untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Thursday, July 24, 2008

PENDAKWAAN - 2

ARKIB : 12/11/1998 ARKIB : 12/11/1998

Mahkamah larang Anwar ulas perbicaraan

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan mengulas perbicaraan terhadap dirinya atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menegaskan bahawa beliau telah mengeluarkan perintah supaya orang awam tidak memperkatakan mengenai kes itu pada awal-awal perbicaraan lagi kerana hendak memastikan ia dijalankan dengan adil.

''Demi kepentingan keadilan, saya meminta perkara ini mesti dihentikan,'' tegas beliau.

Hakim Augustine membuat perintah itu ketika sidang perbicaraan bermula pada kira-kira pukul 9.35 pagi ini.

Sebelum itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail memohon untuk menarik perhatian mahkamah kepada laporan akhbar The Star hari ini.

Beliau merujuk muka surat 4 akhbar tersebut di mana tajuk utamanya mengatakan Anwar Gets Message Across Despite Clamp.

Gani memetik laporan akhbar itu dengan bahasa asalnya yang menyebut mengenai tertuduh (Anwar) di mana sewaktu tengah makan telah mengatakan dengan kuatnya (suara): No eating in court according to Justice Paul and then smile at some of the policeman who appeared to be chewing gum.

Beliau meneruskan membaca petikan itu berbunyi: He then spoke to reporters about the press reports in his corruption trial and that of his former tennis partner, Datuk S. Nallakaruppan. He then further on said this.

Gani membaca lagi akhbar itu yang menyatakan Anwar kemudian memilih satu tajuk sebuah akhbar yang berbunyi: ''Said: I will lie'' and said in jest, ''He has given 6 versions already. I am counting.''

Gani: ''Jika perkara ini betul-betul berlaku, maka implikasinya adalah sangat serius.''

Peguam Raja Aziz Addruse yang mengetuai sembilan peguam bela mewakili Anwar segera bangun berkata: ''Benarkan saya menjawab dalam Bahasa Inggeris supaya meringkaskan perkara ini.''

Raja Aziz: ''Saya telah pun dimaklumkan oleh Gani Patail mengenai perkara ini. Saya mendapat arahan daripada anak guaman saya. Ini sebenarnya satu salah faham berhubung mengenai apa yang sebenarnya beliau (Anwar) katakan...'While eating his food...gum.''

Menurut Raja Aziz bahawa arahan anak guamnya menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan kata-kata...''according to Justice Paul.''

Raja Aziz: ''Sekiranya ia diambil dari sudut itu tanpa kata-kata, ''according to Justice Paul'' maka ia tidak mengandungi apa-apa yang silap dalam laporan tersebut.''

Hakim Augustine: ''Saya tidak pernah kata apa-apa mengenai makan dalam mahkamah. Saya tidak tahu apa peraturan penjara. Apabila mahkamah berehat, tidak salah untuk makan tetapi jangan mengotori mahkamah.''

Raja Aziz: ''Berhubung dengan '6 versions', saya diarahkan bahawa beliau sebenarnya menyatakan perkara itu kepada keluarganya. Beliau (Anwar) juga menyakinkan saya bahawa bukanlah niatnya (bagi wartawan mendengarnya).''

Hakim Augustine: ''Saya rasa kita selesaikan perkara ini di sini sahaja. Tolong nasihatkan tertuduh supaya beliau mengelakkan membuat sebarang kenyataan mengenai kes ini. Sekiranya beliau mahu memberikan sebarang maklumat kepada keluarganya, beliau boleh tunggu sehingga sidang mahkamah ditangguhkan dan para wartawan sudah pun keluar.''

''Saya rasa perkara yang kedua lebih serius kerana ia mengenai perkembangan kes ini. Sebab itulah saya telah mengeluarkan perintah pada awal-awal perbicaraan lagi untuk memastikan ia dijalankan dengan adil. Demi kepentingan keadilan, saya minta perkara ini dihentikan,'' tegas Hakim Augustine.

Selepas itu, Hakim bertanya jika ada sebarang aduan yang lain.

Raja Aziz: ''Tidak.''

Peguam bela itu kemudian meneruskan soalan dalam pemeriksaan balas ke atas saksi pendakwa yang kedua, Timbalan Penguasa Polis, Abdul Aziz Hussin pada perbicaraan terhadap Anwar di hari yang kelapan.

Raja Aziz: ''Ekoran keterangan yang diberikan petang semalam, Ummi telah mereka, menulis dan menandatangani ID18 (surat pengakuan menafikan dakwaan terhadap Anwar, adakah benar?''

Abdul Aziz: ''Mengikut keterangan saya semalam, Ummi telah mereka, menulis dan menandatangani surat berkenaan setelah berbincang dan mendapatkan pandangan serta garis panduan dari saya.''

Raja Aziz: ''Itu sahaja pemeriksaan balas.''

Selepas itu beliau memaklumkan bahawa tugas pemeriksaan balas seterusnya diambil alih oleh rakannya, peguam Sulaiman Abdullah. Perbicaraan bersambung esok.

----------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 13/11/1998

'Azizan bersumpah diliwat' -- Dia buat pengakuan dengan memegang surah Yasin - Saksi

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Azizan Abu Bakar bersumpah dengan memegang senaskkah kecil surah Yasin di hadapan seorang pegawai dari Cawangan Khas mengenai kebenaran pengakuannya bahawa beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Mazlan Mohd. Din berkata, dengan kedua-dua tangannya memegang Surah Yasin, Azizan menyatakan bahawa sekiranya beliau berbohong beliau akan dilaknati Allah.

Mazlan memberitahu, ketika disoal siasat selama satu jam, Azizan bersumpah bahawa kandungan surat pengakuan bersumpahnya adalah benar.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bertanya Mazlan apakah kandungan surat dakwaan itu yang dikatakan benar.

Mazlan: ''Di dalam surat dakwaan (ID14) itu, Azizan menyatakan bahawa dia telah diliwat oleh tertuduh.''

''Saya juga mendapati ketika disoal siasat, saya mempercayai apa yang dikatakan oleh Azizan,'' kata Mazlan sebagai saksi pendakwa yang ketujuh pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang masuk hari kesembilan.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Dalam keterangan pemeriksaan utamanya, Mazlan berkata, beliau menjalankan soal siasat ke atas Azizan dengan dibantu oleh dua pegawainya, Penolong Penguasa Polis (PPP), Mohd. Arif Ariffin dan Ketua Inspektor Zamri Hashim.

Azahar: ''Dalam masa satu jam kamu dan pegawai-pegawai kamu menyoal siasat Azizan tentang ID14C - surat pengakuan bersumpah, adakah Azizan membuat sesuatu?''

Mazlan: ''Dalam masa satu jam apabila saya mempersoalkan kebenaran ID14C, dia dengan dua tangan menggenggam erat surah Yasin, dia bersumpah di hadapan saya dengan mengatakan, 'Sekiranya dia berbohong dia akan dilaknati Allah Ta'ala.'

Azahar: ''Apa yang disumpahkan oleh Azizan?''

Mazlan: ''Dia bersumpah bahawa apa yang terkandung di dalam ID14C adalah benar.''

Azahar: ''Apakah yang terkandung di dalam ID14C yang Azizan bersumpah adalah benar?''

Mazlan: ''Di dalam ID14C Azizan mengaku bahawa beliau telah diliwat oleh tertuduh.''

Peguam bela Anwar, Gurbachan Singh membantah soalan atas alasan yang serupa yang dibangkitkan oleh rakannya peguam Christopher Fernando.

Gurbachan: ''Kandungan ID14C masih belum dijadikan bahan bukti dan ia semata-mata dakwaan. Ia juga mempunyai kesan prejudis yang tinggi tanpa sebarang nilai kejujuran.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Adakah Azizan akan dipanggil?''

