kemaskini 9:25pm Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau diliwat secara paksa oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kondominium mewah di Damansara.
Dakwaan itu diumumkan di sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas mengangkat sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 6.30 petang tadi.
Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Mohd Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Antara yang hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.
Mohd Saiful mengangkat sumpah di Dewan Solat Utama dengan menghadap kiblat dan mengucap dua kalimah syahadah.
"Saya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 dan pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.
"Jika saya berdusta dengan perkara ini, saya berdusta dengan Allah SWT dan akan dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat." Dalam sidang akhbar di sebuah hotel kemudiannya, Saiful berkata, beliau menafikan tindakannya itu bermotifkan politik.
Ini adalah kali pertama beliau muncul di khalayak ramai sejak membuat laporan polis pada 28 Jun lalu, mendakwa, dia diliwat oleh Anwar.
Saiful memberitahu pemberita bahawa dia bersumpah dengan al-Quran hari ini, selepas mengumpul kekuatan untuk berbuat demikian.
Beliau bagaimanapun, enggan menjawab sebarang soalan mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini, Saiful dilaporkan telah menemui Najib di kediaman timbalan perdana menteri sebelum membuat laporan polis.
Saiful turut menayangkan di sidang akhbar tersebut video selama dua minit menunjukkan dia mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi.
Saiful berkata, dakwaan diliwat Anwar itu adalah yang pertama berlaku ke atas dirinya dan dia tidak pernah diliwat sebelum ini. "Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi
menafikan dakwaan saya adalah tidak benar," katanya lagi. Saiful ditemani oleh bapanya Azlan Mohd Lazim (foto kanan) dan peguam Zamri Idrus ketika menghadiri sidang akhbar selama 10 minit itu.
Anwar, yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan mendakwa ia perbuatan musuh politiknya untuk menyekat beliau kembali semula aktif dalam politik.
Sebelum ini, penasihat PKR itu telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful.
Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.
Jika disabitkan kesalahan Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Berikut adalah kenyataan yang dibaca oleh Saiful:
Saya rasa telah tiba masanya untuk saya menunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia bagi menegakkan hak dan menidakkan yang batil. Saya dengan ini telah bersumpah dengan nama Allah di Masjid Wilayah Persekutuan petang tadi mengikut cara yang dituntut oleh agama Islam, sepertimana yang telah dinasihatkan dan ditunjuk ajar oleh ulama dan mufti berkenaan saya telah diliwat oleh Anwar bin Ibrahim.
Akad sumpah ini saya lakukan dengan kerelaan saya sendiri yang datangnya dari lubuk hati saya yang mendalam bagi menegakkan kebenaran sebagai seorang yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan sebagai seorang rakyat Malaysia.
Saya juga amat memahami bahawa sumpah dengan nama Allah ini, jika ia tidak benar dan merupakan satu ciptaan saya semata-mata atau mana-mana pihak, maka saya akan dilaknat, ditimpa malapetaka dan bencana kepada saya, serta keluarga, keturunan saya selamanya oleh Allah SWT.
Saya melakukan sumpah dengan nama Allah SWT kerana mahu membuktikan bahawa dakwaan saya amat benar dan oleh kerana itu, saya amat berani bersumpah. Ini jalan terbaik bagi saya mendapat
keadilan di dunia dan akhirat dan mengembalikan maruah dan harga diri saya di mana hanya kepada Allah SWT tempat saya mengadu.
Saya melakukannya kerana Allah SWT. Saya bersumpah di dalam rumah Allah yang mulia tadi bahawa saya telah diaibkan dan diliwat oleh majikan saya Anwar bin Ibrahim dan saya tidak memilih berdolak
dalih dengan pelbagai alasan serta penipuan kepada seluruh masyarakat tentang isu dakwaan liwat saya ini seperti yang dibuat oleh Anwar bin Ibrahim.
Dengan ini saya mencabar Anwar bin Ibrahim bersumpah dengan cara sebenar-benarnya Islam dengan melakukannya di masjid dengan disaksikan oleh ulama dan mufti serta seluruh rakyat Malaysia bagi
menafikan dakwaan saya adalah tidak benar.
Sesi soalan jawab
Wartawan: Waktu angkat sumpah siapa saksi?
Peguam Zamri Idrus: Semua imam-imam Masjid Wilayah Persekutuan.
Wartawan: Ke mana hilang selama ini?
Mohd Saiful: Saya bukan menghilangkan diri tetapi mendiamkan diri untk mengumpulkan kekuatan kerana saya telah difitnah, dengan macam-macam, terutamanya sekali oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi itulah alasan saya.
Wartawan: Kenapa Saiful pilih hari ini dan di Masjid Wilayah Persekutuan?
Mohd Saiful: Saya telah lama berniat nak buat ini tetapi ia perlukan satu kekuatan mental dan juga rohani kerana bersumpah ini bukan sesuatu yang mudah dan boleh dibuat secara suka-suka kerana akibatnya dia boleh dilaknat. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan saya kekuatan dan saya bersumpah pada hari ini.
Wartawan: Adakah kerana esok penamaan calon di Permatang Pauh. Mohd Saiful: Tidak, tidak, sama sekali.
