untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Wednesday, July 23, 2008

PENDAKWAAN - 3

ARKIB : 24/11/1998

Perbicaraan Anwar disambung hari ini

KUALA LUMPUR, 23 Nov - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap empat tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi di sini disambung hari ini setelah ditangguhkan pada 13 Nov lepas.

Dalam perbicaraan hari ini peguam Anwar dijadual menyambung soal-balas terhadap saksi ketujuh pendakwaan ACP Mazlan Md Din.

Hakim Datuk S.Augustine Paul semasa menangguhkan perbicaraan itu 13 Nov lepas berkata mahkamah memperuntukkan tiga minggu mulai hari ini bagi menyambung mendengar kes bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu.

Anwar tiba di mahkamah pada pukul 8.37 pagi dari penjara Sungai Buloh, tempat beliau ditahan reman.

Isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama anak-anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha tiba tiga minit sebelum itu.

Perbicaraan itu masih menarik perhatian orang ramai dan kira-kira 40 orang beratur pagi ini untuk mendapatkan tempat duduk di galeri awam yang terhad.

Anwar, 51, dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks.

Dia dituduh mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Setakat ini sebanyak enam daripada 52 saksi pendakwaan yang disenaraikan telah memberikan keterangan mereka.

Polis meneruskan kawalan manakala keadaan di sekitar mahkamah adalah seperti biasa.

- Bernama

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/11/1998

Ummi Hafilda serah disket kepada polis - Saksi

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, dua fail di dalam disket yang diserahkan oleh Ummi Hafilda Ali kepada polis telah ditandakan dengan tajuk X-rated dan XXX-rated yang mengandungi dakwaan perihal salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang saksi, Penolong Penguasa Polis, Zulkifli Mohamed berkata, beliau telah menandakan cakera itu 'UM9' dan menampalkan label untuk meletakkan dua tajuk fail itu.

''Saya membuat fail pertama bertajuk, X-rated dan fail kedua bertajuk, XXX-rated,'' kata Zulkifli ketika memberi keterangannya sebagai saksi ke-9 dalam perbicaraan terhadap Anwar.

Satu daripada dokumen itu ditandatangani oleh Ummi Hafilda dan dokumen kedua merupakan surat bersumpah yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat yang masuk hari ke-11 hari ini.

Pada pemeriksaan awal pihak pendakwa raya, Zulkifli, 40, kini bertugas di Bahagian Pendakwaan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah (CID) menceritakan bahawa beliau bertindak menangkap penulis surat dakwaan salah laku Anwar, Ummi Hafilda dan Azizan kira-kira pukul 10.20 malam, 7 Ogos tahun lalu.

Zulkifli berkata, kedua-duanya itu ditangkap di rumah No. 56, Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya di sini.

Menurut beliau, Penolong Kanan Penguasa Polis I, Musa Hassan telah mengarahkan supaya membantunya menjalankan siasatan ke atas satu laporan yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers di sini mengenai surat layang bertajuk, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: ''Pada 17 Ogos tahun lalu, kira-kira pukul 5.30 petang, apa yang berlaku?''

Zulkifli: ''Pada 17 Ogos, 1997, 5.30 petang, saya telah menerima panggilan telefon daripada Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mazlan Mohd. Din untuk pergi ke lokasi di alamat No. 56 Jalan Medang Tanduk.''

Sebelum itu Zulkifli berkata, tuan rumah mengambil masa yang lama untuk membuka pintu kerana tidak percaya mereka merupakan pasukan polis.

Seterusnya, selepas Ummi Hafilda dan Azizan ditangkap, pada keesokannya, kira-kira pukul 10 pagi, beliau telah menjalankan pemeriksaan di pejabat Ummi Hafilda.

Gani: ''Apakah maksud pemeriksaan?''

Zulkifli: ''Pemeriksaan itu maksudnya penggeledahan.''

Gani:'' Pada hari yang sama (18 Ogos) kira-kira pukul 11 pagi apa yang berlaku?''

Zulkifli: ''Lebih kurang pukul 11 pagi, saya telah membawa Ummi ke pejabatnya, Karisma Advertising di Danau Kota, Jalan Setapak, Kuala Lumpur.''

Gani: ''Adakah ini alamatnya, No. 97-2, Jalan 3/23A, Off Jalan Genting Klang, Danau Kota Kuala Lumpur?''

Zulkifli: ''Ya.''

Gani: ''Sesampai kamu di pejabat tersebut, adakah kamu buat penggeledahan di pejabat tersebut?''

Zulkifli: ''Saya membuat penggeledahan ke atas pejabat di alamat tersebut.''

Gani: ''Dalam pemeriksaan adakah kamu mengambil apa-apa?''

Zulkifli: ''Saya tidak mengambil apa-apa tetapi saya diserahkan beberapa dokumen serta sekeping cakera komputer oleh Ummi.''

Gani: ''Saya mohon untuk menunjukkan cakera komputer kepada saksi, ada apa-apa tanda?''

Zulkifli memberitahu bahawa beliau menandakan cakera komputer tersebut.

Gani: ''Adakah kamu memeriksa cakera tersebut untuk menentukan kandungannya.''

Zulkifli: '' Ya, saya memeriksanya.''

Gani: ''Saya memohon untuk menunjukkan dokumen yang ditanda ID14abc (surat dakwaan Ummi dan surat bersumpah Azizan).''

Zulkifli: ''Ya, kandungan ID14abc itu memang terdapat dalam cakera komputer tersebut.''

Selain itu, Zulkifli juga memberitahu bahawa Ummi Hafilda juga menyerahkan 22 helai kertas yang ditulis tangan.

Pendakwa raya itu kemudian memohon supaya kesemua dokumen yang diserahkan oleh Ummi Hafilda di pejabatnya ditandakan sebagai sebahagian bahan bukti dalam kes Anwar. Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/11/1998

Saksi beri keterangan dalam cuti bersalin

KUALA LUMPUR, 23 Nov. - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan penghargaan terhadap kesanggupan seorang saksi datang memberi keterangan walaupun dia masih dalam cuti bersalin.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah bahawa Morni Jambari, pembantu tadbir (kesetiausahaan) Cawangan Khas di Bukit Aman telah bersedia menghadirkan diri di mahkamah bagi memberikan keterangan walaupun dalam cuti bersalin.

Morni, 39, merupakan saksi kelapan perbicaraan Anwar, 51, yang menghadapi empat tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Setakat ini sembilan daripada 52 saksi pendakwaan yang disenaraikan telah memberikan keterangan mereka.

Morni dalam keterangannya berkata beliau yang bekerja di bawah kelolaan Timbalan Penguasa Polis, Abdul Aziz Hussin menerima arahan oleh pegawainya itu untuk menaip dokumen surat terbuka Azizan Abu Bakar bertulis tangan pada pukul 11 malam, 28 Ogos 1997.

Katanya, selepas menerima arahan itu beliau ke pejabat dan tiba di sana pukul 12.10 malam dan hanya menemui Abdul Aziz 30 minit kemudian.

Katanya, beliau menaip dokumen yang diserahkan Abdul Aziz sebelum mengembalikan kedua-duanya kepada pegawainya. - Bernama

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/11/1998

Hilang wang: Peguam Anwar nafi laporan polis

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Peguam Pawancheek Merican hari ini menafikan laporan bahawa beliau kehilangan antara RM50 hingga RM60 dalam kejadian pecah masuk pejabatnya pada Khamis lalu.

Menurut Pawancheek, dalam laporan dan dua kenyataan yang dibuat kepada pihak polis, tidak pernah ditimbulkan soal kehilangan wang ringgit.

Katanya, selain daripada satu laporan polis berhubung kejadian itu yang dibuat oleh seorang kakitangannya, R. Mahalingam, beliau sendiri telah membuat dua kenyataan polis berhubung kejadian itu.

''Dalam kenyataan kedua, saya menyatakan bahawa setakat pemeriksaan pada hari kenyataan itu dibuat tidak ada bukti dokumen hilang dan tidak ada wang yang hilang.

''Jadi saya agak terperanjat bila membaca laporan akhbar semalam,'' katanya kepada pemberita di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Bagaimanapun, Pawancheek yang juga salah seorang peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih meneliti fail-fail di pejabatnya bagi memastikan sekiranya ada dokumen yang hilang.

''Setakat ini dokumen yang berkaitan dengan kes Anwar tidak ada yang hilang, tidak ada wang yang hilang malah buku cek dan pasport juga tidak diusik,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Hulu Langat, Pesuruhjaya Polis Zakaria Abdul Hamid semalam yang mengesahkan kejadian pecah masuk itu tidak mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes Anwar.

Dalam kenyataannya semalam, Zakaria berkata, siasatan polis mendapati pejabat itu diceroboh oleh pencuri amatur.

''Motifnya cuma nak dapatkan duit, tidak ada motif lain. Duit yang hilang pula hanya RM50 hingga RM60,'' kata Zakaria.

------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 24/11/1998

Ummi Hafilda serah disk komputer bertajuk XXX-Rated

KUALA LUMPUR, 23 Nov - Ummi Hafilda Ali menyerahkan beberapa dokumen beserta sekeping cakera komputer yang kandungan failnya bertajuk ''X-rated'' dan ''XXX-rated'' kepada polis, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi pendakwaan kesembilan, ASP Zulkifli Mohamed berkata penyerahan itu dibuat semasa beliau menggeledah pejabat Ummi Hafilda pada 18 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia ditangkap.

Katanya, beliau membawa Ummi Hafilda ke pejabat wanita itu, Karisma Advertising di Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 11 pagi selepas beliau diserahkan kembali oleh DSP Abdul Aziz Hussin dari Cawangan Khas, Bukit Aman.

Ummi Hafilda sebelum itu diserahkan kepada pegawai di Cawangan Khas itu setelah ditangkap di sebuah rumah di Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya, Bangsar di sini bersama Azizan Abu Bakar, pada pukul 10.25 malam sebelumnya.

Zulkifli, 40, dari Bahagian Pendakwaan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berkata demikian pada perbicaraan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks.

Anwar, 51, didakwa mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-11 itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Ummi Hafilda dibawa ke Cawangan Khas untuk disoal siasat selepas ditangkap dan menjalankan proses ''turning over'' bagi mengubah pendiriannya mengenai dakwaan terhadap Anwar.

Dia disoal siasat selama enam jam tanpa henti sehingga bersedia mengubah pendiriannya pukul 7 pagi hari berikutnya.

Semasa menjawab pertanyaan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail, Zulkifli berkata semasa penggeledahan pejabat itu, beliau tidak mengambil apa-apa tetapi diserahkan beberapa dokumen serta cakera komputer itu oleh Ummi Hafilda.

Katanya beliau kemudian menandakan cakera dan menampalkan label untuk meletakkan dua tajuk fail yang terdapat dalam cakera itu.

Gani: Apa tajuk fail dalam disk itu?

Zulkifli: Tajuk pertama X-rated dan kedua XXX-rated.

Paul: Berapa kali X?

Zulkifli: Tiga kali Yang Arif.

Beliau berkata beliau kemudian memeriksa kandungannya.

Zulkifli berkata beliau juga diserahkan dua salinan dokumen surat perihal salah laku berkenaan, lima salinan pengakuan bersumpah Azizan serta 22 helai kertas yang dipakai bertulisan tangan yang tidak diketahui kepunyaan siapa.

Sebelum itu Zulkifli, yang mula bertugas di JSJ pada 1 Ogos 1997, memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima arahan daripada SAC I Musa Hassan untuk membantunya menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Zull Aznam Haron, juruiring Anwar, dan bersedia untuk dipanggil oleh Cawangan Khas pada 16 Ogos 1997.

Beliau berkata beliau juga diserahkan dokumen ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim'' dan menandanya bagi menunjukkan penerimaan dan diarah supaya menunggu Cawangan Khas menghubunginya.

Katanya, ACP Mazlan Mohd Din menghubungi beliau pada 17 Ogos, lebih kurang 5.30 petang yang memintanya ke rumah No. 56 Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya dengan segera untuk menangkap Ummi Hafilda dan Azizan.

