untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Thursday, June 12, 2008

KEPUTUSAN KES LIWAT

Anwar dihukum penjara 9 tahun, Sukma 6 tahun

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Hakim Datuk Ariffin Jaka memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa selepas Anwar selesai menjalani penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah.

Adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang menghadapi dua tuduhan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat kali sebatan.

Hakim bagaimanapun tidak mengenakan Anwar hukuman sebat yang hanya terhad kepada pesalah berumur 49 tahun ke bawah.

Sukma didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan dan bersubahat dengan Anwar meliwat bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu.

Hakim Ariffin bagaimanapun memerintahkan Sukma menjalani hukuman penjaranya secara serentak.

Anwar yang berusia 53 tahun bersama Sukma, 39, didapati bersalah meliwat Azizan, 40, pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, di apartmen Sukma, unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk di sini.

Hukuman terhadap mereka mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu ia membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat.

Hakim Ariffin turut menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan Sukma diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan.

Bagi syarat jaminan, Sukma diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Anwar memulakan hukuman penjara enam tahunnya sekarang pada 14 April tahun lepas setelah didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah kerana campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksualnya.

Dakwaan itu membawa kepada pemecatannya daripada jawatan kabinet pada 2 Sept 1998.

Sebelum hukuman hari ini diputuskan Anwar menyampaikan hujahnya sendiri meminta hukuman ke atasnya diringankan. Sementara peguam Sukma, Gobind Singh Deo membuat rayuan itu bagi pihak anakguamnya.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Ariffin menjelaskan beliau mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan oleh Anwar dan mesti menangani perbuatan terkutuk tersebut dengan cara yang betul.

Beliau menyifatkan perbuatan meliwat sebagai suatu yang menjijikkan dan ''masyarakat kita mahukan mereka yang melakukan kesalahan seperti itu diadili sewajarnya.''

''Ia satu keputusan yang sukar dibuat. Dalam menjatuhkan hukuman ia mestilah mencerminkan betapa seriusnya kesalahan itu, kepentingan orang ramai dan keadaan sekeliling,'' kata Hakim Ariffin.

''Ada keterangan yang mencukupi berhubung dua tuduhan itu dalam pengakuan Sukma yang telah disokong oleh keterangan Azizan.

''Inilah yang menampakkan kredibilitinya. Tidak ada sebab mengapa Azizan berbohong kerana dia tidak mempunyai apa-apa melainkan kerugian semata-mata akibat membuat aduan itu,'' jelas beliau.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah semasa menggesa mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap Anwar dan Sukma, berkata kesalahan itu adalah serius kerana ia memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

''Hukuman yang berat patut dikenakan kepada kedua-dua yang dituduh terutama tertuduh pertama (Anwar), kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh pertama dilakukan oleh seorang yang ketika itu memegang jawatan tinggi di negara ini, seorang yang menyalahgunakan kedudukan beliau terhadap pekerja bawahannya,'' katanya.

Beliau kemudian meminta mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar secara berturutan selepas selesainya hukuman yang dijalani sekarang.

Sejurus mahkamah bersidang pukul 9.35 pagi ini, Mohtar memaklumkan beliau hadir mengetuai pasukan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Azahar Mohamad dan Mohd. Yusoff Zainal Abidin.

Pihak pendakwa turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Hassan dan Shamsul Sulaiman.

Mohtar memohon maaf bagi pihak Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Majid Tun Hamzah yang tidak dapat hadir kerana mengendalikan pendakwaan kes Al-Ma'unah di Mahkamah Sesyen, Taiping pagi ini.

Christoper Fernando pula mengetuai pasukan peguam bela Anwar bersama Karpal Singh, Zainur Zakaria, Gurbachan Singh, S.N. Nair, Pawancheek Marican dan Zulkifli Noordin.

Jagdeep Singh Deo dan adiknya, Gobind Singh Deo bertindak sebagai peguam bela Sukma.

