untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Saturday, July 12, 2008

KES MATA LEBAM

ARKIB : 23/02/1999

Wakil terlibat siasatan perkenal diri

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis, memulakan prosidingnya hari ini dengan wakil-wakil individu dan organisasi yang terlibat dalam siasatan memperkenalkan diri kepada panel suruhanjaya.

Peguam Karpal Singh memberitahu panel suruhanjaya, beliau dan empat peguam lain iaitu Zainur Zakaria, Chew Swee Yoke, Jagdeep Singh Deo dan Gorbind Singh Deo akan mewakili Anwar.

Salah seorang panel suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar meminta penjelasan daripada Karpal kerana berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, seseorang yang terlibat dalam siasatan berhak diwakili oleh seorang peguam sahaja.

Karpal berkata, beliau bersetuju dengan hujah Mahadev dan akan bertindak sebagai ketua kepada kumpulan peguam yang mewakili Anwar pada prosiding itu.

Panel suruhanjaya yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin itu turut dianggotai oleh Mahadev yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Pihak lain yang terlibat dalam prosiding itu ialah peguam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Pendakwaraya Kanan Persekutuan, Mohd. Yusof Zainal Abiden mewakili Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah manakala Datuk Kam Woon Wah pula mewakili Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah 1, Datuk Ramli Yusof.

Majlis Peguam yang memohon status pemerhati secara rasmi diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr. Cyrus Das dan Setiausaha badan tersebut, Mah Weng Kwai.

Kesemua pihak yang terlibat mewakili individu dan organisasi tersebut di bawah Seksyen 18 akta berkenaan yang memberi hak kepada sesiapa yang terlibat atau mempunyai kepentingan dalam siasatan itu untuk diwakili.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman selaku ketua penyiasat suruhanjaya itu berkata, prosiding suruhanjaya akan berjalan berdasarkan dua terma rujukan;

* Menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut.

* Memperakukan kepada Yang di-Pertuan Agong tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pegawai atau pegawai-pegawai yang bersubahat menyebabkan kecederaan Anwar.

Katanya, kedua-dua terma itu perlu bagi memastikan semua pihak yang terlibat tidak terkeluar daripada skop siasatan.

Ketua panel suruhanjaya, Annuar mengingatkan semua pihak bahawa Abu Talib tidak terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya kerana katanya, setiap keputusan akan diputuskan oleh suruhanjaya itu sendiri tanpa campurtangan ketua penyiasat.

Sementara itu, mengenai saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan Abu Talib berkata, pihaknya telah menemuduga beberapa individu tetapi tidak akan memanggil kesemua mereka untuk menjadi saksi.

Katanya, antara saksi yang akan dipanggil ialah Anwar sendiri, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan pegawai perubatan yang bertanggungjawab memeriksa Anwar selepas empat hari kecederaan itu berlaku.

Sebelum Abu Talib meneruskan prosiding, Karpal bangun dan memohon kepada panel suruhanjaya supaya membenarkan Anwar berada di dalam mahkamah sepanjang prosiding dijalankan.

Karpal yang berhujah di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan berkata, Anwar perlu berada di mahkamah sepanjang prosiding itu dijalankan sebagai orang yang bertanggungjawab membuat laporan terhadap kecederaan yang dialaminya.

Salah seorang panel suruhanjaya, Mahadev bagaimanapun mengingatkan Karpal bahawa Seksyen 18 akta hanya berkaitan dengan hak seseorang yang terlibat atau mempunyai kepentingan dalam siasatan untuk diwakili.

Anuar sebagai ketua panel suruhanjaya bagaimanapun memutuskan tidak dapat memenuhi permintaan Karpal kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Anwar berada sepanjang prosiding.

Sebelum memanggil saksi-saksi tersebut, Abu Talib membacakan fakta kes yang terjadi pada 20 September 1998 sehingga mengakibatkan kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis.

Menurut beliau, berdasarkan fakta kes, pada 20 September 1998 pukul 10 malam, polis telah menangkap Anwar di rumah beliau di No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman dengan menggunakan kenderaan polis sebelum dimasukkan ke lokap dalam keadaan mata ditutup dan tangannya digari.

Beliau telah dicederakan oleh seorang pegawai kanan polis. Bagaimanapun Abu Talib menyerahkan kepada panel suruhanjaya untuk menentukan sama ada seorang atau lebih daripada seorang pegawai polis yang mencederakan Anwar.

ARKIB : 23/02/1999

Anwar tidak melawan - Saksi

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis diberitahu, Anwar tidak menunjukkan sebarang bantahan atau melawan ketika ditangkap di rumahnya pada 20 September tahun lepas.

Saksi kedua, Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (PPjP), Koh Hong Sun, 46, berkata, beliau masuk ke bilik Anwar di tingkat atas rumahnya dan mendekati Anwar sambil memberitahu beliau akan ditahan di bawah Seksyen 377D.

''Saya memegang tangan kiri Anwar dan memberitahu beliau yang saya mahu menangkapnya.

''Beliau tidak melawan ketika ditangkap. Beliau juga tidak melakukan apa-apa untuk melawan saya atau pegawai lain yang turut berada di situ. Anwar menyerah diri untuk ditangkap tanpa melawan,'' katanya.

Koh berkata demikian kepada tiga panel suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin (ketua), bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Ketua Penyiasat suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman bertindak menyoal saksi-saksi yang telah disapina bagi membantu siasatan yang dijalankan terhadap kecederaan yang dialami oleh Anwar.

Panel Suruhanjaya memulakan prosidingnya hari ini dengan memanggil Komander Pasukan Tugas Khas, Pemangku Penolong Pesuruhjaya Kanan 1, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin.

Menurut Koh, Anwar juga tidak membantah ketika Inspektor Nasaruddin Nasir menutup matanya dengan menggunakan sehelai saputangan ketika mereka dalam perjalanan dari rumahnya ke Bukit Aman.

Dalam keterangan awalnya, Koh memberitahu, pada 20 September 1998 beliau menerima arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali untuk menangkap Anwar di rumahnya di No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara.

Beliau diarahkan menangkap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, tambahnya.

Koh berkata, beliau bersama orang-orangnya telah sampai ke rumah Anwar pada pukul 9.05 malam dan mendapati orang ramai sedang melaungkan perkataan 'Reformasi' dan 'Allahuakbar' di luar rumah Anwar.

Menurut Koh, beliau telah bertemu dengan Meor Chek Hussein di tingkat atas rumah Anwar ketika menunggu beliau keluar daripada biliknya.

Ditanya siapa yang mengiringi Anwar selepas ditangkap, katanya, beliau dan beberapa anggota Pasukan Gerakan Khas (PGK) mengiringi Anwar ke kereta polis. Anwar turut diiringi oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.

Beliau berkata, Anwar, isteri dan anak-anaknya kemudian diarah menaiki van dan beliau tidak pasti sama ada terdapat kereta polis lain di hadapan van itu.

Katanya, beliau kemudiannya menaiki kereta polis manakala Meor Chek Hussein menaiki van tersebut bersama-sama Anwar, isteri dan anak-anaknya.

''Selepas lima minit perjalanan, van tersebut berhenti dan Meor Chek Hussein memberitahu Anwar akan menaiki kereta yang saya naiki,'' katanya.

Menurut beliau, di dalam kereta, Anwar duduk di tengah dengan diapit oleh beliau di sebelah kanan dan seorang lagi anggota PGK iaitu Inspektor Mohd Nasaruddin Mohd Nasir di sebelah kiri.

Katanya, Anwar tidak bercakap sepatah perkataan pun sepanjang perjalanan mereka ke Bukit Aman.

Koh berkata, Nasaruddin telah mengikat mata Anwar dan beliau tidak bertanya kenapa Nasaruddin berbuat demikian.

Katanya lagi, walaupun tidak bertanya secara lisan kepada Nasaruddin, beliau cuba bertanya dengan isyarat tangan mengapa Nasaruddin berbuat demikian (menutup mata Anwar).

''Nasaruddin membalas balik dengan pergerakan tangan juga yang saya fahami beliau telah menerima arahan untuk berbuat demikian,'' katanya.

Menurut Koh, setibanya di lokap Bukit Aman beliau telah menyerahkan Anwar yang ketika itu ditutup matanya kepada Penolong Penguasa Polis (PPP) Mohd. Rodwan Mohd Yusof.

Beliau berkata, tangan Anwar ketika itu tidak bergari.

Sementara itu, saksi pertama, Meor Chek Hussein, 52, ketika memberi keterangan, berkata, beliau telah menerima panggilan telefon ketika berada dalam kereta polis di hadapan van yang dinaiki oleh Anwar, isteri dan anak-anaknya semasa dalam perjalanan ke Bukit Aman selepas Anwar ditangkap.

Katanya, beliau menerima arahan daripada Timbalan Pengarah 1, Cawangan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam, Datuk Mohd Yusof Mohd Said supaya Anwar menaiki kereta peronda polis yang dinaiki oleh Koh.

Beliau berkata, Anwar tidak berkata atau berbuat apa-apa, sebaliknya hanya menurut setiap arahan yang dikeluarkan.

Kata Meor Chek Hussein, sesampainya di Bukit Aman beliau telah masuk ke foyer bangunan tersebut dan berjumpa dengan Pengarah Cawangan Jenayah, Datuk Mohd Yaacob Mohd Amin.

''Yaacob tidak berkata apa-apa ketika berjumpa dengan saya dan saya terus ke hadapan menghala ke lokap Bukit Aman,'' katanya.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang kecederaan pada Anwar ketika beliau dibawa ke lokap tersebut dan beredar meninggalkan tempat itu sebaik sahaja Anwar sampai ke situ.

Beliau kemudiannya naik ke Tingkat 30 untuk memberi taklimat tidak rasmi kepada pegawai-pegawai kanan polis yang berada di situ.

Antara yang hadir pada taklimat itu ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, Timbalannya, Tan Sri Norian Mai, Datuk Mohd Yusof Mohd Said, Datuk Abdul Ghani Patail (dari pejabat Peguam Negara) dan Pengarah Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Jamil Mohd Johari.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK dan NOOR AZAM SHAIRI

----------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 23/02/1999

Rahim arah tutup mata Anwar - Saksi

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberitahu, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor mengeluarkan arahan supaya mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditutup ketika dibawa ke Bukit Aman pada malam 20 September tahun lalu.

Saksi kelima siasatan itu, Ketua Inspektor Yap Khiam Wai berkata, beliau menerima arahan tersebut selepas memaklumkan kepada Abdul Rahim bahawa Anwar akan dibawa dari rumahnya di Bukit Damansara ke Bukit Aman pada bila-bila masa.

Katanya, maklumat itu diterimanya melalui Timbalan Penguasa Polis, Sharifuddin Abdul Ghani dan disampaikannya kepada Abdul Rahim pada kira-kira pukul 10 malam.

Menceritakan tugasnya pada malam itu, Yap berkata, beliau telah melaporkan diri kepada Penguasa Polis, Khoo Chin Hwa, yang juga pegawai pengiring Abdul Rahim di Tingkat 30, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 8.45 malam.

''Tugas saya pada malam itu ialah sebagai pegawai perhubungan antara Tan Sri Rahim dengan pegawai-pegawai Pasukan Gerakan Khas (PGK) di bawah,'' katanya kepada panel suruhanjaya berkenaan.

Panel suruhanjaya itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin dengan dibantu oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong, manakala bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman bertindak sebagai Ketua Penyiasat.

Menurut Yap lagi, sebagai pegawai perhubungan, beliau menerima arahan secara langsung daripada Abdul Rahim dan menyalurkannya kepada pegawai-pegawai bawahan.

Abu Talib: Selepas kamu dapat maklumat yang Datuk Seri Anwar akan dibawa ke Bukit Aman, apa yang kamu buat?

Yap: Saya sampaikan sendiri maklumat itu kepada Tan Sri Rahim.

Abu Talib: Ada Tan Sri Rahim beri kamu arahan?

Yap: Selepas seketika dia ada beri arahan.

Abu Talib: Apa arahannya?

Yap: Dia memberi arahan kepada saya untuk mengingatkan Timbalan Penguasa Polis, Sharifuddin supaya menutup mata Datuk Seri Anwar.

Yap memaklumkan kepada panel siasatan, beliau kemudian menyampaikan arahan tersebut kepada Sharifuddin melalui set 'walkie-talkie'.

Yap seterusnya memberitahu, beliau turut memaklumkan ketibaan konvoi polis yang membawa Anwar dari Bukit Damansara ke Bukit Aman kepada Abdul Rahim.

''Selepas itu saya mendapat kebenaran daripada Timbalan Penguasa Polis, Sharifuddin lalu meninggalkan bangunan tersebut,'' menurut beliau lagi.

Abu Talib kemudian menamatkan soalannya.

Pada ketika itu, peguam yang mewakili Abdul Rahim, Teh Poh Teik bangkit untuk mengemukakan satu soalan bagi pihak anak guamnya yang merupakan soalan terakhir pada hari ini.

Teh: Saya katakan kepada kamu bahawa tidak ada arahan dikeluarkan untuk menutup mata Datuk Seri Anwar.

Yap: Saya tidak bersetuju.

Prosiding siasatan yang ketika itu telah berlanjutan sehingga pukul 5.16 petang kemudiannya ditangguhkan kepada pukul 9.30 pagi esok.

----------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/02/1999

Bekas TPM digari semasa dalam sel

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanya digari selepas beliau dimasukkan ke dalam sel di Bukit Aman.

Saksi ketiga, Inspektor Mohd. Nasaruddin M. Nasir, 26, berkata, beliau mengapit Anwar bersama Timbalan Penguasa Polis, Sharifuddin Abdul Ghani masuk ke foyer bangunan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketika itu, katanya, Ketua Polis Daerah Brickfields Penolong Pesuruhjaya Polis Koh Hong San mengiring Anwar dari belakang.

Tambah Nasaruddin, apabila sampai berdekatan dengan lif, beliau mendengar suara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Yaacob Mohd. Amin menjerit dengan agak tinggi: ''Kenapa tidak gari dia?''

Nasaruddin memberitahu, beliau dan Sharifuddin kemudian membawa Anwar ke sel dengan matanya masih lagi tertutup diikat dengan sehelai sapu tangan.

Selepas itu, katanya, beliau keluar untuk mengambil gari di kaunter lokap dan menggari Anwar dengan dibantu oleh Sharifuddin.

Kata Nasaruddin, tidak ada apa-apa kecederaan pada Anwar ketika itu kecuali mengadu gari yang dikenakan itu terlalu ketat yang kemudiannya dilonggarkan.

Sharifuddin yang memberi keterangan selepas itu turut memaklumkan mengenai arahan Yaacob itu.

''Saya mendengar suara lantang yang berteriak: ''Layan dia macam penjenayah biasa, kenapa tak gari dia?'' katanya kepada panel itu tiga anggota itu.

Ketika ditanya oleh Ketua Penyiasat Tan Sri Abu Talib Othman, kenapa Anwar perlu digari setelah beliau dimasukkan dalam sel, Sharifuddin berkata: ''Saya hanya menurut arahan pegawai atasan yang lebih arif tentang prosedur.''

Terdahulu, Nasaruddin memberi keterangan bahawa beliau menutup mata Anwar ketika dibawa ke Bukit Aman dengan sehelai sapu tangan setelah mendapat arahan daripada Sharifuddin melalui walkie-talkie.

Keterangan kedua-dua mereka turut menyentuh perjalanan Anwar dari Bukit Damansara ke Bukit Aman mengenai penukaran kereta yang membawa bekas timbalan perdana Menteri itu, daripada sebuah van Perodua Rusa kepada kereta peronda polis.

-------------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 23/02/1999

Jeritan 'aduh' kedengaran selepas KPN keluar lokap

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberitahu, satu jeritan ''aduh'' kedengaran dari arah lokap yang menempatkan Anwar tidak lama selepas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Yaacob Amin memasukinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis Koh Hong San berkata, beliau yang berada di pintu masuk pertama ke lokap, bagaimanapun tidak nampak sama ada Abdul Rahim dan Yaacob memasuki sel yang menempatkan Anwar kerana tidak memberikan perhatian ketika itu.

''Kemudian saya dengar bunyi ''adui'' dari arah lokap,'' katanya kepada panel siasatan itu.

Kata Koh, beliau juga tidak mengingati berapa lama tempoh antara saat bunyi itu didengar dengan waktu Abdul Rahim dan Yaacob melintasinya untuk masuk ke lokap itu.

Beliau juga tidak dapat mengingati berapa kali bunyi itu kedengaran atau apa-apa bunyi lain seperti orang terjatuh dan sebagainya.

Selepas bunyi itu kedengaran, kata Koh, Abdul Rahim dan Yaacob meninggalkan lokap dengan melintasi tempatnya berdiri tanpa bercakap apa-apa kepadanya.

Tambah Koh, beliau yang ketika itu bersama-sama Penolong Pesuruhjaya Polis Abdul Aziz Abdul Majid kemudian diarahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf untuk melihat Anwar di dalam sel.

''Saya dan ASP Aziz masuk tengok Datuk Seri Anwar dan saya nampak ada orang sedang menuam kecederaannya,'' katanya.

Kata Koh, beliau bagaimanapun tidak ingat dengan apa Anwar dituam dan berapa orang yang menuamnya.

Koh juga memberitahu panel, beliau tidak dapat mengingati bagaimana kedudukan Anwar ketika beliau dirawat itu tetapi adalah dalam kesakitan dan terkejut.

Katanya, beliau hanya melihat dari luar, tidak masuk ke dalam sel dan kemudian kembali semula ke tempat asal di luar lokap untuk menunggu arahan lanjut.

Ujar Koh, beliau dan para pegawainya kemudian menerima arahan daripada Ramli supaya naik ke Tingkat 11 untuk berbincang mengenai penangkapan Anwar dan kecederaannya.

Koh kemudian memberitahu, Ramli yang mempengerusikan mesyuarat ada meninggalkan bilik mesyuarat itu untuk seketika.

Tambah Koh, setelah kembali semula, Ramli mengarahkan beliau untuk menangkap Anwar secara rasmi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

''Pada pukul 1.43 pagi, 21 September 1998 saya ke sel untuk menyerahkan dokumen itu kepada Datuk Seri Anwar,'' katanya.

Kata Koh, ketika beliau menyerahkan dokumen itu, Anwar masih sedarkan diri.

''Saya bercakap dengannya dan dia memberi tindak balas,'' katanya.

Koh kemudian menjelaskan, Anwar bertanya kepadanya dua soalan iaitu ''Adakah nombor kad pengenalan saya betul?'' dan ''Sudahkah anak-anak saya balik?''.

Kata Koh, pada ketika itu hanya beliau dan Anwar berada di dalam sel.

''Saya nampak kecederaan di dahi sebelah kiri, hanya kecederaan itu dan saya pasti tidak ada mata lebam,'' katanya.

Jelas Koh, kecederaan itu merupakan benjol yang agak besar sepanjang satu inci, tidak ada apa warna padanya dan tidak ada pendarahan baik di mata atau hidungnya.

Tambah Koh, Anwar tidak mengadu apa-apa kepadanya ketika itu.

Koh turut disoal oleh panel kenapa beliau diarahkan oleh Ramli untuk melihat keadaan Anwar selepas Abdul Rahim dan Yaacob keluar meninggalkan lokap.

Katanya, beliau tidak ingat tetapi menerimanya sebagai satu arahan yang datang daripada pegawai atasan.

''Adalah menjadi disiplin dalam pasukan polis, sesuatu arahan daripada pegawai atas hendaklah dipatuhi,'' katanya.

Beliau juga tidak dapat mengingati berapa ramai pegawai lain yang ada bersama-samanya pada malam itu.

Pada ketika ini, salah seorang anggota panel, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar mencelah dan berkata: ''Tentu kamu sangat terkejut pada malam itu hingga ia menjejaskan daya ingatan kamu.''

Kata Koh lagi, penangkapan Anwar di bawah Kanun Jenayah adalah arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali dan arahan menukarnya kepada ISA adalah daripada Ramli.

Pada ketika ini, Koh ditanya oleh panel kenapa beliau mematuhi arahan yang datang daripada pegawai yang lebih rendah daripada Kamaruddin.

Kata Koh: ''Ini projek Bukit Aman dan saya percaya Datuk Ramli mungkin mendapat arahan daripada pegawai yang lebih tinggi.''

Setelah Tan Sri Abu Talib menamatkan sessi soalannya, peguam Anwar, Karpal Singh memohon untuk menyoal saksi dan dibenarkan dengan syarat beliau menghadkan soalannya kepada persoalan kecederaan Anwar.

Pada sesi ini, Koh menjelaskan bahawa beliau tidak bertanya mengenai kecederaan di dahi Anwar itu kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak mengadu mengenainya.

Tambah beliau, Anwar juga tidak meminta bantuan perubatan daripadanya.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 23/02/1999

Panel suruhanjaya lawat lokap tempat Anwar ditahan

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis hari ini melawat lokap tempat bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan selepas ditangkap pada 20 September tahun lalu.

Ketua penyiasat suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman ketika menyoal saksi kedua, Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (PPjP), Koh Hong Sun, mencadangkan kepada panel supaya lawatan ke lokap tersebut bagi memberi gambaran sebenar keadaan tempat Anwar ditahan.