Azahar: ''Azizan pasti akan dipanggil.''

Hakim Augustine: ''Untuk membuktikan ID14C?''

Azahar: ''Beliau akan dipanggil untuk membuktikan fakta tersebut.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa terdapat peruntukan di bawah Seksyen 136 Akta Keterangan 1950.''

Gurbachan kemudian membaca sepenuhnya akta tersebut lalu berkata: ''Tetapi keterangan ini mesti dikemukakan bukan melalui saksi ini, ia mesti melalui Azizan.''

Hakim Augustine: ''Bantahan sebelum ini atas isu yang berbeza. Saya tolak bantahan.''

Hakim Augustine: ''Apa yang kamu katakan tadi ialah beliau bersumpah beliau telah diliwat oleh tertuduh?''

Mazlan: ''Ya.''

Azahar: ''Pada pagi itu 18 Ogos 1997, kamu telah menerima arahan-arahan tertentu daripada Mohd. Said, dan sebelum itu juga, kamu beritahu Yang Arif bahawa kamu menerima arahan-arahan berkenaan kes ini. Adakah kamu tahu arahan-arahan ini sebenarnya dari siapa?''

Mazlan: ''Saya tahu. Arahan-arahan ini, untuk neutralize Azizan dan Ummi Hafilda datang daripada tertuduh (Anwar) seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Mohd. Said dan Datuk Amir Junus.''

Gurbachan membantah: ''Ini adalah dengar cakap.''

Hakim Augustine: ''Adakah benar ini dengar cakap?''

Azahar: ''Datuk Amir Junus akan memberikan keterangan.''

Hakim Augustine: ''Bila Datuk Amir datang beliau boleh berikan keterangan ini.''

Azahar: ''Di bawah Seksyen 60 Akta Keterangan 1950 ia boleh diterima pakai.''

Hakim Augustine: ''Itu adalah yang beliau dengar secara langsung bukan dari mana-mana pihak.''

Azahar membaca Seksyen 60(b) Akta Keterangan 1960, lalu berkata: ''Saksi ini mendengar sendiri.''

Hakim Augustine: ''Beliau mendengar perkara itu daripada Mohd. Said dan Datuk Amir. Jika beliau berada di situ ketika tertuduh kata demikian, maka beliau boleh berikan keterangan. Ini untuk menunjukkan bahawa beliau tahu perkara itu.''

Azahar: ''Dalam pemeriksaan balas, ada ditanyakan mengenai apa yang orang lain cakap contohnya, Datuk Megat Junid dan lain-lain.''

Hakim Augustine: ''Sebagaimana yang telah saya katakan, apa yang tidak boleh diterima pakai tetap tidak boleh diterima pakai. Saya berfikiran terbuka. Sekiranya saya yakin bahawa saya yang tersilap, saya dengan sukacita mengubah fikiran saya.''

Azahar: ''Saya mengalihkan kepada soalan lain.''

Azahar: ''Selepas kamu menerima arahan daripada Mohd. Said untuk neutralize Azizan kamu memulakan proses itu bersama pegawai-pegawai kamu?''

Mazlan: ''Selepas saya menerima arahan daripada Mohd. Said, saya pun memulakan proses 'turning over' ini bersama-sama pegawai-pegawai saya yang lain, lebih kurang 1.45 pagi.''

Azahar: ''Sekitar pukul 3 pagi pada 18 Ogos 1997, apa berlaku?''

Mazlan: ''Saya dan Abdul Aziz dipanggil oleh Mohd. Said dan Datuk Amir ke pejabat Mohd. Said untuk memberi taklimat mengenai maklumat yang saya peroleh daripada Azizan. Saya juga memaklumkan findings saya di dalam proses soal siasat ini.''

Azahar: ''Di peringkat itu, apakah penemuan kamu tentang soal siasat kamu?''

Mazlan: ''Di peringkat itu, penemuan saya ketika itu saya mempercayai apa yang dikatakan oleh Azizan.''

Azahar: ''Apa sebabnya kamu membuat penemuan sedemikian pada ketika itu?''

Gurbachan: ''Saya membantah. Apa sahaja penemuannya, ia hanya pendapat semata-mata.''

Hakim Augustine: ''Persoalan pendapat tidak timbul. Ia adalah persoalan kepercayaan berasaskan apa yang diberitahu Azizan kepadanya (saksi).''

Gurbachan: ''Mazlan memberitahu Yang Arif mengenai pendapatnya berasaskan apa yang Azizan beritahu beliau. Ini adalah keterangan berbentuk pendapat.''

Hakim Augustine menolak bantahan tersebut.

Gurbachan: ''Bantahan saya yang kedua bahawa ia menyalahi Seksyen 60.''

Hakim Augustine: ''Saya tolak bantahan, teruskan.''

Azahar: ''Apakah asas penemuan kamu?''

Mazlan: ''Ada beberapa asas kenapa saya membuat penemuan sedemikian. Pertama, Azizan begitu konsisten di dalam menyampaikan dakwaannya. Kedua, saya juga berpendapat bahawa Azizan adalah mangsa dan sukar baginya untuk tampil membuat pengakuan.''

Gurbachan: ''Bolehkah bantahan kami didengar atas alasan kedua bahawa ia adalah pendapat saksi dan tidak boleh dibenarkan. Beliau menggunakan kata-kata, ''Saya juga berpendapat.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa kamu mengelirukan makna di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950.''

Gurbachan: ''Hujah saya sama juga bahawa alasan itulah pendapat di mana diterima pakai di bawah Seksyen 45. Jelas bahawa pendapat bukan boleh diterima. Seksyen 60 tidak boleh meliputi keadaan ini. Beliau menyatakan bahawa itu adalah pendapat dan menggunakan perkataan ''pendapat''. Sepatutnya beliau hanya boleh memaklumkan Yang Arif apa yang beliau dengar daripada Azizan.''

Hakim Augustine: ''Beliau memberikan pandangan hasil daripada penemuannya. Beliau memberikan pandangannya mengenai apa yang berlaku. Saya menolak bantahan.''

Azahar: ''Sebenarnya pihak pendakwa bersandarkan kepada Seksyen 60(1)(d) Akta Keterangan.''

Hakim Augustine: ''Seksyen 60(d) mesti dibacakan bersama dengan Seksyen 45. Ia tidak boleh diterima pakai di sini. Ia adalah peruntukan untuk keterangan pakar. Bagaimanapun, saya sudah menolak bantahan.''

Azahar: ''Apakah lagi sebabnya kamu berpendapat demikian?''

Mazlan: ''Sebagai seorang yang beragama Islam, bersumpah dengan menggunakan Surah Yasin boleh menerima kepercayaan kepada saya.''

Azahar: ''Kamu beritahu pandangan ini kepada Mohd. Said.''

Mazlan: ''Ya, tetapi Mohd. Said dan Datuk Amir masih mengarahkan saya supaya meneruskan proses 'turning over' ini.''

Azahar: ''Dan kamu mematuhi arahan tersebut?''

Mazlan: ''Saya terpaksa mematuhi arahan tersebut walaupun saya tahu ia agak aneh sedikit.''

Azahar: ''Selain daripada kamu, PPP Ariff dan Ketua Inspektor Zamri menjalankan proses 'turning over' ini, adakah sesiapa lain yang turut menjalankan proses 'turning over' Azizan?''

Mazlan: ''Selain mereka, lebih kurang jam 5 pagi, TPP Abdul Aziz masuk membantu saya.''

Azahar: ''Kenapa begitu?''