C.V. Prabhakaran hadir sebagai peguam pemerhati mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Klang, Azmin Ali yang merupakan seorang saksi penting pembela.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Ariffin menegaskan kes pendakwa bersandarkan keseluruhannya atas keterangan Azizan.

Katanya, kes pembelaan pula pada alibi, konspirasi dan mendakwa keterangan rekaan.

Beliau berkata, bagi mewujudkan sama ada elemen itu dibuktikan maka ia harus menimbangkan kredibiliti Azizan.

Menurut Hakim Ariffin, Azizan memberi keterangan selama 10 hari dan menjawab soalan balas peguam bela yang dibuat dengan agresif dan bertalu-talu.

Namun, jelas beliau, keterangan Azizan didapati tidak tergugat.

Malah, katanya, juga terdapat keterangan daripada soalan balas terhadap pegawai penyiasat, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk Musa Hassan bahawa Azizan telah membuat lima kenyataan yang konsisten sebelum itu.

Tambahan pula, kata Hakim Ariffin, keterangan Azizan adalah konsisten dengan pengakuan yang dibuat oleh Sukma yang mana telah diputuskan oleh mahkamah ia dilakukan dengan sukarela.

''Saya juga yakin mengenai kebenaran yang disebutkan dalam pengakuan tersebut,'' ujar beliau.

Keputusan beliau itu, kata Hakim Ariffin, adalah konsisten dengan fakta yang telah digunakan oleh Sukma dalam pengakuannya ketika merayu bagi meringankan hukuman setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Oleh itu, ujar beliau, keterangan Azizan boleh dipercayai.

Hakim Ariffin juga menjelaskan keterangan Azizan mencukupi untuk menyokong pengakuan yang telah dibuat oleh Sukma.

''Walaupun ia suatu pengakuan yang dibuat oleh salah seorang tertuduh namun begitu ia mengandungi butir-butir keterangan yang penting dan boleh digunakan terhadap tertuduh pertama (Anwar),'' kata beliau.

Oleh demikian, tambah beliau, terdapat bukti daripada keterangan Azizan terhadap Sukma dan Anwar.

Hakim Ariffin berkata, keterangan Azizan juga menyokong tentang perilaku Anwar yang meminta Musa menghentikan penyiasatan berhubung dakwaan terhadapnya.

Katanya lagi, Sukma menghadapi dua tuduhan, bersubahat dan meliwat dengan Anwar.

Berhubung pembelaan alibi, Hakim Ariffin menjelaskan bahawa Anwar mestilah menunjukkan dia berada di tempat-tempat yang berlainan pada 1 Januari hingga 31 Mac 1993.

Tetapi, menurut Hakim Ariffin, tidak terdapat sebarang keterangan yang menyatakan Anwar berada di mana pada 1 Januari hingga 12 Februari 1993.

Oleh itu, katanya, Anwar gagal membuktikan pembelaan alibi tersebut.

Sukma pula, menurut beliau, tidak dapat menunjukkan bukti bahawa bilakah pengubahsuaian apartmennya dimulakan dan disiapkan.

''Walaupun kerja-kerja ubahsuai dijalankan namun ia gagal menimbulkan sebarang keraguan bahawa kesalahan itu tidak berlaku di apartmen itu,'' katanya.

Hakim Ariffin juga menyentuh keterangan saksi pendakwa, bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar yang dipersoalkan oleh Anwar bahawa kemungkinan polis cuba memeras ugutnya.

''Ini menampakkan bahawa tertuduh pertama itu ada sesuatu yang merisaukannya,'' jelas Hakim Ariffin.

Selepas menimbangkan sebab-sebab yang dijelaskan, kata Hakim Ariffin, beliau berpuas hati bahawa pendakwa membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Dengan itu, tegasnya, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah sebagaimana mengikut pertuduhan.

Fernando kemudian memaklumkan bahawa Anwar ingin menyampaikan sendiri rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.

Hakim Ariffin berkata, beliau membenarkan kerana Anwar boleh melakukan apa yang terbaik untuknya.

Anwar lalu berdiri di kandang tertuduh sambil mengucapkan terima kasih dan memberitahu dia mahu membaca hujah yang dikatakan ditulisnya malam tadi.