Suruhanjaya itu kemudiannya memutuskan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin yang mengetuai suruhanjaya itu serta dua lagi ahli panel suruhanjaya - bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong turut menyertai lawatan tersebut.

Anuar ketika menerima cadangan itu memutuskan untuk melawat lokap tersebut yang turut disertai oleh peguam bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor, Teh Poh Teik; peguam Anwar, Zainur Zakaria dan Chiew Swee Yoke serta pemerhati dari Majlis Peguam, Datuk Dr. Cyrus Das dan setiausahanya, Mah Weng Kwai.

Lawatan tersebut bermula pada pukul 2.30 petang dan prosiding dimulakan semula pada pukul 3 petang dengan menyambung keterangan oleh saksi kedua, Koh Hong Sun.

-------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 24/02/1999

Anwar dapat rawatan 4 hari lepas dipukul


ISMAIL Hamzah (kanan) berbincang sesuatu dengan salah seorang pegawainya sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja kecederaan Anwar Ibrahim memulakan prosiding hari kedua di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis pada 20 September tahun lalu diberitahu, Anwar hanya menerima rawatan empat hari selepas dicederakan.

Dalam keterangannya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak sedarkan diri tidak lama selepas menandatangani notis penangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diserahkan oleh Ketua Polis Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis Koh Hong Sun pada awal pagi 21 September.

Katanya, beliau hanya sedarkan diri selepas lewat tengah hari pada hari yang sama.

Katanya, beliau telah berkali-kali memberitahu anggota polis yang bertugas mengenai kecederaan fizikal yang dialaminya tetapi hanya menerima rawatan di 'tempat persembunyian' Cawangan Khas empat hari selepas dipukul.

''Buat pertama kali saya menerima rawatan oleh Dr. Vasantha selepas empat hari dipukul,'' katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi keenam pada hari kedua prosiding Suruhanjaya dijalankan.

Anwar memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Jelas Anwar, beliau kemudian menceritakan kepada Dr. Vasantha apa yang telah berlaku dan kesakitan yang dialaminya.

''Saya beritahu, saya memerlukan rawatan lanjut daripada pakar dan katanya, dia akan cuba,'' katanya.

Jelas beliau, Dr. Vasantha ada membawa sedikit ubat bersamanya manakala sebahagian ubat yang lain diberikan selepas rawatan itu.

''Beliau menentukan dan memberikan ubat kepada saya,'' tambah Anwar.

Anwar juga menceritakan bahawa hanya pada ketika itu beliau diberi rawatan termasuk kain putih, air panas dan didemah benjolnya.

Menurut Anwar, sebelum menerima rawatan daripada Dr. Vasantha, beliau telah dibawa keluar daripada lokap dan ditempatkan di bilik kurungan Cawangan Khas.

Kata Anwar, beliau telah dibawa dengan tangan bergari dan mata tertutup menuju ke bilik dan telah ditelanjangkan sebelum diberi baju T dan seluar pendek berwarna biru.

Katanya, beliau pada mulanya membantah diperlakukan begitu tetapi anggota polis yang ada bersamanya memberitahu mereka diarah berbuat demikian.

Tambah beliau, bilik kurungan itu tidak mempunyai aliran udara, tidak dimasuki cahaya matahari kecuali lampu yang terpasang 24 jam dan tidak sesuai ''walaupun bagi orang yang sihat''.

Pengerusi panel siasatan, Anuar kemudian bertanya: ''Adakah ini menjadikan kecederaan kamu bertambah buruk?''

Anwar menjawab, keadaannya menjadi bertambah buruk kerana dengan matanya tertutup dan tangan yang digari, beliau terpaksa menaiki tangga empat tingkat untuk ke bilik siasatan itu.

Pada ketika ini, Abu Talib bangun mencelah kerana keterangan itu telah terkeluar daripada terma rujukan tetapi panel kemudian memutuskan keterangan itu relevan kerana ia menyentuh keadaan kecederaan yang dialami oleh Anwar.

Menurut Anwar lagi, selepas menerima rawatan pertamanya itu, beliau terus ditempatkan di bilik kurungan tersebut sehingga dibawa kembali ke lokap pada 27 September.

''Keadaan ketika itu telah pulih sedikit dan saya sudah boleh berjalan tanpa bantuan tetapi saya membantah mata saya ditutup kerana bimbangkan sensitiviti pada mata yang bengkak itu.

''Tetapi mereka kata itu arahan,'' katanya.

Pada 27 September, kata Anwar, beliau telah dirawat oleh dua orang pakar dari Jabatan Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Halim Manzar dan Dr. Zahari Noor.

Jelasnya, Dr. Zahari turut mengambil beberapa keping gambar bahagian-bahagian badan yang mengalami kecederaan.

Kata Anwar, kedua-dua doktor ini sekali lagi datang pada 28 September untuk mengambil darah bagi tujuan ujian HIV.

Tambah Anwar, beliau kemudian menerima rawatan daripada pakar mata Datuk Dr. Mohd. Shukri pada 29 September sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Universiti pada 2 dan 3 Oktober.

Panel siasatan hari ini turut diberitahu, Komander Halim Sirat merupakan pegawai polis pertama masuk ke dalam bilik lokapnya pada lewat tengah hari 21 September dan Anwar telah merayu supaya diberi rawatan.

Katanya, Halim telah berjanji akan merujuk perkara itu kepada pihak yang lebih berkuasa.

''Ketika itu saya hanya boleh berjalan dengan dibantu oleh dua anggota polis yang bertugas untuk pergi ke bilik air,'' katanya.

Beliau berkata, Halim kemudian memberitahunya beliau tidak dapat berbuat apa-apa lagi walaupun telah mengemukakan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan.

ARKIB : 24/02/1999

Anwar terdengar orang berdehem sebelum dipukul

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mendengar bunyi orang berdehem sebelum lebih daripada seorang pegawai polis masuk ke dalam bilik lokapnya dan memukul beliau sehingga mengakibatkan kecederaan di tujuh bahagian badannya.

Ketika memberitahu panel Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialaminya pada 20 September tahun lepas, Anwar berkata, beliau tahu orang yang berdehem itu ialah Tan Sri Abdul Rahim Noor iaitu Ketua Polis Negara ketika itu.

Bunyi berdehem itu didengar sebelum orang yang memukulnya masuk ke dalam bilik lokap.

Ditanya oleh Pengerusi Suruhanjaya itu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin tentang kemungkinan beliau tersilap ketika mengenal pasti suara orang berdehem itu, beliau berkata: ''Kemungkinan tersilap itu ada tetapi saya pasti.''

Anwar merupakan saksi keenam dipanggil memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya yang diketuai oleh Anuar, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ismail Hamzah yang bertindak sebagai Setiausaha Suruhanjaya itu.

Anwar dipanggil memberi keterangan pada hari kedua prosiding yang bermula tepat pukul 9.30 pagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat pada 2 September lalu berkata, orang yang sering ditemuinya sama ada secara rasmi atau sebaliknya mempunyai karakter tersendiri dan beliau boleh mengenal pasti suara mereka walaupun dalam keadaan mata tertutup.

Katanya, beliau sedang duduk di atas pangkin dalam bilik lokapnya dengan mata diikat dan tangan bergari ketika mendengar bunyi tapak kasut serta bunyi orang sedang memberi tabik hormat.

Anwar berkata, beliau menganggap orang yang berada di luar bilik lokap itu adalah pegawai atasan polis berdasarkan bunyi orang sedang memberi tabik hormat.

Beliau kemudian terdengar bunyi tapak kasut seseorang masuk ke dalam bilik lokapnya diikuti dengan satu lagi bunyi tapak kasut. Anwar memberitahu, beliau kemudian bangun kerana yakin ada orang masuk ke dalam bilik lokapnya.

Katanya, dalam masa beberapa saat sahaja beliau merasa tumbukan yang kuat di bahagian atas mata kirinya dan di bahagian kiri dahinya.

''Saya tumbang ke belakang dan seseorang telah menyambar bahagian atas tangan saya bagi menarik saya bangun menyebabkan saya berdiri semula.

''Kemudian saya merasa satu pukulan kuat di sebelah kanan kepala saya, kemudian sebelah kiri dan pukulan ala karate di bahagian kiri tengkuk,'' katanya sambil menunjukkan setiap bahagian yang berkenaan.

Anwar berkata, beliau juga merasa satu pukulan di bahagian atas tangan kanannya dan satu tamparan di bahagian kiri muka iaitu berhampiran telinga sehingga ke bahagian berdekatan dengan mulut.

Diminta menjelaskan lebih lanjut, katanya, daripada bunyi tapak kasut beliau pasti sekurang-kurangnya dua orang berada di dalam bilik lokapnya dan lebih daripada seorang berada di luar pintu lokap.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang terlalu singkat dan berakhir sekelip mata dan ia terjadi ketika matanya masih diikat dan tangan bergari.

Katanya, pukulan itu berhenti secara tiba-tiba dan beliau terdengar bunyi 'aahh' seolah-olah ada orang sedang ditolak atau ditarik oleh seorang lain.

Menurut Anwar, semasa jatuh selepas ditumbuk beliau mengaduh dengan berkata 'Adoi', 'Allah' dan 'Jangan pukul saya'.

Ditanya berapa orang yang memukulnya, Anwar berkata, beliau pasti hanya seorang yang berbuat demikian dan pada masa yang sama terdapat seorang lagi di dalam bilik lokap itu.

Katanya, selepas dipukul bertubi-tubi beliau jatuh dan merasa begitu lemah tetapi beliau masih berada dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, beliau ditinggalkan seorang diri dan kemudian tiga orang anggota polis, dua daripadanya beruniform manakala seorang lagi berpakaian preman masuk ke bilik lokap itu dan membuka ikatan mata serta gari di tangannya.

Kata Anwar, salah seorang anggota polis beruniform mengelap darah yang keluar dari hidungnya dan di atas bibir dengan menggunakan sapu tangan yang sebelum itu digunakan sebagai pengikat matanya.

Katanya, beliau kemudian nampak darah di lantai simen bilik lokap itu dan percikan darah pada baju melayu putih yang dipakainya ketika itu.

''Selepas ketiga-tiga anggota polis berkenaan pergi, saya berseorangan di dalam bilik lokap itu dan merasa terlalu lemah, separuh sedar dan keliru,'' katanya.

Menurut Anwar, awal pagi 21 September 1998 beliau telah dikejutkan oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis, Koh Hong Sun untuk menandatangani notis penangkapan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, beliau yang terlalu lemah ketika itu tidak mampu berbincang apa-apa dengan Koh sebaliknya terus menandatangani notis penangkapan tersebut.

''Saya tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu kecuali menandatangani notis penangkapan itu walaupun peguam-peguam saya pernah menasihatkan supaya tidak berbuat demikian sebelum berbincang,'' katanya.

Sementara itu, Anwar dalam keterangan awalnya berkata, beliau telah dibawa ke Bukit Aman pada malam 20 September tahun lalu setelah ditangkap oleh Koh di bawah Seksyen 377B dan D Kanun Keseksaan di rumahnya.

Katanya, beliau telah diarahkan supaya menaiki van Perodua polis bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.

Selepas lima minit perjalanan, katanya, kenderaan yang dinaikinya berhenti secara tiba-tiba dan beliau telah diarah turun dan menaiki kereta peronda polis yang mengekori di belakang van.

''Saya duduk di bahagian belakang tempat duduk dengan diapit oleh Koh di sebelah kanan dan Inspektor Nasaruddin Mohd. Nasir di sebelah kiri,'' katanya.

Beliau berkata, dalam perjalanan Nasaruddin berkata, ''Minta maaf Datuk, saya diarah untuk tutup mata Datuk.''

Katanya, beliau membuka cermin mata dan membenarkan matanya diikat dengan menggunakan sapu tangan berwarna merah hati sambil berkata, ''zalim dan melampau'' tetapi ia tidak merujuk kepada sesiapa.

Anwar berkata, Koh telah memberitahunya beliau akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukti Aman dan setibanya di situ kedua-dua belah tangannya telah digari ke belakang.

Beliau kemudian dipimpin oleh dua anggota polis dan berjalan dengan mata ditutup oleh kain pengikat dan tangan bergari.

''Saya kemudian disuruh duduk dalam keadaan mata ditutup dengan kain pengikat dan tangan bergari di atas pangkin simen,'' katanya.

Tidak lama selepas itu, kata Anwar, dua orang anggota polis datang dan membuka sapu tangan yang mengikat matanya dan gari untuk membolehkan beliau mengesahkan barang-barang kepunyaannya seperti jam, tali pinggang, cermin mata dan wang berjumlah RM400.

Selepas meninggalkan bilik lokap itu, kedua-dua anggota polis berkenaan datang semula dan menutup matanya dengan ikatan sapu tangan dan menggari tangannya sekali lagi.

''Mereka kemudian meninggalkan saya berseorangan di dalam bilik lokap itu dan ketika itu saya mendengar terlalu banyak bunyi tapak kasut dan pergerakan di luar bilik itu,'' katanya.

ARKIB : 24/02/1999

Polis beritahu Rahim pukul saya - Anwar

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada hari kedua dia ditahan di Bukit Aman, beberapa anggota polis ada memberitahunya bahawa beliau telah dipukul oleh Tan Sri Abdul Rahim Noor pada malam 20 September tahun lalu.

Dalam keterangannya pada sidang Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan beliau, Anwar berkata, maklumat itu disampaikan oleh beberapa anggota polis yang datang berjumpa dengannya selepas beliau sedarkan diri.

Anwar menyatakan demikian ketika menjawab soalan salah seorang panel suruhanjaya, pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong selepas Ketua Penyiasat Tan Sri Abu Talib Othman menyelesaikan pemeriksaannya.

Yeoh: ''Ada kamu tanya kepada konstabel atau mana-mana anggota polis, siapa yang mencederakan kamu?''

Anwar: ''Ya. Selepas hari kedua apabila saya telah sedarkan diri, ada beberapa anggota polis yang datang dengan penuh emosi, sehingga ada yang menangis dan beritahu (yang mencederakannya ialah) Tan Sri Rahim Noor.''

Pengerusi panel siasatan, Tan Sri Anuar Zainal Abidin kemudian mencelah: ''Kamu tanya atau mereka memberitahu dengan sukarela?''

Anwar: ''Saya hendak tahu dan mereka rasa bertanggungjawab untuk memberitahu.''

Anwar kemudian meminta jaminan daripada panel suruhanjaya untuk tidak mendedahkan nama-nama anggota polis berkenaan dalam laporan mereka bagi melindungi masa depan pegawai-pegawai rendah polis itu.

Tambah Anwar, beliau turut diberitahu bahawa pada malam kejadian Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Yaacob Amin dan timbalannya, Datuk Ramli Yusup dan Penolong Pengarah Perancangan/Penyelidikan Jabatan Siasatan Khas, Penolong Pesuruhjaya Polis Zainuddin Mohamad ada bersama Abdul Rahim.

Anwar: ''Saya telah memberi jaminan untuk tidak mendedahkan nama mereka. Saya bersimpati dengan mereka dan mereka juga bersimpati dengan saya. Kalau mereka diapa-apakan, saya akan rasa terkilan.''

Anwar memberikan keterangan sebagai saksi keenam siasatan pada hari kedua suruhanjaya itu bersidang.

Sebelum itu, Anwar turut memberitahu bahawa banyak maklumat yang dikemukakannya adalah dengan bantuan daripada anggota-anggota polis tersebut.

Anwar ditanya oleh Abu Talib mengenai kemampuannya mengingati nama semua pegawai polis lengkap dengan pangkatnya.

Beliau menjawab: ''Selepas hari yang kedua, saya mendapat kertas dan sebatang pen daripada anggota polis yang saya gunakan untuk membuat sedikit catatan.

''Itulah caranya saya mengingat nama-nama tersebut.''

Pada ketika ini, Anwar turut meminta nama-nama anggota polis tersebut tidak didedahkan.

''Kesian dia orang,'' tambahnya sambil tersenyum.

Menurut Anwar lagi, beliau mula melihat kecederaan yang dialami pada mata kirinya melalui sebuah cermin kecil di bilik rawatan di Cawangan Khas Bukit Aman pada 24 September tahun lalu.

Anwar turut memberitahu suruhanjaya bahawa beliau tidak lagi dicederakan secara fizikal selepas malam 20 September itu.

Anwar sebelum itu turut menceritakan bagaimana Penolong Pesuruhjaya Polis Abdul Aziz bersama pasukan penyiasat dari Cawangan Khas berkeras mahu menjalankan siasatan terhadapnya mengenai isu berkaitan reformasi.

''Saya jawab, saya tidak sihat dan memerlukan rawatan segera,'' katanya.

Tambah Anwar, pada masa itu, beliau tidak dapat membuka mata kirinya, penglihatannya kabur dan masih tidak menerima rawatan sungguhpun telah masuk hari ketiga.

Jelas beliau, hanya ada beberapa anggota polis biasa yang bertugas di lokap yang mengambil berat keadaannya dengan mengurut leher dan sikunya serta membekal minyak sapu.

''Tetapi apabila ada pegawai yang datang mereka akan bergegas pergi dan saya mengerti arahannya adalah untuk tidak menyentuh atau bercakap dengan saya,'' ujarnya.

Panel siasatan hari ini turut menerima laporan kecederaan yang dialami oleh Anwar yang dibuatnya pada 27 September tahun lalu di Balai Polis Jalan Tun H. S. Lee dan ditandakan sebagai 'Eksibit A-2'.

Anwar berkata, pihak polis pada mulanya enggan mengambil laporan beliau sebaliknya bertegas mahu meneruskan siasatan dan mengambil keterangan daripadanya.

Laporan itu, kata Anwar, ditulisnya sendiri dan diambil oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Ramli Yusuf yang datang bersama Penolong Kanan Pesuruhjaya I Polis, Musa Hassan.

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI dan NORAINI ABDUL RAZAK

-----------------------------------------------------------------------------



ARKIB : 24/02/1999

Kecederaan bukan setakat fizikal - Suruhanjaya

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis hari ini memutuskan kecederaan yang dialami oleh Anwar turut merangkumi kerosakan pada tubuh, akal fikiran, nama baik dan harta.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar yang menyampaikan keputusan panel itu berkata, tafsiran yang lebih tepat adalah dengan merujuk kepada tafsiran perundangan yang diberikan dalam Kanun Jenayah.

''Merujuk kepada bahagian kedua terma rujukan, tafsiran yang tepat adalah seperti pada Kanun Jenayah,'' katanya selepas panel bersidang semula pada sebelah petang di Bangunan Mahkamah Jalan Raja di sini.

Panel yang diketuai oleh Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan dianggotai oleh Shankar dan Datuk Dr. Yeoh Poh Hong memutuskan demikian selepas mendengar hujah-hujah Timbalan Kanan Pendakwa Raya Persekutuan, Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili Peguam Negara, peguam Anwar, Karpal Singh dan Ketua Penyiasat, Tan Sri Abu Talib Othman.

Menurut Anuar, keputusan yang dicapai itu adalah satu keputusan sebulat suara dan panel memandang serius isu yang dibangkitkan itu.

Beliau kemudian meminta Dr. Yeoh memberi sedikit penerangan mengenai keputusan tersebut.

Kata Yeoh: ''Bagi memudahkan panel adalah lebih baik untuk Anwar dibenarkan memberi keterangan mengenai keadaannya sebelum dirawat bagi membolehkan kami mendapat gambaran yang jelas berhubung keterangan doktor yang merawatnya.''

Sementara itu, ketika Anwar memberi keterangan mengenai kecederaan yang dialaminya dan keengganan pihak polis memberinya rawatan, Mohd. Yusof bangun dan meminta keterangan itu dihentikan.

Beliau yang menyifatkan keterangan itu tidak relevan dengan terma-terma rujukan Suruhanjaya berkata, siasatan yang dijalankan hanya untuk mengenal pasti sebab kecederaan dan siapa yang menyebabkannya.

Shankar yang meminta penjelasan Yusof berkata, ''Adakah maksud Encik Yusof kami tidak harus mendengarnya? Jika demikian, mengapa?''

Yusof masih lagi berpegang kepada hujahnya bahawa keterangan Anwar itu tidak relevan dengan tugas Suruhanjaya.

Shankar: ''Encik Yusof, tidak diberi rawatan perubatan adalah juga satu bentuk kecederaan, bukan begitu? Dalam bahasa Inggeris, 'injury' bukan saja terhad kepada kecederaan fizikal tapi hina orang pun kecederaan, bukan?''

Karpal yang diminta memberi pendapat berkata, Anwar sepatutnya dibenarkan memberi keterangan itu berdasarkan Seksyen 44 Kanun Jenayah yang menyebut perkataan 'injury' bermakna apa-apa juga kerosakan yang disebabkan dengan menyalahi undang-undang kepada tubuh, akal fikiran, nama baik atau harta seseorang.

Bagaimanapun, Abu Talib kemudian menegaskan, penyiasatan harus tertumpu kepada kecederaan fizikal sebagaimana yang dinyatakan dalam terma-terma rujukan Suruhanjaya.