Mazlan: ''Teknik yang saya lakukan dalam proses 'turning over' ini lebih kepada ''persuasive methods''. Jadi proses ini agak lambat untuk mendapatkan results. Oleh itu, pada ketika itu, Azizan masih belum dapat dineutralize. Abdul Aziz yang mempunyai perwatakan garang menyoal Azizan dan lebih kurang 1 jam selepas itu, Azizan beliau anggap telah dineutralize.''

Azahar: ''Pukul berapa itu?''

Mazlan: ''Lebih kurang jam 6 pagi.''

Azahar: ''Sejak kamu mula menyiasat Azizan sehinggalah 6 pagi, lebih kurang 6 jam adakah beliau di beri masa tidur?''

Mazlan: '' Azizan tidak di beri masa untuk tidur sebab tugas yang saya diberikan masa untuk lakukan mesti complete (selesai) dalam masa 24 jam.''

Azahar: ''Setelah itu, lebih kurang pukul 6 pagi, adakah kamu maklumkan perkara ini kepada Mohd. Said?''

Mazlan: ''Benar, saya ada maklumkan kepada Mohd. Said dan Datuk Amir bahawa Azizan telah dineutralize lebih kurang jam 6 pagi, 18 Ogos 1997.''

Azahar: ''Pada pukul 10 pagi, 18 Ogos 1997, apa yang berlaku?''

Mazlan: ''Pada 10 pagi, 18 Ogos 1997, saya telah beliau arahkan oleh Mohd. Said untuk menyerahkan Azizan kepada pihak CID. Azizan kemudiannya telah diserahkan kepada PPP Mazlan Mansor dari Cawangan CID.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/11/1998

Persamaan Dalam Surat Ummi Dan Talqin Untuk Anwar

KUALA LUMPUR, 12 Nov. _ Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberitahu bahawa terdapat tujuh persamaan fakta dalam surat Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri dengan surat layang bertajuk ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim''.

Saksi pendakwaan ketujuh ACP Mazlan Mohd Din memberitahu Mahkamah Tinggi demikian setelah menandakan persamaan itu atas arahan Hakim Datuk S. Augustine Paul yang memutuskan bahawa persamaan fakta itu tidak perlu dibacakan dalam mahkamah.

Terdahulu Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed meminta Mazlan membacakan persamaan yang terdapat pada kedua-dua dokumen itu tetapi dibantah oleh peguam Christopher Fernando.

Mazlan dari Cawangan Khas Bukit Aman, memberi keterangan terhadap Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, yang menghadapi empat tuduhan rasuah mengikut Ordinan No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970.

Fernando dalam bantahannnya memberitahu mahkamah bahawa Mazlan tidak harus membacanya kerana ia hanyalah dakwaan.

Azahar berhujah bahawa ia perlu dibaca bagi menunjukkan persamaan kerana siasatan polis berdasarkan kedua-duanya dan mereka saling kait- mengait.

''Saksi perlu menerangkannya kerana arahan yang diterima dan soal siasat berdasarkan kepada kedua-dua dokumen itu,'' katanya. Kedua-dua dokumen itu, surat yang ditulis Ummi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri dan surat layang telah diserahkan kepada mahkamah sebelum ini.

Mazlan pada mulanya membaca persamaan itu sebelum dibantah oleh Fernando dan mahkamah kemudian memerintahkan supaya keterangannya itu tidak disiarkan oleh pihak media kerana dokumen itu masih belum dikemukakan kepada mahkamah sebagai barang kes.

Selepas bantahan Fernando, hakim bertanyakan Azahar mengenai kaitannya dan berkata:''Memadai dengan menyatakan apakah persamaan itu tanpa membacanya secara terperinci. Saya akan membenarkan jika tidak dibaca secara terperinci.''

Mazlan dalam keterangannya berkata dokumen daripada Ummi Hafilda itu terdiri daripada surat, laporan dan pengakuan bersumpah Azizan manakala surat layang itu berbentuk gurindam.

Katanya beliau diarah oleh Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang dan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus untuk bertindak menjejaki kedua-dua mereka setelah berpendapat mereka mungkin boleh memperjelaskan mengenai kedua-dua dokumen itu.

''Dalam kata lain, kami mensyaki Ummi Hafilda dan Azizan ''memainkan peranan dalam surat layang itu'','' katanya.

ARKIB : 13/11/1998

Operasi Tangkap Penulis Surat Sukar

KUALA LUMPUR, 12 Nov. _ Usaha untuk menangkap dua orang penulis surat mengenai dakwaan salahlaku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi kesukaran apabila pemilik rumah tempat mereka berlindung enggan bekerjasama, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi ketujuh pendakwaan ACP Mazlan Mohd Din dari Cawangan Khas, Bukit Aman berkata beliau menghadapi kesukaran untuk menangkap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar yang berada di rumah Dr Ristina Majid di 56, Jalan Medang Tanduk, Bangsar pada operasi 17 Ogos 1997.

Anwar, 51, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, menghadapi empat tuduhan rasuah mengikut Ordinan No 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Mazlan memberitahu Hakim Datuk S.Augustine Paul bahawa beliau memasuki perkarangan rumah Dr Ristina pada pukul 5.30 petang hari berkenaan tetapi Dr Ristina enggan membenarkannya masuk.

''Dr Ristina enggan membuka pintu rumah, sebaliknya berlindung di bilik tidur utama bersama-sama Ummi Hafilda dan Azizan. Bagaimanapun pada kira-kira 10 malam, akhirnya dia bersetuju untuk membuka pintu,'' katanya.

Mazlan berkata Dr Ristina kemudian membawanya ke bilik tidur utama untuk mengambil Ummi Hafilda dan Azizan, tetapi pintu itu gagal dibuka apabila kunci jam pintu itu rosak.

Semasa disoal Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamad, beliau berkata polis terpaksa memasuki bilik itu menerusi tingkap balkoni dan kemudian menurunkan Ummi Hafilda dan Azizan juga menerusi jalan yang sama.

Ummi Hafilda dan Azizan seterusnya ditangkap oleh ASP Zulkifli Mohamed dari Jabatan Siasatan Jenayah yang kemudian menyerahkan mereka kepadanya pada 10.30 malam, kata beliau.

''Saya serahkan Azizan kepada DSP Abdul Aziz Hussin setelah Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang mengarahkan saya membawa balik mereka ke Bukit Aman.

''Semasa saya serah Azizan kepada DSP Aziz, saya perhatikan Azizan memegang sebuah buku kecil (surah Yasin). Kami sampai di Bukit Aman pada 12 tengah malam,'' kata Mazlan.

Sebelum itu, Mazlan berkata selepas ASP Zull Aznam Haron (pengiring Anwar) membuat laporan polis mengenai sepucuk surat layang pada 15 Ogos, beliau, Mohd Said dan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Amir Junus berpendapat Ummi dan Azizan mungkin boleh memberi penjelasan kerana terdapat persamaan antara surat itu dengan surat Ummi kepada Perdana Menteri.

Katanya polis mengesyaki kedua-dua mereka memainkan peranan dalam menulis surat layang itu yang bertajuk ''Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim''.

Mohd Said seterusnya mengarahkan Mazlan untuk menangkap mereka yang ketika itu sedang bersembunyi. Pada 3.30 petang 17 Ogos, melalui operasi pengintipan, polis berjaya mengesan mereka di kawasan Bangsar, kata Mazlan.

''Saya laporkan ini kepada Mohd Said yang kemudian mengarahkan saya menghubungi CID untuk menangkap kedua-dua mereka,'' katanya.

------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 13/11/1998

Saksi Lihat Azizan Dalam Keadaan Tertekan

KUALA LUMPUR, 12 Nov. _ Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa lelaki yang membuat pengakuan bersumpah bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya sebanyak 15 kali, dilihat berada dalam keadaan tertekan.