Beliau berkata beliau tiba pukul 5.50 petang dan mendapati Mazlan telah berada bersama dua pegawai polis lain di luar pagar rumah berkenaan.

Zulkifli berkata Mazlan beberapa kali menghubungi tuan rumah berkenaan melalui telefon bimbitnya bagi membolehkan mereka masuk tetapi hanya masuk ke halaman pukul 6 petang dan masuk ke dalam rumah pada pukul 10.25 malam.

Beliau berkata mereka mengambil masa yang lama untuk masuk ke rumah itu kerana tidak dibenarkan masuk oleh tuan rumah sebelum itu setelah tidak mempercayai mereka daripada pasukan polis.

''Selepas masuk ke dalam rumah saya membuat tangkapan terhadap Ummi Hafilda dan Azizan yang kemudian saya serah kepada ACP Mazlan,'' katanya.

Ummi Hafilda dan Azizan kemudian dipanggil masuk ke mahkamah untuk pengecaman. Ketika itu Anwar kelihtaan menoleh kepada anggota keluarganya di tempat duduk awam dan tersenyum.

Paul kemudian menangguhkan untuk mendengar keterangan Zulkifli pada pukul 12 tengah hari bagi membolehkan mahkamah mendengar permohonan peguam Karpal Singh untuk mengetepikan saman sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes itu.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/11/1998

Saksi tidak maksud untuk tentang agama

KUALA LUMPUR, 23 Nov - ACP Mazlan Mohd Din dari Cawangan Khas memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak bermaksud untuk bertindak bertentangan dengan agama Islam ketika melakukan ''turning over'' seorang saksi penting dalam perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada perbicaraan hari ini, yang disambung semula setelah ditangguhkan pada 13 Nov lepas, Mazlan berkata beliau tidak pernah memberi pertimbangan bahawa apa yang dilakukan itu bertentangan dengan agama.

''Pada malam itu tidak langsung terlintas di fikiran saya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam,'' katanya ketika disoal oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed pada hari ke-11 perbicaraan.

Anwar menghadapi empat pertuduhan rasuah mengikut Ordinan No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 berkaitan dakwaan perihal salah laku seks di luar tabii.

Mazlan, saksi ketujuh pendakwa, menyambung keterangannya di hadapan Hakim Datuk S.Augustine Paul. Mazlan ditanya mengenai usahanya untuk mengubah kenyataan Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar, seorang daripada dua penulis surat mengenai dakwaan perihal salah laku seks di luar tabii, Anwar.

Sebelum itu, ketika ditanya peguam bela Christopher Fernando, Mazlan bersetuju usaha ''turning over'' yang dilakukan itu bertentangan dengan kepercayaan agamanya, memandangkan beliau yakin dengan kenyataan asal Azizan, apatah lagi Azizan telah bersumpah dengan surah Yasin.

Fernando: Kalau betullah apa yang kamu katakan adalah benar bahawa kamu mempercayai Azizan berdasarkan dua sebab, iaitu bersumpah dengan menggunakan surah Yasin dan konsisten dengan cerita-ceritanya, bukankah kamu dengan itu melakukan satu yang bertentangan dengan kepercayaan agama kamu sendiri.

Mazlan: Ya, saya setuju.

Fernando: Jika kamu seorang yang bertentangan dengan kepercayaan agama kamu sendiri, saya katakan kamu tidak boleh dipercayai walaupun telah bersumpah.

Hakim Augustine Paul: Tidak perlu jawab. Saya akan putuskan perkara itu kemudiannya.

Ketika disoal semula oleh Azahar, Mazlan berkata beliau tidak pernah terfikirkan apa yang dilakukannya bertentangan dengan ajaran Islam.

Azahar: Tadi semasa disoal kamu berkata kamu sedia mengubah sesuatu yang bertentangan dengan agama, adakah bermakna semasa melakukan ''turning over'' perkara itu dalam pertimbangan kamu.

Mazlan: Pada malam itu tidak langsung terlintas di fikiran saya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Azahar: Adakah kamu berbuat sesuatu dengan niat bertentangan dengan agama.

Mazlan: Pada malam itu saya tidak ada niat melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Semasa menyoal balas Mazlan, Fernando banyak mengaitkan soalannya dengan kredibiliti saksi, sehingga satu ketika Hakim terpaksa menegurnya, setelah saksi mengadu tidak faham soalan ''berbelit-belit'' yang ditujukan kepadanya.

Menjawab satu soalan, Mazlan berkata Azizan cuba menyakinkan dia bahawa pengakuan bersumpahnya, yang dia telah diliwat oleh Anwar adalah benar.

Fernando: Adakah pada masa itu, sekiranya Azizan mengakui bahawa kandungan surat sumpah itu adalah tidak benar dia boleh dituduh di mahkamah atas kesalahan itu.

Mazlan: Saya langsung tidak memikirkan perkara itu. Saya diberi arahan secara spesifik oleh Datuk Mohd Said Awang (ketika itu Pengarah Cawangan Khas) dan saya sedar Mohd Said adalah pengarah saya dan apa saja arahannya sudah difikir masak-masak.

Fernando: Adakah kamu sekarang sedar sekiranya Azizan telah mengakui bahawa kandungan surat itu sebagai tidak benar, Azizan boleh dituduh di makhamah.

Mazlan: Saya tidak ada kelulusan undang-undang.

Fernando yang mendengar jawapan Mazlan itu berkata semua orang tahu mengenainya dan kenyataan itu disambut oleh Hakim, yang mempersoalkan sebab peguam itu masih mahu jawapan daripada saksi.

Fernando: Yang Arif, saya mahu jawapan daripada dia.

Mazlan kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kelayakan undang-undang dan beliau berkhidmat dalam pasukan polis selama 29 tahun di Cawangan Khas sahaja.

Beliau bersetuju dengan cadangan Fernando bahawa untuk mencapai kedudukannya sekarang beliau perlu lulus peperiksaan undang-undang jabatan.

Sebelum itu Mazlan yang memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai Diploma Sains Kepolisan, berkata beliau faham seseorang yang ditangkap perlu diberitahu sebab-sebabnya, tetapi tidak tahu sama ada Ummi Hafilda Ali dan Azizan dimaklumkan mengenainya kerana tangkapan dibuat oleh ASP Zulkifli Mohamed.

Mazlan berkata beliau kurang pasti sama ada memaklumkan Azizan sebab beliau (Azizan) ditangkap, tetapi percaya Azizan telah diberitahu tangkapan itu bersangkutan dengan surat layang bertajuk ''Talqin terbuka Untuk Anwar Ibrahim''.

Azizan menafikan dia menulis surat ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim'' itu, tetapi mengakui menulis pengakuan bersumpah, dan dia cuba menyakinkan saya mengenainya, katanya.

Mazlan berkata perkara Azizan cuba melepaskan diri daripada didakwa, sebagaimana yang dilakukan penjenayah lain, dengan cuba meyakinkan dakwaannya benar, tidak berbangkit.

Fernando: Sebagai seorang pegawai polis kanan, kamu tahu atau tidak bahawa kalau Azizan mengakui bahawa kandungan surat sumpah tidak benar bermakna dia (Azizan) akan mengakui kesalahan.

Mazlan: Yang Arif, soalan itu ''complicated''.

Paul kemudian meminta Fernando membangkit soal itu dalam hujahnya nanti kerana ia merupakan soalan hipotesis, tetapi Fernando menyusun semula soalannya.

Peguam bela itu kemudian menyoal Mazlan berkaitan pengetahuan ''asas'' (rudimentary) undang-undangnya, dan penterjemah menterjemahkan perkataan ''rudimentary'' bermaksud ''asas'' (basic). Fernando tidak bersetuju dengan terjemahan itu.

Kekeliruan itu menyebabkan Hakim meminta Fernando supaya menggunakan bahasa kebangsaan bagi memudahkan saksi.

Mazlan kemudiannya menjelaskan bahawa beliau sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan asas, tetapi ia masih tidak mencukupi, dan beliau lulus ''Higher Law'' pada tahun 1978.

Paul: Apakah tujuan soalan itu? Peguam mempunyai ijazah undang-undang, tetapi mereka tidak tahu undang-undang (katanya berjenaka).

Fernando: Jawapannya menampakkan kebolehpercayaannya.

Mazlan berkata walaupun beliau mempunyai diploma undang-undang kepolisan, ia hanya sebahagian undang-undang sahaja.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 24/11/1998

Ummi, Azizan merayu jangan diapa-apakan - Saksi

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar terkejut dan kelihatan pucat serta menggigil apabila mengetahui mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Saksi pendakwa kesembilan, Penolong Penguasa Zulkifli Mohamed berkata, kedua-duanya bagaimanapun tidak menafikan apa-apa.

''Sebaliknya, mereka merayu kepada saya supaya jangan mengapa-apakan mereka,'' kata beliau ketika disoal balas oleh salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Christopher Fernando.

Zulkifli memberi keterangan itu pada sesi sebelah petang perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Fernando kemudian menyoal saksi itu sama ada Ummi Hafilda dan Azizan meminta sebarang jaminan daripadanya.

Zulkifli: ''Tidak, mereka tidak meminta sebarang jaminan daripada saya.''

Fernando: ''Kamu sempat bercakap dengan mereka?''

Zulkifli: ''Ya, Yang Arif. Saya sempat bercakap dengan kedua-duanya.''

Fernando: ''Adakah kamu beritahu mereka agar tidak merasa takut?''

Zulkifli: ''Saya cuma ambil butir-butir peribadi mereka dan terangkan sebab mereka ditangkap.''

Fernando: ''Adakah sepanjang masa kamu bersama mereka, adakah mereka menafikan dakwaan yang disebutkan tadi?''

Zulkifli: ''Tidak, mereka tidak menafikan apa-apa.''

Sebelum itu, Fernando mempersoalkan kenapa polis sanggup menunggu lebih empat jam setelah bertindak memecah masuk ke rumah Dr. Ristina, tempat persembunyian Ummi Hafilda dan Azizan.

Menurut peguam itu, sekiranya tidak ada campur tangan daripada sesiapa, sudah tentu polis tidak akan menunggu begitu lama kerana keadaan itu agak luar biasa.

''Saya tidak setuju,'' kata Zulkifli.

Fernando: ''Selain pihak polis yang berunding dengan Dr. Ristina untuk mendapatkan kerjasama beliau bagi membolehkan polis masuk ke rumahnya, siapa lagi yang berada di luar rumah itu?''

Zulkifli: ''Apa yang saya ingat, yang berada di luar ketika itu hanyalah Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan dan Datuk Jamil Johari. Kalaupun ada yang lain, saya tak kenal.''

Fernando: ''Saya cadangkan kepada kamu, tentu ada ramai lagi orang di luar rumah itu yang mengganggu, sebab itulah kami mengambil masa lebih 4 jam untuk membuat tangkapan.''

Zulkifli: ''Saya rasa tiada sesiapa campur tangan pada masa polis berunding dengan tuan rumah. Yang saya ingat cuma SAC Musa dan Datuk Jamil.''

Fernando: ''Pernah tidak kamu menunggu lebih 4 jam untuk membuat tangkapan sebelum ini?''

Zulkifli: ''Tidak pernah kerana inilah tangkapan pertama saya sejak memasuki Jabatan Siasatan Jenayah.''

Saksi itu kemudian disoal balas pula oleh seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh yang cuba menyentuh mengenai kehadiran Datuk Jamil.

Gurbachan: ''Pada hari tangkapan, Datuk Jamil tak dipanggil oleh kamu?''

Mendengar soalan itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul berkata, peguam Christopher Fernando telahpun menyoal saksi itu berkenaan Datuk Jamil.

''Isu Datuk Jamil sudah ditanya oleh Fernando. Kamu mesti ingat peruntukan Seksyen 5 Akta Keterangan bahawa peguam tidak boleh menyoal saksi berhubung isu yang sama,'' tegur beliau.