Wartawan: Bagaimana perasaan Saiful lepas bersumpah?
Mohd Saiful: Alhamdulillah, saya berasa lega dan buat pertama kalinya saya dapat memberanikan diri dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk berdepan dengan para wartawan.
Wartawan: Kamu bercadang berkempen di Permatang Pauh?
Mohd Saiful: This is not a political matter (ini bukan satu perkara politik), ini adalah dakwaan kes peribadi antara Anwar Ibrahim dan saya.
Wartawan: Tetapi ingat, tuduhan ke atas Anwar adalah suka sama suka?
Mohd Saiful: Saya ingin tegaskan di sini bahawa perkara itu berlaku tanpa kerelaan hati saya.
Wartawan: Ada yang kata lebih daripada sekali.
Mohd Saiful: Itu saya akan beri keterangan di mahkamah.
Wartawan: Betul kamu buat pemeriksaan di Pusrawi?
Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.
Wartawan: Kenapa pada mulanya kamu pergi ke Hospital Pusrawi?
Mohd Saiful: Itu keterangan di mahkamah nanti.
Wartawan: Tapi betul Saiful pergi ke Pusrawi hari itu?
Mohd Saiful: Keterangan di mahkamah. Saya akan bagi keterangan. Dan iyalah, saya bukan seperti Datuk Serri Anwar Ibrahim ingin melaksanankan media trial, jadi saya akan memberikan keterangan saya dan bekerjasama semasa di mahkamah nanti.
Wartawan: Ini kali pertama kamu diliwat?
Mohd Saiful: Ya, pertama kali.
Wartawan: Besok penamaan calon, kenapa hari ini... saya harap kamu faham. Saya bukan nak buat apa-apa, tanya saja.
Mohd Saiful: Saya faham, secara kebetulan saja. Kalau nak ikutkan kita pun tak tahu Anwar akan bertanding. Laporan saya itu pun 28 Jun, kita tak tahu dia akan bertanding bila. Tetapi saya ingin tegaskan di sini, saya memerlukan kekuatan dan alhamdulillah Allah SWT memberikan saya kekuatan untuk mengadakan sumpah hari ini. Dan hari ini hari Jumaat, hari yang sangat dirahmati Allah SWT.
Wartawan: Anwar kata masa itu dia ada saksi dan dia tak pernah keseorangan dengan Saiful pada masa tersebut.
Mohd Saiful: Itu kita tengoklah di mahkamah nanti.
Wartawan: Benar kamu buat laporan polis? Kamu ada salinan laporan polis?
Mohd Saiful: Saya nak tegaskan di sini, saya buat laporan polis 5.30 tetapi saya tengok dalam 6.30 dah terpapar di SMS dan lamanweb. Saya tidak tahu kenapa. Dan saya sendiri yang menulis laporan
polis tersebut.
Wartawan: Adakah kamu bertemu Datuk Najib?
Mohd Saiful: Itu saya akan jawab di mahkamah.
Wartawan: Kalau Anwar melakukan sumpah, apa pandangan kamu?
Mohd Saiful: Ok tidak apa. Saya telah melakukan tanggungjawab saya. Saya sudah lakukannya. Jikalau beliau hendak lakukan, terpulang kepada beliau sebab ia bukan tentukan sama ada salah atau tidak. Kita tengok di mahkamah nanti.
Video angkat sumpah ditayangkan.
Mohd Saiful: Jumpa 10 haribulan nanti di mahkamah. Terima kasih.
Mohd Saiful kemudiannya beredar melalui pintu belakang dengan peguamnya dan tidak mahu menjawab lagi soalan wartawan.
==========================================
Lapuran Perubatan Pusrawi
SURAT AKUAN BERSUMPAH DOKTOR PUSRAWI
=============================================
ARKIB : 01/07/2008 Saiful datang pejabat minta surat sokongan – Najib Oleh hata wahari
| Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersama Khairil Anas Yusof seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada telefon bimbitnya, semalam. |
KUALA LUMPUR 30 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lelaki yang membuat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya, datang ke pejabat Timbalan Perdana Menteri tiga bulan lalu untuk mendapatkan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Menurut Najib, lelaki terbabit merupakan seorang pemimpin pelajar dan adalah perkara biasa para pemimpin pelajar mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawainya untuk mendapatkan sokongan. “Mohd. Saiful juga ada mengambil gambar dengan menteri-menteri Kabinet lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini. Najib mengulas tindakan lelaki berusia 23 tahun itu membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang kelmarin dengan mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu. Semalam, isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyangkal pembantu khas Anwar itu. Wan Azizah mendakwa tuduhan Mohd. Saiful merupakan satu konspirasi politik terhadap suaminya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menunjukkan gambar Mohd. Saiful bersama seorang pegawai khas pejabat Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof yang didakwanya diterima menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS). Timbalan Perdana Menteri menegaskan, perkara pokok dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar ialah sama ada kejadian terbabit berlaku atau sebaliknya. ‘‘Sama ada kejadian itu berlaku atau tidak terpulang kepada pihak polis untuk menentukannya. Ini soal undang-undang... biarlah undang-undang menentukannya,” kata beliau. Berhubung keselamatan Anwar, Najib menegaskan, keselamatan pemimpin