ACP Mazlan Mohd Din, saksi ketujuh dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari kesembilan berkata selain itu, Azizan Abu Bakar juga telah meluahkan rasa kecewa kepada beliau ketika mereka bertemu di Kelab Golf PDRM di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Mazlan berkata pertemuan itu diatur bagi mendapatkan surat penafian kedua yang lebih komited daripada bekas pemandu Anwar berhubung dakwaan salah laku seks Anwar.

Katanya beliau telah mengambil masa hampir dua jam untuk memujuk dan cuba memenangi hati Azizan bagi mendapatkan surat penafian yang lebih komited pada 28 Ogos 1997.

''Akhirnya, pada sekitar jam 11 malam, Yang Arif, Azizan bersetuju menulis sepucuk surat menafikan sama sekali yang beliau pernah diliwat oleh yang tertuduh,'' kata Mazlan.

Mazlan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Datuk Amir Junus, Timbalan Pengarah II Cawangan Khas, melalui telefon.

''Ketika itu beliau (Amir) berada di rumahnya dan beliau telah datang ke kelab untuk melihat sendiri surat penafian berkenaan,'' katanya ketika disoal oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed dalam pemeriksaan utama.

Azahar: Sila beritahu Yang Arif, apabila Datuk Amir Junus melihat surat itu, apa yang beliau buat.

Mazlan: Sekitar 11 malam, bila Datuk Amir Junus melihat surat itu, beliau telah menelefon Anwar menggunakan telefon bimbitnya. Datuk Amir telah membaca melalui telefon isi kandungan surat itu di mana saya lihat Datuk Amir membuat perubahan ke atas draf surat itu. Saya diarah oleh Datuk Amir supaya meminta Azizan menulis kembali surat yang telah dipinda.

Di sini, Yang Arif, saya juga berasa tertekan oleh sebab terpaksa merayu kepada Azizan mengubah kembali surat yang telah ditulis olehnya.

Azahar: Apa berlaku?

Mazlan: Saya jelaskan kepadanya apa yang berlaku dan di sini Azizan juga merasa hampa. Dia berkata ''once and for all'' dia akan turuti permintaan saya tadi. Beliau telah menulis surat itu kembali dan dalam surat ini, beliau menafikan sama sekali pernah menulis pengakuan bersumpah. Kalau di peringkat awal di draf yang pertama tadi, beliau menafikan pernah diliwat tetapi kali ini, beliau menafikan beliau pernah menulis pengakuan bersumpah itu.

Mazlan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menelefon DSP Abdul Aziz Hussin yang kemudiannya sampai ke kelab itu pada pukul 12 tengah malam dan menyerahkan surat Azizan untuk ditaip.

Katanya Abdul Aziz telah membawa surat itu balik ke pejabatnya dan memulangkan semula surat asal serta surat yang telah ditaip pada pukul 1 pagi 29 Ogos 1997.

Beliau berkata Azizan telah diminta menandatangani surat yang ditaip itu pada hari yang sama sebelum diserahkan kepada pengarah polis Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang pada hari yang sama.

Mazlan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan Abdul Aziz telah menerima arahan baru daripada Amir untuk mendapatkan surat penafian daripada Ummi Hafilda Ali pula.

Ummi adalah seorang lagi penulis surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi dakwaan salahlaku Anwar itu.

Sebelum itu, Mazlan memberitahu mahkamah pada mulanya, iaitu 18 Ogos, 1997, beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan suart penafian daripada Azizan kerana lelaki itu enggan menafikan dalam bentuk surat yang dia pernah diliwat oleh Anwar.

Beliau berkata selepas dipujuk lebih kurang tiga jam lamanya, Azizan cuma bersedia menulis sepucuk surat memohon maaf ke atas keterlanjurannya membuat surat pengakuan bersumpah itu yang dialamatkan kepada Perdana Menteri.

Selepas surat itu siap, Mohd Said telah memanggil Mazlan dan memaklumkan bahawa Anwar tidak berpuashati dengan kandungan surat itu, dan beliau (Mazlan) diarahkan untuk mendapatkan sepucuk lagi surat penafian yang lebih komited daripada Azizan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul yang berakhir pada 3.55 petang disambung pada pukul 9 pagi esok.

---------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/11/1998

Hakim larang siar isi surat talkin

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Hakim Datuk S. Augustine Paul hari ini mengeluarkan arahan melarang semua media daripada menyiarkan kandungan surat Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim dan surat dakwaan oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali berhubung perihal salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri itu sehingga ia dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam arahan itu, Hakim Augustine membenarkan saksi pendakwa, Penolong Pesuruhjaya Polis, Mazlan Mohd. Din hanya menyatakan dalam keterangannya, beliau mendapati ada tujuh persamaan dalam isi kandungan dua dokumen tersebut berhubung dakwaan terhadap Anwar.

Hakim Augustine berkata: ''Mahkamah sekarang mengarahkan oleh kerana butir keterangan belum didedahkan sebagaimana mengikut peraturan maka saya meminta beberapa bahagian yang terkandung dalam surat itu tidak boleh disiarkan dan sekiranya ingkar perbuatan itu dianggap menghina mahkamah.''

''Bagaimanapun apabila sudah didedahkan kelak mengenai persamaan yang disebutkan itu barulah ia dibenarkan untuk siaran,'' jelas beliau.

Sebelum itu, Mazlan yang merupakan saksi ke-7 dalam perbicaraan hari ini mengambil masa lebih setengah jam untuk menandakan bahagian-bahagian dalam dua dokumen tersebut.

Pada sesi pagi perbicaraan ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad meminta izin mahkamah supaya saksi itu merujuk kepada dua dokumen tersebut ketika menyambung pemeriksaan utama pihak pendakwa.

Azahar memulakan soalan: ''Petang semalam sebelum mahkamah ditangguhkan kamu beri keterangan apa yang berlaku pada 12 Ogos 1997. Hari ini saya mulakan pada 13 Ogos, keesokannya, apa yang berlaku?''

Mazlan: ''Sekitar pada jam 9 pagi pada 13 Ogos 1997, saya dipanggil oleh Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang ke pejabatnya. Mohd. Said telah bertanya saya mengenai perkembangan siasatan yang diarahkan oleh Ketua Polis Negara pada 11 dan 12 Ogos 1997.''

Azahar: ''Dan kamu ada beri taklimat kepadanya.''

Mazlan: ''Ya, Yang Arif, saya beri taklimat kembali bahawa saya belum dapat menjejak kedua-dua sasaran iaitu, Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar secara fizikal.''

Azahar: ''Setelah kamu memberi maklumat tersebut kepada Mohd. Said, apakah arahan yang diberi kepada kamu selanjutnya.''

Mazlan: ''Yang Arif, Mohd. Said telah arah saya supaya mempertingkatkan lagi siasatan saya. Mohd. Said juga mengarah saya supaya memulakan operasi pengintipan ke atas dua sasaran berkenaan.''

Azahar: ''Kita pergi sekarang kepada 15 Ogos. Pada sebelah pagi, adakah tidak kamu beri taklimat kepada Mohd. Said dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus.''

Mazlan: ''Saya ada beri taklimat kepada Mohd. Said dan Amir Junus.''

Azahar: ''Apakah taklimat yang kamu beri kepada mereka?''

Mazlan: ''Taklimat awal saya beritahu bahawa saya masih gagal untuk menjejak sasaran berkenaan di samping itu, Yang Arif, saya taklimatkan mengenai sepucuk surat layang bertajuk, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Azahar: ''Sebelah petang pada hari tersebut, 15 Ogos, beritahu Yang Arif apa yang berlaku.''

Mazlan: ''Di sebelah petang Yang Arif, saya dipanggil semula oleh Mohd. Said ke pejabatnya. Apabila saya sampai di pejabat Mohd. Said, saya dapati Yang Arif, Mohd. Said dan Amir Junus bersama Penolong Penguasa Polis, Zull Aznam Haron telah sedia berada di bilik Mohd. Said.''