ARKIB : 24/02/1999

Siasatan Suruhanjaya disambung esok

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disambung semula Khamis ini bagi membolehkan anggota panel berbincang untuk memutuskan sama ada para peguam mempunyai hak untuk memeriksa balas saksi.

Isu berkenaan pertama kali timbul semalam ketika Ketua Polis Daerah Brickfields Koh Hong Sun selesai memberi keterangan.

Pada hari ini, ia sekali dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Rahim Noor, Toh Poh Teik dan ketua pasukan peguam Anwar, Karpal Singh selepas Anwar selesai diperiksa oleh Ketua Penyiasat, Tan Sri Abu Talib Othman.

Ahli panel Suruhanjaya, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar berkata, keputusan itu mungkin mempunyai kesan yang besar dan mengikat prosiding yang akan datang.

''Kami mahu melakukan sesuatu yang tepat,'' kata Mahadev selepas mendengar hujah Abu Talib dan semua peguam.

Sebelum menangguhkan sidang hari ini pada pukul 4.03 petang, Ketua Panel Suruhanjaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin berkata, panel memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan kerana isu yang dibangkitkan adalah serius.

ARKIB : 26/02/1999

Cedera di dahi Anwar kesan tumbukan

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini diberitahu, kecederaan di dahi kiri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis pada 21 September tahun lepas disebabkan oleh penumbuk atau hentakan kuat objek tumpul.

Dr. P. Vasantha, 46, yang telah merawat Anwar empat hari selepas beliau dicederakan berkata, hasil pemeriksaannya mendapati kecederaan yang dialami oleh Anwar disebabkan oleh blunt trauma.

Katanya, kecederaan di dahi kiri Anwar menyebabkan tisu-tisu di lapisan bawah bahagian tersebut rosak sehingga mengakibatkan pengaliran darah di sekeliling mata kirinya.

''Pukulan yang kuat di dahi kiri Anwar telah merosakkan tisu-tisu di lapisan bawahnya dan darah mengalir di lapisan bawah sekeliling mata kiri beliau menyebabkannya menjadi lebam,'' katanya.

Beliau yang bertugas di bahagian pesakit luar, Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin.

Dua lagi anggota panel yang hadir pada prosiding hari ketiga ini ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Dr. Vasantha yang juga merupakan doktor pelawat di pusat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kuala Lumpur berkata, dari jumlah 'ecchymosis' yang terdapat di dahi kiri Anwar yang cedera, keadaan itu juga disebabkan oleh hentakan yang kuat.

''Kecederaan seperti itu disebabkan oleh hentakan yang kuat seperti tumbukan atau objek tumpul,'' katanya ketika diminta menjelaskan lebih lanjut oleh Ketua Penyiasat Suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman.

Di awal keterangannya, Dr. Vasantha berkata, pihak polis telah mengarahkan beliau supaya tidak bertanya apa-apa soalan kepada Anwar ketika melakukan pemeriksaan kecuali seperti yang telah ditetapkan dalam format pemeriksaan.

Katanya, format tersebut digunakan semasa memeriksa semua tahanan ISA di mana pemeriksaan secara umum dan sistemik dilakukan pada setiap bahagian yang cedera seperti yang dilaporkan oleh pengadu.

Beliau berkata, walaupun tidak dibenarkan bertanya soalan, beliau sempat menyoal Anwar bagaimana kecederaan itu boleh berlaku.

Anwar berkata: Ini adalah salah satu kejadian yang berlaku.

Dalam kes Anwar, katanya, beliau telah mengadu mengalami kesakitan di bahagian tengkuk, leher, bahagian kiri atas lengan selain batuk dan hidung tersumbat.

Beliau juga telah diberitahu mengenai sejarah penyakit yang pernah dihidapi oleh Anwar seperti terjatuh dari kuda enam tahun lalu sehingga menyebabkan penyakit spondylosis dan radang pada saluran pemakanan (reflux oesophagitis).

Menurutnya, beliau memeriksa Anwar pada pukul 2.30 petang 24 September tahun lepas di dalam sebuah bilik di tingkat 1 Cawangan Khas.

Katanya, beliau sampai ke bilik tersebut terlebih dahulu sebelum Anwar tiba dengan memakai cermin mata hitam khas dan diiringi oleh beberapa anggota polis.

Dr. Vasantha berkata, beliau memeriksa kecederaan yang boleh dilihat iaitu di bahagian kiri dahi, keliling mata kiri dan tangan kanan.

''Saya tidak memeriksa bahagian kepala beliau kerana ia tidak terdapat di dalam aduan.'' katanya.

Hasil pemeriksaan itu, beliau berkata, kesemua kecederaan itu berlaku sekurang-kurangnya dua hari sebelum pemeriksaan dilakukan.

Diminta melihat kecederaan pada bahagian atas bibir seperti yang tertera dalam gambar yang dijadikan bahan bukti siasatan, katanya, beliau tidak memeriksa bahagian tersebut kerana tidak terdapat bengkak atau pendarahan di bibir Anwar ketika itu.

Suruhanjaya hari ini menerima dua set gambar kecederaan Anwar yang masing-masing diambil pada 24 September 1998 dan 27 September 1998.

Diminta mengenal pasti kecederaan yang tertera di bahagian muka Anwar pada gambar set kedua, beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada luka-luka yang dialami oleh Anwar.

Bagaimanapun, katanya, kecederaan tersebut tidak begitu kelihatan pada hari beliau memeriksa Anwar iaitu pada 24 September 1998.

Mengenai gambar yang menunjukkan kecederaan di bahagian rongga hidung Anwar, beliau katanya: ''Pada hari saya memeriksanya, tidak terdapat tanda-tanda kecederaan yang jelas di bahagian tersebut. Oleh itu saya tidak merasa perlu memeriksa bahagian tersebut.''

Ketika ditanya oleh Shankar berapa lama beliau memeriksa Anwar, Dr. Vasantha berkata: 30 hingga 35 minit dengan dikelilingi oleh enam hingga tujuh anggota polis.

Selain Dr. Vasantha, Abu Talib turut memanggil dua jurugambar polis yang mengambil gambar Anwar semasa dalam tahanan di Bukit Aman iaitu L/Kpl Norazizi Abdul Aziz, 35, dan Detektif L/Kpl Ibrahim Ismail sebagai saksi.

Norazizi, jurugambar cawangan foto Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur memberitahu Suruhanjaya, beliau mengambil 11 gambar Anwar dalam sebuah bilik di Bukit Aman pada 27 September di hadapan Dr. Zahari Mohd Noor dan Dr. Halim Mansor.

Manakala Ibrahim dari Cawangan Khas Bukit Aman berkata, sebanyak 12 gambar Anwar telah diambil pada 24 September di pusat tahanan khas di Kuala Lumpur setelah mendapat kebenaran daripada Anwar sendiri.

Ditanya oleh Abu Talib sama ada beliau ada mengambil gambar Anwar dalam keadaan telanjang, beliau menjawab: ''Tidak ada.''

---------------------------------------------------------------------------------------------



ARKIB : 26/02/1999

Kemungkinan Anwar cederakan diri ditolak


DR. AHMAD SHUKRI


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ab. Halim Mansar menolak sebarang kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencederakan dirinya sendiri ketika berada dalam tahanan sah polis September tahun lalu.

Dalam keterangannya kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan itu, Dr. Halim berkata, kesan kecederaan yang dialami oleh Anwar menunjukkan ia berpunca akibat dipukul dengan kuat.

''Berdasarkan kepada kedudukan, jumlah dan kesannya secara keseluruhan, kami memutuskan kecederaan itu lebih konsisten akibat dipukul seperti yang didakwa dan bukannya kecederaan yang dilakukan sendiri,'' katanya kepada panel tiga anggota yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Siasatan yang masuk hari ketiga itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin bersidang bersama bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Dalam keterangannya, Dr. Halim turut memberitahu bahawa pukulan yang dialami oleh Anwar amat berbahaya kerana boleh membawa maut (lethal).

Setelah diminta oleh Shankar menghurai maksud ''lethal'', Dr. Halim menjelaskan, sungguhpun kecederaan itu tidak boleh membawa maut, pukulan itu boleh menyebabkan kematian kerana dilakukan pada bahagian tubuh yang amat sensitif terutamanya pada leher.

Dr. Halim, 49, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang forensik telah memeriksa Anwar pada pukul 5.40 petang, 27 September tahun lalu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama seorang pakar forensik HKL, Dr. Zahari Noor.

Beliau membuat kesimpulan bahawa kecederaan tisu lembut pada dahi kiri dan sebelah kanan kepala Anwar disebabkan oleh hentakan daripada suatu benda yang tumpul dan besar kemungkinan akibat ditumbuk.

Tambahnya, kesan melecet pada bahagian tengah dan dalam pada bibir atas adalah kesan daripada objek tumpul yang mempunyai permukaan lebar seperti ditempeleng.

Dr. Halim turut berpendapat, hasil pemeriksaan itu menunjukkan Anwar berkemungkinan ditumbuk sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dan ditampar dua kali.

Ketika disoal oleh Dr. Yeoh sama ada kesan kecederaan pada pelipis Anwar adalah akibat terhantuk, Dr. Halim berkata, ia tidak mungkin kerana kesan itu bukan di belakang tetapi pada atas sebelah kanan kepala.

Pakar forensik itu turut memaklumkan panel bahawa beliau telah menasihatkan pihak polis supaya membenarkan Anwar diperiksa oleh pakar mata.

Sebelum itu, pakar mata Datuk Dr. Ahmad Shukri Mohamed dalam keterangannya berpendapat, kesan lebam pada mata Anwar adalah akibat darah yang turun ke pelupuk mata dari kesan hentakan pada dahi kirinya.

Katanya, beliau telah memeriksa bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada pukul 4.30 petang 29 September tahun lalu atas permintaan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kenalan lamanya.

Dr. Ahmad Shukri turut menolak kemungkinan kecederaan pada dahi itu adalah akibat terhantuk pada dinding atau pangkin simen sel.

Pakar Bedah Ortopedik HKL, Datuk Dr. Muhd. Borhan Tan berkata, setelah melakukan pemeriksaan Anwar pada 2 September, panel empat doktor itu telah mencadangkan supaya Anwar dimasukkan ke wad untuk diawasi tekanan darahnya serta menjalani pemeriksaan lanjut sebarang kecederaan dalaman.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kesan kecederaan itu adalah konsisten dengan dakwaan Anwar bahawa beliau telah dipukul pada malam penahanannya.

Dr. Muhd. Borhan tidak dapat mengenal pasti usia kecederaan itu kerana hanya memeriksa Anwar 12 hari selepas beliau ditahan.

Hasil pemeriksaan panel, kata Dr. Muhd. Borhan, pukulan yang seperti yang didakwa itu telah memburukkan lagi kecederaan lama pada lehernya dan panel mempreskripsikan tengkuk bagi menghalang sebarang kemudaratan.

Siasatan bersambung Ahad ini.

-------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 26/02/1999

Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja bersidang Ahad ini

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja akan bersidang pada hari Ahad bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung keterangannya dan pada waktu yang sama hadir dalam perbicaraan empat tuduhan rasuah terhadapnya.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin memutuskan demikian selepas wakil Jabatan Peguam Negara, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd. Yusuf Zainal Abiden memaklumkan kepada panel bahawa Mahkamah Tinggi tidak mahu menangguhkan perbicaraan empat tuduhan rasuah itu untuk memberi ruang kepada Anwar hadir dalam siasatan.

''Dalam keadaan demikian, kami memutuskan selepas penangguhan hari ini, kita akan bersidang semula pada pukul 10 pagi hari Ahad bagi mengelak sebarang pertembungan.

''Bagi saya, adalah tidak adil sekiranya kita mendesak beliau hadir apabila beliau mahu berada di satu tempat lain yang dirasakan lebih penting memerlukan kehadirannya,'' katanya setelah suruhanjaya disambung semula pada pukul 2.30 petang ini.

Pada ketika ini, ketua penyiasat Tan Sri Abu Talib bangun dan mencelah : ''Tidak perlu kita membesar-besarkan isu ini.''

''Saya cuma bimbang Tan Sri mungkin tidak dapat bermain golf (pada hari itu),'' balas Anuar dan disambut dengan ketawa daripada semua hadirin.

Suruhanjaya yang meneruskan siasatan dengan memanggil saksi ketujuh, kelapan dan kesembilan bagaimanapun terpaksa dihentikan sementara waktu apabila Mohd. Yusuf kembali dan memaklumkan kepada panel, Mahkamah Tinggi tetap meneruskan perbicaraannya.

Anuar berkata, oleh kerana perbicaraan akan diteruskan Suruhanjaya akan tetap menunggu Anwar walaupun terpaksa bersidang pada waktu malam atau hari Ahad.

ARKIB : 27/02/1999

Status suruhanjaya tidak dipersoal

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Hakim Mahkamah Tinggi dan Peguam Negara tidak pernah mempersoalkan status Suruhanjaya Diraja menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan sama taraf dengan Mahkamah Majistret.

Hakim Augustine Paul berkata, oleh itu, sebarang kenyataan yang menyebut bahawa Mahkamah Tinggi yang mengendalikan perbicaraan Anwar menyatakan suruhanjaya tersebut sama status dengan Mahkamah Majistret, adalah salah.

Sehubungan itu, hakim itu berpendapat kata-kata peguam Karpal Singh ketika dalam prosiding suruhanjaya semalam bahawa arahan Mahkamah Tinggi kononnya 'menyakiti', disifatkan suatu 'usikan yang nakal'.

''Peguam itu tidak ada di mahkamah ini. Mahkamah ini menangguhkan kes (perbicaraan Anwar), malah sehari suntuk untuk membolehkan tertuduh itu memberi keterangan di hadapan suruhanjaya tersebut. Mahkamah ini menghormati sepenuhnya suruhanjaya,'' kata Hakim Augustine.

Beliau berkata demikian berhubung penjelasan yang dibangkitkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah selepas membaca laporan sebuah akhbar mengenai apa yang berlaku dalam prosiding suruhanjaya itu semalam. Perkara itu timbul pagi ini dalam sidang perbicaraan Anwar yang masuk hari ke-61.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan kini dalam peringkat membela diri atas empat tuduhan pindaan rasuah menyalah guna kuasa untuk menyelamatkan dirinya daripada keaiban.

Sebaik sahaja mahkamah bersidang pukul 9.26 pagi ini, Mohtar bangun dan berkata: ''Sebelum kita mulakan, saya ingin menyatakan sesuatu kepada Yang Arif.''

Hakim Augustine: ''Saya hendak menyelesaikan satu perkara dulu. Pertamanya, saya minta maaf kerana memulakan sidang lewat. (Biasanya sidang tepat pukul 9 pagi).

Saya sedar malam tadi, bahawa jika kita bersidang pada sebelah petang hari Jumaat (hari ini), tertuduh tidak boleh menunaikan sembahyang (Jumaat), dia tidak boleh sembahyang selain daripada di penjara. Kita tidak mahu mengganggu tertuduh dengan hak agamanya.

''Tetapi jika sidang dijalankan pada hari Sabtu adakah ia mungkin banyak halangan?''

Peguam Sulaiman Abdullah bangun menjawab: ''Kami rasa mungkin begitu kerana kami sendiri terpaksa menunaikan banyak kewajipan yang lain.''

Hakim Augustine: ''Bolehkah kamu beritahu saya berapa lama lagi kes pembela ini?''

Sulaiman: ''Kami berhasrat untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin.''

Hakim Augustine: ''Hari Sabtu depan cuti umum. Jika keadaan diperlukan kita akan mengendalikannya. Kita tengok dulu apa yang seterusnya.''

''Ya... Tan Sri?'' tanya Hakim Augustine kepada Mohtar. (merujuk kepada persoalan yang hendak ditimbulkan Mohtar).

Mohtar: ''Saya ingin menarik perhatian Yang Arif tentang apa yang disiarkan dalam pelbagai akhbar hari ini mengenai dakwaan yang kononnya dibuat oleh Peguam Negara berhubung status Suruhanjaya Siasatan dan para anggotanya. Dan juga laporan yang sama mendakwa dengan menyebut bahawa keputusan hakim, maksudnya keputusan Yang Arif dan sebagainya mengenai kehadiran tertuduh di hadapan suruhanjaya adalah 'menyakiti kepada suruhanjaya.'

''Saya tidak bercadang untuk menggunakan perbicaraan ini dan mahkamah untuk terlibat dalam perdebatan umum berhubung perkara ini. Sebagaimana Yang Arif ingat, persoalan mengenai kuasa-kuasa dan bukanlah status suruhanjaya yang timbul...''

Hakim Augustine: ''Saya belum membaca akhbar lagi tetapi sebelum saya dengar apa yang kamu hendak nyatakan, biarlah saya nyatakan apa yang berlaku.''

Mohtar: ''Itulah yang saya ingin menarik perhatian Yang Arif. Apa yang saya ingin katakan di sini bahawa ia timbul daripada persoalan Yang Arif sama ada satu sapina mengatasi sapina yang lain.

''Yang Arif pasti ingat bahawa seluruh prosiding ini dilarang oleh Yang Arif disiarkan oleh media, bagaimanapun perbualan lisan mengenainya berlaku. Izinkan saya membaca daripada nota-nota saya.''

Peguam Negara itu membaca keseluruhan perbualan dalam prosiding pada 19 Februari lalu mengenai permohonan peguam yang mewakili Anwar, Raja Aziz Addruse yang memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu menerima sapina untuk hadir memberi keterangan dalam suruhanjaya tersebut pada hari Selasa, 23 Februari.

Mohtar: ''Peguam Negara atau Yang Arif tidak pernah mempersoal status suruhanjaya dan ia suatu kesalahan bagi kami untuk berbuat demikian. Apa yang penting dalam prosiding tersebut persoalan mengenai sapina.

Apa yang kita harus buat ialah melihat kuasa-kuasa yang terdapat pada badan masing-masing. Yang Arif mempunyai kuasa di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan suruhanjaya ada kuasa-kuasanya mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.''

Hakim Augustine: ''Saya lihat laporan dalam akhbar The Star.''

Mohtar: ''Dalam laporan The Star yang mana saya tidak ingin membacanya di sini tetapi Yang Arif dapat membacanya mulai perenggan dua dan tiga (muka surat 6).''

Beliau menghulurkan senaskhah akhbar The Star kepada Hakim Augustine.

Mohtar: ''Dan rujukan bagi dakwaan itu dibuat oleh Karpal Singh yang menyatakan bahawa keputusan Yang Arif adalah 'menyakiti'.

Saya menyerahkan kepada Yang Arif, sama ada ia sesuatu yang menghina mahkamah.''

Hakim Augustine: ''Selepas membaca laporan ini, saya rasa, pada pandangan saya bahawa gambaran ini tidak tepat mengenai apa yang berlaku dalam mahkamah ini. Rekod saya tidak begitu lengkap mengenai isu ini tetapi saya ingat dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu.

''Ini berlaku selepas Raja Aziz buat permohonan. Saya bertanya mengenai status sapina ini yang mana Peguam Negara merujuk Seksyen 20 Akta Suruhanjaya Siasatan. Apa jua perbincangan yang kita buat hanyalah merujuk mengenai sapina.

Tidak ada kenyataan yang pernah dibuat oleh sesiapa pun di mahkamah ini bahawa suruhanjaya adalah sama dengan sebuah Mahkamah Majistret, betulkah begitu, Raja Aziz?''

Raja Aziz: ''Saya tidak mengambil nota kerana pada pagi itu saya sedang bercakap dengan Yang Arif. Begitu juga rakan saya, Robyn Choi yang sepatutnya membuat catatan tidak hadir pada hari itu.''

Hakim Augustine: ''Peguam Negara sekali-kali tidak pernah menyebut bahawa suruhanjaya sama dengan sebuah Mahkamah Majistret. Berhubung perkara itu, pihak pembela pun tidak pernah menyatakan demikian. Apa yang dinyatakan kepada suruhanjaya mungkin kerana beberapa kesilapan komunikasi.''

Sulaiman bangun membaca apa yang beliau telah catatkan dalam notanya mengenai perkara itu. Kandungannya juga sama dengan apa yang direkodkan oleh pendakwa raya.

Hakim Augustine: ''Ya, Peguam Negara sungguh baik untuk menyatakan bahawa perkara itu harus diselesaikan dengan administratif dan bahawa suruhanjaya sama status dengan mahkamah ini.

''Oleh itu untuk mengatakan bahawa terdapat sebarang kenyataan yang dibuat oleh mahkamah ini yang menyebut suruhanjaya sama dengan sebuah Mahkamah Majistret, adalah salah.

Bagi seorang peguam untuk mengatakan bahawa ia arahan mahkamah ini sebagai 'menyakiti' disifatkan usikan yang nakal. Peguam berkenaan tidak ada di sini.

''Mahkamah ini telah menangguhkan kes ini, sebenarnya sehari suntuk. Sesi petangnya juga ditangguhkan kerana tertuduh belum selesai memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu. Mahkamah ini menunjukkan betapa ia menghormati sepenuhnya suruhanjaya itu.''

