untuk carian lebih pantas sila taip katakunci dalam kotak dibawah dan klik butang 'search'
Loading

Friday, July 25, 2008

PENDAKWAAN - 1

ARKIB : 03/11/1998

Bicara penuh hari ini -- Hakim tolak bantahan awal peguam bela Anwar


ANWAR yang tidak bergari, tenang ketika memasuki mahkamah sambil berbisik sesuatu dengan salah seorang peguamnya, Gurbachan Singh sebelum perbicaraan kesnya bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas empat tuduhan rasuah akan mula didengar sepenuhnya esok selepas Hakim Mahkamah Tinggi menolak bantahan peguam belanya terhadap kesahihan undang-undang pertuduhan.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mengarahkan supaya perbicaraan itu berjalan dengan lancar mulai pukul 2 petang esok setelah beliau bersetuju dengan hujah pendakwa raya bahawa Dewan Negara belum mengemukakan resolusi pemansuhan Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970.

Oleh yang demikian, kata beliau, tuduhan-tuduhan terhadap Anwar yang dibuat di bawah Seksyen 2(1) ordinan itu masih boleh diguna pakai.

Sebelum itu peguam bela Anwar menghujah bahawa ordinan itu telah dimansuhkan.

Ketika mahkamah bermula hari ini kira-kira pukul 9.20 pagi, hakim itu mengeluarkan arahan bahawa perbicaraan dijalankan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh digunakan jika perlu.

Raja Aziz Addruse yang juga merupakan bekas Presiden Majlis Peguam mengetuai barisan sembilan peguam yang mewakili Anwar.

Sebelum itu, Anwar diwakili oleh lapan peguam bela bagaimanapun, Raja Aziz memaklumkan bahawa peguam Zulkifli Noordin turut dilantik mewakili Anwar.

Menurutnya, nama Zulkifli tidak dimasukkan dalam senarai awal peguam yang mewakili Anwar kerana beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Para peguam lain yang mewakili Anwar ialah Sulaiman Abdullah, Christopher Fernando, Zainur Zakaria yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, Gurbachan Singh, Kamar Ainiah Kamaruzaman, S.N. Nair dan Pawancheek Merican.

Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Azahar Mohamad, Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Nordin Hassan dan Shamsul Sulaiman.

Enam wakil antarabangsa yang gagal mendapat status permerhati bagaimanapun dibenarkan duduk di galeri awam yang juga dipenuhi oleh kira-kira 48 wartawan media tempatan dan asing selain isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan dua anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Turut hadir ibu bapa, bapa mertua dan juga saudara-mara Anwar yang terdekat.

Anwar, 51, diiringi masuk ke dalam mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi. Beliau kemudian dilihat memeluk isteri dan anak-anaknya serta saudara-maranya.

Ketika ditanya oleh wartawan bagaimanakah keadaannya sekarang, Anwar sambil tersenyum menjawab:

''Alhamdulillah, saya mengharapkan satu perbicaraan yang baik. Saya dalam keadaan sihat.''

Kesemua para wartawan yang hendak memasuki mahkamah sebelum itu diminta menjalani pemeriksaan keselamatan yang amat ketat.

Tuduhan kemudian dibacakan satu persatu oleh seorang jurubahasa, Tuan Kechik Tuan Hussain kepada Anwar.

Sebaik sahaja selesai tuduhan-tuduhan dibacakan, Anwar membuat pengakuan tidak bersalah atas semua tuduhan tersebut.

Ketika pendakwa mula membentangkan kes pendakwaannya, Raja Aziz bangun untuk memaklumkan bahawa pihaknya hendak mengemukakan satu bantahan awal dan memohon berhujah dalam bahasa Inggeris atas alasan ia melibatkan persoalan undang-undang.

Kata beliau, empat tuduhan terhadap Anwar berhubung kesalahan di bawah Seksyen 2 Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat dilaksanakan mengikut Perkara 150(1)(2)(b) Perlembagaan Persekutuan yang berpunca daripada darurat 1969.

Menurut beliau, dengan Perkara 150 (3) maka ordinan tersebut tidak ada kesan mengikut keadaan yang dinyatakan.

Raja Aziz membaca kandungan Perkara 150(3) yang berbunyi: ''Perisytiharan darurat dan apa-apa ordinan yang diisytiharkan di bawah Fasal(2B) hendaklah dibentangkan dalam kedua-dua Majlis Parlimen.

''Jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua majlis itu membatalkan perisytiharan atau ordinan tetapi dengan tidak menyentuh apa-apa yang dilakukan dahulunya menurut Perisytiharan atau ordinan itu atau dengan tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan sesuatu Perisytiharan baru di bawah Fasal 1 atau mengisytiharkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B)(Akta 514) Undang-Undang 1983).''

Berhubung perkara itu, kata Raja Aziz, laporan akhbar menyebut bahawa Sidang Dewan Rakyat telah meluluskan sebulat suara membatalkan Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu Darurat 1970 berkuat kuasa 8 Januari tahun ini.

Beliau membacakan laporan itu yang menyebut bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz ketika membentangkan usul tersebut berkata, pembatalan usul tersebut dikemukakan di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan itu juga, kata Raja Aziz, memetik kata-kata timbalan menteri itu bahawa ordinan tersebut perlu dibatalkan berikutan pelaksanaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 oleh Dewan itu tahun lalu.

Nazri juga dilaporkan berkata, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 13 Ogos tahun lalu membincangkan nota Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengenai perlunya ordinan itu dibatalkan.

Oleh itu, hujah Raja Aziz, resolusi telah dibuat mengenai pembatalan ordinan tersebut di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun dalam penghujahan balas pihak pendakwa, Abdul Gani berkata, walaupun pembela membangkitkan isu ordinan yang telah dibatalkan tetapi pendakwa tetap menyatakan bahawa ia tidak menghalang kuasanya untuk mendakwa tertuduh (Anwar).

Tetapi, kata Abdul Gani, Ordinan itu tidak dibatalkan lagi kerana Dewan Negara belum membuat resolusi.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

-------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 03/11/1998

Permohonan 2 peguam jadi pemerhati ditolak


ANWAR Ibrahim tersenyum ketika dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Bangunan Sultan Abdul Samad semalam.


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S. Augustine Paul hari ini menolak permohonan dua pihak peguam bela untuk bertindak sebagai peguam-peguam pemerhati dalam prosiding perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam-peguam itu terdiri daripada Karpal Singh dan Gobind Singh Deo yang memohon sebagai pemerhati bagi pihak adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat yang kini menjalani hukuman penjara enam bulan selepas mengaku salah membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar.

Peguam-peguam Manjeet Singh Dillon dan Balwant Singh Sidhu pula memohon sebagai peguam pemerhati mewakili penulis ucapan Anwar, Dr. Munawar Ahmad Anees yang juga menjalani tempoh hukuman yang bagi kesalahan yang serupa.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak akan memanggil Sukma dan Dr. Munawar sebagai saksi dalam perbicaraan itu.

Bagaimanapun, Karpal memberitahu hakim berkenaan berhubung satu kenyataan akhbar oleh Kelab Senator yang menganggap beliau menghina mahkamah apabila membacakan sepucuk surat daripada Sukma di Parlimen baru-baru ini.

Hakim Augustine berkata, beliau tidak boleh memberi apa-apa jawapan dan bertanya kepada peguam yang mewakili Anwar, Raja Aziz Addruse sama ada pihaknya membuat permohonan mengenai perkara itu.

Karpal selepas itu menyatakan bahawa beliau sebagai pegawai mahkamah ingin membangkitkan satu lagi kenyataan akhbar yang disiarkan oleh sebuah akhbar Inggeris hari ini.

Beliau menarik perhatian hakim itu bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz dilaporkan menasihatkan Augustine mengundurkan diri jika tidak berupaya mengendalikan perbicaraan dalam bahasa kebangsaan.

Karpal berkata, ini perbuatan campur tangan daripada eksekutif yang meminta supaya Augustine meletakkan jawatan dan juga menekannya.

''Saya menyatakan ini perbuatan menghina mahkamah dan saya fikir beliau (Nazri) bercakap bagi pihak Perdana Menteri,'' kata Karpal.

Hakim Augustine menjawab: ''Saya mengendalikan sendiri perbicaraan ini.''

Karpal kemudian menunjukkan keratan akhbar itu lalu bertanya: ''Apakah Yang Arif akan hanya duduk di kerusi dan tersenyum dengan kenyataan yang dilaporkan itu? ''

Hakim Augustine meminta keratan akhbar itu daripada Karpal lalu menelitinya.

Selepas itu, hakim tersebut mengucapkan terima kasih kepada peguam itu kerana membangkitkan perkara tersebut.

Raja Aziz juga menunjukkan satu laporan akhbar bertarikh 30 Oktober lalu berhubung kenyataan yang dikatakan menghina mahkamah kerana tidak mematuhi arahan yang melarang apa juga pernyataan sama ada Anwar bersalah atau tidak bersalah dalam kesnya.

Sehubungan dengan itu, Hakim Augustine mengarahkan supaya Raja Aziz mengemukakan satu permohonan berhubung dakwaan menghina mahkamah.

ARKIB : 04/11/1998

Azmin, Shamsidar jadi saksi pendakwa

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Mohd. Ali dan isterinya Shamsidar Taharin akan menjadi saksi pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Selain mereka berdua, dua lagi yang akan dipanggil sebagai saksi ialah abang kepada Azmin, Mohd. Azman Mohd. Ali dan Halimatul Saadiah.

Nama-nama mereka disebut di Mahkamah Tinggi hari ini apabila mahkamah itu membenarkan peguam C.V Prabhakaran bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keempat-empat saksi pendakwa itu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail sebelum itu mengesahkan kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul bahawa kesemuanya berkemungkinan dipanggil sebagai saksi.

Sebelum itu, peguam Raja Aziz Addruse sekali lagi menarik perhatian mahkamah berhubung satu laporan akhbar hari ini yang bertajuk: ''Dua wakil Majlis Peguam dibenar jadi pemerhati.''

Beliau berkata, berkenaan pemerhati itu, semalam Hakim Augustine telah membuat keputusan bahawa enam badan antarabangsa termasuk juga Majlis Peguam Malaysia tidak dibenarkan hadir di mahkamah.

Bagaimanapun, hakim Augustine segera memperbetulkan kata-kata peguam tersebut dengan menjelaskan bahawa beliau bukan menyatakan tidak membenarkan mereka hadir di mahkamah.

''Mahkamah tidak boleh memberi status pemerhati kepada mereka,'' ujar beliau.

Raja Aziz menghujah lagi bahawa menurut keratan akhbar itu, Majlis Peguam dibenarkan jadi pemerhati dan ini diberitahu oleh Presidennya, C.V. Das dalam satu kenyataan kepada akhbar tersebut.

Menurut kenyataan itu, kata Raja Aziz, Das menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai perkara yang membenarkan Majlis Peguam menjadi pemerhati oleh Pendaftar Mahkamah lewat semalam.

''Jadi daripada apa yang saya baca itu bahawa ia sekali lagi mengetepikan keputusan Yang Arif seperti yang pertama berlaku dahulu. Soalnya adakah berita ini boleh diketepikan sahaja,'' tanya Raja Aziz.

Hakim Augustine kemudian dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak membenarkan permohonan untuk pemerhati dan keputusan itu adalah muktamad.

----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 04/11/1998

Mahkamah tolak bantahan peguambela


UMMI Hafilda Mohd. Ali (kanan) yang dibabitkan dalam dua pertuduhan terhadap Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur semalam bersama abangnya Azwan.


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Hakim Datuk S. Augustine Paul hari ini memerintahkan supaya perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan selepas permohonan untuk menangguhkannya sehingga mahkamah memutuskan rayuan berhubung isu kesahihan undang-undang pertuduhan di bawah Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 ditolak.

Sebelum itu, Hakim mengesahkan bahawa beliau menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh peguamnya, Raja Aziz Addruse semalam.

Beliau berkata, mengikut notanya, keputusan itu sudah dicatatkan.

Peguam Raja Aziz yang mengetuai pembelaan dalam kes Anwar menimbulkan perkara itu atas alasan bahawa beliau kurang mendengar dengan jelas mengenai keputusan mahkamah semalam.

Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan hakim Augustine, Raja Aziz mengemukakan satu lagi permohonan untuk menangguhkan prosiding itu sehingga rayuan pihaknya dibuat di Mahkamah Rayuan.

Raja Aziz berkata, mahkamah harus menimbangkan bahawa Dewan Negara belum membuat resolusinya berhubung ordinan tersebut dan jika diteruskan ia menyalahi proses perbicaraan.

Beliau menegaskan bahawa ia adalah isu prosedur dan harus diputuskan dengan muktamad sebelum perbicaraan bermula.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bagaimanapun membantah permohonan menangguhkan kes itu dan menyatakan bahawa Dewan Negara belum lagi memansuhkan ordinan tersebut.

ARKIB : 04/11/1998

Pendakwa: Anwar guna Cawangan Khas Polis

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Abdul Gani Patail membuka tirai perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan matlamat untuk membuktikan tertuduh menggunakan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia untuk kepentingan dirinya sendiri.

Menurut Abdul Gani, saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang akan dikemukakan oleh pendakwa raya akan membuktikan melampaui sebarang keraguan yang munasabah bahawa Anwar telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk kepentingan diri.

Dalam pernyataan pembukaan yang dibentangkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pendakwa raya menggariskan empat pertuduhan rasuah bagi melindungi perbuatan salah laku seks dan meliwat terhadap Anwar.

Abdul Gani mengemukakan pertuduhan-pertuduhan tersebut sebagai kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 2 (1), Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1970.

Menurutnya, semasa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, tertuduh (Anwar) menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau menambah, perkara yang membawa kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh berpunca daripada surat bertarikh 5 Ogos 1997 daripada Ummi Hafilda Mohd. Ali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkaitan Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri (tertuduh) dan Pengakuan Bersumpah Azizan Abu Bakar dan satu surat bertajuk Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Seterusnya, apabila surat daripada Ummi Hafilda dengan Pengakuan Bersumpah Azizan serta surat Talqin tersebut diketahui oleh tertuduh, beliau mengambil pelbagai tindakan bagi menafikan kandungan surat-surat dan pengakuan bersumpah berkenaan.

Jelas Abdul Gani, segala tindakan tertuduh itu telah diambil dengan menggunakan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengarahkan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus menemuinya di kediaman rasminya.

Pada pembentangan kenyataan itu, Abdul Gani memberitahu mahkamah bahawa ketika perjumpaan-perjumpaan itu, Anwar memberi arahan-arahan tertentu berkaitan surat-surat dan pengakuan bersumpah berkenaan.

Hasil daripada arahan tertuduh, kata Abdul Gani, pihak Cawangan Khas Polis telah memperoleh surat-surat penafian daripada Ummi Hafilda dan Azizan masing-masing bertarikh 18 dan 29 Ogos tahun lalu.

Beliau menambah, surat-surat itu kononnya telah menjelaskan dan menafikan kandungan surat pertama daripada Ummi Hafilda bertarikh 5 Ogos 1997 dan Pengakuan Bersumpah Azizan.