Azahar: '' Apa berlaku selanjutnya?''

Mazlan: ''Ketika itu Zull Aznam sedang buat laporan polis mengenai surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.''

Azahar: ''Sebelum itu izinkan saya memanggil Zull Aznam untuk dicamkan oleh saksi.''

Selepas Zull Aznam dicamkan, Azahar: ''Kamu telah beritahu Yang Arif, sedang buat laporan polis tentang surat layang, sebelum itu apa berlaku?''

Mazlan: ''Sebelum Zull Aznam buat laporan polis saya ada melihat surat ini.''

Azahar: 'Daripada mana kamu lihat surat ini?''

Mazlan: ''Saya melihat surat ini daripada sumber saya.''

Azahar: ''Dengan izin supaya membenarkan saksi ini merujuk surat yang ditanda sebagai dokumen ID15. Sila lihat, saya akan kemukakan soalan.''

Mazlan: ''Ya, inilah salinan surat yang saya lihat.''

Azahar: ''Apakah kaitan ID15 dengan surat perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri seperti yang kamu baca dalam ID14 (surat dakwaan) semalam?''

Mazlan: ''Yang Arif, ada persamaan dari segi fakta di antara ID15 dan ID14.''

Saksi kemudian membaca sebahagian kandungan kedua-dua dokumen itu.

Azahar: ''Di manakah terdapatnya fakta ini dalam ID15?''

Mazlan: ''Di muka surat 2, perenggan dua.''

Azahar: ''Sila baca.''

Apabila saksi itu hendak mula membacanya, peguam bela Anwar, Christopher Fernando membantah.

Fernando: ''Ini surat layang. Ini dakwaan bukan fakta.''

Azahar: ''Seperti pendakwa katakan dulu, laporan polis oleh Zull Aznam dan surat perihal salah laku (ID14), pendakwa juga akan buktikan bahawa siasatan ada kaitannya dengan ID15.''

Fernando: ''Saya bantah. Berhenti menyebut persamaan. Ia suatu provokatif.''

Hakim: ''Memangnya provokatif.''

Fernando: ''Saksi boleh berkata terdapat satu atau dua persamaan, ini hanya dakwaan.''

Hakim Augustine: ''Ini tidak bermakna mahkamah menerimannya.''

Fernando: ''Saya bantah saksi baca bahagian dakwaan tersebut.''

Azahar: ''Saksi pendakwa kata ada kaitan.''

Hakim Augustine: ''Macam manakah ia boleh dikaitkan.'' Perbicaraan bersambung esok.

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/11/1998

Peguam desak saksi punca sumber diperoleh

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari ke-10 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini tegang seketika apabila peguam belanya mendesak pegawai Cawangan Khas mendedahkan dari mana sumbernya surat yang mengandungi dakwaan perihal salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperoleh.

Pegawai Cawangan Khas, Penolong Pesuruhjaya Polis, Mazlan Mohd. Din saksi ketujuh memberitahu, beliau memperoleh maklumat mengenai surat dakwaan oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali (ID14) dan surat layang bertajuk Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim (ID15) melalui sumbernya.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Surat dakwaan yang dihantar oleh Ummi Hafilda kepada Perdana Menteri itu mendedahkan salah laku seks Anwar.

Menurut saksi itu, beliau menerima salinan ID14 daripada pegawai atasannya, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Amir Junus.

Beliau berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Anwar, Gurbachan Singh.

Gurbachan: ''Sumber kamu adalah seorang awam?.''

Mazlan: ''Saya tidak boleh dedahkan sumber saya.''

Gurbachan: ''Bukan, dia seorang awam?''

Mazlan: ''Saya tidak boleh dedahkan.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad yang sebelum itu baru sahaja selesai menyoal saksi itu dalam pemeriksaan utama, bangun membantah.

Azahar: ''Kalau didedahkan ia boleh 'narrow down' (membataskan) keterangan.''

Hakim Datuk S. Augustine Paul: ''Ada beberapa peruntukan mengenai pemberi maklumat, rujuk kepada Akta Keterangan.''

Gurbachan yang merujuk Akta Keterangan membaca Seksyen 124 berbunyi: ''Seorang pegawai awam tidak boleh dipaksa mendedahkan komunikasi yang dibuat kepadanya secara rasmi dan sulit apabila difikirkannya kepentingan awam akan terjejas dengan pendedahan.

''Dengan syarat bahawa mahkamah boleh menghendaki ketua jabatan pegawai itu memperakui secara bertulis sama ada atau tidak pendedahan itu akan memudaratkan kepentingan awam dan, jika ketua jabatan itu memperakui bahawa pendedahan itu tidak akan menjejaskan kepentingan awam, maka pegawai itu hendaklah mendedahkan komunikasi itu.''

Gurbachan: ''Soalan saya, daripada siapakah dokumen diperolehnya?''

Mazlan: ''Saya tidak dedahkan sumber saya oleh kerana keterangannya boleh dibataskan.''

Azahar: ''Saya bantah di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan. Saksi ini tertakluk dengan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dan juga Pelaksanaan Tugas Unit Cawangan Khas (SB Manual). Dokumen ini dikelaskan di bawah Akta SB Manual dan juga Seksyen 144 Akta Keterangan.''

Gurbachan: ''Soalan ini sama ada beliau mendapat maklumat itu daripada orang awam.''

Hakim Augustine: ''Apa kaitannya.''

Gurbachan: ''Kami ingin menunjukkan bahawa terdapat banyak penyebaran mengenai surat dakwaan itu. Sebagai mematuhi Seksyen 124, kami tidak pun menanyakan nama.''

Hakim Augustine: ''Sebab dia orang awam.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail turut bangun membantah: ''Jika saya dedah, ia boleh membataskan keterangan.''

Gurbachan:''Saya tidak akan melanjutkan soalan. Saya tidak nampak macam mana boleh prejudis.''

Azahar: ''Ia tidak boleh digalakkan.''

Hakim Augustine: ''Lebih baik dedahkan sumber. Kalau tidak saya tidak boleh membuat keputusan.''

Gani bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau akan meneliti dulu sama ada Cawangan Khas boleh mendedahkan sumber dokumen-dokumen tersebut.

Hakim Augustine: ''Ia untuk dipastikan sama ada dokumen itu adalah termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi, jika begitu saya tidak menerima soalan ini.''

Gani: ''Sekiranya, dokumen itu di bawah Akta Rahsia Rasmi, maaf demi kepentingan keadilan, saya ingin cadangkan bahawa hakim boleh mencari sumber dan sumber itu boleh terdiri daripada apa sahaja.''

Hakim Augustine: ''Beliau (peguam bela) bertanyakan soalan yang mudah. Adakah sumber kamu orang awam. Beliau menyatakan boleh dedahkan sama ada ya atau pun tidak. Sekiranya ini tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi maka saya tidak menekannya.''

Gurbachan kemudian memberitahu bahawa pihaknya menangguhkan dulu soalan tersebut sehingga pendakwa raya memastikan bahawa ia dokumen rahsia atau di bawah SB Manual.

Hakim Augustine merujuk kepada peruntukan di bawah Seksyen 125 Akta Keterangan dan membacanya.

Gurbachan: ''Tetapi kami tidak menyoal mengenai identiti.''

Hakim Augustine: ''Tetapi ia tertakluk di bawah seksyen ini.''

Apabila Gurbachan hendak menyoal Mazlan, hakim Augustine meminta beliau merujuk Seksyen 125.

Hakim Augustine: ''Pada pandangan saya ia tertakluk di bawah Seksyen 125, jadi tidak perlu jawab sekarang.''

