, (dari kiri) S.N. Nair, Christopher Fernando dan Gurbachan Singh berbincang sesuatu ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhenti rehat seketika, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob dan isterinya, Ziela Jalil serta Dr. Ristina Majid tidak terlibat dalam penulisan dan pengedaran surat yang mengandungi dakwaan salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (ID14).

Saksi pendakwa ke-11, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus berkata, berdasarkan kandungan surat Ummi Hafilda Mohd. Ali kepada Perdana Menteri (ID18), Daim tidak memanggil wanita itu dan Ziela ke pejabatnya sebaliknya mereka yang pergi menemui beliau.

''Menurut kandungan surat Ummi, pada pertemuan itu, Daim hanya menasihatkannya agar laporan itu dibuat secara hitam putih sebelum diajukan kepada Perdana Menteri,'' jelas Amir.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul pada sesi pemeriksaan semula perbicaraan hari ke-17 kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Gani mula mengemukakan soalan-soalannya pada jam 3.50 petang ini setelah Gurbachan Singh, salah seorang daripada sembilan peguam bela Anwar selesai menyoal balas saksi tersebut.

Gani: ''Sila baca perenggan ketiga muka surat 1, muka surat 2 dan muka surat 3 ID18.''

(Antara lain, Ummi memaklumkan tujuan beliau menghantar ID18 kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan pertimbangan berhubung salah laku Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Ummi, beliau merujuk perkara itu kepada Ziela dan Dr. Ristina lalu Ziela memaklumkannya kepada Megat Junid yang kemudian meminta dia membuat kenyataan bertulis.

Setelah saksi selesai membaca, Gani kemudian menyoal: ''Adakah ia menunjukkan Megat Junid, Ziela dan Dr. Ristina mereka dakwaan terhadap Anwar?''

Amir: ''Mengikut kandungan ini, mereka tidak terlibat.''

Gani: ''Adakah ID18 menunjukkan mereka terlibat mengedar ID14?''

Amir: ''Tidak.''

Gani kemudian membaca kandungan surat itu seterusnya yang menyebut Megat Junid merujukkan perkara mengenai dakwaan salah laku seks Anwar kepada Daim kerana beliau orang yang paling rapat dengan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Lalu Gani bertanya: ''Ummi dan Ziela bertemu Daim di pejabatnya. Daim panggil mereka atau mereka yang pergi menemui beliau?''

Amir: ''Ummi dan Ziela yang pergi ke pejabat Daim pada awal bulan Ogos 1997.''

Gani: ''Mengikut ID18, adakah bukti yang menyebut Daim terlibat dalam penulisan atau pengedaran ID14?''

Amir: ''Tidak, Daim hanya nasihatkan Ummi agar membuat laporan secara hitam putih sebelum ajukan pada Perdana Menteri.''

Sewaktu mahkamah menyambung perbicaraan pada pukul 2.20 petang ini, Amir telah disoal balas bertubi-tubi oleh Gurbachan.

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa tertuduh hanya meminta siasatan dijalankan untuk menentukan kebenaran (ID14)?''

Amir: ''Tertuduh mulai 12 Ogos 1997, telah mengarahkan SP1 (bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang) dan saya untuk mengesan Ummi dan Azizan serta mencungkil maklumat-maklumat tentang kenapa mereka membuat dakwaan-dakwaan itu terhadapnya.''

Gurbachan: ''Adakah dia menyuruh kamu siasat siapa dalang di sebalik penulisan ID14?''

Amir: ''Tertuduh minta cungkil maklumat dan kenapa Ummi serta Azizan membuat dakwaan tersebut.''

Gurbachan: ''Untuk mengetahui siapa di belakangnya?''

Amir: ''Hanya untuk mengetahui mengapa mereka menulis surat-surat itu.''

Gurbachan: ''Saya kata, tertuduh langsung tidak memberi apa-apa arahan.''

Amir: ''Tidak setuju.''

Gurbachan: ''Saya katakan pada kamu, tertuduh minta Cawangan Khas menyiasat secara menyeluruh.''

Amir: ''Tertuduh mengarahkan kami untuk mengesan Ummi dan Azizan serta mendapatkan maklumat-maklumat itu, bukan untuk menyiasat secara menyeluruh.''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa untuk mendapatkan maklumat-maklumat itu mesti melalui siasatan?''

Amir: ''Ya, saya setuju.''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak bahawa melalui siasatan maklumat diperoleh?''

Amir: ''Sebelum dapat maklumat, tertuduh dinasihatkan untuk membuat laporan polis...''

Gurbachan: ''Jawab dulu soalan saya, melalui siasatan maklumat diperoleh?''

Amir: ''Tangkapan dibuat, soal siasat dijalankan, barulah kita dapat maklumat tetapi...''

Gurbachan: ''Bersetuju atau tidak dari semasa ke semasa, Cawangan Khas memberi taklimat kepada tertuduh mengenai perkembangan siasatan untuk mendapatkan maklumat-maklumat?''

Amir: ''Ya, saya setuju.''

Gurbachan: ''Dan maklumat-maklumat didapati?''

Amir: ''Ya, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Saya katakan kepada kamu, kebanyakan temu janji antara Cawangan Khas dengan tertuduh dibuat melalui juruiring, Penolong Penguasa Zull Aznam dan Setiausaha Sulit tertuduh, Azmin Mohd. Ali.''

Amir: ''SP1 dan saya dipanggil oleh tertuduh melalui Zull Aznam dan pertemuan itu bukan diaturkan oleh Cawangan Khas.''

Gurbachan kemudian mengalih soalannya untuk mengetahui sama ada Ketua Polis Negara (IGP) tidak menyetujui atau membantah semua tindakan Cawangan Khas.

Amir: ''Dari semasa ke semasa, SP1 memberi taklimat mengenai operasi ini...saya tak dapat jawab sebab taklimat akhir-akhirnya diberi oleh SP1.''

Gurbachan: ''Adakah SP1 beritahu kamu bahawa IGP tidak menyetujui tindakan Cawangan Khas?''

Amir: ''SP1 tidak pernah bagi tahu saya mengenainya.''

Tindakan Gurbachan membelek-belek notanya membuatkan Hakim Augustine tertunggu-tunggu soalan seterusnya.

Lalu beliau menegur: ''Apa yang kamu tengok? Kalau nak cari nota catatan, kamu boleh dapatkan daripada para pembantu di barisan belakang kamu.''

Gurbachan: ''Maafkan saya, Yang Arif.

''Saya katakan, setelah siasatan dijalankan, Cawangan Khas memberi taklimat kepada tertuduh bahawa tuduhan-tuduhan itu adalah konspirasi politik dan Ummi serta Azizan telah diminta menarik balik tuduhan.''

Amir: ''Saya tidak setuju.''

Gurbachan sekali lagi menukar topik soalannya.

Katanya: ''Pada masa Dr. Munawar Ahmad Anees ditangkap, adakah kamu masih bertugas?''

Belum sempat Amir menjawab, Hakim Augustine mempersoalkan apakah soalan tersebut relevan dengan kes yang sedang didengarnya.

Gurbachan kemudian menjelaskan: ''Soalan dan jawapan mengenai perkara ini relevan kepada kes pembelaan kami. Terdapat keterangan yang sengaja diada-adakan dan ia adalah sebahagian daripada konspirasi.''

Amir: ''Tangkapan ke atas Dr. Munawar dibuat pada 14 September 1998 dan ketika itu saya berada di Sabah.''

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Amir nafi kecewa tidak dapat ekuiti

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak kecewa kerana tidak mendapat ekuiti dalam firma sekuriti di Sabah sebelum bersara daripada jawatannya.

Amir berkata, beliau cuba membantu kawan yang juga sebenarnya kawan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan ekuiti itu.

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando bertanya siapakah kawan itu?

Amir: ''Kalau saya tidak silap, Datuk Salleh Keruak.

Beliau juga berkata ada seorang lagi yang bernama Hamdan.

Fernando: ''Tolong jawab soalan saya, adakah orang yang bernama Lau Thiam Hock?''

Amir: ''Saya setuju bahawa saya memperkenalkan Lau Thiam Hock kepada tertuduh (Anwar).''

Fernando: ''Dan kamu juga mahu beberapa ekuiti dalam firma sekuriti di Sabah?''

Amir: ''Tidak, saya tidak diberi apa-apa.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Cakaplah.''

Amir: ''Saya meluahkan perasaan saya untuk mendapat sebahagian daripada ekuiti itu dalam satu firma sekuriti tetapi saya tidak mendapat apa-apa.''

Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-11 pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan yang masuk hari ke-17 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Seterusnya Fernando menyoal: ''Jadi adakah kamu merasa kecewa?''

Amir: ''Tidak.''

Fernando: ''Datuk Amir, kamu membuat perniagaan sampingan?''

Amir: ''Saya tidak melakukan sebarang perniagaan.''

Fernando sambil menggunakan bahasa kiasan berkata: ''Usaha kamu memenuhi hasrat kamu dengan tertuduh tidak berjaya.''

Amir: ''Bagi saya Yang Arif, saya menolong kawan saya, bukan saya kecewa seperti yang dikatakan oleh peguam bela.''

Fernando: ''Saya katakan kamu kecewa dan marah kepada orang lain.''

Amir: ''Saya tidak bersetuju.''

Fernando: ''Saya katakan kamu membawa Thiam Hock sebanyak tiga kali ke rumah Anwar.''

Amir: ''Ya, saya setuju saya ada membawa Lau Thiam Hock ke rumah tertuduh sebanyak tiga kali di atas persetujuan tertuduh.''

Fernando: ''Saya katakan kamu membawanya tiga kali ke rumah Anwar dan memalukannya, dan akhirnya tertuduh kata berhenti bawa dia ke rumahnya.''

Amir: ''Saya tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa saya telah memalukan Datuk Seri Anwar kerana membawa Lau Thiam Hock ke rumahnya.''

Fernando: ''Jadi kamu tidak mendapat apa-apa daripada firma sekuriti. Adakah kamu mendapat apa-apa daripada Lau Thiam Hock?''

Amir: ''Saya tidak mendapat apa-apa daripada Lau Thiam Hock.''

Fernando: ''Kamu beritahu beliau (Anwar) bahawa kamu telah berkhidmat dengan Cawangan Khas sepanjang hayat dan tidak ada wang.''

Amir: ''Ini rekaan semata-mata. Saya tidak setuju bahawa saya ada mengatakan kepada tertuduh saya berkhidmat dengan Cawangan Khas sepanjang hayat tapi tidak ada wang.''

Fernando: ''Bagi membalasnya, kamu marah dan kecewa.''

Amir: ''Tidak, saya tidak bersetuju.''

Fernando: ''Sekarang saya katakan kamu masih berdendam dan sebab itu kamu datang ke mahkamah.''

Amir: ''Yang Arif, saya tidak mempunyai niat sedemikian.''

Fernando: ''Saya katakan kamu menokok tambah keterangan dan keterangan itu diberikan dengan perasaan dendam?''

Amir: ''Apa-apa keterangan yang saya beri dalam kes ini adalah mengikut kejadian-kejadian yang berlaku.''

Terdahulu, Fernando bertanya: ''Adakah kamu kenal lelaki bernama Azmin Ali.''

Amir: ''Saya kenal Azmin Ali.''

Fernando: ''Adakah kamu berjumpa dengan Azmin Ali sebanyak dua kali untuk meminta beliau bercakap dengan Datuk Seri Anwar bagi mendapatkan beberapa projek perniagaan kerana kamu akan bersara?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah.

Gani: ''Saya tidak faham apakah kaitannya?''

Hakim Augustine: ''Saya fikir ia ada kaitan jika ia perkara benar.''

Amir: ''Yang Arif, ini saya tidak bersetuju sama sekali bahawa saya ada berjumpa Encik Azmin bercakap tentang projek perniagaan untuk saya.''

Fernando: ''Saya katakan kamu berjumpa dengan Azmin dan Azmin beritahu kamu bahawa bosnya seorang yang tegas dan kamu mesti melalui saluran yang betul.''

Amir: ''Saya ulang sekali lagi bahawa saya tidak pernah meminta apa-apa projek melalui Azmin.''

Fernando: ''Kita pergi kepada soalan lain. Saya katakan bahawa Azmin beritahu kamu jika tidak percaya, kamu boleh jumpa bosnya sendiri.''

Amir: ''Yang Arif, ini ialah semata-mata membohong. Saya tidak pernah berjumpa Azmin untuk meminta perkara begitu.''

Fernando: ''Saya katakan kamu memang ada melakukannya. Saya ulang soalan. Dan jika kamu tidak percaya kamu boleh jumpa sendiri dan kamu memang berjumpanya.''

Amir: ''Melalui Azmin? Saya tidak pernah sekali-kali memohon apa-apa projek.

Fernando: ''Tolong jawab soalan saya. Beliau kemudian berjumpa tertuduh untuk projek perniagaan.''

Amir: ''Saya ada jumpa tertuduh tetapi bukan melalui Azmin.''

Fernando: ''Adakah kamu berjumpa Anwar?''

Amir: ''Ya, saya memang ada jumpa Anwar.''

Fernando: ''Adakah kamu meminta pertolongan untuk beberapa projek perniagaan kerana kamu akan bersara.''

Amir: ''Saya bersetuju bahawa saya memperkenalkan seorang kawan kepada Anwar berhubung hal perniagaan.''