pembangkang itu dijamin oleh undang-undang Malaysia. Mengenai tindakan pemimpin PKR itu berlindung di kedutaan Turki di ibu negara kerana bimbang ancaman keselamatan daripada ejen-ejen BN, Najib memberitahu, BN tidak pernah bertindak demikian. ‘‘BN tidak terlibat dalam mengugut atau mengancam ahli-ahli politik dan ia bukan amalan yang dilakukan oleh BN,” katanya. Najib memberitahu, tindakan pemimpin PKR itu mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki perlu dilihat dari segi undang-undang antarabangsa. Jelasnya, kedutaan Turki merupakan kawasan milik negara tersebut tetapi beliau mempersoalkan apakah tindakan Anwar itu bertujuan untuk mendapatkan perlindungan politik atau lari daripada undang-undang negara. ‘‘Kerajaan perlu memastikan dahulu tujuan Anwar mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki sebelum menentukan tindakan yang perlu diambil. ‘‘Perkara ini akan diserahkan kepada Kementerian Luar untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang antarabangsa. Tindakan Turki ini tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara,'' katanya. --------------------------------------------------------------------- ARKIB : 04/07/2008 Saiful jumpa TPM mengadu hal KUALA LUMPUR 3 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mohd. Saiful Bukhari Azlan telah menemui beliau untuk mengadu hal bahawa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Perdana Menteri berkata, Mohd. Saiful berjumpa di rumahnya beberapa hari sebelum dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu. ‘‘Saya menerima kedatangannya atas sifat saya sebagai seorang pemimpin. Dia sebagai rakyat biasa, yang ingin mengadu dan saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini. ‘‘Saya mula-mula tak berapa yakin dan skeptikal, sama ada cerita ini benar ataupun tidak, jadi saya serah kepada dia dan serah kepada polis untuk menentukan apa-apa tindakan selanjutnya. ‘‘Saya tidak pernah menasihatinya supaya membuat laporan polis. Saya hanya berkata, ia terpulang kepada kamu dan saya tak pasti (ketika itu) sama ada dia akan membuat laporan itu,” jelasnya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini. Ditanya bagaimana keadaan Mohd. Saiful ketika pertemuan itu, Najib yang percaya pemuda itu memilih untuk menemui beliau kerana mengenali pegawai khasnya (Khairil Anas Yusof), berada dalam keadaan trauma dan ketakutan serta ‘seram sejuk.’ Mengenai adakah aduan Mohd. Saiful mempunyai asas, beliau berkata, dakwaan lelaki itu nampak tulen. ‘‘Saya tak berani nak kata, tapi dia nampak tulen, tapi saya tak berani buat kesimpulan. Saya nasihat kepada dia. Awak sendirilah putuskan.” ‘‘Dia telah cerita segala-gala yang telah berlaku. Cerita itu banyak. Satu hari saya mungkin boleh cerita, nanti lepas kes di mahkamah,” jelasnya. Ditanya adakah beliau bersedia memberi keterangan kepada polis mengenai pertemuannya dengan pemuda itu, Najib menjelaskan, beliau hanya mendengar keterangan Mohd. Saiful. ‘‘Saya dengar dia sahaja. Keterangan ini bukan pada saya, keterangan daripada dia. Yang mustahak, penting sekali daripada dia bukan daripada saya.” tegasnya. Dalam pada itu, Najib menjelaskan, kedatangan Mohd. Saiful ke pejabat Timbalan Perdana Menteri tiga bulan lalu ialah untuk mendapatkan surat sokongan bagi memohon biasiswa dan tidak melibatkan sebarang pertemuan dengan beliau (Najib). ‘‘Dia hanya mengadakan perjumpaan dengan pegawai khas saya. Anda tidak boleh menhubungkan dua pertemuan ini bagi menuduh wujud konspirasi,” katanya. Ditanya adakah Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sepatutnya terlibat dalam penyiasatan kes liwat terbaru itu kerana didakwa Anwar pernah memalsu keterangan sebelum ini, Najib menegaskan: ‘‘Mereka tidak boleh melibatkan diri jika siasatan itu membabitkan dakwaan terhadap diri mereka. Tetapi mereka masih ketua organisasi penguat kuasa masing-masing dan perlu meneruskan tugas.” -----------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan ada menemuinya kerana mahu mengadu hal dirinya telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pertemuan itu yang pertama kali antara mereka berdua, berlangsung di kediamannya beberapa hari sebelum Mohd Saiful, yang ketika itu dilihat berada dalam keadaan amat trauma, membuat laporan polis terhadap Anwar berhubung isu liwat itu.
"Saya menerima kedatangannya atas sifat saya sebagai seorang pemimpin dan dia sebagai rakyat biasa yang ingin mengadu kepada saya...saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Mohd Saiful, 23, membuat laporan di Balai Polis Travers di sini pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat Anwar pada 26 Jun di sebuah kondominium di Bukit Damansara.
Ketika ditanya mengapa pembantu Anwar itu menemui beliau untuk mengadu hal, Najib berkata beliau tidak tahu, tetapi menganggap pemuda itu memerlukan bantuannya, berikutan Mohd Saiful mengenali seorang pegawainya.