ARKIB : 04/11/1998

Anwar disiasat sejak '92 -- Keterangan bekas Pengarah Cawangan Khas sebagai saksi pertama


ANWAR Ibrahim dibawa masuk ke dalam kenderaan polis yang membawanya ke Penjara Sungai Buloh selepas selesai perbicaraan hari kedua di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa siasatan terhadap salah laku seksual bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula sejak tahun 1992 menerusi operasi Solid Grip.

Beliau yang merupakan saksi pertama berkata, taklimat berhubung perkembangan siasatan itu telah diberikan oleh timbalannya, Datuk Amir Junus dan Penolong Pesuruhjaya Polis, Mazlan Mohd. Din pada tahun 1997.

Keterangan Mohd. Said itu mengundang bantahan oleh Christopher Fernando, salah seorang daripada sembilan peguam yang mewakili Anwar, yang mendakwa keterangan saksi itu tiada kaitan dengan tuduhan yang dibicarakan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menerangkan bahawa kaitannya memang ada dan akan dijelaskan satu persatu mengikut keterangan saksi tersebut.

Hakim Datuk S. Augustine Paul yang mengendalikan perbicaraan itu berkata: ''Sekiranya ia ada kaitan maka kita dengarlah.''

Namun Fernando meneruskan bantahan sambil berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan penggunaan kata-kata 'salah laku seksual' terhadap Anwar kerana operasi itu dibuat pada 1992.

Abdul Gani menjawab bantahan tersebut sambil menyatakan bahawa saksi itu tidak menjelaskan apa-apa mengenainya.

Mohd. Said, 51, yang kini bercuti sebelum bersara mulai 17 November ini memberi keterangannya sebagai saksi penting pihak pendakwa pada hari pertama perbicaraan penuh terhadap Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Sebelum mengangkat sumpah sebagai saksi, Mohd. Said memaklumkan bahawa beliau ingin memberi keterangannya dalam bahasa Inggeris dalam perbicaraan yang bermula pukul 3.05 petang.

Dalam keterangan seterusnya, Mohd. Said ditanya apakah yang dilakukannya selepas beliau diberikan taklimat mengenai operasi Solid Grip itu.

Menurut Mohd. Said, dua orang pegawainya itu memberi taklimat kepadanya ketika beliau berada di bilik kenamaan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira pukul 10.30 malam, pada 10 Ogos 1997.

Beliau berkata, oleh kerana hari sudah lewat dan beliau baru sahaja tiba dari luar negara, maka beliau meminta dua pegawainya itu menemuinya di pejabat pada keesokkannya.

Pada pertemuan di pejabatnya pada pukul 7 pagi 11 Ogos, kata Mohd. Said, beliau diberi taklimat lanjut berhubung siasatan tersebut oleh kedua-dua pegawainya itu.

Beliau kemudian mengarahkan kedua-dua pegawai itu memberikan pula taklimat kepada Ketua Polis Negara (KPN) sementara beliau pergi ke pejabat Timbalan Perdana Menteri kerana memenuhi temu janji dengan Anwar berhubung dengan satu perkara lain.

''Ya, benar, saya bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,'' kata Mohd. Said sambil mengenal pasti Anwar yang duduk di kandang tertuduh.

Mohd. Said berkata, beliau dan beberapa pegawai bertemu Anwar di pejabatnya kira-kira pukul 9 pagi.

''Kami memberikan taklimat mengenai pergerakan Syiah dan sekiranya saya tidak silap Anwar ketika itu memangku tugas sebagai Perdana Menteri (ketika Dr. Mahathir bercuti sambil bekerja di luar negara selama dua bulan),'' kata beliau.

Selepas itu, kata Mohd. Said, Anwar meminta beliau bertemu dengannya secara sendirian.

Pada peringkat ini, Abdul Gani bertanya: ''Mengapakah dia (Anwar) menyuruh kamu bertemu dengannya?''

Jawab Mohd. Said: ''Anwar memberitahu saya mengenai sepucuk surat yang mengandungi dakwaan 'liar' terhadapnya. Anwar juga meminta saya menyiasat perkara itu.''

Seterusnya, kata saksi itu lagi, permintaan Anwar itu kemudian dimaklumkan kepada KPN.

Pada 12 Ogos tahun lalu, kira-kira pukul 3 petang, kata Mohd. Said, beliau mengadakan pertemuan dengan Amir dan Mazlan bagi taklimat mengenai surat yang ditulis oleh seorang wanita.

Mohd. Said berkata, beliau diberitahu mengenai kandungan surat tersebut dan juga membincangkan mengapakah surat itu ditulis.

''Saya juga dimaklumkan bahawa surat itu diedarkan tetapi tidak secara meluas,'' kata beliau.

Kira-kira pukul 4.40 petang hari yang sama, kata saksi itu, beliau bersama dua pegawainya bertemu dengan KPN dan diarah menyiasat perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Ketika diminta merujukkan surat tersebut, Mohd. Said mengesahkan bahawa surat bertarikh 5 Ogos 1997 itu dialamatkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Mohd. Said juga bersetuju dengan pendapat pendakwa raya bahawa kandungan utama surat itu ialah mengenai salah laku Anwar.

Seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh bingkas bangun membantah apabila Abdul Gani bertanya kepada Mohd. Said : ''Siapakah penulis surat itu?''

Hakim Augustine membenarkan bantahan itu.

Abdul Gani mengubah soalannya: ''Menurut surat itu, siapakah penulisnya? '' lalu jawab Mohd. Said: ''Menurut surat itu, ia ditulis oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali.''

Saksi itu juga memberitahu, satu laporan khas dan surat sumpah oleh bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar yang ditandatangani pada 5 Ogos 1997 turut dilampirkan bersama-sama surat tersebut.

Sepanjang sesi perbicaraan hari ini, Anwar yang hadir memakai kemeja jalur biru dan berseluar biru gelap kelihatan tidak seceria semalam.

Sebaik sahaja dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 2.06 petang, Anwar terus memeluk ibunya, Datin Che Yan Hamid, isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan sahabatnya dari Indonesia, Dr. Adnan Buyung Nasution, wakil International Commision of Jurist yang beribu pejabat di Geneva.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

---------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 05/11/1998

Mahkamah diberitahu Anwar arah tangkapan

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis supaya menangkap Ummi Hafilda Mohd. Ali dan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar kerana menulis surat yang mendakwa dia terlibat dalam salah laku seksual.

Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang, saksi pertama pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Anwar mendesak beliau mencari mereka secepat mungkin.

''Anwar telah menggunakan perkataan 'gempaq' yang dipercayai membawa maksud 'to suprise or to fear them','' kata beliau.

Hakim Datuk S. Augustine Paul lantas menoleh ke arah jurubahasa, Tuan Kechik Tuan Hussain sambil bertanya apakah makna perkataan itu.

Bagaimanapun, Mohd. Said segera menjawab bahawa ia bermaksud untuk menakut-nakutkan mereka.

Beliau berkata, ia juga bertujuan mengubah pengakuan atau pendirian politik seseorang.

Mohd. Said sebelum itu menerangkan bahawa pada kira-kira pukul 8 malam 12 Ogos tahun lalu, beliau menerima panggilan daripada Timbalannya, Datuk Amir Junus yang memaklumkan bahawa Anwar hendak menemui mereka berdua.

Menurut saksi itu, beliau berjumpa dengan Anwar di bilik perpustakaannya pada kira-kira pukul 10 malam dan sambil berbual, Anwar meminta mereka mencari Ummi Hafilda dan Azizan berhubung surat yang mengandungi dakwaan perihal salah laku dirinya.

Kata Mohd. Said, beliau dan pegawainya kemudian mengkaji perkembangan terbaru berhubung perisikan berkaitan surat itu dalam usaha mengesan Ummi Hafilda dan Azizan.

Mohd. Said berkata, beliau seterusnya mengarahkan pegawainya, Penolong Pesuruhjaya Polis, Mazlan Mohd. Din supaya mengesan mereka.

Selepas menemui Ketua Polis Negara untuk memaklumkan mengenai arahan Anwar pada keesokan harinya, kata Mohd. Said, beliau telah dimaklumkan oleh Amir bahawa Anwar hendak berjumpa beliau di kediaman rasminya.

Menurut saksi, beliau bersama Amir sekali lagi berjumpa Anwar dan berbincang mengenai perkembangan terbaru surat tersebut.

''Jika beliau tidak silap, maklumat yang diperolehi menyebut bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Megat Junid Megat Ayob telah memberikan surat tersebut kepada Ketua Polis Negara.

''Pihak kami mengetahui kandungan surat itu melalui Ketua Polis Negara,'' jelas Mohd. Said.

Pada pertemuan itu juga, kata Mohd. Said, beliau memaklumkan kepada Anwar bahawa polis masih belum dapat mengesan Ummi Hafilda dan Azizan.

''Apakah tertuduh (Anwar) kata kepada kamu mengenai hal itu?'' tanya Datuk Abdul Gani Patail.

''Dia mendesak supaya Ummi Hafilda dan Azizan dicari segera,' jawab Mohd. Said sambil menambah, Anwar juga mahu pihaknya menyiasat edaran satu lagi surat bertajuk Talqin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.

Seterusnya, pada 15 Ogos tahun lalu, kata saksi itu, beliau berbincang dengan Amir dan Mazlan tentang usaha mengesan Ummi Hafilda dan Azizan.

Pada perbincangan itu, kata Mohd. Said, beliau dimaklumkan mengenai pengedaran surat kedua itu yang turut mengandungi dakwaan mengenai perihal salah laku seks Anwar.

Katanya, pada perenggan akhir surat itu, tertulis nama pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tiga buah pertubuhan lain.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 05/11/1998

Suasana perbicaraan hangat hari ini


HAKIM Datuk Augustina Paul diiringi anggota polis masuk ke kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Suasana perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi hari ini hangat seketika apabila seorang peguam belanya, Gurbachan Singh bingkas bangun membantah kata-kata saksi pendakwa yang disifatkan sebagai pendapatnya sendiri.

Saksi tersebut, Mohd. Said Awang telah ditanya oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail kenapa beliau selaku Pengarah Cawangan Khas begitu mengambil berat arahan Anwar pada bulan Ogos tahun lalu supaya dakwaan mengenai peri lakunya disiasat.

Sambil teragak-agak, Mohd. Said berkata: ''Yang Arif, soalan ini sukar dijawab. Ini hanyalah komen saya. Saya rasa tertuduh ada masalah...''

Mendengar kata-kata Mohd. Said, Gurbachan segera bangun membantah sambil berkata: ''Kami membantah kerana ia bukanlah jawapan.''

Sebelum itu, seorang lagi peguam mewakili Anwar, Christopher Fernando telahpun mengemukakan membantah terhadap sesetengah keterangan saksi tersebut yang disifatkan sebagai pendapatnya sendiri.

Ekoran bantahan itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul dengan suara yang tegas berkata: ''Biarlah saya merekodkan kata-kata kamu dulu.''

''Saya tidak ada komputer seperti...'' kata beliau sambil menunjuk ke arah Timbalan Pendakwa Raya, Shamsul Sulaiman yang menggunakan komputer untuk mencatatkan perjalanan perbicaraan itu bagi pihak pendakwa.

Secara spontan, Gurbachan mencelah dengan kata-kata: ''Yang Arif berkasar dengan peguam bela.''

Hakim Augustine menjawab: ''Biarlah saksi itu memberi jawapannya.''

''Tolonglah duduk,'' kata Abdul Gani yang ditujukan kepada Gurbachan.

''Kamulah yang duduk!'' jawab peguam itu dengan nada meninggi.

Hakim Augustine berkata, beliau memandang serius suasana tegang itu dan mengingatkan bahawa mahkamah boleh menggunakan kuasanya.

Peguam Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguambela Anwar kemudian memohon untuk berkata sesuatu.

Katanya, pendakwa raya itu tidak boleh mengemukakan soalan sedemikian kerana ia hanya tanggapan semata-mata.

Hakim Augustine bagaimanapun menolak bantahan peguam bela dan meminta Mohd. Said meneruskan jawapannya.

Saksi itu berkata, beliau mengagak Anwar mempunyai masalah dan sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah mengarahkan beliau menyiasat perkara yang menyentuh tentang dirinya.

Gurbachan bangun lagi membantah dan berkata: ''Saksi ini tidak menjawab sebagaimana dikehendaki oleh fakta dan hanya membuat spekulasi dan mengagak.''

''Saya meminta supaya ia tidak direkodkan,'' kata beliau.

Hakim Augustine berkata: ''Biarlah saya dengar dulu. Saya hendak merekodnya. Saya tidak ada pita rakaman atau komputer. Ikutlah kemampuan saya menulis. Jangan cepat sangat.''

Abdul Gani kemudian menyoal Mohd. Said: ''Sudahkah kamu beritahu mahkamah bahawa kamu diarah beberapa kali oleh tertuduh. Bolehkah kamu beritahu mengapa kamu mematuhi arahannya.

Mohd. Said menjawab: ''Sebab dia Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.''





ARKIB : 05/11/1998

'Ummi, Azizan dipaksa' -- Mohd. Said: Anwar arah dakwaan skandal seks ditarik balik


UMMI Hafilda Ali dan artis Ziela Jalil (kiri) turut berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ketiga pembicaraan Anwar Ibrahim, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau supaya memaksa Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar menarik balik dakwaan penglibatannya dalam skandal seks.

Ummi Hafilda adalah adik bekas setiausaha sulit Anwar, Azmin Mohd. Ali manakala Azizan pula bekas pemandu Anwar.

Mohd. Said berkata, Anwar mahu dakwaan-dakwaan itu ditarik balik melalui satu surat terbuka yang tidak ditujukan kepada sesiapa.

Selain itu, kata beliau, Anwar mengarahkan supaya surat itu dihantar ke pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Ketika ditanya bagaimanakah cara Anwar memintanya supaya Ummi Hafilda dan Azizan membuat surat tersebut, Mohd. Said menjawab bahawa beliau terpaksa menemui mereka.

Mohd. Said, 54, memberitahu demikian sebagai saksi pertama pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi itu yang kini bercuti sebelum bersara mulai 17 November ini menyambung keterangan utamanya pada perbicaraan hari ketiga terhadap Anwar.

Anwar, 51, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Pada keterangannya di sebelah petang hari ini, Mohd. Said berkata, pada tengah hari 27 Ogos tahun lalu, timbalannya, Datuk Amir Junus memaklumkan bahawa Anwar hendak berjumpa dengan mereka pada hari itu juga.

''Adakah dia beritahu pukul berapa tertuduh hendak berjumpa kamu,'' tanya Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail.

''Saya tidak ingat, tapi saya rasa pada waktu malam,'' kata Mohd. Said.

Menjawab soalan Abdul Ghani. Mohd. Said berkata: ''beliau dan Amir tiba di kediaman Anwar antara pukul 9.30 dan 10 malam hari yang sama.

'Bolehkah kamu ceritakan kepada mahkamah apakah yang berlaku di antara kamu, Amir Junus dan tertuduh?'' tanya Abdul Gani.

Mohd. Said berkata, pada sesi perbicaraan pagi ini, beliau telah pun memberitahu mahkamah bahawa Anwar tidak berapa suka cara Ummi Hafilda dan Azizan memberi akuan melalui surat untuk menarik balik dakwaan mereka terhadapnya.