Gurbachan: ''Saya tidak akan mengemukakan soalan yang sama. Namun selepas mendengar dan merekodkan soalan saya, sekiranya Yang Arif tidak berpuas hati, Yang Arif boleh membatalkannya.''

Hakim: ''Tindakan kamu itu seolah-olah menganiaya saksi.''

Gurbachan: ''Yang Arif, dengarkan dulu soalan saya kepada saksi.''

Lalu beliau menoleh kepada Zulkifli dan bertanya: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada hari tangkapan dibuat, Datuk Jamil tidak dipanggil oleh kamu atau anggota pasukan polis yang membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Ya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa pada masa itu Datuk Jamil tidak lagi bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah?''

Belum sempat saksi menjawab, Hakim Augustine mencelah lagi sambil menegur Gurbachan kerana masih terus menyoal saksi itu berhubung isu yang sama (Datuk Jamil).

Gurbachan: ''Yang Arif, kami telah berulang lagi mengendalikan kes-kes di hadapan hakim-hakim lain. Mereka tidak pernah menyekat kami mengemukakan soalan-soalan sedemikian.''

Hakim: ''Apapun soalannya, ia tidak berkaitan dan saya tidak akan membenarkannya. Saya bukanya mesin taip, rekod setiap soalan dan batalkan saja jika tidak setuju. Peruntukan Seksyen 5 Akta Keterangan sudah cukup jelas. Soalan mengenai perkara itu sudahpun ditanya.''

Gurbachan: ''Soalan sebelum ini hanya menyentuh mengenai siapa yang berada di tempat kejadian. Kami ingin tahu apakah Datuk Jamil masih bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah atau sebaliknya ketika itu.''

Hakim: ''Saya tidak benarkan.''

Mendengar keputusan Hakim Augustine, Gurbachan mengalih tumpuan kepada soalan lain.

Beliau menyoal saksi itu sama ada Ummi Hafilda dan Azizan menentang tangkapan terhadap mereka sehingga memaksa polis mengambil masa lebih 4 jam untuk melaksanakan tugas tersebut.

Zulkifli: ''Ya, saya setuju Ummi Hafilda dan Azizan menentang tangkapan terhadap mereka.''

Gurbachan: ''Adakah polis terpaksa memecah masuk ke rumah Dr. Ristina?''

Zulkifli: ''Ya, polis terpaksa berbuat demikian. Polis juga memberitahu tuan rumah itu tujuan mereka memasuki rumahnya.''

Gurbachan: ''Adakah rumah Dr. Ristina rosak teruk akibat tindakan polis memecah masuk ke rumahnya untuk membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Tidak rosak teruk.''

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu Dr. Ristina membuat apa-apa tuntutan?''

Zulkifli: ''Saya tidak tahu.''

Gurbachan: ''Pada hari tangkapan dibuat, adakah mesin gun digunakan untuk membuat tangkapan?''

Zulkifli: ''Tidak.''

Perbicaraan bersambung esok.

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/11/1998

Fakta perilaku digugur -- Ekoran pertelagahan pendakwa, peguam dalam perbicaraan Anwar

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersetuju untuk menggugurkan butiran mengenai perilaku tertuduh daripada rekod mahkamah ekoran pertelagahan yang berlaku antara pihak pendakwa dan peguam bela.

Hakim Datuk S. Augustine Paul bersetuju untuk menggugurkan fakta perilaku buruk Anwar yang terkandung dalam laporan siasatan operasi 'Solid Grip' atas permohonan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

Beliau juga membenarkan permohonan peguam Anwar, Gurbachan Singh supaya fakta mengenai perilaku baik Anwar bahawa dia 'berkebolehan, bertanggungjawab' daripada keterangan Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Alias Ali digugurkan.

Sehubungan itu, Hakim Augustine melarang pihak media daripada menyiarkan butiran yang terkandung di dalam laporan siasatan operasi 'Solid Grip' yang dilakukan pada tahun 1992 berhubung salah laku seks Anwar.

Ketika membenarkan kedua-dua permohonan itu, beliau berkata, perkara ini harus dijadikan ingatan bahawa seseorang itu harus tahu batas dan sentiasa berhemat ketika menyoal saksi.

''Ini kerana tanpa menyedari kedua-dua perkara itu mungkin menyebabkan pihak-pihak yang terlibat menghadapi kesulitan yang serius,'' tegas beliau.

Perbicaraan pada sesi pagi menyaksikan Gani dan Gurbachan bertelagah apabila saksi pendakwa ke-11, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus disoal berhubung butiran laporan operasi 'Solid Grip'.

Amir dipanggil memberi keterangan terhadap Anwar, 51, yang kini menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat. Perbicaraan masuk hari yang ke-12 hari ini.

Gani ketika menyoal saksi itu meminta beliau menerangkan apa yang diketahuinya tentang operasi 'Solid Grip'.

Amir yang cuba memberi penjelasan mengenai perkara itu ternyata tidak dapat berbuat demikian apabila jawapan-jawapan yang diberikan kebanyakannya terhenti setelah dibantah oleh Gurbachan.

Sebelum mahkamah bersidang pada sebelah petang, Gani dan Gurbachan dilihat memasuki kamar hakim untuk berbincang.

Mereka mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum keluar untuk meneruskan perbicaraan.

Sebaik mahkamah bersidang, Gurbachan mengemukakan permohonannya yang tidak dibantah oleh Gani diikuti dengan permohonan pihak pendakwa raya sendiri.

Selepas mendengar keputusan Hakim Augustine, Gani meneruskan soalannya kepada saksi berhubung beberapa siri pertemuannya dengan Anwar di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Gani: ''Pada 12 Ogos 1997, lebih kurang pukul 8 malam, apa berlaku?''

Amir: ''Saya telah menerima panggilan telefon daripada Penolong Penguasa Polis Zull Aznam Haron yang menyatakan bahawa tertuduh hendak berjumpa saya dan SP1 (Datuk Mohd. Said Awang) pada jam 10 malam.''

Gani: ''Adakah Zull Aznam nyatakan di mana tertuduh hendak jumpa kamu berdua?''

Amir: ''Kata Zull Aznam, tertuduh hendak menemui kami di kediaman rasminya.''

Gani: ''Adakah kamu maklumkan kepada SP1 mengenai panggilan ini?''

Amir: ''Saya beritahu SP1 melalui telefon mengenai perjumpaan tersebut.''

Gani: ''Adakah kamu dan SP1 pergi menemui tertuduh?''

Amir: ''Pada pukul 10 malam, saya dan SP1 telah pergi ke rumah tertuduh dan apabila sampai kami dibawa oleh tertuduh ke bilik bacaannya.''

Gani: ''Boleh kamu camkan orang yang kamu temui?''

Amir: ''Dia berada di kandang tertuduh, Tan Sri...(disambut ketawa hadirin dalam mahkamah lalu saksi membetulkan kesilapannya), Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Gani: ''Selain kamu bertiga, adakah sesiapa lagi di bilik bacaan itu?''

Amir: ''Tidak ada, Yang Arif.''

Gani: ''Apa berlaku kemudian?''

Amir: ''Tertuduh memaklumkan kepada kami berkenaan dengan ID14 (surat bertajuk Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri) dan bertanya adakah kami juga mendapat salinannya.

''Tertuduh juga menyatakan bahawa surat ini ditulis oleh Ummi Hafilda dan tertuduh menceritakan masalah Ummi dengan keluarganya.''

Gani: ''Apa pula yang kamu maklumkan kepada tertuduh?''

Amir: ''Kami maklumkan bahawa ID14 telah kami peroleh daripada IGP (Ketua Polis Negara). Seterusnya, tertuduh arahkan kami supaya mengesan Ummi dan Azizan serta mencungkil segala maklumat daripada mereka kenapa kedua-duanya membuat dakwaan seperti dalam ID14.''

Gani: ''Adakah kamu nyatakan apa-apa selepas diberi arahan?''

Amir: ''Saya dengar SP1 kata, We will look into the matter (Kami akan kaji perkara ini).''

Gani: ''Apa berlaku pada malam 13 Ogos 1997?''

Amir: ''Saya sekali lagi menerima panggilan telefon daripada Zull Aznam yang juga memaklumkan bahawa tertuduh hendak berjumpa saya dan SP1. Saya maklumkan kepada SP1 dan kami kemudiannya pergi ke kediaman tertuduh.

''Kami dibawa ke bilik bacaan dan hanya saya, SP1 dan tertuduh sahaja berada di bilik itu.''

Gani: ''Apa berlaku seterusnya?''

Amir: ''Kami berbincang mengenai ID14 dan kami juga menyatakan bahawa Ummi dan Azizan belum dapat dikesan.

''Saya telah maklumkan bahawa ID14 yang kami peroleh daripada IGP, telah diserahkan kepada IGP sebelum itu oleh Datuk Seri Megat Junid.''

Gani: ''Selepas itu apa berlaku?''

Amir: ''Tertuduh telah mengarahkan kami untuk mengesan Ummi dan Azizan dengan secepat mungkin dan menemu duga mereka dan gempar mereka.''

Gani: ''Apabila tertuduh kata 'gempar' Ummi dan Azizan, apa yang kamu faham daripada perkataan itu?''

Amir: ''Daripada air muka, nada dan suara tertuduh, saya yang berasal dari Pulau Pinang berpendapat perkataan 'gempar' yang dimaksudkan oleh tertuduh ialah untuk menakutkan mereka.''

Gani: ''Adakah kamu tahu kenapa tertuduh minta kamu gemparkan Ummi dan Azizan?''

Amir: ''Daripada permintaan itu, untuk gemparkan Ummi dan Azizan, supaya mereka tidak menyebarkan dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam ID14.''

Saksi itu kemudian ditanya mengenai pertemuan beliau dan SP7 (Penolong Pesuruhjaya Polis Mazlan Mohd. Din) dengan SP1 di pejabat Pengarah Cawangan Khas pada pukul 9.30 pagi 15 Ogos 1997.

Menurut Amir, mereka berbincang untuk menentukan sama ada laporan polis perlu dibuat berhubung arahan-arahan yang diberikan oleh tertuduh agar mereka dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Gani: ''Adakah SP7 berkata apa-apa?''

Amir: ''SP7 memaklumkan perkembangan siasatan ke atas ID14 serta mengenai satu surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim yang telah tersebar. SP7 juga memaklumkan bahawa Ummi dan Azizan belum dapat dikesan lagi.

''Semasa berbincang, saya mendapat satu lagi panggilan daripada Zull Aznam yang memberitahu bahawa saya dan SP1 dikehendaki bertemu tertuduh sekali lagi di kediamannya pada jam 2 petang hari yang sama.''

Gani: ''Siapa bagi arahan?''

Amir: ''Tertuduh sendiri melalui Zull Aznam.''

Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/11/1998

Polis temui surat pengakuan di rumah Azizan

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Penolong Penguasa Polis Mazlan Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa polis menemui satu salinan surat pengakuan bersumpah bertarikh 5 Ogos 1997 ketika menjalankan pemeriksaan di rumah Azizan Abu Bakar selepas dia ditangkap berhubung siasatan dakwaan perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mazlan juga berkata, beliau telah menemui sebuah diari kecil bertanda Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kepunyaan Azizan.

Seterusnya, kata Mazlan, beliau kembali ke pejabatnya dan memaklumkan kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis I, Musa Hassan mengenai barang-barang yang dijumpai di rumah Azizan itu.

Menurutnya lagi, beliau pergi ke rumah Azizan atas arahan Musa kira-kira pukul 10 pagi pada 18 Ogos tahun lalu.

Mazlan, 38, memberitahu demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwa ke-10 dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan itu.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Perbicaraan terhadapnya masuk hari ke-12 hari ini.

Menurut Mazlan, Azizan juga pergi ke rumahnya bersama-sama dengan pasukan polis tersebut.

Beliau berkata, rumah Azizan beralamat di No. 54, Jalan Bersatu I, Rawang, Selangor.