Najib berkata Mohd Saiful juga pernah datang ke pejabatnya untuk bertemu seorang pegawainya bagi menguruskan soal biasiswa yang dimohon, tetapi beliau tidak pernah menemui pemuda itu pada ketika itu.
Timbalan Perdana Menteri juga menolak sebarang dakwaan berlaku konspirasi terhadap Anwar dan beliau adalah perancangnya.
Ditanya sama ada beliau percaya apa yang diberitahu oleh Mohd Saiful itu berasas atau sebaliknya, Najib berkata, pada awalnya beliau tidak berapa yakin sama ada cerita yang disampaikan oleh Mohd Saiful itu benar atau tidak.
"Saya tidak berani nak cakap...saya nampak dia genuine (ikhlas) sebab dia ketakutan. Tangan dia seram sejuk.
Tetapi saya tidak berani buat kesimpulan. Saya nasihat pada dia supaya buat keputusan sendiri," katanya sambil menolak andaian bahawa beliau telah menasihatkan Mohd Saiful untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Bagaimanapun katanya semasa perjumpaan itu, Mohd Saiful telah menceritakan segala-galanya yang berlaku kepadanya.
Ditanya kandungan penjelasan oleh Mohd Saiful, Najib sambil tersenyum menjawab,:"Oh...banyak...cerita-cerita tu banyak....satu hari nanti mungkin saya boleh cerita tetapi lepas kes mahkamah lah".
Najib juga berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan mengenai kes itu sekiranya diperlukan, ekoran pendedahan beliau itu.
"Ya..saya bersedia...apa yang nak tanya saya...saya cuma dengar (penjelasan) dia sahaja. Yang mustahak sekali adalah (keterangan) daripada dia (Mohd Saiful), bukan daripada saya," katanya.
-- BERNAMA
---------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 06/07/2008 ‘Saya tidak gentar’ Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
| TEGAS... Najib Tun Razak menolak segala tohmahan ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Bahagian Pekan di Pekan, Pahang, semalam. |
PEKAN 5 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak gentar menghadapi dugaan termasuk fitnah yang dilemparkan kepadanya kerana yakin kebenaran akan muncul jua. Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadapi segala tuduhan dengan sabar dan tenang. ‘‘Saya tidak gentar menghadapi dugaan, saya tidak takut menghadapi fitnah kerana kebenaran tetap akan muncul nanti. Saya dan isteri akan menghadapi segala-galanya. ‘‘Saya tahu kebenaran tetap akan timbul dan yang hak akan mengatasi yang batil. Allah sahajalah yang menentukan mana yang benar, Allah juga yang akan membalas (kejahatan) kalau tidak di dunia ini, di akhirat. Silap-silapnya tak payah di akhirat, di dunia pun dah dapat balasannya,” katanya. Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini. Menurut beliau, sebagai hamba Allah, apa yang harus dilakukan sekarang ialah meneruskan perjuangan bagi memastikan agenda rakyat dapat direalisasikan segera. ‘‘Saya akan terus berjuang dan berbakti untuk kepentingan rakyat sama ada di kawasan Pekan mahupun di seluruh negara. Saya akan teruskan apa yang saya buat. ‘‘Saya akan terima orang yang datang ke rumah saya, setakat mana saya mampu melayani mereka. Setakat mana yang saya boleh (penuhi permintaan) tandatangan surat, saya tandatangan surat. Minta saya tenyeh, saya tenyeh. ‘‘Minta tolong saya, sekadar saya mampu tolong, saya tolong. Saya akan buat... akan berbakti kerana itu amanah dan tanggungjawab saya. Tetapi tuan-tuan dan puan- puan pun ada tanggungjawab. Tanggungjawab memastikan UMNO terus kuat,” katanya. Dalam hal ini, beliau menggesa pemimpin parti pelbagai peringkat membantu memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang berlaku di dalam negara dan bukan hanya pandai mengkritik pucuk pimpinan. Najib turut mengingatkan mereka yang telah dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu, agar bekerja keras untuk terus memenangi hati rakyat. ‘‘Ini kita duduk di kedai kopi, di situ kita kritik pemimpin, semua tidak betul, walhal kita lebih banyak tidak betul, lebih banyak tidak buat kerja, lebih banyak melunjur kaki daripada berjuang dan berjihad untuk parti, bangsa, negara dan agama. ‘‘Buat kerja. Ini bukannya masa untuk kita berbalah sesama sendiri. Bukan masa untuk kita berkerumun, berlonggok sana, berlonggok sini mengata orang. Ini masa pastikan kegemilangan UMNO akan timbul balik di kawasan kita dan negara,” kata beliau. Beliau mahu setiap pemimpin yang diberi amanah memastikan semua rakyat di kawasan masing-masing berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. ‘‘Maknanya, jangan jaga penyokong kita sahaja, saudara mara kita sahaja, puak-puak kita sahaja (tetapi) semua orang iaitu ahli UMNO, yang bakal menjadi ahli UMNO, bakal menyokong Barisan Nasional, semuanya mesti di bawah naungan UMNO,” katanya. Beliau percaya, segala usaha dan bakti tersebut jika dilakukan dengan hati yang ikhlas, akan menjadi benteng serta perisai kepada mereka sendiri dalam berhadapan dengan segala dugaan dan cabaran. Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peramu Jaya 3 di padang awam Peramu Jaya di sini pula, Najib berkata, beliau tidak bercadang memohon perintah injunksi bagi menghalang mana-mana pihak daripada memfitnahnya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Baginya langkah itu tidak perlu terutama selepas penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh kononnya beliau ada hubungan dengan wanita Mongolia itu sendiri menarik balik akuan bersumpahnya. Tegas beliau, penarikan balik akuan bersumpah itu sekali gus membuktikan dirinya tidak ada kaitan dengan Altantuya. ‘‘Buat apa saya hendak dapatkan perintah injunksi kerana dia (Balasubramaniam) telah menarik balik akuan bersumpah yang pertama itu,” tegasnya. Najib memberitahu, pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Balasubramaniam berhubung akuan bersumpahnya itu. ‘‘Saya tidak mahu berlindung di sebalik perintah injunksi. Saya perlu membuat penafian sekeras-kerasnya terlebih dahulu tetapi sebelum saya mengambil tindakan selanjutnya, dia (Balasubramaniam) telah menarik balik,” katanya. Najib menjelaskan, tindakannya membuat penafian terhadap tuduhan yang terkandung dalam akuan bersumpah pertama Balasubramaniam itu kerana pembangkang telah mempolitikkan kes pembunuhan Altantuya yang sedang dibicarakan di mahkamah. Mengulas sama ada perkembangan terbaru itu menggugat kestabilan UMNO, Najib yang juga Timbalan Presiden parti yakin ahli semakin matang dalam menilai segala yang berlaku. ------------------------------------------------------------------------------ ARKIB : 07/07/2008 36 saksi kes liwat Polis sudah ambil keterangan 18 saksi termasuk empat doktor pakar Oleh RAMLI ABDUL KARIM dan SHARILFUDDIN SAARI KUALA LUMPUR 6 Julai – Sekurang-kurangnya 36 saksi akan dipanggil membantu siasatan kes dakwaan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk 18 orang, empat daripadanya doktor pakar, yang telah diambil keterangan oleh polis setakat ini. Ketika bilangan saksi yang diambil keterangan semakin meningkat, polis yakin baki saksi yang akan dipanggil adalah lebih ramai daripada jumlah mereka yang telah pun dirakamkan percakapan masing-masing berhubung kes itu. Keempat-empat doktor yang telah memberi keterangan ialah para pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan polis mendakwa Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini dua hari sebelum laporan itu dibuat. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin memberitahu Utusan Malaysia, walaupun suspek (Anwar) tetap akan dipanggil untuk membantu siasatan, fokus penyiasatan polis ketika ini adalah mengumpul sebanyak mungkin maklumat daripada saksi-saksi terlebih dahulu. Bagi menjamin keadilan kepada pengadu dan suspek, ujarnya, polis perlu meneliti dan menimbangkan semasak-masaknya keseluruhan maklumat yang diperoleh daripada kesemua saksi terbabit. “Jumlah yang kita akan panggil untuk beri keterangan selepas ini lebih ramai daripada mereka (18 orang) yang telah dirakamkan percakapan setakat ini. “Kita mahu siasat sedalam-dalamnya kes ini untuk menjamin berlaku keadilan. Berdasarkan keterangan saksi-saksi barulah polis siasat suspek... akan tiba masanya kita panggil dia (Anwar),” kata Mohd. Bakri. Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seks luar tabii tanpa kerelaan. Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful, 23, yang juga bekas pembantu Anwar, 60, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur mendakwa dia diliwat oleh majikannya itu sebelum menjalani pemeriksaan perubatan. Ketika ditanya siapakah saksi lain selain empat doktor yang dirakamkan percakapan mereka, Mohd. Bakri enggan mendedahkannya. Menurutnya, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada kesemua saksi, polis akan membuat pertimbangan sama ada untuk memanggil Anwar. Pertimbangan itu, kata Mohd. Bakri, turut mengambil kira laporan perubatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan keputusan ujian DNA itu dan juga kandungan laporan perubatan Mohd. Saiful. “Sama ada kita sudah dapat atau tidak laporan DNA itu, saya tidak boleh dedahkan, sebab kalau ada kes pun, ia hanya akan diberitahu dalam mahkamah. “Oleh itu, kalau ada pihak termasuk pengendali blog di Internet yang mendakwa kononnya mereka mempunyai maklumat berkaitan laporan perubatan dan DNA kes itu, kita anggap ia sebagai andaian semata-mata,” katanya. Utusan Malaysia difahamkan, laporan perubatan dan ujian DNA terhadap Mohd. Saiful telah pun diserahkan oleh Hospital Kuala Lumpur kepada pihak polis dan ia kini dipercayai digunakan sebagai panduan penyiasatan kes liwat tersebut. Sementara itu, pada sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pagi ini, Mohd. Bakri menjelaskan, polis sedang mengenal pasti saksi-saksi yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan untuk dipanggil membantu siasatan. Beliau berkata, saksi-saksi itu akan dihubungi untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan mereka diminta memberi kerjasama kepada polis. Pada masa sama, beliau mengingatkan, mana-mana saksi yang telah dikenal pasti tetapi enggan berbuat demikian boleh diserahkan notis perintah mahkamah untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 111 kanun yang sama. “Saya meminta mereka jangan sengaja mengelakkan diri (daripada menghadirkan diri) apabila dipanggil oleh polis,” katanya. --------------------------------------------------------------------------- ARKIB : 17/07/2008 Layan Anwar dengan sopan, hormat – Najib 17/07/2008 10:22pm