Pada malam itu, kata saksi itu, Anwar mengarahkan beliau dan Amir supaya mendapatkan Ummi Hafilda dan Azizan menyuruh setiap orang daripada mereka membuat surat mengisytiharkan bahawa dia tidak terlibat dengan sebarang skandal seks.

Adakah tertuduh beritahu mengapa dia mahu dua surat tersebut,'' tanya Abdul Gani.

Mohd. Said berkata: ''Saya tidak tahu.''

Pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari keesokannya, kata Mohd. Said, beliau memberi taklimat berhubung arahan Anwar kepada Ketua Polis Negara (KPN).

Mohd. Said menerangkan pada malam 29 Ogos tahun lalu, beliau dan Amir pergi ke kediaman Anwar.

''Apakah tujuan kamu pergi ke kediaman tertuduh?'' tanya Abdul Gani.

''Kami ke sana untuk menyerahkan surat-surat yang telah ditulis oleh Ummi Hafilda dan Azizan seperti yang dikehendaki oleh Anwar,'' jawab Mohd. Said.

''Apa yang kamu maksudkan dengan dua surat itu?'' soal Abdul Gani lagi.

''Saya rasa kita sudah faham,'' jawab saksi itu.

Beliau kemudian mengesahkan dua dokumen daripada Azizan, satu yang ditulis tangan dan satu lagi yang ditaip dan ditandatanganinya bertajuk 'Kenyataan Umum oleh Azizan'.

Mohd. Said juga mengesahkan dua lagi surat yang serupa kandungannya dibuat oleh Ummi Hafilda.

Perbicaraan bersambung esok.

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 06/11/1998

Laporan konspirasi disebut dalam mahkamah

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa nama-nama tokoh pemimpin yang didakwa berkonspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut dalam laporan yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Ogos tahun lalu.

Laporan itu juga mengandungi pengakuan Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar yang menafikan perihal salah laku seks Anwar.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang yang menyediakan laporan itu berkata, beliau tidak ingat sama ada menulis nama-nama yang disebutkan oleh peguam bela yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mohd. Said yang merupakan saksi pertama pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap Anwar ditanya oleh Christopher Fernando mengenai laporannya itu.

Kata Fernando: ''Kamu menulis nama-nama, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Megat Junid dan isterinya, Ziela Jalil, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin dan beberapa tokoh korporat.''

Mohd. Said menjawab: ''Saya tidak pasti sama ada menyebut nama Megat Junid dan Ziela Jalil dalam laporan itu.''

''Apakah hubungannya, kamu sebutkan nama mereka dalam laporan itu,'' tanya Fernando.

Mohd. Said berkata: ''Sebenarnya, saya tidak pasti sama ada saya menulisnya dalam laporan saya seperti yang ditimbulkan oleh peguam bela. Tetapi saya tidak menafikannya.''

Saksi itu menambah: ''Saya mungkin ada menyebut dalam laporan saya mengenai dua orang yang menyamar sebagai anggota polis untuk bertemu dan menekan Ummi Hafilda dan Azizan yang dikatakan membuat dakwaan palsu terhadap Anwar.''

''Adakah kamu sebutkan fakta bahawa Tun Daim bertemu dengan Ummi Halfida sebagai sebahagian rancangan ini?'' tanya Fernando.

Mohd. Said berkata: ''Mungkin ada dan saya tidak nafikan.''

''Datuk, adakah kamu menyebut mengenai Dr. Rastina Majid dalam laporan itu,'' tanya Fernando.

Mohd. Said menjawab: ''Saya tidak pasti tetapi Perdana Menteri ada bertanya saya sama ada polis menggunakan mesingan ketika cuba memasuki rumah Dr. Rastina untuk menangkap Ummi Hafilda dan Azizan.''

''Apakah reaksi kamu,'' tanya Fernando.

Mohd. Said berkata: ''Saya maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa pihak polis tidak menggunakan senjata itu.''

Berikutan itu, Fernando memohon untuk mendapatkan laporan tersebut bagi pembelaan Anwar.

Hakim Datuk S. Augustine Paul bagaimanapun mengarahkan supaya Fernando mengemukakan permohonannya mengikut peraturan undang-undang.

-------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 06/11/1998

Hakim beri peluang saksi bertenang


ANWAR Ibrahim dibawa keluar meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk ke Penjara Sungai Buloh setelah selesai perbicaraan hari keempat.


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini tertangguh seketika apabila saksi pertama, Datuk Mohd. Said Awang yang menyambung keterangannya hari ini, diberi peluang untuk bertenang ekoran kekhuatirannya berhubung keterangannya semalam.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menangguhkan perbicaraan selama 10 minit setelah suasana tegang mula dirasakan antara Mohd. Said yang merupakan bekas Pengarah Cawangan Khas dan salah seorang peguam Anwar, Christopher Fernando berhubung jawapan saksi itu yang didakwanya diputar belit.

Keterangan Mohd. Said masuk ke hari yang ketiga hari ini dalam perbicaraan kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Ketika sesi perbicaraan bermula pada pukul 9 pagi ini, Mohd. Said menyuarakan kebimbangannya mengenai jawapan yang diberikannya semalam kepada soalan yang didakwanya diputarbelitkan oleh Fernando.

Kata Mohd. Said: ''Saya sedar, selepas membaca akhbar pagi ini, peguam (Fernando) telah memutarbelitkan keterangan saya berhubung soalan pertama semasa soal balas.''

Hakim menjawab: ''Jangan risau mengenai perkara itu kerana Timbalan Pendakwaraya akan menjelaskannya kepada saudara disoal semula selepas ini.''

Mohd. Said bagaimanapun berkata: ''Saya bimbang tentang bagaimana peguam telah memutarbelitkan fakta itu.''

Kenyataan saksi itu membuatkan Fernando bangun dan berkata: ''Saya juga bimbang mengenai dakwaan terhadap saya.''

Lalu Hakim berkata: ''Jangan risau mengenai perkara itu.''

Fernando kemudian menyoal Mohd. Said: ''Bukankah semalam kamu berkata 'kita' tidak percaya terhadap dakwaan liar itu?''

Jawab Mohd. Said: ''Saya tidak berkata demikian.''

Peguam itu menyoal lagi: ''Selepas mahkamah ditangguhkan semalam, adakah kamu bercakap dengan sesiapa mengenai keterangan itu?''

Kata Mohd. Said: ''Tidak Yang Arif, bagaimanapun saya telah bercakap dengan banyak orang mengenai kes ini, isteri saya, anak...''

Hakim menjelaskan: ''Bukan, apa yang dimaksudkan oleh Fernando ialah pihak pendakwa, polis...''

Fernando cuba mengimbas kembali: ''Mengikut rekod, kamu berkata, 'Saya mungkin telah berkata demikian'.''

Mohd. Said menjawab: ''Ya, saya berkata begitu tetapi berdasarkan kepada soalan, ia adalah salah.''

Kata Fernando lagi: ''Kamu kata, kamu bimbang, kenapa?''

Jelas Mohd. Said: ''Saya mungkin telah memberikan jawapan yang salah.''

Kata Fernando: ''Saya tanyakan soalan yang mudah kepada kamu.''

Mohd. Said menjawab: ''Maafkan saya, Yang Arif. Saya tidak merasa tenang pagi ini...''

Mendengar kata-kata Mohd. Said, Hakim Augustine memerintahkan supaya perbicaraan ditangguhkan selama 10 minit.

Kata Hakim: ''Semasa seseorang memberi keterangan, mereka harus bertenang, jangan bimbang. Pergi minum secawan kopi. Bercakap hanya yang benar. Cuba bertenang kerana kami mengharapkan bantuan kamu untuk mendapatkan kebenaran.''

Mohd. Said bertanya: ''Bolehkah saya meninggalkan mahkamah.''

Fernando mencelah: ''Boleh tak saksi cuba untuk tidak bercakap dengan sesiapa?''

Lalu Hakim mengingatkan: ''Jangan bercakap kepada sesiapa. Jangan bimbang. Cubalah bawa bertenang.''

----------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 06/11/1998

Saksi yakin tuduhan benar -- Beberapa surat menyentuh penglibatan Anwar dalam skandal seks


BEKAS Pengarah Cawangan Khas, Mohd. Said Awang semasa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas disoal balas oleh peguam Anwar Ibrahim, Christopher Fernando (kanan) semalam.


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang berkata, beliau yakin akan kebenaran tuduhan-tuduhan yang terkandung dalam beberapa surat yang menyentuh penglibatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam skandal seks.

Namun begitu, kata saksi tersebut, beliau terpaksa akur apabila Anwar mengarahkan supaya mendapatkan penarikan balik tuduhan-tuduhan itu daripada dua penulis surat-surat berkenaan iaitu Ummi Hafilda Mohd. Ali dan Azizan Abu Bakar.

Mohd. Said berkata, beliau yakin tuduhan itu benar kerana sebelum itu pun sudah ada siasatan dimulakan berhubung dakwaan salah laku seks terhadap Anwar.

Salah seorang peguam Anwar, Christopher Fernando kemudian bertanya: ''Kalau kamu sudah yakin tuduhan itu benar, kenapa kamu arahkan supaya ia ditarik balik?''

Jawab saksi: ''Kerana ia arahan daripada Timbalan Perdana Menteri.''

Fernando bertanya lagi: ''Adakah kamu berkata bahawa kamu sanggup melanggar undang-undang atau berbuat sesuatu yang tidak sah hanya kerana arahan itu datangnya dari seorang Timbalan Perdana Menteri?''

Mohd. Said menjawab: ''Saya akan lakukannya, namun saya tak kata, saya akan berbuat apa saja.''

Fernando terus menyoal: ''Itu baru arahan dari Timbalan Perdana Menteri, bagaimana kalau orang yang lebih tinggi jawatannya (daripada TPM) arahkan kamu supaya datang ke sini dan berbohong, apakah kamu akan patuh?''

Mendengar soalan itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bangun membantah tetapi Hakim Datuk S. Augustine Paul menolaknya.

''Dalam keadaan bagaimanakah kamu pernah berbohong?'' tanya Hakim kepada saksi sambil tersenyum.

Jawab Mohd. Said: ''Bergantung kepada keadaan. Mungkin ya ataupun tidak.''

Fernando berkata: ''Berdasarkan jawapan kamu, saya katakan, kamu seorang yang amat tidak berprinsip.''

Sambil memandang ke arah Hakim, Mohd. Said berkata: ''Itu pendapat beliau, Yang Arif,'' lalu menoleh ke arah Fernando sambil berkata: ''Dengan cara kamu menyoal, kamu pun seorang yang tidak berprinsip.''

Kata-kata saksi itu membuatkan suasana senyap dalam mahkamah bergema seketika dengan ketawa para hadirin.

Mohd. Said, 54, yang bercuti sebelum bersara mulai 17 November ini memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwa dalam perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari keempat.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Hari ini, Mohd. Said mula disoal balas bertalu-talu oleh pihak peguam bela yang mewakili Anwar.

Seterusnya, Fernando bertanya: ''Semasa kamu menyiasat kes Anwar, adakah kamu menitik beratkan kebenaran dakwaan tersebut.''

''Ya, saya memandang berat tentang kebenaran,'' kata Mohd. Said.

Fernando bertanya: ''Jika pegawai atasan kamu mengarahkan kamu berbuat sesuatu yang menyalahi undang-undang, adakah kamu melakukannya?''

Mohd. Said menjawab: ''Tidak, Yang Arif.''

Fernando dengan suara tegas bertanya: ''Adakah kamu akan melakukan sesuatu walaupun kamu disuruh oleh Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri atau sesiapa mengenai perkara tersebut?''

Mohd Said menjawab: ''Tidak, Yang Arif.''

Abdul Gani bangun membantah dengan soalan itu.

Fernando mengubah soalannya: ''Datuk, Adakah kamu percaya dakwaan itu?''

Hakim Augustine mencelah: ''Kamu membuat soalan atas kenyataan.''

Fernando sekali lagi mengolah soalannya: ''Adakah kamu percaya kandungan surat yang ditulis mengenai dakwaan terhadap Anwar?''

Mohd. Said menjawab: ''Ya, saya percaya dakwaan itu.''

''Adakah kamu memaklumkan kepada tertuduh (Anwar) bahawa dakwaan itu bermotifkan politik,?'' tanya Fernando.

Mohd. Said menjawab: ''Mungkin saya ada kata begitu tetapi saya tidak ingat. Saya rasa tertuduh yang beritahu saya dakwaan itu ada motif politik.''

Bagaimanapun, Fernando berkata: ''Saya katakan kamu yang beritahu tertuduh ia bermotif politik.''

''Tidak,'' jawab saksi itu.

Fernando bertanya lagi: ''Betulkah?''

''Ya, betul,'' jawab Mohd. Said tegas.

''Saya katakan kepada kamu tertuduh tidak percaya bahawa perkara itu benar,'' kata Fernando.

Abdul Gani bingkas bangun membantah dan meminta peguam bela mengubah soalannya.

Fernando sekali lagi mengajukan soalan sambil berkata: ''Saya kata kepada kamu bahawa tertuduh tidak percaya dakwaan tersebut.''

Mohd Said menjawab: ''Saya tidak boleh buat komen.''

Menjawab satu soalan yang agak panjang, Mohd. Said memberitahu bahawa Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengarahkan beliau melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

''Saya tidak tahu apa lagi yang peguam bela cakap,'' kata Mohd. Said.

Fernando berkata: ''Tolong jawab soalan.''

''Adakah kerana arahan daripada dia (Anwar)?'' tanya saksi itu kepada Fernando.

Fernando segera mengingatkan Mohd. Said bahawa beliau beri keterangan secara bersumpah.

Beliau bertanya saksi itu: ''Adakah kamu akan melakukan sesuatu perkara yang boleh dipertikaikan dan memalukan sepanjang hidup kamu.?''

Mohd. Said berkata: ''Semasa saya membuat operasi bagi penyiasatan dakwaan tersebut saya tidak tahu bahawa ia akan dipertikaikan.''

''Jadi, apa yang kamu buat itu tidak dipertikaikan?'' soal Fernando.

Mohd Said menjawab: ''Saya tidak tahu ia akan jadi begini.''

Fernando bertanya: ''Adakah kamu buat ikut saluran undang-undang semasa menyuruh kedua-duanya (Ummi Hafilda dan Azizan) menarik balik dakwaan mereka?''

Mohd. Said memberi jawapannya: ''Apabila saya buat operasi ini, ia mungkin mengikut undang-undang ataupun secara haram.''

''Kamu tidak menjawab soalan yang mudah ini,'' kata Fernando.

Peguam itu kemudian menyoal dengan lebih mudah: ''Apabila kamu mengarahkan dua orang ini (Ummi Hafilda dan Azizan) supaya menarik balik dakwaan mereka, adakah kamu melakukan sesuatu yang betul di sisi undang-undang?''

Mohd. Said bagaimanapun masih tidak memberikan jawapan seperti yang diminta lalu Hakim Augustine menjelaskan soalan itu dengan lebih mudah.

Saksi itu kemudian berkata: ''Ketika itu saya tidak sedar bahawa apa yang saya lakukan adalah salah.''

''Kamu tidak sedar bahawa perbuatan itu salah kerana kamu tidak percaya dakwaan tersebut,'' kata Fernando.

''Tidak,'' jawab Mohd. Said lalu menambah: '' Pada masa itu saya menjalankan siasatan dalam operasi Solid Grip.''