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Tidak tahu surat ditulis menjelang Perhimpunan UMNO

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Saksi pendakwa ke-11, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu surat Ummi Hafilda Ali bertarikh 5 Ogos mengenai dakwaan perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim ditulis menjelang Perhimpunan Agung UMNO 1997.

Fernando: ''Saya katakan surat itu amat penting kerana ia bertepatan dengan Perhimpunan Agung UMNO.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya kenapakah timbulkan Perhimpunan Agung UMNO.

Amir: ''Selalunya Perhimpunan Agung UMNO, jikalau saya tidak silap pada bulan November.''

Fernando: ''Saya katakan Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada bulan September 1997.''

Amir: ''Saya tidak tahu perhimpunan dibuat pada September 1997.

Fernando: ''Itu bukan soalan saya, surat ini ditulis dan disebarkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO.''

Amir mengulangi bahawa beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Fernando: ''Ini ditulis pada 5 Ogos dan disebarkan pada September.''

Hakim Augustine melarang peguam bela Anwar itu meneruskan soalannya dan menyatakan isu itu boleh ditimbulkan dalam penghujahannya.

Fernando: ''Baiklah, seperti juga buku 50 Dalil ditulis dan diedarkan sebelum Perhimpunan Agung.''

Amir: ''Ya, Yang Arif, buku itu telah disebarkan sejurus sebelum Perhimpunan Agung UMNO 1998.''

Amir memberitahu demikian ketika menjawab soalan balas pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-17 hari ini.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Manjeet dibawa ke mahkamah hari ini

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Peguam bela Datuk S.Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon akan dibawa ke hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul, di Mahkamah Tinggi esok untuk memberi tunjuk sebab mengapa tindakan menghina mahkamah tidak harus diambil terhadapnya.

Utusan difahamkan Manjeet akan dibawa menemui Hakim Augustine oleh peguamnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Manjeet untuk hadir memberi sebab mengapa tindakan mahkamah tidak harus diambil ke atasnya berikutan pendedahannya mengenai tawaran pengakuan oleh Jabatan Peguam Negara kepada anak guamnya, Nallakaruppan.

Hakim Augustine ketika memutuskan demikian mahu Manjeet dibawa ke mahkamah secepat mungkin.

Sementara itu, tiada pengesahan mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa Manjeet telah ditahan oleh pihak polis hari ini.

Pihak polis ketika dihubungi menafikan perkara tersebut manakala keluarganya enggan memberi sebarang kenyataan.

Difahamkan, Manjeet hari ini berada di luar ibu negara.

----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Azizan bersumpah mengaku diliwat Anwar

KUALA LUMPUR, 2 Dis _ Azizan Abu Bakar mengaku di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali di hotel-hotel mewah sekitar Petaling Jaya walaupun beliau telah cuba menolak permintaan bekas timbalan perdana menteri itu.

Azizan, 38, pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Ismail, ketika kejadian itu pada 1992, berkata perbuatan liwat itu dilakukan antaranya di PJ Hilton, Hyatt Saujana dan Holiday Villa.

''Perbuatan terkutuk ini dilakukan tanpa kerelaan saya serta tanpa pengetahuan umum dan Wan Azizah,'' katanya pada siasatan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail pada perbicaraan hari ke-18 Anwar.

Anwar, 51, yang juga bekas menteri kewangan, menghadapi empat tuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Azizan, yang kini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pentadbiran syarikat Destine Trading di Alor Gajah, Melaka, menjadi pemandu Wan Azizah dari awal Ogos 1989 hingga September 1992. Anwar ketika itu ialah Menteri Pendidikan.

Semasa disoal Gani, Azizan berkata: ''Pada awal saya disoal siasat polis, saya ada memberitahu DSP Mazlan Mohd Din bahawa apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpah saya adalah benar sambil bersumpah dengan nama Allah dan memegang surah Yasin sekiranya saya berbohong maka saya akan dilaknati Allah.''

Katanya, pada malam 17 Ogos 1997 beliau berada di rumah Dr Ristina Majid di 56, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, bersama Ummi Hafilda Ali, Dr Ristina, dua orang anak dan pembantu rumah Dr Ristina sebelum ditangkap polis pada kira-kira pukul 11 malam hari itu.

Katanya, Ummi Hafilda ialah adik ipar Shamsidar Taharin manakala Dr Ristina, kawan Ummi. Azizan menjadi pemandu Shamsidar pada awal 1996.

''Semasa saya ditangkap bersama Ummi oleh polis, saya telah dimaklumkan bahawa ia berkenaan dengan pengakuan bersumpah yang saya tandatangani dan bersifat hasutan.

Gani kemudian menunjukkan surat pengakuan bersumpah itu kepada Azizan yang mengaku tanda tangan dan nombor kad pengenalan pada surat itu sebagai miliknya. Surat pengakuan bersumpah itu kemudian ditanda sebagai bahan kes.

Dalam surat itu yang dibacakan oleh Azizan, saksi ke-12 pendakwaan, beliau antara lain menulis:

''Saya telah menjadi mangsa hubungan sejenis iaitu homoseksual dengan Anwar yang kini memangku jawatan Perdana Menteri. Perbuatan terkutuk ini telah dilakukan beberapa kali sekitar 1992 tanpa kerelaan saya. Ianya kerap berlaku di hotel-hotel mewah, PJ Hilton, Hyatt Saujana dan Holiday Villa tanpa pengetahuan umum dan isterinya.

''Untuk makluman saya merupakan pemandu peribadi isterinya iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah. Sepanjang bekerja di bawah naungan beliau, Anwar, saya sering dipanggil untuk melakukan perkara terkutuk itu walaupun untuk beberapa kali saya cuba menolaknya. Sifat rakusnya membayangkan beliau seorang yang boleh dikategorikan sebagai ''chronic'' sehingga membuatkan jiwa dan mental saya begitu tertekan.

''Saya mengaku apa yang ditulis dalam surat pengakuan bersumpah ini adalah semuanya betul belaka.

Azizan, yang kini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pentadbiran syarikat Destine Trading di Alor Gajah, Melaka, menjadi pemandu Wan Azizah dari awal Ogos 1989 hingga September 1992. Anwar ketika itu ialah Menteri Pendidikan.

Semasa disoal Gani, Azizan berkata: ''Pada awal saya disoal siasat polis, saya ada memberitahu DSP Mazlan Mohd Din bahawa apa yang terkandung dalam pengakuan bersumpah saya adalah benar sambil bersumpah dengan nama Allah dan memegang surah Yasin sekiranya saya berbohong maka saya akan dilaknati Allah.''

Katanya, pada malam 17 Ogos 1997 beliau berada di rumah Dr Ristina Majid di 56, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, bersama Ummi Hafilda Ali, Dr Ristina, dua orang anak dan pembantu rumah Dr Ristina sebelum ditangkap polis pada kira-kira pukul 11 malam hari itu.

Katanya, Ummi Hafilda ialah adik ipar Shamsidar Taharin manakala Dr Ristina, kawan Ummi. Azizan menjadi pemandu Shamsidar pada awal 1996.

''Semasa saya ditangkap bersama Ummi oleh polis, saya telah dimaklumkan bahawa ia berkenaan dengan pengakuan bersumpah yang saya tandatangani dan bersifat hasutan.

Gani kemudian menunjukkan surat pengakuan bersumpah itu kepada Azizan yang mengaku tanda tangan dan nombor kad pengenalan pada surat itu sebagai miliknya. Surat pengakuan bersumpah itu kemudian ditanda sebagai bahan kes.

Dalam surat itu yang dibacakan oleh Azizan, saksi ke-12 pendakwaan, beliau antara lain menulis:

''Saya telah menjadi mangsa hubungan sejenis iaitu homoseksual dengan Anwar yang kini memangku jawatan Perdana Menteri. Perbuatan terkutuk ini telah dilakukan beberapa kali sekitar 1992 tanpa kerelaan saya. Ianya kerap berlaku di hotel-hotel mewah, PJ Hilton, Hyatt Saujana dan Holiday Villa tanpa pengetahuan umum dan isterinya.

''Untuk makluman saya merupakan pemandu peribadi isterinya iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah. Sepanjang bekerja di bawah naungan beliau, Anwar, saya sering dipanggil untuk melakukan perkara terkutuk itu walaupun untuk beberapa kali saya cuba menolaknya. Sifat rakusnya membayangkan beliau seorang yang boleh dikategorikan sebagai ''chronic'' sehingga membuatkan jiwa dan mental saya begitu tertekan.

''Saya mengaku apa yang ditulis dalam surat pengakuan bersumpah ini adalah semuanya betul belaka.

''Perasaan bersalah akhirnya menguasai diri saya apabila setiap kali terpandang wajah Datin Seri Wan Azizah 'yang begitu tinggi akhlaknya'. Akhirnya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti dari terus menjadi hamba homoseksual Anwar bin Ibrahim,'' kata Azizan, saksi ke-12 pendakwaan.

Wan Azizah, yang menundukkan mukanya sepanjang Azizan membaca kenyataan pengakuan itu, telah mengangkat mukanya apabila namanya disebut oleh Azizan.

Kenyataan pengakuan bersumpah Azizan, yang dibacanya sendiri dengan nada penuh yakin, menyebut bahawa beliau tidak keberatan untuk dipanggil bagi menjelaskan kedudukan perkara itu dengan lebih terperinci.

''Dengan nama Allah, sekali lagi saya, Azizan bin Abu Bakar, bersumpah bahawa segala laporan di atas dibuat dengan kerelaan hati saya tanpa desakan, tuntutan dan tekanan dari pihak-pihak tertentu,'' katanya semasa mengakhiri pembacaan pengakuan bersumpah.

Semasa disoal Abdul Gani sama ada kandungan pengakuan bersumpahnya itu benar, Azizan berkata: '' Saya mengaku apa yang ditulis dalam surat pengakuan bersumpah ini adalah semuanya betul belaka.''

Azizan, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau turut disoal siasat oleh tiga pegawai polis termasuk DSP Abdul Aziz Hussin, berkata selepas disoal siasat beliau diminta membuat satu surat penafian bahawa beliau diliwat Anwar yang dialamatkan kepada Perdana Menteri.

Menurutnya sebelum itu, beliau telah disoal siasat secara berterusan dengan kasar dan ''bertalu-talu tanpa henti''.

''DSP Aziz juga meminta saya menunjukkan bukti yang saya telah diliwat oleh tertuduh,'' katanya.

Sebelum itu, Azizan telah diminta mengecam Anwar sama ada berada dalam mahkamah dan dengan tenang beliau menunjukkan ke arah Anwar yang berada di dalam kandang tertuduh.

Beliau kemudian diminta oleh Abdul Gani merujuk Anwar sebagai tertuduh.

Azizan berkata Aziz juga menyoalnya bagaimana kejadian liwat itu berlaku dan mengenai latar belakang dirinya.

Semasa Abdul Gani bertanya sama ada Azizan diugut, peguam Christopher Fernando membantah kerana ia merupakan soalan memimpin dan Hakim Paul bersetuju meminta beliau menyusun semula soalan.

Azizan kemudian menjelaskan bahawa Aziz menyoal siasatnya tanpa henti dengan nada suara yang tinggi memintanya menunjukkan bukti sekiranya ''tertuduh main buntut saya''.

''Beliau (Aziz) juga menyatakan bahawa sekiranya saya tidak dapat menunjukkan bukti, saya akan ditahan di bawah seksyen 117 (Kanun Acara Jenayah) selama 14 hari dan seterusnya ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun.

''Selepas Aziz katakan begitu kepada saya, saya menyatakan bahawa sekiranya saya seorang perempuan bolehlah dibuktikan dengan daranya tetapi saya lelaki, saya rasa susah untuk membuktikannya,'' kata Azizan.

Pada peringkat ini Anwar bercakap-cakap dengan peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Azizan berkata beliau mengeluh mendengar kata-kata Aziz kerana pengakuan bersumpahnya beliau akan ditahan di bawah ISA.

Gani: Ada Aziz kata apa-apa?

Azizan: Selepas jawapan saya itu, Aziz berkata ''Tahu pun''.

Katanya semasa Aziz berkata demikian, pegawai polis itu menghentak meja dengan kuat secara tiba-tiba dan menunjukkan jari ke mukanya (Azizan) dengan perwatakan yang amat garang dan menakutkan.

Pada peringkat ini, Abdul Gani memohon mahkamah menangguhkan keterangan saksi itu diteruskan pada sebelah petang kerana beliau akan menyentuh persoalan lain.

Azizan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tinggal di dua rumah iaitu di Taman Bersatu di Rawang yang didiami keluarganya dan Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah, Melaka.

Sebelum itu, beliau tinggal di Taman Beringin, Jinjang, di sini.

Azizan mula memberi keterangan pada pukul 11.35 pagi sehingga berhenti untuk rehat makan tengah hari pada pukul 12.30 tengah hari.

_ BERNAMA


-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 02/12/1998

Duit Anwar RM4j hilang -- Saksi: Tertuduh tidak mahu laporan polis dibuat

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa antara bulan Jun dan Julai 1996, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Norian Mai dan mengadu kehilangan wang RM4 juta dari sebuah bilik kecil di sebelah bilik tidur di rumahnya.