KUALA LUMPUR 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polis patut sentiasa melayani Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim “dengan tahap kesopanan dan penghormatan yang wajar baginya”. Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu rakyat salah faham tentang bagaimana polis menangani kes Anwar. Najib berkata, terpulang kepada polis untuk bertindak “selagi mereka mengikuti prosedur dan protokol yang perlu diikuti”. “Kita perlu telus agar tidak ada salah anggap tentang apa yang polis lakukan, dan kita mesti sentiasa melayani Datuk Seri Anwar Ibrahim “dengan tahap kesopanan dan penghormatan yang wajar baginya,” katanya ketika diminta mengulas penangkapan Anwar semalam. Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Pameran Pendidikan dan Kerjaya Malaysia 2008 anjuran Pekan Fest serta logo F500 Powerboat World Championship Series 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Najib berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam hal penahanan Anwar. “Itu urusan polis. Kita tidak memberikan butir-butir tentang bagaimana melaksanakannya. Terpulang kepada mereka menggunakan budibicara mereka tentang apa bentuk ’intervention’ yang perlu di pihak mereka. “Anda boleh kemukakan soalan itu kepada polis,” kata Najib. Anwar ditahan berhubung siasatan terhadap dakwaan liwat oleh bekas pembantunya. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. — BERNAMA. ------------------------------------------------------------------------------- ARKIB : 07/08/2008 Anwar didakwa hari ini * Hadapi tuduhan meliwat *Dijangka diwakili 9 peguam bela Oleh TAN MING WAI dan WAN NORHAYATI WAN ALIAS
| SERAH... DSP Jude Pariera (bertali leher) keluar dari rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menyerahkan sapina kepada beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta di sini pagi esok. Notis bertulis ke atasnya supaya hadir ke mahkamah pada pukul 10 pagi esok telah diserahkan oleh polis kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di rumahnya di Bukit Segambut di sini pukul 12.05 tengah hari ini. Sapina itu diserahkan sendiri oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Deputi Supritendan Jude Parreira yang juga pegawai penyiasat kes tersebut. Pereira menyerahkan sapina berkenaan dengan diiringi tiga anggota polis. Beliau berada di kediaman Anwar selama kira-kira 15 minit sebelum beredar. Anwar, 61, dilihat menandatangani sendiri sapina yang diterimanya itu. Pada sidang akhbarnya di ibu pejabat PKR di Damansara tiga jam kemudian, beliau mengesahkan akan hadir di mahkamah esok. Anwar juga memberitahu, beliau akan diwakili pasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah. Utusan Malaysia difahamkan, pasukan pendakwaan pula akan diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Idris Harun dan beberapa orang pendakwa raya termasuk Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan hari ini berkata, sapina itu diserahkan kepada Anwar setelah Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa beliau di mahkamah. “Polis telah selesai menyiasat kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar. Kertas siasatan telah dihantar (oleh polis) kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan. “Pejabat Peguam Negara telah memutuskan mendakwa Anwar. Oleh itu, notis bertulis kepada Anwar untuk hadir di Mahkamah Jalan Duta pada pukul 10 pagi 7 Ogos 2008 telah disampaikan kepada beliau,” katanya. Ini merupakan kali kedua Anwar berdepan tuduhan liwat di mahkamah selepas pendakwaan pertama pada 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Beliau juga dikaitkan dalam kes liwat melibatkan adik angkat beliau, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Anees. Anwar dipenjarakan ekoran dakwaan itu. Bagaimanapun, pada 2 September 2004, Anwar telah dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan menolak pensabitan tuduhan liwat terhadapnya. Dalam kes terbaru ini, Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful, 23, di sebuah kondominium di Damansara di sini, dengan kali terakhir dua hari sebelum mangsa membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang 28 Jun lalu. Menurut Ismail, siasatan polis terhadap laporan yang dibuat oleh Mohd. Saiful itu dikendalikan berlandaskan prinsip undang-undang. “Siasatan polis terhadap kes ini adalah mengikut prosedur yang wujud dalam sistem perundangan negara,” katanya. Anwar yang diklasifikasikan sebagai suspek dalam kes itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu meliwat tanpa kerelaan. Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan. Seksyen 377C Kanun Keseksaan tidak membenarkan tertuduh dijamin. Bagaimanapun, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan ikat jamin. Sejak beberapa hari lalu, khabar angin tersebar meluas mengatakan Anwar akan ditangkap oleh polis pada bila-bila masa untuk tujuan pendakwaan. Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak boleh ditangkap kali kedua untuk kesalahan yang sama. Sebaliknya, sekiranya suspek mahu didakwa, polis boleh menyerahkan sapina kepadanya untuk hadir ke mahkamah. Jika suspek ingkar atau enggan hadir, permohonan waran tangkap boleh dikemukakan kepada mahkamah. Anwar yang bercadang bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak lama lagi ditahan pada 16 Julai lalu untuk disoal siasat berhubung dakwaan liwat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya. Kenyataan polis sebelum ini menyebut, Anwar terpaksa ditahan pada hari berkenaan tidak jauh dari rumahnya kerana kenderaan beliau yang sepatutnya ke IPK Kuala Lumpur mengubah haluan menuju ke rumahnya. Dua hari sebelumnya iaitu pada 14 Julai, Anwar enggan datang ke IPK itu pada pukul 2 petang untuk memberi keterangan walaupun telah menyatakan pengakuan hadir kepada polis. Dalam tempoh tahanan selama 21 jam itu, Anwar dibawa ke HKL untuk pemeriksaan tetapi beliau enggan memberi sampel darah untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). ARKIB : 08/08/2008 ‘Saya tidak bersalah’ * Anwar bebas dengan jaminan * Sebutan semula kes 10 September Oleh KAMARIAH AHMAD, AMIRUDDIN HARUN dan NOOR AZMAH IBRAHIM