Soal Fernando: ''Jika kamu percaya dakwaan itu benar mengapa kamu mengambil langkah untuk memastikan ia ditarik balik.''

''Sebab ia arahan dari Timbalan Perdana Menteri,'' kata Mohd. Said.

Saksi kemudian menjelaskan bahawa Ketua Polis Negara atau Perdana Menteri tidak pernah mengarahkan beliau melakukan sesuatu yang salah.

Katanya: ''Jika Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara yang mengarahkan saya melakukannya walaupun saya percaya ia salah namun mengikut keadaan, saya terpaksa juga melakukannya.''

''Jadi, dalam keadaan ini, kamu bersedia untuk melakukan kesalahan kerana arahan Timbalan Perdana Menteri,'' tanya Fernando.

''Saya sudah katakan awal-awal lagi, ketika saya memulakan operasi, saya tidak tahu...'' Mohd. Said terhenti seketika kata-katanya apabila Hakim Augustine mencelah sambil berkata: ''Beliau tidak tahu yang beliau akhirnya akan bercakap dari kandang saksi seperti sekarang.''

Hadirin tergelak kuat.

Mohd. Said menyambung kata-katanya: ''Saya tidak tahu akan berakhir seperti ini.''

Hadirin kedengaran tergelak lagi. Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

--------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 07/11/1998

Surat dakwaan dijadikan asas buku 50 Dalil

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa surat yang mengandungi dakwaan mengenai salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijadikan asas sebuah buku yang bertajuk, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang berkata, beliau menyedari perkara itu dan pengarang buku tersebut, Khalid Jafri telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat berita palsu.

Mohd. Said, 54, memberitahu demikian sebagai saksi pertama pendakwa ketika disoal balas dalam perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari kelima hari ini.

Sebelum itu peguam yang mewakili Anwar, Gurbachan Singh bertanya: ''Adakah benar menurut penyiasatan kamu bahawa surat tersebut dihantar kepada Perdana Menteri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob?''

Mohd. Said berkata, perkara itu sudahpun disoal sebelum ini.

Gurbachan mengubah pertanyaannya dengan berkata: ''Menurut siasatan, adakah surat itu dihantar kepada Perdana Menteri oleh Megat Junid?''

Saksi itu berkata: ''Saya tidak tahu.''

Dalam soalannya lagi Gurbachan menimbulkan bahawa Mohd. Said dalam keterangan utamanya telah memberitahu bahawa surat itu tidak disebar dengan meluas.

Beliau bertanya: ''Adakah kamu bersetuju surat layang itu kemudian disebarkan dengan meluas?''

Mohd. Said menjawab: ''Saya tidak setuju kalau surat itu dianggap surat layang kerana ia mempunyai nama dan penulis tetapi saya tidak tahu apakah ia sudah disebarkan dengan meluas.''

Dalam soalan lain pula, Mohd. Said ditanya: ''Ada kamu diberitahu oleh Anwar bahawa penulis surat itu, Ummi Hafilda adalah adik setiausaha sulitnya, Azmin Mohd. Ali.''

Jawab Mohd. Said: ''Anwar ada memberitahu saya perkara itu.''

Saksi itu juga bersetuju dengan soalan Gurbachan bahawa Anwar sering diberikan taklimat oleh Cawangan Khas mengenai pelbagai perkara seperti keselamatan, isu politik dan ekonomi dan khususnya isu politik.

Seringkali dalam pertemuan dengan Anwar, kata saksi itu, ia diatur oleh pegawai pengiring Anwar, Penolong Penguasa Polis, Zul Aznam Haron melalui Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus.

Menyentuh satu soalan lain, Gurbachan berkata: ''Kamu menyebutkan satu daripada maklumat yang kamu beri kepada Anwar bahawa Megat Junid mendapat surat tersebut dari isterinya dan kemudian memberikannya kepada Ketua Polis Negara. Adakah ini isteri kedua Megat Junid, Ziela Jalil?''

''Saya perlu memastikan dulu apakah saya pernah kata begitu,'' jawab Mohd. Said.

Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah sambil bertanya: ''Apakah kaitannya jika ia isteri pertama atau yang kedua?''

''Ada perbezaannya, Yang Arif,'' kata Gurbachan. Hadiran yang penuh sesak di galeri awam kedengaran tergelak.

Bagaimanapun selepas itu, Mohd. Said mengesahkan perkara itu dan katanya, nama penuh Ziela ialah Norzila Jalil.

Gurbachan juga meminta saksi itu menjelaskan perkataan 'gempaq' yang disebutkan dalam keterangan awalnya.

Mohd. Said berkata, ia adalah bahasa yang terdapat dalam kamus (gempar) tetapi digunakan mengikut loghat utara.

Dalam satu pertanyaannya, Gurbachan berkata: ''Tertuduh (Anwar) datang dari negeri Pulau Pinang.''

Mohd. Said berkata: ''Ya.''

''Adakah kamu bersetuju bahawa 'gempaq' itu bermakna sedikit ingatan?'' tanya Gurbachan.

Mohd. Said berkata, beliau tidak tahu.

''Bolehkah kita katakan bahasa Melayunya sama dengan perkataan 'acah'?''

''Saya tidak tahu,'' jawab saksi itu.

Selepas itu hadirin mahkamah kedengaran tergelak apabila Hakim Augustine mencelah dengan berkata: ''Acah ialah perkataan dalam bahasa Punjabi.''

Gurbachan berkata, jika menurut saksi itu, ia bermakna takut sedikit.

Mohd. Said berkata: ''Bukan macam tu, apa yang saya katakan ialah to surprise and put a little fear.''

Menjawab satu soalan lain, Mohd. Said berkata, beliau tidak tahu bahawa polis telah menjalankan ujian DNA ke atas Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin.

Pada soalan yang menyentuh Azizan Abu Bakar, saksi itu memberitahu bahawa Anwar yang meminta berjumpa dengan bekas pemandunya itu di kediamannya.

-------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 07/11/1998

Peguam Negara nafi terima keputusan siasatan

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menafikan bahawa pihaknya telah menerima keputusan penyiasatan oleh pasukan khas berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau cedera dipukul semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan yang menyatakan saya telah menerima keputusan penyiasatan itu.

''Sehingga ke saat ini, Jabatan Peguam Negara masih lagi belum menerima keputusan penyiasatan tersebut secara rasmi,'' katanya dalam satu kenyataan.

Mohtar berkata, sehubungan itu, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung laporan palsu berkenaan yang disiarkan dalam akhbar The Star.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini, yang menyebut bahawa keputusan penyiasatan berkenaan telah dikemukakan kepada Peguam Negara beberapa hari lalu.

Laporan akhbar tersebut juga menyebut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Penolong Pesuruhjaya Polis (PPjP) Mat Zain Ibrahim, yang mengetuai pasukan khas penyiasatan itu, telah kembali semula menjalankan tugas-tugas biasanya.

Begitu juga dua doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Anwar, kini telah kembali menjalani tugas asal masing-masing.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim pernah memberitahu bahawa pihak polis tiada urusan langsung dengan pasukan khas tersebut.

Menurutnya, pasukan itu hanya berurusan terus dengan Peguam Negara dan pihaknya tidak mengetahui apa-apa berhubung siasatan tersebut.

Sementara itu, Mat Zain yang dihubungi hari ini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung hasil siasatan tersebut.

Pasukan Khas berkenaan ditubuhkan berikutan arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang mahukan satu pasukan penyiasat bebas untuk menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Anwar.

------------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 10/11/1998

Di mana laporan kedua? -- Peguam bela dakwa surat mengandungi nama menteri, tokoh korporat wujud


ANWAR Ibrahim diiringi keluar dari bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas hakim menangguhkan perbicaraan kesnya yang masuk hari keenam semalam.


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peguam bela yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempersoalkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini tentang kewujudan laporan kedua yang didakwa mengandungi nama-nama menteri dan tokoh korporat yang dikatakan berkonspirasi untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pihak pembela mendakwa laporan yang mengandungi dakwaan salah laku seksual Anwar turut dihantar kepada Perdana Menteri.

Peguam Christopher Fernando berkata: ''Kami permudahkan perkara ini. Kami meminta laporan yang dihantar kepada Perdana Menteri. Kita tidak mahu hal ini jadi remeh-temeh.''

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail sebelum memulakan pemeriksaan semula ke atas saksinya, bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang, memaklumkan bahawa tidak ada laporan bertarikh 3 September 1997 itu seperti yang diminta oleh peguam bela.

Gani: ''Daripada fail yang ada, laporan sedemikian tidak wujud.

''Saya percaya saksi juga berkata bahawa beliau pasti laporan itu tidak ada.''

Fernando: ''Kami bertanyakan mengenai laporan kedua yang diserahkan kepada Perdana Menteri tidak kira sama ada ia dialamatkan atau tidak kepada beliau.''

Hakim S. Augustine Paul turut bertanya kepada Mohd. Said: ''Adakah laporan sedemikian wujud? Cuba fikir. Fikir betul-betul.''

Mohd. Said: ''Saya pasti bahawa laporan itu tidak ada.''

Namun Fernando menegaskan bahawa pihaknya masih berusaha untuk memperolehnya.

Mohd. Said memberi keterangan pada hari keenam perbicaraan terhadap Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan liwat.

Ketika menyoal balas Mohd. Said sebelum ini, Fernando menyebutkan beberapa nama yang didakwa berkonspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Nama-nama itu didakwa terkandung dalam laporan kedua daripada saksi itu.

Fernando menyebut nama-nama Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob dan isteri keduanya, Ziela Jalil, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tun Daim Zainuddin kini Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas itu, Hakim Augustine mengarahkan prosiding diteruskan sambil meminta pendakwa raya mendapatkan daripada sumber-sumbernya.

Sebelum perbicaraan terhadap Anwar bermula pada hari keenam hari ini, hakim memberikan pandangannya kepada pihak pendakwa raya dan peguam bela.

Hakim: ''Walaupun ia bukan dianggap suatu nasihat tetapi saya minta kedua-dua pihak tidak mengemukakan soalan yang serupa hingga menimbulkan pertindihan.

''Namun, saya tidak melarangnya kerana ini mungkin strategi masing-masing tetapi kalau demikian kamu bolehlah teruskan.''

Peguam Gurbachan Singh yang juga merupakan antara sembilan peguam bela Anwar menyambung untuk menyoal balas Mohd. Said.

Gurbachan: ''Bolehkah saksi ini merujuk kepada dokumen yang mengandungi kenyataan pengakuan Azizan Abu Bakar kepada Perdana Menteri. Tolong lihat muka surat dua pada perenggan akhir dokumen itu.''

Gurbachan kemudian membaca perenggan itu yang berbunyi: ''Selain daripada itu dengan keyakinan dan janji yang diberikan oleh rakan-rakan Cik Ummi iaitu, Dr. Ristina, Mohamad Taib dan rakan Mohamad Taib bernama 'Tan', saya merasakan ketika itu tindakan saya ini adalah betul dan tidak perlu dikhuatirkan.''

Mohd. Said: ''Dr. Ristina, Mohamad Taib dan Tan adalah orang yang saya sebutkan sebelum ini.''

Gurbachan: ''Azizan dan Ummi Hafilda sama-sama berada di rumah Dr. Ristina?''

Mohd. Said: ''Ya, mereka ditangkap di rumah Dr. Ristina.''

Gurbachan: ''Mohamad Taib dan Tan dirujukkan sebagai inspektor itu.''

Mohd. Said: ''Mohamad ialah orang yang didakwa sebagai inspektor, saya tidak tahu mengenai Tan.''

Gurbachan: ''Dia sepatutnya ikut Mohamad Taib.''

Mohd. Said: ''Ya.''

Gurbachan: ''Pada ruang muka 3, kamu menyebut Datuk Abdul Aziz Shamsuddin sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri.''

Mohd. Said: ''Datuk Aziz Shamsuddin dirujukkan sebagai salah seorang Setiausaha Perdana Menteri.''

Saksi juga mengesahkan bahawa Mohamad Taib yang disebutkan pada satu ketika pernah berkhidmat sebagai anggota cawangan khas.

Mohd. Said: ''Mohamad Taib kemudian ditukarkan dari cawangan khas dan kemudian dibuang daripada perkhidmatan polis.''

Gurbachan merujuk lagi surat pengakuan Azizan dan meminta saksi itu melihat perenggan tiga lalu membacanya: ''Saya mengakui bahawa tindakan saya itu boleh disifatkan sebagai fitnah yang saya sedar di sisi agama adalah suatu dosa besar.''

''Fitnah itu dirujuk sebagai slander?'' tanya Gurbachan.

Mohd. Said bersetuju dengan pendapat peguam bela itu.

Gurbachan: ''Satu dosa besar adalah big sin (bahasa Inggeris).''

Mohd. Said: ''Ya, big sin.''

''Dengan itu, saya minta jutaan maaf,'' kata Gurbachan sambil membaca perenggan surat itu seterusnya.

Mohd. Said: ''Ya.''

Hakim Augustine mencelah lagi: ''Kandungan surat ini bukan ditulis oleh dia (Mohd. Said).''

Gurbachan berkata, beliau ingin menyoal sedikit lagi pada perenggan akhir di muka surat tiga hingga empat surat pengakuan Azizan itu.

''Adakah kamu bersetuju pengakuan Azizan selepas pemulihan dibuat terhadapnya,'' tanya Gurbachan kepada Mohd. Said.

Saksi itu menjawab: ''Ya, selepas operasi mengubah pendiriannya.''

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 10/11/1998

Ummi Hafilda dakwa Anwar homoseks - Saksi

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Ummi Hafilda Mohd. Ali mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang homoseks dan mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar Taharin, isteri bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Mohd. Ali.

Saksi kedua pendakwa, Timbalan Penguasa Abdul Aziz Hussin, 42, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dakwaan Ummi Hafilda itu terkandung dalam suratnya bertajuk Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri yang dihantar kepada Perdana Menteri.

Ummi Hafilda ialah adik Azmin.

Abdul Aziz yang mula memberi keterangannya petang ini berkata, Ummi Hafilda mendakwa Anwar melakukan hubungan sejenis dan salah seorang mangsanya yang berani tampil ialah bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar yang kini menjadi pemandu Azmin.

Saksi itu membacakan kedua-dua tuduhan dalam surat tersebut setelah diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya Azahar Mohamad.

Beliau memberitahu mahkamah, pengesahan saksi berhubung salinan surat yang diterimanya amat penting kerana ia merupakan asas kepada tindakan saksi itu selanjutnya.

Azahar: ''Adakah ini salinan surat yang diberikan oleh Penolong Pesuruhjaya Mazlan Mohd. Din kepada kamu?''

Abdul Aziz: ''Ya, di dalamnya ada dua tuduhan berkaitan seks dan homoseksual.''

Azahar: ''Sila baca muka surat satu.''

Abdul Aziz: ''Bahawa Timbalan Perdana Menteri merupakan seorang homoseks yang melakukan hubungan sejenisnya dan salah seorang mangsa yang berani tampil ialah bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar yang kini menjadi pemandu Azmin Mohd. Ali.

''Kedua, beliau mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar Taharin, isteri Setiausaha Sulitnya, Azmin Mohd. Ali.''