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus berkata, Anwar tidak mahu laporan polis dibuat berhubung kehilangan tersebut sebaliknya dia hanya meminta perkara itu disiasat dan arahan itu dipatuhi.

''Bagaimanapun apabila pegawai-pegawai Cawangan Khas hendak menyoal siasat para penghuni rumah tertuduh, kami diminta menghentikan siasatan,'' jelas Amir.

Saksi itu berkata, seramai lima atau enam orang pegawai Cawangan Khas menjalankan siasatan itu dan salah seorang daripada mereka ialah saksi pendakwa kedua, Timbalan Penguasa Polis Abdul Aziz Husin.

Amir memberitahu demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando pada perbicaraan kesnya yang masuk hari ke-17 hari ini.

Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Saksi pendakwa yang ke-11 itu menimbulkan perkara itu semasa memberi penjelasan bagi soalan Fernando sama ada beliau pernah memberitahu Anwar bahawa telefon di rumahnya dipasang alat perakam.

Ketika sidang bermula pada sesi pagi ini, Fernando mengimbas balik soalan yang dibangkit kepada saksi itu pada sesi perbicaraan Jumaat lalu.

Fernando mengulang soalannya: ''Terdahulu, apabila saya tanya, adakah kamu beritahu Anwar bahawa telefon rumahnya dipasang dengan alat perakam dan kamu kata, tidak boleh jawab soalan itu, kenapa kamu kata begitu?''

Amir: ''Yang Arif, saya ingin beri penjelasan, mengenai apa yang dikatakan oleh peguam bela bahawa telefon itu dipasang alat perakam pada 1996.''

Beliau menjelaskan, antara Jun atau Julai 1996, Anwar telah menghubungi Norian dan mengadu mengenai kehilangan wang di rumahnya.

Menurut Amir, Norian telah mengarahkan beliau bersama beberapa pegawai pergi ke rumah tertuduh dan berbincang dengannya mengenai kehilangan wang itu.

Amir: ''Kalau tak silap saya, RM4 juta.''

Mendengar jawapan saksi itu, beberapa anggota keluarga terdekat Anwar yang duduk di galeri awam kedengaran ketawa dan polis yang mengawal mahkamah segera menunjukkan isyarat kepada mereka agar tidak membuat bising.

Fernando: ''Saya rasa kamu telah terkeluar daripada maksud soalan saya. Kenapa kamu tidak katakan bahawa kamu tidak boleh jawab.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul yang sedang mencatatkan jawapan saksi itu bertanya Fernando: ''Mengapakah kamu tidak menghentikannya.''

Fernando: ''Beliau (Amir) terkeluar dari maksud soalan. Ini keterangan yang direka. Pada awalnya beliau kata tidak boleh jawab soalan kerana akta.''

Hakim Augustine: ''Biar saya teliti keterangannya yang dulu (sambil menyelak muka surat notanya), beliau tidak pernah menggunakan perkataan akta. (Hakim membaca jawapan saksi itu). Saya tidak boleh jawab soalan telefon dipasang alat perakam sejak 1996?''

Amir: ''Saya sedang beri penjelasan. Ia tahun 1995. Saya beritahu mengapa telefon dipasang alat perakam. Pada masa itu tahun 1996, saya tidak menyatakan telefon dipasang alat perakam atau tidak. Saya hendak menjelaskan kepada Yang Arif bahawa pada 1995 tertuduh telah memberi kebenaran untuk telefonnya dipasang alat perakam bagi mengesan siapa yang mencuri di rumahnya.''

Fernando: ''Saya katakan kamu bohong.''

Amir: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya bohong.''

Fernando: ''Saya katakan ini keterangan palsu yang baru.''

Amir: ''Saya tidak setuju ini adalah cerita yang baru saya reka.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, kamu yang beritahu tertuduh bahawa telefonnya dipasang alat perakam kerana beliau mempunyai banyak musuh politik.''

Amir: ''Saya tidak setuju bahawa saya memberitahu tertuduh demikian dan saya tidak menamakan sesiapa atau memberi amaran tentang mereka.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa kamu juga beritahu tertuduh (Anwar) bahawa Datuk Seri Rafidah Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka) sangat marah kepadanya kerana dia mencadangkan mereka didakwa atas tuduhan rasuah.''

Amir: ''Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memaklumkan demikian kepada tertuduh.

Fernando: ''Menurut Anwar, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memaklumkan kepadanya, dakwaan terhadap mereka adalah kukuh, adakah kamu bersetuju?''

Amir: ''Saya tidak setuju.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusoff Zainal Abiden bangun membantah soalan Fernando.

Yusof: ''Tiada kaitan dengan Rafidah dan Rahim. Fakta yang menyatakan mereka dicadangkan untuk didakwa tidak ada dalam keterangan di mahkamah ini.''

Hakim Augustine mencelah sambil menyatakan bahawa pihak pembela ingin menyatakan ia ada hubungan dengan konspirasi.

Yusof: ''Ia bukan bermotif politik.''

Hakim Augustine: ''Saya benarkan soalan ini diteruskan.''

Fernando: ''Ini dikaitkan balik apabila kamu menyatakan mengenai telefon dipasang alat perakam.''

Hakim Augustine: ''Ia sudah pun dicatatkan.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM dan KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Azizan kecewa diminta nafi diliwat


MANJEET Singh Dhillon (dua dari kanan) bersama peguam belanya, Jagjit Singh (tiga dari kanan) berbincang sesuatu bersama para peguam bela Anwar Ibrahim (dari kiri) S.N. Nair, Christopher Fernando, Raja Aziz Addruse dan Gurbachan Singh sebelum prosiding menghina mahkamah ke atasnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau merasa kecewa apabila diminta membuat kenyataan umum menafikan pernah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kejadian itu benar-benar berlaku ke atas dirinya.

Saksi pendakwa ke-12 itu berkata, beliau diminta berbuat demikian selepas dibawa ke Kelab Golf Titiwangsa oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Mazlan Mohd. Din (SP7) pada kira-kira pukul 8 malam 28 Ogos 1997.

''Saya diminta membuat kenyataan umum yang lebih baik bagi menafikan yang saya telah diliwat,'' kata Azizan menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Gani seterusnya menyoal: ''Apa maksud 'yang lebih baik'?''

Azizan: ''Yang lebih meyakinkan.''

Gani: ''Apa reaksi kamu?''

Azizan: ''Saya merasa kecewa kerana sememangnya saya telah diliwat.''

Gani: ''Diliwat oleh siapa?''

Azizan: ''Oleh tertuduh. Bagaimanapun, SP7 telah memujuk saya untuk membuat surat kenyataan umum.''

Gani: ''Apa SP7 kata kepada kamu?''

Azizan: ''SP7 terus pujuk agar saya membuat satu kenyataan umum lalu sayapun membuat kenyataan itu dan menandatanganinya dan serahkan kepada SP7. Saya kemudian diminta membuat sedikit pindaan bagi menafikan yang saya pernah membuat pengakuan bersumpah.''

Gani: ''Adakah kamu diminta tulis semula kenyataan umum itu?''

Azizan: ''Pada mulanya saya tidak bersetuju untuk tulis semula dengan pindaan-pindaannya. SP7 terus pujuk dan saya pun membuat apa yang disuruh setelah merasa takut dan tertekan.''

Gani: ''Adakah kamu menandatanganinya?''

Azizan: ''Ya.''

Gani kemudian meminta agar kenyataan umum itu ditandakan sebagai bahan bukti P19.

Saksi itu kemudian ditanya mengenai satu surat yang dibuatnya antara pukul 7.30 dan 8 malam 18 Ogos 1997.

Gani: ''Selepas kamu disoalsiasat dan disuruh oleh pegawai Cawangan Khas menulis surat memohon maaf, apa yang kamu buat?''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju kerana pengakuan bersumpah saya adalah benar bahawa saya diliwat oleh tertuduh. Sekiranya saya menarik balik, maka saya dianggap berbohong.''

Gani: ''Apa tujuan surat ini ditulis kepada Perdana Menteri?''

Azizan: ''Ia bertujuan menafikan bahawa saya telah diliwat oleh tertuduh.''

Gani: ''Apabila kamu kata tidak setuju, apa pegawai Cawangan Khas buat pada kamu?''

Azizan: ''Saya telah ditakutkan dan disoal bertalu-talu. Dan akhirnya setelah saya diberikan pen dan kertas, saya pun menulis surat yang diminta dan menandatanganinya.''

Selepas meminta dokumen itu ditandakan sebagai bahan bukti P17, Gani bertanya pada saksi: ''Adakah P17 dibuat atas kerelaan kamu sendiri?''

Azizan: ''Tidak, Yang Arif.''

Gani: ''Ada sesiapa bantu kamu menyediakan P17?''

Azizan: ''Saya dibantu oleh pegawai Cawangan Khas berkenaan penggunaan ayat dan saya sendiri membuat sedikit pindaan dari segi isi dan faktanya.''

Gani: ''Pada hari yang sama, selepas menyiapkan P17, adakah kamu dibawa jumpa Timbalan Penguasa Abdul Aziz Husin untuk menemui Anwar di kediamannya?''

Azizan: ''Ya.''

Gani: ''Sebelum pergi ke rumah Anwar, kepada siapa awak beri P17?''

Azizan: ''Saya serah pada SP7. Pertemuan di rumah tertuduh berlangsung di bilik bacaan dengan kehadiran saksi pendakwa pertama (SP1), bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan SP11, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus.

''Tiada sesiapa selain kami berempat. Anwar memarahi saya lalu saya pun meminta maaf kepadanya. Pada masa yang sama, saya nampak Amir menghulurkan kepada Anwar sampul yang tidak saya ketahui kandungannya.

''Selepas itu, saya telah dihantar pulang ke rumah saya di Rawang oleh Penolong Penguasa Zull Aznam Haron.''

Gani: ''Pada jam 11 pagi hari yang sama, apa berlaku?''.

Azizan: ''Penolong Penguasa Mazlan Mansor telah membawa saya pulang ke Rawang kerana beliau ingin membuat pemeriksaan ke atas rumah saya.''

Gani: ''Apabila beliau periksa, adakah beliau mengambil apa-apa dari rumah kamu?''

Azizan: ''Mazlan telah mengambil satu salinan pengakuan bersumpah yang saya tandatangani dan satu diari Institut Kefahaman Islam Malaysia.''

Kedua-dua dokumen itu kemudian dicamkan oleh saksi dan ditandakan sebagai bahan bukti P39 dan P40.

Perbicaraan bersambung esok.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Saya takut orang Anwar - Saksi

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Azizan Abu Bakar menandatangani satu akuan bersumpah menafikan diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat rasa takut kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan orang-orangnya.

Azizan, bekas pemandu isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyatakan demikian dalam satu laporan yang dibuat pada 16 September lalu di Balai Polis Dang Wangi di sini.

Kandungan laporan No.23372/98 itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul dan ditandakan sebagai bahan bukti P49 atas permohonan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Azizan kemudian diminta membaca kandungan penuh laporan polis itu:

''Pada awal Ogos 1998, setelah beberapa kali dihubungi oleh Mohd. Amin dan peguam Sukdev untuk menandatangani satu pengakuan bersumpah, saya telah pergi ke pejabat peguam Sukdev pada 10 Ogos 1998 jam 3 petang.

Apabila sampai di pejabatnya, peguam Sukdev telah menunjukkan satu pengakuan bersumpah yang disediakan olehnya.

Saya disuruh membaca isi kandungannya tetapi saya enggan menandatanganinya kerana pengakuan ini menunjukkan penafian saya terhadap kejadian meliwat yang berlaku ke atas diri saya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Sukdev telah ubah para 5 di surat pengakuan tersebut, saya masih enggan menandatanganinya tetapi selepas diberitahu dan difahamkan bahawa pengakuan ini hanya berkaitan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, saya dengan perasaan takut kepada Datuk Seri Anwar dan orang-orangnya, telah menandatangani pengakuan tersebut di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah di bilik 304, Tingkat 3, Wisma Ten Pen.''

Gani lalu menyoal: ''Adakah surat akuan bersumpah yang disebut di dalam laporan polis itu kamu tandatangani dengan sukarela?''

Azizan: ''Tidak.''

Salah seorang peguam bela Anwar, Gurbachan Singh segera bangun membantah soalan mengenai dokumen baru itu kerana menurut beliau isu sama ada ia ditulis atau ditandatangani oleh saksi secara sukarela atau sebaliknya hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.

Peguam bela itu juga berkata, asas persoalan mengenai kesukarelaan belum dibentangkan kerana pengakuan bersumpah itu sendiri belum dibuktikan dan tidak dikemukakan kepada mahkamah.

Mendengar bantahan itu, Gani bertanya Azizan, sama ada beliau mendapat salinan daripada pengakuan bersumpah yang ditandatanganinya, lalu jawab saksi itu: ''Tidak.''

Hakim Augustine pula bertanya kepada Gurbachan bagaimanapun perkara itu menjadi isu yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.

Gurbachan: ''Yang Arif, jika saksi membuat pengakuan bersumpah dan ia bertentangan dengan keterangannya di mahkamah, maka prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi boleh diambil.

''Oleh yang demikian, mahkamah perlu memutuskan soal kesukarelaan bagi tujuan mencabar kebolehpercayaan saksi itu.''

Hakim Augustine kemudian memutuskan: ''Isu kesukarelaan ditentukan kemudian apabila pihak pembela mengambil keputusan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi.''