Gurbachan lalu mengalihkan soalan lain.

Gurbachan: ''Bilakah Ketua Polis Negara (KPN) mula ditaklimat dengan surat pengakuan bersumpah Azizan (ID14C) dan ID15.

Mazlan: KPN mula-mula ditaklimat dengan ID14C pada 11 Ogos 1997.''

Gurbachan: ''Boleh beritahu mahkamah bila Cawangan Khas menerima dokumen itu daripada KPN?''

Mazlan: ''Kalau saya tak silap, pada perjumpaan pertama saya dengan KPN pada 11 Ogos 1997 yang turut dihadiri oleh Datuk Amir Junus.''

Hakim Augustine: ''Apa berlaku masa itu?''

Mazlan: ''Pada masa itu ID14 diserahkan oleh KPN kepada Amir Junus.''

Gurbachan: ''Siapa beritahu kamu bahawa ID14 (surat dakwaan yang ditulis oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali) dalam proses untuk dihantar kepada Perdana Menteri.''

Mazlan: ''Melalui sumber saya, saya diberitahu bahawa ID14 dalam proses untuk dihantar kepada Perdana Menteri, Yang Arif.''

Hakim Augustine mengarahkan peguam bela merujuk kuasa undang-undang mengenai pemberi maklumat.

Gurbachan: ''Sumber yang sama?''

Mazlan: '' Saya tidak boleh beritahu, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Beliau menyatakan daripada sumber, adakah sumber yang sama?''

Mazlan: ''Saya tidak boleh beritahu, Yang Arif.''

Hakim Augustine merujuk Seksyen 125 Akta Keterangan.

Gurbcahan: ''Saya tidak pun tanya sama ada ia adalah orang awam.''

Hakim Augustine membaca Seksyen 125 yang berbunyi:

''Seseorang hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau pegawai polis tidak boleh dipaksa mengatakan dari mana dia telah mendapat apa-apa maklumat mengenai perlakuan sesuatu kesalahan, dan seseorang pegawai hasil tidak boleh dipaksa mengatakan dari mana dia telah mendapat apa-apa maklumat mengenai perlakuan sesuatu kesalahan terhadap hasil awam atau terhadap undang-undang eksais.''

''Mahkamah terikat dengan seksyen ini,'' jelas Hakim Augustine.

Gurbachan: ''Beliau menyatakan daripada sumber.''

Hakim Augustine sambil meneliti notanya: ''Beliau tidak menyatakannya. Saya rasa sukar kerana terikat di bawah Seksyen 125.''

Gurbachan mengubah soalannya: ''Selepas taklimat pada 11 Ogos 1997, sila beritahu berapa kali KPN beri taklimat kepada kamu.''

Mazlan: ''Selepas 11 Ogos 1997, Yang Arif, saya berjumpa KPN pada 12 Ogos dan saya laporkan kepada KPN mengenai penyebaran ID14.

Perbicaraan bersambung pada 23 November ini.

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/11/1998

Saksi Kes Anwar Enggan Dedah Sumber Maklumat

KUALA LUMPUR, 13 Nov. _ Seorang pegawai polis Cawangan Khas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak boleh mendedahkan sumber yang memberikannya surat-surat mengandungi dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ACP Mazlan Mohd Din, saksi ketujuh pada perbicaraan empat kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu, berkata beliau tidak dapat berbuat demikian kerana pembela boleh ''mengenal pasti'' sumber itu.

Mazlan berkata demikian ketika disoal balas oleh seorang daripada sembilan peguam Anwar, Gurbachan Singh, yang ingin mengetahui sama ada sumber itu seorang awam atau tidak.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed ketika membantah soalan itu berkata sebagai seorang pegawai Cawangan Khas, Mazlan tertakluk kepada ''Inspector-General Standing Order'' dan ''Special Branch Manual'' yang tidak membenarkan sumber maklumat didedahkan.

Beliau berkata jika sumber maklumat didedahkan, perkara itu boleh ''menyebabkan orang awam enggan memberi maklumat kepada polis.''

Sambil merujuk kepada Seksyen 124 Akta Keterangan 1950, Gurbachan berkata pihaknya tidak menghendaki Mazlan mendedahkan komunikasi atau butir-butir lain sumber tetapi hanya ingin tahu sama ada sumber itu adalah orang awam atau tidak.

Seksyen itu antara lain menyatakan ''seseorang pegawai awam tidak boleh dipaksa mendedahkan komunikasi yang dibuat kepadanya secara rasmi dan sulit apabila difikirkannya kepentingan awam akan terjejas dengan pendedahan itu.''

Gurbachan berkata seksyen itu tidak terpakai dalam hal ini dan Mazlan boleh menjawab soalan yang dikemukakannya itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail pula memberitahu mahkamah bahawa ''semua perkara yang berkaitan dengan keselamatan negara adalah termaktub mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).''

Pada peringkat ini, Hakim Datuk S.Augustine Paul meminta pihak pendakwa mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Paul berpendapat seksyen lain iaitu Seksyen 125 dalam akta yang sama mungkin terpakai dalam hal ini.

Antara lain, Seksyen 125 itu menyatakan bahawa ''seseorang hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau pegawai polis tidak boleh dipaksa mengatakan dari mana dia telah mendapat apa-apa maklumat mengenai perlakuan sesuatu kesalahan, dan seseorang pegawai hasil tidak boleh dipaksa mengatakan dari mana dia telah mendapat apa-apa maklumat mengenai perlakuan sesuatu kesalahan terhadap hasil awam atau terhadap undang-undang''.

Gurbachan kemudian berkata beliau ''mahu menangguhkan soalan berhubung perkara itu sehingga pihak pendakwa mengesahkan bahawa perkara itu termaktub mengikut OSA''.

Mazlan berkata sumbernya memberitahu bahawa surat-surat yang mengandungi dakwaan salah laku seks Anwar pada masa itu sedang dalam proses untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Pada ketika itu, Gurbachan sekali lagi bertanya ''sumber yang sama'' dan Mazlan menjawab ''saya tidak boleh beritahu, Yang Arif''.

Kepada soalan lain, Mazlan berkata beliau tidak tahu sama ada surat-surat asal berkenaan diambil oleh Cawangan Khas daripada Perdana Menteri dan beliau juga tidak tahu ada surat lain yang dihantar kepada PM.

Beliau bersetuju dengan cadangan Gurbachan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubah arahan Ketua Polis Negara.

Sebelum itu, Mazlan memberitahu mahkamah bahawa selain daripada sumber itu, beliau juga menerima surat-surat itu daripada Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Amir Junus.

Menurutnya beliau telah menerima arahan khusus daripada Amir untuk memantau penyebaran surat salah laku itu dan mengikut siasatannya, surat itu tidak disebarkan secara meluas.

---------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 14/11/1998

Saksi Nafi Diarah Paksa Azizan Berbohong

KUALA LUMPUR, 13 Nov. _ Pegawai Cawangan Khas ACP Mazlan Mohd Din tidak pernah diarah untuk memaksa lelaki yang menulis surat mengenai salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbohong, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

''Saya tidak pernah diarah untuk memaksa Azizan Abu Bakar berbohong,'' katanya kepada pertanyaan peguam bela Gurbachan Singh pada perbicaraan hari ke-10 bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi empat pertuduhan rasuah.

Katanya Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohamed Said Awang hanya mengarahkannya supaya meneutralisasikan Azizan dan beliau menganggap arahan itu adalah untuk menarik balik dakwaan yang dibuat terhadap Anwar.

Gurbachan: ... Mohamed Said tidak pernah mengarahkan kamu untuk memaksa Azizan berbohong?

Mazlan: Mohamed Said pada malam itu (17 Ogos 1997) mengarahkan saya untuk meneutralisasikan Azizan dan saya anggap arahan itu adalah untuk menarik balik dakwaan yang dibuat oleh Azizan (terhadap Anwar).