Sebelum itu, Abdul Aziz memberitahu Hakim Datuk S. Augustine Paul bagaimana beliau diarah menubuhkan pasukan soal siasat.

Abdul Aziz: ''Pada sebelah petang 15 Ogos 1997, saya menerima panggilan telefon daripada Penolong Pesuruhjaya Mazlan Mohd. Din mengarahkan saya menubuhkan pasukan soal siasat yang diletakkan dalam keadaan active stand-by.''

Azahar: ''Apakah tindakan kamu selepas menerima arahan daripada Mazlan?''

Abdul Aziz: ''Saya menubuhkan pasukan soal siasat itu yang terdiri daripada saya sendiri, Penolong Penguasa Musa Jaafar, Ketua Inspektor Azman Abdul Razak dan Konstabel Wanita Noraini Abdullah.''

Azahar: ''Adakah Mazlan beritahu kamu tugas-tugas yang perlu dilakukan?''

Abdul Aziz: ''Saya hanya dimaklumkan mengenai soal siasat satu sasaran, wanita yang sedang disiasat oleh Mazlan ketika itu.''

Azahar: ''Pada 5.20 petang 17 Ogos 1997, apa berlaku?''

Abdul Aziz: ''Saya dan anggota pasukan bersiap sedia dalam sebuah van di medan letak kereta untuk mengekori kenderaan Mazlan menuju ke satu alamat yang belum dimaklumkan dan kemudian saya kenal pasti sebagai rumah No. 56, Jalan Medang Tandok, Bangsar.

Azahar: ''Apabila sampai, adakah Mazlan bagi arahan?''

Abdul Aziz: ''Saya sendiri dapatkan Mazlan yang memaklumkan bahawa rumah itu milik Dr. Ristina dan terdapat dua sasaran berlindung di situ.''

''Saya dikehendaki bersedia untuk menerima kedua-dua sasaran itu yang saya terima pada pukul 11 malam daripada Mazlan di pekarangan rumah Dr. Ristina.''

Azahar: ''Setelah itu, apa tindakan kamu?''

Abdul Aziz: ''Saya dimaklumkan oleh Mazlan bahawa kedua-dua sasaran itu ialah Ummi Hafilda dan Azizan. Saya kemudian menyemak dokumen pengenalan diri mereka bagi mendapatkan kepastian.''

Azahar: ''Apa lagi arahan Mazlan?''

Abdul Aziz: ''Mazlan arahkan saya untuk membawa mereka menaiki van kami ke pejabat Pengarah Cawangan Khas di Bukit Aman dan tiba di sana pada pukul 11.45 malam.

''Ummi Hafilda ditempatkan di bilik rehat Timbalan Pengarah Cawangan Khas I manakala Azizan ditempatkan di bilik bersebelahan bilik mesyuarat Pengarah Cawangan Khas dan mereka diawasi oleh pegawai-pegawai saya.''

Azahar: ''Ada tak kamu buat panggilan untuk mendapatkan bantuan?''

Abdul Aziz: ''Saya hubungi Ketua Inspektor Arif Ariffin dan Ketua Inspektor Zamri Hashim. Saya perlukan bantuan tenaga tambahan kerana di peringkat awal saya hanya dikehendaki menjalankan soal siasat ke atas satu sasaran sahaja tetapi pada ketika itu, saya telah dipertanggungjawabkan dengan dua sasaran.''

Azahar: ''Ada tak Mazlan datang ke pejabat Pengarah Cawangan Khas?''

Abdul Aziz: ''Ada, Mazlan tiba sekitar 12 tengah malam.''

Azahar: ''Apa berlaku?''

Abdul Aziz: ''Beliau panggil saya ke bilik menanti Pengarah Cawangan Khas. Mazlan memaklumkan tentang wujudnya sepucuk surat bertajuk Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri yang antara lain isi kandungannya menceritakan perihal salah laku seks dan homoseksual Timbalan Perdana Menteri.''

Azahar: ''Siapa Timbalan Perdana Menteri pada masa itu?''

Abdul Aziz: ''Pada ketika itu, Timbalan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.''

Saksi itu kemudian menoleh ke kanan sambil menunjukkan ke arah Anwar di kandang tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM


ARKIB : 07/11/1998

Tiada nama tokoh-tokoh -- Dakwaan konspirasi: Laporan siasatan Mohd. Said kepada PM


DR. WAN AZIZAH (tengah) diapit oleh anaknya Nurul Nuha (kiri) dan Nurul Izzah semasa meninggalkan pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan Anwar Ibrahim yang masuk hari kelima, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Laporan bekas Ketua Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang kepada Perdana Menteri mengenai siasatan dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti tidak mengandungi nama tokoh-tokoh yang dikatakan berkonspirasi untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mohd. Said yang diminta meneliti dokumen bertajuk 'Tohmahan Terhadap YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim' mengesahkan ia tidak mengandungi nama Menteri Tugas-tugas Khas, Tun Daim Zainuddin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Aziz Shamsuddin.

Dokumen bertarikh 20 Ogos 1997, setebal tiga muka itu dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi sebagai ekshibit dan salinannya diberikan kepada para peguam Anwar yang mendakwa ia 'amat penting' dalam pembelaan terhadap empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks yang dihadapinya.

Semalam, peguam Anwar, Christopher Fernando meminta pengesahan Mohd. Said mengenai kandungan laporan itu yang didakwanya mengandungi nama tokoh-tokoh terbabit.

Beliau memohon kepada Hakim Datuk S. Augustine Paul supaya ia dikemukakan sebagai ekshibit dan meminta agar pihaknya diberikan salinan dokumen itu yang turut menafikan penglibatan Anwar dalam salah laku seks.

Pagi ini, ketika mengemukakan laporan itu kepada mahkamah, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata, demi keadilan, pihaknya tidak keberatan memberikan salinan laporan itu.

Hakim Augustine selepas itu memberikan penghargaan kepada pendakwa raya yang bersikap terbuka terhadap pihak pembela ekoran kesediaannya memberikan salinan laporan tersebut kepada mereka.

Sebaik menerima dokumen itu, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh mengucapkan kata-kata: ''Terima Kasih.''

Peguam itu kemudian menghulurkannya kepada Mohd. Said untuk mendapatkan pengesahan saksi tersebut bahawa itulah laporan yang ditulisnya.

Mohd. Said dilihat meneliti dokumen tersebut lalu berkata: ''Ya, ini ada tanda tangan saya.''

Beliau memberitahu demikian ketika menyambung keterangannya sebagai saksi pendakwa pertama dalam soal balas oleh pihak pembela pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari kelima hari ini.

Anwar, 51, yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Seterusnya, Gurbachan memberitahu mahkamah, rakannya, Fernando akan mengambil alih untuk menyoal balas Mohd. Said berhubung surat tersebut.

Fernando kemudian bertanya Mohd. Said: ''Inikah laporan bertarikh 20 Ogos 1997 yang kamu hantar kepada Perdana Menteri?''

''Ya, saya ada menandatanganinya,'' kata saksi itu.

Fernando berkata lagi: ''Dengan izin mahkamah, bolehkah kamu membaca perenggan yang keempat di muka surat dua dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri itu.''

Mohd. Said yang dilihat lebih tenang hari ini membaca sepenuhnya perenggan yang diminta oleh peguam bela itu.

Perenggan itu berbunyi: ''Saya juga ingin memaklumkan bahawa siasatan menerusi sumber-sumber lain turut menunjukkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu tidak mempunyai bukti dan urutan peristiwa seolah-olah sengaja direka. Di samping itu, terdapat pula tanda-tanda bahawa wujud golongan tertentu yang mungkin mempunyai agenda tersendiri dan memainkan peranan di belakang tabir menggalakkan Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar untuk memburuk-burukkan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Salah seorang daripadanya ialah Muhamad Taib yang dikatakan mendakwa dirinya sebagai pegawai SB (Polis Cawangan Khas) kepada YAB Perdana Menteri. Muhamad Taib dikenalpasti Mohd. Taib Salamon, bekas inspektor polis yang sebenarnya telah dibuang kerja.''

Mohd. Said membaca perenggan kelima dalam surat itu yang berbunyi: ''Berdasarkan hasil siasatan ini, pihak saya tidak bercadang untuk terus menghalusi kes ini.''

Hakim Augustine kemudian meminta saksi itu menerangkan secara ringkas kandungan surat yang telah dibacanya.

Mohd. Said yang memberi keterangannya dalam bahasa Inggeris menterjemahkan perlahan-lahan setiap patah perkataan sambil menjelaskan maksudnya.

Fernando pula berkata: ''Itulah laporan yang diberikan kepada Perdana Menteri.''

Mohd. Said berkata: ''Tajuknya ialah Tohmahan Terhadap YAB Anwar Ibrahim.''

Fernando bertanya: ''Apakah makna dalam bahasa Inggeris?''

Hakim Augustine berkata:'' Saya rasa ia tidak perlu diterjemahkan. Dia (Mohd. Said) tidak ada tauliah untuk membuat kerja itu.''

Fernando lalu bertanya kepada hakim: ''Bolehkah kita suruh pegawai (jurubahasa) yang membuat terjemahan itu.''

Hakim Augustine menjawab: '' Ia pasti mengambil masa.''

''Tak apalah demi keadilan,'' kata Fernando.

Fernando lalu mengajukan soalan lain kepada Mohd. Said.

Beliau berkata: ''Semalam kamu beritahu mahkamah terdapat dua atau lebih laporan yang diserahkan kepada Perdana Menteri.''

''Ya, mungkin lebih daripada satu atau dua,'' kata Mohd. Said.

Fernando mengemukakan soalannya lagi dengan berkata: ''Kamu ingatkah semalam, berhubung laporan kepada Perdana Menteri, saya ada bertanya mengenai beberapa orang kenamaan, adakah kamu ingat?''

Saksi itu bagaimanapun meminta Fernando mengulangkan soalannya.

Fernando menyebut semula nama-nama itu sambil berkata: ''Megat Junid dan isteri, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Aziz Shamsuddin dan Tun Daim Zainuddin.''

Mohd. Said menjawab: ''Mungkin saya ada menyatakannya.''

Fernando meninggikan suaranya: ''Jawab soalan.''

Abdul Gani segera bangun membantah kerana tidak bersetuju dengan cara peguam bela itu menyoal saksi pihaknya.

''Saya mesti habiskan soalan dulu,'' kata Fernando.

Abdul Gani tetap membantah tetapi Hakim Augustine meminta soalan itu diteruskan.

Fernando berkata: ''Saya telah menyebut nama mereka itu kepada kamu semalam. Apabila saya tanya kamu, apa hubungan mereka, kamu kata tidak ingat dan juga saya bertanya sama ada kamu menyebut dua orang lelaki yang menyamar dan kamu kata, kamu mungkin ada menyebutnya. Sekarang adakah kamu bersetuju dengan saya?''

Mohd. Said menjawab mengatakan beliau tidak bersetuju tetapi memberitahu bahawa pihaknya telah menangkap seorang lelaki yang dikenali sebagai B.K. Lim.

Fernando berkata: ''Nama B.K. Lim tidak disebut dalam laporan.''

''Ya, Yang Arif,'' jawab Mohd. Said.

Pada peringkat itu Hakim Augustine meminta Fernando mengemukakan soalan lain.

Fernando mengalih soalannya dengan berkata: ''Saya katakan kepada kamu ada lagi satu salinan laporan yang kamu buat.''

Mohd. Said menjawab: ''Saya rasa tidak ada laporan sedemikian tetapi saya tidak nafikan.''

''Saya katakan kepada kamu ada lagi satu laporan yang kamu buat pada 3 September tahun lalu selepas surat bertarikh 20 Ogos itu yang mana kamu sebutkan nama-nama mereka.

Jawab Mohd. Said: ''Saya rasa tidak ada laporan yang dikatakan itu.''

Fernando yang tidak berpuas hati dengan jawapan saksi itu mengajukan soalan dengan berkata: ''Tetapi kamu sendiri kata ia mungkin ada satu atau dua laporan. Sekarang ini kamu tidak beri laporan setiap hari kepada Perdana Menteri.''

Mohd. Said menjawab: ''Saya tidak beri laporan kepada Perdana Menteri setiap hari tetapi saya sering melaporkan kepada Perdana Menteri.''

Fernando mengulangi soalannya sambil berkata: ''Sekarang adakah kamu mempunyai laporan yang satu lagi itu.''

''Mungkin tidak,'' jawab saksi itu.

Fernando yang tidak berpuas hati dengan jawapan Mohd. Said. Beliau berkata: ''Bolehkah kamu pergi ke pejabat kamu?''

''Saya tidak ada pejabat lagi,'' kata Mohd. Said.

Fernando segera mengubah soalannya dan berkata: ''Bekas pejabat kamu, dan mencari fail mengenai laporan bertarikh 3 September itu.''

Mohd. Said menjawab dengan tegas bahawa beliau tidak mempunyai laporan tersebut.

Abdul Gani bingkas bangun lagi sambil membantah tidak bersetuju dengan soalan peguam bela itu.

Sebelum sidang ditangguhkan, kira-kira pukul 12 tengah hari ini, Abdul Gani memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dimaklumkan tidak ada surat yang ditandatangani oleh Mohd. Said yang bertarikh 3 September itu.

Bagaimanapun, Fernando dengan tegas menyatakan beliau diarahkan oleh anak guamnya (Anwar) supaya mendapatkan dokumen itu sama ada ia ditandatangan ataupun tidak.

Hakim Augustine lalu mengeluarkan arahan kepada pihak pendakwa supaya mencari laporan yang dikatakan itu.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 10/11/1998

Keterangan saksi tidak dipercayai


LIMA peguam bela Anwar, (dari kiri) Gurbachan Singh, Zainur Zakaria, S. N. Nair, Christopher Fernando dan Raja Aziz Addruse berbincang sesuatu ketika mahkamah berhenti rehat seketika pagi semalam.


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peguam bela Christopher Fernando menyatakan bahawa keterangan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana kecenderungannya untuk berbohong jika diminta berbuat demikian oleh orang yang berkepentingan.

Fernando yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan demikian kepada saksi pendakwa itu berdasarkan jawapan yang diberikannya bahawa beliau mungkin berbohong atau mungkin tidak berbohong, bergantung kepada keadaan.

Fernando: ''Saya tegaskan pada kamu bahawa kemungkinan kamu berbohong andainya diminta oleh seseorang yang berkepentingan membuktikan kamu seorang yang tidak boleh dipercayai dan kata-kata kamu tidak boleh diterima.''

Peguam itu dalam sesi soal balas semula pihak pembela merujuk kepada jawapan Mohd. Said minggu lalu apabila saksi itu ditanya apakah beliau akan berbohong jika diminta berbuat demikian oleh seseorang yang lebih tinggi jawatannya daripada Timbalan Perdana Menteri.

Hakim Datuk S. Augustine Paul sebelum itu menegur Fernando kerana membuat kesimpulan bahawa saksi tersebut tidak boleh dipercayai.

Kata Hakim: ''Mana boleh, kamu pulak yang menentukan sama ada saksi ini boleh dipercayai atau tidak, itukan tugas saya.''

Fernando kemudian menjelaskan: ''Cara saksi menjawab soalan yang membolehkan kewibawaannya dipersoal.''