Selepas itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menandakan barang-barang yang dijumpai di rumah Azizan sebagai sebahagian daripada bahan bukti kes tersebut.

-----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/11/1998

Tiada layanan istimewa untuk Dr Ristina Majid, mahkamah diberitahu

KUALA LUMPUR, 24 Nov. - Polis tidak memberi layanan istimewa kepada pemilik rumah yang memberi perlindungan kepada dua orang penulis surat mengenai dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Walaupun polis mengambil masa yang agak lama sebelum membuat tangkapan terhadap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar, tetapi ia bukan kerana layanan istimewa mahupun takut terhadap tuan punya rumah, Dr Ristina Majid, kata ASP Mazlan Mansor, saksi ke-10 pendakwaan.

Mazlan, 38, dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-12 Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah mengikut Ordinan No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970.

Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, dituduh menggunakan jawatan serta kedudukan untuk campur tangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks beliau.

Ketika disoal balas peguam bela Christopher Fernando, Mazlan berkata beliau tidak setuju dengan cadangan Fernando bahawa polis takut untuk memasuki rumah itu dan memberi layanan istimewa kepada Dr Ristina, Ummi Hafilda dan Azizan.

Fernando mencadangkan demikian kerana polis mengambil masa empat setengah jam untuk masuk dan menangkap Azizan dan Ummi Hafilda.

Mazlan: ''... mungkin sesuatu yang luar biasa di mana polis terpaksa menunggu sehingga empat setengah jam untuk menjalankan sesuatu tangkapan, tetapi keadaan sedemikian bukan menunjukkan polis takut untuk memasuki rumah itu atau kerana memberi layanan istimewa kepada Dr Ristina, Ummi Hafilda dan Azizan.''

Beliau juga tidak setuju dengan cadangan Fernando bahawa polis tidak berani bergerak dan masuk kerana ada orang-orang yang berpengaruh di belakang Dr Ristina, Ummi Hafilda dan Azizan.

Beliau memberitahu Hakim Datuk S.Augustine Paul yang beliau ditugaskan ke rumah Dr Ristina hanya untuk membantu menangkap Azizan dan Ummi Hafilda.

Mazlan: ''Saya hanya membantu dalam penangkapan itu tetapi tidak membuat sebarang tangkapan, hanya membantu.''

Katanya dia nampak ASP Zukifli Mohamed membawa Ummi Hafilda dan Azizan keluar melalui balkoni di tingkat atas.

Azizan pada masa itu memegang sebuah beg kecil yang beliau tidak pasti jenis dan warnanya kerana pada masa itu beliau berada lebih kurang 10 hingga 15 meter dari balkoni.

Sebelum itu ketika disoal Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed, Mazlan berkata pada 18 Ogos 1997 pada lebih kurang 10 pagi beliau menerima arahan dari SAC I Musa Hassan untuk membuat pemeriksaan di rumah Azizan di no. 54, Jalan Bersatu 1, Rawang, Selangor.

Katanya dalam pemeriksaan itu, beliau yang dibantu seorang lans koperal polis dan Azizan sendiri, menemui satu salinan surat pengakuan bersumpah bertarikh 5 Ogos 1997 dengan tandatangan Azizan.

Turut ditemui ialah diari kecil bertanda Institut Kefahaman Islam Malaysia yang mengikut kandungannya dipunyai oleh Azizan, katanya.

Mazlan berkata mereka kembali ke pejabatnya dan memaklumkan kepada SAC I Musa mengenai barang-barang yang dijumpai. Satu senarai pemeriksaan mengenai penemuan itu juga dibuat.

Azizan juga dibawa kembali ke Bukit Aman, katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/11/1998

Saksi: Tiada layanan istimewa bagi Ristina


HAKIM Paul (tengah) ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas penangguhan perbicaraan Anwar yang masuk hari kedua belas semalam.


KUALA LUMPUR 24 Nov. - Perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini hangat seketika apabila peguam belanya membangkitkan isu penangkapan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar yang mengambil masa lebih empat jam.

Ummi Hafilda merupakan penulis surat dakwaan 'Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri' dan Azizan pula dikatakan melampirkan surat pengakuan bersumpah bahawa dia diliwat oleh tertuduh itu.

Saksi ke-10 dalam perbicaraan itu, Penolong Penguasa Polis, Mazlan Mansor ketika disoal balas peguam Christopher Fernando, memberitahu bahawa beliau tidak menyembunyikan apa-apa mengenai penangkapan ke atas Ummi Hafilda dan Azizan.

Fernando: ''Kamu menyembunyikan sebab sebenar kenapa hingga mengambil masa 4 1/2 jam untuk menangkap mereka.''

Mazlan: ''Saya tidak tahu alasan lain. Kami terpaksa menunggu 4 1/2 jam sebelum membuat tangkapan.''

Fernando: ''Tuan rumah (Dr. Ristina Majid) ini diberi layanan istimewa. Setuju atau tidak?''

Mazlan menyatakan beliau tidak faham maksud layanan istimewa yang dikatakan peguam bela tersebut dan selepas diperjelaskan saksi itu berkata bahawa beliau tidak bersetuju.

Fernando: ''Adakah kamu tahu bagi kes Datuk Seri Anwar bagaimana polis bertindak menangkapnya?

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bangun membantah.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah: ''Apa soalannya?''

Fernando: ''Adakah kamu tahu dalam kes ini, polis memecah pintu untuk masuk ke rumahnya walaupun terdapat pintu yang lain untuk masuk menangkapnya (Anwar).''

Azahar: ''Saya membantah.''

Hakim Augustine: ''Apakah soalannya?''

Fernando: ''Adakah kamu tahu?''

Mazlan: ''Saya tahu.''

Azahar: ''Saya membantah soalan ini.''

Hakim Augustine: ''Saksi kamu sudah menjawab sebelum kamu membantah.''

Azahar kemudian membaca beberapa kuasa undang-undang untuk menyokong bantahannya.

Mazlan: ''Saya membaca dalam surat khabar, Yang Arif.''

Fernando: ''Soalan ini ada kaitan.''

Hakim Augustine: ''Kamu telah pergi ke ekspedisi menangkap ikan. Di sini tiada ikan.''

Fernando: ''Ada ikan besar.'' Hadirin tergelak.

Fernando meneruskan soalannya: ''Adakah luar biasa polis mengambil masa 4 jam untuk buat tangkapan?''

Mazlan: ''Itu pendapat anda.''

Fernando: ''Ia luar biasa.''

Mazlan: ''Mungkin ia sesuatu yang luar biasa bagi keadaan di mana pihak polis terpaksa menunggu 4 1/2 jam sebelum membuat tangkapan Ummi Hafilda dan Azizan.''

Fernando: ''Ini soalan akhir, Yang Arif. Saya katakan kepada kamu bahawa Dr. Ristina, Ummi Hafilda dan Azizan diberi layanan istimewa dan polis tidak masuk kerana terdapat orang-orang yang berpengaruh di belakang mereka.''

Azahar: ''Saya bantah soalan ini kerana dia (saksi) tidak berkemampuan untuk menjawabnya.''

Mazlan: ''Saya tidak setuju, Yang Arif bahawa Ummi Hafilda, Azizan dan Dr. Ristina diberi layanan istimewa sebab itulah pihak polis tidak berani bergerak masuk kerana ada orang-orang yang mempunyai pengaruh di belakang mereka.''

Perbicaraan bersambung esok.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 25/11/1998

KPN maklumkan Megat Junid serahkan surat

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor telah memaklumkan kepadanya mengenai sepucuk surat yang mengandungi dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan sejenis dengan seorang lelaki bernama Azizan Abu Bakar.

Amir berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika berada di rumah KPN kira-kira pukul 8 malam pada 8 Ogos tahun lalu.

''Saya pergi ke rumah KPN, Tan Sri Rahim Noor di atas arahan beliau,'' kata Amir.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: ''Apakah yang berlaku semasa kamu di rumah KPN?''

Amir: ''Semasa berada di rumah KPN, beliau telah menyatakan kepada saya bahawa pada pagi 8 Ogos 1997, Datuk Seri Megat Junid (ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri) telah datang ke pejabatnya dan menyerahkan sepucuk surat yang bertajuk 'Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim'.''

Amir berkata, surat itu mengandungi laporan khas dan satu akuan bersumpah dan surat ini dialamatkan kepada Perdana Menteri.

Gani: ''Ada apa-apa lagi yang dimaklumkan oleh KPN kepada kamu.''

Ketika Amir menyatakan bahawa surat itu mengandungi dakwaan salah laku seks terhadap Anwar, peguam belanya, Gurbachan Singh bangun membantah.

Gurbachan berkata, beliau ada dua alasan, apa yang dikatakan itu adalah dengar cakap dan surat tersebut sudah ditandakan sebagai barang kes.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menghujah balas bahawa pihaknya ingin membentangkan rentetan keterangan saksi itu dalam perbicaraan terhadap Anwar.

Gurbachan: ''Saya merujuk keterangannya dan bukan kepada surat. Keterangannya, 'hubungan sejenis' adalah kata-kata dengar cakap.''

Gani: ''Tujuan kami hanya untuk menunjukkan rentetan keterangan dan kami tidak akan menyoal lebih dalam lagi.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul menolak bantahan itu.

Amir Junus yang akan mencapai usianya 55 tahun dua hari lagi memberi keterangan sebagai saksi ke-11 dalam kes Anwar.

Anwar, 51, sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat yang kini masuk hari ke-12 hari ini.

Gani meneruskan soalan: ''Datuk, ada apa-apa lagi kamu diberitahu?''

Amir: ''KPN juga beritahu saya bahawa surat ini telah ditandatangani oleh seorang perempuan yang bernama Ummi Hafilda Ali dan laporan ini mengandungi dua lampiran.

Gani: ''Datuk, seterusnya adakah KPN beri arahan kepada kamu?''

Amir menerangkan bahawa KPN mengarahkan kepada beliau dengan berkata: ''Sila siasat sejauh manakah surat ini tersebar dan latar belakang penulis iaitu Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar.''

Gani: ''Pada 9 Ogos 1997, kira-kira pukul 10 pagi, apa yang berlaku?''

Amir: ''Saya telah menelefon Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan Mohd. Din dan bertanyakan kepada beliau sama ada pihak Cawangan Khas mendapat sebarang maklumat mengenai surat perihal salah laku seks Timbalan Perdana Menteri dan skandal seks.''

Gani: ''Datuk, apakah jawatan ACP Mazlan pada masa itu?''

Amir: ''Jawatan ACP Mazlan pada masa itu ialah pegawai operasi di Bukit Aman.''

Gani: ''Apabila kamu dah bertanya ACP Mazlan tadi, adakah beliau menyatakan apa-apa kepada kamu?''

Amir: ''ACP Mazlan telah menyatakan kepada saya bahawa setakat ini beliau belum lagi mendapat sebarang maklumat mengenai perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri dan juga skandal seks.''

Gani: ''Seterusnya adakah Datuk beri apa-apa arahan kepada ACP Mazlan?''

Amir: ''Saya telah mengarahkan ACP Mazlan untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan dengan surat perihal salah laku dan juga skandal seks dan kemudian ACP Mazlan menelefon balik saya pada pukul 2 petang hari yang sama.'

Gani: ''Apakah ACP Mazlan maklumkan kepada Datuk melalui telefon itu?''

Amir: ''ACP Mazlan telah beritahu saya bahawa Cawangan Khas telah pun mendapat maklumat mengenai surat tersebut tetapi mereka belum lagi dapat mengesan surat perihal salah laku. Di samping itu, ACP Mazlan memberitahu saya bahawa pada tahun 1992 satu operasi telah dilakukan yang bertajuk, Solid Grip.

Di peringkat ini Gurbachan membantah.

---------------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 26/11/1998

Tindakan ke atas 2 saksi di luar amalan

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Seorang saksi, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tindakan mengubah pendirian Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar agar menarik balik dakwaan mereka mengenai perihal salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat di luar kelaziman atau amalan Cawangan Khas Polis.