Gani meneruskan soalannya: ''Apa sebabnya kamu membuat laporan polis?''

Azizan: ''Kerana saya rasa takut setelah dihubungi oleh Mohd. Amin dan Rahim King.''

Gani: ''Kenapa mereka hubungi kamu?''

Azizan: ''Kerana mereka mahu saya tandatangani surat pengakuan bersumpah yang mana saya ketahui mereka adalah orang-orang Anwar.''

Gani: ''Siapa Rahim King?''

Azizan: ''Rahim King adalah rakan Anwar.''

Saksi itu kemudian diminta mengecamkan Rahim King yang nama sebenarnya ialah Abdul Rahim Dhalan.

Gani kemudian memberitahu mahkamah bahawa Mohd. Amin telah hadir di mahkamah hari ini tetapi dibenarkan pulang kerana anaknya sakit dan beliau akan dicamkan esok.

Sebelum sidang mahkamah ditangguhkan, Augustine menasihatkan pihak pembela membuat kajian mengenai prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi andainya pihak berkenaan berhasrat meneruskan prosiding itu.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Amir: Teknik SB ubah pendirian

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak polis tidak mungkin dapat mengubah pendirian Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk menarik balik dakwaan perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa 24 jam tanpa menggunakan teknik Cawangan Khas (SB).

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus berkata demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Amir, 55, menyambung keterangan sebagai saksi pendakwa ke-11 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-18 hari ini.

Dalam satu soalan lain, Amir berkata, laporan mengenai semua operasi yang dijalankan oleh SB termasuk kes ini disimpan di dalam fail utama dan beliau membuat nota fail persendirian yang disimpan dalam 'library fail' mengenai pertemuannya dengan Anwar di kediamannya.

Mohd. Yusof bertanya mengenai nota fail yang ditanda P46 yang mengandungi catatan saksi itu mengenai pertemuan antara Azizan dan Anwar.

Amir memberitahu tertuduh menelefon beliau dan memaklumkan bahawa dia hendak datang ke pejabat SB untuk berjumpa Azizan tetapi beliau tidak membenarkannya.

Mohd. Yusof: ''Adakah itu sebab Azizan berjumpa tertuduh?''

Amir: ''Sebab itulah Azizan dibawa ke rumah tertuduh.''

Mohd. Yusof: ''Adakah benar tertuduh meminta untuk berjumpa dengan Azizan di pejabat SB?''

Amir: ''Yang Arif, memang benar tertuduh meminta untuk datang ke pejabat SB.''

Mohd. Yusof: ''Adakah benar fakta bahawa kamu tidak membenarkan pertemuan di pejabat SB dan Azizan dibawa ke rumah tertuduh?''

Amir menjawab bahawa itu adalah fakta benar.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Azizan pernah jadi pemandu Wan Azizah, Shamsidar

Pada 1996, katanya, beliau bekerja sebagai pemandu Shamsidar Taharin iaitu kakak ipar kepada Ummi Hafilda Ali dan mengenali suami Shamsidar iaitu Azmin Ali (bekas Setiausaha Sulit Anwar).

Azizan, 38, memberitahu bahawa beliau kini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pentabdiran Syarikat Destine Trading di Alor Gajah, Melaka.

Saksi itu menyatakan beliau mengenali Dr. Ristina Majid pada awal Ogos 1997 selepas diperkenalkan oleh Ummi Hafilda.

Azizan berkata, pada hari penangkapan beliau dan Ummi Hafilda di rumah Dr. Ristina, dua orang anak tuan rumah itu juga berada di rumah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Pengakuan Azizan -- 'Saya diliwat tanpa kerelaan'


AZIZAN Abu Bakar, saksi ke-12 pendakwa yang mula memberi keterangan pada perbicaraan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Azizan Abu Bakar mengaku di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa kerelaan dan bagaimana selepas itu dirinya dilanda perasaan bersalah setiap kali terpandang wajah isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ekoran kejadian itu, kata Azizan, beliau membuat pengakuan bersumpah bertarikh 5 Ogos tahun lalu dan semua kandungannya adalah benar belaka.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Abdul Gani Patail ketika membuat pemeriksaan utama pada perbicaraan tersebut yang masuk hari ke-18 meminta Azizan, 38, membaca sepenuhnya kandungan pengakuan bersumpahnya.

Azizan yang menjadi saksi pendakwa ke-12 membaca dokumen itu, yang merujuk Anwar sebagai memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri. Suasana mahkamah ketika itu senyap sepi. Dokumen itu berbunyi:

''Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, saya Azizan bin Abu Bakar IC 5980324 dengan ini membuat pengakuan bersumpah bahawa saya telah menjadi mangsa hubungan sejenis yakni homoseksual dengan Anwar bin Ibrahim yang kini memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Perbuatan terkutuk ini telah dilakukan untuk beberapa kali sekitar tahun 1992 tanpa kerelaan saya. Ia kerap berlaku di hotel-hotel mewah seperti PJ Hilton, Hyatt Saujana dan Holiday Villa tanpa pengetahuan umum dan isterinya.

Buat makluman, saya merupakan bekas pemandu peribadi kepada isterinya iaitu Datin Seri Wan Azizah.

Sepanjang bekerja di bawah naungan beliau, Anwar, saya sering dipanggil untuk melakukan perkara terkutuk itu walaupun untuk beberapa kali saya cuba menolaknya. Sifat rakusnya membayangkan beliau seorang yang boleh dikategorikan sebagai ''kronik'' sehingga membuatkan jiwa dan mental saya begitu tertekan.

Perasaan bersalah akhirnya menguasai diri saya apabila setiap kali terpandang wajah Datin Seri Wan Azizah yang begitu tinggi akhlaknya.

Akhirnya saya telah membuat keputusan untuk berhenti daripada terus menjadi hamba homoseksual kepada manusia yang saya kategorikan bersifat binatang iaitu Anwar bin Ibrahim.

Sekali lagi dengan nama Allah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya, saya bersumpah membuat pengakuan ini tanpa mempunyai niat atau motif tertentu sama ada secara peribadi mahupun politik untuk menjatuhkannya.

Pengakuan ini dibuat berdasarkan kesedaran dan keinginan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan insan-insan yang teraniaya seperti saya.

Saya tidak keberatan untuk dipanggil bagi menjelaskan kedudukan dengan lebih terperinci.

Akhir sekali saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil kira pandangan ini secara serius supaya pemimpin ini diberikan hukuman yang setimpal demi kebaikan dan pengajaran kepada pemimpin lain.

Dengan nama Allah, sekali lagi saya Azizan bin Abu Bakar bersumpah bahawa segala laporan di atas dibuat dengan kerelaan hati saya tanpa desakan, tuntutan dan tekanan daripada pihak-pihak tertentu. Segala-galanya adalah benar demi menyelamatkan bangsa dan negara.''

Bagaimanapun pada pukul 11 malam, 17 Ogos tahun lalu, katanya, beliau bersama penulis surat dakwaan perihal salah laku Anwar, Ummi Hafilda Ali ditangkap oleh polis ketika berada di rumah Dr. Ristina Majid, No. 56, Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya, Bangsar di sini.

''Saya dimaklumkan oleh polis yang menangkap saya, ia berkaitan pengakuan bersumpah yang saya tandatangani bersifat hasutan,'' kata Azizan.

Bagaimanapun, kata saksi itu, beliau disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman oleh sepasukan pegawai dari Cawangan Khas yang menyuruhnya supaya membuktikan dakwaannya.

Azizan, bekas pemandu Dr. Wan Azizah, isteri Anwar, kini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pentadbiran di Syarikat Destine Trading, Alor Gajah, Melaka.

Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada sesi pagi perbicaraan kes itu, Azizan menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh Gani.

Gani: ''Surat pengakuan bersumpah ini mengenai apa?''

Azizan: ''Mengenai saya diliwat oleh tertuduh (Anwar).''

Gani: ''Sekiranya saya menunjukkan pengakuan bersumpah yang kamu tandatangani adakah kamu cam?''

Azizan: ''Boleh.''

Gani: ''Yang Arif, saya mohon surat ID14c ditunjukkan kepada saksi. Adakah pengakuan bersumpah ditandatangani pada 5 Ogos 1997?''

Azizan: ''Benar.''

Gani: ''Di belakang tandatangan kamu itu, adakah nombor kad pengenalan kamu, No. 5980324.''

Azizan: ''Benar.''

Gani: ''Saya memohon ID14c ditandakan sebagai P14c bagi bahan bukti pendakwa. Azizan sila baca surat ini.''

Azizan dengan wajah yang tenang dan yakin kemudian membaca keseluruhan kandungan surat tersebut.

Suasana galeri awam mahkamah sepi seketika apabila semua hadirin menumpukan perhatian kepada apa yang dibaca oleh Azizan.

Gani: ''Azizan, adakah semua yang kamu tulis di P14c ini betul belaka?''

Azizan: ''Ya, semuanya betul belaka.''

Gani: ''Azizan, selepas kamu ditangkap pada 17 Ogos 1997 itu ke manakah kamu dibawa?''

Azizan: ''Saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.''

Gani: ''Adakah kamu tahu ke mana polis membawa Ummi?''

Azizan: ''Setahu saya, Ummi juga dibawa ke Bukit Aman.''

Gani: ''Seterusnya di Bukit Aman apa yang berlaku?''

Azizan: ''Saya telah disoal siasat oleh polis.''

Gani: ''Kamu kenal siapa yang menyoal siasat kamu?''

Azizan: ''Sekumpulan pegawai Cawangan Khas yang diketuai oleh orang yang memperkenalkan dirinya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan.'' (Mazlan Mohd. Din, saksi pendakwa ketujuh atau SP7).''

Gani: ''Selain ACP Mazlan, adakah pegawai lain yang menyoal siasat kamu?''

Azizan: ''Selain ACP Mazlan, saya diperkenalkan namanya DSP Aziz (Timbalan Penguasa Polis Abdul Aziz Hussin, SP2) dan dua lagi pegawai yang saya tidak tahu nama mereka.''

ACP Mazlan dan DSP Aziz kemudian dipanggil untuk dicamkan oleh Azizan.

Dalam keterangannya Azizan memberitahu bahawa beliau disoal siasat bersendirian dan Ummi berada di sebuah bilik yang lain.

Gani: ''Azizan, pada awal kamu disoal siasat, adakah apa-apa dimaklumkan berkaitan P14c yang telah kamu buat?''

Azizan: ''Saya maklumkan kepada ACP Mazlan bahawa kandungan P14c adalah benar sambil bersumpah dengan nama Allah dan memegang surah Yasin. Sekiranya saya berbohong maka saya akan dilaknati Allah.''

Gani: ''Selepas itu apa yang berlaku?''

Azizan: ''Pegawai soal siasat meminta saya membuat satu surat menafikan saya telah diliwat kepada Perdana Menteri.''

Gani: ''Azizan, sebelum kamu diminta menulis surat ini adakah kamu disoal siasat oleh pegawai-pegawai Cawangan Khas ini?''

Azizan: ''Ya, sebelum saya diminta menulis surat kepada Perdana Menteri, saya telah disoal siasat berterusan sehingga ke pagi.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah bagaimana mereka menyoal siasat kamu?''

Azizan: ''Saya telah disoal siasat dengan kasar bertalu-talu tanpa henti.''

Gani: ''Azizan, adakah DSP Aziz menyoal siasat kamu?''

Azizan: ''Ya, DSP Aziz menyoal siasat saya.''

Gani: ''Ada apa-apa yang dikatakan kepada kamu waktu dia menyoal siasat kamu?''

Azizan: ''SP2 menyuruh saya mengadakan bukti yang saya telah diliwat oleh tertuduh.''

Gani: ''Apa lagi yang dinyatakan kepada kamu?''

Azizan:''Dia bertanya bagaimana kejadian liwat itu berlaku dan mengenai latar belakang.''

Gani: ''Adakah DSP Aziz ini mengugut kamu?''

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando membantah dengan alasan soalan itu memesong saksi.

Bagaimanapun, Hakim Datuk S. Augustine Paul membenarkan Gani meneruskan soalannya.

Gani: ''Apakah DSP Aziz katakan kepada kamu?''

Azizan: ''Dia menyoal siasat saya dengan kasar, bertalu-talu tanpa henti dengan nada suara yang tinggi.''

Gani: ''Apa yang dikatakannya kepada kamu dengan nada yang tinggi?''

Azizan: ''DSP Aziz suruh saya mengadakan bukti sekiranya tertuduh 'main buntut' saya. Dia juga menyatakan sekiranya saya tidak mengadakan bukti saya akan ditahan di bawah Seksyen 117 (Kanun Prosedur Jenayah) sehingga 14 hari dan seterusnya akan ditahan 60 hari tanpa perbicaraan dan saya akan ditahan di bawah ISA selama dua tahun.''

Gani: ''Azizan, selepas DSP Aziz kata begitu adakah kamu menjawab?'

Azizan: ''Saya katakan sekiranya seorang perempuan bolehlah dibuktikan melalui daranya, saya lelaki, saya rasa susah untuk membuktikan dan saya juga mengeluh kerana pengakuan bersumpah saya maka saya akan ditahan di bawah ISA.''

Gani: ''Selepas kamu jawab begitu, ada DSP Aziz berkata apa-apa kepada kamu?''