Mohd. Said kemudian berkata: ''Saya boleh dipercayai dan keterangan saya boleh diterima oleh mahkamah ini.''

Tindakan Fernando menyoal saksi itu berulang kali berhubung kecenderungannya untuk berbohong turut ditegur oleh Hakim Augustine.

Hakim: ''Semakin banyak kamu menyoal saksi tentang perkara itu, semakin sukar bagi saya untuk menilai kewibawaannya. Saya terus menulis dan menulis, sehingga semua ini dah tenggelam (sambil menunjukkan hujung-hujung jari tangan beliau).''

Fernando: ''Saya tegaskan bahawa kamu mempunyai kecenderungan untuk berbohong.''

Mohd. Said: ''Saya tidak mempunyai kecenderungan sedemikian dan saya telah nyatakan sebelum ini, Yang Arif, bahawa saya tidak berbohong di mahkamah ini.''

Soalan-soalan yang hampir sama daripada Fernando membuatkan Hakim Augustine mengulangi tegurannya.

Hakim: ''Semakin banyak kamu tegaskan pada saksi, semakin kerap beliau menafikannya dan semakin berat bagi saya membuat penilaian.''

Sebelum itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Mohd. Said berkata, beliau merasa terpaksa mematuhi arahan Anwar kerana dia seorang Timbalan Perdana Menteri.

Gani: ''Berhubung arahan yang diberikan kepada kamu, adakah kamu boleh menolaknya pada ketika itu?''

Mohd. Said: ''Tidak, Yang Ariff.''

Gani: ''Adakah kamu mempunyai pilihan untuk mematuhinya atau tidak mematuhi arahan tertuduh?''

Mohd. Said: ''Saya tidak mempunyai pilihan, Yang Arif, saya terpaksa mematuhinya.''

Gani: ''Boleh kamu jelaskan pada mahkamah kenapa kamu tidak mempunyai pilihan?''

Mohd. Said: ''Dia seorang yang berjawatan tinggi, seorang Timbalan Perdana Menteri dan bukan sembarangan orang.''

Gani kemudian menyoal saksi itu berhubung surat bertarikh 23 Ogos 1997 yang mengandungi laporannya kepada Perdana Menteri berhubung tuduhan-tuduhan salah laku seks terhadap Anwar.

Gani: ''Adakah benar, tidak ada siasatan dilakukan berhubung kesahihan tuduhan-tuduhan yang terdapat dalam surat yang dihantar oleh Ummi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri?''

Mohd. Said: ''Benar, Yang Arif, tiada siasatan dilakukan untuk tujuan itu.''

Gani: ''Pada 20 Ogos 1997, apabila kamu menyediakan laporan kepada Perdana Menteri, apakah kamu boleh memastikan tuduhan-tuduhan itu benar atau salah?''

Mohd. Said: ''Telah saya tegaskan sebelum ini bahawa saya yakin dengan tuduhan-tuduhan itu, Yang Arif.''

Pendakwa raya kemudian merujuk kepada tindakan polis Cawangan Khas mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar untuk menarik balik tuduhan-tuduhan mereka terhadap Anwar.

Gani: ''Adakah menjadi tugas polis untuk menyebabkan sebarang penarikan balik tuduhan.''

Mohd. Said: ''Bukanlah tugas polis untuk berbuat demikian.''

Gani: ''Adakah betul atau sah di sisi undang-undang untuk meminta polis mendapatkan penarikan balik sebarang tuduhan?''

Hakim Augustine mencelah: ''Bukankah tugas saya untuk menentukan betul atau tidaknya tindakan pihak polis itu. Saya akan buat keputusan mengenainya pada akhir perbicaraan nanti.

''Bagaimanapun, saya akan rekodkan soalan ini, tetapi saya tidak akan membenarkannya,'' tegas beliau.

Mohd. Said: ''Terima Kasih, Yang Arif.''

Hakim: ''Saya tidak mahu saksi mengambil alih tugas saya.''

Kata-kata Hakim Augustine membuatkan hadiri yang memenuhi mahkamah tergelak.

Gani: ''Semasa menjadi Pengarah Cawangan Khas, pernahkah pada bila-bila masa, seseorang yang lebih berkuasa selain daripada tertuduh, menuntut supaya sebarang tuduhan ditarik balik melalui pihak polis, khususnya Cawangan Khas?''

Mohd. Said: ''Yang Arif, perkara sedemikian belum pernah berlaku.''

Gani: ''Selain tertuduh, pernahkah sesiapa meminta kamu melakukan perkara-perkara yang diarahkan oleh tertuduh?''

Mohd. Said: ''Tidak, Yang Arif.''

Pihak pendakwa seterusnya menyoal saksi berhubung soal siasat terhadap Ummi Hafilda dan Azizan.

Gani: ''Semasa soal siasat ke atas mereka oleh polis Cawangan Khas, adakah sebarang kenyataan diambil daripada kedua-duanya?''

Mohd. Said: ''Yang Arif, saya tidak berapa pasti. Biasanya kami merekodkan kenyataan perisikan.''

Gani: ''Dalam soal siasat sedemikian, adakah pihak Cawangan Khas mengambil perhatian sama ada peruntukkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dipatuhi atau sebaliknya?''

Mohd. Said: ''Kami tidak menyoal siasat berdasarkan KPJ.''

Gani: ''Jika kenyataan perisikan diambil, adakah ia sebagai mematuhi peruntukan KPJ khususnya Seksyen 112 dan Seksyen 113?''

Mohd. Said: ''Kalau kenyataan itu diambil, ia bukan menurut KPJ.''

Gani: ''Adakah Ummi Hafilda dan Azizan diberi amaran oleh para pegawai kamu yang menyoal siasat mereka.''

Mohd. Said: ''Biasanya kami tidak memberikan amaran di bawah Seksyen 113 KPJ apabila kenyataan perisikan direkodkan. ''

Gani: ''Kamu juga berkata, kamu telah memberi taklimat kepada Ketua Polis Negara (KPN) berhubung perkembangan siasatan.

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif.''

Gani: ''Adakah kamu sedar bahawa ketika itu, KPN turut diberi taklimat oleh Cawangan Siasatan Jenayah berhubung tuduhan-tuduhan dalam surat Ummi Hafilda kepada Perdana Menteri?''

Mohd. Said: ''Saya tidak menyedarinya.''

Gani: ''Merujuk kepada laporan dalam akhbar The New Straits Times bertarikh 3 September 1997, adakah kenyataan KPN itu dibuat berdasarkan taklimat yang kamu berikan kepada beliau?''

Mohd. Said: ''Saya percaya, begitulah.''

Gani: ''Pernahkah kamu menyediakan sebarang laporan untuk diserahkan kepada KPN berhubung siasatan oleh Cawangan Khas?''

Mohd. Said: ''Saya tidak fikir begitu, biasanya sekadar laporan lisan.''

Gani: ''Pernahkah kamu memberi keterangan di mahkamah sebelum kes ini?''

Mohd. Said: ''Ya, 27 tahun yang lalu.''

Gani: ''Berapa kali?''

Mohd. Said: ''Itulah sekali, kes yang serupa.''

Mendengar jawapan itu, Hakim Augustine mencelah: ''Dua puluh tujuh tahun lalu pun ada kes Timbalan Perdana Menteri didakwa?''

Mohd. Said: ''Bukan, maksud saya, kes jenayah.''

Hakim: ''Jadi, ini kali kedua kamu beri keterangan di mahkamah?''

Mohd. Said: ''Benar, Yang Arif.''

----------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 10/11/1998

Said percaya dakwaan Hafilda

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau percaya dakwaan Ummi Hafilda Mohd. Ali dalam suratnya berhubung salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai asas.

Mohd. Said menyatakan pendapatnya ketika disoal semula oleh pihak pendakwa dalam kes terhadap Anwar yang menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Beliau merupakan saksi pertama pendakwa dalam perbicaraan terhadap Anwar yang kini masuk hari keenam.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata: ''Bolehkah kamu beritahu mahkamah kenapakah kamu mempercayai demikian?''

Mohd. Said berkata, beliau merujuk tiga bahagian surat tersebut yang dua daripadanya mengandungi surat dakwaan yang ditulis oleh Ummi Hafilda dan satu lagi merupakan dokumen pengakuan bersumpah bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar.

Mohd. Said: ''Selepas meneliti surat-surat ini, kita juga melihat kepada operasi Solid Grip dan kami rasa apa yang dinyatakan oleh Azizan juga mempunyai beberapa asas.''

Gani meminta saksi itu merujuk perenggan pertama pengakuan bersumpah yang dibuat oleh Azizan bertarikh 5 Ogos tahun lalu yang kini ditandakan sebagai salah satu barang kes.

''Biarlah saya membacanya,'' kata Gani.

Beliau membaca perenggan pertama dokumen itu: ''Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, saya Azizan Abu Bakar (nombor kad pengenalan) dengan ini membuat pengakuan bersumpah bahawa saya telah menjadi mangsa hubungan sejenis yakni (homoseksual) dengan Anwar Ibrahim yang kini memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri.''

Gani: ''Bolehkah kamu beritahu mahkamah apakah operasi Solid Grip itu dikaitkan dengan perkara ini.''

Mohd. Said: ''Operasi Solid Grip itu ialah siasatan berhubung perihal salah laku tertuduh (Anwar) pada 1992.''

Pada peringkat ini, Gani cuba mengajukan soalannya lebih lanjut mengenai perkara tersebut tetapi dibantah keras oleh peguam bela Anwar, Christoper Fernando.

Fernando memohon supaya pihak pendakwa menghentikan soalan itu dan dipadamkan daripada rekod mahkamah kerana ia tiada kaitan dengan tuduhan yang dihadapi Anwar.

Hakim Datuk S. Augustine Paul membenarkan bantahan peguam bela sambil mengingatkan Gani supaya tidak menimbulkan soalan tersebut begitu mendalam.

Gani kemudian mengalihkan soalannya sambil bertanya: ''Pada 18 Ogos 1997, adakah Timbalan Penguasa Polis Abdul Aziz Hussin dan Penolong Pesuruhjaya Polis Mazlan Mohd. Din memberi taklimat mengenai penilaian awal terhadap Ummi Hafilda dan Azizan?''

Mohd. Said: ''Ya, Yang Arif, saya diberi taklimat oleh Abdul Aziz dan Mazlan mengenai penangkapan kedua-duanya. Mereka kata, mereka ada beberapa asas berhubung dakwaan itu.''

''Kamu kata tertuduh suruh kamu menyiasat perkara itu dengan mendalam?'' tanya pendakwa raya tersebut.

''Memang betul, Yang Arif,'' jawab Mohd. Said.

Seterusnya, kata Mohd. Said, beliau telah pun disoal balas oleh peguam bela mengenai perkara tersebut.

Gani: ''Datuk Said, pada masa itu adakah tertuduh beritahu kamu apa aspek yang dia mahu kamu siasat?''

Mohd. Said: ''Tertuduh (Anwar) meminta saya menyiasat secara mendalam untuk mencari Ummi Hafilda dan Azizan dan juga mencari maklumat perisikan mengenai surat dakwaan itu.''

''Bolehkah kamu beritahu mahkamah, apakah yang kamu maksudkan mahu mencari lebih lanjut mengenai perisikan surat dakwaan yang ditulis oleh Ummi Hafilda itu?'' tanya Gani.

Mohd. Said berkata, beliau diminta oleh Anwar supaya mencari sebab kenapakah surat itu dituliskan dan sama ada ia disebar secara meluas.

''Saya tidak ingat lebih daripada itu. Saya rasa itulah yang saya katakan,'' kata saksi tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB : 10/11/1998

Peguam bela fail notis rayuan

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan notis rayuan esok terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak bantahan awal anak guam mereka berhubung kesahihan pertuduhan di bawah Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 minggu lalu.

Peguam Zainur Zakaria berkata, notis rayuan berkenaan akan difailkan di Mahkamah Tinggi pada pukul 9 pagi esok.

Hakim Datuk Augustine Paul pada 2 November lalu menolak bantahan awal peguam bela Anwar yang menghujah bahawa pertuduhan terhadap Anwar di bawah Ordinan No. 22 adalah tidak sah kerana undang-undang berkenaan telah dimansuhkan oleh Parlimen.

Mahkamah ketika menolak penghujahan tersebut bersetuju dengan hujah pihak Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bahawa Dewan Negara belum lagi memansuhkan ordinan berkenaan.

-------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/11/1998

Penangkapan Ummi dan Azizan luar biasa

KUALA LUMPUR 11 Nov - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa penangkapan kedua-dua penulis surat yang mengandungi dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan di luar daripada kebiasaan kerja polis.

Saksi kedua dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang masuk hari kelapan, DSP Abdul Aziz Hussin dari Cawangan Khas juga menyifatkan penangkapan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar sebagai ''amat pelik''.

''Sepanjang kerjaya saya selaku pegawai soal siasat, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana penangkapan sasaran sebelum saya terlibat dalam proses soal siasat,'' kata beliau ketika disoal balas oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Sulaiman: Tapi dalam kes Ummi Hafilda dan Azizan ini, tuan berada di tempat di mana sasaran itu ditangkap.

Abdul Aziz: Benar, dalam kes ini, saya berada di tempat Ummi Hafilda dan Azizan ditangkap. Yang Arif, kes ini amat pelik. Ia dilakukan di luar daripada norma kerja biasa dan saya bertindak di atas arahan khusus daripada ACP Mazlan.

Abdul Aziz juga menyatakan bahawa rumah yang diserbu adalah sebuah rumah banglo.

Sulaiman: Adakah tuan berada dalam perkarangan rumah semasa penangkapan berlaku?

Abdul Aziz: Saya masuk ke perkarangan rumah setelah pasukan yang melakukan tangkapan masuk terlebih dahulu untuk melakukan tangkapan ke atas kedua-dua sasaran yang berlindung di rumah tersebut.

Abdul Aziz juga mengesahkan bahawa proses penangkapan Ummi dan Azizan memakan masa lebih kurang lima jam 25 minit, jika dikira dari masa pasukan polis sampai di rumah Dr Ristina sehingga kedua-duanya ditangkap.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed kemudiannya meminta supaya Abdul Aziz dibebaskan daripada menjadi saksi selepas Sulaiman menyatakan bahawa pihak pembelaan tidak mempunyai soalan lain.

Pada sesi pagi, Hakim Datuk S.Augustine Paul mendengar keterangan Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Alias Ali yang bertanggungjawab menyimpan ''surat cara pelantikan'' Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Rohani Ismail, kerani di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, yang menaip surat penarikan balik dakwaan salah laku seks Anwar bertarikh 29 Ogos 1997, yang kemudiannya ditandatangani oleh Ummi Hafilda.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/11/1998

Peguam Bela diminta hentikan teori konspirasi

KUALA LUMPUR 11 Nov - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pihak pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memberi tumpuan kepada teori konspirasi kerana ia tidak ada kaitan dengan kes yang melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Hakim Datuk S.Augustine Paul berkata mahkamah terpaksa menolak alasan pembelaan setelah mendapati ''apa yang diperkatakan berbunyi seperti ucapan politik''.

Anwar, 51, menghadapi empat tuduhan mengikut Ordinan 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970 dengan menggunakan kedudukannya untuk mendesak polis mendapatkan dua orang untuk menarik balik dakwaan mereka berhubung salah laku seks terhadapnya.