Amir, 55, yang kini sedang bercuti sebelum bersara dari jawatannya sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas II memohon bercakap dalam bahasa Inggeris bagi menjelaskan proses yang lazim dijalankan oleh pasukan itu dan juga cara tindakan terhadap Ummi Hafilda dan Azizan.

Saksi pendakwa ke-11 itu berkata, arahan-arahan yang diberikan kepada Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan Mohd. Din dan Timbalan Penguasa Polis (DSP), Abdul Aziz Hussin, bukan perkara biasa.

''Saya ingin menerangkan bahagian ini dalam bahasa Inggeris jika dibenarkan,'' kata Amir memohon izin Hakim Datuk S. Augustine Paul dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang masuk hari ke-13 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Hakim Augustine berkata, 'Ya' ketika membenarkan saksi itu meneruskan keterangannya dalam bahasa Inggeris.

Mengungkap bahasa asalnya, Amir dengan jelas berkata: ''In normal circumstances, SB (Special Branch) normally conducts intelligence gathering before we arrest anybody. But in this case of Ummi and Azizan, there was no intelligence gathering but just surface them, identify them. This is contrary to SB practise.

The second aspect when we turn over or neutralise any target we will go for the truth of the facts pertaining to the case. But in the case of Ummi and Azizan there was no instruction given to extract the truth of the matter to neutralise them. This is again not a normal practise in SB.

Third factor, the process of turning over in SB and neutralisation or I can say it, the technique of turning over or neutralisation in SB is only applicable to targets who are having communism ideology, religious fanaticism and extremism.

But in case of Ummi and Azizan which is a criminal in nature, the technique was applied and this is the first time that we have applied this technique in case of this nature. That's all.''

Jika diterjemahkan berbunyi: ''Dalam keadaan yang biasa Cawangan Khas mengumpulkan maklumat perisikan sebelum menangkap seseorang. Tetapi dalam kes Ummi dan Azizan tiada pengumpulan maklumat perisikan dibuat sebaliknya hanya mengenal pasti kesalahan mereka, identiti mereka. Ini bertentangan dengan amalan Cawangan Khas.

Aspek kedua, apabila kami mengubah atau meneutralkan sebarang sasaran, kami akan mencari kebenaran mengenai fakta-fakta berhubung dengan kes. Tetapi dalam kes Ummi dan Azizan tidak ada arahan untuk mencungkil kebenaran sebaliknya hanya diminta meneutralkan mereka. Ini sekali lagi bukan amalan yang lazim dalam Cawangan Khas.''

Faktor ketiga, proses mengubah pendirian dan meneutralkan dalam Cawangan Khas atau saya boleh katakan, teknik mengubah pendirian atau meneutralkan dalam Cawangan Khas hanya digunakan terhadap sasaran-sasaran yang mengamalkan ideologi komunis, fanatik agama dan pelampau. Tetapi dalam kes Ummi dan Azizan yang berbentuk kesalahan jenayah, teknik ini telah digunakan, inilah kali pertama teknik ini kami gunakan dalam kes sebegini.''

Selepas memberi penjelasan itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa saksi itu akan meneruskan keterangannya dalam bahasa Malaysia.

Dalam pemeriksaan utama pendakwa raya seterusnya, Gani bertanya: ''Kamu menggunakan perkataan intelligence gathering, apa maksudnya?''

Amir: ''Maksud Intelligence gathering, kita membuat risikan terhadap sesuatu individu berkenaan pergerakan-pergerakan dan aktivitinya bagi mendapatkan maklumat yang Cawangan Khas perlukan.''

Gani: ''Datuk, ini, saya merujuk arahan-arahan SP1 (Pengarah Cawangan Khas, Mohd. Said Awang) yang diberikan kepada ACP Mazlan dan DSP Abdul Aziz. Arahan-arahan ini bukanlah arahan yang biasa dibuat. Mengapakah arahan tersebut dikeluarkan kepada mereka?''

Amir: ''Walaupun arahan-arahan dikeluarkan oleh SP1, ia adalah untuk memenuhi kehendak tertuduh (Anwar).''

Peguam bela Anwar, Gurbachan Singh segera bangun membantah.

Gurbachan: ''Yang Arif, saya ingin membantah soalan dan jawapan ini atas alasan, keterangan saksi ini jelas bahawa arahan kepada ACP Mazlan dan DSP Abdul Aziz dikeluarkan oleh SP1 dan bukan daripada saksi ini. Oleh itu, Yang Arif, orang yang boleh memberikan keterangan mengenai hal ini hanyalah SP1.''

Belum sempat Gani menghujah balas hakim Augustine membuat keputusannya: ''Jawapan kepada isu ini, anda (Gurbachan) boleh menyoalnya ketika pemeriksaan balas.''

Gani: ''Datuk, pada 18 Ogos 1997 kira-kira pukul 3 pagi, di manakah Datuk berada?''

Hakim Augustine: ''3 pagi?''

Amir: ''Yang Arif, pada jam 3 pagi, saya berada di pejabat SP1.''

Gani: ''Apa yang berlaku di pejabat SP1 pada ketika itu?''

Amir: ''SP1 telah pun memanggil ACP Mazlan dan DSP Abdul Aziz ke pejabatnya untuk memberi taklimat awal mengenai soal siasat yang dijalankan ke atas Ummi dan Azizan.

Gani: ''Datuk, DSP Abdul Aziz memberi taklimat kepada kamu?''

Amir: ''Ya, saya berada bersama di pejabat SP1 untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ACP Mazlan dan DSP Abdul Aziz.''

Gani: ''Apakah taklimat yang diberi oleh ACP Mazlan dan DSP Abdul Aziz tersebut?''

Amir: ''Taklimat yang mereka berikan ialah mengenai penilaian awal terhadap perkembangan soal siasat yang mereka jalankan.''

Gani: ''Soal siasat yang dijalankan oleh mereka berdua mengenai apa?''

Amir: ''Soal siasat untuk mendapatkan maklumat mengenai dakwaan yang mereka buat di dalam ID14 (surat dakwaan perihal salah laku Anwar).''

Gani: ''Kamu jawab tadi soal siasat untuk dapat maklumat dibuat mereka, adakah mereka itu, Ummi dan Azizan.''

Amir: ''Ya.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah apakah penilaian awal itu yang ditaklimatkan oleh ACP Mazlan kepada SP1.''

Amir: ''ACP Mazlan memaklumkan kepada kami bahawa berdasarkan penilaian awal beliau, maklumat-maklumat yang ACP Mazlan peroleh daripada Azizan boleh dipercayainya.''

Gani: ''Sila beritahu mahkamah apakah maklumat yang diperoleh daripada Azizan.''

Amir: ''Maklumat yang diperoleh daripada Azizan bahawa Azizan menceritakan dengan 'consistent dan fluent.'

Amir kemudian menyatakan bahawa cerita yang dikatakan oleh Azizan ialah tentang akuan bersumpahnya dalam ID14.

Gani: ''Datuk, adakah ACP Mazlan menyatakan apakah sebab-sebab beliau mempercayai dakwaan dalam penilaian beliau?''

Amir: ''Seperti yang saya katakan tadi bahawa ACP Mazlan mempercayai bahawa cerita yang disebutkan dalam ID14 benar oleh sebab beliau (Azizan) menceritakannya dengan konsisten dan terang di samping itu bagi seorang mangsa seperti Azizan yang diliwat amat sukar untuk beliau tampil ke hadapan bahawa...''

Hakim Augustine: ''Adakah ACP Mazlan memberitahu perkara ini dalam keterangannya.''

Selepas Gani menyatakan keterangan itu sudah dikemukakan kepada mahkamah, hakim meminta Amir meneruskan keterangannya.

Lalu kata Amir: ''...bahawa beliau diliwat di samping itu, Azizan juga telah bersumpah dengan surah Yasin. Jikalau beliau bercakap bohong beliau akan dilaknati oleh Allah.''

Gani: ''Makna dalam bahasa Inggeris laknat ialah dammed.''

Amir kemudian menerangkan bahawa DSP Abdul Aziz pula mentaklimatkan mengenai penilaian awal Ummi dan maklumat yang diperoleh bahawa Ummi amat rasional, konsisten dan semua yang diceritakan oleh Ummi boleh diterima.

Dalam peringkat keterangannya, Amir juga diminta membaca segala nota bertulis yang dicatatkan olehnya berhubung pertemuan dengan Anwar dan juga arahan-arahannya berhubung rentetan soal siasat untuk mengubah pendirian Ummi dan Azizan. Perbicaraan bersambung esok.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 26/11/1998

Arahan kepada Cawangan Khas luar biasa, mahkamah diberitahu

KUALA LUMPUR, 25 Nov - Bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus berkata, arahan-arahan yang diberikan kepada dua pegawai kanan Cawangan Khas berhubung siasatan terhadap dakwaan perihal salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah arahan-arahan luar biasa.

''Arahan-arahan kepada pegawai operasi ACP Mazlan Mohd Din dan DSP Abdul Aziz Hussin bukan perkara biasa dalam Cawangan Khas,'' kata Amir, yang akan mula bersara esok.

Amir menjawat jawatan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas dari 3 Feb 1997 hingga 6 Feb tahun ini dan jawatan terakhirnya ialah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dari 9 Feb sehingga persaraannya esok.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks.

Anwar, 51, didakwa mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Amir: ''Saya ingin menerangkan arahan yang berlainan ini dalam Bahasa Inggeris. Dalam keadaan biasa SB (Cawangan Khas) mengumpulkan maklumat sebelum menahan sesiapa.

''Tetapi dalam kes Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar, tiada maklumat dikumpulkan tetapi hanya sekadar mengenal pasti mereka. Ini berlawanan dengan amalan SB.

''Aspek kedua, apabila kami ''turn over'' atau ''neutralise'' mana-mana sasaran kami akan cari kebenaran fakta berhubung kes itu, tetapi dalam kes Ummi Hafilda dan Azizan tiada arahan diberikan untuk menyiasat kebenaran perkara itu tetapi hanya diminta neutralise mereka. Ini sekali lagi bukan amalan biasa SB.

''Teknik turning over dan neutralise dalam SB hanya boleh digunakan pada sasaran dengan ideologi komunisme, pelampau agama dan pelampau lain, tetapi dalam kes Ummi Hafilda dan Azizan yang lebih bersifat jenayah, ia buat pertama kali digunakan dalam kes seperti itu.''

Sebelum itu, Amir berkata arahan-arahan yang diberikan oleh Anwar kepada bekas Pengarah Cawangan Khas yang telah bersara, Datuk Mohd Said Awang dan beliau adalah sama dengan arahan-arahan yang diberikan mereka kepada Abdul Aziz dan Mazlan.

Beliau memberitahu Hakim Datuk S.Augustine Paul bahawa proses ''turning over'' dan ''neutralisation'' yang dibuat adalah untuk menarik balik semua tohmahan yang dibuat oleh Ummi Hafilda dan Azizan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya: Siapa yang mengarahkan kamu dan Mohd Said untuk menarik balik tohmahan-tohmahan itu?

Amir: Anwar sendiri.

Gani: Apa yang dimaksudkan dengan ''intelligence gatherings''.

Amir: Maksudnya ialah kita membuat risikan terhadap sesuatu individu berkenaan melalui pergerakan dan aktiviti seseorang individu bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh Cawangan Khas.

Gani: Memandangkan arahan-arahan ini yang bukan biasa dibuat, mengapa arahan itu dikeluarkan juga kepada Abdul Aziz dan Mazlan.

Amir: Walaupun arahan turning over dan neutralising oleh Mohd Said kepada Abdul Aziz dan Mazlan bukan yang biasa dibuat, namun arahan-arahan itu dikeluarkan juga untuk memenuhi kehendak Anwar.

Gurbachan Singh: Saya membantah soalan dan jawapan ini atas alasan adalah jelas daripada keterangan saksi ini yang arahan kepada Abdul Aziz dan Mazlan dikeluarkan oleh Mohd Said dan bukan oleh saksi itu sendiri (Amir).