Gurbachan: Sila jawab soalan yang ditanya. Adakah Mohamed Said mengarahkan kamu memaksa Azizan berbohong?

Mazlan: Mohamed Said tidak menggunakan perkataan ''memaksa Azizan berbohong'' Yang Arif.

Gurbachan: Bersetuju atau tidak, jika Mohamed Said mengarahkan kamu untuk memaksa Azizan berbohong, kamu tidak akan melakukannya.

Mazlan: Saya lakukan apa yang diarahkan oleh Mohamed Said. Mohamed Said tidak menggunakan perkataan ''memaksa Azizan berbohong''.

Gurbachan: Adakah Mazlan fasih dalam Bahasa Melayu?

Mazlan: Ya, saya fasih.

Gurbachan: Jadi, jawab soalan itu. Jika Mohamed Said mengarahkan kamu untuk memaksa Azizan berbohong, kamu tidak akan mematuhi arahan Mohamed Said itu?

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed membantah soalan yang dikemukakan dengan alasan ia soalan andaian. Bagaimana pun Hakim Datuk S.Augustine Paul membenarkan soalan itu selepas Mazlan memberitahu mahkamah beliau faham soalan Gurbachan.

Mazlan kemudian menjawab, jika Mohamed Said mengarahkannya memaksa Azizan berbohong, beliau terpaksa melakukannya kerana perkara itu tertakluk di bawah Akta Polis.

Gurbachan: Adakah kamu bersetuju bahawa adalah salah, tidak wajar dan menyalahi undang-undang bagi seorang pegawai polis memaksa seseorang itu berbohong.

Mazlan: Pada ketika itu, Yang Arif, saya tidak sedar bahawa adalah salah untuk neutralise Azizan. Saya hanya diberi masa kurang daripada 24 jam untuk melakukan arahan itu, Yang Arif.

Tidak terfikir mengenai salah atau betul apa yang saya lakukan setelah diarah oleh Mohamed Said oleh kerana masa yang singkat, Yang Arif.

Apa yang saya lakukan Yang Arif, adalah menidakkan apa yang diakui oleh Azizan.

Gurbachan: Sila jawan ya atau tidak.

Mazlan: Ya

Gurbachan: Bilakah kamu sedar meneutralisasikan seseorang itu salah?

Mazlan: Meneutralisasikan seseorang itu tidak salah dalam keadaan biasa, contohnya, kami neutralise ahli-ahli Parti Komunis Malaya yang dianggap sebagai musuh negara, Yang Arif.

Gurbachan: Kamu juga neutralise fanatik agama?

Mazlan: Betul Yang Arif, kami juga neutralise fanatik agama.

Gurbachan: SB tidak pernah neutralise atau turn over seorang penjenayah?

Mazlan: SB tak ada bidang kuasa untuk neutralise penjenayah sebab itu bukan bidang tugasnya.

Gurbachan: Jadi kamu melakukan melampaui kuasa dan bidangkuasa kamu dalam kes ini?

Mazlan: Ya, saya anggap begitu dalam kes Azizan.

Gurbachan: Adakah kamu setuju bahawa seorang pembohong itu boleh konsisten?

Mazlan: Mungkin.

Kepada soalan lain, Mazlan memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan Gurbachan bahawa beliau tidak mengetahui fakta-fakta dalam kes itu.

Mazlan juga berkata beliau menganggap beliau mematuhi undang-undang ketika menjalankan soal siasat dalam kes ini.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan Gurbachan bahawa prosedur berhubung siasatan polis terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah.

Memandangkan waktu hampir 12 tengah hari, Gurbachan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan mengambil masa lebih kurang sejam lagi untuk menyoal balas saksi.

Paul menangguhkan perbicaraan sehingga 23 Nov ini memandangkan hari ini hari Jumaat.

--------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/11/1998

Saksi Kes Anwar Percaya Pemilik Rumah Lakukan Kesalahan

KUALA LUMPUR, 13 Nov. _ Dr Ristina Majid, pemilik rumah di mana dua penulis surat salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim berselindung, dipercayai melakukan kesalahan kerana enggan bekerjasama dengan polis, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini.

Saksi ketujuh pendakwaan, ACP Mazlan Mohd Din dari Cawangan Khas, Bukit Aman berkata beliau percaya Dr Ristina telah melakukan kesalahan apabila beliau enggan membuka pintu rumahnya bagi membolehkan polis menangkap Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, Mazlan memberitahu mahkamah bahawa dalam pengetahuannya, Dr Ristina tidak ditangkap walaupun beliau dipercayai melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Anwar, Gurbachan Singh pada hari ke-10 perbicaraan kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri, didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau penjara RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mazlan bersetuju dengan cadangan Gurbachan bahawa ''tentangan untuk ditangkap merupakan satu kesalahan''.

Beliau juga bersetuju pada 17 Ogos 1997, Dr Ristina tidak membukakan pintu untuk ASP Zulkifli Mohamed menangkap Ummi dan Azizan sehinggalah selepas pukul 10 malam.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed semalam, Mazlan memberitahu mahkamah beliau sukar menangkap kedua-dua penulis surat itu setelah Dr Ristina enggan memberikan kerjasama.

''Dr Ristina enggan membuka pintu rumah, sebaliknya berselindung di bilik tidur utama bersama-sama Ummi dan Azizan. Bagaimanapun, pada kira-kira 10 malam, akhirnya dia bersetuju untuk membuka pintu,'' katanya.

Dalam keterangannya semalam, Mazlan juga berkata polis terpaksa memasuki bilik itu menerusi tingkap balkoni dan menggunakan tangga untuk menurunkan Ummi dan Azizan apabila pintu bilik didapati rosak.

Hari ini, Mazlan memberitahu mahkamah bahawa pasukan cawangan khas tidak membawa sebarang senjata atau ''metal cutter'' pada malam itu tetapi beliau tidak pasti mengenai pasukan Jabatan Siasatan Jenayah.

Mazlan juga berkata beliau tidak pasti sama ada pihak polis ada menyebabkan kerugian ke atas rumah Dr Ristina dan jumlah kerugian itu walaupun Gurbachan ada menyebut RM100,000.

Kepada soalan lain, Mazlan berkata beliau tidak tahu sama ada Dr Ristina ada buat sebarang pengaduan atau laporan polis dan sama ada wanita itu ada membuat sebarang tuntutan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk S.Augustine Paul disambung 23 Nov ini.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/11/1998

Kes Rasuah Anwar Ditangguh Sehingga 23 November Ini

KUALA LUMPUR, 13 Nov. _ Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 23 Nov oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas 10 hari dijalankan.

Hakim Datuk S.Augustine Paul berkata mahkamah memperuntukkan tiga minggu mulai 23 Nov bagi menyambung mendengar kes bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu.

Semasa ditanya oleh seorang daripada peguam Anwar, Sulaiman Abdullah mengenai berapa lama lagi kes itu akan berjalan, Paul berkata beliau tidak tahu bila kes itu akan berakhir kerana ia bergantung kepada berapa ramai dan berapa lama saksi-saksi akan memberi keterangan.

Anwar, 51, menghadapi perbicaraan menggunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks pada Ogos tahun lepas.

Empat tuduhan rasuah itu mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970, membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sulaiman membangkitkan mengenai tempoh perbicaraan itu kerana menurutnya pembelaan telah menerima beberapa tarikh bermula dari 14 Dis ini sehingga tahun depan untuk perbicaraan Anwar bagi enam kes lain - satu kes rasuah dan lima kes liwat.

Katanya sebagai peguam, beliau serta rakan-rakannya mempunyai tanggungjawab untuk mengendalikan kes lain di hadapan hakim-hakim lain di seluruh Malaysia.