Hakim Ariffin merekodkan dalam nota prosiding bahawa Anwar sendiri ingin membuat rayuan untuk memohon diringankan hukuman.

Namun Anwar memulakan hujahnya dengan mengkritik badan kehakiman sambil mendakwa perbicaraan di mahkamah itu bukan bentuk jenayah tetapi hanya pendakwaan politik.

Di antara lain, Anwar mendakwa pengumuman keputusan perbicaraan terhadapnya hari ini hanya formaliti mengikut skrip yang disediakan oleh konspirator.

Hakim Ariffin segera menegur Anwar supaya tidak mengambil kesempatan untuk meneliti keterangan yang telah dibuat oleh mahkamah.

Beliau meminta supaya Anwar bercakap mengikut peraturan dalam mahkamah dan tidak berceramah politik.

Anwar dengan nada marah menyatakan bahawa hakim yang ikut prosedur dan undang-undang.

Hakim Ariffin menegur Anwar yang berterusan menyampuk kata-katanya.

Beliau menjelaskan kepada Anwar keputusan yang dibuat dalam perbicaraan itu berdasarkan bukti yang dikemukakan.

''Saya rasa Karpal, kamu harus menasihatkan dia,'' kata Hakim Ariffin.

Anwar tidak menghiraukan arahan Hakim Ariffin.

Dia mendakwa tidak ada apa bukti yang kukuh untuk mensabitkannya.

Hakim Ariffin dengan nada meninggi menyatakan beliau memberi peluang kepada Anwar dan meminta dengar nasihat peguam belanya.

Anwar masih bersikap provokasi sambil menyatakan dia hanya memulakan mukadimah sahaja dan belum sampai perkara pokok yang hendak dikatakannya.

''Penghakiman ini tidak berasaskan undang-undang. Ia tidak adil dan memalukan,'' kata Anwar.

Dengan suara yang meninggi Hakim Ariffin berkata: ''Hentikan. Kamu tidak boleh mengkritik mahkamah.''

Tetapi Anwar terus mengeluarkan kata-kata bahawa keputusan yang dibuat itu mengaibkan.

Hakim Ariffin lalu mengarahkan sidang ditangguhkan 10 minit supaya peguam bela menasihatkan Anwar.

Anwar menyampuk seolah mempersendakan dengan kata-kata ''10 hari!''

''Ini ada hadnya,'' kata Hakim Ariffin.

Anwar menyampuk lagi, ''Ada hadnya badan kehakiman yang karut, Yang Arif.''

Hakim Ariffin dengan keras berkata: ''You are a sick man.''

Anwar segera menyampuk: ''Only a sick judge would call me a sick man.''

Serentak itu kedengaran penyokong Anwar di galeri awam memekik ''Allahuakbar.''

Hakim Ariffin lalu menangguhkan sidang tetapi Anwar masih mengeluarkan kata-kata provokasi ''tangguh 10 minit untuk mengambil Panadol.''

Apabila sidang diteruskan semula, Fernando memohon Hakim Ariffin menarik kata-katanya yang tidak sesuai terhadap Anwar ''You are a sick man.''

Hakim Ariffin bersetuju sambil menyatakan beliau meminta maaf jika kata-katanya melukakan hati Anwar.

''Saya minta maaf, kamu bukan sick man dan bukan 'gila', tetapi Datuk Seri mestilah mengikut prosedur,'' jelas Hakim Ariffin.

Pada akhir sidang, Anwar kemudian secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Hakim Ariffin kerana menjatuhkan hukuman itu dan berkata: ''Jumpa lagi pada tahun 2014''.

Antara mereka yang hadir dalam bilik mahkamah yang penuh sesak itu ialah anggota keluarga Anwar termasuk isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak beliau, ibu bapa Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Datin Che Yan Hamid.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------

Keputusan Rayuan Sabitan Kes Liwat - satu ulasan

SAYA sekadar hendak menyatakan apa yang telah Mahkamah Tinggi [2001] 3 Malayan Law Journal, 193 m/s 250 dan Mahkamah Persekutuan [2004] 3 MLJ 405 m/s 424 nyatakan dalam penghakiman mereka seperti dilaporkan.