Menurut Hakim Augustine lagi: ''Selepas itu, apabila satu sapina lain dikeluarkan, mahkamah ini menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah untuk kehadiran tertuduh supaya prosiding siasatan itu dijalankan mengikut jadual dan perbicaraan ini juga boleh diteruskan seperti yang telah ditetapkan. Sekiranya atas sebab-sebab tertentu, tertuduh memilih untuk berada pada perbicaraan ini maka saya tidak boleh buat apa-apa.''

Mohtar: ''Terima kasih.''

Hakim Augustine: ''Sebenarnya saya ingin memberikan komen mengenai tingkah laku Peguam Negara tentang perkara ini.

Walaupun perkara ini tidak menyakiti, ia bertujuan supaya siasatan dijalankan tanpa sebarang halangan.

Tidak ada apa pun perkara yang pelik dibincangkan dalam mahkamah ini. Perkara ini timbul ekoran pertanyaan saya mengenai hal sapina. Saya harap perkara ini telah selesai.

''Saya menyatakan sekali lagi bahawa mahkamah ini tidak bermaksud untuk bersikap tidak menghormati suruhanjaya. Dan kita maklum bahawa suruhanjaya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan begitu juga saya. Kami mempunyai tugas masing-masing.

Saya percaya hal ini timbul disebabkan salah faham oleh seseorang atau beberapa orang yang tidak berada di mahkamah ini. Membuat kenyataan yang dilarang daripada disiarkan, satu perkara lain yang dipandang pada masa yang lain.''

Mohtar sekali lagi mengucapkan terima kasih.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 28/02/1999

Bekas KPN mengaku serang setelah Anwar memprovokasinya

KUALA LUMPUR, 28 Feb - Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor mengaku kepada peguamnya bahawa beliau menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau ditahan pada 20 Sept tahun lepas, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kecederaan yang dialami Anwar semasa dalam tahanan polis diberitahu hari ini.

Rahim telah menyatakan bahawa beliau ''hilang sabar dan pertimbangan'' dan seterusnya memukul Anwar selepas Anwar memprovokasinya dengan kata-kata ''Ni bapak anjing'' kepada Rahim, peguam Teh Poh Teik yang mewakili Rahim pada siasatan itu, memberitahu tiga anggota panel itu.

Siasatan itu disambung hari ini bagi membolehkan Anwar, yang memberi keterangan pada Selasa, untuk menyambung keterangan dengan menjawab soalan daripada peguam yang mewakili pelbagai individu.

Pada Khamis, suruhanjaya itu memutuskan untuk membenarkan peguam mana-mana saksi yang telah dipanggil atau akan dipanggil untuk memberikan keterangan, bertanyakan soalan secara pemeriksaan, atau berdasarkan budi bicara suruhanjaya, secara pemeriksaan balas.

Disoal oleh Teh, Anwar menafikan bahawa beliau memprovokasi Rahim dan menjelaskan bahawa tiada sebarang percakapan berlaku dalam lokap di Bukit Aman pada malam beliau ditahan.

Menurut Teh, Rahim telah menyatakan bahawa Anwar telah menuturkan kata-kata ''Ni bapak anjing'' kepadanya.

Teh: Saya cadangkan kepada kamu bahawa pada hari berkenaan, kamu dipukul oleh Tan Sri Rahim kerana kamu telah memprovokasinya.

Anwar: Saya terkejut. Ini adalah kali pertama saya mendengarnya. Tiada sebarang percakapan berlaku.

Teh: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu memprovokasinya dengan kata-kata ''Ni bapak anjing.''

Anwar: Saya nafikan, saya tidak mengeluarkan kata-kata itu.

Teh: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu mengeluarkan kata-kata berkenaan ketika Tan Sri Rahim mahu membuka kain penutup mata kamu.

Anwar: Tidak ada percubaan untuk membuka kain penutup mata oleh Tan Sri Rahim.

Teh: Apabila beliau mendengar perkataan itu, beliau hilang sabar dan pertimbangan dan memukul kamu.

Anwar: Saya nafikan.

Teh: Episod ini berlaku dengan cepat iaitu dalam tempoh beberapa saat dan kemudian Tan Sri Rahim telah dibawa keluar.

Anwar: Bukan beberapa saat tetapi beberapa minit.

Semasa Teh memaklumkan kepada siasatan bahawa beliau tidak ada soalan lagi untuk diajukan kepada Anwar, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, yang merupakan seorang daripada anggota panel itu, bertanyakan Teh bahawa dengan mengemukakan semua soalan itu kepada Anwar, ia bermakna anak guamnya telah mengaku menyerang Anwar.

Teh: Ya, itulah kedudukan anak guam saya.

Anwar juga menafikan bahawa semasa Pemangku Komander Pasukan Petugas Khas Bukit Aman SAC 1 Meor Chek Hussein Mahayuddin pergi ke rumahnya untuk menahan beliau, beliau telah mengeluarkan kata-kata ''anjing IGP'' dan ''anjing kerajaan'' kepada Meor semasa Meor memaklumkan kepadanya bahawa KPN telah mengeluarkan arahan untuk menahannya.

Merujuk kepada kenyataan yang diberikannya pada persidangan berita selepas beliau dipecat dan sebelum penahanannya, Anwar berkata kenyataan yang dibuatnya bukan bertujuan untuk mempertikaikan polis tetapi mengkritik ''beberapa elemen dalam pasukan polis''.

''Kritikan itu adalah bagi ugutan, serangan dan paksaan bagi mendapatkan pengakuan daripada individu untuk menunjukkan bahawa saya bersalah,'' katanya.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuatnya pada 27 Sept tahun lepas yang menyebut bahawa beliau telah dipukul lima kali, Anwar berkata beliau tidak berkata lima pukulan tetapi memberi gambaran mengenai lima pukulan itu. (Dalam keterangan sebelumnya, Anwar berkata beliau menerima tujuh pukulan).

Semasa Karpal Singh, yang mewakili beliau bersama-sama empat peguam lain, bertanya kepada Anwar, apakah mungkin menjadi motif serangan Rahim itu, Anwar memberikan jawapan yang panjang lebar dan kemudian berkata bahawa beliau percaya Rahim ''telah menerima arahan daripada ketuanya''.

Anwar juga menafikan bahawa semasa Pemangku Komander Pasukan Petugas Khas Bukit Aman SAC 1 Meor Chek Hussein Mahayuddin pergi ke rumahnya untuk menahan beliau, beliau telah mengeluarkan kata-kata ''anjing IGP'' dan ''anjing kerajaan'' kepada Meor semasa Meor memaklumkan kepadanya bahawa KPN telah mengeluarkan arahan untuk menahannya.

Merujuk kepada kenyataan yang diberikannya pada persidangan berita selepas beliau dipecat dan sebelum penahanannya, Anwar berkata kenyataan yang dibuatnya bukan bertujuan untuk mempertikaikan polis tetapi mengkritik ''beberapa elemen dalam pasukan polis''.

''Kritikan itu adalah bagi ugutan, serangan dan paksaan bagi mendapatkan pengakuan daripada individu untuk menunjukkan bahawa saya bersalah,'' katanya.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuatnya pada 27 Sept tahun lepas yang menyebut bahawa beliau telah dipukul lima kali, Anwar berkata beliau tidak berkata lima pukulan tetapi memberi gambaran mengenai lima pukulan itu. (Dalam keterangan sebelumnya, Anwar berkata beliau menerima tujuh pukulan).

Semasa Karpal Singh, yang mewakili beliau bersama-sama empat peguam lain, bertanya kepada Anwar, apakah mungkin menjadi motif serangan Rahim itu, Anwar memberikan jawapan yang panjang lebar dan kemudian berkata bahawa beliau percaya Rahim ''telah menerima arahan daripada ketuanya''.

Anwar berkata beliau amat menghormati Rahim sebagai seorang yang amat profesional, sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan kepadanya semasa beliau menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.

''Malahan, pada Ogos tahun lepas, beliau datang ke pejabat saya dan kami telah bercakap seperti apa yang saya sifatkan ''macam adik beradik'', merayu saya supaya menyelesaikan masalah politik antara saya dan Perdana Menteri,'' katanya.

Beliau berkata Rahim juga telah memegang tangan beliau dengan mesra dan berkata ''Tuan, tuan akan menjadi PM kami yang akan datang dan saya secara ikhlas menggesa tuan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat tuan dengan PM''.

Anwar berkata beliau telah bertanyakan Rahim jika beliau telah menerima sebarang arahan daripada perdana menteri untuk menentangnya dan jawapan yang diberikan ialah ''Datuk Seri, tolong selesaikannya dengan PM.''

Beliau berkata kejadian yang seterusnya berlaku ialah permusuhan yang ditunjukkan kepada beliau oleh Rahim dan beberapa anggota kanan polis dalam siasatan ke atas buku ''50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM''.

''Satu-satunya kejadian yang saya masih ingat terdapat sedikit ketegangan ialah selepas penahanan Datuk Nalla kerana semasa Rahim membalas panggilan telefon saya malam itu, saya tahu bahawa penahanan itu adalah satu cubaan untuk memaksa Nalla membuat kenyataan untuk menunjukkan saya bersalah,'' katanya. (Datuk S. Nallakaruppan, bekas pengarah hal ehwal awam Magnum Corporation, ialah rakan tenis Anwar).

Anwar berkata beliau sudah tentu membalas (dengan membuat kenyataan) apabila polis mula menahan dua setiausahanya di pejabat Timbalan Perdana Menteri serta di Kementerian Kewangan dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja.

Beliau berkata bahawa KPN mesti bertanggungjawab dalam perkara ini.

Ditanya oleh pengerusi suruhanjaya, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin, mengenai kenapa beliau fikir KPN sangat menentangnya, Anwar berkata bahawa beliau percaya Rahim ''menerima arahan dari ketuanya untuk bertindak''.

Anwar memberikan jawapan yang sama semasa bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, yang mengetuai siasatan itu, menyatakan ''selepas kamu memuji KPN, sudah tentu beliau tidak mempunyai sebarang rasa sakit hati terhadap kamu.''

Kemudian, semasa ditemui pemberita, Anwar berkata beliau berasa senang hati kerana Rahim telah mengaku menyerang beliau.

Anggota keluarganya, termasuk isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga anak mereka juga hadir pada siasatan itu.

Orang ramai yang berminat untuk mendengar prosiding siasatan itu mula beratur seawal pukul 7 pagi. Bagaimanapun, hanya kira-kira 40 orang dibenarkan masuk bagi memenuhi kerusi yang dikhaskan untuk orang awam di dalam mahkamah itu.

Siasatan hari ini dimulakan dengan Anwar memberikan maklumat lanjut mengenai pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atasnya, termasuk oleh seorang pakar telinga, hidung dan tekak dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau berkata pemeriksaan itu perlu kerana beliau menghadapi masalah dengan telinga kiri akibat ditampar pada pipi kirinya.

Anwar juga memberitahu siasatan bahawa beliau pertama kali memberikan kenyataan terperinci mengenai serangan itu kepada ketua pasukan penyiasat khas yang diketuai ACP Mat Zain Ibrahim tetapi tidak memberikan butiran tertentu terutama yang merujuk kepada nama-nama pegawai kanan yang terlibat.

''Saya memberitahunya bahawa saya harus merahsiakannya. Pasukan penyiasat khas itu terdiri daripada para pegawai polis dan ditubuhkan di bawah arahan perdana menteri yang sebelum ini mengatakan kemungkinan kecederaan itu dilakukan oleh saya sendiri,'' katanya.

Pada peringkat ini, Anuar memberitahu beliau bahawa suruhanjaya telah menerima laporan itu dan Anwar boleh mengulasnya lebih lanjut jika beliau ada fakta lain yang boleh membantu siasatan itu.

Semasa memberikan keterangan, Anwar telah diingatkan beberapa kali agar tidak memberikan keterangan berdasarkan dengar cakap tetapi memberikan keterangan berdasarkan pengetahuannya sendiri.

Ini berlaku semasa Anwar cuba memberi penjelasan mengenai rasa tidak puas hati beliau berhubung kenyataan perdana menteri mengenai kecederaan beliau dan kenyataan yang dibuat oleh Rahim pada 25 Sept, tahun lepas bahawa Anwar selamat dan sihat semasa dalam tahanan polis.

Beliau seterusnya menggambarkan kenyataan itu sebagai ''amat tidak bertanggungjawab.''

''Beliau (Rahim) tentu tahu mengenai serangan itu tetapi dia masih boleh menyatakan secara terbuka bahawa saya selamat dan sihat,'' katanya.

Anwar berkata apabila beliau dihadapkan dan seterusnya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 29 Sept tahun lepas, peguamnya, Raja Aziz Addruse, telah merayu kepada mahkamah untuk membenarkan beliau memaklumkan secara langsung kepada mahkamah mengenai serangan itu semasa dalam tahanan polis.

''Saya ada membuat kenyataan kepada mahkamah mengenai serangan itu tetapi sebelum itu, saya dibantah oleh Datuk Gani Patail yang menyatakan bahawa ia hanya kecederaan ringan,'' katanya.

Pada peringkat itu, Shankar memberitahu Anwar bahawa beliau menyukarkan tugas panel itu jika beliau tidak mengehadkan dirinya kepada bidang tugas siasatan itu kerana panel itu hanya berminat dengan keterangan secara langsung dan bukan dengar cakap.

''Kami boleh bimbang kamu jika perlu tetapi kamu harus menerimanya dengan baik,'' kata Shankar.

Anwar turut memberitahu siasatan itu bahawa beliau tidak menerima sebarang laporan perubatan dari para doktor yang memeriksanya serta gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar polis semasa ditahan dalam lokap Bukit Aman.

Panel itu kemudian memaklumkan kepada beliau bahawa dokumen itu akan diberikan kepadanya dan semasa ditunjukkan gambar kecederaan yang dialaminya, Anwar berkata ''Ya Tuhan, teruknya.''

(Sebelum itu, beliau memberikan keterangan bahawa beliau melihat dirinya buat pertama kali pada 24 Sept, tahun lepas sebelum diperiksa oleh seorang doktor, pada cermin di sebuah bilik di Bukit Aman.)

Siasatan disambung pada pukul 9.30 pagi esok. - Bernama

---------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 01/03/1999

Saksi ketiga pembela dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini disambung esok untuk memanggil saksi pembela yang ketiga dan seterusnya memberi keterangan atas empat tuduhan pindaan rasuah di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu selesai memberi keterangan membela diri pada Rabu lalu setelah mengambil masa tujuh hari sebagai saksi utama dalam peringkat kes pembelaan.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi tuduhan menyalah guna kuasa bagi faedah untuk menyelamatkan diri daripada keaiban.

Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan bekas timbalannya, Datuk Amir Junus telah diminta oleh Anwar mendapatkan Ummi Hafilda Ali yang menulis sepucuk surat perihal salah laku dirinya kepada Perdana Menteri dan kenyataan bertulis Azizan Abu Bakar untuk menafikan dakwaan liwat yang terkandung dalam 'pengakuan bersumpahnya' bertarikh 5 Ogos 1997.

Tuduhan tersebut di bawah Seksyen 2(1), sekiranya terbukti boleh membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Ketika peringkat pembelaan pada Selasa minggu lalu, mahkamah membenarkan penangguhan apabila Anwar dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja bagi siasatan kecederaan yang dialaminya semasa dalam tahanan polis September tahun lalu.

Mahkamah menangguhkan sekali lagi kesnya pada Jumaat lalu setelah dimaklumkan bahawa seorang daripada peguam belanya, Gurbachan Singh yang sepatutnya mengendalikan pemeriksaan utama ke atas saksi pembela yang lain tidak dapat hadir kerana isterinya sakit tenat.

Dalam keterangan pembelaannya Rabu lalu, Anwar menafikan bahawa dia telah kehilangan wang sejumlah RM4 juta ketika tinggal di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Anwar juga menafikan bahawa dia memperoleh faedah daripada tindakan Ummi Hafilda dan Azizan membuat surat permohonan maaf menarik balik dakwaan terhadap dirinya.

Saksi kedua pembela, bekas juruiring Anwar, Zull Aznam Haron memberitahu pada pemeriksaan utama peguam bela bahawa beliau yang mengatur beberapa pertemuan di antara Mohd. Said dan Amir Junus dengan tertuduh itu.

Beliau juga memberitahu bahawa Azizan telah dibawa bertemu Anwar oleh kedua-dua bekas pegawai tinggi polis itu.

Menurutnya, beliau diarahkan Amir Junus untuk menghantar Azizan balik ke rumahnya di Rawang. Semasa dalam perjalanan balik itu, Zull Aznam mendakwa Azizan memberitahunya bahawa Ummi Hafilda yang mengheret dia terlibat dalam kes itu.

Selain itu, Zull Aznam beritahu bahawa Anwar mengarahkan beliau melaporkan kepada polis berhubung surat layang, Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Zull Aznam mendakwa kandungan ungkapan dan perkataan dalam laporan itu dibuat oleh Mohd. Said dan pegawai penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) 1, Musa Hassan.

Pada pemeriksaan balas Pendakwa Raya, Zull Aznam yang kini dinaikkan pangkat sebagai pemangku Timbalan Penguasa Polis, memberitahu bahawa Anwar pernah kehilangan sejumlah wang sebanyak dua kali.

Menurut saksi pembela itu, kali kedua Anwar hilang wang simpanan daripada peti besi dalam bilik tidurnya di kediaman Timbalan Perdana Menteri. Kejadian kali pertama, katanya berlaku pada 1995 dan kali kedua, selepas 1995.

----------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 01/03/1999

Bekas KPN terima arahan aibkan saya - Anwar

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor telah menerima arahan daripada 'ketuanya' untuk bertindak mengaibkan kerjaya politik beliau.

Anwar yang memberi keterangan panjang lebar di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialaminya semasa dalam tahanan polis berkata, beliau amat menghormati Rahim berdasarkan perkhidmatannya yang begitu profesional.

''Bekas Ketua Polis Negara itu sentiasa bekerjasama dan memberi bantuan kepada saya semasa menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,'' katanya ketika ditanya oleh ketua barisan peguamnya, Karpal Singh.

Panel suruhanjaya membenarkan Karpal bertanyakan soalan kepada Anwar mengenai motif Rahim memukul Anwar semasa dalam tahanan polis pada 20 September lalu.

Anwar menyambung keterangan di hadapan panel suruhanjaya yang dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Menurut Anwar, beliau dan Rahim telah berbual-bual seperti adik-beradik semasa bekas Ketua Polis Negara itu berada di pejabatnya pada bulan Ogos lalu dan memintanya menyelesaikan masalah politik antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, Rahim telah memegang tangannya dengan mesra dan berkata: ''Tuan akan menjadi Perdana Menteri yang akan datang dan saya secara ikhlas meminta tuan menyelesaikan perbezaan pendapat tuan dengan Perdana Menteri.''

Anwar berkata, beliau telah bertanya Rahim sama ada beliau telah menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk menentangnya dan jawapan yang diberikan ialah ''Datuk Seri, tolong selesaikannya dengan Perdana Menteri.''

Selepas perbualan itu, katanya, Rahim telah menunjukkan sikap bermusuh dengannya dalam siasatan ke atas buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM menerusi arahan yang diberikan kepada Senior Asisten Komisioner I, Musa Hassan dan Asisten Superitenden Polis Rodwan Mohd. Yusof.

Anwar berkata, terdapat sedikit ketegangan antara beliau dan Rahim selepas Datuk S. Nallakaruppan ditahan pada 31 Julai lalu.

Menurut Anwar, ini adalah kerana berdasarkan perbualannya menerusi telefon dengan Rahim pada malam selepas Nallakaruppan ditahan, beliau tahu ia adalah satu cubaan untuk memaksa bekas Pengarah Eksekutif Magnum Corporation tersebut membuat kenyataan menunjukkan Anwar bersalah.

Kata Anwar: ''Bekas Ketua Polis Negara itu berkata orang ini lahir di Madras, menjadi kaya raya dan mempunyai watak yang mencurigakan. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan yang berbau perkauman itu.''

Anwar berkata, apabila polis mula menahan dua setiausahanya iaitu di pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan serta adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja, beliau mula membuat kenyataan-kenyataan balas.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara mesti bertanggungjawab dalam urusan-urusan penahanan itu.

Ditanya oleh Anuar mengapa beliau berpendapat bekas Ketua Polis Negara itu sangat menentangnya, Anwar berkata, beliau percaya Rahim menerima arahan daripada 'ketuanya' untuk bertindak.

Anwar memberikan jawapan yang sama semasa bekas Peguam Negara dan Ketua Penyiasat Suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, ''selepas kamu memuji Ketua Polis Negara, sudah tentu beliau tidak mempunyai sebarang rasa sakit hati terhadap kamu.''

Siasatan hari ini dimulakan dengan Anwar memberikan maklumat lanjut mengenai pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atasnya, termasuk oleh seorang pakar telinga, hidung dan tekak dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Anwar berkata, pemeriksaan itu perlu kerana beliau menghadapi masalah pendengaran di telinga kirinya akibat tamparan di pipi kirinya.

Anwar berkata, beliau memberi kenyataan secara terperinci mengenai serangan itu buat pertama kalinya kepada ketua pasukan penyiasat khas yang diketuai Asisten Komisioner Polis Mat Zain Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak memberi butiran tertentu terutama yang merujuk nama-nama pegawai kanan yang terlibat kerana pasukan penyiasat itu terdiri daripada para pegawai polis dan ditubuhkan di bawah arahan Perdana Menteri.