Azizan: ''DSP Aziz kata 'tahu pun'.''

Gani: ''Apabila SP2 kata 'tahu pun' bagaimana cara dia menyatakan perkataan itu?''

Azizan: ''Tangan SP2 menghentakkan meja dan jarinya menunjukkan ke muka saya.''

Gani: ''Azizan, sila terangkan kepada mahkamah bagaimana perwatakan SP2 bila dia menyoal dengan menghentak meja dan menunjukkan jari kepada kamu?''

Azizan: '' Perwatakan SP2 sangat garang dan menakutkan saya. Dia menghentakkan tangannya dengan tiba-tiba tanpa saya sedari. Begitu juga dengan jarinya semasa menunjukkan ke muka saya.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Khairuddin buat laporan polis kehilangan wang Anwar

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Salah seorang saksi pendakwa yang tersenarai dalam perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis berhubung isu kehilangan wang RM4 juta milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Laporan berkenaan dibuat pada pukul 10.45 pagi di Balai Polis Tun H.S. Lee, Jalan Stadium di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Kanan Pesuruhjaya II Zainal Abidin Ali mengesahkan polis menerima laporan Khairuddin.

Katanya, laporan tersebut telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Brickfields kerana laporan itu berkaitan dengan kejadian yang berlaku di kawasan Brickfields.

Dalam laporannya, Khairuddin menyatakan perasaan sangsi kerana Anwar tidak melaporkan kepada polis kehilangan sejumlah wang tunai yang begitu banyak daripada simpanannya.

Khairuddin mendakwa, wang RM4 juta adalah tidak munasabah untuk dikumpul dan disimpan oleh Anwar kerana ia tidak setimpal dengan pendapatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

''Saya sebagai rakyat Malaysia merasa amat curiga dengan jumlah simpanan wang tunai yang begitu banyak oleh Anwar. Simpanan wang tunai RM4 juta adalah tidak setimpal dengan pendapatannya.

''Secara peribadi saya ingin memohon pihak polis menyiasat secara terperinci mengenai jumlah simpanan Anwar dan merasa amat sangsi dengan sikap beliau yang enggan membuat laporan polis,'' katanya dalam laporan berkenaan.

Media cetak dan elektronik hari ini melaporkan, Anwar pernah menghubungi Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Norian Mai dan mengadu kehilangan wang RM4 juta dari sebuah bilik kecil di sebelah bilik tidur di kediaman rasminya.

Mahkamah Tinggi yang mendengar keterangan Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Amir Junus diberitahu, Anwar bagaimanapun tidak mahu laporan polis dibuat berhubung kehilangan tersebut sebaliknya meminta perkara itu disiasat.

Dalam perbicaraan tersebut, Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Menurut bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II itu, apabila pegawai-pegawainya hendak menyoal siasat para penghuni rumah tertuduh, mereka diminta menghentikan siasatan.

Oleh: NORLIZAH ABAS dan JAMDI NASIR

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/12/1998

Hina mahkamah: Manjeet minta maaf

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Peguam Manjeet Singh Dhillon hari ini meminta maaf kepada Mahkamah Tinggi dan Peguam Negara kerana kenyataan bersumpahnya telah menyebabkan kekecohan pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga seorang peguam belanya dipenjarakan kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menerima permohonan maaf itu dan kemudian membatalkan waran tangkap terhadap Manjeet.

''Sekarang saya terus membatalkan notis usul yang difailkan oleh peguam Zainur Zakaria atas alasan bahawa ia adalah remeh, menyakitkan hati dan menyalahi proses undang-undang,'' tegas beliau.

Manjeet hadir di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini untuk menyerah diri setelah waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau bagi menunjukkan sebab mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan ke atasnya berhubung kenyataan bersumpah dan suratnya yang dilampirkan oleh Anwar untuk menyokong usulnya itu.

Beliau diwakili oleh peguam Jagjit Singh, Balwant Singh Sidhu dan Marble Gomez.

Ketika sidang perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermula hampir pukul 10 pagi ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah memaklumkan bahawa beliau hadir bagi pihak pendakwa raya untuk prosiding menghina mahkamah terhadap Manjeet.

Mohtar: ''Saya difahamkan Manjeet menyerah diri kepada mahkamah. Beliau diwakili peguam Jagjit Singh. Saya memohon perkara ini didengar dahulu sebelum perbicaraan disambung.''

Jagjit: ''Izinkan saya bercakap dalam bahasa Inggeris untuk mempercepatkan perbicaraan ini.''

Hakim Augustine Paul menganggukkan kepala tanda setuju.

Jagjit: ''Manjeet hadir di mahkamah pagi ini selepas menyedari melalui akhbar-akhbar bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap beliau.

Kami ingin menjelaskan keadaan-keadaan sebenar kepada Yang Arif. Saya telah menyediakan teks ringkas.'' Jagjit menghulurkan salinan teks itu kepada Hakim.

Hakim Augustine: ''Kamu boleh membacanya.''

Jagjit membaca kandungan teks setebal tiga muka berbunyi: ''Kenyataan bersumpah ini dibuat pada 9 November lalu kira-kira pukul 8.50 pagi sebelum perbicaraan Nallakaruppan dimulakan pada hari yang sama pukul 9.15 pagi.

Kenyataan bersumpah itu dibuat dalam tiga salinan.

Beberapa hari selepas membuat kenyataan bersumpah itu, Manjeet memberikan satu salinan kepada peguam bela Anwar, Gurbachan Singh dengan arahan bahawa dokumen tersebut tidak boleh digunakan dalam apa jua sebab tanpa kebenaran beliau terlebih dahulu.

Penggunaan dokumen itu bergantung kepada kelancaran pembuktian dalam perbicaraan terhadap Nalla.

Kenyataan bersumpah itu disediakan terutamanya, untuk meletakkan asas rasmi kejadian pada 2 dan 12 Oktober lalu dan juga sebagai bantuan untuk mengingati kejadian tersebut sekiranya Manjeet terpaksa memberi keterangan dalam perbicaraan Nalla.

Ia sengaja dibuat secara bersumpah pada 9 Oktober (sebelum perbicaraan Nalla) supaya tidak ada dakwaan bahawa ia adalah dokumen yang disediakan sebagai tambahan atau reaksi panik pada perjalanan pembuktian perbicaraan Nalla.

Mungkin mahkamah tahu atau tidak bahawa permohonan dibuat untuk Manjeet memberi keterangan dalam perbicaraan Nalla.

Bantahan telah dibuat oleh pihak pendakwa kepada perkara ini dan Manjeet kemudian memberi sapina pada Rabu minggu lalu kepada Abdul Gani Patail dengan tujuan supaya Gani dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu-isu yang dinyatakan oleh Manjeet dalam kenyataan bersumpahnya.

Bagaimanapun perbicaraan Nalla ditangguhkan dan mahkamah memutuskan permohonan Manjeet untuk memberi keterangan juga ditangguh. Ini berlaku pada 26 November lalu.

Memandangkan perbicaraan Nalla ditangguhkan, Manjeet berlepas untuk bercuti di luar negara pada Sabtu lalu.

Manjeet tidak tahu mengenai permohonan yang difailkan di mahkamah ini yang telah membawa kepada kekecohan. Tidak ada kebenaran yang diperoleh daripadanya untuk menggunakan kenyataan bersumpahnya sebagai bahan bukti.''

Seterusnya, Jagjit menerangkan bahawa Manjeet hanya mengetahui perkembangan di mahkamah ini apabila beliau menerima beberapa panggilan telefon pada awal petang Isnin lalu.

Beliau bergegas pulang dan tiba petang semalam kira-kira pukul 6 petang dan datang ke mahkamah ini secepat mungkin.

''Manjeet melahirkan rasa kesal kepada mahkamah yang mulia ini dan Peguam Negara bahawa kenyataan bersumpahnya bertarikh 9 Oktober 1998 telah didedahkan dengan cara ini dan ia telah menyebabkan kekecohan sebegini rupa dalam perbicaraan Anwar.

Manjeet minta maaf kepada mahkamah dan Peguam Negara atas kesusahan kepada mereka berdua dan ia telah menyebabkan satu keputusan menghina mahkamah ke atas seorang peguam bela.''

Selepas Jagjit selesai membaca teks itu, Hakim Augustine bertanya Mohtar: ''Tan Sri, adakah anda ingin menyatakan sesuatu?''

Mohtar: ''Izinkan saya bercakap bahasa Inggeris juga memandangkan ucapan Jagjit dalam bahasa Inggeris.''

Hakim Augustine: ''Saya benarkan.''

Mohtar:''Saya merasa sukar untuk memutuskan apa tindakan seterusnya selepas ini. Manjeet adalah seorang kawan baik saya dan saya sentiasa menganggap beliau seorang anggota Majlis Peguam yang baik dan mulia.

''Apabila perkara ini timbul saya amat sedih kerana saya dan para pegawai saya berada dalam situasi ini akibat tindakan yang bermula daripada kawan baik itu.

''Memandangkan kenyataan yang telah dibaca oleh Jagjit yang benar-benar saya percaya dibuat sendiri oleh Manjeet saya bersedia untuk bermurah hati.

''Memandangkan kenyataan mohon maaf saya rasa, saya harus mengambil sikap belas kasihan terhadap keseluruhan perkara tersebut dan dalam keadaan ini, saya tidak bercadang untuk meneruskan prosiding menghina mahkamah terhadap Manjeet.

''Maruah saya, maruah para pegawai saya dan maruah Jabatan Peguam Negara telah terjejas dan tercemar dengan perkembangan terbaru ini dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi maruah kami.

''Seperti yang dikatakan oleh Shakespeare dalam karyanya Richard II, Mowbray berkata: ''Maruah dan hidup saya tumbuh dalam satu, ambil maruah daripada saya dan hidup saya berakhir.'' Tetapi Manjeet dan Jagjit telah berbudi mengembalikan maruah kami dan kami akan bermurah hati.

''Saya benar-benar berharap Yang Arif juga akan sama-sama belas kasihan dan bermurah hati terhadapnya.

''Kita hanyalah manusia dan kita cuba melaksanakan keadilan Tuhan di dunia. Saya menegaskan tidak ingin meneruskan prosiding dan saya harap Yang Arif mengambil tindakan yang serupa.''

Hakim Augustine mengambil masa beberapa minit untuk mencatatkan keputusannya dan kemudian berkata: ''Saya setuju sepenuhnya dengan Peguam Negara untuk melaksanakan keadilan Tuhan yang mana menjadi pegangan saya.

''Saya bangga dengan kehadiran Manjeet yang begitu berani untuk muncul di mahkamah ini. Saya memuji beliau kerana tindakannya muncul di mahkamah hari ini dan membuat permohonan maaf. Saya terima sepenuhnya permohonan maaf itu dan membatalkan waran yang dikeluarkan.

Mohtar: ''Terima kasih Yang Arif, saya mohon beredar dan perbicaraan ini diteruskan.''

Pada Sabtu lalu, Anwar melalui peguam caranya, Zainur Zakaria yang juga bekas Presiden Majlis Peguam memfailkan permohonan untuk menggugurkan Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Gani Patail dan Azahar Mohamad atas alasan 'berniat' jahat dalam pendakwaan mereka.

Menurut afidavit Anwar, beliau mendakwa mereka menyalah guna kuasa dengan membayangkan akan menimbangkan untuk mendakwa S. Nallakaruppan atau Nalla atas tuduhan yang lebih ringan hukumannya jika dia 'mengada-adakan cerita penglibatan Anwar dalam jenayah seks dengan pelbagai wanita.

Manjeet merupakan peguam bela Nalla yang kini menghadapi tuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana memiliki 125 butir peluru secara tidak sah. Kesnya pada peringkat pembelaan dan ditangguhkan pada 25 Januari ini.

Pada Isnin lalu ketika peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse ingin mengemukakan usul tersebut, Hakim Augustine mengarahkan supaya Zainur menerangkan sebab beliau memfailkan permohonan itu.

Bagaimanapun, Hakim Augustine tidak berpuas hati dengan penjelasan Zainur dan mengarahkan supaya beliau menunjukkan sebab tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Sebelum itu, hakim juga memberi peluang kepada Zainur supaya beliau meminta maaf kepada Peguam Negara, Gani dan Azahar. Tetapi beliau enggan dan kemudian dihukum penjara tiga bulan. Rayuan Zainur terhadap hukuman itu didengar di Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/12/1998

Azizan jumpa Karpal -- 'Tujuan saya dan Ummi untuk dapatkan nasihat undang-undang'

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau bersama Ummi Hafilda Ali telah menemui peguam Karpal Singh untuk mendapatkan nasihat undang-undang kerana mereka sentiasa diekori selepas surat perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar kepada Perdana Menteri.

Dalam pertemuan itu antara lain, Karpal yang dianggap oleh Azizan sebagai peguam terbaik di bandar raya ini, telah menasihatkan beliau (Azizan) supaya menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Azizan, 38, bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada pertemuan di pejabat Karpal di Lorong Pudu di sini, beliau dan Ummi ditemani oleh Dr. Ristina Majid.

''Saya dan Ummi berasa amat takut apabila diekori oleh orang-orang yang tidak dikenali. Berkemungkinan ada kaitan dengan surat yang kami buat bertarikh 5 Ogos 1997,'' kata beliau sebagai saksi ke-12 pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri yang masuk hari ke-19 hari ini.