| Anwar Ibrahim memberikan sidang akhbar sewaktu keluar dari mahkamah pada sebutan kes liwat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta, semalam. |
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun lalu. Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat pengakuan tersebut sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya yang didengar di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah pada prosiding pukul 10.15 pagi. Beliau dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dan kes itu akan disebut semula pada 10 September ini. Ketika ditanya apakah pengakuannya, Anwar dengan nada keras mendakwa pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat dan khianat. ‘‘Saya tidak bersalah,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berusia 61 tahun pada 10 Ogos ini. Pertuduhan menyebut bahawa Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini. Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon satu tarikh sebutan pada September ini untuk memberi masa kepada pihak pendakwa raya mempertimbangkan sama ada hendak memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah. Idrus mengendalikan pendakwaan bersama Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi), Mohamad Hanafiah Zakaria dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Shamsul Sulaiman. Barisan sembilan peguam bela Anwar yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah bersetuju dengan permohonan itu, namun menyatakan beliau berharap pendakwa raya akan juga mempertimbangkan dengan bijaksana untuk meneruskan kes tersebut. Lapan peguam bela lagi ialah R. Sivarasa, Leela J Jesuthasan, Sankara Nair, Edmund Bon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd. Razlan Jalaludin. Sehubungan itu, Komathy menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes terhadap Anwar. Di samping itu turut hadir, dua peguam pemerhati dari Majlis Peguam, Rajpal Singh dan George Varughes serta Zamri Idrus mewakili mangsa kes itu. Mahkamah juga dimaklumkan kehadiran empat peguam pemerhati mewakili International Federation For Human Rights, Forum Asia dan Human Right Watch. Sulaiman kemudian memohon supaya anak guamnya itu dibebaskan dengan ikat jamin dan menyatakan bahawa pendakwa raya tidak membantah. ‘’Biarlah pendakwa raya nyatakan jumlahnya,’’ ujar beliau. Idrus bangun sambil mencadangkan: ‘’RM20,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.’’ Sulaiman lalu memaklumkan bahawa Anwar bakal bertanding kerusi Parlimen dan juga akan menimbulkan masalah jika pasportnya diserahkan kepada mahkamah kerana beliau sering ke luar negara. Beliau meminta mahkamah menggunakan budi bicara tidak mengenakan syarat agar Anwar menyerahkan pasportnya. Selain itu, Sulaiman juga memohon mahkamah melaksanakan pertimbangan supaya Anwar dikenakan bon jaminan peribadi. Sulaiman memberitahu bahawa sebelum ini Anwar telah diberikan jaminan polis sejak Julai lalu. (Pihak polis membebaskan Anwar setelah disoal siasat dan memberi keterangan berhubung kes itu). Idrus berkata: ‘’Kes ini didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh gunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan. Jika disabitkan kesalahan hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.’’ Sulaiman memohon mahkamah memberikan pertimbangan. Komathy berkata: ‘’Mahkamah ingin bertanya kepada pegawai penyiasat sama ada tertuduh memberi kerjasama kepada polis.’’ Pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Jude Parreira bangun dengan spontan menjawab: ‘’Ya.’’ Komathy berkata lagi: ‘’Sulaiman mencadangkan supaya mahkamah mengunakan budi bicara di bawah Seksyen 388(2) Kanun Tatacara Jenayah dengan menyempurnakan bon tanpa penjamin supaya ia hadir seperti yang diperuntukkan selepas itu. Menurut peguam, tertuduh tidak mungkin melarikan diri.’’ Idrus segera menyampuk: ‘’Ada kemungkinan.’’ Galeri awam yang penuh sesak dan ada setengahnya terpaksa berdiri sehingga kedengaran riuh. Sulaiman yang membantah, berhujah bahawa mahkamah ada budi bicara untuk melaksana pemohonan Anwar walaupun kes itu jarang berlaku. ‘‘Ini kes kali kedua,’’ kata Sulaiman yang mencetuskan ketawa para hadirin di mahkamah. Namun Idrus membantah dengan alasan pertuduhan adalah serius yang membawa hukuman sehingga 20 tahun. Beliau mencadangkan ikat jamin terhadap Anwar memerlukan seorang penjamin. Komathy berkata: ‘’Seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum dibuktikan bersalah. Ikat jamin untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Saya tidak fikir Datuk seri Anwar akan melarikan diri. Mahkamah benarkan dia dijamin RM20,000 tanpa penjamin.’’ Sebelum mahkamah mengakhiri sidang, Komathy bertanya Anwar mengenai hari jadinya pada 10 Ogos ini. Anwar menjawab: ‘’Ya.’’ ---------------------------------------------------------- RAMLANG PORIGI
Imam naik pentas PKR, dakwa diarah hadir sumpah Saiful | Aug 24, 08 11:40pm | kemaskini 1:50am Seorang imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menyaksikan acara bersumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, mencipta kegemparan hari ini apabila berucap di atas pentas PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Ramlang Porigi (foto, kiri) menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah pemuda itu pada 15 Ogos lalu, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PKR di kawasan parlimen itu.