Sementara itu, pengerusi suruhanjaya mengingatkan Anwar supaya tidak mengulangi kenyataan berkaitan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mengenai kecederaan yang dialami beliau semasa dalam tahanan polis.

''Biarlah kita tinggalkan Peguam Negara bersendirian,'' kata Anuar.

Semasa memberi keterangan Anwar turut memberitahu panel suruhanjaya bahawa beliau telah diberitahu oleh beberapa anggota polis iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin turut berada di dalam bilik lokap ketika dipukul.

Beliau turut meminta supaya identiti anggota polis berkenaan dirahsiakan bagi keselamatan anggota berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas sesi siasatan ditangguhkan, Anwar berkata, beliau berasa senang hati kerana Rahim telah mengaku menyerangnya tahun lalu.

ARKIB : 01/03/1999

Rahim mengaku pukul Anwar


TEH POH TEIK.


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menerusi peguamnya hari ini mengaku telah memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis pada 20 September lalu.

Peguam Teh Poh Teik ketika menyatakan pengakuan anak guamnya itu berkata, Rahim bertindak sedemikian setelah Anwar membangkitkan kemarahannya (memprovokasi) dengan mengeluarkan kata-kata ''Ni bapak anjing.''

Beliau berkata, Rahim tidak dapat mengawal diri dan hilang sabar apabila mendengar Anwar mengeluarkan kata-kata tersebut.

Teh menyatakan demikian di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis selepas selesai mengajukan soalan-soalan kepada Anwar.

Suruhanjaya tersebut dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Siasatan yang ditangguhkan Selasa lalu disambung hari ini bagi membolehkan Anwar menyambung keterangan dengan menjawab soalan daripada peguam yang mewakili pelbagai individu.

Suruhanjaya telah memutuskan untuk membenarkan peguam yang mewakili mana-mana saksi yang telah dipanggil atau akan dipanggil untuk memberi keterangan, bertanyakan soalan secara pemeriksaan, atau berdasarkan budi bicara suruhanjaya, secara pemeriksaan balas.

Teh mengaku Rahim memukul Anwar ketika ditanya oleh Shankar sama ada segala soalan yang dikemukakan oleh beliau kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengenai provokasi bermaksud anak guamnya telah mengaku memukul Anwar.

Beliau menjawab: ''Ya, itu adalah kedudukan dan arahan anak guam saya. Beliau telah bertindak memukul Anwar setelah diprovokasi secara keras dan tiba-tiba.''

Pada peringkat awal pertanyaan, Teh telah mencadangkan kepada Anwar bahawa ketika Rahim berada di dalam bilik lokap, beliau telah membangkitkan kemarahan sehingga menyebabkan bekas Ketua Polis Negara itu memukulnya.

Anwar yang menafikan beliau telah membangkitkan kemarahan Rahim berkata, tiada sebarang percakapan di dalam bilik lokap di Bukit Aman pada malam beliau ditahan.

Anwar: ''Saya tergamam. Ini adalah kali pertama saya diberitahu demikian. Tidak terdapat sebarang percakapan di dalam bilik lokap kecuali bunyi 'berdehem.''

Teh: ''Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu telah membangkitkan kemarahannya dengan kata-kata ''Ni bapak anjing.''

Anwar: ''Saya nafikan. Saya tidak mengeluarkan kata-kata itu. Tidak terdapat sebarang percakapan.''

Teh turut mencadangkan bahawa Anwar telah mengeluarkan kata-kata tersebut ketika Rahim hendak membuka sapu tangan yang menutup matanya.

Teh: ''Apabila Rahim mendengar kata-kata itu, beliau tidak dapat mengawal diri, hilang sabar dan memukul kamu.''

Anwar: ''Saya menafikannya.''

Pada peringkat ini, Ketua Penyiasat, Tan Sri Abu Talib Othman bangun dan mengajukan soalan kepada panel suruhanjaya: ''Adakah beliau (Teh) mencadangkan bahawa anak guamnya mengaku memukul Anwar?

Bagaimanapun, Pengerusi suruhanjaya, Anuar meminta Abu Talib menyerahkan perkara itu kepada anggota panel.

Teh kemudian mencadangkan bahawa episod tersebut berlaku dengan cepat iaitu dalam tempoh beberapa saat dan Rahim kemudian dibawa keluar oleh seorang lagi.

Anwar: ''Bukan beberapa saat tetapi beberapa minit.''

Bagaimanapun Teh tidak menyebut nama orang yang membawa keluar Rahim dari bilik lokap berkenaan.

Semasa Teh memaklumkan kepada suruhanjaya tersebut bahawa beliau tiada soalan lagi untuk diajukan kepada Anwar, Shankar bertanya: ''Adakah semua soalan itu bermakna anak guam kamu telah mengaku menyerang Anwar.''

Teh: ''Ya, itulah kedudukan anak guam saya.''

Anwar juga ditanya sama ada beliau mengeluarkan kata-kata ''anjing IGP'' dan ''anjing kerajaan'' ketika Pemangku Komander Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Pesuruhjaya Kanan Polis I (SAC), Meor Chek Hussein Mahayuddin memaklumkan kepadanya bahawa Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan supaya beliau ditangkap.

Anwar: ''Saya tidak mengeluarkan kata-kata itu.''

Anwar juga diminta merujuk kepada kenyataan-kenyataannya semasa sidang akhbar selepas beliau dipecat dan sebelum penahanannya yang mempertikaikan polis.

Menurut Anwar, beliau tidak mempertikaikan polis tetapi mengkritik beberapa elemen dalam pasukan polis.

Tambah Anwar, kritikannya mengenai ugutan, serangan dan paksaan pihak polis bagi mendapatkan pengakuan daripada individu untuk menunjukkan bahawa beliau bersalah.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuatnya pada 27 September lalu yang menyebut bahawa beliau telah dipukul lima kali, Anwar berkata, beliau tidak menyebut lima pukulan tetapi memberi gambaran mengenai pukulan-pukulan itu.

Dalam keterangannya di hadapan suruhanjaya sebelum ini, Anwar pernah memberitahu bahawa beliau telah menerima tujuh pukulan.

Sementara itu, Abu Talib ketika ditemui selepas sesi siasatan hari ini ditangguhkan berkata, beliau tetap akan memanggil Rahim walaupun Teh telah memberitahu suruhanjaya bahawa anak guamnya mengaku memukul Anwar.

Katanya, selain Rahim, beliau juga akan memanggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin dan Timbalannya, Datuk Ramli Yusof untuk siasatan selanjutnya.

''Kita akan terus memanggil Rahim dan dua orang saksi lagi kerana nama mereka disebut dalam siasatan,'' katanya lagi.

ARKIB : 01/03/1999

Karpal desak hadapkan Rahim ke mahkamah

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja, Karpal Singh mendesak pihak berkuasa menghadapkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor di mahkamah dengan segera kerana mengaku mencederakannya ketika dalam tahanan polis tahun lalu.

Beliau yang mengetuai barisan empat peguam dalam penyiasatan suruhanjaya itu berkata, sebagai seorang yang menjawat jawatan tertinggi dalam pasukan keselamatan, Rahim tidak boleh mencederakan seorang tahanan semata-mata dengan alasan dibangkitkan kemarahannya.

''Ini adalah hari yang paling malang bagi Malaysia dan sesuatu yang menyedihkan bagi semua pencinta hak asasi manusia,'' katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah di sini, hari ini.

Pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Anwar, peguam Rahim, Teh Poh Teik membuat pengakuan bahawa anak guamnya telah mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerana dibangkitkan kemarahannya.

Suruhanjaya tersebut bersidang hari ini bagi memberi peluang Anwar menyambung keterangannya dan mengelakkan pertembungan dengan perbicaraan empat tuduhan rasuah terhadapnya di Mahkamah Tinggi.

---------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 02/03/1999

Saksi lihat Rahim tampar Anwar

KUALA LUMPUR 1 Mac - Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah II Datuk Ramli Yusuf berkata, beliau nampak bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sedang dalam aksi menampar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang terlantar di atas pangkin simen di dalam sel di Bukit Aman dengan kedua-dua belah tangannya pada malam 20 September tahun lalu.

Kata Ramli, beliau meluru masuk setelah mendengar jeritan 'Adoi', 'Ya Allah' dan 'Jangan pukui saya' dalam keadaan merayu dan kesakitan dari dalam sel nombor 6 yang menempatkan Anwar.

Ketika diminta menjelaskan keadaan itu oleh pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zainal Abidin, Ramli berkata, beliau tidak nampak sama ada tamparan berturut-turut itu mengenai Anwar tetapi tahu Anwar berada di depan Abdul Rahim.

Tambah Ramli, beliau kemudian secara spontan memegang tangan kanan Abdul Rahim dan menolak bekas KPN itu ke belakang sehingga hilang imbangan untuk menjauhkannya daripada Anwar.

Katanya, beliau dibantu oleh Datuk Yaacob Mohd. Amin yang memegang seluar Abdul Rahim dari belakang.

''Kami berdua menolak dia (Abdul Rahim) keluar daripada lokap,'' katanya kepada panel tiga anggota yang bersidang masuk hari kelima.

Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Anuar itu turut dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Mereka dibantu oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman yang bertindak sebagai ketua penyiasat.

Terdahulu dalam keterangannya, Ramli memberitahu, pada malam kejadian, beliau berada di Tingkat 11 sebelum menerima arahan daripada Yaacob untuk turun ke lokap membantu penahanan Anwar.

Tidak lama kemudian, katanya, setelah Anwar dimasukkan ke sel, Abdul Rahim tiba dengan diikuti oleh Yaacob di belakang.

Tambah beliau, Abdul Rahim kemudian membuat tiga isyarat yang difahaminya sebagai menyuruh semua pegawai dan anggota polis senyap dan mengarahkan Anwar digari dan ditutup matanya.

''Saya anggap isyarat-isyarat ini sebagai arahan kerana beliau datang untuk berjumpa Anwar,'' katanya.

Jelas Ramli, beliau tidak tahu apa yang mahu dilakukan oleh Abdul Rahim ketika mengeluarkan arahan itu.

Selepas mendapat maklumat semua arahan itu telah dipatuhi, Abdul Rahim terus masuk ke lokap menuju ke sel nombor 6.

Menurut Ramli, selepas kejadian yang berlaku dalam waktu yang singkat itu, beliau berpatah balik ke sel nombor 6 dan melihat ada benjol pada sebelah kiri dahi Anwar.

''Saya kemudian arahkan Asisten Supritendan Polis Rodwan (Mohd. Yusof) untuk mendemah benjol itu dengan air panas dan mencarikan minyak gamat,'' katanya.

Kata Ramli, ketika berada dalam satu majlis taklimat di Tingkat 11 pada lebih kurang pukul 10.45 malam, beliau menerima panggilan telefon daripada Rodwan memaklumkan benjol yang dialami oleh Anwar semakin teruk.

Beliau kemudian naik ke Tingkat 30 untuk berjumpa Abdul Rahim dan bertanya apa yang patut dilakukan.

''Dia (Abdul Rahim) beri arahan dalam bahasa Inggeris Leave it to me (Serahkan kepada saya).

''Dia tidak ada cakap apa-apa tentang tangkapan pada masa itu dan saya beranggapan dia akan ambil tindakan yang perlu,'' katanya.

Tambah Ramli, beliau dan Yaacob ada bertemu dengan Abdul Rahim pada 22 September meminta arahan mengenai permohonan Anwar untuk mendapatkan rawatan doktor.

''Tan Sri Rahim beritahu dia akan ambil tindakan melalui Cawangan Khas kerana tahanan pada masa itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),'' katanya.

Menamatkan keterangannya, Ramli berkata: ''Saya tidak pada bila-bila masa memukul atau membantu Rahim memukul Anwar.

''Sebaliknya saya menghalang Tan Sri Rahim daripada terus memukul Anwar Ibrahim.''

Siasatan bersambung esok.

ARKIB : 02/03/1999

Yaacob dengar suara ''jangan pukul saya''

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin berkata, beliau terdengar orang berkata ''jangan pukul saya' selepas memasuki lorong menuju ke bilik lokap di Bukit Aman pada malam 20 September tahun lepas.

Ketika memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya bagi menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis, Yaacob, 52, memberitahu, suara itu seolah-olah menunjukkan orang berkenaan dalam kesakitan.

Katanya, suara yang didengarnya itu tidak begitu kuat tetapi beliau yang sedang berjalan menuju ke bilik lokap masih boleh mendengarnya dengan jelas.

Menurut Yaacob, sebelum itu beliau mengikut Tan Sri Abdul Rahim Noor (Ketua Polis Negara ketika itu) dari belakang menghala ke lorong bilik lokap di sebelah kiri.

''Apabila saya sampai ke pintu masuk lorong bilik lokap Rahim sudah tidak kelihatan lagi,'' katanya.

Katanya, selepas mendengar suara tersebut dengan spontan beliau terus masuk ke dalam bilik lokap pertama (bilik nombor enam) dan nampak Rahim dari belakang.

Yaacob berkata, beliau terus menerpa tali pinggang Rahim dan menariknya ke belakang. Rahim ketika itu berpakaian biasa dengan bajunya dimasukkan ke dalam dan bertali pinggang.

Suruhanjaya yang bersidang pada hari kelima hari ini memanggil Yaacob sebagai saksi ke-16 bagi memberi keterangan di hadapan anggota panel yang dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Kata Yaacob, beliau menggunakan tangan sebelah kanan untuk menarik Rahim manakala tangan kirinya memegang pintu bilik lokap. Datuk Ramli Mohd. Yusof yang turut berada dalam bilik lokap ketika itu membantunya dengan menolak Rahim keluar dari bilik tersebut.

Ramli adalah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Sebelum itu bekas Peguam Negara yang juga Ketua Penyiasat Suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman mengajukan soalan kepada Yaacob sambil menunjukkan tali pinggang yang sedang dipakainya.

Anuar yang melihat keadaan Abu Talib berkata, ''Saya rasa macam mahu menunjukkannya ke atas Datuk,'' diikuti ketawa oleh orang ramai yang memenuhi galeri awam dalam mahkamah.

Katanya, kejadian tersebut berlaku sekelip mata dan beliau memeluk bahu Rahim sambil membawanya keluar daripada lokap Bukit Aman menuju ke lif foyer bangunan tersebut sambil diiringi oleh Ramli.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan menuju ke lif dan naik ke tingkat 30, Rahim tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Ditanya oleh Abu Talib adakah Yaacob nampak Anwar ketika masuk ke dalam bilik lokap tersebut, katanya, beliau hanya nampak kaki Anwar yang badannya ketika itu dilindungi oleh badan Rahim.

Pada peringkat awal memberi keterangan, Yaacob berkata, beliau menunggu Rahim di hadapan lif setelah mengetahui Rahim akan turun untuk melawat lokap Bukit Aman menerusi set walkie-talkie ketika berbual dengan beberapa pegawai di pejabat D-9.

Selepas beberapa minit, Rahim turun berseorangan dengan tidak berkata apa-apa kecuali perkataan '''mari'' dan terus menuju ke lokap sambil diikuti oleh Yaacob.

Menurut beliau, Rahim berjalan terus dan tidak berhenti di mana-mana sebelum masuk ke dalam bilik lokap. Rahim cuma berhenti sekejap setelah sampai ke pintu jeriji selepas pintu kayu di dalam lokap.

Katanya, ketika itu Rahim menunjukkan isyarat dengan mengangkat jari ke bibir dan mengangkat tangan menutup kedua-dua matanya kepada beberapa pegawai polis yang berada di hadapannya.

Beliau berkata, Ramli dan Asisten Supritenden Polis Mohd. Rodwan Mohd. Yusof serta beberapa pegawai polis turut berada di kaunter bilik lokap ketika Rahim masuk.

Beliau berkata, selepas itu Rahim terus berjalan di lorong menghala ke bilik lokap di sebelah kiri.

''Ketika itu saya mengikut Rahim dari belakang dan apabila saya sampai ke pintu masuk menuju ke lorong, beliau tidak kelihatan lagi,'' ujarnya.

Ditanya oleh Abu Talib bila keputusan menangkap Anwar dibuat, kata Yaacob, ia diputuskan kira-kira seminggu sebelum Anwar ditahan pada 20 September tahun lepas.

Katanya, beliau menunggu masa yang baik dan agak senang untuk menangkap Anwar berdasarkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa beliau di bawah Seksyen 377, Kanun Keseksaan.

Yaacob berkata, beliau sendiri telah memaklumkan kepada Rahim mengenai keputusan untuk menangkap Anwar dan mendakwa di bawah kesalahan jenayah.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah telah memulakan siasatan ke atas Anwar sejak bulan Jun tahun lepas dan Rahim sentiasa diberitahu mengenai perkembangannya.

Ditanya mengenai kejadian pada 20 September tahun lepas, katanya, beliau telah menerima panggilan telefon daripada pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 6.45 petang mengenai demonstrasi di Masjid Negara dan Dataran Merdeka.

Yaacob berkata, beliau kemudian pergi ke tingkat 30, Bukit Aman kira-kira pukul 8.30 malam dan mendapati beberapa pegawai polis termasuk Rahim dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Ghazali Yacub berada di ruang legar tingkat itu.

''Daripada perbualan saya dengan pegawai-pegawai kanan polis ketika itu, saya mengetahui keadaan di Kuala Lumpur teruk,'' katanya.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan mengenai penangkapan Anwar sedang dijalankan dan kira-kira pukul 10 malam, Yaacob mendapat tahu Anwar telah ditangkap dan akan dibawa balik ke Bukit Aman.

Beliau berkata, selepas menelefon Ramli untuk memintanya membantu dalam penerimaan orang yang ditangkap iaitu Anwar, beliau turun ke foyer bersendirian untuk melihat Anwar dibawa ke Bukit Aman.

Katanya, beliau kemudian nampak sebuah kereta berhenti di hadapan pintu masuk ke bangunan berkenaan dan Anwar dibawa keluar oleh dua pegawai polis iaitu Inspektor Nasaruddin Nasir serta Asisten Superitenden Shariffuddin Abdul Ghani.

Katanya, selain dua pegawai polis itu, Anwar yang ketika itu matanya ditutup turut diiringi oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Koh Hong Sun.

''Semasa mereka lalu di hadapan saya, saya ada berkata supaya melayannya seperti orang biasa yang ditahan atas kesalahan jenayah,'' katanya.

Beliau kemudian diminta oleh Abu Talib supaya memberitahu mahkamah perkataan sebenar yang digunakan ketika mengeluarkan arahan tersebut.

Yaacob: ''Layan dia seperti penjenayah biasa, mengapa dia tidak digari?''

Menurut Yaacob, beliau mengeluarkan kata-kata ini kerana mengikut peraturan biasa, seseorang yang ditahan atas kesalahan jenayah mesti digari.

Abu Talib turut bertanya sama ada menutup mata tahanan merupakan peraturan biasa dan Yaacob menjawab: ''Mengikut pengetahuan saya menutup mata bukanlah peraturan biasa bagi seseorang yang ditangkap atas kesalahan jenayah.''

Beliau kemudiannya mengekori Anwar yang dibawa terus ke arah lokap dan semasa berdiri di belakang kaunter, beliau nampak salah seorang daripada orang yang ditangkap iaitu Ruslan Kassim (bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan), berada di luar selnya.

Selepas mengarahkan supaya Ruslan dimasukkan ke dalam selnya, beliau kemudian beredar ke pejabat D-9 sehingga mendapat tahu Rahim akan melawat lokap.

ARKIB : 02/03/1999

Musa diberitahu Anwar minta rawatan

KUALA LUMPUR 1 Mac - Komandan Kem Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman, Pemangku Superitenden Abdul Halim Siraj berkata, beliau telah memaklumkan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Musa Hassan mengenai permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Katanya, ketika pertama kali bertemu dengan Anwar di dalam bilik lokapnya di Bukit Aman lewat tengah hari pada 21 September lepas, beliau diberitahu oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengenai kesakitan yang dialaminya terutama di badan, tengkuk dan lengan kiri.

Halim berkata, beliau nampak kecederaan dan calar-calar di dahi kiri Anwar ketika kali pertama bertemu dengannya selain diberitahu mengenai sejarah penyakit yang dialami akibat jatuh daripada kuda.

''Anwar turut meminta supaya beliau dirawat oleh doktor Chin Chee Pin yang bertugas di Pusat Perubatan Pantai,'' katanya.

Halim berkata demikian di hadapan panel suruhanjaya bagi menyiasat kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis pada 20 September tahun lepas yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin.

Menurut Halim, beliau memberitahu Musa mengenai permintaan Anwar dan sejarah penyakit yang dialaminya. Musa kemudian meminta beliau menghubungi Dr. Chin bagi mendapatkan ubat untuk Anwar dan sekiranya boleh tidak perlu membawa doktor tersebut ke Bukit Aman.

''Saya menelefon Dr. Chin dan diberitahu beliau perlu memeriksa Anwar terlebih dahulu sebelum memberinya ubat berdasarkan pengalamannya merawat Anwar sejak tiga tahun lalu,'' katanya.