Anwar, 51 yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada sesi pagi perbicaraan itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menimbulkan perkara itu ketika menyambung soalannya dalam pemeriksaan utama pihak pendakwa.

Gani: ''Azizan, adakah kamu kenal peguam Karpal Singh dan pernahkah kamu menemuinya pada tahun 1997?''

Azizan: ''Ya, saya dan Ummi ada berjumpa dengan peguam Karpal pada tahun 1997.''

Gani: ''Selain kamu dan Ummi, siapa lagi yang turut menemui Karpal?''

Azizan: ''Selain kami, Dr. Ristina Majid turut jumpa Karpal.''

Gani: ''Kamu jumpa Karpal sebelum atau selepas kamu ditangkap pada 17 Ogos 1997.''

Azizan: ''Saya menemuinya dua atau tiga hari sebelum ditangkap. Tarikhnya saya tak ingat, Yang Arif.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah, apa tujuan kamu menemui Karpal.''

Azizan: ''Saya mahu mendapatkan pandangan dari sudut perundangan kerana kami sentiasa diekori oleh orang-orang yang tidak kami kenali.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah apabila kamu, maaf (ulang soalan) kamu berjumpa Karpal di mana?''

Azizan:''Di pejabatnya di Lorong Pudu. Saya tidak tahu alamat tepat.''

Gani:''Sila beritahu mahkamah apakah perasaan atau bagaimana perasaan kamu apabila diekori orang yang tidak dikenali.''

Azizan: ''Saya dan Ummi berasa amat takut, kemungkinan ada kaitan dengan surat bertarikh 5 Ogos 1997 yang kami tulis.''

Gurbachan Singh bangun membantah sambil menyatakan saksi ini menyebut kata-kata kemungkinan.

''Saksi mesti beri keterangan berdasar fakta. Ini semata-mata spekulasi. Mahkamah tidak harus menerimanya,'' hujah Gurbachan.

Gani: ''Yang Arif, saya minta kebenaran untuk menanyakan satu soalan supaya kita tahu arah mana yang kita tuju.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bersetuju.

Gani: ''Azizan, mengapakah kamu menyatakan ada kemungkinan berkaitan surat ID14ab dan P14c (surat dakwaan perihal salah laku Anwar yang ditulis oleh Ummi dan pengakuan bersumpah saksi ini).

Azizan: ''Yang Arif, boleh ulang soalan?''

Gani: ''Soalan saya, Azizan, mengapakah kamu menyatakan orang-orang yang mengekori kamu ada kemungkinan berkaitan surat ID14ab dan P14c?''

Azizan: ''Daripada apa yang kami difahamkan bahawa surat yang kami tulis telah sampai ke tangan Perdana Menteri dan saya tidak mengetahui sama ada surat tersebut telah tersebar.''

Gani: ''Selain diekori orang-orang yang tidak dikenali, ada apa-apa perkara lain yang berlaku selepas ID14ab dan P14c disediakan?''

Azizan: ''Sebelum itu saya ada menerima panggilan telefon daripada tertuduh (Anwar) yang bertanya bagaimana saya boleh terlibat dengan pengakuan bersumpah dan perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri. Tertuduh amat memarahi saya setiap malam dan waktu siang, rumah saya di Rawang sentiasa diperhatikan oleh orang yang tidak dikenali.''

Gani: '' Saya balik kepada soalan kamu berjumpa dengan Karpal.''

Gurbachan Singh membantah lagi kerana menganggap soalan itu suatu spekulasi dan tidak boleh diterima.

Hakim Augustine: ''Bantahan ditolak. Ini mungkin ada kebenarannya.''

Gani: ''Azizan, sila beritahu mahkamah, sebab apa kamu memilih untuk berjumpa Karpal?''

Azizan: ''Apa yang saya tahu, Karpal adalah peguam yang terbaik di bandar raya ini. Oleh sebab itu kami pergi ke pejabatnya untuk mendapatkan pandangan dari segi perundangan.''

Kata-kata spontannya itu menyebabkan hadirin di mahkamah termasuk Hakim Augustine ketawa.

Gani: ''Azizan, selain untuk dapat pandangan perundangan, ada perkara lain yang kamu harapkan?''

Azizan: ''Pada pertemuan itu, kami beritahu perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri dan pengakuan bersumpah yang saya tandatangani. Saya tidak mengharapkan apa-apa cuma kami ingin mendapatkan pembelaan yang adil sekiranya berlaku tindakan undang-undang ke atas kami.''

Gani: ''Seterusnya apa berlaku di pejabat Karpal?''

Azizan: ''Saya nampak Ummi menelefon rakannya supaya faks surat perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri dan pengakuan bersumpah saya ke pejabat Karpal.''

Gani: ''Selepas itu, apa yang berlaku?''

Azizan: ''Karpal telah melihat kedua-dua surat tersebut lalu berkata, oleh kerana surat tersebut dialamatkan kepada Perdana Menteri, biarlah Perdana Menteri yang menyelesaikan masalah ini kerana Perdana Menteri tahu cara untuk menyelesaikannya.''

Gani: ''Selepas itu, apa lagi yang berlaku?''

Azizan: ''Tiada apa-apa.''

Gani: ''Pada hari kamu berjumpa Karpal, adakah kamu tahu beliau seorang ahli Parlimen?''

Azizan: ''Saya tahu.''

Gani: ''Azizan, pada masa itu adakah kamu tahu Karpal daripada parti yang mana?''

Azizan: ''Karpal dari parti pembangkang DAP.''

Gani: ''Adakah DAP bermaksud Democratic Action Party?''

Hakim Augustine mencelah sambil berkata: ''Semua orang sudah tahu.''

Mahkamah kemudian menangguhkan sidang selama 15 minit pada pukul 11.23 pagi.

Pada sesi petang, ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan balas peguam Christopher Fernando, Azizan memberitahu bahawa beliau tidak menandatangani pengakuan bersumpahnya di hadapan Pesuruhjaya Sumpah atau Majistret.

Fernando: ''Kenapa kamu tidak berbuat demikian?''

Azizan: ''Saya tidak memahami sama ada pengakuan bersumpah ini sah atau tidak tetapi saya bersumpah demi Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui kerana saya tidak faham undang-undang.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------ARKIB : 04/12/1998

Dedah diliwat selepas 5 tahun


SAKSI pendakwa yang ke-12, Azizan Abu Bakar (anak panah) diapit oleh dua pegawai polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan Anwar Ibrahim semalam.


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Azizan Abu Bakar mendedahkan perbuatan liwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas dirinya lima tahun kemudian setelah menyedari perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Azizan berkata, beliau berasa amat malu untuk mengakui pernah diliwat oleh Anwar tetapi demi maruah diri dan agama, beliau mendedahkan kepada semua orang tentang perbuatan terkutuk itu.

Menurutnya, beliau memilih Ummi Hafilda untuk menulis pengakuan bersumpahnya berhubung kejadian liwat itu kerana Ummi sendiri mempunyai masalah dalam keluarganya.

''Ummi merasa kasihan melihat abangnya, Azmin Ali (bekas Setiausaha Sulit Anwar) yang mengesyaki isterinya, Shamsidar mempunyai hubungan sulit dengan Anwar. Adalah tidak salah bagi saya untuk memilih Ummi,'' jelas Azizan ketika ditanya mengapa beliau membuat dakwaan terhadap Anwar.

Azizan, 38, memberitahu demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Anwar, Christopher Fernando pada sesi petang perbicaraan terhadapnya yang masuk hari ke-19 hari ini.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Menurut keterangan Azizan, sekali-sekala antara tahun 1992 dan 1997, beliau masih terus mengunjungi Anwar.

Fernando: ''Bukankah perhubungan kamu dan keluarga kamu terjalin mesra dengan Anwar sekeluarga?''

Azizan: ''Benar, perhubungan saya sekeluarga adalah mesra dengan Anwar antara tahun 1992 dan 1997.''

Pada peringkat itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil mengingatkan mengenai permohonan peguam Karpal Singh yang hendak mengetepikan sapina menjadi saksi pendakwa didengar esok.

Fernando meneruskan soalan: ''Adakah kamu melaporkan kepada polis mengenai perbuatan Anwar?''

Azizan: ''Saya tidak membuat sebarang laporan terhadap tertuduh.''

Fernando: ''Kamu tidak ada masalah dengan Anwar?''

Azizan: ''Saya tidak ada sebarang masalah dengan Anwar pada tahun 1992 dan 1997. Saya menghormatinya sebagai seorang pemimpin.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, kamu pernah meminjam wang emak saudara Anwar?''

Azizan: ''Saya bersetuju ada meminjam wang dari emak saudara Anwar.''

Fernando: ''Dan pada Julai 1997, secara tiba-tiba ada perubahan besar, adakah kamu bersetuju?''

Azizan: ''Saya tidak faham Yang Arif, maksud perubahan besar.''

Fernando: ''Apabila kamu bertemu Ummi perhubungan dengan tertuduh berubah, jawab ya, atau tidak.''

Azizan: ''Sebelum bulan Julai saya pernah bertemu dengan Ummi.''

Fernando: ''Ya, kami tahu itu, tetapi pada bulan Julai 1997, kamu mengambil keputusan untuk mendakwa tertuduh dengan membuat pengakuan bersumpah (P14c).''

Azizan: ''Ya, pada 30 Julai 1997, setelah Ummi memberitahu saya tentang perbuatan kakak iparnya yang mungkin mempunyai hubungan sulit dengan tertuduh.''

Fernando: ''Bagaimana jika saya katakan Ummilah yang menjadi faktor mempengaruhi dalam kes ini.''

Azizan: ''Tidak, saya tidak setuju.''

Selepas memberitahu beliau mengambil masa lima tahun untuk mendedahkan perbuatan Anwar, saksi itu kemudian disoal bertalu-talu lagi oleh Fernando.

Fernando: ''Sebelum kamu bertemu Ummi, kamu tidak terfikir dakwaan ini.''

Azizan: ''Benar, sebelum saya beritahu Ummi, saya tidak terfikir tentang dakwaan-dakwaan ini.''

Fernando: ''Kamu menyatakan kepada mahkamah pagi ini bahawa kamu beritahu Ummi mengenai kejadian itu.''

Azizan: ''Ya, benar, pagi ini saya memaklumkan mahkamah bahawa saya yang memberitahu Ummi tentang kejadian liwat kerana Ummi menceritakan kepada saya yang dia mengesyaki kakak iparnya mempunyai hubungan sulit dengan tertuduh.''

Fernando: ''Tidakkah kamu rasa malu memberitahu Ummi bahawa kamu diliwat oleh tertuduh, ya atau tidak?''

Azizan: ''Ya, saya setuju, saya merasa malu.''

Fernando: ''Adakah kamu kenal Ummi dengan baik?''

Azizan: ''Pada masa itu, tidak berapa kenal kerana dia datang sekali-sekala ke rumah kakak iparnya yang juga majikan saya.''

Fernando: ''Adakah Ummi beritahu tujuan dia ingin bertemu kamu pada hari itu?''

Azizan: ''Ummi tidak beritahu.''

Fernando: ''Adakah dia beritahu kenapa dia bertanya mengenai Shamsidar?''

Azizan: ''Ummi kasihan pada abangnya, Azmin, sekiranya perbuatan Shamsidar telah melampaui batas.''

Fernando: ''Adakah Ummi beritahu kamu apa yang hendak dilakukannya dengan maklumat itu?''

Azizan: ''Dia (Ummi) kata, dia akan beritahu abangnya dan keluarga sekiranya ia benar-benar terjadi.''

Fernando: ''Itu adalah niatnya pada ketika itu. Adakah dia beritahu kamu yang dia hendak hantar maklumat kepada Perdana Menteri?''

Azizan: ''Ummi pada peringkat itu tidak beritahu saya demikian.''

Fernando: ''Jadi dia beritahu niatnya. Mengapa kamu hendak membuat pengakuan. Apa yang menyebabkan kamu buat pengakuan yang mengaibkan orang yang mempunyai hubungan mesra dengan kamu?''

Azizan: ''Walaupun saya tidak mengenali Ummi lebih dekat, saya kenal keluarganya terutama, ibunya dan saya yakin apa yang saya cerita kepada Ummi tidaklah sangat memalukan saya.

Fernando: ''Adakah kamu beritahu Ummi tarikh dan masa kejadian itu berlaku?''

Azizan: ''Tidak, setiap kejadian, saya tidak ingat tarikh dan waktunya.''

Fernando: ''Jadi kamu hanya beritahu apa yang berlaku?''

Azizan: ''Ya, benar, saya beritahu Ummi kejadian ini berlaku beberapa kali dan tempatnya saja.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu kejadian ini berlaku waktu malam atau siang?''

Azizan: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando: 'Waktu?''

Azizan: ''Seperti yang saya katakan saya tidak ingat waktunya.''

Fernando: ''Secara lebih kurangnya, bilakah waktu kejadian itu?''

Azizan: ''Yang saya ingat 7.30 malam atau 8.30 malam.''

Fernando: ''Adakah kamu mendaftar di mana-mana hotel?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah soalan dan meminta Fernando menyoal saksi dengan soalan yang spesifik.

Hakim Augustine: ''Fahamkah soalan?''