''Oleh itu orang yang sepatutnya memberi keterangan mengapa arahan itu dikeluarkan hanyalah Mohd Said dan bukan yang lain.

Hakim Paul: Jawapan saya ialah anda boleh siasat balas isu itu.

Mahkamah ditangguhkan sementara untuk makan tengah hari.

- Bernama

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 26/11/1998

Perbicaraan sesi petang ditangguh

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Perbicaraan sesi petang kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini tidak dapat diteruskan seperti biasa setelah Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail meminta agar ia ditangguhkan sehingga esok.

Sebaik mahkamah bersidang semula pada pukul 2.20 petang ini, Gani memberitahu Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa beliau memohon penangguhan hingga pukul 10.30 pagi esok.

''Saya mempunyai tugas rasmi di Mahkamah Tinggi No. 2 di sini dan saya harus mendapatkan arahan-arahan selanjutnya daripada Peguam Negara,'' kata beliau.

Hakim Augustine kemudian bertanya peguam utama yang mewakili Anwar, Raja Aziz Addruse sama ada beliau membantah penangguhan yang dipohon oleh pihak pendakwa.

Raja Aziz menjawab, pihak beliau tidak mempunyai apa-apa bantahan.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes tersebut hingga 10.30 pagi esok.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam bela Datuk S. Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon telah menyerahkan sendiri sapina sebagai saksi kepada Gani kira-kira pukul 2 petang, sejurus sebelum perbicaraan Anwar disambung semula.

''Saya baru menyerahkan sapina kepada Datuk Gani Patail memanggil beliau sebagai saksi pembela dalam perbicaraan Datuk Nalla pagi esok,'' katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Bangunan Sultan Abdul Samad.

--------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 26/11/1998

Perbicaraan Anwar masuk hari ke 13

KUALA LUMPUR, 25 Nov - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap empat tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi di sini masuk hari ke 13 hari ini.

Anwar tiba di mahkamah di bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja pada pukul 8.45 pagi dari Penjara Sungai Buloh, di mana beliau ditahan reman.

Isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula tiba kemudian bersama anak-anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks.

Anwar, 51, didakwa mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

_ LAGI

Mahkamah-Anwar (Hari Ke-13) 2 (Akhir) Kuala Lumpur

PERBICARAAN ANWAR - 2

Perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul.

Selepas pintu mahkamah ditutup pada pukul 9 pagi, tidak lagi kelihatan orang ramai beratur di luar pintu masuk seperti yang berlaku pada awal perbicaraan yang bermula pada 2 Nov lepas.

Pada masa itu orang ramai, termasuk para pemerhati dan wakil kerajaan-kerajaan asing, sanggup berbaris panjang selama beberapa jam seawal pukul 6 pagi untuk memastikan mereka mendapat tempat duduk di galeri awam yang terhad.

Mereka juga sanggup berbaris lama di luar pintu mahkamah walaupun setelah pintu itu ditutup dengan harapan dapat menggantikan tempat duduk orang yang keluar.

Keadaan di luar mahkamah hari ini adalah seperti biasa dan polis meneruskan kawalan.

---------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 26/11/1998

Anwar enggan buat aduan -- Saksi: Jika surat layang disiasat ia akan dibawa ke mahkamah

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mulanya enggan membuat laporan polis berhubung surat yang mengandungi dakwaan perihal salah lakunya pada bulan Ogos tahun lalu.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus berkata, ini kerana, jika kes itu disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID), ia akan dibawa ke mahkamah dan dihebahkan.

Bagaimanapun, kata beliau, selepas dua pegawai tinggi Cawangan Khas mencadangkan supaya perkara itu dilaporkan bagi membolehkan mereka melaksanakan arahan-arahannya, Anwar bersetuju membuat laporan polis mengenai surat layang bertajuk Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Amir yang kini sedang bercuti sebelum bersara memberitahu mahkamah mengenai apa yang berlaku ketika beliau dan Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang (SP1) bertemu dengan Anwar di kediaman Timbalan Perdana Menteri, kira-kira pukul 2 petang pada 15 Ogos tahun lalu.

Amir, 55, memberi keterangannya sebagai saksi ke-11 pada perbicaraan yang masuk hari ke-13 hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada sesi sebelah pagi, saksi itu menyambung keterangannya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail. Soalan-soalan beliau berkisar mengenai pertemuan saksi itu dengan Anwar.

Amir berkata, beliau dan SP1 pergi ke kediaman Timbalan Perdana Menteri atas arahan Anwar.

Menurut beliau, pertemuan mereka bertiga itu diadakan di dalam bilik bacaan kediaman Anwar.

Gani: ''Datuk, ada apa-apa kamu maklumkan kepada tertuduh (Anwar) berkenaan surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar?''

Amir: ''Kami menyatakan bahawa surat layang itu telah tersebar dengan luasnya.''

Gani: ''Pada ketika itu adakah tertuduh menunjukkan apa-apa kepada kamu.''

Amir menyatakan Anwar menunjukkan salinan surat tersebut.

Gani: ''Adakah Datuk baca surat itu?''

Amir: ''Ya, Yang Arif, saya membaca surat tersebut.''

Gani kemudian memohon izin Hakim Datuk S. Augustine Paul untuk menunjukkan surat itu sambil meminta saksi menelitinya.

Selepas itu, Amir menerangkan bahawa beliau mengambil surat tersebut daripada Anwar untuk kegunaan rasmi.

Gani: ''Dalam pertemuan itu adakah Datuk dan SP1 membuat apa-apa cadangan kepada tertuduh?''

Amir: ''Semasa berbincang mengenai surat itu kami telah mencadangkan supaya satu laporan polis dibuat agar segala arahan yang telah diberi dapat dilaksanakan.''

Gani: ''Kamu telah menyebut arahan diberi, arahan oleh siapa?''

Amir: ''Arahan-arahan diberi oleh tertuduh.''

Gani: ''Apakah respons (reaksi) tertuduh apabila SP1 dan kamu mencadangkan demikian?''

Gani: ''Yang Arif, pada mulanya tertuduh tidak mahu membuat laporan polis.''

Gani: ''Adakah tertuduh menyatakan bahawa beliau tidak mahu buat laporan polis?''

Amir: ''Tertuduh menyatakan bahawa sekiranya laporan polis dibuat, pihak CID akan menyiasat kes ini.''

Gani: ''Adakah tertuduh menyatakan mengapa perkara ini tidak mahu disiasat oleh CID.''

Amir: ''Tertuduh tidak mahu perkara ini dibawa ke mahkamah jika disiasat oleh CID.''

Gani: ''Seterusnya, adakah tertuduh bersetuju untuk buat laporan polis?''

Amir: '' Yang Arif, saya dan SP1 memberi penjelasan bahawa laporan polis perlu dibuat dan tertuduh bersetuju.''

Gani: ''Setelah tertuduh bersetuju untuk membuat laporan polis, adakah tertuduh memaklumkan sesuatu.''

Amir: ''Setelah bersetuju, tertuduh memaklumkan sungguhpun perkara ini disiasat oleh CID, kes ini janganlah dibawa ke mahkamah.''

Gani: ''Adakah tertuduh menyatakan tidak mahu kes ini dibawa ke mahkamah?''

Amir: ''Tertuduh telah menyatakan jikalau perkara ini dibawa ke mahkamah ia akan dihebahkan.''

Perbicaraan bersambung esok.

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/11/1998

Anwar tidak puas hati surat Ummi, Azizan

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan surat permohonan maaf yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar berhubung dakwaan perihal salah laku terhadapnya.

Amir berkata, Anwar mengarahkan beliau dan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang (SP1) supaya mendapatkan surat pengakuan yang berbentuk kenyataan umum daripada Ummi dan Azizan.

''Kenyataan yang dikehendaki oleh Anwar ialah satu kenyataan yang lebih komited, meyakinkan dan tegas serta menafikan dan menarik balik kesemua dakwaan yang terkandung di dalam 1D14,'' kata Amir.

ID14 ialah dokumen yang mengandungi dakwaan yang ditulis oleh Ummi berhubung salah laku Anwar dan juga pengakuan bersumpah Azizan yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Amir, 55, memberitahu demikian sebagai saksi ke-11 dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari ke-14 hari ini.

Menurut Amir, beliau dan SP1 menerima arahan itu dalam pertemuan dengan Anwar di kediaman rasminya pada pukul 10 malam, 27 Ogos tahun lalu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dalam pemeriksaan utamanya menyoal saksi itu: ''Seterusnya ada apa arahan yang diberi kepada kamu?''

Amir: ''Tertuduh (Anwar) telah mengarahkan supaya surat ini diposkan ke pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri.''

Gani: ''Kamu kata tadi surat kenyataan umum, hendak diperoleh daripada siapa-siapa?''

Amir: ''Seperti yang saya kata, kenyataan umum hendaklah diperoleh daripada Ummi dan Azizan.''

Gani kemudian memohon izin hakim Datuk S. Augustine Paul untuk membenarkan Amir merujuk nota fail yang dicatatnya bertarikh 28 Ogos 1997.

Amir diminta membaca nota tersebut yang antara lain mengandungi perbincangan di antara beliau, SP1 dan tertuduh pada 27 Ogos 1997 di mana tertuduh menggesa supaya beliau dan SP1 mendapatkan pengakuan yang lebih komited menafikan dakwaan-dakwaan di dalam ID14a,b dan c dan bagaimana surat-surat ini disampaikan kepada tertuduh.

Gani menyoal selanjutnya: ''Datuk, pada 28 Ogos 1997, lebih kurang pukul 11 pagi, di manakah Datuk berada?''

Amir: ''Saya berada di pejabat SP1.''

Gani: ''Datuk, apa yang berlaku semasa kamu di pejabat SP1.''

Amir: ''Semasa saya berada di pejabat SP1, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan Mohd. Din (SP7) telah pun berada di pejabat SP1.''

Gani: ''Seterusnya apa yang berlaku?''

Amir: ''Saya dan SP1 telah menyatakan kepada SP7 bahawa tertuduh tidak puas hati dengan surat permohonan maaf. Oleh itu, saya dan SP1 mengarahkan SP7 untuk mendapatkan kenyataan umum yang lebih komited dan meyakinkan daripada Azizan dan Ummi.''

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 27/11/1998

Anwar ubahsuai surat -- Tertuduh mahu perkataan 'penafian' dalam pengakuan - Saksi

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya kenyataan umum yang ditandatangani oleh Azizan Abu Bakar untuk menarik balik dakwaan bahawa dia diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu, dimasukkan dengan perkataan 'penafian'.

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus berkata, Anwar memberikan arahan itu melalui telefon dengan menyatakan bahawa perkataan 'penafian' mesti dimasukkan di dalam satu perenggan surat pengakuan umum itu.

Anwar juga katanya, mahu kenyataan umum itu diubahsuai dengan memasukkan perkataan-perkataan bahawa Azizan 'tidak pernah menulis pengakuan bersumpah.'

Amir, 55, menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwa ke-11 dalam perbicaraan yang masuk hari ke-14 terhadap Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ketika menyambung soalan dalam pemeriksaan utama hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail meminta Amir memberitahu mahkamah adakah beliau pergi ke Kelab Golf Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Titiwangsa di sini pada malam 28 Ogos tahun lalu.

Amir: ''Saya telah dipanggil oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mazlan Mohd. Din (SP7) yang berada di Kelab Golf Titiwangsa.''

Gani: ''Adakah kamu pergi ke kelab golf itu?''

Amir: ''Saya ke sana lebih kurang pukul 11 malam.''

Gani: ''Semasa SP7 menghubungi Datuk melalui telefon, adakah beliau memaklumkan apa-apa?''

Amir: ''SP7 memaklumkan bahawa Azizan telah pun menulis surat kenyataan umum dan SP7 menghendaki saya meneliti surat tersebut.''

Gani: ''Apa berlaku apabila Datuk sampai ke kelab golf tersebut?''