Abdul Halim berkata, Musa kemudian memberitahu beliau untuk mendapatkan doktor kerajaan pula dan selepas menghubungi Dr. Lim Kuan Joo dari Hospital Kuala Lumpur, beliau telah dinasihatkan untuk memanggil pakar neurologi, Dr Selva Pragasam.

''Setelah menghubungi Dr. Selva Pragasam dan beliau bersetuju merawat Anwar, Musa memberitahu saya untuk menangguhkan perkara tersebut buat masa itu kerana kita tidak perlukan khidmat doktor,'' katanya yang merujuk Musa sebagai ketua penyiasat bagi kes Anwar.

Katanya, Anwar kemudian dimaklumkan sehari kemudian iaitu pada 22 September bahawa tiada maklum balas daripada pegawai atasan mengenai permohonannya untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Menurut beliau, selepas memaklumkan perkara tersebut kepada Anwar, beliau bertemu dengan Musa dan memberitahu sekali lagi mengenai permintaan Anwar dan ketika itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ramli Mohd. Yusof lalu melintasi Musa.

Halim berkata, beliau nampak Musa masuk ke pejabat Ramli dan beliau yang ikut masuk ke bilik itu mendengar Musa menyampaikan permintaan Anwar kepada Ramli.

Katanya, Ramli berkata, ''Nanti dulu'' dan perkataan itu difahami oleh Halim sebagai ''beliau perlu menunggu arahan lanjut''.

''Saya kemudian meninggalkan mereka dan pergi ke bilik lokap Anwar dan memberitahu beliau permintaannya tidak dibenarkan. Selepas itu Anwar tidak meminta lagi untuk diberi rawatan perubatan,'' katanya.

Halim ketika ditanya oleh peguam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, pegawai polis yang mengendalikan kes Anwar perlu memberi rawatan perubatan kepada tahanan yang mendapat kecederaan.

Ditanya oleh salah seorang panel suruhanjaya Dr. Yeoh Poh Hong sama ada terdapat kamera di dalam bilik lokap tempat Anwar ditahan, beliau berkata, ''ada, tetapi kamera tersebut tidak berfungsi.''

Katanya, kamera di lain-lain bilik lokap tidak berfungsi sejak dua tahun lalu kecuali yang dipasang di pintu masuk utama lokap.

Sementara itu, saksi ke 13, konsultan forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika memberi keterangan berkata, beliau telah diminta oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mengkaji aspek-aspek forensik di dalam laporan perubatan mengenai kecederaan Anwar.

Katanya, beliau telah bertemu Mohtar dan telah diberi beberapa dokumen termasuk laporan polis oleh Anwar, kenyataan Anwar kepada polis, laporan perubatan dan tiga set gambar yang menunjukkan kecederaan Anwar.

Beliau berkata, berdasarkan laporan-laporan yang dibaca, kecederaan yang dialami Anwar adalah konsisten dengan dakwaannya bahawa beliau telah dipukul semasa berada dalam tahanan polis.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Detektif Koperal Ali Puspalingam Abdullah, 39, dari cawangan foto, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau bertanggungjawab mengambil gambar-gambar lokap dan bilik lokap tempat Anwar ditahan.

ARKIB : 03/03/1999

'Anwar kata saya bapak anjing'


ABDUL RAHIM Noor meninggalkan pekarangan Mahkamah Tinggi Jenayah selepas menamatkan keterangannya di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor hari ini mengaku menampar di kiri dan kanan muka Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis selepas Anwar mengeluarkan kata-kata ''Ni bapak anjing'' terhadapnya.

Kata Rahim, beliau hilang sabar dan pertimbangan apabila Anwar mengeluarkan kata-kata itu ketika beliau dalam proses membuka sapu tangan yang digunakan untuk menutup mata Anwar.

Menurutnya, tindakan menampar Anwar itu selain disebabkan oleh kata-kata yang menyakitkan hati juga mungkin kesan tekanan selepas beliau dan pegawai-pegawai kanannya berbincang mengenai keadaan di ibu kota yang begitu tegang pada hari tersebut.

''Mungkin kerana perkataan yang menyakitkan hati itu dan tertekan dengan ketegangan di Kuala Lumpur menyebabkan saya hilang sabar dan menampar Anwar di kiri dan kanan mukanya sehingga beliau jatuh di atas pangkin batu di dalam bilik lokap.

''Tindakan saya (memukul Anwar) tidak dibantu, diarah, dinasihatkan oleh sesiapa pun walaupun pegawai polis yang membantu saya atau Perdana Menteri,'' katanya ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis 20 September lalu.

Rahim, 55, merupakan saksi ke-18 memberi keterangan di hadapan panel suruhanjaya yang dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin yang bertindak sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Rahim berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata dan beliau tidak ingat sama ada membuat pukulan lain terhadap Anwar, kecuali merasa ada seseorang secara fizikal telah menolaknya ke belakang dan terus dibawa keluar dari bilik lokap itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada membuat pukulan lain terhadap Anwar.

Rahim dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1994 dan menamatkan perkhidmatan pada 6 Jun tahun lepas. Perkhidmatan beliau bagaimanapun disambung secara kontrak sehingga 8 Januari tahun ini.

Ditanya oleh bekas Peguam Negara yang juga Ketua Penyiasat suruhanjaya, Tan Sri Abu Talib Othman siapa yang menolaknya keluar, beliau berkata: ''Saya ingat dengan jelas Datuk Yaacob ada menyebut ''Tan Sri'' beberapa kali dan menolak saya.''

Datuk Yaacob Mohd. Amin adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan saksi ke-16 memberi keterangan di hadapan suruhanjaya.

Rahim bagaimanapun tidak ingat sama ada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ramli Mohd. Yusof turut berada di dalam bilik lokap itu ketika kejadian tersebut berlaku.

Ketika diminta menceritakan bagaimana beliau mula berjumpa dengan Anwar di bilik lokap, Rahim berkata, selepas dimaklumkan oleh Komander Pasukan Gerak Khas, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin mengenai proses penangkapan Anwar, beliau meneruskan perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan polis yang lain.

Katanya, kira-kira pukul 10.20 malam iaitu selepas dimaklumkan mengenai penangkapan Anwar, beliau membuat keputusan untuk turun ke bawah dan melihat Anwar di bilik lokapnya.

Kata Rahim, beliau ada memberitahu seseorang mengenai keputusannya untuk melihat Anwar tetapi tidak ingat pegawai berkenaan dan beliau juga tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya persiapan dibuat mengenai lawatannya itu.

''Setelah berjalan keluar daripada lif saya berjumpa dengan Yaacob di foyer bangunan tersebut dan beliau terus mengikut saya dari belakang. Saya tidak ingat sama ada saya berkata ''mari'' kepada beliau,'' katanya.

Ditanya oleh Abu Talib sama ada beliau tahu Anwar ketika itu berada dalam keadaan mata ditutup dan tangan digari, beliau berkata, apabila sampai ke lokap perkara pertama yang dijangkakan ialah bertemu dengan Anwar.

Rahim juga menafikan bukti yang dikemukakan oleh saksi-saksi terdahulu yang menyatakan beliau telah menunjukkan isyarat dengan menunjukkan jari ke bibir, mengangkat tangan menutup mata dan menunjukkan tangan bergari kepada Ramli.

Beliau berkata, apabila sampai ke dalam kawasan lokap beliau telah diberitahu bilik lokap di mana Anwar telah ditahan.

''Saya masih ingat, saya masuk ke dalam bilik lokap berkenaan dan nampak Anwar berdiri dengan matanya ditutup, tetapi saya tidak pasti beliau digari semasa itu. Melihat keadaan itu, saya mendekatinya dengan niat untuk membuka kain yang menutup mata beliau,'' katanya.

Ketika itu, katanya, Anwar mengeluarkan kata-kata ''Ni, bapak anjing'' sehingga menyebabkan beliau hilang sabar dan menampar Anwar.

Ditanya oleh Abu Talib sama ada terdapat lain-lain pegawai polis dalam bilik lokap Anwar sebelum beliau masuk, beliau berkata: ''Tidak ada, Anwar seorang di dalam bilik lokap dan beliau ketika itu berdiri dengan mata tertutup.''

Beliau berkata, tindakannya menampar Anwar dilakukan secara serta-merta selepas mendengar perkataan yang disebut oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Rahim turut menafikan beliau telah memberi arahan menerusi pegawai perhubungannya, Cif Inspektor Yap Khiam Wai kepada Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Koh Hong Sun supaya mata Anwar ditutup selepas ditangkap.

''Saya percaya adalah tidak perlu mata Anwar ditutup,'' katanya.

Menurut Rahim, selepas keluar dari bilik lokap Anwar, beliau terus naik ke Tingkat 30 untuk meneruskan mesyuarat.

Semua yang hadir telah dimaklumkan bahawa penangkapan Anwar ialah di bawah Seksyen 377B, Kanun Keseksaan.

''Timbalan KPN ketika itu, Tan Sri Norian Mai kelihatan marah kerana sebelum itu kami telah memutuskan supaya Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Nampaknya keputusan kami lambat sampai kepada Ketua Polis Kuala Lumpur menyebabkan penangkapan dilakukan di bawah Seksyen 377B berdasarkan siasatan terhadap buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri,'' katanya.

Rahim turut ditanya sama ada Ramli dan Yaacob datang ke pejabatnya pada pukul 9.40 pagi 22 September dan memberitahu mengenai permintaan Anwar untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai kanan polis itu ada berjumpa dengannya bagi membincangkan perkara tersebut tetapi mereka tidak menyebut langsung mengenai benjol di dahi Anwar.

''Reaksi saya selepas diberitahu mengenai permintaan itu ialah oleh kerana Anwar kini diletak di bawah Cawangan Khas, mungkin mereka akan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu,'' katanya.

Ketika ditanya oleh peguam Datuk Kam Woon Wah yang mewakili Yaacob dan Ramli, beliau berkata, kedua-dua pegawai kanan polis itu tidak pernah menghubunginya di rumah pada malam 21 September tahun lepas.

Katanya, pada tarikh itu beliau dan ahli keluarganya menghadiri upacara penutup Sukan Komanwel di Bukit Jalil dan tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada sesiapa pun.

Mengenai keputusan menangkap Anwar, katanya, ia telah dibuat sebelum 20 September dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan keputusan tersebut.

''Kita tidak boleh menangkapnya segera kerana suasana negara terutamanya di Lembah Klang yang tidak tenteram dan untuk mengelak reaksi negatif penyokong-penyokong Anwar ketika itu,'' katanya.

Katanya, pada 20 September tahun lepas, selepas menunaikan solat maghrib di pejabatnya, beliau mendapat maklumat jumlah orang semakin banyak di sekitar Masjid Negara menjelang waktu asar pada hari berkenaan.

Katanya, beliau kemudian mengadakan mesyuarat di pejabatnya dan fokus perbincangan ialah tidak membenarkan rusuhan yang berlaku di Indonesia turut berlaku di negara ini selain mengelakkan rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang.

Katanya, orang ramai yang berkumpul di Dataran Merdeka selepas maghrib dianggarkan antara 40,000 hingga 60,000 orang dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila mereka mula bergerak ke Pusat Dagangan Dunia Putra dan berniat untuk membakar kediaman rasmi Perdana Menteri.

''Terus terang saya katakan, kami tidak bersedia. Bagaimanapun, anggota-anggota Cawangan Khas turut bersama-sama dengan orang ramai yang sedang bergerak itu,'' katanya.

Berikutan itu, katanya, satu mesyuarat khas telah diadakan di pejabatnya di Bukit Aman yang turut dihadiri timbalannya ketika itu, Tan Sri Norian Mai, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusof Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Jamil Johari.

Mengenai tindakan beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara awal Januari lalu, beliau berkata, ia berikutan kenyataan akhbar oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah iaitu PDRM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis.

Menurut Rahim, beliau bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami oleh Anwar malah yang berkaitan kelewatan pihak PDRM menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.

ARKIB : 03/03/1999

Saya bertanggungjawab sebagai KPN bukan peribadi - Rahim

KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, beliau tidak menyatakan mahu bertanggungjawab terhadap kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika disoal oleh pasukan penyiasat khas kerana tidak berpeluang mendapatkan nasihat peguam terlebih dahulu.

Beliau juga tidak berbuat demikian kerana menyedari kesannya dari segi perundangan.

Bagaimanapun, jelas Abdul Rahim, beliau bertanggungjawab terhadap kejadian itu atas kedudukannya sebagai Ketua Polis Negara dan bukan secara peribadi.

''Peletakan jawatan saya adalah berpunca daripada kenyataan Peguam Negara,'' katanya ketika disoal balas oleh ketua barisan peguam Anwar, Karpal Singh pada sessi sebelah petang prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan Anwar.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah pada 5 Januari membuat kenyataan akhbar bahawa pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kecederaan yang dialami oleh Anwar ketika berada dalam tahanan sah mereka pada 20 September tahun lalu.

Abdul Rahim kemudian membuat satu kenyataan akhbar mengumumkan peletakan jawatan beliau pada 7 Januari yang berkuat kuasa keesokan harinya.

Ditanya kenapa beliau tidak pada bila-bila masa berasa perlu bertanggungjawab terhadap kejadian itu secara peribadi, Abdul Rahim berkata: ''Saya difahamkan pada masa itu penyiasatan polis sedang dijalankan.''

Abdul Rahim juga bersetuju bahawa perlakuannya terhadap Anwar merupakan satu kesalahan jenayah tetapi beliau menyerahkan kepada penyiasatan polis dan pihak Peguam Negara untuk menentukannya.

Ketika disoal balas oleh Karpal, Abdul Rahim turut mempertahankan keterangannya bahawa beliau menempeleng Anwar sebanyak dua kali kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu membangkitkan kemarahannya melalui kata-kata nista.

Beliau juga mempertahankan keterangan awalnya bahawa kejadian di dalam sel nombor 6 pada malam 20 September itu berlaku dengan sekelip mata.

Beliau juga menafikan telah mengarahkan Anwar digari dan ditutup matanya sebelum beliau masuk ke lokap untuk bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Karpal Singh: ''Jadi pegawai-pegawai kamu berbohong dan kamu bercakap benar?''

Abdul Rahim: ''Saya tidak mahu menjawab soalan itu.''

(Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Ramli Yusuf dalam keterangannya semalam berkata, Abdul Rahim telah membuat isyarat supaya mereka yang berada di dalam lokap itu senyap dan mata Anwar ditutup dan tangannya digari).

Katanya, beliau juga pada bila-bila masa tidak pernah dimaklumkan mengenai benjol pada dahi Anwar.

Sidang suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong itu masuk hari yang keenam hari ini.

Abdul Rahim, saksi ke-17 kemudian tidak bersetuju bahawa beliau adalah seorang yang panas baran tetapi tidak juga bersetuju bahawa beliau adalah seorang yang tenang.

Beliau bagaimanapun bersetuju pernah menuturkan kata-kata ''Shut up! (Diam!)'' kepada seorang wartawan asing ketika dalam satu sidang akhbar.

''Tetapi kerana wartawan asing itu tidak memberi peluang kepada wartawan tempatan untuk bertanya soalan dan cuba menguasai sidang akhbar saya,'' tambahnya.

Sebelum itu, pada bahagian awal soal balasnya dengan Karpal, Abdul Rahim berkata, beliau tidak ada mendengar perkataan lain selain daripada ''Adui''.

Beberapa saksi sebelum ini memberitahu suruhanjaya, mereka ada mendengar kata-kata ''Adui'', ''Ya Allah'' dan ''Jangan pukui saya'' daripada sel yang menempatkan Anwar tidak lama selepas Abdul Rahim dilihat memasukinya.

Kata Abdul Rahim lagi, beliau gagal membuka ikatan pada mata Anwar dan tidak ada bercakap apa-apa pada bila-bila masa ketika berada di dalam sel itu.

''Saya rasa beliau (Anwar) tidak nampak saya dan mungkin tidak tahu saya berada di situ,'' katanya.

Karpal Singh: ''Saya cadangkan kepada kamu versi cerita kamu ini tidak benar malah kamu mengarahkan Datuk Seri Anwar digari dan ditutup mata?''

Abdul Rahim: ''Tidak benar.''

Karpal turut membangkitkan sidang akhbar Abdul Rahim pada 24 September tahun lalu apabila beliau dilaporkan berkata, Anwar selamat dan sihat sejak berada dalam tahanan polis.

''Ia berdasarkan kepada laporan yang saya terima pada pagi 22 September dan keputusan yang saya buat mengenai kesakitan yang dialami oleh Anwar pada tengkoknya,'' ujarnya.

Abdul Rahim bagaimanapun berkata, beliau tidak mengesahkan laporan yang diberi oleh para pegawainya itu.

Bekas Ketua Polis Negara itu kemudian disoal balas oleh peguamnya, Teh Poh Teik.

''Saya tidak ada alasan untuk mencederakan Datuk Seri Anwar kerana kami berkawan baik dan sebagai seorang kawan beliau menunjukkan kemesraan dan mudah bergaul,'' katanya.

Abdul Rahim juga bersetuju dengan cadangan peguamnya bahawa beliau tidak mempunyai motif untuk mencederakan Anwar kerana pada masa itu beliau sedang berada di kemuncak kariernya sebagai Ketua Polis Negara.

Abdul Rahim turut memberitahu beliau berada hampir dengan Anwar ketika mahu membuka tutup matanya dan mendengar Anwar menyebut ''Ni Bapa Anjing'' dalam nada yang perlahan.

Menjawab satu soalan Dr. Yeoh mengenai tujuan beliau turun ke lokap, Abdul Rahim berkata: ''Beliau bekas Timbalan Perdana Menteri, saya kenal dia, dia berada dalam kawasan saya.''

Tambah Abdul Rahim, kunjungannya itu hanya sebagai rasa hormat kerana Anwar mungkin mahu membuat apa-apa permohonan menyentuh kebajikannya atau mahu bertemu dengan ahli keluarganya ketika dalam tahanan.

Suruhanjaya hari ini turut mendengar keterangan Pegawai Pendakwa dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Supritenden Polis Zulkifli Mohamad.

Zulkifli dalam keterangannya berkata, beliau tidak ada mendengar kata-kata ''Tutup mata dan gari'' atau yang seumpamanya sebelum Abdul Rahim dilihat memasuki sel Anwar.

Katanya lagi, beliau juga tidak ada memberi isyarat mengangkat ibu jarinya sebagai tanda arahan itu telah dilaksanakan.

(Semalam, Ramli memberitahu Zulkifli membuat isyarat itu sebagai tanda Anwar telah digari dan ditutup matanya.)

Menurut Zulkifli, beliau hanya mendengar perkataan ''Keluar, keluar!'' ketika sedang merekodkan barang-barang Anwar di dalam sel.

Apabila keluar, katanya, beliau mendapati Ramli memberi isyarat supaya mata Anwar ditutup dan tangannya digari.

''Saya berpatah balik ke sel dan saling bantu-membantu dengan seorang detektif Zaini untuk ikat mata sementara seorang lagi anggota polis menggari tangan Anwar,'' katanya.

Zulkifli turut menyatakan bahawa menutup mata seorang tahanan ketika di dalam sel bukanlah sesuatu amalan yang biasa.

Siasatan bersambung lagi esok.

ARKIB : 03/03/1999

Jurugambar dibenarkan buat liputan

KUALA LUMPUR 2 Mac - Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini memutuskan bahawa para jurugambar yang membuat liputan prosiding siasatan kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis hendaklah dibenarkan menghampiri perkarangan mahkamah tempat persidangan itu untuk menjalankan tugas mereka.

Keputusan itu dibuat setelah ketua barisan peguam Anwar, Karpal Singh meminta arahan daripada panel berhubung perkara itu setelah suruhanjaya bersidang semula pada pukul 2.10 petang.

Sebelum itu, pihak polis telah menghalang kira-kira 50 jurugambar dan jurukamera televisyen daripada menunggu di pekarangan bangunan Mahkamah Jenayah Sesyen dan Tinggi, Jalan Raja, seperti hari-hari sebelumnya sejak suruhanjaya itu memulakan sidangnya pada 22 Februari lalu.

Ini merupakan kali kedua para jurugambar dihalang daripada menjalankan tugas mereka.

Mereka dihalang kali pertama pada Ahad lalu, iaitu pada hari Anwar menyambung keterangannya.

''Semua mereka tidak dibenarkan masuk dan saya memohon agar mereka dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa.

''Saya tidak mahu bertengkar dengan sesiapa,'' kata Karpal kepada panel tiga anggota itu.

Jelasnya, beliau hanya mahu memastikan jurugambar akhbar tidak dihalang daripada menjalankan tugas mereka untuk membuat liputan.

Panel kemudian membuat keputusan membenarkan jurugambar masuk ke kawasan mahkamah pada pukul 3.25 petang setelah Tan Sri Abdul Rahim Noor selesai memberi keterangannya hari ini.

Beberapa orang wartawan yang membuat liputan di dalam mahkamah kemudian bergegas keluar untuk menyampaikan keputusan itu.

bagaimanapun, menurut seorang jurugambar yang tidak mahu dikenali, setelah mendapat tahu keputusan itu, mereka cuba masuk untuk membuat liputan tetapi dimarahi oleh anggota polis yang bertugas.