Dalam kes jenayah Dato Seri Anwar Bin Ibrahim (OKT) v PP, Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan kesimpulan fakta (finding of fact) Yang Arif Hakim bicara Mahkamah Tinggi yang berpendapat bahawa Azizan bukan orang yang bersubahat dengan OKT akan tetapi adalah mangsa liwat OKT. Kesimpulan fakta bahawa Azizan bukan orang bersubahat tetapi mangsa juga dipersetujui oleh Yang Arif-Arif Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan (Court of Appeal).

Sebab atau alasan Yang Arif Hakim bicara Mahkamah Tinggi mengatakan bahawa Azizan adalah mangsa liwat bukan orang bersubahat dengan OKT adalah kerana, Azizan dijemput ke Tivoli Villa oleh Sukma (OKT yang Kedua dalam kes ini) untuk melawat dan melihat apartmen baru Sukma (OKT kedua) dan bukan kerana Azizan mempunyai niat melakukan liwat dengan OKT1 dan OKT2.

Maka semata-mata perbuatan liwat saja (actus reus) pada pendapat Yang Arif Hakim bicara Mahkamah Tinggi, tidak memadai untuk menjadikan Azizan seorang yang bersubahat dengan perbuatan liwat kerana Azizan juga perlu ada niat melakukan liwat. Bermaksud, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa Azizan adalah mangsa OKT1 dan OKT2.

Mahkamah Rayuan pula tidak menambah apa-apa dalam menyetujui kesimpulan fakta ini bahawa Azizan bukan orang bersubahat dengan perbuatan liwat dengan OKT1 dan OKT2 tetapi mangsa liwat.

Saya pendekkan cerita. Adalah menjadi tabiat dan amalan Mahkamah dalam bidang kuasa rayuannya untuk tidak mengusik/menggangu-gugat (interfere) kesimpulan fakta (finding of fact) Mahkamah bicara yang mempunyai kelebihan melihat dan mendengar (dan mencatat keterangan) saksi-saksi serta berpeluang menilai gerak-geri (demeanour) saksi-saksi berbanding Mahkamah dalam bidang kuasanya mendengar rayuan yang hanya berdasarkan kepada apa yang tertulis pada nota keterangan semata-mata.

Namun, Mahkamah Persekutuan dalam kes ini mengatakan bahawa itu tidak bermakna Mahkamah Persekutuan yang mendengar Rayuan tidak boleh campur tangan jika kesimpulan fakta dan keterangan tidak selari/ngam (not tally).

Walau bagaimanapun, kerana terpaksa, Mahkamah Persekutuan mengusik juga kesimpulan fakta Yang Arif Hakim Mahkamah bicara (yang telah dipersetujui juga oleh Mahkamah Rayuan [Court of Appeal[) yang juga menyimpulkan bahawa Azizan adalah mangsa liwat.

Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa adanya keterangan yang Azizan bukan mangsa liwat sebaliknya adalah orang yang bersubahat dalam perbuatan liwat dengan OKT1 dan OKT2. Yang Amat Arif Abdul Hamid Mohamad, Hakim Mahkamah Persekutuan massa itu mengatakan di [2004] 3 MLJ 405 m/s 424,


“The Court of Appeal added nothing to it in agreeing with the finding of the learned trial judge.In our view, if the learned trial judge was looking for mens rea he should look at the surrounding circumstances. This is where evidence of similar facts becomes relevant. This is not a case of a person who was merely present at the time of the commission of the offence or participated in it only once.

By his own evidence, he was sodomised 10 to 15 times at various places, including in the house of the first appellant over a number of years. He never lodged any police report. He never complained about it until he met Ummi in 1997. He did not leave the job immediately after he was sodomised the first time, we do not know when. Even after he left the job, he went back again to work for the first appellant's wife.