Hakim Paul mengeluarkan arahan itu selepas Christopher Fernando, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan membuktikan kepada mahkamah bahawa terdapat komplot untuk menjatuh dan memusnahkan kerjaya politik Anwar.

Fernando berkata: ''Sebahagian daripada kes pembelaan ialah terdapat konspirasi untuk membawa tuduhan (rasuah) ini (terhadap Anwar) dan menyingkirkan beliau daripada semua jawatan yang disandangnya.''

Beliau membangkitkan teori konspirasi itu ketika menyoal balas saksi keempat pendakwaan, Datuk Alias Ali, Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, pada hari kelapan perbicaraan itu.

Fernando: Adakah pemecatan Datuk Seri Anwar daripada jawatan yang beliau pegang menerima izin Yang di-Pertuan Agong?

Paul: Apa yang dicakap ini? Apakah yang awak nak tahu?

Fernando: Soalan yang ditanya adalah relevan kerana kami akan membuktikan bahawa sememangnya terdapat konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail: Saya dengan keras membantah. Soalan ini sudah menyimpang dan pihak pembela mempolitikkan perkara ini.

Fernando: Sebagai jawapan, saya ingin berkata sesuatu sebelum mahkamah membuat keputusan berhubung perkara ini. Sudah ada catatan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan mengenai pemecatan (Anwar). Saya katakan di sini bahawa kami berhak mengemukakan soalan berhubung perkara ini.

''Lagipun, pembelaan bagi Datuk Seri ialah terdapat komplot, satu komplot politik untuk menimbulkan dakwaan-dakwaan ini. Kami katakan bahawa terdapat dakwaan yang direka untuk menyingkir dan menjatuhkan Datuk Seri. Oleh itu, Yang Arif, demi keadilan, izinkan saya kemukakan soalan ini.

Paul: Apa yang awak cakap bunyi seperti ucapan politik. Ia ditujukan kepada forum yang salah.

Fernando: Ini bukan satu ucapan politik. Inilah pembelaan kami. Kami tidak boleh dihalang daripada sebarang kemudahan untuk menentukan perkara (konspirasi) ini.

Pada ketika itu, Abdul Gani berkata: ''Dalam soalan saya, saya tidak memberi tumpuan kepada pemecatannya. Pihak pembelaan tidak sepatutnya menyalahgunakan kedudukan mereka dengan mempolitikkan ucapan mereka. Ini bukan forum yang sesuai.

Hakim Paul berkata beliau masih tidak nampak kaitan daripada apa yang cuba dibangkitkan oleh Fernando menerusi soalannya itu.

''Sebagai hakim, tugas saya ialah, pada akhirnya, membuat satu keputusan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah,'' katanya.

Fernando: Apa yang kami hendak katakan ialah terdapat konspirasi tentang bagaimana dakwaan-dakwaan ini boleh berlaku. Kami akan cuba buktikan bahawa saksi-saksi penting bagi pihak pendakwaan, memberi keterangan palsu. Dengan kata lain, mereka berbohong di mahkamah. Jika mahkamah tidak membenarkan soalan ini, kami dinafikan satu peluang mendapatkan kebenaran dalam perkara ini. Saya hairan kenapa terdapat banyak bantahan kepadanya.

Paul berkata walaupun beliau faham apa yang Fernando katakan, beliau masih ingat bahawa soalan mengenai konspirasi tidak pernah diajukan kepada saksi-saksi utama.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang, pegawai soal siasat dari Cawangan Khas DSP Abdul Aziz Hussin dan konstabel wanita Noraini Abdullah, yang menaip surat-surat dakwaan ditarik balik.

Fernando: Saya pasti soalan (mengenai konspirasi) akan ditanya kepada saksi-saksi sepanjang perbicaraan ini.

Dalam menolak alasan Fernando berhubung teori konspirasi ini, hakim Paul berkata: ''Saya benar-benar tidak fikir ia (konspirasi) mempunyai kaitan dengan kes ini.''

Fernando kemudian mengemukakan soalan lain kepada Alias.

------------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 11/11/1998

KPN Dimaklum mengenai surat Anwar Ogos tahun lepas

KUALA LUMPUR 11 Nov - Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberitahu bahawa Ketua Polis Negara (KPN) dimaklumkan mengenai surat perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri dan operasi ''Solid Grip'' pada Ogos 1997.

ACP Mazlan Mohd Din, dari Cawangan Khas, Bukit Aman berkata beliau memberi taklimat kepada KPN mengenai surat dan operasi berkenaan yang berkaitan pada pertemuan di pejabat ketuanya itu pada pukul 9 pagi, 11 Ogos 1997.

Beliau berbuat demikian setelah diminta oleh Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohd Said Awang, katanya.

Mazlan, saksi pendakwaan ketujuh memberi keterangan demikian pada perbicaraan Anwar, 51, yang menghadapi empat tuduhan mengikut Ordinan 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1970.

Anwar dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendesak polis mendapatkan dua orang untuk menarik balik dakwaan mereka berhubung salah laku seks terhadapnya.

Mazlan yang disoal oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed mula memberi keterangan pada pukul 3.15 petang sebelum mahkamah menangguhkan prosiding 35 minit kemudian. Mahkamah bersidang semula 9.15 pagi esok.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa polis menjalankan operasi yang dinamakan ''Solid Grip'' berkaitan dakwaan salah laku seks Anwar pada 1992.

Mazlan dalam keterangannya berkata pada 9 Ogos 1997 semasa tugas utamanya sebagai Asisten Komisioner operasi bahagian cawangan khas, beliau menerima panggilan telefon daripada Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Datuk Amir Junus yang ingin tahu sama ada beliau mempunyai maklumat mengenai surat berkenaan dan skandal seks Anwar.

Pada perbicaraan yang lepas mahkamah diberitahu bahawa surat bertarikh 5 Ogos 1997 yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali itu dialamatkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Kandungannya antara lain menyebut perbuatan homoseksual Anwar dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar dan hubungan seks bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dengan isteri bekas setiausaha peribadinya.

Mazlan berkata setelah memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat ketika itu, beliau memberitahu Amir bahawa beliau akan berusaha mendapatkannya melalui sumber-sumbernya.

''Setelah menyemak, pada sebelah petang, lebih kurang pukul 2, saya memaklumkan kembali kepada beliau (Amir) bahawa saya mempunyai maklumat berkenaan,'' katanya.

Semasa Azahar bertanya dari mana beliau mendapat maklumat itu, Hakim Datuk S. Augustine Paul mencelah dan pada masa yang sama salah seorang daripada sembilan peguam Anwar, Gurbachan Singh bangun dan membantah soalan berkenaan.

Paul: Saya membantah sebelum anda.

Kata-katanya disambut dengan ketawa mereka yang berada dalam mahkamah.

Ketika Mazlan menjawab pertanyaan Azahar bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai operasi khas ''Solid Grip'' itu, Hakim Paul berkata ia tidak perlu diteruskan kerana ia tiada kaitan dengan kes itu dan Azahar menjelaskan bahawa pendakwaan tidak akan meneruskan secara terperinci mengenainya.

Menyambung keterangannya, Mazlan berkata Amir mengarahkannya supaya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada keesokan harinya untuk memberi taklimat kepada Mohd Said yang kembali dari luar negara.

Katanya semasa di sana bersama Amir, beliau memberi taklimat kepada Mohd Said mengenai surat itu dan operasi berkenaan secara ringkas pada pukul 10 malam, tetapi diminta untuk memberi taklimat terperinci pada keesokan harinya.

Mazlan berkata pada keesokan harinya beliau memberi taklimat semula kepada Mohd Said.

Azahar kemudian bertanya mengenai sebab taklimat operasi Solid Grip itu diberikan secara mendalam dan soalan itu dibantah oleh peguam Christopher Fernando yang turut dipersetujui oleh hakim.

Mazlan berkata selepas taklimat itu beliau diarahkan oleh Mohd Said supaya memberi taklimat kepada KPN dan beliau ke sana pada pukul 9 pagi bersama Amir. Beliau memberi taklimat kepada KPN mengenai surat perihal salah laku TPM dan operasi Solid Grip yang ada kaitan.

Fernando sekali lagi membantah soalan itu dan Hakim membenarkannya.

Mazlan berkata setelah taklimat itu KPN telah memintanya meneruskan siasatan terhadap surat itu dan ingin tahu mengenai keluasan penyebaran surat itu.

''Di samping itu KPN telah menyerahkan surat perihal salah laku TPM kepada Amir untuk tindakan kami selanjutnya,'' katanya.

Beliau berkata pada 12 Ogos 1997, pukul 3 petang, semasa ditemani Amir dan Mohd Said, beliau sekali lagi berjumpa KPN yang meminta laporan penyebaran surat itu.

''Saya melaporkan kepada KPN bahawa ID14 (surat itu) tidak begitu luas pengedarannya dan memaklumkkannya bahawa penulis surat itu dalam proses memajukannya kepada Perdana Menteri,'' katanya.

Setelah selesai taklimat itu, KPN telah mengarahkannya supaya terus memantau situasi dan melaporkan kembali kepadanya, katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 11/11/1998

Anwar dilarang buat kenyataan

KUALA LUMPUR 11 Nov - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S.Augustine Paul hari ini mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perbicaraan kes rasuah terhadapnya dan kes berasingan melibatkan rakan tennisnya, Datuk S.Nallakaruppan.

Hakim memberitahu Raja Aziz Addruse, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, supaya menasihatkan bekas timbalan perdana menteri itu supaya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu kerana kadangkala cara ia dilapor, menjadikan kes itu lebih menarik dan sensasi.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail mengadu kepada mahkamah mengenai kenyataan Anwar yang dibuat semasa mahkamah rehat 15 minit pagi semalam.

Kenyataan itu diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini dengan tajuk ''Anwar Gets The Message Across Despite Clamp'' (Anwar Berjaya Sampaikan Mesej Walaupun Ada Larangan) dan antara lain menyebut bahawa Anwar memetik satu laporan yang berbunyi ''Said: I Won't Lie'' (Said: Saya Tidak akan Berbohong) sambil berkata:

''Dia sudahpun memberikan enam versi. Saya mengira.''

Laporan itu juga menyebut bahawa Anwar, sambil makan biskut wafer, berkata dengan kuat: ''Mengikut Hakim Paul, tidak dibenarkan makan dalam mahkamah'' dan kemudian tersenyum kepada beberapa anggota polis yang kelihatan sedang mengunyah coklat getah.

Abdul Gani berkata: ''Jikalah perkara ini benar-benar berlaku, maka implikasinya adalah sangat serius.''

Raja Aziz mencelah dan berkata bahawa menurut Anwar, apa yang dikatakannya ditujukan kepada anggota keluarganya dan dia tidak diarahkan kepada media.

Hakim Paul berkata beliau tidak pernah menyebut apa-apa mengenai larangan makan dan Anwar boleh makan semasa rehat tetapi itu tertakluk kepada peraturan lokap sama ada boleh atau tidak.

''Saya berpendapat aduan kedua (kenyataan kepada media) lebih serius dalam perbicaraan ini. Jika dia (Anwar) membuat kenyataan itu, ia harus dihentikan,'' katanya.

Raja Aziz memberitahu mahkamah beliau akan sampaikan perkara itu kepada Anwar.

Mahkamah kemudian diteruskan dengan soal balas saksi kedua DSP Abdul Aziz Hussin dari Cawangan Khas polis.

--------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 11/11/1998

Anwar fail notis rayuan

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan notis untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak bantahan awal bekas Timbalan Perdana Menteri itu minggu lalu berhubung kesahihan pertuduhan di bawah Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Notis itu dikemukakan oleh pembantu undang-undang, Zaharin Md. Arif dari Tetuan Zainur Zakaria & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada kira-kira pukul 11 pagi ini.

Pada 2 November lalu, Hakim Datuk S. Augustine Paul menolak bantahan awal peguam bela Anwar yang menghujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya di bawah Ordinan No.22 adalah tidak sah kerana undang-undang berkenaan telah dimansuhkan oleh Parlimen.

ARKIB : 11/11/1998

Saksi diarah dapatkan maklumat dari Ummi

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Timbalan Penguasa Polis (TPP), Abdul Aziz Hussin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau diarah mendapatkan satu kenyataan umum daripada Ummi Hafilda Mohd. Ali.

Arahan tersebut, kata saksi, dikeluarkan kerana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan surat pengakuan Ummi Hafilda bertarikh 18 Ogos tahun lalu untuk menarik balik dakwaan perihal salah laku seks terhadapnya.

Abdul Aziz berkata, beliau dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus yang meminta Ummi menulis surat kenyataan umum yang lebih tegas dan komited menafikan dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam surat bertarikh 5 Ogos 1997 yang dihantar kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun sebelum itu, peguam bela Anwar, Gurbachan Singh membantah soalan pendakwa raya yang menimbulkan perkara itu kepada Abdul Aziz dengan alasan ia adalah dengar cakap.

Hakim Datuk S. Augustine Paul menolak bantahan itu dan meminta Abdul Aziz meneruskan keterangannya sebagai saksi pendakwa yang kedua pada perbicaraan terhadap Anwar yang masuk hari ketujuh hari ini.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Abdul Aziz, 42, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Cawangan Khas di sini sebelum itu menceritakan beliau berjaya menukar pendirian Ummi Hafilda menarik balik dakwaan suratnya kira-kira pukul 7 pagi pada 18 Ogos tahun lalu.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad bertanya bagaimanakah Abdul Aziz bertindak untuk menukarkan pendirian Ummi Hafilda.

Abdul Aziz: ''Selain menimbulkan ketakutan, terdapat dua cara pendekatan yang digabungkan. Pertama, soal siasat berterusan dengan soalan bertalu-talu bagi menimbulkan seolah-olah akan berlaku ancaman fizikal.

Pendekatan kedua, memujuk dan menasihat bagi tujuan mengelirukan sasaran.''

Azahar: ''Kamu telah memberitahu Yang Arif ketiga-tiga pendekatan ini. Apakah kamu menggunakan ketiga-tiga cara ini?''

Abdul Aziz: ''Ketiga-tiga pendekatan ini telah menimbulkan tekanan mental yang tinggi sehingga Ummi hilang daya melawan dan menyerahkan kepada pasukan soal siasat.''

Azahar: ''Kamu telah beritahu Yang Arif, proses berjaya pukul 7 pagi. Daripada pukul 11 malam 17 Ogos 1997, di waktu kamu mula-mula menemui Ummi sehingga pukul 7 pagi, adakah Ummi diberi masa untuk tidur?''

Abdul Aziz:'' Sepanjang tempoh itu, saya telah menjalankan proses soal siasat ke atas Ummi tanpa henti.''

Azahar: ''Setelah kamu mendapati Ummi pada pukul 7 pagi, Ummi berjaya ditukarkan pendiriannya, bilakah kamu maklumkan perkara ini kepada Datuk Mohd. Said Awang.

Abdul Aziz: ''Saya telah memaklumkan mengenai kejayaan tersebut kepada Datuk Mohd. Said pada sekitar jam 10 pagi hari berkenaan.''