Gurbachan Singh, seorang lagi peguam Anwar akan menyambung soalbalas terhadap saksi ketujuh pendakwaan ACP Mazlan Mohd Din apabila perbicaraan disambung semula pada 23 Nov.

Saksi lain yang telah memberi keterangan termasuk Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohamed Said Awang yang sedang bercuti sebelum bersara pada 17 Nov ini.

-----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 14/11/1998

'Azizan tidak dipaksa' -- Dia tak diminta berbohong untuk menarik balik dakwaan - Saksi

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pegawai Cawangan Khas, Penolong Pesuruhjaya Polis, Mazlan Mohd. Din memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak memaksa Azizan Abu Bakar berbohong ketika menjalankan tindakan untuk mengubah pendirian lelaki itu agar menarik balik dakwaan yang beliau diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Ogos tahun lalu.

Sebaliknya Mazlan berkata, beliau diarahkan oleh Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Mohd. Said Awang supaya meneutralkan Azizan.

''Saya anggap arahan itu adalah untuk menarik balik dakwaan yang dibuat oleh Azizan,'' kata beliau.

Mazlan sebagai saksi pendakwa ke-7 memberitahu demikian dalam perbicaraan terhadap Anwar yang kini masuk hari ke-10.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Peguam Gurbachan Singh yang merupakan antara sembilan peguam bela Anwar menyoal balas saksi itu: ''Adakah Mohd. Said mengarahkan kamu memaksa Azizan berbohong?''

Mazlan: ''Mohd. Said tidak menggunakan perkataan 'paksa' Azizan berbohong, Yang Arif.''

Gurbachan: ''Bersetuju dengan soalan saya, jika Mohd. Said mengarahkan kamu supaya memaksa Azizan berbohong, adakah kamu mematuhi arahan itu?''

Mazlan: ''Saya lakukan apa yang diarahkan oleh Mohd. Said dan beliau tidak menggunakan paksaan untuk Azizan berbohong.''

Gurbachan: ''Adakah Encik Mazlan fasih dalam bahasa Malaysia (Melayu)?''

Mazlan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Jika Mohd. Said mengarahkan kamu memaksa Azizan, adakah kamu mematuhi arahannya?''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bangun membantah.

Hakim S. Augustine Paul: ''Ini soalan yang mudah. Apakah soalannya?''

Gurbachan: ''Jika Mohd. Said mengarahkan kamu untuk memaksa Azizan berbohong, kamu tidak akan mematuhi arahan Mohd. Said itu?''

Azahar: ''Saya membantah dan memohon supaya bantahan ini direkodkan. Soalan sekarang berunsur hypothetical (andaian).''

Hakim Augustine: ''Dah ubah soalan. Jika Mohd. Said mengarahkan kamu memaksa Azizan berbohong, kamu tidak akan mematuhi arahan itu?''

Mazlan memberitahu, beliau memahami soalan dan menyatakan adalah sukar baginya kerana Mohd. Said tidak mengarahkannya melakukan perbuatan itu.

Gurbachan: ''Sila jawab soalan ini, jika Mohd. Said arahkan, adakah kamu melakukannya?''

Mazlan: ''Jika itu satu arahan saya terpaksa mematuhinya di bawah peruntukan Akta Polis.''

Gurbachan: ''Seksyen yang mana itu?''

Hakim Augustine: ''Kamu nampaknya sudah terkeluar daripada garisan.''

Gurbachan: ''Kami tahu apa yang kami buat. Kami bukan hendak menjejaskan kes kami.''

Azahar: ''Saya membantah kerana soalan ini berunsurkan andaian.''

Gurbachan: ''Saya hanya bertanya seksyen yang mana?''

Mazlan: ''Saya tidak tahu di bawah seksyen mana.''

Gurbachan: ''Saya katakan kepada kamu, kamu tidak tahu seksyen yang mana kerana tidak ada apa-apa seksyen mengenai perkara itu.''

Mazlan: ''Pada ketika itu saya tidak sedar sama ada salah untuk meneutralkan Azizan. Saya diberi masa, Yang Arif, kurang daripada 24 jam untuk melakukan arahan itu, Yang Arif. Tidak terfikir mengenai salah atau betul apa yang saya lakukan setelah diarahkan oleh Mohd. Said.

''Oleh kerana masa yang singkat, Yang Arif, apa yang saya lakukan, Yang Arif, adalah menidakkan apa yang diakui oleh Azizan.''

Gurbachan: ''Encik Mazlan, tolong jawab soalan yang ditanya dan bukan jawab apa yang tidak ditanya.''

Peguam bela itu mengulangi soalannya.

Gurbachan: ''Adakah kamu tahu jika seseorang itu berbohong?''

Mazlan: ''Ya.''

Gurbachan: ''Bilakah kamu sedar meneutralkan seseorang adalah salah?''

Mazlan: ''Meneutralkan seseorang tidak salah, contohnya kami meneutralkan ahli-ahli Parti Komunis Malaya yang dianggap sebagai musuh negara.''

Gurbachan: ''Dan kamu juga meneutralkan fanatik agama.''

Mazlan: ''Betul, kami juga meneutralkan fanatik agama.''

Gurbachan: ''Cawangan Khas tidak pernah meneutralkan seorang penjenayah?''

Mazlan: ''Cawangan Khas tidak meneutralkan penjenayah sebab itu bukan bidang tugasnya.''

Gurbachan: ''Jadi, kamu telah melampaui kuasa kamu?''

Mazlan: ''Dalam kes mana?''

Gurbachan: ''Dalam kes Azizan.''

Mazlan: ''Saya anggap, saya telah melampaui kuasa dan bidang kuasa saya.''

Gurbachan: ''Adakah kamu bersetuju jika kamu telah berbohong mengenai consistency (ketekalan)?''

Azahar: ''Saya membantah.''

Hakim Augustine: ''Ini adalah perkara untuk penghujahan.''

Gurbachan: ''Yang Arif, anda telah membenarkan pendakwa raya menyoal berhubung konsisten. Tetapi di sini saya bertanya ia pembohongan mengenai konsisten.''

Hakim Augustine: ''Ini soalan yang terlalu berbentuk andaian. Adakah kamu bersetuju pembohongan mengenai konsisten?''

Gurbachan: ''Adakah kamu percaya pembohongan boleh jadi konsisten?''

Peguam bela itu sambil berjenaka dalam bahasa Inggeris: ''Lie not lawyer.''

Mazlan: ''Boleh jadi.''

Hakim Augustine: ''Saya rasa ini jawapan yang umum. Jangan buat soalan yang berbentuk andaian. Tujukan terus kepada fakta.''

Gurbachan: ''Baiklah, kamu tidak tahu fakta kes ini?''

Berbalik kepada fakta-fakta kes ini. Encik Mazlan, tahukah kamu fakta kes ini?''

Mazlan: ''Saya tidak setuju bahawa saya tidak mengetahui mengenai fakta kes ini.''

Seterusnya, Gurbachan memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih memerlukan satu jam lagi untuk menyoal balas saksi itu.

Hakim Augustine: ''Memandangkan ini hari Jumaat, kita tangguhkan sidang untuk waktu sembahyang.

Peguam Sulaiman Abdullah pula bangun bertanyakan tarikh perbicaraan kes ini seterusnya dengan alasan bahawa beliau sebagai peguam bela Anwar juga mengendalikan kes-kes di mahkamah yang lain dan ini harus dimaklumkan kepada para hakim tersebut.

Hakim Augustine: ''Perbicaraan disambung pada 23 November ini dan kes ini ditetapkan selama tiga minggu.''

Oleh: KAMARIAH AHMAD





Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "PENDAKWAAN - 2"