Amir: ''Apabila saya sampai, ACP Mazlan menunjukkan kepada saya surat yang ditulis oleh Azizan.''

Gani: '' Selain daripada SP7, adakah kamu bertemu dengan orang lain.''

Amir: ''Azizan juga berada di situ.''

Gani: ''Adakah kamu membaca surat kenyataan umum itu?''

Amir: ''Saya telah membaca surat yang ditulis oleh Azizan.''

Gani: ''Dan seterusnya apa yang berlaku.''

Amir: ''Seterusnya, saya telah menelefon tertuduh (Anwar) dan membaca kenyataan umum yang ditulis oleh Azizan.''

Gani: ''Selepas itu ada tertuduh menyatakan apa-apa kepada kamu?''

Amir: ''Tertuduh mahu beberapa pembetulan dibuat pada kenyataan umum itu. Di antara yang perlu diperbetulkan, jikalau saya masih ingat lagi Yang Arif, perkataan seperti 'penafian' mestilah dimasukkan di dalam satu perenggan kenyataan umum dan Azizan juga mesti nyatakan bahawa dia tidak pernah menulis pengakuan bersumpah.''

Gani: ''Apa yang kamu maksudkan bahawa Azizan tidak pernah menulis pengakuan bersumpah.''

Amir: ''Apa yang saya maksudkan surat pengakuan bersumpah...'' Saksi itu terhenti seketika.

Gani lalu memohon izin hakim Datuk S. Augustine Paul supaya saksi itu merujuk dokumen ID14c.

Amir meneliti dokumen lalu meneruskan: ''Yang saya maksudkan ialah ID14c.''

Gani: ''Datuk, ada apa-apa pindaan yang dibuat, yang kamu ingat?''

Amir: ''Tertuduh meminta menambahkan satu perenggan lagi di dalam kenyataan umum Azizan.''

Gani: ''Selepas menerima arahan-arahan ini apa yang berlaku?''

Amir: ''Saya telah menyerahkan kenyataan umum yang dipinda oleh saya dengan arahan melalui telefon oleh tertuduh kepada SP7.''

Gani: ''Ada apa-apa arahan yang kamu beri kepada SP7?''

Amir: ''Saya beri arahan kepada SP7 supaya Azizan menulis kembali pengakuan umum ini dan setelah siap surat yang bertulis dan yang telah ditaip hendaklah diserahkan kepada saya keesokan harinya.''

Pada keesokannya, 29 Ogos 1997, lebih kurang pukul 9 pagi, kata Amir, SP7 dan Timbalan Penguasa Polis (DSP), Abdul Aziz Hussin telah datang ke pejabatnya dan menyerahkan kedua-dua surat yang ditandatangani oleh Azizan.

Perbicaraan bersambung esok.

---------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/11/1998

Perbicaraan Kes Rasuah Anwar Masuk Hari Ke-15

KUALA LUMPUR, 27 Nov. - Perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini masuk hari yang ke-15.

Hari ini Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail dijangka menyambung pemeriksaan utamanya ke atas bekas timbalan pengarah Cawangan Khas II Datuk Amir Junus.

Amir, antara saksi utama perbicaraan itu, ialah saksi pendakwaan yang ke-11.

Anwar, 51, dibawa ke mahkamah pada pukul 8.50 pagi dari Penjara Sungai Buloh, tempat dia kini menjalani tahanan reman.

Isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah ialah antara beberapa orang anggota keluarganya yang turut berada di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan itu hari ini.

Anwar, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Semalam, perbicaraan itu hanya dijalankan bagi sesi petang sahaja, setelah pihak pendakwa memohon penangguhan perbicaraan yang sepatutnya bermula pukul 10.30 pagi.

--------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/11/1998

Surat seolah-olah dipos ke pejabat TPM


DR. Wan Azizah Wan Ismail mengangkat tangan ke arah jurugambar, sambil diperhatikan oleh anak-anaknya di pekarangan kompleks mahkamah Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, setem pada sampul surat yang mengandungi kenyataan menarik balik dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim dibatalkan agar ia kelihatan seolah-olah diposkan ke pejabat Timbalan Perdana Menteri itu.

Amir berkata, selepas menerima empat dokumen yang mengandungi kenyataan umum dan penafian oleh Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar mengenai salah laku Anwar, beliau memasukkannya ke dalam satu sampul surat.

Kemudian katanya, sampul surat itu digam dan dialamatkan atas nama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, jelas Amir, beliau kurang pasti sama ada alamat itu ditulis atau ditaipkan.

''Saya kurang pasti sama ada saya menulis apa-apa lagi tetapi setem telah dilekatkan di atas sampul tersebut,'' kata beliau.

Amir, 55, menyambung keterangannya sebagai saksi ke-11 dalam perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ke-15 hari ini.

Anwar, 51, bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga bekas Menteri Kewangan dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Ketika mengemukakan soalan dalam pemeriksaan utamanya, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata: ''Seterusnya apa yang berlaku?''

Amir: ''Saya telah memanggil Penolong Penguasa Polis, Abdul Aziz Ahmad ke pejabat saya pada kira-kira pukul 6.20 petang.

Gani: Abdul Aziz saksi kelima (SP5), adakah beliau pegawai kamu?''

Amir: ''Ya, Aziz adalah pegawai Cawangan Khas.''

Gani: ''Datuk, apa tujuan atau mengapa kamu memanggil Aziz ke pejabat kamu?''

Amir: ''Tujuan saya memanggil Aziz ke pejabat ialah supaya beliau mengambil sampul itu.''

Gani: ''Untuk tujuan apa?''

Amir: ''Supaya Aziz pergi ke Pejabat Pos Daya Bumi dan membatalkan setemnya.''

Gani: ''Datuk, kamu ingat tidak pukul berapa Aziz datang ke pejabat kamu?''

Amir: '' Aziz datang ke pejabat saya pada jam 6.45 petang.''

Gani: ''Selepas dia datang ke pejabat kamu, apa berlaku?''

Amir: ''Semasa di pejabat saya, beliau menyerahkan sampul yang setemnya telah dibatalkan dan sampul itu dialamatkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Gani: ''Pertama kali Aziz datang untuk menerima sampul itu pada pukul berapa?''

Amir: ''Pertama kali Aziz datang ke pejabat saya untuk menerima sampul tersebut pada pukul 6.20 petang.''

Gani: ''Datuk, apakah sebabnya kamu memberi arahan kepada Aziz untuk membatalkan setem pada sampul tersebut?''

Amir: ''Saya beri arahan untuk membatalkan setem pada sampul itu bagi menunjukkan seolah-olah sampul itu sampai ke pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pejabat pos.''

Gani: ''Selepas itu apa yang berlaku seterusnya?''

Amir: ''Selepas saya menerima sampul daripada Aziz, saya bersama Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang (SP1) telah pergi ke rumah tertuduh (Anwar).''

Gani: ''Datuk, bilakah kamu pergi ke rumah tertuduh?''

Amir: ''Pada jam 9.30 malam, 29 Ogos 1997.''

Gani: ''Datuk, kamu dan SP1 pergi untuk menghantar sampul tersebut. Sila beritahu mahkamah apakah sebabnya kamu mahu menunjukkan seolah-olah sampul itu diposkan kepada tertuduh?''

Amir: ''Tujuan kami menghantar sampul itu ke rumah tertuduh kerana tertuduh menghendaki surat itu sampai kepadanya dengan cepat dan selamat.''

Gani: ''Apa yang berlaku seterusnya?''

Amir: ''Pada jam 9.30 malam, saya bersama SP1 sampai di rumah tertuduh dan telah memberi sampul yang mengandungi surat-surat ID19, ID20, ID21 dan ID22.''

* ID19 - Surat tulisan tangan Azizan bertarikh 28 Ogos 1997 menafikan pernah menulis pengakuan bersumpah (ID14c) bahawa dia diliwat oleh Anwar.

* ID20 - Surat Azizan bertarikh 28 Ogos 1997 kepada Anwar yang ditaipkan menafikan pernah menulis ID14c.

* ID21 - Surat lampiran bertarikh 29 Ogos 1997 bagi kenyataan Umum Ummi Hafilda kepada Anwar.

* ID22 - Kenyataan Umum bertarikh 29 Ogos 1997 oleh Ummi Hafilda kepada Anwar.

Gani: ''Selepas itu apa berlaku?''

Amir: ''Tertuduh telah membuka sampul itu dan membaca kesemua surat yang ada di dalamnya.''

Gani: ''Adakah tertuduh menyatakan apa-apa kepada kamu selepas membaca surat-surat itu?''

Amir: ''Selepas tertuduh membaca surat-surat itu tertuduh menyatakan rasa puas hatinya.''

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/11/1998

Polis Patuhi Arahan Anwar Kerana Terpaksa

KUALA LUMPUR, 27 Nov. - Seorang bekas pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mematuhi arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terpaksa dan tiada pilihan lain.

Bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus berkata beliau mematuhi arahan Anwar kerana sebagai pegawai kerajaan, arahan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri perlu dipatuhi.

''Saya seorang kakitangan kerajaan, jika Timbalan Perdana Menteri memberikan arahan, saya terpaksa menerima dan mematuhi arahan-arahan yang diberikan kepada saya,'' katanya pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-15 hari ini.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul.

Amir, 55, yang mula bersara hari ini berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Christopher Fernando, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar.

Nama Amir dikaitkan dalam keempat-empat tuduhan rasuah Anwar itu bersama bekas Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang.

Mereka didakwa diarah oleh Anwar untuk mendapatkan pengakuan bertulis daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar bagi menafikan salah laku seks yang dilakukan Anwar bertujuan melindunginya daripada tindakan undang-undang.

Sebelum itu, Amir memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya menerima dan mematuhi arahan daripada pegawai atasannya yang terdiri daripada Ketua Polis Negara, timbalannya, pengarah-pengarah dalam jabatan polis termasuk pengarah Cawangan Khas.

Beliau bersetuju dengan cadangan Fernando bahawa beliau tidak boleh mematuhi arahan-arahan atau perintah yang menyalahi undang-undang.

''Saya tidak pernah mematuhi arahan atau perintah yang salah di sisi undang-undang,'' katanya yang turut bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tahu beliau hanya mematuhi pegawai atasannya sahaja.

Beliau sedar bahawa sekiranya beliau mematuhi arahan selain daripada pegawai atasannya, tindakan tatatertib termasuk pemecatan boleh diambil terhadapnya.

Semasa ditanya sama ada Timbalan Perdana Menteri merupakan salah seorang pegawai atasannya, Amir yang memberitahu mahkamah menteri kabinet bukan pegawai atasannya berkata; ''TPM bukan pegawai atasan saya seperti yang termaktub dalam peraturan-peraturan polis.''

Fernando: Oleh itu sekiranya TPM mengarahkan Datuk melakukan sesuatu, Datuk tidak sepatutnya mematuhi arahan itu.

Amir: Saya menerima arahan Timbalan Perdana Menteri...

Fernando: Itu bukan jawapannya. Jika TPM memberikan arahan atau perintah adakah Datuk perlu atau tidak mematuhinya.

Amir: Yang arif, daripada keterangan-keterangan saya sebelum ini....

Fernando: Sila jawab soalan.

Tindakan Fernando yang mengemukakan soalan itu berkali-kali setelah mendakwa saksi tidak menjawab soalan itu menyebabkan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah atas alasan peguam mengganggu saksi dengan meninggikan suara.

Paul kemudian membacakan kembali nota mahkamah dan memberitahu Fernando bahawa saksi telah memberikan jawapannya tetapi Fernando berkata saksi masih tidak menjawab soalannya dan soalan yang dikemukakan adalah ''terus-terang dan mudah.''

Amir kemudian menjelaskan bahawa beliau menerima arahan daripada Timbalan Perdana Menteri melalui pegawai atasannya ketika itu iaitu Mohd Said.

Fernando: Jawab soalan saya, kalau TPM mengarahkan Datuk, adakah Datuk perlu patuhinya.

Amir: Yang Arif, arahan TPM kepada saya bersama dengan pegawai atasan saya.