Azahar: ''Setelah kamu memaklumkan kepada Mohd. Said mengenai perkara ini, apakah arahan beliau selanjutnya?''

Abdul Aziz:'' Ada dua arahan pada masa itu. Pertama, untuk saya menyerahkan Ummi Hafilda balik kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di samping meletakkan pasukan saya dalam 'standby' sehingga menerima arahan selanjutnya.''

Azahar:'' TPP Aziz, siapakah dari pihak CID kamu serahkan Ummi?''

Abdul Aziz: ''Saya telah menyerahkan Ummi kepada Penolong Penguasa Polis (PPP), Zulkifli Mohamad.

Azahar memohon izin mahkamah untuk memanggil PPP Zulkifli dicamkan oleh saksi itu.

Azahar: ''Kamu tahukah apa berlaku kepada Ummi?''

Abdul Aziz: '' Saya tidak tahu apakah tindakan yang diambil oleh CID ke atas Ummi.''

Azahar: ''Sebentar tadi kamu telah beritahu Yang Arif, kamu diberi arahan khusus untuk menyoal siasat Ummi. Soalan saya ialah pada pagi itu selain daripada Ummi adakah kamu juga turut terlibat dalam soal siasat Azizan.''

Abdul Aziz: ''Ada, pada pagi 18 Ogos 1997, sekitar jam 5 pagi, saya ada memasuki bilik di mana Azizan disoal siasat.''

Azahar: ''Sila beritahu Yang Arif apa yang kamu lakukan?''

Abdul Aziz: ''Di bilik tersebut saya dapati Azizan masih lagi belum berjaya diubahkan pendiriannya maka saya telah memainkan peranan dalam menggemparkan Azizan dengan mempertikaikan segala dakwaan yang dia diliwat oleh TPM (Anwar).''

Azahar: ''Berapa lama kamu memainkan peranan ini terhadap Azizan?''

Abdul Aziz: ''Saya memainkan peranan ini selama lebih kurang sejam.''

Azahar: ''Sebentar tadi kamu telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada pukul 10 pagi, kamu telah serahkan Ummi kepada PPP Zulkifli. Soalan saya, apa yang berlaku pada pukul 2.30 petang pada hari tersebut?''

Abdul Aziz: ''Pada sekitar jam 2.30 petang hari tersebut, PPP Zulkifli telah menyerahkan semula Ummi kepada saya.''

Azahar: ''Sekitar jam 5 petang hari tersebut, sila beritahu mahkamah apa berlaku?''

Abdul Aziz: ''Pada sekitar jam 5 petang hari tersebut, Datuk Mohd. Said telah memanggil saya ke pejabatnya.

Azahar:'' Dan di pejabatnya itu apa arahan Mohd. Said berikan kepada kamu?''

Abdul Aziz: ''Datuk Mohd. Said mengarahkan saya agar menyuruh Ummi menulis sepucuk surat penafian terhadap segala dakwaan yang terkandung dalam ID14 (surat dakwaan).''

Azahar: ''Apakah yang kamu lakukan terhadap Ummi antara pukul 2 petang dan 5 petang sebelum dapat arahan dari Mohd Said?''

Abdul Aziz: '' Sebelum dapat arahan Mohd. Said ini, saya dan pegawai-pegawai telah merakamkan maklumat-maklumat yang didedahkan oleh Ummi sebelum ini bagi tujuan menghalusinya.''

Azahar: ''Adakah rakaman ini dibuat sejajar dengan peruntukan Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah.''

Abdul Aziz: ''Rakaman ini tidak dibuat sejajar dengan Seksyen 113.''

Azahar: ''Adakah kenyataan ini berbentuk perisikan?''

Abdul Aziz: ''Benar, rakaman ini lebih berbentuk perisikan.''

ARKIB : 11/11/1998

Anwar nafi punyai kepentingan dalam MRCB


DR. WAN AZIZAH Wan Ismail membacakan kenyataan akhbar Anwar Ibrahim kepada para wartawan ketika Mahkamah Tinggi rehat tengah hari, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beberapa laporan bahawa beliau mempunyai kepentingan langsung di dalam syarikat media dan infrastruktur, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sambil menolak dakwaan bahawa syarikat itu dikuasai oleh rakan-rakannya.

Menurut Anwar, kepentingan Real Mild dalam MRCB adalah melalui pegangan saham 20 peratus oleh Datuk Kadir Jasin, Datuk A. Nazeri Abdullah, Datuk Khalid Ahmad dan Mohd. Noor Mutalib.

''Saham 80 peratus selebihnya dipegang oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemegang amanah selaku Presiden UMNO,'' katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dr. Wan Azizah membacakan kenyataan itu kepada para pemberita di luar Mahkamah Tinggi ketika mahkamah berhenti rehat tengah hari ini.

Beberapa laporan media termasuk yang terbaru di dalam majalah Business Week keluaran 9 November menyatakan bahawa MRCB dikuasai oleh rakan-rakan Anwar.

Menurut Anwar, beliau tidak dapat memberikan penjelasan sebelum ini kerana ia menyinggung kedudukan Dr. Mahathir.

''Setahu saya dan pernah diakui sendiri oleh Dr. Mahathir bahawa ini merupakan satu-satu kepentingan UMNO di mana rekod amanah adalah jelas,'' katanya.

Anwar turut mempersoalkan kehilangan ''ribuan juta ringgit sebelumnya yang dikumpul lesap entah di mana dan tidak dapat dipertahankan dengan apa rekod jua.''

''Persoalan sekarang ialah apa kedudukan dan kepentingan UMNO dalam MRCB sekarang? Apakah peristiwa melesapkan harta jutaan ahli UMNO berulang lagi?'' katanya.

-------------------------------------------------------------------------


ARKIB : 11/11/1998

Maklumat Ummi rasional - Saksi

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Maklumat-maklumat yang didedahkan oleh Ummi Hafilda Mohd. Ali hasil daripada siasatannya sendiri ternyata konsisten, rasional dan boleh diterima walaupun dianggap dengkel oleh Cawangan Khas.

Saksi pendakwa kedua, Timbalan Penguasa Abdul Aziz Hussin berkata, atas sebab-sebab itulah, beliau bertindak mendalami maklumat-maklumat yang diperoleh sepanjang proses menukar pendirian dan peneutralan dilakukan ke atas wanita itu.

''Walaupun maklumat-maklumat yang didedahkan itu dengkel tetapi ia tidak boleh membawa kepada peneutralan sasaran dan kami berpendapat siasatan lanjut harus dilakukan,'' kata Abdul Aziz menjawab soalan peguam Raja Aziz Addruse pada sesi soal balas perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Raja Aziz mengepalai barisan sembilan peguam yang mewakili Anwar dalam perbicaraan empat tuduhan rasuah menafikan salah laku seks dan meliwat.

Menurut saksi itu, ketika menandatangani surat pertama yang mengandungi pengakuan untuk menukar pendirian, Ummi Hafilda masih belum diubah pendiriannya secara menyeluruh.

Abdul Aziz: ''Ummi Hafilda hanya menandatangani surat penukaran pendirian 11 jam selepas proses penukaran pendiriannya dilakukan.

Raja Aziz: ''Apabila proses itu dilakukan, adakah beliau memberitahu pandangan barunya?''

Abdul Aziz: ''Beliau kata, apa yang dibuat berkaitan dengan surat yang dihantar kepada Perdana Menteri merupakan satu keterlanjuran berdasarkan fakta-fakta yang longgar yang boleh membawa kepada satu bentuk tohmahan.''

Raja Aziz: ''Adakah kamu puas hati dengan apa yang dikatakannya?''

Abdul Aziz: ''Proses menukar pendirian ke atas Ummi Hafilda tidak berjaya sepenuhnya kerana matlamat asalnya ialah supaya beliau menafikan secara total surat yang ditulisnya pada 5 Ogos 1997.''

Raja Aziz: ''Apa terjadi selepas itu, sebab kamu kata proses itu tidak berjaya sepenuhnya?''

Abdul Aziz: ''Saya maklumkan hasilnya kepada Pengarah Cawangan Khas (saksi pendakwa pertama, SP1, Datuk Mohd. Said Awang) dan seterusnya mencadangkan agar Ummi Hafilda dikawal selia.''

Raja Aziz: ''Pukul berapa tu?''

Abdul Aziz: ''Pada jam 10 pagi 18 Ogos 1997 apabila saya dipanggil oleh SP1 ke pejabatnya.''

Raja Aziz: ''Antara 10 pagi hingga 6 petang apabila Ummi Hafilda menandatangani surat pertamanya itu, apa terjadi?''

Abdul Aziz: ''Saya kurang jelas...''

Raja Aziz: ''Pada pukul 10 pagi, kamu dipanggil oleh SP1, tapi surat pertama itu ditandatangani pada jam 6 petang, bukan begitu?''

Abdul Aziz: ''Dalam keterangan saya tadi, saya katakan, SP1 arahkan saya supaya menyerahkan semula Ummi Hafilda kepada pihak cawangan siasatan jenayah, dan saya terima semula sasaran itu pada jam 2.30 petang.

''Saya juga menerima arahan daripada SP1 pada jam 5 petang untuk mendapatkan surat penafian daripada Ummi Hafilda.''

Raja Aziz: ''Apabila sasaran diserahkan semula kepada kamu adakah proses menukar pendirian dan peneutralan diteruskan?''

Abdul Aziz: ''Proses itu terhenti seketika kerana kami menumpukan perhatian untuk mendalami maklumat-maklumat yang telah didedahkan oleh Ummi Hafilda.''

Raja Aziz: ''Beralih ke pukul 6 petang, Ummi Hafilda tandatangani surat pertamanya, adakah begitu?''

Abdul Aziz: ''Saya rasa dah jawab.''

Raja Aziz: ''Sehingga masa itu, Ummi Hafilda belum ditukarkan pendiriannya secara total?''

Abdul Aziz: ''Dah jawab.''

Raja Aziz: ''Kalau beliau belum ditukarkan pendiriannya secara total, kenapa beliau diminta tulis surat itu?''

Abdul Aziz: ''Beliau diminta tulis surat pertamanya itu atas arahan dan desakan. Actually, SP1 was breathing on my neck. Beliau sentiasa desak saya.''

Raja Aziz: ''Macam mana beliau desak?''

Abdul Aziz: ''Arahan dari awal, semua kerja mesti diselesaikan dalam masa tidak melebihi 24 jam. Apabila saya terima arahan pada jam 5 petang, saya juga diingatkan berhubung perkara itu.''

Raja Aziz: ''Bukankah arahan memerlukan Ummi Hafilda diubah pendiriannya secara total?''

Abdul Aziz: ''Arahan memang menghendaki sedemikian. Sehubungan itu, surat yang diminta adalah surat penafian tetapi yang terhasil hanyalah surat memohon maaf.''

Raja Aziz: ''Adakah ini bertentangan dengan percakapan pada pukul 7 pagi bahawa beliau sudah diubah pendiriannya?''

Abdul Aziz: ''Saya dah jawab bahawa proses mengubah pendiriannya pada jam 7 pagi tidak sempurna.''

Raja Aziz: ''Apabila kamu minta beliau tulis surat pertama itu, kamu tahukah beliau tidak akan memohon maaf sebab beliau belum diubah pendiriannya secara total?''

Abdul Aziz: ''Saya berbincang dengan Ummi Hafilda tentang surat penafian dan beliau hanya bersetuju menulis surat yang tidak menyatakan akuan memohon maaf. Perkara itu saya terpaksa rujuk kepada SP1 untuk dapatkan persetujuan.''

Raja Aziz: ''Jadi surat pertama daripada Ummi Hafilda itu tidak memuaskan, begitu?''

Abdul Aziz: ''Benar, ia tidak memuaskan.''

Raja Aziz: ''Kamu sendiri sedar surat itu tidak memuaskan.''

Abdul Aziz: ''Ya, saya sendiri sedar surat pertama itu tak memuaskan.''

Raja Aziz: ''Adakah kamu terima surat itu daripada Ummi Hafilda?''

Abdul Aziz: ''Saya dah jawab, Yang Arif.''

Hakim Augustine Paul mencelah sambil cuba mententeramkan saksi dengan berkata:

''Inipun macam satu proses mengubah pendirian. Apa yang dilakukan oleh peguam ialah cara macam mana beliau boleh dapatkan jawapan yang menyokong kesnya.''

Hadirin tergelak mendengarnya.

Abdul Aziz: ''Saya tunjukkan surat itu kepada SP1 yang kemudian tidak dipersetujuinya dan saya diarah mendapatkan surat yang lebih tegas dan komited daripada Ummi Hafilda.''

Raja Aziz: ''Kamu sedar surat pertama Ummi Hafilda tidak akan diterima oleh SP1, mengapa kamu tak teruskan proses mengubah pendirian untuk mendapatkan surat penafian?''

Abdul Aziz: ''Pada masa saya dapat surat pertama daripada Ummi Hafilda, saya sendiri merasa bahawa siasatan seharusnya diteruskan dengan sebab itu saya tidak begitu menekan bagi mendapatkan surat yang lebih tegas pada ketika itu.''

Raja Aziz: ''Terangkan. Saya tak faham maksud jawapan itu. Kamu sedar tapi kamu terima supaya siasatan diteruskan.''

Abdul Aziz: ''Arahan diterima untuk dapatkan surat penafian, SP1 telah dimaklumkan bahawa terdapat asas-asas untuk meneruskan penyiasatan.

''Jadi pada pukul 6 petang 18 Ogos 1997, saya terhimpit di antara pandangan saya dan arahan daripada SP1.''

Raja Aziz: ''Selepas beliau arah semula untuk dapatkan surat lebih tegas, kamu temui Ummi Hafilda sekali lagi?''

Abdul Aziz: ''Ya. SP1 ada menyatakan berkaitan surat pertama terlalu mendatar dan tidak mengandungi pengakuan kesilapan atau keterlanjuran serta tidak mempunyai ungkapan-ungkapan perkataan memohon maaf.''

Raja Aziz: ''Adakah SP1 terangkan bagaimana surat lebih tegas harus ditulis?''

Abdul Aziz: ''Tidak. Setelah dimaklumkan mengenai perkara-perkara yang tertinggal, saya telah berbincang semula dengan Ummi Hafilda untuk merangka bentuk surat yang dikehendaki.''

Raja Aziz: ''Dalam keterangan sebelah pagi, kamu beritahu 'peranan saya dalam surat itu adalah sebagai penasihat.''

Abdul Aziz: ''Saya telah memberikan pandangan dan cadangan.''

Raja Aziz: ''Terangkan sikit sebanyak, apa pandangan dan cadangan yang kamu beri pada Ummi Hafilda.''

Abdul Aziz: ''Yang Arif, pandangan saya banyak berlandaskan kepada pendedahan dan pengakuan Ummi Hafilda semasa disoal siasat.

''Contohnya, beliau akui penyiasatannya adalah dengkel. Beliau juga akui dakwaan-dakwaan dengkel itu boleh membawa kepada tohmahan sehubungan itu mengakui keterlanjurannya dan seterusnya memohon maaf di atas perbuatan itu.''

Raja Aziz: ''Selain daripada itu, penulisan surat baru itu serahkan kepada Ummi Hafilda sendiri?''

Abdul Aziz: ''Benar, Yang Arif.''

Soal balas peguam terhadap saksi tersebut disambung esok.