-------------------------------------------------------------------------------------------





ARKIB : 04/03/1999

'Rahim tunjuk isyarat tutup mata'

KUALA LUMPUR 3 Mac - Dua pegawai polis yang memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini memberitahu, mereka nampak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menunjukkan isyarat dengan mengangkat tangan dan menutup matanya.

Kedua-dua pegawai polis berkenaan ialah Pegawai Kanan Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields Asisten Supritendan (ASP) Abd. Aziz Abd. Majid dan ASP Mohd. Rodwan Mohd. Yusof dari Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mohd. Rodwan memberitahu sidang hari ketujuh suruhanjaya yang menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis pada 20 September lalu bahawa beliau nampak Rahim menunjukkan isyarat dengan mengangkat jarinya ke bibir dan menunjukkan tangan digari.

Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi ke-21 berkata, Rahim menunjukkan isyarat-isyarat tersebut ketika beliau berhenti sebentar selepas melepasi pintu jeriji untuk memasuki lorong menuju ke bilik lokap.

''Sebelum itu saya nampak Rahim menunjukkan isyarat menyuruh keluar diikuti dengan teriakan 'keluar' oleh seseorang,'' katanya yang dipanggil bagi membantu siasatan suruhanjaya itu.

Rahim dalam keterangannya semalam menafikan beliau telah menunjukkan isyarat-isyarat tersebut.

Suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Menurut Rodwan, pada malam 20 September beliau yang berada di hadapan kaunter lokap nampak Anwar dibawa masuk ke dalam kawasan lokap oleh Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Polis Koh Hong Sun dalam keadaan mata ditutup.

Katanya, selepas itu ASP Zulkifli Mohamad dan beberapa anggota polis masuk ke dalam bilik lokap Anwar untuk menjalankan urusan dokumentasi barang-barang milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, sebelum Anwar dibawa masuk ke bilik lokap, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin telah datang ke kawasan lokap beberapa minit dan keluar semula.

Timbalannya, Datuk Ramli Mohd. Yusof kemudian masuk ke dalam kawasan lokap dan berdiri di belakang kaunter menghadap lorong masuk ke bilik lokap manakala beliau menghadap pintu utama lokap.

Sejurus kemudian, katanya, beliau nampak Rahim dan Yaacob masuk ke kawasan lokap dan melepasi pintu jeriji.

Rahim berhenti sekejap dan menunjukkan jari ke bibir sebagai isyarat supaya jangan bising kerana ketika itu pegawai dan anggota polis yang berada di situ bangun untuk memberi tabik hormat.

Beliau berkata, beberapa pegawai dan anggota polis yang berada di situ kemudian keluar setelah Rahim menunjukkan isyarat supaya mereka berbuat demikian.

Rahim dengan diikuti oleh Ramli dan Yaacob berjalan menuju ke lorong kanan Rodwan.

''Rahim berjalan agak cepat dan beliau berada di hadapan Yaacob dan Ramli. Saya tidak nampak sama ada Rahim masuk ke dalam bilik lokap tempat Anwar ditahan,'' katanya.

Rodwan berkata, beliau ketika itu memandang ke arah bilik lokap di sebelah kiri kerana bunyi bising apabila penghuni bilik lokap di situ termasuk bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim cuba melihat Rahim dari dalam bilik lokapnya.

Katanya, beliau telah memberi isyarat kepada Ruslan dan beberapa pendatang tanpa izin yang ditahan di situ supaya masuk ke dalam bilik lokap.

''Apabila saya menoleh semula ke lorong kanan saya, saya dapati Yaacob sedang menarik bahagian pinggang Rahim dan Ramli telah menolaknya keluar dari bilik lokap tempat Anwar ditahan,'' katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga pegawai kanan polis itu kemudian meninggalkan kawasan lokap tersebut dan tidak lama selepas itu Ramli masuk semula memintanya mencari ubat untuk merawat Anwar.

Rodwan berkata, sebelum mencari ubat beliau masuk ke dalam bilik lokap Anwar dan mendapati beliau sedang duduk di pangkin simen dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup.

''Saya nampak benjol di dahi Anwar ketika itu,'' katanya.

Beliau kemudian pergi ke Bahagian Siasatan Jenayah Berat yang berdekatan dengan lokap dan membawa minyak gamat masuk ke dalam bilik lokap Anwar. Ketika itu, katanya, seorang anggota sedang menuam dahi Anwar dan beliau kemudian menyapu minyak itu di dahi Anwar.

Ketika ditanya oleh peguam Teh Poh Teik yang mewakili Rahim, beliau berkata, ''Saya tidak pernah membincangkan perihal memberi isyarat itu dengan Ramli.''

Sementara itu, Rodwan turut diminta oleh Shankar supaya menunjukkan bagaimana mata Anwar ditutup. Shankar kemudian mengeluarkan sapu tangan dan menutup matanya sambil meminta Rodwan menjelaskan cara sebenar mata Anwar ditutup.

Celah Anuar, ''Ada dua cara, satu ikat macam Zoro, satu lagi sapu tangan itu dilipat-lipat dan diikat di mata Anwar.''

Rodwan kemudian mengeluarkan sapu tangannya dan menunjukkan cara mata Anwar diikat. Sapu tangan sebenar yang digunakan untuk mengikat mata Anwar turut diserahkan kepada panel suruhanjaya sebagai bahan bukti.

Menurut Rodwan, saputangan tersebut belum dibasuh atau digosok dan mempunyai satu kesan tompokan darah.

Saksi ke-20, ASP Abd. Aziz Abd. Majid berkata, beliau yang berdiri di pintu utama kawasan lokap nampak Rahim memberi isyarat menutup mata kepada seseorang yang berdiri di kaunter lokap.

Katanya, selepas memberi isyarat itu Rahim menunggu sebentar sehingga nampak seseorang di kaunter lokap membalas balik isyarat tersebut. Beliau nampak seseorang dari kaunter lokap menunjuk ibu jarinya kepada Rahim.

''Saya tidak ingat siapa yang menunjuk ibu jari itu,'' katanya.

Abd. Aziz berkata, tidak lama selepas Rahim masuk ke lorong menuju ke bilik lokap beliau terdengar suara berkata ''Adoi'' dan ''jangan pukui saya'' dari arah bilik lokap Anwar ditahan. Katanya, suara tersebut seolah-olah sedang mengerang kesakitan.

Selepas itu, katanya, beliau nampak Rahim keluar meninggalkan kawasan tersebut dengan diikuti oleh Yaacob dan Ramli.

Ramli kemudian datang menemuinya semula dan berkata, ''Habislah kita, Tan Sri IGP dah pukul Anwar, nasib baik saya dapat halang Rahim dari terus pukul Anwar jika tidak, lagi teruk Anwar kena pukul.''

Katanya, selepas itu Ramli memintanya dan Koh pergi ke bilik lokap Anwar dan apabila mereka sampai di situ, beliau mendapati seorang anggota polis sedang menyapu benjol di dahi Anwar.

Beliau dan Koh kemudian naik ke tingkat 11 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan di situ beberapa dokumen telah diserahkan kepada Koh untuk ditunjukkan kepada Anwar.

''Pada pukul 1.45 pagi 21 September lalu saya bersama Koh pergi berjumpa Anwar semula di bilik lokapnya,'' katanya.

Ditanya oleh Teh mengenai keadaan di kawasan lokap pada malam kejadian itu, katanya, cahaya lampu di situ agak terang dan beliau nampak dengan jelas isyarat tutup mata yang ditunjukkan oleh Rahim.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju apabila Teh mencadangkan isyarat tersebut sama dengan gaya orang sedang menggosok mata.

Abd. Aziz juga tidak bersetuju apabila Teh mencadangkan kepada beliau bahawa Rahim tidak pernah menunjukkan isyarat-isyarat tersebut.

Katanya, beliau juga tidak mendengar sebarang perkataan sebelum mendengar bunyi ''adui'' dan ''jangan pukui saya''.

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI dan NORAINI ABDUL RAZAK

----------------------------------------------------------------------------------







ARKIB : 04/03/1999

Siasatan ditutup, penggulungan hujah hari ini


ABD. AZIZ Abd. Majid (kiri) dan Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berbincang di luar bilik mahkamah selepas memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar oleh Aswad Yahaya.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dia berada dalam tahanan sah polis pada 20 September tahun lalu, menutup penyiasatannya hari ini selepas bersidang selama tujuh hari.

Esok, panel tiga anggota suruhanjaya itu akan bersidang untuk mendengar penggulungan hujah oleh ketua penyiasat Tan Sri Abu Talib Othman dan kesemua peguam yang terlibat.

Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin, dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Anwar diwakili oleh empat peguam yang diketuai oleh Karpal Singh manakala peguam Teh Poh Teik mewakili bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Yaacob Mohd. Amin dan timbalannya Datuk Ramli Yusuf diwakili oleh peguam Datuk Kam Woon Wah.

Presiden Majlis Peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das mewakili badan peguam itu sebagai pemerhati manakala Timbalan Kanan Pendakwa Raya Mohd. Yusof Zainal Abiden mewakili Jabatan Peguam Negara.

Sebelum itu, panel menolak permohonan Karpal untuk memanggil tiga saksi lain sebagai tambahan kepada 21 saksi yang dipanggil oleh Abu Talib.

Perkara itu timbul selepas Abu Talib memaklumkan kepada panel bahawa beliau telah mengemukakan bukti yang mencukupi terutama pengakuan Abdul Rahim yang mungkin membolehkan panel itu menyelesaikan tugasnya.

Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab dan bersubahat mencederakan Anwar dan seterusnya mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pegawai atau pegawai-pegawai yang terlibat.

Menurut Karpal, beliau bercadang memanggil Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim yang mengetuai pasukan penyiasat khas kecederaan Anwar, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail dan Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

Katanya, Mat Zain perlu dipanggil kerana beliau telah mengemukakan laporan kepada Mohtar bersabit penyiasatannya sementara Abdul Gani pula harus dipanggil kerana keterangan dalam siasatan itu membuktikan beliau berada di Bukit Aman pada malam Anwar ditahan.

Tambah Karpal, keterangan Mohtar adalah perlu bagi mengetahui tindakan yang diambilnya selepas menerima laporan siasatan pasukan khas itu.

Abu Talib, yang meminta panel menolak permohonan tersebut kemudian berhujah, siasatan itu tidak harus terkeluar daripada bidang tugas asalnya iaitu untuk mengenal pasti sesiapa yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan Anwar.

Katanya, Karpal bertindak 'nakal' apabila mahu memanggil tiga saksi itu. Pada pendapat beliau, kehadiran mereka tidak dapat dalam apa juga keadaan membantu suruhanjaya itu menyempurnakan tugasannya.

Seorang anggota panel, Shankar kemudian berkata: ''Kita tidak perlu memanggil saksi-saksi itu kerana telah mempunyai bukti yang cukup yang membolehkan kami membuat keputusan yang sewajarnya.''

Desakan menubuhkan suruhanjaya itu timbul berikutan kenyataan akhbar Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah pada 5 Januari lalu bahawa pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kecederaan yang dialami oleh Anwar pada malam 20 September itu.

Pada tarikh itu, Anwar ditahan di rumahnya pada kira-kira pukul 10 malam di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan sebelum ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tiga jam selepas ditangkap.

Ketika dihadapkan ke mahkamah 10 hari kemudian, bekas Timbalan Perdana Menteri itu muncul dengan kesan lebam pada mata kirinya dan mendakwa dipukul oleh polis semasa dalam tahanan.

Kenyataan Mohtar itu dikeluarkan berdasarkan hasil siasatan pasukan penyiasat khas yang diketuai oleh Ketua Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Polis Mat Zain Ibrahim.

Dua hari selepas kenyataan Mohtar itu, Abdul Rahim meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara bagi memikul tanggungjawab pasukan keselamatan yang diketuainya.

Selain telah mendengar keterangan daripada 21 saksi, suruhanjaya itu juga telah menerima 17 barang bukti.

Antara eksibit yang dikemukakan dan diterima ialah tiga set gambar kecederaan Anwar, laporan perubatan, diari lokap dan diari balai, dan sapu tangan yang digunakan untuk menutup mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Antara saksi penting yang telah memberi keterangan ialah Anwar, Abdul Rahim, Yaacob, Ramli dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Polis Koh Hung Sun.

Selain itu, suruhanjaya turut mendengar keterangan perubatan daripada pakar-pakar yang telah merawat kecederaan Anwar, antaranya Dr. P. Vasantha, Dr. Ab. Halim Mansar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Mohamed, Dr. Muhammad Borhan Tan dan Dr. Abdul Rahman Yusof.

Antara keterangan penting yang telah didengar ialah:

* Beberapa saksi mendengar jeritan 'Adoi', 'Ya Allah' dan 'Jangan pukui saya' daripada sel yang menempatkan Anwar tidak lama selepas melihat Abdul Rahim memasukinya.

* Anwar memberitahu suruhanjaya beberapa anggota polis berpangkat rendah memaklumkan bahawa dia telah dipukul oleh Abdul Rahim.

* Pakar forensik memberi keterangan bahawa Anwar tidak mungkin mencederakan dirinya sendiri kerana kecederaan itu berlaku pada bahagian tubuh yang sensitif dan boleh membawa maut.

* Terdapat tujuh kesan kecederaan yang ketara pada tubuh Anwar antaranya pada leher, pelipis kanan, lengan kanan, dahi kiri dan mata kiri.

* Abdul Rahim mengaku menempeleng Anwar sebanyak dua kali kerana Anwar membangkitkan kemarahannya melalui kata-kata nista ''Ni bapa anjing''. Beliau tidak menolak kemungkinan ada menumbuk Anwar kerana tidak ingat apa yang terjadi dan ''semuanya berlaku dalam sekelip mata''.

* Sebelum memasuki sel yang menempatkan Anwar, Abdul Rahim didakwa ada membuat isyarat supaya mata Anwar ditutup dan tangannya digari. Bekas Ketua Polis Negara itu menafikan memberi arahan tersebut.

* Abdul Rahim terpaksa ditarik keluar dari lokap oleh dua pegawai kanan polis yang meleraikannya daripada terus memukul Anwar.

* Anwar hanya menerima rawatan empat hari selepas dicederakan.

* Pihak polis hanya menerima laporan polis Anwar mengenai kecederaannya itu pada 27 September 1998, seminggu selepas kejadian berlaku.

* Setelah dimaklumkan permohonan Anwar untuk mendapatkan rawatan, Abdul Rahim memberitahu ia akan diserahkan kepada Cawangan Khas kerana Anwar telah ditahan di bawah ISA.

Suruhanjaya siasatan itu dijangka membuat keputusan tidak terhad kepada kecederaan fizikal yang dialami Anwar tetapi merangkumi kecederaan pada mentalnya mengikut tafsiran Seksyen 44 Kanun Keseksaan.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/03/1999

Abu Talib: Tiada unsur provokasi

KUALA LUMPUR 4 Mac - Serangan-serangan yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis adalah terancang, kata Ketua Penyiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib yang menggulung hujahnya bagi pihak penyiasat turut menolak kewujudan unsur provokasi seperti yang didakwa oleh Rahim dalam keterangannya kelmarin.

Kata bekas Peguam Negara itu: ''Provokasi mesti berlaku secara tiba-tiba.''

Dalam hujah penutupnya itu, Abu Talib menambah, adalah tidak munasabah bagi Anwar mengeluarkan kata-kata ''Ni bapak anjing'' kepada Rahim yang ketika itu dalam proses membuka ikatan sapu tangan yang menutup matanya.

''Adakah munasabah bagi seseorang yang berniat baik untuk membuka ikatan yang menutup mata seseorang lain dibalas dengan kata-kata seumpama itu,'' katanya di hadapan panel suruhanjaya.

Mengenai bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah mencederakan Anwar semasa dalam tahanan polis, Abu Talib menyerahkan perkara tersebut kepada panel sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap hukuman yang dicadangkan oleh suruhanjaya perlu bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh Anwar berdasarkan laporan-laporan perubatan yang telah diserahkan kepada panel.

Suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin selaku Pengerusi; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik, Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Pada peringkat itu, Shankar mencelah dan berkata, jika Rahim benar-benar berniat untuk berjumpa Anwar sebagai sahabat lama, beliau pasti berkata sesuatu kepada Anwar semasa masuk ke bilik lokap tersebut.

''Tetapi bukti menunjukkan Rahim tidak berkata apa-apa, malah menunjukkan isyarat supaya semua yang berada di situ diam,'' katanya.

Menyambung hujahnya, Abu Talib berkata, Anwar tidak menunjukkan sebarang bantahan semasa ditangkap kecuali ketika dimaklumkan oleh Komander Pasukan Gerak Khas, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin bahawa beliau ingin menangkapnya.

''Kita mempunyai bukti oleh pegawai-pegawai polis yang bertindak menangkap Anwar dan mengiringi beliau ke Bukit Aman. Jelas, Anwar tidak menunjukkan sebarang bantahan ketika matanya ditutup dan digari.

''Oleh itu saya meminta ahli-ahli panel supaya menolak keterangan yang dikemukakan oleh Rahim bahawa Anwar telah memprovokasinya menyebabkan beliau hilang sabar dan bertindak menyerangnya,'' katanya.

Kata beliau lagi, Rahim telah turun dari Tingkat 30 Ibu Pejabat Polis seorang diri untuk ke kawasan lokap dan ketika bertemu dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Mohd. Amin, beliau tidak berkata apa-apa.

Beliau berkata, sebaik saja melepasi pintu jeriji dan menuju ke bilik lokap Anwar, Rahim telah menunjukkan isyarat-isyarat tangan yang difahami oleh pegawai-pegawai polis yang berada di situ supaya menutup mata dan menggari Anwar.

Kata beliau, selepas melakukan isyarat-isyarat tersebut, barulah Rahim masuk ke dalam bilik lokap Anwar dan dengan sekelip mata Yaacob dan Timbalannya, Datuk Ramli Mohd. Yusof meluru ke dalam bilik lokap itu kerana mendengar bunyi, ''adui'', ''jangan pukul saya'' dan ''Allahuakbar''.

Dalam hujahnya itu, Abu Talib berkata, dakwaan wujudnya unsur provokasi juga tidak boleh diterima kerana Anwar yang ketika itu berada dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup tidak mampu berbuat apa-apa walaupun beliau tahu ada orang masuk ke dalam bilik lokapnya.

Selain itu, Abu Talib turut menolak dakwaan Anwar telah mencederakan dirinya sendiri berdasarkan laporan perubatan oleh lima pegawai perubatan yang telah memeriksa Anwar selepas empat hari beliau dicederakan.

Katanya, semua kecederaan yang dialami oleh Anwar telah disahkan oleh pegawai perubatan sebagai serius dan bukannya kecederaan kecil.

Malah menurut mereka, kecederaan itu telah disebabkan oleh hentakan kuat objek tumpul.

''Laporan perubatan telah menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Anwar disebabkan oleh tamparan, tumbukan dan pukulan oleh Rahim. Keterangan Dr. Ab. Halim Mansar menunjukkan pukulan tersebut boleh membawa maut,'' katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Rahim harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas kecederaan Anwar semasa dalam tahanan polis tanpa melibatkan lain-lain pegawai polis yang bertugas mengawal Anwar sepanjang beliau ditahan di lokap Bukit Aman.

Katanya, pegawai-pegawai tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanya menjalankan arahan Ketua Polis Negara walaupun kecederaan itu menjadi lebih parah apabila Anwar dipindahkan dari bilik lokap ke pusat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Oleh kerana suruhanjaya telah membuat keputusan supaya perkataan ''kecederaan'' meliputi kecederaan mental dan reputasi, Abu Talib berkata, Rahim juga perlu dipertanggungjawabkan atas kelewatan merawat kecederaan Anwar sehingga empat hari selepas dicederakan.

Menurut beliau, sebagai Ketua Polis Negara, Rahim sepatutnya segera membenarkan rawatan perubatan diberi kepada Anwar apabila dimaklumkan oleh Yaacob dan Ramli mengenai permintaan Anwar supaya beliau dirawat.

Beliau berkata, tindakan Rahim mahu merujuk perkara itu kepada Cawangan Khas terlebih dahulu hanya kerana Anwar telah ditahan di bawah ISA tidak boleh diterima kerana beliau sebagai Ketua Polis Negara berkuasa untuk memberi arahan.

Mengenai arahan penangkapan Anwar di bawah ISA, Abu Talib berkata, bukti menunjukkan Yaacob dan Asisten Komisioner, Koh Hung Sun diarah menangkap Anwar di bawah Seksyen 377B, Kanun Keseksaan.

Kata beliau, tiada siapa yang dapat memberi keterangan sama ada keputusan menangkap Anwar di bawah ISA dibuat selepas atau sebelum Rahim menyerang Anwar di dalam bilik lokapnya.

Katanya lagi, selepas Meor menahan Anwar di rumahnya beliau telah kembali ke Bukit Aman dan memberi taklimat kepada pegawai-pegawai kanan polis yang berada di Tingkat 30 termasuk Rahim mengenai penangkapan Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

''Koh turut mengesahkan yang Anwar telah ditahan di bawah Seksyen 377B. Rahim dalam keterangannya pula mendakwa beliau dan tiga pegawai kanan polis lain memutuskan untuk menangkap Anwar di bawah ISA pada pukul 8 malam,'' katanya.