Fernando kemudian bertanya lagi dan memintanya mendengar dengan teliti. Pada peringkat ini Paul mencelah dengan meminta saksi melupakan mengenai pengarahnya tetapi jika TPM yang memberikan arahan.

Amir: Beliau adalah TPM. Oleh itu jika saya terima arahan itu daripada TPM, saya sebagai seorang kakitangan kerajaan, terpaksa menerima arahan-arahan itu.

Fernando: Sebentar tadi semasa memberi keterangan bersumpah kamu memberitahu mahkamah bahawa TPM bukan pegawai atasan dan tidak boleh patuhi arahan mereka yang bukan pegawai atasan.

Amir: Itu yang saya katakan, arahan yang saya terima bersama-sama pegawai atasan saya.

Kepada soalan lain, Amir berkata sekiranya arahan yang diterima bukan daripada pegawai atasannya beliau akan merujuk dahulu dengan pegawai atasannya sebelum melaksanakannya.

''Dalam kes ini, arahan yang saya lakukan adalah atas arahan pegawai atasan saya,'' katanya.

Fernando: Siapa pegawai atasan itu.

Amir: Dalam kes ini, pegawai yang saya maksudkan ialah Mohd Said.

Semasa ditanya sama ada Ketua Polis Negara memberikan arahan itu, beliau berkata pegawai itu hanya memberi arahan berkaitan penyebaran surat itu sahaja dan taklimat yang diberikan kepadanya hanya pada permulaan kes itu.

Fernando kemudian mengemukakan soalan sama ada Amir memaklumkan Anwar mengenai talian telefon rumah Anwar dipasang pengesan suara sejak 1996.

Amir: Soalan sama ada saya ada memaklumkan tertuduh bahawa talian rumahnya ditap sejak 1996, saya tidak boleh jawab.

Abdul Gani kemudan membantah soalan itu kerana ia tidak dibangkitkan sebelum ini dan tiba-tiba sahaja ia dikemukakan dan mahkamah tidak sepatutnya membenarkan soalan itu.

Fernando menjelaskan bahawa ia mempunyai kaitan dalam kes itu tetapi Paul yang menyoal sama ada ia mempunyai relevan kemudian memutuskan bahawa soalan itu tidak dibenarkan.

Peguam itu kemudian menyoal sama ada Amir pernah memaklumkan Anwar yang talian telefon rumahnya (Anwar) dipasang pengesan dan bekas pegawai kanan itu menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berbuat demikian.

Pada peringkat ini, Paul mencelah memaklumkan bahawa masa untuk menunaikan sembahyang telah tiba apabila jam mahkamah menunjukkan tepat pukul 12 tengah hari.

Fernando kemudian memberitahu mahkamah beliau akan menyambung pemeriksaan balasnya pagi Isnin ini memandangkan tiada sesi petang hari ini.

----------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 28/11/1998

Foto Anwar bersama Ummi dijadikan bukti

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Pihak pendakwa raya dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengemukakan sekeping gambar tertuduh bersama dua wanita, Ummi Hafilda Ali dan Shamsidar Taharin untuk dijadikan bahan bukti.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memohon izin Hakim Datuk S. Augustine Paul supaya gambar itu yang diserahkan oleh Ummi kepada Cawangan Khas ketika beliau disoal siasat berhubung surat yang mengandungi dakwaan salah laku seks Anwar, ditandakan sebagai ID48.

Gani: ''Ia ada kaitan dengan kes ini dan bukanlah satu gimik.''

Gambar itu kemudian ditandakan sebagai ID48.

Ketika sidang mahkamah berehat kira-kira 15 minit pada pukul 10.45 pagi ini, seorang peguam bela Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman sempat menunjukkan gambar tersebut kepada para pemberita.

Ia adalah gambar warna yang menunjukkan Ummi duduk di sebelah kanan Shamsidar (kakak iparnya) manakala Anwar duduk di sebelah kiri Shamsidar.

Gani sebelum itu menimbulkan soalan berhubung gambar tersebut kepada saksi pendakwa ke-11, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus.

Amir, 55, berkata, beliau menerima gambar itu kira-kira pukul 1.45 pagi, 18 Ogos tahun lalu daripada Ummi.

Gani: ''Betulkah jam waktu itu 1.45 pagi?''

Amir: ''Ya.''

Gani: ''Selepas itu, adakah Datuk serahkan gambar ini kepada sesiapa?''

Amir: ''Saya serahkan kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) 1, Musa Hassan.''

Gani: ''Sebab apa Ummi beri gambar ini?''

Amir: Ummi beri gambar ini kepada saya untuk menunjukkan yang Ummi bersama dengan Shamsidar dan juga Datuk Seri Anwar di dalam gambar itu.''

Berbalik kepada soalan yang lain, Gani bertanya: ''Datuk, berkaitan segala arahan-arahan yang diberi oleh tertuduh (Anwar) kepada Datuk dan SPI (bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang), mengapakah Datuk mematuhi arahan-arahan tersebut?

Amir: ''Saya mematuhi segala arahan-arahan yang diberi oleh tertuduh kerana tertuduh ialah Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Malaysia.''

Gani: ''Sekiranya tertuduh adalah rakyat biasa adakah kamu akan mematuhi arahannya?''

Peguam bela Anwar, Christopher Fernando bangun membantah dengan alasan ia soalan andaian.

Bagaimanapun, Hakim Augustine menyatakan beliau tidak nampak apa-apa yang salah mengenai soalan itu.

Gani: ''Saya ulang soalannya, Datuk, jika bukan seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan, adakah kamu akan mematuhi arahan-arahannya?''

Amir: ''Saya tidak akan mematuhi arahan-arahan yang diberikan.''

Selain itu, Amir juga memberitahu bahawa siasatan mengenai dakwaan surat perihal salah laku terhadap Anwar diberhentikan pada 20 Ogos tahun lalu.

Gani: ''Sebab apakah kamu berhentikan siasatan Cawangan Khas?''

Amir: ''Siasatan dihentikan kerana Cawangan Khas tidak berhasrat membawa kes ini ke mahkamah selepas mendapat surat permohonan maaf daripada Ummi dan Azizan.''

---------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 28/11/1998

Anwar Tidak Failkan Afidavit Tambahan

KUALA LUMPUR, 27 Nov. - Peguam S.N. Nair yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pihaknya tidak akan memfailkan afidavit tambahan berhubung rayuan ikat jamin Anwar.

Nair ketika ditemui di luar mahkamah berkata afidavit tambahan itu tidak perlu difailkan hari ini memandangkan rayuan Anwar akan didengar esok di Mahkamah Rayuan di sini.

Beliau juga mengesahkan mahkamah akan mendengar rayuan itu pada pukul 9 pagi esok tetapi tidak dapat memastikan kehadiran Anwar di mahkamah untuk mendengar rayuan itu.

Mengikut prosedur biasa rayuan berkaitan kes jenayah, perayu mesti hadir di mahkamah untuk mendengar rayuannya.

Anwar yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 14 Okt setelah ditahan pada 20 Sept, kini ditahan di Penjara Sungai Buloh setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul menolak permohonan ikat jamin Anwar bagi kesemua 10 tuduhan yang dihadapinya.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Augustine antara lain memberi alasan kemungkinan Anwar akan mengganggu saksi sekiranya dibenarkan bebas dengan ikat jamin itu.

Sehubungan itu Anwar memfailkan notis rayuan pada 13 Okt lepas bagi membantah keputusan itu. Beliau turut memfailkan petisen rayuan pada 30 Okt yang menggariskan lima alasan menyokong rayuannya.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan yang kini dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan kesemua tuduhan rasuah dan salah laku seks yang dihadapinya.

---------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 28/11/1998

Anwar Puas Hati Dengan Kenyataan Umum Penafian

KUALA LUMPUR, 27 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan kenyataan umum penafian oleh Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar mengenai dakwaan perihal salah laku seks terhadapnya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Kenyataan umum penafian itu yang bertulis tangan dan bertaip serta ditandatangani kedua-dua mereka diserahkan kepada Anwar di kediaman rasminya pada 29 Ogos 1997, kata bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus pada perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-15 hari ini.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam penyiasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Amir, 55, yang mula bersara hari ini, berkata selepas membaca kesemua empat keping surat yang diserahkan itu, Anwar telah menyatakan kepuasan hatinya.

Amir, saksi ke-11 pendakwaan, berkata ketika menyerahkan surat-surat itu yang terkandung dalam satu sampul surat yang setemnya telah dibatalkan, beliau diiringi ke kediaman rasmi Anwar oleh bekas Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang.

''Setelah saya serahkan sampul surat itu kepada Anwar, Anwar membukanya dan membaca kesemua surat penafian oleh Ummi Hafilda dan Azizan. Dia kemudian menyatakan kepuasan hatinya,'' kata Amir.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail kemudian mengalih kepada perkara lain dan menunjukkan sekeping gambar kepada Amir sambil bertanya: ''Ada tidak Datuk terima gambar ini pada 18 Ogos 1997, pukul 1.45 pagi daripada Ummi Hafilda?''

Amir: Ada. Gambar itu kemudian saya serahkan kepada SAC 1 Musa Hassan.

Gani: Apa sebab Ummi Hafilda beri kepada kamu?

Amir: Ummi beri gambar itu kepada saya untuk menunjukkan dia bersama kakak iparnya Shamsidar Taharin (isteri bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohd Azmin Ali) dan Anwar dalam gambar itu.

Gani kemudian memohon gambar itu diterima sebagai barang kes.

Ketika ini Hakim Datuk S.Augustine Paul bertanya: Apakah relevannya (gambar berkenaan).

Gani: Ini bukan gimik. Saya beri jaminan. Ia penting bagi kes ini.

Gani berbalik kepada Amir: Kenapa Datuk patuhi segala arahan yang diberikan tertuduh kepada kamu dan Mohd Said.

Amir: Saya patuhi segala arahan Anwar kerana dia Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (ketika itu). Sekiranya dia orang biasa, saya tidak akan mematuhinya.

Gani: Bila Cawangan Khas menghentikan siasatan terhadap surat-surat Ummi dan Azizan.

Amir: Cawangan Khas menghentikan siasatannya pada 20 Ogos 1997.

Gani: Sebab apa berhenti.

Amir: Kerana tidak hendak membawa kes itu ke mahkamah selepas mendapat surat mohon maaf daripada Azizan dan Ummi kepada Perdana Menteri.

Gani: Datuk katakan telah serahkan surat kepada Musa.

Amir: Saya serah surat memohon maaf Azizan dan Ummi kepada Musa kerana Jabatan Siasatan Jenayah (CID) akan menghentikan siasatan mereka terhadap tertuduh dalam kes ini iaitu berkaitan laporan yang dibuat oleh ASP Zull Aznam Harun (bekas juruiring Anwar) berkaitan surat ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim''.

''Apabila saya serah surat mohon maaf (yang dialamatkan kepada Perdana Menteri) kepada Musa, maka dengan itu kes Travers Report 2706/97 akan dihentikan dan secara tidak langsung akan membersihkan nama tertuduh.''

Kepada pertanyaan Gani yang berbalik kepada sampul surat yang mengandungi surat-surat penafian Azizan dan Ummi Hafilda, Amir berkata sampul surat itu digam dan di atasnya tertulis nama Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan beralamat Jabatan Perdana Menteri. Bagaimanapun Amir tidak pasti sama ada ia dalam tulisan tangan ataupun bertaip.

Kata Amir, sampul surat itu seterusnya diserahkan kepada seorang pegawainya ASP Aziz Ahmad yang diarahkan supaya membatalkan setem itu di pejabat pos. Ia bertujuan untuk menunjukkan seolah-olah dihantar ke pejabat TPM melalui pos.

Katanya tujuan beliau berbuat demikian kerana Anwar menghendaki surat itu sampai kepadanya dengan cepat dan selamat. Sampul surat itu diserahkan kepada Anwar pada 9 malam 29 Ogos 1997.

------------------------------------------------------------------------------------------






Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 3"