Seperti penjelasannya kepada Malaysiakini Khamis lalu, Ramlang yang juga seorang ahli Umno di bahagian Bukit Mertajam bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.
Imam itu juga meminta beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah Mohd Saiful (foto, kanan) kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.
Ramlang muncul lebih kurang 10 minit di satu ceramah besar anjuran PKR di Padang Ibu di Penanti menjelang jam 11.30 malam ini.
Beliau tiba di majlis kempen pembangkang itu ketika pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man sedang menyampaikan ceramahnya.
Tuan Ibrahim, bekas wakil rakyat Jengka, memberikan laluan kepada Ramlang sebelum menyambung semula ceramahnya.
Beberapa ribu penyokong pembangkang dan pengundi Permatang Pauh hadir.
Sebelum itu Ramlang, yang diiring dengan kawalan ketat oleh 10 lelaki, menyampaikan penjelasannya yang sama di satu majlis ceramah PKR di Kampung Belah Dua dalam kawasan parlimen itu.
Kira-kira 1,000 pendengar hadir di program itu.
Dalam sidang media bersama naib presiden PKR Mohamad Azmin Ali di Yayasan Aman, Penanti tengah malam ini, Ramlang mendedahkan arahan itu dikeluarkan oleh "orang atasannya" tetapi sekali lagi enggan menamakannya.
Seharusnya, tambah imam itu, kedua-dua pihak Mohd Saiful yang menuduh dan Anwar sebagai tertuduh hadir di majlis sumpah laknat.
Bersumpah boleh dibuat apabila pengadu tidak mempunyai bukti-bukti lain, kata imam itu lagi.
Beliau juga menyatakan kesediaan dikenakan tindakan disiplin oleh Umno kerana tidak memegang sebarang jawatan.
Ditanya sama ada beliau menyokong Anwar dalam pilihanraya itu, Ramlang menyatakan beliau tidak memihak kepada mana-mana parti.
Mengulas pertanyaan media sebab beliau membuat penjelasan malam ini, imam itu berkata beberapa hari selepas sumpah Mohd Saiful, beliau menerima banyak panggilan yang membuat tuduhan liar terhadapnya tetapi tidak ada pihak yang mempertahankannya atau memberi saluran untuk bersuara.
Selain Ramlang, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan bapa Mohd Saiful berada di masjid itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Latar belakang Ramlang menjadi bahan tohmahan dan perbincangan di internet sejak beberapa hari lalu, antaranya mendedahkan bahawa beliau adalah seorang ahli Umno dan pengundi di parlimen Permatang Pauh.
Emel tersebut juga mengandungi dua lampiran yang menyebut bahawa Ramlang menganggotai Umno cawangan Seri Machang, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk.
Turut dilampirkan ialah maklumat mengenai pendaftarannya sebagai pengundi parlimen Permatang Pauh - pilihanraya kecil kerusi ini akan diadakan 26 Ogos.
Sewaktu bercakap kepada Malaysiakini, Ramlang mengesahkan bahawa beliau seorang daripada lebih 58,000 pengundi di situ.
Ketika ditanya mengenai keanggotaannya dalam Umno, Ramlang berkata: "Saya pernah mendaftar sebagai ahli pada 2003, atas sebab-sebab tertentu".
Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya maksudnya "atas sebab-sebab tertentu".
Bagaimanapun, Ramlang berkata, beliau bukan seorang ahli aktif dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno di sebarang peringkat.
Mengulas lanjut mengenai majlis bersumpah Mohd Saiful, Ramlang berkata, beliau bukannya menjadi saksi sumpah Saiful.
"Apabila kebetulan Saiful tersalah sebut lafaz sumpahnya, oleh kerana saya berada di situ, jadi saya tegurlah," katanya.
Oleh itu, jelasnya, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan sumpah Saiful, yang diadakan sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Anwar adalah antara tiga calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut.
Dua lagi adalah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).
Ramlang bertugas sebagai seorang daripada sembilan imam di masjid tersergam indah itu sejak Jun 2005. |
|