Even after he left the second time, he continued to visit the appellant's house. He even went to the first appellant's office. When invited by the second appellant to go to Tivoli Villa, he went. He said he was surprised to see the first appellant there. Yet he stayed on. Signalled to go into the bedroom, he went in. There is no evidence of any protest. He followed whatever 'instructions' given to him.He said he submitted under fear and was scared of both the appellants.

A person may allow himself to be sodomised under fear once or twice but certainly not 10 to 15 times over a number of years. He is not a child nor an infirm. Even on this occasion, when he saw the first appellant there, he would have known of the possibility of the first appellant wanting to sodomise him again. Why did he not just go away? Instead, by a mere signal, he went into the bedroom, as if he knew what was expected of him. He did nothing to resist, in fact co-operated in the act.

And, after the first appellant had finished and went to the bathroom, he remained in that 'menungging' position. What was he waiting for in that position? Indeed the whole episode, by his own account, appears like a repetition of a familiar act in which each actor knows his part. And, after that he went back to the place again, twice and talked about the incident as 'the first time' he was sodomised there, giving the impression that there was a second or third time.

Are all these consistent with a person who had submitted under fear? We do not think so. Therefore, in our judgment Azizan is an accomplice, though he may be a reluctant one.”

Ramai yang mengalami kesukaran (termasuk pensyarah undang-undang juga) untuk memahami keputusan ini kerana OKT1 sebenarnya dibebaskan atas teknikal keterangan. Untuk seseorang mengikuti dan memahami kes ini, seorang itu hendaklah menguasai Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950) dan Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code) selain seksyen liwat dalam Kanun Keseksaan.

Maka, jika bukan kerana tiada liwat, atas sebab apa OKT dibebaskan? Biar saya jelaskan - dalam kes sivil mahupun jenayah, keterangan seorang saksi boleh dikatakan credible (adil) setelah saksi itu mengangkat sumpah, dia memberikan keterangan (dan besar kemungkinan disoal balas) dan keterangannya tidak tergugat.

Keterangan saksi tidak seharusnya ditolak kesemuanya hanya kerana ada satu dua percanggahan. Mahkamah perlu memilih yang elok dari yang tidak dan bukan menolak kesemua keterangannya (impeachment) hanya kerana ada di antara keterangannya tidak elok di sana sini. Abdul Hamid Mohamad FCJ mengatakan,

Dato Seri Awar Bin Ibrahim v PP [2004] 3 MLJ 405, at pg 415 (Mahkamah Federal)
“For the purpose of the case, in a criminal trial, it is not necessary for the defence to show or for the court to arrive at a conclusion that Azizan is a liar before his evidence may be regarded as unreliable. Azizan may not be a liar but his evidence may or may not be reliable. Further, some parts on his evidence may be reliable and some may not be.”

Dato Seri Awar Bin Ibrahim v PP [2004] 3 MLJ 405, at pg 422 & 423 (Mahkamah Federal)“In the circumstances, even though, for the reasons that we have given, we do not interfere with the finding of the trial judge in the impeachment proceeding, when we consider Azizan's evidence as a whole, we are unable to agree with the 'firm finding' of the learned trial judge and the Court of Appeal that Azizan 'is a wholly reliable, credible and truthful witness'. Evidence does not support such a finding.

He was most uncertain, in particular about the 'date' of the offence, not just the day or the week or even the months but the year. We do not say he is an 'outright liar' as Mr Christopher Fernando was trying to convince us. But, considering the whole of his evidence, he is certainly not the kind of witness described by the learned trial judge.”

Secara umumnya, keterangan seorang saksi credible (yang dipercayai – adil) mencukupi bagi tujuan sabitan. Ini adalah kerana keterangan saksi dinilai/timbang bukan dikira banyak mana jumlah mereka (seksyen 134 Akta Keterangan 1950). Namun, walaupun tidak salah sesuatu sabitan hanya kerana saksi tersebut adalah seorang yang bersubahat dengan OKT (seksyen 113 Akta Keterangan), telah menjadi amalan yang seteguh undang-undang (rule of practice that had hardened into a rule of law) bahawa tidak selamat sabitan tersebut jika tiadanya muhasabah/amaran Hakim dikehendaki mengingatkan dirinya akan bahaya mengguna-pakai dan mempercayai keterangan seorang yang bersubahat terhadap rakan sejenayahnya yang menjadi OKT.