Azizan: ''Saya tak ingat sama ada saya mendaftar untuk menginap di mana-mana hotel.''

Ketika sesi sebelah pagi, Fernando menyoal saksi itu berkisar mengenai dokumen P14c.

Fernando: ''Siapakah yang menyuruh kamu membuat P14c?''

Azizan: ''Tidak ada sesiapa yang menyuruh saya membuat P14c. Saya buat atas kerelaan saya sendiri.''

Fernando: ''Adakah kamu berbincang dengan sesiapa?''

Azizan: ''Sebelum membuat P14c, saya berbincang dengan Ummi mengenai apa yang terjadi ke atas diri saya.''

Fernando: ''Dia jumpa kamu atau kamu jumpa dia?''

Azizan: ''Kami sama-sama berjumpa.'' Hadirin yang penuh sesak di galeri awam berderai dengan ketawa.

Fernando: ''Di manakah kamu berjumpa?''

Azizan: ''Kami berjumpa di pejabat Ummi, Yang Arif.''

Fernando: ''Siapa lagi berada di situ?''

Azizan: ''Tidak ada.''

Fernando: ''Apa yang Ummi kata kepada kamu?''

Azizan: ''Pada mulanya Ummi ingin mengetahui sama ada kakak iparnya mempunyai hubungan sulit dengan tertuduh.''

Fernando: ''Bagaimana perkara ini timbul?''

Azizan: ''Ummi tidak mengetahui tentang perbuatan liwat yang terjadi ke atas diri saya.''

Fernando: ''Soalan saya bagaimana perkara ini ditimbulkan?''

Hakim Augustine mencelah sambil meminta Fernando menyoal saksi itu dengan lebih mudah?''

Fernando: ''Azizan, bagaimana Ummi menerima perkara ini?''

Azizan: ''Saya yang bercerita tentang kejadian itu kepadanya. Pada mulanya Ummi tidak ada reaksi apa-apa.''

Fernando: ''Adakah dia menyuruh kamu membuat P14c?''

Azizan: ''Saya yang menyuruh Ummi membuat P14c kerana Ummi mahir dalam penggunaan bahasa.''

Fernando: ''Jadi, kamu suruh Ummi membuat P14c, adakah kamu bersetuju?'

Azizan: ''Ya.''

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/12/1998

Azizan pernah jadi pengarah syarikat

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Azizan Abu Bakar memberitahu perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau pernah dilantik sebagai pengarah dalam syarikat kawan karibnya ketika masih menjadi pemandu pada tahun lalu.

Beliau berkata, syarikat tersebut ialah Azariq Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Desa Cheras di sini.

Menurut Azizan, beliau tidak dibayar elaun kerana syarikat tersebut mengalami masalah kewangan dan beliau meninggalkan syarikat itu pada bulan Ogos tahun lalu.

Beliau memberitahu demikian sebagai saksi penting pendakwa yang ke-12 pada perbicaraan hari ke-19 perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando menimbulkan keterangan itu ketika menyoal Azizan dalam pemeriksaan balas.

Peguam itu meminta Azizan menyebutkan nama-nama pengarah lain dalam syarikat tersebut.

Azizan berkata, tiga pengarah lain ialah Omar Veran Kutty, Puan Junaidah dan Encik Bastari.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa kehidupannya sebagai seorang pemandu berubah setelah dilantik sebagai pengarah syarikat.

Saksi itu juga menerangkan bahawa beliau kini bekerja sebagai eksekutif jualan dan pentadbiran di syarikat kawannya di Alor Gajah, Melaka dan disediakan sebuah kereta Nissan Bluebird.

Sebelum Azizan menyambung keterangannya pada sesi pagi ini, Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguam bela Anwar memohon kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul untuk memaklumkan sesuatu kepada mahkamah.

Beliau berkata, ketika mahkamah bersidang semalam, pihak polis telah menyerahkan waran untuk menggeledah pejabat salah seorang daripada peguam bela Anwar, Pawancheek Marican.

Menurut beliau, tindakan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu diambil berhubung aduan kehilangan nota-nota keterangan yang dicatatkan oleh seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya kes ini, Shamsul Sulaiman.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa satu aduan telah dibuat mengenai kehilangan dokumen tanpa menyebut nama sesiapa.

Setakat penyiasatan polis, kata Gani, ia dijalankan mengikut proses undang-undang dan jika ada pihak tidak menyenangi tindakan itu, saman atau aduan boleh dikemukakan.

Hakim Augustine berkata, pada pandangannya, Gani beri alasan yang jelas bahawa ia tidak menuduh sesiapa dan perkara itu pernah disebutkan kepada seorang peguam bela lagi, Gurbachan Singh.

''Saya tidak fikir untuk mencampuri soal itu dengan kuasa saya. Kita teruskan perbicaraan,'' kata beliau.

----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/12/1998

Fernando, Gurbachan tarik minat orang awam

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Populariti dua peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Christopher Fernando dan Gurbachan Singh menarik minat dua orang awam yang ingin merakamkan gambar mereka di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini.

Fernando dan Gurbachan yang tidak pernah menghampakan pihak media massa, juga kelihatan tidak menghadapi masalah meluangkan masa untuk kedua-dua orang awam berkenaan.

Ketika disapa dan diminta keizinan untuk merakamkan gambar mereka, Fernando dan Gurbachan lantas tersenyum ke arah lensa kamera milik kedua-dua peminat masing-masing sebelum menaiki kereta meninggalkan pekarangan bangunan tersebut.

Dalam perkembangan lain, tinjauan Utusan mendapati jumlah orang awam yang ingin memasuki Mahkamah Tinggi di sini melebihi hari-hari sebelumnya, berikutan pengakuan Azizan Abu Bakar bahawa beliau diliwat oleh Anwar.

Pengakuan saksi pendakwa ke-12 itu rupa-rupanya mengundang lebih ramai orang awam yang ingin mengetahui kisah sebenar pelakuan sumbang yang didakwanya berlaku tanpa kerelaan melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Kesabaran mereka menunggu tidak sia-sia apabila polis yang berkawal membenarkan sebahagian besar daripada mereka memasuki mahkamah ketika sidang disambung pada sebelah petang.

Seperti kebiasaan, ada di antara mereka mula beratur di hadapan pintu masuk kompleks mahkamah seawal pukul 5.30 pagi bagi memastikan masing-masing mendapat tempat.

Selain menggunakan surat khabar, ada juga yang menggunakan selimut sebagai pengalas duduk bagi menghilangkan kepenatan ketika beratur.

Mereka tidak menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang sambil leka membaca akhbar sementara menunggu peluang dibenarkan memasuki kamar mahkamah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/12/1998

Tak mahu peliwat jadi PM -- Azizan: Sebagai orang Islam, murtad bagi saya mereka-reka cerita

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mendedahkan perbuatan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas dirinya kerana tidak mahu seorang peliwat menjadi Perdana Menteri.

''Sebagai seorang Islam, adalah murtad bagi saya mereka-reka cerita yang saya diliwat dan membenarkan seorang pemimpin seperti peliwat menjadi Perdana Menteri.

''Saya tidak mempunyai motif lain daripada itu,'' kata Azizan, 38, bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal bertubi-tubi dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Christoper Fernando pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-20 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Seterusnya, Fernando dengan nada tegas berkata: ''Mengapa tunggu hingga lima tahun?''

Azizan: ''Seperti yang telah saya katakan semalam, kesedaran itu datang apabila saya rasa bersalah dan bertaubat. Itulah sebabnya ia mengambil masa yang lama untuk saya mengetengahkanya.''

Fernando: ''Kamu katakan bahawa kamu sedar secara tiba-tiba selepas lima tahun untuk membuat dakwaan-dakwaan begini dan apabila kamu bertemu dengan Ummi Hafilda, jawab ya, atau tidak?''

Azizan: ''Sebelum itu saya ada berniat untuk memberitahu kepada saluran yang tertentu tetapi saya yakin tiada sesiapa yang akan mempercayai bahawa tertuduh (Anwar) meliwat saya. Bukan kerana saya menemui Ummi, maka saya ceritakan kejadian liwat ini.''

Fernando: ''Baru semalam kamu bercakap selepas mengangkat sumpah, kamu beritahu mahkamah bahawa kamu tidak terfikir mengenai perkara ini hinggalah bertemu Ummi pada Julai 1997. Adakah ia benar atau suatu pembohongan?''

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Faham soalan?''

Azizan: ''Tidak faham.''

Oleh kerana Fernando menyoal saksi itu menggunakan bahasa Inggeris, jurubahasa mahkamah, Tuan Kecik Tuan Hussin menterjemahkan sambil menjelaskan soalan itu:

''Semalam kamu beritahu mahkamah bahawa kamu tidak terfikir mengenai perkara itu, sehingga berjumpa Ummi pada bulan Julai 1997. Jadi ini ada percanggahan. Fernando tanya apa yang kamu hendak kata?''

Azizan: ''Itu adalah niat saya yang terpendam selama ini.

Fernando: ''Jawab soalan saya! Baru semalam kamu beritahu mahkamah dengan mengangkat sumpah. Mana satu yang benar?''

Hakim Augustine: ''Saya fikir tidak adil untuk bertanya saksi, yang mana satu benar. Tanya dia apakah kaitan di antara kedua-duanya.''

Azizan: ''Penjelasan saya ialah, setelah saya menghadapi tekanan mental dan jiwa saya tertekan...''

Fernando: ''Saksi ini tidak menjawab soalan.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah: ''Saksi hanya baru hendak menjelaskan. Hanya sebab jawapan bukan apa yang peguam bela mahu beliau tiada hak untuk menyekat saksi sebegitu.''

Fernando: ''Versi yang mana satu yang benar?''

Hakim Augustine: ''Saya tahu jawapannya.''

(Hadirin kedengaran tergelak). Semalam dia kata, dia tidak terfikir.''

Pada peringkat itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abiden pula bangun menyatakan bahawa Azizan telah menyebutkan dalam keterangannya semalam.

Bagaimanapun, Hakim Augustine meminta jurubahasa menjelaskan soalan itu sekali lagi kepada Azizan.

Fernando: ''Biarlah beliau jawab.''

Selepas jurubahasa membaca semula soalan kepada Azizan, beliau menjawab: ''Perasaan bersalah telah menguasai diri saya.''

Fernando: ''Azizan! Kamu tidak menjawab soalan saya. Kamu ada dua versi yang berbeza.''

Hakim Augustine: ''Tidak, ia bukan berbeza. Bagaimanakah ia berbeza?''

Fernando: ''Semalam beliau kata tidak pernah terfikir tetapi baru tadi dia kata ada niat untuk memberitahu mengenai perkara tersebut.''

Gani membantah: ''Ada dua versi, 'saya tidak terfikir' (Fernando melarang pendakwa raya itu mengganggunya).

Gani (dengan nada tinggi): ''Biarlah saya habis bercakap dulu.''

Fernando: ''Anda sedang memberi jawapan kepada saksi...''

Gani: ''Dia menyatakan ada niat untuk memberitahu (dakwaan diliwat) tetapi tidak ada saluran.''

Jurubahasa sekali lagi menjelaskan soalan tersebut.

Hakim: ''Faham? Jika ada perbezaan tolong jelaskan.''

Azizan: ''Perasaan bersalah menguasai diri saya sekiranya saya tidak buat apa-apa pengaduan sebelum saya berjumpa Ummi.''

Fernando: ''Kamu tidak menjelaskannya. Yang Arif, bolehkah saya teruskan?''

Hakim Augustine: ''Terserah kepada kamu.''

Fernando: ''Saya katakan kepada kamu, bahawa kamu mempunyai dua cerita yang berbeza.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir biarlah perkara itu dihujahkan kemudian.''

Azizan: ''Itulah, perasaan bersalah menguasai diri saya sebab itu saya beri dua jawapan yang berbeza.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir ini bukan perkara yang betul. Kesimpulannya sama ada, ya atau tidak.''

Fernando: ''Saya ingin teruskan menyoal saksi bagi mewujudkan kredibiliti.''

Hakim Augustine: 'Itu buatlah dalam penghujahan kamu.''

Fernando: ''Beliau (saksi) memberi tindak balas. Fernando meneruskan soalan: ''Saya katakan kamu berbohong. Kamu berbohong besar.''

Azizan dengan suara meninggi: ''Saya tidak berbohong.''

Hakim Augustine: ''Bohong tak kira besar atau kecil.'' Para hadirin di galeri awam tergelak kuat.

Azizan: ''Saya tidak setuju bahawa saya tidak beri penjelasan mengenai dua keterangan sebelum ini walaupun saya telah diberi peluang berbuat demikian.''

Sidang perbicaraan kemudian ditangguh untuk rehat kira-kira 20 minit pada pukul 10.55 minit pagi ini.

Ketika sidang bermula pukul 9.36 pagi ini, Fernando menyambung pemeriksaan balasnya dengan mengimbas semula keterangan Azizan semalam.

Fernando: ''Semalam, kamu beritahu Yang Arif bahawa kamu mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara ini, untuk menceritakan kepada umum kerana dua perkara: maruah dan agama. Sekarang bagaimanakah ia meningkatkan maruah dan agama kamu dengan mengisytiharkan kepada dunia bahawa kamu diliwat?''