Abu Talib kemudian meminta anggota panel suruhanjaya menolak keterangan-keterangan Rahim dan menerima keterangan semua pegawai polis yang dipanggil menjadi saksi terutamanya Yaacob dan Ramli.

Ditanya oleh Shankar sama ada panel boleh merujuk aspek undang-undang ketika mencadangkan bentuk hukuman, katanya:

''Panel tidak dihalang untuk merujuk kepada undang-undang yang sedia ada tetapi ia harus bergantung pada sejauhmana kecederaan yang dialami oleh Anwar.''

Shankar turut merujuk Kaedah-kaedah Lokap yang digubal bagi memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat dan memastikan tahanan diberi rawatan perubatan secara segera apabila mereka mendapat kecederaan.

Menurut Abu Talib, jika persoalan itu berkaitan dengan kesalahan jenayah, panel boleh merujuk kepada undang-undang berkaitan.

Tetapi jika sebaliknya, kata Abu Talib tindakan pentadbiran boleh dikenakan terhadap Rahim.

''Tetapi Rahim tidak lagi dalam perkhidmatan. Oleh itu, tindakan disiplin tidak boleh dikenakan terhadap beliau,'' kata beliau lagi.

ARKIB : 05/03/1999

Suruhanjaya perlu tentukan jenis kecederaan Anwar - Peguam

KUALA LUMPUR 4 Mac - Peguam yang mewakili Tan Sri Abdul Rahim Noor, Teh Poh Teik berkata, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim cedera parah, ia mestilah berterusan sehingga 9 Oktober lalu iaitu 20 hari selepas beliau dicederakan pada 20 September tahun lalu.

Katanya, Suruhanjaya Siasatan Diraja hanya perlu menentukan sama ada kecederaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu parah atau satu kecederaan biasa.

Jelas Teh, di bawah undang-undang, terdapat lapan jenis kecederaan yang dikategorikan sebagai parah termasuk kecederaan yang menyebabkan kesakitan tubuh yang amat sangat dan tidak dapat menjalankan tugas selama 20 hari.

Bagaimanapun seorang anggota panel Datuk Mahadev Shankar mencelah dan bertanya: ''Apa yang akan terjadi sekiranya anak guam kamu tidak dileraikan? Bagaimana kami boleh memahami senario sebenar sekiranya dia tidak dileraikan?''

''Tan Sri Rahim mungkin akan dapat mengawal dirinya semula dan menghentikan semua itu,'' balas peguam bekas Ketua Polis Negara itu kepada panel tiga anggota yang bersidang buat kali terakhir hari ini.

Jawapan Teh itu bagaimanapun dipertikaikan oleh Tan Sri Anuar Zainal Abidin kerana menurut pengerusi panel itu, ia tidak disokong oleh mana-mana keterangan yang telah dikemukakan.

Teh yang bersetuju dengan pandangan Anuar kemudian berhujah, keterangan secara keseluruhan tidak menunjukkan Rahim berniat untuk meneruskan tindakannya menyerang Anwar.

Hujah Teh, gesaan peguam Anwar, Karpal Singh supaya Rahim didakwa atas tuduhan cuba membunuh Anwar adalah tidak berasas kerana panel hanya perlu menentukan jenis kecederaan yang dialami Anwar sama ada ia sesuatu yang parah atau biasa.

Teh turut berhujah kebanyakan keterangan yang dikemukakan oleh para pegawai polis bercanggah antara satu sama lain.

Teh merujuk kepada keterangan Asisten Supritendan Polis (ASP) Zulkifli Mohamad dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ramli Yusuf terutamanya mengenai isyarat supaya menutup mata dan menggari daripada Rahim serta isyarat ibu jari yang didakwa datang daripada Zulkifli.

''Oleh itu, aspek kelebihan kepada pihak tertuduh atas keraguan (benefit of doubt) perlu diberikan kepada Rahim,'' katanya.

Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Anuar turut dianggotai oleh Mahadev dan pakar bedah ortopedik Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Panel tiga anggota itu akan menyiapkan laporan mereka untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menyentuh kecederaan pada mental Anwar kerana tidak menerima rawatan sehingga empat hari kemudian, Teh berhujah, tiada bukti dikemukakan bahawa Rahim telah diberi taklimat mengenai kecederaan yang dialami oleh Anwar.

''Mengapa dia tidak bertanya?'' tanya Shankar.

Balas Teh: ''Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu perkara lain yang lebih mustahak seperti keselamatan negara misalnya.''

Peguam Rahim itu turut menegaskan bahawa penahanan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak bertujuan untuk melindungi kecederaannya kerana ia dibuat pada pukul 8 malam iaitu sebelum Anwar dicederakan.

Katanya, masalah yang timbul adalah salah faham antara pegawai yang membuat keputusan dan pegawai yang menjalankan penangkapan.

Sehubungan itu, Teh mencadangkan agar Rahim didakwa di bawah Seksyen 323 Kanan Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera, Seksyen 334 (menyebabkan kecederaan kerana bangkitan marah) atau Seksyen 358 (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah atas bangkitan marah).

Semua pertuduhan itu jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum antara sebulan hingga setahun dan denda sehingga RM400 atau RM2000.

Sebelum itu dalam penggulungan hujahnya, Karpal mencadangkan supaya bekas Ketua Polis Negara itu didakwa atas tuduhan cuba membunuh Anwar Ibrahim ketika beliau mencederakannya.

Karpal yang mengetuai barisan peguam Anwar berkata, keterangan-keterangan yang dikemukakan sepanjang penyiasatan itu jelas menunjukkan wujudnya perancangan yang rapi untuk mencederakan Anwar.

Tambah beliau, serangan yang dilakukan ke atas Anwar adalah pada bahagian tubuh yang sensitif dan boleh membawa maut.

Bagi menyokong hujahnya, Karpal merujuk kepada keterangan pakar bedah ortopedik, Dr. Ab. Halim Mansar bahawa Anwar bernasib baik kerana serangan terhadapnya terutama pukulan pada leher tidak membawa maut.

''Keterangan-keterangan yang dikemukakan menyokong panel untuk membuat perakuan yang drastik mengenai bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada Rahim,'' katanya

Sekiranya didakwa dan sabit kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Rahim boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Tambah Karpal, keterangan para saksi jelas menunjukkan Rahim pergi ke kawasan lokap dengan niat untuk menyerang Anwar.

ARKIB : 05/03/1999

Rahim menyesal, mohon maaf kepada Anwar

KUALA LUMPUR 4 Mac - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menyesal atas tindakannya mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memohon maaf kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan keluarganya.

Permohonan maaf itu disampaikan oleh peguam beliau, Teh Poh Teik selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja mendengar hujah semua pihak yang terlibat dalam siasatan berhubung perkara berkenaan.

''Beliau menyesal atas tindakannya dan ingin memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar dan keluarga. Itu arahan (Abdul Rahim) kepada saya,'' kata Teh sejurus sebelum penyiasatan suruhanjaya ditamatkan hari ini.

Ketua barisan peguam Anwar, Karpal Singh kemudian bangun dan menambah: ''Ini satu permohonan maaf yang sudah terlewat.''

Abdul Rahim yang selesai memberi keterangannya kelmarin, tidak hadir pada sidang suruhanjaya hari ini kerana kehadirannya tidak lagi diperlukan.

Dalam keterangannya sebelum ini, beliau mengaku telah menampar Anwar sebanyak dua kali dan tidak menolak kemungkinan turut melepaskan beberapa tumbukan terhadap Anwar.

Abdul Rahim mendakwa Anwar melemparkan kata-kata kesat yang membangkitkan kemarahannya sehingga beliau hilang kawalan diri dan bertindak menempeleng bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/03/1999

Keterangan tak banyak berbeza


ABU Talib Othman (kanan) meluangkan masa menjawab soalan-soalan pemberita di pekarangan mahkamah selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja mengakhiri siasatan semalam.


KUALA LUMPUR 4 Mac - Ketua Penyiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tan Sri Abu Talib berkata, keterangan yang dikemukakan kepada badan bebas itu tidak jauh berbeza dengan maklumat yang dikumpulkan oleh pasukan penyiasat khas polis sebelum ini.

''Apa yang saya mengemukakan adalah keterangan berdasarkan kepada penyiasatan saya sendiri. Pada keseluruhannya, saya tidak fikir ada banyak perbezaan,'' katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah selepas suruhanjaya menangguhkan penyiasatannya hari ini.

Beliau menyatakan demikian setelah ditanya sama ada wujud sebarang perbezaan antara laporan penyiasatan khas polis yang diketuai oleh Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim dan keterangan yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu.

Abu Talib bagaimanapun enggan mengulas sama ada laporan Mat Zain itu menunjukkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor adalah orang yang mencederakan Anwar. Mat Zain yang kini merupakan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur mengetuai pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan selepas Anwar mendakwa beliau dicederakan semasa ditahan di Bukit Aman pada 20 September lalu.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang menerima laporan penyiasatan itu kemudian meminta siasatan lanjut dijalankan kerana ada beberapa pegawai tinggi polis belum diambil keterangannya.

Dalam penyiasatannya, Mat Zain telah mengambil keterangan daripada Anwar sendiri, 63 anggota polis yang terlibat dalam penahanan dan penangkapan Anwar pada malam 20 September itu dan tiga doktor yang telah merawat kecederaannya.

Tambah Abu Talib, tindakan kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu wajar mendapat pujian kerana ia membuktikan kerajaan tidak bertolak ansur terhadap keganasan ke atas tahanan serta tidak cuba melindungi sebarang salah laku.

Beliau turut enggan mengulas sama ada keterangan anggota polis lain dalam laporan Mat Zain ada mengaitkan nama Rahim dalam isu tersebut, sungguhpun bekas Ketua Polis Negara itu belum disiasat pada masa itu.

''Saya tidak dapat komen apa yang jadi sebelum ini,'' katanya.

Bagaimanapun, ketika sekali lagi diminta mengesahkan persamaan laporan itu dengan keterangan yang diberikan kepada suruhanjaya, Abu Talib berkata:

'' Saya hanya bercakap mengenai tanggungjawab saya.''

ARKIB : 09/03/1999

Suruhanjaya mula meneliti keterangan

KUALA LUMPUR 8 Mac - Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini memulakan kerja-kerja meneliti semua keterangan yang dikumpul hasil penyiasatan terhadap kecederaan yang dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan sah polis, September tahun lalu.

Setiausahanya, Datuk Ismail Hamzah berkata, panel suruhanjaya sedang dalam proses menyiapkan laporan penyiasatan menurut terma rujukan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

''Anggota suruhanjaya sedang menyediakan laporan yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila laporan berkenaan akan disiapkan.

Tambahnya, tidak ada jangka masa tertentu bagi panel itu untuk menyiapkan laporan berkenaan.

''Saya akan keluarkan satu kenyataan akhbar bila sudah siap nanti,'' katanya.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin, dan dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, dan pakar bedah ortopedik Datuk Yeoh Poh Hong.

Khamis lalu, panel tiga anggota itu menamatkan penyiasatan terbuka mereka yang dibantu oleh ketua penyiasat, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Mereka telah mendengar keterangan daripada 21 orang saksi terdiri daripada pengadu iaitu Anwar, beberapa pegawai kanan polis dan lima doktor pakar.

Sebelum menangguhkan sidang suruhanjaya itu minggu lalu, Anuar berkata, panel akan berusaha untuk menyiapkan laporan tersebut secepat mungkin.

Panel berkenaan ditubuhkan bagi mengenal pasti orang yang terlibat mencederakan Anwar dan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong tindakan yang sewajarnya dikenakan terhadapnya.

ARKIB : 15/04/1999

Suruhanjaya Diraja mahu Rahim didakwa

KUALA LUMPUR 14 April - Suruhanjaya Siasatan Diraja mahukan supaya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor didakwa kerana mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis pada September tahun lalu.

Ia memperakukan supaya Abdul Rahim, yang mengaku terhadap perbuatan itu apabila Suruhanjaya menjalankan siasatannya bulan lepas, didakwa kerana cuba menyebabkan kecederaan teruk ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut laporan suruhanjaya yang diperoleh oleh Bernama hari ini, suruhanjaya memperakukan supaya Abdul Rahim, yang menjadi Ketua Polis Negara semasa insiden itu berlaku, didakwa mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 325.

Seksyen 325 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun setengah dan didenda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, oleh kerana seksyen itu dibacakan bersama Seksyen 511, penaltinya ialah separuh daripada penalti yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan, kata seorang peguam ketika dihubungi Bernama.

Anggota-anggota Suruhanjaya ialah bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan pakar bedah ortopedik Datuk Dr. Yeoh Poh Hong.

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman membantu siasatan yang diadakan antara 22 Februari dan 4 Mac.

Insiden Anwar dicederakan berlaku pada malam 20 September tahun lalu selepas beliau ditangkap kerana mengetuai demonstrasi antikerajaan di sini awal hari itu.

Anwar dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September berikutan dakwaan salah laku seksual terhadapnya dan ekoran pemecatan Anwar, para penyokongnya mengadakan demonstrasi di jalan-jalan.

Dua puluh satu saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan oleh suruhanjaya.

Dalam laporan setebal 120 muka, suruhanjaya itu menyatakan bahawa oleh kerana tidak ada pihak yang bersubahat dalam insiden itu, suruhanjaya berpendapat bahawa adalah tidak perlu mengenal pasti kesalahan-kesalahan berhubung tatatertib yang mungkin dilakukan oleh pihak lain.

''Tumpuan Suruhanjaya ialah pada Rahim seorang,'' menurut laporan itu.

Laporan itu yang disertakan dengan nota prosiding setebal 404 muka juga menjelaskan bagaimana suruhanjaya merumuskan laporannya.

Suruhanjaya menyatakan bahawa ia mendapati Anwar sebagai saksi yang bercakap benar dan berpuas hati bahawa Anwar telah memberi keterangan yang benar termasuk bagaimana kedua-dua matanya ditutup, digari dan dicederakan, keadaan kesihatannya dan bagaimana belau tidak diberi rawatan perubatan yang sempurna.

''Suruhanjaya berpuas hati bahawa keterangan Anwar tidak menimbulkan keraguan dan tidak bercanggah dengan penjelasannya mengenai perkara itu seperti terkandung dalam laporan perubatan dan keterangan para pegawai polis yang lain,'' menurut laporan itu.

Abdul Rahim memberitahu semasa siasatan oleh suruhanjaya bahawa insiden itu berlaku dalam lokap polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini selepas Anwar membangkitkan kemarahannya dengan kata-kata nista: ''Ini bapa anjing''.

Laporan itu menyatakan suruhanjaya berpendapat bahawa keterangan Abdul Rahim bahawa beliau tidak mengarahkan supaya mata Anwar ditutup dan digari sebelum insiden itu dan bahawa dia dua kali menampar Anwar berpunca daripada kata-kata nista oleh Anwar yang membangkitkan kemarahannya ''sememangnya sukar dipercayai''.

''Suruhanjaya mendapati sebagai fakta bahawa apabila tiba di pintu gril utama lokap, Abdul Rahim memberi isyarat tangan seperti diberitahu oleh saksi-saksi polis. Suruhanjaya menolak penafian Abdul Rahim bahawa beliau tidak memberi isyarat itu.

''Keengganan Abdul Rahim untuk mengaku bahawa beliau memberi isyarat itu membayangkan tujuan jahat. Jika sebab-sebab bagi isyarat itu adalah sah, Abdul Rahim tentu telah mengakunya dan menjelaskan mengapa beliau memberi isyarat itu,'' menurut laporan.

Laporan itu juga disertakan dengan gambar-gambar berwarna yang diambil oleh jurugambar polis menunjukkan secara terperinci bentuk kecederaan yang dialami berikutan insiden itu.

Gambar-gambar itu sama seperti yang disiarkan oleh CNN dan dikutip oleh beberapa akhbar asing minggu lepas.

Suruhanjaya mendapati bahawa tidak mungkin Abdul Rahim tidak menegur Anwar atau hairan bahawa mata Anwar ditutup dan digari selain hanya berdehem sebelum memasuki lokap.

Adalah jelas bahawa sejak polis masuk ke dalam rumahnya (apabila beliau ditangkap) sehinggalah beliau berdiri sebelum insiden itu berlaku, Anwar menghormati dan memberi kerjasama kepada setiap pegawai polis yang berhubung dengannya.

''Untuk mendakwa bahawa beliau tiba-tiba mengeluarkan kata-kata nista ''Ni bapa anjing'' adalah tidak konsisten dengan kelakuannya pada petang itu sambil menambah bahawa adalah tidak logik bagi Anwar menuturkan kata-kata ''Mengapa saya dipukul?'' jika beliau mengeluarkan kata-kata nista seperti didakwa oleh Abdul Rahim.

Ia menyatakan bahawa dakwaan Abdul Rahim bahawa beliau tidak ingat menumbuk tetapi cuma menamparnya dua kali tidak dapat diterima berdasarkan hakikat bahawa dua tamparan yang Abdul Rahim sendiri mengaku menyebabkan Anwar rebah ke lantai dalam lokap itu.

Dakwaan itu juga tidak selari dengan penjelasan Abdul Rahim tentang berapa kali beliau melepaskan tumbukan, dan laporan perubatan oleh Dr. Halim Mansar (seorang daripada doktor yang merawat Anwar) bahawa Anwar dipukul dengan benda tumpul sekurang-kurangnya empat kali di kepala dan leher dan reaksi Datuk Ramli Yusof dan Datuk Yaacob Mohamed Amin (kedua-dua pegawai kanan polis yang menghalang Abdul Rahim daripada mencederakan selanjutnya Anwar) tentang betapa garangnya Abdul Rahim semasa insiden itu, menurut laporan.

Ramli dan Yaacob memberitahu siasatan bahawa mereka terpaksa menarik Abdul Rahim jauh daripada Anwar untuk menghalangnya daripada terus memukul bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut suruhanjaya, Abdul Rahim tanpa berlengah lagi bergerak dari tingkat 30 bangunan ibu pejabat polis dan menuju ke Bilik No. 6 (tempat Anwar ditahan) dan kemudian terus menuju ke bilik lalu memukul Anwar selepas masuk ke dalam.

''Ini ialah insiden yang sudah dirancang kerana niatnya sudah ada, bermula apabila arahan dikeluarkan supaya mata Anwar ditutup (apabila Anwar dibawa dengan kereta polis dari rumahnya ke Bukit Aman) sehinggalah Abdul Rahim berjalan dari pejabatnya menuju ke bilik kurungan.''

Kabinet pada mesyuaratnya hari ini membuat keputusan untuk menyerahkan laporan suruhanjaya itu kepada Peguam Negara dengan segera untuk tindakan lanjut.

Kabinet juga membuat keputusan bahawa laporan itu akan diumumkan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini. - Bernama.

ARKIB : 15/04/1999

Laporan suruhanjaya diserah kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR 14 April - Jemaah Menteri hari ini bersetuju agar laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis diumumkan kepada orang ramai.

Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga bersetuju agar laporan setebal 120 muka surat itu diserahkan serta-merta kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini, kabinet dalam mesyuarat mingguan turut bersetuju supaya laporan berkenaan dicetak dan diedarkan kepada orang ramai.

''Mereka (orang ramai) boleh membeli laporan tersebut sebaik sahaja Syarikat Percetakan Nasional Malaysia Berhad siap mencetaknya,'' jelas kenyataan itu.

Sebelum ini pelbagai pihak terutama parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan mendesak kerajaan supaya mendedahkan hasil siasatan suruhanjaya itu sebagai membuktikan ia berjalan secara bebas dan telus.

Desakan supaya siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu dilakukan semakin memuncak apabila Peguam Negara mengumumkan pada 5 Januari lalu bahawa pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kecederaan yang dialami Anwar ketika berada dalam tahanan lokap Bukit Aman pada 20 September lalu.

Ekoran itu, dua hari kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai mengambil tanggungjawab di atas kejadian itu.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

4 comments: on "KES MATA LEBAM"

blogenstarz said...

Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul...

santauangin said...

Sepatutnya TSR hantam sebelah mata nya lagi bagi dia rasa. Dasar kurang ajar.Apa dia ingat dia tu EX TPM boleh kata org ikut sedap mulut dia ke. Sampai tak mahu membaca perasaan org lain. Setahu aku TSR adalah seorg ketua yg baik sewaktu dlm PDRM. Dia memang tegas tetapi ada perikemanusian.Walauapapun terjadi semoga hidup TSR akan lebih bahagian setelah keluar dari PDRM.

average joe said...

menarik untuk diimbas kembali...
tapi nampak seakan makin banyak soalberkaitan samada berkait langsung atau tidaklangsung yang masih belum terungkai dalam deretan peristiwa mata lebam ini...
semoga yang betul2 benar terjawap segera dan keadilan dicapai pantas...
insyaAllah

-average joe-
klakka-la.blogspot: satu babak di tahun 2021

Muzika Akustika said...

Sekarang Anwar PMX. Nak dengar apa komen kau tentang nya.