Perlu ada catatan/ nota keterangan bahawa Hakim bicara memberikan dirinya amaran bahawa dia peka kepada bahaya mempercayai keterangan seorang yang bersubahat terhadap rakan sejenayah. Justeru, adalah teratur jika Yang Arif Hakim bicara sediakan sebab-sebab beliau mempercayai keterangan orang yang bersubahat dalam mensabitkan rakan jenayah orang bersubahat terhadap tuduhan yang dikenakan pada OKT.

Dalam kes ini, oleh kerana Yang Arif Hakim Bicara Mahkamah Tinggi tidak berpendapat bahawa Azizan adalah seorang bersubahat (accomplice) tetapi seorang mangsa liwat, maka semula jadinya, YA Hakim bicara juga tidak perlu membuat amaran sedemikian pada dirinya.

Perlu faham juga, saksi seorang mangsa seks juga memerlukan amaran iaitu `adalah mudah untuk menuduh pelaku dalam kes seksual namun amat sukar untuk siPelaku yang dituduh itu menyangkal – contoh lihat kes Nabi Yusuf).

Pendekkan cerita, oleh kerana YA Hakim bicara tiada memberikan peringatan/amaran pada dirinya akan bahaya mempercayai keterangan saksi yang juga orang bersubahat, maka sabitan Dato Seri Anwar walaupun tidak salah, ianya tidak selamat.

Dengan teknikal sedemikian, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti dua lawan satu membebaskan Dato Seri Anwar. Namun, YAA Dato Siti Norma Yaakob tidak bersependapat kerana walaupun YA Hakim bicara Mahkamah Tinggi berpendapat Azizan adalah mangsa seksual bukan liwat dan telah pun memberikan peringatan/amaran pada dirinya akan perkara tersebut bila saksi itu mangsa liwat, YA Hakim bicara Mahkamah Tinggi juga pada perhitungan YAA Dato Siti Norma, telah juga memberikan peringatan/amaran pada dirinya sendiri seperti yang perlukan untuk saksi yang bersubahat juga.

Maka YAA Dato Siti Norma nampak bahawa sabitan Dato Seri Anwar bukan sahaja tidak salah, bahkan selamat juga. Dengan demikian, saya bersependapat dengan kesimpulan awal Tun DM di www.chedet.com tajuk “Anwar” yang mana Tun DM mengatakan “Jika dihitung kita akan dapati kesemua 10 hakim yang mendengar kes Anwar meliwat Azizan bersetuju perbuatan liwat oleh Anwar memang benar, walaupun dua di antara mereka memberi alasan teknikal untuk tidak menjatuhkan hukuman salah ke atasnya. Dakwaan oleh orang tertentu bahawa pembebasan Anwar adalah kerana dia tidak melakukan jenayah liwat adalah tidak benar.”

Di atas saya sudah terangkan alasan teknikal (corroboration) YAA Hakim Mahkamah Persekutuan. Adalah elok juga kita renungkan apa yang dkatakan oleh Lord Diplock dalam kes DPP v Hester House of Lords [1973] AC 296 at 324 – 326; sila jug abaca kes R v Kilbourne

“..common sense, the mother of common law, suggests that there are certain categories of witnesses whose testimony as to particular matters may well be unreliable either because they may have some interest of their own to serve by telling a false story, or through defect of intellect or understanding or, as in the case of those alleging sexual acts committed on them by others, because experience shows the danger that fantasy may supplant or supplement genuine recollection.

For brevity I will hereafter refer to evidence of this kind as `suspect’ evidence and the witnesses who give it as `suspect’ witnesses.”

Prof Madya DR Abdul Rani Bin Kamarudin

Pensyarah Undang-Undang (Akta Keterangan & Tatacara Jenayah)

Kulliyah Undang2 Ahmad Ibrahim, IIUM




Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "KEPUTUSAN KES LIWAT"