Azizan: ''Saya adalah mangsa, adalah sukar bagi orang mempercayai akan kejadian liwat ini. Sangat sukar bagi saya membuktikan yang saya diliwat. Caranya adalah dengan mengetengahkan dan membawa ke muka pengadilan.

Fernando: ''Saya katakan bahawa mendedahkan kepada dunia ia hanya menambah tercemar maruah kamu.''

Gani: ''Tiada soalan mengenai meningkatkan maruah. (Gani membaca nota keterangan) ''Demi untuk maruah dan agama... Saya rasa saksi sudah dipesongkan.''

Hakim Augustine: ''Saya bersetuju dengan Gani.''

Fernando: ''Saya katakan, ia bukan suatu kepentingan maruah yang baik untuk mendedahkan kamu diliwat.''

Hakim Augustine: ''Ini cadangan peguam bela.''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

Fernando: ''Azizan, adakah kamu bersetuju sekiranya benar kamu diliwat, jika mengikut agama Islam ia seharusnya dibawa ke Mahkamah Syariah?''

Gani membantah dengan menyatakan pihaknya tidak bersetuju soalan tersebut.

Fernando: ''Saya bertanya beliau sama ada ini undang-undang yang betul.''

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah bangun untuk menyokong soalan itu.

Sulaiman: ''Cara Islam jika seseorang membuat tuduhan terhadap sesiapa, ia pergi jumpa hakim Mahkamah Syariah dan membawa saksi-saksi. Jika dalam Islam kamu tidak boleh berbuat demikian maka ia harus mendiamkan diri. Dalam Islam ia adalah satu kesalahan untuk memberitahu orang lain tanpa membawa saksi-saksi.''

Gani: ''Saya mengucapkan terima kasih kepada Sulaiman dengan ilustrasi yang jelas mengenai undang-undang Islam. Tetapi kita tidak boleh mengharapkan orang biasa mengetahui perkara ini. Sebab itu kita mempunyai peguam-peguam.''

Hakim Augustine: ''Saya fikir agak adil untuk bertanya beliau sama ada beliau ikut prosedur Islam.''

Mohd. Yusof bangun untuk menjelaskan: ''Sulaiman bercakap mengenai undang-undang Islam yang tulen. Tetapi di Malaysia kita bercakap mengenai Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam. Sistem sekarang kita tidak membuat aduan kepada hakim. Kita mengadu kepada kadi.''

Fernando meneruskan soalan: ''Kenapakah kamu tidak membuat aduan mengikut jalan Islam bagi mendedahkan dakwaan ini?''

Azizan menjawab soalan itu sambil dibantu oleh jurubahasa agar lebih jelas: ''Saya tidak membawa dakwaan-dakwaan ini secara Islam kerana selepas membuat pengakuan ini (P14c)...

Azizan: ''...kerana saya berharap akan ada orang-orang ataupun pandangan daripada Perdana Menteri untuk saya membawa pengaduan atau dakwaan ini ke Mahkamah Syariah.''

Fernando: ''Mengapa kamu tidak buat sendiri?'

Hakim Augustine: ''Dia sudah jelaskan.''

Fernando: ''Boleh saya katakan kepadanya. Saya katakan kamu tidak bercakap benar. Saya katakan kamu sepatutnya telah pergi ke Mahkamah Syariah.''

Hakim Augustine: ''Perkara itu bukan relevan. Sama ada dia telah pergi atau tidak, bukan relevan. Dia telah beri penjelasannya.''

Azizan: ''Saya telah bersumpah di mahkamah bahawa saya tidak berbohong di mahkamah.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/12/1998

Ummi tidak janjikan habuan - Azizan

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Ummi Hafilda Ali tidak menjanjikan sebarang habuan yang besar supaya beliau membuat pengakuan bersumpah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azizan, 38, berkata, beliau membuat pengakuan bersumpah (P14c) dengan kerelaannya sendiri.

''Saya katakan Ummi telah buat janji-janji yang menarik untuk tujuan ini,'' kata peguam bela Anwar, Christopher Fernando dalam pemeriksaan balas pihak pendakwa pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ke-20 hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Azizan sebagai saksi penting pendakwa yang ke-12 disoal oleh Fernando yang menyatakan bahawa beliau sanggup menjual maruahnya dengan janji-janji menarik itu.

Azizan: ''Tidak ada janji yang menarik yang dijanjikan oleh Ummi kepada saya kerana saya membuatnya dengan kerelaan sendiri.''

Fernando: ''Jawab soalan saya. Setuju atau tidak. Adakah kamu dijanjikan dengan wang yang besar untuk membuat P14c ini?''

Azizan: ''Saya tidak bersetuju.''

Fernando: ''Adakah kamu dijanjikan dengan jawatan pengarah syarikat yang tidak mempunyai apa-apa peranan.''

Azizan menjawab beliau tidak bersetuju.

Fernando: ''Adakah kamu dijanjikan dengan kereta besar dan seorang pemandu?''

Azizan: ''Saya tidak dijanjikan dengan kerja yang baik dan kereta besar serta pemandu.''

Fernando: ''Adakah kamu mempunyai kereta Mercedez?'

Azizan kelihatan ketawa sebelum menjawab, tidak.

Fernando: ''Jangan ketawa, saya akan memanggil saksi-saksi.''

Azizan juga menyatakan tidak ada kereta mewah di atas namanya.

Fernando: ''Azizan, adakah kamu mempunyai kad perniagaan?''

Azizan menyatakan beliau ada membawa dua keping kad perniagaan yang serupa dan menghulurkan kepada Fernando.

Timbalan Kanan Pendakwa raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun berkata: ''Saya tidak membantah, saya juga memerlukan satu.''

Fernando kemudian mencadangkan supaya kad perniagaan itu difotostat dan dijadikan bahan bukti pihak pembela yang ditanda D50 dan D51.

''Azizan, bolehkah kamu mengemukakan Borang 49 dan 24 bagi tiga syarikat dalam kad perniagaan itu,'' pada Isnin ini?'' kata Fernando.

Azizan: ''Saya terpaksa mendapatkan daripada setiausaha syarikat.''

Beralih kepada satu soalan lain, Azizan menyatakan beliau pernah meminjam wang daripada mak cik (emak saudara) Anwar untuk membayar wang pendahuluan membeli rumah.

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/12/1998

Azizan nafi diperalat

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Azizan Abu Bakar menolak cadangan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah diperalatkan untuk membuat dakwaan kononnya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Azizan berkata, beliau juga tidak bersetuju bahawa beliau dikatakan menangis ketika meminta maaf kepada Anwar.

''Adakah kamu beritahu Anwar bahawa kamu telah diperalatkan?'' tanya peguam bela Anwar, Christopher Fernando.

Azizan: ''Tidak.''

Fernando: ''Saya katakan kamu ada menyatakan kepada Anwar mengenai perkara ini.''

Azizan: ''Saya tidak setuju.''

Beliau memberitahu demikian sebagai saksi pendakwa ke-12 pada perbicaraan hari ke-20 terhadap Anwar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada pemeriksaan balas peguam bela itu, Azizan berkata, beliau pergi ke rumah Anwar pada malam 18 Ogos tahun lalu.

''Apabila tertuduh (Anwar) memarahi saya, saya meminta maaf,'' kata beliau.

Fernando: ''Apakah yang kamu katakan?''

Azizan: ''Seingat saya, saya tidak berkata apa-apa kerana saya berasa letih dan mengantuk.''

Fernando ''Bagaimanakah kamu menyatakan maaf. Apa perkataan yang kamu gunakan?''

Azizan: ''Saya katakan, maafkan saya kerana saya terlibat dalam perkara ini.''

Fernando: ''Saya katakan bahawa Datuk Seri Anwar kata, mengapa kamu buat ini?''

Azizan: ''Saya setuju tertuduh ada berkata demikian.''

Fernando: ''Jawab hanya ya atau tidak. Dan kamu meminta dimaafkan.''

Azizan: ''Ya.''

Fernando: ''Adakah kamu menggunakan perkataan murtad?''

Azizan: ''Saya tak ingat sama ada saya menggunakan perkataan murtad.''

Fernando: ''Saya katakan inilah perkataan yang sebenarnya kamu kata.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Beliau beritahu dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Sebutkan perkataan asalnya.''

Fernando: ''Tidak mengapa ia boleh diterjemahkan. Azizan, adakah kamu kata kepada Anwar, jika saya teruskan tohmahan-tohmahan ini saya murtad.''

Azizan: ''Yang Arif, saya tidak ingat sama ada saya berkata demikian.''

Fernando: ''Saya katakan kamu ada kata demikian.''

Azizan: ''Saya masih tidak ingat.''

Fernando: ''Dan Anwar berkata, baiklah saya maafkan awak.''

Azizan: ''Saya tidak ingat kerana pada masa itu saya letih dan mengantuk.''

Fernando: ''Azizan, adakah kamu menangis sebentar ketika meminta maaf?''

Azizan: ''Tidak, saya tidak menangis.''

-------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/12/1998

Pelaksanaan hukuman penjara terhadap Zainur ditangguhkan


PEGUAM bela Anwar Ibrahim, Zainur Zakaria tenang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan ke atasnya semalam.


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan terhadap Zainur Zakaria, salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didapati bersalah menghina mahkamah dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Mohd. Yunus yang bersidang bersama-sama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Dennis Ong juga memutuskan ikat jamin RM10,000 terhadap peguam itu dikekalkan.

Ini bermakna, Zainur tidak perlu menjalani hukuman penjara tiga bulan sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul yang akan didengar pada satu tarikh yang ditetapkan kelak.

Isnin lalu, Hakim Augustine memutuskan Zainur bersalah menghina mahkamah setelah peguam itu enggan memohon maaf berhubung usul yang dikemukakan bagi pihak Anwar supaya dua timbalan kanan pendakwa raya digugurkan daripada terus mengendalikan perbicaraan itu.

Hakim Augustine memerintahkan beliau memohon maaf kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamed berhubung notis usul yang difailkan oleh Anwar meminta Gani dan Azahar digugurkan atas alasan mereka 'berniat jahat' ketika mengendalikan pendakwaan.

Notis usul yang difailkan melalui Zainur Sabtu lalu menyebut dakwaan Anwar bahawa Gani dan Azahar menyalahgunakan kuasa berhubung pendakwaan terhadap Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai (Nalla).

Anwar mendakwa, mereka telah membayangkan akan menimbangkan pendakwaan terhadap Nalla atas tuduhan yang lebih ringan hukumannya jika dia (Nalla) mengada-ngadakan cerita penglibatan Anwar dalam jenayah seks dengan pelbagai wanita.

Afidavit menyokong permohonan pengguguran kedua-dua timbalan kanan pendakwa raya itu melampirkan kenyataan bersumpah dan surat Manjeet Singh Dhillon selaku peguam bela Nalla, yang mendakwa Gani dan Azahar cuba merundingkan satu tawar-menawar pengakuan.

Nalla, rakan tenis Anwar kini menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 57(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 kerana memiliki 125 butir peluru hidup tanpa kebenaran yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Hakim Augustine ketika memutuskan permohonan tersebut menyifatkan ia tidak berasas lalu mengarahkan peguam itu menjelaskan mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Zainur, kemudian memutuskan peguam itu bersalah dan dihukum penjara tiga bulan setelah beliau enggan meminta maaf.

Sementara itu, peguam Raja Aziz Addruse ketika berhujah hari ini supaya mahkamah membenarkan hukuman terhadap perayu ditangguhkan memberitahu, pembela mempunyai alasan yang kukuh untuk diketengahkan dalam rayuan nanti.

Menurut Raja Aziz, pihak pembela antara lain akan merayu berhubung tindakan Hakim Augustine yang didakwa luar biasa ketika menjalankan prosiding penghinaan mahkamah.

Raja Aziz berhujah, Hakim Augustine ketika itu disifatkan telah menjalankan satu proses soal siasat tanpa membayangkan secara jelas tujuan soalan-soalan itu dikemukakan ketika memanggil Zainur menunjuk sebab.

Raja Aziz mengetuai barisan peguam yang mewakili Zainur termasuk Christopher Fernando, Gurbachan Singh, Sulaiman Abdullah, S.N. Nair dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Selain itu, Presiden Majlis Peguam, Dr. Cyrus V. Das serta Naib Presidennya, R.R. Chelvarajah dan Setiausaha Agung, Mah Weng Kwai hadir mewakili badan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd. Yusof Zainal Abiden yang hadir bersendirian menghujah balas, pihak pendakwa menyerahkan permohonan itu untuk diputuskan oleh mahkamah.

Sejurus sebelum mahkamah membuat keputusan, Lamin secara spontan bertanya kepada Mohd. Yusof sama ada ungkapan tersebut merupakan kata-kata sopan yang membayangkan pihak pendakwa tiada bantahan.

Soalan yang tidak diduga daripada Lamin itu mengundang ketawa kecil sebahagian besar sidang mahkamah.

Turut hadir hari ini termasuk kalangan peguam, ahli keluarga Zainur serta isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

Sementara itu, Gurbachan ketika ditemui di luar pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad memberitahu pemberita, keputusan mahkamah hari ini tidak akan menjejaskan status Zainur sebagai salah seorang peguam bela Anwar.

Menurut beliau, pihak pembela masih menunggu alasan penuh penghakiman Hakim Augustine untuk penyediaan rayuan nanti.

---------------------------------------------------------


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 4"